Search This Blog

Wednesday, August 31, 2011

Pemanggil bom palsu ditahan



KUALA TERENGGANU - Bahana terlalu mengikut perasaan dengan membuat panggi­lan­ palsu hingga menyusahkan orang lain, seorang lelaki bakal beraya di dalam lokap.

Ia susulan kejayaan polis menahan seorang lelaki di Batu 9, Cheras, Kuala Lumpur yang dipercayai suspek yang membuat panggilan bom palsu di bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu pada 24 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, suspek berusia 47 tahun itu ditangkap pada 25 Ogos lalu bagi menyelesaikan satu kes lain.

Bagaimanapun katanya, hasil siasatan mendapati, nombor telefon bimbit yang digunakan suspek adalah sama dengan panggilan palsu yang dibuat.

“Suspek yang bekerja dengan sebuah syarikat petroleum ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berikutan kes mengugut isterinya dengan menggunakan telefon bimbit.
Siasatan lanjut mendapati, nombor yang digunakan adalah sama dengan individu yang kita cari.

“Dia akan dibawa ke Terengganu hari ini (semalam) untuk siasatan lanjut dan akan direman selama lima hari, sehingga 2 September ini,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini, semalam.

Katanya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 28 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 kerana menyebarkan maklumat palsu.

Sinar Harian pada 24 Ogos lalu menyiarkan mengenai panggilan ancaman bom di Bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu.

Akibat daripada itu, polis terpaksa mengosongkan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu selepas menerima panggilan mengatakan terdapat bom diletakkan di tingkat sembilan yang menempatkan kamar Mahkamah Tinggi.

Ingin anak berlari

IPOH: “Saya teringin melihat dia merangkak, berjalan dan berlari, namun apakan daya dia tidak mungkin kembali normal,” begitu keluhan Fazilah Osman, 39, ibu kepada Mohd Farhan Aidil Roslan, 12, kanak-kanak malang yang lumpuh seluruh badan akibat kemalangan jalan raya ketika berusia dua bulan.
Berikutan kejadian itu, Mohd Farhan kini hanya mampu terbaring sepanjang masa di rumah keluarganya di Taman Bertuah, Chemor selain perlu diberi penjagaan rapi seperti bayi.

Lebih malang, Mohd Farhan juga tidak dapat melihat dengan jelas dan hanya mampu merengek jika mahukan sesuatu selain perlu dikawal kerana sering sawan sejak dua tahun lalu.

Fazilah berkata, dia tidak menyangka kejadian kira-kira 12 tahun lalu itu meninggalkan kesan sepanjang hayat kepada anak keduanya itu.

Menurutnya, doktor turut mengesahkan anaknya itu mengalami kecederaan dalaman di bahagian otak sekali gus menyebabkan fungsi derianya lumpuh.

“Saya pernah membawanya rawatan terapi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tetapi doktor pakar mengesahkan dia sukar pulih kerana kecederaan dalaman dialaminya.


“Doktor turut memaklumkan tidak mampu berbuat apa-apa untuk memulihkan kecederaan dialami Mohd Farhan menyebabkan saya reda dengan nasib menimpanya dan hanya berharap dia mampu pulih,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan Aidilfitri oleh Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas) Cawangan Perak di sini, semalam.

Sumbangan disampaikan Ketua Takaful Ikhlas Wilayah Perak, Zainal Rahmat Md Zain. Beliau berkata, sehingga kini, dia berusaha merawat Mohd Farhan termasuk melakukan terapi ringan selain memberi makanan kesihatan tambahan kepada anaknya. “Dia umpama bayi kecil sejak 12 tahun lalu menyebabkan saya terpaksa menjaganya termasuk menyediakan susu dan memakaikan lampin pakai buang.

“Saya reda dengan kejadian yang berlaku, namun berharap dia pulih,” katanya.

Fazilah berkata, Aidilfitri yang disambut setiap tahun umpama hari biasa baginya sekeluarga memandangkan anaknya itu hanya mampu terlantar setiap masa.

Katanya, dia sudah membeli baju Melayu dan pakaian baru untuk Mohd Farhan sempena Aidilfitri kali ini.

