Search This Blog

Thursday, September 1, 2011

Ops Sikap: Jumlah angka terkorban meningkat kepada 166

KUALA LUMPUR 1 Sept – Sebanyak 17 kematian jalan raya dicatatkan pada hari kesembilan Ops Sikap 24 semalam, menjadikan jumlah angka kematian 166 orang.
Menurut jurucakap trafik Bukit Aman, 14 kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, dua melibatkan pengguna kereta dan satu pengguna motovan.
Beliau berkata, jumlah kemalangan di seluruh negara semalam melibatkan 1,036 kes, dan sebanyak 4,832 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik atas pelbagai kesalahan. – Bernama, utusan

Mati ditembak ketika jamu selera

SEREMBAN – Seorang penarik kereta yang sedang menjamu selera bersama tiga rakannya di sebuah restoran mati ditembak oleh dua lelaki sebelum mereka melarikan diri dengan sebuah motosikal dekat Taman AST di sini, tengah malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, ACP Hamdan Majid berkata, dalam kejadian pukul 12.15 tengah malam itu, mangsa P. Vickneswaran, 33, dari Rasah di sini, maut di tempat kejadian selepas ditembak dari jarak dekat.
Katanya, mangsa terkena empat das peluru yang menembusi kepala dan badannya, manakala seorang lagi rakannya mengalami kecederaan kaki selepas dipercayai terkena peluru sesat.
"Ketika mereka sedang makan, tiba-tiba dua lelaki yang menaiki motosikal kapcai jenis Honda EX5 menghampiri kedai makan itu sebelum seorang daripada mereka meluru ke arah mangsa dan melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri di sini hari ini.
Katanya, rakannya yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Seremban untuk mendapatkan rawatan.
Hamdan berkata, motif pembunuhan mangsa masih disiasat, tetapi tidak menolak kemungkinan kejadian itu disebabkan dendam. – Bernama, kosmo

Kanak-kanak dan bapa saudara lemas

GEORGETOWN – Seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun dan bapa saudaranya dilaporkan lemas di pantai Pasir Panjang, Pulau Betong, Balik Pulau hari ini.
Mayat Abdullah Mukmin Ahmad, murid Sekolah Kebangsaan Pulau Betong dan Abdul Razak Osman, 32, ditemui kira-kira 11.20 pagi tadi oleh anggota bomba dan penyelamat serta polis.
Bapa kanak-kanak tersebut, Ahmad Nasser Osman, 42, berkata, Abdul Razak sedang cuba menyelamatkan anaknya yang sedang lemas, tetapi dia turut dihanyut arus deras.
"Melihatkan Mukmin sedang tenggelam, Razak terjun ke dalam laut untuk menyelamatkannya, tetapi ombak terlalu kuat sehingga turut menenggelamkan dia,” katanya di rumah mayat Hospital Balik Pulau.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Pulau Pinang, DSP Lai Fah Hin mengesahkan kejadian tersebut dan menasihati orang ramai agar tidak mandi di pantai berkenaan.
"Ombak agak kuat daripada biasa dan sangat merbahaya. Orang ramai perlu berhati-hati semasa berada di pantai itu,” katanya. – Bernama, kosmo

Gempa Bermagnitud 6.0 Gegarkan Kepulauan Santa Cruz

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat dengan kekuatan 6.0 pada skala Richter menggegarkan Kepulauan Santa Cruz yang merupakan sebahagian daripada Wilayah Temotu, Kepulauan Solomon, pada pukul 2.14 petang Khamis.
Menurut satu kenyataan Jabatan Meteorologi, pusat gempa bumi itu terletak 5,656 km ke tenggara Kunak di Sabah.
Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia dan Jabatan Meteorologi sedang memantau perkembangan berkenaan, menurut kenyataan itu. - BERNAMA, mstar

