Search This Blog

Tuesday, August 16, 2011

12 beri keterangan

ARAHAN...antara wanita yang hadir di pejabat Jais memberi keterangan.
ARAHAN...antara wanita yang hadir di pejabat Jais memberi keterangan.

SHAH ALAM: Selepas hampir dua minggu pemeriksaan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu, semalam 12 individu Islam akhirnya tampil memberi kenyataan, di pejabat Jais, di sini.
Semua individu berkenaan sebelum ini sudah diarahkan hadir di pejabat Jais pada Selasa minggu lalu namun gagal berbuat demikian.
Sumber Jais berkata, semua 12 individu itu hadir berperingkat di pejabat Jais semalam bermula jam 9.15 pagi.

“Ada yang ditemani peguam dan ada juga tidak ditemani peguam. Semua individu terbabit turut diberikan kaunseling.


“Selepas mereka gagal hadir (9 Ogos lalu), Jais menjemput lagi dengan mengeluarkan surat jemputan dan akhirnya hari ini (semalam) mereka tampil,” katanya.-hmetro

Muka melecur

CEDERA...Al Muhammad Fakrul Aiman   dirawat di HUSM.
CEDERA...Al Muhammad Fakrul Aiman dirawat di HUSM.
KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun sempat berlari sejauh kira-kira 50 meter sambil menahan kesakitan selepas mukanya melecur manakala kedua-dua tangannya cedera akibat bermain mercun bola di Kampung Jeruk, Besut, Terengganu, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Al Muhammad Fakrul Aiman Al Mohd Faizal bermain mercun bola seorang diri selepas membelinya menggunakan wang lebihan membeli kuih untuk juadah berbuka puasa.

Mangsa kini menerima rawatan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dekat sini, sejak jam 8 malam kelmarin.

Bapa mangsa, Al Mohd Faizal Mat Razi, 32, berkata, sebelum kejadian anak sulung daripada tiga beradik itu baru selesai membeli kuih yang dipesan ibunya, Yanti Narawi, 30, kira-kira jam 5 petang.

“Selepas membeli kuih dia keluar dari rumah dan tak sangka rupa-rupanya bermain mercun bola di padang bola yang jaraknya kira-kira 50 meter dari rumah kami.

“Ketika itu saya berada di sawah sebelum isteri datang memberitahu anak kami cedera akibat terkena mercun bola. Saya menghantarnya ke Klinik Kesihatan Kampung Jeruk dan seterusnya dikejarkan ke Hospital Jerteh, Terengganu.


“Anak saya kemudian dirujuk ke HUSM kira-kira jam 8 malam semalam (kelmarin) untuk rawatan lanjut kerana mukanya melecur teruk, selain turut diberi alat bantuan pernafasan,” katanya ketika ditemui di wad HUSM, semalam.



Menurut Al Mohd Faizal, sebelum ini dia pernah melarang anaknya bermain mercun kerana ia boleh mengundang padah.
Bagaimanapun, katanya, anaknya secara senyap-senyap membeli mercun bola menggunakan wang baki membeli kuih untuk juadah berbuka.


“Dia bermain mercun seorang diri, sebelum berlari pulang ke rumah dalam keadaan kesakitan selepas melecur di muka dan cedera di tangan kanan dan kiri akibat terkena mercun bola,” katanya.


Difahamkan, kejadian menimpa Al Muhammad Fakrul Aiman itu kes kecederaan akibat bermain mercun pertama dilaporkan di Terengganu sejak bermula Ramadan 1 Ogos lalu.


Di Kelantan, sehingga kini, lima kes cedera akibat bermain mercun direkodkan dalam tempoh tidak sampai seminggu bermula 4 Ogos lalu.


Antaranya, seorang remaja, Nasrudin Mohd Nazli, 19, hilang tiga jari tangan kirinya dan cedera di muka selepas mercun bola yang dinyalakan ketika membonceng motosikal meletup di tangan sebelum sempat dilempar dalam kejadian di Kampung Dewan Beta, dekat sini.

Wanita lari dari suami dikurung, dipukul kekasih

KUALA LUMPUR: Gara-gara melarikan diri daripada suami dan tinggal bersama teman lelaki, seorang wanita mengandung lima bulan berasal dari Buntong, Perak mengalami nasib malang selepas dikurung dua minggu sejak awal bulan ini selain dibelasah teman lelakinya.
Difahamkan, mangsa berusia 30 tahun berkenaan tinggal bersama teman lelakinya di Taman Gembira, di sini, selama dua hari selepas melarikan diri dari rumah suaminya di Perak. Akibat dibelasah, mangsa cedera di kepala, perut, tangan dan kemaluan.

Teman lelakinya turut mengurung dan memaksa dia menceraikan suami dengan mengugut akan membunuhnya jika berdegil.

Sumber berkata, mangsa menuruti kemahuan teman lelaki itu tinggal bersama, tetapi mencari alasan keluar rumah selepas teman lelakinya memukulnya meskipun hamil ima bulan.

