Search This Blog

Loading...

Friday, August 19, 2011

21,000 kenderaan di saman di KLIA, 11,000 di LCCT

SEPANG — Sebanyak 21,000 saman akibat kesalahan meletak kenderaan di kawasan balai ketibaan dan balai berlepas Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikeluarkan bagi tempoh Januari hingga Julai lepas, kata polis.
Ketua Polis Daerah Sepang, Supt. Imran Abdul Rahman berkata, sebanyak 11,000 saman lagi dikeluarkan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) akibat kesalahan yang sama untuk tempoh yang sama.
"Ini bermakna purata 3,000 saman sebulan dikeluarkan di KLIA dan 1,500 saman sebulan di LCCT sama ada untuk kenderaan persendirian atau komersil.
"Masalah kesesakan lalu lintas di depan terminal KLIA dan LCCT ini bukan isu baru. Ini akibat sikap pengguna yang meletakkan kenderaan sesuka hati terutama di depan balai ketibaan dan balai berlepas menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini hari ini.
Sehubungan itu beliau berkata, anggota polis trafik akan meningkatkan penguatkuasaan daripada masa ke semasa di kedua-dua terminal dan pada masa yang sama berharap pengguna meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan. — Bernama

Anggota polis didakwa rompak RM34,516

KUALA LUMPUR 19 Ogos (Bernama) — Lima anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 dakwaan merompak secara berkumpulan 16 warga Bangladesh sejumlah wang tunai RM34,516, pada 8 Ogos lepas.
Mohd. Afizi Mohd. Nasir, 27; Muhammad Hairey Muhammad Puzi, 21; Azrin Adha Abdullah, 25; Mohd Faiz Muhammad, 25; dan Mohammad Firdaus Jamaludin, 20; didakwa melakukan rompakan ke atas kesemua mangsa yang berumur antara 20 dan 40 tahun di sebuah rumah No 52, Jalan Nagasari, Dang Wangi di sini pada 12.01 pagi.
Kesemua tertuduh yang bertugas di Bahagian Tugas Am dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi didakwa merompak wang tunai dan 19 telefon bimbit pekerja-pekerja buruh binaan itu.
Pertuduhan ke atas kesemua mereka dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurmardiana Mamat menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, namun peguam Mohamad Arfizi Mohd. Ramli yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan kesemua mereka merupakan penanggung tunggal keluarga. — Bernama, kosmo

Mekanik dihukum gantung kerana edar dadah

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang mekanik selepas didapati bersalah mengedar dadah enam tahun lalu.
Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu selepas mendapati Amran Senin, 35, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, katanya, pembelaan tertuduh hanya penafian semata-mata tanpa disokong oleh mana-mana saksi serta mustahil tertuduh tidak mengetahui ada bungkusan dadah jenis kanabis dalam keretanya kerana bahan itu mempunyai bau yang kuat.
Amran didakwa mengedar kanabis seberat 2.741 kilogram di kawasan tempat letak kereta Restoran Nelayan Titiwangsa, di sini, kira-kira 8.30 malam, 14 Mac 2005.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib manakala Amran diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Sepanjang perbicaraan, pendakwaan memanggil lapan saksi manakala ketika membela diri, hanya Amran yang memberi keterangan.— Bernama, kosmo

Bayi lelaki ditemui dalam surau

IPOH – Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui di dalam surau di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Salak Baru, Sungai Siput, 40km dari sini hari ini.
Bayi yang masih mempunyai tali pusat dan dibalut dengan kain batik itu ditemui pada pukul 7.15 pagi oleh beberapa pekerja Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) yang mendengar tangisannya ketika sedang membersihkan sekeliling kawasan R&R berkenaan.
Seorang daripada pekerja terbabit kemudian membuat laporan polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata bayi lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk pemeriksaan.
Bayi itu dipercayai diletakkan di surau itu oleh seorang wanita yang kemudiannya menyembunyikan diri, katanya ketika ditemui pada perhimpunan bulanan Ketua Polis Perak di sini hari ini.
Polis sedang menyiasat dan mengesan ibu bayi berkenaan dan meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Sungai Siput di talian 05-5981222 untuk membantu siasatan. - Bernama, kosmo

Peniaga dalang edar mercun

NIBONG - Hasrat seorang peniaga bazar Ramadan untuk mencari pendapatan tambahan sempena kedatangan Lebaran dengan menjual mercun berkubur apabila aktivitinya itu berjaya dihidu pihak berkuasa.

Hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah telah menyerbu sebuah rumah di Lorong 5 Kiri dekat sini dan berjaya menahan seorang suspek berusia 46 tahun, dipercayai menjadi dalang aktiviti itu.

Pemeriksaan lanjut polis di rumah suspek yang bekerja sebagai peniaga itu juga turut menemui sejumlah mercun pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM2,000.

Siasatan awal mendapati, bahan letupan itu diperoleh suspek dari Kelantan dan dipercayai untuk pasaran tempatan sempena musim perayaan nanti.

Dalam serbuan berasingan di Paka pula, seorang wanita berusia 53 ditahan untuk membantu siasatan kerana disyaki terbabit dengan kes pengedaran dan penjualan mercun apabila sejumlah mercun pelbagai jenis ditemui di rumah suspek dekat Taman Murni Perdana.

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor dalam satu sidang medianya berkata, polis akan sentiasa membuat pemantauan terhadap isu penjualan mercun selain bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat.

“Kedua-dua suspek yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes pengedaran dan penjualan mercun kini ditahan reman untuk membantu siasatan.

“Kita harap orang ramai tidak terlibat dengan aktiviti seperti ini kerana polis sentiasa membuat pemantauan,” katanya.

Kesemua rampasan bernilai kira-kira RM4,000 dan suspek bakal dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.-SH

Mengaku salah seludup mercun

KANGAR - Seorang lelaki, Zaid Idrus, 39 mengaku bersalah selepas didakwa cuba menyeludup pelbagai jenis mercun dan bunga api pada 14 Ogos lalu.

Manakala rakannya, Mohd Effendy Abdul, 25, yang turut ditahan dalam kejadian sama membuat pendirian berbeza apabila meminta untuk dibicarakan atas dakwaan terbabit di hadapan Pendaftar Mahkamah, Monica Joseph Gaisah.

Kedua-dua mereka disabitkan atas kesalahan bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Dalam pendengaran kes itu yang dijalankan di Mahkamah Trafik, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk faham selepas mendengar pertuduhan yang dibacakan.

Monica seterusnya menetapkan 25 Ogos ini untuk mendengar hukuman terhadap Zaid manakala sebutan semula kes bagi Mohd Effendy bakal diadakan pada 22 September depan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Amir Irwan dan kedua-dua tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM3,000.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan dua lelaki yang ditahan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Padang Besar selepas cuba menyeludup mercun kira-kira jam 9 malam kelmarin direman selama empat hari.

Perintah reman terhadap dua lelaki tempatan yang masing-masing berumur 25 dan 27 itu dilakukan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Monica Joseph Gaisah.-SH

Kontraktor ditembak angkara dendam




SHAH ALAM – Polis tidak menolak kemungkinan kes pembunuhan seorang kontraktor yang mati akibat ditembak selepas keluar bersahur bersama rakan di Simpang Balak, Kajang, kelmarin, bermotifkan dendam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, motif itu dikesan hasil maklumat awal yang diperoleh daripada saksi, bagaimanapun siasatan lanjut daripada semua aspek masih dijalankan.

“Kita percaya suspek kenal mangsa dan polis sedang kenal pasti suspek terlibat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam kejadian antara jam 2.30 dan 3.30 pagi itu, mangsa berusia 37 tahun terbabit sedang menunggang motosikal seorang diri untuk pulang ke rumah, tetapi secara tiba-tiba ditembak dari arah belakang dengan jarak dekat.

Sebelum itu, mangsa sempat menghubungi isterinya untuk berbuka puasa bersama, namun hasratnya tidak kesampaian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.-SH

Dua beranak jadi mangsa samun



TERAP - Dua beranak nyaris maut apabila rumah mereka di Kampung Batu 10 Terap dipecah masuk dan dijadikan tebusan sebelum disamun tiga penjenayah, awal pagi kelmarin.

Hatijah Yassin 67, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika dia dan anak lelakinya sedang nyenyak tidur.

“Saya terkejut apabila mendapati tiga lelaki yang tidak saya kenali dipercayai warga asing berada dalam bilik saya dan seorang daripada mereka menarik rantai tangan saya.

Hatijah berkata, dia tidak menjerit atau bertindak agresif kerana suspek meletakkan parang di lehernya.

“Suspek kemudiannya mengarahkan saya supaya jangan membuat bising sekiranya mahu selamat dan meminta saya menunjukkan tempat kami menyimpan barangan berharga, “ katanya.

Menurutnya, suspek kemudiannya mengarahkan anak lelaki mangsa masuk ke dalam biliknya.

“Tangan saya diikat dengan kain dan tangan anak saya diikat dengan dawai. Seorang daripada suspek mengawasi kami manakala dua lagi menyelongkar rumah.

”Mereka berada dalam rumah kira-kira setengah jam sebelum melarikan diri menaiki kereta Proton Saga anak saya, ” katanya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh tidak menolak kemungkinan kumpulan sama yang melakukan jenayah pecah rumah dan samun di Kampung Bukit Sidam Kanan dan Kampung Batu 10 Terap. Ini berdasarkan modus operandi yang digunakan suspek seakan sama.

Menurutnya, polis sedang menyiasat dan menjejaki suspek terlibat dan meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui penglibatan kumpulan itu supaya tampil ke hadapan memberikan maklumat.

“Saya berpendapat kumpulan ini mungkin sukar untuk melakukan perlakuan jenayah seperti pecah rumah atau samun di sekitar kawasan taman perumahan kerana ia diawasi polis selain dibantu badan bukan kerajaan (NGO).

