Search This Blog

Monday, August 15, 2011

Terpaksa guna air perigi



BUKIT RAYA – Sebuah keluarga di Kampung Alor Parit di sini menyambut Ramadan dalam keadaan kurang sempurna kerana impian mereka mendapatkan bekalan air paip pada puaasa tahun ini tidak kesampaian.

Keluarga ini tidak pernah mendapat bekalan berkenaan sepanjang menetap di situ walaupun pelbagai usaha dilakukan.

Noraini Ibrahim, 35, berkata, selepas laporan mengenai masalah itu disiarkan Sinar Harian dua bulan lalu pihak berkenaan dari Alor Setar datang ke rumahnya dan memaklumkan akan membincangkan masalah itu dengan ketua mereka namun, sehingga kini tiada sebarang maklum balas.

“Bekalan air perigi dekat rumah sering kali kering, kami terpaksa membuka lorong air dari sawah supaya air dari sawah itu dapat menyerap masuk ke perigi, “ katanya.

Noraini berkata, masalah itu menyebabkan anaknya terpaksa mandi di tali air kawasan rumah mereka apabila bekalan air perigi itu kering.

“Suami terpaksa membawa anak mandi di tali air itu pada waktu malam kerana malu dilihat orang yang melalui kawasan itu jika mandi pada waktu siang namun, kasihan apabila anak pulang mengadu badan mereka gatal selepas mandi di situ.

“Kadang-kala saya tidak boleh membuka lorong di bendang kawasan itu jika pemilik sawah menabur baja,” katanya.

Menurutnya, bekalan air perigi itu hanya digunakan untuk membasuh pakaian dan pinggan serta mandi sahaja manakala bekalan air minum dan memasak terpaksa diambil di rumah jiran.

“Kami tidak larat erus mengangkat air terutamanya di bulan puasa ini menyebabkan saya meminta pihak berkenaan tampil membantu saya menyelesaikan masalah ini dengan segera.

“Saya mohon bantuan bekalan air daripada pihak Jabatan Kesihatan namun, pihak berkenaan memaklumkan peruntukan permohonan itu belum ada,” katanya.-SH

Hanya datang ukur jalan



TENDONG – Penduduk di Kampung Sakar, berputus asa untuk mengajukan masalah kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai tanah runtuh yang berlaku sejak Januari tahun ini.

Tinjauan Sinar Harian ke tempat kejadian, mendapati tapak tanah runtuh ditimbus sendiri oleh penduduk yang prihatin, bagi mengelakkan jalan raya yang digunakan lebih 100 keluarga di sini runtuh.

Penduduk yang hanya mahu dikenali Tan Bo Qin, 35, berkata, masalah itu bermula ketika musim tengkujuh, Januari lalu dan ia berkemungkinan tanah di sini tidak dapat menampung jumlah hujan lalu membentuk aliran air ke Sungai Kelantan berdekatan kampung.

“Setiap hari, kita mengharapkan pihak berkenaan tampil bagi membantu kami menyelesaikan masalah yang berlaku, namun kehadiran mereka hanyalah mengukur jalan, mengambil gambar dan pulang tanpa sebarang kerja-kerja membaik pulih.

“Justeru, kita sudah berputus asa untuk menunggu pihak berkenaan, sebaliknya berusaha sendiri dengan mengambil tanah, batu-bata dari pembinaan rumah dan pasir sungai untuk mengambus tanah ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bo Qin berkata, laluan ini merupakan jalan kampung utama yang menghubungkan Kampung Sakar dengan beberapa kampung sekitar dan seterusnya ke Tendong, bandar Pasir Mas dan Pasir Pekan.

Menurutnya, jika berlanjutan, rumah-rumah sekitar juga terdedah dengan bahaya tanah runtuh.

Menurutnya, laluan ini juga bukan hanya menghubungkan penduduk dengan bandar, malah ia turut digunakan penduduk untuk aktiviti joging menjelang waktu petang.

“Ini merupakan kejadian pertama berlaku di kampung berkenaan, berbanding musim tengkujuh pada tahun-tahun sebelumnya.

“Maka kami amat berharap, agar pihak PBT lebih peka dengan keperluan penduduk di sini, agar kejadian yang sama tidak lagi berlaku, terutama menjelang musim tengkujuh hujung tahun ini,” katanya.-SH

Pejabat Wei Aik disimbah cat



GEORGETOWN- Dipercayai ada kena mengena dengan keadaan politik yang berlaku sekarang, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Komtar, Ng Wei Aik sekali lagi dikhianati dengan simbahan cat.

Wei Aik berkata, kejadian yang berlaku awal pagi kelmarin itu adalah kali kedua selepas pejabatnya di simbah cat berwarna hijau Jun lalu.

“Selain pejabat saya, Ibu Pejabat DAP negeri juga mengalami nasib yang sama namun kali ini disimbah dengan cat berwarna merah dan jingga awal pagi tadi (semalam). Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1.20 pagi tadi (semalam).

“Saya menyedari kejadian ini selepas menerima panggilan daripada setiausaha saya kira-kira jam 1.25 pagi dan saya terus bergegas ke pejabat. Sebaik sahaja tiba di pejabat, saya lihat cat merah disimbah pada papan tanda pejabat manakala cat jingga disimbah pada pintu hadapan pejabat,” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan pelaku adalah orang yang sama melakukan perkara tidak bertanggungjawab itu sebelum ini.

“Saya rasa mungkin orang yang sama menyimbah cat pada pejabat saya dan Ibu Pejabat DAP dengan berkemungkinan mereka ada agenda politik dan menjadikan ahli politik sebagai sasaran.

“Saya sudah pun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Timur Laut (IPDTL) Pulau Pinang dan berharap polis dapat mengambil tindakan segera agar kejadian sebegini tidak berulang,” katanya.

Difahamkan kejadian yang berlaku jam 1.20 pagi itu dilakukan oleh enam orang yang menaiki tiga motosikal dan terus membaling bungkusan plastik yang berisi cat pada kedua-dua premis terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

“Kita sedang menjalankan siasatan sama ada kejadian itu mempunyai kaitan dengan jenayah dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan,” katanya.-SH

Pasangan kekasih nyaris maut terbakar



GEORGETOWN - Tindakan pantas pengguna jalan raya memberi bantuan dengan mengeluarkan sepasang kekasih dari sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 0.4 jambatan Pulau Pinang berjaya menyelamatkan nyawa mereka apabila kereta itu tiba-tiba terbakar.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi semalam apabila pasangan berusia lingkungan 20-an berkenaan dalam perjalanan dari Georgetown ke Butterworth sebelum kereta yang dinaiki terbabas.

Kereta berkenaan kemudian melanggar pembahagi jalan sebelum terbakar secara tiba-tiba dan berpusing beberapa kali membuatkan orang ramai terpaksa memberhentikan kenderaan masing-masing.

Melihatkan keadaan kereta yang terbakar dan masih ada orang di dalam, orang ramai dengan pantas membawa keluar pasangan terbabit yang ketika itu agak panik dan terperangkap dalam kenderaan.

Ketika dikeluarkan dari kereta, kaki kanan mangsa perempuan dilihat sudah terbakar manakala pasangannya yang juga pemandu hanya mengalami kecederaan ringan dan kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Difahamkan, ketika menyelamatkan pasangan terbabit api sedang marak namun orang ramai bertindak berani dan ia ternyata berjaya menyelamatkan mangsa.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Yaakob Abdul Aziz berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian jam 2.04 pagi dan berjaya mengawal kebakaran kira-kira 10 minit kemudian.

“Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan Perai selain anggota bomba sukarela bergegas ke lokasi kejadian walaupun pada mulanya agak sukar kerana jalan sesak hampir lima kilometer dari tempat kemalangan," katanya. -SH

4 beradik hilang tempat berteduh



MACHANG - Kemeriahan menyambut Aidilfitri sudah tidak bermakna lagi buat empat beradik yatim piatu di Kampung Hala dekat sini, semalam apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran.

Kebakaran kira-kira jam 8.30 pagi itu bukan hanya memusnahkan tempat berteduh, tetapi juga membawa bersama kenangan ibu bapa mereka.

Salah seorang saudara terdekat, Rahimah Ismail berkata, kejadian itu disedarinya apabila dimaklumkan jiran.

Katanya, walaupun tinggal berdekatan, dia tidak dapat melihat asap akibat kebakaran dan bergegas ke tempat kejadian apabila dimaklumkan jiran.

“Ketika mak cik sampai, api sudah marak dan dua kanak-kanak yang juga cucu sepupu mak cik sudah keluar daripada rumah. Mujurlah mereka selamat.

“Mak cik difahamkan emak saudara yang juga anak sepupu mak cik pergi ke kedai berdekatan untuk membeli ayam dan meninggalkan mereka di rumah kerana sedang tidur,’’ katanya.

Sinar Harian difahamkan, dua kanak-kanak itu tinggal di Kuala Lumpur dan mengikut emak saudaranya pulang ke kampung pada musim cuti sekolah yang lalu.

Rahimah berkata, rumah itu didiami empat beradik yatim piatu sejak kematian ayah mereka setahun yang lalu.

Katanya, tiga lagi ahli keluarga bekerja dan juga ke sekolah ketika kejadian.

“Entahlah, mak cik sendiri bingung memikirkan nasib mereka selepas ini tambahan pula bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi dan yang paling penting, dua yang masih bersekolah itu akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak lama lagi.

“Rumah ini tinggalan kedua orang tua mereka dan mak cik berharap ada pihak sudi membantu membina rumah buat anak-anak yatim ini demi kemudahan dan keselesaan mereka,’’ katanya.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Che Mohd. Fauzi Che Omar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.42 pagi dan tiba di tempat kejadian empat minit kemudian.

Katanya, ketika tiba, hampir keseluruhan rumah terbakar dan pihaknya berjaya mengawal kebakaran lima minit kemudian.

