Search This Blog

Sunday, August 28, 2011

Dua wanita maut dirempuh van selepas kereta terbabas

IPOH 28 Ogos – Dua wanita maut akibat dirempuh van ketika mereka keluar untuk menyelamatkan diri daripada kereta mereka yang terbabas dan merempuh penghadang besi di tengah jalan di Km 202, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Kerian awal pagi ini.
Noorzaihan Ishak, 28, dan adik iparnya Nurhasyimah Halim, 20, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira pukul 12.08 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Satria yang dipandu oleh suami Noorzaihan cuba mengelak sebuah kereta yang memotong laju dari arah belakang lalu terbabas dan merempuh penghadang besi di tengah jalan.
Ketiga-tiga mereka kemudian keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri bagaimanapun kedua-dua wanita berkenaan telah dirempuh sebuah van menyebabkan mereka tercampak dan mengalami cedera parah, katanya ketika dihubungi hari ini.
Fauzi berkata, suami Noorzaihan berjaya menyelamatkan diri dengan berlari ke tepi lebuh raya.
Mayat kedua-dua wanita itu dihantar ke Hospital Bagan Serai untuk bedah siasat, katanya. – Bernama

Kes samun: Isteri disimbah asid, suami dicampak tepi jalan



28/08/2011 3:58pm

ALOR SETAR 28 Ogos – Seorang wanita melecur kira-kira 20 peratus pada bahagian muka, leher, mata dan dada akibat disimbah asid oleh dua lelaki dalam kejadian samun di Guar Chempedak dekat Yan malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11 malam apabila kereta Proton Waja yang dinaiki Rosnani Husin, 53, bersama suaminya dipercayai ditahan oleh dua lelaki yang tidak dikenali di sebuah stesen minyak di Kota Sarang Semut dekat sini.
Katanya, dua lelaki terbabit berpura-pura mahu menumpang kereta mangsa disebabkan kereta mereka kehabisan minyak dan suami mangsa bersetuju menumpangkan kedua-dua suspek menuju ke Jalan Baru melalui Jalan Permatang Buluh, Kota Sarang Semut.
"Ketika dalam perjalanan suspek, dikatakan mengacu pisau kepada kedua-dua mangsa dan mengikat kaki dan tangan suami mangsa sebelum mencampakkannya di tepi jalan di Jalan Baru, Bukit Besar.
"Kira-kira 50 kilometer dari tempat suami mangsa dicampak, suspek memberhentikan kereta (berdekatan Guar Chempedak) lalu menyimbah asid ke muka mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Suami mangsa dijumpai oleh orang awam dalam keadaan kaki dan tangan berikat, manakala mangsa dan kereta yang ditinggalkan ditemui polis Guar Chempedak. – Bernama

Tiga termasuk sepasang adik-beradik dihukum gantung



28/08/2011 5:27pm

ALOR SETAR 28 Ogos – Sepasang adik-beradik dan seorang rakan mereka dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas kesalahan membunuh seorang lelaki berusia 25 tahun di Sungai Petani, enam tahun lalu.
Hakim Datuk Zamani A. Rahim membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan J. Ramesh, 29; abangnya Sasivarnam, 32; dan P. Gunasegar, 30, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Ketiga-tiga lelaki tersebut dan seorang lagi yang masih bebas disabitkan bersalah membunuh B. Venukumar di sebuah taman permainan di Taman Ria Jaya, Sungai Petani antara 9.30 malam dan 10.30 malam, 16 April, 2005.
"Mahkamah mendapati keterangan tiga tertuduh itu tidak menyakinkan. Kenyataan mereka adalah tidak konsisten dan bercanggah antara satu sama lain.
"Oleh itu pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan,” kata Zamani dalam penghakiman bertulis. – Bernama

Banjir landa lebih 20 kampung di Baling

Seorang penduduk, Johari Latiff (tengah) bersama sebahagian ahli keluarganya terpaksa membawa buluh lemang ke kawasan kering untuk dibakar setelah kawasan rumahnya dinaiki air akibat banjir di Kampung Tawar, Baling. - Utusan/AZMAN MD NOOR
BALING 28 Ogos - Persiapan Aidilfitri lebih 2,000 penduduk di daerah ini terjejas teruk berikutan banjir yang melanda lebih 20 kampung di daerah ini malam ini.
Hujan lebat lebih empat jam sejak tengah hari ini menyebabkan ribuan penduduk panik dengan sebahagian daripada mereka gagal menyelamatkan harta benda.
Kira-kira tujuh keluarga di Kampung Banggol Chicar Kupang terpaksa berbuka puasa dalam banjir pada paras 0.5 meter.
Imam surau kampung berkenaan, Hashim Alias, 48, berkata, air mula naik kira-kira pukul 7.30 malam menyebabkan dia hanya sempat minum air sebelum berusaha menyelamatkan keluarga dan harta benda.
Dua anaknya, Nazirah 21, yang sarat mengandung dan Mashitah, 24, yang masih dalam pantang terpaksa meredah banjir untuk menyelamatkan diri.
Pekan Kupang turut dinaiki air menyebabkan berpuluh peniaga terpaksa menyelamatkan barang perniagaan masing-masing.
Antara kampung yang turut terjejas teruk ialah Kampung Belakang Sekolah, Kampung Belakang Panggung, Kampung Raja, Kampung Tanah Periuk Pekan Khamis, Kampung Landak, Kampung Padang Cina dan Kuala Pegang.
Turut dinaiki air adalah Kampung Sadik, Jerai, Bukit Terabak, Banggol Lahar dan Gua Reban dengan beratus buluh lemang untuk persiapan hari raya milik penduduk turut dihanyutkan air. - Utusan

85 Hektar Sawah Padi Kawasan Mada Sekitar Pendang Ditenggelami Banjir

PENDANG, 28 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 85 hektar sawah padi dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di sekitar Daerah Pendang ditenggelami banjir berikutan hujan lebat sejak tiga hari lepas. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharum berkata sawah milik 40 petani terlibat dengan banjir itu, bagaimanapun paras air masih terkawal. "Sekarang ini air pada paras berjaga-jaga iaitu 2.7 meter dan paras bahaya ialah tiga meter," katanya kepada pemberita melepas meninjau kawasan sawah padi yang ditenggelami banjir itu di sini hari ini. Beliau berkata kini semua pintu laluan air dibuka di Ampang Jajar di Alor Setar bagi melancarkan pengaliran air ke laut. Mohd Johari berkata Mada akan membuat bancian untuk mengenal pasti tahap kerosakan yang dialami petani terlibat bagi membolehkan bantuan dapat diberikan kepada mereka. Beliau berkata Pendang adalah kawasan yang selalu dilanda banjir namun selepas kerja naik taraf dijalankan ke atas Sungai Pendang, masalah itu dapat dikawal. "Pendang ni kawasan rendah. Sejak menaik taraf Sungai Pendang pada tahun 2009 dan kini telah masuk projek ketiga, kita dapat kurangkan 1,000 hektar sawah padi yang selalu dilanda banjir sebelum ini kepada 87 hektar sahaja yang tenggelam," katanya. Mohd Johari berkata sebagai langkah jangka panjang, projek lencongan selatan iaitu pengaliran air dari Sungai Pendang ke Sungai Limau wajar dilaksanakan dengan kadar segera bagi mengatasi masalah banjir yang melanda kawasan sawah padi di sekitar daerah Pendang. Beliau berharap kerajaan segera meluluskan peruntukan bagi projek itu bakal menelan belanja kira-kira RM200 juta. Sebagai langkah jangka pendek, Mohd Johari meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri menjalankan kerja pembersihan sungai. -- BERNAMA

