Search This Blog

Thursday, August 18, 2011

Ameerah Asha ditemui selamat



KUALA LUMPUR 17 Ogos - Sehari selepas berita mengenai kehilangannya dilaporkan dalam beberapa media cetak dan elektronik, Ameerah Asha, yang hilang sejak 12 Ogos lalu akhirnya ditemui selamat hari ini.
Remaja perempuan berusia 17 tahun itu yang dilaporkan hilang selepas pulang dari sekolah, ditemui dalam sebuah kereta di Puchong Saujana pukul 9 pagi ini.
Dia kemudian dibawa ke Balai Polis Bukit Puchong untuk diambil keterangan.
Ibu mangsa, Shahrizad Shafian ketika ditemui selepas dipanggil untuk memberi keterangan berkata, dia bersyukur kerana anak sulungnya itu ditemui selamat.
"Ameerah ketika kami temui di sini dalam keadaan yang letih dan trauma.
"Dia juga masih belum bersedia berkongsi pengalaman pahitnya itu lagi kepada kami," katanya yang hadir bersama suaminya, Azizan Hassan di balai polis itu petang ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan berita kehilangan Ameerah Asha yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November ini selepas pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama 1, Puchong pada 12 Ogos lalu.
Pelajar itu dikatakan pergi ke sekolah pukul 7 pagi dengan menaiki van sekolah sebelum dilaporkan tidak pulang ke rumah pada petang itu.
Sementara itu, Shahrizad berkata, anaknya belum dibenarkan pulang sehingga diambil keterangan polis bagi membantu siasatan.-utusan

Remaja hancur 3 jari


Mohd. Syafiq Zuhairi Zinuddin hampir putus tiga jari kanannya akibat bermain mercun bola di Kuala Terengganu, semalam.



KUALA TERENGGANU 17 Ogos - Meskipun berita mengenai kes kecederaan serius akibat bermain mercun sering dilaporkan di media, ia seolah-olah tidak memberi pengajaran malah jumlah mereka yang terlibat terus meningkat.
Dalam kes terbaru di Seberang Takir dekat sini malam tadi, Mohd. Syafiq Zuhairi Zainuddin, 13, tiga batang jari tangannya hancur dan hampir putus selain melecur di dada dan leher apabila mercun yang dipasang meletup secara tiba-tiba.
Pelajar Sekolah Menengah Kompleks Sukan Seberang Takir yang kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dikatakan keluar untuk menunaikan solat terawih di sebuah masjid bersama rakan-rakan seperti biasa.
Namun, menurut ibunya, Norayati Ismail, 34, pada malam itu, anaknya yang sering menunaikan tarawih di surau berhampiran rumah bersama neneknya memaklumkan untuk menunaikan terawih di surau lain, kira-kira satu kilometer dari rumah.
"Setengah jam selepas dia keluar, seorang rakannya menghubungi saya dan memaklumkan tiga jari Syafiq hancur ketika bermain mercun," katanya ketika ditemui di HSNZ di sini hari ini.
Menurut Norayati, anaknya itu kemudian dibawa ke HSNZ untuk menerima rawatan dan doktor memaklumkan dia perlu ditahan beberapa hari untuk proses menyambung jarinya.
Mohd. Syafiq ketika ditanya sama ada serik dan tidak akan lagi bermain mercun, hanya tersenyum dan menggelengkan kepala.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said melahirkan rasa kecewa apabila ada peniaga yang mementingkan keuntungan berbanding keselamatan dengan menjual bahan terlarang itu kepada orang ramai.
Beliau turut mengibaratkan peniaga mercun seolah-olah peniaga dadah kerana bahan yang dijual mampu mencedera dan memusnahkan kehidupan orang lain.
"Kalau kena anak sendiri macam mana?, Banyak lagi benda yang boleh dijual bukan dengan jual mercun sahaja," kata beliau melahirkan kemarahan kepada peniaga mercun menjelang musim perayaan ketika ini.-utusan

Pengurus pub didakwa cederakan lelaki

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Seorang pengurus pub mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencederakan seorang lelaki dengan sebatang kayu, dua bulan lalu.
Hoh Kam Sing, 28, bersama lapan lagi yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Lim Kim Kiat, 31, di tepi Jalan 1/27, Kuchai Business Park, Brickfields di sini pada pukul 1.30 pagi, 5 Jun lalu.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chew Zi Xian mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.-utusan

Pemilik kilang ais didenda RM100,000

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Seorang pemilik kilang ais dihukum penjara sehari dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memberi rasuah RM20,000 kepada seorang pengurus kanan Tenaga Nasional Bhd. (TNB), tahun lalu.
Hakim Rosbiahanin Arifin turut memerintahkan Teel Lye Hock, 47, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut, dipenjara 12 bulan lagi jika gagal membayar denda.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Pengurus Kanan, Unit Siasatan dan Risikan TNB, Rumaizi Mohd. Amin sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan mencuri tenaga elektrik yang dilakukan oleh syarikatnya, Pacific Tube Ice Sdn. Bhd.
Kejadian itu didakwa berlaku di Restoran KFC, Sungai Wang Plaza di sini pada pukul 3 petang, 29 Jun tahun lalu.

Ragut telefon bimbit, penjara lima tahun

MELAKA 17 Ogos - Hanya kerana mencuri seunit telefon bimbit berharga RM200, seorang pekerja di sebuah pasar harian tidak dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri hujung bulan ini bersama keluarganya apabila dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Mohd. Effendi Latiff, 30, dijatuhi hukuman tersebut selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merompak seunit telefon bimbit jenis Nokia 6760 milik Malinda Musliadi, 28, di kawasan berhampiran gedung Kamdar, Jalan Bachang Utama 5 di sini kira-kira pukul 6.30 petang, 10 Ogos lalu.
Mohd. Effendi didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Ambulans terbalik: Pesakit parah meninggal dunia

MELAKA 17 Ogos - Seorang pesakit wanita yang berada dalam ambulans ketika dirempuh sebuah teksi di Ayer Keroh kelmarin, meninggal dunia di Hospital Melaka, hari ini.
Maryam Baba, 73, meninggal dunia kira-kira pukul 9.10 pagi selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Dia dimasukkan ke Hospital Melaka sejak kelmarin kerana mengalami pendarahan di kepala selepas rumahnya di Bukit Ramai dipecah masuk sekumpulan penjenayah.
"Saya reda dengan apa yang telah berlaku tetapi terkilan kerana menyangkakan emak akan selamat sebaik sahaja dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan susulan.
"Tak sangka pula, ambulans dinaiki emak terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke hospital," kata anak bongsu mangsa, Zaidi Senan, 43, ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 6.50 petang kelmarin, seorang doktor lelaki berusia 25 tahun, seorang jururawat, Yuhanis Yasin, 30, dan Maryam cedera parah apabila ambulans yang mereka naiki dirempuh sebuah teksi.
Doktor lelaki tersebut terpaksa dikejarkan ke HKL kerana kecederaan yang dialami manakala Yuhanis kini dirawat di Hospital Melaka.
Bagaimanapun, pemandu ambulans, Mambang Rudy Hartono, 41, dan seorang pembantu perubatan berumur 56 tahun yang menaiki ambulans itu serta pemandu teksi dikenali Ali Muhammad Don hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Melaka.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Azmi Hashim berkata, doktor lelaki tersebut telah dibenarkan keluar dari HKL hari ini kerana cuma mengalami luka dan tidak melibatkan kecederaan dalaman.
"Bagaimanapun, jururawat terbabit masih berada di Hospital Melaka dan keadaannya hari ini dilaporkan semakin tenat," katanya.-utusan

