Search This Blog

Tuesday, August 23, 2011

Tiga kepala ditemui dalam beg

ACAPULCO: Tiga kepala manusia ditemui di dalam sebuah beg di sebuah jalan yang sesak masuk ke sini, menurut pegawai keselamatan Mexico, semalam.
Mereka dipercayai mangsa terbaru dalam usaha membersihkan bandar resort itu daripada kartel dadah.
Pihak berkuasa di selatan Guerrero tidak menolak bahawa kepala itu adalah daripada tiga mayat tidak berkepala yang ditemui dalam satu trak yang ditinggalkan di sebuah jalan persisiran pantai, Jumaat lepas.

Mayat mangsa dikenalpasti dua orang lelaki dan seorang perempuan. -AFP
-hmetro

4 lelaki berparang samun peniaga

KAJANG: Seorang peniaga berputih mata apabila sekumpulan empat lelaki bersenjatakan parang melarikan wang tunai, barangan kemas, jam tangan berjenama, komputer riba dan konsol game video Playstation 3 yang dianggarkan bernilai kira-kira RM55,000 di Taman Saga Emas, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 53 tahun yang menonton televisyen bersama keluarga terkejut apabila suspek yang memakai topeng muncul di pintu rumah berkenaan sebelum mengacukan parang ke arah mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata suspek memasuki kawasan rumah mangsa dengan memanjat pagar depan dan ketika kejadian, mangsa tidak mengunci pintu jeriji rumahnya.

“Sebaik suspek memasuki rumah itu, mangsa dan keluarganya terpinga-pinga dan kesempatan itu digunakan suspek untuk mengikat mangsa dan ahli keluarganya.

“Suspek memaksa mangsa menunjukkan tempat simpanan wang dan barang berharga di dalam sebuah bilik,” katanya.

Ab Rashid berkata, mangsa menuruti arahan suspek kerana bimbang suspek melakukan sesuatu di luar jangkaan dan mendatangkan bahaya pada ahli keluarganya. “Suspek yang menggeledah semua bilik menjumpai wang tunai, jam berjenama, komputer riba dan Playstation 3 sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta.


“Saksi melihat suspek melarikan diri menggunakan Toyota Vios warna hitam,” katanya.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun berkawan dan menggunakan senjata.hmetro

Angkara cemburu

KUALA LUMPUR: Cemburu disyaki motif seorang lelaki menyimbah asid ke arah Mohd Rafie Abdul Latif, 27, ketika mangsa dalam kereta berhampiran tandas awam berdekatan Wisma Bumi Raya, di sini, 8 Ogos lalu.
Suspek berusia 28 tahun itu kini direman selepas ditahan, petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, suspek bertindak sedemikian kerana cemburu terhadap teman wanita mangsa.

“Kita yakin penahanan suspek kes simbah asid berkenaan selesai. Namun, penahanan suspek hanya membabitkan kes seorang mangsa bukan kes simbah asid bersiri sebelum ini.

“Kebiasaannya setiap kes pasti ada motif tetapi bagi lebih 20 kes simbah asid bersiri seolah-olah masalah mental kerana sesuka hati menyimbah asid,” katanya.

Menurutnya, polis sudah mengenal pasti seorang suspek kes bersiri, namun belum ada tangkapan dibuat.


Khalid berkata, pihaknya mengharapkan kerjasama orang awam bagi menyelesaikan kes simbah asid bersiri menggemparkan orang ramai.hmetro

Anak gadis pukul ibu OKU kerana hidang makanan tak sedap

PETALING JAYA: Seorang ibu orang kelainan upaya (OKU) mendakwa dimaki maah dipukul anak perempuannya hanya kerana makanan yang disediakannya dikatakan tidak sedap di kediaman mereka di Petaling Utama, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.30 pagi itu, ibu malang berusia 46 tahun berkenaan dikatakan menyediakan makanan untuk keluarganya seperti biasa sebelum anak gadisnya berusia 16 tahun menjamah makanan terbabit. Gadis terbabit mengamuk dan memaki-hamun ibunya sambil mengatakan makanan terbabit tidak sedap.

