Search This Blog

Sunday, August 14, 2011

Didakwa potong tangan pelajar

SHAH ALAM – Dua pekerja kilang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menetak pergelangan tangan seorang pelajar berusia 16 tahun hingga putus.

P Krishnan, 28 dan S Pergas, 29, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Mereka bersama tiga lagi yang masih bebas, didakwa mendatangkan kecederaan parah menggunakan parang kepada N R Yosaraj di kawasan gelanggang badminton, Jalan 15 E, Taman Bukit Terantai, Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada jam 9.30 malam, 22 Julai lalu.

Kes dikendalikan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun boleh dikenakan denda atau sebatan.

Timbalan pendakwa raya, Che Rohana Ismail tidak menawarkan sebarang ikat jamin kerana Yosaraj mengalami kecacatan kekal akibat perbuatan mereka.

Rohana berkata, sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin tersebut, jumlah harus tidak kurang RM20,000.

Krishan dan Pergas yang diwakili peguam Rejindor Singh berkata, kejadian ini berpunca daripada satu pergaduhan antara mangsa dan anak guam.

Rejindor mencadangkan agar jaminan RM7,000 adalah munasabah bagi Krishan dan Pergas kerana mereka masing-masing menanggung keluarga.

Mohammed Mokhzani membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 9 September depan.-SH

Kaki hilang digigit tikus



BATAK RABIT - Gigitan haiwan kecil pada tahun lalu menyebabkan seorang lelaki hilang sebelah kaki dan kini hanya mampu mengharap ada sinar baru menanti dengan pemberian kaki palsu.

Abu Bakar Zakaria, 50, berkata, sebelum ini, dia adalah insan biasa namun satu kejadian hitam yang berlaku pada tahun lalu dipercayai digigit tikus ketika sedang tidur meranapkan segalanya.

Menurutnya, dia hanya sedar akan kakinya digigit tikus pada keesokan harinya apabila terlihat luka pada ibu jarinya selain merasai sedikit pedih.

“Keengganan saya untuk ke hospital mendapatkan rawatan mengundang padah apabila selepas beberapa hari kemudian daging pada kaki ini mulai membengkak seterusnya membusuk.

“Melihat keadaan kaki yang semakin parah, saya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan namun, doktor memberitahu kaki saya terpaksa dipotong untuk memastikan luka itu tidak merebak,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Taman Karetina, di sini.

Abu Bakar berkata, dia tidak menyangka gigitan seekor haiwan kecil itu menyebabkannya kehilangan sebelah kaki sehingga menyukarkan pergerakan.

“Kini urusan harian saya terpaksa dibantu oleh isteri dan anak-anak.

:“Saya mengharap bulan Syawal ini akan ada sinar baru kepada kami sekeluarga dengan pemberian kaki palsu oleh pihak berkenaan,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, dia bekerja sebagai pemandu namun terpaksa berhenti bekerja selepas diserang angin ahmar pada 2007.

“Kini pendapatan keluarga hanya bergantung kepada duit pencen yang diterima setiap bulan.

“Duit pencen ini tidak cukup memandangkan masih ada anak yang bersekolah selain memerlukan perbelanjaan besar,” katanya.

Katanya, diharap pihak berkenaan dapat menghulurkan bantuan kewangan selain kaki palsu untuk memudahkan pergerakan.

Hadir sama melawat, Pengerusi Gerakan Belia 4B, Saiful Adli Arshad.

Sementara itu, Ketua Kampung Batak Rabit, Mohd Ramli Mohd Nin berkata, pihaknya telah mengemukakan surat permohonan bantuan kepada pihak berkenaan.

“Baru-baru ini, pihak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Hilir Perak telah turun padang bagi melihat sendiri keadaan Abu Bakar .

“Sehingga kini, pihaknya tidak mendapat apa-apa respons daripada pihak PKMD dan mengharapkan ada jawapan dapat diberikan oleh mereka dalam tempoh terdekat,” katanya.-SH

Dua wanita tampil beri sampel DNA



KUANTAN - Dua wanita yang dipercayai ibu dan kakak kepada pelancong wanita warga Perancis, Stephanie Foray, 30 yang ditemui mati dalam sebuah gua di Kampung Tekek, Pulau Tioman hadir ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), semalam untuk ujian DNA.

Mereka yang ditemani dua pegawai dari Kedutaan Perancis tiba di hospital kira-kira jam 12 tengah hari dan dilihat keluar setengah jam kemudian.

:Jurucakap Pejabat Kedutaan Perancis yang enggan namanya disebut berkata, kehadiran dua beranak itu bertujuan mengambil sampel darah untuk ujian DNA bagi mengesahkan identiti rangka yang ditemui.

Katanya, dua wanita itu tiba di sini jam 7 malam semalam dijangka berada di Malaysia selama tiga hari bagi membantu siasatan.

“Keputusan dijangka diketahui dalam tempoh 2 minggu lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik, HTAA, semalam.

Katanya, barangan milik mangsa pula sukar dicamkan kedua-dua wanita terbabit kerana mangsa membeli barangan itu ketika mengembara ke sini atau tempat lain.

Isnin lalu, mayat Stephanie Foray ditemui dalam keadaan tangan dan kaki diikat sebelum ditindih tilam dan bantal di dalam sebuah gua Air Hantu Kampung Tekek di Pulau Tioman.

Tangan dan kaki mangsa diikat menggunakan getah paip kecil sebelum mayat itu ditimbus sedalam tiga meter.

Difahamkan dua wanita itu akan melihat rangka mayat itu sebelum pulang ke hotel penginapan mereka.
-SH

Rumah terbakar, lelaki rentung selepas bersahur

JOHOR BAHARU - Seorang lelaki ditemui rentung dalam rumahnya yang musnah terbakar di sini, dalam kejadian awal hari ini.

Mayat Sabtu Hussein, 50, ditemui terbaring di atas tilam dalam bilik tidur rumahnya di Jalan Pantai, Kampung Bakar Batu, dipercayai tertidur selepas bersahur.

Ketua operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Baharu Raja Saiful Raja Iswandi berkata pihaknya menerima panggilan pada 5.28 pagi dan tiba di tempat kejadian kira-kira lapan minit kemudian.

Selepas kebakaran berjaya dipadamkan, pihak bomba menemui mayat Sabtu yang tinggal bersendirian di rumah itu, katanya.

Raja Saiful berkata kebakaran dipercayai bermula di ruang tamu, dan punca kebakaran masih disiasat.
- Bernama, SH

Nelayan makin hilang sabar



TELUK KUMBAR – Isu pencerobohan pukat tunda yang semakin kritikal sejak kebelakangan ini mengakibatkan nelayan setempat semakin sesak berikutan pendapatan harian yang diperoleh semakin berkurangan.

Ketua Unit Nelayan Teluk Kumbar, Mad Zin Che Din berkata, pelbagai ikhtiar sudah dijalankan termasuk mengadakan sesi dialog bagi meluahkan konflik itu kepada pihak berkuasa namun, semuanya menemui jalan buntu.

“Sejak kebelakangan ini, masalah yang berlanjutan sejak 30 tahun lalu ini semakin meruncing dan bot pukat tunda sesuka hati mencerobohi kawasan pantai sehingga mengancam keselamatan nelayan tradisional.

“Mereka bersikap seperti samseng dan bertelingkah sesama nelayan,” katanya.

Berikutan itu, satu perjumpaan bersama Adun Bayan Lepas, Syed Amerruddin Syed Ahmad diadakan semalam bagi mengenal pasti langkah yang bakal diambil untuk mendapatkan perhatian pihak penguat kuasa termasuk Kerajaan Persekutuan.

Ketua Unit Persatuan Nelayan Teluk Tempoyak, Ibrahim Che Rose berkata, masalah sama turut dihadapi nelayan Teluk Tempoyak sehingga ke Gertak Sanggul.

“Boleh dikatakan semua nelayan tidak memperoleh pendapatan apabila bot pukat tunda datang dan mengaut segala hasil laut.

“Situasi ini perlu diperbaiki memandangkan pendapatan harian nelayan terjejas kerana menangkap ikan menjadi sumber utama mereka untuk menyara keluarga.

“Pencerobohan yang berlaku tidak dapat diatasi pihak berkuasa memandangkan kelengkapan yang tidak mencukupi seperti yang dinyatakan melalui sesi dialog yang pernah dijalankan,” katanya.

Difahamkan, bot pukat tunda itu turut mengaut hasil laut di kawasan utama lubuk ikan iaitu Pulau Kendi dan menjejaskan pendapatan kira-kira 6,000 nelayan di seluruh perairan Barat Daya.

Syed Amerruddin berkata, Kerajaan Persekutuan perlu serius menangani isu ini memandangkan ia sudah lama berlarutan.

“Sebelum ini, kami sudah menyerahkan memorandum kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar supaya isu ini mendapat perhatian namun, sehingga ke hari ini masih belum menerima sebarang tindak balas.

