Search This Blog

Wednesday, August 17, 2011

Warga Vietnam maut kereta majikan terbabas

KUANTAN 16 Ogos - Seorang wanita warga Vietnam terbunuh selepas kereta yang dipandu majikannya terbabas ke dalam parit di Kilometer 18, Jalan Jerantut-Temerloh dekat Temerloh, semalam.
Nguen Thi Hong, 46, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala manakala majikannya yang berusia 40 tahun parah setelah tersepit di tempat duduk pemandu.
Seorang lagi rakan mangsa yang berada di tempat duduk belakang ketika kemalangan itu turut cedera.
Pegawai Penguat Kuasa Tadbir/Trafik negeri, Asisten Supritendan Zainalabidin Othman berkata, nahas berlaku pukul 1.20 petang ketika mereka dalam perjalanan dari Jerantut ke Temerloh.
"Sebaik sahaja sampai di tempat kejadian, pemandu Proton Waja itu gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke dalam parit di laluan bertentangan.
"Mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu yang tersepit itu berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.
Zainalabidin berkata, rakan senegara mangsa yang berusia lingkungan 40-an juga dihantar ke Hoshas untuk menerima rawatan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.-utusan

2 lelaki curi motosikal kuasa tinggi ditahan




MOHD. Mokhtar Mohd. Shariff (tiga dari kiri) menunjukkan motosikal berkuasa tinggi yang dirampas di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 16 Ogos - Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam jenayah curi motosikal berkuasa tinggi di daerah ini, baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kedua-dua suspek berusia 25 dan 27 tahun ditahan di bandar raya ini pukul 6 petang 2 Ogos lalu hasil maklumat awam.
"Kita dapati, mereka berdua aktif sejak awal 2009 dalam kumpulan yang dipercayai dianggotai enam hingga tujuh orang. Bagaimanapun, kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah.
"Dalam serbuan itu, polis merampas lima buah motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CBR 600, Honda CB 400, Kawasaki KR 150, Honda NSR 150 dan Gilera Runner serta beberapa kunci motosikal," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, kedua-dua suspek kini direman selama empat hari sehingga esok dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Selain itu, pihaknya turut merampas 31 motosikal dengan 27 daripadanya telah dileraikan.-utusan

UPP rampas diesel, petrol RM13,000

KUBANG PASU 16 Ogos - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah merampas 1,400 liter diesel serta 6,400 liter petrol bernilai RM13,000 dalam tiga serbuan berasingan, di sini, kelmarin.
Menurut Komandernya, Mohd. Jasri Othman, dalam operasi bermula pukul 2.30 pagi itu, dua warga tempatan berusia antara 30 dan 40-an ditahan.
Katanya, pihaknya turut menyita dua kenderaan pacuan empat roda (4WD) dari Thailand, sebuah van dan sebuah kereta Proton Saga yang mempunyai tangki tambahan.
"Untuk kes pertama, UPP menahan sebuah van yang dipandu warga tempatan di Kilometer 48 Lebuh Raya Changlun-Bukit Kayu Hitam pukul 2.30 petang semalam ketika membawa muatan 1,400 liter diesel dipercayai cuba diseludup.
"Lelaki itu dipercayai membawa diesel tersebut untuk dihantar ke satu tempat menyimpan minyak yang tidak diketahui tempatnya sebelum dijual kepada penyeludup dari negara jiran," katanya pada sidang akhbar di pejabat UPP di sini, kelmarin.
Beliau menambah, kes kedua diperoleh hasil intipan pasukan risikan UPP di Tapak Bazar Ramadan Bukit Kayu Hitam, pukul 12.20 tengah malam pada hari yang sama.
"Turut disita dua buah 4WD masing-masing dengan muatan 3,000 liter petrol. Tiada tangkapan dibuat di situ," katanya.
Katanya ,tangkapan ketiga pula dilakukan pukul 11.40 pagi kelmarin di Kilometer 4, Lebuh Raya Changlun-Bukit Kayu Hitam ketika suspek hendak menghantar petrol kepada pembeli di pintu sempadan.
"Hasil pemeriksaan mendapati dalam kereta Proton Saga itu terdapat tangki tambahan pada bahagian tempat menyimpan barang dan tempat duduk belakang yang telah diubah suai bagi membawa 400 liter petrol," katanya.
Tambahnya, kes itu akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 dan penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Sejak Januari hingga Julai tahun ini pihaknya mematahkan lebih 20 cubaan menyeludup petrol dan diesel ke negara jiran melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam," katanya.-utusan

