Search This Blog

Friday, August 5, 2011

Bayi ditinggal ibu masih lemah




ALOR SETAR - Keadaan bayi yang diserahkan seorang wanita kepada sepasang suami isteri di Terminal Bas Shahab Perdana, Jumaat lalu, berada dalam keadaan lemah dan masih mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, bayi lelaki seberat 1.58 kilogram (kg) itu masih lagi ditempatkan di dalam inkubator dan dipantau rapi.

“Keadaan bayi masih lemah dan dia kenal pasti mengalami masalah jantung berlubang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, sepasang suami isteri membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar setelah gadis yang menyerahkan bayi itu kepada mereka tidak muncul semula selepas kira-kira satu jam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, pasangan suami isteri yang singgah menjamu selera di sebuah gerai makanan berhampiran terminal, dihampiri seorang gadis yang meminta menjaga bayinya atas alasan ingin ke tandas.

Bayi berkenaan kemudiannya dirujuk ke HSB untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut memandangkan kelahirannya tidak matang dan akan diberi pengawasan sehingga beratnya mencecah 1.8 kg.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Adzaman Mohd Jan berkata, setakat ini belum ada tangkapan dibuat berhubung kes berkenaan.

“Kes diklasifikasikan sebagai ROA (refer other agency) iaitu merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.SH

Pemilik asal tuntut rumah



CHERAS – Sepasang suami isteri terkejut apabila pemilik asal rumah yang mereka beli sejak 10 tahun lalu menuntut kembali rumah tersebut dan mendakwa tidak pernah menandatangani urusan pertukaran hak milik.

Lim Yew San, 45, berkata, dia membeli rumah tersebut dengan harga RM230,000 melalui agen setelah melihat iklan di surat khabar pada 2001.

Menurutnya, segala urusan pemindahan hak milik selesai setelah habis bayaran ansuran bank pembelian rumah tersebut.

“Namun pada 12 Januari 2010 saya menerima surat daripada peguam pemilik asal rumah yang menuntut kembali rumah tersebut dan mendakwa berlaku pemalsuan tandatangan kerana dia tidak pernah berurusan untuk pertukaran hak milik.

“Pemilik asal rumah tersebut ada dua penama (adik beradik) dan seorang daripada mereka yang menuntut haknya kerana mendakwa tidak pernah menurunkan tandatangannya,” katanya ketika sidang media di Pejabat Parti Gerakan di Menara PGRM di sini, Selasa lalu.

:Yew San berkata, dia memperuntukkan RM200,000 untuk pengubahsuaian rumah tersebut sejak menetap di situ 10 tahun lalu.

“Lebih memburukkan keadaan apabila nama saya kini juga sudah disenaraihitamkan di bank kerana nama saya sudah diiklankan di surat khabar berhubung kes mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam PGRM Nasional, Lau Hoi Keong berkata, kes sedemikian bukan yang pertama kali berlaku.

Menurutnya, terdapat kes terbaru yang berlaku di Pahang, terbukti terdapat pemalsuan tandatangan dan pembeli rumah akhirnya tidak mendapat apa-apa hak.

“Dalam kes ini, pemilik asal rumah yang menuntut haknya ini berhasrat merujuk borang yang didakwa mengandungi tandatangannya ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan pengesahan pemalsuan tandatangan.

“Sekiranya pemeriksaan mendapati ia benar dipalsukan, kami di biro aduan akan mencadangkan agar ia juga dihantar ke makmal lain untuk menguatkan lagi bukti pengesahan kerana dalam hal ini, pembeli menjadi mangsa,” katanya.SH

Lagi pelajar dakwa didera



SKUDAI – Selepas dua laporan kes pelajar sekolah didakwa didera, kini satu lagi laporan membabitkan dakwaan dikasari pelatih kem motivasi oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Skudai (SMKTDS).

Ketua Biro Pengaduan Awam Johor, Kua Song Tuck yang mendedahkan perkara itu berkata, segelintir pelajar ini telah melaporkan bahawa dikasari dan dilemparkan kata-kata kesat ketika :mengikuti kursus motivasi di Ulu Tiram pada 18 hingga 21 Julai tahun lepas yang membabitkan 44 pelajar sekolah itu

“Ada aduan mengenai mereka didera dan dilayan dengan kasar. Saya lihat kem ini ada bagusnya namun pengisian perlu diperbaiki.

"Ini kerana pegawai ini sudah terbiasa dengan tindakan kasar, namun apabila pelajar sekolah ini yang mengikuti itu tidak terbiasa akan persekitaran sebegitu,” katanya yang ditemui di luar :perkarangan SMKTDS, di sini, semalam.

Sementara itu, seorang pelajar SMKTDS, Chua Jun Wen, 16, mendakwa dipukul di kepala termasuk di bahagian muka hanya kerana melakukan kesalahan kecil.

“Ada sahaja kesalahan yang dilakukan meskipun kecil, kami akan dipukul. Ada juga pelajar yang melakukan kesalahan membawa rokok telah dipaksa untuk menghisap sekotak rokok sehingga habis,” katanya.

Menurut ibunya, Chan Sok Kim, 38, dia sama sekali tidak bersetuju apabila anaknya diperlakukan dengan kasar ketika mengikuti kursus berkenaan.

“Jika ada kem sebegini lagi, saya tidak akan menghantar anak saya untuk menyertainya. Saya tidak suka anak saya dipukul sesuka hati,” katanya.SH

Pokok terbakar jadi tanda tanya



BALING - Sebatang pokok di Kampung Banggol Ladang menimbulkan tanda tanya apabila dikatakan terbakar dengan sendirinya sehingga memaksa bomba dan pasukan sukarela bergegas memadamkan kebakaran.

Penduduk, Selvaraja Muniandy berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika dia berada di rumah.

“Jarak rumah saya dengan pokok itu hanya beberapa meter sahaja. Ibu mertua saya yang kebetulan datang ke rumah. memberitahu pokok di hadapan rumah terbakar.

“Keadaan bertambah pelik apabila kebakaran pokok itu hanya melibatkan kawasan dalam pokok. Pokok ini sudah tua, jadi memang ada bahagian pokok yang berlubang. Tetapi, saya hairan mengapa api hanya dalam lubang itu sahaja,” katanya.

Menurutnya, sekiranya kebakaran itu tidak dapat dikawal, kemungkinan perkara buruk akan berlaku.

“Kawasan pokok ini juga berdekatan dengan kawasan perumahan, sekiranya pokok ini terbakar dan tumbang, kemungkinan perkara yang lebih buruk akan berlaku.

“Disebabkan itu, saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang begitu pantas menghulurkan bantuan,” katanya.

Selvaraja berkata, pokok itu tidak menunjukkan sebarang tanda misteri sebelum ini

“Sudah lama saya duduk di kampung ini. Setakat ini saya belum pernah berhadapan dengan kejadian pelik yang melibatkan pokok ini. Ini merupakan kejadian pertama berlaku dalam hidup saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kemungkinan akan ada yang mengatakan k pokok itu terbakar akibat faktor cuaca yang panas.

“Saya akui cuaca yang terlalu panas mungkin akan menyebabkan kebakaran, tetapi, pokok ini bukan terletak di tempat yang terdedah pada cahaya matahari. Pokok ini berada di kawasan yang teduh.