“Saya kini bergantung kepada pendapatan suami, Roslan Talib, 43, yang berniaga kecil-kecilan di pasar malam selain bantuan kewangan RM300 sebulan diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.hmetro

Lari Australia bayar along

KUALA LUMPUR: Menderita akibat gangguan ceti haram atau along, seorang wanita nekad memperjudikan nasibnya dengan berhijrah dan bekerja di Australia secara haram dalam usaha mengumpul wang bagi membayar hutang.
Ibu kepada lima anak itu yang hanya mahu dikenali sebagai Fauziah, 48, berkata, dia sendiri tidak menyangka sampai ke tahap itu pengorbanan yang perlu dilakukannya semata-mata untuk melepaskan diri daripada cengkaman along. “Saya sendiri tidak percaya perlu melalui semua ini,” katanya mengimbas pengalamannya menjadi buruh haram selama dua tahun di Wangratta, Victoria selain Finley dan Cobram di negeri New South Wales selama dua tahun dari pertengahan 2009 hingga Jun lalu. Menurutnya, keputusan gila itu terpaksa dibuatnya selepas buntu membayar hutang ceti haram keseluruhannya berjumlah RM120,000.

Fauziah berkata, dia terpaksa meminjam daripada along selepas perniagaan diusahakannya menghadapi masalah dan pada masa sama, dia perlu menampung perbelanjaan harian termasuk membiayai persekolahan anak selepas suaminya ditahan di Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen).

“Disebabkan tuntutan kehidupan yang semakin mendesak di samping keuntungan perniagaan tidak seberapa, saya mula meminjam along dengan jumlah permulaan RM800. “Pada awalnya segalanya nampak terkawal dengan saya berusaha sedaya upaya untuk mengelak daripada gagal membayar caj harian. Jumlah wang yang harus dipulangkan pada setiap bulan pula dua kali ganda jumlah itu kerana termasuk bunga. “Setiap hari saya terpaksa membayar RM200 kepada along dan kadang-kadang duit baki di dalam dompet hanya tinggal RM10. Ketika itu, hidup saya begitu tertekan ditambah pula masalah suami ditahan di Puspen kerana penyalahgunaan dadah,” katanya. Menurutnya, setiap hari dia hidup dalam ketakutan dan khuatir sekiranya konco along yang datang ke kedai akan mengganggu atau mengasari anak-anaknya.

Fauziah berkata, keputusan ke Australia nekad diambil selepas menerima pelawaan seorang kenalan yang memberitahu anaknya yang bekerja di negara berkenaan boleh membantu mencari pekerjaan dengan tawaran gaji agak lumayan.

Menyerahkan nasib dirinya kepada Tuhan, Fauziah dan anak bongsunya, Amira, 17, berlepas ke Australia dengan mengikuti pakej pelancongan selama tiga hari dua malam yang dianjurkan sebuah agensi pelancongan.


“Kami masuk ke sana atas tiket pelancong. Tambang perjalanan bernilai RM10,000 ke sana juga hasil wang dipinjam seorang rakan. Saya cekal dan kuatkan diri untuk menempuh segala dugaan di sana semata-mata demi hutang itu selain memikirkan keselamatan anak-anak jika ia tidak dilangsaikan segera.

“Di sana, saya bekerja di ladang anggur dan kebun sayur-sayuran. Setiap dua minggu, wang gaji terkumpul 1,600 dolar Australia (RM6,000) akan dikumpul dan dikirim pulang ke Malaysia untuk membayar hutang along dan perbelanjaan pengajian anak di sekolah serta universiti. Sementara itu, mengulas kenyataan penduduk, Ahli Majlis Zon 4, Lee Kee Hiong berkata, dia sudah mendapat kelulusan daripada MPKJ untuk menubuhkan pusat khidmat di Bandar Mahkota Cheras pada November 2008.

Katanya, ketika itu tiada kekosongan di pusat perniagaan di Jalan SL 11/9 dan seunit kedai disewakan RM2,800 sebulan melebihi peruntukan diberi.

“Biarpun sudah ada penurunan sewa, saya tidak boleh berpindah kerana kontrak sewa pusat khidmat sekarang tamat pada akhir tahun ini. Jika berpindah juga, kos diperlukan untuk pengubahsuaian dan perpindahan.