Kafe siber dalam bilik khas diserbu MPAJ




ANGGOTA Penguat Kuasa MPAJ mengangkut keluar peralatan milik sebuah kafe siber tidak berlesen yang diserbu di Pandan Indah, Ampang, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 16 Ogos - Sebuah kafe siber di Pandan Indah yang memiliki sebuah bilik khas yang hanya membenarkan pelanggan tetap memasukinya telah dikenakan tindakan sita oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada minggu lalu kerana beroperasi tanpa lesen.
Kenyataan akhbar MPAJ di sini hari ini memaklumkan, pemeriksaan dilakukan oleh MPAJ ke atas premis itu pada 11 Ogos lalu selepas mendapat aduan orang ramai yang meragui status kafe siber itu, kerana ia beroperasi di dalam sebuah pusat snuker dan pusat hiburan keluarga.
Menurut kenyataan itu, seorang anggota penguat kuasa MPAJ yang menyamar sebagai pelanggan untuk menyiasat telah ditanya beberapa soalan oleh seorang penjaga premis yang merupakan wanita Indonesia sebelum dibenarkan masuk.
Operasi Siber Kafe itu yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Penguat Kuasa, Addy Hissham Elias dengan dibantu 14 anggota kemudian melakukan pemeriksaan dan beberapa pelanggan telah melarikan diri semasa serbuan dilakukan.
Pemeriksaan mendapati premis tersebut turut dilengkapi kamera litar tertutup bagi mengawasi keselamatannya, termasuk daripada serbuan pihak berkuasa.
Semua barang-barang yang berkaitan telah disita atas kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pusat Siber & Kafe Siber (MPAJ) 2007.-utusan

Penyamun simbah asid

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Kejadian simbah asid terhadap orang awam nampaknya tiada kesudahan, malah semakin membimbangkan apabila taktik itu turut digunakan oleh penjenayah untuk tujuan samun.
Terbaru, seorang pengusaha kafe siber melecur di muka dan badan setelah disimbah dengan cecair dipercayai asid oleh sekumpulan lelaki yang menyamunnya berhampiran Plaza Tol Batu 9, Kajang dekat sini malam tadi.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Goh, 24, berkata, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kajang kira-kira pukul 11.45 malam apabila sekumpulan lelaki menaiki sebuah kereta menghampiri kenderaannya dan menunjuk ke arah tayar keretanya, memberi isyarat ia pancit.
“Saya yang percaya kereta Proton Perdana saya memang pancit terus berhenti di tepi jalan untuk membuat pemeriksaan.
“Sebaik sahaja keluar dari kereta, suspek yang dianggarkan tiga orang terus menghampiri saya dan menyimbah cecair ke muka saya,” katanya ketika ditemui di sebuah hospital dekat sini hari ini.
Menurut Goh, dia berasa pedih di muka dan badan selepas terkena simbahan cecair berkenaan dan kesempatan itu digunakan oleh suspek untuk menyamunnya.
Katanya, suspek cuba melarikan keretanya tetapi membatalkan hasrat itu kerana tidak menemui kunci memandangkan ia disimpan di dalam poket seluarnya tetapi penjenayah terbabit sempat melarikan komputer riba yang disimpan di dalam kenderaan berkenaan.
Goh berkata, dalam kesakitan, dia bernasib baik apabila tidak lama kemudian seorang penunggang motosikal melalui tempat kejadian dan meminta bantuan lelaki itu menghantarnya ke tandas sebuah surau berhampiran untuk mencuci muka dan badan yang terkena asid.
“Saya kemudian menghubungi bapa saya memintanya datang ke surau berkenaan dan menghantar saya ke hospital,” katanya sambil memberitahu dia bernasib baik kerana asid disimbah tidak terkena pada mata kerana dia memakai cermin mata.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan gerakan mengesan suspek sedang dijalankan.-utusan