Isteri Disimbah Asid, Suami Dicampak Tepi Jalan Selepas Disamun

ALOR SETAR, 28 Ogos (Bernama) -- Seorang wanita melecur kira-kira 20 peratus pada bahagian muka, leher, mata dan dada akibat disimbah asid oleh dua lelaki dalam kejadian samun di Guar Chempedak dekat Yan malam tadi. Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11 malam apabila kereta Proton Waja yang dinaiki Rosnani Husin, 53, bersama suaminya dipercayai ditahan oleh dua lelaki yang tidak dikenali di sebuah stesen minyak di Kota Sarang Semut dekat sini. Katanya dua lelaki terbabit berpura-pura mahu menumpang kereta mangsa disebabkan kereta mereka kehabisan minyak dan suami mangsa bersetuju menumpangkan kedua-dua suspek menuju ke Jalan Baru melalui Jalan Permatang Buluh, Kota Sarang Semut. "Ketika dalam perjalanan suspek, dikatakan mengacu pisau kepada kedua-dua mangsa dan mengikat kaki dan tangan suami mangsa sebelum mencampakkannya di tepi jalan di Jalan Baru, Bukit Besar. "Kira-kira 50 kilometer dari tempat suami mangsa dicampak, suspek memberhentikan kereta (berdekatan Guar Chempedak) lalu menyimbah asid ke muka mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Suami mangsa dijumpai oleh orang awam dalam keadaan kaki dan tangan berikat manakala mangsa dan kereta yang ditinggalkan ditemui Polis Guar Chempedak. Jumlah kerugian yang dialami pasangan suami isteri tersebut belum dikenal pasti. Adzaman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan dengan mendatangkan kecederaan. Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk menerima rawatan. Pengarah HSB Dr Juita Ghazali ketika dihubungi berkata mangsa dirawat di Unit Rawatan Kebakaran dan dalam keadaan stabil. Mangsa terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan kerana menghadapi masalah paru-paru disebabkan terhidu asid yang terkena padanya. Suami mangsa ketika ditemui pemberita di HSB enggan ditemuramah kerana masih trauma dengan kejadian yang menimpa isterinya itu. -- BERNAMA

Dua Wanita Maut Dirempuh Van Di PLUS

IPOH: Dua wanita maut akibat dirempuh van ketika mereka keluar untuk menyelamatkan diri daripada kereta mereka yang terbabas dan merempuh penghadang besi di tengah jalan di Km202, Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kerian awal pagi Ahad.
Noorzaihan Ishak, 28, dan adik iparnya Nurhasyimah Halim, 20, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira pukul 12.08 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Satria yang dipandu suami Noorzaihan cuba mengelak sebuah kereta yang memotong laju dari arah belakang lalu terbabas dan merempuh penghadang besi di tengah jalan.
Ketiga-tiga mereka kemudian keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri bagaimanapun kedua-dua wanita berkenaan telah dirempuh sebuah van menyebabkan mereka tercampak dan mengalami cedera parah, katanya ketika dihubungi.
Fauzi berkata suami Noorzaihan berjaya menyelamatkan diri dengan berlari ke tepi lebuh raya.
Mayat kedua-dua wanita itu dihantar ke Hospital Bagan Serai untuk bedah siasat, katanya.
Ketika kejadian, tiga beranak itu dalam perjalanan dari Kedah ke rumah suami Noorzaihan di Batu Caves, Selangor untuk pulang berhari raya, katanya.
Beliau berkata pemandu van bersama tiga penumpang rakyat Thailand hanya cedera ringan. BERNAMA

Lapan maut hari keempat Ops Sikap



KUALA TERENGGANU - Hari keempat Ops Sikap-24 kelmarin menyaksikan lapan kemalangan maut melibatkan lapan mangsa terkorban di negeri ini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintenden Alias Hashim (gambar) berkata, lapan mangsa terkorban adalah tiga melibatkan pengguna motosikal, tiga pengguna kereta dan dua lagi pejalan kaki.

Katanya, sehingga kelmarin, sebanyak 153 kemalangan jalan raya dilaporkan di seluruh negeri ini.

Sementara itu, Alias turut mengingatkan kepada pengguna Lebuh Raya Pantai Timur-Ajil agar lebih berhati-hati kerana laluan berkenaan kini sering menjadi lokasi haiwan ternakan berkeliaran, disebabkan ada sebahagian besar pagar yang dibina di bahu lebuh raya rosak dan masih belum dibaiki.

“Jadi, saya ingin ingatkan kepada pengguna lebuh raya agar jangan memandu terlalu laju, lebih-lebih lagi pada waktu malam kerana haiwan ternakan terutama lembu sering berkeliaran di lokasi berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, Alias turut mengingatkan penduduk kampung berhampiran lebuh raya agar mengawal haiwan ternakan mereka supaya tidak berkeliaran sehingga terlepas masuk ke laluan terbabit.

“Penternak hendaklah bertanggungjawab kerana akibat kecuaian mereka mengawasi dan menjaga haiwan ternakan boleh mengundang kecelakaan kepada pengguna lebuh raya lain,” katanya.-SH

Polis siasat dakwaan remaja



BANDARAYA MELAKA - Polis akan menjalankan siasatan terperinci terhadap seorang remaja 19 tahun yang mendakwa dia dipukul dan didera semasa disoal siasat berhubung kes kecurian motosikal.

Ketua Polis Negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, beliau telah mengarahkan satu siasatan dijalankan untuk menyiasat kesahihan dakwaan remaja terbabit, M. Elangovan yang mendakwa dicederakan semasa ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah baru-baru ini.

Beliau berkata, siasatan berkenaan akan dijalankan secara terperinci dan telus, bagaimanapun tindakan selanjutnya hanya akan diketahui apabila kertas siasatan berkenaan lengkap.

“Kita akan siasat dengan sebaik mungkin. Setakat ini, polis sedang menyiasat dakwaan itu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Ghee Lye turut mengesahkan polis sudah menerima laporan yang dibuat Elangovan mengenai dakwaannya itu dan mengesahkan siasatan sedang dijalankan bagi melihat kesahihan dakwaan itu.

Semalam, Elangovan membuat aduan pada Adun Banda Hilir, Tey Kok Kiew, di Ibu Pejabat DAP negeri, di sini mendakwa dia didera polis semasa dalam proses tahanan berkenaan.

M. Elangovan berkata, dia disoal siasat selepas ditahan di rumahnya di Seri Pengkalan, Alor Gajah, 17 Ogos lalu atas dakwaan kes curi motosikal.

Menurutnya, semasa ditahan antara 17 Ogos dan 20 Ogos lalu, dia mendakwa ditampar beberapa kali di muka selepas mengatakan tidak tahu menahu mengenai kes disiasat itu.

Selain itu, dia turut mendakwa diminta baring di atas meja sebelum sebuah meja ditindihkan di atas badannya, sambil paku tekan digunakan untuk menakutkannya.

“Beberapa kali saya mengatakan tidak tahu apa yang mereka tanya dan meminta supaya mereka berhenti. Ini tidak diendahkan, sebaliknya mereka memukul dan menendang saya,” katanya.

Berikutan kejadian itu, dia lebam di muka dan mata menjadi merah serta darah keluar dari telinga, selain retak tulang hidung dan beberapa kecederaan lain.

Elangovan yang bekerja sebagai mekanik berkata, dia dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah dan dibawa menjalani pemeriksaan di hospital.