“Pelbagai langkah boleh diambil seperti meningkatkan jarak antara kawasan bagi bot pukat tunda mahupun meningkatkan pengawasan sekitar perairan.

“Kesemua nelayan bersedia memberikan kerjasama memandangkan semuanya menghadapi masalah sama sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata, sepucuk surat akan dihantar dalam masa terdekat untuk meluahkan masalah dan kemarahan nelayan kepada pihak berkuasa termasuk pihak kementerian.

“Selepas hantar memorandum, kini kami akan hantar ‘surat marah’ pula untuk menyatakan kekecewaan dan kesulitan yang dialami nelayan di sini supaya tindakan seterusnya dapat diambil bagi menangani isu ini,” katanya.-SH

Nyaris maut dalam treler



BATU 21 – Seorang pemandu treler dan kelindannya nyaris maut selepas terperangkap di dalam kenderaan itu yang terbakar dalam kejadian kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 35.5, Laluan Johor Bahru menghala Air Hitam berhampiran sebuah stesen minyak di sini, tengah hari semalam.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka terselamat selepas sempat keluar melalui cermin tingkap dan cermin di hadapan kenderaan itu sebelum api marak dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Pemandu treler, Murugiah, 36 berkata, dia sedang dalam perjalanan dari arah Skudai ke Melaka namun tidak sempat mengelak lori pasir yang berhenti di hadapannya kerana jarak yang terlalu dekat.

Katanya, kejadian berlaku begitu pantas namun beliau bersyukur kerana dia dan kelindannya terselamat dari kebakaran yang berlaku dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Saya bernasib baik kerana sempat keluar dari lori berkenaan namun terpaksa memecahkan cermin tingkap dan keluar melaluinya kerana kedua-dua pintu sudah tidak dapat digunakan.

“Manakala kelindan saya pula terpaksa keluar melalui cermin hadapan dan dia nyaris terperangkap di dalam lori namun berjaya menyelamatkan diri sebelum api marak.

“Sebaik sahaja kami berdua keluar dari lori api mula marak dengan cepat,” katanya.

Kejadian itu turut menyebabkan laluan trafik arah Johor Bharu menghala Air Hitam, Kilometer 35.5 Batu 21, di sini sesak sejauh kira-kira dua kilometer.

Dua kenderaan lain yang turut terlibat ialah kereta jenis Proton Satria Neo dan Toyoto Vios. Difahamkan ketika kejadian, kereta Toyoto Vios berada di kedudukan hadapan dan berhenti di laluan masuk ke persimpangan kanan berikutan terdapat kenderaan lain di hadapannya yang ingin masuk ke simpang berkenaan manakala lori pasir berada di bahagian belakangnya diikuti lori treler dan Proton Satria.

Toyota Vios remuk di bahagian belakang setelah dilanggar lori pasir berkenaan manakala bahagian hadapan lori treler musnah teruk akibat kebakaran yang berlaku sementara Proton Satria turut remuk di bahagian hadapan setelah merempuh treler di hadapannya.

Sementara itu, Pemandu Proton Satria, Firdaus, 24 berkata, ketika kejadian dia sedang dalam perjalanan ke tempat kerja namun tidak sempat mengelak lori treler di hadapannya yang berhenti secara mengejut dan menyebabkan hentaman berlaku.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kebakaran yang berlaku berjaya dipadamkan anggota bomba dan penyelamat dalam tempoh sepuluh minit manakala kesemua yang terbabit berada dalam keadaan selamat.-SH

Malang dua bersaudara



TELUK INTAN - Niat seorang lelaki mengambil anak saudara pulang dari kem perkhemahan di sekolah berakhir tragedi apabila terlibat dalam kemalangan maut di Lorong Tokong Siam, Jalan Selabak, petang semalam.

Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi Sinar Harian, mengesahkan kejadian 4.20 petang itu yang menyebabkan dua maut, seorang kritikal dan dua selamat.

Katanya, mangsa yang maut dikenali sebagai V Menan Raj, 21, juga pemandu kenderaan pacuan empat roda dan salah seorang anak saudaranya dikenali sebagai R Thivaran, 7, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Teluk Intan.

Menurutnya, mangsa lain dikenali sebagai, R Rajaletchumy, 9, masih kritikal menerima rawatan di Hospital Teluk Intan manakala R Mugilan, 13, dan adiknya, R Vimal, 2, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, mangsa (Menan Raj) bersama empat anak saudaranya dalam perjalanan pulang dari Selabak Dalam ke Jalan Padang Tembak melalui Lorong Tokong Siam.

“Tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa melalui sebuah jambatan sempit seluas lebih kurang 2.5 meter sebelum hilang kawalan lalu masuk ke dalam parit sedalam lebih kurang tiga meter.

“Penduduk yang menyedari kejadian itu membantu kesemua mangsa keluar namun Menan Raj yang tersepit di tempat duduknya menyukarkan lagi kerja-kerja menyelamat dan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan, namun anak saudara mangsa, R Thivaran, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Kok Liang berkata, punca kematian bagi kedua-dua mangsa masih belum diketahui kerana bedah siasat akan dijalankan pada 9.30 malam semalam manakala kesemua mangsa yang selamat masih menerima rawatan di pusat rawatan itu.

“Pihak kami akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya-SH.

Guru sekolah rendah maut dilanggar lari



JOHOR BAHRU - Seorang guru dari salah sebuah sekolah rendah maut selepas terbabit dalam kejadian langgar lari di Jalan Pendidikan, Taman Universiti, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.35 malam, kelmarin, itu, mangsa, Khuzainah Omar, 52, (gambar) dipercayai dalam perjalanan untuk ke kedai berhampiran dengan menaiki motosikal dari rumahnya.

Bagaimanapun, motosikal yang ditunggangnya dikatakan bergesel dengan sebuah kereta sebelum mangsa terjatuh manakala pemandu kereta pula bertindak melarikan diri.

Suami mangsa, Mohammad Amir Marjonid, 52, berkata, dia sedang menunaikan solat Terawih di masjid berdekatan sebelum dimaklumkan oleh anak sulungnya, Khairul Bariyah, 24, berhubung kejadian berkenaan.

“Bila saya pergi ke tempat kejadian, keadaan dia (isteri) kelihatan agak parah sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA). Akan tetapi, doktor yang merawatnya memaklumkan bahawa isteri saya sudah meninggal dunia kira-kira jam 2.45 pagi,” katanya kepada pemberita di pekarangan bilik mayat HSA, di sini, semalam.

Mohammad Amir yang juga merupakan Guru Besar Sekolah Agama Taman Universiti berkata, tiada sebarang perubahan atau perkara pelik yang ditunjukkan oleh isterinya sejak kebelakangan ini.

Khairul Bariyah berkata, ibunya kebiasaan keluar rumah dengan menaiki kereta, tetapi pada malam kejadian ayahnya menggunakan kenderaan berkenaan untuk ke masjid.

“Ibu selalu keluar naik kereta dan jarang menunggang motosikal yang baru dibeli sejak sebulan lalu. Bagaimanapun, kami sekeluarga redha dengan ketentuan Ilahi dan agak terkilan kerana tidak sempat menyambut Aidilfitri tidak lama lagi bersamanya," katanya.

Difahamkan, jenazah mangsa yang mempunyai enak anak berusia antara 12 hingga 24 tahun itu kemudiannya dibawa pulang ke kampung halamannya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Masjid di Pontian sebelum solat Zuhur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan kemalangan berkenaan adalah satu kejadian langgar lari berdasarkan beberapa serpihan kereta di lokasi.

“Tiada sebarang tangkapan sudah dibuat mengenai kejadian ini dan saya meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil membuat laporan polis di balai berhampiran,” katanya.-SH

'Kami sedia maafkan suspek'



KUALA NERANG - “Emak dan ahli keluarga lain sedia maafkan suspek yang tetak bapanya hingga maut, Mohd Adli Saman kerana menganggapnya sakit dan tidak menyedari perbuatannya itu”.

Adik ipar suspek, Mohd Nazrien Zainol, 32, yang turut menyertai operasi mengesan suspek di sekitar kawasan kebun dan hutan Kampung Perik, di sini bersama polis dan orang kampung berkata, sekalipun tindakan suspek dianggap tidak berperikemanusiaan, mereka tidak tergamak ‘buangnya’ dari keluarga dan percaya dia memerlukan bantuan psikologi.

Menurutnya, pengakuan itu diluahkan sendiri emak suspek, Hasmah Abdul Majid, 58, di hadapan semua ahli keluarga semalam dan mereka sepakat untuk segera menghantarnya berubat.

“Kami harap Mohd Adli menyerah diri kepada polis kerana bimbang sesuatu perkara buruk akan menimpanya sekiranya dia masih berkeras hati untuk melarikan diri.

“Kami memohon jasa baik polis dan orang kampung tidak apa-apakannya,” katanya kepada Sinar Harian di sebuah kebun di Kampung Perik, di sini semalam.

