Search This Blog

Thursday, August 25, 2011

Datuk mati langgar Porsche

KEMAMAN: Seorang ahli perniagaan maut selepas kenderaan jenis Mitsubishi yang dipandunya bertembung dengan sebuah Porche dalam kemalangan di Kilometer 134, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, semalam.
Dalam kemalangan jam 11 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Datuk Abu Bakar Kamar@Kamal, 61, beralamat di Lot No. 35D, Jalan Besar, Dungun dan dia yang tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, kemalangan berlaku apabila kenderaan yang dipandu mangsa terbabas selepas cuba memotong sebuah kenderaan lain.

Menurutnya, kereta mangsa kemudian bergesel dengan sebuah Proton Wira dari arah bertentangan sebelum melanggar kereta Porsche terbabit yang berada di belakang kereta Proton Wira berkenaan.

Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari rumahnya ke Chukai, Kemaman bagi menguruskan perniagaannya di sana.

Abdullah Sani berkata, laporan bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat patah tulang rusuk dan mengalami pendarahan dalaman yang serius.


Difahamkan pemandu Porche berkenaan cedera ringan dan diberikan rawatan sebagai pesakit luar.hmetro

Hubungan intim

KUALA LUMPUR: Dua lelaki berusia 20-an ditahan polis kelmarin bagi membantu siasatan berhubung kes Mohd Rafie Abdul Latif, 27, yang disimbah asid ketika mangsa berada dalam kereta berhampiran tandas awam berdekatan Wisma Bumi Raya, di sini, 8 Ogos lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, dua lelaki berkenaan ditahan di tempat berasingan iaitu di Melaka serta Kuala Lumpur dan dipercayai rakan kepada mangsa.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu ditahan untuk dirakam keterangan berhubung kejadian pada 8 Ogos lalu dan dipercayai berada di tempat kejadian bersama-sama suspek pertama berusia 28 tahun.

“Motif kes ini dipercayai cemburu yang mana mangsa dan suspek pertama yang ditahan 21 Ogos lalu dipercayai menjalin hubungan intim, tetapi mengalami krisis dalam hubungan yang menyebabkan suspek bertindak sedemikian,” katanya selepas mengadakan lawatan di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail, di sini, semalam.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki yang baru ditahan itu dipercayai mempunyai hubungan intim bersama-sama suspek pertama serta mangsa dan maklumat yang diperoleh daripada mereka akan membantu melengkapkan siasatan.

Dalam kejadian 8 Ogos lalu, Mohd Rafie, 27, disimbah asid oleh lelaki yang membuka pintu kereta mangsa sehinggan menyebabkan kulit muka mangsa melecur sebelum suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta bersama dua lagi lelaki.


Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kes simbah asid bersiri, Mohmad berkata, pihaknya tidak mendapat kerjasama daripada orang ramai terutama peniaga asid.

Katanya, sebelum ini, pihaknya meminta bantuan golongan peniaga yang menjual asid membantu menyalurkan maklumat sekiranya dapat mengesan lelaki berumur 25 hingga 30 tahun yang membeli asid dalam tempoh sebelum 8 Ogos.hmetro

2 beradik edar mercun, bunga api dicekup

SEREMBAN: Dua beradik dipercayai pengedar mercun dan bunga api kepada peniaga di Bazar Ramadan, Ampangan, di sini, dicekup polis, awal pagi semalam.
Dalam operasi jam 1 pagi itu, wanita berusia 39 tahun ditahan ketika mengambil pesanan daripada peniaga di bazar itu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, berkata Operasi Kesan dan Tangkap diketuai Asisten Superintendan Aibee Ab Ghani, dilancarkan berikutan maklumat mengenai penjualan mercun dan bunga api.

Katanya, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Taman Nyior Hijau dan menjumpai 53 kotak berisi mercun dan bunga api dalam sebuah bilik dianggarkan bernilai lebih RM50,000 dan menahan adik wanita itu berusia 29 tahun.

“Polis percaya dua beradik terbabit mendapatkan bekalan mercun dan bunga api dari ibu kota untuk diedarkan sekitar bandar ini dan sedang berusaha mengesan pihak yang menjual bahan larangan itu kepada mereka,” katanya.hmetro

2 terlepas hukuman penjara seumur hidup

SHAH ALAM: Dua lelaki Indonesia terlepas daripada hukuman penjara seumur hidup apabila Mahkamah Sesyen di sini, membebaskan mereka daripada tuduhan menunjukkan senjata api ketika merompak keluarga pesara polis, tiga tahun lalu.
Hakim Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Gatut Prastiyo, 24, yang juga pekerja ladang di Pontian, Johor dan rakannya, Rotab Mohamad, 26. Bagaimanapun katanya, kedua-dua lelaki itu masih belum bebas apabila mahkamah mendapati ada kes prima facie terhadap tertuduh atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. “Oleh itu, mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh membela diri atas pertuduhan pindaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan,” katanya. Sepanjang kes pada peringkat akhir kes pendakwaan seramai lapan saksi tampil memberi keterangan. Gatut dan Rotab dilepas dan dibebaskan dari tuduhan asal menunjukkan senjata api jenis Smith & Wesson.32 berserta enam butir peluru ketika melakukan rompakan ke atas keluarga Mohd Yusof Abdul, 70.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu untuk mendatangkan ketakutan mati atau kecederaan terhadap mangsa di rumah nombor 6, Jalan Akuatik 13/66, Seksyen 13, di sini, pada jam 4.45 pagi, 9 September 2008.
-hmetro

Tentera, remaja tak mengaku perkosa wanita

KUALA LUMPUR: Seorang anggota tentera berpangkat Lans Koperal dan seorang penjual burger bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan merogol, melakukan seks di luar tabii dan merompak dua pendandan rambut, tiga minggu lalu.
Hamzi Amni Zamali, 25, dan remaja berusia 18 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap semua tuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan Hamzi dan remaja itu didakwa merogol seorang wanita berusia 19 tahun di bilik sewa, 313, B500-4-14, Wisma Indah, Pudu, di sini pada jam 3.45 dan 4 pagi, 1 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebat jika sabit kesalahan.

Hamzi yang pernah dihadapkan di mahkamah sama bagi pertuduhan merompak dan merogol, dua tahun lalu turut didakwa melakukan seks di luar tabii dengan memasukkan kemaluannya ke dalam mulut wanita berusia 19 tahun itu sebelum merogol rakan mangsa berusia 20 tahun pada tarikh dan lokasi sama, jam 3.45 pagi. Kedua-dua tertuduh secara bersama didakwa merompak berkumpulan sebuah telefon bimbit Sony Eriksson, wang tunai RM800, dua gelang emas, dua bentuk cincin emas dan permainan video Sony PSP milik kedua-dua mangsa.-hmetro

19 kali perkosa

KOTA BHARU: Seorang perogol bersiri yang terbabit dalam 19 kejadian rogol dan cubaan merogol sejak tahun lalu kini giat memburu mangsanya menggunakan modus operandi mengikat tangan dan mengacukan pisau sebelum merogol.
Sasarannya wanita seperti penuntut institusi pengajian tinggi dan pekerja pasar raya yang tinggal bersendirian sama ada di asrama atau kediaman yang tidak berkunci.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek berusia antara 20 dan 30-an dan kebanyakan kes dilaporkan berlaku di Kota Bharu dengan 16 kes serta masing-masing satu kes di Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat.

Katanya, kejadian terbaru berlaku di Tanah Merah, awal bulan ini.

“Berdasarkan maklumat mangsa, kami memperoleh lakaran gambar wajah suspek dan satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) suspek di sebuah kedai.

“Fotofit wajah suspek akan disebarkan secara meluas bagi membantu polis memperoleh lebih banyak maklumat sehingga tertangkapnya suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, semalam.


Menurut Mazlan, perogol bersiri itu menyasar mangsa berusia 20 hingga 30 tahun yang tinggal asrama atau kediaman tidak berkunci.

“Sebelum merogol suspek akan memastikan hanya mangsa berada di asrama atau di rumah. Dia mengikat tangan mangsa sama ada menggunakan wayar, tudung atau tali dan mengacukan pisau sebelum merogol mangsanya,” katanya.hmetro

Lepas bakar minta tolong

KOTA BHARU: Jeritan meminta tolong seorang lelaki yang dipercayai membakar sebuah rumah kosong sebelum menyembunyikan diri di dalam bilik air rumah itu menyelamatkannya daripada rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Pintu Geng, dekat sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 7.58 malam itu turut menggemparkan penduduk setempat apabila lelaki terbabit yang berusia 40-an ditemui dalam keadaan berbogel dan ketakutan.
Difahamkan, jeritan lelaki itu didengari anggota bomba yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran sebelum dia diselamatkan dalam keadaan melecur di muka serta lengan dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan lanjut.

Kebakaran itu bukan saja memusnahkan rumah yang terbiar sejak dua tahun lalu, tetapi turut memusnahkan sebahagian kecil dinding rumah bersebelahan yang didiami enam beranak.