Berikutan itu, dia turut membuat satu laporan di Balai Polis Melaka Tengah, kelmarin sejurus dibebaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu, Kok Kiew berkata, beliau akan menulis kepada Ibu Pejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman bagi mengemukakan aduan secara rasmi.

“Saya tidak mempersoalkan tindakan polis menyoal siasat mana-mana suspek. Tetapi proses itu kenalah dijalankan mengikut undang-undang serta menghormati hak-hak asasi mereka semasa disoal,” katanya.
-SH

Padah layang-layang tersangkut



PETALING JAYA – Hasrat sebuah keluarga ingin pulang beraya ke kampung terpaksa dibatalkan selepas anak kesayangan mereka patah tangan kiri dan cedera di mulut akibat terjatuh dari tingkat dua kediaman Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, Muhammad Saufi Nor Anuar, 14, yang juga anak kepada seorang pegawai kastam dikatakan pergi ke rumah rakan karibnya di blok C untuk bermain layang-layang.

Ibunya seorang suri rumah, Hawa Harun, 43, berkata, ketika kejadian anaknya sedang leka bermain, sebelum layang-layang tersebut tersangkut pada atap zink.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan anaknya berusaha untuk mendapatkan kembali layang-layangnya itu.

“Dia cuba untuk mengambilnya tetapi tangannya luka kerana terpegang atap zink tersebut sebelum tiba-tiba tergelincir dan terjatuh dari tingkat dua bangunan empat tingkat itu.

“Ia menyebabkan tangan kirinya patah serta mulutnya berdarah tetapi mujur kepalanya tidak apa-apa,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini semalam.

Menurutnya, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana pergi ke pasar borong Selayang untuk membeli persiapan raya.

Katanya, dia hanya dimaklumkan seorang penghulu di kawasan itu ketika penduduk sedang hendak bersolat di surau berhampiran.

Hawa berkata, anak keempat dari lima beradik itu kini sedang dirawat tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ditahan di wad atau tidak.

Menurutnya, rancangan keluarganya untuk pulang ke Arau, Perlis malam semalam terpaksa dibatalkan berikutan kejadian malang yang menimpa anaknya itu.

Malah hasrat kakak Muhammad Saufi yang baru pulang dari universiti semalam untuk berbuka beramai-ramai bersama keluarga juga tidak kesampaian.

Muhammad Saufi dikatakan masih trauma dan panik akibat kejadian itu.-SH

Beraya dengan mata lebam



BATU FERINGGHI, Pulau Pinang - Tiada lagi kemeriahan raya bagi dua remaja, apabila kedua-duanya terpaksa berhari raya dengan mata lebam.

Fendi Abdul Latiff, 21, dan Mohd Farzuan Romzi, 20, mendakwa dipukul tanpa sebab oleh sepasukan anggota rondaan sukarelawan di sebuah apartmen di Batu Feringghi.

Fendi berkata, kejadian berlaku pada jam 11.30 malam pada 25 Ogos 2011 lalu ketika dia dan Mohd Farzuan datang melawat rakan di perumahan berkenaan.

Menurutnya, disebabkan ketiadaan rakannya, mereka berdua segan untuk masuk ke rumah rakannya memandangkan adik-adiknya yang lain berada dalam rumah itu.

“Jadi kami tunggu di tangga tingkat tiga, memang kami sudah biasa datang ke sana setiap malam untuk menonton televisyen bersama-sama, tetapi malam berkenaan bagi kami adalah malam yang begitu menakutkan kerana secara tiba-tiba terdapat sekumpulan lelaki datang menunjukkan kad kuasa mengatakan mereka sukarelawan peronda.

“Mereka secara kasar terus mendakwa kami ada percubaan untuk memecah masuk rumah seorang penghuni, sedangkan kami hanya melepak menunggu rakan, tanpa sempat membuat sebarang jawapan balas, kedua-dua kami dibelasah dengan teruk. Bukan sahaja disepak dan ditumbuk, malah mereka gunakan besi dan helmet untuk mencederakan kami. Kami cuba bangun dan tanya apa salah kami, tapi terus dipukul,” katanya.

Fendi berkata demikian selepas membuat membuat laporan polis di Balai Polis Batu Feringghi bersama rakannya.

Sementara itu, Mohd Farzuan yang juga pekerja di sebuah hospital swasta berkata, dia tidak berhak dipukul seperti haiwan oleh sekumpulan 15 orang yang mendakwa diri mereka sukarelawan peronda.

Menurutnya, lebih menyedihkan apabila pada malam kejadian, dia bersama Fendi mahu membuat laporan polis, namun kesemua peronda itu membuat tuduhan dengan membawa tiga tin gam ke balai.

“Kami mahu buat laporan tetapi salah seorang daripadanya cuba mengugut dan disebabkan itu baru pada hari ini (semalam) kami datang membuat laporan bersama Pertubuhan Perkasa Pribumi Malaysia Daerah Timur Laut,” katanya.

Abang kepada Fendi, Azmir Abdul Latiff, 26, berkata, dia mahukan keadilan yang sewajarnya terhadap adiknya.

Pada masa sama dia juga kesal dengan sikap kesemua pasukan ronda itu kerana bersikap kasar lebih daripada anggota polis.

“Mereka tidak ada hak memukul adik saya macam haiwan. Lebih memalukan apabila adik dibawa ke tingkat bawah selepas dipukul. Pada masa itu ada perayaan di perumahan berkenaan dan kesemua yang memukul adik saya itu masih menendangnya di hadapan orang ramai,” katanya.-SH

Saya akan saman...



JOHOR BAHRU – “Saya akan saman..,” demikian kata R Surimuruthi, 24, yang bercadang untuk mengemukakan saman terhadap pihak hospital dan doktor yang menyambut kelahiran anak keduanya selepas didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian bayinya itu.

Beliau berkata, bayi lelaki seberat 4.1 kilogram (kg) meninggal dunia pada jam 12.45 tengah hari semalam, selepas seminggu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat pelbagai komplikasi selepas dilahirkan pada 20 Ogos lalu di salah sebuah hospital di Kluang.

“Bayi seberat itu sepatutnya dibedah namun doktor mengarahkan supaya isteri saya bersalin secara normal malah ketika proses kelahiran, bayi kami sukar untuk dilahirkan selain terpaksa menggunakan vakum sekali gus menyebabkan kecederaan kecil di kepala anak kami,” katanya.

Katanya, sebelum isterinya R Sakthi, 21, bersalin, doktor ada membuat pemeriksaan imbasan bunyi selain mendakwa berat bayi mereka kira-kira 3.5 kg sahaja walaupun sedia maklum bahawa isterinya itu menghidap diabetes ketika hamil.

“Paling membuatkan saya kecewa, selepas kira-kira lima jam anak kami dilahirkan, barulah saya tahu... itu pun saya terpaksa meminta bantuan daripada seorang pekerja pembersihan kerana kakitangan yang bertugas di situ melarang saya masuk,” katanya.

Menurutnya, daripada maklumat pekerja pembersihan itu barulah dia tahu yang isterinya sudah selamat bersalin tetapi telah dibawa ke wad lain tanpa diketahui sebabnya.

“Ketika itu saya berasa tidak sedap hati dan mengambil keputusan untuk bertemu dengan doktor dan jururawat yang bertugas selepas itu barulah saya dimaklumkan tangan bayi kami patah selain mengalami masalah jantung,” katanya.

Katanya, selepas tiga hari berada di ICU HSA, doktor memaklumkan kecederaan di bahagian kepala bayinya yang membengkak akan menyebabkan cahaya matanya itu koma selain mengalami kecacatan fizikal.

