Search This Blog

Saturday, August 6, 2011

Topi keledar mainan bahaya



SEREMBAN – Penggunaan topi keledar mainan untuk kanak-kanak tidak boleh digunakan di jalan raya dan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk penunggang dan pembonceng motosikal melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri, Datuk Ismail Lasim berkata, penguatkuasaan penggunaan topi keledar yang betul bukan untuk mengelirukan pihak berkuasa tetapi untuk aspek keselamatan.

“Saya ingatkan pada pengguna, jangan gunakan topi keledar mainan untuk anak di jalan raya kerana hasil penguatkuasaan dan rampasan yang dibuat Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) didapati ramai yang menggunakannya.

“Penggunaan topi keledar yang betul dan diluluskan Sirim adalah satu kemestian dalam usaha menjamin keselamatan pengguna jalan raya khususnya yang membawa dan membonceng motosikal,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Majlis Pelupusan Topi Keledar Terpakai di JKJR Negeri semalam.

Pada majlis itu, sebanyak 250 topi keledar rosak dan tidak selamat digunakan telah diserahkan kepada Southern Waste Management Sdn Bhd.

Ismail berkata, sejak Januari hingga Jun, sebanyak 1,000 topi keledar lama dan tidak selamat digunakan telah dilupuskan oleh pihak JKJR.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri kesal kerana masih ramai pengguna tidak mengikut arahan dan memandang ringan penggunaan topi keledar yang sepatutnya.

“Jika pengguna menggunakan topi keledar yang diluluskan tetapi cara penggunaan tidak betul ia juga tidak memberi apa-apa makna jika mereka berhadapan dengan kemalangan,” katanya.

Sementara itu Pengarah JKJR negeri, Mohd Rusdi Ismail berkata, pengguna yang mempunyai topi keledar yang tidak memenuhi ciri ditetapkan boleh menghantar topi keledar mereka kepada pihak JKJR untuk dilupuskan.SH

Tak takut hukuman gantung



TANJUNG BUNGAH – ‘Kena hukum gantung sekalipun dengan mahkamah saya tak takut’. Itulah jawapan berani seorang lelaki apabila dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) malam kelmarin.

Kedua-duanya sanggup mencemarkan kesucian Ramadan dengan mendaftar masuk ke hotel yang semurah RM50 semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, hampir 14 penguat kuasa menyerbu sebuah hotel bajet di Pantai Miami Tanjung Bungah.

Didapati dalam sebuah bilik di tingkat satu hotel sepasang lelaki dan wanita Islam duduk berdua-duaan dan gagal membuktikan masing-masing mempunyai pertalian yang sah di sisi agama.

Ketika dicekup, lelaki berkenaan kelihatan seperti biasa dan mengikut semua kehendak penguat kuasa JAIPP, namun keadaannya berubah secara tiba-tiba apabila dikatakan hendak dibawa ke balai kerana didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang atas kesalahan berkhalwat.

Jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Lelaki itu dengan tiba-tiba memberontak dan dengan beraninya berkata jika hukuman gantung sekalipun dia tidak takut, malah Mahkamah Tinggi juga dia sudah biasa.

Bukan sahaja bertindak seakan menjerit dalam bilik hotel, lelaki itu turut menolak tangan tidak mahu dipegang penguat kuasa.

Manakala teman wanitanya yang turut ditahan bersama hanya mampu memujuk lelaki itu supaya bersabar.

Ketika dibawa turun, wanita itu mengaku datang ke hotel kerana bergaduh dengan keluarganya.

“Memang saya ada gaduh dengan keluarga, sebab itu datang ke hotel dan saya bayar separuh duit hotel sementara separuh dia bayar sebab saya tidak bawa duit banyak kerana keluar dari rumah tiba-tiba,” katanya.

Kedua-duanya dibawa ke Pejabat JAIPP Lebuh Pantai untuk disoal siasat dan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Lebuh Pantai untuk dibuat laporan polis.

Operasi yang bermula jam 10 malam itu dinamakan Ops Santai dan diketuai Ketua Operasi dan Penguat kuasa JAIPP, Khairul Azman Azizan.

Turut sama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa, Jaafar Ismail dan 14 anggota penguat kuasa.

Khairul Azman berkata, ia adalah operasi Seksyen 27 atas kesalahan khalwat dan juga Seksyen 29 iaitu melakukan perkara tidak sopan di tempat awam serta yang pertama kali diadakan pada Ramadan kali ini.

Menurutnya, seramai tiga pasangan ditahan atas kesalahan berkelakuan tidak sopan di tempat awam mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang.

“Dua pasangan di kawasan lapang Queensbay Mall, dan sepasang lagi di Bayan Indah berhampiran Pantai Jerejak, jika didapati bersalah boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 atau enam bulan penjara.

“Manakala bagi Seksyen 27 atas kesalahan berkhalwat pula seramai dua pasangan yang ditahan,” katanya.
SH

Jual mercun, bunga api jurutera perunding ditahan



KANGAR - Hasil aduan orang ramai, polis Perlis berjaya menahan seorang jurutera perunding kerana memiliki dan menjual pelbagai jenis mercun dan bunga api di rumahnya, di Taman Kemajuan Kangar di sini, kira-kira jam 5.15 petang kelmarin.

Ketua Polis Perlis, Zull Aznan Haron berkata, dengan penahanan suspek berusia 52 tahun itu, pihaknya berjaya merampas sejumlah 31 jenis mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM3,000.

Menurutnya, suspek yang begitu kreatif telah menjadikan bahagian dapur rumahnya sebagai bilik pameran mercun manakala sebuah bilik di bahagian atas rumah dua tingkat miliknya dijadikan sebagai stor simpanan mercun.

“Kita membuat serbuan selepas mendapat aduan dari penduduk yang sering melihat kanak-kanak bermain mercun dan bunga api. Malah, mereka mengesyaki kegiatan itu selepas mendapati kanak-kanak mudah mendapatkan bahan itu.

“Pembeli terutama kanak-kanak hanya datang ke rumah suspek dan melihat jenis mercun dan bunga api yang disimpan di dalam balang pelbagai bentuk. Malah, bahagian dapur rumahnya itu dilihat seolah-olah kedai runcit.

“Kita percaya, jurutera perunding ini sudah memulakan kegiatan menjual bahan larangan yang dibawa masuk dari negara jiran ini sejak awal Ramadan lalu,” katanya kepada pemberita, semalam.

Zull berkeata, pihaknya menahan jurutera itu atas kesalahan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dikenakan penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-dua sekali, sekiranya didapati bersalah.

Beliau berkata, pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan menjual mercun dan bermain bunga api di kawasan perumahan mereka sila hubungi polis untuk tindakan lanjut.
SH

25 pesalah Ramadan ditahan



GEORGETOWN – Hanya dalam masa empat hari seramai 25 pesalah Ramadan berjaya dicekup Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) seluruh Pulau Pinang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa JAIPP, Jaafar Ismail berkata, dalam tempoh itu juga lebih daripada 250 kedai makan dan restoran diperiksa penguat kuasanya.

Menurutnya, kesemua yang ditahan mengikut Seksyen 15 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1996 ialah atas kesalahan tidak menghormati Ramadan, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau tidak lebih enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

“Semua 25 pesalah Ramadan ini adalah lelaki dan kebanyakannya ditahan atas kesalahan merokok," katanya.

Jaafar juga tidak menolak jumlah yang ditahan ini begitu ramai dan meningkat dengan mendadak berbanding tahun lalu.

Namun, ia menunjukkan penguatkuasaan JAIPP berkesan dan juga berjaya bagi membanteras pesalah Ramadan melalui Ops Jejak.

Pada 2009 seramai 31 orang Islam yang ditahan JAIPP atas kesalahan tidak berpuasa, tetapi kemudiannya meningkat sebanyak 51 yang ditahan pada 2010.

“Kami meningkatkan jumlah penguatkuasaan pada tahun ini memandangkan pada tahun lalu kami ada menerima aduan orang ramai yang menyatakan JAIPP hanya pergi ke satu daerah ke satu daerah sekali gus melambatkan proses tangkapan.

“Kali ini JAIPP tidak beri peluang lagi kerana kesemua anggota penguat kuasa kami bergerak serentak dalam Ops Jejak,” katanya.

Jaafar juga sempat berkongsi pengalamannya bersama dengan anggota penguat kuasa mengenai gelagat umat Islam yang tidak berpuasa.