Menurut penghuni rumah yang didiami enam beranak itu, Mek Yah Abdullah, 60, ketika kejadian dia sedang mandi sebelum dikejutkan dengan jeritan lima anak lelakinya yang sedang berehat di ruang tamu.hmetro

Rugi RM10,000 ditipu agensi pekerja asing

PETALING JAYA: Seorang wanita mendakwa kerugian hampir RM10,000 selepas ditipu sebuah agensi pekerja asing ketika mendapatkan perkhidmatan agensi terbabit untuk mengambil pembantu rumah.
Mangsa, Lok Mun Theng, 34, mendakwa ditipu setelah hampir setahun mengalami masalah untuk mendapat pembantu rumah.

“April lalu, saya membayar RM5,000 sebelum diserahkan pembantu rumah, namun terpaksa membayar baki bayaran sebanyak RM4,200 kepada mereka.

“Belum cukup sebulan bekerja, pembantu rumah yang dikenali sebagai Sokna, 21, merayu supaya dihantar kembali ke agensi terbabit kerana mahu pulang semula ke Kemboja.

“Setelah menghantarnya kembali, saya disuruh membayar RM1,020 sebagai pendahuluan untuk mendapatkan pengganti.

“Sehingga kini saya tidak mendengar sebarang berita daripada agensi terbabit dan setelah pergi ke alamat yang dinyatakan saya dapati syarikat itu ditutup dan tidak wujud,” katanya ketika ditemui.


Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, Datuk Theng Book berkata, pihaknya mengesyaki banyak kes seperti ini berlaku tetapi tidak dilaporkan.

“Pihak kami mendapati pelaksanaan sistem biometrik oleh kerajaan bagi menangani masalah ini adalah satu langkah bernas,” katanya.hmetro

Dibantai 20 lelaki

AMPANG: Seorang pelajar tingkatan tiga cedera di kepala dan badan selepas dipukul sekumpulan 20 lelaki di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah, di sini, sebelum mereka melarikan wang tunai sebanyak RM30 dan telefon bimbit milik mangsa, kelmarin.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa berusia 15 tahun itu sedang minum bersama seorang lagi rakan lelakinya di restoran berkenaan.
Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa secara tiba-tiba diserang kumpulan terbabit yang masuk ke dalam restoran.

“Kumpulan terbabit dipercayai menyerang dan bertindak memukul mangsa menggunakan kayu serta batu bata. Mangsa menjerit kesakitan dan cuba dibantu rakan dan pelanggan restoran namun gagal.


“Mangsa melarikan diri bagaimanapun dia dikejar semula kumpulan berkenaan lalu memukul mangsa sekali lagi di luar restoran itu,” katanya.-hmetro

Asrama pekerja asing nyaris musnah dijilat api

KOTA TINGGI: Tindakan pantas anggota Bomba dan Penyelamat bergegas ke deretan rumah kedai serta meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong segera bekalan elektrik, berjaya menyelamatkan bangunan asrama pekerja asing daripada musnah dijilat api.
Dalam kejadian jam 6.10 pagi, Isnin lalu, kebakaran berlaku di deretan bangunan 10 kedai setinggi tiga tingkat di Kilometer 2 Jalan Tun Seri Lanang persimpangan Jalan Laksamana di sini.

Kejadian dipercayai bermula di bangunan yang menempatkan kedai menjual motosikal di tingkat bawah, asrama pekerja wanita Indonesia di tingkat dua dan kira-kira 20 pekerja wanita Vietnam di tingkat 3.

Difahamkan ruang tingkat 3 asrama berkenaan dijilat api bermula di bahagian dapur asrama dan api dipercayai berpunca dari kebocoran saluran paip gas memasak hingga menyambar empat dapur, perabot, kipas meja dan katil.

Ketika kejadian, beberapa penghuni berada dalam bangunan namun tidak menggunakan alat pemadam api bagi mengawal kebakaran awal kerana terlalu panik.

Pada masa sama penghuni lain menghubungi talian kecemasan 999 sebelum menyalurkan kejadian kepada Balai Bomba Kota Tinggi.


Ketua Balai Bomba Kota Tinggi, Mohd Ismail Abd Latif berkata, sebaik tiba di lokasi tujuh anggota diketuai Mohd Nordin Sidek menghubungi petugas TNB untuk memotong bekalan elektrik bagi memudahkan pergerakan.

“Selain memudahkan pergerakan, ia bertujuan menyelamatkan warga asing berkenaan yang berusaha memadamkan api dengan menyimbah air,” katanya.hmetro

Tumbuk kakak

KUALA LUMPUR: Seorang wanita mendakwa dipukul dua lelaki yang cuba mengganggu adik perempuannya ketika mahu ke bazar Ramadan di kawasan perumahan mereka di Pantai Dalam, di sini, kelmarin.
Menceritakan kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, sumber berkata, wanita berusia 24 tahun itu berada di rumahnya menyediakan juadah berbuka sebelum mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada adiknya memberitahu diganggu beberapa lelaki di tingkat bawah.

Menurut sumber, mangsa kemudian bergegas ke tingkat bawah untuk membantu adiknya sambil membawa getah paip untuk mempertahankan diri.

“Setibanya mangsa di tempat kejadian, dia terus menegur perbuatan dua lelaki terbabit sebelum tiba-tiba seorang daripada mereka bertindak menolak dan menampar mangsa.

“Mangsa turut ditumbuk suspek bertubi-tubi walaupun cuba dihalang adik mangsa,” katanya.

Menurutnya lagi, suspek hanya berhenti membelasah mangsa sebaik saja orang ramai mula berkumpul dan meleraikan pergaduhan itu.


Mangsa yang mengalami bengkak di bahagian mata kirinya kemudian membuat laporan di Balai Polis Pantai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Rashid, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.hmetro

Pilu terkenang juadah raya ibu

LANGKAP: “Kami sedih kerana tidak dapat lagi menjamah kuih loyang dan rempeyek hasil tangan ibu pada Aidilfitri kerana ibu sudah tiada akibat mati dibunuh,” begitu kata Najihah Mohd Nathri, 14, serta adiknya, Nazuwa, 12.
Tambah menekan emosi dua beradik itu apabila ibu mereka, Khairul Bariah Mohd Ariffin, 36, terbunuh selepas ditetak dengan parang oleh bapa kandung sendiri, Mohd Nathri Shaharuddin, 39, yang mengalami sakit mental.

Menurutnya, hanya Allah mengetahui kesedihan dan penderitaan mereka dua beradik selepas setahun kejadian ngeri itu berlalu.

“Aidilfitri tahun ini cukup suram kerana kami kini sudah yatim piatu...tiada lagi tempat bermanja.

“Kami teringatkan hidangan kuih loyang dan rempeyek dimasak ibu pada hari raya dua tahun lalu,” kata Najihah sebelum sebak dan terpaksa ditenangkan adiknya.

Ramadan yang semakin tiba penghujungnya pasti mengembalikan memori sedih pasangan adik-beradik itu apabila ibu mereka diserang ketika bersahur di rumah di Taman Mawar, Langkap pada 14 Ogos tahun lalu.


Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, bapa mereka yang dipercayai menghidap sakit mental dan kehabisan ubat, mengamuk lalu menetak ibu mereka dengan parang hingga mati.



Najihah turut putus dua jari ketika cuba menahan tindakan bapanya, namun Nazuwa terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bapa mereka akhirnya mati ditembak anggota polis kira-kira jam 8.30 pagi kerana enggan menyerah diri, malah cuba menyerang polis.


Nazuwa, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Seri Langkap berkata, dia dan kakaknya akan menziarahi pusara ibu bapa mereka pada pagi 1 Syawal ini termasuk berdoa untuk kesejahteraan roh kedua-dua mereka.


Katanya, ibu saudara mereka juga sudah menjahit tiga pasang baju kurung untuknya dan kakak.


“Kami mahu belajar hingga berjaya,” katanya yang kini tinggal bersama ibu dan bapa saudara mereka, Zaharah, 35, dan Mohd Jamri, 40, di Lorong 4, Kampung Attaduri, dekat sini.


Najihah, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Dato Sagor yang bercita-cita menjadi doktor berkata, dia dan adiknya akan memastikan mereka sentiasa sibuk setiap hari dengan melakukan sebarang aktiviti.


“Kami penuhkan masa lapang di rumah dengan membuat kerja sekolah atau membantu mengemas rumah.


“Dengan cara itu kami tidak duduk termenung memikirkan nasib malang. Kami juga menjalani rawatan terapi setiap bulan di Hospital Teluk Intan untuk memberi kekuatan fizikal dan mental,” katanya.-hmetro

Lain salah lain dibalas

GOMBAK: Seorang lelaki yang berang selepas dibelasah sekumpulan lelaki minggu lalu bertindak balas dengan membelasah seorang pelajar menggunakan topi keledar menyebabkan pelajar itu retak tangan kiri walaupun dia tidak terbabit serangan sebelum itu.
Dalam kejadian di Selayang kira-kira jam 1 tengah hari semalam, mangsa berusia 17 tahun yang tamat sesi persekolahan berjalan menuju pondok menunggu bas untuk pulang ke rumah.