“Pusat khidmat di Jalan Temenggung di Bandar Mahkota Cheras, tidak terlalu jauh untuk penduduk datang mengemukakan aduan dan saya ada hubungan baik dengan persatuan penduduk tempatan,” katanya.hmetro

Siang berpuasa, malam jual tubuh

KUALA LUMPUR: “Sewaktu menjejakkan kaki ke sini, setahun lalu saya bersama-sama 20 rakan yang juga dari Indonesia ditempatkan di sebuah rumah di Brickfields beramai-ramai.
“Majikan memberitahu siang kami perlu berehat dan malam perlu ‘bekerja’ , hanya segelintir saja diminta ‘bekerja’ di siang hari,” kata Nadirah, 19, seorang pelacur warga Indonesia yang ditemui di sebuah rumah tumpangan di Brickfields.

Menceritakan saat-saat mula menjejakkan kaki ke negara ini, dia memberitahu pada awalnya ejen di Indonesia menawarkan pekerjaan kepadanya sebagai pelacur di Malaysia dan mereka dikehendaki memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Kerana keluarga kesempitan wang, akhirnya saya bertekad datang ke Kuala Lumpur dan kini sudah setahun bekerja sebagai pelacur. Sekarang ini pun pas lawatan sosial sudah tamat tempoh dan majikan tidak memperbaharuinya lagi.

“Siang kami berpuasa, tetapi malam kami melacur kerana kami dibayar gaji tetap RM800 sebulan. “Dan dengan duit itulah kami akan menghantar sebahagiannya kepada ibu bapa kami di Indonesia sebagai persediaan sambutan Aidilfitri,” katanya ketika menunggu pelanggan.

Nadirah mengakui terpaksa bekerja sebagai pelacur berikutan tiada pekerjaan di kampung asalnya di Bandung, Indonesia selain gaji yang diperoleh bertujuan membantu ibu bapanya yang kesempitan.


Menurutnya, walaupun dia tahu perbuatannya itu berdosa tambahan pula di bulan Ramadan, tetapi dia tiada pilihan kerana memerlukan wang untuk membantu ibu bapanya.

Katanya, walaupun bergelar pelacur dia memberitahu masih ada segelintir antara mereka masih berkesempatan berpuasa sebelum berbuka bersama. Selalunya waktu operasi bermula kira-kira jam 9 malam sehinggalah jam 4 pagi. Sesudah habis bekerja saya akan mandi wajib sebelum berpuasa keesokan harinya,” katanya.

Nadirah memberitahu majikannya mengaut keuntungan puluhan ribu semalaman dengan mengenakan bayaran antara RM30 dan RM60 bergantung kepada kualiti pelacur, tetapi hanya membayar gaji tetap RM800 sebulan kepadanya.

“Kami tidak diberikan komisen ataupun bonus sedangkan majikan untung ribuan ringgit satu malam,” katanya.

Wartawan Harian Metro yang menyamar pada malam itu ‘celik mata’ sejurus mendapati seorang pelacur warga Indonesia berumur 15 tahun sudah pun terjebak dengan pekerjaan itu.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Ani memberitahu terpaksa meninggalkan alam persekolahannya di Sumatera Barat kerana mahu membantu ibu bapanya mendapatkan wang tambahan “Sebulan saya dapat RM800, kadang-kadang RM850. Untuk ibu bapa, saya beri RM400 sebulan setakat berkemampuan membantu. Majikan kami ada bagi tahu kalau pelanggan tanya kami dari mana, jangan cakap kami orang Indon tapi bagi tau kami orang Filipina atau Vietnam,” katanya.

Ketika asyik menemubual, wartawan mendapati ramai rakyat tempatan yang sepatutnya memanfaatkan bulan Ramadan dengan amal ibadat tidak menghiraukannya, sebaliknya terbabit sama melanggan pelacur.hmetro

Pulang raya bawa jenazah

KUALA TERENGGANU: “Saya tidak menyangka hari raya tahun ini kami akan pulang membawa jenazahnya. Malah, sedih apabila pemergiannya secara mengejut di pagi Syawal tanpa sempat kami bermaafan,” kata Zaimi Mustapha, 50, bapa kepada Mohd Amirul Saedi, 21, yang maut dalam kemalangan jalan raya berhampiran Kampung Losong Haji Su, di sini, pagi semalam.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 7.15 pagi ketika mangsa bersendirian menunggang motosikal Yamaha 125Z dalam perjalanan pulang ke rumah keluarganya di Perumahan Polis Padang Hiliran, di sini, selepas keluar mengisi minyak motosikal di bandar raya ini.

