Search This Blog

Sunday, August 7, 2011

Seorang Terkorban Tanah Runtuh Di Cameron Highlands


KUALA LUMPUR:Seorang wanita terkorban manakala seorang lelaki dan seorang wanita cedera parah dalam kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands, Pahang pada Ahad.
Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands berkata kejadian yang berlaku pada pukul 5.45 petang itu membabitkan lima buah rumah penduduk kampung.
"Mangsa yang cedera parah dan mayat wanita berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata di sini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa lain yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian itu sedang giat dijalankan oleh anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. - BERNAMAmstar

Sindiket dadah terbesar di utara tumpas

ALOR SETAR — Polis Malaysia dengan kerjasama polis Thailand berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah terbesar di kawasan utara tanah air dengan penahanan 10 orang termasuk dua remaja lelaki dan merampas dadah bernilai kira-kira RM6.5 juta, dua hari lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata kejayaan itu dicapai hasil kerja keras, intipan dan kerjasama dengan Biro Pembanterasan Narkotik Polis (PNSB) Thailand.
Katanya susulan penahanan kesemua suspek itu, polis merampas 88 ketul heroin nombor empat bernilai RM3.08 juta, 16.1 kilogram syabu bernilai RM3.22 juta, satu kilogram heroin bernilai RM26,400, 30 kilogram ganja bernilai RM60,000 dan 1,999 pil WY bernilai RM59,970, di empat lokasi.
Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri empat lelaki, dua perempuan, dua remaja lelaki termasuk seorang masih bersekolah dan dua wanita warga Indonesia berumur antara 14 hingga 46 tahun.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada orang awam kerana memberikan maklumat kegiatan sindiket ini sehingga semua mereka ditangkap dalam masa sejam sahaja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini, hari ini.
Menurutnya anggota sindiket ini yang dikesan beroperasi sejak 10 bulan lepas menyeludup masuk dadah dari negara jiran melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Kayu Hitam dengan menyorokannya dalam bahagian penyandar tempat duduk belakang kenderaan yang diubah suai.
Katanya enam buah kereta Mercedes Benz dan sebuah Perodua Kenari yang digunakan anggota sindiket itu serta wang tunai berjumlah RM46,076 dirampas daripada mereka semasa diberkas.
"Wang tunai sebanyak RM106,000 dari simpanan kumpulan ini juga dirampas.
Siasatan turut menjurus kepada pelucutan harta yang diperolehi hasil kegiatan dadah,” kata Noor Rashid. - Bernama

Pejabat UMNO cawangan dipecah masuk

JOHOR BAHARU – UMNO Cawangan Rumah Pangsa Permas Jaya di sini kerugian hampir RM25,000 selepas pejabatnya dipecah masuk baru-baru ini.
Kejadian tersebut disedari Ketua Pergerakan Pemuda cawangan itu, Maswadi Mujo ketika mengunjungi pejabat berkenaan pada pukul 2.30 petang, Jumaat lalu.
Sebaik memasuki premis yang terletak di Jalan Permas 7 itu, beliau terkejut apabila mendapati salah sebuah tingkap dipecahkan dan beberapa barangan telah hilang, katanya ketika dihubungi hari ini.
"Saya terus menghubungi rakan-rakan lain untuk melakukan pemeriksaan dan mendapati banyak barang-barang yang telah hilang antaranya alat dan kompresor penghawa dingin, komputer serta set barangan bufet,” katanya.
Beliau percaya kejadian itu berlaku antara Isnin hingga Jumaat lepas kerana kali terakhir pejabat itu dikunjungi ialah pada 3 Julai lalu.
Katanya laporan dibuat di Balai Polis Permas Jaya pada 7 malam, Jumaat lalu. - Bernamakosmo

Peniaga ditemui mati dalam kejadian samun


IPOH: Seorang peniaga ditemui mati dipercayai dibunuh dalam satu kejadian samun di rumahnya di Taman Buntung Ria, Menglembu di sini awal, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim, berkata mangsa Looi Kim Loong, 67 ditemui mati pada jam 2.10 pagi oleh ahli keluarganya

yang kemudian melaporkan kepada polis. Beliau berkata, ketika kejadian isteri dan anaknya yang tidur di bilik lain yang tidak cedera, mendengar bunyi bising dan apabila mereka masuk ke bilik
mendapati mangsa sudah terbaring.

“Hasil pemeriksaan, polis mendapati pintu rumah tidak berkunci ketika kejadian berlaku, terdapat kesan kecederaan di bahagian leher mangsa dipercayai
ditikam dengan objek tajam dan mayat itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dzuraidi berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di nombor telefon 05-2451222 untuk
membantu siasatan.

Ia katanya, adalah kes bunuh ketiga di Perak dalam tempoh seminggu.