”Atas faktor itu mereka mengubah lokasi perlakuan jenayah mereka di sekitar kawasan kampung, “ katanya.

Menurutnya, anak mangsa berjaya membuka ikatan di tangannya sebelum membantu membuka ikatan di tangan ibunya.

Dari laporan polis yang dibuat mangsa, mereka mengalami kerugian RM11,000.

“Kumpulan ini menggunakan modus operandi sama yang mana mereka memasuki rumah mangsa melalui tingkap dapur, mengikat mangsa, menggunakan senjata parang dan pisau sebelum melarikan diri, “ katanya.

Ghuzlan meminta kerjasama penduduk membuat rondaan di sekitar kawasan kampung supaya ancaman penjenayah seperti itu tidak berlaku.

Terdahulu, Sinar Harian siaran 18 Ogos melaporkan, enam beranak di Kampung Bukit Sidam Kanan nyaris maut dan kerugian hampir RM15,000 apabila rumah mereka dicerobohi empat lelaki dipercayai warga asing dengan bersenjatakan pisau dan parang panjang.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim berkata, beliau akan membuat cadangan kepada Ketua Polis Daerah Kulim supaya setiap kampung mendapatkan khidmat alat perhubungan dari PPKM untuk memudahkan polis dan PPKM mengambil tindakan segera apabila berlaku sebarang kejadian jenayah.-SH

Dua beranak nyaris maut



CHANGKAT JERING - “Mungkin inilah dugaan di bulan Ramadan untuk makcik sekeluarga dan kenangan yang tidak dapat dilupakan hingga ke akhir hayat makcik,” luah Zabidah Bidin, 79.

Warga emas ini yang tinggal bersama seorang anaknya di Kampung Paya di sini tidak menduga rumah pusaka yang didiami selama ini musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku pagi semalam.

Dalam kejadian ini, dua beranak nyaris maut dan berjaya menyelamatkan diri namun kehilangan barangan berharga dan kini tinggal sehelai sepinggang.

Zabidah berkata, dia yang baru sahaja masuk ke rumah namun terkejut melihat asap berkepul-kepul dari bahagian belakang menyebabkan dia menjerit memanggil anaknya, Wan Ramli Wan Ayub, 47, untuk keluar dari rumah berkenaan.

Menurutnya, walaupun dalam keadaan kelam kabut, dia cuba untuk mendapatkan kad pengenalannya serta beberapa dokumen lain namun impiannya itu tidak kesampaian apabila api semakin marak.

“Makcik hanya melihat sahaja rumah ini terbakar dan tidak menyangka akan berlaku kejadian sebegini di rumah pusaka ini.

“Segala dokumen penting tidak dapat diselamatkan dan rumah pusaka yang kami diami selama ini musnah di hadapan mata kami sendiri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Zabidah berkata, bahagian belakang rumahnya itu telah disewakan dua bulan yang lalu namun masih terdapat beberapa barangan milik anaknya.

“Sepatutnya ketika raya nanti, anak saya akan mengambil baranganya tetapi semuanya tidak dapat diselamatkan dan hanya tinggal kenangan sahaja.” katanya.



Terkejut dengar jeritan ibu



Anaknya, Wan Ramli berkata, ketika kejadian dia berada dalam rumah sedang berbalas sitem khidmat pesanan ringkas (SMS) bersama seorang kenalan tetapi dikejutkan dengan jeritan ibunya.

Katanya, dia mengambil langkah pantas untuk mencari air bagi memadam kebakaran tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana sumber air rumah yang terhad.

“Selepas mendengar jeritan ibu, saya bingkas bangun dan berusaha mengeluarkan barangan yang boleh diselamatkan.

“Apa yang menyedihkan apabila persiapan untuk hari raya nanti turut musnah dalam kejadian ini dan saya menganggapnya ketentuan Ilahi dan redha dengan apa yang berlaku,”katanya.



Bomba selamatkan kenderaan hampir terbakar



Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Hasna Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.45 pagi dan tiba di lokasi kejadian 13 minit kemudian.

Menurutnya, seramai 15 anggota dengan dua jentera dikejarkan ke lokasi yang terdiri daripada rumah separa kayu dan batu terbakar hampir 80 peratus.

“Kami berjaya mengawal kebakaran lima minit kemudian dan berusaha menolak kereta, motosikal dan juga van milik penyewa jauh dari kebakaran bagi mengelakkan kebakaran menyambar ke kawasan berhampiran,”katanya.

Bincang kutip derma



Bagi Ketua Kampung Changkat Jering, Abdul Wahab Ibrahim berkata, kejadian seumpama ini pernah berlaku 20 tahun yang lalu, bagaimanapun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) belum memutuskan bentuk bantuan yang akan diberikan.

Katanya, perbincangan akan diadakan untuk membuat kutipan derma dan juga menyediakan penempatan sementara buat keluarga ini.

“Kita juga sudah memaklumkan kejadian ini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Trong yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Husin.

“Tindakan selanjutnya juga sudah diambil wakil rakyat yang segera menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mencari jalan penyelesaian masalah ini,” katanya.



Bantuan segera ringan beban



Sementara itu, Pegawai JKM Larut Matang dan Selama, Zamrry Mohamad berkata, dalam kejadian ini, bantuan segera seperti barangan keperluan akan diberikan kepada mangsa.

“Bantuan ini akan diikuti tindakan susulan iaitu memberi bantuan mengikut tafsiran kos kerugian akibat kejadian setelah penilaian dilakukan pegawai terlibat.

“Diharapkan keluarga mangsa dapat bersabar dan redha dengan ketentuan ini,” katanya.

Hadir sama melawat mangsa kebakaran, wakil Ahli Parlimen Bukit Gantang dan juga Muslimat Pas Kawasan Bukit Gantang.

Sinar Harian cuba mendapatkan penyewa untuk ditemubual bagaimanapun, penyewa tidak kelihatan ketika kejadian berlaku.-SH

Bayi mati tersedak susu



BESERI - “Selalunya anak bongsu saya yang dilahirkan tidak cukup bulan ini kurang aktif berbanding kanak-kanak lain, tapi petang semalam selepas dimandikan, dia dilihat berlainan dari hari biasa apabila sentiasa tersenyum.

“Malah, sering mengangkat tangan dan kaki ketika diagah abang-abangnya kira-kira jam 6 petang kelmarin.

“Saya tidak menyangka itu adalah kali terakhir kami dapat bermain bersamanya,” luah Ramlah Ibrahim, 28, yang masih bersedih atas kematian anak bongsunya yang berusia tiga bulan, awal pagi semalam.

Ramlah dari Kampung Seri Tunjong, Beseri berkata, ketika bangun kira-kira jam 3 pagi, dia melihat hidung anak bongsunya, Mohamad Nur Iffan Mohd Yussof yang tidur di sisinya mengeluarkan darah yang bercampur susu.

Dia berkata, terkejut dengan keadaan itu, dia mengangkat dan menggerakkan tubuh bayinya itu namun, tiada sebarang tindak balas.

“Kali terakhir saya memberikan Mohd Iffan susu badan ialah pada jam 12 malam. Bagaimanapun, ketika bangun untuk memberinya susu seterusnya pada jam 3 pagi, saya terkejut melihat hidung Mohd Iffan mengeluarkan darah yang bercampur susu.

“Malah, dia sudah tidak bergerak lagi ketika itu sehingga saya menghubungi suami, Mohd Yussof Mohd Amin untuk membawanya ke hospital.

“Di sana, pihak hospital mengesahkan anak saya sudah meninggal dipercayai akibat tersedak susu. Bagaimanapun, sebab kematian yang sebenar belum diketahui,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ramlah berkata, dia terkilan kerana hasrat membawa Mohamad Iffan untuk membeli baju raya tidak kesampaian apabila anaknya itu terlebih dahulu pergi meninggalkan mereka.

“Disebabkan Mohd Iffan dilahirkan tidak cukup bulan, semua pakaian abang-abangnya dahulu tidak muat. Justeru, saya merancang untuk membeli lebih banyak baju untuknya pada hari raya ini.

“Tapi, hasrat itu tidak kesampaian apabila dia sudah pergi meninggalkan kami. Kini, hanya seluar terakhir yang dipakainya dan sehelai kain napkin putih menjadi kenangan kami kepadanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.-SH

Tidak maaf suami rogol anak



SUNGAI MANIK - “Hukuman 18 tahun penjara dan sembilan kali sebatan masih belum cukup untuk memaafkan kesalahan yang telah dilakukan suami saya ke atas anak gadis tunggal kami.”

Itulah luahan seorang ibu kepada lapan anak, hanya mahu dikenali sebagai Suhaina, 37 mengenang perbuatan durjana suaminya, 40-an yang sanggup merogol anak gadis sendiri ketika masih berusia 13 tahun waktu itu.

Suhaina berkata, kejadian itu berlaku sewaktu dia menetap dan bekerja di Ipoh sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang elektronik, untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Menurut Suhaina, kali pertama anak gadisnya menceritakan peristiwa hitam itu adalah pada Januari tahun lalu, namun dia tidak mempercayainya.

“Bagaimanapun selepas diyakinkan anak gadis saya itu, kami terus buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sebelum membuat pemeriksaan ke atas anak gadis saya.

“Kami sudah puas menangis mengenangkan kejadian� itu, namun kami perlu menerima hakikat anak gadis tunggal saya telah menjadi korban nafsu serakah suami saya sendiri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Suhaina berkata, dia menetap selama tiga tahun di Ipoh, ketika itu untuk mencari rezeki, sementara suami menjaga anak-anak di kampung.

Suhaina kini bekerja sebagai pembantu kantin sekolah. di sini, dengan pendapatan RM15 sehari, kini dalam proses menuntut cerai fasakh daripada suaminya sementara anak gadisnya yang kini berusia 14 tahun telah dihantar ke Sekolah Kanak-Kanak Arau, Perlis dan masih trauma dengan kejadian itu.