“Selain itu, sebelum kejadian, saya juga tidak mendengar sebarang bunyi kilat yang turut sama boleh menyumbang kepada kebakaran ini. Kalau nak kata budak main mercun pun tidak, kerana jarang budak-budak bermain di hadapan rumah saya,” katanya.SH

Rumah dipukul ribut



SUNGAI MANIK - “Saya sempat melihat pusaran angin menuju ke arah rumah saya ketika sibuk menyiapkan juada berbuka puasa petang semalam (kelmarin),” Kata Zainon Md Din, 62 ketika menceritakan kembali detik cemas kejadian angin ribut yang melanda rumahnya.

Zainon berkata, pusaran angin itu dilihatnya ketika dia hendak menutup tingkap rumahnya kerana hujan renyai-renyai.

Menurutnya, dia hanya menyedari hampir separuh bumbung rumahnya diterbangkan dalam masa tidak sampai dua minit rumahnya dilanda angin ribut.

“Kejadian berlaku sekitar jam 4.30 petang dan ketika itu saya sedang memasak di dapur, manakala suami, Md Yusuf Saad, 66, sedang berehat di ruang tamu.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami berdua selamat daripada sebarang musibah akibat kejadian ini dan kami anggap ia sebagai dugaan kecil dalam Ramadan ini,” katanya.

Sementara itu, Md Yusuf berkata, dia hanya menyedari kejadian itu ketika mendengar bunyi bising yang datang daripada arah dapur.

Katanya, dia telah bergegas untuk melihat keadaan setelah mendengar bunyi itu dan terkejut melihat siling dan bumbung telah diterbangkan angin ribut.

“Saya dan isteri telah menyimpan barang kelengkapan rumah ke tempat yang lebih selamat dengan segera, dan ini sebenarnya kejadian kali ke tiga pernah kami alami sejak tahun 2007 dulu,” katanya.

Ketua Kampung Sungai Manik Kanan, Sulaiman Junai berkata, dia menerima panggilan daripada Md Yusuf sekitar jam 4.35 petang hari kejadian dan telah bergegas ke tempat kejadian.

“Kejadian ini juga telah saya maklumkan kepada pihak berkenaan termasuk Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik dan setakat ini, hanya sebuah rumah sahaja terjejas teruk dalam kejadian petang kelmarin.

“Saya dimaklumkan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) telah membuat lawatan ke rumah pasangan ini, hari ini (semalam) untuk membuat taksiran kerugian,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa wakil Ahli Parlimen Pasir Salak, Ramli Yusuf, Skuad Sayang Pasir Salak, wakil Badan Amal Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri Perak (Baiduri) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Salak, turut menghulurkan bantuan kepada keluarga ini,” katanya.SH

Tidak tahu dadah dalam beg'



ALOR SETAR - Seorang jurujual sebuah pasar raya di Indonesia dalam pembelaan di Mahkamah Tinggi Alor Setar, semalam, menafikan dia mengetahui bahawa terdapat ‘narkoba’ atau dadah di dalam beg pakaian pemberian rakannya.

:Nurul Jannah Muhammad Zain, 33, yang berasal dari Jakarta Selatan berkata, dia tidak berani membawa barang terlarang itu masuk ke negara ini jika mengetahui dadah berkenaan disembunyikan di dalam beg yang dibawanya.

Menurutnya, beg berkenaan adalah pemberian seorang rakan senegara bernama Ida, yang dikenali sejak 2006, dan turut berada di Kemboja sewaktu Nurul Jannah melancong seorang diri di sana.

“Saya mengenali Ida sewaktu sama-sama bekerja di pusat membeli belah di Indonesia. Sewaktu di Kemboja, saya menghubungi Ida kerana dia pernah memaklumkan dia ada di negara itu dan kami bertemu di hotel tempat saya menginap kira-kira 30 minit kemudian.

“Kami keluar membeli belah dan pulang ke hotel tempat saya menginap selepas itu. Sewaktu mengemas pakaian yang baru dibeli, saya berniat membeli beg besar tetapi Ida memaklumkan dia ada beg besar, keluar dan kembali kira-kira satu jam kemudian ke hotel itu bersama satu beg besar,” katanya.

Dalam pembelaan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Azman Husin, Nurul Jannah berkata, dia tidak memeriksa beg itu secara terperinci namun melihat terdapat pakaian milik Ida di dalam beg berkenaan.

“Di Kompleks Kastam (Bukit Kayu Hitam), saya meminta pegawai mengangkat beg saya untuk diletak pada mesin pengimbas dan ditanya mengapa beg saya berat, saya jawab saya tidak tahu.

“Saya disuruh mengeluarkan semua barang di dalam beg. Saya tidak tahu ada dadah disembunyikan di dalam beg itu,” katanya.

Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa raya Kastam Diraja Malaysia, Nurul Ezwaney Husin kemudiannya menimbulkan persoalan mengenai kekerapan Nurul Jannah masuk ke negara ini bermula 26 Februari 2010.

Menurutnya, gaji sebagai jurujual di pusat membeli belah iaitu Rp500,000 atau bersamaan kira-kira RM189, Nurul Jannah dapat melancong ke beberapa lokasi dengan kerap malah mampu menaiki pesawat.

Nurul Jannah dalam jawapan balasnya memaklumkan bahawa tiket penerbangan ke Kemboja pada 13 Mac 2010, dibeli Ida menggunakan wang teman lelaki Ida, malah dia juga mendapat wang yang dikirim suaminya, seorang warga Iran yang kini bekerja sebagai mekanik di Australia, untuk dia ke Kemboja pada 7 Mei 2010.

Nurul Ezwaney bagaimanapun mempertikaikan tindakan suami Nurul Jannah yang masih menghulurkan wang untuk Nurul Jannah melancong walaupun pada masa itu mereka berdua sedang dalam proses penceraian.

Nurul Jannah ditahan pada jam 9.20 malam, 11 Mei tahun lalu, di laluan pejalan kaki Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam kerana membawa dadah jenis syabu seberat 2.605 kilogram.

Tertuduh yang diwakili peguam S P Raman, didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang boleh membawa hukuman mati.SH

Buruh maut perut terburai



BAYAN LEPAS – Seorang buruh yang baru pulang dari kerja maut dalam keadaan perutnya terburai selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kenderaan yang sedang keluar dari persimpangan Jalan Permatang Damar Laut kelmarin.

Dalam kejadian kira – kira 7.40 malam, mangsa, Lye Hock Soon, 42, dikatakan dalam perjalanan dari Bayan Lepas ke Batu Maung sebelum merempuh kereta jenis Datsun yang berada di persimpangan itu.

Rempuhan itu menyebabkan mangsa melambung melepasi kereta berkenaan sebelum tercampak ke atas jalan sehingga menyebabkan perutnya terburai dan kecederaan parah di kepala.

Ketua Bahagian Trafik Daerah Barat Daya, Cif Inspektor Mohd Zin Mat Ali berkata, mangsa dikatakan baru pulang dari kerja di Batu Maung dan dalam perjalanan menuju ke rumahnya di Pulau Betong, Balik Pulau.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta terbabit mengalami cedera parah di bahagian kepala dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.

“Siasatan awal mendapati, penunggang terbabit melanggar kereta yang keluar dari persimpangan jalan itu.

“Kami sedang menjalankan siasatan berhubung punca kejadian berikutan pemandu terbabit masih belum sedarkan diri,” katanya.

Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.SH

Berang ditangkap hisap rokok



TAMPIN – Seorang lelaki berusia awal 40-an berang apabila ditahan semasa merokok dalam tandas di Stadium Mini Tampin oleh sepasukan kakitangan Bahagian Penguatkuasaan Pejabat Agama Islam Daerah bersama Unit Keselamatan Pejabat Daerah lewat petang, kelmarin.

