Search This Blog

Friday, August 12, 2011

Tiga sekeluarga maut nahas

KEPALA BATAS – Tiga sekeluarga maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan yang mereka naiki dirempuh sebuah pacuan empat roda di Permatang Binjai di sini ketika dalam perjalanan pulang dari membeli juadah berbuka puasa petang semalam.
Dalam nahas pada 6.45 petang itu, dua beradik Nurmadiah Hashim,38, dan Nurhashima Hashim, 44, serta menantu Nurhashima, Shamsul Kamal Razali, 38, mati di tempat kejadian.
Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Seberang Perai Utara ASP Suhaimi Md Nor berkata, isteri Shamsul Kamal, Siti Suraya Mansor, 23, dan saudara mereka Mohd Firdaus Azlan, 10, cedera parah dan dirawat di Hospital Seberang Jaya di sini.
"Mereka pergi ke bazar Ramadan Maklom dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Bakar Kapur, Penaga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Suhaimi berkata, kemalangan itu berlaku apabila kenderaan yang dipandu Siti Suraya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika di simpang empat Jalan Permatang Binjai.
"Kereta pacuan empat roda dari arah Butterworth itu dipandu laju dan melanggar bahagian kiri kenderaan dinaiki lima sekeluarga terbabit sehingga menyebabkannya terseret ke bahu jalan, manakala kereta pacuan empat roda itu pula terbalik,” katanya.
Suhaimi berkata empat orang yang menaiki kereta pacuan empat roda itu hanya cedera ringan. - Bernama, kosmo

Saksi lihat remaja jatuh bas dicari

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang melihat kejadian seorang remaja perempuan yang terjatuh dan pengsan ketika turun dari sebuah bas berdekatan Restoran KFC, Jalan Genting Klang pada 10 pagi Isnin lepas diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.
Pengerusi MCA Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look berkata, semasa kejadian Tan Hwee Yee, 18, dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah pusat tuisyen di sini dikatakan tersepit di pintu bas sebelum terjatuh ke atas jalan raya.
"Akibat kejadian itu, mangsa yang bekerja sebagai guru tuisyen sambilan pengsan dengan telinganya berdarah. Pemandu bas itu telah membawa mangsa ke sebuah klinik berhampiran dan membuat laporan polis, dan turut memaklumkan pusat tuisyen Hwee Yee bekerja,” katanya pada sidang berita di sini hari ini.
Beliau berkata Hwee Yee kini masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Teong Look berkata semasa kejadian barangan peribadi Hwee Yee turut hilang termasuk dompet, telefon bimbit dan kad pengenalannya.
Sementara itu, bapa mangsa Tan Gar Choon, 41, berharap saksi yang melihat kejadian yang menimpa anak sulung dari tiga orang adik beradik itu dapat tampil memberi keterangan supaya anaknya dapat diberi pembelaan sewajarnya.
Mereka yang melihat kejadian itu boleh menyalurkan maklumat ke talian telefon 03-4143 1270 atau 03-4143 1280 serta di mana-mana balai polis yang berhampiran. - Bernama, kosmo

Rumah nenek terbakar gara-gara cucu main mercun

KOTA BAHARU: Seorang kanak-kanak nyaris terbakar akibat bermain mercun dan bunga api, namun rumah neneknya pula yang mengalami kebakaran.
Kejadian berlaku di Jalan Padang Garong dekat sini kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
Ahmad Murshidi Fuad, 7, sempat diselamatkan oleh Wan Kalzaman Wan Mohamad, 49, yang kebetulan melalui kawasan rumah itu.

Mangsa ditemui dalam rumah itu sambil menangis dengan tangannya masih memegang mercun dan bunga api.


Menurut Wan Kalzaman, beliau melihat api membakar rumah batu setingkat itu dengan seorang remaja sedang menyelamatkan dua buah motosikal.hmetro

Ibu, kakak Stefanie beri sampel untuk ujian DNA

KUANTAN — Ibu dan kakak Stefanie Foray, warga Perancis yang dipercayai dibunuh dan mayatnya ditanam di sebuah gua di Pulau Tioman, tiba di sini hari ini bagi menyerahkan sampel untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Mereka tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan kira-kira 12 tengah hari tadi dengan ditemani pegawai dari Kedutaan Perancis serta anggota polis.
Sumber polis memberitahu Bernama pihak hospital telah mengambil sampel darah daripada kedua-duanya bagi dipadankan dengan DNA rangka manusia yang ditemui di Kampung Tekek, Pulau Tioman pada Isnin lepas.
Foray, 30, yang berasal dari Bour En Bresse, Perancis dilapor hilang sejak 8 Mei lepas.
Susulan laporan polis yang dilakukan keluarga wanita itu menerusi wakil Perancis di Singapura, siasatan mendapati Foray ke Pulau Tioman pada 10 Mei dan tidak pernah mendaftar keluar.
Siasatan lanjut polis membawa kepada penemuan rangka manusia yang dipercayai Foray, ditanam sedalam tiga meter di sebuah gua di kampung itu pada 8 Ogos lepas. — Bernama

Kontraktor potong rumput perdagangkan amah dipenjara lapan tahun

GEORGETOWN: Seorang kontraktor potong rumput dijatuhi hukuman penjara lapan tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan memperdagangkan seorang pembantu rumah rakyat Indonesia dengan tujuan mengeksploitasi wanita itu tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Roslan Hamid bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman terhadap tertuduh A Vealu, 41, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, dan membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan dua orang penjamin.
Vealu, 41, dan isterinya S Poongavanam,36, bersama beberapa yang lain dituduh memperdagangkan Win Faidaa, 26, di sebuah flat di Jalan Penawar Satu, Sri Wangsa Satu, Jelutong di sini antara 10 pagi 25 Januari dan 10.30 pagi 13 September 2009.
Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang boleh membawa hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Poogavanam yang mengaku bersalah pada pertengahan proses perbicaraan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun.

Vealu diwakili peguam bela Mohd Fauzi Abdullah manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Firdaus Hanafiah. - BERNAMA ' bharian

Dagang manusia: Kontraktor dipenjara 8 tahun

GEORGE TOWN — Seorang kontraktor potong rumput dijatuhi hukuman penjara lapan tahun setelah didapati bersalah terhadap tuduhan memperdagangkan seorang pembantu rumah rakyat Indonesia dengan tujuan mengeksploitasi wanita itu tahun lepas.
Hakim Mahkamah Sesyen, Roslan Hamid bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman terhadap tertuduh A. Vealu, 41, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, dan membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan dua orang penjamin.
Vealu, 41, dan isterinya S. Poongavanam,36, bersama beberapa yang lain dituduh memperdagangkan Win Faidaa, 26, di sebuah flat di Jalan Penawar Satu, Sri Wangsa Satu, Jelutong di sini antara 10 pagi 25 Jan dan 10.30 pagi 13 Sept 2009.
Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang boleh membawa hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Poogavanam, yang mengaku bersalah pada pertengahan proses perbicaraan, telah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun. Vealu diwakili peguam bela Mohd Fauzi Abdullah manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Hanafiah. — Bernama, kosmo

Lelaki mati ditetak saudara sendiri

ALOR SETAR – Seorang lelaki berumur 60 tahun mati ditetak dengan parang oleh ahli keluarga terdekatnya manakala isteri cedera dalam satu kejadian sejurus sebelum berbuka puasa di rumah mereka di Kampung Pasir Putih di Kuala Nerang dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian sekitar 7 malam tadi, Seman Siron, 60, meninggal dunia di Hospital Kuala Nerang akibat kecederaan di kepala, putus pergelangan kaki kanan selain cedera di kedua-dua belah tangannya manakala isterinya, Hasmah Abdul Majid, 58, cedera di belakang kepala.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Ku Yaacob Ku Hamad berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila suspek berusia 33 tahun memarahi anak-anak saudaranya yang membuat bising ketika mereka sedang menunggu untuk berbuka puasa. - Bernama,kosmo

Lelaki miliki mercun bernilai RM9,000 ditahan

KUANTAN — Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai memiliki pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM9,000 di sebuah stesen minyak, Semambu di sini, awal pagi tadi.
Timbalan Komander Pasukan Gerakan Marin Polis Wilayah Tiga Kuantan, Supt. Sapian Salihin berkata bertindak berdasarkan maklumat awam sepasukan gerakan Marin telah membuat intipan di kawasan berkenaan.
"Dalam intipan 3.50 pagi tersebut, suspek, 38, yang memandu kereta berseorangan telah ditahan berhampiran stesen minyak berkenaan.
"Hasil pemeriksaan polis telah menemui 17 jenis mercun yang disimpan di dalam kenderaan berkenaan dan dianggarkan bernilai RM9,000,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, mercun berkenaan dipercayai untuk diedarkan di kawasan bazar Ramadan di sekitar Kuantan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Letupan 1957. — Bernama, kosmo

Dua maut motosikal berlanggar bas ekspres di Kulim

KULIM: Dua lelaki maut setelah motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah bas ekspres di satu selekoh di KM 7 Jalan Kulim-Junjong di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 5 pagi itu, bas milik syarikat Star Ekspres itu dipercayai menyeret kedua-dua mangsa bersama motosikal kira-kira 20 meter.
Berdasarkan kad pengenalan yang ditemui pada pakaiannya, seorang daripada mangsa dikenali sebagai Ridwan Che Embi, 28, dari di Kampung Tengah, Alma, Bukit Mertajam manakala identiti seorang lagi belum dapat dikenal pasti.
Mayat kedua-duanya dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat.

Pemandu bas berkenaan, Mokhtar Hassan, 46, berkata beliau bertolak dari Melaka menuju Kulim pada jam 10 malam tadi dan ketika kejadian, terdapat tiga penumpang yang kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintenden Ghuzlan Salleh ketika dihubungi Bernama, menasihatkan pengguna jalan Kulim-Junjong supaya lebih berhati-hati terutama di sekitar tanah perkuburan Cina di situ kerana terdapat beberapa selekoh berbahaya di situ. - BERNAMA bharian

Rumah kedai hangus



ALOR PONGSU – Berputih mata. Itulah keadaan yang menimpa seorang tukang jahit apabila rumah kedai yang didiaminya musnah dalam satu kebakaran pada jam 10:45 pagi, semalam.

Zaniah Talib, 49, berkata, ketika kejadian, dia baru sahaja mahu mula memasak untuk juadah berbuka puasa memandangkan pada sebelah petang akan menjahit pakaian tempahan Aidilfitri.

Menurutnya, sewaktu menekan suis elektrik di bahagian dapur rumahnya secara tiba-tiba terdapat percikan api yang terus menyambar dinding dan marak dengan cepat.

“Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang termasuk dokumen penting dan wang hasil perniagaan yang diletakkan di dalam laci.

“Tiga mesin jahit dengan anggaran harga RM10,000 turut musnah dalam kebaka�ran itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Zaniah yang juga ibu tunggal terpaksa berlari keluar rumah dan menjerit meminta pertolongan jiran berdekatan.

Bagaimanapun dia bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku kerana ketika kejadian hanya dia seorang sahaja di rumah.



Bumbung tadika disambar api



Kebakaran yang memusnahkan rumah kedai Zaniah turut menyambar bumbung bangunan yang menempatkan dua tadika iaitu Tadika Kemas dan Tadika Islam.

Pemaju Masyarakat Pusat Sumber Kemas, Roslina Sulaiman, 49, berkata, dia terdengar jeritan Zaniah ketika berada di pejabat yang terletak di sebelah rumah mangsa.

Menurutnya, apabila menyedari api semakin marak dan menyambar bumbung bangunan, dia bersama dua guru memindahkan 56 kanak-kanak sesi pagi yang sedang belajar ke kawasan pusat sumber dan di Pejabat Penghulu Mukim Beriah.

“Saya bersama guru Tadika Islam, Siti Zubaidah Omar, 56, dan guru Tadika Kemas, Rohani Mat Dan, 30, memindahkan kanak-kanak berkenaan ke dua kawasan itu yang terletak agak jauh dari tempat kejadian.

“Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan walaupun bahagian bumbung dan tingkap bangunan itu terbakar,” katanya



Punca kebakaran masih disiasat



Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Bagan Serai Mohamad Othman Dahlan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 10.51 pagi dan sampai ke tempat kejadian sembilan minit selepas itu.

Menurutnya, sebuah jentera, satu kenderaan ringan bersama 11 anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kami turut mendapat bantuan dua jentera bomba sukarela dari Bagan Serai dan Kuala Kurau.

“Api dapat dikawal sekitar jam 11.25 pagi dan setakat ini, anggaran kerugian awal adalah sekitar RM50,000 termasuk tiga mesin jahit, sementara punca kebakaran masih disiasat,” katanya.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.



Bantuan segera disalurkan esok



Kejadian malang itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

Sham berkata, pihaknya menyerahkan bantuan kepada mangsa pada jam 10 pagi hari ini.

Menurutnya, beliau juga sudah berbincang dengan penghulu mukim untuk menyediakan tempat tinggal sementara untuk keluarga Zaniah sementara menanti bantuan susulan.

“Kita mohon pejabat penghulu menyediakan Dewan Serbaguna Pekan di Alor Pongsu sebagai tempat penginapan sementara untuk mangsa berteduh.

“Esok, Tabung Bencana Daerah akan memberi bantuan berjumlah RM1,000, pakaian dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), UMNO Bahagian Bagan Serai pula sebanyak RM1,000 manakala Baitulmal akan membantu mencari rumah sewa sementara,” jelasnya.

Beliau sendiri akan melaporkan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir esok untuk tindakan lanjut.-SH

Kolej swasta diarah pulang wang pelajar

SEREMBAN –Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Negeri Sembilan, semalam, mengarahkan sebuah kolej swasta mengembalikan yuran pendahuluan sebanyak RM2,000 kepada bapa salah seorang calon pelajarnya.

Presiden TTPM Negeri Sembilan, Maznah Harun memerintahkan kolej terbabit membayar jumlah berkenaan kepada Abdullah Abd Rahman, 59, dalam tempoh 14 dari tarikh perbicaraan.

Abdullah berkata, dia terkejut apabila diminta membayar yuran pendahuluan sebanyak RM2,000 ketika anaknya menghadiri sesi temuduga, Mac lalu.

“Saya tidak membawa wang cukup pada masa itu kerana niat asal saya hadir adalah untuk menilai pakej pendidikan disediakan kolej berkenaan.

“Bagaimanapun, salah seorang kakitangan kolej bermurah hati meminjamkan wangnya sebanyak RM200 bagi membolehkan saya membayar yuran pendahuluan seperti diminta,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri perbicaraan di TTPM Negeri Sembilan dekat sini, semalam.

Menurutnya, kejutan lebih besar diterima setelah tiba di rumah apabila melihat dia perlu menjelaskan pinjaman pendidikan sebanyak RM60,000 seperti tertera pada dokumen pakej yuran pengajian kolej berkenaan.

Kata Abdullah, selain itu, dia dikehendaki membayar sebanyak RM8,000 dalam masa satu bulan dari tarikh temuduga di samping beberapa bayaran lain.

“Saya meminta pihak kolej memulangkan wang yang telah dibayar.

"Namun mereka gagal melakukannya menyebabkan saya terpaksa membuat tuntutan menerusi TTPM Negeri Sembilan,” katanya.-SH

Bazar Ramadan dilanda ribut



KUALA KLAWANG - Sembilan khemah peniaga di Bazar Ramadan Kuala Klawang runtuh setelah dipukul ribut kira-kira jam 1.40 petang semalam.

Ketika kejadian, aktiviti perniagaan di bazar berkenaan belum bermula dan rata-rata peniaga masih belum datang membuat persediaan berniaga di bazar berkenaan.

Menurut saksi, Rosmanida Abdul Hamid, 40, ketika kejadian hanya dia dan dua anaknya berada di kawasan berkenaan.

“Anak saya duduk di bawah khemah di tempat saya berniaga dan ketika kejadian itu, hanya kami sahaja berada di sini.

“Anak saya sempat melarikan diri apabila satu persatu khemah runtuh ketika angin kencang pada jam 1.40 yang kemudiannya meruntuhkan satu deretan khemah peniaga di sini,” katanya.

Rosmanida yang merupakan peniaga kuih muih berkata demikian ketika ditemui di tempat kejadian petang semalam.

Sementara itu, seorang lagi peniaga terpaksa menanggung kerugian apabila empat khemah disewanya runtuh dalam sekelip mata.

Hafirah Mauris, 30, berkata, dia tidak dapat meneruskan aktiviti perniagaannya kerana kebanyakan peralatan meniaga rosak teruk.

“Saya memang tidak dapat berniaga hari ini kerana semua barang sudah rosak dan memerlukan masa untuk membaikinya semula.

“Saya sudah keluarkan modal kira-kira RM900 untuk berniaga hari ini tetapi nampaknya hasrat terpaksa dihentikan sebab khemah rosak teruk,” katanya.

Hafirah yang menetap di Taman Naga Mas, Titi berniaga di bazar berkenaan bersama suaminya Razali Daut, 35.

Sementara itu, Razali berkata, selain khemah, kanvas penahan hujan, payung tambahan dan barangan masakan asas seperti telur turut musnah.

Razali menjalankan perniagaan makanan barat di bazar berkenaan sejak 1 Ramadan lalu.

Peniaga-peniaga bazar yang terlibat dalam kejadian ini turut meminta pihak berkenaan membayar ganti rugi kepada mereka bagi meringankan beban kerugian ditanggung akibat kejadian itu.-SH

Rangka milik warga Pakistan



SHAH ALAM – Polis mengenal pasti rangka manusia yang ditemui di sebuah kawasan kebun terbiar di Kampung Bumi Hijau, Kundang, Rawang adalah milik seorang warga asing.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Sungai Buloh mendapati rangka itu dipercayai warga Pakistan.

“Tetapi kita tidak dapat memastikan status kewarganegaraannya. Keputusan penuh bedah siasat masih belum diperoleh,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Pada 5 Ogos lalu, rangka itu ditemui orang awam yang melalui kawasan tersebut dan dipercayai berada di kawasan tersebut sejak enam bulan lepas berdasarkan siasatan awal polis.

Mangsa berkemungkinan seorang lelaki berdasarkan penemuan baju dan seluar serta sepasang kasut berwarna hitam yang ditemui berhampiran rangka itu.

Polis tidak menemui sebarang senjata yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa di tempat kejadian.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-SH

Penganggur hadapi hukuman gantung



KUALA TERENGGANU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dakwaan mengedar heroin yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Tertuduh, Mohd Nazri Awang, 20, dari Kampung Baru, Tepoh didakwa mengedar heroin seberat 80 gram pada 23 Jun lalu kira-kira jam 6.30 petang di Stesen Minyak Shell, Kampung Padang Air, Tepoh.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Zulfazliah Mahmud di hada-pan Majistret Nor Azizah Yusof.

Nor Azizah menetapkan 26 September depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang masih berstatus bujang ditangkap berdekatan dengan tempat pam angin di stesen minyak tersebut ketika sedang menaiki motosikal Yamaha Ego berwarna putih.

Pada awalnya, tertuduh cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota polis namun gagal dan hasil pemeriksaan dibadan tertuduh, polis gagal menjumpai sebarang barangan yang salah.

Pemeriksaan lanjut didalam bakul sebelah kiri hadapan motosikal itu telah menemui sebungkus plastik lutsinar warna kuning di dalamnya mengandungi sebungkus surat khabar dan didapati di dalamnya terdapat 20 botol plastik lutsinar bertudung kuning mengandungi serbuk putih disyaki dadah.-SH

Syarikat diarah bayar semula RM8,000

KUANTAN - Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) mengarahkan syarikat gores dan menang membayar balik wang RM8,000 kepada pelanggannya.

Presiden TTPM, Maznah Haron berkata syarikat tersebut dihendaki membayar kembali wang itu dan mengambil semula semua barangan elektrik yang diberikan kepada pelanggan tersebut.

Pelanggan gores dan menang, Wan Ahmad Shah Khir Wan Ali, 21, berkata, ketika kejadian dia bersama ibu dan saudara berjalan di sebuah pusat membeli belah di daerah ini didatangi dua agen jualan.

“Pada mulanya saya ragu dengan hadiah mewah yang ditawarkan oleh mereka seperti kereta, percutian luar negara dan pelbagai lagi.

"Selepas itu kami dibawa ke pejabat mereka dan mereka menyenaraikan hadiah yang dimenangi emak namun perlu membayar cagaran,” katanya.

Dia berkata, emaknya dihendaki membayar cagaran terlebih dahulu sebelum membayar RM8,000 kepada mereka.

“Kami tidak bersetuju untuk membayar kerana hadiah barangan elektrik yang ditawarkan mereka tetapi didesak oleh mereka.

Kemudian kami diberi kad setelah membayar RM3,700 namun tidak dibenarkan membukanya sebaliknya perlu membayar RM4,300 barulah dibenarkan membuka kad tersebut,” katanya.