Zaimi yang juga pegawai penyiasat berpangkat sarjan di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anak ketiganya itu maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum merempuh tiang elektrik sebaik tiba di tempat kejadian.

“Ketika itu kami dalam perjalanan pulang ke kampung di Bachok, Kelantan dan sebaik tiba di Kampung Bukit Putera, Setiu, kami menerima berita sedih melalui panggilan telefon daripada rakan anak sebelum berpatah semula ke Kuala Terengganu.

“Saya terkedu ketika menerima berita sedih itu dan tidak menyangka kehilangan anak ketiga kerana pada malam sebelum kejadian arwah tidak menunjukkan sebarang petanda yang dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.

“Pada malam itu, kami berbincang untuk balik beraya di Kampung Gunong, Bachok dan bersetuju untuk pulang dengan menaiki satu kereta saja pada jam 7 pagi walaupun sebelum ini arwah pernah balik sendirian dengan menunggang motosikal.


“Bagaimanapun, saya pasti arwah berubah fikiran dan mahu pulang sendirian sebelum keluar rumah untuk mengisi minyak motosikal selepas menunaikan solat Subuh,” katanya.

Zaimi berkata, selepas mendapati arwah tiada di rumah, dia bersama ahli keluarga lain membuat keputusan bertolak ke kampung tanpa arwah kerana beranggapan arwah akan pulang sendiri dengan menunggang motosikal kerana sebelum ini pernah berbuat demikian. Katanya, jenazah anaknya tiba di Bachok kira-kira jam 4 petang semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gunong, Bachok, kira-kira jam 5 petang, hari sama.

Dalam kejadian lain, seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebaik melalui Jalan Abdul Rahman Limbong, di sini, kira-kira jam 6.50 pagi, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa, Zamzuri Deraman, 28, dari Kampung Gong Pak Maseh, di sini, dalam perjalanan menghala ke Jalan Pasir Panjang, di sini, sebelum terbabas sebaik tiba di jambatan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Razali, di sini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, berkata kemalangan itu menyebabkan mangsa yang tercampak di susur jambatan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

hmetro



Modal RM20,000 punah eksekutif diburu along

KUALA LUMPUR: Malang berganda menimpa seorang eksekutif jualan apabila bukan saja ditipu sebuah syarikat pengeluar cecair pelincir untuk menjalankan perniagaan eksport hingga kerugian RM20,000, malah turut diburu along kerana membuat pinjaman semata-mata untuk perniagaan berkenaan.
Mangsa, Izudin, 25, berkata dia mengetahui mengenai syarikat berkenaan melalui iklan dalam akhbar sebelum menelefon seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Aida.

Menurutnya, selepas berbincang, wanita terbabit bersetuju membekalkan cecair pelincir serta surat pengesahan mengenai status barangan itu yang konon sesuai untuk dieksport ke luar negara.

“Selepas bersetuju dengan perjanjian bermodalkan RM20,000, saya membuat bayaran ansuran RM5,000 pada 16 Ogos lalu sebelum membuat bayaran kedua RM2,000 pada keesokan hari.

“Wanita itu berjanji menghantar barangan berkenaan selepas saya selesai membayar wang modal itu dan turut membuat pinjaman along semata-mata untuk tujuan itu,” katanya, di sini.

Menurutnya, selepas membuat bayaran ansuran kedua, dia menerima e-mel surat perjanjian daripada wanita terbabit yang meyakinkannya untuk membuat pembayaran seterusnya.


Katanya, selepas menerima wang along, dia membuat bayaran terakhir pada 25 Ogos lalu sebanyak RM13,000 dan selepas menghubungi wanita terbabit, dia dimaklumkan majikannya sudah berada di Sabah untuk membawa pulang bekalan barangan itu sebelum dihantar kepadanya dalam dua hari.