“Saya berasa amat sedih selepas kerana tidak sempat melihat anak kedua kami membesar di depan mata hanya disebabkan kecuaian orang lain... saya tekad untuk mengemukakan saman walaupun sedar perlu memperuntukkan kos guaman yang tinggi,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat HSA, semalam.

Pada 24 Ogos lalu, Surimuruthi telah membuat laporan polis di Balai Polis Simpang Renggam berhubung kecuaian pihak hospital dan berharap pihak polis dapat menyiasat kes berkenaan dengan segera bagi memudahkannya membawa perkara itu ke muka pengadilan.

Sementara itu, jurucakap hospital berkenaan ketika dihubungi berkata, kes tersebut sedang disiasat selain tidak dapat memberikan sebarang komen berhubung dakwaan dikemukakan Surimuruthi.-SH

Maut rempuh lembu melintas



SUNGAI UDANG - Seorang pemuda tidak sempat mengenakan pakaian baru sempena Aidilfitri yang baru dibelinya selepas dia maut apabila motosikal ditungganginya bertembung dengan seekor lembu, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 1.15 pagi di Jalan Kampung Paya Rumput Jaya, di sini apabila mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Paya Rumput, di sini selepas membeli pakaian raya di Jonker Walk, dekat bandar Melaka.

Bapa saudara mangsa, Akrar Hussin, 47, berkata, sebelum kejadian, mangsa keluar bersama seorang rakan untuk membeli kelengkapan raya yang akan disambut beberapa hari lagi.

“Dia ada beritahu ibunya mahu membeli pakaian raya dan keluar rumah pada sebelah petang semalam bersama seorang rakan,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka, di sini semalam.

Akrar berkata, mangsa yang merupakan kelindan lori, dilihat jarang keluar dari rumah sejak seminggu lalu, sebaliknya lebih suka menghabiskan masa bersama ibunya di rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, mangsa yang menunggang motosikal secara bersendirian merempuh seekor lembu yang sedang melintas tengah jalan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa maut di tempat kejadian setelah tercampak atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Polis masih menyiasat kejadian ini dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-SH

Maut disengat tebuan



BANDAR BENTONG – Seorang peniaga maut selepas disengat tebuan di bahagian muka ketika cuba membaiki bahagian tangki air yang bocor di kediamannya di Taman Bukit Indah, dekat sini.

Mangsa, Chan Keong Sang, 45, dimasukkan ke Hospital Bentong kira-kira jam 3 petang Rabu lalu dan disahkan meninggal dunia jam 4 petang Khamis.

Anak mangsa yang dikenali sebagai Ah Leong, 14, berkata, dia turut sama membantu ayahnya ketika kejadian itu berlaku.

Menurutnya, dia memegang tangga untuk membolehkan ayahnya naik ke atas membaiki tangki air yang rosak kira-kira jam 1.30 petang Rabu lalu.

“Tiba-tiba ayah meminta saya lari dan dalam masa sama, saya terdengar dia menjerit kesakitan akibat diserang tebuan.

“Apabila turun, saya dapati muka ayah terdapat beberapa kesan sengatan,” katanya.

Ah Leong berkata, selepas kejadian itu, ibunya menguruskan ayahnya.

Menurutnya, ibu membawa ayahnya ke hospital kira-kira jam 3 petang untuk mendapatkan rawatan.

“Ayah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang di Hospital Bentong selepas tidak sedarkan diri.

“Bapa akan disemadikan pada hari ini (Ahad) dan kami sedih di atas kejadian ini,” katanya.-SH

Marah isteri mahu beli baju raya



KUALA TERENGGANU - Mangsa kemalangan maut di Kampung Bukit Kolam, Hulu Terengganu pagi kelmarin, Shukri Awang seolah-olah ‘tahu’ dia tidak sempat meraikan Lebaran ini bersama keluarga apabila bersikap agak pelik ketika isterinya beria-ia mahu menyediakan kelengkapan raya buatnya.

Kakak ipar mangsa, Maznah Bakar, 43, berkata, adiknya yang juga isteri mangsa, Norwani Bakar pernah mengadu kepadanya, suaminya (Shukri) marah dia membelikan baju raya buatnya, namun adiknya itu tetap membelikan sepasang baju Melayu tanpa pengetahuan arwah.

“Adik saya pernah mengadu arwah larang dia membeli baju raya untuknya tanpa alasan dan setiap kali disuarakan mengenai baju raya, arwah akan melenting dan marah-marah,” katanya.

Selain itu katanya, dia juga tidak tahu mengenai kepulangan arwah sekeluarga pada hari itu, kerana tidak diberitahu terlebih dahulu sebagaimana sebelum ini, malah jika ditanya mengenai tarikh kepulangan, mereka berkata belum tahu lagi (bila akan pulang).

“Kebiasaannya jika hendak pulang ke kampung, mereka akan memaklumkan kepada kami terlebih dahulu tetapi tahun ini, mereka tidak berbuat demikian kononnya untuk membuat kejutan,” katanya.

Menurut Maznah, arwah merupakan adik ipar yang paling rapat dengannya dan setiap tahun, keluarga arwah akan berhari raya di rumahnya di kampung Alor Pulai, Jelawat, Bachok, Kelantan sejak kematian kedua orang tua mereka.

“Arwah berkahwin dengan adik bongsu kami, dan disebabkan kedua orang tua sudah tiada, maka, kami lima beradik amat rapat. Setiap tahun sejak kehilangan orang tua, kami akan berkumpul berhari raya di rumah saya.

“Setiap tahun arwah atau adik (Norwani Bakar) akan maklumkan kepada saya terlebih dahulu sebelum bertolak pulang tetapi tahun ini, mereka seolah-olah seperti hendak buat kejutan kerana setiap kali ditanya, mereka cakap tidak tahu lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.50 pagi itu, Shukri yang duduk di sebelah kiri penumpang bahagian hadapan maut kerana mengalami cedera parah pada bahagian dada, manakala anak mereka iaitu Mohd Amin, 6, patah tulang rusuk dan kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ, Mohd Amni, 3, luka pada muka dan kini dirawat di wad biasa dan anak bongsu, Mohd Naim, lima bulan dilaporkan masih kritikal kerana mengalami pendarahan teruk pada otak dan kini dirawat di ICU.

Sementara itu, Norwani, 36, hanya mengalami kecederaan ringan.

Semalam, Sinar Harian menyiarkan kegembiraan seorang isteri untuk pulang ke kampung halaman di Bachok, Kelantan bagi menyambut Aidilfitri bertukar duka apabila Shukri, yang juga anggota tentera maut dalam kemalangan di Kilometer 33 Jalan Kuala Terengganu- Bukit Besi di Kampung Bukit Kolam, Hulu Terengganu.

Dalam kejadian itu, kereta Honda Civic yang dipandu isterinya dari arah Bukit Besi menghala Ajil dikatakan tiba-tiba terbabas ke sebelah kanan jalan lalu dilanggar sebuah Honda Accord yang dipandu Kamarudin Salleh, 48, yang datang dari arah bertentangan.-SH

Batal hajat beraya di kampung



WAKAF LICHONG - Hasrat sebuah keluarga untuk pulang beraya di kampung halaman mereka di Kota Bharu tidak tercapai apabila kereta mereka ditimpa pokok kelapa pada kejadian kira-kira jam 2.30 pagi semalam, di sini.

Bukan sahaja kereta milik Zainal Abidin Ismail, 48, yang dihempap malah kereta kakak iparnya, Rosnani Jusoh, 54, juga menerima nasib sama.

