Search This Blog

Saturday, August 20, 2011

4 termasuk wanita samun kedai emas

GURUN 19 Ogos - Empat perompak termasuk seorang wanita yang bersenjatakan sepucuk pistol bertindak nekad melarikan beberapa dulang barang kemas dalam satu rompakan di sebuah kedai emas, di Jalan Jerai Maju 2, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, dalam kejadian pada pukul 11.40 pagi yang berlaku kira-kira tiga minit itu, suspek turut melepaskan tembakan.
Katanya, kejadian bermula dengan suspek wanita memasuki premis itu dan berpura-pura sebagai pelanggan sebelum tiga lelaki meluru masuk.
"Selepas mendapat barang kemas, semua suspek berusia 30-an melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Honda Civic berwarna hitam.
"Semasa kejadian, terdapat dua pekerja dan beberapa pelanggan namun, kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.-utusan

Akibat terlalu percaya 'romeo' Internet, janda kaya rugi RM125,000

SHAH ALAM 19 Ogos - Kerana terlalu percayakan teman lelaki warga asing yang baru dikenalinya di Internet, seorang janda kehilangan seutas jam Rolex dan barangan berharga bernilai RM125,000 setelah dicuri suspek di sebuah hotel mewah di Sepang, dekat sini pada 11 Ogos lalu.
Wanita tempatan itu hanya menyedari kejadian tersebut selepas dikejutkan pekerja hotel yang terpaksa masuk untuk memeriksa biliknya kerana mangsa masih belum mendaftar keluar walaupun telah melebihi waktu.
Ketika dikejutkan pekerja hotel berkenaan, mangsa berusia 30-an dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tanpa pakaian setelah dipercayai diberi minuman yang dicampur ubat tidur.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, mangsa yang dalam keadaan lemah itu kemudian dibawa oleh pihak hotel ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan.
Katanya, lebih malang, dua hari selepas itu, suspek yang mengaku warga Australia telah menghubungi wanita tersebut dan mengugut akan menyebarkan gambarnya dalam keadaan tidak senonoh jika mangsa enggan membayarnya RM30,000.
Ujar beliau, selepas keadaannya pulih, mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan ugutan yang diterimanya daripada suspek pada 13 Ogos lalu.
"Berdasarkan siasatan awal kita dapati mangsa yang merupakan seorang wanita kaya berkenalan dengan suspek yang mengaku seorang warga Australia selepas berkenalan dan berbual di Internet baru-baru ini.
"Mangsa yang tempat tinggalnya terpaksa kita rahsiakan bersetuju menemui suspek dan menaiki penerbangan dari tempat tinggalnya menuju ke Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) pada petang 11 Ogos lalu.
"Sampai di LCCT, suspek menjemput mangsa dan membawanya ke sebuah hotel mewah dan di sana mangsa diberi ubat tidur sebelum barangan berharga miliknya dicuri. Kita juga percaya berlaku hubungan seks antara mereka," kata beliau kepada pemberita di sini petang ini.
Menurut Mohd. Adnan, pihaknya kini mengesan suspek yang dipercayai warga asing tetapi bukan dari Australia seperti didakwa dan telah mendapatkan lakaran wajahnya untuk diedarkan.
"Setakat ini, kita percaya suspek masih berada di negara ini," katanya sambil memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dan Seksyen 384 kanun yang sama iaitu melakukan pemerasan.
Beliau menasihatkan orang ramai terutama golongan wanita agar tidak mudah percaya dengan pujuk rayu 'romeo' Internet apa lagi yang baru dikenali kerana mereka mungkin penjenayah yang sedang mencari mangsa untuk ditipu.
-utusan

Polis 'durjana' dalam proses ditahan kerja

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar mengesahkan memang benar ada seorang anggota trafik terlibat menerima rasuah daripada pasangan warga Singapura semasa sekatan di lebuh raya, baru-baru ini.
Beliau berkata, berdasarkan rakaman kejadian yang tersebar melalui video itu, pihaknya sudah berjaya mengenal pasti anggota berkenaan.
Katanya, anggota trafik yang bertugas di Pagoh, Johor itu kini sudah dikenakan tindakan dan dalam proses digantung kerja.
"Kita telah dapat kesan anggota 'durjana' ini dan akan ambil tindakan tegas terhadapnya. Dia kini dalam proses ditahan kerja," katanya di sini hari ini.