Enam Suspek Cubaan Samun Kedai Pajak Ditahan

PETALING JAYA: Enam lelaki yang sedang leka menebuk lubang di sebuah kedai gambar sebagai laluan masuk untuk menyamun kedai pajak bersebelahan, ditahan selepas sistem penggera kedai gambar itu berbunyi dalam satu kejadian di Sungai Way di sini kira-kira 3 pagi Khamis.
Difahamkan keenam-enam lelaki berkenaan, sebelum itu memecah masuk pintu belakang kedai gambar tersebut sebelum berusaha menebuk lubang itu.
Kira-kira sejam kemudian, sistem penggera kedai gambar itu secara tiba-tiba berbunyi, lantas mengejutkan anggota polis Balai Polis Sungai Way terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.
Panik dengan situasi itu, kesemua suspek cuba melarikan diri ke arah kenderaan mereka, namun tindakan pantas polis berjaya menahan kesemua suspek.
Polis menemui sejumlah batu-bata yang telah ditebuk, peralatan menebuk seperti mesin gerudi, beg galas dan sarung muka selain dua kereta yang berada di luar premis berkenaan.
Difahamkan polis sedang memohon perintah reman bagi menyiasat kejadian itu dengan lebih lanjut.
Sepasukan anggota polis forensik dilihat menjalankan siasatan dan mengumpul bukti yang ada di tempat kejadian, termasuk cap jari.
Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dijangka mengadakan sidang akhbar Jumaat.
Pemilik kedai pajak tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Chan, berkata beliau gembira suspek tidak sempat menyamun kedainya dan berharap tindakan tegas dikenakan terhadap mereka.
"Saya gembira kerana tiada barang yang hilang," katanya. - BERNAMA, mstar

Perbuatan khianat: 6 motosikal, 2 kereta hangus terbakar


HANGUS...enam motosikal dan dua kereta terbakar dalam satu kejadian yang dipercayai perbuatan khianat di Taman Muda, Ampang, di sini, awal pagi tadi. Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata kejadian itu dipercayai jam 5.30 pagi di Apartment Rivera. - Foto NSTP



KUALA LUMPUR 1 Sept – Enam buah motosikal dan dua buah kereta hangus terbakar dalam satu kejadian yang dipercayai perbuatan khianat di Taman Muda, Ampang, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin berkata, kejadian itu berlaku pada 5.30 pagi di Apartment Rivera.
"Kejadian berlaku ketika penduduk nyenyak tidur. Asap daripada motosikal dan kereta yang dibakar itu naik ke tingkat atas, menyebabkan kesemua mereka terjaga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, penghuni blok apartmen berkenaan turun untuk melihat apa yang berlaku dan setelah menyedari terdapat kenderaan terbakar, mereka memaklumkannya kepada pihak polis dan bomba.
Amiruddin berkata, ia kejadian kedua di kawasan sama. Tahun lepas, lapan buah motosikal dan sebuah kereta telah dibakar. – Bernama, utusan

Kes tembak pelajar: 3 anggota polis ditahan bantu siasatan

KUALA LUMPUR 1 Sept – Tiga anggota polis antara enam yang ditahan berhubung kejadian melepaskan tembakan yang mencederakan seorang pelajar kolej swasta di Taman Seri Rampai, Setapak, di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, ketiga-tiga anggota itu berpangkat Koperal dan Lans Koperal.
"Dua daripada mereka bertugas di Bukit Aman dan seorang lagi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pergeseran kenderaan, namun siasatan masih lagi dijalankan.
Selain tiga anggota polis itu, tiga lagi yang ditahan semalam adalah rakan mangsa berumur antara 20 dan 27 tahun.
Kesemua suspek ditahan reman sehingga 4 Ogos bagi membantu siasatan. – Bernama

Seorang Ibu Terbunuh Apabila Ambulans Bawa Anaknya Terbabas


TAMPIN, 1 Sept (Bernama) -- Seorang ibu, yang menemani anaknya ke Hospital Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan akibat terkena renjatan elektrik, terbunuh apabila ambulans yang membawa mereka terbabas ketika melalui satu selekoh di Jalan Felda Bukit Rokan, pukul 8 malam tadi. 


Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah Norizah Bujang, 62, manakala anaknya, Moriem Tam Suhana Ahmad, 30, terselamat tetapi kritikal akibat renjatan elektrik yang dialaminya. Jurucakap polis berkata ambulans, yang dipandu seorang petugas dari Klinik Kesihatan Jelai, bersama seorang pembantu membawa Allahyarham Norizah yang menemani anaknya di bahagian belakang ambulan ke Hospital Kuala Pilah.


 Katanya semasa melalui satu selekoh dekat Jalan Felda Bukit Rokan, ambulans itu terbabas sehingga remuk di bahagian hadapan. "Norizah meninggal dunia di bahagian belakang ambulans dan anaknya terselamat tetapi masih kritikal akibat renjatan elektrik yang dialaminya," katanya.