Wajah penyamun guna asid

KUALA LUMPUR: Polis kini memburu beberapa suspek dipercayai terbabit dalam dua kes simbah asid berasingan di ibu negara baru-baru ini, namun menafikan suspek individu yang sama menggemparkan negara dengan beberapa kes simbah asid awal tahun ini.
Satu kes berkenaan berlaku pada 26 Julai lalu, menyebabkan seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar surat dirompak RM18,000 milik syarikatnya selepas disimbah cecair selepas keluar tandas di sebuah stesen minyak di Batu 2 1/2, Jalan Sungai Besi, di sini.

Pada 8 Ogos lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun pula melecur pada muka selepas disimbah asid ketika dihampiri tiga lelaki ketika berjalan berseorangan di Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut dan sehingga kini mangsa masih dirawat di hospital.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, dalam kenyataannya di sini, semalam, berkata berdasarkan siasatan terhadap kedua-dua kejadian berkenaan, polis menafikan sama sekali kes itu kaitan dengan siri kejadian menyimbah cecair sebelum ini.

“Jenis cecair digunakan dalam kes ini berbeza dengan cecair kejadian lalu. Siasatan juga mendapati ciri-ciri suspek berbeza dengan gambaran suspek kes simbah asid sebelum ini. “Polis berusaha menyelesaikan kes ini secepat mungkin dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, mengesan saksi termasuk menemuduga mangsa bagi tujuan mendapatkan gambaran jrupa bentuk fizikal suspek,” katanya.

Menurutnya, setakat ini polis membuat lakaran wajah seorang suspek rompakan yang menggunakan asid di stesen minyak berkenaan.


“Polis memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian atau mengenali wajah suspek tampil memberi maklumat dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi terus Rakan Cops melalui 03-21159999,” katanya.-hmetro

Pemandu teksi didakwa perkosa anak

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan mencabul dan merogol anak perempuannya berusia 13 tahun, Mac lalu.
Bapa empat anak itu tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut pertuduhan dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul anak perempuannya dengan meraba mangsa di rumahnya di Cheras pada jam 9 pagi, Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda.

Di lokasi sama dia didakwa mencabul dan merogol anak ketiganya di dalam biliknya jam 3 petang, 28 Julai lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahah Mohd Suah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana dikhuatiri mangsa diganggu bapanya.-hmetro

Pengawal keselamatan didakwa

IPOH: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan membunuh Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kasim pada hari ketiga Ramadan, 3 Ogos lalu.
Tertuduh Syahmie Hassan, 20, didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 1, Blok F, Unit 9, Persiaran Lembah Perpaduan, Permai Lake View, Tambun, dekat sini, antara jam 6 petang dan 7.30 malam pada tarikh berkenaan.

Syahmie yang menetap di rumah bernombor F-1-2, blok pangsapuri sama dengan arwah Rohani didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh mengangguk sebagai tanda faham, namun Majistret Nurul Akmal Mustafa Kamal tidak memberi tawaran jaminan kepada tertuduh.

Nurul Akmal menetapkan 17 Oktober depan untuk sebutan semula kes sementara pihak pendakwaan mendapatkan laporan bedah siasat mangsa.

Sementara itu, rakan serumah Syahmie, Nurhisyam Shukor, 23, yang juga bekas anggota tentera didakwa mengikut Seksyen 414 di mahkamah sama semalam atas tuduhan melupuskan harta curi iaitu gelang emas bernilai kira-kira RM6,000 milik arwah Rohani.


Tertuduh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan sebelum Nurul Akmal menetapkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan kes itu juga disebut semula pada 17 Oktober.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati melupuskan gelang emas berkenaan di Kedai Jam Tangan Kam Seng di No 55, Jalan Besar, Tanjung Malim antara jam 3 dan 6 petang pada 4 Ogos lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nor Abdurrahim menawarkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh, namun tertuduh merayu dikurangkan wang jaminan dengan memberi alasan belum berkahwin selain tiada ahli keluarga yang hadir pada prosiding semalam.