“Penderitaan mangsa berterusan apabila dipaksa melayani nafsu seks teman lelaki hingga alat sulit mangsa cedera dan jika menolak akan dipukul,” katanya.

Katanya, teman lelaki mangsa juga merampas semua barangan peribadi mangsa termasuk telefon bimbit, kad pengenalan, komputer riba dan kamera digitalnya selain mengugut untuk membunuh mangsa dan keluarganya jika tidak berkahwin dengannya. “Bagaimanapun, Sabtu lalu, mangsa mendapat peluang menelefon suaminya menggunakan telefon bimbit teman lelakinya ketika lelaki berkenaan mandi dan memaklumkan kejadian malang menimpa dirinya. “Kira-kira jam 2.30 petang , mangsa diselamatkan dengan bantuan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields sebelum membuat laporan di Balai Polis Petaling,” katanya.hmetro

Mati bersama 21 kes

GEORGETOWN: Seorang lelaki yang aktif melakukan jenayah pecah rumah maut ditembak polis di kawasan perumahan Puncak Mutiara, Tanjung Bunga, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, penjenayah yang berusia 36 tahun mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh orang awam sebelum memaklumkan polis.

Polis bergegas ke situ sebelum terserempak dengan penjenayah yang memecut motosikalnya bagi mengelak ditahan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, polis mengejar penjenayah itu dan mengarahkannya memberhentikan kenderaan, tetapi suspek tiba-tiba melompat daripada motosikalnya dan lari ke semak berdekatan.

“Polis mengejarnya, tetapi tiba-tiba dia melepaskan beberapa das tembakan.

dalam usahanya untuk meloloskan diri.


“Menyedari suspek bersenjatakan pistol dan bertindak ganas, polis membalas tembakannya dan satu daripada peluru terkena dada penjenayah berkenaan yang menyebabkannya mati serta-merta,” katanya.
Menurut Ayub, hasil pemeriksaan polis menemui Revolver Cadix Caliber .22 milik suspek yang dipercayai digunakan ketika pecah rumah dan mempertahankan dirinya.
“Hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah membabitkan pelbagai kesalahan antaranya pecah rumah dan mencuri kenderaan.

“Dengan tumpasnya suspek, polis percaya menyelesaikan 21 kes pecah rumah di sekitar Tanjung Bunga dan juga Tanjung Tokong, malah siasatan di sebuah rumah yang dipecah masuknya dikesan cap jari milik penjenayah itu,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati motosikal digunakan suspek juga dicuri dan pernah dilaporkan hilang di Jelutong.

Ppolis turut menemui beberapa peralatan pecah rumah yang digunakan suspek.

“Selain itu, pemeriksaan beg sandang miliknya turut menemui jam tangan dan syabu,” katanya.

Gurau jadi kenyataan

PASIR PUTEH: Gurauan seorang suami kepada isteri bahawa dia mungkin mati terbakar sebelum Aidilfitri menjadi kenyataan apabila rentung selepas terbabit kemalangan di Kilometer 25, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, Kampung Jerus, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu, mekanik, Tuan Mat Samsol Tuan Ismail, 35, rentung selepas kereta Proton Wira dinaiki bersama tiga rakan terbabas sebelum terbalik dan terbakar.

Tiga rakan mangsa, Mohd Iqram Ismail, 28, Zuraidi Zakaria, 17, dan Mohd Nazirul Munir Mohd Nasir, 18, hanya cedera dan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian (HUSM). Mayat Tuan Mat Samsol dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA), di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga. Sebelum kejadian, Tuan Mat Samsol dalam perjalanan dari rumahnya ke Kampung Pak Badol, Bachok untuk makan rojak colek bersama adiknya, Tuan Mat Ruzman, 26, sepupu serta beberapa rakan sekampung dengan menaiki tiga kereta secara berkonvoi.

Tuan Mat Samsol menaiki kereta Proton Wira dipandu Mohd Iqram bersama Zuraidi dan Mohd Nazirul Munir. Sebaik tiba di sebuah stesen minyak di Kampung Jerus, di sini, kereta dipandu Mohd Iqram cuba mengelak sebuah kenderaan dari arah Kota Bharu yang membelok secara mengejut ke stesen minyak itu.

Akibatnya, Mohd Iqram gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh tembok pembetung parit sehingga terbalik. Zuraidi tercampak keluar dari kenderaan, manakala Mohd Nazirul Munir dan Mohd Iqram dikeluarkan orang ramai.

Tuan Mat Samsol yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan tidak dapat diselamatkan apabila kereta yang terbalik itu meletup dan terbakar. Isteri Tuan Mat Samsol, Rusmawati Kamarudin, 29, berkata, suaminya ada bergurau memberitahu mungkin mati terbakar sebelum Aidilfitri ketika berbuka di rumah mereka di Bukit Abal, di sini, tiga hari lalu. “Selain bergurau mati terbakar tiga hari lalu, semalam (kelmarin) suami tiba-tiba mencium pipi saya selepas berbuka.

“Tak sangka gurauannya menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTA, semalam.