 Kedua-dua pemandu dan pembantu kesihatan pula hanya mengalami kecederaan ringan di muka dan tangan. Jurucakap polis itu berkata Moriem Tam Suhana terkena renjatan elektrik semasa menggunakan mesin jahit kira-kira pukul 7 malam di rumah mereka di Felda Jelai. Allahyarham Norizah yang tinggal bersama anak perempuannya kemudian meminta bantuan seorang jiran untuk menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Jelai namun berikutan kecederaan Moriem Tam Suhana parah, mangsa terpaksa dihantar ke Hospital Kuala Pilah menggunakan ambulans. 


Adik perempuan Norizah, Azami Bujang ketika dihubungi Bernama pagi ini memberitahu, kakaknya meninggalkan suami serta tujuh orang anak dan jenazah allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Felda Jelai 3. "Anaknya yang terkena renjatan elektrik ini merupakan anak keempat yang telah kematian suami dan mempunyai dua cahaya mata," katanya. Semasa melawat anak saudaranya itu di Hospital Kuala Pilah, Moriem Tam Suhana sudah mampu bercakap tetapi difahamkan mangsa akan dipindahkan ke Hospital Seremban kerana mendapat kecederaan tulang akibat kemalangan itu, katanya. -- BERNAMA

Pelajar Parah Ditembak Di Hadapan Kelab Malam

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar cedera parah ditembak dalam satu kejadian di hadapan sebuah kelab malam berhampiran Taman Seri Rampai, Setapak di sini, Rabu.
Ketua Polis Sentul Asisten Komisioner (ACP) Zakaria Pagan berkata dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, pelajar lelaki yang berumur dalam lingkungan 20-an bersama tiga lagi rakannya baru sahaja memasuki kereta untuk meninggalkan kelab malam berkenaan apabila mereka didatangi sekumpulan lelaki.
"Seorang daripada mereka menghentak cermin belakang kereta itu dengan menggunakan sebatang besi," katanya ketika ditemui pemberita di sini Rabu.
Pelajar berkenaan dan tiga rakannya kemudian keluar dari kereta untuk melarikan diri.
Bagaimanapun seorang daripada penyerang itu melepaskan tembakan yang mengenai bahagian punggung dan kaki pelajar berkenaan.
Kumpulan itu kemudian melarikan diri, katanya.
Pelajar yang cedera itu menerima rawatan di Hospital Ampang. Polis menemui lima biji kelongsong peluru di tempat kejadian.
Belum ada tangkapan dibuat setakat ini.
Beliau berkata polis sedang menyiasat motif kumpulan lelaki berkenaan dan mengenal pasti sama ada pelajar dan rakan-rakannya serta kumpulan penyerang itu saling mengenali. - BERNAMA, mstar

12 warga emas nyaris rentung dalam kebakaran

KUANTAN: Dua belas warga emas yang sedang asyik menonton televisyen di rumah mereka, nyaris rentung dalam kebakaran enam rumah di kampung Baru Seberang, Sungai Lembing, dekat sini, petang semalam.

Ketika kejadian, kebanyakan mangsa berkenaan yang sudah uzur dan bersara sebagai pekerja lombong bijih timah di situ sejak 20 tahun lalu, sedang berehat di rumah bersama pasangan suami isteri masing-masing sambil menantikan kepulangan anak mereka sempena cuti hari raya dan Hari Kebangsaan kelmarin.
Seorang mangsa, Loke Ah Lian, 71, berkata ketika kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu dia sedang asyik menonton televisyen bersama suaminya kerana terdapat banyak program menarik ditayangkan sempena hari raya.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan dari atas siling rumah seperti bunyi mercun menyebabkan saya tidak mengendahkannya kerana menyangka ada kanak-kanak nakal yang bermain mercun hari raya dan membalingnya ke atas bumbung.

"Bagaimanaoun, sejurus selepas itu televisyen di rumah saya terpadam diikuti asap tebal dan api dari atas siling menyebabkan saya bersama suami segera berlari keluar dari rumah sambil menjerit memberitahu jiran yang lain.

"Kami tidak sempat menyelamatkan barang dari dalam rumah kerana api terlalu marak membakar bahagian siling sehingga keseluruhan siling runtuh ke lantai," katanya.
Seorang lagi mangsa, Kong Ah Heng, 61, berkata api dipercayai merebak masuk ke rumahnya dari rumah yang pertama, melalui kabel elektrik yang disambung ke bahagian atas dinding rumahnya.

"Sebaik mendengar jeritan jiran, saya segera masuk ke bilik tidur untuk menyelamatkan dokumen peribadi termasuk kad pengenalan dan sedikit wang tunai, namun saya melihat tilam dan almari pakaian sudah disambar api.