Setelah kami membayar penuh pada hari tersebut, kami membawa pulang tiga barangan elektrik iaitu dapur, ketuhar dan tilam jed yang langsung tidak digunakan lagi.

Wan Ahmad berkata ibunya merasakan tertipu dengan kejadian itu setelah membaca kes penipuan gores dan menang dalam akhbar tempatan lalu menyuruh saya membuat laporan ke TTPM.

Dia kemudiannya ke pejabat syarikat tersebut namun syarikat itu telah menukarkan nama syarikat mereka semasa menghantar surat tuntutan ke pejabat itu.

“Kesal dengan apa yang berlaku dan berharap masyarakat di luar sana berhati-hati dengan taktik penipuan yang dijalankan oleh syarikat gores dan menang,” katanya.-SH

Pengusaha ikan sangkar resah



TEMERLOH – Lebih 15 pengusaha ikan sangkar membabitkan lebih 200 sangkar ikan di tiga kampung kerugian puluhan ribu ringgit apabila ternakan mereka mati akibat kegiatan menuba ikan di Sungai Semantan dijalankan pihak tidak bertanggungjawab.

Kegiatan yang berlarutan sejak dua bulan lalu itu menyebabkan ikan peliharaan mereka mati dan bantut akibat terkena racun tuba.

Pengusaha, Mohd Rosadi Abdullah, 33, dari Kampung Lompat, di sini, berkata, kejadian terbaru berlaku malam kelmarin apabila ada saksi melihat penuba ikan menaiki lima bot mencurah racun tuba ke dalam Sungai Semantan di Kampung Gantuk, kira-kira jam 11 malam.

Menurutnya, kejadian malam kelmarin adalah yang kelima sejak dua bulan lalu dan ia lebih teruk kerana mengakibatkan pengusaha ikan sangkar di Kampung Gantok, Kampung Paya Tambang dan Kampung Lompat mengalami kerugian lebih RM20,000 setiap seorang.

“Ada lebih 200 sangkar ikan di sini dan jika setiap sangkar boleh mengakibatkan kerugian RM6,000, sudah tentu kerugian kami mencecah ratusan ribu ringgit,” katanya, semalam.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha, Zainal Abidin Abdul Rahman, 67, berkata, kejadian malam semalam menyebabkan lebih lima tan ikan patin buah iaitu spesies patin liar berharga mahal mati akibat racun tuba.

Menurutnya, difahamkan ada penuba membawa naik hasil laut sehingga bot mereka melimpah dengan spesies ikan itu.

“Mereka dipercayai menggunakan akar tuba dan menaikkan hanya spesies patin. Perkara ini amat dikesali kerana ada patin yang mati mempunyai berat mencecah 10 kilogram.

“Ikan patin ini dipercayai datang dari Sungai Pahang dan masuk ke Sungai Semantan untuk bertelur, tetapi mati disebabkan sikap tamak penuba,” katanya.

Shahrul Abu Samah, 38, berkata, penuba ikan itu sudah lama berniat mencurah racun tuba ke dalam Sungai Semantan berhampiran kampungnya kerana kawasan itu antara lokasi dikenali mempunyai banyak ikan.

Menurutnya, mereka banyak kali cuba masuk ke kawasan itu tetapi dihalang penduduk, namun malam kelmarin mereka berjaya masuk mengakibatkan pengusaha ikan sangkar turut mengalami kerugian.

“Kami meminta pihak berkenaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit dalam kejadian ini supaya ia menjadi pengajaran kepada pihak lain,” katanya.

Ketua Kampung Lompat, Samaredin Ishak, 56, berkata, pengusaha ikan sangkar dan penduduk sepakat membuat laporan polis berhubung kejadian itu supaya pihak berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya.

Menurutnya, penduduk dan pengusaha ikan sangkar juga mendesak Jabatan Perikanan Pahang mengambil tindakan segera berkaitan kejadian itu kerana sejak kali pertama berlaku, masih tiada tindakan diambil jabatan terbabit.

“Kami gesa pihak berkenaan mengambil tindakan segera sekurang-kurangnya dengan memberi amaran supaya mereka menghentikan kegiatan haram itu,” katanya.-SH

Enam lelaki gaduh ditahan

SHAH ALAM – Polis menahan enam lelaki, disyaki terlibat dengan pergaduhan antara dua geng di hadapan sebuah bengkel kereta di Sungai Buloh, Selangor, malam kelmarin.

Sumber berkata, polis menerima panggilan menyatakan bahawa terdapat kebakaran berlaku di sebuah kilang di situ, kira-kira jam 10 malam.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, polis dapati ada pergaduhan berlaku antara dua geng yang dipercayai disertai lebih 10 orang di hadapan bengkel berkenaan, berdekatan kilang yang dilaporkan terbakar.

“Polis kemudiannya menahan enam lelaki, empat daripada mereka cedera termasuk seorang suspek yang parah hampir putus tangan, manakala mereka yang lain dapat larikan diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut sumber, difahamkan tiga kereta di bengkel terbabit musnah dipercayai akibat kejadian itu.

Katanya, polis menemui parang dalam sebuah kereta jenis Toyota Altis yang diletakkan berhampiran bengkel tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian berlaku.-SH

Remaja hilang ditemui di Batu Pahat, Johor



KAMPAR – Remaja 17 tahun yang hilang sejak 4 Ogos lalu ditemui dalam keadaan selamat bersama seorang lelaki berusia 19 tahun dipercayai teman lelakinya di kawasan pekan Air Hitam, Batu Pahat, Johor kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Seri Najwa Ferda Hasan, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar dilaporkan hilang selepas keluar daripada rumahnya di Rancangan Perumahan Tambahan (RPT) Tualang Sekah jam 6.45 pagi hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, siasatan awal polis mendapati Seri Najwa Ferda mengenali lelaki berkenaan, Muhammad Abdul Hamid sejak tiga bulan lalu melalui laman sosial facebook.

Menurutnya, lelaki terbabit bekerja sambilan di sebuah bengkel kereta di Simpang Pulai manakala keluarganya menetap di Seri Iskandar.

“Berdasarkan keterangan awal yang diterima, gadis terbabit mengikut pelawaan teman lelakinya yang dikatakan mendapat tawaran kerja di Air Hitam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Kampar, semalam.

Abdul Aziz berkata, kejayaan itu adalah hasil siasatan rapi dan usaha polis di samping maklumat disampaikan orang awam mengenai kehilangan remaja ini.

Bagaimanapun, beliau meminta supaya orang ramai tidak salah faham dengan paparan berita yang disiarkan sebelum ini yang menyatakan remaja berkenaan diculik sedangkan perkara sebenar adalah sebaliknya.

“Spekulasi remaja terbabit diculik adalah tidak benar kerana mengikut keterangan yang diambil ia lebih kepada kerelaan sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Aziz menasihatkan supaya ibu bapa sentiasa memantau pergerakan anak mereka dari semasa ke semasa bagi mengelakkan perkara seperti ini berlaku.

“Ibu bapa perlu lebih prihatin dengan gerak geri di samping mengenali rakan-rakan serta aktiviti yang disertai anak mereka,” katanya.

Sementara itu, ibu remaja terbabit, Seri Wangi Mokhtar, 42, berterima kasih kepada polis, media dan semua yang membantu dalam usaha mencari anaknya sejak 4 Ogos lalu.

Menurutnya, sehingga semalam beliau masih tidak membuat sebarang keputusan berhubung perkara ini dan menyerahkannya 100 peratus kepada polis.

“Saya rasa perkara yang terjadi ini adalah dugaan Allah ke atas kami sekeluarga dan Allah tidak akan memberi dugaan kepada orang yang tidak mampu untuk menghadapinya.

“Apa yang berlaku saya reda dalam mengharungi semua dugaan yang mendatang dan paling penting anak saya ditemui dalam keadaan selamat,” katanya yang bercadang untuk mengadakan kenduri doa selamat pada bulan Ramadan ini.-SH

Pesara menang saman Felcra



IPOH - Seorang pesara menerima hadiah paling istimewa menjelang Aidilfitri apabila memenangi saman pencerobohan ke atas Felcra Berhad.

Plaintif, Mohamad Ramly Sanji, 60, memfailkan saman berkenaan pada 2008 selepas mendapati pihak defendan iaitu Felcra Berhad melakukan pencerobohan ke atas tanah seluas dua hektar di Jalan Kacu, Tapah yang dibangunkan bagi tujuan tanaman kelapa sawit.

Keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Ipoh melalui Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Dr Hassan Ab Rahman.

Melalui keputusan itu, mahkamah memutuskan bahawa perjanjian yang dibuat oleh Felcra dengan ibu plaintif tidak sah.

Selain itu mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi mandatori yang menetapkan bahawa defendan perlu mengosongkan tanah tersebut dalam masa 30 hari dan segala kos pengosongan itu perlu ditanggung defendan.

Pihak defendan juga perlu membayar ganti rugi kepada plaintif dan kos tindakan itu akan ditaksirkan mahkamah.

Plaintif diwakili peguam, Wan Rohimi manakala defendan diwakili Farah Nadiah Zainudin.

Sementara itu, Mohamad Ramly yang ditemui bersyukur kes saman itu berjaya diselesaikan dan menganggapnya sebagai hadiah yang sungguh bermakna.

Menurutnya, kes berkenaan berjaya diselesaikan dengan sokongan Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa).

Hadir sama meraikan kejayaan itu, Ahli Jawatankuasa Bapa Negeri Perak, Yusof Mat.-SH

Rumah dihempap pokok



TAMAN PUTRI – Penduduk Jalan Sri Putri 1/11, di sini tidak menyangka hujan lebat dan angin kencang kira-kira satu jam bermula 2.30 petang kelmarin menyebabkan sebuah kediaman di situ ditimpa pokok.

Penduduk, Loh Choon Ho, 24 berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang tidur namun tiba-tiba dikejutkan oleh adiknya yang memaklumkan terdengar bunyi kuat dari arah hadapan rumah mereka.

“Kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 petang dan adik memberitahu terdapat bunyi yang sangat kuat dari arah luar rumah kami.

“Kemudian jiran dari rumah sebelah turut datang dan memaklumkan bahawa bahagian hadapan rumah kami telah dihempap pokok yang tumbang dari bahu jalan.

“Lalu kami meninjau keadaan di luar dan mendapati sebahagian tembok pagar rumah telah pecah kerana dihempap pokok berkenaan,” katanya.

Choon Ho berkata, kejadian itu adalah kali pertama berlaku di kawasan itu dan dia tidak menyangka hujan lebat pada petang itu menyebabkan kerosakan terhadap kediamannya.