Turut menyertai operasi mencari suspek ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim.

Ditanya mengenai keadaan ibu suspek, Mohd Nazrien berkata, emak mentuanya masih trauma, kurang bercakap dan hanya terlantar di atas katil sejak kelmarin, memandangkan kesan kecederaan di belakang kepala yang dialami masih belum sembuh.

“Keadaan emak mertua saya agak membimbangkan kerana dia enggan menjamah makanan, sering termenung dan menangis bersendirian, kemungkinan mengenang kejadian ngeri yang menimpa keluarga kami.

Mohd Nazrien sifatkan perubahan sikap dialami suspek berlaku sejak didapati sakit dan berhenti bekerja di sebuah kilang elektronik di Pulau Pinang sebelum ini.

“Sebelum itu, Mohd Adli bantu keluarga dengan pendapatan lumayan dengan bekerja di kilang. Dia berubah sejak alami masalah mental hingga terpaksa berhenti kerja. Saya tidak pasti sama ada hubungannya dengan seorang perempuan Indonesia di Pulau Pinang mungkin menjadi punca,” katanya.-SH

Tiga kereta disimbah cat



SEGAMBUT – Tiga kereta disimbah cat merah oleh individu yang tidak dikenali di Taman Sri Sinar awal pagi Rabu lalu.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Ng, 45, berkata, dia hanya mengetahui tiga keretanya disimbah selepas keluar rumah untuk pergi bekerja kira-kira 6 pagi.

“Dua plastik ditemui di atas simen luar mempunyai kesan cat merah yang sebelum ini dicampak dari luar rumah,” katanya ketika ditemui semalam.

Akibatnya, kereta jenis BMW miliknya yang diletakkan di dalam garaj turut terkena cat merah pada bahagian atas bumbung dan pintu.

Kejadian yang dipercayai berlaku pada awal pagi itu turut menyebabkan dua kereta Myvi miliknya yang diletakkan di bahagian luar turut disimbah cat merah.

Turut ditemui, satu tin cat warna merah yang digunakan suspek untuk melakukan kerosakan.

“Saya tidak pernah berhutang dengan mana-mana ah long, apa yang berlaku ini cukup pelik malah saya juga tidak mempunyai musuh,” katanya

Dia yakin berkemungkinan suspek terbabit tersalah rumah menyebabkan harta bendanya menjadi sasaran.

Kerugian akibat kerosakan tersebut mencecah RM5,000 dan laporan dibuat di Balai Polis Taman Sri Sinar.-SH

Dua sahabat maut



JUNJUNG - Dua sahabat terbunuh apabila motosikal Yamaha RXZ yang ditunggang terbabas sebelum merempuh bas ekspres di Jalan Junjuong kira-kira jam 6 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayop berkata, itu adalah kemalangan maut pertama di tempat kejadian sepanjang Ramadan.

Menurutnya, mangsa yang terkorban M Riduan Che Embong, 26, dan Mohamad Zulfadli Ahmad, 20, kedua-duanya berasal dari Kampung Kijang, Alma, Bukit Mertajam.

Siasatan awal mendapati, motosikal ditunggang dalam keadaan laju sebelum merempuh bas yang datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di seluruh badan mati di tempat kejadian.

“Mangsa dari arah Kulim menuju ke Jujung, manakala bas ekspres terlibat dari Melaka menuju ke Kulim. Ketika sampai di jalan Junjung, motosikal ditunggang mangsa masuk ke jalan bertentangan dan bertembung dengan bas lalu terbakar.

“Mayat mangsa ditemui beberapa meter dari tempat kejadian dengan kecederaan parah di seluruh badan. Polis kemudiannya membawa mayat mangsa ke hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya.
-SH

Tiga parah, tiga cedera ringan



BUNUT SUSU – Tiga parah manakala tiga lagi cedera ringan dalam kemalangan melibatkan sebuah Proton Wira dan Perodua Kancil di Kampung Bechah Tendong jam 3.45 petang, kelmarin.

Menurut saksi, Adnan Mat Zain, 46, dia dikejutkan bunyi seakan letupan diiringi jeritan wanita ketika berada di rumah, dan mengambil keputusan melihat puncanya.

“Setiba di tempat kejadian, saya dapati pemandu kereta Kancil bersama seorang penumpang tercampak dari kenderaan manakala seorang lagi tersepit dalam kenderaan berkenaan.

“Saya terus mengambil kereta dan menghantar kesemua mangsa cedera parah ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, mangsa yang cedera ringan adalah pemandu Proton Wira, Abdul Halim Yusof, 60, bersama isterinya, Siti Rohmah Mohd Nor, 57, dan anak mereka, Nurul Syahira Abdul Halim, 21.

“Manakala, mangsa parah adalah Nur Sharmila Yunus, 20an yang memandu kereta Perodua Kancil bersama dua adiknya, Aiman Yunus, 17 dan Farhan Yunus, 16,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan, kereta Kancil dipandu Sharmila, dari arah Tendong ke Gelang Mas, dipercayai terbabas dan memasuki lorong bertentangan lalu melanggar Wira dipandu Abdul Halim.

“Perlanggaran menyebabkan Sharmila mengalami kecederaan parah di bahagian pinggang dan patah tulang rusuk, sementara Farhan mengalami kecederaan di leher.

“Namun adiknya, Aiman tidak sedarkan diri kerana mengalami pendarahan teruk di bahagian kepala dan mereka dihantar ke HRPZ II bagi rawatan lanjut.

“Walau bagaimanapun, Abdul Halim dan keluarga dilaporkan stabil setelah mendapat rawatan di Hospital Pasir Mas, begitu juga ketiga-tiga mangsa yang parah” katanya.-SH

Kes cekik amah selesai



PETALING JAYA – Kes seorang pembantu rumah warga Filipina yang mati dicekik dalam sebuah banglo dua tingkat milik majikannya di Jalan 5/50, Jalan Gasing, di sini selesai berikutan penahanan dua lelaki warga asing.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 22 dan 44 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Batu 5, Jalan Ipoh kira-kira jam 10.15 malam kelmarin.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan selepas polis membuat risikan dan peroleh keterangan serta bukti.

“Kita akan mendapatkan perintah reman dalam tempoh terdekat untuk menjalankan siasatan lanjut ke atas mereka mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan.

“Kita juga sudah kenal pasti motif pembunuhan disebabkan cemburu. Seorang daripada suspek ditahan dipercayai adalah teman lelaki kepada mangsa,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Menurutnya, polis turut merampas semula barang yang disamun dua suspek dalam kejadian tersebut antaranya komputer riba dan ipad.

Sementara itu, pada 23 Julai lalu, mangsa yang bekerja sebagai pembantu rumah ditemui terbaring dalam bilik tidur di tingkat bawah banglo oleh majikannya yang baru pulang ke rumah kira-kira jam 11.45 malam.

Ketika kejadian, majikan mangsa yang juga seorang ahli perniagaan berusia 30-an bersama isteri dan dua anaknya tiada di rumah kerana keluar makan pada jam 7 petang.

Siasatan awal mendapati terdapat kesan lebam akibat dicekik di leher serta luka di kepala mangsa.

Polis percaya mangsa dibunuh individu yang dikenali kerana tiada kesan pecah masuk rumah.-SH

Kolam ikan ditabur racun



JOHOL – Seorang penternak ikan talapia Taiwan atau lebih dikenali sebagai Taipan mengalami kerugian sebanyak RM200,000 apabila tujuh daripada 17 kolam ikan peliharaannya mati dipercayai diracun di kolam ikan Air Mawang, Isnin lalu.

Lim Kooi Eam, 53, berkata, kejadian itu disedari Selasa lalu selepas sejumlah ikan timbul di permukaan kolam.

Menurutnya, ketika itu, dia tidak perasan ikannya diracun sehinggalah pada Selasa, dia menaburkan makanan tetapi ikan tidak timbul dan apabila air dikocak, dia nampak banyak ikan sudah terapung.

“Saya sangat terkejut dan sedih apabila tujuh kolam ikan yang diusahakan sejak 2010 musnah sekelip mata.

“Saya sudah hilang semangat untuk meneruskan pengusahaan ikan ini kerana perlu menanggung kerugian,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Kooi Eam berkata, kolam yang diusahakan itu mengeluarkan hasil pada tiga bulan lalu dan ternyata dapat menghasilkan keuntungan memberangsangkan.

“Ikan ini mendapat sambutan kerana isinya putih dan sedap dimakan. Kini saya memasarkannya di sekitar Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur dengan harga RM8 hingga RM13 sekilogram.

“Penduduk juga gemar makan ikan ini dan ada juga yang beli ikan untuk dijual. Kadang-kadang mereka beli sehingga 50 kilogram hingga satu tan,” katanya.

Akibat kejadian itu, Lim berkata, penduduk membuat aduan kepadanya kerana timbul bau busuk dan lalat.

“Saya sangat kasihan pada mereka kerana terpaksa bau busuk setiap hari terutamanya pada waktu malam.