Semalam, seorang warga emas, Teoh Ah Nya@Teoh Kooi Lan, 73 ditemui mati dipercayai dibunuh dalam satu kejadian samun di rumahnya di Tanjung Piandang,
Parit Buntar. - BERNAMA bharian

Pengedar dadah warga Nigeria mati dalam pesawat ke Malaysia

NEW DELHI: Seorang pengedar dadah rakyat Nigeria, yang dalam perjalanan ke Malaysia untuk menyerahkan barangan seludup itu, mati dalam sebuah pesawat pada Selasa, selepas dadah yang ditelannya pecah dalam perut.
Akhbar Daily Sun di Lagos hari ini melaporkan lelaki itu, Chilaka Ogbonna
Emmanuel, 25, meninggal dunia dalam pesawat Qatar Airways yang menuju ke Malaysia melalui Doha.
"Ketika mangsa berdepan komplikasi akibat dadah yang ditelannya, anak-anak
kapal cuba memberikan bantuan.

"Namun selepas mendapati keadaan lelaki itu semakin teruk, pesawat itu
terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di India untuk membolehkan mangsa
diberikan rawatan sewajarnya," lapor akhbar berkenaan.
Menurut akhbar harian itu, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di
sebuah hospital tempatan di Mumbai.

Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Dadah Kebangsaan Nigeria
(NDLEA), Jarikre Ofoyeju, berkata hasil bedah siasat menunjukkan Emmanuel menelan dadah, dan punca kematian adalah disebabkan komplikasi akibat perbuatannya itu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Nigeria tidak mendedahkan kuantiti atau jenis
dadah yang cuba diseludup si mati ke Malaysia.

NDLEA turut mendedahkan sejumlah 68 individu yang disyaki pengedar dadah
ditahan di Lapangan Terbang Lagos Airport dalam tempoh enam bulan pertama tahun
ini. - BERNAMAbharian

Australia pintas sebuah lagi bot bawa pemohon suaka

MELBOURNE 7 Ogos – Sebuah lagi bot membawa pemohon suaka dipintas di perairan Australia.
Ia merupakan kapal kedua yang ditahan sejak kerajaan Australia menandatangani perjanjian pertukaran yang kontroversi dengan Malaysia, bulan lepas.
Terdapat 50 penumpang dan dua kru di atas kapal.
"Para penumpang akan dibawa ke Christmas Island untuk penilaian pra pertukaran sebelum dihantar ke Malaysia,” kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brendan O”Connor dalam satu kenyataan.
Bot itu dipintas oleh pasukan kawalan perlindungan sempadan di timur laut Christmas Island pada pagi Ahad.
Sejumlah 54 pemohon suaka yang pertama ditahan, selepas perjanjian pertukaran ditandatangani antara Canberra dan Kuala Lumpur, dijangka diterbangkan ke Malaysia tidak lama lagi. - Bernamautusan

Lapan lelaki warga asing ditahan

KUALA LUMPUR - Polis telah manahan lapan lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan anggota badan dan organ dalaman manusia di sebuah rumah di Blok Chrysa, Apartmen Astria, Taman Kosas di sini pada Rabu lalu.
Kesemua lelaki warga Bangladesh itu diberkas dalam dua serbuan berasingan sejak pagi semalam di sekitar tempat kejadian.
Sumber polis berkata, penahanan lapan lelaki itu dijangka memberi petunjuk baharu dalam siasatan terhadap kes berkenaan.
Kesemua mereka kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
Kosmo! pada Khamis lalu melaporkan, mayat seorang kanak-kanak lelaki dan wanita ditemui dalam keadaan tragis apabila badan mereka terpisah dipercayai dikerat dan dimasukkan ke dalam beg beberapa beg plastik manakala organ dalaman pula dicampak ke dalam mangkuk tandas.
Kedua-dua mangsa tanpa identiti itu dipercayai dibunuh sejak seminggu lalu berdasarkan keadaan mayat yang reput dan bau busuk.
Mengulas lanjut mengenai kes tersebut, sumber itu memberitahu, siasatan awal mendapati mayat wanita terbabit juga dikenal pasti sebagai warga asing.
"Berdasarkan siasatan, kita percaya mangsa mungkin berusia di antara 18 hingga 25 tahun manakala kanak-kanak lelaki itu pula di antara lima hingga enam tahun,'' katanya.kosmo

Lima kaki judi lari terjun sungai lemas

Mangsa tak pandai berenang cuba elak polis
SUNGAI PETANI: Lima lelaki mati lemas, manakala dua lagi hilang selepas terjun ke dalam sungai dipercayai bagi mengelak ditahan sepasukan polis yang menyerbu lokasi perjudian di pondok tepi Sungai Muda di Kampung Padang Sekawan, Bukit Selambau, di sini, kelmarin. 

Kejadian dipercayai berlaku pada jam 5.30 petang ketika kumpulan terbabit diserbu 20 anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian Bukit Aman.

Menurut sumber, mayat pertama lelaki keturunan Siam, Otun a/l Laun, 30-an, ditemui jam 5 petang semalam manakala mayat kedua, Abdul Rahman Omar, 61, ditemui kira-kira setengah jam kemudian, disusuli mayat ketiga, Mohd Salim Abdul Rahman, 31.
Mayat dua lagi mangsa dikenali sebagai Mohd Ali Yusof, 40, dan Mohd Daud Saad, 62, ditemui jam 7.45 malam tadi. Dua lagi mangsa belum ditemui dalam operasi mencari yang dilancarkan polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), penduduk kampung serta Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat. 