“Kami telah beberapa tahun tinggal di sini dan kejadian sebegini tidak pernah terjadi walaupun sering berlaku hujan lebat.

“Keadaan ini menyebabkan kerugian kepada kami untuk membaiki semula kerosakan yang berlaku tetapi saya juga berasa lega kerana kejadian ini tidak menyebabkan ahli keluarga saya tercedera,” katanya.

Selain itu, kejadian itu turut menyebabkan sebuah lorong di kawasan berhampiran tidak dapat digunakan buat sementara waktu apabila beberapa dahan besar dari pokok yang terdapat pada bahu jalan turut patah.

Dalam pada itu, Pembantu Khas Ahli Parlimen Kulai, Chuan Yin Hoon turut datang ke lokasi kejadian menziarahi penduduk kediaman yang terbabit.-SH

Ditipu sindiket cabutan bertuah



JOHOR BAHRU – Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini, semalam memerintahkan syarikat pengelola cabutan bertuah itu membayar tuntutan sebanyak RM5,126 kepada seorang guru yang didakwa ditipu oleh petugasnya.

Guru, Wahidah Sansi, 38, berkata dia didekati seorang pemuda di kawasan tempat letak kereta pusat beli belah Angsana di sini pada 10 Julai lalu sambil menawarkan satu pelekat kereta percuma dan memintanya mengisi butiran peribadi pada sebuah kad.

“Dalam perjalanan keluar daripada kedai, pemuda itu memberi saya baucar untuk dikoyakkan tapi saya enggan. Dia kemudian mengoyakkannya dan memberitahu saya memenangi dua barangan elektrik berjumlah RM6,176,” katanya.

Wahidah berkata, lelaki tersebut kemudiannya menawarkan beberapa barangan percuma dengan syarat beliau membuat satu kad dan membeli barangan lain dengan hanya bayaran RM200.

“Saya bersetuju membuat :bayaran tapi mereka mahu bayaran melalui kad kredit dan bukannya wang tunai. Saya kemudian mendapati jumlah bayaran dikenakan adalah RM5,126 dan bukan RM200 seperti dijanjikan,” katanya.

Dia kemudiannya hanya menerima sebuah barangan elektrik yang dijanjikan, manakala sebuah lagi akan dihantar kemudian tetapi berikutan berasa dirinya ditipu dalam kejadian itu, beliau mengambil langkah memfailkan tuntutan menerusi TTPM.-SH

Perhilitan rampas haiwan liar

KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas lima hidupan liar semalam berdasarkan maklumat diterima daripada orang awam.

Perhilitan membuat pemeriksaan di Jalan Bukit Bintang, kira-kira jam 11.15 malam kelmarin dan mendapati dua warga asing sedang mempamerkan beberapa spesies hidupan liar kepada orang ramai yang berminat untuk bergambar bersama hidupan liar tersebut dengan bayaran tertentu.

Pegawai Perhilitan kemudian melakukan soal siasat terhadap warga asing tersebut dan mendapati mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen atau surat kebenaran sah daripada Perhilitan untuk memiliki kesemua hidupan liar tersebut.

Mereka juga didapati tidak mempunyai surat kebenaran daripada Perhilitan untuk membuat pameran di lokasi tersebut.

Antara hidupan liar yang dipamerkan adalah Burmese Python, Blue And Gold Macaw, Electus Parrot, African Grey Parrot dan White Cockatoo.

Perhilitan melalui satu kenyataan media berkata, kesemua hidupan liar tersebut dirampas dan dijadikan barang.

Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].-SH

Penjara 7 tahun, 5 sebatan



KUALA TERENGGANU – Seorang penganggur yang sanggup merompak jirannya yang juga seorang warga emas menerima pembalasan setimpal setelah dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun dan lima sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh, Nik Mohamad Khairul Nik, 24, dari Kampung Tanah Merah Kerandang, Jertih, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah merompak seutas rantai milik seorang warga emas pada 4 Ogos lalu antara jam 9 pagi hingga 9.15 pagi di rumah tanpa nombor di Lorong Budaya, Kampung Air Putih Kerandang, Besut.

Dengan itu, dia telah didapati melakukan satu kesala-han di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang jika disabitkan kesalahan boleh di penjara sehingga tempoh 14 tahun serta boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Zulfazliah Mahmud di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah merompak rantai emas milik Aishah Yusuf, 87, ketika mangsa sedang mencuci pinggan mangkuk di bahagian dapur rumahnya.

Disebabkan mangsa menyedari kehadiran tertuduh yang menyelinap masuk ke dalam rumah secara senyap-senyap, tertuduh cuba mengaburi mata mangsa kononnya datang untuk meminjam cangkul.

Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memberitahu tidak mempunyai cangkul dan selepas itulah, tertuduh mengambil kesempatan meragut rantai leher emas yang dipakai mangsa dari belakang.

Bagaimanapun, mangsa cuba menyelamatkan rantai itu dan berlaku adegan tarik menarik menyebabkan rantai berkenaan terputus dua.

Mangsa yang terkejut dengan tindakan tertuduh menjerit meminta tolong dan tertuduh terus melarikan diri melalui pintu hadapan rumah.

Tertuduh ditahan di rumahnya kira-kira tiga jam selepas laporan polis dibuat dan selepas disoal siasat, tertuduh telah memberitahu dia menyimpan rantai emas berkenaan di bawah pelapik kaki bahagian hadapan pemandu dalam kereta Perodua Alza milik kakaknya.

Sebelum ini, Sinar Harian keluaran 6 Ogos menyiarkan tindakan seorang lelaki dipercayai penagih dadah menyamun rantai leher warga emas membawa padah apabila dia ditangkap penduduk kampung dan diserahkan kepada polis dalam kejadian di Kampung Air Putih Kerandang, Jertih.

Suspek yang juga tinggal di kampung berkenaan datang ke rumah mangsa kononnya mahu meminjam cangkul tetapi selepas diberitahu cangkul tiada, suspek terus meragut rantai leher mangsa yang bernilai kira-kira RM7,000 dari arah belakang.

Akibat kejadian itu, warga emas berkenaan mengalami luka dan calar kecil pada bahagian lehernya.-SH

Suami mangsa kerat ditahan



SHAH ALAM – Polis menahan seorang lelaki yang mendakwa suami serta bapa kepada dua mangsa pembunuhan kejam, masing-masing seorang wanita dan kanak-kanak lelaki berusia 20 bulan di Taman Kosas, Ampang, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, penahanan ke atas lelaki berusia 29 tahun itu dibuat kelmarin.

Menurutnya, suspek ditahan bertujuan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Selain itu, lelaki yang berasal dari Sabah terbabit juga turut gagal mengemukakan dokumen perkahwinan yang mengesahkan dia adalah suami kepada mangsa wanita yang mati dikerat 15 bahagian.

“Lelaki berkenaan kini direman selama enam hari sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut berhubung kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, pada 3 Ogos lalu, dua mayat dikerat 15 bahagian, dikenal pasti sebagai mayat seorang wanita warga Indonesia dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 20 bulan.

Kedua-dua mayat itu ditemui disumbat dalam beg plastik dan ditinggalkan seminggu lalu di sebuah rumah di Blok Chryssa Apartmen Astaria, Taman Kosas, Ampang.

Pihak pengurusan apartmen menemui kaki kiri manusia yang sudah berulat dan beberapa organ manusia dalam tandas di tingkat lima bangunan itu.

Pemeriksaan lanjut polis turut menemui beberapa anggota badan manusia dalam tiga bungkusan plastik berasingan di atas siling tandas dan beberapa tempat di dalam rumah berkenaan.-SH

Empat dituduh rompak pekerja asing

SHAH ALAM - Seorang kaki tangan Jabatan Imigresen dan tiga rakannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan merompak 11 pekerja asing di rumah kongsi tapak pembinaan di sini, bulan lalu.

Mohd Fitri Mohd Yusof, 25; dua wakil insurans, Muhammad Ashraf Jahari, 23 dan Azrul Syah Abdul Moin, 27, serta peniaga pasar malam, Mohd Faisul Sulaiman, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar.

Mereka didakwa merompak di tapak projek perumahan Green Hill di Seksyen U10, di sini, kira-kira jam 2 pagi, pada 23 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abdul Rahim menawarkan jaminan RM9,000 terhadap semua tertuduh atas alasan dakwaan itu membabitkan kesalahan serius.

Bagaimanapun, peguam bela mewakili Muhammad Ashraf dan Azrul Syah, Surya Putra Mohamad Taulan memohon jumlah dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak mampu.

Mohd Fitri dan Mohd Faisul yang tidak diwakili peguam pula merayu mahkamah mengenakan jaminan yang lebih rendah.

Mohamed Mokhzani membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM9,000 seorang dan kes disebut semula 13 September depan.-SH

Rumah rosak akibat ribut



GONG CHAPA - Hujan lebat berserta angin kuat petang kelmarin mengakibatkan bumbung lima rumah di sini termasuk Surau Kampung Pulau Sa rosak teruk diterbangkan angin.

Mangsa ribut, Othman Saman, 70, yang mengidap angin ahmar sejak tahun lalu berkata, kejadian itu mengejutkan mereka kerana ia berlaku begitu cepat.

“Nasib baiklah tiada kecederaan, cuma bumbung rumah kami sahaja rosak dan ada diterbangkan angin,’’ katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semasa lawatan Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat, semalam.

Hadir sama ialah, Setiausaha Dun Limbongan, Mohd Judin Samat dan Bendahari Pas Kawasan Pasir Puteh, Nik Yusof.

Menurutnya, apa yang berlaku itu dugaan lebih-lebih lagi pada bulan puasa dan mereka menerimanya sebagai ujian sebagai hamba ALLAH SWT.

Othman berkata, dia bersyukur kerana tidak banyak kerosakan berlaku dan Adun juga cepat datang melawat mereka.

“Terima kasih kepada Adun serta rombongannya yang sudi melawat kami dan menghulurkan bantuan seadanya,’’ katanya.

Sementara itu Zainuddin berkata, lima keluarga terlibat menerima bantuan daripada Tabung Serambi Mekah bagi meringankan beban mangsa.

“Lagipun sekarang ini bulan Ramadan jadi amalan menziarah serta bersedekah adalah satu kebajikan yang dituntut lebih-lebih lagi di bulan penuh rahmat,’’ katanya.-SH

Elak motosikal, rempuh tiang



KAMPUNG BUKIT DIMAN - Gara-gara mengelak sebuah motosikal yang secara tiba-tiba melintasi jalan dari arah kaki lima kanan jalan, seorang pemandu dan kelindan lori menghadapi detik mencemaskan apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebatang tiang elektrik, di Kilometer (KM) 35 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi, kelmarin.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, kelindan lori terbabit, Nor Hamizan Husin, 42, dari Kampung Batang Gergaji, Besut dan pemandu yang hanya dikenali sebagai Razali, 45, tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kenderaan dinaiki mereka remuk pada bahagian hadapan.