Menurut sumber, selang beberapa minit kemudian datang seorang lelaki tidak dikenali berusia 20-an berbual-bual dengan mangsa.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa berbual sekejap sebelum lelaki itu ingin tahu tempat tinggal mangsa.

“Pelajar terbabit memberitahu dia tinggal di Taman Intan Baiduri dan sebaik mendengar jawapan mangsa, lelaki itu naik angin dan memukul badan mangsa dengan topi keledar,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang terkejut dengan perbuatan suspek yang tiba-tiba bertukar ganas cuba mempertahan diri, namun gagal apabila lelaki itu bagaikan dirasuk membelasahnya bertubi-tubi.


“Selepas beberapa minit, lelaki itu berhenti dan memberitahu dia memukul mangsa kerana tidak berpuas hati sebelum ini dia menerima nasib sama apabila dipukul penduduk di kawasan tempat tinggal mangsa.




“Dia meninggalkan mangsa yang kesakitan dan beredar dari situ.
“Sebaik ditinggalkan, mangsa pergi ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan sebelum diberitahu tangan kirinya retak ketika menepis serangan suspek,” katanya.


Mangsa membuat laporan di Balai Polis Selayang berhubung kejadian itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.-hmetro

Terpijak buaya

BUKTI...Rahman menunjukkan lokasi isterinya terpijak buaya.
BUKTI...Rahman menunjukkan lokasi isterinya terpijak buaya. 

PAPAR: “Isteri saya tidak menyangka ‘kayu’ yang dipijak sebenarnya seekor buaya tersesat di halaman rumah ketika banjir,” kata Rahman Nawang, 60, menceritakan kejadian cemas menimpa isterinya yang nyaris dibaham buaya dalam kejadian di Kampung Kawang, di sini, baru-baru ini.
Nelayan terbabit berkata, isterinya, Raimah Abdullah, 56, tidak menyedari reptilia itu berada di bawah rumah berikutan keadaan gelap, selain badan haiwan itu berwarna coklat seakan kayu.

“Kejadian berlaku ketika banjir baru-baru ini apabila isteri dikatakan terlihat kotak dihanyutkan air menyebabkan dia bergegas turun untuk mengambilnya.

“Tanpa disangka, sebaik meranduk (meredah) air banjir, dia terpijak seekor buaya sepanjang lebih tiga meter yang disangkakan dahan kayu,” katanya ketika ditemui, di rumahnya, kelmarin.

Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam itu agak gelap dan sukar membezakan antara kayu dan buaya.

“Sebaik terpijak ‘kayu’ itu, ia bergerak dan isteri saya yang terkejut bergegas naik ke rumah, manakala buaya itu melarikan diri ke semak berhampiran.


“Saya bimbang jika tiada usaha pihak berkuasa, pasti akan ada penduduk menjadi mangsa ‘sang bedal’ ini kelak,” katanya.



Menurut Rahman, dia sering terserempak beberapa ekor buaya berjemur di tebing sungai sepanjang lebih tiga meter dan hampir satu meter lebar ketika sedang menjala ikan.
“Bukan saya saja, malah beberapa penduduk kampung pernah terserempak dengan berbahaya ini, malahnya semakin banyak dan dianggarkan melebihi 100 ekor.


“Buaya itu hanya akan muncul ketika paras air sungai surut hingga menampakkan tebing dan pasir,” katanya.


Tanpa berselindung, Rahman berkata, dia pernah terserempak dengan buaya bersaiz gergasi sepanjang lebih lima meter dan selebar lebih satu meter sedang berjemur di tebing sungai yang terletak hanya kira-kira 30 meter dari rumah.


“Sepanjang menetap di kampung ini, itulah pertama kali saya melihat buaya sebesar itu timbul di sungai ini,” katanya.


Menurut Rahman, dia pernah menangkap beberapa ekor anak buaya sebagai bukti kewujudan haiwan berkenaan.


“Anak buaya sepanjang 40 sentimeter (sm) sering dilihat berenang mencari makanan terutamanya pada waktu malam.


“Saya pernah menangkap anak buaya pada waktu malam hanya menggunakan tangan ketika pulang dari laut dan melepaskannya semula selepas selesai merakam gambar sebagai bukti,” katanya.


Rahman berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu mengatasi atau mengurangkan masalah ini demi keselamatan penduduk kampung.


“Kelibat buaya semakin kerap timbul di permukaan air dan mendedahkan diri mereka mungkin petanda haiwan itu kini kekurangan makanan,” katanya.-hmetro

Bekas isteri Thaksin bebas

BANGKOK: Mahkamah Jenayah Thailand semalam menarik balik keputusan bersalah terhadap janda bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra atas tuduhan mengelak cukai.
Keputusan itu dibuat dua minggu selepas adik Thaksin menjadi perdana menteri. Mahkamah berkata, tidak ada bukti mencukupi dalam kes Potjaman Na Pombejra dan setiausahanya yang bersama-sama adiknya didapati bersalah pada Ogos 2008 atas tuduhan mengelak daripada membayar cukai sebanyak 546 million baht (RM55 juta).

Kes itu disifatkan oleh Thaksin sebagai bermotifkan politik.

Keputusan itu menggambarkan perubahan pendirian mahkamah sejak adik Thaksin, Yingluck Shinawatra mengangkat sumpah menjadi perdana menteri dua minggu lalu.

Sekurang-kurangnya 22 penyokong Thaksin yang ditahan juga dibebaskan dengan ikat jamin sejak tarikh berkenaan.

Potjaman dan adiknya sebelum ini dihukum penjara tiga tahun sementara setiausahanya dua tahun tetapi mereka dibebaskan dengan ikat jamin. Ia adalah antara beberapa kes yang dihadapi Thaksin dan keluarganya sepanjang dua tahun selepas digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006.


Thaksin kini hidup dalam buangan kerana mengelak hukuman penjara berhubung kes rasuah. Bagaimanapun, dia kekal popular di kalangan penduduk luar bandar.

Pengkritik menuduhnya menyalahguna kedudukannya untuk mengkayakan keluarga. Mahkamah semalam mendapati adik Potjaman, Bhanapot Damapong bersalah atas tuduhan mengelak cukai tetapi mengurangkan hukuman penjara ke atasnya kepada dua tahun dan denda 100,000 baht (RM10,000). Potjaman dan Thaksin bercerai pada 2008, beberapa bulan selepas dia didapati bersalah dan dihukum penjara. - Reuters, hmetro

Bersabung nyawa balik raya



ANGGOTA APMM menahan penumpang di atas bot yang
mereka naiki di perairan Sekinchan dekat Pelabuhan Klang kelmarin.
 

PELABUHAN KLANG – “Saya bayar tambang bot semahal RM850 dan meredah lautan semata-mata mahu pulang beraya bersama anak-anak yang amat saya rindui.” Itu luahan seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 38, selepas ditahan Maritim Malaysia (APMM) daerah Klang di perairan Sekinchan dekat sini kelmarin.
Dia merupakan seorang daripada 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang ditahan ketika cuba menyeludup keluar dari negara ini menaiki sebuah bot. Menurut Siti, sudah hampir setahun dia yang bekerja sebagai pembantu rumah di Subang dekat sini, tidak pulang beraya bersama anak-anak di Medan, Indonesia. Katanya, meskipun menyedari tindakan tersebut menyalahi undang-undang dan berbahaya, dia tiada pilihan lain selain mempertaruhkan nyawa di lautan untuk pulang beraya di kampung.
“Saya sebenarnya mahu pulang terus ke Indonesia dan tidak mahu lagi kembali ke sini tetapi belum sempat tiba, bot pula rosak,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin. Terdahulu, ketika ditahan, bot yang dinaiki mereka termasuk seorang tekong dan lima wanita berusia di antara 20 hingga 46 tahun terapung di situ sejak tiga hari lalu kerana kerosakan enjin.
Bot yang dipenuhi dengan pelbagai barangan untuk dibawa pulang sebagai hadiah sempena Aidilfitri itu juga didapati mengalami kebocoran dan menunggu masa untuk karam tetapi sempat diselamatkan oleh APMM.
-kosmo

Tragedi pancing udang



JOHOR BAHRU - Niat dua anggota polis dari Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor untuk memancing udang bertukar tragedi apabila salah seorang daripadanya ditemui lemas, manakala seorang lagi masih belum ditemui.

Bot yang dinaiki dua penjawat awam itu ditemui berpusing-pusing dengan enjin yang masih hidup sejam selepas dilaporkan disewa di Pengkalan Nelayan Sungai Serai di Ladang Nam Heng, Ulu Tiram, di sini, semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kejadian yang menimpa Lans Koperal Hussin Isa, 48, dan Koperal Nazri Omar, 39, disedari oleh seorang nelayan yang menemui sebuah bot yang tiada penumpang di kawasan berkenaan sebelum melaporkannya kepada polis pada jam 8 pagi.