RM3.5j mercun, bunga api dirampas

Seorang pegawai kastam menunjukkan sebahagian mercun dan bunga api
 yang dirampas pada sidang media di Putrajaya, semalam. - Bernama

PUTRAJAYA 19 Ogos - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sejak awal tahun ini, berjaya merampas mercun dan bunga api bernilai RM3.5 juta dengan nilai cukai RM2.2 juta dalam operasi di seluruh negara.
Terbaru di Selangor, JKDM dalam tempoh tiga hari sahaja merampas 146,065 kotak mercun dan bunga api bernilai RM804,646 dengan nilai cukai RM523,019.
Bunga api dan mercun tersebut ditemui dalam tiga operasi yang dijalankan di Bandar Tasik Puteri, Rawang; Bandar Sungai Long, Kajang dan Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang pada 17 Ogos hingga hari ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zainul Abidin Taib berkata, lima lelaki ditahan kerana menyimpan pelbagai jenis mercun dan bunga api termasuk Dragon Eggs, Conic Fountain, Camalia Flowers dan Whistling Moon Travelling.
"Mereka yang melakukan kesalahan pertama berdepan denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali ganda dari nilai barang atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
"Bagi kesalahan berulang pula, pesalah akan dikenakan denda tidak kurang 20 kali ganda dan tidak lebih 40 kali ganda nilai barang atau hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Zainul Abidin berkata, JKDM akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang menyeludup atau menyimpan mercun dan bunga api.
"Untuk makluman, hanya dua jenis bunga api iaitu Pop Pop dan Happy Boom yang tidak membabitkan unsur letupan dibenarkan diimport.
"Orang ramai diseru memberi maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan kepada JKDM melalui talian bebas tol 1-800-88-8855," katanya.-utusan

Mekanik dihukum gantung

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Hampir tiga tahun lalu, seorang mekanik dikira bernasib baik apabila Mahkamah Tinggi di sini meminda pertuduhannya di akhir kes pendakwaan daripada mengedar dadah kepada memiliki dadah.
Keputusan tersebut juga menyebabkannya terselamat daripada hukuman di tali gantung apabila hanya dihukum penjara 12 tahun dan sebatan 10 kali.
Bagaimanapun, pada penghujung Jun lalu, Mahkamah Rayuan telah meminda keputusan tersebut lalu memerintahkan Amran Senin, 35, membela diri atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis.
Dia didakwa mengedar dadah tersebut seberat 2.75 kilogram kira-kira pukul 8.30 malam, 14 Mac 2005, di kawasan letak kereta Restoran Nelayan Titiwangsa di sini.
Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, Mahkamah Tinggi yang sama hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas Hakim Datuk Ghazali Cha mendapati pembelaan tertuduh dalam kes itu hanyalah satu rekaan.-utusan

7 warga emas dicekup berjudi

BALIK PULAU 19 Ogos - Tujuh warga emas dicekup ketika sedang leka berjudi dalam serbuan di sebuah pondok nelayan di Permatang Damar Laut, di sini, kelmarin.
Serbuan dilakukan sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, kira-kira pukul 1 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Supritendan Lai Fah Hin berkata, hasil serbuan polis mendapati, kesemua mereka terlibat dengan kegiatan judi pakau dan bertaruh kira-kira RM100 bagi setiap permainan.
"Ketika diserbu, warga emas yang juga nelayan pantai itu cuba meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran tetapi gagal kerana dikepung polis.
"Semua mereka yang ditahan berusia antara 56 dan 70 tahun dengan rampasan wang tunai berjumlah RM56 dan 112 kad daun terup," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Menurut beliau, kesemua mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau dan akan didakwa mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
"Mereka menjalankan kegiatan perjudian secara berkumpulan tetapi hanya sebahagian berjaya diberkas manakala selebihnya memboloskan diri bersama wang judi," ujarnya.-utusan

Dua ditahan curi wang ATM

KANGAR 19 Ogos - Tidak sampai tempoh 24 jam, polis negeri ini berjaya menahan dua lelaki disyaki mencuri wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kawasan perumahan Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Kampung Wai, Kuala Perlis, pada Isnin lalu.
Tindakan pantas pihak polis juga menyebabkan kedua-dua suspek hanya sempat berbelanja sebanyak RM800 daripada sejumlah RM191,050 wang yang dicuri sekali gus polis menemui kembali baki wang berkenaan yang berjumlah RM190,250.
Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner, Zull Aznam Haron berkata, lelaki berusia 30 tahun dan 29 tahun merupakan juruteknik ATM sebuah syarikat kawalan keselamatan.
"Pihak polis menerima laporan daripada seorang Pengurus Cawangan sebuah syarikat kawalan keselamatan mengenai kehilangan wang berjumlah RM191,050 di mesin ATM tersebut," katanya kepada para pemberita di sini, hari ini.-utusan