Mayat Rohani disedari seorang pengawal keselamatan berhampiran pangsapurinya selepas melihat beberapa lelaki membawa bungkusan berisi mayat mangsa kira-kira jam 3.30 pagi pada 4 Ogos lalu.

Arwah yang dinaikkan pangkat sebagai timbalan pengarah di jabatan berkenaan pada Julai lalu adalah bekas Pendaftar di Kolej Pertanian Malaysia, Bukit Tangga, Sintok, Kedah.

Sehubungan itu, polis menahan empat lelaki berusia 20 hingga 26 tahun tidak sampai 24 jam selepas penemuan mayat itu. Seorang daripadanya sudah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala seorang lagi tamat reman hari ini.-hmetro

Pegawai bank dibelasah dekat tangga pejabat

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai bank cedera termasuk retak tulang rusuk selepas dibelasah lima lelaki berusia 20-an di kawasan tangga kecemasan pejabatnya di Jalan Damanlela, Bukit Damansara, di sini, Sabtu lalu.
Difahamkan, dalam kejadian jam 4.20 petang itu, mangsa berusia 35 tahun dipanggil seorang rakan pejabatnya ke kawasan tangga kecemasan untuk berbincang.

Menurut sumber, sebaik tiba di kawasan terbabit, dia ternampak empat lagi rakannya dan belum sempat dia bertanya, lelaki itu menumbuk bahagian kiri muka mangsa sebanyak dua kali.

Sumber berkata, suspek turut ditendang pada bahagian kiri rusuknya dan mangsa yang kesakitan membiarkannya kerana tidak berdaya melawan.

Katanya, selepas membelasah mereka beredar sambil mengugut mangsa.

Disebabkan kecederaan terbabit, mangsa yang mulanya mendapatkan rawatan di unit kecemasan sebuah hospital swasta dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut sebelum membuat laporan polis.


Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Aida Abd Hamid mengesahkan menerima laporan mangsa dan siasatan lanjut dijalankan.-hmetro

Pen terpacak pada leher

CEDERA...mangsa dibawa keluar selepas pemeriksaan  sinar-x dengan pen masih terpacak di leher.
CEDERA...mangsa dibawa keluar selepas pemeriksaan sinar-x dengan pen masih terpacak di leher.
JOHOR BAHRU: “Saya panik sebab doktor kata boleh mati jika pen yang terbenam di leher itu terkena salur darah utama,” kata pekerja stesen minyak, Low Yoke On, 54, yang menunggu hampir empat jam sebelum pen yang terpacak pada lehernya akibat ditikam seorang kenalan, malam kelmarin, berjaya dikeluarkan.
Menceritakan detik mencemaskan itu, Low berkata, dalam kejadian jam 8.15 malam di stesen minyak dekat Jalan Tun Seri Lanang, dia cedera di kiri leher akibat tikaman pen berkenaan yang terbenam lima sentimeter pada lehernya.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila dia yang bekerja mengawasi pam di stesen terbabit didatangi kenalannya sebelum berlaku pertengkaran di antara mereka.

“Ketika menikam, lelaki itu ada cakap mahu tengok saya mati. Nasib baik beberapa pelanggan mengisi minyak serta rakan pekerja lain membantu menyebabkan lelaki itu lari,” katanya.


Mangsa menjerit kesakitan sebelum berlari mendapatkan bantuan majikannya dan di hantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT). Dia menjalani pemeriksaan sinar-x sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Tebrau di sini untuk menjalani pembedahan mengeluarkan pen itu.hmetro

Pelabur kena tipu RM1.6 juta

NIBONG TEBAL: Suri rumah dan warga tua antara kumpulan pelabur yang menjadi mangsa penipuan syarikat penjagaan kesihatan di Simpang Ampat, di sini dengan anggaran nilai kerugian mencecah RM1.6 juta, sejak tiga tahun lalu.

Kumpulan pelabur berkenaan tertarik untuk melabur dalam syarikat terbabit apabila penganjurnya menjanjikan pulangan lumayan antara lima hingga 10 peratus sebulan, sekali gus mendorong mereka melabur RM5,000 hingga RM50,000 sejak 2009.
Pada awalnya, semua pelabur terbabit menerima pulangan dijanjikan, namun sebahagian mereka tidak mendapat pulangan beberapa bulan lalu atas alasan syarikat sedang mengemas kini akaun.
Mangsa, Zaiton Kamaruddin, 36, berkata dia mengenali penganjur bernama Hashima Hashim yang menjanjikan pulangan lumayan antara lima hingga 10 peratus sebulan, sejak 2009.

