Search This Blog

Sunday, August 21, 2011

12 orang terbunuh dalam nahas pesawat 737 di Kanada

MONTREAL: Seramai 12 orang maut dan tiga lagi mengalami kecederaan apabila pesawat sewa khas terhempas di kawasan Artik Kanada, malam tadi.

Pesawat Boeing 737 yang dikendalikan First air membawa 15 penumpang termasuk empat krew, terhmepas beberapa kilometer dari Resolute Bay di wilayah Artik, Nunavut kira-kira jam 1 tengah hari.
Kapal terbang berkenaan dalam penerbangan dari Yellowknife ke Resolute Bay apabila ia terhempas dan dijadualkan meneruskan perjalanan ke Grise Fiord di selatan Ellesmere Island. - AFP, bharian

Juruterbang maut dalam pertunjukan udara di Kansas City

KANSAS CITY: Seorang juruterbang aksi berani maut dalam nahas ngeri ketika pertunjukan udara selepas pesawatnya gagal menamatkan aksi menurun dan terhempas ke tanah, pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Penerbangan Missouri, Joe McBride, berkata juruterbang itu gagal melakukan aksi berlingkar-lingkar dan menyebabkannya terhempas di kawasan lapangan terbang pada kira-kira jam 1.45 petang waktu tempatan.
Tiada penonton mengalami kecederaan dan McBride berkata, nahas buruk berkenaan adalah yang pertama sepanjang penganjuran Ekspo Pertunjukan Udara Tahunan Kansas City., bharian

Dua warga asing dihukum gantung sampai mati kerana edar dadah

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang warganegara Thailand dan Indonesia selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 222,028 gram tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Zakiah Kassim membuat keputusan itu terhadap warga Indonesia Effendi, 25, dan warga Thailand, Sakri Yadam, 24, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 17 Januari 2008 kira-kira jam 12.30 tengah malam di 4.4 batu nautika dari pantai Kuala Kedah pada kedudukan 06 darjah 06.06 Utara, 100 darjah 12.45 Timur dalam daerah Kota Setar di sini.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Nor Hasnita Wan Daud, manakala kedua tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh Dhillon.

Zakiah berkata, dalam kes itu pihak pendakwaan memanggil 11 saksi, manakala keterangan kedua-dua tertuduh semasa pembelaan adalah rekaan dan penafian semata-mata.

Sementara itu, di mahkamah sama seorang pendawai elektrik, M Vijay Kumar, 32, turut dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar 223.82 gram dadah (211.62 heroin dan 12.20 monoacetylmorphines) dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Azman Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Vijay Kumar selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan tertuduh melakukan kesalahan itu pada 26 Ogos 2009 jam 9.05 malam di hadapan Hotel Park Avenue, Taman Sejati Indah, Sungai Petani.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim manakala Vijay Kumar diwakili peguam RSN Rayer. - BERNAMA , bharian

2,919 kes penyakit tangan, kaki dan mulut dilapor hingga 13 Ogos

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,919 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negara hingga 13 Ogos dan tiada kematian dilaporkan setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 66.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 8,769 kes.
Dr Hasan berkata, lima negeri mencatatkan kes paling banyak ialah Sarawak dengan 914 kes, diikuti Selangor (513 kes), Johor (300 kes), Perlis (300 kes) dan Pulau Pinang (263 kes).
"Hasil pemantauan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan mendapati Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV 71) adalah penyebab utama. Virus ini merebak secara kontak dengan air liur dan najis mereka yang berpenyakit dan tempoh inkubasi adalah antara tiga hingga lima hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Hasan berkata, jangkitan virus itu adalah ringan dengan simptom demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah selain mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit-birit dan kurang selera makan.

Beliau menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda jangkitan supaya membawa segera anak ke klinik, mengamalkan kebersihan dan tidak membawa anak ke tempat awam. - BERNAMA , bharian

Lelaki ditahan berhubung kes simbah asid, direman lima hari

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang ditahan petang semalam di ibu negara berhubung kes simbah asid terhadap seorang pemuda di Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut, 8 Ogos lalu, direman lima hari bermula hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata lelaki berusia 28 tahun itu adalah kenalan kepada mangsa.
"Lelaki yang ditahan itu mengenali mangsa dan polis yakin dengan penahanannya dapat membantu pihak polis menyelesaikan kes simbah asid yang berlaku di Jalan Raja Laut itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa Mohd Rafie Abdul Latif, 27, disimbah asid oleh seorang lelaki ketika berada dalam kereta berhampiran tandas awam berdekatan Wisma Bumi Raya di sini.

Lelaki itu dikatakan membuka pintu kereta mangsa dan menyimbah mangsa dengan asid yang menyebabkan kulit muka mangsa melecur, sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta bersama dua lagi lelaki.