“Bagi menyelesaikan masalah itu, saya akan tanam ikan ini selain membakarnya. Ini sahaja yang boleh saya lakukan bagi mengelakkan bau busuk terus menghantui penduduk,” katanya yang mengajikan pekerja seramai enam orang.

Berikutan kejadian itu, Kooi Eam membuat laporan di Balai Polis Johol dan masih menunggu laporan pihak polis bagi siasatan selanjutnya.

“Saya berharap pihak yang tidak bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan kerana menyebabkan saya kerugian selain memusnahkan punca pendapatan saya selama ini.

“Buat masa ini, saya berharap penduduk dapat bersabar dan memberi sedikit masa untuk saya menyelesaikan masalah bau busuk dan lalat,” katanya.

Sembunyi kasut bawah tilam

 

ARAU – Bagi mengelak ditahan penguat kuasa, sepasang penjawat awam berusia lingkungan 20-an sanggup menggunakan pelbagai taktik dan helah termasuk menyembunyikan pakaian dan kasut di bawah tilam.

Namun, taktik itu tidak berhasil dan dapat dihidu penguat kuasa yang menjalankan operasi bersepadu maksiat di bulan puasa, apabila mereka ditahan di sebuah hotel murah di Arau, malam semalam.

Pengerusi Portfolio Kacau Ganggu dan Halangan Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Chan Poo Pee berkata, apabila pintu bilik yang didiami pasangan itu diketuk hampir sepuluh minit, seorang remaja perempuan yang dalam ketakutan membuka pintu.

Namun, teman lelakinya yang dipercayai berasal dari Kedah dan bekerja di Pulau Pinang itu cuba melarikan diri dengan bersembunyi dalam bilik air tanpa memakai baju.

“Hasil pemeriksaan, kita menjumpai sepasang kasut milik lelaki itu yang disembunyikan bawah tilam manakala pakaiannya sudah disimpan dalam almari.

“Ketika disoal, remaja perempuan itu memberikan alasan datang ke bilik murah berkenaan untuk menemani pasangannya menyalin pakaian.

“Kita mengambil tindakan menahan pasangan penjawat awam itu kira-kira jam 11 malam selepas didapati berdua-duaan dalam sebuah bilik hotel,” katanya kepada selepas menjalankan operasi bersepadu maksiat Ramadan oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), polis dan Agensi Dadah Kebangsaan (AADK).

Poo Pee berkata, pasangan itu kemudiannya dibawa ke pejabat Agama Islam Perlis untuk tindakan lanjut.

Dalam operasi yang mensasarkan hotel-hotel murah, pusat karaoke, pusat urut refleksologi di sekitar Arau dan Kangar itu, AADK turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 19 remaja termasuk tiga wanita yang mengunjungi pusat karaoke.

Bagaimanapun, tiada yang ditahan selepas ujian berkenaan.

Dalam operasi itu Poo Pee berkata, MPK turut mengeluarkan tiga saman kepada pemilik premis hiburan yang beroperasi melebihi masa dan lesen premis tamat tempoh.-SH

Mualaf tak sempat solat bersama ibu angkat

SERDANG – “Masih terngiang-ngiang suara arwah mengatakan hendak membawa saya ke rumahnya untuk menunaikan solat bersama ketika kami berjumpa 1 Ramadan lalu. Namun siapa sangka belum sempat niat hatinya ditunaikan, Allah menjemputnya terlebih dahulu,” kata Rosnah Abdullah, 51, ibu angkat kepada mangsa yang maut dalam kemalangan di kilometer 20.9, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) di sini awal pagi, semalam.

Rosnah berkata, yang menyedihkan hasrat arwah, Abdul Aziz Abdullah, 36, yang beria-ia mahu membawa dirinya ke Puchong bukan sahaja tidak kesampaian tetapi keinginan beraya bersama tahun ini terpaksa dilupakan dalam kesedihan.

“Masih ingat lagi dia katakan kepada saya Aziz hendak bawa umi datang Puchong selepas maklumkan sudah membersih dan mengemaskan rumah.

“Saya memang tertunggu-tunggu bila dia hendak bawa saya ke sini (Selangor) tetapi tidak sangka saya ke sini berjumpanya juga tetapi dalam keadaan sudah menjadi jenazah,” katanya.

Rosnah berkata, memilukan apabila anak angkat kesayangannya itu ada menunjukkan sikap pelik apabila tidak bersalam dengannya seperti biasa ketika mengunjungi rumahnya 1 Ogos lalu.

“Biasanya apabila datang ke rumah dia mesti bersalam dengan saya, begitulah juga apabila dia mahu pulang semula ke rumahnya di Puchong, dia mesti bersalam dahulu tetapi itu tidak terjadi.

“Saya memang berasa agak pelik namun tidak memikirkan perkara yang bukan-bukan sehinggalah menerima berita kematiannya jam 2 pagi tadi,” katanya yang memaklumkan meskipun tidak melahirkan arwah namun dia menyayanginya seperti anak kandung sendiri

Menurutnya, arwah yang memeluk agama Islam pada 2003 seorang yang peramah, kelakar dan tidak kedekut berkongsi rezeki yang diterima hasil bekerja di kedai dobi.

“Setiap tahun dia akan balik ke rumah saya di Bandar Baharu, Parit Buntar Perak untuk beraya bersama-sama adik angkatnya yang lain.

“Tahun ini pasti kami sekeluarga rasa lain sedikit kerana ketiadaan arwah yang memang sangat rapat dengan keluarga kami dan saudara-mara yang lain,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Serdang, semalam.-SH

Bas ekspres masuk parit



LIPIS - 29 penumpang bas ekspres yang kebanyakan sedang lena selepas selesai bersahur di sebuah hentian rehat dikejutkan dengan nahas yang hampir meragut nyawa mereka.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, sebuah bas ekspres yang membawa 29 penumpang itu terbabas sebelum memasuki longkang di Kilometer 5, Jalan Kuala Lipis- Benta di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Abdul Razak Hassan berkata, bas ekspres berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur sebelum terbalik di laluan itu pagi semalam.

“Siasatan awal dijalankan mendapati, kejadian kemalangan berkenaan dipercayai berlaku akibat kecuaian pemandu bas yang gagal mengawal kenderaan.

“Akibatnya, bas ekspres yang membawa 29 penumpang termasuk lima orang pelajar berkenaan terbabas sebelum terbalik dan memasuki parit,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Abdul Razak berkata, tiga daripada 29 penumpang bas itu mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Lipis.

“Saksi kejadian diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, Inspektor Johnny Anak James Bujang , di talian 09-312 2222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Abdul Razak berkata, pemandu bas diminta mematuhi peraturan pemanduan dan tidak mengejar masa untuk sampai ke sesuatu destinasi.

“Sikap pemandu bas yang suka tentukan masa untuk sampai ke destinasi yang dituju menjadi salah satu punca kemalangan berlaku.

“Mereka perlu memahami jumlah kenderaan yang semakin bertambah menjadi salah satu sebab berlaku kesesakan di atas jalan raya terutama ketika menjelang musim perayaan,” katanya.

Abdul Razak berkata, para pemandu bas juga perlu membuat persiapan dari segi fizikal dan mental sebelum memulakan perjalanan yang jauh.-SH

Pemuda dirayu pulang



CHUKAI – Selepas tiga tahun hilang tanpa khabar berita, seorang pemuda Mohd Zaki Mohd Zin, 33, yang kali terakhir dipercayai berhijrah ke Kota Bharu, Kelantan dirayu pulang atau sesiapa yang mengenalinya diharap tampil memberi maklumat kepada ahli keluarga.

Bapa saudaranya, Md Dahan Abu Bakar berkata, sebelum sepi tanpa khabar berita, anak saudaranya itu selalu menghubungi keluarga menggunakan telefon awam dan mendakwa tinggal di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Menurutnya, Mohd Zaki yang juga nelayan meninggalkan rumah di Kampung Pengkalan Cicar, Bukit Kuang, tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri sejak lima tahun lalu selepas berlaku perselisihan faham dengan keluarga.

“Bagaimanapun, dalam tempoh dua tahun selepas dia keluar dari rumah dia masih menghubungi keluarga untuk meminta wang belanja, namun sejak tiga tahun lalu dia tidak lagi menghubungi keluarga menyebabkan kami terputus hubungan dan tidak tahu keadaannya kini.

“Ketika ayahnya yang juga abang sulung saya, arwah Mohd Zin Abu Bakar, 77, meninggal dunia pada 9 November tahun lalu, berita sedih itu tidak dapat dimaklumkan kepadanya disebabkan dia tidak dapat dihubungi dan dikesan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui.

Dia yang juga kakitangan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) berkata, Mohd Zaki adalah anak sulung daripada dua beradik hasil perkongsian hidup arwah abangnya itu dengan isteri kedua, arwah Jariah Said yang meninggal dunia enam tahun lalu.