Menurut Rusmawati, dia sekeluarga dimaklumkan mengenai kejadian menimpa Tuan Mat Samsol oleh adik iparnya, Tuan Mat Ruzman, sebelum dia dan ibu mentua, Azizah Yusoff, 53, pengsan kerana terkejut.

Katanya, ibu mentuanya rapat dengan suaminya kerana dia anak harapan dalam keluarga, selain mudah dibawa berunding dan suka membantu adik-beradik lain.

“Tragedi ini kali kedua menimpa suami apabila nyawanya hampir melayang dua tahun lalu selepas terbabit dalam kemalangan di Bukit Merbau, sehari sebelum Ramadan,” katanya.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya dan menganggap kejadian itu sebagai surat takdir,” katanya.Mangsa turut meninggal empat anak iaitu, Tuan Muhamad Amierul Hayatt, 8, Tuan Nur Amierah Balqis, 6, Tuan Nur Amna Ainunnisya, 4, dan Tuan Nur Auni Batrisya yang baru berusia lima bulan.

Tuan Mat Ruzman pula berkata, dia berada selang tiga kenderaan dengan kereta dinaiki abang sulungnya itu.

Katanya, tiba-tiba dia ternampak kepulan asap sebelum menjangkakan mungkin ada kemalangan kecil, namun terkejut sebaik mendapati kenderaan dinaiki abangnya terbakar.

“Saya difahamkan, Zuraidi tercampak keluar dari kenderaan manakala Mohd Nazirul Munir berjaya dikeluarkan orang ramai diikuti Mohd Iqram sebelum kereta meletup sebanyak dua kali.

“Saya berlari menyelamatkan abang, namun api semakin marak. Apabila bomba tiba, barulah abang ditemui, tetapi dalam keadaan menyayat hati,” katanya.

Menurut Tuan Mat Ruzman, sebelum kejadian dia dan abangnya sempat menikmati durian di rumah ayah mereka sebelum berpakat makan rojak colek di sebuah kedai makan di Kampung Pak Badol.

“Ketika keluar untuk makan rojak colek, saya lihat abang memakai baju terbalik dan seorang rakan sempat menegurnya sebelum dia memberi respon spontan, `mungkin ada sesuatu hendak terbalik’,” katanya yang terkilan kerana gagal menyelamatkan abangnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-hmetro

2 penyamun perkosa pembantu rumah

KAJANG: Seorang wanita terkejut apabila dimaklumkan pembantu rumahnya dirogol bergilir-gilir dua lelaki bertopeng yang menceroboh kediaman mereka, di Bandar Mahkota Cheras, di sini, awal pagi Sabtu lalu.
Menurut sumber, wanita terbabit yang terjaga daripada tidur kira-kira jam 5 pagi selepas terdengar bunyi amahnya yang juga warga Indonesia berusia awal 30-an sedang menangis teresak-esak di dapur rumah.

Wanita berusia 51 tahun itu kemudian menanyakan punca sebenar mangsa menangis, namun pembantu rumah itu tidak menjawab dan hanya menangis.

Sebaik didesak, mangsa mengaku diperkosa dua lelaki bertopeng yang mahu menyamun rumah majikannya itu.

“Sebelum kejadian, mangsa yang sedang tidur dikejutkan bunyi salakan anjing majikannya kira-kira jam 2.30 pagi di belakang rumah dan cuba memeriksa apa yang berlaku sebelum tiba-tiba didatangi dua lelaki bertopeng yang kemudian mengacu pisau di lehernya.

“Seorang daripada suspek mengugut akan mencederakan mangsa jika membuat bising dan mengarahkannya menuruti segala kemahuan mereka,” katanya. Menurutnya, suspek turut mengugut akan menyamun rumah majikannya itu sekiranya dia enggan memuaskan nafsu mereka berdua. “Mangsa hanya mampu berserah dan membiarkan dua lelaki terbabit melampiaskan nafsu mereka kerana bimbang sesuatu yang lebih buruk akan berlaku berikutan suspek bersenjata,” katanya.

Beliau berkata, selepas selesai merogol, suspek terus beredar meninggalkan mangsa dan rumah berkenaan tanpa mengambil barangan berharga dari rumah itu.

Majikan terbabit yang terkejut dengan kejadian itu terus membawa mangsa ke Balai Polis Kajang untuk membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu., hmetro

Remaja hilang nyawa selamat budak lemas

SEREMBAN: Tindakan seorang remaja sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri bagi menyelamatkan orang tidak dikenali yang hampir lemas ketika mandi di sebuah kolam takungan air membawa kepada tragedi memilukan apabila dia ditemui lemas di Seremban 3, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.30 petang, Eric Johnson, 13, cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang masih tidak diketahui identitinya sebaik melihat budak itu tenggelam timbul dengan menarik tangannya, namun gagal. Difahamkan, remaja berkenaan bersama abangnya dipercayai berjalan ke kolam berkenaan untuk bersiar-siar dan tiba-tiba terdengar jeritan budak lelaki meminta tolong. Menurut sumber, sebaik mendengar jeritan itu, Eric terjun ke dalam kolam berkenaan dan menyelamatkan budak lelaki itu. “Namun tidak sempat naik ke permukaan, Eric dipercayai tergelincir lalu terjatuh di dalam takungan air itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Difahamkan, abangnya, Henry Johnson, 14, cuba menyelamatkan mangsa dengan menarik bajunya, namun gagal.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 7 malam sebelum tiba di tempat kejadian 18 minit kemudian.