Katanya, usaha mencari dan menyelamat giat dijalankan sejak kelmarin dan telah menemui salah seorang mangsa, pada jam 3 petang semalam, :berdekatan bot yang dilaporkan ditemui itu.

"Setakat ini, kita tidak dapat pastikan apa sebenarnya yang berlaku sama ada dilanggar, tersangkut sauh atau seorang terjatuh dan yang seorang lagi bertindak cuba menyelamatkan rakannya kerana polis turut menemui dompet Nazri dalam bot tersebut.

"Sekarang ini usaha untuk mencari salah seorang anggota ini sedang dijalankan dengan bantuan antaranya daripada Pasukan Gerakan Marin (PGM), Bomba Dan Penyelamat," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Operasi mencari dan menyelamat itu membabitkan 90 anggota badan terlibat yang dimulakan seawal jam 7 pagi hingga 7 malam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, kedua-dua mereka yang tidak bekerja kelmarin telah menyewa sebuah bot untuk menjalankan aktiviti memancing di kawasan itu pada jam 7 pagi dan ia bukan kali pertama mereka ke situ.

Sementara itu, isteri Lans Koperal Hussin, Sabariah Safien, 47, :kelihatan sebak di lokasi kejadian, menanti dengan sabar perkembangan suaminya.

Menurut adik ipar mangsa, Junaini Safien, 37, kakaknya ada menelefon mangsa pada jam 7.30 pagi, bagi memaklumkan bahawa Sabariah telah sampai ke tempat kerja.

“Ketika kakak telefon abang maklumkan sudah berada di Tiram, dan pada jam 12 tengah hari dan 8 malam, kakak cuba menelefon abang tetapi gagal. Telefon tersebut tidak dapat dihubungi.

“Abang memang suka memancing tetapi baru empat mencuba memancing udang. Jika tidak, sebelum ini abang hanya memancing ikan haruan,” katanya.

Hussin mempunyai seorang anak berusia 20 tahun yang menuntut di Universiti Teknikal Malaysia (UTEM), kini berada di China bagi mewakili universiti dalam pertandingan antarabangsa.

9 Suspek culik ditahan



JOHOR BAHRU - Polis berjaya menahan sembilan lelaki termasuk seorang wanita berusia 23 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan satu kes penculikan seorang ahli perniagaan di Taman Molek, 16 Ogos lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kesemua suspek berusia di antara lingkungan 17 hingga 42 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sini pada 19 dan 20 Ogos lalu.

Katanya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian penculikan membabitkan seorang lelaki, 42, dibawa lari empat lelaki menaiki sebuah kereta yang disaksikan oleh orang awam kira-kira pada jam 9.05 malam, 16 Ogos lalu.

"Keesokan harinya, isteri mangsa menerima panggilan telefon daripada penculik terlibat yang meminta wang tebusan sebanyak RM600,000 untuk melepaskan suaminya.

“Susulan daripada laporan yang diterima, polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dan akhirnya melakukan tiga serbuan di lokasi berasingan, dan dengan tertangkapnya kumpulan ini, kita percaya dapat menyelesaikan beberapa kes penculikan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Ubah fikiran tidak sampai 1 jam



IPOH – Seorang pengusaha kolam ternakan udang mengubah fikiran tidak sampai satu jam daripada mengaku tidak bersalah kepada bersalah atas tuduhan memberi suapan kepada seorang Penyelia Keselamatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Seri Manjung pada 28 Februari lalu.

Tertuduh, David Wong Ing Kok, 31, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Julie Lack Abdullah di Mahkamah Sesyen, semalam.

Mengikut kertas pertuduhan, Ing Kok didakwa secara rasuah memberi satu suapan wang tunai sebanyak RM12,000 kepada Suhaimi Ibrahim.

Wang itu sebagai dorongan untuk tidak melakukan perbuatan yang berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang kerana disyaki melakukan kesalahan menyalahgunakan tenaga elektrik di Ternakan Udang Manjung Sdn Bhd yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990.

Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM ) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Selepas meneliti dan mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak Julie menjatuhkan hukuman denda RM60,000 dan penjara sehari memandangkan ia adalah kesalahan pertama tertuduh.

Tertuduh membayar hukuman denda yang dikenakan ke atasnya.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan manakala tertuduh diwakili peguambela T Shan.-SH

Maut ditembak jarak dekat



TAIPING - Seorang lelaki maut ditembak dari jarak dekat seorang individu yang menaiki sebuah motosikal di hadapan sebuah restoran di Simpang, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, mangsa R.Tamilvaanan, 26, yang cedera di badan mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Taiping.

“Kejadian berlaku pada jam 6.50 petang ketika mangsa seorang diri berada di hadapan restoran berkenaan sebelum dihampiri seorang lelaki bersenjatakan pistol lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya.

“Polis yang berkejar ke tempat kejadian selepas menerima laporan daripada orang awam mendapati mangsa terbaring dengan kesan kecederaan di beberapa anggota badan dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Taiping,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Katanya, ketika kejadian beberapa pelanggan restoran lari bertempiaran menyelamatkan diri.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa pernah diambil tindakan di bawah Perintah Sekatan di Shah Alam selama dua tahun.

“Motif pembunuhan belum dapat dipastikan tetapi dipercayai ada kaitan dengan kes pengedaran dadah.

“Suspek terbabit memakai topi keledar berwarna putih dan berbadan gempal,” katanya.

katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Taiping di nombor telefon 05-8291222 untuk membantu saisatan.

Maut motosikal bergesel lori



SIMPANG AMPAT - Seorang remaja berusia 16 tahun maut dalam satu kemalangan jalan raya apabila motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori petang kelmarin.

Kejadian yang berlaku di Jalan Tasek berhampiran Taman Puteri Gunung itu menyebabkan mangsa, Ng Kean Siang maut di tempat kejadian sejurus mengalami kecederaan.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Cif Inspektor Hamim Zaini Hamzah berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca apabila motosikal yang ditunggang mangsa bergesel dengan sebuah lori.

“Terdapat dua saksi berhubung kejadian ini dengan masing-masing menyatakan mangsa memotong lori terbabit dari arah kiri.

“Ketika mangsa memotong, motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan lori berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa maut di tempat kemalangan dan dibedah siasat sejurus kejadian.

“Pemandu lori berkenaan yang berusia 51 tahun dan berasal dari Tasek Gelugor turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.

Kemalangan maut terbabit disiasat bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Persiapan raya nyaris musnah

ALAI - Persiapan raya satu keluarga nyaris musnah apabila rumah mereka di Crystal Bay di sini, dinaiki air banjir secara mendadak berikutan hujan lebat, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, tindakan pantas Muzammil Abdul Rahman, 27, dan keluarganya sempat menyelamatkan kebanyakan barangan persiapan raya mereka daripada ditenggelami air banjir.

Muzammil berkata, kejadian banjir kilat itu kali pertama berlaku di kawasan berkenaan sejak mereka sekeluarga menetap di situ hampir 15 tahun lalu.

“Saya rasa banjir kilat ini mungkin disebabkan aliran air deras dari sebuah bukit berhampiran, selain keadaan air laut berhampiran rumah yang tinggi pada masa itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi semalam itu, hampir 15 buah rumah di Crystal Bay dilanda banjir kilat dengan kedalaman hampir mencecah 0.9 meter. Bagaimanapun, menjelang tengah hari, air banjir sudah mulai surut.

Dua penyamun berputih mata



GEMAS – Tidak sampai 90 minit menyamun seorang kerani sekolah berusia 30-an di pekan Gemas, dekat sini, dua penyamun warga asing berjaya ditangkap oleh pasukan polis Tampin di Simpang Ampat, Alor Gajah beberapa kilometer sebelum melarikan diri melalui Lebuhraya Utara-Selatan, 17 Ogos lalu.

Difahamkan, kejadian samun keluar dari bank itu adalah kali ke lima dicatatkan berlaku di Gemas sejak awal tahun lalu di mana ianya membabitkan nilaian wang keseluruhan RM200,000.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, sehubungan itu, pihaknya menasihatkan orang awam terutamanya majikan dan pemilik kilang khususnya di Gemas agar berhati-hati mengeluarkan wang dari bank terutamanya dalam nilaian yang besar.

Menurutnya, kebanyakan kes samun keluar wang dari bank mempunyai modus operandi serupa membabitkan penyamun warga asing yang bukannya menetap di negeri ini dan dipercayai menginap di salah sebuah hotel di ibu kota, Kuala Lumpur.

“Malah, kita juga menasihatkan orang awam untuk terus ke destinasi yang dituju sekiranya mengeluarkan wang dengan jumlah yang besar dan sekiranya ternampak ada kenderaan mencurigakan mengekori mereka, mereka boleh menghubungi kita di talian 06-4431999,” katanya ketika Sidang Media di Balai Polis Gemas, semalam.

Sementara itu, Kooi Cheang berkata, dalam kes berkenaan, mangsa yang mengeluarkan wang sebanyak RM1,300 dipercayai diperhatikan dan diekori suspek yang bergerak dalam kumpulan kira-kira empat orang sejak mengeluarkan duit di sebuah bank di pekan Gemas.