"Dalam masa kira-kira 20 minit sahaja, api sudah merebak dan membakar enam rumah yang berhampiran kerana semua rumah kayu berkenaan terletak terlalu hampir antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail yang
menyampaikan sumbangan awal kepada mangsa berkata kebanyakan rumah berkenaan berisiko terbakar kerana sudah berusia lebih 50 tahun yang dibina oleh syarikat perlombongan ketika era awal kemerdekaan negara dahulu.

"Rumah berkenaan dibinanya daripada kayu dan asbestos, memang amat mudah disambar api menyebabkan ia boleh hangus dalam masa yang singkat.

"Setakat ini, kerugian awal dianggarkan berjumlah RM200,000 dan bagi menampung kerugian itu, Kerajaan Negeri Pahang akan menyumbang RM5,000 bagi setiap keluarga.

"Untuk permulaan, mereka juga menerima RM1,000 daripada Pusat Khidmat Parlimen Paya Besar dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di samping bantuan selimut dan pakaian kerana semua mereka hanya tinggal sehelai sepinggang," katanya.

Abdul Manan berkata, beliau akan mendapatkan kelulusan daripada Unit Perancangan Ekonomi Negeri bagi merangka pelan pembangunan memelihara warisan sejarah perlombongan di Sungai Lembing termasuk rumah pekerja yang semakin uzur. bharian

6 rumah era lombong bijih timah musnah

KUANTAN – Enam buah rumah era kegemilangan lombong bijih timah di Kampung Baru Seberang, Sungai Lembing dekat sini musnah dalam satu kebakaran, petang semalam.
Kebakaran yang berlaku pada pukul 5.45 petang itu menyebabkan enam keluarga tinggal sehelai sepinggang.
Seorang mangsa, Loke Ah Lian, 71, berkata, ketika kejadian, dia sedang menonton pelbagai program menarik sempena Aidilfitri bersama suaminya sebelum terdengar bunyi letupan pada bahagian atap rumahnya.
Katanya, dia tidak mengendahkan bunyi itu kerana menyangka ada kanak-kanak nakal yang bermain mercun pada hari raya dan membalingnya di atas rumahnya.
"Tetapi, selepas itu, televisyen di rumah saya terpadam... asap dan api mula keluar dari atas siling menyebabkan saya bersama suami segera berlari keluar dari rumah sambil menjerit memberitahu jiran yang lain,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, mereka tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana api terlalu marak membakar bahagian siling. – Bernama

15 rumah terbakar, tiada kecederaan

SANDAKAN – Kegembiraan menyambut Aidilfitri bagi 45 keluarga bertukar sedih apabila rumah mereka di Kampung Muhibah Batu 2 dekat sini musnah terbakar hari ini.
Kebakaran pada kira-kira pukul 12 tengah hari itu memusnahkan 15 buah rumah. Tiada kecederaan dilaporkan.
Timbalan Penguasa Zon Bomba dan Penyelamat Sandakan, Ordine Gilu berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.05 tengah hari dan tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian.
Katanya, api dapat dikawal 50 minit kemudian dan padam sepenuhnya pada pukul 1.30 petang.
Menurutnya, tiga jentera bersama 15 anggota bomba terlibat dalam operasi memadamkan api.
Ordine berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – Bernama

Gempar: Ular sawa ditemui dalam kolam

SEREMBAN – Pengunjung sebuah kolam renang yang sedang seronok bermandi manda tergempar apabila mendapati seekor ular sawa batik sepanjang empat meter turut berendam bersama mereka dalam satu kejadian di Kelab Rekreasi Sungai Ujong di sini, semalam.
Menurut seorang ahli kelab, Chong Kok Kiong, 50-an, dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, terdapat lapan orang termasuk kanak-kanak sedang bermandi manda dalam kolam sedalam antara 1.2 hingga 3.04 meter.
"Seorang perenang wanita kemudian melihat ada satu benda hitam di bawah tangga besi di dalam kolam. Dia kemudian menyelam untuk melihat lebih dekat.
“Selepas melihat ular, perempuan itu kemudian naik ke permukaan dan menjerit memberi amaran kepada pengunjung lain,” katanya.
Ketika kejadian itu, Kok Kiong sedang duduk bersantai di tepi kolam itu.
Pihak pengurusan kelab kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dan sebuah van berserta empat anggota dihantar untuk menangkap ular itu.
Jurucakap Bomba ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, kemungkinan ular sawa terbabit datang dari kawasan belukar berhampiran dengan kelab itu. – Bernama