“Ada satu kes di mana kami dapat di kawasan Seberang Perai, iaitu pemandu lori bersama rakannya yang makan di atas lori ketika Ramadan.

“Mereka cuba lari namun, akhirnya penguat kuasa kita berjaya juga menahan mereka,” katanya.SH

Tangkapan pertama jual mercun



KUALA TERENGGANU - Bagaikan tidak serik dengan insiden ngeri akibat bahana mercun, masih ada peniaga yang tidak menghiraukannya, malah mula menjual bahan berbahaya itu kepada orang ramai.

Tetapi mereka wajar berasa gerun kerana pihak polis kini sedang memperhebatkan operasi, dengan tangkapan pertama yang dibuat di Kampung Limbong, Paka, Dungun, petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Paka yang diketuai Ketua Polis Balainya telah membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Limbong, kira-kira jam 5.45 petang semalam.

“Bertindak daripada maklumat orang awam, mereka telah membuat pemeriksaan di rumah itu dan menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api dalam kuantiti yang banyak.

“Kita telah merampas semua mercun dan bunga api itu dan suspek juga ditangkap. Hasil siasatan awal mendapati, suspek yang berumur 33 tahun dan bekerja sebagai buruh kontrak itu mendapat bekalan mercun dari Kelantan untuk dijual di sini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Suspek yang berasal dari Kampung Padang Ping itu kini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Menurut Manoharan, pihaknya menganggap perbuatan memiliki dan menjual mercun adalah satu kesalahan serius susulan insiden kecederaan yang berlaku dan ia amat membahayakan orang ramai.

Katanya, pihak polis di setiap daerah telah diarahkan untuk memantau dan membuat tangkapan terhadap mana-mana individu yang memiliki atau menjual bahan berbahaya itu, bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini berlaku.SH

Mangsa trauma, muntah darah



SUNGAI PETANI – Mangsa liwat berusia sembilan tahun yang dilaporkan Sinar Harian sebelum ini masih berada dalam keadaan trauma dan mengalami muntah berdarah sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani awal pagi semalam.

Ibu saudara mangsa berkata, keadaan mangsa kembali lemah sebelum dilaporkan ceria kelmarin dan mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

“Sejak malam kelmarin, dia mengalami muntah. Apabila saya lihat dia muntah darah, ia menyebabkan saya meminta kedua ibu bapa mangsa membawanya ke hospital kira-kira jam 6 pagi,” katanya.

Menurutnya, doktor menasihatkan keluarga perlu lebih prihatin dengan keadaan kesihatan mangsa kerana sekiranya mengalami beberapa alahan lain, mereka diminta membawa mangsa menerima rawatan secepat mungkin.

Bagaimanapun, keadaan mangsa dilaporkan tidak bermaya apabila tidak mampu memberikan respons apabila wartawan bertanyakan soalan.

Difahamkan, keluarga mangsa kembali ke sekolah agama terbabit semalam bagi mengambil semula beg pakaian dan semua peralatan persekolahan milik abang mangsa yang turut ditempatkan di sekolah sama, namun cawangan berbeza.

Menurutnya, sehingga kini tiada maklum balas yang diterima oleh pihak pengurusan sekolah sejak perkara berkenaan tersebar.

Bagaimanapun, keluarga mangsa masih berharap tindakan sewajarnya dapat diambil setelah apa yang berlaku ke atas anak mereka.SH

Lori isi khinzir, berekor anjing



KULAIJAYA – Kehadiran lori yang sarat dengan muatan khinzir seawal jam 9 pagi di laluan lebuh raya menimbulkan tanda tanya dan ketidakselesaan dalam kalangan pengguna jalan raya terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Salah seorang pengguna jalan raya, yang ingin dikenali sebagai Affendi, 26, berkata, dia terkejut apabila ternampak sebuah lori yang sarat dengan muatan khinzir berada di hadapan kenderaannya ketika sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Ketika itu saya sedang menghampiri kawasan rehat Kulaijaya kira-kira jam 9 pagi untuk ke tempat kerja melalui laluan lebuh raya seperti biasa dan ternampak lori berkenaan yang agak mencurigakan.

“Pada mulanya saya sangkakan haiwan mungkin adalah kambing namun apabila saya memintas lori berkenaan saya dapati terdapat beberapa ekor khinzir di dalam sangkar yang disusun secara bertingkat,” katanya.

Affendi berkata, tambah mencurigakan apabila pada bahagian belakang lori berkenaan terdapat ekor seakan-akan ekor anjing yang dipercayai sengaja diletakkan untuk mengaburi pandangan pengguna jalan raya lain.

“Saya berasa pelik mengapa lori yang sarat dengan muatan khinzir berada di atas jalan raya pada waktu siang sedangkan lori yang membawa khinzir hanya dibenarkan beroperasi pada waktu malam.

“Mungkin pemandunya tidak mahu aktivitinya membawa muatan yang sarat dengan khinzir pada waktu siang disedari oleh orang ramai lalu dia bertindak meletakkan ekor palsu berkenaan di belakang lori,” katanya.

Selain itu katanya, beliau turut terserempak dengan lori yang membawa muatan khinzir di laluan berkenaan beberapa bulan lalu namun tidak memandang serius mengenai perkara itu sehinggalah kejadian sama berulang lagi pada hari pertama umat Islam berpuasa.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berwajib dapat menjalankan pemantauan berhubung perkara berkenaan agar tidak mengganggu keselesaan pengguna jalan raya khususnya penganut agama Islam.
SH

Sindiket curi kabel lumpuh



JOHOR BAHRU – Polis melumpuhkan satu sindiket mencuri dan menjual kabel pencawang milik beberapa syarikat telekomunikasi dengan tertangkapnya lapan lelaki dan seorang wanita dekat Muar dan Selangor, hujung bulan lepas.

Dalam serbuan kira-kira jam 6.30 petang 18 Julai lalu, dua lelaki dan seorang perempuan berumur 16 hingga 29 tahun ditahan bersama dua orang anak perempuannya di kawasan pencawang tersebut ketika sibuk memotong tali kabel sebelum di masukkan di dalam van.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, berikutan tangkapan terhadap tiga rakyat tempatan itu, polis kemudian berjaya menahan tiga lagi lelaki tempatan berumur 24 hingga 51 tahun dan tiga lelaki rakyat asing berumur 26 hingga 42 tahun di sebuah pusat perniagaan barangan lusuh di Bukit Puchong, Selangor, pada 4 petang, 29 Julai lepas.

“Kesemua mereka berjaya ditahan ekoran penahanan pertama terhadap dua lelaki dan seorang wanita berumur 16 hingga 29 tahun di kawasan pencawang syarikat telekomunikasi di Bukit Pasir, Muar, pada 6.30 petang, 18 Julai lepas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, keenam-enam lelaki terbabit merupakan pemilik premis tersebut dan pekerjanya.

Beliau berkata dalam serbuan itu polis merampas pelbagai barangan curi terdiri daripada kabel, peralatan elektronik dan bateri kepunyaan beberapa syarikat telekomunikasi yang dianggarkan bernilai RM5 juta.

Katanya, kesemua barangan tersebut dipercayai dicuri sejak lima bulan lepas di sekitar Johor, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Pahang dan Kuala Lumpur.

“Hasil daripada penahanan dan rampasan ini, polis percaya berjaya menyelesaikan 60 kes kecurian kabel dan peralatan milik syarikat telekomunikasi di lapan negeri berkenaan.         “Kesemua suspek direman sejak 29 Julai lepas sehingga hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 kanun yang sama,” katanya.SH

Deretan tiga kedai terbakar



BAGAN DATOH - Bekalan perabot untuk jualan musim perayaan musnah sepenuhnya apabila kedai yang digunakan sebagai tempat simpanan hangus dalam satu kejadian kebakaran, di sini, awal pagi, semalam.

Peniaga, Ng Boon Sai, 45, berkata, dia menerima panggilan daripada seorang rakan pada kira-kira jam 6.30 pagi memaklumkan kedai yang diwarisi daripada datuknya itu hangus dijilat api.

Katanya, setelah mendapat panggilan itu, dia bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat sendiri keadaan kedainya itu.

“Sebaik sampai di tempat kejadian, saya hanya dapat melihat kedai yang telah berusia 80 tahun itu hangus dalam kebakaran.