Katanya, pelaburan terbabit bergantung kepada nilai pelaburan individu yang menjadi rakan modal bagi syarikat diusahakan hingga membuatnya berminat melabur.

“Saya dipelawa melabur modal perniagaan RM36,000 dengan pulangan bulan pertama RM1,000 manakala bulan seterusnya RM2,000.

“Perjanjian dibuat secara rasmi, membuat saya yakin ia pelaburan menguntungkan,” katanya yang ditemui di Taman Mutiara Teratai, Batu Kawan, semalam.
Zaiton yang menjadi ketua kepada 30 ahli, berkata dia tanpa curiga mengajak ahli keluarga dan rakannya melabur mengikut pakej antara RM5,000 hingga RM50,000.

“Masalah timbul apabila ada antara ahli tidak mendapat pulangan, manakala penganjur asyik memberi alasan syarikat sedang mengemas kini akaun, sejak beberapa bulan lalu.

“Risau akan masalah berkenaan, Hashima berjanji akan memulangkan modal kepada kami pada 26 Julai lalu tetapi apabila tiba hari yang dijanjikan, syarikatnya sudah tutup malah gagal dihubungi,” katanya. bharian

3 remaja dilarang keluar rumah

MUAR: Tiga remaja semalam dikenakan perintah berkurung dalam rumah pada waktu malam dengan bon berkelakuan baik selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah membakar dua surau di pinggir bandar ini dalam kejadian Januari tahun lalu.

Selain masing-masing didenda RM1,000 atau sebulan penjara bagi setiap pertuduhan disabitkan, mereka dilarang keluar rumah mulai jam 8 malam hingga jam 6 pagi kecuali dengan kebenaran bertulis Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain perlu bersama ibu bapa masing-masing menghadiri bengkel interaktif kendalian JKM.
Berdasarkan pertuduhan, tiga juvana iaitu dua berusia 17 tahun dan seorang lagi berusia 16 tahun didakwa secara bersama melakukan khianat menggunakan api dengan niat memusnahkan Surau Parit Beting di Jalan Salleh, antara jam kira-kira 12.30 hingga 1 pagi pada 21 Januari tahun lalu.
Mereka juga didakwa melakukan perbuatan sama terhadap Surau Silatulrahim di Jalan Ismail, antara kira-kira jam 2 hingga jam 3.15 pagi pada tarikh sama.

Bagi dua kesalahan terbabit, mereka didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan denda.

Seorang daripada remaja berusia 17 tahun itu juga didakwa memberi maklumat palsu secara bertulis melalui laporan polis di Pejabat Pertanyaan Ibu Pejabat Polis Daerah Muar pada jam 3.54 pagi hari sama.

Remaja terbabit didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes dikemukakan kepada mahkamah, tiga remaja terbabit ditahan polis kira-kira jam 6.10 petang 22 Januari, selepas mendapati laporan dibuat seorang daripada mereka berhubung kebakaran surau itu mencurigakan sebelum siasatan lanjut mendapati mereka yang mendalangi kejadian itu.

Susulan tangkapan itu, polis turut menyita sebuah kereta digunakan mereka ketika melakukan jenayah itu dan polis turut merampas botol berisi petrol.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Umar Saifuddin Jaafar, di depan Majistret Noorfarhana Mohd Sharif, manakala tiga tertuduh itu diwakili peguam bela Maryam Hasan dan G F Nielsen.

Ketiga-tiga tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun mengikut Seksyen 91(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 dengan jumlah bon RM5,000 tanpa cagaran. -bharian

Pengawal 'mohawk' didakwa

SYAHMIE (kanan) dan Nurhisyam (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.
SYAHMIE (kanan) dan Nurhisyam (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.