Difahamkan, sebelum itu, terdapat seorang penunggang motosikal di kaki lima jalan sebelah kanan berhampiran sebuah kedai runcit dan sebaik tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba dia dikatakan melintas menyebabkan lori dari arah Ajil-Bukit Besi yang membawa muatan berisi sayur-sayuran itu terpaksa mengelak, menyebabkan ia terbabas.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Nor Hamizan berkata, kejadian berlaku sekelip mata dan tanpa sedar, lori dinaikinya dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuantan itu sudah pun merempuh tiang elektrik sehingga patah dua serta terbalik.

“Tidak dapat digambarkan perasaan saya sewaktu kejadian itu selain turut terfikir lori akan terbalik, namun syukur tiada sebarang kecederaan yang kami alami. Kami juga bersyukur kerana tidak kena serpihan kaca.

“Jika kami tidak mengelak, mungkin kemalangan akan menjadi lebih serius termasuklah turut merempuh penunggang motosikal tersebut ataupun lori terbalik, apatah lagi sering berlaku lori biasanya akan terbalik kalau terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Menurutnya, sejak melalui laluan itu kira-kira enam tahun lalu sebagai pemborong untuk menghantar sayur-sayuran kepada pelanggan di Kuantan, ini kejadian pertama dialaminya dan biarpun tidak serius, tetapi ia benar-benar mencemaskannya.

“Saya bertolak dari Kota Bharu selepas selesai mengambil sayur-sayuran di pasar borong di sana selepas solat Subuh dan sepatutnya akan sampai di Kuantan kira-kira jam 12 tengah hari, tetapi hari ini pastinya kami akan sampai lewat petang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di lokasi kejadian petang kelmarin.

Menurutnya, dalam tempoh seminggu, sebanyak dua kali dia akan berulang-alik dari Kuantan ke Kota Bharu untuk mengambil bekalan sayur-sayuran untuk pasaran sekitar bandar Kuantan dan dia juga kini menetap di Kuantan, Pahang.-SH

Pelajar cedera dipukul guru



SHAH ALAM – Seorang pelajar lelaki tingkatan lima cedera di kepala selepas mendakwa seorang guru memukulnya dengan menggunakan kerusi plastik di sekolahnya di sini, kelmarin.

Mangsa, S Thangethurei, 18, mengalami kecederaan luka di bahagian kiri kepala dan mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang sebelum membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15.

Thangethurei berkata, sewaktu kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, dia bersama 38 pelajar lain sedang menduduki peperiksaan bulanan bagi mata pelajaran Moral dan Tasawwur Islam.

Dia mendakwa, guru lelaki yang dipanggil ustaz itu menyuruh semua pelajarnya diam kerana peperiksaan akan dimulakan.

“Tiba-tiba dia (Ustaz Hadi) datang ke arah saya dan terus mengayun kerusi plastik itu ke kepala saya. Semua pelajar terus diam.

“Saya berasa pening dan pedih. Apabila diperiksa, saya dapati ada kesan luka dan darah,” dakwanya ketika ditemui di rumahnya di Seksyen 17, semalam.

Menurutnya, dia kemudiannya terus keluar dari kelas dan menghubungi abangnya dengan menggunakan telefon awam yang berada berhampiran bilik guru.

Sementara itu, abangnya, S Kanagarajan, 27, berkata, dia kemudiannya cuba mendapatkan penjelasan sebenar daripada guru berkenaan dan pengetua sekolah tetapi tidak berhasil.

Dia kemudiannya membawa adiknya itu ke HTAR, tiga jam kemudiannya selepas gagal mendapatkan penjelasan daripada pihak bertanggung jawab.

“Sekiranya adik saya degil, saya izinkan guru itu rotan tetapi menggunakan kerusi sehingga menyebabkan kecederaan adalah satu perbuatan yang tidak masuk akal dan menyalahi etika seorang guru,” katanya kepada Sinar Harian.-SH

Nyaris maut kereta terbakar



JERANTUT – Seorang wanita cedera parah apabila kenderaan yang dipandunya bertembung dengan dua lagi kenderaan lain di Kilometer 4 Jalan Jerantut-Temerloh kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Kancil memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah kereta Proton Iswara seterusnya melanggar sebuah van muatan mi basah.

Mangsa, Nik Salmi Firdaus Nik Mohd Suhaimi, 29, kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.

Bagaimanapun, pemandu van, Eng Kuan Tong, 60, tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu Proton Iswara, Mohd Azmi Abu Bakar, 34, cedera di bahagian dahi dan menerima satu jahitan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, DSP Zakaria Kassim, ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, dalam kejadian itu, kereta dipandu mangsa terbakar sejurus selepas bertembung.

“Laluan Jerantut-Temerloh antara yang kerap mencatatkan kemalangan walaupun keadaan jalan lurus, justeru pengguna jalan utama ini diharap supaya tingkatkan tahap keselamatan ketika memandu.

“Selain itu, penjagaan sistem keselamatan kenderaan seperti brek, pemakaian tali pinggang keledar dan menjaga jarak pemanduan dengan kenderaan lain antara yang perlu dilakukan untuk mengelakkan insiden malang terjadi,” katanya-SH

Hakim tegur Pok Min



KOTA BHARU - “Pada umur seperti kamu sepatutnya berada di masjid berbuat amal ibadat. Sudah tidak sesuai bergari seperti ini dan berdiri di kandang pesalah”.

Demikian kata Hakim, Zainal L Saleh dalam prosiding dakwaan terhadap seorang warga emas yang dituduh merogol kanak-kanak berusia 12 tahun, bulan lalu.

Mat Amin Hussin, 75, atau dikenali sebagai ‘Pok Min’ dituduh melakukan perbuatan terkutuk itu di rumahnya di alamat tanpa nombor di kampung berkenaan pada jam 2 petang, 27 Julai lalu.

Berikutan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan mengikut peruntukkan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

Zainal dalam pertimbangannya berkata, pada kebiasaannya beliau tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh yang berdepan dakwaan kesalahan seksual.

Bagaimanapun katanya, berikutan faktor umur tertuduh yang sudah berusia, beliau membenarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tertuduh, keluarga dan kenalannya tidak mendekati mahupun mengganggu mangsa yang tinggal sekampung dengannya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Riffin dan peguam bela, Ahmad Nizam Mohamed tersebut disambung semula 15 September depan.

Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan seorang warga emas berusia 72 tahun dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan lapan sebatan selepas mengaku merogol seorang kanak-kanak 10 tahun di tempat, masa dan tarikh sama.

Lelaki berkenaan Dollah Senik yang dikenali sebagai ‘Pok Loh’ adalah rakan kepada ‘Pok Min’ dan berdasarkan fakta kes, mangsa kedua-duanya adik-beradik.-SH

Tendang motosikal polis

Tendang motosikal polis 

KUALA TERENGGANU – Angkara bertindak ganas menendang motosikal polis gara-gara untuk menyelamatkan diri daripada ditahan, seorang remaja dipenjara sehari dan didenda RM1,000 di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Zulhawari Zulkifli, 19, dari Kampung Alor Limbat, Bukit Payong, Marang dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau didenda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof.

Mengikut fakta kes, tertuduh pada 26 April lalu kira-kira jam 2.30 pagi di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu didapati telah menendang motor anggota polis yang sedang menjalankan tugas.

Sebelum kejadian, anggota polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah menggunakan rondaan motosikal cuba menahan tertuduh yang menunggang motosikal jenis Ex-5 kerana didapati berada dalam keadaan mencurigakan serta menunggang secara berbahaya.

Bagaimanapun, semasa hendak ditahan, tertuduh telah memecut motosikalnya dengan melawan arus di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu hingga ke Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Semasa memecut itu, tertuduh telah menendang motor salah seorang anggota polis untuk menyelamatkan diri.

Namun dia yang gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas di bahu jalan berhampiran Hotel YT Mid Town, Jalan Sultan Sulaiman berjaya ditahan.

Berikutan kejadian itu, tertuduh telah mengalami kecederaan di bahagian lengan kanan dan dahi sebelah

-SH

Ranap ditimpa pokok durian



KAMPUNG BUDU - “Setiap tahun menjelang Aidilfitri di rumah inilah tempat kami adik-beradik berkumpul meraikan hari raya bersama ibu, namun kejadian ribut dan pokok tumbang yang menghempap rumah pusaka ini seolah-olah meragut kegembiraan sambutan Aidilfitri yang bakal diraikan tidak lama lagi.

Demikian kata penduduk di sini, Ishak Hassan, 43, menceritakan kejadian itu menyebabkan rumah ibunya ranap akibat ditimpa pokok durian setinggi kira-kira bangunan lima tingkat.

Menurutnya, kejadian berlaku lewat petang kelmarin ketika hujan berserta ribut yang membawa angin kencang dan menumbangkan pokok durian di belakang rumah ibunya.

“Ketika kejadian, ibu berada di Kuala Lumpur manakala saya pula tinggal di Kampung Jerkoh, Benta.

“Setelah menerima panggilan telefon dari jiran berdekatan menyatakan kejadian itu, saya bergegas ke rumah ibu untuk melihat keadaan rumah tersebut,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.



Bersihkan laluan



Ishak berkata, dalam keadaan hujan lebat, dia bersama beberapa penduduk bergotong royong membersihkan laluan tersebut bagi memudahkan kenderaan memasuki kawasan ini.

“Pokok durian itu tumbang dan menimpa bilik tidur dan ruang tamu rumah ini menyebabkan peralatan seperti katil dan almari pakaian rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi.

“Selain itu, sebahagian dinding rumah turut rosak teruk dan memerlukan kos yang besar untuk dibaik pulih,” katanya.



Dugaan Ramadan



Sementara itu, ibu Ishak, Aminah Saidun, 70, berkata ketika kejadian dia tiada di rumah kerana melawat salah seorang anaknya di Kuala Lumpur.

Menurutnya, mereka sekeluarga menganggap bencana itu sebagai dugaan yang diberikan ALLAH SWT sempena Ramadan ini.

“Saya tinggal bersendirian di rumah itu sejak 27 tahun lalu.

“Walaupun sedih kerana tempat berteduh ranap, namun saya bersyukur kerana ketika kejadian saya tidak ada di rumah, jika tidak pasti saya yang menjadi mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.



