Search This Blog

Friday, August 26, 2011

Pihak berkuasa Islam Aceh arah pasangan lesbian berpisah



BANDA ACEH 25 Ogos - Pihak berkuasa agama Islam Indonesia hari ini mengarahkan satu pasangan lesbian untuk berpisah dan menempatkan mereka di bawah pemantauan walaupun homoseksual merupakan perlakuan yang tidak diharamkan oleh undang-undang Indonesia.
Polis agama Islam itu yang merupakan pasukan keselamatan unik di Aceh, memberi amaran kepada pasangan tersebut sebelum mereka dipaksa berpisah di bawah undang-undang syariah.
''Kami memaklumkan kepada mereka akan dipenggal kepala dan mayat dibakar serta abu mereka ditabur di laut. Kami sebenarnya dibenarkan untuk membunuh mereka.
''Ranto, 26, dan Nuraini, 18, kini tinggal di kawasan perkampungan berasingan sejauh 36 kilometer,'' kata Ketua Polis Agama Islam Barat Daya Aceh, Muddatsir.
Beliau berkata, sebelum ini, seorang ketua kampung telah mengeluarkan sijil nikah kepada pasangan tersebut kerana mempercayai Ranto adalah seorang lelaki.
''Ia sangat memalukan apa yang telah mereka lakukan,'' ujarnya.
Kerajaan tempatan sebelum ini meluluskan undang-undang membenarkan hukuman rejam sampai mati dikenakan kepada penzina dan hukuman sebatan kepada homoseksual pada 2009 namun gabenor wilayah itu masih belum meluluskan penguatkuasaannya.
Kumpulan liberal di Indonesia yang mempunyai 240 juta penduduk menyatakan undang-undang syariah Aceh menggalakkan semangat tidak bertoleransi dan rakyat biasa mengambil tindakan sendiri dalam menguatkuasakan undang-undang selain ia melanggar Perlembagaan. - AFP

sorok dadah dalam beg komputer riba


Nordin Kadir (kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang disorokkan di dalam beg komputer riba pada sidang akhbar di IPK Selangor, Shah Alam, semalam.



SHAH ALAM 25 Ogos - Seorang lelaki warga Nigeria ditahan ketika cuba menyeludup masuk 1.3 kilogram syabu bernilai RM260,000 yang disorokkan dalam beg komputer riba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Isnin lalu.
Suspek yang berusia 28 tahun dan merupakan penjual alat ganti motosikal, tiba dengan pesawat dari Doha, Qatar dan ditahan kira-kira pukul 4 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, lelaki itu berjaya melepasi pemeriksaan di Doha dan membawa dadah itu di dalam kapal terbang sehingga tiba ke KLIA
"Bagaimanapun sebaik sahaja tiba di Malaysia, polis terpaksa menahannya apabila dia dilihat dalam kelakuan yang mencurigakan.
"Setelah ditahan dan diperiksa, kami menemui 1.3 kilogram syabu yang disorokkan dalam ruang khas dalam beg komputer riba," katanya kepada pemberita di Pusat Media Polis Selangor di sini hari ini.
Kata Nordin, suspek yang pertama kali datang ke Malaysia, kini ditahan reman sehingga 31 Ogos bagi membantu siasatan.
Dalam satu lagi kes, katanya, tiga anggota sindiket pengedaran dadah heroin yang menggunakan hentian rehat dan rawat (R&R) sebagai lokasi urus niaga mereka diberkas dalam serbuan di R&R Hulu Bernam dekat sini Isnin lalu.
Nordin memberitahu, berikutan serbuan itu, teman wanita salah seorang suspek yang bertugas sebagai pegawai pemasaran diberkas di rumah mereka di Taman Aman, Petaling Jaya dekat sini pada hari yang sama.
Beliau berkata, dalam kedua-dua serbuan sebanyak 3.3 kilogram heroin bernilai RM74,000 berjaya dirampas.
-utusan

Ujian DNA sahkan 2 mayat dikerat anak, ibu



SHAH ALAM 25 Ogos - Polis hari ini mengesahkan mayat seorang wanita dan kanak-kanak yang dikerat-kerat dan dibuang di dalam mangkuk tandas di Taman Kosas, Ampang dekat sini, awal bulan lalu adalah ibu dan anak.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, pengesahan itu dibuat berdasarkan hasil laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang menunjukkan kedua-dua mangsa mempunyai pertalian darah.
Beliau berkata, pihaknya juga telah mendapat jawapan kepada beberapa persoalan lain berdasarkan laporan Jabatan Kimia yang diperoleh tetapi tidak dapat mendedahkannya kepada media.
''Kita juga telah melengkapkan laporan siasatan dan telah menyerahkannya kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di pusat media Polis Selangor di sini, hari ini.
Pada 3 Ogos lalu, beberapa keratan tubuh dan organ manusia termasuk usus ditemui dalam beberapa beg plastik di dalam mangkuk tandas di sebuah unit di tingkat lima Pangsapuri Astaria, Taman Kosas.
Polis yang menjalankan siasatan telah menahan 10 lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Indonesia yang mengaku sebagai suami mangsa bagi membantu siasatan.
Turut ditemui, dua bilah pisau, dua biji pasu bunga dan dua batang pengelap lantai, dipercayai bahan bukti yang boleh membantu menyelesaikan kes pembunuhan kejam itu.

774 kilogram mercun dirampas


Abdullah Zawawi Abd. Latiff (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian mercun yang dirampas di Kuala Terengganu, semalam. – utusan/Shaifudin Mohd. Nor




KUALA TERENGGANU 25 Ogos – Pelbagai jenis mercun seberat 774 kilogram bernilai RM21,672 dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Besut, Kemaman malam tadi.
Pengarah JKDM negeri, Abdullah Zawawi Abd. Latif berkata, bagaimanapun, pemilik premis berkenaan gagal ditahan dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 10 malam itu.
Katanya, ini merupakan rampasan terbesar yang dilakukan pihaknya sepanjang bulan puasa pada tahun ini berbanding empat lagi rampasan yang dibuat.
“Dalam empat kes terdahulu, kita merampas kira-kira 780 kilogram mercun dan bunga api yang secara keseluruhannya bernilai RM21,868,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Abdullah Zawawi percaya mercun dan bunga api itu diperoleh dari negara jiran untuk dipasarkan dan beberapa individu yang berumur di antara 20 hingga 50 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan memiliki barang-barang larangan.-utusan