Lelaki dituduh penyebab kematian Timbalan Pengarah Veterinar Perak

IPOH: Seorang pengawal keselamatan berambut ala ‘mohawk’ didakwa di Mahkamah Majistret semalam, atas tuduhan membunuh Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kasim, pada hari ketiga umat Islam berpuasa 3 Ogos lalu.
Syahmie Hassan, 20, dituduh membunuh mangsa berusia 38 tahun di Tingkat 1, Blok F, Unit 9, Persiaran Lembah Perpaduan, Permai Lake View, Tambun dekat sini antara jam 6 petang dan 7.30 malam.
Tertuduh yang tinggal di kediaman bernombor F-1-2 blok pangsapuri sama, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dia mengangguk tanda memahami pertuduhan ketika ditanya jurubahasa mahkamah dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Majistret Nurul Akmal Mustafa Kamal kemudian menetapkan 17 Oktober ini untuk kes itu disebut semula sementara menunggu laporan bedah siasat mangsa.

Sementara itu, rakan serumah tertuduh, Nurhisyam Shukor, 23, mengaku tidak bersalah atas tuduhan melupuskan harta curi gelang emas berbentuk sembilan urat rantai bernilai RM6,000 milik mangsa sama di Kedai Jam Tangan Kam Seng di Jalan Besar, Tanjung Malim, lebih kurang 150 kilometer dari sini, antara jam 3 hingga 6 petang 4 Ogos lalu.

Tertuduh yang juga bekas anggota tentera didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Nurul Akmal membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes itu juga disebut semula pada 17 Oktober ini. Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nor Abdurrahim menawarkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh.

Tertuduh dalam rayuannya bagaimanapun meminta agar ia dikurangkan dengan alasan masih belum berkahwin, manakala tiada ahli keluarganya yang hadir pada prosiding semalam.

Mayat Rohani yang dibalut dengan tilam ditemui pengawal keselamatan pangsapuri itu selepas terserempak dengan seorang lelaki yang sedang membawa bungkusan menuruni tangga pangsapuri pada 3.30 pagi, 4 Ogos lalu.

Mangsa, anak ketujuh daripada 10 beradik dinaikkan pangkat ke jawatan timbalan pengarah pada 1 Julai lalu dan sebelum itu Rohani bertugas sebagai Pendaftar Kolej Pertanian di Sintok, Kedah.

Polis menahan empat lelaki berusia 20 hingga 26 tahun tidak sampai 24 jam selepas penemuan mayat Rohani tetapi seorang dibebaskan dengan jaminan polis, manakala seorang lagi tamat reman hari ini. -bharian 

Azab pen terpacak empat jam pada leher





2011/08/17

YOKE ON menunjukkan sebahagian pen yang  dikeluarkan doktor ketika ditemui di HSI Pandan, Johor Bahru, semalam.
YOKE ON menunjukkan sebahagian pen yang dikeluarkan doktor ketika ditemui di HSI Pandan, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU: Seorang pekerja stesen minyak menempuh detik mencemaskan apabila menunggu empat jam dalam keadaan pen terpacak pada lehernya yang berlumuran darah akibat ditikam dengan alat tulis itu oleh seorang lelaki, sebelum dikeluarkan doktor di Hospital Sultan Ismail (HSI), Pandan, malam kelmarin. 

Dalam kejadian jam 8.15 malam di stesen minyak dekat Jalan Tun Seri Lanang, Kota Tinggi itu, mangsa Low Yoke On, 54, cedera di bahagian kiri leher akibat pen yang terbenam lima sentimeter pada lehernya.
Kejadian berlaku apabila mangsa yang sedang bekerja, didatangi suspek yang juga bapa saudara kepada anak angkatnya, sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.
Pertengkaran bertukar menjadi pergelutan sebelum mangsa ditikam suspek dengan sebatang pen. Ketika cuba mencabut pen itu, sebahagian pen terbabit patah. 

Suspek kemudian mengambil kayu untuk menyerang tetapi orang ramai tampil membantu menyebabkan lelaki itu melarikan diri dengan sebuah kereta. 

Majikan mangsa yang dikenali sebagai Tan berkata, mangsa terpaksa dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) sebelum dirujuk ke HSI dalam keadaan pena itu terpacak pada lehernya kerana mereka bimbang mencabutnya sendiri. 