Remaja ugut bunuh diri terjun jambatan akibat masalah keluarga

KUALA KANGSAR 19 Ogos - Orang ramai yang melalui Jambatan Sultan Abdul Jalil di sini malam tadi, gempar apabila seorang remaja perempuan berusia 16 tahun mengugut untuk terjun dari jambatan itu.
Tindakan remaja berkenaan duduk di tepi tembok jambatan itu bukan sahaja menimbulkan suasana cemas ahli keluarga tetapi orang ramai yang melaluinya.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Dolah Samina Koromo berkata, semasa tiba di lokasi, remaja itu berada dalam keadaan tertekan.
Katanya, remaja itu duduk di tempat paling kritikal dan jika berlaku kecuaian, mangsa boleh terjatuh ke dalam sungai.
"Usaha memujuk remaja berkenaan selama 20 minit gagal. Apabila ahli keluarganya sampai di lokasi, remaja itu mengugut akan terjun dan tidak mahu didekati.
"Bagi mengelakkan dia terjun atau pengsan, kami menyerbu mangsa menggunakan kelengkapan keselamatan," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Dolah berkata, selepas berjaya diselamatkan pukul 12.15 tengah malam, remaja berkenaan dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan.
Difahamkan remaja yang berasal dari Kampung Kandang Hilir Kota Lama Kanan itu bertindak demikian kerana mengalami masalah keluarga.-utusan

Dua produk kosmetik beracun

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan dua produk kosmetik import yang dikesan mengandungi racun berjadual.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Datuk Eisah A. Rahman berkata, kedua-dua produk tersebut ialah krim Derma-Rx dan krim Arbutin-R yang dikenal pasti mengandungi racun hydroquinone dan tretinoin.
"Racun tersebut boleh menyebabkan kulit pengguna mengelupas, mengalami kemerahan dan ketidakselesaan serta terlalu sensitif kepada cahaya matahari," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Menurut Eisah, pengguna juga berisiko untuk menghidap penyakit kanser kulit kerana racun hydroquinone boleh mengurangkan perlindungan terhadap kulit daripada pancaran ultra ungu.
"Pihak kami turut mengarahkan syarikat yang bertanggungjawab terhadap produk itu, DRx Aesthetic Sdn. Bhd. untuk menarik balik dan memberhentikan penjualan serta-merta dalam tempoh 72 jam," katanya.
Katanya, produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, manakala individu terlibat boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara lima tahun dan syarikat akan didenda sehingga RM100,000.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan untuk menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-78835532 atau 03-78835534 sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut.-utusan

Pemilik salun songlap RM1.6j

DICARI...Shafien menunjukkan gambar Hashima yang disyaki menipu pelaburan berjumlah RM1.6 juta.
DICARI...Shafien menunjukkan gambar Hashima yang disyaki menipu pelaburan berjumlah RM1.6 juta.
NIBONG TEBAL: Seorang pemilik salun kecantikan dan dua lelaki dicari bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pelaburan dan 10 kes samun di sekitar Seberang Prai Selatan dan Bukit Mertajam, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, pemilik salun itu yang dikenali sebagai Hashima Hashim, 36, dari Taman Merak Jaya, dekat sini, dicari berkenaan kes pelaburan membabitkan lebih 30 pelabur yang juga mangsanya.
Katanya, pihaknya menerima laporan polis pada 1 Ogos lalu daripada mangsa mendakwa berasa tertipu sebelum melakukan siasatan.

“Selepas menjalankan siasatan, kami mendapati lebih 30 mangsa membuat pelaburan berjumlah setengah juta kepada suspek sejak beberapa tahun lalu.


“Pada awal pelaburan, mereka menerima dividen seperti dijanjikan, namun pada Julai lalu, suspek menghilangkan diri malah suaminya tidak dapat mengesannya.-hmetro

Remaja cabul jiran jalani pemulihan akhlak

KLANG: Seorang remaja 16 tahun diperintah menjalani pemulihan di sekolah pemulihan akhlak oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas didapati bersalah mencabul anak jirannya, seorang kanak-kanak berumur lapan tahun, tahun lalu.
Majistret Afifah Yusof memerintahkan remaja lelaki tidak bersekolah itu dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Melaka sehingga umur 21 tahun.

Terdahulu, pesalah muda itu didapati bersalah menggunakan kekerasan dengan cara mencium kepala dan dahi serta membuka pakaian kanak-kanak terbabit, yang juga jirannya.

Dia melakukan kesalahan itu di ladang kelapa sawit berhampiran Taman Ubudiah, Jalan Perajurit, Telok Gong, Pandamaran di sini, antara jam 6.49 petang dan 7.10 malam, 25 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kee Wei Lon, Nizi Shahril Ithnin dan Puteri Iskandariah Md Tahir mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.