Zainal Abidin berkata, pada pagi kejadian, dia dan keluarga tidak sedar dengan apa yang berlaku kerana tiada bunyi kuat kedengaran, sedangkan jarak tempat letak kereta dengan rumah mereka dekat.

“Bila difikirkan kembali, ia sangat pelik sebab pokok kelapa yang menimpa kereta kami ini besar, tetapi langsung tiada bunyi.

“Mungkin malam tadi malam Lailatu Qadar sebab ia jatuh pada 27 Ramadan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Menurutnya yang bekerja sebagai buruh, mereka hanya menyedari kejadian itu apabila keluar ke serambi rumah selepas menikmati sahur.

Dia berkata, kereta jenis Iswara itulah satu-satunya kereta yang dimiliki mereka sekeluarga.

“Nampaknya susahlah kami hendak bergerak, hari raya pun tinggal dua hari lagi, hendak balik kampung sudah tidak boleh,” katanya.

Ekoran kejadian tersebut, Zainal Abidin dan Rosnani membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Sementara itu, hadir melawat mangsa ribut ialah wakil Ketua UMNO Bahagian, Pegawai Khas UMNO Bahagian, Mohd Agil Awang dan Ketua UMNO Cawangan Wakaf Linchong, Ismail Muda.

Mohd Agil berkata, dia bersimpati terhadap keluarga tersebut dan berharap mereka bersabar.

“Kami akan cuba membantu apa yang patut agar hari raya yang akan disambut tidak lama lagi akan menjadi lebih bermakna kepada mereka sekeluarga,” katanya.-SH

Dentuman kuat



KOTA BHARU - “Saya ingatkan letupan kuat itu berpunca daripada mercun yang dibakar kanak-kanak di kawasan berhampiran, rupa-rupanya bunyi itu bermula dari sebuah kereta baru yang di parkir hanya 20 meter dari rumah saya,” kata Mohd Asri Awang Soh, 52, yang menyaksikan kejadian kereta terbakar berhampiran rumahnya di kampung Chekok, Ketereh semalam.

Kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu disedari anaknya, Siti Zalina, 21, yang sedang menjahit baju lalu memaklumkan kepadanya terdapat kebakaran kereta berlaku berhampiran kawasan rumah mereka.

“Ketika kejadian, saya baru pulang solat Terawih terus mengambil alat memadam kebakaran dalam rumah dan meluru keluar untuk melihat objek yang terbakar, alangkah terkejutnya apabila melihat sebuah kereta Proton Saga model baru terbakar dan api semakin marak.

“Mulanya saya ingatkan ada orang di dalam kereta terbabit dan berusaha menyelamatkan kereta itu dari terus hangus terbakar namun ditahan oleh keluarga kerana bimbang kenderaan itu akan meletup pada bila-bila masa,” katanya kepada :Sinar Harian:, semalam.

Mohd Asri berkata, melihatkan api yang semakin marak, dia terus menghubungi pihak bomba untuk mengelakkan kereta terbabit meletup dan terus menyambar rumah berhampiran.

“Mulanya saya ada mendengar cerita seorang jiran mengatakan, kereta terbabit dipercayai dipandu oleh individu tidak dapat dikenal pasti identitinya ke kawasan terbabit dalam keadaan tergesa-gesa.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd Rashid Yusoff, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.13 malam.

“Sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan pihak kami berjaya mengawal api dalam masa lima minit walaupun keseluruhan kereta terbabit terbakar hampir 100 peratus.

“Punca kejadian masih disiasat dan kerugian dianggarkan bernilai RM30,000,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini pemandu kereta itu masih gagal dikesan dan laporan dibuat di Balai Polis Ketereh.-SH

Warga Thailand dipenjara enam bulan, denda RM10,000 kerana rasuah penjawat awam


ALOR SETAR - Seorang warga Thailand dihukum penjara enam bulan dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana kesalahan memberi rasuah kepada seorang penjawat awam dua hari lepas.

Hakim Indra Nehru Savandiah memerintahkan Ibrahim Habyusoh, 38, yang berasal dari Satun, selatan Thailand dipenjarakan daripada tarikh dia ditangkap iaitu 26 Ogos lepas.

Ibrahim mengaku bersalah memberi suapan wang tunai RM200 kepada Sarjan Mejar Tajudin Ladzim sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana menyeludup mercun di sekatan jalan raya di Km1.3, Jalan Bukit Kayu Hitam Changlun pada kira-kira 6 pagi, Jumaat lepas.

Terdahulu, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu dan tidak diwakili peguam mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thailand.

Ketika merayu hukuman ringan, Ibrahim berkata dia menanggung seorang isteri dan dua anak yang masih kecil dan bersekolah dan diberikan hukuman ringan bagi membolehkannya balik berhari raya di kampungnya.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fieza Fazlin Fandi pula meminta mahkamah mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi tertuduh.

Katanya kesalahan memberi rasuah kepada penjawat awam adalah kesalahan serius dan mahkamah perlu menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam daripada melakukan kesalahan yang sama.- Bernama

Tiga beradik diserang kera ketika tunggang motosikal

RANTAU PANJANG (Kelantan): Seorang remaja lelaki retak tempurung lutut kanan akibat diserang seekor kera liar dalam kejadian di kawasan kebun getah Kampung Tasek Bakong dekat sini, kelmarin.
Mangsa, Encik Mohd Shafiq Mat Zulkapli, 16 tahun, berkata kejadian berlaku sekitar 10.45 pagi ketika beliau menunggang motosikal bersama dua adik perempuannya, Nur Aishah, 13 tahun, dan Nur Yasmin, lapan tahun, ke kebun getah membantu ibu bapa mereka mengutip getah beku.'Tiba-tiba seekor kera liar muncul dan menerkam ke arah kami. Saya terus menendang binatang itu yang menyebabkan motosikal saya hilang kawalan sebelum terjatuh, menyebabkan kami tercampak ke tepi,' katanya, yang menambah binatang itu kemudian melompat ke atas badan adiknya.Tidak mampu bangun akibat sakit pada bahagian lutut, Mohd Shafiq berkata beliau cuba mengumpul ketulan batu berdekatan untuk membaling kera tersebut.'Ketika itu, adik-adik mula menangis. Tiba-tiba saya lihat adik saya, Nur Aishah, mengangkat motosikal yang terbalik lalu menunggangnya dengan membawa Nur Yasmin untuk mendapatkan bantuan,' katanya.Nur Aishah berkata kesakitan yang ditanggung abangnya akibat serangan kera tersebut serta tindakan binatang liar itu yang cuba menerkam Mohd Shafiq menyebabkan dia menggagahi diri mengangkat motosikal yang terbalik dan menunggangnya meminta bantuan.'Melihat kepada saiz badan, ramai yang tidak percaya saya mampu angkat motosikal dan menunggangnya untuk mendapatkan pertolongan.'Saya pun tidak tahu dari mana datangnya kekuatan itu. Tengok abang sakit dan bimbang kera liar itu terus menerkam abang, saya nekad bawa adik lari minta bantuan. Alhamdulillah, abang berjaya diselamatkan selepas saya memanggil ayah dan ibu,' katanya.Mohd Shafiq dihantar sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Rantau Panjang ke Hospital Pasir Mas sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bahru.Nur Aishah pula dirawat di Hospital Pasir dan menerima lapan jahitan di kaki.Nur Yasmin pula tidak cedera. -- Harian Metro, mStar Online.