“Mangsa kemudiannya meletakkan wang berkenaan di bahagian tersorok dalam kereta dan ingin bertemu kenalan. Bagaimanapun, cermin kereta jenis Proton Wajanya dipecahkan dipercayai menggunakan besi pemutar skru/tayar dan mangsa menyedarinya selepas selesai bertemu kenalan,” katanya.

Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 29-39 tahun itu ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah sejak 18 Ogos lalu bagi siasatan lanjut.

“Kesemua mereka bakal disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata,” katanya.

Tidur malam sering terganggu



MANTIN – Menjadi harapan mangsa simbah asid, Zuhaina Tengkis, 27, dan suami Nor Azman Jani, 30, agar pihak berkuasa dapat mengesan pelaku yang menyebabkan hidupnya menderita hingga kini.

Menurut Zuhaina, walaupun dia sudah lama memaafkan penjenayah terbabit, namun jauh di sudut hatinya mengharapkan individu tidak bertanggungjawab itu dapat ditangkap segera agar tidak ada lagi yang menjadi mangsa.

“Terbaru, seorang lelaki menjadi mangsa asid di Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut dipercayai atas faktor cemburu.

“Walaupun pelakunya bukan orang yang sama dengan kejadian saya tetapi saya lega kerana suspek berjaya ditangkap polis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Orang Asli Belihoi, dekat sini.

Katanya, kesan disimbah asid masih dirasai hingga kini menyebabkan tidur malamnya sering terganggu kerana rasa sakit yang datang menyerang tanpa mengira waktu.

Zuhaina berkata, dia selalu menangis mengenangkan nasib diri disebabkan penjenayah terbabit sanggup melakukan perbuatan itu ke atas dirinya yang tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.

“Walaupun sudah enam bulan berlalu tetapi rasa sakit ini terpaksa saya tanggung sampai hari ini. Bila rasa sakit menyerang, muka dan badan saya rasa macam dicucuk jarum, rasa pedih, gatal dan panas sangat,” katanya.

Sementara itu Nor Azman berkata, dia tidak menyimpan dendam terhadap penjenayah terbabit kerana yang penting, isterinya dapat melihat semula dan menjalani kehidupan seperti biasa.

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan bersyukur kerana keadaannya kini beransur pulih. Saya tetap sayangkan dia hingga akhir hayat walaupun mukanya disimbah asid.

“Mula-mula dahulu, anak kami Alexander Julius, 9, dan Jemimah, 7, takut mendekati Zuhaina tetapi sekarang mereka sudah faham dan sama-sama membantu menguruskan ibu mereka,” katanya.

Menurut Nor Azman, sejak kejadian itu dia terpaksa berhenti kerja sebagai penoreh getah kerana perlu sentiasa berada di rumah untuk membantu isterinya.

Bagaimanapun Nor Azman bersyukur kerana MCA memberi sumbangan kedai runcit yang membolehkannya mencari sumber pendapatan dari rumah tanpa perlu berasa bimbang meninggalkan isterinya.

Treler muatan aluminium terbalik



KOTA DAMANSARA – Seorang pemandu treler berusia 37 tahun nyaris maut apabila treler yang dipandunya terbalik di Seksyen 6 di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.00 petang itu mangsa dikatakan gagal mengawal trelernya sewaktu membelok dari persimpangan lampu isyarat dari kawasan Taman Teknologi menuju ke Seksyen 6 dekat sini.

Sumber polis berkata, lori berkenaan tiba-tiba terbalik menyebabkan keseluruhan badannya jatuh di atas laluan pejalan kaki kira-kira 50 meter dari sebuah stesen minyak di situ.

Menurutnya, pemandu terbabit dikatakan tersepit, namun berjaya dibantu orang ramai yang kebetulan melalui jalan yang sama.

“Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan di muka dan kaki serta terpaksa dipapah oleh orang ramai sementara menanti kedatangan ambulans,” katanya

Mangsa yang masih sedar dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Difahamkan treler bermuatan 25 tan aluminium itu dalam perjalanan dari Kampung Baru Sungai Buloh menuju ke Pelabuhan Kelang sebelum ianya terbalik selepas gagal dikawal.

Polis terpaksa mengawal lalu lintas di tempat kejadian bagi mengelak kesesakan berlaku di jalan utama berkenaan.SH

Maut selepas lahir anak



RAWANG – Seorang suri rumah berusia 35 tahun ditemui mati selepas tumpah darah sebaik sahaja melahirkan anak keempatnya di rumah sewa sebuah pangsapuri, di Bukit Rawang Jaya 2, di sini, malam kelmarin.

Mangsa berasal dari Sabah dan pernah bekerja di sebuah kilang berhampiran dikatakan meninggal dunia sekitar jam 8 malam selepas melahirkan seorang bayi perempuan yang masih hidup dan kini ditempatkan di Hospital Selayang.

Jirannya yang enggan dikenali berkata, mangsa bersama suaminya bekerja sebagai tukang servis penghawa dingin yang juga dari Sabah, baru sahaja berpindah ke situ.

“Saya jarang melihat mangsa bersama tiga lagi anaknya yang masih kecil berumur di bawah 12 tahun. Dia pun biasanya hanya berada dalam rumah mungkin kerana sudah sarat mengandung, tidak lalu turun naik tangga rumah di tingkat empat.

“Saya difahamkan suaminya hanya menyedari kejadian selepas pulang ke rumah sekitar jam 8 malam tadi,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sinar Harian cuba mendapatkan maklumat mengenai mangsa dengan pergi ke rumahnya, namun difahamkan MyKad mangsa dan sijil pernikahan tidak ditemui, tetapi maklumat diri didapati daripada pas pekerja lama.

Jurucakap polis berkata, suami mangsa masih lagi kebingungan selepas kejadian berkenaan dan masih belum dapat disoal lebih lanjut.

Difahamkan mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat, jenazahnya disempurnakan di sebuah masjid kawasan Parlimen Batu, Kuala Lumpur petang semalam.

Terdahulu, tinjauan ke rumah didiami mangsa bersama anak-anaknya mendapati terdapat banyak unit rumah kosong daripada dua blok rumah lima tingkat terdapat di pangsapuri terbiar berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyemak laporan berhubung kejadian.

Rumah hangus

SENTUL - Sambutan Aidilfitri yang menjelang tiba membawa episod sedih kepada dua keluarga apabila rumah mereka di Kampung Bandar Dalam bersebelahan Kilang Lian Hin Rubber Sdn Bhd dekat sini terbakar dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Mangsa, Rosmini Abu Hassan, 39, berkata, ketika kejadian dia berada di dapur dan terkejut apabila ternampak api di bahagian stor.

“Saya segera ambil air untuk padamkan kebakaran, tetapi api sudah begitu marak.

“Pada waktu itu tiada apa yang boleh dilakukan dan saya terus hubungi bomba. Ketika itu, hanya ahli keluarga yang saya ingat termasuklah bapa mertua yang perlu diselamatkan kerana dia tidak mampu berjalan,” katanya.

Rosmini berkata, dia juga menjerit meminta bantuan jiran dan cuba hendak menyelamatkan barang-barang rumah tetapi tidak berdaya kerana api semakin marak.

Bapa mertua Rosmini, Abdul Wahid Abdul Raof, 72, berkata, sebelum kejadian dia sedang membaca surat khabar dan dua cucunya juga ada berdekatan dengannya.

“Tiba-tiba jiran memberitahu ternampak asap dan tidak berapa lama kemudian api mula marak. Mujurlah dengan bantuan jiran memapah saya dan membantu, telah menyelamatkan kami daripada kebakaran.

“Saya tidak tahu bagaimana kebakaran boleh berlaku, tetapi alhamdulillah keluarga saya selamat daripada bencana yang langsung tidak diduga itu,” katanya.

Sementara itu, jiran mangsa yang dikenali sebagai Zaiman berkata, dia mula ternampak asap di bahagian belakang kereta Waja jirannya dan tidak sampai tiga minit, api terus marak.

“Masa itu bahang terlalu kuat dan saya tidak berani untuk menyelamatkan kereta Waja tersebut kerana bimbang ia meletup. Hanya tiga kenderaan lain yang sempat saya alihkan sementara jiran-jiran lain cuba menyelamatkan ahli keluarga mangsa kebakaran,” katanya.SH

Seorang lagi ahli keluarga, Shareza Abdul Wahid, 38, berkata, apa yang lebih berharga adalah nyawa seluruh ahli keluarganya yang selamat.

“Ketika kebakaran, saya sedang bekerja dan terima panggilan pada jam 11.00 pagi. Malangnya, apabila saya sampai di rumah, semuanya telah hangus tetapi lega ahli keluarga semuanya selamat,” katanya.

Kebakaran berjaya dikawal anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Bahagian Penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bergegas ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran.

