Search This Blog

Monday, August 22, 2011

UPP kesan taktik sorok mercun dalam enjin

BUKIT KAYU HITAM — Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah berjaya mematahkan cubaan menyeludup mercun dan bunga api apabila taktik menyimpan mercun pada bahagian enjin kenderaan dikesan dalam satu operasi awal pagi tadi.
Komander UPP Kedah, Mohd. Jasri Othman berkata, dalam Operasi Khas di Kilometer 1.3 Lebuhraya Bukit Kayu Hitam-Changlun, sebuah kereta jenis Proton Waja ditahan ketika melepasi pintu sempadan pada pukul 6.15 pagi tadi.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sejumlah mercun dan bunga api diletakkan pada bahagian enjin kenderaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Kira-kira 19 minit selepas itu UPP berjaya menahan sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Wish di tempat sama yang turut membawa sejumlah mercun dan bunga api yang diseludup masuk dari negara jiran.
“Jumlah keseluruhan rampasan mercun dan bunga api awal pagi tadi bernilai RM209 dan cukai terlibat RM32.80 dan kita juga telah menahan dua pemandu kenderaan terbabit bagi membatu siasatan,” katanya kepada pemberita di pejabat UPP Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.
Mohd. Jasri berkata, dalam operasi bermula pukul 9 pagi hingga 11 malam Ahad, pihaknya menahan tiga buah kenderaan iaitu dua pikap Thailand dan sebuah lagi kenderaan jenis Wira di tempat sama, masing-masing meletakkan mercun dan bunga api di tempat simpan barang.
Beliau berkata, jumlah rampasan mercun dan bunga api itu bernilai RM467 dan cukai terlibat lebih RM200.
"Seorang lelaki Thailand dan seorang lelaki tempatan serta seorang wanita Thailand yang menaiki kenderaan berasingan, turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya. — Bernama, kosmo

Pelajar wanita tercampak dipukul ribut

KUANTAN — Seorang pelajar wanita nyaris maut apabila terpelanting ke dalam longkang selepas dipukul angin kencang di kawasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jengka, petang semalam.
Menurut mangsa, Hezreen Mohd Hanafi, 19, ketika kejadian beliau bersama-sama enam rakannya yang lain dalam perjalanan ke bilik masing-masing selepas selesai seharian menyertai program memasak bubur lambuk.
Menurut pelajar Diploma Kejuruteraan Awam itu, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, beliau dan rakan-rakannya sedang berjalan kaki menuju ke kampus penginapan.
"Pada masa itu hujan lebat diikuti tiupan angin yang sangat kencang. Saya nampak salah seorang rakan yang berjalan di hadapan melayang-layang ditiup angin kencang,” katanya kepada Bernama di sini.
Melihat keadaan itu beliau dan beberapa rakan lain bertindak berhenti seketika kerana bimbang kejadian buruk berlaku.
"Ketika sedang berteduh di laluan pejalan kaki itu, tiba-tiba saya tidak dapat mengimbangi badan dan dalam sekelip mata sahaja saya telah terpelanting jatuh ke dalam longkang sedalam tiga meter,” katanya yang cedera di kepala, kaki, tangan dan badan. — Bernama, kosmo

Pelajar UPSR putus jari akibat mercun

KOTA BHARU — Seorang pelajar yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bulan depan menerima padah akibat mercun apabila jari telunjuk sebelah kanannya putus dalam kejadian tengah hari ini.
Pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Sri Ketereh, Noor Saiful Muhammad, mengalami kemalangan itu di rumahnya di Kampung Laka, Ketereh di sini pada pukul 1 tengah hari selepas pulang dari sekolah.
"Mercun bola yang saya gunakan itu meletup sebelum sempat saya lemparkan ke luar,” katanya kepada pemberita di Wad Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.
Noor Saiful berkata, dia ketika itu bermain mercun dengan menggunakan api yang dipasang melalui dapur memasak dan mahu melempar bahan itu di luar dapur.
"Bila meletup tiba-tiba tangan saya jadi kebas dan darah keluar dengan banyak lalu saya pun jerit meminta tolong,” katanya.
Ketika kejadian, ibunya Siti Mariam Ibrahim, 52, sedang menggosok pakaian tanpa menyedari Noor Saiful secara diam-diam ke bahagian dapur untuk bermain mercun.
Akibat letupan itu juga ibu jari tangan dan jari tengah mangsa turut cedera. — Bernama, kosmo

Sebar fahaman Syiah



MELAKA TENGAH - Terdapat pihak yang dikesan menjalankan gerakan dengan membawa fahaman Syiah ke negeri ini menerusi syarikat tertentu.

Malah, syarikat terbabit juga dikatakan aktif dengan pelbagai kegiatan amal dalam usaha menarik minat orang ramai menyertainya.

Perkara itu didedahkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang memberitahu, syarikat yang beroperasi di negeri ini juga sering menyumbang barangan keluaran mereka untuk majlis-majlis rasmi, termasuk membabitkan Kerajaan Negeri.

“Pihak berkenaan juga pernah melakukan permohonan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) supaya membenarkan untuk menjalankan aktiviti termasuk membentuk pertubuhan berkaitan penyebaran ajaran Syiah.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri tetap menolak fahaman terbabit kerana ia sama sekali bertentangan dengan fahaman Islam yang dibawa di sini, malah tidak sesuai,” katanya dalam ucapan pada majlis berbuka puasa di kediaman Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Md Yunos Husin di Ayer Molek, dekat sini, kelmarin.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Mohamad dan pengamal media dari Kelab Media Massa Melaka (KEMM).

Mohd Ali berkata, mana-mana pihak yang terlibat dinasihatkan segera kembali ke pangkal jalan, selain tarbiyah diberikan supaya mereka segera sedar.

“Bagaimanapun, hanya ajaran Syiah sahaja yang kita tidak iktiraf, manakala kita masih kekal mengadakan hubungan diplomatik dengan negara yang mengamalkan ajaran itu.

“Cuba saya mengingatkan supaya masyarakat di negeri ini tidak mudah terpengaruh dengan ajaran berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, risalah mengenai ajaran Syiah turut dikesan tersebar luas di beberapa masjid di negeri ini.

Konvoi terakhir



KULAIJAYA – “Saya tidak sangka tahlil yang sama-sama kami baca di rumah penerima sumbangan tengah hari tadi (semalam) merupakan bacaan terakhir dari arwah,” kata peserta konvoi, Mohd Ali Ahmad, 37.

Malang tidak berbau apabila salah seorang peserta konvoi Kelab Johor Bikers maut setelah terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang selepas mengagihkan sumbangan kepada mangsa sula, di Bandar Tenggara, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari semalam apabila motosikal berkuasa tinggi ditunggang mangsa, Mohd Nizam Rohani, 35, bertembung dengan Proton Wira di Jalan Sengkang-Felda Inas arah Kulaijaya, kira-kira 1 kilometer dari laluan kereta api Sengkang.

Mohd Ali berkata, ketika kejadian, pasukan konvoi Kelab Johor Bikers yang disertai sepuluh penunggang sedang dalam perjalanan ke Rumah Anak-anak Yatim Bukit Cagar untuk mengagih sumbangan seterusnya selepas selesai menziarahi mangsa sula, Mohd Shah Abdul Razak, 23.

“Saya amat terkejut dengan kejadian yang berlaku sehingga meragut nyawa arwah... yang paling sedih adalah apabila arwah sempat menyertai kami membacakan doa tahlil untuk bapa Mohd Shah yang telah meninggal dunia.

“Sepanjang aktiviti kami berkonvoi ini arwah langsung tidak menunjukkan tanda-tanda atau kelakuan pelik,” katanya.

Mohd Ali berkata, ketika kejadian beliau berada di kedudukan belakang dan ternampak mangsa membuat brek kecemasan menyebabkannya terlanggar seorang peserta konvoi sebelum mangsa dilanggar sebuah kereta dari arah bertentangan.

“Mangsa terjatuh dari motosikal dan termasuk ke bawah kereta berkenaan manakala seorang lagi peserta konvoi terjatuh ke arah bahu jalan.

“Peserta konvoi yang terjatuh mengalami kecederaan di bahagian bahu dan kini menerima rawatan di hospital pakar swasta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa memotong sebuah lori lalu bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan.

“Mangsa yang meninggal dunia berasal dari Taman Cahaya, Pontian manakala pemandu kenderaan yang bertembung dengan mangsa tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Penunggang kuda lumba maut



IPOH – Malang tidak berbau bagi seorang penunggang kuda lumba (joki) apabila maut selepas kereta jenis Iswara yang dipandunya terbabas dan terhumban ke dalam longkang dipenuhi air berhampiran loji kumbahan Medan Ipoh Jaya semalam.

Lim Cheng Woei, 27, terbunuh serta merta di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala dan dada.

Salah seorang saksi, N Nadarajah, 47, berkata beliau melihat kesan tayar berhampiran kawasan kejadian sewaktu mengutip bahan buangan untuk dihantar kepada pusat kitar semula.

Beliau yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Fair Park memberitahu selepas berjalan mengikuti kesan tayar itu beliau terkejut apabila melihat sebuah kereta yang terbalik di dalam longkang.

“Pada mulanya saya menyangka hanya kereta tetapi selepas pergi berhampiran saya ternampak tubuh manusia yang sudah kaku di bahagian tempat duduk pemandu.

“Saya segera menelefon polis untuk memaklumkan perkara itu,” katanya yang baru pertama kali berhadapan dengan situasi terbabit.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rajab berkata mangsa yang memandu kereta dari arah Medan Ipoh Satu menuju ke Medan Ipoh.

