
SIMPANG EMPAT - Seorang peniaga pasar harian bukan sahaja kehilangan kedai yang berusia lebih 50 tahun, malah stok bahan mentah yang baru ditambah kuantiti juga turut hangus dalam sebuah kebakaran membabitkan empat pelantar ikan, kedai kopi dan pelantar bot, di pelantar ikan Kuala Sungai Baru, di sini, semalam.
Mohd Zainol Ahmad, 58, berkata, sebelum kejadian dia sedang menyusun pelbagai jenis sayur-sayuran, ikan, ayam dan barangan runcit lain di atas pelantar di kedainya kira-kira jam 7 pagi sebelum memulakan perniagaan.
Bagaimanapun, ketika sedang sibuk melakukan kerja-kerja itu, dia yang juga pemborong ikan tiba-tiba menghidu bau asap yang sangat kuat dipercayai dari kedai kopi yang terletak selang satu kedai dari kedainya.
“Saya sebelum itu, sedang menyusun hasil laut, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya di atas pelantar sebelum mula menjualnya kepada pelanggan. Saya menyusunnya lebih awal dari biasa memandangkan stok bahan mentah dan barang makanan di kedai baru sahaja ditambah sebagai memenuhi keperluan pelanggan dalam bulan Ramadan ini.
“Namun, kira-kira jam 8 pagi, saya terhidu bau asap yang amat kuat dari kawasan berhampiran sebelum bergegas keluar untuk menyelamat diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Selain itu, seorang pemilik pelantar ikan, Kam Wee Yong berkata, tiga pukat yang disimpan di dalam pelantar juga hangus
“Selain pelantar kayu yang terbakar, saya juga kehilangan tiga pukat yang digunakan untuk menangkap ikan yang disimpan di dalam pelantar yang berusia lebih 50 tahun ini sejak beberapa minggu lalu.
“Pelantar ini adalah warisan dari ayah saya sejak lama dahulu. Tidak sangka, saya akan kehilangan pelantar ini dalam sekelip mata sahaja,” katanya.
Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba, Khairul Ariffin Che Ramli berkata, pihaknya dihubungi orang awam memaklumkan tentang kejadian itu pada jam 8.11 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba Kuala Perlis yang dianggotai tiga anggota tiba pada jam 8.13 pagi diikuti 10 anggota dari Balai Bomba Kangar dan lima anggota dari Balai Bomba Arau.
Malah, operasi memadam kebakaran itu juga turut mendapat bantuan dan sokongan daripada pasukan bomba sukarela Simpang Empat, Kuala Perlis, Sanglang dan Kodiang. Api dapat dipadam sepenuhnya pada jam 9.30 pagi.
Beliau berkata, punca kebakaran masih disiasat bagaimanapun, kerugian dianggarkan bernilai RM200,000.
“Kita masih menyiasat punca kebakaran namun, kita percaya api bermula dari kedai kopi di sini,” katanya ketika bersama Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kangar, Johari Othman di tempat kejadian.
Turut turun melawat tempat kejadian ialah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Sabry Ahmad mewakili Menteri Besar Perlis; Datuk Seri Dr Md Isa Sabu; Adun Simpang Empat, Ruse’ele Eizan dan Pengarah Baitulmal Perlis, Mohd Sokri Hussin.
Mohd Sokri turut mengumumkan bantuan segera kepada peniaga yang terbabit berjumlah RM1,000 selepas mereka mengemukakan salinan laporan polis kepada Baitulmal.-SH