Sementara itu, Ketua Operasi Penyelamat DBKL, Buhari Muit berkata, kesemua mangsa kini ditempatkan sementara di Madrasah Tarbiyah atas kerjasama madrasah berkenaan.

“Pihaknya akan memproses kesemua maklumat kejadian sebelum bantuan yang sepatutnya akan disampaikan kemudian kepada mangsa,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyiasatan Bahagian Forensik, Zulkhairani Ramli berkata, punca kebakaran kini masih dalam siasatan pihaknya.

Eksekutif operasi kena jel sehari



KUANTAN - Seorang eksekutif operasi sebuah syarikat pembekal pasir dihukum penjara sehari dan didenda RM10,000 selepas mengaku salah dalam Mahkamah Sesyen Khas Rasuah semalam atas tuduhan memberi suapan kepada pegawai Unit Kapal Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Hukuman diputuskan Hakim Fathiyah Idris manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Syafinas Shabudin.

Tertuduh, Mazlan Ishak, 53 didakwa cuba menyogok RM2,000 kepada pegawai berpangkat Leftenan Muda itu sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan dan melepaskan bot tunda serta tongkang pasir miliknya yang ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 133 Akta Kastam 1967 (Akta 235).

Bot tunda dan tongkang pasir itu ditahan APMM jam 12.20 tengah hari kira-kira 1 batu nautika dari perairan Kuala Pahang , Pekan 30 Julai lalu kerana gagal mengemukakan Borang Pelepasan Pelabuhan (pas belayar) dari Kastam.

Bot terbabit dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Pahang untuk tindakan lanjut sebelum tertuduh datang menemui pegawai APMM itu bagi menyelesaikan kes tersebut dengan menghulurkan sogokan RM2,000.

Jjka sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Dituduh membunuh tanpa niat



TEMERLOH – Mahkamah Majistret di sini semalam memerintahkan seorang pemandu lori menjalani pemeriksaan mental selepas dituduh membunuh tanpa niat bapanya di Jalan Bahagia di sini Julai lalu.

Majistret Siti Hajar Mustaffa mengarahkan tertuduh G.Kalai Kumar, 41, membuat pemeriksaan mental di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah di Tampoi, selepas dituduh tanpa niat membunuh bapanya P.Goppal, 69, selepas pertengkaran akibat masalah kewangan keluarga.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh, bapa kepada lima anak yang kematian isteri 13 tahun lalu didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 Julai 2011 kira-kira jam enam petang di rumah keluarganya dekat Jalan Bahagia di sini.

Ketika kejadian, ibu tertuduh sedang bertengkar dengan bapanya mengenai masalah kewangan. Tertuduh kemudian masuk campur dan cuba mempertahankan ibunya lalu berlaku pertengkaran antara tertuduh dengan mangsa.

Pertengkaran yang berlaku kemudian semakin panas dan berlaku tolak menolak mengakibatkan kepala si bapa terhantuk pada dinding rumah.

Selepas pertengkaran berakhir mangsa mengadu sakit kepala dan dihantar di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur.

Selepas 10 hari tidak sedarkan diri, mangsa kemudian meninggal dunia dan doktor mengesahkan kematian berpunca daripada kecederaan di kepala akibat trauma tumpul. Doktor juga tidak menolak kemungkinan ada tamparan kuat menyebabkan pendarahan dalam otak mangsa.

Laporan polis berkaitan kejadian dibuat abang mangsa pada hari kejadian. Mahkamah memerintahkan kes disebut semula pada 27 September ini bagi menunggu laporan perubatan mangsa.

Pendakwaan di bawah Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan semalam dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Rashidi Abd Rahim. Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Dua terkorban nahas ngeri



PADANG LUAS - Dua maut, manakala dua lagi parah dan seorang cedera ringan dalam satu kemalangan ngeri melibatkan dua kereta di Kilometer 26, Jalan Temerloh-Bahau, dekat sini, petang kelmarin.

Mangsa yang terlibat dikenali sebagai Rafieh Haron, 52, yang menaiki kereta jenis Perodua Kelisa secara bersendirian, manakala Salmiah Ahmad, 59; Md Ferdaus Muhtar, 36; Norfazilah Abdullah, 24 dan Muhtar Lateh, 64, masing-masing menaiki kereta Proton Iswara.

Ketua Polis Daerah, Deputi Suprintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.10 petang itu, mangsa, Rafieh dan Salmiah meninggal di tempat kejadian.

“Kedua-dua mangsa ini meninggal berikutan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selain pendarahan teruk di bahagian anggota badan yang lain.

“Sementara itu, dua lagi mangsa, Md Ferdaus cedera parah di bahagian kepala dan perut selain patah kaki kanan, manakala bapanya, Muhtar pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Zahid berkata, seorang lagi mangsa, Norfazilah hanya mengalami luka di bahagian kaki namun pengsan semasa kejadian itu.

Katanya, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Md Ferdaus berjaya dikeluarkan dari kereta kira-kira jam 1.44 petang dan dihantar ke Klinik Kesihatan Padang Luas untuk rawatan susulan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh,” katanya.

Mohd Zahid berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Iswara yang dipandu Md Ferdaus dari arah Temerloh dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum menghentam kereta Perodua Kelisa.

Katanya, kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Penganggur tauke mercun

KUANTAN - Tindakan anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 3 mengekori seorang penganggur berjaya membongkar kegiatan sebenar lelaki itu apabila menemui mercun bernilai RM18,000 di rumahnya di Taman Temerloh Jaya dekat Temerloh, tengah malam kelmarin.

PGM berjaya mengesan dan mengekori lelaki berusia 24 tahun itu kerana disyaki terlibat mengedar dan membekal mercun kepada peniaga di sekitar Kuantan berdasarkan maklumat awam.

Komander PGM Wilayah 3, Pemangku Asisten Komisioner Azmi@Azami Ibrahim berkata, empat anggota diketuai Asisten Superintendan Mohd Khairuddin Jamal menahan suspek dan hasil pemeriksaan ke atas rumah itu membawa kepada penemuan 18 jenis mercun bernilai RM18,000.

Menurutnya, semua mercun termasuk jenis bola dan telur itu ditemui disimpan di dalam rumah dan keretas Perodua Myvi milik suspek.

“Suspek yang masih bujang menggunakan rumah yang dipercayai rumah sewa sebagai stor transit bekalan mercun sebelum diedarkan kepada peniaga kecil.

“Kita turut menyita kereta bernilai kira-kira RM30,000 itu untuk siasatan lanjut kerana disyaki digunakan untuk kegiatan tersebut,” katanya dalam sidang media di bilik gerakan Ibu Pejabat PGM Wilayah 3, Kuantan, semalam.

Azmi berkata, suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 dan jika disabitkan , individu terlibat boleh dihukum penjara selama lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang Ogos tahun ini, pihaknya berjaya menahan tiga individu dan merampas pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai lebih RM30,000 dalam tiga tangkapan berasingan di Kuantan dan Rompin.

“PGM akan terus meningkatkan usaha mencegah aktiviti penjualan mercun terutama di musim perayaan,” katanya. 

Suami isteri dalang samun jalanan



KUALA TERENGGANU – Sepasang suami isteri yang disyaki mendalangi puluhan kes samun jalanan dan pecah cermin kereta di daerah ini membabitkan kerugian nilai ratusan ribu ringgit berjaya di berkas polis selepas menyerbu sebuah hotel di Jalan Tok Lam, di sini, 13 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, pasangan suami isteri yang berumur 29 dan 27 tahun itu ditahan ketika menyembunyikan diri dalam salah sebuah bilik hotel terbabit kira-kira jam 1 tengah hari.

“Hasil penahanan mereka, polis berjaya merampas 11 buah komputer riba pelbagai jenama, 18 buah telefon bimbit, 16 unit pendrive, 22 unit kad sim, lima utas jam tangan, empat unit hard disk, dua unit kamera digital, dua unit MP3 dan MP4 dan empat buah beg lap top yang dipercayai hasil jenayah samun jalanan dan pecah cermin kereta yang dilakukan sepanjang 2010 sehingga bulan Mei baru-baru ini.

“Kesemua barang rampasan yang bernilai kira-kira RM30,000 itu dipercayai akan dijual kepada individu atau sesiapa sahaja yang berminat,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media, semalam.

Menurut Zamri, penahanan pasangan suami isteri yang turut memiliki rekod jenayah lampau pada tahun 2008 berjaya menyelesaikan hampir 50 kes jenayah melibatkan curi komputer riba, jam tangan dan pecah cermin kereta di daerah ini.

Katanya, pasangan suami isteri yang memiliki tiga anak itu kini ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Zamri meminta orang ramai yang pernah membuat laporan polis mengenai kehila-ngan barang yang dinyatakan sebelum ini tampil ke balai polis atau menghubungi talian 09-6246222 sambungan kepada 5769 untuk membuat pengecaman barang.

Sementara itu, Zamri berkata, sempena Ops Rentap/Lejang yang dilancarkan bermula 9 Ogos lalu sehingga semalam, seramai 55 orang yang dipercayai terlibat dalam kes curi motor dan ragut berjaya ditangkap.