Tumpang rumah anak



Aminah berkata, buat sementara waktu ini, dia menumpang di rumah anak sulung yang tinggal berdekatan dengan rumahnya dan mengharapkan ada bantuan membaik pulih rumah terbabit.

“Buat masa ini, saya mengalihkan barangan yang masih diguna pakai seperti alatan elektrik ke rumah anak sulung dan akan menumpang sementara waktu di sini.

“Kami sekeluarga turut ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak yang sudi tampil memberikan bantuan segera seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Lipis,” katanya.

Aminah berkata, adalah diharapkan supaya bantuan membaik pulih rumah itu dapat diberikan segera untuk keselesaannya menjalani kehidupan seperti biasa.-SH

Penganggur hadapi hukuman gantung



KUALA TERENGGANU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dakwaan mengedar heroin yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Tertuduh, Mohd Nazri Awang, 20, dari Kampung Baru, Tepoh didakwa mengedar heroin seberat 80 gram pada 23 Jun lalu kira-kira jam 6.30 petang di Stesen Minyak Shell, Kampung Padang Air, Tepoh.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Zulfazliah Mahmud di hada-pan Majistret Nor Azizah Yusof.

Nor Azizah menetapkan 26 September depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang masih berstatus bujang ditangkap berdekatan dengan tempat pam angin di stesen minyak tersebut ketika sedang menaiki motosikal Yamaha Ego berwarna putih.

Pada awalnya, tertuduh cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota polis namun gagal dan hasil pemeriksaan dibadan tertuduh, polis gagal menjumpai sebarang barangan yang salah.

Pemeriksaan lanjut didalam bakul sebelah kiri hadapan motosikal itu telah menemui sebungkus plastik lutsinar warna kuning di dalamnya mengandungi sebungkus surat khabar dan didapati di dalamnya terdapat 20 botol plastik lutsinar bertudung kuning mengandungi serbuk putih disyaki dadah.-SH

Hakim tegur wanita khalwat tidak serius kemuka rayuan

KAMPUNG RAJA - Seorang remaja wanita yang mengaku salah berkhalwat dengan seorang lelaki yang telah beristeri ditegur Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof kerana tidak serius ketika mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Wanita berusia 19 tahun dari Kampung Gong Manak dekat Kuala Besut itu tersenyum-senyum dan tidak membuat sebarang rayuan ketika Mohd Nazri memberi peluang merayu.

Dia dan pasangannya yang bekerja sebagai pendawai elektrik berusia 43 tahun dari Kokdiang, Kedah ditangkap pada jam 2.40 petang, 26 Mac lalu di dalam sebuah bilik hotel di Jertih.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) Terengganu 2001 kerana berkhalwat yang sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, hakim memberi peluang kepada wanita itu dan pasangannya membuat rayuan atau ada ingin diperkatakan.

Pasangannya yang sudah beristeri dan mempunyai empat anak itu terlebih dahulu membuat rayuan dan menyatakan telah insaf serta mohon mahkamah mengurangkan hukuman terhadapnya.

Dia mendakwa wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai itu seperti adik angkatnya, tetapi Mohd Nazri menegur perbuatan mereka kerana mengapa perlu berjumpa di dalam bilik dalam keadaan wanita berada di atas katil ketika penguat kuasa membuat pemeriksaan di dalam bilik itu.

Apabila tiba giliran wanita itu diberi peluang membuat rayuan, dia menggeleng kepala seolah-olah tidak mahu membuat rayuan dan tersenyum-tersenyum.

Sikap tertuduh wanita itu menyebabkan Mohd Nazri menegurnya dengan menyifatkan wanita terbabit menganggap kes tersebut hanya perkara biasa dan seperti tidak apa-apa yang berlaku serta mungkin sudah menyediakan wang RM3,000 untuk dibayar.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,900 terhadap setiap seorang daripada mereka. Mereka juga diarahkan dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mohd Nazri juga meminta tertuduh lelaki supaya bertaubat dan pulang meminta maaf kepada isterinya yang belum mengetahui dia ditangkap.-SH

Empat guru ditahan mengemis



MELAKA - Seramai empat orang yang mendakwa mereka guru sebuah asrama anak yatim ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini, di dua lokasi berasingan di negeri ini bersempena Operasi Bersepadu Mengemis, semalam.

Kesemua mereka termasuk seorang wanita ditahan ketika sedang meraih simpati orang ramai dengan menjual pelbagai barangan dengan mengeluarkan resit atas nama sebuah pertubuhan tahfiz yang terletak di Alor Setar, Kedah.

Sewaktu penahanan, mereka sedang menjalankan aktiviti menjual barangan berkenaan di hadapan pintu masuk sebuah bank di Ayer Keroh dan sebuah stesen minyak di Masjid Tanah, Alor Gajah.

Penolong Pengarah Bahagian Kanak-kanak JKM, Saidatol ‘Aini Jafri berkata, kesemua berusia antara 25 dan 29 tahun dikesan menjual cakera padat (CD) serta pelekat ayat-ayat suci al-Quran.

Katanya, kes disiasat mengikut Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu pungutan secara tidak sah yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 18 bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Operasi ini susulan rungutan dan aduan orang ramai mendakwa mengenai kanak-kanak yang dilihat sering berkeliaran di lokasi-lokasi tertentu untuk memungut derma dengan menjual barangan seperti pelekat ayat-ayat al-Quran, CD, tisu dan madu.

“Kanak-kanak tersebut berkemungkinan digunakan agensi-agensi tertentu untuk meminta sedekah atau menawarkan apa-apa jua bentuk jualan,” katanya.-SH

Tiga ditahan, senjata api, peluru dan peralatan keselamatan tiruan dirampas

KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga rakyat tempatan, termasuk seorang wanita serta merampas pelbagai jenis senjata api, peluru dan peralatan keselamatan tiruan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Park Ville Garden House, Petaling Jaya semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata atas maklumat orang awam, ketiga-tiga mereka yang berumur 30an ditahan kira-kira pukul 2.15 petang semalam di rumah sewa mereka yang dijadikan tempat menyimpan barang-barang tersebut, dipercayai untuk dijual.

"Hasil pemeriksaan di sebuah bilik berkunci dalam rumah itu, polis merampas empat mesingan, satu laras raifal, dua laras shot gun, satu laras sub mesingan, enam pucuk pistol jenis Sig Sauer, Blowback, Glock dan US 9mm, 11 kelopak peluru mesingan dan sebutir peluru berkepala merah.

Selain barangan tiruan itu, polis turut merampas barangan tiruan seperti dua teropong, sepasang gari dan bayonet, satu bekas peluru 5.56 mm dan tiga pasang jaket kegunaan pasukan keselamatan.
Sebuah komputer riba dan dua telefon bimbit turut dirampas," katanya di pejabatnya di sini, hari ini.

Amar Singh berkata siasatan awal mendapati kesemua senjata dan peralatan itu dibeli melalui internet yang berpangkalan di Hong Kong dan proses penghantarannya melalui perkhidmatan kurier.

"Bagi mengelakkan senjata itu dikesan oleh pihak berkuasa, suspek telah membuat pengisytiharan senjata tiruan itu sebagai alat ganti kenderaan atau kompresor semburan cat pada bungkusan kurier itu," katanya.

Beliau berkata suspek disyaki melakukan kegiatan itu sejak dua tahun lepas dengan melakukan lebih 50 transaksi jualan senjata tiruan tersebut kepada pelanggannya di seluruh negara dengan menawarkan harga antara RM500 hingga RM900 selaras.

Mereka yang bekerja sebagai ahli perniagaan dan kerani telah menjalankan perniagaan itu secara sampingan dengan mengiklankan barangan tersebut di laman web dan Facebook, katanya sambil menambah mereka dipercayai telah mengubahsuai senjata tiruan itu sebelum dijual.

Beliau berkata hasil ujian air kencing ke atas dua lelaki itu mendapati mereka positif dadah jenis syabu, dan ketiga-tiga mereka ditahan reman bermula hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, Amar Singh meminta orang ramai yang membeli atau memiliki senjata tiruan menyerupai senjata asal, supaya menyerahkannya kepada balai polis berhampiran.

"Walaupun senjata yang dirampas ini merupakan senjata tiruan, namun model dan pengoperasian senjata itu menyamai dengan mekanisme senjata asal dan polis khuatir senjata yang dirampas seperti ini boleh digunakan untuk tujuan melakukan jenayah serius yang boleh mengancam keselamatan awam," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan sesiapa yang memiliki, menyimpan, berniaga atau mengimport senjata tiruan adalah melakukan satu kesalahan yang menyalahi undang-undang.-SH

Maut kereta dirempuh kereta api




Kenderaan Choo Cheng Ping selepas dilanggar kereta api penumpang di Kilometer 59.9 berhampiran Kampung Jalan Stesen, Alor Pongsu, Perak, semalam.


BAGAN SERAI 11 Ogos - Seorang peniaga barangan runcit, Choo Cheng Ping, 46, maut selepas kenderaan dinaikinya dirempuh kereta api penumpang di Kilometer 59.9, berhampiran Kampung Jalan Stesen, Alor Pongsu, semalam.
Kejadian pukul 3.30 petang itu menyebabkan kereta Toyota Unser yang dinaiki mangsa tercampak sejauh 15 meter dari tempat kejadian.
Cheng Ping yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Parit Buntar oleh orang ramai namun meninggal dunia pukul 9 malam tadi di Hospital Taiping.
Seorang saksi memberitahu, mangsa dilihat tidak sempat memberhentikan kenderaannya ketika menghampiri landasan menyebabkan dia dirempuh kereta api penumpang yang ketika itu dalam perjalanan ke selatan.
Selepas pelanggaran tersebut, pemandu kereta api sempat memberhentikan kenderaannya dan menghubungi kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mendapatkan bantuan sebelum meneruskan kembali perjalanan ke selatan.
Tinjuan Utusan Malaysia mendapati kawasan melintas tersebut tidak dilengkapi sistem lampu isyarat dan pagar keselamatan.
Sementara itu, jiran mangsa, Ah Chan memberitahu, laluan berkenaan merupakan laluan harian Cheng Ping menghantar barang perniagaan ke kedai-kedai runcit sekitar kawasan berkenaan.
"Jalan ini memang dilalui oleh mangsa setiap hari tetapi entah bagaimana hari ini nasibnya tidak baik," katanya.
Ketua Kampung Parit Haji Ali, Mat Nor Mat Isa berkata, ini merupakan kejadian pertama tahun ini selepas dua kejadian pada tahun lalu.
"Saya sering meminta penduduk kampung agar lebih berhati-hati ketika menggunakan laluan ini bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mohd. Fauzi Nayan mengesahkan menerima laporan kemalangan tersebut namun punca kejadian masih dalam siasatan.-utusan