“Saya juga mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan, dan sedang berusaha mencari kerja di sekitar kawasan Hilir Perak.

“Untuk persiapan Syawal nanti, kami hanya akan menyambut secara sederhana sahaja, lebih-lebih lagi dengan apa yang telah dilalui anak gadis saya itu,” katanya.

Suhaina menegaskan dia masih belum memaafkan perbuatan suaminya, yang sekali gus menggugat masa depan anak gadisnya.

Bagi pihak yang ingin meringankan beban ibu muda ini boleh menyalurkan terus bantuan anda ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Suhaina yang bernombor 08230-41-00002388-3.
-SH

Jeritan selepas solat Terawih



WANG TEPUS - 22 penghuni dari Pusat Rawatan Cahaya Petunjuk di sini, nyaris menjadi mangsa kebakaran selepas bangunan asrama, pejabat dan dapur pusat pemulihan terbabit hangus dijilat api malam, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, semua penghuni di situ dikejutkan dengan jeritan seseorang yang melaungkan perkataan api sebaik selesai menunaikan solat Terawih pada malam terbabit.

Pengurus pusat berkenaan, Mohd Muzni Mohd Noor, 53, berkata, ketika kejadian beliau bersama semua penghuni baru selesai menunaikan solat Terawih di surau pusat berkenaan yang terletak bersebelahan bangunan yang terbakar.

:Menurutnya, bagaimanapun kebakaran itu mula disedari selepas seorang bilal yang keluar untuk ke bilik air menjerit selepas melihat api datang dari arah bangunan terbabit.

Pusat pemulihan yang beroperasi sejak 12 tahun lalu itu mempunyai seramai 23 penghuni yang mempunyai masalah dalam penyalahgunaan dadah, namun ketika kejadian seorang daripadanya baru sahaja keluar dari pusat berkenaan.

Penghuni di situ bukan sahaja berasal dari Kedah malah dari negeri-negeri lain dan semuanya berusia lingkungan 20 hingga 62 tahun.

Mohd Muzni berkata, buat masa ini semua penghuni ditempatkan sementara waktu di surau dan sebahagian mereka tinggal sehelai sepinggang, manakala sebahagian lagi masih mempunyai pakaian yang ditinggalkan di kawasan surau.

:Menurutnya, bagaimanapun semua dokumen penting yang terdapat di pejabat pusat pemulihan itu juga gagal diselamatkan dan dianggarkan kerugian melibatkan RM100,000.

:“Kami tinggal sehelai sepinggang dan berharap ada pihak yang dapat menghulurkan sumbangan bagi membangunkan semula pusat ini demi membantu lebih ramai penghuni yang mempunyai masalah dadah selepas ini untuk berubah,” katanya.

:Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba Jitra, Lee Ah Hing berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.03 minit malam dan sampai ke lokasi kejadian kira-kira jam 10.28 malam.

“Kita mengambil masa selama lapan minit untuk mengawal kebakaran dan sebanyak dua jentera bomba bersama 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.-SH

Wanita, bekas suami dituduh menipu



SEREMBAN – Seorang wanita dan bekas suaminya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban di sini, semalam, atas tuduhan penipuan kontrak membekal makanan untuk asrama sebuah sekolah bernilai puluhan ribu ringgit di sekitar daerah ini, pertengahan tahun lalu.

Tertuduh, Roslina Abu Bakar, 47, dan Mohammad Razif Abdul Rahman, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan memohon untuk dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, Roslina dan Razif didakwa bersama-sama menipu Abdul Jeffri Abdul Hamid, 40, dengan menawarkan satu kontrak membekal makanan bermasak di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Cina, Melaka, sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan wang berjumlah RM30,000 kepada mereka.

Perbuatan itu dilakukan di sekitar Taman Perindustrian Oakland, Seremban, 3 Jun tahun lalu.

Pertuduhan bersama dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainul Wardah Shahidan dan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadap kedua-dua tertuduh di depan Majistret Noralis Mat.

Mereka didakwa kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau maksimum 10 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu (Abdul Jeffri ) ditawarkan kontrak berkenaan oleh kedua-dua tertuduh yang berjanji akan membayar RM30,000 dalam tempoh tiga bulan.

Bagaimanapun, tiada pembayaran balik dilakukan menyebabkan pengadu membuat laporan polis kerana dipercayai ditipu.

Noralis kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 20 September depan.

Mahkamah turut membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.-SH

Dijel curi 2 botol syampu




KUALA TERENGGANU - Tidak berbaloi! Bapa kepada seorang anak terpaksa meringkuk dalam penjara selama sebulan gara-gara mencuri dua botol syampu yang hanya bernilai RM21.80 pada 15 Ogos lalu.

Tertuduh, Faizal Muhd Ali, 27, dari kampung Aur Chendering, Kuala Terengganu dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, mencuri dua botol syampu milik Pasar raya Astaka Jalan Sultan Zainal Abidin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dustan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.-SH

Empat maut dalam tiga nahas



KOTA BHARU - Empat maut manakala seorang parah dalam tiga kemalangan berasingan di Pasir Mas, Rantau Panjang dan Gua Musang.

Di Pasir Mas, dua remaja maut manakala seorang lagi parah apabila terlibat dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Meranti pada jam 10.15 malam, Selasa lalu.

Mangsa yang meninggal dunia adalah Mohd Firdaus Suliman, 24 selepas tidak sedarkan diri ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada jam 9.50 malam, sehari selepas kejadian.

Manakala seorang lagi, Mohd Jihadul Iman Abdul Aziz, 24, meninggal dunia di Hospital Pasir Mas, jam 1.15 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, kemalangan itu berlaku ketika motosikal ditunggang Mohd Firdaus bersama sepupunya, Abdul Rahman dalam perjalanan dari Meranti ke Pohon Tanjong.

“Manakala motosikal ditunggang Mohd Jihadul dari Pohon Tanjong ke Meranti bertembung antara satu sama lain.

“Namun katanya, sepupu mangsa, Abdul Rahman terselamat dan mengalami patah betis serta bengkak mata kiri,” katanya.

Sementara itu, di Rantau Panjang, seorang remaja, Muhammad Aidilfitri Mohd Abdul Aziz ,19, maut selepas motosikal yang ditungganinya ketika pulang ke rumahnya di Kampung Telaga Mas terlibat dengan kemalangan di Kilometer 2, Jalan Rantau Panjang -Panglima Bayu Kampung Kubang Rambutan.

Haliludin berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggangi mangsa bertembung dengan kereta yang dipandu Mohd Rosmadi Asari, 24.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang datang dari Rantau Panjang ke Panglima Bayu bertembung dengan kereta Mohd Asmadi yang datang dari arah bertentangan serta memasuki laluan mangsa yang sedang memotong.

“Kereta yang tidak dapat mengelak merempuh mangsa menyebabkan mangsa cedera parah dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa bagaimanapun meninggal kira-kira jam 5.30 pagi.

Dalam pada itu, di Gua Musang, seorang pemuda maut apabila lori yang membawa muatan minyak yang dipandunya terbabas dan terjatuh ke gaung dalam kejadian malam kelmarin.

Mangsa, Mohd Fazdil Baharuddin, 27, dipercayai berasal dari Taman Sri Kasih, Negeri Sembilan, meninggal dunia di tempat kejadian selepas lori yang dipandunya terbabas di jalan Gua Musang-Lojing dan dipercayai terjatuh ke dalam gaung lebih kurang 30 meter.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis daerah Gua Musang berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian kira-kira jam 8 malam semalam.

Menurutnya, mangsa yang membawa lori minyak kelapa sawit dipercayai dari Sungai Terah ke Lojing.

“Mangsa dipercayai tercampak keluar kenderaan selepas terjatuh ke gaung dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

“Pihak kita dimaklumkan, mangsa bersama dua lagi lori yang membawa muatan yang sama dalam perjalanan ke Pulau Pinang,” katanya.

Katanya, dipercayai selekoh yang tajam yang menyebabkan mangsa tidak dapat mengawal kenderaan dan terbabas ke bahagian kanan jalan serta terjatuh ke gaung.-SH

Rogol jiran bawah umur



KOTA BHARU – Seorang buruh hanya mampu menundukkan kepalanya di kandang pesalah apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam mengekalkan hukuman 14 tahun penjara dan tujuh sebatan rotan terhadapnya bersabit kesalahan merogol gadis bawah umur, lapan tahun lalu.

Keputusan dibuat Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas menolak permohonan rayuan pada pertuduhan pindaan pertama yang dihadapi Mohd Zain Deraman, 43.

“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu, maka rayuan kamu ditolak,” katanya.

Pada pertuduhan tersebut, bapa empat anak itu bersalah merogol kanak-kanak 12 tahun tujuh bulan yang juga jirannya itu di rumahnya sendiri di Kampung Likong, Limbat, Kubang Kerian, di sini, 20 September tahun berkenaan.

Berikutan kejadian jam 12 tengah hari itu, tertuduh ditahan dan dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Sementara rayuan tertuduh pada pertuduhan pindaan kedua selepas disabitkan dengan kesalahan merogol mangsa sama di rumah mangsa di kampung sama, tiga bulan selepas kejadian pertama, dibenarkan Ahmad Zaidi.

Beliau berkata, pihak pendakwaan didapati gagal membuktikan elemen kemasukan kemaluan tertuduh ke dalam kemaluan mangsa pada kejadian jam 10 malam itu.

Menurutnya, bagaimanapun pihak mahkamah menolak permohonan untuk penangguhan hukuman yang dikemukakan tertuduh melalui peguam belanya, Datuk Syukri Mohamed, semalam.