Katanya, mayat mangsa ditemui jam 7.25 petang di dasar kolam itu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Drebar van sekolah perkosa murid dijel 15 tahun, 13 sebatan

PETALING JAYA: Tindakan seorang pemandu van sekolah yang merogol dan melakukan kelucahan melampau terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, termasuk anak saudaranya membawa padah apabila dia dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 13 kali sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Rozina Ayob terhadap tertuduh V Tiagarajan, 52, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tiga pertuduhan dihadapi selepas dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah van di Jalan Othman 1/12 di sini, pada 26 Julai 2010. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan dan tidak lebih 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika disabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa melakukan kelucahan melampau dan merogol seorang lagi kanak-kanak perempuan iaitu anak saudaranya di sebuah rumah di Jalan PJS 3/52 pada hari dan masa yang tidak dapat dipastikan, dua tahun lalu. Bagi kesalahan melakukan kelucahan melampau, dia didakwa mengikut Seksyen 377E yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak itu meminta agar hukuman ringan dikenakan ke atasnya dengan alasan menyesal dengan perbuatannya.

“Saya minta hukuman ringan kerana saya menyesal dengan perbuatan saya,” katanya sambil dilihat mengalirkan air mata.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Shah Rizal Abdul Manan memohon agar hakim memberikan hukuman yang setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh mengambil kira faktor mangsa adalah kanak-kanak dan perbuatan itu sebagai perbuatan yang keji.-hmetro

Denda RM1,000 rosak harta madu

KUALA TERENGGANU: Seorang tukang sapu sebuah rumah tumpangan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas didapati bersalah menceroboh dan merosakkan harta benda madunya.
Tertuduh yang juga ibu kepada seorang anak mengamuk apabila gambarnya diambil jurugambar sebelum ditenteramkan anggota polis pengiring.

Majistret Nor Azizah Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap Rusnah Awang@Shafien, 31, dari Kampung Pekan Sari, Tembila, Kampung Raja, Besut selepas mengaku bersalah tuduhan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah.

Terdahulu, tertuduh diwakili peguam, Hayyatuddin Muhammad memohon mahkamah mengurangkan hukumannya kerana mendakwa dia gagal mengawal perasaan selepas mengetahui suaminya berkahwin lain selepas tiga tahun berumah tangga.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang juga isteri kedua menceroboh rumah isteri ketiga suaminya, Azizah Awang, 40, selepas menyedari kereta suaminya berada di hadapan rumah berkenaan dengan merosakkan peralatan rumah termasuk perabot dan pasu bunga di Jalan Kenanga, Batu Buruk, di sini, kira-kira jam 10.15 pagi, 12 Ogos lalu., hmetro

Suami berang seret isteri dalam keadaan bogel

GOMBAK: Akibat menolak ajakan berbuka puasa dengan suami, seorang wanita dibelasah suaminya selain diseret dalam keadaan bogel hingga cedera di badan dalam kejadian di Kampung Nakhoda Kanan, di sini, kelmarin.
Difahamkan, sebelum ini, pasangan terbabit sering bertengkar dan mangsa yang juga suri rumah berusia 30 tahun menjadi tempat melepas geram suaminya itu.
Sumber polis berkata, pada hari kejadian, lelaki berusia 30 tahun itu mengajak isterinya berbuka puasa, tetapi mangsa menolak pelawaannya kerana mahu berbuka di rumah kakaknya menyebabkan suaminya naik angin.

Akibatnya, mangsa dibelasah sebelum diseret dari tingkat satu rumah mereka ke tingkat bawah dalam keadaan bogel.
“Mangsa menangis dan merayu suaminya tidak bertindak demikian, tetapi lelaki itu tidak mengendahkannya,” katanya di sini, semalam.