30 tentera Gaddafi ditemui mati bergelimpangan di Tripoli



TRIPOLI 25 Ogos - Lebih 30 orang dipercayai tentera setia kepada Muammar Gaddafi dibunuh di kem tentera di tengah Tripoli dan sekurang-kurangnya dua orang diikat dengan tali plastik, menunjukkan mereka telah 'dihukum mati' semasa ditawan.
Wartawan Reuters melaporkan terdapat 30 mayat yang dipenuhi kesan tembakan ditemui di kawasan yang menyaksikan pertempuran sengit antara tentera Gaddafi dengan pemberontak.
Lima daripada mayat ditemui di padang hospital, dan seorang daripadanya di dalam ambulans dengan lengannya masih terdapat jarum menyalurkan cecair.
Khemah tentera itu berselerak dengan barang-barang menyokong Gaddafi seperti topi, gambar dan bendera hijau.
Terdapat mayat yang terbujur itu memakai baju tentera manakala yang lain berpakaian awam. Terdapat juga warga Afrika yang dipercayai askar upahan dari negara jiran.
Dua daripada mayat itu hangus tanpa boleh dikenali.
Insiden tersebut berlaku di sebuah bulatan trafik di Tripoli yang telah menjadi kubu tentera yang setia kepada Gaddafi.
Khemah tersebut dipenuhi makanan yang berselerak dan kotak-kotak senjata. Selimut telah digunakan bagi menutup mayat dan bulatan trafik dipenuhi bangkai kenderaan yang musnah. - REUTERS

Pecah rumah meningkat mendadak




CHEE CHENG WAN



TIDAK dinafikan ramai yang akan meninggalkan rumah untuk pulang berhari raya di kampung halaman setiap kali menjelang musim perayaan.
Rumah yang ditinggalkan tanpa penghuni dalam tempoh tertentu boleh menarik perhatian penjenayah untuk memecah masuk.
Justeru, apakah langkah yang sewajarnya dilakukan bagi mereka sebelum pulang berhari raya agar jenayah seperti itu dapat dielakkan?
Hakikatnya, perkongsian bijak antara pihak polis dan penduduk setempat amat penting dalam memastikan persekitaran kediaman selamat.
Wartawan Meja Khas Utusan Malaysia, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR dan jurugambar, BARIQ RAMADHAN, mengupas isu jenayah pecah rumah yang kerap berlaku ketika musim perayaan.

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Jenayah pecah rumah ketika Hari Raya Aidilfitri meningkat hampir 50 peratus pada setiap tahun.
Trend jenayah pecah rumah tersebut meningkat mendadak dalam tempoh seminggu sebelum dan seminggu selepas hari raya.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Risikan Operasi dan Rekod (D4), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Chee Cheng Wan berkata, tahun lalu, 537 kes pecah rumah dicatatkan pada seminggu sebelum raya dan 774 kes seminggu selepas raya iaitu peningkatan 237 kes atau 44.1 peratus.
Manakala pada 2009 dalam tempoh sama, jumlahnya meningkat 175 kes iaitu daripada 674 kepada 849 kes.
“Pada sambutan Hari Raya Aidilfitri 2008 pula, 483 kes pecah rumah dilaporkan seminggu sebelum raya manakala 726 kes pada seminggu selepas raya.
“Ia adalah peningkatan 50.3 peratus atau 243 kes,” katanya di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut Cheng Wan berkata, mangsa selalunya sedar bahawa rumah mereka dipecah masuk hanya selepas pulang dari kampung.
“Mangsa tidak tahu adakah rumah mereka dimasuki sebelum atau selepas hari raya dan kebiasaannya mereka pulang selepas hari raya dan menyedari rumah dipecah masuk.
“Perkara seperti itu menyebabkan peningkatan ketara kes-kes pecah rumah pada seminggu sebelum dan selepas raya,” katanya.
Bagi mengurangkan kadar jenayah, beliau berkata, pihak polis mengambil beberapa tindakan termasuk rondaan bermotosikal dan berkereta ke kawasan-kawasan perumahan terutama melibatkan laporan daripada orang ramai.
Polis turut menyeru penduduk terutama jiran tetangga yang masih belum pulang berhari raya agar sentiasa berhubung dengan mereka bagi mencegah kejadian jenayah di tempat mereka.
“Orang ramai tidak mempunyai kuasa menangkap dan jika benar mereka adalah penjenayah, mungkin mengundang perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Pun begitu, katanya, kes jenayah pecah rumah keseluruhan untuk tahun kebelakangan ini menurun dan statistik terbaru menunjukkan dari 1 Januari hingga 15 Ogos lalu, 17,912 kes telah dicatatkan.
Berbanding bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya, sebanyak 20,251 kes dicatatkan iaitu penurunan 11.5 peratus.
Cheng Wan berkata, penurunan keseluruhan itu berlaku, antaranya disebabkan oleh program yang dilaksanakan seperti Rakan Cop dan pengawasan komuniti dalam usaha mencegah jenayah.
“Hubungan dengan polis setempat amat penting kerana mereka adalah pihak yang paling hampir dengan penduduk dalam menyelesaikan sebarang kejadian jenayah,” katanya.

Polis tahan enam penjual mercun di bazar Ramadan

KLUANG 25 Ogos - Polis menahan seramai enam penjual mercun dalam pemeriksaan yang sepanjang bulan Ramadan di bazar-bazar jualan makanan di seluruh daerah ini.
Kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan secara berasingan.
Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamed Fawzi Mohd. Arshad, selain ditahan, polis turut merampas mercun dan bunga api yang cuba dijual oleh peniaga itu.
"Semua bahan api itu dirampas untuk disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang di sini, kelmarin.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak bermain mercun kerana ia menyalahi undang-undang dan tindakan akan diambil ke atas mereka yang masih berdegil.
Dalam pada itu, Mohamed Fawzi menasihati orang ramai yang pulang ke kampung halaman Aidilfitri ini supaya memaklumkan kepada polis bagi mencegah jenayah pecah rumah di kawasan masing-masing.
"Pemilik rumah yang ingin pulang ke kampung dinasihatkan supaya memaklumkan ketiadaan mereka di mana-mana balai atau pondok polis berhampiran dengan meninggalkan butiran mereka agar polis dapat membuat rondaan berkala," katanya.-utusan

Maut akibat rempuh motosikal

KUANTAN 25 Ogos - Seorang pekerja swasta terbunuh akibat motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah lagi motosikal di Jalan Balok Baru di sini semalam.
Mohamad Shukri Ahmad, 20, dari Kampung Cengal Lempong, Balok meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.
Manakala penunggang motosikal jenis Yamaha, Ahmad Mohamed Diah, 46, hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan sebagai pesakit luar.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohd. Fauzi Abdul Rahim berkata, kejadian berlaku pukul 5.55 petang ketika kedua-dua penunggang dalam perjalanan dari arah Balok Baru menghala ke Kuantan.
"Sebaik sahaja sampai di tempat kejadian, dipercayai penunggang motosikal Yamaha membuat pusingan U secara mengejut menyebabkan mangsa gagal mengelak dan merempuhnya dari belakang," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Menurut Mohd. Fauzi, siasatan awal mendapati penunggang Yamaha itu tidak memiliki lesen memandu yang sah malah ketika kejadian, dia tidak memakai topi keledar.
Mangsa bagaimanapun memakai topi keledar dan memiliki lesen memandu yang sah.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.SH