“Kedai ini telah diserahkan kepada saya oleh datuk untuk diuruskan dan ia telah diubah suai menjadi gudang perabot serta barangan elektrik,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Boon Sai berkata, dia masih belum tahu anggaran kerugian daripada kejadian itu dan menerima semuanya sebagai satu dugaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang, Rahmat Nazlan berkata, panggilan mengenai kejadian diterima pada 6.01 pagi dan pasukannya tiba di tempat kejadian pada 6.21 pagi.

“Ketika pasukan bomba sampai di tempat kejadian, kebakaran di deretan kedai itu sudah mencecah hingga 90 peratus dan telah merebak hingga ke kedai yang ke-tiga.

“Seramai 29 anggota serta satu pegawai, bersama dua jentera turun ke tempat kejadian dan kami juga turut dibantu pasukan Bomba Sukarela Bagan Datoh yang turun dengan sebuah jentera,” katanya.

Menurutnya, kebakaran berjaya dipadamkan dan dikawal sepenuhnya pada jam 10.28 pagi dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kebakaran telah bermula di bahagian belakang kedai pertama sebelum merebak ke dia buah kedai lagi.

“Anggaran kerugian untuk ketiga-tiga buah kedai terlibat sekitar RM400,000 dan ini merupakan kejadian ke-dua berlaku di sini dalam tempoh tiga bulan,” katanya.SH

Lori terbabas langgar saluran paip



PARIT MESJID - Sebuah lori sarat muatan bahan binaan terbabas sehingga mengakibatkan saluran paip bawah tanah pecah di hadapan sebuah sekolah di Jalan Pontian, Parit Mesjid, kelmarin.

Saksi kejadian, Nor Ani Rahman, 38, berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 8 malam itu hanya disedari selepas dia terdengar bunyi dentuman kuat dari luar rumahnya.

“Ketika itu, kami sekeluarga baru sahaja selesai berbuka dan dikejutkan dengan bunyi dentuman seperti tayar lori meletup dari luar rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, dia dan anaknya kemudian keluar dari rumah yang terletak hanya beberapa meter dari lokasi kejadian dan mendapati sebuah lori terbabas ke bahagian tepi jalan berkenaan.

Nor Ani berkata, tidak lama selepas itu, pancutan air dari bahagian bawah saluran paip keluar dan mencurah di atas jalan raya.

Menurutnya, kawasan berkenaan sering dijadikan lokasi lori muatan berat meletak kenderaan tetapi amat bahaya kerana keadaan tanah di situ tidak seimbang dan sering berlaku kejadian tanah jerlus.

“Sebelum ini banyak projek pembinaan seperti sekolah di kawasan sekitar Parit Mesjid menyebabkan banyak lori bahan binaan lalu di kawasan ini dan menjadikan ia lokasi meletakkan lori,” katanya.

Manakala, Nor Azwa Mohammad, 28 berkata, selepas kejadian berkenaan, bekalan air ke rumahnya yang terletak di Parit Mesjid, terputus.

“Bermula dari jam 10 malam tadi (kelmarin) sehingga pagi ini (semalam), bekalan air ke rumah kami terputus dan menyukarkan kerja seharian,” katanya.

Menurutnya, aduan sudah dibuat kepada pihak berkenaan bagi membolehkan bekalan air disambung segera.

Sementara itu, Jurucakap Syarikat Air Johor (SAJ) Cawangan Pontian ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah sedia maklum berhubung permasalahan berkenaan.

Menurutnya, kerja sambungan saluran paip telah dimulakan dan bekalan air sudah boleh dinikmati penduduk seperti biasa bermula pada jam 3 petang, semalam.SH

Didakwa terima rasuah RM500




IPOH – Seorang kakitangan awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin atas tuduhan menerima rasuah daripada seorang nelayan di Seri Manjung, Mac lalu.

Sahimi Ariffin, 56, didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kereta di hadapan Restoran Briyani, Bandar Baru, Seri Manjung pada jam 3 petang, 11 Mac lalu.

Tertuduh yang merupakan Pembantu Perikanan Tingkat Khas, Pejabat Perikanan Kampung Acheh, Seri Manjung didakwa meminta satu suapan berjumlah RM500 daripada Mohd Fadli Sahri.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya dan seorang lagi rakan, Azmi Hussein yang menjalankan kegiatan membawa benih kerang tanpa permit di Taiping.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a)Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Di bawah seksyen tersebut, Sahimi boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda nilai suapan atau denda RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Sharullah Khan Nawab Zadah Khan.

Hakim Julie Lack Abdullah menetapkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 28 September ini.SH

Dakwa kena tipu isteri bekas VIP



BANDAR DARULAMAN - Pelbagai alasan diberikan kepada pemilik rumah oleh seorang penyewa di sini bagi mengelak untuk membayar tunggakan sewa termasuk bil elektrik, bil air dan kerosakan dalam rumah berkenaan.

Begitulah situasi yang terpaksa ditanggung oleh pemilik rumah yang menyewakan rumahnya di Taman Melur Kristal, Jalan Wang Tepus di sini kepada seorang wanita sudah berkeluarga pada Jun 2009.

Pemilik rumah, Nor Aida Md Hashim, 42, mendakwa, wanita yang dipercayai isteri kepada bekas VIP itu masih mempunyai tunggakan sewa termasuk tunggakan bil elektrik, air dan lain-lain mencecah RM5,000.

Menurutnya, wanita itu mula menyewa rumahnya sejak Jun 2009 dan kemudiannya keluar pada 31 Disember 2010 selepas bekalan air dan elektrik dipotong disebabkan gagal menjelaskan tunggakan yang mencecah ribuan ringgit.

“Pada tahun pertama, dia membayar sewa dengan teratur, namun sejak pertengahan tahun lalu dia mula membuat ‘perangai’ dengan membayar sewa rumah sebanyak RM450 secara ansuran mengikut kemampuan.

“Disebabkan kasihankan dia dan anak-anak, kami masih bertoleransi dengannya dan menerima bayaran sewa yang dibuat tanpa merungut, namun sejak meninggalkan rumah itu pada April lalu, panggilan saya langsung tidak berjawab untuk menjelaskan hutang.

“Akibatnya saya dan suami terpaksa menanggung risiko menjelaskan tunggakan bil air dan elektrik disebabkan mahu memberi peluang kepada penyewa lain tinggal di situ,” katanya.

Bagaimanapun, Nor Aida berkata, wanita berusia 50-an itu pernah juga beberapa kali mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berjanji akan membayar hutang sewa yang tertunggak itu selepas pulang dari Sarawak selepas mendakwa menjadi calon dalam pilihan raya di negeri itu tempoh hari.

Menurutnya, sejak memberi sewa kepada wanita terbabit, dia banyak bertolak ansur dan tidak mahu mengeruhkan keadaan malah memberi potongan harga kepada penyewa itu supaya dapat menjelaskan hutang, namun masih gagal.

“Kalau diikutkan bil api yang tertunggak ialah RM2,125.65, bil air RM891.75, tunggakan sewa tiga bulan RM1,350 termasuk kerosakan peralatan dalam rumah seperti televisyen, dapur dan lain-lain mencecah RM5,000, namun saya kurangkan kepada RM4,000 sahaja dengan harapan dia mampu membayarnya.

“Tetapi dari hari ke hari wanita terbabit gagal dihubungi malah menggunakan bapanya yang berada di Sarawak sebagai orang tengah untuk menyelesaikan masalah itu namun masih tidak berkesudahan,” katanya.

Nor Aida berkata, dia masih bertolak ansur dan tidak bercadang untuk membuat laporan polis berkaitan hal itu, namun apa yang diharapkan penyewa terbabit datang menjelaskan hutang berkenaan dengan segera.
SH

Pemungut madu kena sebat salah guna kereta majikan



AYER KEROH – Gara-gara menyalahgunakan kereta majikan, seorang pemungut madu dihukum penjara enam bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, V P Ramesh, 24, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah atas pertuduhan kes yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi.

Berdasarkan pertuduhan, Ramesh didapati dengan curang menyalahgunakan kereta Toyota Avanza dengan nombor pendaftaran WNQ 2761 milik majikannya, K Nacheammah, 52, bagi kegunaan diri sendiri.

Dia didapati melakukan kesalahan itu di No. 48, Jalan BBP 3, Taman Batu Berendam Putra, Batu Berendam kira-kira jam 1 pagi pada 27 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan sebat dan boleh juga didenda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa tidur bersama ahli keluarganya di rumah dan pada masa sama, tertuduh turut berada di dalam rumah berkenaan.