Bagaimanapun, menurutnya, pada hari dijanjikan, dia tidak menerima barangan itu dan selepas mengesyaki tertipu, dia meminta wangnya dikembalikan dan membatalkan urus niaga itu.

“Apabila saya menghubungi majikan wanita itu, dia memaklumkan berada di Sabah dan urusan pemulangan semula wang akan diuruskan Aida, tetapi apabila menghubungi wanita terbabit, dia memberi jawapan sebaliknya.

“Selepas yakin tertipu, saya membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15, Shah Alam,” katanya.

Ibu curi untuk anak

KAJANG: Hanya kerana mahukan anaknya memakai baju baru, seorang wanita mencuri beberapa pakaian dan barangan permainan bernilai RM597 di sebuah pusat beli-belah terkenal di Cheras.
Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang Ahad lalu, seorang pengawal keselamatan ternampak kelibat seorang pelanggan dalam keadaan mencurigakan di bahagian pakaian kanak-kanak.

Menurutnya, pengawal terbabit mengekori suspek yang masuk ke bilik persalinan bersama beberapa pakaian, tetapi suspek tidak mengetahui perlakuannya diperhatikan.

Katanya, tidak lama kemudian, suspek keluar, tetapi pakaian yang dibawa ke dalam bilik berkenaan tiada bersamanya.

“Mengesyaki suspek mencuri pakaian, pengawal berkenaan mengekori suspek hingga ke tempat letak kereta sebelum menahannya.

“Pengawal berkenaan mendapati beberapa baju dan seluar kanak-kanak serta mainan disembunyikan dalam beg suspek,” katanya.


Katanya, suspek dibawa ke pejabat pengurusan pusat beli-belah berkenaan untuk diambil keterangan sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata polis sudah mengambil keterangan suspek yang mengaku mencuri pakaian berkenaan. “Bagaimanapun, suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.
hmetro



Lapan anak kapal hanya terfikir mati

GEORGETOWN: “Saya fikir kami semua akan mati, namun bernasib baik apabila diselamatkan,” kata Riswan, 41, seorang daripada lapan anak kapal yang diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas kapal mereka karam, kira-kira 21 batu nautika dari Pulau Kendi, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, kapal KLM Ayu Bahari dari Indonesia membawa muatan 140 tan belacan dalam perjalanan ke Satun, Thailand sebelum karam selepas dihempas ombak setinggi tiga meter. Menurut Riswan, ketika kejadian, hujan begitu lebat disertai angin kencang menyebabkan dia bersama rakan-rakan berusaha untuk menyelamatkan kapal tetapi tidak berjaya.

“Apa yang mampu kami lakukan ketika itu hanya berusaha untuk cuba menyelamatkan diri dan pada masa sama, kami berjaya menghantar satu mesej meminta bantuan kepada syarikat kami di Indonesia,” katanya.

Katanya, dia mengucapkan terima kasih kepada APMM yang menyelamatkan nyawa mereka kerana tanpa bantuan itu kemungkinan berlaku perkara lebih buruk.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah Kapal Maritim Nyireh, Leftenan Maritim Mohd Najib Sam berkata, beliau bersama 21 anak kapalnya mengambil masa satu setengah jam untuk tiba ke lokasi selepas menerima panggilan kira-kira jam 11 pagi.

“Saya dapati keadaan mereka begitu lemah tetapi bersyukur kerana dapat menyelamatkan kesemua mangsa,” katanya.hmetro