Menurut sumber, suspek kemudian mencapai cawan plastik yang berada berdekatan lalu menghentak kepala ibunya berkali-kali sambil memaki-hamun.

“Mangsa tidak dapat mempertahankan dirinya berikutan keadaannya yang berkerusi roda dan lemah.

“Lebih keji apabila suspek sanggup melemparkan kata-kata kesat terhadap mangsa hanya kerana tidak berpuas hati dengan masakannya,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, ini bukan kali pertama wanita OKU itu diperlakukan sebegitu, malah sebelum ini, mangsa pernah membuat laporan polis berikutan suspek memukulnya hanya kerana perkara kecil.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.hmetro

5 along tagih RM300,000

ULU TIRAM: “Akibat tidak tahan dengan gangguan lima along yang menuntut lebih RM300,000 serentak, saya sanggup meminum racun serangga perosak pada Jun lalu untuk membunuh diri,” dakwa seorang mangsa along, A Sacitheran, 36, di sini, semalam.
Berikutan itu, Sacitheran terlantar di Hospital Sultan Ismail (HSI) selama dua bulan malah turut hidup umpama pelarian apabila dia sekeluarga terpaksa berpindah ke 11 lokasi berbeza dalam tempoh setahun kerana bimbang dengan ancaman along terbabit.

Menurut bapa kepada tiga anak termasuk seorang yang menghidap sindrom down itu, berikutan gagal melangsaikan hutang along terbabit, dia menerima pelbagai ugutan hingga tidak dapat keluar bekerja.

“Saya mula terjebak dengan pinjaman along apabila syarikat pembinaan di Taman Desa Cemerlang mengalami kerugian RM1.3 juta, pada 2009.

“Atas desakan seorang kontraktor yang juga pemaju utama sebuah projek pembinaan yang dijalankan di Mersing untuk membayar ganti rugi, saya terpaksa mendapatkan pinjaman daripada beberapa along selain kenalan secara berperingkat,” katanya, semalam.

Menurut Sachiteran, usahanya melunaskan hutang terbabit dengan menjual barangan di syarikat kepada pihak tertentu gagal apabila kontraktor terbabit turut didakwa memecah masuk pejabatnya dan melarikan pelbagai barangan bernilai hampir RM300,000.


“Saya menuntut kembali wang ganti rugi yang diserahkan kepada kontraktor terbabit tetapi dia tidak mempedulikannya,” katanya.

Menurut Sacitheran, keluarganya juga dihalau dari kediamannya di Taman Bestari Indah pada hujung 2009 sebelum mereka berpindah ke sebuah flet di Kuala Lumpur dan tinggal di sana selama lapan bulan.

Bagaimanapun, Sachiteran berkata, keluarganya kembali diancam along selepas mereka mengesan alamat tempat tinggalnya.

“Saya terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori dan kembali ke Johor, sepanjang tempoh setahun, kami sudah berpindah ke 11 lokasi termasuk menyewa di hotel bajet selain pernah terputus bekalan makanan.

“Akibat tidak berkerja, kami terpaksa bergantung kepada bantuan bapa mentua yang bekerja sebagai tukang cuci” katanya.

Bukan itu saja, malah dua anak Sachiteran iaitu Misha, 9, dan Pauline, 12, juga gagal ke sekolah sejak lebih dua bulan lalu.

Sachiteran turut mendakwa gagal membawa anak bongsu, Fiona yang berusia lapan tahun untuk mendapatkan rawatan di pusat perubatan kerana bimbang diserang along.

“Saya sudah membuat lebih 10 laporan polis berkaitan perkara ugutan along dan yang terbaru di Balai Polis Pelangi Indah, Ulu Tiram pada 16 Ogos lalu.

“Saya berharap ada pihak yang tampil membantu kami menyelesaikan masalah ini, pada masa sama saya mahu menyekolahkan anak semula selain berusaha mendapatkan pekerjaan sesuai,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Negeri Johor, Michael Tay berkata, pihaknya yang sudah berjaya mengendalikan dan menyelesaikan 30 kes membabitkan mangsa along bersedia menawarkan nasihat kepada keluarga Sacitheran.

“Sebelum membantu keluarga itu, kami akan menyiasat bagi mendapatkan gambaran jelas berkaitan permasalahan dialami lelaki itu.