Sinar Harian difahamkan, Stadium Mini Tampin itu bagaikan sudah menjadi lokasi buat mereka yang tidak berpuasa untuk melepaskan rasa haus, lapar dan merokok.

Ketua Unit Keselamatan Pejabat Daerah, Abdul Rahman Unus berkata, susulan insiden itu, Pegawai Daerah merangkap yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Tampin (MDT) mengarahkan agar lokasi berkenaan dikunci sepanjang Ramadan.

Menurutnya, pihaknya memandang serius mengenai kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam lebih-lebih lagi sekiranya mereka tidak menghormati Ramadan dan melanggar undang-undang syariah.

“Oleh itu, kita akan mempergiatkan lagi penguatkuasaan seumpama ini bagi memastikan umat Islam tidak sewenang-wenangnya bersikap kurang sopan dengan mencemari kesucian Ramadan,” katanya.

Lelaki yang ditahan berkenaan kemudiannya diberikan notis atas kesalahan mengikut Seksyen 15(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah atas kesalahan tidak menghormati Ramadan.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM500 atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, sekiranya tertangkap buat kali kedua, boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.SH

Maut dirempuh treler di lebuh raya



SEREMBAN – Seorang maut dan seorang lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah treler membawa muatan barangan gantian Honda dan sebuah motosikal Yamaha Lagenda di Kilometer 261.1, Lebuhraya Plus arah selatan pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, penunggang motosikal, Ahmad Amin Syakri, 47, meninggal dunia di tempat kejadian, sementara pembonceng, Abdul Hairil Abdul Sharif, 30, cedera parah.

Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa ketika itu berada di lorong kecemasan telah mengubah laluan ke lorong kiri secara tiba-tiba menyebabkan treler terbabit tidak sempat mengelak.

“Mangsa yang juga pekerja buruh landskap dipercayai dari arah Nilai ke Mambau, sementara treler terbabit dalam perjalanan dari Perlis ke Melaka.

“Bagaimanapun, pemandu treler tidak cedera dan dia ditahan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk tindakan selanjutnya.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.SH

Pesakit mental maut


KAJANG - Seorang wanita yang mempunyai masalah mental ditemui mati di Forest Green Condo, Bandar Sungai Long awal pagi kelmarin dipercayai terjun dari tingkat 12 bangunan berkenaan.

Mangsa Wong Phue Feng, 22, dikatakan pergi ke tingkat 12 bangunan berkenaan seorang diri sebelum ditemui mati kira-kira jam 7.15 pagi oleh pengawal keselamatan sebelum memaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abd Rashid Abd Wahab berkata, mangsa pada mulanya masih tidur semasa ibunya keluar untuk bersenam kira-kira jam 6.45 pagi.

“Ibu mangsa hanya mengetahui kejadian apabila dimaklumkan polis dan penduduk setempat setelah mangsa ditemui.

“Mangsa ditemui mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian rusuk dan mayat dihantar ke Hospital Serdang,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut akan dijalankan berhubung kes berkenaan.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan boleh menyalurkannya di talian 03-8736 2222 atau balai polis berhampiran.SH

Bapa, dua anak direman



KUALA LUMPUR – Bapa dan dua anak perempuan yang ditahan polis kelmarin direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes dera pembantu rumah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintenden Othman Abu Bakar berkata, mangsa, Neak Bau, 25, kini berada dalam jagaan sebuah badan bukan kerajaan, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WA0).

Menurutnya, bapa berusia 52 serta anaknya yang berumur 20-an itu dipercayai terlibat mendera pembantu rumah warga Kemboja itu berdasarkan kesan kecederaan dialami mangsa.

Beliau berkata, pihaknya sedang menanti laporan daripada hospital berhubung kecederaan yang dialami mangsa.

“Siasatan awal mendapati mangsa mempunyai kecederaan serta parut lama di bahagian muka dan pipi.

“Bagaimanapun, kita (polis) sedang menanti laporan hospital untuk mengetahui dengan lebih lanjut,” katanya pada sidang media di Balai Polis Kepong di sini semalam.

Menurutnya, mangsa mengadu dia diarahkan bekerja dari jam 8 pagi hingga 8 malam di rumah majikannya di Taman Sri Sinar, Segambut.

Malah katanya, mangsa mendakwa dia dibawa ke sebuah lagi rumah majikannya di Sungai Buloh untuk bekerja sehingga 1 pagi.

Othman berkata, mangsa juga mengaku sering dipukul, ditendang dan ditampar ketiga-tiga suspek itu.

Sinar Harian semalam melaporkan polis menahan ketiga-tiga suspek itu di rumah di Taman Sri Sinar, Segambut selepas menerima dua laporan daripada mangsa serta WAO berhubung kejadian dera itu.SH

Muslihat Koyak dan Menang



KUANTAN – Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) mengarahkan sebuah syarikat peralatan elektrik membayar sejumlah RM5,868 sebagai bayaran pampasan dalam masa 14 hari kepada seorang kakitangan kerajaan di sini.

Mangsa, Look Tiong Hoon, 44 berkata, dia terpedaya dengan muslihat Koyak & Menang yang diperkenalkan yarikat tersebut melalui satu pameran di sebuah pasaraya di sini sehingga menyebabkan dia melakukan dua transaksi kad kredit sebanyak RM5,868 tanpa sedar.

Menurutnya, dia yang dalam keadaan tergesa-gesa telah dipujuk oleh jurujual tersebut sehingga diberitahu telah memenangi cabutan bertuah bernilai RM200.

“Pada mulanya saya diberitahu memenangi sebuah gelas sahaja dan jurujual tersebut menyuruh saya mengoyak satu sampul dan tertera hadiah bernilai RM200 dan mendapat dua peralatan elektrik iaitu dapur gas dan set dapur.

“Seterusnya, dia mengatakan saya layak menerima tiga barang elektrik lagi dengan bayaran sebanyak RM2280,” katanya.

Namun, pada masa yang sama pula, dia diberitahu telah memenangi hadiah VIP dan untuk mendapatkan enam barang elektrik.

“Apabila rasa tidak sedap hati, lalu saya menelefon isteri saya mengatakan hadiah yang saya menangi dan bayaran sebanyak RM2280.

“Lalu isteri menyuruh saya batalkan kerana semua barangan tersebut ada di rumah kami dan tidak berjenama dan sejurus minta untuk batalkan, pihak syarikat tidak membenarkannya kerana transaksi telah dilakukan.

“Tanpa sedar, satu lagi transaksi bernilai RM2,988 berlaku dan saya pelik juga kerana hanya RM2,280 sahaja yang saya buat,” katanya.

Menyedari rasa tertipu Tiong Hoon telah membawa perkara ini ke TTPM dan bersyukur apabila kes ini berjaya diselesaikan oleh Presiden TTPM, Maznah Haron dengan wang dikembalikan.SH

RM19,000 lesap sekelip mata



KUANTAN - Dalam tempoh sejam, seorang kontraktor terpaksa berputih mata kehilangan wang tunai RM19,000 sekelip mata akibat kecuaiannya sendiri di Taman Desa Mawar,Muadzam Shah, semalam.

Kejadian yang berlaku di depan rumahnya menyaksikan wang tunai milik mangsa berusia 39 tahun di dalam keretanya lesap.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Superitendan Nordin Mustapha berkata, mangsa baru sahaja mengeluarkan wang tersebut dari sebuah bank kira-kira pukul 1 tengah hari telah pulang ke rumahnya untuk berehat sebentar sebelum meneruskan kerja.

Menurutnya, sejam kemudian pengadu keluar menuju ke keretanya yang diletakkan di luar pagar rumah.