“Operasi yang berfokuskan kepada jenayah curi motor dan ragut ini akan dijalankan secara berteru-san sehingga selepas hari raya memandangkan pada musim sebeginilah kes jenayah ini menjadi-jadi terutama di kawasan pasar raya dan masjid,” katanya.

Gantung diri akibat sakit gigi



HULU TERENGGANU - Akibat tidak tahan sakit gigi yang dialami sejak seminggu lalu, seorang buruh ditemui tergantung pada tali yang diikat pada kayu alang rumah.

Dalam kejadian yang berlaku di rumah sewanya di Kampung Pauh di sini pagi kelmarin, lelaki berusia 24 tahun berasal dari Kampar, Perak itu bertindak menggantungkan diri menggunakan tali nilon berukuran tiga sentimeter lebar.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan, Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, dalam kejadian antara jam 6.30 pagi hingga 7 pagi itu, mangsa yang juga orang sekatan kerana terbabit dalam kes bunuh meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Hulu Terengganu.

“Mangsa dikatakan berdiri di atas sebuah kerusi lalu menjerut lehernya sendiri sebelum ditemui tergantung dalam bilik jahitan oleh isterinya lebih kurang jam 7 pagi pada hari kejadian.

“Isteri mangsa kemudiannya meminta bantuan adik lelaki dan adik iparnya untuk memotong tali serta menurunkan mangsa,” katanya.

Tengku Hamzah berkata, apabila mendapati mangsa masih lagi bernyawa, mereka membawanya ke Hospital Hulu Terengganu untuk mendapatkan rawatan, namun apabila tiba di bilik kecemasan doktor bertugas memberitahu mangsa telah meninggal dunia.

“Mangsa adalah orang sekatan di bawah EO/OD KAMJ 18845, Perintah Sekatan 31 Oktober 2009 hingga 30 Oktober 2011 iaitu selama dua tahun kerana terbabit dalam kes pembunuhan di Kampar, Perak.

“Isteri mangsa mendapati suaminya mengambil tindakan membunuh diri akibat terlalu kecewa selepas seminggu mengalami sakit gigi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kata Tengku Hamzah, hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes disifatkan sebagai mati mengejut.

Isteri maut dilanggar ketika keluar simpang



KUALA BERANG - Malang tidak berbau! Hasrat seorang anggota polis berpangkat sarjan yang mahu mengambil motosikal yang terbabit dalam kemala-ngan maut di Kuala Telemong malam kelmarin tidak kesampaian apabila pacuan empat roda yang dipandunya terbabit dengan kemalangan di Kilometer 11 Jalan Kuala Berang-Kuala Telemong, di Kampung Sungai Ular, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, kenderaan jabatan dipandu anggota polis berkenaan dari arah Kuala Berang menuju Kuala Telemong terlanggar sebuah motosikal dinaiki sepasang suami isteri yang tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kiri.

Akibat kemalangan itu, pembonceng motosikal tersebut, Mahani Muda, 42, cedera parah dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu oleh anggota polis, namun meninggal dunia ketika dalam perjalanan, manakala penunggang yang juga suami mangsa, Azami Md Deli, 44, mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, terdahulu, anggota polis berkenaan diarahkan mengambil motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 21 Jalan Kuala Berang-Kuala Telemong, hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Telemong malam kelmarin.

“Kemalangan pertama ini berlaku kira-kira jam 9.30 malam semalam (kelmarin) membabitkan seorang penunggang motosikal iaitu Lukman Hakim Mohamad, 16, berasal dari Kampung Bukit Diman, Ajil yang dipercayai terbabas.

“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan kira-kira jam 10.30 pagi semalam, dia disahkan meninggal dunia,” katanya .

Tengku Hamzah berkata, berikutan motosikal mangsa masih berada di lokasi kejadian, anggota polis berpangkat sarjan diarahkan mengambil kenderaan tersebut.

“Namun, ketika dalam perjalanan dia terbabit dengan kemalangan dengan sebuah motosikal yang dinaiki oleh sepasang suami isteri yang berasal dari Kampung Sungai Ular yang dipercayai secara tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kiri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mekanik, pelajar maut



MARANG – Seorang mekanik bengkel motosikal dan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor maut apabila motosikal dinaiki mereka bertembung sebelum waktu berbuka, malam kelmarin.

Mereka yang maut dalam kejadian di Jalan Surau Haji Yaakob ke Titian Baru, Kedai Buluh lebih kurang jam 7 malam itu ialah Mohd Amirulazlan Shafie, 21, dari Kampung Surau Panjang dan Adam Safuan Jaafar, 15, dari Kampung Surau Haji Daud.

Mohd Amirulazlan menaiki Honda EX5 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala Adam Safuan menunggang Honda C70 tanpa lesen meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Difahamkan, sebelum kejadian, Mohd Amirulazlan dalam perjalanan dari Mak Kemas menuju ke Titian Baru manakala Adam Safuan yang menunggang motosikal dengan laju bersama seorang lagi rakannya datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahya berkata, kedua-dua mangsa dikatakan bertembung manakala rakan Adam Safuan yang dipercayai mengekori dari belakang sempat mengelak sebelum terbabas ke kiri jalan.

“Kita percaya kedua-dua mangsa menaiki motosikal dalam keadaan laju dan akibat rempuhan yang kuat itu kedua-duanya mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan,” katanya semalam.

Bagaimanapun, polis masih menyiasat punca kemalangan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan mayat mangsa dihantar ke HSNZ sebelum dituntut keluarga untuk pengebumian semalam.

Padah dihempap konkrit


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mayat, Ibrahim Awang Kechil, 58, yang dalam keadaan duduk selepas tertimbus pasir dan simen konkrit tempat beliau melakukan kerja membuat penutup longkang dihadapan kedai makan dalam kejadian di tepi Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang di Kampung Lati. Foto: Syamsi Suhaimi (23/08/2011)
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mayat, Ibrahim Awang Kechil, 58, yang dalam keadaan duduk selepas tertimbus pasir dan simen konkrit tempat beliau melakukan kerja membuat penutup longkang dihadapan kedai makan dalam kejadian di tepi Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang di Kampung Lati. Foto: Syamsi Suhaimi (23/08/2011)bh



PASIR MAS – Seorang tukang rumah maut selepas dihempap konkrit serta pasir yang runtuh ketika cuba menanggalkan kayu sokongan di bawah jambatan yang baru dibina di Kampung Lati, jam 9.30 pagi, semalam.

Mangsa, Ibrahim Awang Kechik, 58, yang sedang membina titian di longkang berkenaan, meninggal dunia di tempat kejadian setelah cedera kepala akibat dihempap konkrit tersebut.

Mayat mangsa ditemui berada dalam keadaan tertiarap dan berkopiah hanya dapat dikeluarkan sejam selepas itu kerana pihak keselamatan terpaksa menggunakan dua jengkaut untuk mengangkat konkrit berkenaan.

Rakan mangsa, Rosli Ibrahim, 55, berkata, ketika kejadian berlaku, mangsa turun ke longkang di hadapan kedai yang sedang mereka ubah suai untuk mengeluarkan kayu sokongan di bawah jambatan yang baru dibina.

“Dia sempat menyuruh saya memulakan kerja di bahagian bumbung, manakala dia akan bekerja di bahagian bawah, namun lima minit selepas itu, saya terdengar satu dentuman kuat.

“Saya terus terjun dan menjerit memanggil mangsa, namun jeritannya tidak disahut sehingga memaksanya memanggil orang ramai seterusnya menghubungi pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui ditempat kejadian.

Rosli berkata, dia menyedari bahawa rakan sekerjanya itu banyak termenung dan mendiamkan diri sejak memulakan kerja mengubah suaian di kedai itu.

“Pagi ini (semalam) juga saya lihat dia banyak mendiamkan diri, saya ingatkan kerana dia terlewat sampai ke tempat kerja, maka saya terus memulakan kerja seperti biasa.

Sementara itu, anak mangsa, Siti Sarah, 20, berkata, dia tidak menyangka sama sekali perubahan sikap ayahnya sejak beberapa hari lalu adalah petanda Allahyarham akan pergi buat selama-lamanya.

“Kali terakhir saya bertemu dengannya malam tadi (kelmarin). Saya reda menerima kejadian ini sebagai takdir Allah untuk kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Pegawai Kanan Bomba (PBK), Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.43 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan lima anggota.

“Mangsa yang ketika itu berada dalam keadaan terduduk dihempap konkrit dan dua jengkaut digunakan bagi memudahkan operasi mengalihkan konkrit dan pasir yang menimbus mayat dan pasukan berjaya mengeluarkan mangsa, sejam kemudian,” katanya.