“Bagaimanapun, apabila tiba di satu selekoh mangsa hilang kawalan lalu kenderaan yang dipandunya terbabas lalu masuk ke dalam longkang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Timbalan Penguat kuasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvam berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 8.15 pagi.

Katanya, sebuah jentera dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh termasuk tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan berkenaan.

“Mangsa berjaya dikeluarkan 15 minit kemudian dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Stor sekolah musnah terbakar

SUNGAI SIPUT (U) – Bunyi letupan dari arah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Shing Chung, di sini, mengejutkan penduduk berhampiran yang menjadi saksi kejadian kebakaran sebuah stor di kawasan sekolah berkenaan pagi semalam.

Penduduk, R Jegathan, 46, berkata, selepas terdengar bunyi letupan, dia yang ketika itu berada di rumah segera keluar untuk melihat kejadian berkenaan.

Menurutnya, kelihatan asap berkepul-kepul keluar daripada sebuah stor di bahagian belakang sekolah sehingga menimbulkan kebimbangan.

“Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, saya bergegas memaklumkan perkara itu kepada pengawal keselamatan sekolah berkenaan.

“Saya mula menyedari ada kebakaran berlaku kira-kira jam 9.45 pagi selepas mendengar beberapa bunyi letupan dan bimbang api akan merebak ke bangunan sekolah,” katanya.

Jegathan berkata, tindakan segera diambil dengan menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat dan memaklumkan kepada pihak pengurusan sekolah.

“Tidak lama kemudian, pasukan bomba dan penyelamat datang bagi memadamkan kebakaran dan saya begitu terkejut dengan kejadian yang berlaku ini.

“Namun semuanya beransur baik dan difahamkan tiada sedarang kejadian tidak diingini berlaku selain kebakaran dapat dipadam bagi mengelakkanya dari merebak ke tempat lain dan kemungkinan perkara buruk berlaku jika tiada tindakan pantas ,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Sungai Siput, Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.54 pagi dan tiba di lokasi kejadian lima minit selepas itu.

“Seramai lapan anggota menggunakan satu jentera terlibat dalam operasi ini manakala api dapat dikawal jam 10.06 pagi dan berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 10.47 pagi.

“Difahamkan, stor berkenaan hanya digunakan sebagai tempat menyimpan peralatan tukang kebun dan hanya kerugian kecil dialami, manakala punca kejadian masih dalam siasatan ,”katanya.

Ketika operasi memadam kebakaran, Pengetua SMJK Shing Chung, Choong Chee Kong dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengelola Sekolah, Tang Loo Chen turut berada di lokasi.

Maut akibat hilang kawalan



NIBONG TEBAL – Seorang warga emas maut apabila motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum dilanggar sebuah kereta.

Mangsa, Abdul Rahman Hasan, 61, mati di tempat kejadian apabila dia dipercayai hilang kawalan sejurus menaiki jambatan di Jalan Transkrian, petang kelmarin.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Cif Inspektor Hamim Zaini Hamzah, berkata, ketika kejadian pemandu kereta berkenaan datang dari arah Nibong Tebal menuju ke Bandar Baharu, Kedah.

“Semasa penunggang menaiki jambatan di Jalan Transkrian, motosikal yang membawa tong gas itu dipercayai hilang kawalan.

“Pemandu kereta terbabit cuba mengelak namun, kedudukan jarak yang terlalu dekat menyebabkan dia (pemandu kereta) melanggar motosikal berkenaan,” katanya.

Menurutnya, penunggang motosikal yang berasal dari Nibong Tebal itu maut di tempat kejadian.

Sejurus kejadian terbabit, bedah siasat dilakukan pada jam 4.30 petang hari sama.

Kes dikendalikan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Alkhudri Marzuki dan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Remaja maut rempuh lori



JUNJUNG - Seorang remaja lelaki, Sin Teck Guan, 18, dari pekan Junjung yang mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala, terbunuh apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangnya merempuh belakang lori di jalan Junjung kira-kira jam 8 malam, semalam.

Pemandu lori yang enggan namanya disiarkan berkata, lori yang dipandu membawa muatan beras dari Taiping ke Kulim dan kemudiannya ke pekan Junjung. Tiba di jalan Junjung, lorinya mengalami kerosakan dan berhenti di bahu jalan.

“Saya memasang lampu dan meletakkan segi tiga kecemasan kira-kira 20 meter di belakang lori.

"Saya memaklumkan kepada majikan tentang kerosakan dialami dan dia mengarahkan kami menunggu sehingga lori penunda tiba. Keadaan ketika itu gelap dan hujan lebat.

“Tiba-tiba kami terdengar bunyi dentuman kuat dari belakang dan nampak motosikal mangsa terseret kira-kira 35 meter di hadapan lori kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, itu merupakan kemalangan maut ketiga yang melibatkan penunggang motosikal sepanjang bulan ini di jalan Junjung.

“Saya berharap langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kadar kemalangan di kawasan itu dapat dipertingkatkan dengan mengadakan lebih banyak papan tanda.

“Selain itu, saya menasihatkan pengguna jalan raya supaya memandu secara berhemah dan jangan memandu dengan laju apabila melalui jalan Junjung terutama ketika waktu malam dan hujan lebat. Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 47 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

12 Ogos lalu, dua sahabat terbunuh di tempat kejadian apabila motosikal Yamaha RXZ yang ditunggang terbabas dan merempuh bas ekspres kira-kira jam 6 pagi.

Sempat asmara sebelum sahur



GEORGETOWN - Kebiasaannya umat Islam mengaji atau melakukan qiamullail sebelum bersahur, namun berbeza dengan pasangan kekasih ini apabila sanggup menunggu waktu bersahur dengan berasmara di atas tembok pantai.

Pengakuan berkenaan dibuat setelah kedua-duanya dicekup Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) dalam Ops Santai di Lebuh Sungai Pinang Bandar Sri Pinang Jelutong.

Mereka yang masih menuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini mengaku ingin bersahur, namun waktu terlalu awal untuk ke kedai makan dan mengambil kesempatan melepaskan penat di tembok pantai seawal jam 2 pagi.

:Ketika ditahan, si gadis berbaring dan kepalanya diletakkan di celah riba kekasihnya, namun perbuatan mereka lebih mencurigakan apabila butang baju wanita sedikit terbuka sementara tudung yang dipakai sudah terbuka.

Seorang penguat kuasa kemudiannya menegur ada tudung terjatuh di bahagian belakang tembok dan pelajar wanita itu mengaku tudung itu miliknya.

“Saya pening kepala sebab itu tudung dibuka dan kami duduk di sini untuk berehat sahaja,” katanya kepada penguat kuasa.

Lelaki yang berasal dari Kelantan itu bagaimanapun hanya tersenyum sahaja ketika ditanya kenapa duduk di tempat yang gelap dan berdua-duaan bersama kekasihnya.

Namun, gadis yang berusia 18 tahun dan berasal dari Johor itu agak kasar ketika menjawab soalan penguat kuasa di lokasi kejadian.

“Kamu tahu apa kesalahan kamu duduk berdua-duaan di tempat gelap ini, dan kenapa mahu berdua-duaan di sini menunggu waktu bersahur.

“Kamu berdua tidak takut kena rompak atau samun?,” tegur seorang penguat kuasa JAIPP.

Mereka kemudiannya diberikan notis mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 atas perbuatan kurang sopan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

Turut hadir dalam operasi berkenaan, Ketua Unit Operasi dan Penguat kuasa JAIPP, Khairul Azman Azizan dan hampir 20 penguat kuasa JAIPP.

Suspek sempat hubungi polis



PORT DICKSON – Seorang suspek dipercayai terbabit dengan pembunuhan, sempat menghubungi polis memaklumkan mengenai penemuan mayat di dalam longkang belakang pentas utama, Padang Merdeka, di sini, semalam sebelum dia ditahan.

Tindak tanduk lelaki berkenaan yang mencurigakan dipercayai sebagai taktik melepaskan diri, selain berada dalam keadaan mabuk menyebabkan polis bertindak menahannya kerana dipercayai ada kaitan dengan penemuan mayat berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 12.05 tengah malam itu, mayat Norazlan Mohd Noor, 29, ditemui di longkang berkenaan dalam keadaan terbaring dan lengkap berpakaian.

Mangsa yang berasal dari Perak dikatakan sedang menjalani hukuman buang daerah di sini dan dipercayai terlibat dengan pergaduhan di lokasi berkenaan sebelum dia ditemui mati.

Difahamkan, mangsa bekerja sebagai pembantu sebuah kedai makan di bandar Port Dickson.

Ketua Polis Port Dickson, Superitendan Baljeet Singh berkata, pergaduhan dipercayai berlaku sekitar 8 malam membabitkan empat lelaki.

“Siasatan awal mendapati, mangsa dicampak dari tingkat atas bangunan pentas utama. Mangsa mati akibat kecederaan parah di kepala, selain mempunyai kesan lebam dipercayai dipukul,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, malam semalam.

Serentak dengan itu juga, katanya, polis menahan seorang suspek lelaki berusia 43 tahun di lokasi penemuan mayat tersebut.

“Lelaki tersebut merupakan individu yang menghubungi polis berkenaan penemuan mayat itu, Bagaimanapun, dia berkelakuan mencurigakan serta dalam keadaan mabuk.

“Berikutan itu, polis menahannya untuk disoal siasat bagi membantu siasatan polis penemuan mayat ini,” katanya.

Baljeet berkata, polis tidak menemui sebarang senjata yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa di tempat kejadian.

“Bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan untuk mencari punca sebenar kematian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan memperuntukkan hukuman mati mandatori,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis daerah Port Dickson di talian 06-6472222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Port Dickson, di sini untuk bedah siasat.

Berpantang maut, pemandu treler tersepit selamat



IJOK - Berpantang maut sebelum ajal, gambaran yang dapat diberikan kepada seorang pemandu treler, di sini meskipun kenderaannya terjunam ke dalam parit dalam satu kemalangan membabitkan dua lori di Kilometer 22 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, pemandu lori, Abd Rahim Ishak, 26, yang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Pulau Pinang hanya mengalami patah kaki kiri selepas gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh belakang lori lain yang ketika itu sedang berhenti untuk membelok ke kiri laluan.

Pemangku Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kuala Selangor, Cif Inspektor Roslan Ismail berkata, mangsa yang tersepit di bahagian pemandu berjaya dikeluarkan anggota bomba.

“Hasil siasatan mendapati, mangsa berkemungkinan memandu dalam keadaan mengantuk, menyebabkannya tidak dapat mengawal kenderaan apabila lori di hadapan berhenti untuk membelok.

“Insiden itu menyebabkan aliran trafik menghala ke Kuala Selangor dan Kuala Lumpur sesak apabila orang ramai mula mengerumuni lokasi kejadian,” katanya.

Abd Rahim, yang membawa muatan paip pembetung kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, pemandu lori yang membawa muatan batu bata dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Roslan berkata, pemandu terutamanya kenderaan berat perlu lebih berwaspada ketika memandu terutama sempena musim perayaan ini.

“Jika letih atau mengantuk, mereka perlu berehat sebelum meneruskan perjalanan, saya harap mereka memahami jarak pemanduan dan had kelajuan kenderaan masing-masing bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.SH

Pegawai Angkasa maut



FELDA PADANG PIOL – Seorang pemuda yang juga pegawai Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di Kelana Jaya, Nazrudin Mat Daud, 26, disahkan meninggal dunia di Hospital Jerantut pada jam 1.30 tengah hari kelmarin selepas mengalami muntah selama tiga hari.

Allahyarham Nazrudin yang berasal dari Felda Padang Piol Jerantut, dipercayai meninggal dunia akibat mengalami keracunan makanan.

Kematian Allahyarham sekali gus membatalkan majlis perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung pada Disember ini.

Abang mangsa, Mazdi, 30-an, berkata, adiknya menghubunginya pada pagi Isnin lalu dan memberitahu tidak dapat datang kerja kerana mengalami muntah teruk selepas menikmati juadah berbuka berupa martabak dan nasi lemak yang dibelinya di bazar Ramadan berhampiran rumahnya di Damansara.

Menurutnya, dia bekerja satu pejabat dengan arwah, justeru membolehkan dia membantu arwah dengan mengambilnya di rumah seterusnya menghantarnya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan.

“Setelah menjalani pemeriksaan, doktor memberitahu arwah tiada sebarang masalah kecuali kandungan asid dalam badannya agak banyak dan disyaki keracunan makanan,” katanya ketika di rumahnya di Felda Padang Piol.

Mazdi berkata, perkara itu kemudiannya dimaklumkan kepada keluarga di kampung dan bapanya, Mat Daud Awang, 53, menyuruhnya membawa Nazrudin pulang.

Menurutnya, dua adiknya iaitu Mazlan, 30, dan Hafizi, 23, membawa Nazrudin pulang ke kampung, namun ketika itu dia dalam keadaan lemah serta mengalami muntah.

“Keadaan Nazrudin makin lemah dan muntah tidak berhenti menyebabkan keluarga menghubungi ambulans untuk membawanya ke Hospital Jerantut bagi menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, ketika keadaan Nazrudin semakin tenat, arwah sempat meminta maaf dengan ahli keluarga sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Sementara itu, tunang mangsa, Noorasiqen Mohd Noor, 26, berkata, dia terkejut apabila keluarga Nazrudin memberitahu arwah meninggal dunia dan terus bergegas ke Hospital Jerantut.

Menurutnya, mereka bertunang pada Jun lalu dan bakal mendirikan rumah tangga pada Disember ini, malah segala barangan hantaran sudah dibeli.

“Kami sudah membeli semua barang, arwah turut membeli pakaian hari raya untuk ibu bapanya semasa kami pergi membeli-belah pada minggu pertama Ramadan.

“Saya sama sekali tidak menyangka perkara ini akan berlaku kerana arwah seorang periang selain tiada masalah kesihatan, tetapi kini dia pergi buat selama-lamanya sebelum sempat majlis perkahwinan kami berlangsung,” katanya.

Jenazah Nazrudin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Padang Piol selepas solat Asar petang Khamis lalu.SH

Ayah hilang selepas sahur




RHU BHATIL – “Sebelum ini ayah dalam keadaan baik, tidak mengalami sebarang masalah mental. Namun, dia tiba-tiba hilang. Jadi saya bimbang kerana kehilangannya itu satu misteri,” kata Muhammad Fauzi Aman, 37, yang sedang menjejaki bapanya, Aman Muhammad, 58, yang dipercayai menghilangkan diri secara tiba-tiba.

Menurutnya, dia menyedari kehilangan bapanya itu pagi Selasa lalu sebaik selesai bersahur apabila bapanya tiada di rumah.

Katanya, ketika bangun dari tidur, dia memanggil bapanya beberapa kali namun panggilan itu tidak dijawab dan beranggapan bapanya itu mungkin berada di sekitar rumahnya.

Fauzi berkata, setelah menyedari bapanya itu tiada di rumah, dia cuba menjejaki di kawasan sekitar termasuk meminta bantuan penduduk kampung untuk mencarinya di kampung berdekatan.

Namun, segala usahanya itu menemui jalan buntu apabila bapanya yang pernah menjadi nelayan itu gagal ditemui.

Katanya, kehilangan bapanya itu dianggap satu misteri kerana bapanya sebelum ini dalam keadaan sihat, tidak menunjukkan sebarang tanda mengalami masalah mental.

“Setelah puas mencari, akhirnya saya pergi ke Balai Polis Dungun untuk membuat laporan polis. Saya berharap agar pihak berkuasa dapat membantu selain saya akan terus berusaha untuk menjejaki bapa saya di beberapa lokasi lain yang sering dikunjunginya,” katanya kepada Sinar Harian.

Fauzi turut memohon jasa baik orang ramai yang menemui bapanya agar dapat menghubunginya menerusi talian 012-9599740 atau 012-7927394.SH

Tersepit setengah jam



KAMPUNG BUKIT KOLAM - Seorang pemandu lori mengalami detik mencemaskan dan menanggung kesakitan hampir setengah jam akibat tersepit di tempat duduk setelah kenderaan dipandunya terlibat dalam kemalangan di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3.40 petang itu, mangsa dikenal sebagai Wan Zamri Sulung, 30-an berasal dari Tepoh mengalami cedera parah di bahagian kaki kiri dan dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu menaiki ambulans sebaik sahaja dia berjaya dikeluarkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang.

Difahamkan, ken-deraan dinaiki mangsa bersama kelindan Che Wan Mohd Faezzuddin Che Wan Dollah, 20-an, dari arah Bukit Besi menuju ke Ajil dan sebaik tiba di lokasi, lori dipandunya secara tiba-tiba merempuh sebuah lori tiga tan dinaiki Alias Abd Talib serta anaknya, Mohd Afiq Alias, 15, dari Kampung Durian Kasim yang ketika itu ingin membelok ke kanan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, PBK II Mohd Pitter Tengah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.45 petang daripada orang ramai dan terus ke lokasi kejadian bersama lapan anggota termasuk sebuah jentera.

“Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu setelah kenderaan dipandunya remuk di bahagian hadapan akibat rempuhan. Malah, pihak bomba dan penyelamat menggunakan alat pemotong hidraulik dengan mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum berjaya mengeluarkan mangsa.

“Akibat kemalangan berkenaan, mangsa mengalami kecederaan terutamanya di bahagian kaki kiri, manakala tiga individu lain tidak cedera,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian, di sini, kelmarin.

Menurutnya, dalam perkembangan berkaitan pihaknya turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan menumpukan sepenuh perhatian sewaktu memandu bagi mengelakkan sebarang kemungkinan tidak diingini, apatah lagi bilangan kenderaan pasti bertambah pada musim perayaan ini.

Sementara itu, Sinar Harian dalam keluaran 16 Ogos lalu menyiarkan laporan berkaitan kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 52 jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi, di hadapan Stesen Penyelidikan Mardi Jerangau, di Kampung Landas dalam kejadian kira-kira 1.45 petang pada 15 Ogos dan Kampung Bukit Kolam ini terletak di laluan yang sama dengan Kampung Landas.SH

300 penumpang terkandas



KUALA KRAI - Hampir 300 penumpang terkandas apabila Ekspres Sinaran Timur merempuh dua gajah di Kilometer 407.5 antara Stesen Manek Urai dan Bukit Abu, dekat Dabong, di sini, malam kelmarin.

Pengurus Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Fadhil Ismail berkata, kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu berlaku ketika kereta api terbabit dalam perjalanan dari Tumpat ke Johor Bharu.

Katanya, kejadian menyebabkan seekor daripada gajah terbabit dipercayai ibu tercampak kira-kira 25 meter ke dalam gaung berhampiran manakala seekor lagi dipercayai anak gajah diseret kira-kira 700 meter.

“Kedua-dua gajah ini dipercayai cuba melintas landasan sebelum dirempuh kereta api berkenaan dan kedua-dua mati di tempat kejadian,” katanya, di sini, semalam.