“Mayat kelima-lima mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Difahamkan dalam serbuan itu, polis menahan 13 kaki judi manakala tujuh lelaki terbabit bertindak terjun sungai untuk melarikan diri. Bagaimanapun mereka dikatakan terus dihanyutkan arus selepas itu kerana tidak pandai berenang.
bharian

16 Lori tangki NATO diletupkan di Pakistan


ANGGOTA Bomba Pakistan cuba memadamkan kebakaran pada lori tangki yang berpunca dari sebutir bom di Peshawar, awal pagi tadi. Sekurang-kurangnya 16 lori tangki yang membawa minyak untuk tentera NATO di Afghanistan musnah dalam kejadian itu. - Foto AFP


PESHAWAR: Sebutir bom memusnahkan sekurang-kurangnya 16 lori tangki yang membawa minyak untuk tentera NATO di Afghanistan, usaha terkini pemberontak menganggu sumber bekalan pihak tentera pakatan, Sabtu (waktu tempatan), kata polis Pakistan.Berdasarkan maklumat yang diterima, 28 lori tangki minyak NATO diletakkan di sebuah terminal di luar Peshawar, ibukota utama barat laut Pakistan. "Kami cuba mengeluarkan lori tangki yang lain. Kami masih tidak jelas sama ada bom berkenaan diletakkan di terminal atau pada satu lori tangki," kata pegawai polis Pakistan, Khurshid Khan ketika di lokasi.Beliau berkata, 16 lori tangki disahkan musnah sepenuhnya tetapi masih belum menerima laporan kehilangan nyawa. - AFP bharian

Risalah wirid antara buku kena rampas

SHAH ALAM: Risalah bertajuk Wirid Amalan Darul Saka, Khifiat Amalan Kerezekian dan Buku Yasin 7 Mubin antara penerbitan yang dirampas dalam serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sebuah premis di Kota Kemuning, di sini, semalam.
Dalam serbuan jam 12.30 tengah hari itu, seorang lelaki berusia 46 tahun yang menggelarkan dirinya Tok Belagak turut ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Penolong Pengarah Perancangan Strategik, Bahagian Penguatkuasaan Jais, Zaaba Zakaria berkata, pihaknya menahan 49 individu, termasuk seorang dipercayai penceramah dikenali sebagai Tok Belagak.

“Hasil maklumat awam, kami menyerbu premis berkenaan dan ketika serbuan, seorang lelaki yang lebih dikenali sebagai Tok Belagak mengajar peserta berkaitan perubatan Islam untuk rawatan seperti saka, buatan orang dan ‘sakit dalaman’ menggunakan ayat al-Quran.

“Apabila diminta dokumen pentauliahan mengajar, dia gagal menunjukkannya. Setakat ini, siasatan terhadap lelaki itu dilakukan mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003,” katanya.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.


Menurut Zaaba, isteri penceramah berkenaan yang berusia 30-an turut ditahan dan 13 daripada mereka dibawa ke Pejabat Jais untuk tindakan susulan manakala 36 yang lain, termasuk lima wanita Kursus Asas Rawatan Islam Darul Saka diberi notis supaya hadir memberi keterangan di pejabat Jais Shah Alam.

Jelasnya, mereka yang ditahan dibebaskan dengan jaminan mulut dan dikehendaki hadir ke pejabat Jais untuk memberi keterangan.

Terdahulu, ketika ditanya Zaaba dalam serbuan di premis itu, lelaki berkenaan mendakwa dia bernaung atas nama Silat Gayung Fatani Malaysia.

Laporan muka depan Harian Metro pada 16 Mac lalu memetik, seorang ibu tunggal berumur 56 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Siti mendakwa bimbang dua anak lelakinya berusia 30-an terpesong akidah Islam sebenar apabila didapati melakukan beberapa amalan pelik selepas didakwa menyertai kumpulan diketuai Tok Belagak itu.hmetro

Diserang lebah

SANTUBONG: Aktiviti santai 22 pelajar cemerlang bersama dua guru dari sebuah sekolah menengah swasta antarabangsa di tapak perkhemahan Kem Permai, di sini, semalam bertukar kecoh apabila mereka diserang sekumpulan lebah yang mengakibatkan dua daripada mereka cedera teruk.
Kejadian jam 10.30 pagi itu berlaku ketika pelajar mempelajari cara memasak ayam pansoh (sejenis masakan dalam buluh masyarakat Dayak) di kawasan sejam setengah berjalan kaki dari tapak perkhemahan mereka.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila sarang lebah yang terletak berdekatan diganggu asap daripada api yang digunakan untuk memasak.

Menurut seorang pelajar yang tidak mahu dikenali, serangan berlaku secara mengejut menyebabkan mereka tidak sempat melarikan diri sehingga dua rakannya cedera teruk.

“Ketika itu kami membuat unggun api untuk memanggang ayam pansoh sebelum tiba-tiba merasai kesakitan akibat disengat di seluruh badan dan pada masa sama saya terdengar rakan lain menjerit kesakitan.

“Kami lari lintang pukang untuk menyelamatkan diri daripada serangan lebah itu sehingga beberapa rakan saya cedera akibat terjatuh,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, mereka berlindung di belakang sebatang pokok besar dan terpaksa menahan kesakitan lebih dua jam sementara menunggu bantuan kecemasan tiba.