“Operasi menyelamat dan mengawal kebakaran melibatkan dua jentera dengan kekuatan tujuh anggota bomba.

“Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan. Sebagai peringatan bersama, orang ramai terutamanya golongan perempuan diminta peka dengan kerja-kerja memasak yang dilakukan sepanjang bulan puasa termasuklah ketika membuat biskut raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.-SH

Gagal curi duit tabung masjid



KUBANG BATANG – Cubaan pencuri untuk membawa lari duit tabung Masjid Kubang Batang dengan memecahkan tabung besi dalam gelap, hanya sia-sia apabila usaha mereka itu tidak berjaya.

Imam Masjid Kubang Batang, Mat Hussin Yusoff, berkata, tiada apa yang berjaya dilarikan pencuri tersebut walaupun sebahagian tabung itu dipecahkan.

“Hanya konkrit yang pecah, tetapi tabung besi di dalam tidak berjaya dikeluarkan.

“Lagipun tabung ini dibina seperti peti besi, dikonkrit lagi, agak sukar untuk dipecahkan atau pun ‘memancing ‘ duit dari lubang atas tabung tersebut,” katanya.

Mat Hussin berkata, dia percaya kejadian ini berlaku selepas jam 12 malam, dan disedari tabung itu dipecahkan ketika bilal ke masjid untuk azankan solat subuh.

Menurutnya, di masjid ini disediakan tiga tabung, duanya di dalam masjid dan satu lagi diletakkan di luar masjid.

“Bagaimanapun, mereka yang tidak bertanggungjawab itu berminat untuk memecahkan tabung yang di dalam masjid.

“Satu berjaya dipecahkan tetapi tidak dapat mengeluarkan peti besi itu, manakala satu lagi tidak sempat dan turut ditinggalkan dawai dan lampu picit dipercayai alat yang digunakan untuk mencuri,” katanya.

Mat Hussin berkata, sekiranya mereka berjaya memecahkan tabung itu, mereka tidak akan dapat apa–apa kerana wang di dalam tabung itu dikutip setiap hari.

“Selepas Isyak, memang tok siak akan mengutip duit di dalam tabung ini dan sekiranya mereka berjaya ditangkap pada malam itu, padah mereka dapat nanti,” katanya yang turut kesal ada juga manusia sanggup mencuri pada bulan Ramadan ini.-SH

Ribut sebelum berbuka puasa



JENGKA 19 – Lebih lapan kediaman milik peneroka serta kakitangan Felda dekat sini rosak akibat dilanda ribut kira-kira jam 4.30 petang kelmarin ketika umat Islam sedang sibuk menyediakan juadah berbuka.

Salah seorang mangsa, Yaakob Jonet, 68, berkata, ketika kejadian dia, isteri dan lapan ahli keluarga lain berada di dalam rumah sebelum kediaman mereka dilanda ribut kuat berserta hujan.

Menurutnya, dia terdengar tiga kali angin kuat melanda rumahnya di mana kali pertama dan kedua hanya menyebabkan bunyi kuat pada bahagian atap namun pukulan ketiga memusnahkan hampir separuh bahagian atap kediaman mereka.

“Dalam keadaan panik, anak lelaki saya sempat melaungkan azan sebelum bumbung rumah diterbangkan ribut.

“Ahli keluarga yang lain kelam kabut menyelamatkan diri ke bahagian dapur kerana bimbang tercedera akibat terkena serpihan atap,” katanya.

Yaakob berkata, mujurlah tiada kecederaan dialami ahli keluarganya, cuma beberapa perabot rumah rosak dan basah akibat air hujan yang memasuki rumah setelah atap hilang dipukul ribut.

“Tiang rumah turut bergegar ekoran angin kuat tersebut sehingga merosakkan bahagian bumbung dan dianggarkan kerugian sekitar RM3,000,” katanya.



Terkejut lihat atap rumah hilang



Bagi seorang lagi mangsa, Che Som Awang, 60, berkata, ketika kejadian, dia dan suami tiada di rumah sebaliknya berada di kampung selama lebih seminggu kerana melawat bapanya yang sakit.

“Secara kebetulan saya pulang ke rumah dan tiba kira-kira jam 12 tengah hari namun terkejut melihat keadaan bumbung rumah yang ‘rongak’ di bahagian hadapan akibat dipukul ribut.

“Saya terus meluru ke dalam rumah bagi memeriksa sekiranya ada kerosakan lain namun Alhamdulillah hanya melibatkan sedikit kerosakan perabot manakala bahagian dalam rumah pula basah akibat hujan,” katanya kepada Sinar Harian. -SH

Acu pisau pada ibu



KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dakwaan mengugut hendak membunuh ibu kandungnya dengan sebilah pisau dalam satu kejadian pada 10 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Zakaria Awang, 36, dari Jalan Cempaka 11, Tapak Perpindahan Tok Adis, Kuala Terengganu tidak mengaku bersalah mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu.

Selepas pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Majistret Noradila Ab Latif menetapkan 20 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Ngiam Ooi Ming manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam bela.

Mengikut fakta kes, tertuduh pada 10 Ogos lalu kira-kira jam 3 petang di hadapan sebuah rumah beralamat di Jalan Cempaka 11, Tapak Perpindahan Tok Adis, Kuala Terengganu dengan sengaja telah menakutkan secara jenayah ke atas ibunya, Saadiah Salleh, 56, dengan mengacukan sebilah pisau.-SH

Diperdaya sindiket cuci emas



KAMPUNG LAPAN KOTAK - Berbekalkan helah menjual gelang perhiasan kanak-kanak, tiga individu termasuk seorang wanita dipercayai menjalankan aktiviti penipuan menghakis barang kemas milik pelanggan kononnya untuk mencuci emas mangsa di beberapa kawasan daerah ini.

Dua lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 30-an itu didakwa memperdayakan beberapa mangsa terdiri daripada warga emas di sekitar Kampung Lapan Kotak dekat Jertih, minggu lalu.

Berat timbangan emas mangsa menyusut mendadak selepas mencuci emas dengan bahan kimia me-lalui perkhidmatan secara percuma yang mereka tawarkan.

Mangsa, Sinah Abas, 66, berkata, minggu lepas dia didatangi tiga individu yang menaiki sebuah kereta dipercayai Perodua Viva ke rumahnya menjual gelang kanak-kanak.

Menurutnya, mereka meminta dia membeli gelang itu untuk cucunya tetapi dia menolak dengan alasan tidak mempunyai wang.

“Kemudian mereka meminta untuk mencuci emas saya dan pada mulanya saya memberi emas tiruan untuk dicuci, kemudian mereka meminta agar saya menanggalkan rantai leher saya untuk dicuci secara percuma,” katanya semalam.

Sinah berkata, mereka memasukkan rantai lehernya ke dalam tiga bekas mengandungi cecair berasingan kononnya untuk mencuci rantai lehernya yang dilakukan di bahagian tangga rumah.

Menurutnya, apabila selesai emas itu dicuci pada mulanya dia terperanjat apabila mendapati warna emas itu bertukar menjadi luntur dan pudar bagaimanapun tiga individu itu memberitahu dalam tempoh beberapa minit warna rantai leher itu akan kembali seperti asal.

“Jurujual perempuan itu memakaikan semula rantai tersebut pada leher saya kemudian mereka berlalu pergi.

“Bagaimanapun, walaupun beberapa jam berlalu tetapi warna pudar pada emas tersebut tidak berubah malah beratnya menyusut selain menjadi lebih kecil,” katanya.

Sinah berkata, dia menyangka emas itu ditukar dengan emas tiruan tetapi bentuknya masih sama.

“Saya kemudian menguji emas itu di sebuah kedai emas di Jertih dan mendapati ia memang emas tulen tetapi menjadi emas muda sedangkan dahulu ia Emas 9,” katanya.

Katanya, berat timba-ngan emas itu juga hanya 6 riyal (16.2 gram) sedangkan ketika beli dahulu timbangannya 10 riyal (27 gram).

“Jiran sekampung saya juga terkena apabila gelang emas seberat 30 riyal menjadi ringan dan lembut selepas dicuci oleh orang sama,” katanya yang belum membuat laporan polis.

Difahamkan dengan menggunakan bahan kimia khas, mereka mampu menghakis emas sehingga lebih 10 gram sebelum dilebur dalam unit kecil untuk dijual semula. -SH

Dua pengedar dadah ditahan



PADANG SERAI - Tiga lelaki ditahan polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim danPejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) di sebuah rumah teres satu tingkat di Taman Desa Aman kira-kira jam 2 pagi, kelmarin.

Seorang suspek yang berusia 43 tahun dan berasal dari Sedim ditahan bersama tiga ketulan mampat daun kering dipercayai ganja seberat 47.2 gram yang diletakkan dalam sebuah beg.

Manakala seorang lagi suspek berusia 40 an dan berasal dari Kuala Ketil ditahan bersama 11 plastik lut sinar yang mengandungi bahan dipercayai dadah jenis heroin seberat 15.0 gram. Suspek ketiga yang berusia 20an pula mengaku dirinya seorang penagih dadah.

Selain dipercayai terlibat dengan pengedaran dadah, suspek yang ditahan juga dikatakan terlibat dengan kegiatan maksiat.

Serbuan yang diketuai seorang koperal bersama tiga anggota dan empat pegawai penguat kuasa dari PADK dibuat selepas menerima aduan daripada orang awam kira-kira jam 11.30 malam.

Tiba di tempat kejadian, PADK mengepung kawasan rumah suspek dan mendapati dua lelaki berada di ruang tamu manakala pintu bilik di bahagian hadapan dan belakang tertutup rapat.

PADK meminta kebenaran membuat pemeriksaan dan menemui suspek di bilik belakang dalam keadaan mencurigakan. Ke semua suspek terlibat kemudiannya diserahkan kepada polis yang ketika itu berada di luar kawasan rumah.