Md Dahan berkata, pencarian Mohd Zaki juga agak sukar berikutan tiada simpanan gambar selain Mohd Zaki sendiri tidak membawa dokumen pengenalan diri, justeru keluarga tidak tahu jika sebarang perkara buruk menimpanya.

“Justeru, jika Mohd Zaki masih hidup kami ahli keluarga berharap dia dapat pulang ke pangkuan keluarga kerana keluarga amat merinduinya. Selain itu, Mod Zaki juga perlu pulang untuk urusan pembahagian harta pusaka yang akan dilakukan kelak,” katanya. -SH

Dituduh rogol kanak-kanak

KUANTAN - Seorang lelaki tidak mengaku bersalah menghadapi dua pertuduhan iaitu merogol seorang kanak-kanak ketika dihadapkan di Mahkmah Sesyen di sini, semalam.

Tertuduh berusia 42 tahun beralamat Kampung Permatang Pauh, Pekan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh telah didapati merogol mangsa berusia 7 tahun 2 bulan di sebuah rumah di Kampung Mengkasar, Pekan pada 7 Ogos lalu kira-kira jam 8.30 malam.

Manakala bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didapati merogol mangsa sama di rumah tersebut pada pertengahan Jun lalu kir-kira jam 9 malam.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (1) Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh disebat.

Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Mohamad Azman Ariffin membantah jaminan diberikan terhadap tertuduh kerana tinggal bersama di rumah mangsa terbabit.

Fathiyah kemudiannya menetapkan sebutan semula kes itu pada 12 September depan dan tertuduh dihantar ke Penjara Penor, Pekan.-SH

Jual senjata guna Facebook



KUALA LUMPUR – Setelah hampir dua tahun menikmati hasil jualan senjata palsu melalui Facebook, dua lelaki dan seorang wanita diberkas di sebuah rumah mewah di Park Ville Garden House, Petaling Jaya, kelmarin.

Mereka sebelum ini bergiat aktif melakukan lebih 100 kali jualan senjata tersebut di seluruh negeri dan berkemungkinan ke negara jiran kerana mereka menggunakan Internet sebagai medium perantara.

Suspek juga dikatakan terlalu meminati bidang ketenteraan dan menghiasi rumah sewa itu termasuk bilik dengan cadar berceloreng tentera, gambar dan peralatan lain.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, bagaimanapun, suspek masing-masing bekerja sebagai ahli perniagaan, 35, jurutera, 32 dan kerani, 30, diberkas dalam serbuan kira-kira jam 2.15 petang kelmarin.

Antara senjata tiruan yang dirampas adalah enam pucuk pistol jenis Sig Sauer, Blowback, Glock dan US 9mm, Machine Gun (4), Shot Gun (2), Rifle (1), serta Submachine Gun (1).

Turut ditemui puluhan peluru, teropong, gari, bannet, bekas peluru dan tiga pasang jaket kegunaan pasukan keselamatan.

“Semua barangan yang dirampas itu didapati dibeli melalui perkhidmatan Internet yang berpangkalan di Hong Kong, manakala proses penghantaran ke dalam negara adalah melalui perkhidmatan kurier.

“Bagi mengelakkan barangan ini dikesan, pembeli iaitu suspek membuat pengisytiharan senjata tiruan itu sebagai alat ganti kenderaan atau kompresor semburan cat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, suspek membeli senjata tiruan itu pada kadar harga RM400 dan menjualnya antara RM900 selaras dengan menggunakan Internet dan laman Facebook.

“Kita sudah memperoleh senarai nama pembeli tersebut.

"Saya minta pembeli itu datang ke balai berhampiran menyerahkan senjata tersebut dengan kadar segera dan membantu siasatan,” katanya.

Amar Singh berkata, biarpun senjata ini tiruan tetapi ia tetap menjadi kesalahan mengikut Sesyen 36 (1) Akta Senjata Api 160 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-dua sekali.-SH

Maut akibat tergesel



PASIR PUTEH - Akibat kecuaian, seorang remaja lelaki maut di Kilometer Enam, Jalan Gaal ke Kampung Bukit di sini kira-kira jam 7 petang kelmarin, ketika umat Islam lain sedang menanti waktu untuk berbuka puasa.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintenden Mohd Kamal Zainal berkata, mengikut saksi kejadian, mangsa, Mohd Amirul Hafiz Abdullah,17, berasal dari Kampung Dedap, Gaal itu dipercayai sedang merempit bersama dua lagi rakannya yang berumur juga 17 tahun dan 20 tahun.

”Semasa kejadian, mereka bertiga menunggang motosikal masing-masing dan tiba-tiba sebuah motosikal muncul dari arah bertentangan mereka sehingga menyebabkan Mohd Amirul Hafiz terkejut lalu motosikalnya tergesel dengan motosikal dua lagi rakannya yang lain.

”Ini menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan yang teruk di bahagian kepala sehingga meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, salah seorang daripada rakan mangsa mengalami patah kaki manakala seorang lagi cedera ringan di bahagian badan mereka.

Mohd Kamal berkata, kedua-dua mereka telah dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Beliau berkata, mangsa bukan sahaja tidak memakai topi keledar tetapi turut sama tidak mempunyai lesen memandu.

”Masalah tidak memakai topi keledar dan memandu tanpa lesen sudah banyak kali diingatkan dan sudah banyak kempen diadakan untuk menyedarkan orang ramai tentang kepentingannya.

”Namun masih ramai yang tidak mengindahkan ia sehinggalah ramai yang maut disebabkan kecuaian kecil ini, jadi saya berharap kepada ibu bapa terutamanya, supaya memantau anak-anak mereka lebih-lebih lagi di musim perayaan ini,’’ katanya.

Mohd Kamal berkata, beliau tidak mahu Hari Raya Aidilfitri nanti disambut dengan kesedihan dan bukannya kegembiraan.-SH

Suri rumah nayris maut pokok hempap rumah

ALOR SETAR -- Seorang suri rumah, Suhaila Ishak, 36, nyaris maut apabila tiga batang pokok menghempap bahagian dapur rumah mereka di Kampung Alor Gunung dekat sini petang semalam.

Suhaila berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.30 petang semasa dia sedang menyiapkan juadah berbuka puasa sebelum melihat pokok buluh yang berada 10 meter dari dapurnya berpusing seperti hendak tumbang.

"Saya jadi bimbang dan terus lari ke bahagian tengah rumah untuk mendapatkan suami dan anak-anak sebelum tiga batang pokok mempelam, keriang dan pinang menghempap dapur rumah, mengakibatkan keseluruhan dapur dan bilik air rumah rosak teruk.

"Syukur saya keluarga selamat dan tidak berlaku sebarang kecederaan yang serius," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian dekat sini, hari ini.

Semasa kejadian itu hanya dia sahaja yang sedang memasak di dapur manakala suaminya, Ahmad Jamil Abd Halim, 36, serta tiga anak yang lain sedang berehat di bahagian tengah rumah berhampiran dengan dapur.
Suhaila berkata, dia bersama keluarga akan tinggal di rumah ibunya buat sementara waktu sebelum kerja-kerja menebang pokok dan membaiki semula bahagian dapur rumahnya dijalankan.

Sementara itu, Ahmad Jamil yang bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah di Alor Setar berharap ada pihak yang tampil bagi memberi sumbangan kepada keluarganya agar dapat memperbaiki semula dapur rumahnya yang rosak sebelum tiba hari raya.

Katanya pendapatannya sebagai pembantu kantin tidak menentu menyebabkan dia tidak mampu untuk membeli kayu serta bahan pertukangan yang lain memandangkan kos yang terlalu tinggi.

Bagi yang bersimpati dan ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Suhaila di talian 017-4842748. -- BERNAMA, SH

Lelaki disyaki terlibat dalam kes dadah mati ditembak

KAJANG -- Polis menembak mati seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di Taman Impian, Balakong, dekat sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata lapan anggota termasuk seorang pegawai polis membuat serbuan di sebuah rumah kira-kira pukul 1 pagi selepas menerima maklumat tentang kegiatan pengedaran dadah di kawasan perumahan berkenaan.

"Ketika serbuan dibuat, lima suspek termasuk seorang wanita yang berada di perkarangan rumah tidak sempat melarikan diri dan berjaya diberkas polis, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dua lagi suspek, seorang lelaki dan seorang wanita, sempat lari dan bersembunyi dalam sebuah bilik di rumah berkenaan," katanya, dan menambah polis kemudian membolos masuk ke dalam rumah sebelum mengarahkan mereka menyerah diri.

"Setelah hampir tiga jam kami memujuk mereka, hanya suspek wanita yang keluar menyerah diri manakala suspek lelaki enggan berbuat demikian, malah telah melepaskan tembakan ke arah anggota kami," kata Abdul Rashid.

Abdul Rashid berkata ia disusuli kejadian berbalas tembakan, dengan dua das tembakan mengenai tubuh suspek manakala tujuh das tembakan yang dilepaskan suspek ke arah anggota polis tersasar.

