Search This Blog

Wednesday, August 10, 2011

Jurujual dipenjara 6 tahun rogol rakan sendiri



JOHOR BAHRU - Seorang jurujual dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah merogol rakan sendiri, dua tahun lalu.

Goh Wei Jian, 20, disabitkan bersalah melakukan perbuatan tersebut di bilik tidur di sebuah rumah beralamat No 40, Jalan Permas 8/16, Taman Permas Jaya, di sini kira-kira jam 2 hingga 4 petang pada 9 Disember 2009.

Hakim, Zamri Bakar memerintahkan tertuduh, Gih Wei Jian, 20, menjalani hukuman itu berkuat kuasa daripada tarikh hukuman dijatuhkan.

Ketika kejadian, mangsa yang merupakan rakan tertuduh baru berusia 15 tahun lapan bulan.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chuah Shyue Chien dan Dzul Iswari Mohd Jaafar mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Zamri kemudian membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah dan tertuduh tidak bercakap jujur serta membuat penafian semata-mata.

Terdahulu peguam bela, Yahya Chua dalam rayuan memohon mahkamah memberi peluang kepada Wei Jian sebagai pesalah muda untuk membaiki diri, namun Dzul Iswari memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh adalah serius.-SH

2 suspek ditahan, kes bunuh selesai



IPOH – Polis percaya dapat menyelesaikan kes pembunuhan warga emas di Taman Buntong Ria, Menglembu Ahad lalu, dengan tertangkapnya seorang lagi suspek, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, lelaki berusia 21 tahun itu ditangkap pada jam 9.15 malam berhampiran dengan restoran makanan segera di Jalan Falim di sini, kelmarin.

“Suspek di reman selama enam hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

“Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin hari ini (semalam),” katanya di sini, semalam.-SH

Tak mengaku salah mencabul



AYER KEROH - Seorang pemuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas :tuduhan meraba dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita yang sedang tidur.

Tertuduh, E Yogeswaran, 19, membuat pengakuan itu dan meminta untuk dibicarakan semasa kes berkenaan disebut di hadapan Majistret Muhammad Hazri Hanafi.

Mengikut fakta kes, tertuduh dituduh dengan sengaja meraba wanita berusia 22 tahun itu dan menggunakan jenayah kekerasan padanya kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 12 Jun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah beralamat Batu 3 1/2, Solok Bukit Baru, Bukit Baru.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhather Mohd Kudus di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Muhather turut memohon supaya mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM4,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh sebaliknya memohon supaya mahkamah mengurangkan jaminan berkenaan kerana isterinya baru sahaja melahirkan anak pertama mereka.

Muhammad Hazri kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM2,200 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 29 September depan sebagai tarikh sebutan semula.-SH

Van rempuh surau



MUAR – Seorang lelaki berusia 40-an nyaris maut apabila van yang dipandunya terbabas lalu merempuh sebuah surau di Parit Besar, Jalan Abdul Rahman di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, surau tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian tembok hadapan.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila van berkenaan hilang kawalan selepas melanggar belakang sebuah kereta daripada arah yang sama dari Muar menghala ke Parit Jawa.

Bagaimanapun pemandu van berkenaan terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, mangsa, Hayani Halim, 41, yang merupakan seorang guru berkata, semasa kejadian dia berhenti seketika di persimpangan jalan tersebut untuk membelok ke rumah di Lorong Maisarah, Parit Besar, Jalan Abdul Rahman.

Menurutnya, belum sempat dia membelok di persimpangan berkenaan secara tiba-tiba belakang keretanya dirempuh kuat oleh sebuah van dari arah belakang.

“Akibat rempuhan ini kereta saya terbabas dan memasuki laluan arah bertentangan.

“Saya dalam perjalanan pulang dari sekolah bersama anak, Adam Nazhan Mohd Ali, 7,” katanya yang bersyukur terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, Hayani yang masih trauma dengan insiden yang berlaku berkata, dia sangat bersyukur kerana semasa kejadian seorang lagi anaknya yang masih bayi tiada bersama dengannya kerana belum diambil pulang dari rumah pengasuh.-SH

Bomoh lepas, bebas tuduhan rogol



IPOH – Seorang pengamal perubatan tradisional dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, semalam daripada tuduhan merogol seorang wanita dua tahun lalu.

Hakim Amran Jantan memutuskan demikian terhadap Mohamad Shuhaimi Othman, 64, apabila pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tiga pertuduhan terhadapnya.

Menurutnya, pihak pendakwaan juga gagal memanggil saksi penting yang memperkenalkan bomoh berkenaan kepada keluarga wanita itu dalam kes tersebut.

Mohamad Shuhaimi didakwa merogol wanita berusia 24 tahun di rumahnya di Jalan Kota Lama Kiri, Kampung Jias, Kuala Kangsar pada 4 Ogos hingga 6 Ogos 2009.

Dalam hujah pembelaan, tertuduh yang diwakili peguam bela, Ranjit Singh Sandhu menyatakan wanita terbabit ada kerelaan untuk tertuduh memberikan rawatan bagi melupakan bekas teman lelakinya. -SH

Bekas askar bebas tuduhan bunuh



IPOH – Seorang bekas askar menerima hadiah tidak ternilai di bulan Ramadan ini apabila dilepaskan dan dibebaskan Mahkamah Tinggi di sini, semalam atas tuduhan membunuh seorang peniaga, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abd Ghani memutuskan demikian terhadap Azali Asang, 30, bersama M Ravikumar, 27, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas lelaki tersebut.

Dalam penghakiman ringkasnya, beliau berkata, keterangan yang dikemukakan enam saksi pendakwaan, tiada yang menunjukkan kedua-dua tertuduh bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu.

Menurutnya, barang yang dirompak seperti dua telefon bimbit, dua cincin, gelang tangan dan kamera digital juga tidak dikaitkan dengan kes berkenaan. Selain itu, dalam hujah pendakwaan tidak menunjukkan bagaimana mangsa dibunuh. -SH

Cubaan seludup petrol gagal



KANGAR - Seorang lelaki warga tempatan ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Perlis selepas cuba menyeludup minyak petrol ke negara jiran, pada jam 10.30 pagi, semalam.

Suspek ditahan ketika cuba menyeludup :kira-kira 600 liter minyak petrol yang disimpan dalam kereta Proton Iswara warna putih yang dipasang dua tangki tambahan di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Wang Kelian di sini.

Timbalan Pengarah KPDNKK Perlis, Razali Lebai Salleh berkata, lelaki berusia lingkungan 20 an itu ditahan empat anggota KPDNKK Perlis ketika cuba melepasi pintu sempadan dipercayai dalam perjalanan menghantar minyak ke Thailand untuk dijual.

Menurutnya, beliau percaya perbuatan itu didalangi sebuah sindiket warga tempatan yang aktif melakukan kegiatan penyeludupan memandangkan harga minyak di negara jiran lebih mahal berbanding negara ini.

“Kita percaya kegiatan ini didalangi sindiket yang terdiri daripada orang tempatan yang membeli minyak di stesen dalam kuantiti yang banyak sebelum di seludup negara jiran melalui pintu masuk negara terutamanya di melalui pintu masuk di Wang Kelian.

“Kes disiasat mengikut Akta Bekalan 1961 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya kepada pemberita di Stor kereta KPDNKK di Behor Pulai, semalam.

Razali berkata, sejak Januari sehingga minggu pertama Ogos, sebanyak 143 kes penyeludupan termasuk penyeludupan petrol, diesel, minyak masak dan tepung dengan nilai rampasan berjumlah RM 605, 846.90 berjaya dipatahkan KPDNKK.

“Kita menjalankan pemantauan dan operasi setiap masa terutama di pintu sempadan negara di Wang Kelian bagi membanteras kegiatan penyeludupan yang dilihat semakin menjadi-jadi menjelang musim perayaan .

“Sehingga kini, sebanyak 80 kenderaan dengan nombor pendaftaran tempatan dan 40 kenderaan menggunakan nombor pendaftaran Thailand dikenal pasti memasang tangki tambahan.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan memberi kerjasama melaporkan kepada pihak penguat kuasa sekiranya melihat aktiviti mencurigakan.-SH

Maut tercampak ke pengadang




JITRA - Seorang lelaki warga Thailand ditemui maut dipercayai tercampak ke pengadang jalan di Kilometer 18.2 arah selatan Lebuh Raya Utara Selatan di sini, pagi semalam.

Mangsa, Ratthapong Glaseug, 18, dipercayai maut selepas gagal mengawal motosikal yang dinaikinya lalu merempuh pengadang jalan terbabit dalam kejadian malam, kelmarin.

Abang mangsa, Mohamad Mahmud, 30, berkata dia difahamkan ketika kejadian adiknya itu dalam perjalanan untuk mengambil seorang rakan namun tidak kesampaian selepas mengalami kecelakaan jalan raya.

Menurutnya, pada malam kejadian, dia dan beberapa ahli keluarga yang lain beberapa kali cuba menghubungi adiknya itu namun gagal dikesan sebelum keluar mencari adiknya di merata-rata tempat.

“Kami mencari di sekitar kawasan rumahnya di Napoh dan menemui motosikalnya di tepi jalan tetapi langsung tidak menjumpainya sehinggalah ke pagi ini (semalam) polis menghubungi kami dan memberitahu kejadian yang menimpanya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Jitra, semalam.

Mangsa yang juga dikenali sebagai Rusdi Mahmud itu berasal dari wilayah Sadao namun menetap di negara ini lebih setahun lalu dan bekerja sebagai tukang rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohamed Yusof ketika ditemui mengesahkan kejadian itu dan pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam kira-kira jam 8 pagi semalam.

Menurutnya, kemungkinan mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke pengadang jalan kerana tiada sebarang kesan dilanggar dalam kejadian yang berlaku antara jam 10.30 malam kelmarin.

“Terdapat kesan darah sepanjang setengah meter di pembahagi jalan itu selain mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan patah tangan kanan.

“Mangsa ditemui kira-kira 20 meter dari motosikalnya, dan disebabkan kawasan itu gelap mangsa gagal ditemui ahli keluarganya yang cuba mengesan mangsa pada malam kejadian.

“Bagaimanapun kes ini masih dalam siasatan,” katanya.
-SH

Amuk di bulan Ramadan



KULIM - Gara-gara hilang sabar melihat bekas isteri dan teman lelakinya berdua-duaan di ruang tamu rumah, seorang duda nekad mengambil parang sebelum ‘menetak’ motosikal teman lelaki bekas isterinya itu.