“Sebaik keluar, mangsa terkejut apabila mendapati cermin tingkap kereta bahagian penumpang hadapan telah dipecahkan.

“Setelah membuat pemeriksaan, dia dapati beg yang mengandungi wang tunai RM19,000 miliknya telah hilang,” katanya ketika di temui di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa juga mendakwa tidak mendengar sebarang bunyi yang mencurigakan ketika dia berada di dalam rumah dan mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Rompin.

Nordin turut meminta orang ramai supaya sentiasa berwaspada terutama selepas mengeluarkan duit dari bank dan jangan sesekali meninggalkan barang berharga dalam kereta.SH

Kes kecurian selesai dua jam



JERANTUT – Niat untuk bergembira menjelajah Malaysia, bertukar menjadi pengalaman buruk apabila seorang pelancong asing dari Perancis, terpaksa berdepan detik cemas kehilangan barang berharga dalam satu kes kecurian lewat malam semalam.

Mangsa, Julie Dordilly,26, berkata, ketika kejadian sekitar jam 7.45 petang itu, dia sedang melayari internet di lobi sebuah hotel murah di Bandar Jerantut, manakala rakannya menonton televisyen.

Menurutnya, dia melakukan pembayaran pengguna internet bagi sejam pertama, namun ketika menyeluk poket beg bagi mengambil beg duit untuk pembayaran internet jam berikutnya, dia mendapati beg duitnya tiada.

“Puas kami mencari namun saya tidak berjumpa menyebabkan saya mengambil tindakan melaporkan kehilangan beg duit, duit, serta dokumen penting di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut.

“Sepatutnya saya ke Taman Negara hari ini (semalam), namun disebabkan kehilangan wang dan dokumen penting, saya terpaksa menangguhkan perjalanan,” katanya ketika ditemui media, di Bilik Gerakan IPD Jerantut semalam.

Julie berkata, kejadian kecurian yang menimpanya itu adalah pengalaman pertama dilalui, namun gembira atas kecekapan polis Jerantut yang tangkas menyelesaikan kesnya.

Menurutnya, dia amat gembira atas keprihatinan ditunjukkan PDRM yang bertungkus lumus mengesan suspek dan mendapatkan semula barangannya dalam tempoh dua jam dari waktu kejadian.

“Terima kasih kepada PDRM khususnya Jerantut yang berjaya menyelesaikan kes saya. Ini pengalaman pertama saya bekerjasama dengan polis Malaysia dan terharu atas kesungguhan mereka membantu pelancong luar seperti saya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintenden Zakaria Kassim berkata, kes kecurian membabitkan pelancong asing itu adalah kes pertama dicatatkan berlaku tahun ini, dengan suspek terlibat juga berjaya diberkas.

“Polis mengambil masa tiga jam untuk meneliti semula rakaman CCTV hotel tersebut dan dapat mengecam suspek yang tidak menutup muka, mengambil barangan dari beg mangsa yang diletakkan berdekatan mangsa.

“Hasil kepantasan anggota dan maklumat orang ramai, suspek berjaya diberkas di kediamannya sekitar jam 3.30 pagi bersama barangan yang dicuri,” katanya.SH

Ribut landa bazar Ramadan



FELDA SUNGAI KOYAN - “Keadaan tiba-tiba menjadi hingar bingar dengan tangisan kanak-kanak dan terdapat juga beberapa peniaga melaungkan azan bagi memohon kepada Allah supaya ribut segera berhenti.”

Demikian menurut peniaga sayur-sayuran, Norhazimah Hadi, 22, ketika menceritakan detik awal kejadian ribut di bazar Ramadan yang turut menempatkan pekan sehari, di sini.

Menurutnya, kejadian ribut dan hujan lebat itu kali pertama dialaminya sepanjang tempoh lebih 10 tahun berniaga dan ia tidak akan dapat dilupakan sehingga akhir hayat.

“Hujan lebat dengan angin kencang melanda tapak perniagaan sekitar jam 8.15 malam kelmarin dan berlarutan sehingga sejam setengah.

“Ketika itu saya lihat kebanyakan peniaga memegang payung dan kanopi masing-masing supaya tidak diterbangkan angin. Saya bersama adik-beradik yang lain turut bertindak demikian dan membacakan ayat suci al-Quran beramai-ramai supaya angin kencang tidak datang dan menerbangkan kanopi kami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Norhazimah berkata, akibat kejadian itu, berpuluh payung dan kanopi milik peniaga mengalami kerosakan teruk.



Peniaga tanggung rugi



Seorang peniaga ikan bakar, Zulhazrul Zaiha, 30, berkata, semasa ribut melanda, dia sudah pulang ke rumah bersama keluarga untuk berbuka puasa.

“Saya baru tiga hari memulakan perniagaan ikan bakar untuk menambah sumber pendapatan sempena kedatangan bulan Ramadan.

“Selepas berbuka puasa, angin kencang berserta hujan lebat melanda kawasan ini dan saya tidak sedap hati mengenangkan tapak perniagaan di bazar Ramadan,” katanya.

Zulhazrul berkata, sejurus selepas hujan reda, dia bergegas ke tapak perniagaan dan terkejut apabila melihat tiang kanopi miliknya patah dan diterbangkan angin.

“Saya mengalami kerugian sekitar RM300 kerana kanopi dan beberapa peralatan perniagaan rosak teruk dan tidak boleh diguna lagi.

“Hari ini (semalam) juga saya terpaksa menutup perniagaan untuk membersihkan kawasan sekitar dan bercadang untuk membeli kanopi serta beberapa barangan lain yang rosak,” katanya.



Tiada sebarang kecederaan



Seorang peniaga air minuman, Jafri Siteh, 44, berkata, walaupun kejadian ribut itu antara yang paling teruk melanda, namun mereka bersyukur kerana tiada kecederaan menimpa peniaga dan pembeli.

“Ketika kejadian, kebanyakan peniaga sudah pulang ke rumah masing-masing untuk berbuka puasa dan yang tinggal hanya peniaga pekan sehari.

“Sebab itu ramai peniaga tidak dapat menyelamatkan payung dan kanopi dari diterbangkan angin kencang,” katanya.

Jafri berkata, kanopi miliknya turut diterbangkan angin dan masuk ke dalam longkang, namun nasibnya baik kerana besi khemah berkenaan tidak patah serta boleh digunakan semula.

“Hampir setiap tahun menjelang Ramadan saya akan menjual air minuman dan kejadian ribut itu merupakan peristiwa paling teruk melanda kawasan ini hingga mengakibatkan ramai peniaga mengalami kerugian kerana banyak peralatan rosak.

“Saya menganggap peristiwa ini sebagai dugaan Allah dan kami semua bersyukur tiada sebarang kecederaan dialami peniaga mahupun pengunjung,” katanya.sh

Warga emas merangkak keluar selamatkan diri



KUALA TERENGGANU- Seorang wanita warga emas terpaksa merangkak keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri daripada dijilat api dalam satu keja-dian kebakaran di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal, malam kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa, Nik Fatimah Embong, 62, hanya mampu merangkak kerana terlalu cemas dan tidak mampu untuk bangun apabila melihat pelita yang dipasangnya ketika hendak membaca Al-Quran secara tiba-tiba menyambar kain langsir lalu memusnahkan rumah papan miliknya dalam sekelip mata.

Katanya, sebelum kejadian, dia baru memulakan bacaan ayat suci Al-Quran di dalam bilik tidurnya selepas solat Maghrib dengan menggunakan pelita dan tiba-tiba kain langsir terkena pada api pelita itu.