“Saya bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Rehan Mat Aris bahawa tidak ada alasan istimewa yang membolehkan mahkamah membenarkan permohonan penangguhan hukuman tersebut,” katanya.

Sebelum itu, di Mahkamah Sesyen, di sini, 14 Julai tahun lalu, Mohd Zain dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan tujuh sebatan rotan masing-masing terhadap dua pertuduhan rogol berkenaan.

Dia kemudiannya mengemukakan rayuan dan semalam, satu pertuduhan ditolak dan satu lagi dibenarkan mahkamah.-SH

Budak mati digigit anjing 'Pitbull'

MELBOURNE: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun mati digigit anjing jiran yang terlepas ke rumahnya dekat pinggir bandar Melbourne petang kelmarin.
Jurucakap polis, Superintenden Graham Kent, berkata anjing jenis 'Pitbull' itu memasuki rumah ketika Ayen Chol bersama kanak-kanak lain sedang menonton televisyen pada petang Rabu dan menyerang mereka.Sepupunya, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun telah digigit di muka dan seorang wanita, 30 juga mengalami kecederaan.Chol, yang keluarganya berasal dari Sudan, bagaimanapun meninggal dunia di tempat kejadian.Sepupu Chol, Encik Daniel Atem, berkata wanita yang mengalami kecederaan itu berada di luar rumah sebelum anjing itu menyerangnya dan menyebabkan beliau berlari ke dalam rumah.Menurut Encik Atem, anjing itu kemudiannya menyerang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu.Ibu Chol kemudian cuba memberhentikan serangan anjing itu yang kemudian menyerang Chol.Ketika itu Chol sedang memegang kaki ibunya.Encik Kent berkata anjing itu akan dibunuh dan pemiliknya mungkin dikenakan tindakan.Ayah mangsa dikatakan kini bekerja di selatan Sudan dan telah dimaklumkan tentang kejadian itu.'Beliau sangat, sangat, sangat sedih,' kata Encik Atem.Keluarga mangsa telah berhijrah ke Australia pada 2004 mencari kehidupan lebih baik.Serangan terbaru itu telah mencetuskan gesaan agar para pemilik anjing jenis Pitbull lebih bertanggungjawab dalam mengawal haiwan peliharaan mereka.'Kita tidak mahu melihat kejadian ini berulang lagi dan kita akan melakukan apa yang termampu untuk menghapuskan anjing-anjing ganas serupa ini,' kata Perdana Menteri Victoria, Encik Ted Baillieu.Beliau berikrar memperkenalkan undang-undang lebih ketat bagi memastikan pemilik anjing yang menyebabkan kematian dikenakan hukuman penjara.Presiden Kelab American Pittbul Terrier di Australia, Encik Colin Muir, berkata isunya bukan berkaitan jenis baka anjing yang ganas tetapi mengenai tanggungjawab pemilik mengawal anjing mereka.'Seekor anjing yang bertindak demikian bukan disebabkan oleh bakanya. Ia tindakan anjing individu. Apa bakanya adalah tidak relevan,' kata Encik Muir. -- AFP, AP.cyberita

Pengebom Norway sudah siapkan bom lebih besar

OSLO: Lelaki yang melancarkan serangan di Norway pada 22 Julai lalu telah menyiapkan bom yang lebih besar berbanding daripada apa yang telah digunakan bagi meletupkan kawasan di depan pejabat kerajaan di sini.
Saluran televisyen NRK kelmarin menukil sumber tentera sebagai berkata bahawa bom yang dijumpai di ladang yang disewa Anders Behring Breivik sudah siap dipasang untuk digunakan.Bom itu seberat antara 1 tan dengan 1.5 tan.Sebagai perbandingan, bom kereta yang digunakan di luar pejabat kerajaan di Oslo yang telah mengorbankan lapan orang adalah seberat 950 kilogram.Polis Norway bagaimanapun menafikan bahawa bom yang dijumpai di ladang itu sudah siap dipasang untuk digunakan.Jurucakap polis Oslo, Encik Roar Hanssen, berkata baja yang dijumpai di ladang itu hanya salah satu komponen membuat bom.'Banyak elemen penting yang masih tiada dan lebih banyak usaha perlu dilakukan sebelum ia boleh menjadi bom yang boleh digunakan segera.'Pada 27 Julai lalu, polis telah mendedahkan pihaknya telah menjumpai dan menghapuskan bahan letupan yang ditemui di ladang itu.Namun, ia tidak memberi sebarang butir mengenai bahan yang dijumpai itu.Breivik, 32 tahun, yang merupakan pelampau sayap kanan, telah menyewa ladang itu dengan alasan menanam sayur-sayuran, beberapa bulan sebelum melancarkan serangan pada Julai lalu itu.Pada Mei lalu, Breivik telah menerima bekalan enam tan baja, yang besar kemungkinan digunakan membuat bom.Selepas meletupkan bom kereta di Oslo, Breivik telah ke Pulau Utoeya dan melepaskan tembakan secara rambang ke atas peserta perkhemahan belia.Seramai 69 orang telah terkorban. -- AFP.cyberita

Pesawah mati ditetak abang ipar dengan parang di sawah

KUANTAN 18 Ogos - Berang dengan tindakan adik iparnya yang dikatakan menceroboh dan meracun rumput di tanah sawahnya, seorang lelaki bertindak menetak mangsa dengan parang sehingga mati di Kampung Permatang Chekeroh, Nenasi dekat Pekan, semalam.
Berikutan insiden pukul 6.30 petang itu, mangsa, Mohamad Romli Hashim, 62, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kaki kanan dan lutut.
Suspek yang juga abang ipar mangsa berusia 64 tahun, berasal dari Kampung Serun, Nenasi, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini sejurus selepas kejadian.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Yahaya Othman berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa membersihkan kawasan sawah miliknya.
"Tiba-tiba suspek muncul dan mendakwa mangsa telah menceroboh dan meracun rumput tanah sawahnya sehingga berlaku pertengkaran," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Yahaya, polis bagaimanapun masih meneruskan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian kerana ketika itu hanya mereka berdua di sawah tersebut.
Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.
Menurut Yahaya, suspek ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-utusan

Gadis berkemungkinan buta disembur cecair dipercayai asid

KOTA KINABALU 18 Ogos - Belum reda kejadian simbah asid di Kuala Lumpur yang menyebabkan Mohd. Rafie Abdul Latiff cedera teruk, seorang gadis di sini semalam juga menerima nasib yang sama.
Ling Siew Teen, 22, berkemungkinan menghadapi risiko buta apabila disimbah cecair yang dipercayai mengandungi asid oleh seorang lelaki.
Dalam kejadian pukul 2 petang itu, selain cedera pada mata, Siew Teen turut melecur di pipi, hidung, bibir dan dagu berikutan kejadian malang tersebut.
Utusan Malaysia difahamkan mangsa yang sedang berjalan kaki di depan sebuah pasar raya di Taman Khidmat, Kolombong di sini disembur cecair secara tiba-tiba menggunakan pistol air.
Bagaimanapun, mangsa yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat pembinaan dan tinggal di Taman Nelly, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian agak bernasib baik kerana bahan berbahaya itu dipercayai sudah dicampur air.
Ketika ditemui di Wad Mata Hospital Queen Elizabeth di sini hari ini, Siew Teen berkata, semasa kejadian dia turun dari kereta untuk ke pejabat syarikat kontraktor bapa saudaranya di tingkat satu dalam bangunan pasar raya tersebut.
"Saya terdengar seorang lelaki memanggil dari belakang dan sebaik saja menoleh, lelaki yang memandu kereta Perodua MyVi memberhentikan keretanya lalu menyembur sejenis cecair ke muka," katanya.
Menurutnya, sebelum dibawa masuk ke wad berkenaan, dia sempat membuat laporan di pondok polis hospital berkenaan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Deputi Supritendan Peter Umbuas yang dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan sedang dijalankan.
Katanya, setakat ini belum ada yang ditahan berhubung perkara tersebut dan kes itu akan disiasat menurut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.-utusan

Pusat pemulihan dadah terbakar

KUBANG PASU 18 Ogos - Seramai 22 penghuni Pusat Pemulihan Cahaya Petunjuk di Kampung Kota Mengkuang di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila bangunan dua tingkat yang menempatkan asrama, pejabat dan bilik memasak pusat pemulihan dadah itu hangus dalam kebakaran malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, kesemua penghuni serta empat pekerjanya terselamat kerana berada di surau bersebelahan bangunan menunaikan solat tarawih.
Pengurus pusat itu, Mohd. Muzni Mohd Noor, 53, berkata, kebakaran disedari oleh bilal di pusat berkenaan yang ingin ke tandas selepas menunaikan solat tarawih.
"Dia nampak api marak membakar bangunan di sebelah surau lalu menjerit meminta tolong.
"Kami cuba memadamkan api dengan menjirus air namun api terlalu marak dan kesemua barangan di bangunan itu hangus terbakar," katanya ketika di temui di pusat itu di sini hari ini.
Menurutnya, pusat pemulihan dadah itu beroperasi sejak 12 tahun lalu dan berada di bawah pemantauan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
"Penghuni di sini berusia antara 20 hingga 62 tahun dan mereka secara sukarela datang ke pusat ini untuk menjalani pemulihan supaya bebas daripada dadah.
"Kami tidak mendapat bantuan kewangan daripada mana-mana pihak, jadi kami berharap ada pihak yang sudi membantu kami untuk membina semula pusat tersebut," jelasnya.
Pemangku Ketua Balai Bomba Jitra, Lee Ah Hing berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.03 malam dan sampai ke lokasi kejadian pukul 10.28 malam.
"Kami mengambil masa selama lapan minit untuk mengawal kebakaran dan dua jentera bomba bersama 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan," ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.-utusan