Rogol anak: Buruh dijel 20 tahun, 14 sebatan

TELUK INTAN: Seorang buruh dijatuhi hukuman 20 tahun penjara dan 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin selepas dia mengaku salah atas tuduhan merogol anak kandungnya selepas mengikat mangsa, berusia 10 tahun, dengan tali rafia, bulan lalu.
Hakim Adli Abd Ghalib menjatuhi hukuman penjara maksimum terhadap tertuduh berusia 45 tahun dari Tanjung Malim, Perak, selepas mendengar hujah dan fakta kes dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Encik Mohammad Suffian Jaafar, serta rayuan tertuduh.Dalam rayuannya, tertuduh berharap mahkamah meringankan hukuman ke atasnya dengan alasan dia perlu menjaga anaknya yang lain serta keluarga mereka juga miskin.Bagaimanapun, Encik Mohammad Suffian memohon mahkamah supaya tidak menimbang rayuan itu kerana perbuatan tertuduh disifatkan lebih buruk daripada haiwan.'Mahkamah harus menjatuhkan hukuman berat dan setimpal dengan apa yang dilakukan tertuduh terhadap mangsa yang juga anak kandung sendiri.'Hukuman berat ini perlu dijadikan pengajaran bukan saja kepada tertuduh, malah kepada masyarakat pada umumnya. Tertuduh sepatutnya menjadi pelindung kepada anaknya dan bukannya melakukan perkara yang terkutuk dan menjijikkan seperti ini,' katanya.Dia didakwa merogol anaknya itu di dalam sebuah bilik di rumahnya, sekitar 9 malam pada 20 Julai lalu.Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian hanya tertuduh dan anaknya yang berada di dalam rumah dan tertuduh mengajak mangsa ke dalam bilik tidur.Tanpa syak mangsa mengikut arahan dan sebaik masuk ke dalam bilik, tertuduh terus menerkam mangsa sambil meraba-raba seluruh badan mangsa.Mangsa yang terkejut dengan tindakan bapanya itu meronta dan cuba melepaskan diri.Namun, mangsa takut selepas diugut akan dicederakan.Selepas membogelkan mangsa, tertuduh kemudian bertindak mengikat tangan serta kaki anaknya itu dengan tali rafia sebelum merogolnya.Mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada ibunya selepas pulang daripada kerja sebelum membuat la-poran di Balai Polis Tanjung Malim.Tertuduh ditahan dua hari selepas kejadian itu. -- BHM.

Sindiket gores dan menang tumpas




Sindiket gores dan menang tumpas

Libatkan 18 kes, kerugian dianggar RM100,000

BATU PAHAT – Tembelang satu sindiket gores dan menang di daerah ini terutamanya yang beroperasi di kawasan bandar terbongkar apabila pejabat mereka telah diserbu oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), 19 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, serbuan berkenaan yang dilaksanakan di sebuah rumah kedai tiga tingkat kira-kira jam 3 petang adalah hasil siasatan polis.

Menurutnya, hasil serbuan itu, enam suspek rakyat tempatan telah ditahan di mana mereka berumur sekitar 20 hingga 28 tahun, manakala ketua mereka berumur 41 tahun.

“Modus operandi sindiket ini ialah mereka akan mengunjungi pasar raya atau kompleks membeli belah di sekitar bandar ini dan memujuk rayu mangsa sehingga mereka terpikat dengan segala tawaran yang diberikan.

“Kemudian, mangsa akan dibawa ke pejabat mereka dan diberikan satu sampul atau kad yang tertera hadiah yang bakal dimenangi sekiranya menyertai apa yang sindiket ini tawarkan. Walau bagaimanapun, sebelum menggores kad yang diberikan, mangsa perlu membuat bayaran minimum RM3,000 atas :alasan cukai kerajaan, selain menyatakan hadiah yang bakal dimenangi melebihi bayaran yang dibuat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.

Din berkata, :kebanyakan mangsa yang datang membuat laporan polis adalah mereka yang tidak berpuas hati dengan hadiah yang diberikan kerana nilainya tidak setimpal.

Menurutnya, setakat ini iaitu sejak 2010, sebanyak 18 kes telah diterima oleh pasukan polis di mana ia melibatkan kerugian hampir RM100,000 yang ke semuanya didalangi rakyat tempatan.

:“Enam suspek yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan ke semua mereka tiada rekod jenayah lampau .

“Saya dan warga IPD Batu Pahat menasihatkan orang ramai jangan sesekali terpengaruh dengan sindiket berkenaan dan segera membuat laporan polis apabila terserempak atau melihat kegiatan terbabit.

:“Apa yang ditawarkan mereka ini sebenarnya tidak wujud dan mereka sentiasa mengambil kesempatan dan orang ramai perlu tahu kegiatan atau sindiket ini sememangnya tidak mempunyai lesen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),” katanya.

Dua geng samun tumpas




JOHOR BAHRU – Polis Kontinjen Johor berjaya menumpaskan dua kumpulan samun dalam dua operasi berasingan di sekitar bandar raya ini pada 22 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihaknya memberkas dua lelaki dan seorang wanita yang berusia lingkungan 32 hingga 36 tahun di Jalan Tun Razak, di sini.

Menurutnya, polis turut merampas empat telefon bimbit; sembilan kad sim; sebilah pisau lipat; sebatang besi yang ditajamkan; sebilah gunting; dan sebentuk kunci bersama papan kunci.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula pada 23 Ogos sehingga 29 Ogos 2011 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Dengan tertangkap kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 25 kes samun di seluruh kawasan Johor Bahru Selatan. Dalam siasatan juga polis dapati kesemua suspek mempunyai kesalahan lampau,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Sementara itu dalam kes berlainan, Mohd Mokhtar berkata, pihaknya turut berjaya menumpaskan satu sindiket kegiatan samun dengan menahan emapat lelaki pada jam 4.20 petang, 22 Ogos lalu, selepas disyaki menyamun sebuah asrama warga asing.

Katanya, dengan penahanan itu, polis turut merampas empat telefon bimbit; serangkai kunci kereta; sebuah kereta; dan sehelai t-shirt berwarna hitam.

“Dalam semakan rekod jenayah, kami mendapati salah seorang suspek mempunyai kesalahan lampau di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 23 Ogos hingga 29 Ogos 2011 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan,” katanya.

Penyamaran berakhir




BANDA HILIR - Dua lelaki yang menyamar dan berpura-pura membaiki kompresor penghawa dingin berjaya diberkas polis ketika sedang mencurinya sebelum dijual kepada pengusaha peralatan terpakai.

Suspek yang aktif melakukan kegiatan sejak Julai lalu itu ditangkap di sebuah kedai di Bachang oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri pada 19 Ogos lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, hasil penahanan mereka membawa kepada tiga lagi penangkapan baru termasuk pekerja membaik pulih pengahwa dingin, penjual dan pembeli yang berusia 25 hingga 41 tahun.

:“Dua suspek ditangkap ketika sibuk memunggah kompresor masuk ke dalam lori dengan meletakkan kenderaan di bawah kompresor supaya mudah diturunkan.

“Suspek yang menyasarkan bangunan rumah kedai dan pejabat kerajaan hanya ambil masa lima minit sahaja untuk menanggalkan kompresor tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini, semalam.

Menurut Ghee Lye, hasil penangkapan, pihaknya berjaya merampas lima unit kompresor penghawa dingin, dua penghawa dingin, lapan motor kompresor, sebuah lori, dua buah tangga aluminium dan peralatan mencuri kompresor.

“Kumpulan ini biasanya melakukan kegiatan jenayah pada waktu petang dan dipercayai mencuri sehingga enam unit kompresor sehari.