Sumber berkata, lelaki yang ditahan itu merupakan seorang dari rakan mangsa yang bersamanya pada hari kejadian dan dibawa oleh pihak polis ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) iaitu tempat mangsa dirawat dalam keadaan tangan bergari, semalam.

"Lelaki (yang ditahan) itu ada bertengkar dengan mangsa beberapa hari sebelum kejadian, namun tidak dapat disahkan sama ada dia terbabit," katanya. - BERNAMA, -bharian

Polis buru dua penyamun

PADANG BESAR - Polis sedang giat memburu dua lelaki yang menyamun sepasang suami isteri warga Thailand di hadapan kuari, Jalan Wang Kelian-Kaki Bukit, dekat sini, pada Jumaat, kata Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Dros.
Katanya, dalam kejadian pukul 7.20 petang itu, pasangan suami isteri yang menaiki kereta Toyota Camry berwarna putih sedang dalam perjalanan dari Wang Kelian menuju ke Kaki Bukit telah dihimpit sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna hitam.
Beliau berkata, kenderaan yang dinaiki dua suspek berketurunan India berumur lingkungan 20 dan 30 tahun itu memintas kereta Camry yang dinaiki pasangan suami isteri menyebabkan berlaku pergeselan.
Menyangkakan ia suatu kemalangan, pasangan suami isteri itu turun daripada kenderaan untuk menyiasat kerosakan dan ketika inilah dua lelaki meluru ke arah mereka sambil mengacukan parang, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Che Man berkata, pasangan suami isteri itu kemudiannya diarah masuk semula ke dalam kereta mereka dan berlaku pergelutan antara mereka sehingga menyebabkan kecederaan pada tangan kanan isteri mangsa. - Bernama, kosmo

Jururawat dan bayi maut kemalangan

PEKAN - Kemeriahan Aidilfitri mungkin tidak akan dirasai oleh seorang pegawai polis apabila beliau kehilangan isteri bersama anak dalam kandungan berusia tujuh bulan, dalam satu kemalangan di Kilometer 65 Jalan Kuantan-Segamat dekat sini, semalam.
Inspektor Mohd. Nor Idham Ali Mat Nor, 27, dari Cawangan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kota Bharu, Kelantan kehilangan isteri Noor Edlina Ahmad Bakhari, 36, ketika mereka dalam perjalanan dari Kota Bharu ke rumah ibu suaminya di Taman Sri Kluang, Johor pada pukul 3.30 petang.
Hasrat Noor Edlina yang merupakan seorang jururawat di Hospital Kota Bharu untuk berbuka puasa dan bercuti bersama keluarga mentuanya itu bagaimanapun musnah apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu Mohd. Nor Idham terbabas ketika tiba di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati kereta tersebut terbabas ke bahagian kiri jalan akibat hilang kawalan sebelum merempuh tiang elektrik.
Katanya, kereta itu kemudiannya masuk kembali ke jalan dan berpusing beberapa kali sebelum berhenti akibat terlanggar sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan. - Bernama, kosmo

Suspek samun ditembak polis

KUALA LUMPUR - Polis menembak mati seorang suspek kejadian samun di sebuah kafe siber di Kampung Baru Sungai Buloh di sini hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, seorang lagi suspek berjaya ditahan selepas melarikan diri ke Damansara Damai.
"Kejadian berlaku kira-kira 6.45 pagi apabila dua lelaki rakyat tempatan berumur 20-an dan 30-an bersenjatakan pistol itu memasuki premis berkenaan untuk menyamun.
"Kebetulan pada masa itu, dua anggota polis sedang melakukan operasi di kafe siber berkenaan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Tun Hisan berkata, suspek berusia 20-an itu terkena tembakan dalam kejadian berbalas tembakan.
Tun Hisan berkata, rakan suspek yang mengalami kecederaan sempat melarikan diri menaiki kereta jenis Citra berwarna hitam yang dipandu seorang rakan mereka.
"Polis mengejar kereta itu hingga Damansara Damai. Suspek kedua berjaya ditahan, manakala lelaki yang memandu kereta itu berjaya melarikan diri. Polis sedang mengesan kereta itu,” katanya. - Bernama, kosmo

Maut kereta terhumbang ke longkang

IPOH - Seorang lelaki terbunuh selepas kereta yang dipandunya terbabas dan terhumban ke dalam longkang yang dipenuhi air di Jalan Medan Ipoh di sini hari ini.
Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rejab berkata, mangsa Lim Cheng Woei, 27, bekerja sendiri dan berasal dari Butterworth yang mengalami cedera parah di kepala dan badan, meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.
Rodzi berkata kejadian berlaku pada 8 pagi tadi, apabila kereta jenis Proton Iswara yang dipandu mangsa dikatakan cuba membuat pusingan U tetapi gagal lalu terbabas dan terhumban ke dalam longkang.
Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap di dalam keretanya. - Bernama, kosmo