Peguam mewakili tertuduh, Nur Shakimah Harun meminta mahkamah memberikan remaja itu peluang kedua supaya dapat menjaga kedua ibu bapa dan berubah menjadi individu yang berkelakuan baik. Bagaimanapun, panel penasihat juvana, Masdar Mohd Husni dan Saliyah Ahmad menyarankan tertuduh dihantar ke Henry Gurney untuk pemulihan.

“Dia melakukan kesalahan jenayah terhadap seorang kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa. Ia kesalahan serius yang boleh membawa kepada kematian jika mangsa lambat ditemui.

“Walaupun (tertuduh) tiada rekod lampau, saya syorkan dia dihantar ke sekolah pemulihan,” katanya. Wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tuah Sajali yang menyerahkan laporan akhlak turut menyarankan remaja itu menjalani pemulihan di institusi.-hmetro

Lembik dalam hutan

SAKIT...Nanthakumaran yang cedera dirawat di Hospital Selayang.
SAKIT...Nanthakumaran yang cedera dirawat di Hospital Selayang.
GOMBAK: Seorang lelaki ditahan hampir lima jam di kawasan hutan menghala Genting Highlands sebelum dibelasah hingga ‘lembik’ oleh lapan lelaki gara-gara dituduh mencuri barang kemas bernilai RM100,000, kelmarin.
Malah, mangsa, Nanthakumaran, 31, turut tidak diberi makan dan minum ketika ditahan selain diseksa, malah mereka juga mengugut akan membunuh anak dan merogol isterinya jika tidak mengaku mencuri barangan milik sepupunya.

Rayuan mangsa yang berulang kali minta dibebas dan menafikan mencuri barangan kemas seperti didakwa lelaki itu tidak dilayan, malah mereka berulang kali memukulnya menggunakan batu-bata dan topi keledar.

Akibat kejadian itu, mangsa menerima beberapa jahitan di kepala, cedera di mata dan seluruh badan dan kini terlantar di Hospital Selayang.

Nanthakumaran berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan anak menziarahi kakaknya di Bandar Baru Selayang, kira-kira jam 3.30 petang.

Bagaimanapun, selang beberapa minit kemudian datang lapan lelaki yang mendakwa rakan sepupunya membuat bising dan merosakkan pintu pagar rumah.


“Tidak cukup dengan itu mereka menceroboh masuk dalam rumah dan memukul isteri saya dengan topi keledar berulang kali.

“Selepas itu mereka datang ke arah saya dan memukul dengan batu-bata dan topi keledar di kepala hingga berdarah,” katanya ketika ditemui selepas menjalani pembedahan, semalam.

Beliau berkata, lelaki itu memberitahu diupah sepupunya kerana tidak berpuas hati barang kemasnya dicuri.

“Saya yang tidak tahu-menahu kejadian terbabit menafikan mengambil barang kemas itu menyebabkan mereka bertambah marah dan menarik saya keluar dan membawa ke Genting Highlands sebelum berhenti di dalam hutan.

“Ketika itu mereka memukul saya berulang kali dengan batu-bata dan topi keledar hingga baju saya berlumuran darah,” katanya.

Katanya, dia juga memberitahu jika benar dia mencuri mereka sepatutnya membuat laporan polis, namun kesal apabila tidak dilayan, malah mereka membelasahnya hingga pengsan.

“Saya tersedar apabila isteri dan polis membantu menghantar saya ke Hospital Selayang selepas mereka meninggalkan saya di Balai Polis Bukit Idaman,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Janes Linda Muthusamy, berkata ketika mendapat berita suaminya sudah dijumpai, dia bergegas ke balai polis berkenaan dan terkejut apabila melihat keadaan wajah suami yang teruk dan bengkak akibat dihentak dengan topi keledar dan batu-bata.

“Saya tidak mampu berkata-kata apa-apa dan sedih melihat keadaan suami kerana mereka sanggup bertindak kejam membelasahnya tanpa usul periksa.

“Sepatutnya mereka menyerahkan kes ini kepada polis jika benar suami saya mencuri dan bukan bertindak sendiri,” katanya.

Dia membuat laporan di Balai Polis Selayang selepas suaminya dibawa lari kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan beliau berkata suspek adalah saudara mangsa.