“Dua rakan saya disengat dengan teruk tetapi bernasib kerana keadaan mereka masih stabil dan kami takut untuk kembali ke kem kerana bimbang diserang serangga itu,” katanya.
Difahamkan, seorang jurulatih yang bersama kumpulan berkenaan meminta bantuan kakitangan kem sebelum memaklumkan kejadian kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Hospital Umum Sarawak.

Sementara itu, jurucakap JPAM berkata, mangsa tidak mengganggu sarang lebah terbabit dan percaya serangan berpunca daripada asap unggun api yang digunakan untuk memasak.

“Dua pelajar cedera teruk manakala yang lain, termasuk guru mereka, cedera ringan. Semua mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, JPAM ketika melakukan operasi menyelamat terpaksa menggunakan pemadam api untuk menghalau lebah itu dan kejadian terbabit yang pertama di Kem Permai.hmetro

Kereta, bas bertembung

ALOR GAJAH: Seorang pekerja sebuah stesen penapisan minyak maut selepas Proton Wira dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah bas Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Lendu, dekat sini, pagi semalam.
Ketua Turus Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Alor Gajah, Cif Inspektor Mohd Zuki Abd Ghani berkata, dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Khairul Fazli Suli, 33, meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah.

Menurutnya, Proton Wira dipandu mangsa dari arah Port Dickson hilang kawalan selepas dipercayai memotong sebuah kereta di satu selekoh lalu bertembung dengan bas membawa 24 pelajar UiTM itu.

“Pemandu bas dikatakan menekan brek kecemasan namun terlajak sebelum kenderaan itu dirempuh kereta mangsa. Akibat rempuhan, Proton Wira itu terperosok di bahagian depan bas.

“Sejurus kemalangan, berlaku beberapa letupan kecil lalu kenderaan itu terbakar dan menyebabkan pemandunya melecur,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa dikeluarkan sepasukan anggota bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Saharuddin mengesahkan kejadian dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Zainuddin Joned berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu.

“Sebaik tiba, kami mendapati kedua-dua kenderaan itu terbakar dan api berjaya dipadam dalam masa satu minit.

“Mayat pemandu kereta yang terbakar dikeluarkan dalam masa 10 minit,” katanya.hmetro

Rumah hangus ketika tarawih di masjid


MELAKA: Kedatangan Ramadan kali ini menjadi detik sedih dan suram bagi seorang lelaki warga emas apabila tinggal sehelai sepinggang selepas kediamannya di Kampung Pasir Putih, Bachang di sini, musnah dalam kebakaran, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, Amir Abdullah, 62, yang juga bapa tunggal juga hilang semua dokumen penting yang gagal diselamatkan.

Menurut bapa kepada empat anak itu, selepas berbuka puasa di masjid, dia sempat pulang ke rumah menukar pakaian dan keluar semula untuk menunaikan solat tarawih, jam 8 malam.

“Sejurus selesai, saya pergi kedai berdekatan dan terkejut melihat orang ramai berkumpul di depan rumah saya bersama dengan jentera bomba, jam 11.45 malam.

“Apabila diamati, saya melihat rupa-rupanya rumah saya musnah dijilat api,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini, kelmarin.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang melawat lokasi kejadian, memberi sumbangan RM500 kepada mangsa.


Kerajaan negeri juga akan memulakan pembinaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin kepada mangsa, hari ini.

Menurut Amir yang tinggal bersendirian, dia tidak menyangka rumah didiami sejak empat tahun lalu itu terbakar walaupun tiada bekalan elektrik.

“Saya tidak tahu bagaimana rumah boleh terbakar kerana selain tiada elektrik, saya tidak menyalakan lilin.

“Namun saya bersyukur kerana terselamat dan reda dengan kejadian itu,” katanya yang kini menumpang di rumah rakan untuk menjalani ibadat puasa dan menyambut Aidilfitri kelak.hmetro

Pejabat mewah sasaran pencuri komputer mahal

SUBANG JAYA: Sekumpulan penjenayah menjadikan rumah kedai atau pejabat mewah di sini sebagai sasaran sebelum menjualkan barangan yang dicuri kepada ejen pengiklanan Internet.
Mereka mencuri kelengkapan pejabat, terutama komputer berteknologi tinggi berharga serendah RM16,000 di sekitar kawasan berkenaan, terutama di Putra Height.

Ini menyebabkan indeks pecah pejabat bulanan di kawasan itu meningkat, sekali gus menyebabkan sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Putra Height melipatgandakan siasatan sehingga berjaya membongkar kegiatan kumpulan itu pada 28 Julai lalu.

Ia bermula apabila seorang lelaki ditahan selepas terjun daripada pejabat yang dipecah masuk bersama seorang rakan, jam 8.30 pagi di Jalan Putra Mahkota.

Ketua Polis Balai Putra Height, Sub Inspektor Nordin Mustaffa ketika mengesahkan tangkapan berkenaan, bagaimanapun enggan mengulas lanjut, sebaliknya memberitahu siasatan mengenai kejadian itu masih dilakukan.

“Memang ada tangkapan dilakukan dan kes kini dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya,” katanya kepada Metro Ahad.