Lelaki berusia 34 tahun itu mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, manakala enam yang lain berumur lingkungan 22 dan 47 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Abdul Rashid berkata polis menemui sepucuk pistol jenis Revolver .22mm, sepucuk Glock serta sepucuk pistol mainan yang disorok dalam bilik.

"Turut ditemui beberapa paket dadah jenis syabu, ganja dan heroin dengan anggaran berat lebih 200gm bernilai kira-kira RM5,000. Kami percaya ia untuk dijual di sekitar Kajang," katanya.

Turut dirampas ialah sebuah kereta Mercedes, sebuah kereta Mitsubishi Evo, beberapa bilah parang, beberapa kad pengenalan individu lain dan empat komputer riba. -- BERNAMA,SH

Bawa 2 parang

KUALA NERANG: Suspek yang menetak bapanya sehingga mati dilihat berkeliaran sambil memegang dua bilah parang tanpa arah tujuan sebelum melarikan diri ke kawasan hutan sebaik mendengar bunyi enjin motosikal di Kampung Paya Terap, dekat sini, semalam.
Lelaki berusia 33 tahun itu, yang masih bujang dan turut didapati memakai baju T berwarna coklat dan berseluar pendek, berjalan mundar-mandir sebelum bersandar pada tembok pagar sebuah rumah, jam 8.30 pagi.

Penduduk, Wan Fatimah Megat Yaakob, 49, berkata sebelum itu dia pergi ke kebun getah bersama suaminya dan meninggalkan anak perempuannya, Nurul Ain Zulaika Jaafar, 9, di rumah dengan abangnya.

Menurutnya, sebaik mereka keluar, Nurul Ain mendakwa ternampak melalui tingkap kelibat seorang lelaki berjalan dengan berkaki ayam berhampiran rumah sambil memegang sebilah parang di belakang leher seperti mencari sesuatu.

“Anak memberitahu tiba-tiba lelaki itu berhenti pada sebatang tiang sebelum berpatah balik dan ketika itu dia ternampak sebilah parang lagi terikat pada pinggang suspek yang berambut panjang selain kelihatan seperti kepenatan.

“Dia (anak) berasa pelik melihat lelaki itu kerana lain daripada lain, di samping tidak pernah melihatnya sebelum ini lalu bertindak mendiamkan diri di dalam rumah dan menghubungi saya untuk memaklumkan kejadian.


“Memang saya menasihatkan anak supaya jangan keluar rumah serta mengunci pintu kerana bimbang berlaku kejadian buruk,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, dia juga berasa bimbang dengan kehadiran lelaki terbabit di kampung berkenaan kerana menimbulkan ketakutan penduduk. Katanya, lelaki terbabit didapati melarikan diri semula ke dalam hutan berhampiran kampung ini, dipercayai menyembunyikan diri, selepas mendengar bunyi enjin motosikal menghampirinya.

“Bimbang berlaku kejadian lebih buruk, suami kemudian memaklumkan pihak berkuasa berhubung kehadiran suspek di kampung ini yang terletak tujuh kilometer dari rumah lelaki itu,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang lelaki menetak bapanya, Saman Sirun, 60, hingga mati manakala ibunya cedera di kepala ketika cuba meleraikan pergaduhan, dipercayai akibat marah kepada kucing yang berkeliaran menjelang waktu berbuka puasa, Khamis lalu.

Menu akhir warga emas

JOHOR BAHRU: Juadah ikan kitang singgang menjadi lauk sahur terakhir bagi warga emas, Sabtu Hussin, 57, yang rentung dalam kebakaran di rumahnya di Jalan Pantai, Kampung Bakar Batu, di sini, jam 4.30 pagi semalam.
Ketika kejadian, anak saudaranya yang tinggal bersebelahan terdengar jeritan Sabtu meminta tolong. Bagaimanapun, dalam keadaan kelam-kabut dia gagal berbuat apa-apa berikutan api marak dengan pantas.

Mangsa yang menghidap penyakit tibi tulang tinggal seorang diri berhampiran rumah kakak serta anak saudaranya selepas berpisah dengan isteri, beberapa tahun lalu.

Mayat Sabtu hanya ditemui pada jam 6 pagi dalam keadaan mengiring di atas tilam di sebuah bilik di rumah pusaka itu selepas anggota bomba selesai menjalankan operasi memadam kebakaran.

Kakaknya, Ramlah Hussin, 61, berkata dia yang tinggal tidak jauh dari kediaman Sabtu dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anak perempuannya, Sapiah Wan Hitam, 37.

Menurut Ramlah, Sapiah serta suami dan dua anak mereka berusia lima tahun dan enam bulan sempat menyelamatkan diri selepas kediaman pasangan berkenaan turut terbakar.


“Sebaik habis bersahur, saya dikejutkan dengan kedatangan Sapiah yang memaklumkan berita buruk itu. Sejurus tiba di lokasi kejadian, rumah pusaka berkenaan sudah hangus.

“Sejak berpisah dengan isteri, adik tinggal di sana berseorangan. Memandangkan dia hidup sebatang kara, saya dan anak dijadikan tempatnya mengadu nasib. Setiap hari dia datang ke rumah untuk makan serta meminta wang belanja,” katanya.

Suami isteri terbunuh

KUALA KRAI: Sepasang suami isteri, antara tiga yang maut dalam kemalangan membabitkan dua treler di Kilometer 106, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi, pemandu treler, Mohammad Zu Yusoff, 47, dan isteri, Kamariah Ibrahim, 43, serta kelindan treler itu, Nik Mohd Shahrizan Yaacob, 32, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdul Rahman Ja’apar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler dipandu Mohammad Zu merempuh sebuah lagi treler yang berhenti di bahu jalan.

“Perlanggaran itu menyebabkan Mohammad Zu tercampak ke atas jalan raya sebelum digilis tayar belakang trelernya,” katanya.-hmetro

Remaja tak sempat berbuka

PASIR PUTEH: Keriangan tiga sahabat menunggang motosikal secara beriringan sementara menunggu waktu berbuka bertukar tragedi apabila seorang terbunuh selepas motosikal ditunggang bergesel sesama sendiri di Kampung Bukit, Gaal, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian 7 jam malam di Kilometer 6, Jalan Gaal-Kampung Bukit, Mohamad Amirulhafiz Abdullah, 17, dari Kampung Derdap, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah tengkuk.

Difahamkan, sebelum kejadian, Mohamad Amirulhafiz bersama dua rakannya menunggang motosikal dalam keadaan laju.

Apabila tiba di Kampung Bukit, mangsa dikatakan terkejut melihat sebuah motosikal datang dari arah bertentangan, menyebabkan dia cuba mengelak.

Bagaimanapun, tindakan mangsa menyebabkan motosikal ditungganginya bergesel dengan dua motosikal rakan di sebelahnya lalu ketiga-tiganya terjatuh di jalan raya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, akibat pergeseran itu, mangsa yang tidak memakai topi keledar meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.


Katanya, dua lagi rakannya berusia 17 dan 20 tahun masing-masing patah kaki dan tangan dan dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk rawatan lanjut.



“Siasatan awal polis mendapati, kematian mangsa dipercayai akibat patah tengkuk selepas menunggang motosikal terlalu laju sebelum terjatuh, selain tidak memakai topi keledar.
“Malah, siasatan mendapati, mangsa tiada lesen memandu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-hmetro

Selamba teguk arak

KUALA LUMPUR: Mereka bukan saja ‘lemas’ dengan belaian dan liuk lentok si gadis di lantai tari, malah tanpa segan silu meneguk minuman keras pada bulan puasa.
Perbuatan memalukan lelaki miang yang berusia emas itu jelas dilihat di sebuah kelab dangdut di ibu kota berdasarkan tinjauan Metro Ahad baru-baru ini.

Seawal jam 9 malam ketika umat Islam sedang khusyuk menunai solat tarawih, golongan lelaki berkenaan mula memenuhi ruang di kelab itu hinggalah jam 3 atau 4 pagi sambil ditemani gadis genit yang mungkin seusia anak mereka.

Di satu sudut samar cahaya neon, ada gadis duduk di ribaan lelaki lewat 60-an tanpa segan silu membelai mesra lelaki yang dahagakan pelukan si cantik manis sebelum memujuknya menari.

Lagu berunsur dangdut seperti Abang Joni, Penasaran, Semut Merah dan Tinak Tintaina dinyanyikan penyanyi jemputan kelab berkenaan semakin rancak mengiringi penari dengan pelbagai aksi tarian seksi ditunjukkan pasangan berkenaan.

Lebih menjijikkan, ‘air setan’ diteguk sambil tangan gatal terus membelai si pelayan yang rela diperlakukan apa saja demi wang.