Sindiket bekal mercun tumpas

SEREMBAN 25 Ogos - Polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran mercun utama bandar ini selepas menahan sepasang adik beradik dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Nyiur Hijau, Rahang di sini awal pagi semalam.
Dalam serbuan pukul 1 pagi itu, dua beradik itu ditahan kerana disyaki menjadi pengedar utama pelbagai jenis bunga api dan mercun di bazar-bazar Ramadan sekitar bandar ini.
Ketua Polis Ddaerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas sebanyak 53 kotak mercun dalam sebuah bilik di rumah terbabit yang dianggarkan bernilai mencecah RM50,000.
"Ini merupakan rampasan mercun terbesar di bandar ini dan melalui tangkapan ini, kita berjaya melumpuhkan bekalan mercun untuk dijual di sekitar bandar ini," katanya di sini semalam.

Tiga maut dalam dua hari di Perlis

KANGAR 25 Ogos - Meskipun Ops Sikap Ke-24 baru dua hari dilancarkan, Perlis sudah mencatatkan tiga kematian sepanjang tempoh itu.
Malah, apa yang membimbangkan, dua kematian itu adalah jumlah yang sama dicatatkan di seluruh Perlis dalam tempoh dua minggu Ops Sikap Ke-22 pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.
Ketua Pegawai Turus Trafik Perlis, Asisten Supritendan Rosli Yahaya berkata, mereka yang maut ialah dua penunggang motosikal berusia 19 dan 61 tahun serta seorang pejalan kaki berusia 68 tahun.
"Ketiga-tiga kemalangan maut itu berlaku di daerah iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar yang melibatkan jalan bandaran iaitu laluan di luar Ops Sikap," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri di Kilometer 18, Jalan Kangar-Alor Setar dekat Sanglang oleh Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya negeri, Jamil Saad di sini hari ini.SH

Masjid Terengganu sasaran buku ajaran Syiah



KUALA TERENGGANU 25 Ogos - Pengedaran buku mengenai 'kebenaran' ajaran Syiah yang dikaitkan dengan akidah Islam sebenar ke masjid-masjid seluruh negeri ini sejak beberapa hari lalu menimbulkan tanda-tanya umum.
Sehubungan itu juga, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) telah mengarahkan pihak masjid yang menerima buku tersebut agar menyerahkannya kepada pejabat agama terdekat.
Buku-buku itu diposkan kepada semua pengerusi masjid untuk diagihkan kepada imam yang bertugas di setiap masjid di mana setiap bungkusan mengandungi tiga set buku yang perlu dituntut di pejabat pos.
Salah sebuahnya berjudul Akhirnya Kutemui Kebenaran, buku terjemahan berbahasa Arab tulisan Dr. Muhammad al-Tijanji Al-Samawi setebal 245 halaman dan terdapat catatan ia terbitan kumpulan Pengajian Islam Universiti Islam Antarabangsa, 1995.
Sebuah lagi buku setebal 548 halaman berjudul Dialog Mengenai Islam dan Akidah Islam Sebenar dan Kewajipan Muslim Mentaati Kepimpinan Yang dilantik Allah dan Rasul Demi Perpaduan Dan Kejayaan Dunia Akhirat.
Setiap bungkusan itu disertakan dengan cap pengirim atas nama Majlis Syiah Malaysia, beralamat No. 148, Jalan Haji Mahmood, Ulu Tiram, Johor di samping terdapat cop beralamat Majlis Syiah Malaysia, 1012, Desa Melawati, Kuala Lumpur yang diragui.
Pengerusi Masjid Kampung Petai Bubus di sini, Tuan Syarif Putera menyifatkan ia mungkin langkah halus untuk menyemai fahaman itu melalui para imam di peringkat akar umbi.
''Ia juga mungkin salah satu taktik, di mana apabila menjadi isu dan heboh diperkatakan, ia mungkin mendorong untuk membaca buku itu dan memudahkan mereka mempercayai dan menerima ajaran Syiah.
''Gejala seumpama itu dengan keberanian yang makin diperlihatkan dalam menyebarkan ajaran yang ditegah di negara ini, perlu dibanteras dengan tegas kerana ia boleh mencetuskan kecelaruan yang membahayakan akidah umat Islam," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah JHEAT, Mohd. Rozali Salleh ketika ditemui Utusan Malaysiamemberitahu, pihaknya telah meneliti buku-buku yang diserahkan kepada pihak berkuasa.
''Kita telah maklumkan kepada semua pegawai agama dan masjid tentang buku-buku fahaman Syiah sedang cuba diedarkan ke masjid seluruh negeri oleh pihak tertentu.
''Kita akan menjalankan pemantauan bersama pihak Kementerian Dalam Negeri berhubung mereka yang dikaitkan dengan penghantaran bahan-bahan ini," ujarnya.
Beliau berkata, pada masa yang sama pihaknya akan memanggil satu mesyuarat khas bersama para pegawai masjid mengenai langkah kawalan penyebaran bahan seumpama itu di masjid-masjid.

JAIM serbu markas fahaman Syiah




Rahimin Bani menunjukkan tiga buah buku yang telah diharamkan KDN serta risalah yang dikatakan mempunyai fahaman Syiah di sebuah rumah di Taman Paya Dalam, Melaka, semalam.


MELAKA 25 Ogos - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) hari ini menyerbu sebuah rumah di Taman Paya Dalam dekat sini yang dipercayai menjadi markas sebuah kumpulan penganut fahaman Syiah.
Dalam serbuan itu, sejumlah 35,000 buku dan risalah mengenai fahaman Syiah yang telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri ditemui di rumah tersebut.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, buku dan risalah yang ditemui itu telah siap dibungkus dan akan diedarkan melalui pos ke seluruh masjid dan jabatan-jabatan kerajaan.
Lebih mengejutkan, katanya, satu memorandum mengenai penubuhan Persatuan Syiah Malaysia yang akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin turut ditemui di situ.
"Siasatan awal mendapati, buku-buku yang akan dihantar itu datang daripada Majlis Syiah Malaysia beralamat di Ulu Tiram, Johor Bahru dan sejumlah 6,000 naskhah telah dihantar ke seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas mengetuai serbuan itu di sini, hari ini.
Antara ajaran kumpulan itu adalah menghalalkan para pengikutnya bernikah secara kontrak dan membenarkan sembahyang jamak dilakukan pada bila-bila masa walaupun bukan dalam keadaan darurat.
Pengikut ajaran tersebut juga menyanjung Ahlul Bait iaitu ahli keluarga Nabi Muhammad SAW secara keterlaluan dengan menganggap golongan itu maksum atau bebas daripada dosa serta anti para sahabat kecuali Saidina Ali.
Menurut Rahimin, turut ditahan dalam serbuan yang berakhir pukul 2 petang itu ialah seorang remaja berusia 18 tahun yang mengaku bekerja di situ serta lima remaja berusia antara 14 dan 15 tahun.
Beliau berkata, kumpulan Syiah itu dikesan mula mengedarkan buku-buku terbabit di seluruh masjid dan surau di negeri ini sejak Julai lalu tetapi berjaya dipintas oleh JAIM melalui surat yang diedarkan.
"Kita percaya, rumah ini telah disewa sejak empat bulan lalu untuk menjadi pusat pengedaran buku-buku dan risalah fahaman sesat ini
"Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengisytiharkan ajaran itu perlu dihindari, begitu juga Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka yang telah mengeluarkan fatwa supaya masyarakat Islam berpegang teguh fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.
Tambahnya, kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 48 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 di bawah kesalahan penerbitan agama yang bercanggah dengan hukum syarak.