Fadhil berkata, semua penumpang atas kereta api yang membawa lima gerabak itu, bagaimanapun terselamat biarpun terkandas selama lebih lima jam.

“Kereta api terbabit kemudian terpaksa berpatah balik ke Stesen Kuala Krai sebelum dapat meneruskan semula perjalanan ke Johor Bahru pada jam 4.30 ini (semalam),” katanya.SH

Wanita ditipu rakan chat



KOTA BHARU – Wanita kesunyian di negeri ini, termasuk suri rumah, guru dan pelajar dikesan paling ramai menjadi mangsa penipuan sindiket yang kononnya mengirim bungkusan hadiah berharga dari luar negara kerana golongan itu didapati mudah terpedaya.

Dengan menggunakan modus operandi yang sama, polis Kelantan merekodkan 14 kes membabitkan kerugian berjumlah RM260,950 dikesan daripada jenis penipuan kiriman bungkusan hadiah itu bagi tempoh Januari hingga 18 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya menasihatkan golongan wanita di negeri ini supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan itu yang mencari mangsa melalui e-mel dalam Internet dan rakan sembang atau chat.

“Kami mengesan kebanyakan mangsa golongan wanita kesunyian yang banyak menghabiskan masa melayari Internet berkenalan dengan suspek melalui e-mel lalu mulai chat sebelum semakin mesra.

“Apabila mendapati mangsa mudah diperdaya, suspek kemudian menawarkan untuk menghadiahkan pelbagai barangan berharga seperti beg, jam, barang kemas yang berharga lebih RM100,000 kepada mangsa,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa yang percaya dengan tawaran suspek akan menerima tawaran itu lalu suspek menggunakan khidmat rakyat tempatan untuk menghubungi mangsa memaklumkan barangan itu sudah tiba di lapangan terbang.

Bagaimanapun, katanya, bungkusan mengandungi barangan mahal kiriman suspek itu tidak boleh diambil kerana mangsa perlu menjelaskan cukai Kastam terlebih dahulu.

Mazlan berkata, oleh kerana terlalu inginkan bungkusan hadiah itu mangsa bersetuju untuk memasukkan sejumlah wang yang diminta suspek dalam akaun yang diberikan dan apabila ingin mendapatkan bungkusan itu baru mangsa menyedari ditipu.

“Sebenarnya bungkusan hadiah dari luar negara itu langsung tidak wujud dan mangsa diperdaya sindiket berkenaan yang menggunakan rakyat tempatan sebagai rakan mereka untuk memperdaya mangsa-mangsa di negeri ini.

“Masyarakat negeri ini dinasihatkan supaya berhati-hati ketika berkenalan dengan individu tidak dikenali ketika chat bagi mengelak menjadi mangsa penipuan jenis ini,” katanya.SH

Ibu jadi tebusan, bebas anak dilarikan ah long



KUALA LUMPUR – Seorang ibu sanggup menjadi tebusan bagi menyelamatkan nyawa anak perempuannya yang dilarikan seorang ah long, dalam kejadian di Taman Bukit Cheras, di sini, awal pagi semalam.

Sebelum kejadian, ah long berusia 32 tahun itu dikatakan menunggu di luar rumah milik keluarga seorang ahli perniagaan berusia 24 tahun, terletak di kawasan Gombak.

Suspek lelaki itu kemudiannya menyerbu kereta mangsa jenis BMW, ketika wanita itu tiba di hadapan rumahnya kira-kira jam 1 pagi, dipercayai baru pulang dari kerja.

Suspek dipercayai mengugut mangsa untuk memandu kenderaan itu menuju ke rumahnya di Taman Bukit Cheras, sebelum mengurungnya di premis dua tingkat terbabit.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, ibu mangsa juga seorang ahli perniagaan berusia 43 tahun, dimaklumkan oleh seorang individu berhubung kejadian ‘culik’ itu.

“Ibu mangsa membuat laporan di balai polis dan kami terus bergegas ke lokasi kejadian. Apabila tiba di premis itu, suspek sedang mengacukan pedang berukuran 0.76 meter ke leher mangsa, sambil membawanya masuk ke dalam kereta BMW mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Alam Damai, semalam.

Menurutnya, polis mengepung kenderaan tersebut di bahagian depan dan belakang, sebelum cuba berunding dengan suspek agar melepaskan mangsa, namun tidak diendahkan.

“Ibu mangsa terpaksa tawarkan diri untuk jadi tebusan agar anaknya dilepaskan. Suspek setuju dan bebaskan mangsa kira-kira jam 8 pagi, manakala ibu mangsa masuk ke dalam kereta dan menjadi tebusan selama tiga jam,” katanya.

Mohan Singh berkata, pihaknya cuba memujuk suspek secara baik untuk menyerah diri kerana bimbang akan keselamatan ibu mangsa.

Beliau berkata, selepas beberapa jam, suspek kemudiannya bersetuju untuk menyerahkan diri serta senjatanya, sebelum polis memecahkan cermin kereta untuk menahannya.

Katanya, mangsa dan ibunya dilaporkan selamat, manakala suspek yang mengalami luka serta calar di leher akibat pergelutan dengan polis, dihantar ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan lanjut.SH

12 khemah bazar Ramadan Seri Iskandar musnah dilanda ribut

PARIT - Sebanyak 12 khemah yang menempatkan peniaga Pasar Ramadan berhampiran Pejabat Daerah Perak Tengah, Seri Iskandar dekat sini musnah dalam kejadian ribut petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 4.30 petang ketika bazar tersebut sesak dengan orang ramai yang sedang membeli juadah berbuka puasa di situ.

Peorang peniaga, A. Halim Ngah Ismail, 36, berkata, ketika kejadian, dia bersama beberapa pekerja sedang melayan pelanggan yang datang ke gerai untuk membeli minuman.

Katanya angin kencang melanda mengakibatkan khemah peniaga diterbangkan hampir 10 meter dan keadaan ketika itu sangat cemas menyebabkan peniaga dan pengunjung bertempiaran menyelamatkan diri.

"Bagaimanapun, syukur kepada Allah kerana kejadian tersebut tidak menyebabkan sebarang kecederaan serius atau kehilangan nyawa di kalangan peniaga atau pelanggan," katanya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria berkata, pihak Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) akan mengambil tindakan segera membantu peniaga yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Jika semuanya berjalan lancar, semua peniaga akan dapat berniaga seperti biasa di situ esok bagi membolehkan mereka mencari rezeki ketika membuat persiapan menyambut kedatangan Hari Raya minggu depan, katanya.- Bernama, SH

Dadah: Tiga lelaki dihukum gantung

ALOR SETAR 21 Ogos - Dua warga asing hari ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah mengedar kanabis seberat 222,028 gram tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Zakiah Kassim menjatuhkan hukuman tersebut ke atas warga Indonesia, Effendi, 25, dan warga Thailand, Sakri Yadam, 24, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di 4.4 batu nautika dari pantai Kuala Kedah di sini pada kedudukan 06 darjah 06.06 Utara, 100 darjah 12.45 Timur dalam daerah Kota Setar kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 17 Januari 2008.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Ranjit Singh Dhillon.
Zakiah dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan memanggil 11 saksi dalam kes itu manakala keterangan kedua-dua tertuduh ketika pembelaan adalah rekaan dan penafian semata-mata.
Sementara itu, seorang pendawai elektrik turut menerima nasib yang sama di mahkamah tersebut apabila dijatuhi hukuman gantung sampai mati setelah didapati bersalah mengedar heroin di Sungai Petani dua tahun lalu.
Tertuduh, M. Vijay Kumar, 32, dari Lunas, Kulim disabitkan dengan kesalahan mengedar 223.82 gram dadah berbahaya iaitu 211.62 gram heroin dan 12.20 gram monoacetylmorphines kira-kira pukul 9.05 malam di hadapan Hotel Park Avenue, Taman Sejati Indah, Sungai Petani pada 26 Ogos 2009.
Hakim Mohd. Azman Husin menjatuhkan hukuman tersebut setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan tertuduh melakukan kesalahan itu.
"Tertuduh semasa pembelaan memberi keterangan meragukan dan hanya berbentuk penafian semata-mata. Saya tiada pilihan kerana itu sahaja hukuman yang diperuntukan undang-undang," katanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim mengikut Seksyen 39(B)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Vijay dalam rayuannya memberitahu, dia menyesal serta insaf dan mahu menjadi orang berguna.
''Saya juga mempunyai tanggungan iaitu lima anak yang masih kecil berusia dua hingga tujuh tahun. Isteri pula terpaksa bekerja kilang bagi menanggung keluarga," ujarnya yang diwakili peguam, RSN Rayer.
Norhayati dalam hujahannya pula memberitahu, tertuduh sepatutnya memikirkan nasib isteri dan anak-anak sebelum melakukan perkara tersebut.
Isteri tertuduh yang berada di galeri awam menangis teresak-esak setelah mendengar hukuman dijatuhkan.utusan