Tinjauan mendapati, seawal jam 11 malam aksi ‘pemanas’ badan menyaksikan 20 penari dangdut mula menari dengan pelbagai gaya diiringi band secara ‘live’. Pada masa sama, mata lelaki nakal dan miang meliar mencari dan memilih penari yang bakal menjadi pasangan bagi menghangatkan malam dengan penuh keindahan.Oleh kerana kelab berkenaan turut menyediakan kemudahan karaoke, ada pelanggan mengisi masa berkaraoke yang dibuka seawal jam 9 malam sambil ditemani gadis cantik dan menggoda.Katanya, kebanyakan pengunjung yang cekap akan melakukan ‘tempahan’ terlebih dulu untuk memilih pasangan penari yang bakal beraksi dengan mereka.-hmetro

Pegawai berkhalwat selepas berbuka

ARAU: “Saya minta maaf ustaz, saya janji tak buat lagi. Saya mengaku berkhalwat dan berjanji perkara ini tidak akan berlaku lagi,” kata seorang wanita berusia 27 tahun yang ditahan bersama pasangannya kerana disyaki berkhalwat di sebuah bilik hotel, di sini, malam kelmarin.
Sebelum itu, anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) bersama Majlis Perbandaran Kangar (MPK) terpaksa menunggu 15 minit sebelum wanita berkenaan dan pasangannya berusia 27 tahun membuka pintu untuk pemeriksaan.

Malah, wanita itu memberi alasan tidak melakukan perbuatan terkutuk di dalam bilik itu, sebaliknya hanya menemani teman lelakinya untuk menukar pakaian.

Pasangan berkenaan yang bertugas sebagai pegawai kerajaan dikatakan baru mendaftar masuk ke hotel selepas waktu berbuka, dan lelaki terbabit sanggup datang dari Pulau Pinang untuk bertemu kekasihnya sempena cuti hujung minggu.

Penolong Pengarah Penguatkuasa Jaips, Suhaimi Ahmad berkata, dalam pemeriksaan jam 11 malam itu, anggota penguat kuasa mengetuk pintu bilik yang dihuni pasangan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, mereka mengambil masa 15 minit sebelum dibuka wanita terbabit lalu anggota penguat kuasa memperkenalkan diri untuk membuat pemeriksaan.


“Wanita berkenaan mengaku berada dalam bilik bersama teman lelaki ketika disoal sebelum lelaki terbabit keluar dari bilik air tanpa memakai baju,” katanya.-hmetro

Peniaga rugi RM14,000 kena samun

RANTAU PANJANG: “Saya tidak menyangka orang yang saya kenali tergamak mengugut mencederakan saya dan anak sebelum melarikan barangan berharga.
“Dia juga sanggup mengacukan kapak di leher pembantu kedai saya supaya saya akur dengan permintaannya,” kata peniaga kedai makan, Rashidah Abdul Rahim, 36, yang menjadi mangsa samun di kediamannya di Kampung Padang Licin, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari, Rashidah kerugian RM14,000 selepas wang tunai, dua utas rantai leher, sebentuk cincin, sepasang subang dan empat telefon bimbit miliknya dan anaknya dilarikan penyamun berusia 29 tahun itu.

Menurut Rashidah, kejadian berlaku ketika dia bersama dua anak perempuannya, Nor Faeqah Yusrida Mat Yusuf, 18, Nor Fatihah Yusrida, 12, dan anak saudara, Mohd Firdaus Abdullah, 3, berehat di dapur sambil menonton televisyen selepas pulang daripada membeli kelengkapan Aidilfitri di sebuah pasar raya di sini.

Katanya, tiba-tiba dia mendengar pembantu kedainya, Mohamad Azmi Ismail, 15, mengerang kesakitan di luar rumah.

“Saya melihat suspek yang juga rakan adik saya menendang Mohd Azmi dan membawanya ke dapur dengan menarik kolar bajunya.


“Suspek mengacukan sebilah kapak di leher Mohd Azmi dan meminta saya menyerahkan barangan berharga. Dia turut mengugut sanggup mencederakan saya dah anak jika permintaannya tidak dipenuhi,” katanya.

Rashidah berkata, suspek merampas beg tangannya mengandungi wang tunai RM3,000, dua utas rantai leher, sebentuk cincin, sepasang subang dan empat telefon bimbit miliknya dan anaknya yang dianggarkan bernilai lebih RM11,000.
“Sejurus merampas barangan itu, suspek melarikan diri menggunakan sebuah motosikal jenis Honda Wave 100 milik saya. ke arah jalan besar sebelum meninggalkannya di tepi jalan dan dipercayai menaiki kereta yang menunggunya.

“Saya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Mas,” katanya.

Menurut Rashidah, ketika kejadian, suaminya, Mat Yusuf Abdullah, 42, tiada di rumah kerana bekerja di Gua Musang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.-hmetro

Kematian wanita jadi misteri

SEBAK... antara ahli keluarga mangsa di tempat kejadian. Gambar kecil, Zainab Che Kob.
SEBAK... antara ahli keluarga mangsa di tempat kejadian. Gambar kecil, Zainab Che Kob.
GUA MUSANG: Penemuan mayat seorang wanita berpakaian lengkap berusia 41 tahun, dipercayai dibunuh sebelum dicampak ke dalam longkang di Kilometer 8, Jalan Gua Musang – Kuala Lipis, di sini, menimbulkan tanda tanya apabila seluar dalamnya ditemui tersangkut di ranting pokok berhampiran tempat mayatnya ditemui, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mayat Zainab Che Kob, 41, dari Kampung Tanah Puteh, di sini, ditemui suaminya, Khiri Zam Mohd Naim, 30, selepas 13 jam mangsa menghilangkan diri.

Ibu kepada 12 anak itu dikatakan keluar dari rumah dengan berjalan kaki seorang diri sejak jam 8 malam, Khamis lalu selepas dikatakan merajuk kerana suaminya tidak memberinya wang RM100 seperti diminta.

Menurut Khiri Zam, dia mencari isterinya sejak Khamis lalu tetapi gagal sebelum mencarinya semula awal pagi kelmarin di sekitar kampung dan bandar Gua Musang.

Katanya, ketika menunggang motosikal, dia ternampak selipar dipakai isterinya di tepi jalan dan memberhentikan motosikal.

“Saya tidak sedap hati apabila menemui selipar dipakai arwah di tepi jalan. Saya terus mencarinya dan menemui mayatnya terbujur di dalam longkang dengan kesan kecederaan di belakang kepala.


“Saya baru mendirikan rumah tangga dengan arwah sejak April lalu dan tiga daripada 12 anak arwah hasil perkahwinan dengan suami dulu juga tinggal bersama saya, manakala yang lain tinggal di tempat lain. Tak sangka kami terpisah buat selama-lamanya,” katanya. Khiri Zam mengakui arwah berperangai pelik sejak pagi Khamis lalu apabila berpuasa separuh hari saja sebelum merajuk dan keluar dari rumah, jam 8 malam tanpa memberitahu arah tujuannya.Katanya, sebelum keluar rumah, arwah meminta wang RM100 dan dia menghulurkan RM50, tetapi isterinya enggan menerimanya dan terus keluar rumah dengan berjalan kaki seorang diri.Saya hanya bekerja sebagai buruh membina rumah di Kampung Pulai. Ketika arwah meminta RM100, saya hanya ada RM50 yang diberi majikan untuk membeli barang keperluan.“Dia (arwah) kerap merajuk dan keluar dari rumah tetapi pulang semula beberapa jam selepas itu, namun kali ini arwah terus pergi buat selama-lamanya,” katanya.Menurut Khiri Zam, penemuan seluar dalam isterinya yang disangkut di kawasan berhampiran, menimbulkan tanda tanya, namun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.Anak mangsa, Mohd Hazizi Razali, 24, pula berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan ibunya ditemui mati di dalam longkang.Saya menemui ibu petang Khamis lalu, tetapi saya lihat keadaan dia biasa saja.Tiba-tiba, pagi ini (kelmarin) saya menerima panggilan telefon daripada seorang adik memaklumkan kejadian menimpa ibu sebelum bergegas ke tempat kejadian.Saya hanya mampu menangis apabila melihat mayat ibu terbujur kaku di dalam longkang,” katanya.Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.Katanya, mangsa dipercayai dibunuh dan polis menahan dua lelaki yang ada kaitan dengan keluarga mangsa untuk membantu siasatan.hmetro

Motif dendam dirogol, disimbah asid

KUALA LUMPUR – Polis menahan bekas suami kepada seorang wanita yang dilaporkan diperkosa sebelum disimbah asid di rumahnya di Wangsa Maju Rabu lalu.
"Suspek yang berumur 30-an ditahan ketika melawat mangsa di Hospital Kuala Lumpur. Seutas rantai dipercayai kepunyaan mangsa turut dirampas daripada suspek,” kata Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan di sini semalam.
Beliau juga berkata, berdasarkan keterangan serta pengakuan suspek sendiri, kejadian tersebut adalah bermotifkan dendam kerana masalah rumah tangga.
Kejadian itu berlaku ketika suspek menceroboh rumah mangsa sebelum mangsa pulang daripada membeli juadah untuk berbuka puasa.
Mangsa kemudiannya dikatakan dirogol dan turut disimbah asid sementara rantai lehernya turut diragut.
Zakaria berkata, mangsa hanya cedera dua peratus pada mukanya kerana asid yang dikatakan disimbah itu hanya merupakan cecair peluntur.
Wanita berkenaan mempunyai tiga orang anak berumur antara 3 hingga 11 tahun dan sudah bercerai sejak setahun yang lepas. – Bernama