Dalam kejadian di Kampung Padang Tembak dekat sini, jam 5.30 petang semalam, bekas isterinya turut pengsan akibat terkena hulu parang ketika cuba meleraikan pergaduhan antara kedua lelaki itu.

Menurut ibu mangsa, suspek dan mangsa telah bercerai beberapa bulan lalu tetapi masih datang ke rumah untuk berjumpa anak mereka.

“Ketika kejadian, saya sedang memasak di dapur manakala anak saya (mangsa) sedang berbual dengan teman lelakinya di ruang tamu rumah. Tiba-tiba terdengar bunyi orang bertengkar.

“Saya cuma dengar bunyi suara mereka bertengkar sebelum menjenguk untuk melihat apa yang berlaku dan ketika itu nampak bekas suami anak saya menetak motosikal teman lelakinya dengan parang panjang. Saya hanya sempat ambil cucu kerana takut tercedera atau terjatuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sebelum ini dia tinggal di Rumah Orang Tua di Sungai Petani namun berpindah ke rumah anaknya untuk menjaga cucu.

Sementara itu, suspek ketika ditemui menyatakan sebelum kejadian mangsa telah menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepadanya dan meminta dia datang ke rumah untuk berjumpa anak mereka.

“Pada Februari tahun ini, bekas isteri saya telah ditangkap oleh Pejabat Agama Islam Daerah Kulim (PADK) kerana berkhalwat dengan teman lelakinya.

“Pada bulan April kami bercerai dengan talak satu. Sepanjang tempoh penceraian saya masih memberikan duit kepada bekas isteri dan membeli susu untuk anak-anak. Pada bulan Jun lalu saya nampak bekas isteri saya keluar bersama teman lelakinya. Saya telah menghentikan penghantaran wang kepadanya tetapi masih membeli keperluan untuk anak-anak.

“Saya mempunyai dua anak. Seorang bersama saya manakala seorang lagi bersama ibunya. Bekas isteri saya telah menghantar SMS kepada saya meminta saya menghantar anak ke rumahnya untuk mereka bermain.

“Tapi setelah sampai di rumahnya saya nampak motosikal kekasihnya berada di luar rumah. Saya memanggil mereka turun dan teman lelaki bekas isteri saya menyatakan bahawa anak saya adalah anak haram. Saya berang lalu merosakkan motosikalnya,” katanya sebelum ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut manakala teman lelaki bekas isterinya melarikan diri.-SH

Pencuri sawit hampa



JEMPOL – Seorang pemandu lori hampa apabila gagal menikmati sebarang habuan hasil kelapa sawit yang dipercayai dicuri setelah semua tayar kenderaan itu terbenam dalam tanah di sebuah ladang di Felda Lui Timur, di sini, 7 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Sabri Mohamad berkata, lori yang sarat dengan muatan buah kelapa sawit itu ditinggal dalam keadaan pintunya berkunci di satu lokasi berhampiran tanah perkuburan.

“Polis menemui lori berkenaan kira-kira jam 7 petang dan hasil pemeriksaan mendapati ia membawa 22 tandan buah kelapa sawit.

“Bagaimanapun, suspek tiada di lokasi berkenaan dan dipercayai telah melarikan diri,” katanya ketika mengesahkan kejadian berkenaan di sini, semalam.

Dalam kes berasingan, menurut beliau, polis berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki cuba mencuri dua tan buah kelapa sawit di ladang berkenaan, kira-kira jam 2.10 petang, pada hari sama.

Kata Mohd Sabri, sebelum itu, suspek berkenaan yang berumur 22 tahun dilihat dalam keadaan mencurigakan masuk ke kawasan ladang berkenaan.

“Suspek dan dua rakannya dipercayai menggunakan peralatan memetik buah kelapa sawit dan memasukkannya ke dalam sebuah kereta sorong.

“Bagaimanapun, kehadiran polis menyebabkan cubaan mereka untuk membawa keluar gagal dan semua buah kelapa sawit itu ditinggalkan tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, dua lagi rakan suspek berjaya melarikan diri dan suspek ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua kes berkenaan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di talian 06-4582222 atau balai polis terdekat,” katanya.-SH

Kontraktor mengaku tidak salah menipu



SEREMBAN - Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menipu seorang lelaki di Mahkamah Sesyen Seremban, dekat sini, semalam.

Tertuduh, Mohamad Khaizad Hashim, 46, berasal dari Sungai Gadut dekat sini, dituduh melakukan kesalahan itu di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Seremban, kira-kira jam 10.37 pagi, 28 Mac 2007.

Mengikut pertuduhan, dia dituduh menipu Rusli Jain dengan secara tidak jujur mendorong mangsa menyerahkan wang RM3,000 untuk dimasukkan ke dalam akaun BSN tertuduh.

Mohamad Khaizad didakwa memberitahu dengan bayaran berkenaan dia boleh menyelesaikan kes tuntutan elaun pemandu yang sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah ke atas Rusli.

Dia didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Mohammed Azmi Mohd Said, manakala pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Hanafi Abd Rahim di depan Hakim Datin Nursinah Adzmi.

Nursinah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 20 September depan.-SH

Kereta langgar dinding rumah



KUALA PILAH – Empat beradik yang leka menonton televisyen petang kelmarin, menghadapi detik cemas apabila sebuah kereta melanggar dinding rumahnya di Kilometer (KM) 3 Jalan Kuala Pilah - Bahau di Kampung Kuala Gentam.

Nor Shahirah Abdullah, 16, bersama adiknya, Nor Shahidah Ramli, 14; Nor Shakimi Ramli, 10 dan Nor Shaliah, 9, terkejut apabila mendengar dentuman kuat dari luar rumah kira-kira jam 3.30 petang.

Nor Shahirah berkata, ketika itu dia sedang menonton televisyen bersama adik-adiknya sementara ibu mereka bekerja di sebuah stesen minyak berhampiran rumah.

Menurutnya, mereka dikejutkan dengan dentuman kuat dari luar hingga menyebabkan dinding rumah di bahagian ruang tamu pecah.

“Saya bergegas keluar rumah dan mendapati sebuah kereta jenis Proton Wira terperosok dan melanggar dinding selepas merempuh pagar rumah.

“Saya dan adik membantu mangsa cedera. Orang ramai yang kebetulan lalu turut menghulurkan bantuan. Terdapat enam orang di dalam kereta itu dan pemandu serta penumpang di bahagian hadapan cedera akibat terkena serpihan kaca bahagian depan kereta manakala penumpang lain cedera ringan,” katanya.

Sementara menurut ibu Shahirah, Roslina Rosli, 36, dia hanya mendapat tahu rumahnya dilanggar kereta setelah diberitahu rakan sekerja.

Menurutnya, rumahnya berhadapan dengan tempat kerja dan setelah dimaklumkan rakan setugas, dia terus bergegas ke rumah serta terkejut melihat rumah teruk dilanggar kereta.

“Saya dimaklumkan oleh saksi bahawa Proton Wira itu terbabas setelah mengelak bas yang memberhentikan penumpang dari arah Bahau.

“Pada masa sama, sebuah lori dari arah sama tidak sempat menekan brek lalu melanggar Proton Wira yang berada di hadapannya manakala kereta itu pula cuba mengelak dari melanggar bas lalu terbabas ke kiri jalan hingga melanggar rumah saya,” katanya.

Roslina yang juga seorang ibu tunggal berkata, bersyukur kerana anak-anaknya terselamat, namun sedih melihat rumahnya yang rosak teruk.

“Aidilfitri tahun ini nampaknya terpaksa disambut ala kadar setelah melihat keadaan rumah yang rosak.

“Buat masa ini saya akan memasang kanvas bagi menggantikan dinding kerana bimbang dimasuki hujan. Saya reda dengan dugaan ini dan bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.-SH

Pegawai keselamatan maut



GOMBAK – Hasrat seorang pegawai keselamatan ke tempat kerja untuk menunaikan rutin hariannya tidak kesampaian dan berakhir tragedi apabila sebahagian kepalanya hancur digilis sebuah lori pagi, semalam.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa, Ahmadi Hamid, 49, dikatakan menunggang motosikal bersendirian dari arah Batu 9, Jalan Gombak Lama menghala ke tempat kerjanya di Petaling Jaya.

Sumber polis berkata, motosikal ditunggangi mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah lori tanah yang datang dari arah bertentangan menyebabkannya hilang kawalan dan terjatuh.

“Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, mangsa yang tercampak beberapa meter dari motosikalnya gagal mengelak dan digilis kenderaan berat itu menyebabkan isi kepalanya terburai.

“Mangsa yang mengalami kecederaan serius di bahagian muka dan kepala meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih terus dijalankan.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat.

“Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta memberi maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Inspektor Rasha Azrul Shafii di talian 03-61262257 untuk membantu siasatan,” katanya.-SH

Rogol: Warga emas dijel 10 tahun



KOTA BHARU – Seorang warga emas berusia 75 tahun dijatuhi hukuman 16 tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas mengaku bersalah merogol seorang kanak-kanak perempuan dalam kejadian di Tawang, Bachok, bulan lalu.

Dollah Senik turut dikenakan lapan kali sebatan rotan sejurus disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Hakim Irwan Suainbon dalam keputusannya berkata, mahkamah tidak teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman berat kepada pesalah jenayah seksual bagi mencerminkan kesalahan serius yang dilakukan.

Katanya, kesalahan tertuduh dipandang begitu serius berikutan ia melibatkan seorang kanak-kanak yang hanya baru berusia 10 tahun 8 bulan ketika kejadian.

“Tindakan kamu itu sudah merosakkan masa depan kanak-kanak tersebut dan hukuman ini sebagai pengajaran serta amaran kepada kamu termasuk anggota masyarakat lain supaya tidak lagi berbuat perkara sama,” katanya.

Pada prosiding semalam, fakta kes mengatakan tertuduh yang dikenali mangsa dengan panggilan ‘Pok Loh’ bersama seorang lagi rakan tertuduh, ‘Pok Min’ menahannya ketika berjalan menuju rumah kawan berhampiran bersama kakak beliau.

Menurut fakta tersebut, mangsa ditarik Pok Loh sementara Pok Min menarik kakak mangsa masuk ke dalam rumah Pok Min di alamat tanpa nombor, Kampung Beris Gajah Mati pada jam 2 petang, 27 Julai lalu.