Mangsa kemudian terjaga daripada tidur dan memeriksa rumah lalu mendapati kereta miliknya tiada di garaj dan mengesyaki dilarikan tertuduh setelah mendapati tertuduh tiada di dalam rumah.

Keesokan harinya, kira-kira jam 6 petang, mangsa dan seorang ahli keluarganya keluar mencari kereta tersebut sehingga ke Negeri Sembilan sebelum menjumpainya berhampiran sebuah sekolah di Kuala Pilah.

Apabila mangsa mendekati, didapati tertuduh berada di dalam kereta tersebut dan mangsa terus menghubungi polis.SH

Hasrat jual dadah dalam ladang tak kesampaian

SEREMBAN – Aksi dua lelaki yang leka menunggu pelanggan untuk membeli dadah bertukar cemas apabila kedua-duanya lari lintang-pukang kerana panik dengan kehadiran pihak berkuasa.

Kedua-dua lelaki yang dipercayai pengedar dadah di sekitar Jempol itu akhirnya diberkas polis selepas ditahan di sebuah kawasan ladang kelapa sawit berdekatan Taman Sri Rompin, Jempol, kelmarin.

Perkara itu dibongkar sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Balai Polis Rompin, Jempol, yang melakukan intipan kira-kira jam 5.30 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan R Ravi Chandran berkata, hasil pemerhatian pihaknya mendapati dua lelaki bermotosikal dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

“Sejurus memperkenalkan diri sebagai polis, kedua-dua suspek yang panik bertempiaran melarikan diri dan menyebabkan anggota kita terpaksa mengejar sebelum berjaya menahan mereka.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui 26 paket plastik lut sinar mengandungi dadah heroin di dalam beg sandang mereka yang dianggarkan bernilai RM5,000,” katanya.

Menurutnya, siasatan juga mendapati suspek menjual dadah itu dengan harga RM120 sepeket dan hasil ujian :saringan air kencing, kedua-duanya positif dadah.

“Mereka direman tujuh hari bantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
SH

Penumpang belakang maut



JOHOL – Seorang remaja lelaki yang juga penumpang di bahagian belakang maut apabila kereta Proton Iswara yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan di Kilometer 17 Jalan Tampin-Kuala Pilah kira-kira jam 4.35 petang, kelmarin.

Manakala pemandu dan dua lagi penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk mendapat rawatan.

Pemandu lori, Osman Karim, 50, berkata, ketika tiba di selekoh Kampung Tering, dia sempat menekan brek lorinya, namun tetap melanggar dengan kereta itu yang melintang di tengah jalan.

Menurutnya, dia dari bengkel yang terletak di Renggoh untuk ke Kuala Pilah. Walau bagaimanapun, ketika tiba di selekoh itu, dia nampak kereta itu hilang kawalan dan masuk arah bertentangan.

“Saya cuba mengelak tetapi tidak berjaya lalu terlanggar bahagian sisi kiri belakang kereta berkenaan.

“Saya percaya, seorang penumpang bahagian belakang kanan tercampak ke dalam semak, manakala seorang lagi terperosok di kerusi belakang. Pemandu cedera parah dan seorang perempuan yang berada di kerusi hadapan cedera,” katanya.

Katanya, dia dan dua kelindan hanya mengalami cedera ringan.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Iswara dari arah Kuala Pilah menghala ke arah Tampin hilang kawalan semasa melalui selekoh.

Menurutnya, selepas itu, kereta berkenaan terbabas ke kanan dan berpusing sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Pada masa sama, lori yang datang dari arah Tampin menghala ke Kuala Pilah tidak sempat mengelak lalu terlanggar kereta mangsa. Akibat rempuhan itu, kereta berkenaan terbabas ke dalam semak dan remuk di bahagian sebelah kiri.

“Mangsa yang meninggal dunia dikenali Abdullah Hinmi Md Hashim, 17, beralamat Kuala Sungai Tebong Melaka kerana mengalami cedera di bahagian kepala dan badan,” katanya.SH

Pekerja salon menangis dijatuhi hukuman gantung



SHAH ALAM – Tangisan seorang pekerja salon warga Iran menimbulkan suasana hiba di Mahkamah Tinggi di sini, semalam sebaik sahaja wanita muda itu tahu dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Pada ketika Hakim, Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman, Masoumeh Gholami Khaveh, 36, kelihatan bersahaja di kandang salah kerana tidak faham.

Bagaimanapun, selepas mahkamah bersurai, dia yang terpinga-pinga tiba-tiba menangis selepas pegawai penterjemah menerangkan hukuman diterimanya.

Masoumeh didapati bersalah mengedar 2865.6 gram metaphetamine di Hotel One World, Bandar Utama, dekat sini, kira-kira jam 8.10 pagi, 15 November 2009.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syafik Md Kamal mengikut Seksyen 39B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Noor Azian dalam penghakimannya berkata, mahkamah meragui keterangan Masoumeh mengenai tujuan kedatangannya ke Malaysia iaitu untuk membeli pakaian dan alat solek.

“Tertuduh beritahu keluarganya susah dan dia datang ke Malaysia tanpa membawa wang. Tetapi, dia ada beritahu sudah datang ke Malaysia sebanyak enam kali.

“Dia juga kata, apabila dia sampai ke Malaysia keluarganya akan hantar duit melalui syarikat penukaran wang. Mahkamah dapati ia tidak munasabah kerana kalau keluarga susah, bagaimana nak hantar wang.

“Malah, syarikat penukaran wang itu juga didapati tidak wujud,” katanya.

Noor Azian berkata, mahkamah juga tidak menerima alasan Masoumeh bahawa dia membawa beg (mengandungi dadah) itu atas permintaan Shila, konon untuk diserahkan kepada Amin.

“Walaupun Amin wujud, tiada keterangan yang mengaitkan beg dadah itu dengan Amin,” katanya.

SH

Pemandu lori dan penunggang maut nahas

KUANTAN - Seorang pemandu lori maut dipercayai akibat tersepit dalam kenderaannya yang terbalik selepas terbabas dan merempuh tembok longkang di Kilometer 15.4 Jalan Genting Highlands –Kuala Lumpur dekat Bentong awal pagi kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 4.10 pagi itu, mangsa, Santosh Dangkal, 32 pekerja sebuah kedai perabot di Sungai Buloh, Selangor mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Genting Highlands sebelum dirujuk ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu terbabit dalam perjalanan dari arah pusat peranginan tanah tinggi itu untuk kembali ke Kuala Lumpur.

“Ketika tiba di lokasi nahas, lori yang dipandunya hilang kawalan ketika menuruni laluan berbukit di situ lalu terbabas dan melanggar longkang di tepi sebelah kiri.

“Akibat pelanggaran itu, lori tersebut hilang imbangan lalu terbalik dan mangsa dipercayai tersepit,” katanya. Ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Sementara itu dalam nahas berasingan, seorang penunggang maut akibat tercampak dari motosikalnya yang terbalik selepas terbabas ketika melalui jalan Felda Bukit Tajau, Maran, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa Harun Ali Yasi, 56 cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan bandar Maran.

Mohamed Fauzi berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dipercayai menunggang dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya di peringkat satu perumahan Felda Bukit Tajau.

“Ketika sampai di lokasi itu, motosikal jenis Nitro yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas.

“Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai melambung sebelum terjatuh ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua nahas tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SH

Saksi tipu pengarah dikesan



SHAH ALAM – Polis sedang mengesan seorang saksi wanita bagi kes perbicaraan penipuan seorang pengarah sebuah syarikat hartanah melibatkan kerugian sebanyak RM7 juta pada 2009.

Pegawai Penyiasat, Deputi Superintenden Mazelan Paijan berkata, Adleena Adriana Abdullah, 43, pernah terlibat dalam satu kes penipuan dan dipenjarakan.

Katanya, selepas setahun dibebaskan, wanita yang juga seorang janda itu dipercayai terlibat dengan satu lagi kes penipuan di Selangor dan dikehendaki hadir ke Mahkamah Tinggi, kelmarin.

“Bagaimanapun, saksi ini tidak hadir dan mahkamah sekali lagi menetapkan kes itu disebut 3 Oktober depan,” katanya.

Mazelan berkata, wanita berkenaan beralamat terakhir di alamat B3-03-13 Apartmen Emerald di Jalan Pujangga PJU 8/3, Damansara Perdana Petaling Jaya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan wanita berkenaan agar menghubunginya di talian 012-3179900 atau 03-79586901 atau balai polis berdekatan.SH

Gadis miang dicekup lagi



AMPANG - Seorang gadis ‘miang’ yang sebelum ini pernah dikenakan hukuman kerana bersekedudukan dengan teman lelaki tidak pernah serik apabila dia sekali lagi dicekup Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Namun kali ini, dia dicekup berkhalwat dengan lelaki lain apabila teman lelakinya pergi berkursus.