Menurutnya, saudara mangsa juga sudah ditahan polis bagi membantu siasatan manakala lelaki yang diupah memukul masih diburu.-hmetro

British Council diserang: 8 mati

KABUL: Lapan terbunuh akibat serangan bersiri pengebom berani mati yang meletupkan diri di pusat kebudayaan British Council di Kabul ketika penduduk Afghanistan bercuti sempena hari kemerdekaan negara itu, semalam.
Dua letupan menggegarkan pejabat British Council selepas tiga atau empat pengebom berani mati Taliban berjaya menyelinap ke kawasan itu.

Tindakan militan terbabit mencetuskan insiden tembak-menembak kira-kira jam 5.45 pagi (waktu tempatan) dan berlanjutan sehingga lebih lapan jam.

Empat letupan lagi didengar ketika serangan berkenaan.

British Council adalah pertubuhan rasmi yang mendapatkan sebahagian daripada dananya daripada kerajaan Britain bagi mempromosi perhubungan kebudayaan di seluruh dunia.

Britain memerdekakan Afghanistan pada 1919.


Asap tebal kelihatan berkepul keluar dari bangunan British Council yang terletak berhampiran sebuah kereta hangus terbakar selepas pemandunya merempuh dinding kawasan berkenaan dan meletup.

Sumber berkata, antara korban adalah “dua atau tiga warga Nepal”, namun pegawai Britain kemudian mengesahkan semua rakyat negara itu yang ada di tempat kejadian selamat.

Bangunan kerajaan Britain di Kabul biasanya dikawal bekas tentera Gurkha warga Nepal, tetapi kini tugas itu diambil alih firma keselamatan swasta.

Menteri Pejabat Britain, Alistair Burt, berkata kerajaannya mengecam serangan itu.

“Saya mengesahkan semua warga Britain yang berkenaan kini selamat,” katanya.

Kabul pula berkata, lapan orang - kebanyakannya polis - terbunuh dan 10 lagi cedera selepas tiga atau empat pengebom berani mati menyerbu kawasan berkenaan.

Duta Britain ke Afghanistan, William Patey, kemudian berkata semua pemberontak yang terbabit dalam serangan itu dibunuh.

“Ada antara mangsa serangan bersembunyi dalam bilik kebal, termasuk seorang warga Afrika Selatan yang bekerja dengan British Council dan pengawal keselamatan Britain,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, berkata mereka melancarkan serangan itu bagi memperingati hari kemerdekaan negara berkenaan.

“Sasaran serangan ialah British Council dan sebuah rumah tetamu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya. - AFP, hmetro

5 maut festival rock dilanda ribut

HASSELT (Belgium): Angin kencang melanda utara Belgium turut menjejaskan satu festival muzik rock Pukkelpop dan membunuh lima orang, kata Datuk Bandar Hasselt, Hilde Claes semalam.
Menurut Hasselt, 10 lagi cedera, termasuk tiga yang dalam keadaan kritikal.

Polis berkata, dua pentas yang dipasang di tempat terbuka runtuh, manakala banyak pokok tumbang.

Hujan batu sebesar bola golf melanda kawasan berkenaan dan mencederakan penonton festival muzik itu.

Penganjur terpaksa menangguhkan persembahan akibat bencana itu.

Festival Pukkelpop itu sepatutnya diadakan tiga hari dan mampu menarik sehingga 65,000 penonton bagi setiap sesi.


Hilde berkata, semua korban adalah warga Belgium.

“Sebelum persembahan diadakan, penganjur memeriksa kelengkapan mereka supaya mampu bertahan dalam angin kencang, selain memastikan sistem perparitan berfungsi baik.

“Keadaan itu meyakinkan mereka bahawa situasi adalah selamat untuk diadakan persembahan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Hilde, penganjur tidak menyangka berdepan dengan bencana dahsyat itu.

Angin kencang turut menyebabkan sebahagian daripada pokok diterbangkan angin dan tercampak ke atas pentas. - AFP, hmetro

Polis rampas senjata dalam bengkel besi



Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my
2011/08/20

ZULL AZNAM (tengah), menunjukkan  senjata api  yang dirampas 
di Taman Perlis ketika sidang media di pejabatnya, semalam.
ZULL AZNAM (tengah), menunjukkan senjata api yang dirampas di Taman Perlis ketika sidang media di pejabatnya, semalam.
Kereta lama jadi stor simpanan 

KANGAR: Dua beradik pengusaha bengkel besi ditahan selepas dikesan memiliki lima senjata api pelbagai jenis bersama lebih 3,000 peluru hidup serta sejumlah bahan letupan yang disimpan di beberapa lokasi sekitar Taman Perlis, di sini, petang kelmarin.
Kedua-dua suspek berusia 35 dan 45 tahun dengan salah seorang daripada mereka memiliki dua rekod jenayah membabitkan kes curi dan pemerasan, ditahan jam 12 tengah hari.
Dua beradik itu ditahan berikutan penemuan senjata api dan ribuan peluru hidup yang dikhuatiri digunakan bagi tujuan jenayah selain berpotensi diperdagangkan. 