3 militan dikenakan sekatan

WASHINGTON 17 Ogos - Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), semalam mengenakan sekatan ke atas tiga warga Indonesia yang menjadi pemimpin dalam pertubuhan Jemaah Islamiah (JI).
Umar Patek, Abdul Rahim Baasyir dan Muhammad Jibril Abdul Rahman disebut sebagai tokoh penting yang menghubungkan rangkaian JI dengan kumpulan militan lain termasuk al-Qaeda, Lashkar-e Tayyiba di Pakistan dan kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina.
Sekatan itu melarang mana-mana rakyat AS daripada menjalankan urusan perniagaan dengan ketiga-tiga lelaki berkenaan dan membekukan sebarang aset yang mungkin mereka miliki di wilayah AS.
Umar yang didakwa terlibat dengan banyak serangan di Filipina dan serangan bom di Bali pada 2002 yang membunuh 202 orang, diekstradisi dari Pakistan ke Indonesia pada minggu lepas.
Perbendaharaan AS mendakwa, Muhammad Jibril menyalurkan wang untuk membiayai serangan JI dan pernah menjalani latihan ketenteraan di Pakistan 'di mana dia menemui anggota al-Qaeda dan Taliban'.
Abdul Rahim pula didakwa menjadi 'penghubung utama' JI dengan al-Qaeda dan Lashkar-e Tayyiba. - AFP
-utusan

Bom mortar Perang Dunia Kedua dimusnahkan

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Sebutir bom mortar dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua yang ditemui di tapak pembinaan di PUJ 3, Taman Puncak Jalil, Isnin lalu, dimusnahkan hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, polis dimaklumkan mengenai penemuan bom sepanjang 105 milimeter itu oleh seorang juruteknik penyelia tapak tersebut.
"Hasil pemeriksaan mendapati bom mortar itu masih aktif.
"Polis kemudian memanggil Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sebelum ia dimusnahkan pukul 4 petang tadi," katanya di sini hari ini.

Pekerja Indonesia ditemui mati

SHAH ALAM 17 Ogos - Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dengan kesan luka di kepala serta di perut, di Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Plaza Tol Batu Tiga di sini semalam.
Mayat Mat Rudy Matari, 25, berasal dari Madura ditemui kira-kira pukul 7.15 petang oleh rakan-rakannya yang kebetulan melalui kawasan tersebut.
Menurut bapa saudaranya, Ripil Hussien, 47, mangsa yang bekerja sejak lebih setahun di tanah perkuburan Taman Peringatan Nirvana di sini sempat memaklumkan kepadanya bahawa dia dalam perjalanan menuju ke tempat kerja kira-kira pukul 10 pagi.
Katanya, biasanya mangsa akan menaiki bas dan turun di perhentian bas berhampiran lokasi kejadian sebelum berjalan kaki menuju ke tempat kerja.
"Bagaimanapun, dia tidak sampai ke tempat kerja apabila mayatnya ditemui oleh rakan-rakan yang kebetulan melalui jalan tersebut petang tadi.
"Selepas mendapati mayat itu adalah anak saudara saya, saya terus menghubungi pihak polis," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.-utusan

Mati tersedak susu

PADANG BESAR: “Hanya bau badan pada kain lampin akan menjadi pengubat rindu saya kepada anak bongsu yang pergi buat selama-lamanya,” kata Ramlah Ibrahim, 28, apabila anaknya, Mohamad Nur Iffan Mohd Yussof, tiga bulan, maut dipercayai akibat tersedak susu, semalam.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, Mohamad Nur Iffan ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa dengan hidung berdarah selepas disusukan ibunya di rumah keluarganya di Kampung Seri Junjung.

Ramlah yang juga suri rumah berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu berbeza dengan abang dan kakaknya yang berusia sekitar dua hingga 12 tahun, kerana dilahirkan awal iaitu ketika kandungan berusia tujuh bulan sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia sempat menyusukan bayinya di dalam bilik jam 12 tengah malam sambil berbaring di sisinya.

“Bagaimanapun selepas membiarkan Iffan lena dalam keadaan berbaring, saya turut terlelap sebelum dikejutkan anak sulung pada kira-kira jam 3 pagi yang menyatakan hidung adiknya berdarah.

“Saya kemudian memeriksa keadaan anak saya sebelum mendapati susu bercampur darah turut keluar dari hidungnya dan pada masa sama, arwah sudah tidak bernyawa lagi.


“Akibat terkejut dan bimbang, saya menghubungi suami, Mohd Yusoff Mohd Amin, 48, yang mempunyai urusan luar bagi memaklumkan kejadian berkenaan sebelum dia bergegas pulang untuk melihat apa yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, sebaik suami tiba, dia terus memeriksa nadi anak bongsu mereka sebelum mendapati dia sudah tidak bernyawa lalu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk pengesahan dan membuat laporan polis. Katanya, pemeriksaan doktor mendapati anak mereka mati akibat tercekik susu, namun masih perlu menunggu laporan penuh forensik.

“Sehingga kini, masih terngiang-ngiang hilai ketawa Iffan ketika memandikannya kira-kira jam 6 petang semalam (kelmarin) kerana sebelum ini dia tidak bersikap demikian disebabkan lebih banyak diam.

“Sebaliknya, malam tadi (kelmarin) dia juga kelihatan begitu ceria dan saya bersama suami sempat bermain-main dengannya tanpa menyangka ia bagai memberi petanda bahawa dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Bertangkup jam 11 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Deros, berkata kejadian disedari ibu bayi berkenaan apabila anaknya tidak bernafas selain terdapat pendarahan pada hidungnya.

Katanya, keluarganya kemudian membawa anak bongsu mereka ke HTF dan doktor mengesahkan bayi berkenaan meninggal dunia. “Saya difahamkan tiada unsur penderaan atau jenayah, sebaliknya kejadian disebabkan lemas akibat tersedak susu dan kes diklasifikasikan mati mengejut,” katanya.,hmetro

Maklumat wanita terjun sungai mungkin palsu

KUALA LUMPUR: Selepas lebih 12 jam melancarkan operasi mencari dan menyelamat seorang wanita yang dikatakan terjun ke dalam Sungai Klang, berhampiran Pasar Seni di sini, pasukan bomba dan penyelamat membuat keputusan menghentikan operasi berkenaan kerana ia berkemungkinan maklumat palsu.
Menurut jurucakap Bilik Gerakan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, operasi dilancarkan pada jam 11.48 malam kelmarin selepas menerima panggilan kecemasan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang memaklumkan mereka menerima panggilan dari orang awam kononnya ada seorang wanita terjun ke sungai.

Usaha pencarian pasukan itu meliputi radius sejauh 10 kilometer dari tempat mangsa dikatakan terjatuh, termasuk di kawasan belakang IPD Brickfields namun pasukan itu tidak menemui sebarang petunjuk. “Kami terpaksa menghentikan operasi mengesan berkenaan setelah meneliti segala fakta termasuk kemungkinan panggilan yang diterima adalah palsu,” kata jurucakap berkenaan ketika dihubungi.

Beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat lanjut menghubungi Bilik Gerakan Bomba di talian 03-22741216.- Bernama, hmetro

‘Semua bangun kami polis!’

SUBANG JAYA: Sebuah keluarga dan pembantu rumah mereka dikurung dalam tandas oleh sekumpulan empat lelaki sebelum pelbagai barangan berharga berjumlah kira-kira RM100,000 termasuk wang tunai berjumlah RM12,000 dilarikan dari rumah mereka di USJ 11, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa sedang nyenyak tidur bersama isterinya tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi bising dari depan pintu bilik mereka dan jeritan seseorang yang menyatakan mereka polis.
Menurut sumber, mangsa ahli perniagaan berusia 58 tahun dan isterinya, 50-an, kemudian enggan membuka pintu bilik kerana menyesyaki sesuatu yang buruk namun kumpulan lelaki itu bertindak memecah pintu bilik berkenaan.

“Kumpulan lelaki terbabit memasuki bilik mangsa. Suspek bersenjatakan parang dan besi pengumpil itu menyuruh mangsa memanggil anak perempuan serta pembantu rumah mereka sebelum mengurung dalam tandas,” katanya.
Difahamkan, seorang daripada lelaki terbabit ditugaskan menjaga mangsa dan keluarganya di depan tandas berkenaan.

Patah jari berkhalwat

ALOR GAJAH: Seorang pelajar sebuah sekolah menengah di sini, patah jari apabila dibelasah dengan batang penyapu oleh bapanya kerana disyaki bersekedudukan dengan teman wanitanya di sebuah rumah di Masjid Tanah, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam, remaja lelaki berusia 17 tahun terbabit patah jari kiri selepas dibelasah bapanya yang hilang sabar dengan perbuatannya itu.
Remaja itu dan teman wanitanya yang juga penduduk taman berdekatan serta satu lagi pasangan ditangkap pegawai syarak bersama penduduk taman selepas menceroboh masuk ke rumah jiran ketika penghuninya keluar.