Pegawai Masjid Al-Azim Pandan Indah, Ahmad Nawi Osman berkata, operasi tersebut dijalankan di sebuah rumah kedai kira-kira jam 5.30 pagi semalam, setelah pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.

“Kami terpaksa menunggu beberapa minit sebelum pintu rumah dibuka oleh seorang gadis berusia 20 tahun. Dia yang berpakaian lengkap itu memberi alasan tinggal seorang diri di rumah berkenaan apabila kami menyoal siasat,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati rumah tersebut disewa oleh teman lelaki kepada wanita berkenaan.

“Ketika serbuan dijalankan, kami mendapati pasangannya hanya memakai seluar pendek tanpa baju menyorok di bawah katil,” katanya.

“Pasangan tersebut dibawa ke balai polis berhampiran untuk pihak kami membuat laporan polis,” katanya.

Ahmad Nawi berkata, dalam operasi berasingan pihaknya turut mencekup sepasang kekasih yang juga penuntut di institut pengajian tinggi awam (IPTA) pada jam 8.00 pagi di sebuah pangsapuri di Pandan Indah setelah didapati berkhalwat.

“Kedua-dua operasi itu dijalankan di bawah Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
SH

Suami ugut simbah asid, bakar kedai



MERCHANG – Akibat tidak tahan dengan perlakuan suaminya yang sering memarahi dan memukul dirinya tanpa sebab munasabah, seorang isteri terpaksa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang berhubung kejadian itu.

Malah, wanita berumur 40 tahun ini dalam aduannya mendakwa, dia bukan sahaja dimarahi dan dipukul tetapi turut diugut akan disimbah asid, bahkan suaminya juga turut mengugut mahu membakar bangsal menjual jagung miliknya.

Menurutnya, kali terakhir suaminya yang berumur 42 tahun melakukan keganasan terhadapnya adalah pada jam 7.30 pagi 29 Julai lalu, iaitu ketika mangsa berada di rumahnya di Kampung Jambu Bongkok.

“Saya dipukul dengan rotan kerana suami menghadapi masalah dengan bekas isterinya.

“Akibat kejadian, tengkuk dan kepala saya lebam serta bengkak. Dia juga mengugut mahu menyimbah asid, malah mahu membakar rumah serta bangsal jagung saya,” katanya.

Wanita itu berkata, dia tidak tahan lagi dengan perangai suaminya yang tidak bekerja dan sering memaki hamunnya.

Tindakan keterlaluan suaminya itu, menimbulkan rasa takut yang teramat sangat, menyebabkan mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis empat hari kemudian, iaitu pada Rabu lalu.

Menurutnya, dia membuat laporan itu kerana bimbang keselamatan dirinya terus terancam dengan berharap campur tangan pihak berkuasa akan dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.SH

Padah seludup minyak



TUMPAT – Dua lelaki dipercayai penyeludup lari lintang pukang dan menghilangkan diri selepas kereta Proton Saga dilengkapi tangki tambahan dinaiki mereka terbakar ketika mengisi petrol di sebuah stesen minyak di kampung Kepulau, Palekbang di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang, dua lelaki itu dipercayai mengisi petrol ke dalam sebuah tangki tambahan yang diletakkan di dalam bonet kereta terbabit sebelum kereta itu terbakar.

Akibat kebakaran itu, dua lelaki itu melecur di betis manakala seorang lagi terbakar di bahagian rambut selain api yang marak berpunca dari saluran tangki minyak nyaris menyambar pam minyak di stesen tersebut.

Seorang saksi, Ketua Plantun Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Bahrun Daud, berkata, suasana agak panik apabila kereta itu terbakar sedangkan ketika kejadian ramai pelanggan sedang mengisi minyak di stesen terbabit.

“Api tiba-tiba muncul dari saluran tangki minyak dengan maraknya menyebabkan suasana menjadi kecoh dengan jeritan orang ramai, namun dengan pertolongan daripada orang ramai, kereta yang terbakar ini berjaya ditolak ke kawasan lapang bagi mengelakkan kebakaran ini merebak ke pam minyak,” katanya.

Menurutnya, kereta ini sering kelihatan berulang-alik mengisi minyak di sini setiap kali dia bertugas mengawal di stesen minyak ini untuk mencegah penyeludupan minyak.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Yaakob Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.45 sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama lima anggota dan sebuah jentera bagi memadam kebakaran.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, api sedang marak membakar kereta terbabit dan anggota bomba mengambil masa lima minit memandam kebakaran itu daripada terus merebak.

“Kereta itu hangus terbakar dan pemeriksaan lanjut menjumpai tangki tambahan di dalam kereta terbabit,” katanya.SH

Rumah Pengarah Perpaduan Kelantan dimasuki pencuri


KOTA BAHARU - Pencuri memecah masuk kediaman Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kelantan, Abdul Hadi Salleh, di Jalan Dato Lundang di sini malam tadi dan melarikan beberapa buah telefon bimbit dan sebuah komputer riba.
Abdul Hadi berkata, kejadian itu dipercayai berlaku antara pukul 8.30 malam dan 10 malam ketika beliau sekeluarga menunaikan solat Tarawih di Masjid Muhammadi.
"Bila saya balik dan masuk rumah, rumah bersepah dan bila diperiksa beberapa telefon bimbit dan sebuah komputer riba telah hilang,” katanya hari ini.
Beliau berkata, pencuri terbabit dipercayai memasuki rumahnya melalui atap sebelum memecah siling di ruang tamu rumah.
Abdul Hadi berkata, beliau telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu berhubung kejadian itu. - BernamaSH

Empat suspek direman




EMPAT suspek kes bunuh Dr. Rohani Kassim dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh, semalam untuk mendapatkan perintah tahanan reman.


IPOH 5 Ogos - Polis percaya dapat menyelesaikan kes pembunuhan Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim yang dipercayai bermotifkan samun ekoran penahanan empat suspek iaitu seorang posmen, dua penganggur dan tentera yang melarikan diri daripada tugas.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, suspek berusia antara 20 hingga 26 tahun diberkas dalam tiga tangkapan berasingan kurang 24 jam selepas mayat mangsa ditemui.
Menurut beliau, polis merampas barang kemas dan telefon bimbit dipercayai milik mangsa selepas tertangkapnya dua suspek pertama tidak jauh dari tempat kejadian di Pangsapuri Permai Lake View, Tambun pada pukul 4 pagi semalam.
"Dua lagi suspek masing-masing ditahan di Tanjung Malim dan Slim River. Salah seorang daripadanya mempunyai rekod dikehendaki polis bersabit kes rogol di Slim River pada tahun ini.
"Seorang lagi dipercayai terlibat dalam kejadian pecah masuk rumah mangsa pada 14 Julai lalu. Laporan bedah siasat belum diterima dan setakat ini belum dapat dipastikan punca kematian mangsa serta sama ada berlaku serangan seksual," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, mayat Rohani ditemui seorang pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan selepas terserempak dengan seorang lelaki Melayu sedang memikul satu bungkusan menuruni tangga dari tingkat satu kira-kira pukul 3.30 pagi.
Hasil pemeriksaan pengawal keselamatan itu mendapati bungkusan yang dicampakkan oleh suspek selepas terkejut melihatnya itu adalah sehelai gebar yang membalut mayat seorang wanita dengan kedua-dua tangan dan kakinya diikat.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, beberapa sampel forensik dan ujian air kencing telah diambil ke atas suspek namun keputusannya masih belum diperoleh.
Selain itu, katanya, keempat-empat suspek yang merupakan teman serumah dan tinggal berdekatan pangsapuri mangsa direman antara empat hingga tujuh hari bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.utusan