Antara dirampas termasuk dua pucuk Revolver .38, dua pistol automatik jenis Beretta dan Glock selain selaras senapang patah. Turut ditemui, lebih 2,700 peluru hidup pelbagai kaliber dan jenama selain lebih 400 katrij senapang patah dan sejumlah kelopak peluru khusus untuk pistol serta raifal M-16. 

Difahamkan, senjata api terbabit ditemui disimpan dalam dua kenderaan lama yang dipercayai digunakan suspek sebagai stor penyimpanan di kawasan garaj berhampiran gelanggang bola keranjang di Taman Perlis. 

Selain senjata api dan peluru, polis turut merampas tujuh senjata tajam termasuk sebilah pedang samurai dan dua pisau Rambo, selain dua lembing. Turut dirampas, dua kenderaan digunakan untuk menyimpan senjata api terbabit. 
Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Haron, berkata motif utama kedua-dua suspek menyimpan senjata api termasuk bahan letupan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran, masih disiasat. 

Polis akan mengambil kira segenap aspek dalam siasatan termasuk kemungkinan kedua-dua suspek mempunyai peranan dalam kegiatan penyeludupan atau pemerdagangan senjata api. 

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana seseorang yang dibuktikan memiliki lebih daripada dua senjata api dengan menyalahi undang-undang, hendaklah dianggap sebagai berdagang senjata api. 

“Kita turut menyiasat kes mengikut Seksyen 8A Akta Senjata Api 1960, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan & Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya di sini, semalam. 

Sementara itu, kedua-dua suspek semalam dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, sebelum masing-masing dikenakan perintah tahanan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan. -bharian

Dua lanun Indonesia dijel, sebat




Dua lanun Indonesia, Aman (depan) dan Mohammad diiringi polis keluar dari mahkamah setelah dijatuhi hukuman penjara dan sebat oleh Mahkamah Sesyen di Ipoh semalam.


IPOH – Dua lanun warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku salah menyamun sebuah bot nelayan tempatan di perairan Pulau Jarak, Manjung dekat sini pada 7 Ogos lalu semalam.
Hakim Julie Lack Abdullah dalam penghakimannya berkata, alasan Mohammad Ali, 27, dan Aman Hassan, 30, yang mendakwa terpaksa menjadi lanun kerana dipaksa pemiutang tidak dapat diterima.
“Alasan kedua-dua tertuduh tidak dapat diterima mahkamah memandangkan jenayah yang dilakukan amat serius dan mengancam keselamatan Malaysia,” katanya ketika membacakan keputusan penghakimannya di sini semalam.
Terdahulu Mohammad dan Aman yang tidak diwakili peguam ketika prosiding merayu minta diringankan hukuman kerana terpaksa menjadi lanun bagi melunaskan hutang.
“Saya perlu wang kerana isteri saya melahirkan anak kedua melalui pembedahan dan anak saya itu kini sakit. Saya pinjam wang dan terpaksa buat kerja ini (lanun) untuk langsai hutang,” kata Aman kepada mahkamah.
Mohammad juga menjelaskan dia juga terpaksa menjadi anggota kepada sekumpulan lanun diketuai seorang lelaki bernama Chang Kui bagi menjelaskan hutang.
“Semua ini gara-gara hutang. Saya menyesal dan mahu membahagiakan orang tua saya kerana sebelum ini saya tidak pernah membahagiakan mereka,” katanya.-kosmo

5 penyamun Geng Shraf dicekup

NIBONG TEBAL - Satu kumpulan penjenayah Geng Shraf yang aktif melakukan samun selepas berpura-pura bertanyakan sesuatu dan meminta arah jalan tumpas ekoran penahanan lima anggotanya pada awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, suspek pertama berjaya ditahan selepas dia menyamun rantai leher seorang wanita di Sungai Bakap dekat sini pada pukul 12 tengah hari 10 Ogos lalu.
Menurut beliau, hasil soal siasat terhadap suspek pertama itu membawa kepada penahanan empat lagi suspek lain dua hari selepas itu di sekitar Alma dan Bukit Tengah di Bukit Mertajam.
"Modus operandi Geng Shraf adalah menunggang motosikal secara berkumpulan di kawasan perumahan dan lokasi menjadi tumpuan ramai untuk mencari mangsa.
"Sebaik mengenal pasti mangsa, mereka akan berhenti dan berlakon seolah-olah bertanyakan sesuatu sebelum menyamun barangan berharga milik mangsa," kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Kata beliau, daripada siasatan terhadap suspek-suspek yang tiada pekerjaan itu mereka telah terlibat dalam kira-kira 10 kes samun menggunakan modus operandi sama sejak sebulan lalu.
Geng Shrah mengambil sempena nama salah seorang suspek yang ditahan.-kosmo