“Melalui maklumat orang awam, kami dapati kompresor yang berharga lebih RM1,000 dijual kepada pembeli terutama syarikat barang terpakai dengan harga RM200 seunit,” katanya.

Terjatuh dari tingkat dua



KUALA LUMPUR: Hasrat sekeluarga untuk pulang ke kampung di Arau, Perlis, dekat sini, tidak kesampaian apabila anak keempat keluarga itu terjatuh dari tingkat dua Blok C perumahan kakitangan Kastam Wilayah Persekutuan, Kelana Jaya, di sini, semalam.
Difahamkan, Mohammad Saufi Nor Anuar, 14, terjatuh dari rumah rakannya jam 1.30 petang ketika cuba mengambil layang-layang yang tersangkut di bumbung pangsapuri.

Ibunya, Hawa Harun, 43, mengetahui insiden malang menimpa anak keempat daripada lima beradik itu selepas dihubungi ketua blok berkenaan.

“Saya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar membeli kelengkapan raya di Pasar Borong Selayang. Tiba-tiba saya dihubungi ketua blok itu memberitahu Saufi terjatuh dan dipercayai patah tangan kiri.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan melihat keadaannya dipenuhi darah, menyebabkan saya terkedu dan tidak boleh berbuat apa-apa sementara menunggu ambulans datang,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini.

Nikmat terakhir berbuka puasa disuap isteri



TANJUNG KARANG: “Ayah sangat berselera ketika berbuka puasa disuap emak. Beberapa minit kemudian ayah tiba-tiba senyap.
“Apabila cuba digerakkan, dia langsung tak bangun-bangun. Rupa-rupanya dia sudah meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya,” kata Zaidi Salleh, 25.

Ayahnya, Mohd Salleh Harun, 60, meninggal dunia jam 7.40 kelmarin ketika berbuka puasa bersama keluarganya.

Zaidi berkata, ayahnya sudah dua tahun terlantar menanggung kesakitan akibat kuman dalam paru-paru.

“Kami mendoakan ayah yang meninggal dunia pada hari dan bulan baik, iaitu ketika umat Islam masih menunaikan ibadah puasa pada Ramadan yang mulia ini, dicucuri rahmat,” katanya.

Arwah meninggalkan balu, Yatin Sidek, 49, dan dua anak lelaki yang kini bekerja kampung iaitu Zaidi dan Mohd Kamal, 23, serta seorang anak perempuan, Zarinah, 17, yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.


Jenazah arwah disembahyangkan di rumahnya sebelum dikebumikan pada jam 10 pagi semalam di Tanah Perkuburan Parit 4, Kampung Seri Gambut, Sungai Burong.

Setiausaha Jawatan Kuasa Kampung Persekutuan (JKKP) Kampung Seri Gambut, Karim Abdullah berkata lebih 100 penduduk menghadiri majlis pengebumian arwah semalam.

Rabu lalu, arwah antara 15 penerima sumbangan kategori keluarga susah dalam program Titipan Kasih-Infaq Ramadan Harian Metro di destinasi terakhir bagi tahun ini di Masjid Nurul Islam Blok Y1, Parit 2 Sungai Burung, di sini.

Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar mewakili seluruh warga kerja Harian Metro/Metro Ahad mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga arwah.

Anak hilang sebelum raya



POKOK SENA: “Aidilfitri yang akan disambut Selasa nanti tidak akan bermakna bagi kami sekeluarga selagi anak perempuan saya tidak pulang ke rumah semula,” kata Haironi Abdul Rahman, 43, ibu kepada Siti Noor Atikah, 16, yang hilang sejak 22 Julai lalu.
Katanya, sambutan Aidilfitri tahun ini tidak bermakna kepada mereka seisi keluarga kerana sentiasa memikirkan nasib anak perempuannya.

Haironi berkata pada hari kejadian, Atikah keluar bersama kakaknya, Siti Noor Hasfinas, 17, ke Alor Setar jam 5 petang.

Namun apabila tiba di sebuah pusat beli-belah, Atikah bertemu seorang rakan perempuannya bernama Sheila dan mereka menaiki motosikal ke satu lokasi lain.

Hasfinas kemudian menunggu adiknya di pusat beli-belah berkenaan, tetapi sehingga lewat malam Atikah masih tidak muncul.

Bapanya, Abu Bakar Mat Desa, 44, berkata sehingga hari ini mereka tidak menerima khabar mengenai Atikah, malah terus dirundung kebimbangan dengan nasib anak ketiga daripada lapan beradik itu.


“Anak gadis saya bercita-cita menjadi model selepas tamat persekolahannya dan dia anak yang patuh dan jarang melawan cakap ibu bapa.

“Saya sudah puas menghubungi telefon bimbitnya, tetapi gagal. Saya bimbang dengan keselamatannya memandangkan dia berseorangan tanpa keluarga.

“Jika Atikah ada berkecil hati dengan keluarga ini, saya minta maaf dan merayu dia pulang ke pangkuan kami semula sebelum Syawal tiba tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Panchur, di sini.

Selepas Atikah masih tidak pulang ke rumah, keluarganya membuat laporan di Balai Polis Pokok Sena dan sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai gadis terbabit diminta menghubungi keluarga itu di talian 012-4594148.

Tangan dikelar



KUALA LUMPUR: Seorang wanita cedera di tangan kanan selepas dikelar dalam kejadian samun berkumpulan oleh tiga lelaki bersenjatakan pisau di sebuah kedai cermin mata di Wangsa Maju, di sini, kelmarin.
Kejadian jam 9.30 malam itu menyebabkan Naizatul Siha Hassan, 35, yang berlumuran darah, berlari mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Saksi yang mahu dikenali sebagai Sing, 28, berkata ketika kejadian dia bersama seorang rakannya yang turut bekerja di premis berkenaan melakukan kerja di bahagian belakang manakala mangsa yang menjadi juru wang, berada di kaunter.

Katanya, dia mendengar mangsa menjerit selepas premis itu dimasuki tiga lelaki bersenjata yang mengugut akan mencederakannya jika enggan menyerahkan wang.

“Mangsa cuba mempertahankan diri dan bergelut dengan penyamun sebelum tangannya dikelar, menyebabkannya cedera.

“Mangsa yang kesakitan berlari keluar premis dan menjerit minta tolong, namun tiada siapa membantu kerana ketakutan melihat tiga suspek itu membawa senjata tajam, menyebabkan mangsa berlari sejauh 50 meter ke klinik untuk mendapatkan rawatan,” katanya, di sini.


Menurutnya, dia lihat tiga penjenayah berkenaan berlari menaiki motosikal dan membawa bersama beg serta wang tunai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata selepas 20 minit kejadian pihaknya menangkap seorang daripada suspek berusia 28 tahun apabila anggotanya yang melakukan rondaan terserempak dengannya.

Katanya, anggotanya yang baru keluar dari balai polis Wangsa Maju terdengar suara wanita menjerit minta tolong sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Mangsa yang kesakitan menunjukkan arah tiga motosikal suspek sebelum anggota polis mengejar ketiga-tiga lelaki itu.

“Seorang daripada mereka ditahan di Seksyen 10, satu kilometer daripada tempat kejadian dan polis merampas pisau potong daging serta wang tunai yang disamun,” katanya.

Tolak baju baru




DIRAWAT... Mohd Amni yang cedera di muka dirawat hospital selepas terbabit dalam kemalangan.
DIRAWAT... Mohd Amni yang cedera di muka dirawat hospital selepas terbabit dalam kemalangan.