Dalam kejadian itu, Dollah menarik mangsa masuk ke dalam sebuah bilik sebelum bertidak menolaknya ke atas katil serta menanggalkan pakaian seterusnya merogol kanak-kanak itu.

Berikutan itu, duda tujuh anak itu dikenakan hukuman berkenaan berkuat kuasa dari tarikh jatuh hukum, semalam. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Riffin.-SH

Pecah masuk Bazar Tok Guru



KOTA BHARU - Dua peniaga berdepan kerugian lebih RM30,000 apabila premis perniagaan mereka di Bazar Tok Guru dekat sini dipecah masuk.

Peniaga berkenaan, Wan Hasnah Wan Daud, yang menjalankan perniagaan barang kemas jenama Zhulian kerugian kira-kira RM18,000 apabila lebih sebahagian barangan tersebut dilarikan dalam kejadian yang hanya disedari jam 10 pagi semalam.

Wan Hasnah, 70, yang membahasakan dirinya, ‘ummi’ berkata, barangan kemas berkenaan baru sahaja dibawa masuk ke premis berkenaan untuk dipasarkan sempena Aidilfitri nanti.

“Tidak ada yang memeranjatkan kerana segala yang dimiliki hak Allah, bila-bila masa sahaja boleh diambil dan bila-bila masa juga akan diberikan,” kata Wan Hasnah tenang ketika menceritakan tentang kejadian itu di premisnya di sini semalam.

Menurutnya yang lebih 40 tahun menjalankan perniagaan berkenaan, ada di antara barang-barang tersebut ditinggalkan pencuri terbabit, mungkin disebabkan harganya yang rendah.

Manakala seorang lagi peniaga, Norashikin Hussin, 40, pula berdepan kerugian antara RM15,000 hingga RM16,000 dalam kejadian yang hanya diketahui jam 5.30 pagi itu.

Menurutnya, dia mengetahui tentang kejadian tersebut apabila pengawal keselamatan menghantar khidmat pesanan ringkas memaklumkan tentang kejadian itu.

“Sebaik mendapat tahu mengenai kejadian tersebut saya bergegas ke premis dan mendapati keadaan bersepah dengan keadaan pintu yang rosak akibat diumpil.

“Saya kehilangan 20 helai kain sutera, 30 pasang baju Melayu dan 100 pasang baju kanak-kanak serta wang tunai RM91,” katanya yang melaporkan kejadian di Balai Polis Kota Bharu pagi semalam.

“Kita minta pengawal keselamatan ditambah selain kawasan ini dipasang kamera litar tertutup bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Assistan Komisioner, Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Menurutnya, kes akan disiasat di bawah sesyen 457 Kanun Keseksaan.

“Kita minta kerjasama pihak terlibat untuk meningkatkan kawalan di sekitar premis berkenaan kerana kejadian berlaku di sebelah malam, selain pihak polis akan turut mengadakan rondaan di kawasan itu,” katanya.-SH

Disyaki perbuatan khianat



KOTA BHARU- Hanya dalam sekelip mata, enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran yang melibatkan sebuah rumah sewa di Kampung Lundang, di sini, pagi semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 pagi itu menyebabkan keluarga terbabit tidak dapat menyelamatkan barangan dalam rumah berkenaan akibat api yang begitu cepat merebak.

Mangsa, Nurlia Mohd Zin, 43, berkata ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana keluar berniaga biskut dan kek sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, berhampiran pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kota Bharu.

“Ibu saya, Kalsom Daud, 80 bersama anak ketiga, Wan Nor Kasidah Wan Khairul, 17, serta anak bongsu, Wan Khairul Ridhuan Al Hakim Fikri, 14, berada dalam rumah.

“Anak saya Wan Nor Kasidah menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada saya sebelum kebakaran berlaku mengatakan ada terdengar seperti kehadiran orang di hadapan rumah saya, akibat takut dia tidak keluar dari bilik dan terus mendiamkan diri sehinggalah menyedari bahagian dapur terbakar,” katanya.

Katanya, dia mengesyaki kejadian itu mungkin perbuatan khianat, namun tidak tahu puncanya kerana menurutnya dia tidak pernah bermusuh dengan sesiapa sepanjang dia tinggal di kawasan itu.

“Selepas berbalas SMS kira-kira tiga jam sebelum itu, saya dikejutkan dengan panggilan telefon dari anak saya (Kasidah) mengatakan rumah yang menjadi tempat berteduh kami sekeluarga sejak tujuh tahun lalu terbakar.

“Saya hanya sampai ke rumah kira-kira jam 7 pagi dan melihat rumah hangus dan hanya tinggal sisa-sisa kebakaran sahaja.

“Sedih dan terkejut apabila menerima berita ini namun saya pasrah dan mengharapkan agar kehidupan kami selepas ini lebih baik,” katanya.

Nurlia berkata, kebakaran terbabit menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM150,000 merangkumi kerugian barangan jualan termasuk, pinggan mangkuk, beg kulit, kain tudung dan beberapa barangan berharga.

Sementara itu, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Wan Hassan Wan Idris berkata, pihaknya menghantar empat jentera termasuk sebuah dari balai bomba Kota Darulnaim bersama 19 anggota ke tempat kejadian.

”Sebaik tiba di tempat kejadian, rumah kayu terbabit telah 100 peratus musnah dan pihak kami mengambil masa15 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak,” katanya.

Wan Hassan menasihatkan orang ramai terutama suri rumah supaya lebih berhati-hati dengan aktiviti memasak sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri ini bagi mengelak musibah.-SH

Wartawan palsu kena cekup




KUALA LUMPUR - Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Itulah kesudahan, episod penyamaran seorang lelaki sebagai wartawan Sinar Harian yang berakhir petang semalam, apabila dia ditahan polis di Saloma Bistro, Jalan Ampang, di sini.

Dia ditahan ketika mengendalikan sesi fotografi palsu, melibatkan sekumpulan artis terkenal kononnya diadakan untuk terbitan khas Sinar Harian sempena Aidilfitri.

Antara artis diperdaya untuk sesi fotografi palsu itu, Farawahida, Nubhan, Man Kidal, Azharina dan artis baru, Firdaus.

Menariknya, meskipun palsu, sesi itu diatur cukup rapi oleh si penipu yang turut dilengkapi dengan khidmat jurufoto profesional dan jurumekap artis, yang juga dipercayai diperdaya.
SH

Pesawat kargo Rusia terhempas, 11 terbunuh



10/08/2011 10:47am

MOSCOW 10 Ogos - Sebuah pesawat kargo terhempas di wilayah pendalaman timur Kolyma. Russia semalam, menyebabkan 11 orang terbunuh selepas ia gagal dikesan radar, kata agensi berita RIA Novosti.
Seorang pegawai pengangkutan berkata, pesawat jenis Antonov-12 yang melakukan penerbangan ke wilayah terpencil Chukotka, dalam percubaan untuk melakukan pendaratan kecemasan apabila pusat kawalan trafik gagal mengesan kedudukan pesawat itu.
Satu pasukan mencari dan menyelamat dikerah awal pagi semalam untuk mencari pesawat tersebut dan penumpangnya. - Reuters

50 maut bot penumpang karam




MORONI 10 Ogos - Sekurang-kurangnya 50 orang termasuk kanak-kanak mati lemas dalam laut bergelora apabila sebuah bot penumpang tenggelam di Kepulauan Comoros awal pagi ini ekoran enjin bot gagal berfungsi.
Menurut pendakwa raya awam, Soilih Mahmoud, bot tersebut membawa lebih daripada 100 penumpang dalam perjalanan dari ibu negara, Moroni ke pulau Anjouan, terlanggar batu besar kira-kira 3 kilometer dari pantai pulau tersebut.
"Sebanyak 50 mayat ditemui namun masih terdapat mayat yang terperangkap dalam bangkai bot itu dan akan dikeluarkan sebaik sahaja laut kembali tenang," katanya. - AFP

London huru-hara rusuhan merebak



KOTA London yang selama ini aman dan selamat bertukar menjadi huru-hara selepas tercetus rusuhan sejak Sabtu lalu, berpunca kematian seorang remaja kulit hitam yang ditembak oleh polis.


*Bermula dengan satu protes kecil secara aman dipinggir kota London di Tottenham, Sabtu lalu, berpunca seorang remaja kulit hitam ditembak mati oleh polis.
*Ekoran itu, protes bertukar menjadi rusuhan dan merebak ke seluruh kota itu sebelum ke tiga bandar raya utama iaitu Birmingham, Bristol dan Liverpool, semalam.
*Perkhidmatan Ambulans London merawat 16 mangsa rusuhan, 15 daripadanya dimasukkan ke hospital, manakala polis menangkap 334 orang dan mendakwa 69 lagi atas pelbagai kesalahan.
*Seorang pelajar Malaysia mengalami patah tulang rahang dan gigi selepas dibelasah sekumpulan perusuh ketika keluar membeli juadah berbuka puasa.

Bekas askar, rakan bebas tuduhan bunuh



IPOH 9 Ogos - Kedatangan Syawal kira-kira tiga minggu lagi tentunya menjanjikan kegembiraan yang bukan sedikit kepada seorang bekas askar apabila dia dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada tuduhan membunuh seorang peniaga, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Zainal Adzam Abd Ghani memutuskan demikian terhadap Azali Asang, 30, dan rakannya, M. Ravikumar, 27, setelah beliau berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas kedua-dua lelaki tersebut.
Mereka didakwa membunuh V. Rajendrakumar, 29, di Makam Tengku Raja Azal, Kampung Mandeling, Batu Gajah, di sini antara pukul 1 pagi dan 5 pagi, 24 Jun 2009.
Pendakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Zainal Adzam berkata, keterangan yang dikemukakan oleh enam saksi pendakwaan tidak menunjukkan kedua-dua tertuduh bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu.