Keadaan menjadi cemas apabila seorang suspek cuba melarikan diri ke dalam bilik air untuk membuang sesuatu ke dalam tandas.

Bagaimanapun perbuatannya itu berjaya disekat dan dia kemudiannya diserahkan kepada polis.

Semua suspek kemudiannya dibawa balik ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut. Ujian pantas saringan air kencing yang dijalankan mendapati semua suspek terlibat positif dadah.

Ketua Polis Kulim, Ghuzlan Saleh berkata, berdasarkan laporan diterima, seorang dari tiga suspek ditangkap akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952.

“Selain itu suspek yang memiliki heroin dan ganja mampat dipercayai pengedar yang mana mereka dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran di sekitar Taman Desa Aman dan kawasan berhampiran. Suspek akan ditahan reman bagi membantu siasatan, ”katanya.-SH

Kaki ponteng puasa dicekup

 

GURUN – Sekumpulan kaki ponteng puasa sanggup melarikan diri menggunakan laluan khas yang telah ditebuk untuk masuk ke kawasan larangan tangki air sebelum memanjat pagar setinggi tiga meter bagi mengelak daripada dicekup penguat kuasa.

Namun, sepandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua, apabila empat daripada mereka termasuk seorang daripadanya yang bersembunyi dalam tandas berjaya ditahan.

Pegawai Penguat kuasa Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin berkata, satu lokasi terletak dalam sebuah kawasan semak berhampiran tangki air dekat sebuah kawasan perusahaan yang dijadikan lokasi rahsia kaki ponteng puasa akhirnya dikesan.

Menurutnya, operasi bersepadu bersama pegawai dan kakitangan dari Pejabat Agama Islam Kuala Muda, sepasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah dan anggota Cawangan Penyiasatan Khas Tentera Kem Lapangan Terbang Sungai Petani melibatkan 27 anggota menjalankan operasi berkenaan sekitar Kuala Muda.

“Ketika serbuan dilakukan pada jam 12.52 tengah hari, didapati mereka yang terlibat berusia antara 19 dan 50 sedang menikmati hidangan tengah hari berdasarkan bekas berisi makanan dan minuman ditemui di kawasan terbabit.

“Didapati sekumpulan lelaki sedang asyik menikmati makanan di sebuah ‘gerai kecil’ dalam kawasan semak yang sedikit tersembunyi bertujuan mengaburi penguat kuasa,” katanya.

Beliau berkata, apabila diserbu, kesemua mereka melarikan diri melalui pagar yang telah ditebuk untuk menyeberangi kawasan tangki air sebelum memanjat semula pagar di bahagian hujung untuk melarikan diri ke kawasan rumah penduduk dan seterusnya memasuki kawasan ladang berdekatan.

“Bagaimanapun tindakan pantas penguat kuasa berjaya menahan empat daripadanya termasuk seorang lelaki yang bersembunyi dalam tandas rumah penduduk berhampiran.

“Seorang daripada mereka turut dikesan mengalami luka di tapak tangan kiri akibat terkena dawai pagar ketika cubaan melarikan diri dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka diberi surat amaran selain diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Kuala Muda untuk tindakan selanjutnya.-SH

Dapur dihempap tiga pokok



PANTAI JOHOR - Seorang ibu hampir dihempap pokok ketika sedang menyiapkan kuih sagu sebagai juadah berbuka puasa untuk keluarganya, kelmarin.

Pembantu kantin sekolah, Suhaila Ishak, 36, berkata, kuih sagu yang dimasak itu adalah permintaan anak sulung, Muhammad Saiful Izwan Ahmad Jamil, 13, yang akan pulang ke asrama.

Dia berkata, tiga pokok iaitu pokok mangga, keriang dan pinang telah menghempap hampir keseluruhan bahagian dapur dan tandas rumahnya.

Menurutnya, pada awalnya dia menyedari kejadian itu berlaku setelah melihat pokok buluh di luar rumahnya bergoyang.

“Sebelum ini saya tidak pernah melihat pokok buluh itu seolah-olah berpusing dan saya kemudiannya segera pergi ke bahagian ruang tamu kerana berasa bimbang dengan cuaca waktu itu.

“Beberapa minit selepas itu, saya terdengar seolah-olah ada sesuatu yang menghempap di bahagian dapur dan segera pergi ke dapur melihat apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Gunung.

Suhaila berkata, sebelum ini belum pernah kejadian seperti itu berlaku sejak 13 tahun mereka tinggal di kawasan berkenaan.

Dia berkata, dia bersyukur kerana sewaktu kejadian tiga anaknya dan suami Ahmad Jamil Abdul Halim, 36, berada di bahagian ruang tamu dan tidak berlakunya sebarang kemalangan.

Sementara itu, Ahmad Jamil berkata, dia juga terkejut dengan kejadian yang berlaku dan tidak menyangka pokok itu akan tumbang lalu menghempap rumahnya.

Menurutnya, dia sekeluarga kini terpaksa menumpang di rumah ibunya yang terletak bersebelahan dengan rumah mereka.

“Saya berharap ada pihak yang tampil membantu kami sekeluarga untuk membaiki bahagian dapur yang rosak itu bagi membolehkan ia digunakan semula.

“Pekerjaan saya dan isteri sebagai pembantu kantin sekolah bukanlah lumayan dan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan baiki rumah, tambahan pula terpaksa menyiapkan persiapan raya,” katanya.

Ahmad Jamil berkata, sekiranya ada pihak yang ingin membantu dia berasa amat bersyukur kerana boleh meringankan beban yang ditanggung.-SH

Penduduk panik tembok runtuh




SERDANG – “Hanya beberapa saat selepas saya nampak air mencurah-curah keluar dari sistem perparitan pangsapuri bersebelahan rumah didiami, tembok batu sepanjang hampir 30 meter itu runtuh menyembah bumi,” kata Tan Hua Aun, 53, penduduk pangsapuri Bayu, Bandar Bukit Serdang Seksyen 8 yang menyaksikan kejadian itu di sini, petang kelmarin.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 5.30 petang kelmarin itu berlaku sebelum dia sempat mengalihkan kereta yang diletakkan kurang satu meter dari situ menyebabkan kenderaan itu dihempap serpihan batu-bata.

“Ketika saya menjenguk ke tingkap untuk melihat keadaan hujan itulah kejadian tembok runtuh itu berlaku menyebabkan saya dan anak kemudian berlari ke tingkat bawah pangsapuri didiami untuk melihat keadaan kereta,” katanya.

Hua Aun berkata, dia percaya kejadian berlaku akibat kegagalan pemaju membina tembok dinding mengikut spesifikasi sepatutnya.

“Daripada mata kasar, kita boleh melihat strukturnya tidak mempunyai besi cerucuk yang sepatutnya mesti ada apabila membina konkrit batu seperti itu.

“Ini adalah kejadian pertama, selepas saya menduduki pangsapuri ini lapan tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pengurusan (MC) pangsapuri itu, Benny Heng melahirkan kerisauan akibat kejadian tembok runtuh kerana bimbang berlaku pergerakan tanah di kawasan berkenaan.

“Tembok runtuh ini mungkin satu hal namun yang paling dibimbangkan struktur tangki air dengan ketinggian lebih 30 meter itu pula yang menyembah bumi.

“Kami minta pihak bertanggungjawab supaya melihat perkara ini kerana sekiranya berlaku ia menjadi isu lebih besar kerana terletak kurang 20 meter dari pangsapuri yang kami diami,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Abdullah Marjunid berkata, pihaknya akan membantu membersihkan sisa konkrit tembok yang runtuh.

Menurutnya, kerja baik pulih bukan di bawah bidang kuasa majlis tetapi di bawah tanggungjawab MC pangsapuri itu.

“Bagaimanapun majlis akan mengesan semula perunding dan juga pemaju yang membina tembok berkenaan.

“Daripada pemerhatian awal mendapati ia dibina tanpa asas tanpa mengikut spesifikasi yang sepatutnya,” katanya yang mendakwa kejadian berlaku dipercayai akibat kegagalan struktur ditambah dengan keadaan cuaca hujan lebat, petang kelmarin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang turut meninjau lokasi itu berkata, daripada apa yang dilihat, ketika pembinaan tembok dibuat, pemaju tidak mengikut spesifikasi sepatutnya.

“Meskipun pangsapuri dibina sembilan tahun lalu dan MC baru ditubuhkan pada dua tahun lalu namun apabila kejadian ini berlaku, pemaju masih perlu bertanggungjawab untuk membaik pulih dan menanggung kosnya.

“Kos dianggarkan hampir RM50,000 untuk membina semula tembok dan membaik pulih sistem perparitan,” katanya majlis akan mengesan pemaju untuk membaik pulih tembok yang rosak.-SH

Sempat beli baju baru anak



CHENG - Hasrat seorang pemandu teksi untuk melihat anak-anaknya memakai pakaian baru sempena Aidilfitri ini tidak kesampaian apabila dia terbabit dalam kemalangan maut di persimpangan lampu isyarat Jalan Datuk Zain, Lebuh AMJ, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, Ismail Zainol Abidin, 45, meninggal dunia apabila teksi dipandunya bertembung dengan sebuah lagi kereta datang dari arah bertentangan.

Mangsa sebelum ini dikatakan bersungguh-sungguh membeli pakaian baru untuk anak-anaknya sebelum Ramadan lagi.

Malah, mangsa juga sudah merancang untuk pulang bersama keluarga beraya di kampung isterinya di Baling Kedah, serta di kampung mangsa di Kuala Ketil, Kedah.

Isteri Ismail, Shuraini Md Derani, 40, berkata, dia tidak sangka kesungguhan suaminya membeli baju baru untuk empat anaknya berusia lima hingga 13 tahun petanda akan pergi meninggalkan keluarga berkenaan.

“Arwah sudah menyediakan semua kelengkapan baju raya untuk anak-anak sejak sebelum bulan puasa lagi.