“Kejadian berlaku begitu pantas, sebaik terkena kain langsir api terus menyambar dinding dan merebak ke bahagian lain.

“Saya terus menjerit meminta tolong dan ketika itu, anak lelaki saya yang masih berada di rumah membawa air untuk memadamkan api itu tetapi gagal,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Nik Fatimah berkata, tunai RM3,000 diterima dua minggu lalu hasil pampa-san kemalangan serta wang zakat RM350 baru diterima dan barangan kemas bernilai RM2,500 miliknya turut musnah.

“Saya sedih kerana semua wang yang disimpan untuk persiapan menyambut hari raya pada tahun ini langsung tidak dapat diselamatkan termasuklah baju raya dan kad pengenalan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Mohd Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.44 malam dan setibanya di tempat kejadian, rumah papan itu sudah musnah dijilat api.

Katanya, pihaknya dapat mengawal keadaan dalam masa enam minit dan semua mangsa dilaporkan selamat manakala punca kejadian masih dalam siasatan.SH

Guru maut ketika jemput isteri



SUNGAI TONG – Seorang guru, Ahmad Yusrizal Yusuf, 33, maut apabila kereta Perodua Viva yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki minyak sawit dalam kejadian pada jam 1.25 petang kelmarin di Kilometer 42, Jalan Kuala Terengganu ke Kota Bharu di Sungai Tong.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani berkata, kejadian yang berlaku itu disebabkan pemandu Perodua Viva gagal mengawal keretanya ketika ingin memotong kereta di hadapannya sebelum bertembung dengan lori tangki minyak.

“Berdasarkan siasatan, lori tangki minyak yang datang dari arah kilang sawit di Sungai Tong menghala ke Kota Bharu tidak dapat mengelak kereta Perodua Viva yang tiba-tiba memasuki laluan bertentangan walaupun ketika itu lori terbabit sudah hampir.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, Perodua Viva itu melanggar lori terbabit sehingga menyebabkan bahagian depan kereta remuk teruk dan lori tangki minyak itu terbabas ke kanan jalan.

“Pemandu kereta terbabit mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan manakala pemandu lori yang berusia 50 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Rohaizat berkata, selepas kemalangan itu, pemandu lori tangki telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, menurut rakan mangsa yang enggan dikenali, mangsa merupakan seorang guru dan mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Langkap dalam perjalanan pulang dari sekolah untuk mengambil isterinya yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tong.

“Mangsa yang tinggal di Tok Jiring, Kuala Terengganu sentiasa menggunakan laluan ini untuk berulang-alik pada setiap hari dan saya tidak menyangka ajalnya hari ini (kelmarin) walaupun jarang berjumpa mangsa.

“Saya mendapat maklumat ini setelah dihubungi rakan yang menyatakan Cikgu Mat (panggilan mesra untuk arwah) terlibat dalam kemalangan dan ketika sampai, saya terkejut melihat keadaan mangsa yang cedera parah di bahagian muka dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanyaSH

Suspek kes lelaki disimbah asid ditahan



KOTA BHARU - Polis Kelantan semalam, menahan seorang suspek bagi membantu siasatan kes seorang lelaki disimbah asid di hadapan sebuah kedai runcit di Taman Uda Murni Pengkalan Chepa, malam kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata, lelaki dipercayai seorang peniaga ditahan kira-kira jam 4.30 petang semalam di sekitar bandar Kota Bharu.

“Kes disiasat di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaaan kerana menyebabkan kecederaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar anak anggota yang mendapat kejayaan cemerlang dalam pelajaran tahun lepas di sini, semalam.

Kelmarin akhbar tempatan melaporkan mengenai mangsa, Faizal Halim Rustam, 37, yang mengalami kecederaan parah selepas disimbah asid dalam perjalanan ke sebuah masjid untuk menunaikan solat tarawih.

Mangsa dikatakan singgah di sebuah kedai bagi membeli minuman dan menatap sebuah akhbar dan hanya menyedari badannya disimbah cecair yang dipercayai asid apabila muka dan badannya terasa panas dan pedih seolah-olah terbakar.SH

Dua beradik trauma



KOTA BHARU- Malang menimpa dua beradik, apabila mereka diragut oleh dua pemuda yang juga menaiki motosikal di Jalan Salor-Pintu Geng di sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, menyebabkan motosikal yang ditunggang oleh mangsa Siti Farizat Mustapha, 22, bersama kakaknya, Siti Sarina Mustapha, 23, hilang kawalan dan terseret sehingga menyebabkan kedua-keduanya mengalami kecederaan pada muka dan badan.

Ketika kejadian, Siti Sarina, membonceng motosikal yang ditunggang adiknya, menuju ke Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi menjalani latihan praktikal di stesen terbabit.

Siti Sarina berkata, dia tidak menyedari diekori oleh dua lelaki dari arah belakang sehinggalah kedua-dua suspek terbabit meragut salah satu beg tangan dalam raga motosikal yang dinaikinya itu.

“Ketika sampai hanya beberapa meter dari bangunan RTM berkenaan, dua lelaki menghampiri kami dan terus merentap beg dari arah belakang dan menyebabkan motosikal yang ditunggang adik saya hilang kawalan.

“Saya cuba berteriak menyuruh adik saya berhenti lalu adik saya membrek secara mengejut sehingga menyebabkan kami jatuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Sarina berkata, adiknya cedera muka dan tangan manakala dia hanya cedera bahagian mata.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Assistant Komisioner Azham Othman, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 sebagai jenayah samun.

“Kedua-dua suspek dipercayai memecut motosikal melarikan diri ke arah jalan Salor-Wakaf Che Yeh.

“Setakat ini kita masih menjalankan siasatan berhubung kes terbabit,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Zaid Ahmad, berkata, adik mangsa di tempatkan di Wad 28 dan kini dilaporkan stabil.SH

Bapa pertikai sijil nikah Nabilah

MELAKA 4 Ogos – Bapa Nabilah Ashazra Azlan, atlet pelapis penembak wanita kebangsaan yang didakwa dilarikan lelaki beristeri dua mempertikaikan kesahihan sijil pengesahan nikah anaknya yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Pattani.
Menurut Azlan Maidin, 53, timbul kekeliruan kerana Nabilah, 20, dan Mohd. Sophee Yaakob, 44, didakwa bernikah pada 12 November 2010 tetapi sijil pengesahan pernikahan dikeluarkan pada 12 Jun lalu.
Katanya, sijil berkenaan berjaya diambil oleh dua anaknya ketika cuba menyelamatkan Nabilah di rumah bapa Mohd. Sophee di Kampung Kor, Lorong Kubur, Kota Bharu pada 29 Julai lalu.
“Saya tidak pasti sama ada mereka benar-benar bernikah atau sebaliknya. Bagaimanapun, saya reda untuk menerima hakikat jika benar Nabilah sudah bernikah dengan Mohd. Sophee,” katanya ketika ditemui di rumahnya di C8012, Batu Hampar, Jalan Peringgit di sini hari ini.
Azlan semalam mendakwa anak keempatnya itu yang akan beraksi di Sukan SEA Palembang, November ini, dilarikan seorang lelaki yang sudah mempunyai dua isteri.
Menurutnya, Nabilah yang mewakili Melaka dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) XIII Melaka tahun lalu ditahan di rumah keluarga lelaki itu di Kampung Kor, Lorong Kubur Kota Bharu, Kelantan.
Sementara itu, Azlan merayu kepada pasangan terbabit agar pulang ke rumah di Melaka bagi menyelesaikan segala kemelut yang melanda.
“Jika mereka tidak bernikah lagi, biarlah kita uruskan dengan sempurna mengikut adat dan peraturan. Mohd. Sophee tidak perlu lagi melarikan diri membawa Nabilah tak tentu hala,” ujarnya.
Bagi Azlan, apa yang penting masa depan Nabilah yang masih muda dan cerah dalam sukan menembak tidak wajar dimusnahkan begitu sahaja.utusan