Tukang kebun didakwa pukul ibu tiri



Anggota polis membawa Fatihi Hamidi Zakaria yang didakwa atas tuduhan mendatangkan kecederaan kepada ibu tirinnya di Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 9 Ogos – Seorang tukang kebun sebuah agensi kerajaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap ibu tirinya dengan menggunakan sebatang besi pada Sabtu lalu.
Fatihi Hamidi Zakaria, 26, mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa, Zaliha Othman, 43, dengan menggunakan sebatang besi panjang yang berbentuk ‘t’ di hujung manakala hujung satu lagi berbentuk ‘v’.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Losong Haji Mamat dekat sini kira-kira pukul 4 petang, 6 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua jika sabit kesalahan.
Abdul Hayyi menetapkan 29 September ini untuk sebutan kes bagi membolehkan laporan perubatan kesihatan tertuduh dikemukakan.
Beliau turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mikiy Dunstan manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sindiket curi telefon awam tumpas





Tun Hisan Tun Hamzah (tengah) bersama Mohd. Adnan Abdullah (kanan) melihat komponen telefon awam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 9 Ogos – Taktik lima lelaki menyamar sebagai kontraktor untuk mencuri telefon awam di negeri ini untuk dijual sebagai besi buruk terbongkar apabila polis menahan mereka di sebuah kedai menjual barangan lusuh di Bandar Baru Bukit Beruntung, Hulu Selangor, 26 Julai lalu.
Lima suspek berusia antara 20 dan 40 tahun itu ditahan ketika sedang menurunkan barangan yang dicuri mereka dari sebuah lori kira-kira pukul 6 petang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, siasatan mendapati suspek mencuri telefon awam dan meleraikannya untuk dijual kepada kedai barangan lusuh selain turut mengambil kesemua duit syiling di dalamnya.
“Ia melibatkan jumlah kerugian bernilai RM960,000 dan kita percaya sindiket itu turut melakukan jenayah terbabit di beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur.
“Di Selangor, kita percaya ia dilakukan di beberapa daerah seperti Seri Kembangan, Bangi, Serdang, Balakong, Ampang dan Rawang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah.
Menurut Tun Hisan, polis merampas 112 penutup telefon awam, 50 unit gagang telefon, 14 buah telefon awam dan penutup telefon depan serta sebuah lori dan kereta Proton Wira.
Dalam kes berlainan, Tun Hisan berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 22 tahun kerana dipercayai mencuri dan menyebabkan kebakaran di 12 pencawang milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bukit Sentosa, Bukit Beruntung dan Sungai Choh, Rawang.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan di rumah masing-masing iaitu di Rasa dan Taman Tun Perak, Rawang, pada pukul 9.45 malam, 4 Ogos lalu.
“Kami menerima laporan mengenai kebakaran pencawang tersebut dari pihak TNB pada 2 Ogos lalu dan ia dipercayai melibatkan kerugian berjumlah lebih RM30,000.
“Siasatan mendapati, kedua-dua suspek dipercayai mencuri kabel lalu membakar barangan itu untuk mendapatkan tembaga, sebelum dijual di pasaran.
“Polis turut menyita sebuah kereta Proton Iswara dan satu logam tembaga pencawang,” jelasnya.
Tambahnya, kesemua suspek yang ditahan dalam kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.-curi

Dua sakit, bicara dalam perbicaraan ditangguh



Thilaiyangan (kiri) dan Matan (dua kiri) diiringi polis sewaktu hadir di perbicaraan kes bunuh Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain di Mahkamah Shah Alam, semalam. - utusan/Mohd Shaharani Saibi


SHAH ALAM 9 Ogos - Prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) di Mahkamah Tinggi di sini bagi mengetahui keadaan minda serta kemungkinan berlaku tekanan terhadap dua tertuduh, T. Thilaiyalagan dan R. Kathavarayan semasa disoal siasat sehingga membawa kepada penemuan barang-barang kes, ditangguhkan sehingga Khamis ini.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan penangguhan selepas peguam Manjeet Singh Dhillon memaklumkan anak guamnya yang juga tertuduh pertama, N. Pathmanabhan dan Kathavarayan selaku tertuduh keempat tidak dapat hadir kerana tidak sihat dan dibawa ke hospital pagi ini.
Peguam Gurbachan Singh yang mewakili Thilaiyalagan juga memohon perkara yang sama kerana pihaknya perlu menyerahkan sepina kepada beberapa orang saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam prosiding TWT itu.
Hakim Akhtar turut memaklumkan mahkamah akan mengadakan lawatan ke beberapa lokasi berkaitan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi di sekitar Banting dan Subang Jaya esok.
Selain beliau dan pegawai mahkamah serta barisan pendakwaan dan juga pembelaan, lawatan kali kedua ini akan disertai oleh kesemua tertuduh.
Dalam kes ini, bekas peguam, Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sementara itu, saksi pendakwaan ke-36, Sarjan Mohamed Dahlan Rasee dari Cawangan Siasatan Tempat Kejadian Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur memberitahu, dia diarah melakar rajah kasar di sebuah sungai di Jalan Gelanggang Buaya, Kampung Kelanang, Banting pada 14 September tahun lalu.
Menurutnya, kerja tersebut dilakukan sebaik sahaja sampai di lokasi dan sebelum bahan bukti iaitu enam keping zink ditemui di dalam sungai itu oleh tiga anggota penyelam.
''Saya nampak tiga anggota penyelam berada di dalam parit sedang mencari bahan-bahan bukti. Tidak lama kemudian saya nampak mereka mengeluarkan sekeping demi sekeping zink dari dalam air.
''Zink-zink itu diletakkan di atas tebing rumput dan dibalut dengan kertas minyak berwarna putih oleh anggota siasatan tempat kejadian jenayah,'' jelasnya semasa memberi keterangan dalam kes bunuh tersebut.
Semasa disoal oleh Manjeet, Mohamed mengaku dia melukis rajah kasar tempat itu sebelum zink ditemui dan meletakkannya dalam lakaran itu apabila ia ditemui 10 minit kemudian.
Saksi turut mengakui tiga anggota penyelam itu mula membuat pencarian di dalam sungai tersebut sebelum pasukan siasatan tempat kejadian jenayah tiba.
Saksi pendakwaan ke-35, Lans Koperal Salmi Putit pula mengesahkan dia membuat rajah kasar di tempat letak kereta di Jalan SS12/1B, Subang Jaya iaitu lokasi kereta BMW milik Ahmad Kamil ditemui.
Katanya, lakaran itu dibuat apabila sampai di pejabat selepas menjalankan siasatan di tempat itu pada pukul 10 malam, 6 September 2010.
Ditanya sama ada ia adalah kawasan lot tempat letak kereta berbayar dan ia bersambung dengan bahagian di hadapan deretan rumah kedai, saksi mengesahkan perkara itu.
Dia bagaimanapun memaklumkan tidak nampak meter untuk pembayaran tempat letak kereta berhampiran dan diberitahu oleh seorang penduduk yang tinggal berdekatan bahawa kawasan itu tidak berbayar.
Perbicaraan yang masuk hari ke-20 bersambung esok.

Pemain bola cedera main mercun

MAILANG Sari menunjukkan tangan kiri Mohd. Nazirul Hasif yang terkena
 mercun buatan sendiri di Hospital Raja Perempuan Zainab II,
Kota Bharu, Kelantan, semalam. – UTUSAN/Yatimin Abdullah

KOTA BHARU 9 Ogos – Kreativiti seorang pemain bola sepak kebangsaan bawah 12 tahun membuat mercun buatan sendiri menggunakan pemula lampu kalimantan dan mercun bola mengundang padah apabila tiba-tiba ia meletup mengakibatkan mangsa melecur.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, mangsa, Mohd. Nazirul Hasif Mailang yang mewakili negara dalam Piala Asia di Jepun bulan lalu, bernasib baik apabila hanya kuku di jari manis kirinya tercabut manakala tiga lagi kuku jari kirinya hampir tertanggal.
Anak sulung daripada empat beradik itu juga cedera di bahagian pipi, telinga serta mendapat tiga jahitan di lengan tangan kanan.
Ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dekat sini hari ini, Mohd. Nazirul Hasif berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang membuat mercun sendiri dengan menggunakan pemula lampu kalimantang dan mercun bola.
“Saya beli mercun bola berharga RM2, kemudian saya ambil pemula lampu dan menebuk bahan itu untuk disumbat dengan belerang dan sumbu mercun bola itu.
“Selepas itu, saya memanaskan dawai dan cucuh ke dalam pemula lampu itu, namun tiba-tiba ia meletup tanpa saya sempat melarikan diri,” katanya.
Selain Mohd. Nazirul Hasif, seorang adiknya yang kebetulan berada berhampiran turut cedera ringan terkena serpihan letupan itu.
Mohd. Nazirul Hasif memberitahu, dia belajar membuat mercun daripada rakan-rakannya dan ia bukanlah mercun buatannya yang pertama.
Sementara itu, bapanya, Mailang Sari, 38, berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga sedang berbuka puasa di warung berkenaan.
“Ketika kejadian saya dan isteri, Zuraidah Kamaruddin, 36, bersama empat anak termasuk mangsa sedang berbuka puasa di hadapan warung.
“Mohd. Nazirul Hasif yang selesai dahulu makan dilihat tergesa-gesa masuk ke bahagian dapur warung dan beberapa minit selepas itu kami terdengar bunyi letupan dan dentuman kuat dari dapur menyebabkan kami bergegas masuk,” katanya.
Sejurus masuk ke dapur, dia terkejut melihat anaknya itu berdiri dengan pakaian dipenuhi darah serta beberapa peralatan untuk membuat mercun bertaburan.
Mailang berkata, dia membawa Mohd. Nazirul Hasif ke Hospital Tumpat tetapi dirujuk ke HRPZ II kerana kecederaannya agak serius namun dibenarkan pulang selepas diberi rawatan.-utusan

Marah suami, anak patah kaki dipukul



KUALA LUMPUR 9 Ogos - Akibat terlalu marahkan suaminya, seorang wanita sanggup menjadikan anak mereka yang baru berusia dua tahun sebagai mangsa sepak terajang sehingga menyebabkan kaki kanan kanak-kanak itu patah.
Suri rumah tersebut dipercayai hilang kawalan ketika bertengkar dengan suaminya lalu bertindak melepaskan geram terhadap mangsa.
Kejadian berlaku pada hari pertama umat Islam hendak berbuka puasa kira-kira pukul 7.30 petang pada 1 Ogos lalu, di rumah mereka di Taman Orkid, dekat sini.
Keadaan mangsa semakin serius selepas seminggu kejadian itu apabila kaki kanannya mula membengkak sehingga dia tidak boleh bergerak.
Berikutan itu, wanita berkenaan membawa anaknya mendapatkan rawatan lanjut di wad kecemasan Hospital Kajang, semalam.
Menurut sumber, seorang doktor yang merawat kanak-kanak itu terkejut apabila mendapati terdapat beberapa kesan lebam serta bengkak di bahagian paha kaki kanan mangsa.
"Bimbang dengan keadaan mangsa, doktor berkenaan telah membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini mengesahkan kejadian tersebut.
"Pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada masalah rumah tangga pasangan muda itu," katanya.-utusan