Tempoh reman remaja dakwa diculik disambung

PETALING JAYA 21 Ogos - Remaja perempuan yang dikatakan berpakat dengan teman lelakinya kononnya dia diculik untuk meminta wang tebusan baru-baru ini, disambung reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.
Perintah tahanan reman ke atas remaja itu yang berusia 17 tahun dan teman lelakinya, berusia 19 tahun sepatutnya tamat hari ini.
Kedua-dua mereka dibawa keluar dari lokap Balai Polis USJ8, Subang Jaya sebelum tiba di Mahkamah Majistret Petaling Jaya kira-kira pukul 10.25 pagi ini.
Selepas selesai mendapatkan perintah tahanan reman, kedua-dua remaja itu dilihat meninggalkan pekarangan mahkamah sambil diiringi dua anggota polis pada pukul 11.10 pagi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, kedua-dua remaja tersebut disambung reman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu mengugut untuk mendapatkan wang.
Tembelang remaja itu yang dilaporkan hilang terbongkar selepas ditahan polis bersama teman lelakinya ketika menaiki sebuah kereta di Saujana Puchong pukul 9 pagi Rabu lalu.
Polis percaya remaja itu mengikut teman lelakinya serta berkemungkinan berpakat untuk merancang kononnya dia diculik.
Remaja perempuan itu bersama teman lelakinya yang tidak bekerja dikatakan berpakat meminta RM50,000 sebagai wang tebusan kononnya untuk membebaskan dirinya.utusan

Polis gagalkan samun kafe siber






Anggota polis membawa mayat seorang suspek dalam kejadian samun di sebuah kafe siber di Kampung Baru Sungai Buloh, Kuala Lumpur, semalam. - Bernama


KUALA LUMPUR 21 Ogos - Dua lelaki yang cuba menyamun sebuah kafe siber di Kampung Baru Sungai Buloh dekat sini menerima padah apabila terserempak dengan beberapa anggota polis sedang menjalankan operasi di premis berkenaan awal pagi ini.
Akibatnya, dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, seorang daripada suspek mati setelah berbalas tembakan dengan polis, manakala rakannya yang cedera dipercayai anggota keselamatan ditangkap.
Kedua-dua suspek dikatakan cuba memasuki premis itu dengan mengetuk pintu belakang sebelum dibuka oleh pemilik kafe siber berkenaan.
Mereka yang masing-masing bersenjatakan sepucuk pistol dan kerambit kemudian memaksa pemilik premis berkenaan menyerahkan wang kutipan jualan.
Malangnya, kedua-dua suspek tidak menyedari ketika itu terdapat beberapa anggota polis sedang menjalankan operasi di dalam premis tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, ketika itu, suspek mencabar polis supaya tidak mengganggu 'urusan' mereka.
"Berlaku cabar-mencabar di antara kedua-dua suspek dan anggota polis berkenaan menyebabkan beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan.
"Salah seorang suspek berusia lingkungan 20-an terkena tembakan di badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Seorang lagi suspek yang berusia lingkungan 30-an dipercayai anggota pasukan keselamatan melarikan diri menaiki sebuah kenderaan jenis Naza Citra berwarna hitam yang dipandu oleh seorang rakan lain," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Tambah Tun Hisan, kira-kira sejam kemudian, polis berjaya menahan suspek yang mengalami kecederaan di Damansara Damai sebelum membawanya ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.
Polis percaya terdapat lebih daripada dua individu terlibat dalam cubaan samun itu.
Pihaknya menemui pistol dan kerambit yang digunakan dalam jenayah itu serta sedang mengesan saki-baki kumpulan penjenayah terbabit.utusan

Ditikam lapan kali, namun masih hidup




ARMAN Shah dibawa ke hospital HTJ Seremban selepas ditemui masih hidup selepas ditikam di hutan berhampiran jalan Bukit Putus, Kuala Pilah, semalam.


KUALA PILAH 21 Ogos - Meskipun ditikam sebanyak lapan kali dan dicampak ke dalam hutan di Jalan Bukit Putus di sini, nyawa seorang lelaki berusia 29 tahun ini masih panjang.
Dia yang dipercayai ditikam oleh dua lelaki dengan pisau kelmarin, hanya pengsan dan tersedar hari ini sebelum meminta bantuan orang ramai dalam keadaan berlumuran darah.
Lelaki yang dikenali sebagai Arman Shah itu ditemui di tepi jalan Jalan Seremban-Kuala Pilah kira-kira pukul 10 pagi ini.
Orang ramai yang menemui mangsa kemudian segera membawanya ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di Seremban. Kakitangan di wad kecemasan terkejut apabila mendapati lelaki itu masih hidup walaupun terdapat beberapa kesan tikaman di badannya.
Menurut sumber, lebih menghairankan lagi apabila mangsa sempat menceritakan bahawa dia tidak sedarkan diri selepas diserang dua lelaki yang dikenalinya dengan pisau pada petang Jumaat lalu di Bahau.
"Dia mendakwa ditikam empat kali di bahagian hadapan badan dan empat tikaman di belakang badan kemudian dibuang ke dalam hutan di Jalan Bukit Putus," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumber itu memberitahu, kemungkinan lelaki yang menyerang mangsa berpendapat dia sudah meninggal dunia sebelum membuang 'mayatnya' di dalam hutan untuk menghapuskan bukti.
"Mangsa sedar dari pengsan tidak berapa lama selepas dicampak dan dia dikatakan berjalan kaki selama satu hari setengah untuk keluar dari hutan itu sebelum ditemui orang ramai.
"Lelaki itu masih bernyawa walaupun sudah tiga hari ditikam mungkin kerana tikaman itu tidak mengenai organ pentingnya," ujarnya.
Mangsa telah menjalani pembedahan selama beberapa jam untuk menjahit luka pada badannya dan kini ditempatkan di wad rawatan rapi untuk pemantauan lanjut.utusan

Culik: Ibu sanggup jadi tebusan

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Seorang ahli perniagaan wanita sanggup mengambil alih tempat anak gadisnya yang menjadi tebusan kepada seorang lelaki bersenjata dalam sebuah kereta di Taman Bukit Cheras di sini, awal pagi ini.
Tindakan berani wanita berusia 44 tahun itu berlaku ketika dia cuba menyelamatkan anak gadisnya berusia 24 tahun yang sebelum itu diculik di hadapan rumah mereka di Gombak, kira-kira pukul 1.30 pagi.
Suspek, dipercayai seorang ah long berusia 32 tahun dan kenalan kepada keluarga mangsa membawa mangsa ke rumahnya di Taman Bukit Cheras.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, anak gadis mangsa yang juga ahli perniagaan diculik sebaik sahaja tiba di rumah menaiki sebuah kereta jenis BMW.
"Mangsa yang tidak menyedari suspek menunggu di hadapan rumah terkejut apabila diacukan senjata dan dipaksa memandu keretanya pergi ke rumah lelaki terbabit di Taman Bukit Cheras," katanya pada sidang akhbar Balai Polis Alam Damai, Cheras di sini, hari ini.
Mohan Singh berkata, ibu mangsa yang dimaklumkan mengenai kejadian culik itu oleh seorang anak gadisnya yang tinggal di Australia bergegas membuat laporan polis di Gombak sebelum pergi ke rumah suspek.
Beliau berkata, suspek sempat memanggil dua rakannya datang ke rumah membantunya, cuba melarikan diri menggunakan kereta mangsa sebaik sahaja menyedari kedatangan polis.
"Suspek memaksa seorang rakannya memandu kereta, manakala dia yang bersenjatakan pedang duduk di belakang bersama mangsa yang dijadikan tebusan.
"Bagaimanapun, kereta itu tidak dapat bergerak apabila dihalang oleh kenderaan polis dari depan dan belakang menyebabkan suspek bertambah agresif sehingga keadaan menjadi semakin cemas," ujarnya.
Melihat nyawa anak gadisnya terancam, ibu mangsa memujuk suspek agar membenarkan dirinya dijadikan tebusan.
Menurutnya, usaha memujuk suspek dan pertukaran tebusan itu mengambil masa kira-kira tiga jam sebelum suspek akhirnya dapat diberkas.
"Kita masih menyiasat motif penculikan ini dari semua sudut termasuk kaitan dengan hubungan cinta," katanya sambil memberitahu lelaki terbabit juga mempunyai satu rekod jenayah lampau.
Katanya lagi, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (culik), Seksyen 307 (cubaan membunuh) dan Seksyen 342 kanun yang sama (mengurung secara salah) serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (memiliki senjata).utusan

Pesawat Red Arrows terhempas ketika beraksi



LONDON 21 Ogos - Seorang juruterbang pesawat Red Arrows maut apabila pesawat yang dipandunya terhempas ketika mengadakan pertunjukan aksi akrobatik udara di selatan pantai Inggeris, semalam.
Pesawat yang dipandu Leftenan Jon Egging terhempas di kawasan padang di perkampungan Throop, beberapa ratus meter dari lapangan terbang Bournemouth, selepas mengambil bahagian dalam pertunjukan akrobatik udara bersama Tentera Udara Diraja Britain (RAF).
Menurut perkhidmatan kecemasan, Egging, 33, tercampak keluar dari pesawat itu apabila ia terhempas kira-kira pukul 12.46 tengah hari waktu Malaysia.
Juruterbang tersebut meninggal dunia di tempat kejadian.
Pesawat tersebut dipercayai hilang kawalan ketika Egging cuba melakukan pendaratan sebelum terhempas.
Dalam pada itu, pihak berkuasa menyatakan masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.
Ketika kejadian, isteri juruterbang tersebut, Emma Egging sedang menyaksikan pertujukan suaminya.
"Menyaksikan aksinya hari ini membuat saya berasa sangat bangga. Saya menyukai semua tentangnya dan dia akan dirindui," katanya.
Egging telah berkhidmat lebih sedekad bersama RAF dan pernah ditempatkan di Afghanistan bagi membantu Britain memerangi pemberontak Taliban. - AFP