Pilu lihat datuk mati tergolek

DUNGUN: “Datuk kelihatan tergesa-gesa selepas memberitahu mahu pulang ke rumah seolah-olah ada perkara penting,” kata Mohd Khairul Naim Padeli, 14, cucu warga emas yang maut selepas dirempuh sebuah motosikal di Kilometer 90, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat simpang Durian Mentangau, semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 10.30 pagi itu, Kadir Seman, 67, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dirempuh motosikal ditunggang seorang pelajar berusia 17 tahun.

Mohd Khairul berkata, dia tidak sempat berpesan kepada datuknya supaya berhati-hati melintas jalan dan sedih melihat warga emas itu tercampak di atas jalan raya selepas dirempuh motosikal.

Katanya, sebelum kejadian dia bersama datuknya menjual daging lembu di tepi jalan terbabit sebelum datuknya memaklumkan mahu pulang ke rumah dan memintanya menjaga gerai mereka.

“Sempena Ramadan, datuk menjual daging di situ dan mengajak saya membantunya supaya saya dapat upah yang boleh digunakan sebagai perbelanjaan menyambut Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Dungun, semalam.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini jalan berkenaan sesak dengan kenderaan dan arwah tidak membawa motosikalnya sebaliknya meletakkan kenderaan itu di seberang jalan sebelum melintas di hadapan gerai tempat mereka menjual daging.


“Ketika kejadian, dia melintas jalan untuk mengambil motosikalnya di seberang jalan,” katanya.

Mohd Khairul berkata, sebaik kemalangan terbabit berlaku, dia berlari mendapatkan datuknya yang ketika itu berdarah di kepala sebelum memeluk dan mengajarnya mengucap kalimah syahadat.

“Saya sedih kerana beberapa minit selepas itu dia sudah tidak bernyawa sebelum seorang anggota polis yang melalui jalan itu mengesahkan arwah sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Nor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan.

Budak heret adik

KOTA BHARU: Tindakan pantas seorang kanak-kanak berusia lima tahun mengheret adik bongsunya keluar dari rumah, menyelamatkan mereka daripada terperangkap dalam kebakaran di Kampung Kubang Badak, Kedai Lalat, dekat sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Muah Hakimi Raja Azman mengheret adiknya, Mohd Yusof Azrik, 2, ke rumah datuk mereka, Solehah Mokhtar, 70, yang tinggal bersebelahan dalam keadaan menangis teresak-esak selepas dipercayai menyalakan bunga api menggunakan pemetik api sebelum membuangnya di atas tilam sehingga terbakar.

Ketika kejadian, dua beradik itu bersendirian di rumah kerana ibu mereka, Noraini Mohamad, 40, keluar bekerja manakala bapa, Raja Azman Raja Ibrahim, 46, ke sekolah berdekatan untuk menerima sumbangan zakat.

Raja Azman berkata, dia keluar rumah kira-kira jam 9 pagi dan meminta Muah Hakimi menemani adiknya yang masih tidur.

“Saya hanya menyedari rumah terbakar apabila pulang dan melihat anggota bomba sedang memadamkan api. Saya bergegas masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan dua anak saya itu.

“Bagaimanapun, saya diberitahu ayah, kedua-dua anak saya selamat dan tidak cedera,” katanya.


Menurut Raja Razman yang mempunyai 10 anak berusia antara dua hingga 21 tahun, keluarganya bernasib baik kerana tindakan pantas orang ramai memadamkan api menggunakan air tangki, menyelamatkan sebahagian daripada rumahnya.

“Saya bersyukur dua anak selamat.

“Saya juga bernasib baik kerana kebakaran hanya membabitkan sebuah bilik, ruang tamu dan dapur. Turut terbakar buku sekolah anak dan peralatan elektrik,” katanya.

Noraini yang bekerja sebagai tukang masak di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pula berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada jirannya kira-kira jam 10.30 pagi.

Katanya, dia keluar bekerja kira-kira jam 5.30 pagi dan dua anaknya itu ditinggalkan bersama suaminya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Wan Hassan Wan Idris berkata, tiga jentera dan 16 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.10 pagi.

“Bomba dapat mengawal kebakaran dalam tempoh 10 minit . “Siasatan mengenai punca kejadian masih dijalankan dan kerugian dianggarkan RM65,000,” katanya.

3 pelajar terbabit gaduh diikat jamin

KUALA LUMPUR : Tiga pelajar sekolah menengah yang terbabit dalam kes gaduh hingga menyebabkan empat pelajar dari sebuah sekolah menengah di Bukit Nanas, di sini cedera parah, 16 Ogos lalu, dibebaskan dengan ikat jamin polis bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata pelajar lelaki berusia 16 hingga 17 tahun itu dibebaskan buat sementara waktu bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan di peringkat sekolah yang berlangsung sekarang.

Katanya, mereka akan dipanggil semula pada cuti sekolah nanti untuk proses pengecaman pelajar lain yang turut serta dalam pergaduhan membabitkan lebih 30 pelajar dua sekolah menengah itu.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara dua pelajar dari dua sekolah berlainan sebelum ia membabitkan rakan mereka hingga menyebabkan empat pelajar cedera parah. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Menurutnya, empat pelajar yang cedera itu turut akan dipanggil selepas peperiksaan tamat bagi membantu proses pengecaman.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata berbahaya.


Dalam kejadian 16 Ogos lalu, empat pelajar sekolah menengah di ibu kota parah selepas diserang lebih 30 pelajar sebuah sekolah menengah lain yang sebahagiannya bersenjatakan besi, cota dan topi keledar. Kejadian berlaku selepas sesi sekolah tamat kira-kira jam 1.15 tengah hari di pekarangan sebuah sekolah menengah di Bukit Nanas menyebabkan empat pelajar berusia 17 tahun cedera.