“Kemudian kami akan berusaha untuk menghubungi along dan mencari jalan penyelesaian yang sesuai,” katanya ketika dihubungi, semalam.hmetro

Remaja lari dari rumah kerana ganja

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilaporkan tidak pulang ke rumah selama dua minggu bukan saja dicekup ketika menggoreng nasi ayam pada pagi Ramadan, tetapi ketika tangkapan remaja itu didapati ‘lalok’ selepas menghisap ganja di sebuah rumah di Keramat, minggu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Ahmadi Baharudin yang diminta pertolongan daripada bapa remaja terbabit bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat tempat persembunyiannya di sebuah rumah.

“Ketika sampai di rumah persembunyian itu, kami mendapati remaja terbabit menggoreng nasi ayam sambil kepalanya lentok kerana menghisap ganja,” katanya.

Menurut Ahmadi, beliau difahamkan remaja terbabit pengedar di kawasan berkenaan.

“Soal siasat mendapati remaja terbabit mempunyai banyak rekod buruk dan pernah memasuki kem pemulihan kami di Bukit Beruntung, Hulu Selangor. Kami juga mendapat tahu remaja itu bekas pelajar sekolah agama,” katanya.

Katanya, bapa remaja terbabit memberitahu anaknya sepatutnya masih bersekolah di Wangsa Maju, namun mulai liar dan meninggalkan bangku sekolah sejak beberapa bulan lalu selepas terpengaruh dengan rakan-rakannya yang juga ahli kongsi gelap.


“Difahamkan, remaja terbabit tidak pulang ke rumah sejak awal Ramadan lalu selepas berang dengan ibu bapanya yang menegurnya menghisap rokok dan ganja, tidak berpuasa selain memaki-hamun seluruh anggota keluarga sejurus perangainya ditegur,” katanya.

Menurut Ahmadi, remaja terbabit kini dibawa ke pusat pemulihan akhlak di Bukit Beruntung untuk mengubati penyakit jiwa.hmetro

Tiga beradik dibunuh bapa sendiri





2011/08/23

KLUANG: Tiga beradik berusia dua, tiga dan lima tahun mati dibunuh dipercayai oleh bapa sendiri berhampiran Ladang Alias, Mengkibol dekat Renggam di sini, malam tadi. 

Dalam kejadian itu, mangsa termasuk dua perempuan lemas selepas ditolak ke dalam kolam tadahan air.
-bharian

Lelaki ditembak mati dipercayai ada kaitan kes pengedaran dadah





2011/08/23

TAIPING: Seorang lelaki, R Tamil Vanan, 26, mati ditembak oleh seorang suspek di depan sebuah restoran di Simpang, dekat sini, kira-kira jam 6.50 petang semalam. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim, berkata mangsa yang pernah dikenakan tindakan mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas LLPK pada 2008 dan dikenakan perintah sekatan di Shah Alam, Selangor.
Katanya, polis percaya motif pembunuhan itu ada kaitan dengan kes pengedaran dadah tetapi pihak berkuasa masih menyiasat kes berkenaan.bharian

Peniaga didakwa bunuh pelancong warga Perancis





2011/08/23

ASNI diiringi pegawai polis di Mahkamah Majistret, hari ini.
ASNI diiringi pegawai polis di Mahkamah Majistret, hari ini.
PEKAN: Seorang peniaga kecil-kecilan, Asni Omar, 36, dari Kampung Tekek, Pulau Tioman dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh pelancong warga Perancis, Stephanie Foray, 30, antara kira-kira jam 8 malam 10 Mei lalu hingga jam 12 tengah hari 12 Ogos lalu di rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

Majistret Emma Shahriana Ali kemudian mengarahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi tetapi tidak menetapkan tarikh, sebentar tadi.bharian

Mangsa ketujuh mercun bola putus jari telunjuk


Noor Saipul Mohammad yang terputus jari telunjuk dan cedera pada ibu serta jari tengah menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - Utusan/Aizzul A.Majid