Tindakan kumpulan remaja berusia 16 dan 17 tahun itu dihidu penduduk yang seterusnya memaklumkan kepada pegawai syarak lalu menyerbu rumah itu.
Bagaimanapun, ketika diserbu, dua remaja perempuan sempat keluar rumah dan bersembunyi di dalam kereta, manakala dua lelaki itu berada di dalam rumah.hmetro

Mati ditembak sebelum sahur

KAJANG: “Pada mulanya saya menyangkakan bunyi mercun, tetapi selepas dibuat pemeriksaan, saya terkejut apabila mendapati ia bunyi tembakan.
“Ini berikutan selepas saya menjumpai seorang lelaki dalam keadaan mengiring di tepi jalan dengan beberapa kesan tembakan pada badannya,” kata Daud, 34, saksi kejadian seorang lelaki mati ditembak di Sungai Balak, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, dia pada mulanya menyangka lelaki yang terbaring di tepi jalan adalah mangsa kemalangan, tetapi terkejut apabila mendapati lelaki terbabit adalah mangsa tembakan sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, siasatan awal, mangsa adalah seorang kontraktor sampah berusia 37 tahun dan ketika kejadian sedang menunggang motosikal seorang diri dari tempat kerjanya untuk pulang ke rumah.

Katanya, mangsa juga sempat menghubungi isterinya menyatakan hasrat untuk bersahur bersama di rumah mereka.

“Berdasarkan kesan tembakan yang ditemui pada badan mangsa, suspek dipercayai melepaskan beberapa das tembakan dari arah belakang. “Mangsa yang mengalami kecederaan serius akibat tembakan mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.

Sempat berbuka puasa sebelum balik

SRI AMAN: “Kami sempat menikmati juadah berbuka bersama sebelum mereka bertolak pulang awal ke kampung (Indonesia) untuk menyambut Aidilfitri,” kata seorang daripada waris sembilan warga Indonesia yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sri Aman-Sarikei berhampiran Jelukong di sini, awal pagi semalam.
Menurut lelaki berusia lewat 20-an yang enggan dikenali itu, dia dikejutkan dengan panggilan telefon yang memberitahu kenderaan dinaiki ahli keluarganya terbabit dalam kemalangan jalan raya dan lebih memeranjatkan apabila diberitahu sembilan daripada mereka maut di tempat kejadian.

“Memang sebelum ini, saya berjanji bertemu mereka di kampung pada Aidilfitri ini dan mereka pula mahu pulang lebih awal kerana mahu turut menyambut ulang tahun kemerdekaan Indonesia hari ini (semalam).

“Namun, semua perancangan untuk meraikan Aidilfitri bersama kini tinggal kenangan dan saya seolah-olah tidak percaya apabila mereka sudah meninggal dunia,” kata adik ipar kepada Ilham Muzani, 26, yang turut maut dalam tragedi itu.

Sementara itu, suasana sedih menyelubungi pekarangan Rumah Mayat Hospital Sri Aman, sebaik ahli keluarga mangsa tiba dari Indonesia, jam 2 petang semalam.

Mereka dilihat cuba ditenteramkan waris masing-masing selepas gagal mengawal perasaan sebaik menatap jenazah ahli keluarga yang diletakkan di rumah mayat itu. Usaha Harian Metro untuk menemubual waris mangsa tidak berjaya apabila mereka enggan memberikan kerjasama kerana masih kesedihan dengan insiden yang tidak dijangkakan itu.

Bukan motif dendam

KUALA LUMPUR: “Sebaik menerima berita anak saya disimbah asid, badan saya menjadi lemah dan tak tahu nak buat apa. Sepanjang pengetahuan saya, dia anak yang baik dan tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.
“Kejadian itu benar-benar mengejutkan saya. Saya sedih kerana pada tahun ini dia akan menyambut hari raya di hospital dalam kesakitan akibat kejadian ini. Saya harap pihak tidak bertanggungjawab diberi balasan setimpal,” kata Abdul Latiff Kassim, bapa kepada seorang lelaki yang disimbah asid ketika sedang menunggu rakannya berhampiran tandas awam di Jalan Raja Laut, 8 Ogos lalu.

Katanya, perasaan sedih tidak dapat dibendung apabila melihat kecederaan teruk di muka, badan dan dua tangan anaknya serta berdepan kemungkinan terjejas penglihatan selepas mata kanannya kabur manakala mata kiri belum dapat dibuka.

Abdul Latiff berkata, dia yang sedang menonton televisyen di rumah bersama isteri bergegas ke hospital sebaik menerima panggilan telefon daripada rakan Mohd Raffie yang berada bersamanya pada malam kejadian.

“Ketika tiba, saya terkejut mendapati dia dalam keadaan begitu teruk. Selepas bertemu rakannya, baru saya tahu dia menjadi mangsa simbahan asid oleh orang tidak dikenali ketika sedang menunggu di dalam kereta,” katanya pada sidang media bersama Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh di Unit Rawatan Kebakaran Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Menurut Abdul Latiff, dia sekeluarga menolak kemungkinan kejadian berkenaan bermotifkan dendam kerana anak ketiga daripada empat beradik itu tidak mempunyai masalah di tempat kerja, malah dia disenangi semua orang “Ini turut diakui majikan yang datang melawatnya baru-baru ini. Malah ramai rakan sekerjanya turut memberikan sokongan moral dan bersedih dengan kejadian itu. “Saya yakin ia bukan bermotifkan permusuhan dan sebagainya. Ia mungkin dilakukan individu bermasalah,” katanya.

Sementara itu, Muhd Khairun berkata, bironya akan menubuhkan Jawatankuasa Tabung Amanah bagi mencari dana membantu meringankan beban anggota keluarga selain menampung perbelanjaan yang mungkin diperlukan Mohd Raffie. Katanya, beliau akan mempengerusikan jawatan itu yang dianggotai seorang peguam Mahkamah Tinggi, selain ahli keluarga yang akan ditentukan kemudian bagi mencari dana untuk menampung segala kos berkemungkinan.

Ibu tak sempat beraya’

MELAKA: Seorang wanita warga emas yang mengalami nasib malang berganda apabila menjadi mangsa samun sebelum ambulans dinaikinya terbalik di persimpangan lampu isyarat Seri Negeri-Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), dekat sini, Isnin lalu, menghembuskan nafas terakhirnya awal pagi semalam.
Mangsa, Maryam Baba, 73, meninggal dunia jam 9.10 pagi selepas bertarung nyawa hampir 39 jam akibat tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka (HM) sejurus selepas kemalangan itu.

Menurut anaknya, Zaidi Seman, 43, sebelum kemalangan, arwah disamun di kediamannya di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai, jam 11 pagi, penjenayah, menceroboh masuk melalui tingkap di bahagian dapur.

Katanya, dia yang kali terakhir bertemu ibunya seminggu lalu tidak menyangka kejadian itu menimpa arwah, malah lebih terkilan apabila ambulans yang membawa arwah ibunya terbabit kemalangan.

“Sangat sedih kerana arwah ibu tidak sempat menyambut Aidilfitri kerana sebelum ini, dia merancang persiapan menjalani ibadat puasa dan menyambut Aidilfitri. Duit RM600 yang disamun penjenayah itu adalah wang yang dikeluarkannya untuk membeli kuih raya dan menyambut hari raya,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka, di sini, semalam.

Menurutnya, jenazah ibunya dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 71/2 Setulang Daing, Bukit Rambai Akhbar ini, semalam melaporkan, ambulans dinaiki lima orang termasuk pesakit wanita warga emas yang kritikal akibat pendarahan di kepala, terbalik di tengah jalan sejurus dirempuh teksi dari arah MITC jam 7 petang, Isnin lalu.

Sahur terakhir ayah

MELAKA: “Saya tidak sangka pagi semalam (kelmarin), adalah sahur terakhir kami bersama ayah,” kata Azman Anang, 50, anak sulung kepada warga emas yang ditemui mati lemas pagi semalam.
Mayat Anang Osman, 77, ditemui terapung dalam sebuah parit di Taman Semabok Perdana, dekat sini, kira-kira jam 7 pagi oleh seorang pekerja syarikat keselamatan.

