
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Baling, Cif Inspektor Mohd Basirul Hapi Ibrahim berkata, walaupun 41 saman
dikeluarkan, operasi kali ini lebih kepada mendidik daripada memberi hukuman.
“Kita akan menasihati pengguna yang tidak mengikut undang-undang. Namun begitu, pendekatan sebegini bukanlah bermaksud pengguna boleh
mengambil kesempatan mahupun mengambil mudah mengenai keselamatan. Sekiranya pengguna masih ingkar dengan undang-undang. Saman akan
dikeluarkan sebagai pengajaran kepada mereka,” katanya.
Menurutnya, masyarakat dinasihatkan lebih berhati-hati sempena musim perayaan ini.
“Saya harap, masyarakat yang ingin pulang ke kampung halaman tidak menyumbang kepada statistik kemalangan pada tahun ini. Jadi, amatlah penting sekiranya masyarakat mengikut undang-undang yang telah ditetapkan. Kemalangan dapat dielakkan sekiranya masyarakat tidak mengambil mudah mengenai aspek keselamatan terutama had laju dan pemakaian tali pinggang keledar,” katanya.
Menurutnya, rondaan di kawasan perumahan akan dilakukan dengan lebih kerap sempena musim perayaan ini.
“Namun, masyarakat tidak sepatutnya meletakkan soal keselamatan kepada polis semata-mata, tetapi mereka juga perlu memainkan peranan untuk mengelakkan sebarang masalah yang tidak diingini semasa mereka pulang ke kampung halaman,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, sempena Ops Sikap kali ini, polis turut memberikan risalah kepada pengguna jalan raya mengenai soal keselamatan.
“Kita akan terus mengingati pengguna jalan raya supaya mereka mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” katanya selepas menyampaikan risalah kepada pengguna di jalan raya Gerik-Kulim kelmarin.