KUALA TERENGGANU - Gara-gara bertindak berani bermain mercun di lokasi awam serta dalam masa sama memiliki empat biji mercun terlarang, seorang penjual kereta menerima padah setelah dia dijatuhi hukuman denda RM500 di Mahkamah Majistret 2, di sini, semalam.
Tertuduh, Andi Ahmad Burhanuddin, 27, dari Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Nor Azizah Yusof selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) di kawasan Water Front, Kampung Cina, Kuala Terengganu, semalam.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati di bawah kawalannya bahan letupan iaitu empat biji mercun bertulis Silver Brocadecroun W/crackling Mine & Blue Stars di kawasan Water Front, kampung Cina, Kuala Terengganu, kira-kira jam 1 tengah malam, semalam.
Dengan itu, tertuduh telah didapati melakukan kesalahan yang boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi.
Mengikut fakta kes, tindakan tertuduh yang sedang bermain mercun bersama sekumpulan lelaki di kawasan Water Front semalam telah berjaya dihidu oleh polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di sekitar bandar Kuala Terengganu.
Hasil pemeriksaan di dalam kereta Suzuki milik tertuduh telah menjumpai empat biji mercun bertulis Silver Brocadecroun W/crackling Mine & Blue Stars yang disimpan di bawah tempat duduk hadapan di sebelah kiri pemandu.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret 1, seorang penyelia tapak projek berhadapan nasib sama setelah dijatuhi hukuman denda RM300 selepas mengaku bersalah memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api.
Tertuduh, Wan Mohamad Faizal Wan Dagang, 26, dari Taman Setia, Durian Burung, Kuala Terengganu mengaku bersalah memiliki dua batang mercun bertulis Cactus Rain yang belum digunakan, 12 batang mercun roket jenis Mars Attack dan lapan kotak mercun jenis TXB 0201 A yang disimpan di dalam beg plastik berwarna kuning di atas tempat duduk belakang kereta jenis Kelisa miliknya.
Mengikut fakta kes, tindakan tertuduh yang juga sedang bermain mercun bersama sekumpulan lelaki di kawasan Water Front, kampung Cina, Kuala Terengganu, kira-kira jam 1.15 pagi, berjaya dihidu oleh sepasukan polis yang membuat rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan bandar Kuala Terengganu, semalam.
Dengan itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dustan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.SH