Kes kerat mayat: 2 lagi diberkas

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Polis hari ini memberkas dua lagi lelaki warga Bangladesh untuk membantu siasatan kes penemuan mangsa pembunuhan kejam seorang wanita dan kanak-kanak yang dikerat-kerat dan dibuang dalam mangkuk tandas di Ampang dekat sini baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kedua-dua lelaki terbabit ditahan dalam serbuan berasingan di Segambut dan Sri Petaling di sini awal pagi ini.
“Kita memohon kepada mahkamah untuk menahan reman kedua-dua suspek pada hari ini kerana percaya mereka boleh membantu siasatan kes pembunuhan kejam berkenaan.
“Tangkapan terbaharu ini menjadikan jumlah suspek yang ditahan untuk siasatan kes berkenaan kini berjumlah 11 orang semuanya termasuk suami mangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Adnan, selain memberkas dua suspek terbaharu itu, polis turut mendapat kebenaran mahkamah untuk menyambung reman suami mangsa yang tempoh tahanan reman lelaki tersebut berakhir hari ini.
Beliau berkata, tempoh tahanan reman lelaki terbabit disambung semula kerana polis masih perlu menyoal siasatnya.
Dalam pada itu, kata Mohd. Adnan, pihaknya sudah berjaya mengesan waris kepada mangsa di Indonesia dengan bantuan polis antarabangsa (Interpol).
“Kita sudah menghubungi keluarga mangsa dan meminta mereka datang ke negara ini untuk menguruskan proses tuntutan mayat wanita dan kanak-kanak berkenaan.
“Bagaimanapun, difahamkan mereka menghadapi masalah kewangan untuk datang ke sini menyebabkan mayat kedua-dua mangsa belum dituntut dan masih disimpan di bilik mayat sehingga kini,” ujarnya.
Pada 3 Ogos lalu, beberapa keratan tubuh dan organ manusia termasuk usus ditemui dalam beberapa beg plastik di dalam mangkuk tandas di sebuah unit di tingkat lima Pangsapuri Astaria, Taman Kosas, Ampang.
Selepas siasatan awal, polis mengesahkan kesemua beg plastik itu mengandungi keratan mayat seorang wanita warga asing berumur 30-an dan seorang kanak-kanak lelaki.-utusan

Wanita Thai dicekup seludup 11kg ganja


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Supritendan Baharom Othman (tengah) menunjukkan beg yang digunakan seorang wanita Thailand untuk menyeludup ganja seberat hampir 11 kilogram di Alor Setar, semalam.



ALOR SETAR 15 Ogos - Seorang wanita warga Thailand boleh diibaratkan menjerut leher sendiri, apabila bertindak berani menyeludup kira-kira 11 kilogram ganja ke negara ini dengan menaiki bas ekspres.
Perbuatan suspek yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah itu bagaimanapun terbongkar apabila ditahan polis dalam operasi di stesen bas Shahab Perdana dekat sini, malam kelmarin.
Ketika ditahan pukul 8.30 malam, polis menemui sebanyak 11 ketulan mampat dadah bernilai anggaran RM33,000 itu yang disembunyikan dalam beg galas suspek berusia 28 tahun.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab, operasi dilakukan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, diketuai Cif Inspektor Husin Halil.
"Suspek ditahan ketika berada dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan mendapati wanita itu tidak mempunyai dokumen pengenalan sah," katanya pada sidang akhbar di IPK di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek yang sering keluar masuk ke negara ini dikatakan dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur berdasarkan penemuan sekeping tiket bas.
"Kita percaya suspek dipergunakan oleh sindiket sebagai keldai dadah," katanya.
Tambah beliau, suspek itu ditahan sehingga 20 Ogos ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.-utusan

Rogol 2 kanak-kanak, lelaki dipenjara 15 tahun

PETALING JAYA 15 Ogos - Perbuatan tidak berperikemanusiaan seorang pemandu van sekolah yang mengaku bersalah merogol dan melakukan kelucahan melampau terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, hari ini dibalas dengan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan 13 kali.
Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rozina Ayob menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh yang berusia 52 tahun, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dihadapinya.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan di dalam sebuah van di Jalan Othman 1/12 pada 26 Julai 2010.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan dan tidak lebih 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan.
Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa melakukan kelucahan melampau dan merogol seorang lagi kanak-kanak perempuan yang merupakan anak saudaranya yang dibelanya di sebuah rumah di satu kawasan perumahan di sini.
Tarikh dan masa kejadian itu tidak dapat dipastikan namun ia didakwa berlaku pada tahun 2009.
Bagi kesalahan melakukan kelucahan melampau, dia didakwa mengikut Seksyen 377E yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.
Rozina menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan lima kali, bagi pertuduhan pertama dan ketiga manakala pertuduhan kedua, dia dihukum penjara tiga tahun dan sebatan tiga kali.
Bagaimanapun ketiga-tiga hukuman penjara tersebut diperintahkan berjalan serentak dari tarikh tangkap.
Tertuduh ketika diberi peluang membuat rayuan untuk mengurangkan hukuman, dilihat menitiskan air mata selain meluahkan perasaan kesal atas kejadian itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shah Rizal Abdul Manan memohon agar hakim menjatuhkan setimpal dengan mengambil kira faktor bahawa mangsa adalah kanak-kanak dan mengklasifikasikan perbuatan tersebut sebagai kesalahan yang sangat keji.-utusan