Jururawat mangsa nahas meninggal




MOHD. Faizal menunjukkan potretnya bersama bakal tunangnya, Yuhana Yasin, yang meninggal dunia di Hospital Melaka, semalam. - UTUSAN/GAIE UCHEL


MELAKA 18 Ogos - Setelah 48 jam bertarung nyawa akibat cedera parah dalam nahas yang melibatkan sebuah ambulans dan teksi di Ayer Keroh, kelmarin, seorang lagi mangsa meninggal dunia di Hospital Melaka, awal pagi ini.
Mangsa, Yuhana Yasin, 30, jururawat yang berada di dalam ambulans itu dan sepatutnya melangsungkan pertunangan pada Hari Raya Aidilfitri ini, meninggal dunia pada pukul 1.15 pagi.
Semalam, seorang lagi mangsa kemalangan itu, Maryam Baba, 73, iaitu pesakit yang hendak dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) meninggal dunia pukul 9.10 pagi.
Bakal tunang Yuhana yang hanya ingin dikenali sebagai Mohd. Faizal, 30-an, berkata, Allahyarham baru bertugas di Hospital Melaka selepas dipindahkan dari Hospital Batu Pahat, Johor, dua minggu lalu.
"Kami merancang akan melangsungkan pertunangan pada Aidilfitri ini dan berkahwin Disember depan namun segalanya tinggal impian yang sukar untuk saya lupakan," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka di sini hari ini.
Menurutnya, kali terakhir dia menghubungi Yuhana pada pagi Isnin lalu melalui panggilan video 3G dan memberitahu rancangan untuk balik ke Kampung Parit Jawa, Muar, Johor, hari ini.
Dalam perbualan selama 20 minit itu, kata Mohd. Faizal yang bertugas sebagai atendan di salah sebuah hospital swasta di sini, arwah meminta izin untuk pergi ke HKL membawa seorang pesakit.
"Saya cukup pelik dengan nada Yuhana ketika itu kerana sebelum ini dia tidak pernah meminta izin daripada saya. Arwah juga ada beritahu saya, dia nak pulang ke kampung Khamis ini kerana badannya terasa sakit-sakit.
"Tak sangka pula, memang hari ini (Khamis) jenazah arwah yang akan balik untuk dikebumikan di kampungnya," katanya dalam nada sedih.
Katanya, arwah meminta untuk ditukarkan ke Hospital Melaka sejak awal Ramadan lalu kerana merancang untuk menetap di sini setelah berkahwin nanti.
Mohd. Faizal berkata, kali terakhir mereka bertemu pada 31 Julai lalu iaitu sehari sebelum Ramadan.
-utusan

Dua pemuda maut, motosikal bertembung sesama sendiri

PASIR MAS 18 Ogos – Dua pemuda maut apabila motosikal yang ditunggang mereka bertembung sesama sendiri di Jalan Meranti-Pohon Tanjung, dekat sini, malam kelmarin.
Mangsa, Mohd. Firdaus Suliman, 24, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dekat sini, pukul 9.50 malam tadi, manakala Mohd. Jihadul Iman Abdul Aziz, 24, di Hospital Pasir Mas pukul 1.15 pagi semalam.
Difahamkan, kemalangan berlaku ketika motosikal ditunggangi Mohd. Firdaus bersama rakannya, Abdul Rahman dalam perjalanan dari Meranti ke Pohon Tanjong, manakala motosikal ditunggangi Mohd. Jihadul Iman pula dari arah bertentangan.
Pertembungan itu turut menyebabkan Abdul Rahman patah betis dan bengkak mata kiri.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi hari ini, mengesahkan menerima laporan kemalangan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, ibu Mohd. Firdaus, Siti Mariam Ibrahim, 60, berkata, dia terkilan kerana tidak sempat untuk membelikan baju Melayu seperti diminta oleh Allahyarham yang merupakan anak kelapan daripada 10 adik beradik.
“Memang biasa kakaknya beli baju Melayu pada setiap tahun, jadi saya tidak menganggap apa-apa bila dia minta baju Melayu sehinggalah dia terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia malam tadi.
“Kami sekeluarga tidak sangka ia berlaku kerana dia tidak menunjukkan perubahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pauh Tanjong di sini, hari ini.
Tambahnya, jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pauh Tanjong kira-kira pukul 11 pagi ini.-utusan

Tiga beranak maut di jalan raya




AHMAD Tajudin Mohd. Ariffin yang cedera dibawa masuk ke dalam ambulans untuk dihantar ke hospital selepas kemalangan di Kilometer 127, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, malam kelmarin.


KEMAMAN, 18 Ogos - Sepasang suami isteri dan anak tunggal mereka terbunuh dalam satu kemalangan malam tadi di Kilometer 127, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di persimpangan Resort Awana Kijal di sini, selepas membeli baju raya di Kuantan.
Mereka yang terbunuh dikenali sebagai Nik Herna Mokhtar, 28; suaminya, Mohd. Aswari Ariffin, 36; dan anak tunggal mereka, Muhammad Airell Zulfairy, 4 tahun.
Nik Nor Syafiqah, 10, adik kepada Nik Herna dan pemandu sebuah lagi kereta, Ahmad Tajuddin Mohd. Ariffin, 30-an, cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supritendan Abdullah Sani Salat berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Viva yang dipandu oleh Mohd. Aswari terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu oleh Ahmad Tajuddin.
"Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Kuantan ke rumah mereka di Kampung Gong Cengal, Kemasik. Kereta mereka terbabas dan melanggar tiang elektrik sebelum berpusing dan bertembung dengan sebuah kereta lain," katanya.
Menurut seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Naim, dia terkejut apabila ternampak sebuah kereta terbalik, namun tiada suara meminta tolong didengari.
"Selepas diperiksa saya nampak seorang wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak terhimpit di bahagian depan kereta dan sudah meninggal dunia.
Seorang lagi kanak-kanak yang duduk di bahagian belakang masih bernyawa tapi lemah.
Bapa Nik Herna, Mokhtar Said, 52, memberitahu,keadaan Nik Nor Syafiqah yang merupakan anak bongsunya adalah kritikal.
"Waktu sahur kelmarin Nik Herna dan Nik Nor Syafiqah bawa air sejuk untuk saya sebab saya memang tidak bersahur.
"Mereka tidak pernah berbuat demikian tetapi ketika itu saya tidak berasa apa-apa yang pelik," katanya ketika ditemui di Hospital Kemaman di sini. - BERNAMA,-utusan

Biasiswa ditolak, pelajar saman Khazanah Nasional

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Setelah hajat melanjutkan pelajaran ke Universiti Cambridge dengan biasiswa Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) tidak kesampaian, seorang pelajar hari ini menyaman syarikat milik kerajaan (GLC) itu dan tiga yang lain.
Chan Xian Yao yang merupakan anak lelaki kepada seorang peguam itu mendakwa telah ditawarkan tempat di Universiti Cambridge untuk mengikuti kursus peringkat sarjana dalam jurusan Kejuruteraan Kimia yang akan bermula pada Oktober ini selama empat tahun.
Dalam pernyataan tuntutannya, Xian Yao menyatakan, dia merupakan pelajar pintar dalam peperiksaan A-Level di seluruh Malaysia dengan markah penuh dalam subjek Kimia dan Fizik.
Xian Yao, 18, menamakan Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarahnya, Azman Mohd. Hussein, Khazanah dan Yayasan Khazanah sebagai defendan pertama hingga keempat.
Saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan melalui firma guaman bapanya, Tetuan Chan Chow Wang di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.
Dia selaku plaintif mendakwa telah ditemu duga oleh panel profesor dari Universiti Cambridge sebelum ditawarkan tempat di situ.
Xian Yao menyatakan, dia memohon biasiswa daripada Khazanah-Cambridge Scholarship tetapi yayasan itu kemudiannya memaklumkan menerusi e-mel bahawa permohonannya tidak berjaya tanpa memberikan sebarang alasan.
Selepas mengemukakan rayuan melalui ibu bapanya, plaintif berkata, barulah satu e-mel yang mengatakan, dia berada dalam senarai pendek, dihantar dan dikehendaki membuat penilaian secara dalam talian (online) sebagai syarat pemilihan.
Namun defendan dalam kenyataan akhbar bertarikh 11 Jun lalu menyatakan, hanya tiga pemohon telah diberi biasiswa tanpa memberi maklumat pemohon-pemohon seperti nama, kursus atau keputusan akademik mereka, katanya.
Justeru plaintif mendakwa, pihak defendan tidak menjalankan proses pemilihan yang betul dan adil sebelum menolak permohonannya selain tidak telus hingga mengakibatkan dia merasa malu dan tekanan perasaan.
Sehubungan itu, plaintif memohon perintah perisytiharan bahawa pemberian biasiswa kepada tiga penerima tersebut diisytiharkan batal dan tidak sah selain memohon penubuhan sebuah jawatankuasa pemilihan untuk membuat penilaian terhadap pemohon-pemohon berdasarkanmerit.
Secara alternatif, plaintif turut memohon pampasan kerana merasakan dirinya telah dimalukan selain tekanan perasaan yang dialaminya.-utusan

Syabu: Peniaga pakaian warga Iran dihukum mati

SHAH ALAM 18 Ogos - Seorang peniaga pakaian warga Iran dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis syabu pada Februari tahun lalu.
Hakim Nor Azian Shaari menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Ali Asghar Pourian Arbastani, 26, selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.
Dalam penghakiman ringkasnya, beliau menyifatkan cerita bahawa pihak polis yang meletakkan dadah pada badan dan seluar tertuduh adalah rekaan semata-mata.
Katanya, alasan tertuduh melarikan diri daripada dua anggota polis berpakaian biasa kerana takut semasa cuba ditahan sedangkan dia mengaku pernah datang ke Malaysia serta tidak mempunyai musuh di sini juga adalah penafian semata-mata.
Tertuduh didakwa mengedar syabu (methamphetamine) seberat 965 gram di hadapan pintu No. 8, Balai Ketibaan Aras 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.30 pagi, 3 Februari tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliah Yahdi manakala tertuduh diwakili peguam K.A. Ramu.
Sepanjang perbicaraan, sebanyak enam saksi tampil memberi keterangan bagi pihak pendakwaan manakala hanya tertuduh memberi keterangan di peringkat pembelaan.-utusan