Mayat dalam longkang

PORT DICKSON - Mayat seorang lelaki dijumpai dalam longkang di stadium mini Padang Merdeka di sini, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljit Singh berkata, mangsa dikenali sebagai Nor Azlan Mohd Nor, 29, seorang yang dibuang daerah kerana kesalahan jenayah yang berasal dari Perak.
"Polis menerima panggilan mengenai penemuan mayat itu dari orang awam pada kira-kira pukul 12.05 pagi ini,” katanya ketika dihubungi.
Baljit berkata, terdapat kesan kecederaan di kepala mangsa.
"Siasatan awal mendapati mangsa mati dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan di stadium mini di situ sebelum mayatnya dicampakkan ke dalam longkang. Setakat ini polis menahan seorang suspek,” katanya ketika dihubungi. - Bernama, kosmo

Tiga penyelam ditemui selamat

KUCHING - Tiga penyelam termasuk dua warganegara Jepun ditemui dalam keadaan selamat selepas mereka dilaporkan hilang ketika pergi menyelam kira-kira 17 batu nautika dari Santubong tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kok Keong ketika dihubungi Bernama berkata, penyelam terakhir selamat ditemui kira-kira jam 10.30 pagi tadi di pantai pusat peranginan Damai Puri iaitu warga Jepun Hisashi Koze.
Seorang lagi warga Jepun Satoo Makoto dan rakyat tempatan Chai Teck Hua diselamatkan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam tidak jauh dari tempat mereka menyelam.
"Koze dijumpai awal pagi ini dekat pantai pusat peranginan Damai Puri selepas dikatakan berjaya berenang sendiri ke pantai,” katanya.
Ketiga-tiga penyelam berkenaan dikatakan sedang membuat eksplorasi dasar laut sedalam 25 meter ke atas sebuah rangka kapal perang Jepun Karoti Maru peninggalan zaman Perang Dunia Kedua.
Rangka kapal perang tersebut merupakan antara lokasi menyelam popular di sekitar perairan Santubong. - Bernama, kosmo

Simbah asid: Lelaki ditahan bantu siasatan

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Polis hari ini menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes simbah asid ke atas seorang pemuda yang berlaku di Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut pada 8 Ogos lalu.
Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara semalam.
Menurut sumber, lelaki itu dipercayai dapat membantu siasatan kes simbah asid melibatkan mangsa, seorang pemuda yang ketika itu menunggu rakannya menggunakan tandas awam.
"Polis telah menahan lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian di Jalan Raja Laut," kata sumber tersebut kepada Mingguan Malaysia hari ini.-utusan

Suspek ketiga kes culik gadis ditangkap

BESUT 20 Ogos - Seorang pemuda berusia 23 tahun yang merupakan suspek ketiga kes culik gadis berumur 15 tahun di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut pada 12 Ogos lalu berjaya ditangkap pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Zakaria berkata, suspek ditangkap ketika sedang tidur di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Manok, Semerak di Kelantan oleh polis pada kira-kira 10.30 pagi.
Katanya, suspek cuba melawan dengan menggunakan sebilah parang yang diletakkan di bawah bantal tetapi kecekapan anggota polis dapat memberkasnya selepas berlaku pergelutan.
"Suspek direman selama seminggu bermula hari ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kampung Raja di sini hari ini.
Siasatan mendapati suspek adalah positif dadah dan pernah ditahan kerana terbabit dengan kes jenayah seksual, katanya.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.15 malam, 12 Ogos lepas, suspek bersama dua individu lain telah melarikan gadis berkenaan di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut dengan sebuah kereta Perodua Kancil.
Tindakan pantas bapa gadis berkenaan melaporkan kejadian itu kepada pihak polis telah menemukan gadis berkenaan yang disembunyikan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Manok, Pasir Putih, Kelantan.
Dua lelaki berumur 25 dan 17 tahun berjaya diberkas tetapi suspek ketiga telah melarikan diri terlebih dahulu sebelum polis sampai. - BERNAMA
Dalam perkembangan lain, Kamaruddin berkata polis percaya empat suspek dapat membantu polis menyelesaikan lima kes jenayah jalanan seperti samun dan ragut di sekitar daerah Besut sepanjang bulan Julai dan Ogos yang membabitkan nilai kehilangan barang berjumlah lebih RM20,000.
Katanya, individu yang dikenali melalui lakaran imej dipercayai berumur di bawah 30 tahun dan merupakan penduduk tempatan.
Sehubungan dengan itu beliau meminta kerjasama orang ramai supaya melaporkan segera kepada polis sekiranya kenal atau tahu di mana semua suspek dengan menghubungi IPD Besut di talian 09-6956200 atau mana-mana balai polis. - BERNAMA, utusan