“Kami bimbang mencabut pen itu kerana khuatir ia membahayakan nyawanya atau menyebabkan kecederaan lebih buruk,” katanya. 
Sejurus menjalani pemeriksaan x-ray di HKT, mangsa dirujuk ke HSI Pandan, Johor Bahru bagi menjalani pembedahan mengeluarkan pen berkenaan dari lehernya. 

Sementara itu, Yoke On berkata, doktor memaklumkan beliau boleh mati jika pen yang ditikam lelaki itu terkena pada salur darah utama leher. 

“Ketika ditikam, suspek mengatakan mahu melihat saya mati. Nasib saya baik kerana ketika itu, beberapa pelanggan yang mengisi minyak serta rakan pekerja lain, datang membantu menyebabkan lelaki itu lari,” katanya ketika ditemui di wad HSI. 

Beliau berkata, sebelum kejadian itu, suspek yang juga bapa saudara anak angkatnya datang memarahinya dan mendakwa beliau tidak memberi wang serta menjaga budak perempuan berusia 11 tahun itu dengan baik. 

Yoke On berkata, berikutan serangan itu, beliau berhasrat menyerahkan kembali kanak-kanak terbabit untuk jagaan waris terdekatnya. 

Timbalan Ketua Polis Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin, berkata keterangan mangsa akan diambil bagi membolehkan polis mengesan penyerang terbabit. -hmetro

Ahli Geng Black Water didakwa




GENG Black Water... Dari kiri Kuan Zui, Ching Swee, Ooi Kay dan Cee Wei diiring keluar dari Mahkamah Sesyen Klang selepas didakwa mencuri kereta mewah semalam.


KLANG – Empat ahli Geng Black Water yang ditahan selepas menerima dan menyembunyikan 98 buah kereta mewah di sebuah gudang kini menyesal tak sudah apabila mereka didakwa atas 784 pertuduhan dan memerlukan RM7.84 juta sebagai jaminan untuk dibebaskan di Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Wong Ooi Kay, 34; Sim Cee Wei, 39; Lau Kuan Zui, 39; dan Tan Ching Swee, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dituduh secara berasingan di dua Mahkamah Sesyen di sini di hadapan Hakim Siti Nor Sharida Awang dan Siti Noraida Sulaiman.
Kedua-dua hakim itu menetapkan tertuduh yang berdepan dengan 196 pertuduhan setiap seorang itu perlu membayar sebanyak RM10,000 sebagai jaminan untuk tiap-tiap pertuduhan seperti dicadangkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Mohamed Yusoff.
Berdasarkan 95 pertuduhan pertama, kesemua mereka dituduh menerima 95 harta curi di sebuah gudang di No. 1, Lot 8638, Kampung Black Water Off Jalan Banting-Klang, pukul 5 petang pada 29 Jun lalu.
Bagi pertuduhan ke-96, 97 dan 98, mereka didakwa mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan iaitu melakukan kesalahan sama di Lorong Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi di sini. Mereka boleh dipenjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.kosmo

Penganggur didakwa curi barang isteri



Ahmad Zuqhairi menggenggam penumbuknya ketika gambarnya dirakam di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur berdepan hukuman penjara sepuluh tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencuri barang milik isterinya pada bulan lalu.
Tertuduh, Ahmad Zughairi Mohd. Zuki, 25, dari Taman Indah, Al Muktafi Billah Shah dekat sini hanya menundukkan kepala dan mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah, Mohd. Erman Che Mat.
Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad Zughairi didakwa mencuri pelbagai barangan di rumah isterinya Che Wan Munirah Che Wan Aziz, 24, di Kampung Bukit Tunggal di sini pada pukul 4 petang hingga pukul 8.30 pagi pada 24 Julai lalu.
Antara barangan yang dicuri tertuduh adalah sebuah televisyen 14 inci berjenama Homax, 20 buah beg galas wanita pelbagai jenis dan satu kotak berisi pakaian wanita.
Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan yang boleh membawa hukuman penjara sepuluh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Supritendan Ngiam Ooi Ming manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mohd. Erman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 29 September ini untuk tarikh sebutan kes.-curi