KUALA TERENGGANU: “Arwah berpesan kepada isterinya supaya tidak membelikannya baju raya tahun ini walaupun mereka sekeluarga sentiasa berpakaian sedondon setiap kali menyambut hari lebaran.
“Namun, isterinya tetap menyediakan baju raya itu tanpa memaklumkan arwah dan siapa sangka pesanan itu adalah petanda arwah akan meninggalkan keluarganya beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri,” kata Maznah Bakar, 43, kakak ipar kepada Sukri Awang, 38, anggota tentera yang maut dalam kemalangan di Kilometer 33 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi di Kampung Bukit Kolam, Hulu Terengganu, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi, Sukri yang duduk di sebelah kiri penumpang bahagian depan cedera parah di dada dan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Hulu Terengganu manakala isterinya yang juga adik kepada Maznah, Norwani Bakar, 36, cedera di rusuk namun dirawat sebagai pesakit luar.

Selain itu, tiga anak pasangan berkenaan iaitu Mohd Amin, 6, yang cedera di rusuk dan Mohd Naim, lima bulan, yang mengalami pendarahan di kepala dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, manakala Mohd Amni, 3, yang cedera di muka ditempatkan di wad biasa HSNZ.

Ketika kemalangan, mereka yang menetap di Kem Tentera Iskandar, Johor Bahru dalam perjalanan pulang ke kampung Norwani di Bachok, Kelantan bagi menyambut Aidilfitri.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda Civic dipandu Norwani dari arah Bukit Besi menghala ke Ajil terbabas ke sebelah kanan jalan lalu dilanggar sebuah kenderaan Honda Accord yang datang dari arah bertentangan.


Menurut Maznah, Norwani juga bersikap pelik apabila tidak memberitahu kepulangan mereka sekeluarga, sedangkan sebelum ini mereka biasanya memaklumkan perkara itu setiap kali pulang beraya di rumahnya di Kampung Alur Pilai, Jelawat, Bachok.

“Sebelum ini, saya tanya sama ada mereka akan pulang beraya tetapi Norwani memaklumkan tidak tahu kerana suaminya bekerja. Mungkin dia dan arwah suaminya merahsiakan kepulangan mereka kerana ingin membuat kejutan.

“Difahamkan, mereka bertolak daripada Kem Tentera Iskandar jam 12 tengah malam Khamis lalu. Jika saya tahu hal itu, pasti saya tidak membenarkan mereka pulang kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku,” katanya yang ditemui di HSNZ di sini, semalam.

Maznah yang juga anak ketiga daripada lima beradik berkata, dia turut berasa tidak sedap hati pada hari kejadian dan segala perasaannya terjawab apabila menerima panggilan daripada Norwani memaklumkan dia dan keluarga terbabit kemalangan.

“Norwani menghubungi saya selepas kejadian itu sebelum panggilan terputus disebabkan telefonnya rosak. Namun ketika cuba menghubunginya semula, saya terdengar bunyi ambulans dan menyangka mereka sekeluarga hanya terbabit dalam kemalangan biasa.

“Walaupun masih terkejut dengan apa yang berlaku, saya reda, apatah lagi mengenangkan tragedi berlaku beberapa hari sebelum Aidilfitri,” katanya.

Seorang rakan Sukri yang enggan dikenali memaklumkan, arwah sememangnya teruja untuk pulang beraya pada malam sebelum kejadian walaupun isterinya mencadangkan mereka pulang pada keesokan harinya.

“Arwah baru saja bertugas di kem ini selama tiga hari selepas dipindahkan dari Melaka. Dalam tempoh itu, arwah tidak pernah tinggal menunaikan solat sunat tarawih, cuma dia kelihatan tidak sabar-sabar untuk pulang berhari raya pada malam sebelum kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Alias Hashim berkata, 153 kes kemalangan dilaporkan di negeri ini dalam tempoh empat hari Ops Sikap 24 dilancarkan sejak 23 Ogos lalu membabitkan lapan kemalangan maut dengan lapan kematian.

2 maut

JERANTUT: Dua warga emas yang juga rakan karib maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta lain dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Jerantut-Temerloh, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.12 malam, mangsa, Abdul Ghafar Endol, 74, dan Mohamad Jantan, 56, kedua-duanya dari Kampung Bukit Genting, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah dari bandar Jerantut selepas membeli juadah di bazar Ramadan.

Abdul Ghafar yang memandu kereta dan Mohamad meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan tersepit di tempat duduk.

Anak sulung Abdul Ghaffar, Khadzir Abdul Ghafar berkata, kali terakhir dia bertemu arwah bapanya apabila dia pulang berbuka puasa dua hari sebelum kejadian.

Khadzir yang menetap di Bandar Tun Razak, Jengka berkata, dia menerima panggilan pada jam 7.45 malam memaklumkan kemalangan yang menimpa bapanya.

“Ketika berbuka puasa bersama-sama, abah tidak menunjukkan perubahan waktu berbual, terutama selepas kami mengerjakan solat sunat tarawih bersama-sama.


“Kami juga banyak berbincang soal majlis kenduri kahwin anak saya dan arwah beria-ria mahu menghadiri majlis itu, tambahan pula ia akan diadakan bulan depan.

“Namun satu perkara yang saya perasan ialah suara arwah tersekat-sekat dan perlahan. Selalunya dia tidak begitu. Ada yang tidak berapa saya kedengaran ketika kami berbincang soal majlis yang bakal berlangsung 18 September depan.

“Tidak sangka itu kali terakhir saya berbual dengan abah. Saya terkilan kerana dia tidak sempat hadir kenduri kahwin anak saya yang juga cucunya.

“Abah dan pak cik Mohamad adalah rakan karib yang aktif dalam majlis kenduri kendara di Kampung Bukit Genting. Kelibat mereka selalu ada dalam setiap keramaian di kampung,” katanya.

Anak tiri Mohamad, Baharul Bahari, 32, berkata ketika kejadian dia ada di Kampung Bharu, Jerantut dan sebaik mendapat tahu, dia terus ke Hospital Jerantut melihat keadaan bapanya.

“Beberapa hari sebelum kejadian, arwah berkata mahu menoreh getah untuk mendapatkan wang bagi menyambut hari raya.

“Namun hasratnya tidak kesampaian dan kami sekeluarga reda dengan pemergiannya. Walaupun dia bapa tiri, arwah tidak pernah membezakan kasih sayangnya kepada anak. Memang kami terasa kehilangannya, tambahan pula Aidilfitri sudah dekat,” katanya.

Sementara itu, jurucakap trafik Balai Polis Jerantut berkata, kereta dipandu Abdul Ghafar dipercayai mahu memintas kereta lain sebelum bertembung dengan kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Kami masih menyiasat punca sebenar kejadian. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Rampas rokok



LUMUT: Seorang anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM) negeri yang menyamar sebagai pelanggan membeli rokok di sebuah rumah kedai di sini berjaya mengesan aktiviti penjualan rokok tanpa kelulusan cukai di Ayer Tawar, Sitiawan, dekat sini.
Bertindak daripada maklumat itu, sepasukan anggota PGM berpangkalan di Kampung Acheh menyerbu premis berkenaan jam 9.15 malam kelmarin sebelum menemui 206 karton rokok putih pelbagai jenama bernilai keseluruhan kira-kira RM14,470 yang disembunyikan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM negeri, Deputi Superintendan Shaari Ariffin berkata, pasukan sama turut menahan seorang lelaki berusia 46 tahun, dipercayai pemilik premis, untuk disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barangan belum lulus cukai kastam.