Skandal godam telefon merebak

LONDON 5 Ogos - Anggota-anggota Parlimen Britain semalam menggesa pengacara bual bicara televisyen CNN, yang juga bekas editor akhbar tabloid, Piers Morgan (gambar) kembali ke negara asalnya, Britain bagi menjawab dakwaan berhubung penggodaman telefon selepas laporan dibuat oleh bekas isteri anggota kumpulan Beatle, Paul McCartney.
Heather Mills yang membuat dakwaan tersebut berkata, seorang wartawan telah mendengar mesej suara telefonnya sekali gus menambahkan lagi 'kehangatan' skandal yang melanda empayar syarikat Rupert Murdoch, News Corp dan penerbitan-penerbitan lain di Britain.
Dalam temu bual bersama Stesen Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin, Mills berkata, seorang wartawan yang bekerja untuk syarikat penerbitan Britain, Trinity Mirror iaitu pemilik akhbar tabloid, Daily Mirror, telah menemuinya dan menunjukkan butiran mesej yang ditinggalkan McCartney pada telefonnya pada awal 2001.
"Wartawan kanan itu, bukan Morgan telah berjumpa saya dan mengaku telah menggodam telefon saya,'' katanya. Ketika itu, Morgan adalah editor akhbar tabloid tersebut," katanya.
Setakat ini, dakwaan mengenai komplot penggodaman hanya terhad kepada akhbar News of the World yang dimiliki oleh syarikat akhbar Britain, News Corp.
Akhbar tabloid The Sunday telah ditutup bulan lalu apabila membangkitkan kemarahan orang ramai selepas mangsa penggodaman turut melibatkan seorang pelajar sekolah hilang yang ditemui mati dibunuh dan beberapa mangsa jenayah lain.
Pada 2006, Morgan didakwa telah menyenaraikan satu mesej dari telefon Mills untuk keluaran akhbar Daily Mail Britain, namun beliau menafikan tuduhan tersebut.
"Heather Mills telah membuat tuntutan tidak berasas berhubung perbualan yang mungkin atau tidak mungkin beliau lakukan dengan eksekutif kanan akhbar Trinity Mirror pada 2001.
"Saya tidak pernah menggodam, mengarahkan sesiapa untuk menggodam telefon, atau bukan niat saya untuk menerbitkan mana-mana cerita yang diperolehi menerusi penggodaman telefon," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.
Menurut jurucakap Morgan hari ini, dia tidak mempunyai sebarang komen mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh majikannya itu. - REUTERSutusan

Kakak terima panggilan Nabilah

MELAKA 5 Ogos - Selepas menyepi hampir dua minggu, atlet pelapis penembak wanita kebangsaan, Nabilah Ashazra Azlan yang didakwa dilarikan lelaki beristeri dua akhirnya menghubungi kakaknya, Quraishah kira-kira pukul 8 malam tadi.
Bapanya, Azlan Maidin, 53, berkata, Nabilah, 20, menghubungi anak keduanya yang bekerja di Balai Polis Sungai Merah, Sibu, Sarawak dan memaklumkan dia akan pulang ke rumah tetapi memerlukan masa.
"Anehnya kata anak saya (Quraishah), Nabilah tidak menggunakan telefon bimbitnya sebaliknya menggunakan telefon awam.
"Nadanya ketika bercakap seperti ketakutan. Nabilah ada memberitahu kakaknya bahawa dia masih berada di Kota Bharu, Kelantan," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Peringgit di sini, hari ini.
Rabu lalu, Azlan mendakwa anak keempatnya yang berpotensi untuk menyumbang emas dalam acara air pistol di Sukan SEA Palembang, November ini dilarikan seorang lelaki yang mempunyai dua isteri dikenali sebagai Mohd. Sophee Yaakob, 44.
Menurutnya, dia melahirkan rasa lega apabila mendapat tahu Nabilah masih hidup dan selamat apabila dia menghubungi kakaknya malam tadi.
Katanya, hanya Quraishah menjadi penghubung untuk mengetahui keadaan anak keempatnya kerana Nabilah tidak langsung menghubungi abang-abang atau adik-adiknya yang lain.
"Daripada apa yang diceritakan oleh Quraishah, saya percaya Nabilah ingin pulang ke rumah dan kembali semula menjalani latihan di Sekolah Bukit Jalil (SBJ) tetapi Mohd. Sophee menghalangnya," katanya.
Sehubungan itu, Azlan sekali lagi meminta Mohd. Sophee membawa Nabilah pulang ke Melaka bagi menyelesaikan segala masalah yang timbul.
"Saya dapat terima Mohd. Sophee dengan baik jika sahih dari hukum syarak mereka sah sebagai suami isteri tetapi pulanglah dulu ke Melaka," katanya.
Azlan melahirkan rasa risau mengenai masa depan sukan menembak yang diceburi oleh Nabilah memandangkan dia antara atlet pelapis yang berpotensi menyumbang kilauan emas di Sukan SEA Palembang, Indonesia, November ini.
Ujarnya, peluang anak keempatnya belum tertutup untuk beraksi ke Sukan SEA walaupun sejak 25 Julai lalu dia tidak menyertai sesi latihan skuad menembak di Majlis Sukan Negara (MSN).utusan

Sindiket curi kabel, alatan elektronik RM5j tumpas



JOHOR BAHRU 5 Ogos - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket curi kabel dan peralatan elektronik syarikat telekomunikasi yang mengakibatkan kerugian RM5 juta dengan penahanan sembilan suspek di Johor dan Selangor, pada 18 dan 29 Julai lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, mereka ditahan terdiri daripada enam rakyat tempatan termasuk seorang wanita dan tiga warga asing yang semuanya berusia 16 hingga 42 tahun.
Katanya, penahanan pertama melibatkan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia 16 hingga 29 tahun di kawasan pencawang syarikat Maxis, di Bukit Pasir, Muar, pukul 6.30 petang.
Tambahnya, hasil pemeriksaan polis menjumpai kabel di dalam van mereka yang dipercayai dicuri daripada pencawang Maxis berhampiran.
"Susulan itu, polis melakukan serbuan kedua di sebuah pusat perniagaan barangan lusuh di Bukit Puchong, Selangor, kira-kira pukul 4 petang pada 29 Julai.
"Hasilnya membawa kepada penangkapan tiga lelaki tempatan berusia 24 hingga 51 tahun dan tiga lelaki rakyat asing berusia 26 hingga 42 tahun. Mereka yang ditahan merupakan pemilik premis dan pekerja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah beliau, dalam kedua-dua serbuan tersebut, pihak polis merampas pelbagai barang curi terdiri daripada kabel, peralatan elektronik dan bateri kepunyaan syarikat telekomunikasi Maxis, Digi, Celcom dan Telekom Malaysia.
Katanya, kesemua barang itu dipercayai dicuri di Johor, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Pahang dan Kuala Lumpur.
Menurutnya, kesemua yang ditahan direman sehingga hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan iaitu menerima harta curi dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," ujarnya.
Menurut beliau, sindiket itu dipercayai bergiat aktif kira-kira lima bulan lalu dan dengan penangkapan tersebut, pihaknya percaya dapat menyelesaikan 60 kes kecurian kabel dan peralatan milik syarikat telekomunikasi di sekitar Johor dan beberapa negeri lain.utusan

Polis tunggu laporan DNA

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Laporan bedah siasat berhubung penemuan anggota badan seorang wanita dewasa dan kanak-kanak lelaki yang dikerat-kerat di dalam mangkuk tandas dan beg plastik di sebuah rumah, Taman Kosas, Ampang, kelmarin, dijangka diketahui dalam waktu terdekat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, analisis cap jari bagi mengenal pasti identiti serta bangsa kedua-dua mangsa masih dijalankan.
"Pihak polis sedang menunggu laporan Asid Deoksiribonukleik (DNA) untuk menentukan sama ada dua mangsa terbabit mempunyai pertalian atau tidak.
"Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua mangsa mempunyai pertalian kekeluargaan.
"Selain ujian cap jari dan DNA, polis turut menyemak laporan kehilangan orang sekiranya ada berkaitan dengan kes ini," katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini, hari ini.
Amiruddin berkata, siasatan berhubung motif, senjata digunakan akan dijalankan mengikut semua kemungkinan termasuk wujudnya unsur pemujaan atau ajaran sesat dalam kes tersebut.
Katanya, polis juga merakam percakapan beberapa penghuni pangsapuri berkenaan bagi membantu siasatan.
"Pemilik rumah itu belum dikenal pasti dan dipercayai telah ditinggalkan hampir 10 tahun lepas. Jadi, apa yang pihak polis boleh lakukan bagi mencari petunjuk kes adalah dengan mengambil keterangan jiran dan menganalisis bukti yang ada dari kedua-dua mayat yang ditemui
"Setakat ini pihak polis belum menemui sebarang senjata tajam di lokasi kejadian dan masih menyiasat sama ada kedua-dua mangsa dibunuh di lokasi yang sama ditemui atau di lokasi lain.
"Kesan darah pada baju T yang ditemui dalam beg bersama anggota badan mangsa yang dikerat-kerat itu turut dianalisis bagi mengesahkan ia milik kedua-dua mangsa," katanya.
Penemuan anggota badan manusia yang dikerat-kerat sebanyak 15 bahagian di dalam mangkuk tandas dan beg plastik di sebuah rumah menggemparkan penghuni Blok Charyssa, Pangsapuri Astaria di Taman Kosas, Ampang dekat sini, kelmarin.utusan