Warganegara Singapura didenda RM200,000

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah yang juga warga Singapura didenda RM200,000 Mahkamah Sesyen, di sini, selepas didapati bersalah atas pertuduhan melanggar perintah mahkamah yang melarangnya memegang jawatan sebagai pengarah syarikat di negara ini selama lima tahun.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh, Ong Soon Kiat dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Sebelum ini, Mahkamah Singapura pada 10 Mac 1999 mendapati Ong bersalah atas lima pertuduhan memanipulasi pasaran mengikut Seksyen 97 (1) Akta Perindustrian Sekuriti negara itu dan didenda SD$250,000 (RM575,000), Sabitan itu menyebabkan dia secara automatik hilang kelayakan memegang jawatan sebagai pengarah syarikat di negara ini selama lima tahun mengikut Seksyen 130 (1) (b) Akta Syarikat 1965.

Bagaimanapun, ada bukti mendedahkan bahawa pada 26 Jun 2003, Ong melanggar akta itu apabila dia dilantik sebagai pengarah dalam Semporan Sdn Bhd tanpa kebenaran Mahkamah Tinggi.

Selain itu, Ong didapati membuat akuan berkanun mengikut Seksyen 123 (4) Akta Syarikat 1965 yang mengisytiharkan dirinya tidak pernah disabitkan sebarang kesalahan berhubung penipuan atau ketidakjujuran.

Pada prosiding Rabu lalu, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Steve Chin Yun Cheong.


Sementara itu, SSM menerusi satu kenyataan akhbar berkata, keputusan kes itu diharap akan menjadi peringatan kepada pengarah dan pegawai syarikat di Malaysia bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar dan hanya yang layak boleh dilantik sebagai pengarah.

Menurut kenyataan itu, SSM akan meneruskan tindakan penguatkuasaan untuk mendorong dan menggalakkan tata laku sewajarnya di kalangan pengarah dan pegawai perbadanan di negara ini.

‘Agar-agar’ maut

PUTRAJAYA: Berkuatkuasa hari ini, kerajaan melarang pembekalan dan penjualan agar-agar yang digunakan bagi pertumbuhan pokok, Seven Colour Crystal Ball (SCCB) serta barang seumpamanya di pasaran kerana boleh menyebabkan risiko usus tersumbat sekiranya ditelan kanak-kanak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, larangan itu dikuatkuasakan selepas kementeriannya menerima lapan kes akibat tertelan agar-agar itu, membabitkan kanak-kanak berusia satu hingga lima tahun.

“Semua kes pembedahan berlaku antara April tahun lalu hingga Ogos tahun ini. Tujuh daripada kes berkenaan dilaporkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan satu daripadanya di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Kes terbaru yang dilaporkan di HKL membabitkan kanak-kanak berusia 12 bulan tertelan agar-agar itu dan dia menjalani pembedahan pada Selasa lalu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Agar-agar berkenaan berbentuk ketulan atau manik pelbagai warna dengan permukaan yang licin dan bergel digunakan sebagai hiasan serta sumber air kepada tumbuhan.

Saiz asalnya kurang daripada 0.5 sentimeter (sm), namun boleh mengembang sehingga enam kali ganda daripada saiz asal. Apabila ditelan kanak-kanak, usus akan mengembang dan tersumbat.


Produk SCCB itu juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Jelly Ball, Crystal Jelly, Baby Crystal serta Crystal Soil dan antara negara pengeksport ialah Jepun dan China.

Ismail Sabri berkata, larangan pembekalan dan penjualan SCCB itu berdasarkan Akta Pelindungan Pengguna 1999 [Akta 599] iaitu mana-mana individu atau syarikat tidak boleh membekalkan, menawarkan atau mengiklankan untuk membekalkan barang yang tidak menasabah.

Katanya, pihaknya akan menjalankan pemantauan dan memberikan khidmat nasihat terhadap pihak industri yang membekalkan agar-agar itu di pasaran tempatan. “Kita bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi memastikan larangan import SCCB dan barang seumpamanya ke negara ini.

“Malah, kita akan menyita, menarik balik dan melakukan pendakwaan jika SCCB didapati dibekalkan ke pasaran tempatan selepas tempoh penarikan balik yang ditetapkan,” katanya.

Maut tak sempat balik berbuka puasa

KUANTAN: Seorang lelaki yang dalam perjalanan pulang ke rumah untuk berbuka puasa terbunuh apabila motosikal ditunggangnya dirempuh dari belakang oleh sebuah motosikal lain di Balok Baru, di sini, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 5.55 petang itu, Mohamad Shukri Ahmad, 20, dari Kampung Chengal Lempong, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala. Seorang lagi mangsa, Muhamad Firdaus Atan, 14, dari Balok Baru, di sini, parah di kepala, muka, kaki dan betis dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, siasatan mendapati, kedua-dua mangsa menunggang dari arah sama menghala ke Jalan Kuantan-Kemaman dari Balok sebelum Mohamad Shukri dikatakan cuba membuat pusingan U. Menurutnya, pada masa sama, Muhamad Firdaus yang datang dari belakang tidak sempat mengelak sebelum melanggar belakang motosikal Mohamad Shukri. Katanya, akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan. “Siasatan mendapati, Mohamad Shukri mengenakan topi keledar, tetapi tidak mempunyai lesen manakala Muhamad Firdaus pula tidak memakai topi keledar dan tidak mempunyai lesen memandu,” katanya. Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke HTAA untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya, pagi semalam. Katanya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Cincang nenek suruh masak nasi

Oleh Junaidi Ladjana djuns@hmetro.com.my
 TENOM: Hanya kerana meminta dimasakkan nasi, seorang nenek mati dalam keadaan tragik apabila dicincang seluruh tubuh oleh cucunya di rumahnya di Kampung Melalap di sini, kelmarin. Ketika kejadian, hanya mangsa, Dayu Rawang, 77, dan cucu perempuannya yang berusia 27 tahun itu berada di rumah kerana anggota keluarga lain menghadiri majlis berikutan kematian jiran di rumah berhampiran. Menurut sumber, sebaik bapa suspek yang mahu dikenali Abdul Hamid, 47, pulang ke rumah bersama seorang lagi anak berusia 15 tahun kira-kira jam 10 malam, dia curiga kerana panggilannya tidak bersahut. Abdul Hamid masuk ke rumah dan menuju dapur dan terkejut apabila melihat jenazah ibunya, Dayu Rawang, terbujur dalam keadaan ngeri dengan berlumuran darah. Dia bertambah terkejut apabila melihat suspek yang juga anak perempuannya berada di sisi mayat warga emas berkenaan sambil memegang pisau.