Polis siasat dakwaan remaja cedera dibaling topi keledar



ALOR SETAR 11 Ogos - Polis telah membuka kertas siasatan untuk menyiasat dakwaan seorang remaja yang kini koma selepas dibaling dengan topi keledar oleh dua anggota polis sewaktu menjalankan rondaan di Kampung Felcra Lubuk Sireh, Chuping di Perlis pada Sabtu lalu.
Pemangku Ketua Polis Perlis, Supritendan Mohd. Nashir Ya berkata, siasatan tersebut dibuat mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan melalui perbuatan yang membahayakan nyawa manusia.
"Setakat ini kita menerima tiga laporan mengenai kes ini iaitu satu daripada bapa remaja tersebut, satu laporan daripada dua anggota polis yang dikatakan membaling topi keledar kepada remaja ini dan satu lagi laporan diterima daripada polis bahagian trafik.
"Kami sedang mengumpul keterangan semua saksi kes ini sebelum membuat rumusan mengenai kes tersebut," katanya ketika ditemui selepas melawat Muhammad Solihin Che Kassim, 14, di Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.
Bapa Muhammad Solihin, Che Kassim Darus, 41, mendakwa anaknya itu cedera parah di kepala akibat terkena topi keledar yang dibaling oleh anggota polis sewaktu menjalankan rondaan kira-kira pukul 9.40 malam, Sabtu lalu.
Remaja itu yang tidak bersekolah itu terjatuh daripada motosikal yang ditungganginya dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi HSB di sini setelah dipindahkan dari Hospital Tuanku Fauziah, Kangar kira-kira 2 pagi semalam.
Menurut Mohd. Nashir, dia difahamkan kejadian itu berlaku apabila dua anggota polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan itu mendapati remaja ini bersama seorang rakannya menunggang motosikal (secara berasingan) tanpa memakai topi keledar.
"Kedua-dua motosikal yang ditunggangi oleh remaja tersebut dan rakannya dalam keadaan laju dan apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dikatakan terlanggar topi keledar yang dipegang oleh seorang anggota polis yang berada di situ menyebabkan dia hilang kawalan dan terbabas," katanya.
Tegasnya, pihak polis akan berlaku adil dan telus dalam penyiasatan kes tersebut serta tidak akan menyembunyikan apa-apa daripada orang awam.
"Anggota polis yang didakwa terlibat dalam kejadian itu masih bertugas dan polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya terbukti kesalahan itu berpunca daripada pihak kami.
"Sehubungan itu, saya minta supaya perkara ini tidak disensasikan, biar kita siasat seadil mungkin," katanya.
utusan

Kes bunuh Rohani: 1 bebas, 3 sambung reman



IPOH 11 Ogos - Seorang suspek yang ditahan berhubung kes pembunuhan Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim, 4 Ogos lalu dibebaskan dengan jaminan polis hari ini, manakala tiga suspek lain disambung reman sehingga Rabu ini.
Perintah lanjutan reman selama tujuh hari itu dikeluarkan oleh Majistret Fauziah Hanim selepas tempoh tahanan reman keempat-empat suspek tamat hari ini.
Keempat-empat suspek itu sebelum ini ditahan reman selama tujuh hari.
Semua suspek ditahan kurang 24 jam selepas mayat mangsa ditemui di Pangsapuri Permai Lake View, Tambun di sini. Dua suspek ditahan tidak jauh dari tempat kejadian, manakala dua lagi ditahan di Tanjung Malim dan Slim River.
Dalam kejadian pada 4 Ogos lalu, mayat Rohani ditemui seorang pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan selepas terserempak dengan seorang lelaki sedang memikul satu bungkusan menuruni tangga dari tingkat satu kira-kira pukul 3.30 pagi.
Hasil pemeriksaan pengawal keselamatan itu mendapati bungkusan yang dicampakkan oleh suspek selepas terkejut melihatnya itu adalah sehelai gebar yang membalut mayat seorang wanita dengan kedua-dua tangan dan kakinya diikat.
-utusan

Guru agama ditahan liwat pelajar



KUALA TERENGGANU 11 Ogos – Polis menahan seorang guru agama di sebuah sekolah menengah di Batu Rakit di sini, awal pagi ini bagi membantu siasatan kes meliwat seorang pelajar lelaki.
Guru berusia 42 tahun itu didakwa meliwat mangsa yang baru berumur 13 tahun antara bulan Mac hingga Jun tahun lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, pelajar tersebut bagaimanapun hanya membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Batu Rakit semalam.
Menurutnya, dalam laporan itu, mangsa mendakwa telah diliwat sebanyak tiga kali oleh suspek di sebuah kuarters guru.
“Selepas laporan itu diterima, polis menahan guru agama itu kira-kira pukul 4 pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.
Manoharan berkata, guru agama itu sudah berkahwin namun isterinya yang juga seorang guru kini tinggal dan mengajar di Kelantan.

Polis serbu stor rokok seludup




SUPRITENDAN Mohd. Sabri Muhamad (Kanan) dan Inspektor Shafizan Sharif (kiri) menunjukkan rokok serta kotak yang mengandungi rokok seludup yang dirampas di sebuah rumah di Taman Desa Putri, kelmarin.


JEMPOL 11 Ogos - Tindak tanduk seorang lelaki yang menjadikan sebuah rumah teres satu tingkat di Taman Desa Putri di sini sebagai gudang menyimpan rokok seludup akhirnya terbongkar apabila premis itu diserbu pihak berkuasa kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira pukul 4.15 petang itu, polis berjaya merampas sejumlah 8,260 karton rokok seludup hasil maklumat daripada orang ramai yang curiga dengan kegiatan lelaki itu.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, serbuan tersebut diketuai oleh Ketua Balai Polis Bahau, Inspektor Shafizan Sharif bersama enam anggota terpaksa menunggu selama setengah jam sebelum suspek pulang ke rumah.
"Sebaik sahaja polis memeriksa rumah lelaki itu, mereka menemui 324 kotak besar mengandungi 8,100 karton rokok dan lapan plastik putih yang mengandungi 160 karton rokok pelbagai jenama.
"Semua rokok yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM80,000 tidak termasuk cukai dan kita juga percayai suspek mengedarkan rokok tersebut untuk pasaran di daerah ini," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Beliau berkata, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol untuk soal siasat sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kes ini di siasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barangan dagangan belum lulus.-utusan

Lelaki maut motosikal terbabas



MELAKA 11 Ogos - Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang diboncengnya terbabas ke bahu jalan di Jalan Masjid Bertam Ulu di sini malam tadi.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Melaka Tengah, Asisten Supritendan V. Gunasegaran berkata, mangsa, Muhammad Ikram Latit, 14, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka pukul 4.15 pagi ini.
"Dalam kejadian pukul 11 malam, penunggang motosikal terbabit, Usman Malik, 14, cedera parah di kepala setelah dia dipercayai tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh di atas jalan," katanya di sini hari ini.
Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-utusan

Dua remaja disyaki pengedar dadah diberkas di lebuh raya

SEREMBAN 11 Ogos - Dua remaja lelaki dipercayai pengedar dadah bertindak nekad dengan menunggang sebuah motosikal melawan arus di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan bagi mengelak daripada ditahan polis, Isnin lalu.
Namun tindakan berani kedua-dua suspek berusia 21 tahun itu gagal apabila diberkas anggota polis peronda, meskipun cuba melarikan diri ke dalam semak di tepi lebuh raya itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Supritendan R. Ravi Chandran berkata, suspek yang sedang menghala ke arah selatan itu terkejut apabila sebuah kereta peronda melakukan pemeriksaan di tepi lebuh raya kira-kira pukul 1.30 petang.
"Akibat panik, kedua-dua suspek nekad untuk memecut arah bertentangan lebuh raya sebelum dikesan oleh sebuah lagi kereta peronda.
"Suspek yang ketakutan dengan kehadiran sebuah lagi kereta peronda kemudian memberhentikan motosikal lalu melarikan diri ke dalam semak di tepi lebuh raya," katanya di sini hari ini.
Menurut Ravi, hasil pemeriksaan, anggota menemui sebanyak 44 peket lutsinar yang dipercayai mengandungi dadah jenis heroin serta 78.8 gram ganja yang ditemui dalam beg sandang milik suspek.
"Kedua-dua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mereka juga didapati positif dadah melalui ujian air kencing yang dijalankan," ujarnya.-hmetro

Wanita nyaris maut kereta terbakar




KEADAAN kereta Perodua Kancil dipandu Nik Selmi Firdaus Nik Mohd. Suhaimi yang musnah terbakar dalam kemalangan di Kilometer 4, Jalan Jerantut-Temerloh, kelmarin.


JERANTUT 11 Ogos - Seorang wanita nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4, Jalan Jerantut-Temerloh berdekatan Pasar Borong Jerantut petang semalam.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang, wanita itu, Nik Selmi Firdaus Nik Mohd. Suhaimi, 29, yang memandu kereta Perodua Kancil dari arah Temerloh menuju ke Jerantut.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zakaria Kasim berkata, kereta dipandu wanita itu dipercayai hilang kawalan dan merempuh dua kenderaan dari arah bertentangan sehingga mengakibatkan ia terbakar.
"Pihak Bomba dan Penyelamat Jerantut sempat ke lokasi kejadian dan memadam kebakaran. Pemandunya pula dikejarkan ke Hospital Jerantut sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, Nik Selmi dipercayai cedera parah di muka akibat rempuhan kuat dalam kemalangan itu.
Katanya, bagaimanapun pemandu kereta Proton Iswara, Mohd. Azmi Abu Bakar, 34, hanya mengalami cedera ringan.
utusan

Polis lancar gerakan tahan, dakwa perusuh

LONDON: Pihak berkuasa mengerah anggota polis menahan beratus-ratus suspek perusuh dalam operasi mengesan mereka menjelang subuh semalam.
Dilengkapi peralatan bersesuaian, mereka merempuh rumah yang disyaki menjadi tempat perlindungan perusuh di sekitar London.

Seorang lelaki ditahan di Brixton selepas maklumat mendakwa, dia terbabit dalam siri rusuhan berlangsung selama empat hari lalu.

Insiden itu bukan saja menyebabkan kekacauan, malah polis turut membekukan semua cuti kepada anggotanya.

Orang awam yang berang terhadap tindakan perusuh, membekalkan banyak maklumat kepada polis dan membolehkan hampir 800 orang suspek ditahan di sekitar London saja.