Mayat dikerat-kerat: Polis tidak tolak motif cinta, cemburu



SHAH ALAM 9 Ogos - Polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan seorang wanita yang mayatnya dikerat-kerat di sebuah unit pangsapuri di Ampang minggu lalu, disebabkan cinta dan cemburu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pihaknya telah menyoal lebih 100 individu termasuk jiran mangsa dan 40 daripadanya direkod keterangannya.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai hubungan antara suspek dan mangsa.
"Perkara itu masih dalam siasatan dan kita tidak mahu menimbulkan sebarang spekulasi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Tun Hisan berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati, suami mangsa hanya menyedari kehilangan isterinya selepas dia tidak pulang ke rumah pada 29 Julai lalu.
"Pada hari mangsa dipercayai hilang iaitu pada Jumaat, dia dikatakan sedang bercuti dan tidak bekerja," katanya.
Mengenai mayat seorang kanak-kanak lelaki yang ditemui di tempat yang sama pada hari berkenaan, Tun Hisan berkata, perkara itu masih di dalam siasatan pihak forensik.
"Ada maklumat mengatakan mayat kanak-kanak itu adalah anak mangsa tetapi kita sedang siasat dengan lebih terperinci bagi mengesahkannya," ujarnya.
Pada 3 Ogos lalu, beberapa keratan tubuh dan organ manusia termasuk usus ditemui dalam beberapa beg plastik di dalam mangkuk tandas di sebuah unit di tingkat lima Pangsapuri Astaria, Taman Kosas, Ampang.
Selepas siasatan awal, polis mengesahkan kesemua beg plastik itu mengandungi keratan mayat seorang wanita warga asing berumur 30-an dan seorang kanak-kanak lelaki.-utusan

Pemandu lori didakwa cuai langgar mati warga emas



NIBONG TEBAL 9 Ogos – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jawi dekat sini hari ini atas tuduhan memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengakibatkan kematian seorang warga emas, pada hujung Jun lalu.
Farok Abdul Malik, 33, didakwa memandu lori dengan nombor pendaftaran PHW 9335 secara berbahaya di Jalan Kendi, Simpang Ampat, dekat sini sehingga mengorbankan Tan Poh Siew, 62, dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi, 28 Jun lalu.
Tertuduh yang kini tidak lagi bekerja selepas kejadian itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak lebih RM20,000.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Khairul Fairuz Rahman yang mengendalikan pendakwaan memohon agar tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tetapi tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan dia menyara empat anak.
Majistret Mohd. Izham Ali kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh sementara menunggu sebutan kes pada 9 September ini.-utusan

13 wanita Islam antara 15 pelacur ditahan ketika tawar khidmat seks pada siang hari

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Bukan sahaja tidak mengambil kesempatan mengisi amal ibadat pada Ramadan ini, malah 13 wanita beragama Islam ini tergamak menawarkan khidmat seks kepada warga asing pada siang hari.
Wanita terbabit adalah antara 15 pelacur yang ditahan dalam operasi Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) kira-kira pukul 12.30 tengah hari di sebuah pusat pelacuran Jalan Silang dekat sini, hari ini.
Menurut Pegawai Turus Cawangan D7 Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Azman Mohd. Isa, lokasi pelacuran itu aktif menjalankan perniagaan di siang hari dan menawarkan khidmat kepada warga asing.
Katanya, daripada jumlah itu, sembilan ditahan berasal dari Sabah manakala selebihnya dari Semenanjung termasuk masing-masing seorang Cina dan India.
"Ketika serbuan terdapat 19 pelanggan berusia 30-an melakukan tawar-menawar terdiri daripada warga asing dari Nepal, Myanmar dan Bangladesh.
"Kita juga merampas wang berjumlah RM2,016, dipercayai hasil khidmat seks itu daripada tiga penjaga dan mereka ini turut ditahan," katanya ketika ditemui selepas operasi itu di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Azman berkata, hasil pemeriksaan terdapat 20 bilik yang dilengkapi katil di premis terbabit.
"Harga yang ditawarkan kira-kira RM30 hingga RM40 dan pelanggan boleh memilih pelacur yang mereka kehendaki di dalam bilik itu.
"Lokasi itu beberapa kali diserbu pihak berkuasa dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga banyak kali merobohkan premis itu, namun ia tetap didirikan semula," katanya.-hmetro

Gantung diri lepas bunuh isteri



PULAU PINANG 9 Ogos - Seorang penyelia pusat hiburan karaoke bertindak menggantung dirinya selepas mencekik isterinya sehingga mati di sebuah pangsapuri di Tanjung Tokong, di sini malam tadi, yang dipercayai berpunca daripada cinta tiga segi.
Ooi Chong Seng, 29, ditemui tergantung di bingkai tingkap dengan lehernya dililit tali nilon sementara isterinya, Yang Xiaohua, 24, warga China ditemui terbaring di atas katil di bilik tidur mereka.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, wanita itu dipercayai dicekik sehingga mati berdasarkan kesan lebam pada lehernya.
"Polis tiba di pangsapuri berkenaan pada pukul 8.20 malam selepas menerima panggilan daripada orang awam.
"Polis terpaksa memecah masuk premis itu dan menemui kedua-duanya yang tidak bernyawa lagi," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, malam tadi.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan membunuh diri.

Polis selesai kes bunuh di Buntong



IPOH 9 Ogos - Polis percaya telah menyelesaikan kes bunuh seorang warga emas di Taman Buntong Ria, Menglembu, di sini kelmarin, dengan tertangkapnya seorang lagi suspek lelaki semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditahan di hadapan sebuah restoran makanan segera di Jalan Farlim di sini oleh sepasukan anggota polis pada pukul 9.15 malam.
"Dengan penahanan lelaki berkenaan, kita percaya telah dapat menyelesaikan kes bunuh itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki warga emas ditemui mati dibunuh selepas disamun di rumahnya di Taman Buntong Ria, Menglembu.
Mangsa, Looi Kim Loong, 67, yang merupakan seorang peniaga ditemui terbaring di bilik utama oleh ahli keluarganya pada pukul 2.10 pagi.
Kim Loong merupakan mangsa ketiga yang dibunuh dalam kejadian samun di negeri ini selepas insiden yang menimpa Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim dan ibu saudara kepada Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai iaitu Teoh Ah Nya @ Teoh Kooi Lan.
Rohani, 38, ditemui mati dicekik di Pangsapuri Permai Lake View, Tambun di sini pada Khamis lalu dipercayai akibat disamun manakala Ah Nya, 73, ditemui mati juga dipercayai selepas disamun di rumahnya di Tanjung Piandang, Parit Buntar awal pagi 6 Ogos.
Pada 8 Ogos lalu, polis telah menahan seorang suspek berusia 24 tahun di sebuah kedai runcit di laluan Sungai Pari 4, Buntong.
Lelaki berkenaan ditahan reman tujuh hari untuk membantu siasatan.-utusan

Gara-gara kejar untung RM5, syarikat feri rugi RM1,800



KEUNTUNGAN RM5 bagi setiap caj barangan dalam kargo yang dikenakan oleh syarikat Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. kepada pelanggannya tidak berbaloi apabila syarikat berkenaan terpaksa membayar ganti rugi RM1,800 gara-gara kecuaian menjaga barangan yang diamanahkan.
Syarikat berkenaan yang menjalankan perkhidmatan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi diarah membayar ganti rugi tersebut dalam tempoh 14 hari setelah seorang pengusaha butik, Zuhana Md. Amin, 39, kehilangan barang yang dikirim dari Perlis ke Langkawi melalui perkhidmatan feri syarikat tersebut.
Ganti rugi tersebut dipersetujui oleh kedua-dua pihak setelah Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Reihana Abd. Razak mengarahkan kedua-dua pihak berbincang mengenai jumlah ganti rugi yang perlu dibayar kepada Zuhana.
Sebelum itu, Zuhana menuntut agar syarikat berkenaan membayar kos kehilangan semua barangan yang dikirimkan berjumlah RM3,015 meliputi 18 pasang baju, sebuah periuk nasi, barangan kosmetik dan salinan cukai jalan untuk motosikalnya.
Menurut Zuhana, pada 17 Julai lalu, dia telah mengirimkan barangan berkenaan menggunakan perkhidmatan feri tersebut dengan membayar caj kargo RM5 bagaimanapun barangan yang dikirimkan itu tidak sampai kepada kakaknya di Langkawi.
''Saya menghantar barang tersebut pada pukul 2.50 petang namun sehingga feri terakhir, kakak saya memaklumkan masih belum menerima barangan tersebut,'' katanya.
Ujarnya, pada keesokan pagi, dia menelefon syarikat tersebut namun masih tidak dapat mengesan kedudukan barangan yang dikirim.
Berikutan tidak puas hati dengan maklum balas yang diterima daripada syarikat berkenaan, dia memfailkan tuntutan ganti rugi di TTPM pada 20 Julai lalu.
Dalam pada itu, wakil syarikat tersebut Nurul Fakri Ahmad berkata, syarikatnya enggan membayar tuntutan ganti rugi itu kerana telah terdapat terma-terma di belakang tiket caj kargo bahawa pihaknya tidak akan bertanggungjawab terhadap kehilangan barangan para pelanggan.
Namun Reihana menegaskan, terma-terma tersebut tidak boleh diterima kerana ia menetapkan bahawa pemilik barang perlu ada bersama-sama sebagai penumpang semasa menggunakan perkhidmatan itu sedangkan Zuhana hanya mengirimkan barang.
''Apabila pelanggan membayar caj tersebut dan dipersetujui oleh syarikat maka syarikat perlu bertanggungjawab untuk memastikan barangan itu selamat sampai kepada penerimanya namun dalam hal ini syarikat cuai untuk melaksanakan amanah tersebut,'' katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, tribunal memutuskan agar hanya separuh daripada nilai tuntutan dibayar kerana tidak mempunyai bukti kukuh mengenai jumlah barangan yang dikirimkan walaupun pihak penuntut telah menyertakan resit-resit pembelian.
''Tribunal tidak tahu sama ada benar atau tidak jumlah barangan tersebut kerana wakil syarikat tidak melihat sendiri jumlah barangan dalam bungkusan itu dan kita hanya mendengar nilainya daripada pihak penuntut,'' katanya.
Reihana berkata, tribunal menetapkan syarikat tersebut membayar sejumlah RM1,325 namun menerima pakai keputusan kesepakatan yang telah dibuat antara kedua-dua pihak sebelum tribunal membuat keputusan.
Sehubungan itu beliau menasihatkan syarikat berkenaan melaksanakan perkhidmatan kiriman barang yang lebih sistematik seperti syarikat kurier agar dapat mengelak menanggung kos kerugian yang tinggi akibat kehilangan barang pelanggan.-utusan