Guna telefon bimbit: Remaja maut dipanah petir

TANAH MERAH 20 Ogos - Seorang remaja perempuan maut akibat dipanah petir, dipercayai ketika menggunakan telefon bimbit milik ibunya di sebuah bangsal berhampiran rumahnya di Kampung Belimbing dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 5.50 petang itu, mangsa, Siti Munirah Nordin, 13, meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan terbakar di sebelah kanan muka, telinga, kepala dan punggungnya.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang bercakap dengan seseorang menggunakan telefon tersebut ketika cuaca agak redup dan petir sedang berbunyi.
Remaja berkenaan hanya ditemui oleh abangnya, Mohd. Firdaus, 16, sudah meninggal dunia di bangsal kira-kira pukul 9 malam tadi.
Ini berikutan ahli keluarga mencarinya setelah tidak pulang ke rumah untuk berbuka puasa sejak keluar pukul 4.30 petang.
Menceritakan kejadian itu, ibu mangsa, Rosnah Dollah, 49, berkata pada mulanya dia menyangka anaknya berbuka puasa di rumah rakannya yang terletak berhampiran rumah, namun terkejut apabila mendapat tahu anaknya tidak pergi ke situ.
"Sebelum kejadian, dia ada bercakap menggunakan telefon bimbit saya di dalam rumah. Kemudian saya menegurnya menyebabkan dia keluar dari rumah.
"Saya beritahu dia masih bersekolah dan tidak patut berbual lama-lama di telefon. Saya tidak tahu pula dengan siapa dia berbual," katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Kampung Manal hari ini.
Tambahnya, setelah mencarinya merata-rata dan bertanyakan kawannya, dia kemudian mencari anak keenam daripada tujuh beradik itu di bangsal tersebut.
"Saya teringat untuk mencari di situ kerana pernah ternampak dia dan kawannya duduk di bangsal sambil bercakap menggunakan telefon bimbit sehari sebelum kejadian," katanya.
Rosnah merupakan seorang ibu tunggal setelah kematian suami lima tahun lalu akibat sakit kencing manis. Dia kini menyara tujuh orang anak dan bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM25 sehari.
-utusan

169 mayat ditemui di Bangkok

BANGKOK 20 Ogos - Sebanyak 169 mayat ditemui tertanam di dalam kubur besar di tiga buah kuil berasingan di Rayong, timur Bangkok semalam.
Laporan awal mengaitkan penemuan mayat-mayat tersebut dengan kehilangan 60 anggota Baju Merah yang hilang ketika demonstrasi jalanan antikerajaan tahun lepas.
Bagamanapun, Yayasan Buddha Pratheep yang menguruskan penjagaan mayat-mayat tersebut menafikan mayat berkenaan merupakan anggota Baju Merah yang hilang.
Yayasan yang beribu pejabat di Chumphon itu berkata, pihaknya bertanggungjawab menjaga mayat-mayat berkenaan sehingga ia dihantar ke sebuah tempat persemadian tahun depan.
Ketua pasukan penyelamat yayasan tersebut, Thaweesak Longluerit berkata, mayat-mayat berkenaan sememangnya tidak dapat dikenal pasti tetapi pihaknya mengetahui asal usul mereka.
"Mayat-mayat itu bukan anggota Baju Merah. Ia merupakan satu perkara yang memalukan apabila ia dipolitikkan dan kejadian ini mungkin memburukkan reputasi yayasan ini,'' katanya.
Presiden yayasan itu, Sanguan Nilrattanothai semalam berkata, kebanyakan mayat tersebut merupakan pendatang asing dari Myanmar yang lemas ketika Taufan Gay pada 1989.
"Mayat berkenaan disimpan bagi dijadikan bukti untuk kes-kes jenayah,'' ujarnya.
Polis tempatan pada awalnya meluluskan pemindahan mayat berkenaan tetapi kemudian mengambil keputusan untuk menyiasat identiti mangsa selepas menerima aduan.
Selepas mendengar berita siasatan polis tersebut, Barisan Bersatu Demokrasi bagi Menentang Pemerintahan Diktator (UDD) melahirkan kebimbangan mayat berkenaan mungkin anggota Baju Merah yang hilang dalam keganasan politik sejak tahun lepas.
Ekoran kehilangan berpuluh-puluh penyokong Baju Merah, pemimpin pertubuhan itu semalam meminta siasatan penuh dilakukan bagi mengelak timbulnya sebarang kesangsian. - Agensi, utusan