"Cuma kasut untuk anak-anak saja yang dia belum sempat beli,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Hospital Melaka, di sini semalam.

Shuraini yang turut hamil empat bulan berkata, suaminya sempat bersahur awal menikmati hidangan nasi ayam bersama keluarga sebelum keluar rumah di Taman Seri Kelemak, di sini kira-kira 3.30 pagi untuk memulakan kerja di Melaka Sentral.

“Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan, tetapi sempat menghulurkan wang kepada anak sulung sebagai belanja tambang bas untuk pulang ke asrama sekolah di Batu Berendam nanti.

“Saya mengetahui dia kemalangan selepas polis datang ke rumah kira-kira 5.40 pagi. Mula-mula saya tidak percaya dan menganggap polis salah orang tetapi apabila polis menyebut teksi dan nama penuh suami saya, saya tergamam,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia hanya mengetahui suaminya meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Melaka bersama jiran selepas selesai solat subuh.

Shuraini turut terkilan kerana arwah suaminya tidak sempat mengetahui jantina kandungan anak kelima yang bakal dilahirkan itu biarpun sebelum ini sudah merancang untuk bersama-sama ke klinik membuat imbasan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Asisten Supritendan V Gunasegaran berkata, kemalangan berlaku apabila teksi jenis Proton Iswara dipandu mangsa bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM yang dipandu seorang jururawat, Cynthia Lim Ching Gek, 24, dari Pusat Perubatan Mahkota, di sini.

“Ia menyebabkan teksi dari arah Alor Gajah menghala pusat bandaraya itu terbakar di bahagian hadapan.

“Kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing dan meninggal dunia di tempat kejadian, sebelum anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa,” katanya.

Gunasegaran berkata, kedua-dua mangsa cedera parah di badan dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-SH

Kambing nyaris dicuri



BALING - Seorang penduduk Kampung Kubang Panjang, Mariam Abdul Rahim hampir kerugian kira-kira RM1,000 apabila kambingnya nyaris dicuri selepas waktu berbuka puasa kira-kira jam 8 malam.

Mariam berkata, ketika kejadian dia berada di dapur dan pintu dapur rumahnya itu terbuka.

“Semasa saya membasuh pinggan, saya ternampak kelibat seseorang di kandang kambing yang hanya beberapa meter dengan rumah saya.

“Semakin lama, saya lihat kelibat lelaki itu semakin mencurigakan. Lelaki berkenaan seolah-olah mengepung kambing yang ketika itu berada di luar kandang. Saya menjerit ke arah lelaki itu,” katanya.

Menurutnya, menyedari tindakannya diperhatikan, lelaki itu masuk ke dalam kereta jenis Proton Saga yang berada di hadapan rumah Mariam.

“Saya ingatkan, kereta itu milik jiran-jiran, saya tidak sangka yang kereta itu adalah milik pencuri itu.

“Dalam kereta itu, ada seorang pemandu. Selepas pencuri masuk ke dalam kereta, pemandu berkenaan terus memecut keretanya,” katanya.

Menurutnya, dia amat terkejut, kerana pencuri berkenaan begitu berani kerana meletakkan kenderaan mereka di hadapan rumahnya.

“Mungkin pencuri itu merasakan saya sekeluarga sedang berbuka puasa

“Tahun ini saja, enam lembu saya saya hilang. Itu baru saya, belum lagi jiran-jiran. Pencuri di sini memang berani. Kadang-kadang, kita tidak sedar bahawa mereka itu adalah pencuri.

“Gaya mereka seperti orang biasa, kalau kita tidak kenal mereka. Mungkin kita ingat mereka adalah pemilik kepada haiwan ternakan yang dicuri,” katanya.

Mariam berkata, perkara ini perlu dipandang serius pihak berwajib untuk mengelakkan perkara sama berulang di kampung ini.

“Sekiranya pencuri ini masih bebas, maknanya haiwan ternakan di kampung ini berada dalam keadaan yang tidak selamat.

“Namun begitu, perkara yang paling saya risau adalah sekiranya pencuri ini berubah angin mencuri di dalam rumah pula. Ini, pastinya akan membahayakan seisi keluarga. Saya juga ingin berpesan kepada penduduk kampung supaya berhati-hati untuk mengelak sebarang masalah tidak dingini,” katanya.-SH

Tiga hari hutan terbakar



KUANTAN - Kebakaran hutan tanah gambut di Gebeng sejak tiga hari lalu kini merebak sehingga empat hektar memaksa seramai 27 anggota bomba dan penyelamat bekerja keras memadamkan api bagi mengelakkan lebih banyak kawasan terbakar.

Kawasan berdekatan kilang plastik itu terbakar sejak tiga hari lalu namun setakat ini hanya 1.2 hektar berjaya dipadamkan.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Gebeng, Japari Tajudin berkata, keadaan cuaca yang panas terik dan ketiadaan hujan menyukarkan pemadaman api di kawasan kebakaran.

“Kebakaran yang berlaku di tanah gambut menyukarkan pemadaman kerana tanahnya panas dan akan mengeluarkan api setiap kali angin bertiup,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Gebeng, semalam.

Menurutnya, bomba menerima panggilan dari kakitangan kilang berdekatan Khamis lalu memaklumkan kebakaran itu tetapi punca sebenar masih dalam siasatan.

Katanya, operasi membabitkan empat jentera, dua pili bomba dan dua pam angkut yang mengepam air dari parit kecil yang ada di kawasan ini.

“Pembahagian tugas memadamkan kebakaran dibahagikan kepada empat sektor supaya api dapat di kawal dan tidak merebak lebih jauh selain untuk memantau keadaan di lokasi,” katanya.

Japari berkata, selain anggotanya, operasi pemadaman dibantu anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan kakitangan Petronas MTBE.

Beliau turut menasihatkan lebuh raya dari Gebeng menghala ke Sungai Ular berhati-hati ketika memandu pada waktu malam kerana asap tebal akan mengehadkan penglihatan pemandu.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuang puntung rokok atau melakukan pembakaran terbuka pada musim panas bagi mengelakkan kebakaran,” katanya.-SH

Jumpa mayat ketika joging



SERDANG – Orang ramai yang berjoging di kawasan rekreasi puncak Bukit Serdang di sini gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki lengkap berpakaian terbaring di situ, pagi semalam.

Mangsa yang berasal dari Kampung Bercham Ipoh dipercayai meninggal dunia ketika berjoging di situ kira-kira jam 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Abd Razak Elias berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai yang memaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa sebelum sepasukan anggota polis tiba di tempat kejadian.

“Mangsa dikenali sebagai Choong Kong Chong, 58 berasal dari Ipoh Perak dan bekerja sebagai tukang penghawa dingin.

“Pemeriksaan di tempat kejadian dan keadaan mayat mendapati tiada unsur jenayah dapat dikaitkan dengan kematiannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, setakat ini kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.-SH

Asrama musnah dijilat api



JITRA - Tinggal sehelai sepinggang. Begitulah nasib 71 pelajar lelaki asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman di sini selepas empat dari enam bilik di blok asrama lelaki sekolah itu hangus dijilat api dalam satu kebakaran kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Semua mereka yang ketika itu sedang berehat selepas waktu persekolahan semalam bagaimanapun selamat selepas masing-masing diarahkan keluar oleh warden asrama ke tempat yang lebih selamat.

Pengusaha Dewan Makan Asrama sekolah tersebut, Zaidi Mohamad, 38, berkata, pada mulanya dia yang terdengar bunyi letupan kecil segera meninjau keluar sebelum ternampak asap berkepul dari arah bangunan dua tingkat asrama pelajar lelaki terbabit.

Menurutnya, dia segera memaklumkan perkara itu kepada warden asrama sebelum semua pelajar lelaki berkenaan diarahkan keluar dari blok asrama mereka.

“Sewaktu kejadian saya sedang sibuk menyediakan makanan untuk berbuka kepada semua penghuni asrama di sekolah ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

SMK Tunku Anum yang juga Sekolah Sukan Negeri itu mempunyai sebuah blok asrama lelaki yang memuatkan 100 pelajar, bagaimanapun hanya 71 pelajar lelaki yang berada di situ sewaktu kejadian.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Mansor Lat yang turut ditemui di tempat kejadian berkata, pihaknya bersyukur kerana semua pelajar selamat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurutnya, buat sementara waktu semua pelajar terbabit akan ditempatkan di blok lain di sekolah berkenaan bagi meneruskan pembelajaran mereka seperti biasa.

“Kita akan mengambil langkah susulan bagi memastikan semua pelajar yang terlibat dalam kebakaran dapat meneruskan pembelajaran mereka tanpa menjejaskan konsentrasi masing-masing.

“Semua pakaian dan buku-buku yang musnah dalam kebakaran juga akan diuruskan dengan segera tanpa menjejaskan pembelajaran pelajar terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Mohd Isa berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.31 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian seminit selepas menerima panggilan dan tiba di lokasi jam 3.40 petang.

Menurutnya, sewaktu tiba di lokasi kejadian api marak dapat dilihat di bahagian tengah asrama itu.

“Api dapat dipadamkan dalam tempoh 18 minit dengan kerja pemadaman melibatkan lima buah jentera termasuk sebuah lori tangki air dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar dengan bantuan lapan pasukan dari balai bomba sukarela

“Bagaimanapun punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.-SH

Terbabas elak motosikal



ALOR GAJAH - Dua remaja nyaris maut apabila kereta dinaiki terbabas merempuh sebatang tiang elektrik di Jalan Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, kereta jenis Perodua Myvi dipandu Mohd Ikhwan Jasmimi, 21, bersama rakan, Siti Nuramirah Syahirah Abd Aziz, 18, dari arah Kuala Sungai Baru menuju ke Tanjung Agas cuba mengelak dari melanggar sebuah motosikal.