Warga Malaysia terlibat sindiket penipuan



SYDNEY 15 Ogos - Lima lelaki dari Malaysia dan Sri Lanka hari ini didakwa terlibat dengan sindiket penipuan antarabangsa yang bertanggungjawab melakukan serangan ke atas sistem kad kredit di Australia.
Skuad detektif New South Wales (NSW) menahan kelima-lima suspek di Sydney selepas melakukan siasatan selama beberapa bulan dengan seorang lelaki yang disyaki menguruskan aktiviti kumpulan tersebut di negara ini, Eropah serta Amerika Utara.
"Pasukan polis NSW bersikap komited bagi membanteras kegiatan penipuan dan operasi hari ini telah melumpuhkan operasi mereka," kata Detektif Suprintendan, Col Dyson.
Sindiket penipuan tersebut dipercayai menggunakan peralatan berteknologi tinggi untuk menyalin butiran akaun daripada jalur magnetik yang terdapat pada kad kredit atau kad debit pengguna.
Kelima-lima suspek didakwa melakukan konspirasi untuk tujuan menipu, merompak, dan terlibat dalam memalsukan dokumen pengenalan diri.
Ketika serbuan, polis turut merampas sebuah mesin mencetak slip bayaran bank, komputer riba, sejumlah telefon bimbit, wang tunai, dokumen perjalanan palsu serta beberapa kad kredit milik warga Kanada. - AFP, utusan

Seorang lelaki, 2 wanita ditahan miliki dadah


Umar Ali Saifuddin Shaharudin menunjukkan dadah yang dirampas di Alor Gajah, semalam.



ALOR GAJAH 15 Ogos - Seorang lelaki dan dua wanita ditahan polis kerana memiliki dadah dalam satu serbuan di Kampung Padang Kemuting, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, di sini, baru-baru ini.
Dalam serbuan pukul 12.45 tengah hari Sabtu lalu, semua suspek yang berusia antara 27 hingga 48 tahun cuba melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis.
Bagaimanapun, tindakan pantas pihak polis akhirnya berjaya memberkas kesemua suspek.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, polis menemui pelbagai jenis dadah dalam beg galas dan beg pinggang yang ditemui dalam rumah itu.
"Dadah jenis heroin ditemui dalam satu peket plastik besar, lima peket kecil serta satu botol plastik seberat 653 gram.
"Polis turut menjumpai dua peket plastik kecil disyaki syabu dengan berat kasar 8 gram dan tiga ketul ganja seberat 61 gram," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, di sini, hari ini.
Menurut beliau, suspek lelaki bersama dua wanita iaitu kakak dan teman wanitanya yang berasal Kampung Padang Kemuting direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan awal mendapati, dadah tersebut untuk pasaran tempatan terutamanya di Masjid Tanah dan kawasan sekitar.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.-utusan

Tiga pelajar ponteng sekolah ditahan polis




MOHD. Basirul Hapi Ibrahim menasihatkan tiga pelajar sekolah yang ditahan di Cawangan Trafik IPD Baling, semalam.


BALING 15 Ogos - Tindakan tiga pelajar menaiki motosikal curi untuk ponteng sekolah dan mandi di Pusat Peranginan Lata Bayu Asam Jawa, mengundang padah apabila mereka ditahan polis di Jalan Parit Panjang Kuala Ketil di sini, hari ini.
Pelajar berusia 14 hingga 15 tahun itu ditahan ketika masih berpakaian seragam sekolah tanpa memakai topi keledar kira-kira pukul 11 pagi.
Semasa ditahan, mereka baru selesai mandi di pusat itu dan dalam perjalanan pulang ke rumah yang terletak kira-kira 50 kilometer dari sekolah.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Baling, Cif Inspektor Mohd. Basirul Hapi Ibrahim berkata, mereka ditahan dua anggota yang membuat rondaan di kawasan itu dan hasil pemeriksaan mendapati salah sebuah motosikal tersebut merupakan kenderaan curi.
"Kenderaan itu dikesan dicuri hasil semakan dalam sistem komputer. Mereka mengaku ponteng sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Basirul, pihaknya menahan pelajar dan motosikal terbabit untuk siasatan serta menghubungi sekolah berkenaan bagi memaklumkan kejadian itu.
"Pemeriksaan mendapati motosikal yang dinaiki tidak mengikut spesifikasi ditetapkan termasuk tiada cermin sisi, cukai jalan selain telah diubah suai," ujarnya.-utusan

Along kena bunuh

PETALING JAYA: Padah menimpa seorang ceti haram (along) yang mahu menuntut hutang apabila dia dipercayai dibunuh pemilik sebuah pusat karaoke berhampiran Petaling Jaya Commercial Centre (PJCC), PJS5/30, di sini.
Difahamkan, mangsa pergi ke premis tiga tingkat milik suspek yang menjalankan perniagaan kopitiam dan pusat karaoke itu petang semalam untuk menuntut hutang daripada lelaki terbabit.

Malangnya mangsa dikenali Phua Wei Loon, 25, dipercayai dibunuh suspek dalam tandas pusat karaoke yang beroperasi di tingkat satu premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa ditemui tertiarap dan berlumuran darah oleh seorang rakannya yang datang untuk mencari mangsa selepas dia gagal dihubungi.

"Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, rakan mangsa yang berusia 24 tahun itu naik ke tingkat atas premis dan menemui mangsa dengan keadaan berlumuran darah dalam tandas.