Menurutnya, ia berkemungkinan bermula apabila jambatan konkrit tidak dapat menampung beban pasir yang diletakkan di atasnya, maka selepas mangsa mengalihkan kayu pengadang di bawah titian, ia mula retak dan menghempap mangsa dari atas.sh

Bayi lahir dalam tandas selamat



TUMPAT – Kes pelajar sebuah sekolah agama di Pasir Pekan di sini, yang melahirkan anak lelaki dalam tandas sekolah terbabit disiasat Jabatan Agama Islam Jajahan Tumpat di bawah Seksyen 16 Kanun Jenayah Syariah Kelantan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap berkata, bayi lelaki yang dilahirkan pelajar berumur 18 tahun itu selamat dan ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II selepas dibawa ke hospital terbabit, kelmarin.

Menurutnya, pelajar terbabit yang berasal dari Pasir Mas boleh ditangkap tanpa waran jika terbukti ada kelahiran tanpa nikah.

“Memandangkan bayi dilahirkan itu selamat, kes diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Jajahan Tumpat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kelmarin, pihak pengurusan sekolah agama itu gempar apabila terdengar tangisan bayi daripada sebuah bilik asrama apabila seorang pelajar tingkatan enam yang baru melahirkan anak dalam tandas membawa ke katil asrama.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu disedari pekerja sekolah itu apabila menemui pelajar tersebut bersama bayi lelakinya yang masih bertali pusat dalam bilik tidurnya di tingkat satu bangunan asrama terbabit.

Bagaimana pun bimbang keselamatan dua beranak itu dalam keadaan lemah, pihak sekolah mendapatkan ambulans dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Pelajar terbabit dikatakan pernah mengadu sakit perut pada malam sebelum kejadian, namun dia mendakwa hanya hanya sakit senggugut dan meminta kunci daripada pengawal keselamatan untuk naik ke bilik asrama dan melahirkan anak itu.

Pengsan lihat mayat bapa



PASIR MAS – Seorang anak hampir pengsan apabila tidak dapat menahan kesedihan selepas mendapati bapanya maut dihempap konkrit ketika bekerja sebagai buruh di Kampung Lati, jam 9.30 pagi semalam.

Anak mangsa, Siti Sarah Ibrahim, 22, terpaksa ditenteramkan orang awam dan pihak berkuasa selepas mayat bapanya, Ibrahim Awang Kechik, 58, berjaya dikeluarkan pada jam 10.55 pagi.

Siti Sarah berkata, dia terkejut apabila ada penduduk kampung datang ke rumah dan memaklumkan mengenai kejadian menimpa bapanya.

“Saya terus ke tempat kejadian bersama sepupu kerana ibu ke pasar sejak awal pagi lagi.

“Setibanya di tempat kejadian, saya terlalu sedih dan menangis setelah lihat bapa diangkat pihak berkuasa daripada kawasan tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, beberapa hari sebelum kejadian, bapa selalu termenung dan banyak mendiamkan diri.

Siti Sarah berkata, dia dan ibu tidak sedikitpun menyedari perubahan sikap bapanya yang agak pendiam terutama selepas berbuka puasa sehari sebelum kejadian.

“Malah, saya bersama lapan adik-beradik lain juga tidak sempat membelikan baju raya untuk arwah, sedangkan kami sudahpun membuat perancangan untuk membeli-belah beberapa hari sebelum Aidilfitri.

“Sambutan Syawal tahun ini tidak meriah seperti mana tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Tak sempat beli baju raya



KOTA BHARU - “Sepatutnya hari ini (semalam), saya membeli baju raya mereka, namun hari ini juga mereka pergi meninggalkan kami untuk selamanya.”

Begitulah rintihan seorang ibu, Nur Ain Alia Abdullah, 35, yang tidak sempat membeli kelengkapan hari raya untuk dua anaknya, Raja Zulkarnaian Raja Azahan, 9, dan adiknya Raja Nur Ilia Raja Azahan 6, yang maut dalam satu kejadian langgar lari di Kampung Hujung Tanjung, semalam.

Raja Zulkarnain dan Raja Nur Ilia masing-masing anak ketiga dan kelima dari tujuh beradik itu dipercayai menaiki basikal bersama ketika pulang dari sekolah kira-kira jam 12.40 tengah hari.

Lebih menghibakan, jarak antara tempat kejadian hanya 20 meter dari rumah mereka setelah mengayuh basikal sejauh lima kilometer dari Sekolah Kebangsaan Sering, Pengkalan Chepa.

Menurut Nur Ain, dia hanya menerima maklumat anaknya terlibat kemalangan selepas pulang daripada pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) selepas menerima bantuan zakat kira-kira jam 12.45 tengah hari.

“Sampai di simpang Panchor, hanya 500 meter dari rumah, saya tahan sebuah kereta meminta pertolongan untuk menghantar saya ke tempat kejadian.

“Lemah longlai melihat kedua anak saya bergelimpangan di atas jalan raya, apabila saya hampiri tubuh mereka keduanya tidak bernafas lagi dan melihat darah mengalir dari mulut dan tubuh mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, apa yang membuatkan dia terkilan apabila anak lelakinya itu, ada memintanya supaya membelikan sepasang baju Melayu berwarna ungu dan dia berjanji untuk membelinya selepas mendapat wang zakat itu.

”Jadi bila dapat duit zakat itu hari ini (semalam), saya bercadang nak membawanya untuk membeli baju Melayu tersebut, namun hasrat tersebut tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan.

”Saya terkilan kerana tidak sempat memenuhi impiannya,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Dearah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut berkata pihaknya mendapat maklumat berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 1.15 petang.

“Sebuah kereta Proton Iswara dikatakan melanggar kedua-dua beradik menyebabkan mereka terjatuh dan kereta terus meninggalkan lokasi nahas. Kedua-dua mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka telah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk dibedah siasat.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang ramai yang mengetahui kejadian tersebut diminta supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pejabat trafik Kota Bharu: 09-755229 dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Kanun Keseksaan.

Bapa dipercayai tolak tiga anak ke dalam kolam




KLUANG- Tiga kanak-kanak mati lemas selepas dipercayai ditolak bapa mereka ke dalam kolam takungan air kira-kira 500 meter dari rumah mereka dalam kejadian jam 7.30 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamed Fawzi Arshad berkata, tragedi berlaku di Ladang Lambak/Elaeis, Jalan Mengkibol, di sini itu, meragut nyawa dua kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki, masing-masing berusia lima, tiga dan dua tahun.

Menurutnya, pusat kawalan polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kluang menerima panggilan mengenai kejadian itu, kira-kira jam 10.20 malam dan sepasukan polis, termasuk daripada Unit Kereta Peronda (MPV) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Kluang bergegas ke lokasi kejadian.

“Mayat kanak-kanak itu ditemui lengkap berpakaian lebih kurang setengah jam kemudian dan dibawa ke Hospital Kluang untuk bedah siasat,” katanya di IPD Kluang, di sini, semalam.

Menurutnya, polis kemudian menahan bapa kanak-kanak terbabit di rumahnya malam semalam.

Lelaki itu, seorang pemandu traktor di ladang berkenaan cuba membunuh diri dengan meminum racun.

Katanya, lelaki itu turut berada di bawah pengaruh alkohol dan kini ditempatkan di Hospital Kluang untuk rawatan.

“Polis sedang menyiasat motif kejadian dan bedah siasat terhadap tiga kanak-kanak terbabit telah dilakukan semalam untuk mengetahui punca kematian,” katanya.

Mohd Fawzi berkata, polis sudah merekodkan keterangan ibu kanak-kanak itu yang berumur 23 tahun, bagi membantu siasatan dan sedang mendapat perintah menahan reman suaminya

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Polis cekup pencuri kereta pusat servis

SEREMBAN - Kegiatan mencuri kereta dari pusat servis di sekitar bandar ini sejak beberapa bulan lepas berjaya dipatahkan polis dengan penangkapan seorang lelaki di Sikamat, di sini semalam.
Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, lelaki berusia sekitar 40an itu ditangkap 6.15 pagi semalam selepas mencuri sebuah kereta dari pusat servis di bandar ini kelmarin.
"Kira-kira pukul 5.30 petang Isnin lepas, sebuah kereta yang dihantar di sebuah pusat servis di bandar ini telah dicuri oleh suspek yang berlagak seolah-olah kereta itu miliknya sebelum melarikan kereta tersebut.
"Polis yang mendapat maklumat terus menjejaki kereta jenis BMW yang dicuri dan berjaya mengesannya kira-kira sejam setengah kemudian di kawasan deretan kedai di Sikamat,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Polis kemudian bertindak mengepung kereta terbabit dan berjaya menangkap suspek.
"Modus operandi suspek ialah mencuri kenderaan di pusat servis dan bengkel membaiki kenderaan. Dalam kes ini suspek menaiki sebuah kereta yang dicuri tapi ditinggalkan di pusat servis dan mengambil keluar (melarikan) kereta BMW milik penduduk tempatan,” katanya.
Osman berkata, dengan penangkapan lelaki itu, polis percaya telah berjaya menyelesaikan sembilan kes curi kenderaan di bandar ini.
Beliau berkata siasatan juga mendapati suspek yang melakukan kegiatan itu seorang diri turut aktif di Selangor dan Kuala Lumpur. - Bernama