Menurut Mohd Ikhwan, ketika tiba di laluan berkenaan, muncul sebuah motosikal hendak memotong sebuah kereta di hadapan hingga memasuki laluan bertentangan menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan lalu mengelak ke kiri jalan.

“Motosikal itu memasuki laluan dan tiada pilihan, saya terpaksa mengelak ke kiri jalan raya. Saya bernasib malang apabila terdapat sebatang tiang elektrik dan terpaksa merempuhnya sebelum tiang itu patah melintangi jalan.

“Setelah terbabas ke kiri jalan, saya terpaksa mengawal kenderaan dari memasuki parit dan terus melintasi laluan bertentangan,” katanya.

Mohd Ikhwan yang tinggal di Rembau, Negeri Sembilan dikatakan dalam perjalanan menghantar Siti Nuramirah dari Kolej Matrikulasi Kuala Pilah ke rumahnya untuk bercuti hujung minggu.

Mohd Ikhwan berkata, dia panik sebaik kereta hilang kawalan dan bersyukur kerana kedua-dua mereka memasang tali pinggang keledar.

“Kami bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan. Sebaik kereta naik semula ke atas jalan raya dan melintasi jalan bertentangan di kanan jalan, saya bimbang sekiranya terdapat kenderaan lain merempuh kami.

“Saya terus berhentikan kereta sebaik berada di tepi jalan laluan bertentangan,” katanya.

Berikutan kemalangan terbabit menyebabkan sebatang tiang elektrik patah dua dan melintangi jalan raya.

Anggota Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tiba tidak berapa lama selepas itu berjaya mengalihkannya bagi melancarkan laluan di situ.-SH

‘Saya lihat mangsa masih bernyawa’



MELAKA – Pengalaman pahit terlibat dalam kemalangan sehingga tidak sedarkan diri selama dua hari dalam longkang menyebabkan seorang pemuda nekad membantu dua mangsa yang tersepit dalam dua kenderaan berasingan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Datuk Zain, Lebuh AMJ, di sini, awal pagi semalam.

Mohd Zulkefli Mohd Ali, 22, berkata, dia yang dalam perjalanan ke tempat kerja di pasar borong di Batu Berendam terdahulu melihat sebuah teksi meluncur laju melepasi lampu isyarat yang bertukar hijau sebelum tiba-tiba dirempuh sebuah kereta Proton Saga BLM dari arah hadapan.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian dia melihat kedua-dua mangsa tersepit sebelum menyedari terdapat kebakaran di sebelah kanan bahagian hadapan teksi.

“Saya kemudian terus berlari ke arah stesen minyak di hadapan tempat kejadian dan meminta kepada pekerja di situ untuk menggunakan alat pemadam api sebelum meminta orang awam yang lain membantu memadamkan api pada teksi tersebut.

“Dalam pada masa yang sama saya melihat pula keadaan wanita yang memandu Proton Saga BLM masih bernyawa menyebabkan saya memecahkan cermin keretanya dengan menggunakan topi keledar. Bagaimanapun tekanan nadi mangsa sangat rendah sebelum meninggal kira-kira dua minit selepas itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Mohd Zulkefli berkata, kemalangan itu mengingatkan kejadian membabitkan dirinya apabila pernah pengsan selama dua hari akibat kemalangan di Kuala Lumpur, serta terkilan tidak dapat membantu abang iparnya yang tersepit semasa terlibat kemalangan hingga membawa kepada kematian.

“Itu sebab apabila kejadian sama berlaku di hadapan mata, saya tak fikir panjang dan terus nak selamatkan mereka, walaupun harapan tipis,” katanya.-SH

Sembunyi mercun dalam rumah



KEMAMAN – Taktik penganggur menyembunyikan mercun dalam rumah terbongkar selepas diserbu polis awal pagi semalam sehingga membawa kepada rampasan sebanyak enam guni mercun pelbagai jenis, dianggarkan bernilai RM3,000 sekali gus sebagai rampasan terbesar bahan letupan dalam tempoh dua tahun di daerah ini.

Susulan rampasan itu yang juga rampasan mercun pertama sepanjang Ramadan bagi daerah Kemaman, suspek berumur 24 tahun turut ditahan dan akan dituduh di mahkamah hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, sepasukan anggota polis yang diketuai Ketua Balai Polis Kerteh, Inspektor Jamali Abu Bakar menyerbu sebuah rumah di kawasan Perumahan Awam Kos Rendah Paka (PAKR), di Kampung Baru Kerteh, di sini, kira-kira jam 1 pagi selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui sebanyak enam guni mercun pelbagai jenis termasuk mercun bola dan naga.

“Kita percaya mercun ini untuk dijual di pasaran tempatan iaitu untuk dijual di pasar malam,” katanya.

Abdullah Sani berkata, bagaimanapun, punca bekalan diperoleh masih lagi dalam siasatan.

“Dengan tertangkapnya penganggur ini, ia juga menjadi rampasan pertama mercun menjelang musim perayaan Aidilfitri tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demi-kian pada sidang media tergempar di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan huku-man penjara selama tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Katanya, polis akan meneruskan pemantauan penjualan mercun di seluruh daerah ini termasuk di kawasan bazar Ramadan.

Sehubungan itu, Abdullah Sani mengingatkan orang ramai agar tidak sekali-kali cuba mengaut keuntungan lumayan dengan menjual mercun kerana selain penjualannya mendatangkan mudarat kepada masyarakat, pe-ngedar dan penjualnya juga akan dikenakan hukuman.

“Ibu bapa juga perlu memantau dan melarang anak mereka daripada membeli mercun kerana kita tidak mahu musim perayaan terus disulami kisah sedih membabitkan keja-dian ngeri akibat bermain mercun seperti jari hancur dan sebagainya,” katanya.-SH

UPP rampas jeans tiruan



TUMPAT – Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan berjaya merampas pelbagai jenis barang seludup bernilai RM609,350 termasuk 7,394 helai seluar jeans tiruan berjenama yang diseludupkan dari negara jiran.

Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid berkata, rampasan pertama dalam Operasi Ops Raya dan Letup 01/2011 bermula 9 Ogos lalu, merampas 1,394 helai seluar jeans tiruan ketika pemeriksaan dibuat ke atas 110 bas ekspres dan dua treler menghala ke Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu dalam sekatan di Stesen Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Mentara Gua Musang dan hadapan Balai Polis Bukit Yong, Pasir Puteh.

“Dalam operasi selama tiga hari itu yang berakhir 11 Ogos lalu, UPP turut merampas 14,000 pil kuda bernilai RM280,000, beras seberat 35 tan yang dibawa dengan treler bernilai RM77,000, mercun lima kotak bernilai RM3,400, kain batik bernilai RM3,600 dan 354 helai tudung bernilai RM7080,” katanya pada sidang media di Pejabat UPP Pengkalan Kubor, semalam.

Dalam masa sama, seorang lelaki Melayu berumur 30 tahun yang menaiki bas terbabit ditahan untuk siasatan apabila memiliki pil kuda tersebut dan kes ini diserahkan kepada Bahagian Narkotik.

Sementara itu, katanya, dalam rampasan kedua pada 12 Ogos, sepasukan UPP Pengkalan Kubor berjaya menahan sebuah lori jenis Hicom di Kilometer 5, Jalan Gua Musang-Kuala Krai membawa 6,000 helai seluar jeans berjenama.

Katanya, dalam kejadian 2.30 petang, lori terbabit yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur berjaya ditahan dan pemeriksaan lanjut menemui seluar jeans tiruan itu untuk pasaran Aidilfitri.

“Pemandu berumur 45 tahun dan Kelindan 50 tahun ditahan untuk siasatan lanjut dan kes ini diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

“Seluar jeans bernilai RM208,270 melibatkan 7,394 helai bagi kedua-dua kes tersebut dirampas, lori jenis Hicom juga turut dirampas,” katanya.

Menurutnya, seramai 31 anggota terdiri daripada UPP Pengkalan Kubor dan UPP Bukit Bunga yang diketuainya sendiri terlibat dalam Operasi Ops Raya dan Letup 01/2011, dan hasil operasi tersebut berjaya merampas pelbagai barang seludup dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM609,350.
-SH

Pengedar dadah mati ditembak



KAJANG – Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah, mati ditembak polis di sebuah rumah di Apartmen Flora, Taman Impian Ehsan Balakong, dekat sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, berlaku insiden tembak menembak di antara suspek dan polis yang melakukan serbuan di rumah berkenaan, dipercayai menjadi transit kegiatan pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abd Wahab berkata, ketika serbuan, lima suspek termasuk seorang wanita yang berada di perkarangan rumah tidak sempat lari, berjaya diberkas, manakala dua lagi suspek bertindak melarikan diri dan bersembunyi dalam bilik rumah berkenaan.

Menurutnya, polis kemudiannya cuba memujuk suspek lelaki dan perempuan itu menyerah diri, namun keengganan mereka keluar dari bilik berkenaan berlarutan hampir tiga jam.

“Setelah hampir tiga jam, kami memujuk mereka, hanya suspek wanita keluar menyerah diri manakala suspek lelaki enggan berbuat demikian, malah telah melepaskan tembakan ke arah anggota kami,” katanya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam.

Abdul Rashid berkata, ia disusuli kejadian berbalas tembakan dengan dua das mengenai tubuh suspek, manakala tujuh das tembakan yang dilepaskan suspek ke arah polis tersasar.

Lelaki berusia 34 tahun itu, mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

“Suspek yang mati dipercayai baru tinggal di rumah berkenaan dan berdasarkan siasatan awal, rumah sewa berkenaan didiami hampir empat tahun oleh pasangan suami isteri yang turut ditahan bersama enam yang lain.