Niat buat kejutan berakhir tragedi

PEKAN 21 Ogos - Hasrat seorang pegawai polis dan isteri untuk membuat kejutan berbuka puasa di rumah ibunya tidak kesampaian apabila mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 65, Jalan Kuantan-Segamat di sini semalam.
Lebih menyedihkan, dalam nahas itu, Inspektor Mohd. Nor Idham Ali Mat Nor, 27, turut kehilangan isterinya, Noor Edlina Ahmad Bakhari, 36, yang mengandungkan anak sulungnya berusia tujuh bulan.
Menurut ibu pegawai polis itu, Salbiah Abdullah, 50, dia dimaklumkan oleh anak ketiganya, Norlidaya, 22, bahawa Mohd. Nor Idham yang bertugas di Cawangan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Kelantan berpakat untuk membuat kejutan pulang berbuka puasa di rumahnya di Taman Sri Kluang, Johor.
"Anak dan menantu saya bekerja di Kota Bharu, Kelantan. Sebelum ini, mereka memberitahu tidak dapat pulang berhari raya bersama kerana Noor Edlina yang bertugas sebagai jururawat terpaksa bekerja pada hari raya.
"Saya sama sekali tidak menyangka mereka membuat perancangan dalam diam untuk berbuka puasa bersama saya, namun semuanya berakhir dalam tragedi ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Pekan di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Yahaya Othman berkata, nahas itu berlaku pukul 3.30 petang ketika kenderaan pasangan itu dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Taman Sri Kluang.
"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kereta Perodua MyVi yang dipandu pegawai polis itu terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh tiang elektrik.
"Berikutan rempuhan itu, kereta mangsa berpusing beberapa kali dan memasuki semula jalan raya sebelum berhenti akibat dilanggar sebuah kenderaan jenis Honda dari arah bertentangan," jelas beliau.
Tambahnya, akibat hentaman kuat dalam kemalangan itu, Noor Edlina yang duduk di sebelah pemandu mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pegawai polis itu hanya mengalami cedera ringan namun dia masih trauma dengan kematian isteri serta anak dalam kandungan.
Menurut Yahaya, pemandu kereta Honda terlibat tidak mengalami kecederaan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-utusan

Sempat berseloroh selepas dihukum



YUSOF (kiri) tersenyum ketika diiring keluar dari Mahkamah Majistret
Marang selepas dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM4,000
 kerana menyembunyikan mercun dalam reban ayam 16 Ogos lalu.

MARANG – Seorang peniaga yang dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan menyembunyikan mercun di dalam reban ayam sempat bersalaman dan berseloroh dengan wartawan bertanyakan bila berita mengenainya akan disiarkan.
Tertuduh, Yusof Awang, 53, berkelakuan demikian ketika dibawa keluar dari mahkamah itu selepas Majistret Nor Azizah Yusof mengarahkannya untuk menjalani hukuman tersebut.
“Berita saya akan keluar malam ni dekat TV ke? soalnya selepas dijatuhi hukuman semalam.-kosmo

Drama culik peminjam wang



ANGGOTA polis memeriksa kereta jenis BMW yang dijadikan suspek untuk menculik seorang gadis di Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Kebijaksanaan polis menangani satu kes penculikan dapat menyelamatkan seorang gadis dan ibunya dari terus menjadi tebusan selama lapan jam oleh seorang peminjam wang bersenjatakan pedang dalam kejadian di Taman Bukit Cheras di sini semalam.
Kejadian mencemaskan itu berlaku pada pukul 2.30 pagi apabila lelaki berusia 32 tahun tersebut menunggu gadis berumur 24 tahun pulang dari kerja sebagai ahli perniagaan di depan rumahnya di sebuah apartmen di Gombak. Motif kejadian dipercayai berkaitan dengan masalah keluarga dan cinta.
Selepas mendapati mangsa tiba, suspek telah masuk ke dalam kereta mangsa jenis BMW putih sebelum memaksa gadis itu memandu ke arah Cheras.-kosmo

Parang tetak masih belum ditemui



KUALA NERANG - Parang yang digunakan oleh suspek untuk menetak ibu dan bapanya dalam kejadian tragis pada 11 Ogos lalu masih belum ditemui.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Ku Yaacob Ku Ahmad, berkata, sehingga semalam polis masih belum lagi dapat mengesan lokasi senjata terbabit dibuang oleh suspek.

Menurutnya, suspek juga dilihat enggan memberi kerjasama dan pada waktu sama tidak sedar di mana dia membuang parang tersebut.

“Sehingga kini polis masih lagi gagal mengesan di mana lokasi suspek membuang parang yang digunakan olehnya untuk menetak ibu dan bapanya.

“Bagaimanapun, polis akan berusaha untuk mendapatkan maklumat daripada suspek,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, dekat sini.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan selepas lebih 48 jam usaha mengesan suspek yang menetak bapanya, Seman Sirun, 60, sehingga mati dan mencederakan ibunya, Hasmah Abdul Majid, 58, pada 11 Ogos lalu berjaya diberkas kira-kira jam 1.45 pagi dua hari kemudian, ketika menonton televisyen di rumahnya.

Suspek, Mohd Adli Saman, 33, ditangkap oleh polis ketika sedang berehat di rumahnya dan maklumat berkenaan diperoleh daripada jirannya sebelum polis menyerbu rumah berkenaan.

Ku Yaacob berkata, pihaknya masih belum mempertimbangkan sama ada untuk mendapatkan tambahan perintah reman daripada mahkamah terhadap suspek yang tamat semalam.

“Pihak kami akan melihat dulu situasi semasa dan masih belum lagi fikirkan sama ada mahu mendapatkan tambahan perintah reman daripada mahkamah,” katanya.

Sebelum ini, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pada 14 Ogos lalu untuk mendapatkan perintah reman dan majistret mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari dan perintah itu tamat semalam.

Sorok atas bumbung kereta



KUALA NERANG-Taktik sekumpulan lelaki cuba menyeludup 10,220 liter minyak petrol dan diesel ke Thailand menggunakan kenderaan yang diubahsuai untuk mengabui mata penguat kuasa berjaya ditumpaskan awal pagi semalam.

Pegawai Memerintah Rejimen ke-3 Artileri Diraja, Leftenan Kolonel Kamarularif Ramli berkata, kumpulan penyeludup berkenaan ditahan sepasukan anggota tentera berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kota Putra, Durian Burung.

Menurutnya, seramai tujuh lelaki terdiri daripada lima warga tempatan dan dua Thailand berumur antara 30 hingga 45 tahun ditahan ketika dalam perjalanan menyeludup keluar minyak menggunakan kenderaan masing-masing sekitar jam 8.15 pagi semalam.

“Bertindak atas maklumat, sebanyak tiga kenderaan jenis pikap sebelum diikuti empat lagi masing-masing dua pikap dan dua kereta disyaki cuba menyeludup keluar minyak yang dianggarkan bernilai hampir RM20,000 ditahan.

“Sewaktu pemeriksaan dilakukan bahagian bonet belakang semua kenderaan dengan nombor pendaftaran Thailand diubah suai dengan diletakkan satu tangki besar dilengkapi paip saluran minyak,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap di sini semalam.

Kamarularif berkata, berdasarkan hasil siasatan lanjut mendapati jumlah minyak yang dibawa kumpulan penyeludup berkenaan sebanyak 10,220 liter melibatkan 9,910 liter petrol dan 310 liter diesel.

“Kami akan menyerahkan kes ini kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk siasatan lanjut.

“Jika diikutkan ini merupakan rampasan yang terbesar pada tahun ini selepas rampasan pada 27 Julai lalu melibatkan 560 liter minyak petrol yang cuba diseludup keluar penyeludup menggunakan dua pikap,” jelasnya.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Lori bergesel bas ekspres



BAGAN SERAI - Dua lelaki maut di tempat kejadian apabila lori membawa muatan barangan elektronik hilang kawalan sebelum bergesel dengan bas ekspres di Kilometer 187.8, Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berhampiran Bukit Merah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.15 tengah hari, apabila lori dari arah utara ke selatan hilang kawalan sebelum bergesel dengan bas ekspres dari arah sama.

Menurutnya, akibatnya, lori berkenaan terbabas dan melanggar pengadang jalan sebelum terhumban ke bawah jambatan.

“Pemandu dan kelindan lori terpelanting keluar selain jatuh ke bawah jambatan.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan dan meninggal di tempat kejadian,” katanya.

Mat Fauzi berkata, pemandu lori, Rosdin Rahim, 38, dan kelindannya, Zulkifli Mohamed, 23, kemudian dihantar ke Hospital Parit Buntar (HPB) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari Parit Buntar dengan sebuah jentera telah datang ke lokasi kejadian untuk membantu menyelamat mangsa.

Sementara itu, katanya, barangan elektronik bertaburan di atas jalan yang sedang dibaiki oleh Plus.

“Lori membawa barangan elektronik dipercayai dari arah utara (Butterworth) menuju ke Ipoh remuk selain mengalami kerosakan teruk.

“Manakala, bas ekspres terbabit hanya mengalami kerosakan kecil, sementara pemandu bas yang juga masih belum dikenal pasti identitinya bersama kira-kira 15 penumpang selamat, dan meneruskan perjalanan ke selatan dengan bas lain,” katanya.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, kesesakan sepanjang kira-kira dua kilometer berlaku di laluan berkenaan.

Lanun disebat 4 kali



IPOH – Dua lanun warga Indonesia yang merompak sebuah kapal nelayan di Pulau Jarak, Lumut pada awal bulan lalu dihukum penjara 10 tahun dan empat kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini, semalam.

Hakim Julie Lack Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut apabila tertuduh, Mohamad Ali, 27, dan Aman Hassan Ali, 30, yang berasal dari Perlak, Acheh mengaku salah selepas faham dengan pertuduhan yang dibacakan.