Tubuh kekuningan


PRIHATIN...Wan Amizan (tengah) melawat murid yang mengalami penyakit misteri di Hospital Jerantut.
PRIHATIN...Wan Amizan (tengah) melawat murid yang mengalami penyakit misteri di Hospital Jerantut.
JERANTUT: Sejak seminggu lalu, sekurang-kurangnya sembilan murid berusia tujuh hingga 12 tahun dari Kampung Kuala Tahan, dekat sini, diserang penyakit misteri yang mengakibatkan seluruh tubuh serta mata mereka bertukar menjadi kekuningan.
Antara simptom sebelum dijangkiti penyakit misteri itu, mereka mengalami demam panas dan muntah-muntah manakala mata dan tubuh beransur-ansur berubah menjadi kuning.
Ada penduduk mengesyaki ia penyakit hepatitis dan tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan masalah virus kencing tikus, namun hingga kini, masih belum ada bukti sahih atau kenyataan rasmi pihak berkuasa mengenai punca sebenar penyakit berkenaan.

Pengarah Hospital Jerantut, Dr Devaraj Salam ketika dihubungi berkata, penyakit misteri yang dialami sembilan murid dari Kuala Tahan itu masih dalam siasatan dan pihaknya masih berusaha mengenal pasti punca sebenar.


Ibu seorang daripada murid terbabit, Norazimah Abdullah Sidek, 34, berkata, anaknya, Norafieqah Mohd Ali Saifudin, 12, dimasukkan ke Hospital Jerantut selepas demam dan matanya mula bertukar menjadi kuning.

Syarikat tiru Upin & Ipin didenda RM300,000

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pemborong baju didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memiliki 150 salinan cetak rompak kartun animasi popular, Upin & Ipin yang dicetak di atas baju-T tanpa kebenaran pemilik hak cipta, Les’ Copaque Production Sdn Bhd, tiga tahun lalu.
Hakim Hasbi Hasan menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Fook Tai Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Yap Kien Sing, 49, selepas mengaku salah terhadap pertuduhan itu.

Yap juga berdepan hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda yang diperintahkan.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa melakukan kesalahan itu di premis No 17C dan 19C, Lorong Haji Taib 4, Jalan Raja Laut, dekat sini, pada jam 5.30 petang pada 22 Mei 2009. Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hakcipta 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41(1)(i) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 bagi setiap salinan cetak rompak atau boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Selepas menjatuhkan hukuman, Hasbi sempat berpesan kepada Yap supaya jangan mengambil kesempatan dan lebih berhati-hati dengan harta intelek kerana ia membabitkan kepentingan awam dan negara.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Hamzah dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) manakala syarikat itu diwakili peguam Harjinder Singh Sandhu.


Terdahulu, Harjinder memohon hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya kerana ini kesalahan pertama dan tidak mengakibatkan kecederaan pada mana-mana pihak, memandangkan kes itu membabitkan harta intelek.

Syarikat itu membayar denda berkenaan.

Rumah dipecah ketika penghuni tidur siang

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri kerugian lebih RM8,000 selepas tidak menyedari rumah mereka dipecah masuk waktu siang di sebuah kawasan perumahan di Jalan Pantai Dalam, di sini, kelmarin. Mangsa yang dikenali sebagai Citra, 40, berkata, seorang jiran menghubunginya kira-kira jam 10.45 pagi memaklumkan pintu jeriji rumahnya terbuka seperti dimasuki seseorang. Difahamkan, suami mangsa berada di rumah ketika kejadian namun tidur nyenyak selepas mengambil ubat dan tidak menyedari rumahnya dipecah masuk. “Oleh kerana rumah kami mempunyai pintu jeriji besi di hadapan, kami biasanya boleh mendengar dan menyedari jika ada sesiapa yang membuka untuk masuk ke dalam rumah. “Bagaimanapun, dalam kejadian itu, suami saya langsung tidak menyedarinya. Akibatnya, kami kehilangan rantai dan cincin emas, jam tangan serta pelbagai barangan berharga dianggarkan bernilai lebih RM8,000,” katanya. Citra berkata, suaminya hanya terjaga selepas jiran memanggil namanya dan terkejut apabila mendapati rumah berselerak serta beberapa barangan berharga lesap. Menurutnya, dompet suaminya turut hilang menyebabkan kehilangan beberapa dokumen penting seperti kad pengenalan, kad bank dan lesen kenderaan. Bagaimanapun, suspek tidak dapat dipastikan kerana tiada saksi semasa kejadian berlaku. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abd Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah.

Rampas buku Syiah

 Oleh Mohamad Yatim Latip am@hmetro.com.my
 MELAKA: Sejumlah 35,000 naskhah buku termasuk risalah pelbagai tajuk berkaitan penyebaran ajaran Syiah dirampas Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Paya Dalam, semalam. Serbuan jam 11 pagi itu membabitkan pihak Jaim, polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan enam remaja berusia antara 14 hingga 18 yang berada dalam premis itu turut ditahan. Ketua Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani berkata, hasil siasatan dan risikan mendapati terdapat banyak buku disebarkan pihak tertentu yang memfokuskan penyebaran ajaran Syiah dan siasatan mendapati semua remaja terbabit berasal dari Johor. Menurutnya, siasatan juga mendapati pelbagai risalah berkaitan Syiah dan memorandum yang dihantar kepada Yang Di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin mengenai penubuhan Persatuan Syiah Malaysia ada di dalam premis berkenaan. Beliau berkata, pihaknya mendapati rumah berkenaan dijadikan tempat membungkus dan tempat proses mengepos buku berkenaan ke seluruh negara yang difokus kepada seluruh masjid dan jabatan kerajaan. Katanya, ketika pemeriksaan, Jaim dapati seorang remaja berusia 18 yang mengaku sebagai petugas di premis itu bersama lima remaja lain berusia antara 14 hingga 15 tahun datang dari Johor dan tidak bersekolah. “Hairannya, buku dihantar itu beralamat Majlis Syiah Malaysia di Ulu Tiram, Johor tetapi mengadakan proses pembungkusan di sini. “Dalam siasatan, kami mendapati 6,000 naskhah buku dihantar ke seluruh negara dan jumlah dirampas 35,000 naskhah buku dan risalah pelbagai tajuk berkaitan ajaran Syiah. Di samping itu, ada juga cakera padat (CD) menuduh ajaran Wahabi dan pelbagai tohmah yang boleh mendatangkan kekeruhan dalam masyarakat kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Yaakub Md Amin, Pengarah Jaim, Mohd Zin Mansor. Beliau berkata, isu yang berlaku sekarang ini mengancam keselamatan perpaduan masyarakat Islam khususnya dan ini menyebabkan pihaknya bertindak. Menurutnya, sebelum ini, kumpulan itu menyebarkan buku yang sama di seluruh masjid dan surau di negeri ini dan pihaknya melakukan tindakan pencegahan menerusi surat edaran. Katanya, masyarakat nampaknya sudah sedar kumpulan berkenaan adalah kumpulan yang memecahkan-belahkan perpaduan masyarakat berpegang pada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pemandu teksi cekik wanita