Penunggang motosikal penyumbang utama kematian

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Seminggu selepas pelancaran Ops Sikap ke-24 oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, penunggang motosikal masih lagi penyumbang utama kepada kemalangan maut dengan jumlah kematian sebanyak 10 kes, semalam.
Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataannya di sini hari ini, sebanyak 1,428 kemalangan berlaku semalam dengan 17 daripadanya adalah kemalangan maut.
Selain pengguna motosikal, pengguna kenderaan mencatatkan jumlah kematian sebanyak enam kes manakala pejalan kaki, satu kes.
Daripada jumlah itu, 10 kematian berlaku di jalan negeri, diikuti lima di jalan Persekutuan, serta masing-masing satu di lebuh raya dan jalan bandaran.
Menurut kenyataan itu lagi, jalan bandaran merekodkan jumlah kemalangan terbanyak iaitu 462 kes, diikuti jalan Persekutuan (460), jalan negeri (262), lebuh raya (167) serta jalan-jalan lain (77).
Sepanjang tempoh semalam, PDRM mengeluarkan sejumlah 10,154 saman atas pelbagai kesalahan.
Ops Sikap Ke-24 dilancarkan pada 22 Ogos lalu sempena Hari Raya Aidilfitri akan berakhir pada 6 September depan.utusan

Pemuda tertipu sindiket minta bantuan




THENG Book menerangkan kepada media mengenai sindiket penipuan wang dan David (kiri) menunjukkan laporan polis pada sidang akhbar Biro Pengaduan MCA Selangor di Petaling Jaya, kelmarin.


KUALA LUMPUR 30 Ogos - Bermodalkan 'ayat' kononnya begitu mudah untuk memperoleh wang, satu sindiket ligat menipu individu yang terdesak untuk mendapat pekerjaan.
Modus operandi sindiket itu adalah mencari mangsanya melalui iklan yang disiarkan di akhbar sebelum mengatur pertemuan kononnya bagi sesi temuduga.
Terbaru, seorang pemuda berusia 29 tahun menjadi mangsa penipuan sindiket itu. Lebih malang, dia ditahan polis dan terpaksa dibebaskan dengan membayar wang jaminan sebanyak RM49,000.
Menceritakan kejadian itu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai David berkata, selepas tamat sesi temuduga itu, dia menerima panggilan telefon berhubung tawaran kerjanya pada keesokan harinya.
David memberitahu, pekerjaannya cukup mudah di mana dia hanya perlu membuka akaun di beberapa bank bagi dan melakukan transaksi setiap kali diminta berbuat demikian.
"Gaji berupa komisen satu peratus akan diberi bagi setiap pengeluaran," katanya ketika ditemui di Bangunan MCA Selangor di sini semalam.
David pula yang tidak mencurigai helah sindiket itu hanya bertindak seperti pak turut.
Setelah enam bulan bekerja, seperti biasa David diminta untuk mengeluarkan sejumlah wang dari sebuah bank di ibu negara dengan seorang lagi rakannya yang baru ditawarkan kerja itu dan diarah diserahkan kepada majikannya yang hanya dikenali sebagai Nick.
"Tidak sampai 10 minit, rakan saya mengeluarkan wang berkenaan dari bank, saya, rakan saya dan Nick ditahan polis ketika memasuki kereta," ujarnya.
Kata David, Nick pula dibebaskan kerana dia dikatakan tiada kaitan dengan transaksi itu selepas polis meneliti aliran keluar masuk akuannya.
"Malang bagi kami berdua yang terpaksa menjadi mangsa sindiket. Saya menyeru kepada semua supaya tidak mudah mempercayai mana-mana pekerjaan meragukan seumpama ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, Datuk Theng Book turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan iklan yang menawarkan gaji yang tinggi.
Menurutnya, David kini terpaksa menanggung derita akibat perbuatan orang lain dan dia kini sedang disiasat mengikut mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan.
Beliau memberitahu, MCA akan bertemu dengan pegawai Jabatan Peguam Negara serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan bagi membincangkan isu tersebut.utusan

Tipu RM1 bilion

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Seramai sembilan individu yang dipercayai melakukan penipuan wang tunai hampir RM1 bilion sedang diburu oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Mereka terdiri daripada penganjur skim cepat kaya yang telah mengambil wang orang ramai ketika melakukan penipuan.
Sumber berkata, kesemua individu berkenaan diburu pihak polis selepas dilaporkan terlibat dalam penipuan terhadap orang ramai.utusan

Gempa bumi kuat di Laut Banda, Indonesia; tiada tsunami


KUALA LUMPUR 31 Ogos – Satu gempa bumi bermagnitud 6.8 pada skala Richter berlaku di Laut Banda, Indonesia, pada pukul 2.57 petang semalam, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.
Bagaimanapun, kejadian itu tidak mencetuskan ancaman tsunami.
Dalam kenyataan semalam itu, gempa bumi kuat itu berlaku di 1,532 kilometer tenggara Tawau, Sabah. – Bernama, utusan