Difahamkan, kejayaan kes berkenaan hasil maklumat orang ramai yang memaklumkan pihak berkuasa mengenai kehadiran sebuah kenderaan berwarna hitam yang mencurigakan sekitar kawasan berkenaan.

Lantaran itu, sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian tetapi tidak menemui aktiviti mencurigakan.
Sebaik kenderaan MPV polis beredar, dua lelaki terjun dari bangunan tanpa menyedari beberapa anggota polis berpakaian preman memerhatikan gerak geri mereka dari belakang.

Kedua-duanya melarikan diri dengan seorang memecut kenderaan manakala seorang lagi lari melalui lorong ‘tikus’ berhampiran.

Namun, seorang daripada suspek berjaya ditahan bersama sebuah kenderaan yang dilarikan berhampiran sebuah stesen minyak di Putra Bahagia, jam 10.30 pagi.

Hasil penahanan lelaki berusia 27 tahun dan mempunyai rekod jenayah pecah rumah itu dapat membantu menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes pecah pejabat di kawasan terbabit.hmetro

Parti hari jadi lalok

KUALA LUMPUR: Gara-gara meraikan hari lahir seorang rakan, lapan lelaki dan empat wanita lalok kerana mengambil dadah dalam parti liar di sebuah villa mewah yang disewa di Jalan Ampang, di sini, awal pagi semalam.
Difahamkan, semua suspek berusia antara 19 hingga 33 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras ketika asyik menari, dipercayai di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh berkata, serbuan jam 2 pagi itu dijalankan selepas mendapat maklumat orang ramai mengenai parti lalok itu yang diadakan di villa berkenaan.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, segelintir daripada kumpulan terbabit berada di ruang tamu manakala tiga lagi di bilik.

“Pemeriksaan lanjut ke atas seorang lelaki menemui sepaket plastik mengandungi kapsul ecstasy seberat tiga gram, manakala seorang rakan wanitanya berumur 25 tahun dikesan menyimpan sebiji pil Eramin 5 dalam dompet.

“Kami turut menemui 32 biji pil ecstasy yang disimpan di belakang almari di sebuah bilik,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Beliau berkata, hasil ujian air kencing dilakukan, sembilan daripada mereka positif dadah jenis syabu.

Semua suspek yang belum berkahwin itu direman sehingga 9 Ogos ini untuk siasatan kes mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mereka dipercayai menyewa villa berkenaan selama dua hari bermula kelmarin khusus untuk mengadakan parti hari jadi.hmetro

Mayat dicekik ditemui lagi


IPOH: Tidak sampai tiga hari kejadian bunuh Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kasim, 38, berlaku satu lagi kes pembunuhan dengan cara hampir sama berlaku di negeri ini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi semalam, seorang nenek, Teoh Ah Mia @ Teoh Kooi Lan, 73, ditemui mati di rumahnya di Bagan Selatan, Tanjung Piandang, Parit Buntar, kira-kira 160 kilometer dari sini.

Pemeriksaan awal mendapati ada kesan cedera di leher mangsa yang juga ibu saudara kepada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim, dipercayai dicekik sebelum dipukul dengan objek tumpul sehingga mati.

Dalam kejadian menimpa Allahyarhamah Rohani, Khamis lalu, mangsa dicekik sehingga mati dalam rumahnya di unit F-1-09, Pangsapuri Permai Lake View Tambun, dekat sini.

Ketua Polis Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mayat Teoh ditemui adiknya, jam 1.30 pagi.

“Kejadian dipercayai bermotifkan samun berdasarkan kesan pintu belakang rumah mangsa diumpil dan kehilangan barang kemas bernilai RM6,000 serta wang RM1,000.


“Mangsa dipercayai dibunuh antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi. Namun, tindakan pantas polis berjaya menahan seorang warga Myanmar berusia 25 tahun di Jalan Bagan, Tanjung Piandang yang dipercayai dapat membantu siasatan kes,” katanya.hmetro

Terjun sungai elak ditahan polis


SUNGAI PETANI: Seorang lelaki mati lemas selepas terjun ke Sungai Muda untuk melarikan diri sebaik menyedari anggota polis melakukan serbuan ke atas pusat perjudian di Bukit Selambau, di sini, kelmarin.
Kejadian berlaku jam 5.30 petang di Kampung Padang Sekawan, Bukit Selambau ketika mangsa dikenali sebagai Mohd Salim Abd Rahman, 31, mengikuti rakannya ke tempat itu untuk melihat sekumpulan lelaki bermain judi.

Bagaimanapun, serbuan oleh sepasukan 20 anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian Bukit Aman menyebabkan semua lelaki yang asyik bermain judi, termasuk mangsa, terkejut lalu cuba melarikan diri.

Dalam serbuan itu, polis berjaya menahan 13 kaki judi manakala mangsa dan enam lelaki lagi melarikan ke arah Sungai Muda lalu terjun ke dalamnya, tetapi mangsa dikatakan terjatuh di kawasan air deras dan dalam.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia melihat mangsa terkapai-kapai kerana tidak pandai berenang sambil menjerit meminta tolong.

Menurutnya, dia cuba membantu mangsa dengan menarik rambutnya, tetapi terlepas sebelum dihanyut arus deras yang berpusar dan terus hilang.