Malah, tinjauan di lokasi kejadian mendapati sepasang selipar dan kopiah dipercayai milik mangsa diletakkan kemas di tebing parit berkenaan.

Azman berkata, ayahnya yang juga pesara tentera keluar dari rumah di Bukit Piatu selepas bersahur awal pagi kelmarin untuk bersiar-siar.

“Ayah suka keluar berjalan setiap hari kerana katanya bosan tinggal di rumah seorang diri dan kebiasaannya dia akan pulang pada waktu petang.

“Namun, petang semalam (kelmarin) dia tidak pulang dan saya bercadang untuk membuat laporan mengenai kehilangannya pagi ini (semalam) tetapi dikejutkan dengan kedatangan anggota polis yang menyatakan ayah ditemui mati lemas,” katanya. Dalam pada itu, saksi dikenali sebagai Liza, 45, berkata dia ke lokasi selepas mendengar jeritan rakan sekerjanya yang melihat tubuh mangsa dalam parit itu.

“Saya dan beberapa rakan berlari ke arahnya dan melihat mangsa dalam keadaan terlentang dan dipercayai masih bernyawa kerana mulutnya mencungap cuba mendapatkan oksigen,” katanya. Menurutnya, tidak lama selepas itu tubuh mangsa dilihat berpusing dan seolah-olah tertiarap ke dasar parit sebelum rakannya menghubungi bantuan daripada pihak berkuasa.

Sementara itu Pemangku Timbalan Ketua Polis Melaka Tengah, Deputi Superintendan Gan Chip Pho berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.

“Berdasarkan siasatan awal di tempat kejadian, polis percaya mangsa jatuh tersungkur dengan kepalanya terbenam ke dalam air berlumpur,” katanya.hmetro

Mayat rakan berlumuran darah di kepala

SHAH ALAM: Usaha seorang lelaki mencari rakan karib yang tidak hadir bekerja di Taman Peringatan Nirvana Seksyen 21, di sini, akhirnya membawa penemuan mayat rakannya itu dengan kesan berlumuran darah di kepala dalam kejadian malam kelmarin.
Mayat mangsa ditemui berhampiran kilang minuman di Seksyen 15, kira-kira jam 9 malam.

Sumber polis berkata, mayat lelaki warga Indonesia berusia 23 tahun itu ditemui rakannya selepas mendapatinya tiada di rumah.

“Rakannya terus mencari dengan mengikuti laluan ke tempat kerja yang sering digunakan iaitu jalan pintas berhampiran kilang berkenaan.

“Mangsa kemudian ditemui di kawasan semak berhampiran landasan kereta api berdekatan sebuah kilang minuman.

“Polis percaya mangsa dibunuh kurang daripada tempoh 24 jam berikutan kesan darah yang masih baru,” katanya.hmetro

53 makanan bazar Ramadan tercemar

KUALA LUMPUR: Hasil kajian Jabatan Kesihatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas 278 sampel makanan yang diambil daripada Operasi Bersepadu Bazar Ramadan bermula awal Ramadan lalu mendapati 19 peratus daripadanya tercemar dengan bakteria.
Pengarah Kesihatan DBKL, Dr Sallehudin Abu Bakar, berkata 53 daripada 278 sampel itu didapati mempunyai bakteria coliform dan e-coli yang dipercayai berpunca daripada pengendalian makanan yang salah.

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mementingkan kebersihan dengan mengeluarkan kompaun supaya mereka sedar kesalahan yang dilakukan.

“Antara makanan yang banyak didapati tercemar ialah kuih yang menggunakan kelapa, nasi lemak, air jagung, tembikai dan soya. “Kami akan keluarkan kompaun kepada peniaga selepas mendapati makanan atau minuman mereka mempunyai bakteria mengikut Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan 1987 yang boleh dikompaun RM500,” katanya yang ditemui selepas operasi di Cheras, semalam.

Dr Sallehudin berkata, untuk operasi semalam 60 sampel diambil untuk kajian dan tindakan susulan akan diambil sekiranya didapati wujudnya bakteria pada makanan atau minuman berkenaan.

Katanya, Jabatan Kesihatan DBKL sudah menjalankan operasi ke atas 2,279 gerai di 47 bazar dan akan meneruskannya ke 33 bazar sebelum 25 Ramadan ini. “Hari ini (semalam) kami sudah keluarkan tiga kompaun kepada peniaga atas kesalahan kecil seperti penggunaan pakaian tidak sesuai, menggunakan telur yang tidak dibasuh dan makanan tidak ditutup.

“Untuk kesalahan kecil ini, kami keluarkan 20 kompaun keseluruhan bagi menyedarkan peniaga. Walaupun kompaun ini RM50, namun sedikit sebanyak akan menyedarkan peniaga ini,” katanya.,hmetro

‘Mujur tak kena’

ALOR SETAR: “Mujur saya sempat mengelak ketika dia mengeluarkan pisau dan cuba menikam perut saya,” kata Mohd Asrol Abdul, 35, anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), yang nyaris ditikam seorang lelaki dipercayai pengutip parkir haram.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, Mohd Asrol bersama lima anggota penguat kuasa lain menjalankan tugas di kawasan bandar raya itu sebelum menerima maklumat berhubung kegiatan pengutip parkir haram di Lorong Padi, di sini.

Mohd Asrol berkata, setibanya di lokasi kejadian, dia bersama beberapa anggota lain mendapati seorang lelaki berusia 30-an dikesan sedang mengutip duit parkir secara haram daripada pemandu sebuah kenderaan yang diletakkan di kawasan itu .

“Saya dan beberapa rakan kemudian menghampiri lelaki berkenaan sambil menegur tindakannya mengutip duit secara haram, tetapi dia menafikan berbuat demikian sedangkan ia berlaku depan mata kami.

“Berikutan itu, saya menahan lelaki berkenaan, tetapi dia meronta dan melarikan diri, namun kami cuba mengejarnya sebelum dia ditahan semula di hadapan pejabat Syarikat Air Darulaman (Sada) di Jalan Tunku Ibrahim, kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

“Lelaki itu kemudian mengeluarkan sebilah pisau dan cuba menikam saya di bahagian pinggang, tetapi berjaya mengelak walaupun hampir terkena di perut,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Mohd Asrol berkata, lelaki berkenaan sekali lagi mengacu pisau seolah-olah mengugut untuk mencederakannya, tetapi bertindak melarikan diri dan membuang pisau berkenaan selepas mendapati ramai anggota penguat kuasa MBAS berada di situ.

“Dengan bantuan orang awam, suspek ditahan semula dan lelaki itu mengalami kecederaan kecil di belakang kepala akibat jatuh ketika cuba melarikan diri. “Saya kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan menyerahkan suspek kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Tadbir MBAS, Azizah Hamid berkata, pihaknya menyerahkan kes berkenaan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan ia adalah antara cabaran yang dihadapi anggota penguat kuasa ketika menjalankan tugas.

Menurutnya, semua tempat parkir di sekitar bandar raya itu di bawah tanggungjawab MBAS, tetapi pihaknya hanya beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari dan selepas tempoh waktu berkenaan, semua parkir adalah percuma.

“Kami tidak pernah melantik mana-mana individu melakukan kutipan selepas tempoh yang ditetapkan dan menjadi satu kesalahan jika ada di kalangan mereka yang membuat kutipan secara haram.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melayan pengutip parkir haram ini daripada melakukan kegiatan itu bagi mengelakkan mereka terus mencari peluang untuk mengaut keuntungan cara mudah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan masih dijalankan.-hmetro

Warden terkejut pelajar bersalin dalam tandas

KAJANG: Seorang warden asrama perempuan terkejut sejurus mendapati seorang pelajar perempuan tingkatan lima melahirkan bayi perempuan di dalam tandas asrama sebuah sekolah menengah di sini, semalam.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, guru wanita berkenaan dipanggil seorang pelajar lain yang memaklumkan rakannya berada di dalam tandas kerana baru melahirkan seorang bayi.

Katanya, guru berkenaan bergegas ke tandas itu dan mendapati mangsa yang berusia 17 tahun berada di dalam tandas yang dikunci dari dalam sambil mengerang kesakitan.