Kesemua tertuduh mengaku melakukan rompakan berkumpulan terhadap kapal nelayan tempatan di kedudukan kira-kira 48 batu nautika dari barat laut Pulau Jarak, pada jam 2 pagi, 7 Ogos lalu.

Menurut fakta kes, kedua-dua tertuduh bersama tiga yang lain menaiki bot kecil menghampiri kapal nelayan dan tertuduh bersama seorang lagi melompat ke atas dek dan menawan krew kapal.

Ketika kejadian, kedua-dua tertuduh bersenjatakan Raifal AK47 manakala tekongnya dikenali sebagai Cangkoi bersenjatakan pistol mengemudi kapal menuju ke Indonesia setelah menanggalkan navigasi dan radio.

Setelah terlihat helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kedua-dua tertuduh telah terjun ke laut bagi mengelakkan ditahan. Kedua-dua mereka ditemui terapung kira-kira pada jam 8.05 pagi.

Hasil siasatan, sebuah beg dijumpai mengandungi 180 peluru pelbagai jenis, pisau lipat, unat batuk, topeng dan pemetik api dan dua kelopak peluru. Senjata api pula dipercayai dibuang ke laut ketika terapung.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mirza Mohamad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Tertuduh merayu hukuman diringankan kerana dipaksa melakukan rompakan itu untuk membayar hutang namun, Mirza meletakkan faktor keselamatan perairan negara serta kesan ekonomi negara supaya hukuman berat diberikan.

Sorok atas bumbung kereta



KUALA NERANG-Taktik sekumpulan lelaki cuba menyeludup 10,220 liter minyak petrol dan diesel ke Thailand menggunakan kenderaan yang diubahsuai untuk mengabui mata penguat kuasa berjaya ditumpaskan awal pagi semalam.

Pegawai Memerintah Rejimen ke-3 Artileri Diraja, Leftenan Kolonel Kamarularif Ramli berkata, kumpulan penyeludup berkenaan ditahan sepasukan anggota tentera berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kota Putra, Durian Burung.

Menurutnya, seramai tujuh lelaki terdiri daripada lima warga tempatan dan dua Thailand berumur antara 30 hingga 45 tahun ditahan ketika dalam perjalanan menyeludup keluar minyak menggunakan kenderaan masing-masing sekitar jam 8.15 pagi semalam.

“Bertindak atas maklumat, sebanyak tiga kenderaan jenis pikap sebelum diikuti empat lagi masing-masing dua pikap dan dua kereta disyaki cuba menyeludup keluar minyak yang dianggarkan bernilai hampir RM20,000 ditahan.

“Sewaktu pemeriksaan dilakukan bahagian bonet belakang semua kenderaan dengan nombor pendaftaran Thailand diubah suai dengan diletakkan satu tangki besar dilengkapi paip saluran minyak,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap di sini semalam.

Kamarularif berkata, berdasarkan hasil siasatan lanjut mendapati jumlah minyak yang dibawa kumpulan penyeludup berkenaan sebanyak 10,220 liter melibatkan 9,910 liter petrol dan 310 liter diesel.

“Kami akan menyerahkan kes ini kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk siasatan lanjut.

“Jika diikutkan ini merupakan rampasan yang terbesar pada tahun ini selepas rampasan pada 27 Julai lalu melibatkan 560 liter minyak petrol yang cuba diseludup keluar penyeludup menggunakan dua pikap,” jelasnya.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.sh

Mayat lelaki dalam parit



BANDAR TASEK MUTIARA – Seorang lelaki berusia 30 tahun ditemui mati dalam sebuah parit berhampiran Fasa 5, Bandar Tasek Mutiara selepas dipercayai dicekik awal pagi, semalam.

Mangsa, Asorumaran Mani, yang berasal dari Taman Puteri Gunung, ditemui mati dalam sebuah parit oleh orang ramai pada jam 8.45 pagi.

Kakak ipar mangsa, A.Vijaya, berkata, kali terakhir dia melihat adik iparnya itu beberapa minggu lalu.

“Dia merupakan seorang adik yang baik dan kami tidak menyangka dia pergi terlebih dahulu.

“Menurut bapa mertua, pada jam 1.30 tengah hari kelmarin adiknya keluar dari rumah dengan menunggang sebuah motosikal milik abangnya,” katanya.

Vijaya yang turut hadir ke tempat kejadian berkata, semasa keluar dari rumah, adik iparnya itu tidak memaklumkan pula ke mana dia hendak pergi.

“Ayah dan emak hanya menunggu di rumah, meskipun sudah lewat malam, adik ipar masih belum pulang ke rumah.

“Sehingga awal pagi tadi, ayah dan emak dimaklumkan bahawa adik sudah meninggal dan mayatnya ditemui mati dalam sebuah parit. Saya tidak tahu bagaimana mayatnya boleh ditemui di sini kerana difahamkan, dia tidak pernah melalui kawasan ini,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, mengesahkan kejadian itu.

“Pihak polis menerima maklumat daripada orang ramai berhubung kejadian itu pada jam 8.45 pagi. Hasil siasatan polis mendapati, terdapat kesan cekik pada bahagian leher mangsa dan polis percaya mangsa dibunuh di tempat lain,” katanya.

Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.sh

Padah rasuah polis trafik



REMBAU – Tindakan ‘kurang bijak’ dua pemandu kereta warga Singapura dan seorang pemandu kereta tempatan dengan memberi rasuah kepada anggota polis Cawangan Trafik Peronda Lebuh Raya Bukit Aman sempena operasi had laju di Kilometer 224, Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, dekat sini, semalam, mengundang padah.

Difahamkan, ketiga-tiga individu berkenaan ditahan kerana cuba memberi rasuah kepada pihak polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau untuk diambil keterangan lanjut.

Pegawai Turus Penguasa Trafik Bukit Aman, SuperintendAn Hamzah Ahmad, ketiga-tiga pemandu lelaki terbabit berumur antara 34 dan 45 tahun didapati memberi wang tunai antara RM30 dan RM50 kepada anggota polis yang menahan mereka kerana kesalahan memandu laju bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Oleh itu, kita mengambil tindakan tegas dengan membawa kesemua mereka ke IPD Rembau untuk diambil keterangan sebelum dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Seremban bagi tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita, semalam.

Hamzah berkata, operasi lebih dua jam yang bermula jam 9 pagi itu membabitkan 17 anggota yang diketuai oleh Cif Inspektor Mohd Zain Mat Dris.

Katanya, sempena operasi itu, pihaknya mengeluarkan 40 saman ke atas pemandu kenderaan kerana pelbagai kesalahan antaranya memandu melebihi had laju, nombor pendaftaran tidak mengikut aturan, lesen memandu tamat tempoh dan cukai jalan tamat tempoh.sh

Ditikam akibat dendam



SUNGAI PETANI – Gara-gara menukar tempat kerja, hidup seorang lelaki kini diancam bekas majikan yang sentiasa memburunya siang dan malam sehingga sanggup mengekorinya setiap awal pagi ketika mahu ke tempat kerja.

Lebih malang, bekas majikan itu sanggup bertindak lebih jauh apabila menghantar dua lelaki menyerangnya sehingga menyebabkan kecederaan akibat dibelasah dan ditikam sebanyak enam kali.

Mangsa dikenali sebagai Halim berkata, disebabkan kejadian sebulan lalu itu, dia kini tidak dapat bekerja berikutan bimbang dengan keselamatan diri serta keluarga selain masih mendapatkan rawatan akibat patah tangan kiri dan kecederaan di bahagian paha dan punggung akibat ditikam.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila mendapati sebuah kenderaan sedang mengekorinya setelah keluar dari rumah pada jam 5.30 pagi untuk ke tempat kerja seperti biasa.

“Saya tidak menyangka mereka akan menyerang saya kerana itu adalah tindakan rutin yang dilakukan iaitu mengekori saya setiap pagi dari rumah ke tempat kerja.

“Bagaimanapun, sampai sahaja di simpang jalan, tiba-tiba dua lelaki meluru ke arah saya dan pukul menggunakan kayu sehingga saya terjatuh dari motosikal. Mereka kemudiannya terus membelasah saya dengan teruk sebelum menikam di bahagian paha kiri sebanyak lima kali dan menikam di bahagian punggung sebelah kanan sekali,” katanya.

Menurut Halim, dia kemudian meminta tolong orang ramai yang melalui kawasan berkenaan, namun masing-masing yang takut melihat insiden itu terus bertindak membiarkannya sendiri sehingga dia menghubungi isteri meminta bantuan.

Katanya, dia tidak menyangka bahawa bekas majikan sanggup membalas dendam hanya apabila dia menukar tempat kerja baru.

“Sebelum ini juga saya ada perasan dia (bekas majikan) kerap meninjau ke kawasan rumah saya tidak kira siang atau malam namun tidak menyangka dia sanggup bertindak sejauh itu,” katanya.

Halim yang kini menumpang di rumah keluarga berkata, dia bimbang keselamatan diri serta keluarga sekiranya akan diapa-apakan kerana pernah melihat kelibat bekas majikan sewaktu anak-anak bermain di luar rumah pada waktu petang.

“Sejak kejadian, kami masih belum pulang ke rumah kerana masih dalam trauma dan bimbang sekiranya dia masih tidak berpuas hati dengan saya, mahu mencederakan saya lebih teruk lagi,” katanya.

Menurutnya, dia hanya berkhidmat dengan bekas majikan selama enam bulan sahaja dan berhenti apabila tidak berpuas hati dengan pemberian bonus yang tidak adil kepada pekerja.

“Namun selepas saya berhenti, dua lagi rakan ikut serta langkah saya menyebabkan bekas majikan tidak puas hati,” katanya.