Peguam didakwa ubah wang haram RM2.14 juta

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Belum sempat perbicaraan membabitkan tuduhan pecah amanah atas wang berjumlah RM2.14 juta bermula, seorang bekas peguam hari ini didakwa pula mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.
R. Arunachalam, 66, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua 10 pertuduhan di bawah akta tersebut yang membabitkan jumlah yang sama, dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh.
Sebelum ini, dia didakwa melakukan pecah amanah wang tersebut yang didakwa milik pelanggannya dan kes itu akan mula dibicarakan pada 8 September ini.
Mengikut pertuduhan, bekas peguam yang sudah berkhidmat kira-kira 30 tahun itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di antara 15 Oktober dan 18 November 2009 di Affin Bank Bhd. dan Maybank Bhd., kedua-duanya di cawangan Jalan Bunus off Jalan Masjid India, di sini.
Dia didakwa memindahkan wang tersebut daripada akaun semasa 'Pelanggan Arun & Co.' kepada akaun syarikat 'Arun & Co.' pada transaksi dan jumlah yang berbeza.
Pertuduhan hari ini dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFA yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Farez Rahman yang mengendalikan pendakwaan memaklumkan, walaupun kesalahan itu tidak boleh dijamin, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicaranya untuk membenarkan ikat jamin, beliau mencadangkan jaminan RM200,000 dikenakan.
Beliau turut menyatakan, pihaknya akan mengemukakan permohonan rasmi agar kes pecah amanah dan AMLATFA dibicarakan secara bersama.
Peguam bela, Kamarul Hisham Kamarudin membantah jumlah jaminan itu yang didakwa terlalu tinggi dan tertuduh tidak mempunyai alasan untuk melarikan diri memandangkan Arunachalam berhasrat membersihkan namanya daripada tuduhan yang dihadapinya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 8 September ini.-utusan

Abang ipar cantas kaki

PEKAN: “Saya tak sangka Pak Ngah tergamak menetak ayah (sampai mati) hanya kerana berebutkan tanah sawah yang luasnya tidak seberapa itu.
“Kalau boleh, saya tidak mahu lagi melihat mukanya kerana disebabkan dia, kami sekeluarga terpaksa menyambut Aidilfitri dalam keadaan sedih dan pilu tanpa ayah.”
Demikian kata Mohamad Nasir, 35, anak kedua Mohamad Romli Hashim, 62, dari Kampung Permatang Chekeroh, Nenasi yang maut dipercayai akibat hilang banyak darah selepas bahagian bawah lutut kanannya hampir putus terkena libasan parang panjang abang iparnya yang berusia 64 tahun, kelmarin.

Kejadian pada kira-kira jam 6.30 petang itu dikatakan berpunca daripada Mohamad Romli secara tidak sengaja menceroboh kawasan sawah abang iparnya ketika meracun rumput dan perbuatannya itu tidak disenangi suspek.


Suspek mendakwa Mohamad Romli tidak meminta kebenaran daripadanya untuk meracun rumput di kawasan itu dan kedua-duanya bertengkar mempertahankan pendirian masing-masing.hmetro

Abadi baju raya

REMUK...kereta sewa mangsa yang terbabit kemalangan.
REMUK...kereta sewa mangsa yang terbabit kemalangan.



PILU...Nik Mohd Khairul melihat baju raya arwah anak saudaranya, Mohd Airil.
PILU...Nik Mohd Khairul melihat baju raya arwah anak saudaranya, Mohd Airil.

KEMAMAN: Hanya pakaian raya yang baru dibeli menjadi kenangan abadi tiga beranak yang terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 127, Jalan Kuala Terengganu–Kuantan di persimpangan masuk ke Awana Kijal & Spa Resort, Kijal, di sini, kelmarin.
Kejadian pada jam 11.15 malam itu berlaku ketika mangsa, Aswari Ariffin, 36, isterinya, Nik Herna Haryani Mokhtar, 28, dan anak tunggal mereka, Mohd Airil Zufairi Aswari, 3, dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Gong Cengal, Kemasek, di sini, selepas membeli persiapan Aidilfitri di Kuantan.


Mereka mati di tempat kejadian manakala adik Nik Herna, Nik Nursyafikah Mokhtar, 10, yang berada dalam kenderaan itu patah kaki dan tangan serta cedera di kepala dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.


Kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Viva dipandu Aswari dari Kuantan ke Kuala Terengganu terbabas sebelum bertembung sebuah Suzuki Swift yang datang dari arah bertentangan.


Menurut seorang lagi adik Nik Herna, Nik Mohd Khairul Azim Mokhtar, 20, ahli keluarganya itu mengambil kesempatan cuti umum sempena Nuzul Quran untuk membeli-belah bagi menyambut Aidilfitri di Kuantan.


“Abang ipar saya (Aswari) yang bekerja di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, baru mendapat gaji Selasa lalu dan dia menyewa Perodua Viva untuk membawa keluarganya membeli persiapan menyambut Aidilfitri.




“Dia bersama kakak dan anak bertolak ke Kuantan pada jam 11 pagi, tapi kira-kira sejam kemudian mereka berpatah balik untuk mengambil Nik Nursyafikah kerana sudah berjanji membawanya untuk membeli baju raya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Kemaman, semalam.


Nik Mohd Khairul berkata, dia tahu mengenai kemalangan itu selepas ibunya menerima panggilan daripada seorang ahli keluarga yang memaklumkan kejadian pada jam 12 tengah malam.
“Kami bergegas ke tempat kejadian dan mendapati semua mereka sudah dibawa ke Hospital Kemaman.

“Apabila tiba di hospital, kami terkejut apabila mendapati kakak, abang ipar dan anak mereka sudah meninggal dunia manakala Nik Nursyafikah dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut,” katanya.

Bapa Nik Herna, Mokhtar Said, 52, berkata malam sebelum kejadian dia hairan melihat cucunya, Mohd Airil bangun bersahur dan membawakan segelas air minuman.

“Saya agak terkejut kerana sebelum ini dia tidak pernah bangun sahur dan kelihatan ceria sepanjang pagi itu, namun saya tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk bakal berlaku,” katanya yang mengakui tidak berasa sedap hati dan berdebar sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata ketika kejadian, keluarga terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Gong Cengal, Kemasek di sini, selepas membeli-belah di Kuantan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta mangsa terbabas dan gagal dikawal lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung sebuah Suzuki Swift yang datang dari arah Kuala Terengganu,” katanya.

Menurutnya, tiga beranak terbabit meninggal dunia di tempat kejadian manakala Nik Nursyafikah parah di kepala serta badan dikejarkan ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Pemandu Suzuki Swift, Ahmad Tajuddin Mohd Ariffin, 25, pekerja Tenaga Nasional Berhad yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bandar Chukai patah kaki dan masih dirawat di Hospital Kemaman,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa yang meninggal dunia dipercayai akibat parah di kepala dan badan dibawa ke Bilik Mayat Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Jenazah tiga beranak itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Pekan Kemasik di sini, pada jam 2 petang semalam.

Sementara itu, abang ipar Nik Herna, Rahmat Idris, 29, yang ditemui di HSNZ memaklumkan Nik Nursyafikah berada dalam keadaan koma sejak dipindahkan ke hospital itu, awal pagi semalam.

“Saya tidak pasti keadaan sebenar Nik Nursyafikah yang juga anak bongsu daripada sembilan beradik, cuma dimaklumkan doktor dia patah kaki dan tangan,” katanya.hmetro

Doktor pelatih rentung

PUTRAJAYA: “Ada eksiden dekat masjid (di Perlis)...hati-hati ketika memandu,” itu antara mesej terakhir mangsa kemalangan, Muhammad Danial Zulkifli, 24, yang dipaparkan dalam akaun Facebook miliknya minggu lalu.
Muhammad Danial yang mengemaskini status akaun facebook miliknya menasihati rakan dalam senarai akaunnya supaya berhati-hati ketika menggunakan jalan raya memandangkan banyak berlaku kemalangan terutama pada musim perayaan. Pelajar tahun akhir jurusan perubatan Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) itu bagaimana pun meninggal dunia kira-kira jam 7.50 malam kelmarin apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya di kilometer 7.2 Jalan Alor Setar-Kangar. Ibunya, Rosnah Othman, 54, berkata kali terakhir dia berjumpa anak kedua daripada tiga beradik itu adalah ketika mangsa pulang ke rumahnya di Presint 9, Putrajaya kira-kira dua minggu lalu untuk menyambut kedatangan Ramadan. “Pada waktu itu, dia pulang ke rumah dihantar seorang rakannya. Saya juga sempat meminta bantuannya memandu kereta untuk membawa saya menyelesaikan urusan.

“Dia seorang anak yang baik, pendiam dan mendengar kata orang tua. Tidak banyak perubahan dalam diri Allahyarham sepanjang dia pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengiringi jenayah anaknya yang dikebumikan di tanah perkuburan Islam Taman Selatan, Presint 20, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.

Rosnah berkata, kali terakhir dia menghubungi anaknya dua hari sebelum kejadian kemalangan itu berlaku. “Saya tanya pada dia sudah makan atau tidak. Dia jawab mahu keluar sebentar bersama rakannya membeli makanan. “Saya hubungi dia kira-kira jam 8.30 malam iaitu sebelum keluar ke surau menunaikan solat Tarawih, tetapi pada hari kemalangan berlaku, Muhammad Danial keluar seorang diri tanpa membawa rakannya,” katanya. Katanya, dia sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham dan menganggapnya sebagai suratan takdir. Sementara itu, bapa mangsa yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Pendaftaran Negara, Zulkifli Rahmat, 54, berkata beliau mendapat tahu mengenai kematian Muhammad Danial selepas dimaklumkan polis kelmarin.