Penjaga masjid mengaku salah miliki mercun

KUALA TERENGGANU 9 Ogos - Seorang warga emas berusia 62 tahun yang juga penjaga masjid didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api pada Ahad lalu.
Mohamad Salleh yang memakai jaket putih mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki barang-barang tersebut di rumah No. 797, Kampung Losong Haji Mat Shafiee dekat sini kira-kira pukul 4.55 pagi, 7 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa memiliki beberapa jenis mercun dan bunga api termasuk mercun bola sebanyak lapan bungkus, pop-pop (tujuh kotak), butterflies (lapan kotak), dragon eggs(sekotak), fire rose (29 kotak), '020' (36 batang), 'no8801A' (sekotak), 'PTL4016A' (lima unit) dan 'a016' (12 batang).
Mohamad didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Abdul Hayyi membenarkan tertuduh diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 September ini untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mikiy Dunstan manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.-utusan

‘Adik nak ibu’

IPOH: “Adik nak ibu,” demikian tangisan hiba mangsa tragedi tanah runtuh, Serry Prisila a/p Saari, 15, selepas lebih 24 jam tidak sedarkan diri.
Mangsa yang dirawat di wad 6 B, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tersedar kira-kira jam 7.30 petang kelmarin sebelum bertanya ibunya, Sara Gunung, 35, yang maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata, Cameron Highlands, Ahad lalu.

Tragedi berdarah itu turut meragut nyawa neneknya, Normadiah Lasik, 69, manakala mangsa dan bapa saudaranya, Bah Anjang a/l Alang, 39, dua mangsa yang berjaya diselamatkan sebelum dihantar ke HRPB.

Serry yang masih trauma seolah-olah tidak percaya ibunya sudah meninggal dunia walaupun dimaklumkan berulang kali sepupunya, Faridah a/p Bah Anjang, 18.

Dia yang patah tulang bahu dan kaki kanan berulang kali merayu supaya ibunya dibawa melawatnya di hospital berkenaan.

“Saya sayang ibu...saya tak ingat apa berlaku. Saya pengsan selepas rumah kami dihentam batu dan tanah runtuh itu.
“Ketika kejadian, saya baru pulang menghadiri gotong-royong di sekolah sebelum masuk ke bilik air untuk mandi...tiba-tiba saya terpelanting entah ke mana,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, ibunya menonton televisyen di ruang tamu rumah manakala neneknya tidur di dalam bilik.
“Saya hanya dengar bunyi kuat di belakang rumah sebelum saya terhumban ke depan. Kepala saya sakit akibat terhantuk batu yang menyebabkan saya pengsan,” katanya.

Mangsa yang ditemui rakan sekampungnya, Nurfareha Goh, 15, tertanam di dalam tanah selut, bagaimanapun sempat ditarik keluar sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom, Tanah Rata, Cameron Highlands, sebelum dipindahkan ke HRPB pada malam kejadian.

Ditanya sama ada dia mahu kembali semula ke kampung halamannya selepas sembuh kelak, Serry yang juga dikenali dengan nama ‘Gedek’ menggelengkan kepala.

“Saya rindukan emak...saya mahu dia kembali,” katanya lemah sambil air matanya dikesat Faridah yang menemaninya.

Difahamkan, bapa mangsa dan tiga abangnya masih berada di kampung untuk menguruskan majlis pengebumian ibu dan nenek mangsa.

Sementara itu, jurucakap hospital ketika ditemui berkata, mangsa patah bahu dan kaki kanan manakala tangan kirinya terseliuh.-hmetro

Remaja antara 18 dicekup langgan pelacur

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang remaja lelaki beragama Islam berusia 22 tahun melempiaskan nafsunya melanggan pelacur di sebuah premis empat tingkat di Jalan Silang, di sini, tidak kesampaian selepas premis itu diserbu pihak berkuasa, tengah hari, semalam.
Remaja terbabit adalah antara 18 pelanggan yang dicekup anggota Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, dalam Ops Noda, kira-kira jam 12 tengah hari. Semua pelanggan ditahan berusia antara 22 hingga 30-an termasuk warga Myanmar dan Nepal.

Selain itu, 15 wanita tempatan berumur 19 hingga 56 tahun dipercayai pelacur dicekup dan polis mendapati 12 wanita terbabit beragama Islam.-hmetro

Anak terbaring mulut berbuih

PILU...Noriati (kiri) dan Sialus melihat baju arwah cucu mereka.
PILU...Noriati (kiri) dan Sialus melihat baju arwah cucu mereka.
MERU: “Ketika ke bilik air kira-kira jam 6.10 pagi saya dengar bunyi dengusan nafas yang kuat dan terkejut melihat Dini terlentang dengan mata terbeliak serta mulut berbuih.
“Saya membawanya ke hospital, tapi sebaik tiba, doktor beritahu anak saya sudah meninggal dunia,” kata Mohamad Ali Khir, menceritakan detik kematian anak perempuannya berusia 11 tahun selepas berbuka puasa dengan juadah dibeli di bazar Ramadan.
Mohamad Ali, 37, berkata dia membeli air batu campur (ABC) dan otak-otak untuk juadah berbuka puasa di bazar Ramadan berhampiran rumahnya di Taman Seri Mewah Fasa 2, di sini, pada petang Ahad lalu.

Menurutnya, anak perempuan tunggalnya, Nurdini, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, di sini, meminta untuk berbuka puasa dengan ABC dan otak-otak sejak hari pertama berpuasa.


“Hanya pada hujung minggu lalu (Ahad) saya sempat membeli juadah itu. Arwah amat berselera menghirup ABC ketika berbuka puasa. Saya dan anak-anak serta pembantu rumah juga menikmati juadah itu.-hmetro

Dipukul perusuh

SERANG...rakaman dalam Youtube menunjukkan Asyraf disamun selepas diserang di London.
SERANG...rakaman dalam Youtube menunjukkan Asyraf disamun selepas diserang di London.



ASYRAF...patah rahang
ASYRAF...patah rahang

KUALA LUMPUR: “Anak saya bukan saja dipukul hingga patah gigi dan rahang, tetapi dia disamun sekumpulan lelaki sebaik melalui satu kawasan rusuhan di London,” kata Rossli Harun, 49, bapa pelajar Malaysia di Universiti Kaplan, London, Asyraf Haziq, 20.
Rossli berkata, dia dihubungi Mara dari bahagian pelajar luar negara pagi semalam, memberitahu mengenai kejadian menimpa anaknya itu.

Menurutnya, daripada maklumat yang diperoleh, anaknya serta seorang kawan Mohd Fariz ketika itu dalam perjalanan untuk berbuka puasa di rumah pelajar senior mereka.

Rossli yang bekerja sebagai Pengurus Eksekutif Bangunan berkata, dia terkejut dengan berita itu kerana beberapa jam sebelum kejadian, Asyraf ada menghubunginya untuk bertanyakan khabar ibu serta keluarga lain.

“Rasa macam tak percaya kerana dia baru saja telefon kira-kira jam 11 malam semalam (kelmarin), tiba-tiba pagi tadi (semalam) kira-kira jam 9 pagi, kami dikejutkan dengan berita yang menimpa Asyraf.

“Saya ada juga menghubungi Wisma Putra untuk mengetahui mengenai keadaan rusuhan di sana, namun dimaklumkan tiada rakyat atau pelajar Malaysia yang terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Katanya, video bagaimana Asyraf dipukul dan disamun tersebar dalam YouTube di Internet. Namun, dia bersyukur anaknya itu selamat dan kini dirawat di hospital.

“Kami juga difahamkan, Asyraf akan dibedah esok (hari ini) untuk merawat rahangnya yang patah. Saya sekeluarga begitu bimbang dan bersedih dengan apa yang menimpa anak, tambahan dia baru saja sebulan di sana melanjutkan pelajaran.
“Jika ada peluang saya dan isteri akan ke London untuk melihat keadaannya, tapi ia bergantung pada perkembangan rusuhan di sana. Tak sangka perkara ini boleh berlaku, lebih-lebih lagi menjelang Syawal ini, Asyraf tidak dapat pulang kerana baru saja di sana,” katanya.

Menurutnya lagi, jika perlu dia meminta Mara membawa pulang anaknya kerana dalam keadaan sekarang, Asyraf mungkin terpaksa menangguhkan pelajaran.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Asyraf tidak kritikal dan hanya cedera di bahagian rahang dan kini dirawat di Royal London Hospital.

“Pelajar itu tidak terbabit dalam rusuhan, tetapi dia diserang sekumpulan perusuh ketika keluar dari tren bawah tanah ketika dalam perjalanan menziarahi rakannya untuk berbuka puasa di utara London,” katanya pada majlis berbuka puasa di Institut Kemajuan Desa (Infra).

4 beradik rayu ibu balik

KUALA LUMPUR: “Mak, pulanglah ke rumah, kami rindukan mak, ayah pun rindukan mak,” itu rintihan Abdul Raun, 14, mewakili empat lagi adiknya yang merayu agar ibu mereka, Marinah Hashim, 37, pulang setelah bertindak melarikan diri dari rumah di Subang Jaya, di sini 31 Julai lalu.
Wanita terbabit dipercayai bertindak sedemikian setelah berlaku sedikit pertelingkahan dengan suaminya Raymond Abdul Rahman Abdullah, 42, yang ketika itu baru pulang dari tempat kerja.

Abdul Rahman berkata, dia dan isterinya yang juga seorang suri rumah berselisih faham tentang satu perkara dan seterusnya berlaku pertengkaran kecil antara mereka sejurus dia pulang dari kerja.

“Saya memarahi isteri saya dengan nada yang agak kuat dan mungkin sebab itu isteri saya itu merajuk lalu mengambil keputusan untuk melarikan diri,” katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini semalam.

Sementara itu, turut ditemui dalam sidang media sama ialah N Jayanthi, 24, anak kepada P Mageswari, 54, yang hilang dari rumah sejak Jun lalu.