Janda disamun di hotel

SHAH ALAM - Hasrat seorang janda untuk berpacaran dengan seorang lelaki Australia berkecai apabila dia bukan sahaja menjadi mangsa samun malah terpaksa hidup dalam ketakutan selepas diugut supaya menyerahkan RM30,000 jika tidak mahu gambarnya dalam keadaan mengaibkan tersebar.
Kejadian 11 Ogos lalu itu berlaku apabila ibu kepada empat anak berusia lingkungan 30-an tersebut menginap di sebuah hotel di Sepang bersama lelaki tersebut.
Lebih malang apabila barangan berharga seperti jam tangan Rolex dan barang kemas miliknya dilarikan suspek. Barangan tersebut merupakan hadiah daripada arwah suaminya yang telah meninggal dunia enam tahun lalu.
Difahamkan, mangsa mendakwa telah mengadakan hubungan seks bersama suspek di hotel tersebut sebelum dia tidak sedarkan diri sebaik diberi sejenis minuman oleh suspek. Suspek turut mengugut mangsa memberinya RM30,000 jika tidak mahu gambar bogelnya yang diambil di hotel itu disebarkan.
Episod malang wanita itu bermula apabila dia berkenalan dengan seorang lelaki menyamar sebagai warga Australia bergelar Richard di satu laman sosial di Internet sejak empat bulan lalu.
Selepas bertukar-tukar maklumat, kedua-dua mereka akhirnya bersetuju untuk bertemu selepas suspek mendakwa akan datang ke sini melalui Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang 11 Ogos lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah (gambar kecil) berkata, kemuncak perkenalan mangsa apabila mangsa yang teruja dengan berita itu bergegas ke LCCT untuk menyambut ketibaan kekasihnya tersebut.
Katanya, sebaik tiba, mangsa telah diajak untuk menginap di sebuah hotel di Sepang.
"Mangsa kemudian memberitahu yang mereka telah mengadakan hubungan seks sebelum dia tidak sedarkan diri selepas diberi sejenis minuman.
"Mangsa hanya dibawa keluar apabila pihak pengurusan membuka pintu bilik selepas curiga penghuninya tidak muncul-muncul. Ketika itu mangsa dalam keadaan terbaring di atas katil sebelum dibawa ke hospital," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.-kosmo
Tambahnya, sebaik sedar di hospital, mangsa mendapati barangan berharga seperti jam Rolex dan barang kemas miliknya lesap.
Menurut Mohd. Adnan, tidak lama selepas kejadian itu, suspek telah menghubungi mangsa dan memintanya membayar RM30,000 jika tidak mahu gambar yang mengaibkannya disebarkan.
"Mangsa yang cemas kemudian telah membuat laporan dua hari kemudian dan polis telah menubuhkan satu pasukan khas untuk mengesan suspek yang menggunakan pasport palsu untuk menyamar sebagai warga Australia itu," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 384/380 Kanun Keseksaan iaitu peras ugut dan curi dalam bangunan.

Wanita dikerat: 10 warga Bangladesh, seorang Indonesia ditahan

SHAH ALAM: Polis menahan 11 lelaki warga asing kerana berhubung kes pembunuhan seorang wanita, yang mayatnya dikerat-kerat, dan seorang kanak-kanak lelaki di Ampang, Selangor, pada 3 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata mereka terdiri 10 warga Bangladesh berumur dalam lingkungan 20 hingga 30-an dan seorang warga Indonesia.
"Motif sebenar kejadian masih belum diketahui, dan kita percaya mengetahuinya dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Semua suspek ditahan reman sehingga 22 Ogos dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian itu, polis menemui keratan tubuh dan organ manusia, termasuk usus, dalam beberapa beg plastik serta dalam mangkuk tandas di sebuah unit di tingkat lima Pangsapuri Astaria, Taman Kosas, Ampang.

Selepas siasatan awal, polis mengesahkan semua beg plastik itu mengandungi keratan mayat seorang wanita warga asing dalam lingkungan 30-an dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 20 bulan.

Mohd Adnan berkata polis turut merampas beberapa barangan kes termasuk dua bilah pisau, dua pasu bunga dan dua batang mob dari rumah didiami suspek yang terletak beberapa baris dari rumah mangsa.
Beliau berkata polis tidak dapat mengenal pasti sama ada kanak-kanak lelaki itu adalah anak wanita berkenaan.