Ditangkap tidak puasa, berkhalwat

LABUAN 20 Ogos - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Labuan sehingga kini menangkap 11 individu kerana kesalahan makan dan minum di tempat awam di bulan Ramadan dan sepasang kekasih kerana disyaki berkhalwat.
Ketua Penolong Pengarah Jawi Labuan, Ghazali Saad berkata, operasi dimulakan sejak minggu pertama bulan puasa dengan tumpuan kepada kedai makan yang beroperasi siang hari.
"Tangkapan itu bukan bertujuan memalukan seseorang, tetapi sebagai pengajaran kepada masyarakat Islam untuk menghormati bulan Ramadan," katanya hari ini.
Beliau berkata mereka yang tidak berpuasa boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kali kedua, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.
Ghazali berkata pesalah khalwat boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya. - BERNAMA, utusan

30 kes pecah rumah selesai

NIBONG TEBAL 20 Ogos - Polis percaya dapat menyelesaikan kira-kira 30 kes pecah rumah sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS) sejak beberapa bulan lalu dengan tertangkapnya tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan sekitar sini, Selasa lalu.
Ketiga-tiga suspek dipercayai bergiat aktif melakukan jenayah tersebut secara berkumpulan sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah SPS, Supritendan Shafien Mamat berkata, suspek pertama ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah SPS dan Balai Polis Nibong Tebal pada 16 Ogos lalu.
Menurut beliau, hasil siasatan polis kemudiannya menahan dua lagi rakan suspek pada keesokan harinya di sekitar sini dan menemui semula beberapa barang kes yang dipercayai hasil daripada kegiatan tersebut.
"Antara ditemui semula adalah sebuah komputer riba, jam tangan dan 31 keping resit jualan barang kemas yang dipercayai dijual di kedai pajak gadai serta sebuah kereta Proton Satria yang digunakan ketika melakukan kegiatan itu.
"Keseluruhan barangan itu dianggarkan RM100,000 dan sebahagian barang kemas yang dicuri dileburkan sebelum dijual," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambah Shafien, modus operandi kumpulan terbabit adalah memanjat bumbung rumah yang dikenal pasti sebelum memecah masuk melalui siling.
Jelasnya, dua daripada suspek terbabit positif dadah serta memiliki rekod jenayah lampau manakala suspek pertama pula dikehendaki polis bersabit kes curi dan pecah rumah di Bayan Lepas dekat sini dan Banting, Selangor.
"Kesemua mereka berusia antara 22 hingga 31 tahun ditahan reman sehingga 21 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," ujarnya.-utusan

Kastam rampas dadah cuba diseludup RM600,000

SEPANG 20 Ogos - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan cubaan menyeludup dadah bernilai hampir RM600,000 yang dibawa masuk ke negara ini menerusi dua lapangan terbang utama di negara ini, semalam.
Pengarah JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Datuk M. Govinden berkata, dua kejayaan itu berhasil selepas pihaknya membuat pemeriksaan di KLIA dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini.
Menurut beliau, dalam kejayaan di KLIA, seorang lelaki warga Afrika berusia 33 ditahan, manakala seorang lelaki tempatan berumur 42 tahun diberkas ketika cuba menyeludup masuk dadah di LCCT.
Katanya, suspek warga Afrika itu ditahan sebaik sahaja tiba di KLIA dengan menaiki pesawat Qatar Airways dari Doha sambil membawa sebuah beg bimbit hitam pada pukul 12 tengah malam semalam.
Ketika diperiksa, katanya, bagasi yang dibawa suspek mencurigakan kerana kedua-dua bahagian dinding beg itu kelihatan agak tebal.
"Setelah dibuka dan diperiksa, setiap dinding itu menyembunyikan satu bungkusan dadah jenis syabu seberat 1.9 kilogram yang dianggarkan bernilai RM475,000," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, suspek kedua pula ditahan pukul 4.30 petang sebaik sahaja tiba di LCCT dengan penerbangan Air Asia dari Shenzhen, China.
Setelah imbasan terhadap bagasinya dibuat, pihaknya menemui empat bungkusan plastik berwarna perak mengandungi serbuk kristal dalam ruang khas pada lantai dan penutup bagasi itu.
"Hasil ujian yang dijalankan mendapati bahan yang disorokkan itu adalah 6.64 kilogram ketamin yang dianggarkan bernilai kira-kira RM120,000," kata beliau.
Kedua-dua suspek kini direman selama seminggu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.
Sepanjang tahun ini juga, kata Govinden, pihaknya merampas 72.91 kilogram dadah pelbagai jenis melibatkan 17 kes dengan nilai pasaran sebanyak RM6.218 juta.
"Kita juga mengenal pasti modus operandi sindiket pengedaran dadah kini menggunakan kiriman mel dan kurier, khususnya dari China dan India," katanya.