Jayanthi berkata, ibunya yang menghidap penyakit Alzheimer, dipercayai hilang setelah tidak pulang ke rumah hingga lewat malam 8 Jun lalu selepas dikatakan keluar ke kedai. “Saya sudah membuat dua laporan polis berkaitan kehilangan ibu saya dan juga terdapat enam laporan akhbar setakat ini, namun masih lagi tiada sebarang berita mengenainya.

“Saya merayu kepada masyarakat yang terserempak atau kenal dengan ibu saya untuk segera menghubungi pihak berkuasa kerana bimbangkan keselamatan dan kesihatannya,” katanya Hadir sama dalam sidang media semalam ialah Won Kia Wah, 46, ibu kepada Chew Chan Ting, 18, yang hilang setelah tidak pulang ke rumah selepas waktu persekolahan sejak 1 Ogos lalu.
Mangsa yang juga anak kelapan daripada sembilan beradik dikatakan tidak pulang ke rumah hingga malam sebelum kakaknya melaporkan kehilangannya di Balai Polis Jinjang, Sentul.

Manakala seorang lagi pengadu, Liew Kien Hin, 35, yang kehilangan isterinya, Bong Lan Ing, 28, berkata, isterinya lari meninggalkan rumah dipercayai termakan pujuk rayu seorang lelaki tidak dikenali untuk lari dari rumah.-hmetro

Kaki tersangkut lubang tandas

ALOR GAJAH: Seorang wanita warga emas terpaksa menanggung kesakitan hampir setengah jam selepas kakinya terjerumus lalu tersangkut ke dalam lubang mangkuk tandas di rumahnya di Pekan Kuala Sungga, Tebong, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, kaki V Samala, 97, dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat yang tiba selepas dihubungi.

Cucu mangsa, P Ramesh, 40, berkata, ketika kejadian, semua ahli keluarga tidur dan dikejutkan dengan suara meminta tolong oleh neneknya.

“Kami semua terjaga lalu bergegas ke arah suara itu dan terkejut mendapati nenek terduduk di dalam tandas dan memberitahu kakinya tidak dapat dikeluarkan.

“Saya cuba mengeluarkan kaki nenek yang tersepit namun gagal lalu mengambil keputusan menghubungi pasukan bomba dan penyelamat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, bomba yang datang tidak lama selepas dihubungi berjaya mengeluarkan kaki neneknya dalam masa beberapa minit. Ramesh berkata, neneknya mempunyai penglihatan kabur dipercayai bangun membuang air kecil sebelum kakinya terjerumus ke dalam lubang tandas.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2, dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Alor Gajah, Ho Yew Meng, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.05 pagi dan bergegas ke lokasi untuk melakukan kerja menyelamat. “Kami menggunakan kaedah minyak masak dan sabun supaya kaki wanita itu mengecut bagi memudahkan ia dikeluarkan.

“Kaki mangsa dikeluarkan dalam masa kira-kira lima minit dan dia hanya cedera ringan di kakinya yang tersangkut,” katanya.-hmetro

Lelaki cuba samun kedai serbaneka ditahan

AMPANG: Seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan polis selepas dipercayai cuba menyamun sebuah kedai serbaneka di Taman Lembah Maju, di sini, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, lelaki terbabit bersama dua lagi rakannya sedang ‘berbincang’ berhampiran kedai serbaneka berkenaan.

Menurut sumber, sepasukan polis yang menjalankan rondaan ketika itu melihat kelibat suspek dan rakannya dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri mereka.

“Namun, mereka yang menyedari kehadiran polis bertindak melarikan diri. Seorang daripada mereka memecut laju motosikalnya manakala dua suspek lagi cuba memboloskan diri dengan lari melalui lorong bersebelahan lot kedai berkenaan.

“Bagaimanapun, polis sempat mengejar dan memberkas seorang daripada mereka. Suspek cuba bergelut dengan seorang anggota polis sebelum dapat ditahan hasil bantuan dua lagi rakannya,” katanya.

Difahamkan, seorang suspek yang memecut laju motosikalnya itu merempuh sebuah motosikal lain yang diletak berhampiran kawasan kejadian. Sumber berkata, hasil pemeriksaan ke atas sebuah motosikal milik suspek terbabit menemui sebilah pisau pemotong daging dipercayai digunakan untuk menyamun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, suspek kini ditahan reman dan pihaknya masih berusaha mengesan dua lagi suspek yang meloloskan diri.-hmetro

Meratap anak koma

ALOR SETAR: “Saya memang tak puas hati. Jika dia terbabas, pasti tubuhnya ada kesan calar dan luka, tetapi apa yang berlaku terdapat benjol besar di belakang kepala dan amat ketara dia dibaling sesuatu,” kata Che Kassim Darus, 47, bapa kepada Mohd Solihin, 14, yang koma selepas didakwa terkena topi keledar dibaling dua anggota polis peronda di Jalan Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, dekat Perlis, Sabtu lalu.
Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dikatakan keluar bersama dua rakannya yang menunggang berasingan dan melalui jalan kampung itu untuk ke kedai berhampiran.

Bagaimanapun, mangsa tidak bernasib baik apabila tiba-tiba motosikal ditungganginya terbabas dan dua rakannya mendakwa ternampak seorang anggota polis membaling objek dipercayai topi keledar dan terkena mangsa.

Akibat kejadian itu, Mohd Solihin mengalami kecederaan serius di bahagian belakang kepala apabila ia membengkak serta berlumuran darah dan mangsa berada dalam keadaan separuh sedar.

Mohd Solihin kemudian dibawa ke Hospital Tunku Fauziah, Kangar untuk mendapatkan rawatan tetapi dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, tidak lama kemudian selepas doktor mendapati keadaan mangsa parah dan masih tidak sedarkan diri.

Che Kassim berkata, ketika kejadian dia sedang menunaikan solat Tarawih di surau berhampiran rumahnya di Felcra Lubuk Sireh sebelum didatangi dua rakan anaknya memberitahu Mohd Solihin terjatuh dari motosikal selepas dibaling objek oleh dua anggota polis yang bertugas di kawasan itu. Beliau berkata, dia kemudian bergegas ke tempat kejadian tidak jauh dari rumahnya dan mendapati anaknya dalam keadaan separuh sedar manakala kepalanya mengalami bengkak sebesar piring dan berlumuran darah.

“Rakan anak saya memberitahumereka menunggang dua motosikal dalam perjalanan ke kedai berhampiran dengan anak saya menunggang seorang diri. Sebaik tiba di lokasi, secara tiba-tiba Mohd Solihin yang ketika itu menunggang di hadapan terjatuh dan rakannya ternampak seorang daripada anggota polis yang ada di situ membaling sesuatu percayai topi keledar.
“Saya difahamkan, anggota polis terbabit tersilap sasaran dan mereka dipercayai cuba membaling ke arah remaja lain tetapi anak saya yang terkena sasarannya, malah ada beberapa saksi yang berada di tempat kejadian turut memberitahu mereka nampak apa yang berlaku.

“Jalan kampung biasanya kurang kenderaan dan saya pelik apabila polis memberitahu anak saya terbabas menyebabkan kemalangan dan bukannya dibaling objek seperti dimaklumkan rakannya,” katanya ketika ditemui di perkarangan HSB, di sini, semalam.

Mohd Solihin yang juga anak kedua daripada sembilan beradik itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB dan masih dalam keadaan koma. Che Kassim berkata, berikutan kejadian itu dia membuat dua laporan di Balai Polis Kaki Bukit dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar. Dalam pada itu, dia menafikan anaknya terbabit dalam lumba haram atau lari dari sekatan polis berikutan lokasi kejadian adalah jalan kampung, tetapi mengakui anaknya memang tidak memakai topi keledar.

“Kalau anak saya salah, tahan dia atau saman, saya boleh bayar saman itu tapi jangan membabitkan sebarang insiden yang boleh mengancam nyawanya hinggakan sampai sekarang dia masih tidak sedarkan diri.

“Doktor memaklumkan yang anak saya akan menjalani pembedahan membuang air dalam kepalanya disebabkan kecederaan yang dialami selain bahagian otaknya turut mengalami kecederaan,” katanya.

Mangsa dikatakan sudah berhenti sekolah sejak tahun enam disebabkan kemiskinan menyebabkan dia banyak menghabiskan masa membantu bapanya mengambil upah melakukan kerja di sawah serta menghantar dan mengambil adik-adiknya dari sekolah setiap hari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Deros, ketika dihubungi, berkata mangsa dipercayai menunggang dengan laju sebelum terbabas dan terjatuh.

Menurutnya, ketika kejadian dua anggotanya dari Balai Polis Kaki Bukit sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Felcra Lubuk Sireh selepas mendapat aduan mengenai aktiviti bermain mercun di situ.

Che Man berkata, dua anggota berkenaan sedang memeriksa seorang remaja di dalam kawasan masjid di situ sebelum melihat dua motosikal ditunggang dengan laju.

“Salah seorang anggota berkenaan memberi isyarat menyuruh mereka menghentikan motosikal masing-masing, namun mereka menunggang dengan laju bagi melepasi anggota polis tadi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut Che Man, rakan mangsa yang menaiki sebuah lagi motosikal di belakang mangsa tidak memberhentikan motosikalnya dan melarikan diri.

“Polis membantu mengangkat mangsa sambil dibantu orang ramai yang berada di dalam masjid yang tidak jauh daripada tempat kemalangan,” katanya.

Che Man juga mengesahkan laporan yang dibuat bapa mangsa dan akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-hmetro

Disamun tidur dalam kereta

GOMBAK: Tindakan seorang lelaki tidur sebentar di dalam kereta sementara menunggu rakannya menerima rawatan di Hospital Selayang (HS) di sini, berakhir dengan nasib malang apabila disamun empat lelaki membabitkan kerugian hampir RM10,000, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa yang berusia 29 tahun menghantar rakannya ke hospital itu untuk menerima rawatan selepas mengadu sakit perut.

Menurut sumber, sebaik menghantar rakannya, mangsa yang mengantuk pergi semula ke kereta Iswara Aeroback yang diletak di luar hospital kerana ingin tidur sementara menunggu rakannya selesai dirawat.

“Bagaimanapun selepas 15 minit terlelap, tiba-tiba empat lelaki tidak dikenali membuka pintu keretanya yang tidak berkunci menyebabkan dia terkejut.