“Biarpun usaha mencari dilakukan di tebing sungai, namun mangsa gagal ditemui, manakala enam lelaki lain yang terjun ke sungai berjaya berenang ke seberang dan melarikan diri ke arah Kampung Kuala Lesung berhampiran,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, bapa mangsa, Abd Rahman Shaari, 56, berkata anaknya yang juga penoreh getah keluar dari rumahnya di FeldaTeloi Timur, Bukit Selambau, di sini, jam 3 petang kelmarin bersama rakannya tanpa memberitahu tujuan.
Menurutnya, dia dikejutkan dengan berita sedih apabila rakan anaknya memberitahu, Mohd Salim hilang selepas terjun ke sungai ketika melarikan diri daripada polis, jam 6 petang.
“Saya terkejut disebabkan tidak menyangka dia pergi ke tempat sebegitu kerana sebelum ini tidak pernah berbuat demikian. Saya kemudian bergegas ke tempat kejadian bagi melihat usaha mencarinya oleh penduduk kampung.
Sebelum keluar rumah, isteri Mohd Salim memberitahu saya, suaminya meminta wang RM10 daripadanya tetapi tidak memaklumkan apa-apa kecuali menyebut tidak mahu pulang berhari raya di rumah keluarga mentua di Sungai Petani,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Petani berkata, gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilancarkan sejak jam 9 malam kelmarin selepas polis meminta bantuan mencari mangsa di Sungai Muda.Menurutnya, pihaknya menghantar 10 anggota, termasuk unit penyelam skuba, tetapi operasi terpaksa dihentikan pada tengah malam dan disambung semula jam 9 pagi, hinggalah mayat mangsa ditemui jam 5 petang semalam.hmetro

Mayat dikerat rakyat asing

AMPANG: Mayat seorang wanita yang dikerat beberapa bahagian dalam sebuah pangsapuri terbiar di Blok Chryssa, Apartmen Astaria, di sini, adalah warga asing.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, pihaknya mengenal pasti mangsa adalah warga asing selepas cap jari mayat dihantar ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bagaimanapun, pihaknya belum dapat menentukan identiti mayat kanak-kanak lelaki yang turut dijumpai dan kaitannya dengan wanita berkenaan kerana laporan DNA belum siap.

“Kami juga menahan beberapa orang untuk siasatan tetapi belum dapat dikenal pasti sama ada mempunyai kaitan dengan kes ini,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan di tempat kejadian bagi mengesan bukti lain yang boleh membantu siasatan.

Khamis lalu, Harian Metro melaporkan misteri bau busuk di sebuah unit pangsapuri tanpa penghuni di tingkat lima apartmen sejak Sabtu minggu lalu terbongkar apabila pihak pengurusan menemui kaki kiri manusia yang berulat dan beberapa organ manusia dalam tandas unit itu.


Difahamkan, beberapa anggota badan manusia turut ditemui dalam tiga bungkusan plastik di atas siling tandas dan beberapa tempat dalam rumah berkenaan. Dipercayai mangsa dibunuh kurang seminggu lalu sebelum anggota badannya dikerat lebih 15 bahagian.hmetro

Wanita Indonesia maut akibat denggi

SEREMBAN 6 Ogos - Seorang wanita warga Indonesia meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) dekat sini kelmarin, disyaki akibat denggi.
Wanita berusia 27 tahun yang meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) itu merupakan mangsa pertama disyaki maut akibat denggi di negeri ini sejak Januari lalu.
Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zainudin Mohd. Ali berkata, berdasarkan simptom awal, pihaknya mengesyaki kematian wanita itu akibat denggi.
''Dia (mangsa) telah dirujuk dan dimasukkan ke ICU HTJS untuk diberi rawatan susulan, bagaimanapun meninggal dunia selepas 10 hari menerima rawatan.
''Kita perlu menjalankan ujian klinikal, termasuk menghantar sampel darah bagi mengesahkan punca sebenar kematian wanita itu yang kita syaki akibat denggi," katanya pada sidang akhbar Aktiviti Pemeriksaan Bazar Ramadan Negeri Sembilan 2011 di sini, hari ini.utusan

2 pengedar dadah ditahan

SEREMBAN 6 Ogos - Polis menahan dua lelaki yang disyaki menjalankan urusan jual beli dadah di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Taman Sri Rompin, Jempol dekat sini, kelmarin.
Kedua-dua suspek yang berusia 19 dan 23 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5.30 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan R. Ravi Chandran berkata, pihaknya turut merampas 26 peket plastik lutsinar dipercayai mengandungi heroin bernilai RM5,000 dalam beg sandang yang dipakai salah seorang suspek.
Katanya, ketika serbuan, suspek yang menaiki motosikal cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.
"Kita syak mereka yang tidak bekerja itu menunggu pelanggan di ladang sawit berkenaan kerana kedudukannya yang jauh dari pandangan orang ramai.
"Bagaimanapun, hasil siasatan dan intipan yang dilakukan kita berjaya mengesan kegiatan itu dan menahan mereka," katanya di sini, hari ini.utusan