“Selepas dipujuk, mangsa keluar bersama bayi perempuan cukup sifat,” katanya.

Guru berkenaan membawa mangsa dan bayi perempuan itu ke Wad Kecemasan, Hospital Kajang, untuk rawatan lanjut.

Sumber berkata, sebaik emosi mangsa stabil, guru berkenaan meminta mangsa menceritakan kejadian yang menimpanya hingga menyebabkan dia mengandung.


“Mangsa mendakwa dirogol dua lelaki tidak dikenali di Taman Kajang Utama pada November tahun lalu,” katanya.

Guru berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan jika sabit kesalahan suspek boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.-hmetru

Bau lampin ubat rindu

PADANG BESAR: “Hanya bau badan pada kain lampin akan menjadi pengubat rindu saya kepada anak bongsu yang pergi buat selama-lamanya,” kata Ramlah Ibrahim, 28, apabila anaknya, Mohamad Nur Iffan Mohd Yussof, tiga bulan, maut dipercayai akibat tersedak susu, semalam.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, Mohamad Nur Iffan ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa dengan hidung berdarah selepas disusukan ibunya di rumah keluarganya di Kampung Seri Junjung.

Ramlah yang juga suri rumah berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu berbeza dengan abang dan kakaknya yang berusia sekitar dua hingga 12 tahun, kerana dilahirkan awal iaitu ketika kandungan berusia tujuh bulan sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia sempat menyusukan bayinya di dalam bilik jam 12 tengah malam sambil berbaring di sisinya.

“Bagaimanapun selepas membiarkan Iffan lena dalam keadaan berbaring, saya turut terlelap sebelum dikejutkan anak sulung pada kira-kira jam 3 pagi yang menyatakan hidung adiknya berdarah.

“Saya kemudian memeriksa keadaan anak saya sebelum mendapati susu bercampur darah turut keluar dari hidungnya dan pada masa sama, arwah sudah tidak bernyawa lagi.


“Akibat terkejut dan bimbang, saya menghubungi suami, Mohd Yusoff Mohd Amin, 48, yang mempunyai urusan luar bagi memaklumkan kejadian berkenaan sebelum dia bergegas pulang untuk melihat apa yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, sebaik suami tiba, dia terus memeriksa nadi anak bongsu mereka sebelum mendapati dia sudah tidak bernyawa lalu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk pengesahan dan membuat laporan polis. Katanya, pemeriksaan doktor mendapati anak mereka mati akibat tercekik susu, namun masih perlu menunggu laporan penuh forensik.

“Sehingga kini, masih terngiang-ngiang hilai ketawa Iffan ketika memandikannya kira-kira jam 6 petang semalam (kelmarin) kerana sebelum ini dia tidak bersikap demikian disebabkan lebih banyak diam.

“Sebaliknya, malam tadi (kelmarin) dia juga kelihatan begitu ceria dan saya bersama suami sempat bermain-main dengannya tanpa menyangka ia bagai memberi petanda bahawa dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Bertangkup jam 11 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Deros, berkata kejadian disedari ibu bayi berkenaan apabila anaknya tidak bernafas selain terdapat pendarahan pada hidungnya.

Katanya, keluarganya kemudian membawa anak bongsu mereka ke HTF dan doktor mengesahkan bayi berkenaan meninggal dunia. “Saya difahamkan tiada unsur penderaan atau jenayah, sebaliknya kejadian disebabkan lemas akibat tersedak susu dan kes diklasifikasikan mati mengejut,” katanya.hmetro

Mercun digenggam meletup

SAKIT...Norayati melihat tangan Mohd Shafik yang cedera.
SAKIT...Norayati melihat tangan Mohd Shafik yang cedera.
KUALA TERENGGANU: “Shafik minta izin untuk keluar bersembahyang Tarawih di surau Al Taqwa berdekatan, tetapi tidak lama kemudian saya mendapat panggilan telefon daripada seorang rakannya mengatakan jari anak saya itu cedera akibat terkena mercun,” kata Norayati Ismail, 34, ibu Mohd Shafik Zuhairi Zainuddin, 13, mangsa kedua kemalangan mercun di negeri ini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.10 malam itu, Mohd Shafik cedera jari telunjuk dan melecur teruk di tapak tangan kanan selepas mercun bola dipasang meletup ketika dalam genggamannya.

Norayati berkata, dia tidak tahu dari mana Shafik yang juga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kompleks Seberang Takir, di sini, mendapat mercun berkenaan, tetapi difahamkan anaknya itu bermain mercun bersama sekumpulan rakan sebaya di perkarangan surau berkenaan ketika jemaah mengerjakan Tarawih.

“Selepas membenarkan dia keluar, saya menyiapkan tempahan jahitan baju pelanggan, tetapi tidak lama kemudian saya terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada seorang rakan Shafik mengatakan anak saya cedera akibat terkena mercun,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.,hmetro

Derita di Peru



pix_gal0
Keldai dadah bebas penjara rayu untuk pulang

"TOLONGLAH... saya mahu pulang ke tanah air tapi tak ada duit. Saya benar-benar sudah menyesal dan tidak tertahan lagi hidup di sini," rayu bekas keldai dadah, Rosna Shariff, 43, (gambar) yang dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara dua tahun lapan bulan di penjara Santa Monica di Lima kerana membawa dadah jenis kokain seberat lima kilogram, lebih empat tahun lalu.-bharian

Melecur selepas kutip mercun


MOHD. Syafiq yang melecur dan hampir putus tiga jari kanannya dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU - Hari Raya Aidilfitri tahun ini menjadi pengajaran kepada seorang pelajar tingkatan satu di sini apabila tiga jarinya hampir putus manakala leher dan dadanya melecur selepas mercun bola yang dicucuh meletup di Kampung Seberang Takir dekat sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 9 malam itu berlaku ketika Mohd. Syafiq Zuhairi Zainuddin sedang bermain mercun bersama beberapa rakannya sebelum pergi ke surau untuk solat tarawih.
Mohd. Syafiq berkata, kejadian malang itu berpunca daripada kesilapannya sendiri kerana terlalu berani mengutip mercun bola yang telah dicucuh.
"Pada mulanya saya baling mercun bola itu tetapi tidak meletup. Selepas itu saya pergi kutip (mercun) semula, tiba-tiba ia meletup," kata ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam.
Ekoran letupan itu, tiga jari kanan Mohd. Syafiq cedera teruk dan hampir putus manakala leher dan dadanya pula melecur.
Sementara itu, ibu mangsa Norayati Ismail, 34, memberitahu, sebelum kejadian, anak sulung daripada tiga beradik itu meminta kebenarannya untuk menunaikan tarawih di surau yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.
"Tidak sampai sejam kemudian, seorang kawan Mohd. Syafiq menghubungi saya dan memaklumkan anak saya cedera terkena mercun," katanya.
Wanita yang bekerja sebagai tukang jahit itu berkata, anaknya kini dilaporkan stabil dan akan menjalani pembedahan kecil dalam masa terdekat bagi mengetahui sama ada jari tengah Mohd. Syafiq perlu dipotong ataupun tidak.
-kosmo

Syabu: Pelakon didenda RM5,000



Gambar kiri, Benjy ketika ditahan pada Mac 2010 manakala kanan ialah gambar Benjy semalam.

KUALA LUMPUR – Pelakon Benjy, anak dramatis Azean Irdawaty boleh menarik nafas lega apabila hanya didenda RM5,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas disabitkan bersalah atas satu tuduhan memiliki syabu seberat 0.24 gram di kediamannya pada Mac tahun lalu.
Majistret Hafizza Sauni memutuskan demikian terhadap Benjy, 33, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Artis lelaki tersebut disabit bersalah atas tuduhan memiliki 0.24 gram dadah jenis syabu di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut di sini pada pukul 4 petang, 11 Mac tahun lalu.
Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim yang ditemani adik perempuannya, Elza Irdalynna membayar denda tersebut.
Pelakon yang semakin berisi itu sempat berkata sesuatu kepada wartawan selepas membayar denda: “Saya lega, telah bebas dan semua berakhir, terima kasih kepada rakan-rakan atas sokongan, saya kembali.”
Pada 8 Julai lalu, Benjy dilepas dan dibebas daripada satu tuduhan memiliki 0.14 gram dadah syabu di No. C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Persimpangan Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru di sini pukul 3 petang hari yang sama.-kosmo

Kabin ganti asrama terbakar




Mohd. Puad Zarkashi bersama Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Mansor Lat (tengah) melawat asrama pelajar lelaki yang terlibat kebakaran di Kubang Pasu, semalam.