“Walaupun terjaga, mangsa tidak sempat berbuat apa-apa apabila suspek terus memukulnya beberapa kali sebelum meminta dia menyerahkan barangan berharga,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang ketakutan kemudian menyerahkan beg duit dan telefon bimbit kepada suspek. “Salah seorang suspek mengarahkan mangsa keluar dari kereta jika tidak mahu dipukul menyebabkan dia yang bimbang dengan keselamatan diri menuruti arahan itu.

“Sebaik mangsa keluar, suspek menolak mangsa dan terus masuk ke dalam kereta itu sebelum melarikan diri,” katanya.

Pujuk bawa lari

IPOH: Seorang gadis berusia 17 tahun dipercayai ‘diculik’ seorang lelaki misteri yang dikenalinya melalui laman sosial facebook, beberapa minggu lalu.
Seri Najwa Ferda Hasan, dipercayai dipujuk lelaki berkenaan supaya melarikan diri selepas suspek turut menghubungi telefon bimbit mangsa sebanyak 134 kali.

Ibu mangsa, Seri Wangi Mokhtar, 42, berkata, anaknya yang menuntut di tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Kampar hilang sebaik keluar ke sekolah kira-kira jam 6.45 pagi, Khamis minggu lalu, dengan berpakaian sukan, selain membawa komputer riba.

“Beberapa saksi mendakwa melihat Najwa menaiki skuter merah ditunggang seorang lelaki di hentian bas berhadapan Sekolah Kebangsaan Tualang Sekah, Kampar.

“Mereka memberitahu ada seorang lelaki menaiki skuter itu mengambil anak saya di hentian bas berkenaan dan membawanya menghala ke jalan utama Ipoh-Kampar,” katanya.

Seri berkata, kehilangan anaknya itu amat misteri berikutan mereka sekeluarga tidak berselisih faham dengannya.


Menurutnya, dia mula menyedari kehilangan Najwa selepas mendapati anaknya itu tidak pulang ke rumah sehingga waktu berbuka puasa malah usaha menghubungi telefon bimbit anaknya itu gagal.

“Saya cuba menelefonnya beberapa kali namun tiada jawapan. Malah, saya juga berusaha menjejakinya menerusi facebook, namun statusnya tidak aktif. Saya amat risaukan keselamatannya kerana Najwa tidak pernah bersikap begini,” katanya.-hmetro

Dadah dalam stoking

KUALA LUMPUR: Tindakan licik seorang lelaki menyembunyikan dadah dalam sarung tangan dan stoking dipakainya tidak berhasil apabila diberkas polis berhampiran bangunan Datuk Haji Suhaimi, Jalan Sentul Pasar, di sini kelmarin.
Difahamkan, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan ketika cuba melarikan diri sebaik melihat kehadiran anggota polis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menahan suspek selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

“Dalam serbuan kira-kira jam 3.10 petang itu, suspek yang menunggang motosikal jenis Modenas cuba meloloskan diri sebaik melihat kehadiran polis.

Zakaria berkata, hasil pemeriksaan polis menemui empat peket dadah disyaki heroin dalam sarung tangan yang dipakai suspek.

“Pemeriksaan selanjutnya menemui tujuh lagi peket disyaki heroin yang disorok di dalam stoking yang dipakai pada kaki kanannya,” katanya.
Menurutnya, semua 11 paket dadah yang ditemui itu dianggarkan seberat 23.98 gram malah ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah.-hmetro

Silap orang

NIBONG TEBAL: Sekumpulan samseng hanya menyedari mereka tersilap sasaran selepas lebih satu jam melarikan mangsa diculik untuk dipukul di kawasan hutan di sini, lewat malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, seorang lelaki berusia 40-an yang baru membeli makanan di sebuah restoran di pekan Nibong Tebal diculik tujuh lelaki menggunakan dua kereta sebelum kumpulan samseng menyedari tersilap culik selepas memukul mangsa di kawasan hutan sejam kemudian.

Difahamkan penjenayah terbabit mensasarkan seorang lelaki lain yang melarikan tiga wanita warga Vietnam dari sebuah pusat hiburan di daerah itu selepas diarahkan pengusaha pusat hiburan terbabit.

Sebaik menyedari lelaki itu bukan sasaran dan mengetahui polis menjalankan gerakan mencari mereka selepas kejadian itu, empat daripada tujuh suspek dengan menggunakan kereta membawa mangsa untuk dibebaskan di hadapan Balai Polis Nibong Tebal.

Belum sempat menurunkan mangsa, polis yang mengekori kereta suspek sebelum itu terus menahan semua suspek manakala mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai seorang lelaki ditahan sekumpulan lelaki sebelum siasatan lanjut mengenal pasti tujuh lelaki menggunakan dua kenderaan jenis Proton Saga dan Toyota Unser sebelum gerakan mencari dilakukan. Katanya, ketika mangsa dalam tahanan suspek, lelaki terbabit dipukul dan ditendang sebelum dibawa lari ke kawasan hutan berhampiran.

“Selepas menyedari tersilap sasaran, empat daripada tujuh suspek ditahan di hadapan balai polis ketika ingin membebaskan mangsa. “Suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 24 tahun. Pemeriksaan lanjut mendapati semua ditahan tidak memiliki rekod jenayah,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (IPD SPS), di sini, semalam.

Menurut Shafien, hasil siasatan ke atas suspek ditahan mendapati mereka diarahkan pengusaha sebuah pusat hiburan mencari seorang lelaki yang melarikan tiga pekerja pusat hiburan terbabit.

Katanya, pihak polis kini sudah mengenal pasti baki suspek yang terbabit dalam kejadian itu dan seorang daripadanya dikenali sebagai Mus Kemboja berusia 30-an.

“Kita masih menyiasat adakah mereka diupah atau terbabit dalam kumpulan samseng dan pihak polis juga merampas sebuah kereta digunakan ketika kejadian yang juga milik ahli keluarga seorang suspek yang ditahan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurung dan sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun dan denda.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi IPD SPS di talian 04-5932222 atau balai polis berhampiran.-hmetro

Barang jualan Aidilfitri RM10,000 hangus

KOTA BHARU: “Semua barangan termasuk beg tangan, kerongsang dan tudung dianggarkan bernilai kira-kira RM10,000 yang sepatutnya dijual sempena Aidilfitri musnah dalam sekelip mata,” kata ibu tunggal, Norlia Mohd Zain, 43.
Norlia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediamannya di Lundang, dekat sini, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 6 pagi, semalam.

Menurut Norlia, ketika kejadian, hanya ibunya, Kalsom Daud, 70, dan dua anaknya, Wan Norashidah Wan Kamarudin, 17 serta Wan Khairul Riduan Al Hakim Fitri, 14, masing-masing belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail berada di rumah.

“Ketika itu, saya di luar kerana berniaga barangan keperluan harian termasuk biskut berdekatan bangunan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sempena Ramadan,” katanya.-hmetro

Kuku tercabut

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak yang juga pemain bola sepak kebangsaan bawah 12 tahun, cedera empat jari tangan kiri, termasuk kuku pada jari manis tercabut selepas percubaan menghasilkan mercun dengan mencampurkan ramuan belerang dan karbaid ke dalam ‘starter’ (penghidup) lampu sebelum dinyalakan menggunakan sumbu, tiba-tiba meletup, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, Tumpat, Mohd Nazirul Hasif Mailang, 12, dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, oleh bapanya, Mailang Sari, 38, untuk dirawat.

Bagaimanapun, Mohd Nazirul yang baru pulang dari Jepun, 27 Julai lalu selepas menyertai satu pertandingan, dibenarkan pulang ke rumah, semalam.

Menurutntya, sebelum kejadian, dia membeli mercun bola dan mengambil belerangnya untuk dicampur dengan karbaid dalam penghidup lampu kalimantang bagi menghasilkan mercun yang diletup menggunakan sumbu. “Sebelum ini, sudah tiga kali saya menghasilkan mercun itu dan berjaya, tetapi percubaan kali keempat tidak berjaya. Ketika mencucuh sumbu mercun itu, ia tiba-tiba meletup dan serpihannya terkena pada jari tangan kiri serta lengan.

“Ayah menghantar ke Hospital Tumpat untuk rawatan. Saya kemudian dirujuk ke HRPZ II, kira-kira jam 11 pagi, hari ini (semalam),” katanya yang mengakui serik.

Sementara itu, Mailang berkata, dia tidak menyedari anak sulungnya itu membuat mercun dan hanya mengetahuinya apabila terdengar letupan kuat di luar rumah Kes itu menjadikan Kelantan mencatat tiga kes kecederaan akibat bermain mercun dalam tempoh tidak sampai seminggu.

Khamis lalu, seorang remaja, Nasrudin Mohd Nazli, 19, hilang tiga jari tangan kirinya dan cedera di muka selepas mercun bola yang dinyalakan ketika membonceng motosikal meletup di tangan sebelum sempat dilempar dalam kejadian di Kampung Dewan Beta, dekat sini.
Ahad lalu pula, pelajar tingkatan tiga, Nik Nurshazreen Nik Dzulhaimi, 15, putus saluran darah pergelangan tangan kiri akibat terkena serpihan mercun di Taman Anggerik, Kok Lanas.-hmetro

Anak suspek di KL

JAKARTA: Bekas bendahari Parti Demokratik, Muhammad Nazaruddin meninggalkan anak-anaknya di Kuala Lumpur, ketika melarikan diri ke luar negara bagi mengelak ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes rasuah berprofil tinggi.
Jurucakap Polis Nasional, Inspektor General Anton Bachrul berkata, anak-anak Muhammad dijaga oleh saudara maranya di negara jiran itu.
Muhammad lari ke Singapura Mei lalu selepas terbabit dalam kes rasuah yang dikaitkan dengan pembinaan wisma atlet untuk Sukan SEA.

Dia dilaporkan meninggalkan Singapura selepas Suruhanjaya Membasmi Rasuah namakannya sebagai suspek kes rasuah Jun lepas.
Ahad lepas, dia ditahan polis di Cartagena, Colombia di mana dia, isterinya Neneng Sriwahyu dan beberapa orang pengawal tinggal.

“Kami percaya beberapa orang telah membantu Nazaruddin melarikan diri. Kami akan menjalankan siasatan ke atas mereka supaya mereka dapat menjadi saksi,” kata Anton.

Katanya polis telah mendapat nama pengawal Nazaruddin tetapi enggan mendedahkan nama mereka.

“Jumlah mereka kurang daripada lima orang,” katanya

Menurut Pejabat Imigresen Sumatera Utara pasport yang digunakan Muhammad, kepunyaan seorang pensyarah universiti bernama Syarifuddin.