Terbakar: Lelaki rentung selepas bersahur

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki ditemui rentung dalam rumahnya yang musnah terbakar di sini, dalam kejadian awal hari ini.
Mayat Sabtu Hussein, 50, ditemui terbaring di atas tilam dalam bilik tidur rumahnya di Jalan Pantai, Kampung Bakar Batu, dipercayai tertidur selepas bersahur.
Ketua operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Raja Saiful Raja Iswandi berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.28 pagi dan tiba di tempat kejadian kira-kira lapan minit kemudian.
Selepas kebakaran berjaya dipadamkan, pihak bomba menemui mayat Sabtu yang tinggal bersendirian di rumah itu, katanya.
Raja Saiful berkata, kebakaran dipercayai bermula di ruang tamu, dan punca kebakaran masih disiasat. – Bernama, kosmo

Tindakan pantas bapa gagalkan cubaan culik

BESUT – Tindakan pantas seorang bapa melaporkan kepada polis kejadian anak gadisnya dilarikan oleh tiga pemuda yang menaiki sebuah kereta Perodua Kancil berjaya menyelamatkan anaknya itu daripada menjadi mangsa culik.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata, dalam kejadian pukul 9.15 malam semalam, bapa berumur 36 tahun dan bekerja sebagai buruh itu terdengar jeritan anak gadisnya yang ketika itu sedang membeli barang di sebuah kedai runcit berhampiran rumah mereka di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut.
“Apabila keluar dari rumah, dia ternampak seorang lelaki yang tidak dikenali sedang menarik anak gadis berumur 15 tahun itu ke dalam sebuah kereta Perodua Kancil berwarna perak yang juga dinaiki dua lelaki lain.
"Tergamam dengan kejadian itu, si bapa tidak sempat mengejar kereta itu kerana ia berlaku terlalu pantas dan segera membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut sejurus kejadian berlaku,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bertindak atas laporan, satu operasi dilancarkan dengan bantuan orang ramai dan akhirnya polis berjaya menahan dua lelaki kira-kira pukul 2.30 pagi ini hasil serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Manok, Pasir Putih di Kelantan iaitu kira-kira 20 kilometer daripada tempat mangsa diculik. – Bernama, kosmo

Rahsia rak hias terbongkar, 6 pelacur ditahan

KUALA LUMPUR – Rahsia rak yang menghiasi sebuah pusat kecantikan spa di Klang dekat sini terbongkar apabila ia sebenarnya menutup sebuah bilik yang dijadikan tempat menawarkan khidmat seks oleh pelacur.
Serbuan polis ke atas pusat itu, yang terletak dalam sebuah hotel di Jalan Batu 3 Lama pada pukul 10.50 malam tadi, menemui enam pelacur wanita rakyat Indonesia di dalam bilik itu yang turut menempatkan 8 bilik kecil.
Ketua unit maksiat Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, ASP Shahrul Nizam Jaafar yang mengetuai operasi itu berkata, ketika serbuan dibuat, semua wanita itu yang berusia antara 26 dan 37 tahun sedang menunggu pelanggan.
"Mereka cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, polis turut menahan tiga lelaki tempatan berusia 23 hingga 26 tahun yang menjaga pusat kecantikan itu.
Shahrul Nizam berkata, serbuan itu merupakan yang kedua ke atas pusat kecantikan yang dibuka sejak tiga tahun lepas itu. – Bernama, kosmo

Wanita ditemui mati, 2 lelaki ditahan

GUA MUSANG – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan seorang wanita yang mayatnya ditemui suaminya kira-kira 1.5 kilometer dari rumah mereka di Km 8 Jalan Gua Musang-Merapoh semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kedua-dua lelaki terbabit, yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan wanita itu, ditahan kira-kira pukul 9 malam tadi.
"Kedua-dua mereka direman hari ini bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat Zainab Che Kob, 41, dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarganya.
Mayat Zainab ditemui dalam keadaan terlentang di dalam longkang dengan kesan kecederaan di belakang kepala oleh suaminya, Khiri Zam Mohd Naim, 30.
Khiri Zam berkata, isterinya keluar rumah kira-kira pukul 8 malam pada Khamis lepas setelah merajuk dengannya kerana tidak memberikan wang RM100 yang dimintanya sebaliknya hanya menghulurkan RM50. – Bernama,kosmo

Syarikat tawar kad eksklusif PATI diserbu




MASRI (tengah) bersama pegawainya menunjukkan kad eksklusif untuk PATI yang dirampas di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Tembelang sebuah syarikat yang kononnya mengeluarkan kad eksklusif kepada warga asing tanpa izin (PATI) sebagai jaminan untuk bebas tinggal di negara ini akhirnya terbongkar selepas diserbu sepasukan penguat kuasa Imigresen Johor kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, Imigresen berjaya menahan pemilik syarikat itu iaitu seorang wanita tempatan berusia 50-an selain tiga lelaki warga Indonesia yang sedang mengisi borang untuk mendapatkan kad kebal berkenaan.
Ketua Penguat Kuasa Imigresen negeri, Masri Abdul berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati syarikat yang sudah beroperasi selama tiga bulan itu menjalankan proses pendaftaran pekerja asing sah tetapi pada masa sama turut menawarkan keahlian kad kebal dengan bayaran di antara RM1,500 hingga RM3,000 seorang.
“Meskipun pendaftaran yang dijalankan sah tetapi mereka turut mengeksploitasi warga asing dengan tawaran kad keahlian yang didakwa membolehkan warga asing terbabit kebal daripada sebarang tindakan undang-undang pihak berkuasa.-kosmo

‘Saya tak tahu ini salah’


DITAHAN...’orang emas’ yang mengenakan bayaran RM2 setiap kali gambarnya dirakam ditahan penguat kuasa JKM di Jalan Bukit Bintang, kelmarin.
DITAHAN...’orang emas’ yang mengenakan bayaran RM2 setiap kali gambarnya dirakam ditahan penguat kuasa JKM di Jalan Bukit Bintang, kelmarin.

KUALA LUMPUR: “Saya tak tahu langsung pekerjaan yang saya buat ini sebenarnya salah. Kalau saya tahu, saya tak akan ambil risiko untuk melakukan kerja ini,” kata ‘orang emas’ yang ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan dalam satu operasi di Bukit Bintang, di sini, jam 9 malam kelmarin.
Dia yang mahu dikenali sebagai Elvis, 42, berkata menjadi ‘orang emas’ atau ‘Gold Man’ adalah sumber rezekinya dan pendapatan diperoleh agak memuaskan serta mampu menampung isteri dan dua anak berusia dua bulan dan tiga tahun yang tinggal di Ipoh, Perak. “Saya diberi jaminan oleh rakan bahawa pekerjaan ini tidak salah dan pihak berkuasa tidak akan mengganggu serta dijanjikan pulangan pendapatan dengan sekelip mata.

“Tanpa berfikir panjang, saya membeli tiket ke Kuala Lumpur seminggu lalu. Ini hari keempat saya bekerja sebagai Gold Man. Tidak sangka akan ditahan pihak berkuasa,” katanya.

Elvis berkata, kini dia risau memikirkan nasib isteri dan anaknya jika kesalahan yang dilakukan akan menyebabkannya didakwa serta ditahan dalam tempoh yang agak lama.

“Saya buntu memikirkan nasib isteri dan anak yang masih kecil, bagaimana isteri akan mencari wang untuk menampung kehidupan mereka kerana selama ini dia tidak pernah bekerja,” katanya.

Katanya, sepanjang empat hari melakukan pekerjaan itu dia mampu memperoleh pendapatan antara RM100 dan RM200 dalam sehari.


Apa yang dilakukannya hanyalah berdiri dengan meletakkan satu tin kosong dan mengharap simpati orang ramai memasukkan duit bagi membolehkannya membuat pelbagai gaya sambil orang ramai merakam gambar bersamanya.
Elvis berkata, selepas mengetahui apa dilakukannya menyalahi undang-undang dia menyesal dan akan lebih berhati-hati memilih pekerjaan pada masa hadapan. Sementara itu, Ketua Bahagian Warga Tua dan Keluarga JKM Wilayah Persekutuan, Mujah Hamat berkata, kegiatan Elvis yang meraih simpati agar diberikan sumbangan kewangan dianggap sebagai mengemis.
“Dia akan disiasat mengikut Seksyen 32 Akta Orang Papa 1977 dan boleh ditahan untuk tempoh sebulan,” katanya.
hmetro