GOMBAK: Seorang pemandu teksi sanggup memaki hamun, mencekik, menarik rambut dan memukul seorang wanita gara-gara ditegur supaya mengalihkan kenderaannya yang diletakkan di tempat letak kenderaan khas milik sebuah premis di Sunway Batu Caves, di sini, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang bekerja sebagai pengurus premis itu dan berusia 34 tahun meminta lelaki terbabit mengalihkan teksinya kerana sebuah lori akan datang untuk mengambil barang. Bagaimanapun, lelaki itu tidak mengendahkannya malah enggan mengalihkan kenderaan itu sambil memarahi mangsa yang mengganggunya sedang berehat. Menurut sumber, mangsa sekali meminta lelaki itu mengalihkan teksi dan meletakkannya di kawasan tempat kereta yang disediakan namun tindakan itu menyebabkan lelaki terbabit berang sebelum keluar dari teksi dan terus memarahi mangsa. “Akibatnya berlaku pertengkaran antara mereka sebelum tiba-tiba lelaki itu terus mencekak leher mangsa menyebabkan dia sukar bernafas. “Mangsa yang sesak nafas cuba meronta melepaskan diri dan berjaya namun belum sempat dia berbuat apa-apa lelaki itu sekali lagi bertindak ganas apabila menarik rambut mangsa menyebabkan dia menjerit kesakitan,” katanya. Sumber berkata, tidak cukup setakat itu, lelaki itu turut memukul mangsa beberapa kali sebelum dileraikan rakan mangsa yang membantu di tempat kejadian,” katanya. Menurutnya, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di leher dan tangan sebelum dia membuat laporan di Balai Polis Selayang.

3 suspek bunuh warga Jepun ditahan

SHAH ALAM: Polis menahan tiga lelaki warga asing bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh dan samun dua lelaki Jepun di hotel empat bintang di Jalan Ampang, pada Isnin lalu. Ketiga-tiga suspek yang berumur 20 hingga 35 tahun itu dipercayai mengenali kedua-dua mangsa yang juga ahli perniagaan. Ketua Jabatan Siasatan Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata setakat ini polis belum menjumpai barangan milik mangsa untuk dikaitkan dengan kes berkenaan. “Kedua-dua mangsa disamun RM110,000, tetapi polis tidak menemui wang berkenaan ketika ketiga-tiga suspek ditangkap. Bagaimanapun, polis masih meneruskan siasatan kes ini,” katanya. Mohd Adnan berkata, ketiga-tiga suspek direman sehingga 31 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Dalam kejadian yang berlaku antara jam 1 pagi pada Isnin lalu, polis dimaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa warga Jepun yang berumur 50-an oleh pihak pengurusan hotel. Rakan mangsa, juga berusia 50-an ditemui diikat tangan dan kakinya dalam bilik berkenaan, namun cedera ringan.

Tumpas di R&R


RAMPAS...Nordin Kadir menunjukkan beg komputer riba yang digunakan suspek untuk menyimpan dadah.
RAMPAS...Nordin Kadir menunjukkan beg komputer riba yang digunakan suspek untuk menyimpan dadah.
SHAH ALAM: Helah pengedar dadah menjadikan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Ulu Bernam, Kuala Kubu Baru sebagai ‘port’ pengedaran dadah tidak berhasil berikutan penahanan dua orang, Isnin lalu.
Seorang lelaki dan seorang wanita yang berada dalam sebuah kenderaan ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor di kawasan berkenaan selepas anggota polis mengintip kegiatan mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata hasil serbuan menemui lima bungkusan plastik disyaki dadah jenis heroin dalam Mercedes-Benz yang dinaiki kedua-dua suspek.

“Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, kami menahan seorang lagi lelaki di kawasan berhampiran R&R itu.

“Tangkapan itu turut membawa kepada penemuan tiga lagi bungkusan plastik disyaki heroin di rumah sewa suspek lelaki pertama di Petaling Jaya,” katanya ketika pada sidang media di IPK Selangor di sini, semalam.

Semua lapan peket dadah yang ditemui itu dianggarkan seberat 3.3 kilogram dan bernilai RM74,000. Polis percaya dadah berkenaan dibawa dari Pulau Pinang untuk diedarkan di Lembah Klang.


Sementara itu, cubaan seorang lelaki warga Nigeria menyeludup syabu seberat 1.3 kilogram bernilai RM260,000 ke negara ini gagal selepas ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Lapangan Terbang KLIA, Isnin lalu.

Lelaki berumur 28 tahun itu ditahan sejurus tiba dari penerbangan Doha di balai ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira jam 4 petang.

Nordin berkata, suspek dipercayai pertama kali memasuki negara ini berdasarkan rekod pada pasport suspek.

“Pemeriksaan terhadap beg komputer bimbit suspek mendapati ia mengandungi bungkusan dadah disyaki jenis syabu yang ditemui tersorok.

“Suspek yang juga penjual alat ganti motosikal di negaranya direman seminggu sehingga Isnin ini,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum gantung mandatori jika sabit kesalahan.

4 wartawan Itali dibebas penculik

ROME: Empat wartawan Itali diculik tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi kelmarin, dibebaskan semalam, kata Kementerian Luar negara itu, semalam.
Jurucakap kementerian itu berkata, dua daripada wartawan itu membuat liputan konflik Libya untuk akhbar harian Corriere della Sera, manakala setiap seorang lagi untuk La Stampa dan Avvenire.

“Mereka kini berada di sebuah hotel bersama wartawan Itali yang lain,” katanya. - AFP

Pengawal hadapi tuduhan pecah amanah RM2.1j





2011/08/26

pix_gal0
PENGAWAL keselamatan, Abdul Rauf Lub Abdul Rahman, 30, berdepan 14 tuduhan pecah amanah kerana mengambil wang berjumlah lebih RM2.1 juta untuk kepentingan sendiri ketika bertugas sebagai ketua zon serta diamanah memasukkan wang itu ke dalam mesin juruwang automatik (ATM) di sekitar Ipoh dan Gopeng, dua tahun lalu. 