JITRA 16 Ogos - Kementerian Pelajaran akan membina kabin gentian komposit untuk dijadikan tempat tinggal sementara bagi menggantikan asrama pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman yang hangus dalam kebakaran kelmarin.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kabin itu diperlukan kerana pembinaan asrama baru bagi menggantikan asrama yang hangus tersebut dijangka memakan masa yang lama.
"Kabin ini selesa untuk diduduki, tidak panas serta boleh memuatkan 100 pelajar dan kos pembinaan kabin tersebut dianggarkan RM1.2 juta.
"Saya akan membincangkan perkara ini dalam mesyuarat Kabinet esok dan kita akan menggunakan peruntukan kecemasan untuk membina kabin tersebut secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah itu di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang kelmarin, kira-kira 71 pelajar sekolah itu tinggal sehelai sepinggang apabila empat daripada enam bilik asrama SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman hangus dalam satu kebakaran.
Setakat ini, kementerian belum menerima jumlah sebenar kerugian akibat kebakaran itu.
Menurut Mohd. Puad, kini pelajar terbabit ditempatkan sementara di bilik gimnasium sekolah dan pihaknya mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah (JPN) untuk menaik taraf bilik air di situ.
"Peruntukan RM50,000 akan diberikan untuk kerja menaik taraf bilik air yang dijangka siap dalam tempoh dua hari.
"Buku teks, pakaian sekolah dan pakaian harian pelajar juga disediakan pihak JPN dengan dibantu oleh pihak lain," katanya.
Tambahnya, bangunan asrama yang terbakar itu akan ditutup buat sementara waktu untuk keselamatan penghuni sekolah tersebut.-utusan

Maut dirempuh babi hutan





JERANTUT 16 Ogos - Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini pasti tidak meriah seperti sebelumnya buat seorang peneroka apabila isterinya maut setelah motosikal yang mereka naiki dirempuh seekor babi hutan di Felda Kota Gelanggi 3, dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Rohani Sulaiman, 46, meninggal dunia setelah tercampak dari motosikal manakala suaminya, Harun Mat Ali, 60, cedera parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Temerloh.
Anak mangsa, Hazman Harun, 38, ketika ditemui semalam berkata, ketika kejadian, bapanya dalam perjalanan ke kebun bersama isterinya itu dengan motosikal sebelum dirempuh haiwan tersebut.
"Baru beberapa hari lalu, saya menghubungi mereka untuk bertanya khabar dan emak sempat beritahu kalau balik sini (Felda Kota Gelanggi 3) jangan terkejut.
"Saya pula tidak mengesyaki apa-apa, namun tidak sangka ia petanda dia akan tinggalkan kami," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Hazman yang bekerja sebagai mekanik di Bandar Sunway, Kuala Lumpur memberitahu, pasangan tersebut merancang menunaikan haji bersama, namun takdir menentukan hasrat itu tidak kesampaian.
"Kami sangat terkejut dan sedih kerana ayah kini terlantar di hospital, emak pula pergi meninggalkan kami sedangkan 1 Syawal akan menjelang tidak lama lagi," katanya.
Jenazah Rohani selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan, pukul 9.30 malam semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zakaria Kassim ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan.-utusan

Penganggur pecah masuk rumah isteri

KUALA TERENGGANU 16 Ogos - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana didakwa mencuri pelbagai barang daripada rumah milik isterinya sendiri, bulan lalu.
Ahmad Zughairi Mohd. Zuki, 25, dari Taman Indah, Al Muktafi Billah Shah dekat sini hanya menundukkan kepala sambil mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Pendaftar Mahkamah, Mohd. Erman Che Mat.
Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad Zughairi didakwa telah mencuri pelbagai barangan di rumah Che Wan Munirah Che Wan Aziz, 24, di Kampung Bukit Tunggal di sini antara pukul 4 petang dan 8.30 pagi, 24 Julai lalu.
Antara barangan yang dicuri adalah sebuah televisyen 14 inci berjenama Homax, 20 buah beg galas wanita pelbagai jenis dan satu kotak berisi pakaian wanita.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Supritendan Ngiam Ooi Ming sementara tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mohd. Erman kemudian menetapkan 29 September ini untuk sebutan semula kes itu di hadapan majistret.
Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Difahamkan Ahmad Zughairi yang diberkas pada Sabtu lalu, disyaki melakukan perbuatan itu oleh isterinya berdasarkan tindakan lelaki tersebut yang pernah mengugut untuk mencederakannya jika dia tetap dengan pendirian untuk bercerai.-utusan

Gengster sekolah mengamuk, empat pelajar cedera



NOOR Adlena Abu Hassan menunjukkan luka dan calar pada bahagian badan Mohd. Syahiran Syaza Mohd. Abdullah selepas diserang sekumpulan pelajar, semalam.


KUALA LUMPUR 16 Ogos - Sekumpulan 20 pelajar dari dua sekolah menengah di ibu negara bertindak seperti gengster dengan menyerang dan mencederakan beberapa pelajar sebuah sekolah di Jalan Bukit Nanas di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 1.15 petang itu, beberapa pelajar mengalami kecederaan termasuk empat daripadanya dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Suspek dipercayai gabungan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melawati dan SMK Padang Tembak, Jalan Semarak di sini, membawa senjata berupa kunci pemegang motosikal, cota dan batang besi untuk menyerang pelajar di Sekolah Menengah St. John.
Salah seorang mangsa, Mohd. Syahiran Syaza Mohd. Abdullah, 17, berkata, dia bersama rakan baru keluar dari sekolah untuk pulang ke rumah apabila terserempak dengan sekumpulan 20 pelajar berkenaan.
"Saya dan rakan terdengar orang bercerita ada sekumpulan pelajar dari sekolah lain sedang berkumpul di hadapan sekolah untuk bergaduh.
"Saya meletak kereta di luar kawasan sekolah terpaksa melalui kumpulan itu untuk mengambil kereta dan pada masa sama mengambil kesempatan untuk mengetahui apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di HKL di sini, hari ini.
Menurut pelajar tingkatan lima itu, sebaik sahaja tiba di luar sekolah, dia terdengar kumpulan pelajar itu mengadu motosikal salah seorang rakan mereka disimbah cat oleh pelajar dari sekolahnya.
Selepas itu, katanya, kumpulan pelajar itu terus menyerang dan membelasah secara rambang pelajar dari sekolahnya.
Tambahnya, dia yang diserang menggunakan pemegang kunci motosikal dan besi panjang, tidak dapat melawan ketika dipukul di kepala dan badannya sehingga mengalami luka serta lebam.
"Kami bernasib baik apabila ada anggota polis trafik melalui tempat kejadian, menyebabkan pelajar itu bertempiaran melarikan diri. Salah seorang berjaya ditangkap oleh pelajar sekolah kami dan diserahkan kepada polis," katanya sambil memberitahu mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk membuat laporan sebelum dihantar ke HKL.
Sementara itu, bapa kepada Mohd. Syahiran Syaza, Datuk Mohd. Abdullah Mohd. Mohaidin berkata, dia dan isterinya, Datin Noor Adlena Abu Hassan bergegas ke HKL sebaik sahaja dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai insiden menimpa anak mereka.
Mohd. Abdullah yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Sekolah Menengah St. John terkejut kerana gejala gengster masih berlaku.
"Kejadian seperti ini amat membimbangkan kerana jika tidak dibendung, ia boleh menimbulkan masalah sosial yang serius," ujarnya.-utusan