"Rakannya bertindak menghubungi polis sebelum sepasukan penyiasat tiba ke tempat kejadian dan melakukan pemeriksaan pada mayat mangsa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, malam tadi.


Menurutnya, mangsa yang berasal dari Banting dekat sini, dipercayai maut akibat kesan tetakan dan kecederaan parah di badan serta kepalanya.Hasil siasatan awal kita dimaklumkan rakan mangsa terbabit, mangsa datang ke premis berkenaan untuk berjumpa dengan pemiliknya bagi tujuan menuntut hutang.
"Malah, pemeriksaan polis turut mendapati ada kesan pergelutan namun, tiada senjata ditemui di tempat kejadian," katanya.

Arjunaidi berkata, pihaknya percaya mangsa dibunuh pemilik premis itu yang juga rakyat tempatan dan usaha memburu suspek sedang dijalankan.

Selain itu, premis berkenaan baru beroperasi dan belum mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, ketika kejadian premis terbabit dipercayai tidak beroperasi dan tiada pekerja namun tidak menolak kemungkinan suspek lebih daripada seorang.

"Premis ini dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) namun tidak menghala ke arah tempat mangsa dipercayai dibunuh. Namun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek dan waktu kejadian.

"Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. Keluarga mangsa juga sudah dimaklumkan berhubung kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.hmetro

Penjenayah mati ditembak

POLIS mengangkat mayat penjenayah yang ditembak  di Tanjung Bunga, awal pagi semalam untuk dibawa ke Hospital Pulau Pinang.
POLIS mengangkat mayat penjenayah yang ditembak di Tanjung Bunga, awal pagi semalam untuk dibawa ke Hospital Pulau Pinang.

GEORGETOWN: Seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 21 kes pecah rumah dan samun sekitar Tanjung Bunga dan Tanjong Tokong, di sini terbunuh dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di sini, awal pagi semalam.

Suspek berusia 36 tahun itu mati di tempat kejadian selepas terkena tiga tembakan di badan dalam kejadian jam 2.30 pagi.
Polis turut merampas sepucuk revolver dan beg galas yang mengandungi jam tangan, bungkusan lut sinar dipercayai syabu dan ketulan emas yang dileburkan, motosikal curi yang ditunggangi lelaki itu serta peralatan memecah rumah.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata sebelum kejadian, pasukan khas polis yang meronda di sekitar Tanjung Bunga terserempak dengan seorang lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Polis mengejar lelaki terbabit yang melarikan diri apabila diarah berhenti sehingga sampai ke kawasan semak, sebelum dia melepaskan beberapa das tembakan.

“Polis melepaskan tembakan balas untuk mempertahankan diri dan tiga tembakan mengenai lelaki itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Siasatan mendapati lelaki itu mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dan polis menyiasat sama ada dia bertindak sendirian atau berkumpulan.
Siasatan juga mendapati cap jari suspek menyamai cap jari yang ditemui di sebuah rumah dipecah masuk di Tanjong Tokong baru-baru ini. Mayatnya dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Ayub berkata, pasukan khas yang terserempak dengan penjenayah terbabit ditubuhkan berikutan kekerapan pecah rumah dan samun menjelang musim perayaan.
Katanya, penjenayah tidak memilih mangsa, malah rumah seorang pegawai kanan polis di Tanjong Tokong turut dipecah masuk minggu lalu, menyebabkan kerugian RM30,000.

Ahli keluarga termasuk isteri pegawai kanan polis itu diikat tetapi mereka tidak dicederakan. Suspek dipercayai warga asing dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti identiti suspek.

Mengenai Ibu Pejabat DAP di sini yang disimbah cat merah dan jingga kelmarin, Ayub berkata, pihaknya sedang menyiasat kes itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.

Kejadian dipercayai dilakukan enam lelaki yang menaiki tiga motosikal yang membaling cat ke premis berkenaan kira-kira jam 1 pagi. -bharian

Suami pakai baju, seluar terbalik maut nahas






2011/08/16

PASIR PUTEH: Hasrat empat rakan untuk keluar minum selepas solat Tarawih berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka rentung akibat terbabit dalam kemalangan di Kilometer 24.5 di Kampung Jerus, Selising di sini malam kelmarin. 

Dalam kejadian jam 10.58 malam itu pemandu kereta, Tuan Mat Syamsul Tuan Ismail, 35, maut, manakala rakannya, Mohamad Ikram Ismail, 27, yang juga kakitangan Hospital Tengku Anis; pembantu mekanik, Mohamad Nazirul Munir Mohamad Nasir, 18, dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Abal, Zuraidi Zakaria, cedera.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal, berkata mangsa yang memandu kereta Proton Wira dalam perjalanan dari arah Kampung Bukit Abal ke Kampung Pak Badol.
“Apabila sampai berhampiran stesen minyak Caltex kereta dipandu mangsa dikatakan terbabas lalu melanggar pembahagi jalan, sebelum terbakar menyebabkan Tuan Mat Syamsul terperangkap dan rentung dalam kenderaan. 