Bagaimanapun, dia berharap perkara berkenaan mendapat perhatian supaya mereka yang bersalah dikenakan hukuman sewajarnya selain mahu aspek keselamatan dipertingkatkan.

Sementara itu, sumber polis mengesahkan siasatan berhubung kes berkenaan masih dija

Nelayan dipenjara 6 tahun



AYER KEROH - Gara-gara cuba melakukan rompakan terhadap seorang warga emas lima bulan lalu, seorang nelayan dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh di sini, semalam.

Hukuman dijatuhkan Hakim Ahmad Sazali Omar terhadap tertuduh, Mahadir Bahari, 35, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan disabitkan ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan, dia didapati cuba merompak Masemah Kechot, 68, dengan cuba meragut beg duit tanpa kerelaannya di Batu 16 1/2, Jalan Pegoh, Alor Gajah kira-kira jam 4 petang pada 8 Mac lalu.

Tertuduh yang masih bujang itu didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Mahadir ketika perbicaraan, berhadapan dengan pertuduhan merompak namun di akhir kes pendakwaan mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu, namun berjaya membuktikan kes prima facie bagi pertuduhan cubaan merompak.

Dengan budi bicara, mahkamah meminda pendakwaan daripada Seksyen 392 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 393 kanun yang sama terhadap tertuduh yang kemudian mengaku bersalah selepas pertuduhan pindaan itu dibacakan.

Tertuduh yang diwakili peguam belanya, Andrew Louders memohon mahkamah memberikan hukuman ringan dengan alasan mangsa tidak cedera parah berdasarkan rekod perubatan.

“Pengakuan tertuduh juga menunjukkan dia telah sedar dengan kesalahannya dan diharap supaya diberi peluang berubah kerana saya percaya keluarga yang menyayanginya akan membantu untuk mengubah tertuduh,” katanya.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat meminta mahkamah memberikan hukuman berat kerana tertuduh mempunyai lima rekod lampau termasuk satu rekod mencuri mengguna cara yang sama dengan sabitan sekarang.sh

Maut dilanggar kereta

 

UJONG PASIR - Seorang lelaki maut apabila motosikal ditungganginya terbabit dalam satu kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan Jalan Ujong Pasir-Jalan Bukit Senjuang, dekat sini, semalam.

Motosikal Honda EX5 yang ditunggangi mangsa, R Subramaniam, 46, dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Perodua MyVi, dipandu seorang wanita sebelum kereta itu terbabas ke atas pembahagi jalan.

Difahamkan, wanita berusia 45 tahun itu dalam perjalanan dari Telok Mas ke pejabatnya di Jalan Munsyi Abdullah apabila kejadian itu berlaku.

Beliau yang enggan dikenali mendakwa, ketika mahu membelok ke kanan, motosikal terbabit secara tiba-tiba memotong keretanya daripada sebelah kiri.

“Saya cuba brek namun tetap melanggar motosikal terbabit dan berlaku kemalangan,” katanya.

Mangsa meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

Mayatnya dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.sh

Maut digilis lori



PELABUHAN KLANG - Seorang remaja maut digilis dalam satu kemalangan ngeri membabitkan dua motosikal dengan sebuah lori di Jalan Pelabuhan Utara berhampiran Gudang Tamadam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa dikenali Muhammad Akmal Hafiz Mustafa, 18, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, mangsa dipercayai menunggang motosikal seorang diri dari arah Pelabuhan Utara menghala Pelabuhan Klang.

Menurutnya, tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditungganginya hilang kawalan setelah dirempuh motosikal lain dari arah belakang.

“Siasatan awal mendapati, motosikal mangsa dilanggar pada bahagian belakang oleh sebuah motosikal lain yang ditunggangi dua lelaki.

“Berikutan rempuhan itu, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum terbalik ke bahagian tengah laluan, bagaimanapun, mangsa yang tercampak digilis kenderaan berat yang kebetulan melalui arah sama,” katanya kepada Sinar Harian.

Rosly berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dikejarkan ke HTAR, namun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Buat masa ini, katanya, polis masih mengesan pemandu lori yang dipercayai melarikan diri sejurus kejadian.

“Polis sudah memanggil penunggang dan pembonceng motosikal yang melanggar mangsa untuk membantu siasatan, saya minta pemandu lori berkenaan untuk tampil.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Cif Inspektor Reduan Rahman di talian 03-337 22222,” katanya.sh

Remaja cabul ke Henry Gurney



KLANG – Mahkamah Majistret di sini semalam, memerintahkan seorang remaja menjalani pemulihan di sekolah pemulihan akhlak Henry Gurney di Melaka kerana mencabul anak jirannya.

Majistret Afifah Yusof memerintahkan remaja berusia 16 tahun itu menjalani pemulihan tersebut sehingga berusia 21 tahun.

Terdahulu, remaja yang tidak bersekolah itu didapati bersalah mencium kepala dan dahi serta membuka pakaian kanak-kanak berumur lapan tahun yang juga jirannya, di ladang kelapa sawit berhampiran Taman Ubudiah, Jalan Perajurit, Telok Gong, Pandamaran di sini, antara 6.49 petang dan 7.10 malam pada 25 Oktober 2010.

Pada awalnya peguam, Nur Shakimah Harun memohon remaja itu dikawal untuk berkelakuan baik oleh ibu bapanya tetapi panel penasihat juvana, Masdar Mohd Husni dan Saliyah Ahmad mengesyorkan remaja berkenaan dihantar ke sekolah tersebut untuk pemulihan.

Mengikut keterangan, remaja terbabit diminta menghantar dan menjemput kanak-kanak itu dari sekolahnya oleh nenek mangsa.

Bagaimanapun pada hari kejadian, selepas menjemput mangsa, dia membawa mangsa ke tempat itu dan mencabul mangsa.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak terbabit ditumbuk hingga pengsan dan selepas panik melihat keadaan mangsa, remaja itu bertindak menutup mangsa dengan pelepah sawit dan meninggalkannya di ladang itu.

Pada keesokan hari, mangsa yang masih pengsan ditemui dalam keadaan bogel oleh orang awam kira-kira jam 2 petang.

Laporan perubatan menunjukkan mangsa mengalami calar hampir seluruh badan, lebam di bibir, dagu, pipi dan muka.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kee Wei Lon, Nizi Shahril Ithnin dan Puteri Iskandariah Md Tahir,SH

Pengusaha kain maut tersepit



BATANG KALI - Seorang pengusaha kain maut setelah tersepit di bawah kereta yang dihempap treler muatan batu-bata seberat 30 tan dalam satu kemalangan di Kilometer 40, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Taman Tasik Teratai, di sini tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, mangsa, Nazrul Islam, 38, warga Bangladesh maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta patah hampir keseluruhan abdomen.

Ketua Polis Dearah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta jenis Toyota Rush yang melanggar belakang kereta mangsa ketika berhenti di persimpangan Taman Tasik Teratai.

“Mangsa yang memandu berseorangan dipercayai berhenti di persimpangan itu sebelum sebuah kereta yang mengekori dari belakang merempuh kereta mangsa menyebabkan tersasar ke laluan bertentangan.

“Ketika itu, treler muatan batu-bata yang datang dari arah Batang Kali gagal menge�lak lalu merempuhnya menyebabkan kenderaan mangsa diseret kira-kira lima meter sebelum melanggar paip air utama di bahu jalan, seretan itu turut menyebabkan kereta mangsa terbalik dan terjunam ke tebing longkang,” katanya kepada Sinar Harian.

Norel berkata, mangsa maut serta merta, pemandu treler, Mohd Nazri Rashid tidak mengalami sebarang kecederaan sementara pemandu kereta Rush dilaporkan stabil.

Laporan polis telah dibuat laporan di Balai Polis Serendah.

Menurutnya, mayat mangsa di bawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.

Kejadian tragis itu turut memaksa anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu (KKB) mengambil masa lebih empat jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Operasi itu dilakukan dengan bantuan dua kren, dua lori penunda serta sebuah jentolak.

Usaha menyelamat turut dibantu orang awam yang sejak awal lagi mengerumuni lokasi kejadian.

Pada awalnya, operasi yang diketuai Ketua Balai Bomba KKB, Abdul Latif Mat Noor itu dimaklumkan terdapat empat mangsa tersepit di bawah kenderaan.

Bagaimanapun, setelah empat jam usaha menyelamat dilakukan, bomba mengesahkan hanya seorang mangsa terlibat dalam kelamangan itu, semalam.SH

Sarjan Mejar didakwa rasuah



KUANTAN - Seorang pegawai polis berpangkat Sarjan Mejar (SM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Kuantan semalam atas tuduhan rasuah membabitkan sogokan berjumlah RM1,300.

Tertuduh, SM Abdul Razak Ibrahim, 54 bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharfinaz Shabudin di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Dalam petuduhan itu, tertuduh didakwa menerima wang tersebut daripada seorang wanita sebagai dorongan tidak menangkap seorang lelaki dalam siasatan di Balai Polis Jalan Bandar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik pegawai penyiasat Pentadbiran Jenayah IPD Temerloh kira-kira jam 11.15 pagi, 19 Januari 2011.

Tertuduh yang hadir bersama peguamnya didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1)(a) dan (b) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau Rm10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh yang kelihatan tenang dalam kandang pesalah dibenarkan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin manakala tarikh perbicaraan ditetapkan pada 3,4 dan 8 Novemner depan.

Tertuduh difahamkan membayar wang jaminan setelah penjaminnya tiba kira-kira jam 12 tengah hari semalam.SH