“Kesemua suspek yang ditahan, berumur lingkungan 22 dan 47 tahun dan hasil pemeriksaan dalam bilik berkenaan, polis menemui dua pucuk pistol jenis Revolver .22mm dan Glock, sepucuk pistol mainan, senjata tajam telah diubahsuai, komputer riba dan dadah serta peralatan menghisap dadah dan mereka termasuk suspek yang mati didapati positif dadah,” katanya.-SH

Penjaga letak kereta dipenjara, disebat kerana menipu



KUALA LUMPUR - Seorang penjaga tempat letak kereta dijatuhi hukuman penjara setahun lapan bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menipu seorang buruh RM6,000 pada Februari tahun lepas.

Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir menjatuhi hukuman itu terhadap Mustafa Kamal Hassim, 35, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah hari ini terhadap tuduhan menipu A.M. Sushila, 49, dengan memperdayakannya bahawa dia boleh membantu membebaskan anak lelaki wanita itu bernama
J.Tygarajan, 24, dari Penjara Sungai Buloh sehingga mendorong Sushila menyerahkan RM6,000 kepadanya.

Bapa kepada dua orang anak itu dituduh melakukan kesalahan itu di Blok B-11-15, PPR Taman Mulia, Jalan Budiman, Bandar Tun Razak, Cheras pada satu tarikh antara Februari dan Mac 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA,SH

Bunyi tembakan senjatapi disangka mercun



KULIM - Seorang lelaki yang menyangka bunyi letupan yang didengarnya awal pagi ini adalah mercun terkejut apabila mendapati pintu rumah, kereta dan pagar rumahnya ditembusi peluru dari tembakan senjata api, pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim DSP Chin Soo Song berkata lelaki berumur 54 tahun itu yang merupakan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tidak menghiraukan bunyi letupan yang didengarnya kerana menyangka ia bunyi orang bermain mercun di hadapan rumahnya di Taman Pegaga, kira-kira pukul 3 pagi.

Beliau berkata semasa keluar dari rumah kira-kira 6.30 pagi ini beliau terperanjat apabila mendapati beberapa kesan tembakan dikesan di pintu utama rumahnya, di bonet dan belakang kereta Toyota Altis, di pintu pagar rumah dan bahagian tepi rumah.

Menurutnya sepasukan anggota polis bergegas ke rumah lelaki itu selepas menerima laporan, dan siasatan awal mendapati terdapat sembilan kesan peluru pada beberapa bahagian rumah dan kereta lelaki itu.

Chin seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis atau Ibu Pejabat Polis Kulim dengan menelefon 04-4906222. - BERNAMA-SH

Misteri kehilangan lembu terjawab






Mustafa Awang memegang ubat pelali yang ditembak pada lembunya oleh pencuri di Kampung Semangat, Kuantan, semalam. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH


KUANTAN 14 Ogos – Seorang penternak kerugian lebih RM112,000 sejak dua tahun lalu apabila kira-kira 30 ekor kerbau dan lembu miliknya menjadi sasaran pencuri bersenjatakan senapang pelali.
Mustafa Awang, 53, berkata, dia tidak menyangka haiwan ternakannya menjadi sasaran pencuri sehingga dia sendiri melihatnya dalam kejadian di Kampung Semangat di sini, semalam.
“Kira-kira pukul 1 petang, saya sendiri menyaksikan tiga lelaki menaiki sebuah kereta Perodua Viva berwarna hitam menembak seekor lembu saya.
“Apabila menyedari kehadiran saya, kumpulan perompak itu segera melarikan diri tanpa sempat memeriksa lembu yang ditembak ubat pelali itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Menurut Mustafa, dia segera memeriksa lembu yang terbaring di tepi jalan raya dan mendapati terdapat ubat pelali yang terpacak di badan haiwan berkenaan.
“Penemuan ini merungkai kehilangan kira-kira 30 ekor kerbau dan lembu milik saya sejak dua tahun lalu.
“Saya tidak sangka mereka sanggup menggunakan ubat pelali untuk mencuri dan yang menjadi kemusykilan ialah bagaimana mereka mendapat bekalan ubat pelali itu,” ujarnya yang masih mempunyai 50 ekor kerbau dan 92 ekor lembu.
Dia sebelum ini pernah menemui tulang-tulang dan sisa sembelihan di sekitar hutan serta semak di kampung tersebut selain turut mengesyaki ia adalah haiwan ternakannya yang hilang.
“Sejak dua tahun lalu, bilangan kehilangan ternakan meningkat setiap kali tiba bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Mungkin daging ternakan itu dijual di pasar-pasar sekitar Pekan dan Kuantan untuk kegunaan orang ramai,” katanya yang akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.-utusan

414 orang awam beri rasuah ditahan



KUALA LUMPUR 14 Ogos - Seramai 414 orang awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana cuba memberi rasuah kepada anggota dan pegawai penguat kuasa, sepanjang tahun lalu.
Tiga agensi penguat kuasa yang tertinggi dilaporkan ditawarkan rasuah dalam tempoh itu adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), diikuti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen.
Menurut Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali, daripada jumlah yang ditahan itu, seramai 185 orang awam telah diambil tindakan mahkamah tahun ini.
"Sebahagian lagi, kita masih mengemukakan laporan kepada timbalan pendakwa raya untuk didakwa di mahkamah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian sijil penghargaan kepada 37 anggota dan pegawai JPJ yang menolak tawaran rasuah daripada orang awam pada tahun ini.
Menurut Mustafar, beliau berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan kesemua agensi kerajaan yang telah menunjukkan sikap kerjasama dalam mencegah rasuah.
"Malah empat tahun kebelakangan ini menunjukkan trend pemberi rasuah lebih ramai dikenakan tindakan berbanding penerima rasuah khususnya di kalangan pegawai kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau memuji 37 anggota dan pegawai JPJ terlibat kerana telah menunjukkan integriti yang tinggi.
"Sejak tahun lalu seramai 40 orang awam telah ditahan kerana cuba memberi rasuah kepada pegawai JPJ bagi menutup kesalahan yang dilakukan.
"Malah di atas nilai integriti dan komitmen yang tinggi di kalangan mereka itu juga membolehkan matlamat mengurangkan kadar rasuah dapat dicapai," katanya.-utusan

Dua beradik maut 2 kereta bertembung



BATU PAHAT 14 Ogos - Dua beradik terbunuh manakala seorang lagi parah apabila kereta yang mereka naiki hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dekat Parit Guntong, Semerah, semalam.
Mangsa, Afifi Nazri, 16, yang memandu kereta Perodua Kancil itu dan adiknya, Maisarah Nazri, 9, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.
Ketika kejadian pukul 8.25 pagi, Afifi, pelajar Sekolah Menengah Vokasional Batu Pahat dalam perjalanan dari arah Semerah-Batu Pahat untuk menghantar Maisarah ke pusat tuisyen dekat Parit Bisu.
Seorang penumpang wanita yang merupakan isteri kepada pemandu MPV berkenaan patah tulang belakang manakala lelaki itu dan dua anak mereka terselamat.-utusan

Kebakaran: 16 tinggal sehelai sepinggang




MANGSA termenung mengenangkan nasib selepas rumah yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Jawa, Tawau, kelmarin.


TAWAU 14 Ogos - Hasrat sebuah keluarga untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di sini, dengan pakaian baru yang disediakan lebih awal, berkecai apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Jawa di sini, malam tadi.
Kebakaran yang dipercayai bermula kira-kira pukul 8 malam itu mengakibatkan semua 16 ahli keluarga berkenaan tinggal sehelai sepinggang.
Mangsa, Adawiyah Lambong, 56, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barang berharga termasuk pakaian baru untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana semasa kejadian berada di masjid berhampiran.
"Sebaik sahaja menerima panggilan kejadian itu, saya berlari ke rumah tetapi malangnya api marak begitu cepat.
"Saya amat sedih kerana semuanya telah musnah dalam sekelip mata termasuk persediaan kami untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tetapi bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat," katanya di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzex berkata, dua buah jentera dan 21 anggota dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 8.22 malam dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 8.39 malam.-utusan

Kereta guru terbakar




Mohd. Naim Mahad (kanan) melihat keretanya yang terbakar berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, kelmarin.


JERANTUT 14 Ogos – Seorang guru agama bersama rakannya terselamat apabila kereta yang mereka naiki tiba-tiba terbakar berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 6 petang itu, Mohd. Naim Mahad, 24, bersama rakannya yang dikenali sebagai, Abdullah, 25, dalam perjalanan menunaikan solat Asar di surau balai bomba berkenaan.
Mohd. Naim ketika ditemui berkata, ketika kejadian, dia baharu sahaja mengambil keretanya yang siap dibaiki di sebuah bengkel, di sini.
“Selasa lalu saya hantar kereta untuk dibaiki kerana mengalami masalah kebocoran tangki air dan brek sebelum mengambilnya pukul 5.30 petang tadi (semalam).
“Mekanik memaklumkan bahawa banyak bahagian telah dibaiki kerana rosak, selepas itu saya terus ke balai bomba berkenaan untuk menunaikan solat Asar sebelum merancang pulang berbuka puasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Mohd. Naim, sebaik sahaja memasuki simpang menghala ke balai bomba berkenaan, keretanya tiba-tiba berhenti dan mengeluarkan asap berkepul-kepul.
Dia yang mengajar di Madrasah Tahfiz Darul Izzah, Batu Balai dekat sini, bergegas keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri.
“Saya lihat api keluar berhampiran stereng kereta dan terus berlari untuk meminta bantuan di balai bomba berkenaan,” ujarnya yang berasal dari Selangor.
Mohd. Naim memberitahu, tindakan pantas pihak bomba berjaya memadamkan api sebelum menghubungi semula mekanik yang membaiki keretanya untuk memaklumkan kejadian tersebut.
“Mekanik terbabit datang dan melihat keadaan kereta yang terbakar di bahagian depan dengan cerminnya pecah. Mekanik tersebut memberitahu kebakaran dipercayai akibat masalah pendawaian.
“Walaupun terkilan kerana kereta ini baharu sahaja siap dibaiki namun saya bersyukur kerana terselamat dan terima kasih kepada pihak bomba yang memadam api dengan pantas,” jelasnya.-utusan

Dua ditahan bantu siasatan kes bunuh




Mayat Zainab Che Kob ditemui dalam longkang di Kilometer 6, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, kelmarin selepas dipercayai dibunuh.