Polis kenal pasti identiti mayat dikerat

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Penemuan anggota badan manusia yang dikerat-kerat di dalam mangkuk tandas dan beg plastik di sebuah rumah di Apartmen Astaria di Taman Kosas, Ampang, semalam, dikenal pasti sebagai mayat seorang wanita dewasa dan kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, identiti kedua-dua mayat itu dikenal pasti hasil bedah siasat yang dijalankan pihak hospital.
“Mayat ditemui merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan 5 hingga 6 tahun di dalam beg plastik. Satu lagi mayat ialah seorang wanita dewasa yang anggota badannya dikerat.
“Polis telah mengambil cap jari wanita dewasa berkenaan untuk semakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Amiruddin, polis bagaimanapun masih lagi menunggu laporan penuh untuk mengenal pasti bangsa dan identiti kedua-dua mayat berkenaan.utusan

Ibu terkejut pemuda tidur bersama anak gadis



KUALA LUMPUR 4 Ogos - Seorang ibu tunggal terkejut apabila menemui seorang pemuda dalam bilik tidur anak gadisnya yang berusia 14 tahun semasa mahu mengejutkan anaknya itu bangun bersahur, awal pagi semalam.
Wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci itu tinggal bersama tiga anaknya termasuk anak sulungnya itu di rumah mereka di Hulu Langat dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, pada pukul 5 pagi semalam, wanita itu masuk ke bilik tidur anak gadisnya itu untuk mengejutnya supaya bangun bersahur.
"Dia bagaimanapun terkejut apabila melihat ada seorang pemuda tidur bersama anaknya dan apabila ditanya, suspek mengaku sebagai teman lelaki anak gadisnya.
"Suspek warga Indonesia berusia 21 tahun itu juga mengaku melakukan hubungan seks dengan pelajar tingkatan dua tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ab. Rashid berkata, suspek yang bekerja sebagai pelayan restoran dipercayai memasuki bilik gadis terbabit semasa ahli keluarga lain sudah tidur.
Katanya, suspek bagaimanapun tertidur keletihan sehingga tidak sedar ibu kekasihnya memasuki bilik untuk membangunkan anaknya bersahur.
Beliau berkata, kejadian itu kemudian dilaporkan oleh wanita terbabit kepada polis pada hari sama dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol memandangkan anak mangsa masih di bawah umur.
Katanya, remaja terbabit sudah dihantar menjalani pemeriksaan di hospital dan polis sudah mengenal pasti suspek.
utusan

Remaja ditahan curi wang pelancong Perancis

JERANTUT 4 Ogos - Hanya lapan jam selepas mencuri wang dan dokumen perjalanan milik seorang pelancong warga Perancis dari sebuah hotel bajet di sini semalam, suspek yang merupakan remaja berusia 18 tahun berjaya diberkas polis.
Kejadian pada pukul 7.45 petang itu berlaku ketika mangsa, Julie Dordilly, 26, melayari Internet di lobi hotel bajet terbabit dan hanya menyedari mengenai kehilangan itu ketika hendak membuat pembayaran.
"Puas saya mencari di semua tempat termasuk di bilik hotel dan dalam beg selain bertanyakan rakan, namun hampa.
"Dalam keadaan cemas memikirkan wang dan dokumen penting lesap, saya melaporkannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPD Jerantut, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Supritendan Zakaria Kassim dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Jerantut, Asisten Supritendan Tey Kong Seng.
Menurut Dordilly, dia sepatutnya berlepas ke Taman Negara, Kuala Tahan dekat sini hari ini, namun terpaksa menangguhkannya disebabkan insiden itu.
"Saya amat berterima kasih kepada anggota polis yang bertungkus-lumus mengesan suspek dan mendapatkan semula wang serta dokumen penting," tambahnya.
Zakaria berkata, pihaknya berjaya memberkas suspek dengan bantuan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang hotel berkenaan.
"Kita mengambil masa tiga jam untuk meneliti rakaman CCTV itu dan berjaya mengecam suspek yang tidak menutup muka sedang mengambil barangan daripada beg pelancong berkenaan yang terletak berdekatan mangsa," katanya.
Katanya, hasil siasatan, suspek diberkas di rumahnya pada pukul 3.30 pagi tadi bersama barangan yang dicuri iaitu wang tunai berjumlah RM308 dan kad visa milik pelancong terbabit.
"Suspek ditahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri dalam bangunan," katanya.utusan

Sempat pesan ikan bakar sebelum ditemui mati



Kawasan tempat tinggal Rohani Kassim yang ditemui mati di pangsapurinya dipercayai dibunuh di Ipoh, semalam.


IPOH 4 Ogos - Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, Dr. Rohani Kasim, sempat memesan ikan bakar sebagai juadah berbuka puasa semalam, sebelum ditemui mati dipercayai dibunuh di pangsapuri miliknya, awal pagi tadi.
Seorang bekas rakan sekerjanya, Roslizan Nikmat, 45, berkata, Rohani, 38, memesan kepadanya agar membelikan juadah tersebut untuk berbuka puasa semalam.
Menurut Roslizan, kali terakhir dia menerima panggilan daripada mangsa adalah pukul 4.15 petang sebelum gagal menghubunginya sekitar pukul 7.30 petang ke 8.30 malam.
"Saya ke rumahnya dalam pukul 7.15 petang untuk menghantar juadah itu tetapi apabila pintu diketuk, tidak berjawab. Saya kemudian menyangkutkan makanan itu di pintu di luar rumah mangsa.
"Tetapi, saya tidak sedap hati apabila melihat tingkap di luar dalam keadaan terbuka. Saya ada bertanyakan dua lelaki yang lalu di situ dan mereka kata mungkin dia (Rohani) keluar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, kakak mangsa, Ruzaina Kasim, 41, berkata, kali terakhir Rohani pulang ke kampung iaitu di Kampung Parit Haji Ali, Bagan Serai, ketika menyambut hari pertama berpuasa iaitu Isnin lalu.
Menurut Ruzaina, ketika itu, anak ketujuh daripada 10 beradik itu ada menceritakan bahawa rumahnya dipecah masuk kira-kira dua minggu lalu dan mengakibatkan kerugian sebanyak RM15,000.
"Dia (Rohani) memang tinggal seorang, kami memang hendak menjenguknya tetapi tidak sempat lagi kerana dia kata mempunyai banyak kerja dan jarang bersembang mengenai hal peribadi.
"Dia ada mengatakan sibuk menguruskan kes bantahan kumpulan penternak daging segar di Taiping berikutan notis Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri yang menguat kuasa larangan penyembelihan lembu bunting dan masih produktif," katanya.
Ibunya, Sharifah Razali, 72, pula berkata, Rohani tidak menunjukkan sebarang perubahan sehingga kembali ke Ipoh pada Isnin lepas selepas sahur bersama.
Menurut Sharifah, dia yang diberitahu mengenai kematian anaknya pagi ini, bergegas ke Ipoh untuk menuntut jenazah Rohani tanpa ditemani suaminya, Kasim Idris, 76, yang mengalami sakit usus.utusan

Badan bayi dalam tong sampah




TONG sampah di Pangsapuri Tun Seri Lanang di mana mayat bayi tanpa kepala dibuang dipercayai dibuang oleh seorang gadis di Melaka, semalam.