Penahanan berterusan itu membayangkan kesungguhan polis memburu semua suspek rusuhan terburuk di Britain sejak beberapa dekad itu.


Sementara itu, sebahagian perusuh dihadapkan ke mahkamah memaksa pendakwa bekerja lebih masa.

Antara yang didakwa, seorang budak perempuan berusia 11 tahun yang dituduh melakukan kerosakan jenayah di Nottingham. - TS, hmetro

Derita angkara jurujual kereta

BUKIT MERTAJAM: “Sudahlah nama saya disenaraihitamkan malah akibat kejadian ini suami diberhentikan kerja kerana terlalu kerap mengambil cuti menemani saya,” kata Salmiah Budin, 42, yang menghadapi masalah dalam urusan jual beli kereta membabitkan seorang jurujual syarikat kereta terkenal di Juru.
Salmiah berkata, kejadian berlaku pada 28 Oktober 2009 apabila dia mahu menjual kereta Proton Waja untuk membeli kereta baru dengan seorang jurujual wanita syarikat berkenaan yang bertindak sebagai orang tengah.

Katanya, dia dan suami, Khidhir Shamsuddin, 43, mempercayai jurujual itu untuk melakukan urusan penjualan kereta lamanya dengan syarikat kereta terpakai.

“Jurujual itu memberitahu kami, selepas menjual kereta Proton Waja itu, dia akan menyelesaikan pembayaran baki wang kepada bank kira-kira RM29,700.

“Pada masa sama dia tidak menyatakan harga kereta itu selain tidak mengemukakan dokumen untuk ditandatangani bagi urusan tukar hak milik kereta sebaliknya menyatakan ada di syarikat kereta terpakai,” katanya di Pejabat Biro Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA Negeri, di sini, semalam.

Menurut Salmiah, beberapa hari selepas itu dia menghubungi jurujual terbabit bertanyakan proses berkenaan tetapi pelbagai alasan diberikan malah jurujual itu seperti mengelak menemuinya.


Katanya, pada Julai tahun lalu, dia mahu membeli kereta baru dan membuat pinjaman bank namun tidak diluluskan kerana ada tunggakan empat bulan yang belum dibayar.

“Saya hairan kerana masih ada tunggakan kereta Proton Waja yang sudah dijual dan apabila menghubungi jurujual itu, dia tak layan sebelum saya berjaya menghubunginya,” katanya. Menurutnya, berdasarkan maklumat, dia dan suami terkejut apabila mengetahui kereta Proton Waja miliknya berada di sempadan Perlis dan melalui bantuan beberapa pihak, kenderaan itu berjaya dibawa pulang dan kini dalam simpanan mereka.
“Menyedari ada tidak kena, kami membuat semakan dengan bank dan terkejut mendapati kereta Proton Waja itu ada tunggakan RM24,155.

“Disebabkan itu, nama saya disenaraihitamkan Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) bulan lalu. Bukan itu saja, saya kini terpaksa menanggung beban hutang, kereta baru perlu bayar pinjaman RM800 sebulan selain tunggakan kereta Waja RM619 sebulan.

“Lebih menyedihkan, kerana terlalu kerap mengambil cuti menemani saya, suami yang bekerja di sebuah syarikat swasta diberhentikan kerja,” katanya yang berharap namanya dan suami dibersihkan.

Sementara itu, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA Negeri, Tan Teik Cheng berkata, pihaknya akan membantu pasangan itu menyelesaikan masalah dihadapi dengan menghubungi syarikat pengeluar kereta terbabit.

Mati ketika ke surau

JASIN: Impian seorang remaja menyambung pengajian ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bermula bulan depan musnah apabila dia terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 22.8 Jalan Melaka-Muar di Kampung Sempang, Merlimau, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, Mohamad Afez Hassan, 19, maut di tempat kejadian selepas motosikal Suzuki Shogun RR ditunggangnya bertembung sebuah van menyebabkan mangsa terjatuh dan parah di kepala.

Harian Metro difahamkan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke surau berhampiran rumahnya untuk menunaikan solat Subuh.

Bapa mangsa, Hassan Mohd, 50, berkata, anaknya baru menamatkan pengajian di Kolej Matrikulasi Tangkak, Johor sejak beberapa bulan lalu dan mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian ke UMT selepas hari raya Aidilfitri ini.

Katanya, anak keduanya itu yang juga pasangan kembar kepada kakaknya Norhafiza, 19, sudah membuat persiapan menyambung pengajiannya dengan menyimpan semua pakaian dan keperluan sejak seminggu lalu.

“Bagaimanapun, takdir menentukan dia pergi buat selama-lamanya hari ini (semalam). Saya pun tak sangka perjalanan arwah ke surau untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah menjadi noktah terakhir dalam hidupnya.


“Patutlah arwah memberitahu emaknya dia beria-ia hendak berhenti kerja (sebagai pembantu kedai serbaneka 24 jam di Semabok) semalam (kelmarin). Kami tak tahu ia menjadi petanda arwah akan pergi selamanya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jasin, di sini, semalam.

Hassan berkata, sejak pulang ke kampung sementara menunggu kemasukan ke UMT, Allahyarham sering ke surau menunaikan solat Subuh.
“Saya bergegas ke lokasi kejadian dan sempat menemuinya, namun mendapati arwah sudah meninggal,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, siasatan mendapati selepas keluar dari persimpangan Jalan Pasir Gembur 1, mangsa terus membelok ke kanan menuju ke arah Merlimau melalui laluan bertentangan di bahu jalan.

Katanya, mangsa dipercayai cuba melintas laluan bertentangan itu sebelum dirempuh sebuah van dari arah Melaka.

“Kenderaan mangsa dipercayai diseret sejauh kira-kira 11 meter dan maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

“Mayat Mohamad Afez dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-hmetro

Didakwa guna 59 e-tiket palsu

SHAH ALAM: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menipu syarikat kapal persiaran dengan menggunakan 59 tiket elektronik (e-tiket) Penerbangan Malaysia (MAS) palsu membabitkan nilai hampir RM400,000, empat bulan lalu.
Tertuduh, Kevin Farson Samuel, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin. Mengikut pertuduhan, Kevin didakwa menipu Star Virgo dengan membuat 59 e-tiket MAS palsu sebelum membuat tuntutan RM387,568 terhadap syarikat itu. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kapal Star Virgo, Glen Cruises, Terminal Klang, Klang, dekat sini, antara jam 10 pagi dan 10 malam dari 3 hingga 31 Mac lalu. Tertuduh yang berasal dari Kuching, Sarawak didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin menawarkan jaminan RM80,000 dengan mengambil kira jumlah yang terbabit dalam pertuduhan. Bagaimanapun, ia dibantah peguam bela, M Hafiz Zainol Abidin atas alasan anak guamnya yang menanggung keluarganya tidak berkemampuan membayar ikat jamin yang tinggi.-hmetro

Sering termenung

MELAKA: Sering termenung sejak tiga hari lalu menjadi petanda awal kematian pemain bola sepak Melaka, Mohd Ikram Abd Latif selepas terbabit kemalangan bersama rakannya di Kampung Bertam Ulu di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam kelmarin, Mohd Ikram, 14, mengalami kecederaan teruk di kepala dan paru-paru apabila motosikal dibonceng melanggar tiang elektrik.

Mangsa yang juga pemain bola sepak Melaka bawah 14 tahun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.50 pagi semalam ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

Rakannya, Urwah Malik, 14, yang menunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan parah di leher dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ibu Allahyarham, Zabina Bidin, 46, berkata, arwah tidak banyak bersembang sebaliknya termenung dan enggan bercakap seperti selalu seolah-olah tahu ajal akan menjemputnya.

Menurutnya, arwah anak bongsu daripada tiga beradik itu amat rapat dengannya malah sering bergurau dan selalu membuatkan dia ceria dengan keletahnya.


Katanya, anaknya itu sempat bertarawih di masjid berhampiran sebelum ke rumah rakan menonton aksi rakaman perlawanan bola sepak di televisyen saluran Astro membabitkan pasukannya iaitu Asa Jejak Mega di Stadium Shah Alam pada kejohanan Liga Cardiff City 1Malaysia.

“Difahamkan sebaik keluar dari rumah rakannya, mereka terbabas dan melanggar tiang elektrik. Arwah dan rakannya dikejarkan ke hospital tetapi menghembuskan nafas terakhir tidak lama selepas itu. “Hati saya amat hiba dan sedih dengan kejadian ini terutama mengenang kembali pelbagai keletahnya sepanjang saya membesarkannya. Namun, saya tetap reda dengan pemergiannya tidak akan kembali lagi,” katanya.
Lebih sayu buat Zabina berikutan suaminya yang juga bekas pemandu meninggal dunia dua tahun lalu, manakala datuk arwah juga meninggal dunia setahun lalu.

Sementara itu, bapa saudara arwah, Azam Bidin, 42, berkata, anak buahnya pernah menyatakan kepada rakan karibnya mengenai badannya tidak selesa tiga hari lalu.

Menurutnya, dia juga memberitahu nenek mengenai sebelah badannya seperti tidak terasa apa-apa sehari sebelum meninggal dunia.

“Sikapnya yang mudah mesra membolehkan rakan dan penduduk kampung suka bergaul dan bersembang dengannya,” katanya.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bertam Ulu selepas solat Zuhur semalam.

Turut hadir majlis pengebumian itu pengurus pasukannya, Kamarul Azli Jaafar, jurulatih Johari Mat Aris dan Azian Rahman serta penduduk kampung.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Melaka Tengah, Asisten Superintendan V Gunasegaran mengesahkan kejadian.-hmetro

Hasrat berbuka bersama isteri tak sampai

BENTONG: Hasrat seorang penghantar surat khabar yang dalam perjalanan pulang ke rumah untuk berbuka puasa bersama isterinya, berakhir dengan tragedi apabila dia maut selepas van yang dipandunya terbabas dan melanggar pokok dalam kejadian di Kilometer 74.4, Lebuhraya Kuantan-Kuala Lumpur, di Sungai Dua, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa, Zulazmi Nuwawo, 40, dari Taman Pulai Idaman, Temerloh, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan dada.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor, berkata sebelum kejadian, mangsa yang memandu berseorangan dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Kuala Lumpur selepas selesai menyelesaikan urusan kerja.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang pokok.

Katanya, akibat rempuhan kuat itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum mayatnya dikeluarkan sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Bentong.

“Anggota Bomba dan Penyelamat terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.


“Rawatan awal yang cuba diberikan kepada mangsa di tempat kejadian juga gagal kerana mangsa sudah meninggal dunia. Mayatnya dihantar ke Hospital Bentong (HB),” katanya.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan.-hmetro