Ibu selamatkan bayi dalam kebakaran



TUMPAT 6 Ogos - Biarpun masih berpantang, seorang ibu sanggup bergadai nyawa untuk menyelamatkan bayinya yang berusia 21 hari daripada rentung selepas rumah mereka di Kampung Kajang Sebidang dekat sini terbakar hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari, Hanita Abdul Hamid, 38, sedang menyusukan bayinya, Ahmad Hambali Azhar di ruang tamu sebelum terbau asap dari arah ruang tamu utama rumah mereka.
"Sebaik sahaja terhidu bau asap itu, saya segera ke ruang tamu untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila melihat api sedang marak.
"Saya kemudian segera membawa Ahmad Hambali keluar melalui pintu dapur sambil menjerit meminta tolong daripada jiran," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Jeritan Hanita didengari oleh datuk saudaranya yang tinggal di belakang rumah yang kemudian turut datang membantu.
Dia bernasib baik kerana anak sulungnya yang berusia 7 tahun bersama tiga lagi adiknya bermain di luar rumah ketika itu.
"Jika empat orang anak saya itu berada di dalam rumah, tentu sukar untuk saya menyelamatkan mereka dalam keadaan berpantang ini," ujarnya.
Ketika kejadian, suaminya, Azhar Mohd. Nor, 42, yang bekerja sebagai guru sekolah memandu tiada di rumah kerana bekerja.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Ahmd Mazlan Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.03 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi bersama 11 anggota dan dua jentera bagi memadam kebakaran.
"Pihak kami menghadapi kesukaran untuk sampai ke tempat kejadian kerana jalan sempit. Kebakaran bagaimanapun dapat dikawal daripada merebak dan hanya ruang tamu rumah mereka yang rosak teruk," katanya.utusan

8 lelaki, 4 wanita ditahan ketika pesta dadah



KUALA LUMPUR 6 Ogos - Ketika umat Islam sibuk melakukan ibadat sepanjang Ramadan, sekumpulan lapan lelaki dan empat wanita sanggup mencemar kesucian bulan mulia itu dengan melibatkan diri dalam parti dadah di sebuah vila di ibu negara.
Dalam serbuan pukul 2 pagi ini, mereka dikatakan menyewa vila di Jalan Ampang selama dua hari, kononnya untuk mengadakan parti sambutan hari jadi.
Namun, kumpulan itu yang turut melibatkan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun menjadikan vila tersebut sebagai port untuk mereka mengambil dadah.
Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, sepasukan anggota polis menyerbu vila itu setelah menerima maklumat daripada orang ramai yang mencurigai aktiviti mereka.
"Ketika serbuan, mereka yang berusia antara 19 hingga 33 tahun itu berada di ruang tamu dan bilik di vila tersebut.
"Polis menemui satu peket plastik berisi lima kapsul dipercayai ekstasi daripada seorang lelaki berusia 31 tahun dan sejumlah pil Eramin 5 yang ditemui pada salah seorang wanita.
"Hasil pemeriksaan lanjut, kami menemui satu peket plastik berisi 32 biji pil ekstasi di dalam sebuah almari di bilik vila itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, hari ini.
Menurut Mohan Singh, parti hari jadi yang dikatakan berlangsung di situ hanyalah satu alasan apabila lapan daripada mereka positif dadah jenis 'methamphetamine'.
Beliau berkata, pihaknya percaya dadah yang dirampas itu adalah kegunaan peribadi dan bukan untuk diedarkan.
Tambahnya, semua suspek kini direman sehingga Selasa ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (2) akta yang sama.utusan

Kereta rempuh halaman pangsapuri contoh



KUALA LUMPUR 6 Ogos - Dua beradik melalui pengalaman mencemaskan apabila kereta yang mereka dinaiki terbabas dan nyaris merempuh pangsapuri mewah contoh milik sebuah syarikat pembinaan di Jalan Sultan Ismail di sini, awal pagi ini.
Kedua-dua beradik itu, termasuk pemandunya yang merupakan ketua cawangan Parti Satu Malaysia di Johor, bagaimanapun terselamat tanpa mengalami kecederaan.
Kemalangan berlaku pukul 3.30 pagi semasa mereka dalam perjalanan dari arah Bukit Bintang dan tiba-tiba hilang kawalan semasa melepasi persimpangan lampu isyarat di Jalan Sultan Ismail.
Kereta Mercedes-Benz yang dinaiki kemudian terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebatang tiang lampu, pagar pangsapuri contoh dan menumbangkan sebatang pokok hiasan di kawasan halamannya.
Kemalangan turut menyebabkan sebahagian bumbung laluan pejalan kaki berhampiran stesen monorel di Medan Tuanku di sini hampir roboh.
Mangsa bernasib baik kerana pokok hiasan yang dilanggar berjaya menghalang kereta daripada terus merempuh ke dalam pangsapuri contoh berkenaan.
Sepasukan anggota Skuad Penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terpaksa dipanggil ke tempat kejadian untuk kerja-kerja memotong dan mengalih tiang lampu yang tumbang merintangi jalan.
Kerja-kerja pengalihan dan pembersihan di tempat kejadian selesai dijalankan dalam tempoh hampir setengah jam.
utusan