MELAKA 4 Ogos - Tindakan pantas seorang doktor Hospital Melaka (HM) melaporkan kepada polis tentang kelahiran bayi yang disembunyikan oleh seorang gadis, membawa penemuan mayat bayi perempuan berusia enam bulan tanpa kepala, semalam.
Lebih malang bayi itu ditemui dalam tong sampah setelah dibuang gadis tersebut di Pangsapuri Tun Seri Lanang, Pangkalan Rama di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, gadis berusia 24 tahun yang ditemani ibunya menemui doktor berkenaan selepas mengalami pendarahan agak serius pada pukul 6 petang.
Menurutnya, selepas diperiksa, doktor terbabit mengesyaki gadis itu telah melahirkan anak dan memaklumkan kepada polis tentang kejadian tersebut.
"Ekoran laporan itu, polis menyoal siasat gadis terbabit dan dia memberitahu telah melahirkan bayi secara songsang secara sendirian di rumahnya di pangsapuri.
"Namun disebabkan panik kerana bayi tersebut dilahirkan tanpa kepala, dia membuang bayinya itu dalam tong sampah di luar pangsapuri," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Setakat ini, kata beliau, kepala bayi perempuan tersebut masih belum ditemui.
Ujarnya, wanita itu yang masih dalam rawatan di HM akan disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi.utusan

Awas 'Datuk palsu' cuba tarik pelaburan haram



KUALA LUMPUR 4 Ogos - Seorang lelaki dikesan menggunakan gelaran Datuk palsu untuk memperdaya orang ramai supaya melabur dalam syarikatnya yang menjalankan perniagaan pesisir pantai, beroperasi di Wilayah Persekutuan Labuan dan Lembah Klang.
Lelaki berusia lingkungan 50-an itu mendakwa gelaran Datuk Kehormat diperoleh dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta diberi lesen untuk memperdagangkan mata wang asing sebanyak AS$30 bilion (RM89 bilion) untuk dibawa masuk ke dalam negara.
Menurut sumber, dianggarkan sejumlah RM900,000 dana dipercayai berjaya dikumpul daripada orang ramai sejak syarikat itu mula aktif Mac lalu.
Bekas pegawai polis itu dikatakan cuba meraih kepercayaan orang ramai dengan pengalaman kerjayanya yang lalu selain mempamerkan cek bernilai jutaan ringgit sebagai modal perniagaannya itu.
"Modus operandi penipuan yang dilakukannya adalah dengan menunjukkan surat-surat rasmi beberapa agensi termasuk PDRM, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia kepada orang ramai bagi meyakinkan yang pelaburan mereka selamat dan terjamin.
"Bagaimanapun, jika diteliti surat-surat yang dikemukakan hanya surat permohonan lesen untuk memperdagangkan mata wang asing ke dalam negara," kata sumber itu.
Tambahnya lagi, lelaki itu menawarkan dividen dan pulangan lumayan hasil pelaburan tersebut yang kononnya bakal dinikmati tahun depan.
"Individu tersebut turut mempamerkan senarai pengarah dan pemegang saham daripada tujuh syarikat bagi meyakinkan orang ramai.
"Bagaimanapun, undang-undang jelas menunjukkan tiada pemberian lesen memperdagangkan mata wang asing diberi kepada syarikat sendirian berhad.
"Lesen tersebut hanya diberi kepada bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan," katanya.
Turut difahamkan, ahli perniagaan tersebut memiliki rekod lampau selepas ditahan Jabatan Imigresen kerana menjalankan agensi pembantu rumah asing menggunakan nama syarikat sama pada 1994.utusan

Tengkorak belum dapat dikenal pasti



KUALA LUMPUR 4 Ogos - Polis masih belum dapat mengenal pasti identiti pemilik tengkorak dan tulang yang ditemui dibuang di tepi jalan di Taman Lingkaran Nur, Jalan Lingkaran Nur 1/5, Kajang, dekat sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, usaha untuk mengenal pasti identiti mangsa melalui ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) tidak dapat dilakukan kerana tengkorak dan tulang yang ditemui sudah terlalu lama.
Beliau berkata, polis juga berusaha mengesan identiti mangsa melalui alamat didaftar pada sebuah motosikal yang ditemui di tempat kejadian tetapi turut menemui jalan buntu kerana pemiliknya sudah berpindah sejak setahun lalu dan tiada jiran mengetahui alamat terbarunya.
"Polis kini sedang berusaha mengesan identiti mangsa dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Kita harap JPJ dan KWSP ada menyimpan rekod individu yang memiliki motosikal terbabit dan sedang menyiasat kemungkinan ia berkaitan dengan penemuan tengkorak serta tulang tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 25 Julai lalu, penduduk di Taman Lingkaran Nur, gempar apabila menemui tengkorak dan seketul tulang manusia dibuang di tepi jalan.
Polis yang dimaklumkan kes tersebut segera pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan menemui sebuah motosikal jenis Honda yang sudah dileraikan di dalam gaung kira-kira 20 meter dari tempat tengkorak dan tulang ditemui.
Anggota polis forensik yang menjalankan siasatan percaya tulang dan tengkorak yang ditemui itu adalah milik individu berusia lingkungan belasan tahun.utusan

Tauke kek lapis samak peralatan


KUCHING: Tidak sampai 24 jam selepas menerima arahan Majlis Islam Sarawak (MIS), beberapa pengusaha kek lapis di negeri ini yang menggunakan mentega Golden Churn disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi, mula menyamak semua peralatan dan kelengkapan mereka, semalam.
Pengusaha kedai kek lapis Di Wannie Cake di Satok, antara yang pertama mengambil tindakan menyamak semua peralatan dengan menggunakan air tanah liat di premis perniagaan mereka sambil dipantau pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) pada kira-kira jam 8 pagi.

Pegawai Unit Pembangunan Halal Jais, Mohamad Sanusi berkata, pemilik Di Wannie Cake tampil secara sukarela bagi melakukan proses menyamak walaupun premis berkenaan pernah melakukannya sebelum ini.

“Semua pengusaha kek lapis yang mendapat pengiktirafan halal perlu melakukan proses menyamak terhadap semua peralatan dan kelengkapan menyediakan kek berkenaan. “Ia adalah peraturan yang ditetapkan ketika memohon status halal produk mereka.

“Semua pengusaha perlu melaporkan kepada Jais untuk menyamak dan kami akan menghantar wakil bagi menyaksikan proses berkenaan. Ia bagi memudahkan wakil Jais membuat pengesahan, sekali gus melanjutkan pengesahan sijil halal pada masa depan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan pengusaha kek lapis di Sarawak belum memiliki sijil halal dan mereka beroperasi secara kecil-kecilan atau berkumpulan di rumah dan tidak mempunyai premis tetap.


Harian Metro semalam melaporkan, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman mengarahkan pengusaha pernah menggunakan mentega berkenaan supaya menyamak serta menghapuskan stok berikutan terdapat DNA babi dalam mentega itu.

Mohamad berkata, setakat ini, hanya dua pengusaha kek lapis mempunyai status halal dan masih sah iaitu Di Wannie Cake dan Kek Lapis Sarawak Maria, manakala kek lapis Rabiah Amit dan Mariam dalam proses untuk diperbaharui.

“Apa yang dibimbangkan ialah pengusaha kek lapis persendirian di kampung kerana mereka sepatutnya melakukan proses sama (menyamak semua peralatan) seperti dilakukan premis mempunyai status halal.