5 lagi pegawai Imigresen dibebaskan

IPOH 5 Ogos - Lima lagi pegawai Imigresen yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Tahanan Perlindungan Kamunting (Kemta) sejak lapan bulan lalu, dibebaskan hari ini.
Pembebasan itu menjadikan semua lapan pegawai jabatan terbabit yang ditahan di bawah akta berkenaan telah dibebaskan.
Penolong Komisioner Penjara Kemta, Mohd. Roslen Ramli berkata, kelima-lima pegawai Imigresen yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu dibebaskan melalui perintah tahanan kira-kira pukul 11 pagi ini, sebelum solat Jumaat.
"Semua pegawai Imigresen yang ditahan di bawah ISA di sini sudah dibebaskan. Tiga daripadanya dibebaskan Selasa lalu manakala lima lagi dibebaskan hari ini.
"Mereka dijemput oleh keluarga masing-masing selepas dibebaskan pagi ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan pembebasan lapan pegawai Imigresen yang ditahan mengikut ISA pada tahun lalu kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan manusia.
Kesemua mereka termasuk seorang wanita ditahan ketika bertugas di kaunter hadapan pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Terminal Penerbangan Tambang Murah, Sepang. Tujuh daripadanya pegawai muda yang berusia sekitar 20-an hingga awal 30-an.
Dalam laporan Utusan Malaysia pada Selasa lalu, siasatan berhubung harta dan aset pegawai-pegawai tersebut yang mencecah jutaan ringgit masih dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.utusan

PGM rampas 3,000 telur penyu

SANDAKAN 5 Ogos - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Sandakan berjaya merampas 3,000 biji telur penyu dari sebuah bot yang memasuki kawasan Sungai Batu 2 di sini, semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Sandakan, Asisten Supritendan Gan Ping Sin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, bot yang berada dalam keadaan mencurigakan itu telah diminta berhenti tetapi tidak diendahkan oleh pemandunya.
"Sebaliknya suspek memecut bot sebelum terkandas di tebing sungai, dia bagaimanapun berjaya melarikan diri. Pemeriksaan mendapati terdapat tiga karung yang berisi 3,000 biji telur penyu," katanya di sini, hari ini.utusan

Stor haram diserbu, 321 tong gas LPG subsidi dirampas


KUALA LUMPUR 5 Ogos - Sebanyak 321 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang dipercayai cuba dijual untuk kegunaan industri berjaya dirampas oleh pihak berkuasa di kawasan perindustrian di Meranti Permai, Batu 15, Puchong, malam semalam.
Operasi yang dijalankan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Sepang melibatkan empat anggota dan pegawai hasil daripada maklumat awam.
Semasa serbuan dijalankan kira-kira pukul 9 malam, kesemua pekerja stor tersebut berjaya melarikan diri melalui pintu kecil hadapan stor berkenaan.
Menurut ketua PPDNKK Cawangan Sepang, Abd Wahab Satar berkata, premis yang diserbu itu merupakan stor haram yang digunakan untuk menjalankan pemindahan gas LPG.
"Modus operandi yang digunakan adalah dengan memindahkan gas bersubsidi 14 kilogram ke dalam tong seberat 50 kilogram.
"Tong gas 50 kilogram itu kemudian dijual kepada pihak industri dengan harga RM200 untuk satu tong," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, penyelewengan gas bersubsidi itu dilakukan bagi mengaut keuntungan dengan mudah melalui penjualan tong gas industri.
Abd Wahab memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM100,000 dan lima tahun penjara serta denda RM250,000 bagi kesalahan yang dilakukan oleh syarikat," katanya.utusan

Wanita gaduh telan pil


AMPANG: Seorang wanita yang tertekan selepas bergaduh dengan teman lelakinya nekad menelan pil miliknya sendiri secara berlebihan hingga menyebabkan mulutnya berbuih dan pengsan sebelum dikejarkan ke hospital, kelmarin.
Difahamkan, mangsa yang berusia 22 tahun menelan lima pil berkenaan menyebabkan dia keracunan sehingga mulutnya berbuih.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa dipercayai bergaduh dengan teman lelakinya sebelum dia pulang ke rumah keluarganya di Ampang Jaya, di sini.

Sumber berkata, mangsa yang mengalami keracunan sebelum pengsan menyebabkan ahli keluarganya panik dan membawanya ke Hospital Ampang.hmetro

Identiti si mati masih misteri


AMPANG: Identiti mayat wanita dan kanak-kanak lelaki yang dikerat beberapa bahagian dan disembunyikan dalam sebuah pangsapuri terbiar di tingkat lima Blok Chryssa, Apartmen Astaria, di sini, bakal diketahui dalam masa terdekat.
Difahamkan, polis masih menunggu laporan DNA kedua-dua mayat itu bagi memastikan sama ada kedua-duanya mempunyai kaitan talian darah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata cap jari mayat wanita itu sudah dihantar ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengenal pasti identitinya jika si mati warga tempatan.

“Kami kini giat mengesan laporan kehilangan individu dan siasatan lanjut berhubung penemuan itu masih dijalankan di tempat kejadian.

“Kami juga sudah merakam percakapan beberapa jiran daripada kalangan penduduk tempatan dan warga asing yang tinggal berhampiran,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, di sini, semalam.

Menurutnya, polis gagal mengesan pergerakan masuk dan keluar mangsa mahupun suspek melalui kamera litar tertutup (CCTV) pada pintu masuk utama pangsapuri berkenaan kerana ia tidak berfungsi.


“Sama ada mangsa dibunuh di dalam rumah tiga bilik berkenaan ataupun di tempat lain, kami masih menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

“Malah, polis belum dapat mengesan pemilik rumah itu memandangkan rumah berkenaan sudah 10 tahun tidak berpenghuni,” katanya.hmetro

Kepala bayi terputus belum ditemui

MELAKA: Bahagian kepala mayat bayi perempuan yang terputus ketika dilahirkan ibunya petang Selasa lalu belum dijumpai hingga kini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah, ketika dihubungi di sini menjelaskan usaha mengesan kepala mayat bayi itu masih dilakukan.

“Mangsa memberitahu kepala bayinya itu terjatuh di dalam tandas. Sebaik melahirkan bayi terbabit yang terputus kepalanya akibat ditarik, wanita itu membuangnya ke dalam tong sampah sebelum menghubungi ibunya,” katanya.
hmetro

Cikgu ketuk


KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki berusia sembilan tahun di sebuah sekolah rendah di sini mendakwa kepalanya sering diketuk manakala badannya ditumbuk seorang guru lelaki di sekolahnya.
Difahamkan, kejadian itu bukan pertama kali berlaku sebaliknya mangsa mendakwa sering dipukul guru berusia lingkungan 30-an itu sejak empat bulan lalu.

Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 9 pagi kelmarin, pelajar itu sekali lagi ditumbuk di badan selain kepalanya diketuk guru terbabit hanya kerana dia tidak menjawab soalan yang diberikan dengan betul.

Selepas pulang ke rumahnya di Jalan Klang Lama di sini dan memaklumkan kejadian berkenaan kepada bapanya, mangsa dibawa ke Balai Polis Petaling untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.

“Mangsa memberitahu, dia sering dipukul tanpa sebab manakala dalam kejadian terbaru, mangsa mendakwa dipukul guru terbabit menggunakan tangan hanya kerana salah menjawab satu soalan diberikan,” kata sumber.

Menurutnya, bapa mangsa yang terkejut dengan aduan anaknya itu cuba menenangkan mangsa kerana mendakwa takut untuk pergi ke sekolah.



Difahamkan, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan sebaliknya kini trauma dan takut untuk meneruskan sesi persekolahan.