Konvoi seludup bahan api tumpas

KUALA NERANG: Cubaan sekumpulan penyeludup minyak yang menaiki tujuh kenderaan secara konvoi untuk menyeludup bahan api ke Thailand gagal apabila ditahan sepasukan anggota tentera dari Rejimen Ketiga Artileri Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Kota Putra, dekat Durian Burung, semalam.
Dalam operasi pada jam 8.15 pagi itu, tujuh lelaki berusia 30 hingga 45 tahun, termasuk dua warga Thailand, yang masing-masing memandu sebuah kenderaan terbabit ditahan serta merampas hampir 10,000 liter petrol dan 300 liter diesel bernilai hampir RM20,000 yang disorok dalam tangki semua kenderaan itu yang diubah suai.

Pegawai Memerintahnya, Leftenan Kolonel Kamarularif Ramli berkata, pihaknya yang bertindak atas maklumat itu turut merampas semua kenderaan terbabit iaitu lima trak pikap dan dua kereta jenis Toyota Corolla dan Nissan Sentra, yang mana semuanya bernombor pendaftaran Thailand.

“Hasil pemeriksaan mendapati, semua kenderaan terbabit diubahsuai pada bahagian but dengan mewujudkan tangki khas untuk menyimpan minyak sebelum diseludup ke negara jiran,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Tinjauan Metro Ahad mendapati, sebuah daripada trak pikap berkenaan ditebuk pada bahagian bumbung dan ia disambung dengan saluran paip ke dalam tangki tambahan yang dibina di but kenderaan.

Semua but kenderaan juga diubahsuai sebagai tangki tambahan dan digunakan khusus untuk membawa minyak untuk diseludup ke Thailand.


Kamarularif berkata, semua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk dibuat laporan sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut.

Katanya, pihaknya masih menyiasat sama ada semua suspek terbabit daripada sindiket sama serta dari mana mereka memperoleh minyak.hmetro

Warga emas rentung

HUTAN MELINTANG: “Hancur luluh hati saya menemui mayat bapa saudara separuh rentung dalam keadaan kedua-dua tangannya memeluk pinggang seperti bersolat dan badannya terlentang mengadap ke arah kiblat,” kata Siti Zaharani Majidah, 43.
Bapa saudara Siti Zaharani, Mat Sairi Mohd Sameon, 94, meninggal dunia dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Kampung Parit 21, Batu 13, Sungai Sumun, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa yang tiada anak dan tinggal bersendirian sejak kematian isterinya tiga tahun lalu, dipercayai terperangkap di dapur rumah papan dua tingkat itu ketika cuba menyelamatkan diri dan mati lemas akibat tersedut asap hitam.-hmetro

Tak serik kena cekup

SEREMBAN: Seorang duda beranak satu yang masih dalam jaminan mahkamah kerana kesalahan memiliki dadah, tidak serik apabila dicekup lagi di rumahnya di Taman Sri Rembau, di sini, Jumaat lalu.
Difahamkan, lelaki berusia 43 tahun yang tiada pekerjaan tetap itu, pernah ditahan sebulan lalu kerana memiliki barangan haram itu serta mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan R Ravi Chandran, berkata suspek ditahan dalam serbuan sepasukan polis Rembau pada jam 6.30 pagi selepas mendapat maklumat awam mengenai kegiatan haram bapa kepada seorang bayi lelaki berusia 12 bulan itu.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui tujuh paket kecil dipercayai mengandungi dadah jenis heroin dalam poket seluar suspek, manakala sepaket syabu dijumpai di dalam beg sandangnya,” katanya, semalam.hmetro

Dibelasah pelanggan

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja sebuah restoran di Taman Mulia, di sini, cedera di muka dan badan selepas dibelasah seorang pelanggan yang berang kerana makanan dan minuman dipesannya untuk berbuka puasa lambat dihidangkan, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 malam itu, suspek berusia 30-an dikatakan mengamuk apabila pesanan makanan dibuatnya belum dihidangkan sedangkan hampir masuk waktu berbuka.

Menurut sumber, suspek kemudian memanggil seorang pekerja restoran sebelum memarahinya.

“Mangsa yang berusia lewat 20-an kemudian menerangkan pihaknya berusaha menyediakan juadah untuk pelanggan mengikut giliran selain meminta suspek bersabar, namun tidak diendahkan.