Taktik lapan nelayan Vietnam gagal

PASIR PUTEH 16 Ogos - Taktik lapan nelayan Vietnam menggunakan bot menyerupai nelayan tempatan ketika menangkap ikan di perairan negara berjaya dikesan Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semalam.
Dalam operasi pukul 10.55 pagi itu, seorang tekong dan tujuh awak-awak berusia 19 hingga 45 tahun serta sebuah bot nelayan ditahan bersama peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan.
Ketua Maritim Malaysia Tok Bali, Komander Maritim Zainin Abd. Majid berkata, kesemua hasil rampasan dianggarkan bernilai RM500,000.
"Kesemua nelayan itu dibawa ke Mahkamah Majistret Pasir Puteh hari ini untuk direman sebelum didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana kesalahan menangkap ikan di perairan Malaysia," katanya di sini hari ini.
Zainin berkata, pemeriksaan mendapati bot itu menggunakan 'rumah kemudi' berwarna merah yang menyerupai bot-bot nelayan tempatan.
Katanya, namun bot itu menimbulkan keraguan kerana memiliki nombor pendaftaran berlainan iaitu CM99551TS dan tidak mengibarkan Jalur Gemilang.
"Tekong dan awak-awaknya pula semasa diperiksa tidak mempunyai lesen dan permit menangkap ikan yang sah selain tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
"Bot terbabit ditunda ke pangkalan Maritim Malaysia lewat malam tadi. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM1 juta atau enam bulan penjara bagi tekong dan RM500,000 atau lima bulan penjara bagi awak- awak," ujarnya.-utusan

Suami dakwa hospital cuai bedah isteri

SUBANG JAYA 16 Ogos - Hasrat seorang suami untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama isteri kesayangannya tidak kesampaian apabila wanita itu kini terlantar di hospital, gara-gara dakwaan kecuaian doktor menjalankan pembedahan apendiks pada 21 Julai lalu.
Menurut Koperal Sharifuddin Othman, isterinya, Salmai Ibrahim, 52, sepatutnya menjalani pembedahan membuang apendiks pada 20 Julai lalu selepas dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar, Perlis, ketika sedang menjaga ibu mertuanya yang patah kaki.
"Apendiks isteri saya disahkan sudah pecah ketika itu tetapi dia hanya dibedah pada pukul 3 petang keesokan hari.
"Selepas pembedahan, isteri saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam keadaan koma selama dua hari sebelum dipindahkan ke wad biasa dan dibenarkan keluar hospital pada 27 Julai lalu," katanya yang juga Timbalan Ketua Polis Balai Komuniti Taipan, USJ Subang Jaya ketika ditemui di sini hari ini.
Pada pukul 8 malam hari yang sama, bagaimanapun, menurut Sharifuddin, isterinya yang ketika itu berada di rumah kakak iparnya di Taman Guru Jaya, Kangar, mengadu sakit dan didapati bahagian jahitan pembedahan di perutnya terbuka sehingga darah mengalir keluar.
Keesokan harinya, isterinya dihantar semula ke HTF dan ditahan di wad tetapi hanya menerima rawatan membersih luka.
Dia mendakwa tiada usaha dilakukan oleh doktor untuk menjahit semula tempat pembedahan yang terbuka atau membuat pemeriksaan lanjut terhadap bekas pembedahan itu sehinggalah keadaan isterinya semakin teruk dengan semua jahitan di perutnya terbuka pada 2 Ogos lalu.
"Isteri saya menderita kesakitan sehingga demam apabila luka di tempat pembedahannya terbuka semula sehingga menampakkan isi perut tetapi doktor hanya membersihkan luka tersebut, memberi ubat demam dan penahan sakit dengan alasan ia proses biasa untuk pulih," katanya.
Dia yang tidak berpuas hati dengan layanan hospital itu kemudian memindahkan isterinya ke Pusat Perubatan Kedah di Alor Setar, pada hari sama.
"Tiba di situ, doktor memaklumkan keadaan isteri saya sudah tenat kerana usus yang disambung selepas pembedahan sebelum ini pecah dan membengkak, malah dia akan meninggal dunia jika tidak dirawat segera," katanya.
Ekoran itu, isterinya sekali lagi terpaksa dibedah bagi menyelamatkan nyawanya pada keesokan hari.
Sharifuddin berkata, pembedahan kedua di pusat perubatan itu berjaya menyelamatkan isterinya tetapi dia belum dibenarkan keluar hospital sehingga kini dan berkemungkinan terpaksa berhari raya di hospital.
Memandangkan mereka sekeluarga tinggal dan bekerja di Subang Jaya, salah seorang anak perempuannya terpaksa berhenti kerja di sebuah bank untuk membolehkannya menjaga ibunya yang terlantar di Pusat Perubatan Kedah.
Sharifuddin mendakwa sudah bertemu dengan Pengarah HTF untuk mengadu tentang kecuaian kakitangannya tetapi tiada maklum balas diperoleh sehingga kini.
Dia yang kecewa dengan kecuaian dan sikap lepas tangan pihak HTF kini dalam proses mendapatkan peguam untuk menyaman hospital berkenaan.-utusan

Kejadian simbahan cecair tiada kaitan siri serangan sebelum ini



Lakaran wajah suspek


KUALA LUMPUR 16 Ogos - Siasatan polis terhadap dua kejadian menyimbah cecair termasuk yang terbaharu melibatkan anak saudara kepada penyanyi 80-an, Datin Ramziela Radzillah, mendapati tidak mempunyai kaitan dengan siri serangan menyimbah asid sebelum ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, penemuan itu berdasarkan ciri-ciri suspek dan cecair yang digunakan dalam kedua-dua kes tersebut adalah berbeza.
"Pada masa ini, polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dua lokasi kejadian bagi mengesan suspek terlibat.
"Polis berusaha menyelesaikan kes itu secepat mungkin, mengesan saksi-saksi dan menemu duga mangsa untuk mendapatkan gambaran yang jelas mengenai rupa bentuk fizikal suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kedua-dua kejadian itu berlaku di Stesen Minyak Shell, Batu 2 1/2, Jalan Sungai Besi pada 26 Julai lalu dan berhampiran tandas awam bersebelahan Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut, pada 8 Ogos.
Kejadian pertama melibatkan seorang mangsa berusia 35 tahun yang bekerja sebagai penghantar surat di sebuah syarikat di Wisma Mutiara, Sungai Besi.
Semasa kejadian, mangsa baru menunaikan cek syarikat bernilai RM18,000 namun ketika berhenti di stesen minyak itu untuk ke bilik air, dia telah dihampiri suspek yang memakai topi besbol.
Suspek tiba-tiba menyimbah sejenis cecair dan cuba merampas beg berisi wang tunai itu yang diletakkan di dalam raga motosikal tetapi gagal lalu melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Wira Sedan.
Kejadian kedua pula melibatkan mangsa yang berusia 27 tahun disimbah cecair disyaki asid oleh salah seorang daripada tiga lelaki dipercayai berbangsa Melayu, mengakibatkan kulit muka mangsa melecur.
Tambah Khairi, setakat ini, polis telah berjaya membuat lakaran ke atas wajah suspek yang terlibat dalam cubaan menyamun mangsa di Jalan Sungai Besi.
Polis sebelum ini mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan di beberapa lokasi di ibu negara yang dikenal pasti menjadi tumpuan dua lelaki bermotosikal yang terlibat dalam 22 kes menyimbah cecair dipercayai asid.-utusan

Ambulans terbalik, tiga cedera parah





Seorang pegawai perubatan terbaring menunggu bantuan setelah ambulans yang membawa seorang pesakit terbalik dalam kemalangan di persimpangan Seri Negeri - MITC, Ayer Keroh, Melaka, kelmarin.