Mayat dikerat disahkan wanita warga asing, lapan ditahan bantu siasatan



KUALA LUMPUR 6 Ogos - Empat hari selepas penemuan mangsa pembunuhan kejam seorang wanita dan kanak-kanak yang dikerat-kerat dan dibuang dalam mangkuk tandas di Ampang dekat sini, polis hari ini menahan lapan lelaki warga asing untuk membantu siasatan kes tersebut.
Selain itu, polis turut mengesahkan mayat wanita yang ditemui dikerat itu adalah warga asing.
Kesemua suspek diberkas di dua lokasi lokasi berhampiran tempat kejadian awal pagi ini dan polis masih menyiasat kaitan dan hubungan mangsa dengan kesemua mereka.
Menurut sumber, tujuh daripada suspek diberkas dalam satu serbuan manakala seorang lagi ditahan di lokasi lain.
"Polis telah mengenal pasti identiti salah seorang mangsa dan akan menghubungi keluarganya dalam masa terdekat.
"Mangsa dikenal pasti sebagai seorang wanita warga asing berusia antara 18 hingga 25 tahun. Namun, identiti budak lelaki itu belum diketahui kerana kesukaran mengesan cap jari, kecuali umurnya yang berusia antara empat hingga lima tahun, seperti yang didedahkan sebelum ini," katanya.
Rabu lalu, seorang wanita menemui anggota manusia yang dikerat-kerat di dalam mangkuk tandas dan beg plastik di Pangsapuri Astaria di Taman Kosas, Ampang.
Polis kemudian mengesahkan penemuan itu membabitkan mangsa, seorang wanita dewasa dan kanak-kanak lelaki.
utusan

Tinggalkan ular sawa depan rumah jiran



KUALA LUMPUR 6 Ogos - Seorang pemuda yang ditangkap kerana meninggalkan seekor ular sawa batik sepanjang 2.4 meter di hadapan rumah jirannya di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Tun Razak semalam, menimbulkan tanda tanya berhubung motif tindakannya itu.
Dalam kejadian kira-kira 9.40 malam, suspek yang berusia 22 tahun dilihat meletakkan satu bungkusan guni gula yang berikat dengan dawai di hadapan rumah jirannya sebelum melarikan diri.
Bagaimanapun, perbuatannya itu dilihat oleh salah seorang ahli keluarga mangsa yang kemudian mengejar dan dapat menangkap suspek.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, pemeriksaan mendapati, seekor ular sawa batik seberat lebih lima kilogram ditemui dalam guni itu.
Katanya, mangsa yang bekerja sebagai penyelia pembersihan mengenali suspek yang juga tinggal di kawasan flat itu.
"Setakat ini kami percaya, tindakan pemuda itu berniat untuk mengugut, namun motif sebenar masih disiasat dan kami belum mengetahui sama ada wujud permusuhan atau sengketa di antara mereka sebelum ini.
"Hasil pemeriksaan, suspek negatif dadah dan kami juga masih tidak mengetahui dari mana suspek mendapat ular berbahaya itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, hari ini.
Kata beliau, kes ini disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian berkenaan haiwan, yang boleh mendatangkan bahaya kepada manusia.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Wilayah Persekutuan, Mohamad Hafid Rohani ketika ditemui memberitahu, mereka yang ingin memelihara ular sawa batik itu perlu memiliki lesen.
"Berdasarkan saiz, ular ini mampu menelan seekor anak kambing dan mendatangkan bahaya kepada manusia," katanya.
utusan

Wanita parah ditetak dua lelaki





KUALA LUMPUR 6 Ogos - Entah apa puncanya, dua lelaki bertindak menyerang dan menetak seorang pekerja kilang wanita di kediamannya di sebuah flat di Taman Taming Jaya, Balakong, Kajang dekat sini, semalam.
Mangsa yang cedera berlumuran darah dan tidak sedarkan diri bagaimanapun bernasib baik apabila ditemui oleh jiran yang kemudian segera menghantarnya ke hospital.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abd. Rashid Ab. Wahab berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, jiran yang terdengar bunyi bising pergi melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila menemui mangsa berlumuran darah dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Beliau berkata, mangsa segera dikejarkan ke Hospital Serdang dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi kerana cedera parah.
"Polis yang menyiasat kes tersebut dimaklumkan mangsa diserang menggunakan senjata tajam oleh dua lelaki semasa bersendirian di rumah.
"Mangsa berusia lingkungan 30-an merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang bekerja di kilang berhampiran kawasan kediamannya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, wanita terbabit diserang semasa baru tiba di rumah selepas selesai bertugas syif malam dan penyerang mungkin dikenali oleh mangsa.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah akibat ditetak di leher dan sehingga kini masih tidak sedarkan diri.
Tambahnya, motif mangsa diserang belum diketahui dan polis akan menyiasat dari semua sudut termasuk mempunyai kaitan dengan hutang atau cemburu.
"Mangsa tidak disamun kerana tiada barang-barang berharga miliknya dilarikan dan polis sedang berusaha mengesan rakan serumahnya juga dipercayai PATI yang menghilangkan diri selepas kejadian bagi membantu siasatan," katanya.
Ab. Rashid meminta orang ramai atau rakan serumah mangsa supaya tampil membantu polis dalam siasatan kes tersebut dan sesiapa mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Komuniti Taming Jaya di talian 03-89622222.utusan