384 barang tiruan dirampas



Oleh Asrol Awang
bhnews@bharian.com.my
2011/08/26

 Alwi   (kanan) menunjukkan seluar dan baju tiruan yang dirampas di Ekspo Bazar Ramadan, Kuantan.
Alwi (kanan) menunjukkan seluar dan baju tiruan yang dirampas di Ekspo Bazar Ramadan, Kuantan.
Pegawai PPDNKK serbu tapak ekspo rampas baju, seluar, kasut 

KUANTAN: Keberanian lima peniaga Bazar Ramadan berhadapan Terminal Pengangkutan Awam Makmur, di sini menjual barangan tiruan sejak 1 Ramadan lalu, berakhir apabila Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri mengadakan 'Ops Tiruan' di tapak ekspo berkenaan kelmarin.
Operasi yang diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasa Tingkatan Kanan PPDNKK negeri, Ahmad Sabri Mohd Suri merampas 384 helai baju dan seluar serta kasut tiruan daripada tiga jenama terkenal dengan nilai rampasan RM11,020.
Timbalan Pengarah PDNKK negeri, Alwi Abdul Hamid, berkata berdasarkan siasatan, tindakan berani lima peniaga terbabit disebabkan permintaan tinggi daripada peminat barangan berjenama. 

Katanya, barang tiruan itu diperoleh dari negara jiran yang dijual pada harga RM20 hingga RM80. 

"Harga murah yang ditawarkan peniaga menyebabkan orang ramai lebih berminat untuk mendapatkan barang tiruan berbanding yang tulen," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini semalam. 

Alwi berkata, lima peniaga terbabit yang berumur antara 20 dan 40 tahun itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 3(1)(b) Akta Perihal Dagangan 1972 kerana menjual barangan tiruan berjenama. 
Katanya, jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan kedua, denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali bagi kes perseorangan. 

"Bagi syarikat pula, denda tidak melebihi RM250,000 dan kesalahan kedua pula denda tidak melebihi RM500,000," katanya. 

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan pemeriksaan di bazar Ramadan yang menjual pakaian berjenama dalam usaha menyekat penjualan barang tiruan di negeri ini. 

"Kita juga sudah banyak kali menasihatkan peniaga supaya tidak menjual barang berjenama tiruan dan jika masih berdegil, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka," katanya. 

Kejadian gemparkan penduduk



SERTIK – Penduduk di kawasan ini gempar dengan kejadian bunuh yang berlaku di sebuah rumah di dalam kebun dekat sini dan menganggap ia satu peristiwa sukar dilupakan.

Bagi seorang penduduk, Hashim Marzuki, 48, ketika pulang ke rumah kira-kira jam 11 malam selepas menyelesaikan urusan di Bandar Bentong, dia terkejut melihat ramai polis di kawasan kediamannya.

Menurutnya, selepas bertanyakan apa yang berlaku, dia terkejut kerana tidak menyangka satu kes pembunuhan sudah berlaku berhampiran rumahnya itu.

“Saya tidak mengenali mangsa (Harjit Singh) dengan rapat tetapi selalu melihat dia datang ke kebun hampir setiap minggu.

“Namun begitu, saya pernah beberapa kali berbual dengan pekerjanya yang dipercayai membunuhnya itu di kedai makan dekat sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Hashim berkata, dia tidak menyangka kejadian seumpama ini berlaku memandangkan lelaki berusia 31 tahun yang menjaga kebun milik Harjit Singh mempunyai keperibadian baik.



Selalu minum di kedai

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Tuan Ismail Tuan Tengah, 57, berkata, suspek kes bunuh itu sering kali datang ke kedai miliknya dekat sini.

Menurutnya, dia juga pernah berbual dengan suspek dan sememangnya tidak menyangka suspek sanggup melakukan perkara seumpama itu terhadap tuannya.

“Mungkin ada sebab tertentu suspek berbuat demikian tetapi kita tidak tahu, namun semuanya terpulang kepada siasatan pihak polis.

“Kejadian ini sememangnya mengejutkan penduduk di kawasan di sini kerana pertama kali ia berlaku,” katanya.



Gemar tinggal di kebun

Bagi Timbalan Pengarah Penjara Bentong, Faridon Md Saat berkata, Harjit Singh sudah hampir tiga tahun berkhidmat sebagai doktor kontrak di Penjara Bentong.

Menurutnya, mangsa adalah seorang yang mudah mesra dan mudah didekati.

“Walaupun pihak kami menyediakan penempatan untuk beliau, namun beliau lebih suka tinggal di kebun miliknya di Kampung Sertik dekat sini.

“Sememangnya kehilangannya amat dirasai memandangkan beliau adalah satu-satunya doktor yang ditempatkan berkhidmat di klinik kesihatan Penjara Bentong,” katanya.

Faridon berkata, pihaknya sedia menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa dan berharap supaya keluarganya tabah hadapi dugaan ini.

Pelajar maut digilis kereta



KOTA BHARU- Seorang pelajar tingkatan empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Amat Maher, di sini, maut apabila motosikal yang ditunggangnya dari arah Kota Bharu ke Cherang hilang kawalan dan digilis oleh kereta, petang semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 2.30 petang, motosikal mangsa Zulfadli Md Nor, 16, dipercayai dirempuh sebuah kenderaan lain sebelum mangsa terjatuh dan digilis oleh sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda.

Saksi kejadian, Zainol Aman Mohamad, 34, berkata ketika kejadian dia sedang melayan pelanggan di kedai tayar yang hanya terletak 50 meter dari kawasan kejadian.

“Saya melihat sebuah kereta Proton Waja melanggar mangsa yang kemudiannya menyebabkan dia hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya.

“Lebih menyayat hati apabila pelajar terbabit dilanggar oleh sebuah lagi kenderaan setelah kenderaan terbabit gagal mengelak mangsa yang terbaring di atas jalan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, menurut bapa mangsa, Md Nor Suradi, 49, dia hanya menerima panggilan mengatakan anak sulung dari tiga beradik itu, terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 2.45 petang.

“Ketika kejadian, saya berada di tempat kerja di Telipot dan setelah menerima panggilan dari isteri saya, Fazillah Md Nor, 48, saya terus bergegas ke tempat kejadian.

“Saya amat terkejut melihat mayat anak saya berlumuran darah di atas jalan raya, namun saya kuatkan semangat demi isteri dan anak-anak saya yang lain,” katanya.

Katanya, mangsa tidak menunjukkan sebarang perangai pelik dan sempat bersalam dengannya sebelum ke sekolah.

“Pagi tadi dia sempat bersahur tetapi tidak menjamah makanan hanya minum air sahaja.

“Jarak dari tempat kejadian ke rumah hanya kira-kira 500 meter, namun dia tidak sempat pulang dan dia telah pergi buat selama-lamanya meninggalkan keluarga,” katanya sebak.

Sementara Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi berkata, pelajar terbabit dikatakan hilang kawalan sebelum terjatuh dari motosikal dan masuk ke laluan bertentangan.

“Sebuah kenderaan jenis Honda CRV dikatakan gagal mengelak apabila pelajar terbabit jatuh ke laluan terbabit.

“Kenderaan itu melanggar mangsa dan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
SH