MELAKA 16 Ogos – Seorang doktor, jururawat dan pesakit wanita parah apabila ambulans yang mereka naiki dirempuh sebuah teksi di persimpangan lampu isyarat Seri Negeri-MITC, Ayer Keroh di sini semalam.
Bagaimanapun, dalam kejadian pukul 6.50 petang itu, pemandu ambulans dan seorang pembantu perubatan yang menaiki ambulans itu serta pemandu teksi, hanya cedera ringan.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Melaka Tengah, Asisten Supritendan V. Gunasegaran berkata, kemalangan berlaku ketika ambulans itu dalam perjalanan menghantar pesakit ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari Hospital Melaka.
Menurut beliau, sebaik sahaja tiba di simpang empat lampu isyarat itu, sebuah teksi yang datang dari arah MITC menghala ke Seri Negeri gagal dikawal lalu merempuh ambulans tersebut.
“Akibat rempuhan itu, doktor dan jururawat yang mengiringi pesakit wanita di dalam ambulans mengalami cedera parah. Kesemua mereka dibawa ke HKL untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya.
Difahamkan, pesakit yang menaiki ambulans itu ialah mangsa samun yang ditetak dan perlu dirujuk ke HKL untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, seorang saksi, Tan Bun Han, 40 berkata, ketika kejadian dia berada di belakang ambulans tersebut namun terpaksa berhenti di persimpangan apabila lampu isyarat bertukar merah.
“Tiba-tiba, saya nampak sebuah teksi muncul dari arah MITC lalu merempuh bahagian belakang kiri ambulans yang menghala ke arah plaza tol Ayer Keroh.
“Rempuhan kuat itu menyebabkan ambulans tersebut hilang kawalan lalu terbalik ke sebelah kanan jalan,” katanya.
Polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 43(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-utusan

Cabul remaja bawah umur: Pemuda dijel, sebat, denda

KUANTAN 16 Ogos – Seorang pemuda dihukum penjara 12 bulan dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah mencabul seorang gadis bawah umur, Isnin lalu.
Ermi Erzanee Abdul Rashid, 19, dari Taman Balok Jaya di sini turut dikenakan hukuman dua kali sebatan oleh Majistret Rini Triany Muhammad Ali.
Dia mengaku menggunakan kekerasan jenayah ke atas remaja berusia 14 tahun itu dengan tujuan mencabul kehormatan mangsa kira-kira pukul 4.30 pagi di Pantai Pelindung, Beserah di sini.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Zainal Mokhtar mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Sementara itu, Rini Triany menetapkan 12 September ini bagi tarikh menjatuhkan hukuman ke atas seorang remaja berusia 16 tahun yang didakwa merogol mangsa yang sama.
Beliau menangguhkan hukuman ke atas tertuduh yang mengaku merogol mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama, sementara menunggu laporan akhlak tertuduh siap disediakan.
Tertuduh yang menetap di Kampung Batu Hitam dibenarkan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.-utusan

Pengawal keselamatan didakwa






Syahmie Hassan dan Nuurhisyam Shukor (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.


IPOH 16 Ogos - Seorang pengawal keselamatan hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim di Pangsapuri Permai Lake View, Ulu Kinta pada awal bulan ini.
Syahmie Hassan, 20, hanya mengangguk tanda faham terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Akmal Mustafa Kamal.
Rakan serumahnya, Nuurhisyam Shukor, 22, yang juga seorang anggota tentera yang lari daripada tugas, turut dihadapkan di mahkamah sama atas tuduhan melupuskan barang curi milik mangsa berupa gelang emas, sehari selepas kejadian tersebut.
Kedua-dua mereka merupakan jiran kepada mangsa.
Mengikut pertuduhan, Syahmie didakwa membunuh Rohani, 38, di rumah mangsa di Blok F, Tingkat 1, Unit 9, Persiaran Lembah Perpaduan, Permai Lake View, Ulu Kinta di sini antara pukul 6 petang dan 7.30 malam, 3 Ogos lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Syahmie.
Sementara itu, Nuurhisyam pula didakwa melupuskan harta curi berupa seutas gelang emas berbentuk sembilan urat rantai bernilai RM6,000 milik mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kedai Jam Tangan 'Kam Seng' di No. 55, Jalan Besar, Tanjung Malim, dekat sini antara pukul 3 petang dan 6 petang, 4 Ogos lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Nuurhisyam mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan tersebut.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nor Abdurrahim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Nurul Akmal membenarkan Nuurhisyam dibebaskan dengan jaminan RM6,000 beserta seorang penjamin sementara Syahmie tidak dibenarkan diikat jamin kerana pertuduhan terhadapnya melibatkan hukuman mati.
Beliau menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 17 Oktober ini sementara menunggu laporan bedah siasat pembunuhan Rohani lengkap.
Memetik laporan akhbar sebelum ini, dalam kejadian tersebut, mayat Rohani ditemui seorang pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan selepas terserempak dengan seorang lelaki sedang memikul satu bungkusan menuruni tangga dari tingkat satu kira-kira pukul 3.30 pagi.
Hasil pemeriksaan pengawal keselamatan itu mendapati bungkusan yang dicampakkan oleh suspek selepas terkejut melihatnya itu adalah sehelai gebar yang membalut mayat seorang wanita dengan kedua-dua tangan dan kakinya diikat.=utusan

Black Water diikat jamin RM1.96 juta






EMPAT orang dipercayai anggota sindiket curi kereta terbesar dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang, semalam. – BERNAMA


KLANG 16 Ogos – Mahkamah Sesyen di sini hari ini mencatat sejarah perundangan apabila membenarkan empat lelaki yang terbabit dalam sindiket curi kereta terbesar di Lembah Klang, Black Water diikat jamin RM1.96 juta setiap seorang setelah masing-masing didakwa atas 196 pertuduhan.
Keempat-empat mereka masing- masing didakwa dengan 98 pertuduhan menerima harta curi iaitu 98 buah kereta mewah dan 98 pertuduhan lagi atas perbuatan menolong menyembunyikan kesemua kereta tersebut.
Mereka yang dituduh Wong Ooi Kay, 34, Sim Cee Wei, 39, Lau Kuan Zui, 39, dan Tan Ching Swee, 40, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin kepada mereka di dua Mahkamah Sesyen di sini.
Ooi Kay dan Cee Wei menghadapi tuduhan di hadapan Hakim Siti Nor Sharida Awang manakala Kuan Zui dan Ching Swee didakwa di hadapan Hakim Siti Nuraida Sulaiman.
Bagi setiap tertuduh, 190 pertuduhan didakwa dilakukan di No. 1, Lot 8638, Kampung Black Water off Jalan Banting-Klang pada pukul 5 petang, 29 Jun lalu manakala enam pertuduhan lagi didakwa dilakukan di Lorong Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi pada pukul 6 petang, hari yang sama.
Kesemua 98 kenderaan yang dicuri ialah 59 buah Honda City, Toyota Hilux (22), Honda CRV (7), Toyota Rush (6), Honda Civic (2) serta masing-masing sebuah Honda Accord dan Toyota Fortuner.
Kesalahan menerima harta curi didakwa mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan manakala kesalahan menolong menyembunyikan kesemua kereta tersebut didakwa di bawah Seksyen 414 kanun yang sama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Mohd. Yusoff yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan kerana kesalahan yang dilakukan oleh kesemua tertuduh adalah serius serta melibatkan jenayah terancang.
‘‘Kes ini melibatkan sindiket besar dengan modus operandi menerima dan menyembunyikan 98 kereta mewah jenis Honda dan Toyota yang dicuri selain ia merupakan satu perbuatan jenayah merentasi sempadan,’’ katanya.
Beliau turut dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azizah Jaafar dan Mohamed Shah Reza Noor Azman.
Kedua-dua hakim terbabit membenarkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan atau jumlah keseluruhannya RM1.96 juta setiap seorang tertuduh dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes terhadap Ooi Kay dan Cee Wei ditetapkan pada 15 September ini manakala kes terhadap Kuan Zui dan Ching Swee akan disebut semula pada 12 Oktober depan.
Pada 29 Jun lalu, polis berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 98 buah kenderaan curi bernilai RM8 juta ke Kepulauan Cyprus selepas menahan empat anggota sindiket curi kereta dalam serbuan ‘Ops Lejang Mewah’ terbesar di sebuah gudang di Kampung Black Water, Jalan Klang-Banting di sini.
Gudang terletak kira-kira 500 meter dari jalan utama itu disewa oleh sindiket dikenali sebagai ‘Black Water’ itu yang sebelum ini dikesan menyeludup 456 kereta bernilai RM49 juta yang dicuri di negara ini sejak tahun lalu ke Hong Kong, Thailand dan Dubai.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, modus operandi mereka adalah mendapatkan kenderaan- kenderaan curi daripada orang tengah dan mengumpulkan kenderaan itu dalam gudang sebelum diseludup ke luar negara.-utusan