Zulkifli berkata difahamkan kejadian berlaku ketika Muhammad Danial dalam perjalanan pulang dari Alor Setar menghala ke Kangar, apabila kereta Myvi dipandunya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan lain. “Kawan dia beritahu Muhammad Danial nak cari makan buka puasa di Alor Setar dan tak mahu buka puasa di rumah.

“Dalam perjalanan, Allahyarham ubah fikiran dan mahu berpatah balik ke Kangar sebelum dilanggar sebuah kereta lain dari arah belakang ketika mahu membuat pusingan U,” katanya, sambil memaklumkan anaknya itu bakal menamatkan pengajiannya pada akhir tahun ini. Zulkifli berkata, sebelum meninggalkan pusara Allahyarham, dia sempat berpesan supaya Muhammad Danial tinggal di alam sana dengan tenang dan mereka sekeluarga sentiasa mendoakan rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman.hmetro

Sos ada DNA babi

IPOH: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), bertindak menghantar notis pemberitahuan kepada Persatuan Hotel Malaysia dan syarikat makanan segera berhubung penemuan Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi di dalam sos jenama HP Souce dan Tabasco, sejak bulan lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff, yang dihubungi wartawan Harian Metro berkata, pihaknya sudah menghantar notis peringatan memaklumkan kepada pengamal industri makanan yang menggunakan sos jenama berkenaan baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, aspek penguat kuasaan belum dijalankan berikutan pihaknya sedang melakukan beberapa siasatan terakhir sebelum menguatkuasakan larangan penggunaan dua jenis sos jenama terkenal itu.

“Kami belum memuktamadkan penguat kuasaan larangan itu, namun surat makluman mengenai penemuan DNA babi itu sudah diedar kepada pihak terbabit termasuk rangkaian hotel dan restoran makanan segera.

“Kami sedang menunggu arahan pihak atasan Jakim mengenai tindakan selanjutnya bakal diambil terutama dalam menguat kuasakan larangan itu,” katanya. Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan sidang media khas sebaik segala siasatan berhubung larangan penggunaan sos jenama berkenaan selesai kelak.

Difahamkan, Jakim sudah mengambil sampel produk berkenaan untuk dihantar sebanyak dua kali ke Jabatan Kimia Malaysia sebelum ia disahkan terdapat DNA babi di dalamnya. Persoalan timbul apabila pemilik jenama HP Sauce and Tabasco, HJ Heinz and Mclhenny Company, menyangkal dakwaan kedua-dua jenama itu tidak disahkan halal.

Dalam kenyataannya, syarikat itu berkata, kedua-dua jenama itu mematuhi sepenuhnya garis panduan kawal selia oleh badan pensijilan masing-masing. HP Sauce disahkan halal oleh HAC (Halal Audit Company), iaitu pihak berkuasa pensijilan Islam di Belanda, di mana terletaknya kilang itu.

Manakala, Tabasco disahkan halal oleh INFANCA (Majlis Nutrisi dan Makanan Islam Amerika) yang juga pihak berkuasa Islam di Amerika Syarikat dan mendapat akreditasi Jakim bagi mengesahkan produk itu bagi pihaknya.hmetro

Belasah kerana sebatang rokok

KUALA LUMPUR: Hanya kerana tiada rokok, seorang lelaki menerima lima jahitan di kepala selepas dibelasah lima lelaki ketika ingin pulang ke asrama pekerja di Bukit Bintang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa yang berusia 26 tahun dan bekerja di sebuah restoran di Bukit Bintang berjalan ke asramanya bersendirian sebelum dihalang lima lelaki tidak dikenali.

Terkejut dengan kehadiran mereka, mangsa meminta laluan kerana ingin pulang segera ke asrama selepas penat bekerja.

Bagaimanapun, seorang suspek meminta mangsa memberi sebatang rokok, jika ingin melalui kawasan itu.

Menurut sumber, lelaki itu memberitahu dia tidak ada rokok dan meminta mereka jangan mengganggunya.

“Kumpulan terbabit tidak dapat menerima alasan lelaki itu kerana sebelum ini mereka melihat mangsa merokok dan meminta memberikannya jika tidak mahu dicederakan. “Mangsa memberi alasan rokok itu sudah habis menyebabkan mereka berang dan terus menolaknya,” katanya.
Sumber berkata, sebaik mangsa terjatuh, lima lelaki terbabit terus memukulnya bertubi-tubi, malah seorang daripada mereka mengambil sebatang besi dan memukul kepalanya.
“Mangsa dibelasah kira-kira lima minit, sebelum ditinggalkan dalam kesakitan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.-hmetro

Lelaki parah dipukul samseng rugi RM3,000

SERDANG: Malang berganda bagi seorang lelaki apabila dia bukan saja dipukul dengan kerusi, meja dan besi oleh tiga lelaki malah turut disamun menyebabkan kerugian RM3,000 dalam kejadian di Jalan Bandar 9, Puchong, di sini, kelmarin.
Kejadian jam 3 petang itu menyebabkan mangsa berusia 35 tahun mengalami pendarahan serius di kepala dan cedera di badan.

Difahamkan, tiga lelaki berusia 30-an itu tidak berpuas hati terhadap mangsa yang dikatakan mengganggu kawasan mereka walaupun mangsa sebenarnya sudah 10 tahun tinggal di kawasan itu.

Menurut sumber polis, mangsa berada di pusat siber dipanggil seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengannya kerana berada di kawasan itu sebelum datang dua lagi rakannya yang terus memukulnya.

“Mangsa cuba merayu agar tidak dibelasah kerana tidak tahu apa kesalahannya namun lelaki itu tidak menghiraukannya.

“Mangsa jatuh dan tidak berdaya kerana parah di kepala dan badan,” katanya di sini, semalam. Lelaki itu merampas beg mangsa menyebabkannya kehilangan wang ringgit dan barangan berharga termasuk telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM3,000.

Mangsa mendapatkan rawatan di hospital berdekatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Puchong. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut dijalankan.hmetro

Dua sepupu lemas dalam kolam takungan

PUTRAJAYA: Dua sepupu menemui ajal selepas lemas dalam sebuah kolam takungan di tapak projek pembinaan di Pulau Meranti, dekat sini, selepas bermain di kawasan itu, kira-kira jam 4 petang, semalam.
Mangsa, Amir Fariz Mohd Fozli, enam tahun, dan Nor Shafiza Batrisya Ahmad Syukri, empat tahun, bermain di tepi kolam takungan itu ketika bersiar-siar bersama abang Nor Shafiza Batrisya iaitu Mohd Fikri Ahmad Syukri, enam tahun. Difahamkan, mereka bertiga keluar rumah kira-kira jam 3 petang menuju kandang kambing milik keluarga mereka dan ke kolam itu kira-kira 500 meter dari kandang kambing berkenaan. Ibu saudara mangsa, Maznah Mat Noor, 39, berkata Mohd Fikri yang bersama dua mangsa terbabit ke tempat berkenaan pulang berseorangan ke rumah dengan keadaan kaki dan seluar comot dengan tanah. “Mohd Fikri memberitahu ibunya, Faridah Mat Noor, 38, yang adiknya Nor Shafiza Batrisya dan sepupunya lemas di dalam kolam. “Terkejut dengan berita itu, ibunya meminta pertolongan jiran ke tempat berkenaan dan setibanya di kolam takungan itu, mereka menemui kedua-dua mangsa terbabit terapung di permukaan air,” katanya ketika ditemui di Hospital Serdang.-hmetro

Lelaki, kekasih dibelasah

PETALING JAYA: Seorang lelaki dan teman wanitanya cedera selepas dibelasah sekumpulan 20 lelaki berlagak samseng selepas berlaku kemalangan kecil di Bandar Seri Damansara, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa yang berusia 28 tahun dan teman wanitanya berusia 25 tahun menaiki sebuah kereta untuk ke Kepong dari Sungai Buloh.
Difahamkan, kemudian berlaku perlanggaran kecil antara kenderaan dipandu mangsa dan kenderaan dinaiki seorang lelaki berusia 30-an berdekatan stesen minyak di lokasi kejadian.

Menurut sumber, mangsa kemudian memberhentikan keretanya di tepi jalan untuk menyelesaikan perkara berkenaan secara baik, namun ketidakpuasan hati lelaki terbabit mencetuskan pertengkaran antara mereka.
“Lelaki itu kemudian bertindak menghubungi beberapa rakannya sebelum tiba-tiba muncul kira-kira 20 lelaki bersenjatakan kayu dan topi keledar terus menyerang mangsa dan turut menarik teman wanitanya yang berada di dalam kereta.hmetro

Seorang lagi mati

MELAKA: Seorang jururawat yang bertarung nyawa sejak Selasa lalu selepas ambulans dinaiki terbabit kemalangan ketika mengiringi pesakit, akhirnya menghembuskan nafas terakhir awal pagi semalam.
Yuhana Yasin, 30, meninggal dunia di Hospital Melaka (HM), jam 1.20 pagi semalam berikutan kecederaan di bahagian dada.

Bakal tunang mangsa dikenali sebagai Mohd Faizal, 30, berkata, Yuhana ada menghubunginya beberapa jam sebelum memaklumkan dia perlu mengiringi seorang pesakit ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Arwah tidak pernah berkata demikian dan panggilan video terakhir itu dengan menyatakan hasrat meminta izin rupa-rupa mahu memberitahu dia juga akan pergi selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HM, di sini, semalam.