KOTA BHARU 22 Ogos - Ketika rakan-rakan seusianya sibuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun terpaksa melupakan hasrat tersebut apabila mercun bola yang dinyalakan meletup secara tiba-tiba di Kampung Laka dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang, mangsa, Noor Saipul Mohammad yang juga murid Sekolah Sri Ketereh dekat sini putus hujung jari telunjuk kanan selain cedera pada ibu dan jari tengah.
"Saya pasang mercun bola itu menggunakan api dari dapur gas. Sebaik sahaja saya mencucuh mercun itu, ia terus meletup tanpa sempat dibuang menyebabkan jari saya cedera.
"Saya terus memberitahu ibu yang ketika itu sedang menggosok pakaian dalam rumah. Dia kemudian membawa saya ke klinik," katanya ketika ditemui di Wad Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) hari ini.
Noor Saipul merupakan mangsa ketujuh yang mengalami kecederaan serius termasuk putus jari akibat bermain mercun bola.
Tambahnya, dia menyesal dan serik dengan apa yang berlaku dan tidak akan bermain mercun lagi selepas ini walaupun diajak oleh rakan-rakan.-utusan

Wanita sarat mengandung maut

JEMPOL 22 Ogos – Seorang ibu yang sarat mengandung tujuh bulan maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki bersama suaminya dirempuh oleh sebuah lagi kenderaan di Kilometer 15 Jalan Bahau-Keratong dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10 malam itu, mangsa, Lai Siew Chin, 37, mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan serius di kepala dan badan manakala suaminya, Lai Cheon Kee, 37, pula cedera parah dan kini dirawat di Hospital Kuala Pilah.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, tiga lagi penumpang yang menaiki kenderaan jenis Honda CRV tersebut merupakan adik mangsa turut cedera dan dirawat di hospital yang sama.
Menurutnya, kemalangan berlaku ketika keluarga itu dalam perjalanan dari arah Ladang Geddes dekat sini menghala ke Kuala Lumpur.
“Siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu seorang lelaki dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Proton Waja.
“Pelanggaran itu menyebabkan kereta Kancil itu terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh kenderaan dinaiki keluarga mangsa,” katanya di sini, semalam.
Ujarnya, rempuhan itu menyebabkan kenderaan mangsa hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik sebelum terbabas ke dalam ladang sawit berhampiran.

6 maut, 5 parah dipanah petir

SHAH ALAM 22 Ogos - Enam warga Indonesia maut manakala lima lagi parah dipanah petir dalam dua kejadian berasingan di tapak pembinaan projek perumahan elit berhampiran Jalan Rektor, Persiaran Kerjaya, Glenmarie di sini dan kebun sayur di Sungai Choh, Rawang, Selangor, hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku di Glenmarie ketika hujan lebat pada pukul 2.40 petang ini, tiga pekerja binaan maut dan tiga lagi parah.
Mereka yang maut dikenali sebagai Mohd. Nasir, 40, Hazarin, 29, dan Surady, 31, sementara mangsa yang parah ialah Som, 20, (isteri Surady), Dasyir, 28, dan Rosi, 25.
Difahamkan, tiga mangsa yang maut sedang berteduh sambil berdiri di bawah bumbung rumah kongsi yang dinaiki air setinggi buku lali manakala tiga yang cedera berada di dalam rumah.
Apabila petir menyambar di kawasan tapak pembinaan yang berair dan rumah kongsi berhampiran, tiga mangsa yang berdiri di dalam air terkena renjatan lalu rebah dan meninggal dunia sementara yang berada di dalam rumah pengsan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, kesemua mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.
"Kesemua mangsa mempunyai pasport dan kami sedang berurusan dengan majikan mereka untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Pengarah Kumpulan Bahagian Hartanah, Aset dan Pembangunan Glenmarie Properties, Siti Mariam Mohd. Desa berkata, berikutan insiden itu, pihaknya mengarahkan kerja di tapak pembinaan dihentikan sementara.
Dalam kejadian di Rawang pada pukul 2.45 petang pula, tiga pekebun maut manakala dua lagi cedera apabila terkena panahan petir ketika ingin mencari tempat berlindung.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, kesemua mangsa berusia antara 28 hingga 40 tahun.
"Tiga mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat manakala dua lagi yang cedera dikejarkan ke Klinik Kesihatan Rawang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
utusan