“Tiga lagi rakan mangsa dapat diselamatkan oleh orang awam yang ada di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

Beliau berkata, tiga mangsa yang tercedera kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian (HUSM). 

Mohd Kamal berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa yang berasal dari Kampung Bukit Abal dalam perjalanan ke Kampung Pak Badol untuk minum. 
Sementara itu, isteri Tuan Mat Syamsul, Rosmawati Kamaruddin, 29, berkata sebelum keluar dari rumah arwah suaminya berpesan supaya menjaga anak dengan baik. 

“Dia pesan supaya jaga anak dengan sempurna agar mereka menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat, dan maafkannya jika selepas ini kami tidak bertemu lagi. 

“Apa yang lebih pelik sebelum dia keluar rumah baju dan seluar yang dia pakai semuanya terbalik, saya menegurnya gelagat dia namun tidak diendahkan dan terus pergi bersama rakannya,” katanya. -bharian

Puji masakan isteri sebelum maut



ANGGOTA bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mayat Tuan Mat Shamsul yang rentung dalam kemalangan di Kampung Jerus, Pasir Puteh kelmarin.


PASIR PUTEH - Seorang wanita tidak menyangka pujian bersungguh-sungguh suami terhadap masakan yang disediakan untuk berbuka puasa rupa-rupanya menjadi petanda yang lelaki itu akan menemui ajal dalam kemalangan kelmarin.
Kejadian pukul 10.50 malam itu mengakibatkan seorang mekanik, Tuan Mat Shamsul Tuan Ismail, 35, maut selepas dia rentung apabila kereta Proton Wira yang dinaiki bersama tiga lagi rakan terbabas lalu terbakar di Kilometer 24.5 Jalan Terengganu-Kota Bharu di Kampung Jerus dekat sini.
Ini merupakan kemalangan kali keempat menimpa Tuan Mat Shamsul sejak 2008 yang kesemuanya berlaku pada bulan Ramadan.
Tiga rakannya iaitu pemandu ambulans Hospital Tengku Anis (HTA) di sini, Mohamad Ikram Ismail, 27; mekanik, Mohd. Nazirul Munir Mohamad Nasir, 18 dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa, Zuraidi Zakaria, 17, dapat diselamatkan. Kesemua mangsa berasal dari Kampung Bukit Abal dekat sini.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Mohamad Ikram dari arah Pasir Puteh ke Kota Bharu terbabas lalu terbakar ketika cuba mengelak kenderaan lain yang mahu memasuki simpang.
Mereka dikatakan hendak pergi ke sebuah kedai untuk minum di Kampung Pak Badol, Bachok yang terletak kira-kira lapan kilometer dari kampung mereka.
Isteri Tuan Mat Shamsul, Rosmawati Kamarudin, 29, memberitahu, ketika waktu berbuka, suaminya begitu berselera dan bersungguh-sungguh memuji masakan ikan lolong masak pedas yang disediakannya.
"Selepas berbuka, arwah mengurut-ngurut badan dan mencium pipi saya. Perkara itu telah lama tidak dilakukannya dalam tempoh tujuh tahun perkahwinan kami dan ia membuatkan saya berasa pelik.
"Empat anak saya, Tuan Muhammad Amierul Hayyat, 8, Tuan Nur Amiera Balqis, 6, Tuan Nur Auni Batisya, 5, dan Tuan Nur Amna Ainunisyha, 4, seakan-akan tidak percaya dengan kejadian itu tetapi saya menasihati mereka supaya reda dengan apa yang berlaku," ceritanya ketika ditemui di HTA di sini semalam.-kosmo

'Keldai' seludup ganja diberkas


BAHAROM (tengah) menunjukkan sebahagian 11 ketulan mampat ganja yang dirampas daripada seorang wanita pada sidang akhbar di Alor Setar semalam.

ALOR SETAR - Tindakan seorang wanita Thailand yang sanggup menjadi 'keldai dadah' untuk menyeludup 11 ketulan mampat ganja bernilai RM33,000 memakan diri apabila dia ditahan di Terminal Bas Shahab Perdana di sini Sabtu lalu.
Wanita berusia 28 tahun tersebut ditahan ketika dia sedang menunggu bas ekspres untuk ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.30 malam. Polis tidak menemui sebarang dokumen perjalanan padanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Supritendan Baharom Othman memberitahu, sepasukan polis Bukit Aman dan Kedah bertindak menahan suspek selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
"Pemeriksaan pada beg yang dibawa suspek menemui 11 ketulan mampat ganja seberat 10.9 kilogram dibalut menggunakan kertas aluminium yang disembunyikan bersama pakaian.
"Dadah tersebut dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan. Kita percaya ia melibatkan rangkaian sindiket antarabangsa," katanya.
Tambahnya, suspek tidak bekerja dan pandai bertutur bahasa Melayu. Polis percaya dia telah dijadikan 'keldai' untuk menyeludup dadah.
Suspek kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-kosmo