Sementara itu, pesakit yang ingin dihantar ke HKL, Maryam Baba, 73, meninggal dunia, jam 9.10 pagi, kelmarin selepas bertarung nyawa hampir 39 jam akibat tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HM sejurus selepas kemalangan berkenaan.

Mohd Faizal berkata, dalam perbuatan telefon beberapa jam sebelum kejadian, bakal isterinya yang juga jururawat HM itu turut memberitahu ingin pulang ke kampung kerana mengadu tidak sihat. Menurutnya, kali terakhir dia menemui Yuhana sehari sebelum Ramadan. Bakal tunangnya itu meminta mengambil gambar bersama lengkap berpakaian kerja.

“Gambar itu dirakamkan di sebuah studio di bandar ini dan saya masih menyimpan gambar yang sudah dibingkai. Arwah beriya-iya mahu bergambar bersama sebagai kenangan. “Ia menjadi kenangan buat selama-selamanya apabila dia ditakdirkan pergi dulu. Kami merancang bertunang selepas hari raya Aidilfitri ini dan bakal bernikah pada penghujung tahun ini, namun tiada jodoh buat kami berdua,” katanya. Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, Selasa lalu, ambulans dinaiki lima orang termasuk pesakit wanita warga emas yang kritikal akibat pendarahan kepala, terbalik di tengah jalan sejurus dirempuh teksi.-hmetro

RM30,000 dalam kereta dikebas pencuri

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga berputih mata apabila wang tunai RM30,000 yang baru dikeluarkan dari sebuah bank untuk membayar gaji pekerjanya lesap selepas wang berkenaan yang disembunyikan dalam kereta dilarikan seorang lelaki ketika mangsa sedang menukar tayar keretanya yang pancit di Jalan Awan Besar, di sini, petang kelmarin.
Sebelum kejadian, mangsa berusia 43 tahun bersama rakannya ke sebuah bank di Sri Petaling, di sini mengeluarkan wang berkenaan.

Mangsa kemudian memandu kereta ke pejabatnya di Subang.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, tayar keretanya pancit sebelum meminta rakannya yang memandu berhenti di sebuah stesen minyak bagi menukar tayar kira-kira jam 3.30 petang.

“Bagaimanapun, selepas menukar tayar, mangsa terkejut apabila mendapati wang tunai RM30,000 yang baru dikeluarkannya tiada di dalam kereta,” katanya.-hmetro

Jual kereta ‘halimunan’

KUALA LUMPUR: Pengalaman akibat pernah menjadi mangsa tipu ketika ingin membeli barang melalui Internet menyebabkan seorang lelaki meniru taktik sama untuk mengaut keuntungan lebih RM250,000 sejak tiga bulan lalu.
Difahamkan, suspek yang berusia 25 tahun itu menjalankan kegiatan penipuan jual beli kereta ‘halimunan’ bersama-sama tunang dan rakan tunangnya dan menipu lebih 30 mangsa.

Sumber berkata, ketiga-tiga suspek menjalankan ‘perniagaan’ jual beli kereta pelbagai model termasuk kereta mewah dengan mengiklankan kenderaan berkenaan pada harga lebih murah.

Menurutnya, suspek mengenakan bayaran pendahuluan RM5,000 hingga RM15,000 bagi setiap tempahan bergantung jenis kereta.

Sumber berkata, kelicikan mereka dikesan dengan kerjasama pihak bank dan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor yang menahan suspek di Nusajaya bulan lalu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.hmetro

Putus cinta simbah asid

KUALA LUMPUR: Selepas membuat kecoh di rumah bekas kekasih, seorang wanita bertindak ganas dengan menyimbah sejenis cecair dipercayai asid ke atas kereta milik isteri bekas kekasihnya dalam kejadian di Taman Maluri, kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, mangsa yang dikenali sebagai Ng meletakkan kereta Toyota Camry milik isterinya di hadapan rumahnya dalam keadaan baik dan berkunci.

Bagaimanapun, kira-kira jam 7.20 pagi, dia terkejut apabila melihat keretanya yang rosak teruk secara keseluruhan akibat disimbah asid.

“Saya percaya kejadian ini dilakukan bekas kekasih yang bengang kerana saya memutuskan hubungan kami minggu lalu. Dua hari sebelum kejadian, dia datang ke rumah dan membuat kecoh kerana tidak berpuas hati dengan saya,” katanya.

Menurutnya, angkara tindakan itu, dia bertengkar dengan isteri sebelum dikejutkan dengan kejadian simbah asid itu.

Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kampung Pandan untuk tindakan lanjut kerana risau kejadian lebih buruk menimpa keluarganya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan lanjut dijalankan.-hmetro

Lanun ganggu bekalan ikan

Nelayan Pantai Barat Semenanjung diancam, bimbang turun ke laut

PUTRAJAYA: Bekalan ikan dijangka terjejas menjelang musim perayaan ini berikutan kebanyakan nelayan di Pantai Barat Semenanjung bimbang turun ke laut kerana mendakwa kegiatan lanun berleluasa sejak beberapa minggu lalu. Kegiatan yang semakin meningkat itu menyebabkan lebih 52 bot nelayan di Bagan Panchor dan Pantai Remis, Perak, dan nelayan di Kuala Perlis dilaporkan tidak turun ke laut. Berikutan kebimbangan nelayan untuk turun ke laut, kita menjangkakan bekalan ikan akan terjejas terutama menjelang musim perayaan ini. - Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
Nelayan terbabit juga mendakwa diugut membayar sejumlah wang kepada lanun yang dipercayai warga asing atau terpaksa berhadapan ancaman ketika menangkap ikan di laut.

Perkara itu antara yang diluahkan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, oleh wakil nelayan terbabit di kementerian berkenaan, semalam.

Pada sidang media kemudian, Noh berkata, pihaknya kini mengadakan kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk menjaga keselamatan nelayan tempatan di perairan.

"Berikutan kebimbangan nelayan untuk turun ke laut, kita menjangkakan bekalan ikan akan terjejas terutama menjelang musim perayaan ini.
"Namun, pihak APMM sudah mengambil langkah tertentu bagi memastikan keselamatan nelayan kita terjamin apabila turun ke laut," katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Nelayan Bagan Panchor dan Pantai Remis di sini, semalam.

Sebelum itu, Noh juga mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Pekebun Sayur dan Buah-buahan.

Turut hadir Timbalannya, Datuk Mohd Johari Baharom dan Timbalan Ketua Pengarah APMM, Laksamana Muda Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar.

Ahmad Puzi berkata, pihaknya sudah meningkatkan kawalan di kawasan perairan di pantai Barat dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sehingga berjaya membuat tangkapan dua lanun pada 7 Ogos lalu.

"Kita membuat rondaan 24 jam bersama TLDM dan ingin menyatakan bahawa perairan kita masih selamat," katanya. -bharian

Ulat tiket didakwa di mahkamah

 Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati ketika membeli tiket untuk pulang ke Kampung agar tidak terpedaya dengan ulat tiket.
Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati ketika membeli tiket untuk pulang ke Kampung agar tidak terpedaya dengan ulat tiket.

JPJ tak kompromi dengan pihak terbabit kerana merugikan pengusaha bas

JOHOR BAHRU: Individu yang ditahan kerana menjalankan kegiatan 'ulat tiket' ketika musim sambutan Aidilfitri ini, akan terus dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (PAD) 2010 dalam usaha membanteras aktiviti itu terutama sepanjang musim perayaan.
Pengarah JPJ negeri, Johari Yusof, berkata mana-mana ulat tiket yang ditahan ketika melakukan kegiatan terbabit bakal berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 205 Akta PAD 2010 dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau lima tahun penjara.
Mana-mana ulat tiket yang ditahan ketika melakukan kegiatan terbabit bakal berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 205 Akta PAD 2010 dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau lima tahun penjara. "Jika dulu, ulat tiket hanya dikenakan kompaun, tetapi kini akan terus didakwa di mahkamah atas kesalahan memujuk dan mendesak seperti diperuntukkan dalam akta berkenaan. - Johari Yusof, Pengarah JPJ negeri
"Jika dulu, ulat tiket hanya dikenakan kompaun, tetapi kini akan terus didakwa di mahkamah atas kesalahan memujuk dan mendesak seperti diperuntukkan dalam akta berkenaan.

"JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan ulat tiket kerana ia hanya mendatangkan kerugian kepada pengusaha bas, selain menyebabkan ketidakselesaan orang ramai," katanya pada sidang media Ops Aidilfitri 2011 di sini, semalam.

Johari berkata, selain menjalankan pemeriksaan terhadap bas ekspres, anggota penguat kuasa JPJ juga akan ditempatkan di terminal bas sekitar negeri ini bagi mengesan kehadiran ulat tiket di kawasan terbabit.

"Orang ramai dinasihatkan membeli tiket terus daripada kaunter dan jika curiga dengan harganya, boleh membuat laporan terus kepada penguat kuasa JPJ yang bertugas 24 jam sepanjang operasi ini.
"Tumpuan juga diberi kepada pengusaha bas ekspres dan bas tambahan bagi memastikan mereka mematuhi peraturan termasuk bas wajib ada dua pemandu, menyelenggara buku log dengan betul, manakala pemandu yang dikesan ada banyak saman serta disenarai hitam, tidak dibenarkan memandu," katanya.

Beliau berkata, 180 bas ekspres sudah diperiksa sejak 5 Ogos lalu bagi memastikan kenderaan itu selamat digunakan dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan.

Bagi penguatkuasaan undang-undang lalu lintas, Johari berkata, penguat kuasa JPJ akan melakukan penyamaran secara preman dan merakam kesalahan pengguna jalan menggunakan kamera.

"Seramai 30 anggota penguat kuasa akan ditempatkan di dua terminal bas utama iaitu Terminal Larkin dan Bentayan, Muar. Semakan mata Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) dan saman akan dilaksanakan sepanjang operasi terbabit," katanya.