Jurukamera RTM meninggal selepas koma


KUALA LUMPUR – Seorang jurukamera RTM meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini semalam selepas berada dalam koma hampir seminggu selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya 24 Ogos lalu.
Seorang jurucakap polis trafik Selangor ketika dihubungi semalam mengesahkan Mohd Hanif Ngiring, 29, mengalami kecederaan parah di kepala dalam kejadian yang berlaku di sebuah kawasan di Subang.
"Allahyarham ketika kejadian sedang menunggang motosikalnya dan terbabas di satu selekoh pada petang 24 Ogos itu. Akibat kejadian itu, mangsa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 4.20 pagi semalam,” katanya.
Tinjauan di laman sosialnya mendapati, terdapat ratusan ucapan takziah di atas pemergiannya dan difahamkan jenazah telah selamat dikebumikan petang semalam di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat di sini.
Turut ditemui, komen yang menyebut Allahyarham telah menimang cahaya mata sulung (perempuan) pada 27 Ogos ketika Allahyarham tidak sedarkan diri. – Bernama, utusan

Pakai purdah sembunyi syabu


NORDIN (dua dari kiri) menunjukkan bengkung yang dipakai di badan untuk menyembunyikan syabu.

SHAH ALAM – Sindiket yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan syabu antarabangsa semakin kreatif dengan taktik-taktik terbaharu untuk mengelirukan pihak berkuasa bagi membawa masuk barang haram itu ke negara ini.
Selain menggunakan taktik kreatif seperti menjadikan syabu sebagai replika kepala harimau, memasukkan dadah dalam omboh enjin kereta, mi segera, ubi kayu atau pencuci rambut, kini ada dalam kalangan kurier dadah terbabit berlagak seperti seorang alim dengan wanita berpakaian purdah manakala lelaki memakai jubah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, taktik pemakaian purdah dan jubah bagi membawa syabu dikesan ekoran penahanan beberapa orang kurier dadah yang kemudian didapati menyembunyikan dadah dalam bengkung yang dipakai di badan.
“Ada warga Iran dikesan menyimpan syabu dalam bengkung di sebalik penampilan memakai jubah manakala bagi wanita memakai purdah menyembunyikan dadah di badan mereka,” kata beliau ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Pada awal tahun ini, menurut beliau, polis menahan tiga wanita Iran berpurdah yang kemudian dikesan menyembunyikan sejumlah dadah syabu di badannya di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang.
Sepanjang tahun lepas dan tahun ini, polis mencatatkan sebanyak 23 kes dadah disembunyikan dalam bagasi, menelan dadah (5), menyimpan di dalam silinder besi (2), menyimpan di dalam sabun mandi (1), menyembunyikan di dalam peket mi segera (2) dan menyimpan di dalam ubi kayu (20).
Semua rampasan itu dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan LCCT.
Mengulas mengenai tangkapan di KLIA, Nordin memberitahu, jumlah tangkapan warga asing membawa dadah meningkat secara mendadak pada setiap tahun.
“Pada tahun lalu sebanyak 164 orang ditahan termasuk 27 wanita dan tujuh kanak-kanak.
“Daripada jumlah tangkapan itu, rakyat Iran paling ramai ditahan dengan 114 orang lelaki dan 16 orang wanita,” kata beliau.
Baki tangkapan itu membabitkan rakyat India, Pakistan, Turki, Bulgaria, Thailand, Nigeria, Kenya, Togo dan Indonesia.
Bersama-sama dengan tangkapan itu, polis merampas sebanyak 154.21 kilogram syabu yang kesemuanya bernilai RM37 juta.
Sehingga Jun tahun ini, Nordin berkata, polis berjaya mengesan sebanyak 56 kes penyeludupan dadah jenis syabu di KLIA dengan 43 tangkapan.
“Jumlah terbesar warga asing yang ditangkap ialah 32 rakyat Iran termasuk 16 wanita,” kata beliau.kosmo