“Suspek terus menampar dan menumbuk muka mangsa sehingga menyebabkan dia terjatuh. Dua rakan sekerja mangsa yang menyaksikan kejadian itu kemudian cuba menenangkan suspek,” katanya.

Bagaimanapun, sumber berkata, dua rakan mangsa gagal berbuat demikian kerana suspek kemudian mengambil kerusi sebelum cuba memukul mereka.


“Dua rakan mangsa melarikan diri sebelum suspek terus memukul mangsa lebih 10 minit sambil disaksikan pelanggan lain. Suspek meninggalkan kawasan itu selepas azan,” katanya.

Mangsa kemudian menghubungi pengurus restoran itu. Sehubungan itu, mangsa dan pengurus restoran tampil ke Balai Polis Sungai Besi, di sini, membuat laporan berhubung insiden itu.-hmetro

Bayi 12 bulan terbunuh

SEREMBAN: Seorang bayi lelaki berusia 12 bulan terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 252.8 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Plaza Tol Senawang, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3 petang, mangsa, Lin Isaac mati di tempat kejadian selepas tercampak dari kereta Toyota Camry dinaiki bersama ibu bapanya.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian itu, kenderaan berkenaan terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar kereta Mazda yang baru saja terbabas dipercayai akibat hujan lebat.

“Kedua-dua kereta terbabit menuju arah utara dan hilang kawalan lalu terbabas di tepi lebuh raya berkenaan.

“Kereta dipandu bapa mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta Mazda itu, menyebabkan Isaac dipercayai duduk di kerusi belakang tercampak di cermin belakang dan terperosok di bawah kereta,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, dua jentera bomba bersama 12 anggota dari Balai Bomba Senawang dan Rembau tiba ke tempat kejadian untuk kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kereta.


Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat., hmetro

35 maut, 27 lagi cedera bas terbalik

KANDAHAR (Afghanistan): Seramai 35 orang terbunuh dan 27 lagi cedera, apabila sebuah bas hilang kawalan dan terbalik di lebuh raya di selatan negara ini, kata pegawai tempatan, semalam.
Kejadian itu berlaku di luar bandar Kandahar di daerah Daman kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan (11.30 GMT), semalam dalam laluan utama menuju ke Kabul. “Kira-kira 35 orang maut dan 27 lagi cedera dalam kemalangan itu,” kata jurucakap Gabenor Kandahar, Zalmay Ayubi.

“Sesetengah yang cedera dalam keadaan kritikal dan dikejarkan ke hospital,” katanya lagi. Pengarah Jabatan Trafik Kandahar, Mohammad Ullah Khan berkata bas itu dalam keadaan remuk teruk. - AFP, hmetro

Gadis kena panah petir

TANAH MERAH: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun maut selepas sebahagian badannya dari telinga hingga ke punggung hangus terkena panahan petir di sebuah bangsal berdekatan rumahnya di Batu Tiga, Kampung Belimbing, dekat sini, kelmarin.
Kejadian pada jam 9 malam itu disedari ibunya, Rosnah Dollah, 49, selepas mangsa, Siti Munirah Nordin, tidak pulang ke rumah untuk berbuka puasa menyebabkan usaha menjejakinya dilakukan sekitar kampung, termasuk rumah rakan.

Ibu tunggal terbabit akhirnya mendapati anaknya meninggal dunia dalam keadaan terlentang di sebuah bangsal 50 meter dari rumah dengan telefon bimbit masih di sisinya.

Menceritakan kejadian itu, Rosnah berkata, sebelum kejadian, dia menegur anaknya kerana bergayut dengan telefon sepanjang hari.

“Saya tegur dia (arwah anak), dengan siapa dia bergayut kerana sepanjang hari dilihat tidak renggang dengan telefon bimbit.

“Mungkin bosan dengan teguran saya, dia kemudian keluar rumah dan sangkaan saya ketika itu mungkin dia ke rumah rakan.


“Selepas teguran itu, saya ingatkan dia masih di rumah rakannya dan berbuka di sana. Bagaimanapun, perasaan saya bercampur curiga berikutan dia masih tidak pulang selepas Maghrib, menyebabkan usaha mencarinya dilakukan di kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Jalan Manal, di sini, semalam.

Rosnah berkata, dia terkejut mendapati rakan anaknya pulang ke kampung mereka di Salor, menyebabkan usaha mencarinya dilakukan di sekeliling rumah.

“Hanya Tuhan tahu perasaan saya ketika itu. Saya bimbang berlaku kejadian tidak diingini dan terus mencarinya meskipun keadaan sekeliling mulai gelap.

“Bagaikan tidak percaya apa yang saya saksikan apabila menemui anak dalam keadaan separuh tubuhnya hangus, dipercayai terkena panahan petir berdekatan kawasan bangsal semak dan terlindung dari pandangan umum,” katanya.