Sehubungan itu, bapa mangsa membawa anaknya itu membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan guru berkenaan selain bimbang sekiranya perkara buruk terjadi kepada anaknya pada masa depan.
hmetro

Ugut simbah asid


GOMBAK: Hanya kerana seekor kucing, seorang lelaki sanggup mengugut menyimbah asid kepada bekas teman wanitanya selepas hasrat ingin mengambil semula haiwan itu gagal dalam kejadian di kediaman wanita itu di Pinggiran Batu Caves, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 22 tahun sedang menonton televisyen sementara menunggu waktu berbuka puasa sebelum menerima panggilan telefon daripada bekas teman lelakinya itu.

Menurut sumber, dalam perbualan telefon itu, lelaki terbabit meminta mangsa keluar berjumpa dengannya di luar rumah kerana dia sedang menunggu di depan pintu.

“Pada mulanya mangsa enggan dan menyuruh lelaki itu pulang, namun selepas termakan pujuk rayu, akhirnya dia bersetuju dan membuka pintu rumah.

“Lelaki itu memberitahu tujuan kedatangannya iaitu untuk mengambil semula kucing yang diberi setahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa enggan menyerahkannya dengan alasan lelaki itu tidak pernah mengambil tahu malah dia yang menjaga haiwan itu selama ini.


“Lelaki itu cuba memujuk mangsa, namun tidak berjaya apabila mangsa tetap dengan pendiriannya.

“Geram permintaannya tidak dilayan, lelaki itu memaki-hamun mangsa dan mengugut akan menyimbah asid ke muka wanita itu jika mereka bertemu di luar,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang ketakutan terus masuk ke dalam rumahnya semula dan mengunci pintu.

“Beberapa minit selepas itu, mangsa menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada lelaki itu yang mengugut akan mencederakan mangsa.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Selayang,” katanya.hmetro

96 warga Saudi ditahan di penjara negara Arab

JEDDAH: Terdapat 96 banduan Arab Saudi dipenjarakan di lima negara Arab, lapor akhbar tempatan berbahasa Arab, semalam. Kebanyakan mereka adalah ditahan atas kesalahan mengedar dadah.
Majoriti banduan, iaitu seramai 59 orang ditahan di Jordan, diikuti oleh Syria (18), Lubnan (9), Mesir dan Maghribi (5).

Majlis Menteri, baru-baru ini membuat keputusan untuk membayar denda yang ke atas banduan Saudi di negara asing. Arab Saudi turut menandatangani perjanjian dua hala dengan sebilangan negara, termasuk Jerman, Mesir, Qatar, Bahrain dan Kuwait untuk memindahkan banduan dan membantu mereka menjalani baki tempoh hukuman penjara di negara masing-masing. Sementara itu, seorang banduan Saudi di Mesir dilaporkan membayar denda bernilai 100,000 riyal (RM80,313) untuk pembebasannya.hmetro

Bina reaktor nuklear di rumah

STOCKHOLM: Seorang lelaki ditahan selepas cuba membina sebuah reaktor nuklear di dapurnya.
Dia juga mendedahkan usahanya itu dalam laman Facebook.

Richard Handl, 31, dari Anglholm, selatan Sweden, mengumpulkan bahan, termasuk pengesan asap, jam dinding dan jam tangan yang dibeli menerusi Internet.

“Saya hanya ingin melihat sama ada boleh atau tidak membina reaktor itu. Ia hanya hobi,” kata Handl, yang menganggur ketika ini. Dia pernah bekerja di sebuah kilang sistem pengudaraan. Handl sudah tiba ke peringkat mencampurkan beberapa bahan dalam ketuhar - americum, radium, beryllium dan 96 peratus asid sulfurik.

Letupan berlaku kira-kira tiga atau empat bul;an lalu tetapi polis hanya datang dua minggu lepas,” katanya.

Selepas letupan itu yang ditandakan sebagai “The Meltdown’ dalam blognya, Handl berkata, dia membersihkan ketuhar dan membeli lebih banyak radium serta meneruskan eksperimen.


Lembaga Keselamatan Radiasi dalam satu kenyataan berkata, pihak berkuasa menyerbu flet Handl pada 20 Julai selepas mengetahui dia menggunakan bahan nuklear secara tidak selamat.

“Tidak ada peningkatan dalam tahap radiasi di apartmennya dan jiran juga tidak terjejas kepada radiasi,” kata Ketua Penyelidik, Leif Moberg berkata dalam kenyataan itu.
Handl melaporkan serbuan itu dalam laman webnya dengan menulis ‘Projek batal.’ Dia ditahan tetapi dibebaskan tidak lama selepas itu.

“Saya masih menjadi suspek berhubung jenayah terhadap undang-undang keselamatan radiasi,” katanya. - AP
hmetro

Timbalan Pengarah kena bunuh


pix_gal0
Add caption


JIRAN menunjukkan tangga Apartmen Permai Lakeview dekat Tambun di mana mayat Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak, Rohani Kasim (gambar kecil), ditemui kira-kira jam 3 pagi semalam. (berita lanjut) - Foto L Manimaran


IPOH: Kebimbangan Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kasim, 38, menjadi kenyataan apabila ditemui mati dengan tangan dan kaki berikat sebelum mayatnya dibalut tilam dan ditinggalkan di atas tangga di Pangsapuri Permai Lake View, Tambun, dekat sini, kira-kira jam 3 pagi semalam.

Mangsa yang dipercayai mati dicekik sebelum itu, memberitahu ibunya, Sharifah Razali, 72, bahawa beliau bimbang kerana rumahnya diceroboh seminggu sebelum puasa dan kehilangan barangan kemas bernilai RM15,000, ketika pulang ke kampung 1 Ramadan lalu.
Berikutan itu, polis menahan tiga lelaki, dua daripadanya berusia 26 tahun termasuk seorang jiran mangsa ditahan di sekitar Tambun setengah jam selepas penemuan mayat manakala seorang lagi berusia 21 tahun di Tanjung Rambutan kira-kira jam 4.20 petang. Polis masih memburu dua lelaki lagi dipercayai turut terbabit.
Dalam kejadian itu, suspek dipercayai cuba mengusung mayat mangsa yang masih bujang dan tinggal berseorangan untuk dilupuskan manakala suspek lain menunggu di dalam kereta Kancil di luar pangsapuri itu.

Bagaimanapun, mayat mangsa yang dalam keadaan kaki terjulur keluar dari balutan tilam ditinggalkan di atas tangga selepas suspek terserempak dengan pengawal keselamatan yang membuat rondaan kira-kira jam 4 pagi.

Mangsa anak ketujuh daripada 10 beradik baru dinaikkan pangkat ke jawatan sekarang pada 1 Julai lalu, sebelum ini, bertugas sebagai Pendaftar Kolej Pertanian di Sintok, Kedah.

Sementara itu, Sharifah yang ditemui di Bilik Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, berkata anaknya yang baru menyewa di pangsapuri itu sebulan lalu meluahkan kebimbangan ketika pulang ke kampung di Parit Haji Ali di Bagan Serai, pada hari pertama Ramadan. 
“Arwah memberitahu rumah sewanya diceroboh seminggu sebelum puasa dan mengadu tertekan dengan bebanan kerja termasuk apabila ada yang menyerbu ke pejabatnya berkaitan isu penyembelihan lembu bunting.

“Memang mak cik nak jenguknya, maklumlah dia tinggal seorang diri dan menghidap migrain,” katanya.

Kakak mangsa, Ruzaina, 41, berkata, kehilangan mangsa amat dirasai terutama menjelang Aidilfitri kerana arwah ‘bermulut riuh’ dan menceriakan suasana setiap kali mereka berkumpul.

Jiran mangsa, Azlina Abd Talib, 33, berkata, beliau yang bangun untuk bersahur jam 4 pagi mendengar bunyi bising di luar rumah apabila seorang pengawal keselamatan memberitahu ada mayat di atas tangga depan rumahnya dan melihat seorang jiran lelaki di tingkat atas rumahnya dalam keadaan bergari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, siasatan awal polis mengesyaki terdapat unsur jenayah dan masih menyiasat kes itu.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan A Nirmala di 05-2531500. Sumber polis memaklumkan laporan bedah siasat mengesahkan kematian mangsa akibat sesak nafas. 

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tinggi di Kampung Parit Haji Ali, Bagan Serai, jam 5.30 petang semalam.

Selain bapa mangsa, Kasim Idris, 75, yang terpaksa dipapah untuk menyaksikan pengebumian, turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon serta Pengarah Jabatan Veterinar Perak, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam menziarahi keluarga mangsa di bilik mayat HRPB jam 11.30 pagi.

Zambry mewakili kerajaan negeri memberi sumbangan RM8,000 kepada keluarga mangsa. bharian