KOTA BHARU 14 Ogos - Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang suri rumah berusia 41 tahun dengan kesan kecederaan di kepala dalam longkang tepi jalan di Kilometer 6, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, semalam.
Mangsa, Zainab Che Kob ditemui oleh orang ramai dalam keadaan lengkap berpakaian pukul 11.20 pagi.
Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kedua-dua lelaki itu berusia 30 dan 31 tahun serta ada pertalian keluarga dengan mangsa, ditahan kira-kira pukul 9 malam tadi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini.
Jalaluddin berkata, sepasukan polis telah bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima maklumat orang awam berhubung penemuan mayat tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan luka sepanjang sembilan sentimeter pada bahagian kiri kepala mangsa.
Katanya, polis turut menemui sehelai seluar dalam dipercayai milik mangsa kira-kira dua meter daripada mayatnya ditemui.
"Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan turut dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.
"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya," katanya.-utusan

Dapur musnah dihempap tiga batang pokok



ALOR SETAR 14 Ogos - Seorang ibu tidak sempat memasak kuih sagu sebagai hidangan berbuka puasa apabila bahagian dapur serta bilik air rumah mereka di Kampung Alor Gunung di sini, dihempap tiga batang pokok dalam kejadian ribut, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, Suhaila Ishak, 36, yang berada di dapur ketika kejadian sempat melarikan diri ke bahagian ruang tamu rumah bersama tiga anak serta suaminya dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Suhaila berkata, ketika hujan lebat beserta angin kencang melanda, dia sedang sibuk memasak kuih sagu di dapur untuk hidangan berbuka puasa mereka sekeluarga.
"Kuih ini anak sulung saya minta buat kerana dia hendak pulang ke asrama petang ini dan memang kuih ini jadi kegemaran kami sekeluarga.
"Ketika saya memasak di dapur terdengar bunyi seperti dahan pokok patah dan bila saya tinjau di luar dapur saya nampak pokok mempelam, pokok pinang dan pokok keriang condong ke arah dapur rumah saya," katanya ketika ditemui di Kampung Alor Gunung di sini, semalam.
Menurutnya, selepas menyedari keadaan itu dia terus melarikan diri ke ruang tamu rumahnya.
"Sebaik sahaja sampai di ruang tamu rumah, ketiga-tiga batang pokok itu tumbang menghempap dapur dan bilik air. Saya sedih kerana tidak sempat memasak hidangan berbuka puasa untuk kami sekeluarga dan terpaksa menumpang di rumah ibu buat sementara waktu," ujarnya.
Jelasnya, dia dan suami hanya bekerja kontrak sebagai pembantu kantin sekolah serta pendapatan mereka hanya cukup untuk belanja harian.
"Kami risau bagaimana hendak mendapatkan wang untuk membaiki bahagian dapur tambahan pula Hari Raya Aidilfitri semakin hampir. Kami harap ada pihak yang sudi membantu untuk membaiki bahagian dapur dan bilik air rumah kami," tambahnya.-utusan

71 pelajar tinggal sehelai pinggang, asrama terbakar




Anggota Bomba dan Penyelamat Sukarela membantu memadam kebakaran di blok Asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anom Tunku Abdul Rahman di Jitra, Kedah, semalam.


KUBANG PASU 14 Ogos - Seramai 71 penghuni asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, Jitra di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila empat daripada enam bilik asrama itu musnah dalam kebakaran hari ini.
Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, semua barangan keperluan termasuk pakaian pelajar tingkatan satu hingga lima terbabit hangus.
Pengusaha kantin sekolah itu, Zaidi Muhammad, 38, berkata, ketika kejadian dia sedang memasak di dewan makan yang terletak berhampiran asrama putera itu.
"Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan kecil dan saya terus meninjau keadaan di luar dewan makan ini.
"Saya ternampak kepulan asap keluar dari tingkat atas asrama putera itu lalu terus memaklumkan kepada warden asrama. Dia mengarahkan semua penghuni asrama keluar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran Negeri, Mansor Latt berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku dalam kebakaran tersebut.
"Semua pelajar selamat dan akan ditempatkan di bangunan lain di sekolah tersebut buat sementara waktu.
"Pihak kami akan mengambil langkah yang bersesuaian untuk memastikan kesemua pelajar terlibat dapat meneruskan pelajaran dengan selesa," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Mat Isa berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 3.31 petang dan berjaya mengawal api kira-kira 18 minit kemudian.
"Empat buah jentera bomba dan satu lori tangki air dikejarkan ke tempat kejadian bersama 87 anggota termasuk dari bomba sukarela," katanya dan memberitahu punca serta kerugian masih disiasat.-utusan

Barang seludup RM600,000 dirampas



TUMPAT 14 Ogos - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan merampas pelbagai jenis barangan yang cuba diseludup masuk ke negara ini bernilai RM609,350 dalam operasi selama tiga hari, bermula Selasa lalu.
Komandernya, Mazlan Che Hamid berkata, operasi yang disertai 31 anggotanya dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Ops Raya di Stesen Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Mentara, Gua Musang dan Ops Letup di hadapan Balai Polis Bukit Yong, Pasir Puteh.
Beliau berkata, dalam Ops Letup pihaknya turut memeriksa 110 buah bas ekspres dan mendapati pelbagai barangan seludup termasuk pil kuda, cuba dibawa keluar menggunakan pengangkutan awam itu.
Mazlan berkata, pada hari terakhir operasi, anggotanya merampas 6,000 helai seluar jean berjenama Levi Strauss & Co dipercayai tiruan bernilai RM180,000 yang dimuatkan dalam sebuah lori.
Tambahnya, kejayaan tersebut menjadikan rampasan keseluruhan seluar jean berjenama tiruan sehingga kini berjumlah 7,394 helai dengan nilai RM208,270.
Beliau memberitahu, dalam operasi itu juga pihaknya merampas barangan lain seperti mercun pelbagai jenis bernilai RM3,400, kain batik (RM3,600) dan 354 helai tudung (RM7,080).-utusan

Pemandu teksi maut lepas sahur





ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat Ismail Zainol Abidin seorang pemandu teksi yang maut dalam kemalangan jalan raya di lampu isyarat simpang tiga Jalan Datuk Md. Zin, Lebuh AMJ, Cheng, Melaka, semalam.


MELAKA 14 Ogos - Seorang pemandu teksi dan seorang jururawat terbunuh apabila dua kereta yang dipandu mereka terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Datuk Md. Zin, Lebuh AMJ, Cheng, di sini awal pagi ini.
Pemandu teksi jenis Proton Iswara itu ialah Ismail Zainol Abidin, 45, dan jururawat Hospital Mahkota, Cynthia Lim Ching Gek, 24, yang memandu Proton Saga BLM.
Ketika kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, Ismail dalam perjalanan dari Alor Gajah ke Melaka Sentral, manakala Ching Gek pula dari arah bertentangan.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Asisten Supritendan V. Gunasegaran berkata, sebaik sahaja tiba di persimpangan itu, Proton Saga membelok ke arah Batu Berendam dan ketika itulah teksi tersebut telah melanggar kereta terbabit.
"Pemandu kedua-dua kenderaan itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, isteri Ismail, Suraini Md. Derani, 40, berkata, suaminya baru bersahur bersamanya dan empat anak mereka di rumahnya di Taman Sri Kelemak, Alor Gajah di sini, pukul 3.30 pagi.
"Kami bersahur bersama tetapi arwah tidak menunjukkan tanda-tanda pelik dan cuma makan sedikit sahaja hidangan nasi ayam dan makanan lain yang dibeli di bazar Ramadan.
"Arwah kemudian keluar untuk memandu teksi, namun pukul 5.40 pagi saya terkejut apabila anggota polis datang ke rumah memaklumkan suami saya kemalangan dan berada di hospital," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka di sini hari ini.
Tambahnya, semasa dalam perjalanan ke hospital, dia mendapat panggilan daripada pihak polis yang memaklumkan suaminya telah meninggal dunia.
"Saya terus menjadi lemah, tak tahulah bagaimana hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini, tambahan pula bila mengenangkan arwah telah membuat persiapan awal membeli pakaian raya anak-anak tahun ini," katanya menahan sebak.
Arwah yang meninggalkan isteri dan empat anak berusia lima hingga 13 tahun akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelemak, selepas Asar, petang ini.-utusan

Pengedar dadah ditembak mati


AB. RASyID Ab. Wahab (dua dari kanan) menunjukkan senjata tajam, dadah, pistol dan barang-barang lain yang dirampas dalam serbuan di sebuah unit kediaman di Pangsapuri Flora, Balakong, Selangor pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor, semalam.