Katanya, ketika itu Siti Munirah dalam keadaan terlentang, manakala baju T hitam dan seluar pendek merah jambu yang dipakainya turut terkena panahan petir dan hangus sebahagiannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa ditemui 50 meter dari rumah dalam keadaan terlentang dengan sebahagian badan hangus.-hmetro

Latah isteri penyelamat dibaham buaya

KUCHING: Jeritan seorang isteri yang menghidap penyakit latah menyelamatkan suaminya, Wan Sahari Wan Ateng, 47, daripada dibaham buaya di Sungai Paroh, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Wan Sahari, yang sedang menjala udang bersama isterinya Saliah Jini, 47, tiba-tiba diserang buaya yang dianggarkan sepanjang 6.5 meter.
Melihat buaya yang muncul di tepi perahu mereka menyambar lengan kanan suaminya, Saliah, melatah dan jeritannya menyebabkan reptilia itu melepaskan gigitannya.
"Selepas menyambar lengan saya, buaya itu cuba menarik saya ke dalam sungai dan ketika itu saya hanya terfikir akan mati namun saya berusaha menggagahkan diri melawannya menyebabkan perahu kami senget dan hampir karam.

"Isteri saya yang menghidap latah terkejut melihat kejadian itu dan menjerit dengan suara yang cukup kuat menyebabkan buaya itu berundur tiba-tiba dan terus hilang dalam gelap," katanya.

Sambil mengucapkan syukur terselamat daripada kejadian yang menakutkan itu, Wan Sahari, turut berterima kasih kepada isterinya kerana jeritannya berjaya menakutkan reptilia ganas itu.

"Kalau tidak kerana jeritannya, tidak tahulah nasib saya. Syukurlah Tuhan melindungi saya menjelang 10 hari lagi kita menyambut hari raya," katanya sambil menunjukkan kesan gigitan buaya itu di lengan kanannya.
Bapa kepada sembilan anak itu berkata, kejadian itu adalah kali pertama sejak menjadi nelayan sungai sepenuh masa selepas berhenti kerja dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) 17 tahun lalu.

"Sebelum ini, sudah beberapa kali perahu yang saya naiki terlanggar reptilia itu selain terserempak buaya yang timbul berdekatan perahu, namun apabila menyedarinya saya akan segera berpindah ke tempat lain," katanya. 
-bharian

Kastam rampas dadah RM550,000

PUTRAJAYA: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas dua jenis dadah iaitu methamphetamine atau syabu dan ketamin bernilai lebih RM550,000 yang cuba diseludup ke negara ini melalui KLIA dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, kelmarin.

Rampasan itu dibuat hasil pemantauan dan penilaian risiko terhadap penumpang yang tiba di kedua-dua lapangan terbang terbabit, terutama suspek yang menunjukkan aksi mencurigakan.
Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Datuk M Govinden, berkata kejadian pertama membabitkan penumpang lelaki warga Afrika berusia 33 tahun yang menaiki pesawat QR 622 milik Qatar Airways dari Doha ke Kuala Lumpur.
"Imbasan terhadap beg bimbit berwarna hitam yang dibawa penumpang itu menunjukkan imej mencurigakan. Ini kerana kedua-dua bahagian dinding beg itu kelihatan agak tebal.

"Selepas dipotong pada bahagian atas, dua bungkusan ditemui dan ujian terhadap bahan terbabit mendapati ia positif syabu," katanya di sini, semalam.
Govinden berkata, lelaki terbabit ditahan reman selama seminggu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana cuba menyeludup syabu seberat 1.9 kilogram yang dianggarkan bernilai RM475,000.

Beliau berkata, dalam kes kedua, lelaki tempatan berusia 42 tahun yang menaiki pesawat AK 81 dari Shenzhen ke Kuala Lumpur, ditahan di LCCT.
"Lelaki itu ditahan selepas pemeriksaan terhadap bagasinya mendapati empat bungkusan plastik berwarna perak mengandungi ketamin disembunyikan di ruang khas pada lantai dan penutup bagasi terbabit,” katanya.

Govinden berkata, berat kasar dadah terbabit kira-kira 6.64 kilogram dan dianggarkan bernilai RM120,000.

“Lelaki itu ditahan reman serta berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sehubungan itu, KDRM meminta kerjasama orang ramai untuk menyampaikan maklumat mengenai kegiatan penyeludupan termasuk dadah melalui talian bebas tol 1-800-88-8855 atau talian terus 03-87874909.

Malah, ganjaran akan diberi kepada individu yang menyalurkan maklumat hingga berjaya membawa kepada penangkapan pelakunya dan rampasan dadah. -bharian