Ditanya mengenai seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai suami kepada wanita itu, Mohd Adnan berkata polis tidak dapat mengesahkan hubungan mereka.

Dalam kes lain, polis menahan tiga suspek termasuk seorang warga Bangladesh yang disyaki terlibat dalam kes seorang pemberi hutang atau "Ahlong" yang ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di bilik air sebuah premis kopitiam di kawasan Petaling Jaya Commercial City (PJCC) di Petaling Jaya pada Isnin lalu akibat ditetak.

Mohd Adnan berkata polis turut merampas dua telefon bimbit dan dua bilah pisau dari suspek yang berumur dalam lingkungan 25 hingga 35 tahun.

"Motif kejadian dipercayai berpunca dari perselisihan faham berkaitan pinjaman wang. Polis masih menjejaki dua lagi warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes ini," katanya.

Dalam satu lagi kes, polis menahan dua warga Bangladesh berhubung kes seorang pembantu rumah rakyat Filipina ditemui mati dengan kesan lebam di badan dan hentakan di kepala di rumah majikannya di Jalan Gasing, Petaling Jaya, pada 23 Julai lalu.

"Motif kejadian berpunca dari sikap cemburu," katanya.

Katanya polis percaya telah berjaya menyelesaikan kes berkenaan dengan tertangkapnya semua suspek itu. - BERNAMA , bharian

Dua warga Singapura ditahan cuba sogok polis

REMBAU: Dua warga Singapura adalah antara tiga pemandu kenderaan yang ditahan kerana cuba menyogok polis yang menjalankan operasi had laju di kilometer 224 Lebuh raya Utara Selatan, dekat sini hari ini.Pegawai Turus Trafik Bukit Aman, Suerintendent Hamzah Ahmad, berkata ketiga-tiga lelaki berusia antara 34 dan 45 tahun itu cuba memberi rasuah antara RM30 hingga RM50 kepada anggota polis yang menahan mereka kerana memandu melebihi had laju. "Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau untuk diambil keterangan sebelum dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Seremban untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi. Beliau berkata, sepanjang operasi dua jam bermula jam 9 pagi itu, pihaknya mengeluarkan 40 saman atas pelbagai kesalahan seperti memandu melebihi had laju, nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut peraturan, lesen memandu tamat tempoh dan cukai jalan tamat tempoh. - BERNAMA -bharian

Penunggang motosikal maut digilis lori

BUKIT MERTAJAM: Seorang pekerja kilang maut selepas terjatuh daripada motosikalnya dan digilis sebuah lori di kilometer 139.7 Lebuh raya Utara Selatan berhampiran Juru, di sini hari ini.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Superintenden S. Manogaran, berkata Mohd Farid Sulaiman, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
"Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari Bagan Ajam ke tempat kerja di Perai. Motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah motosikal lain menyebabkan mangsa terjatuh.
"Sebuah lori yang kebetulan berada di laluan sama tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa," katanya, di sini.

Mayat Mohd Farid dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Beliau juga berkata, kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh lebih lima kilometer. - BERNAMA , bharian

3 maut pentas ranap dipukul ribut di Belgium

BRUSSELS: Sekurang-kurangnya tiga terbunuh manakala 40 yang lain cedera apabila ribut melanda dan memusnahkan dua pentas di sebuah festival muzik di Bandar Hasselt di timur Belgium, semalam.

Keadaan panik itu menyebabkan puluhan ribu berlari mendapatkan perlindungan, kata Datuk Bandar Hasselt, Hilde Claes.
Menurut agensi berita Xinhua, pentas Chateau di festival Pukkelpop musnah selepas pokok tumbang akibat angin kencang sebelum menghempap pentas.
Ketika ribut melanda bandar itu semalam, dianggarkan 40,000 penonton yang kebanyakannya remaja di festival yang berlangsung selama tiga hari itu. - BERNAMA , bharian

Wartawan antara 3 maut nahas helikopter

SYDNEY: Sekurang-kurangnya tiga terbunuh dalam nahas helikopter di selatan Australia, kata pegawai polis hari ini, seorang wartawan dipercayai antara mangsa yang terkorban.

Australian Broadcasting Corp berkata, tiga kakitangan berita termasuk wartawan veteran, Paul Lockyer dipercayai terkorban apabila helikopter dinaiki mereka terhempas di pedalaman Selatan Australia semalam.
Polis Australia Selatan mengesahkan tiga terbunuh dalam kemalangan itu manakala punca kejadian masih disiasat. - AP
-bharian