KUALA LUMPUR 14 Ogos – Polis menembak mati seorang pengedar dadah dan memberkas enam yang lain termasuk dua wanita selepas berbalas tembakan dalam serbuan di sebuah unit kediaman di Pangsapuri Flora, Balakong, dekat sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, polis turut merampas 200 gram dadah jenis heroin, ganja dan syabu bernilai RM500,000, dua pucuk pistol jenis Glock dan Revolver dan sepucuk pistol tiruan.
Selain itu, dua buah kereta BMW dan Mitsubishi dan empat buah komputer riba turut dirampas.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rasyid Ab. Wahab, suspek dan seorang wanita bertindak melarikan diri ke dalam sebuah bilik sejurus sepasukan anggota polis menyerbu masuk rumah tersebut.
Katanya, ketika itu, terdapat tujuh orang di ruang tamu rumah termasuk dua wanita.
“Suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah rogol, dipujuk agar menyerah diri namun enggan dan bertindak menembak ke arah anggota polis.
“Polis yang bertindak balas, telah melepaskan tembakan dan mengenai perut serta tangan suspek mengakibatkan lelaki itu terbunuh,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dekat sini hari ini.
Beliau berkata, wanita yang berada bersama suspek, bagaimanapun berjaya dipujuk keluar untuk menyerah diri.
Katanya, ujian air kencing terhadap enam suspek yang ditahan berusia 22 hingga 47 tahun itu didapati positif dadah.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung,” ujarnya.
Menurutnya, mayat suspek dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.-utusan

Lelaki amuk deposit RM300 tak dipulangkan

KUALA LUMPUR: Berang permintaannya untuk mendapatkan semula wang pendahuluan sebanyak RM300 tidak dilayan, seorang lelaki mengamuk sebelum memukul pekerja kedai telefon bimbit dan mengacu pisau di sebuah kedai di Cheras, di sini.
Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang Jumaat, pekerja kedai telefon bimbit berusia 23 tahun didatangi lelaki itu yang minta dipulangkan semula wang pendahuluannya kerana dia tidak jadi membeli telefon bimbit yang ditempah.

“Pekerja kedai itu memberitahu dia tidak boleh menyerahkan wang itu selagi tidak mendapat keizinan majikan dan kenyataan itu menyebabkan suspek tidak berpuas hati.

“Suepek meminta supaya wang pendahuluannya dipulangkan segera. Apabila permintaannya tidak dipenuhi dia naik angin dan terus menumbuk muka mangsa selain mengeluarkan pisau mengugut mangsa supaya menyerahkan wang itu jika tidak mahu dicederakan,” katanya.

Menurutnya, suspek juga memberitahu dia akan memanggil kumpulan samseng datang membuat kacau di sini dan memukulnya menyebabkan mangsa ketakutan.

Mangsa memaklumkan kejadian itu kepada majikannya sebelum membuat laporan di Balai Polis Pudu di sini.
-hmetro

Tunggu tambang, dapat mayat

SEREMBAN: “Saya sememangnya tidak menyangka kerana dia sebelum itu memberitahu hanya mahu mengambil wang untuk membayar tambang,” kata pemandu teksi, M Arumugam, 43, mengenai kejadian seorang penumpang baru dihantarnya ditemui mati di Rumah Pangsa Tun Dr Ismail, Lobak, dekat sini, malam kelmarin.
Terdahulu, suasana di rumah pangsa berkenaan gempar seketika apabila seorang lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat 13 kawasan perumahan berkenaan, kira-kira jam 7 malam.

Difahamkan, mayat mangsa dikenali sebagai P Kovaloo, 42, yang berpakaian lengkap ditemui orang awam tersangkut atas bumbung sebuah kedai makan di tingkat bawah kawasan berkenaan.

Menurut Arumugam, dia mengambil mangsa sekitar Seremban 2 memaklumkan mahu ke rumah pangsa itu, kira-kira jam 6.30 petang. “Tidak lama kemudian, dia tiba-tiba memberitahu tidak mempunyai wang membayar tambang teksi dan meminta saya menunggu kerana mahu mengambil wang di rumahnya.

“Saya yang tidak mengesyaki apa-apa dan bersetuju menunggunya dalam teksi, namun lelaki itu masih tidak kelihatan selepas kira-kira 10 minit,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Dia tersentak apabila terdengar dentuman kuat sebelum melihat orang ramai berlari dan berkumpul di sebuah kawasan berdekatan. “Bagi mendapatkan kepastian, saya bergegas keluar dari teksi dan melihat seorang lelaki terjatuh ke atas bumbung sebuah kedai makan.


“Apabila diamati, alangkah terkejutnya saya apabila mendapati lelaki itu adalah penumpang saya,” katanya.
Arumugam yang memandu teksi sejak 15 tahun lalu berkata, kejadian itu pertama kali dialaminya kerana penumpang lain sebelum ini memberi alasan mahu mengambil wang, namun ghaib kerana enggan membayar tambang.
Mayat mangsa yang mati di tempat kejadian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan kejadian itu dan berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Anak didakwa ugut ibu

KUALA TERENGGANU: Tindakan seorang anak mengugut ibunya menggunakan pisau selepas dipercayai khayal menghidu gam di hadapan sebuah rumah di Tapak Perpindahan Tok Adis, di sini, pada 10 Ogos lalu membawa padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan melakukan ugutan jenayah.
Akibat pertuduhan itu, tertuduh, Zakaria Awang, 36, yang memakai baju lokap ungu dan berseluar pendek putih berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh tidak mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah yang dibacakan juru bahasa di hadapan Majistret Noradila Ab Latif dan memohon dibicarakan.

Mengikut fakta kes, tertuduh dengan sengaja melakukan secara jenayah terhadap ibunya, Saadiah Salleh, 66, mengacukan pisau dengan mengugut membunuh di rumah mangsa di Jalan Chempaka Tapak Perpindahan Tok Adis, di sini, kira-kira jam 3 petang pada 10 Ogos lalu.

Ketika kejadian, mangsa menonton televisyen sebelum tertuduh yang datang dari dapur menuju ke arah mangsa sambil memegang satu tin kecil dipercayai mengandungi gam dan sebilah pisau.

Tertuduh mengacukan pisau dan mengugut membunuh mangsa kerana mendakwa mangsa berbuat jahat dengannya.
Bagaimanapun, mangsa yang berjaya memujuk tertuduh meletakkan pisau yang dipegangnya melarikan diri ke dalam bilik dan menjerit meminta pertolongan jirannya.

Tertuduh ditahan anggota kereta peronda polis (MPV) yang tiba tidak lama selepas itu sebaik menerima maklumat kejadian terbabit sebelum tertuduh dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan selanjutnya.-hmetro

Suspek bunuh bapa ditahan


REMAN...anggota polis membawa suspek kes bunuh bapa keluar dari Mahkamah Majistret, semalam.
REMAN...anggota polis membawa suspek kes bunuh bapa keluar dari Mahkamah Majistret,

KUALA NERANG: Selepas lebih 48 jam menyembunyikan diri, suspek yang menetak bapa kandungnya hingga mati dengan parang ditahan ketika asyik menonton televisyen di rumah keluarganya di Kampung Pasir Puteh, Mukim Tualak, di sini, semalam.
Lelaki berambut panjang berusia 33 tahun itu pulang ke rumahnya kira-kira jam 1.45 pagi dipercayai akibat kelaparan, bagaimanapun tiada ahli keluarga ketika itu kerana berada di rumah saudara mereka.
Difahamkan, tindakan suspek membuka lampu rumah dan menonton televisyen disedari beberapa jiran dan adik iparnya, Mohd Nazrin Zainol, 32, yang membuat laporan polis. Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Ku Yaacob Ku Hamid, berkata ketika diserbu suspek tidak berbaju dan berseluar panjang tergamam dengan kehadiran anggota polis serta tidak sempat melarikan diri. “Ketika ditangkap, dia tidak bersenjata dan berehat sambil menonton televisyen di rumahnya. Ketika itu, dia terkejut mendapati anggota kami memasuki rumah berkenaan dan cuba melawan, namun gagal melepaskan diri. “Sebelum itu, kami mengepung rumah berkenaan bagi mengelak mangsa meloloskan diri. Apabila mendapati pintu rumah itu tidak berkunci salah seorang anggota menghendap mangsa dan menyerbunya pada masa sesuai,” katanya.

Ku Yaacob berkata, polis juga tidak menemui parang digunakan dalam kejadian dan ketika ditanya mengenai senjata itu, suspek hanya mengatakan dia tidak tahu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek ditahan reman sehingga 20 Ogos depan bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 7 malam Khamis lalu, suspek menetak bapa kandungnya hingga mati selain mencederakan ibunya dengan parang selepas ditegur ketika keluarga berkenaan menunggu berbuka puasa.


Dalam kejadian itu, bapa suspek, Saman Siron, 65, ditetak di kepala, kedua-dua belah tangan serta putus kaki pada buku lali kanan manakala ibunya, Hasnah Abdul Majid, 51, cedera di belakang kepala.
-hmetro

Hajat sambut Aidilfitri tak sampai



ANGGOTA bomba dan penyelamat mengeluarkan mayat Ismail yang maut dalam kemalangan di Jalan Datuk Md. Zin, Lebuh AMJ di Melaka semalam.


MELAKA – Hasrat seorang pemandu teksi untuk menyambut Aidilfitri bersama isteri tercinta dan empat anaknya awal bulan depan tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Datuk Md. Zain di Lebuh AMJ di sini semalam.
Lebih menyedihkan apabila semasa kejadian pada pukul 4 pagi itu, mangsa Ismail Zainol Abidin (gambar), 45, dari Taman Sri Kelemak, Alor Gajah mahu keluar mencari rezeki sebagai pemandu teksi selepas makan sahur menu nasi ayam bersama keluarga dan empat anaknya yang berusia lima hingga 13 tahun.
Turut terbunuh dalam kemalangan itu seorang jururawat, Cynthia Lim Ching Gek, 24, yang memandu kereta Proton Saga BLM.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Asisten Supritendan V. Gunasegaran berkata, kemalangan itu berlaku ketika teksi dipandu Ismail yang dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menuju ke pusat bandar bertembung dengan kereta Cynthia yang datang dari arah bertentangan.
“Kedua-dua buah kereta itu bertembung di persimpangan lampu isyarat ketika kereta dipandu Cynthia membelok menghala ke Batu Berendam namun terbabas masuk ke lorong bertentangan.
“Ketika itu teksi dipandu Ismail tidak sempat mengelak kereta dipandu Cynthia,” kata beliau.
Menurut beliau, akibat pertembungan itu kedua-dua pemandu kenderaan itu meninggal dunia di tempat kejadian.