“Jais sedia memberikan nasihat kepada mereka termasuk membantu melakukan proses menyamak mengikut hukum syarak ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, pemilik Di Wannie Cake, Zoraidah Leen berkata, pihaknya tampil secara sukarela kerana berpendapat adalah lebih baik proses menyamak dilakukan segera daripada terpaksa menanggung kerugian bagi tempoh jangka panjang.

“Pihak kami memberhentikan penggunaan mentega berjenama itu sejak April lalu selepas mendapat tahu laporan dari Johor yang mengatakan ia haram sebelum melakukan proses menyamak peralatan.

“Bagaimanapun, Jais memaklumkan proses menyamak harus dilakukan dengan kehadiran pegawai mereka, jadi hari ini kami melakukan proses sama bagi mengelak was-was.” katanya.hmetro

3 dicekup kurang 13 jam mayat ditemui

IPOH: Tiga daripada lima suspek yang disyaki terbabit dalam pembunuhan kejam Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Vaterinar Perak, Dr Rohani Kasim, 38, diberkas polis kurang 13 jam selepas mayat mangsa ditemui.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi semalam, Rohani yang masih bujang, dicekik sehingga mati sebelum pembunuh membalut mayat mangsa di dalam selimut tebal sebelum mengusungnya keluar rumah mangsa.

Suspek disyaki mahu membuang mayat mangsa di lokasi lain bagi mengelakkan jenayah itu dikesan.

Bagaimanapun cubaan dua suspek terbantut selepas perbuatan mereka mengusung tilam berisi mayat disedari pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan kira-kira jam 4.30 pagi menyebabkan mereka melarikan diri.

Kaki terjulur atas tangga


IPOH: “Saya mengucap panjang melihat kaki manusia terjulur dari gulungan selimut ‘toto’ ditinggalkan di atas tangga bertentangan pintu rumah,” kata Azlina Abu Talib, 33.
Azlina jiran kepada Dr Rohani Kasim, 38, ditemui mati dicekik di kediamannya di tingkat satu Pangsapuri Permai Lake View di Tambun, dekat sini, awal pagi semalam.

Azlina berkata, dia menyedari kejadian itu kira-kira jam 3 pagi semalam, selepas kecoh di luar rumahnya di tingkat bawah ketika bangun untuk bersahur.

“Saya terkejut mendengar bunyi bising dari arah tangga bertentangan pintu rumah saya dan keluar untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Saya seperti tidak percaya apabila diberitahu pengawal keselamatan di pangsapuri terdapat mayat di atas lantai tangga menuju ke tingkat bawah, betul-betul di hadapan kediaman saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, dia memberanikan diri naik ke tangga untuk melihat balutan tilam didakwa mengandungi mayat wanita itu dan terkejut apabila mendapati kaki manusia terjulur dari dalam tilam itu.

“Saya diberitahu pengawal keselamatan bertugas ternampak kelibat dua lelaki mengusung balutan tilam berkenaan ketika melakukan rondaan.

“Namun, suspek mencampak tilam itu ke lantai tangga sebaik menyedari kehadiran pengawal berkenaan. Dua lelaki itu melarikan diri melalui tingkap rumah berhampiran yang tidak berjeriji sebelum menuju ke arah sebuah kereta dipandu seorang lelaki tidak dikenali,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui seorang lelaki menetap di pangsapuri itu ditahan sejurus polis dimaklumkan kejadian itu. Azlina berkata, dia baru mengenali mangsa yang berpindah ke pangsapuri ini awal bulan lalu dan tidak sangka kejadian ngeri itu menimpanya.

Dia berharap polis memberkas segera penjenayah itu bagi mengelakkan penduduk dihantui ketakutan.
hmetro

Jauhi Diana!


KUALA LUMPUR: “Saya terkejut sejurus dihubungi orang yang tidak dikenali dan mengugut mahu mencederakan saya, selain meminta saya menjauhkan diri daripada Diana Danielle,” kata pelakon dan pengarah, Farid Kamil, 30.
Farid berkata, dua minggu lalu dia mendapat lapan panggilan telefon daripada lelaki misteri yang mengugutnya menjauhkan diri daripada kekasihnya iaitu Diana, 19, malah turut dihamburkan dengan perkataan tidak elok.

“Saya mengesyaki individu yang membuat ugutan itu mengenali saya dan Diana, namun saya sudah serahkan segala-galanya kepada polis yang kini sedang menjalankan siasatan,” katanya.

Farid membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak berhubung kejadian itu.

“Perkara yang paling penting sekarang adalah keselamatan kami. Saya bersyukur kerana lelaki itu hanya memberikan amaran daripada mereka terus menyerang kami secara fizikal.

“Buat masa ini saya harus berhati-hati untuk ke mana-mana saja terutama di kawasan yang sunyi. Sebelum ini kehidupan saya mungkin selamat untuk ke mana-mana, namun sejak kejadian itu saya harus berjaga-jaga,” katanya.



Farid yang juga pengarah filem Kongsi berkata, dia tidak mahu menganggap perkara itu, sesuatu yang serius sehingga membataskan pergerakannya, sebaliknya mengambil langkah waspada.

“Selain diminta jangan kurang ajar dan mahu mencederakan saya suspek turut mendakwa tahu di mana tempat tinggal saya,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian itu, dia menghubungi Diana dan meminta kekasihnya itu supaya lebih berhati-hati.
hmetro

3 murid ditahan

ALOR SETAR: Polis menahan tiga murid sebuah sekolah tahfiz di Kuala Pegang, Baling kerana disyaki memukul, mendera dan meliwat tiga murid junior sekolah berkenaan sejak sebulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Abdul Rahim Abdullah, berkata semua suspek ditahan di surau sekolah tahfiz berkenaan kira-kira jam 2 pagi, Selasa lalu.

“Berdasarkan laporan ibu bapa mangsa pada 30 Julai lalu, kami menjalankan siasatan dan menahan ketiga-tiga suspek terbabit di surau tahfiz itu.

“Kami menahan mereka berikutan aduan bapa mangsa berhubung anaknya berusia sembilan tahun dipercayai diliwat, dipaksa melakukan seks oral dan didera tiga pelajar senior berusia 12 tahun.

“Berikutan itu, murid berkenaan terlantar di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, ketiga-tiga pelajar terbabit ditahan ketika menjalankan aktiviti keagamaan di sekolah tahfiz berkenaan, tetapi mereka dibebaskan sementara dengan jaminan polis kerana masih di bawah umur. “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii,” katanya. Semalam Harian Metro melaporkan seorang bapa kesal dengan tindakan tiga pelajar senior sebuah sekolah agama di Baling yang mendera dan meliwat tiga murid berusia sembilan tahun dan sepasang kembar berusia lapan tahun sejak 20 Jun lalu.hmetro

Curi kereta lebih RM1j

KUALA LUMPUR: Satu sindiket curi kenderaan dikenali ‘Geng Ah Hong’ yang aktif mencuri pelbagai kenderaan membabitkan nilai lebih RM1 juta tumpas selepas diberkas polis.
Difahamkan, hasil penahanan kumpulan dianggotai tiga lelaki itu, polis turut berjaya merampas 17 kereta pelbagai jenis.

Geng Ah Hong itu diberkas polis pada 27 Julai lalu secara berasingan di sekitar Kuala Lumpur selepas polis menerima maklumat berhubung kegiatan mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar berkata, hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif menjalankan kegiatan curi kenderaan Disember 2010.

“Kumpulan berkenaan diketuai lelaki dikenali sebagai Ah Hong berusia 35 tahun dikesan akan mencuri sesebuah kereta yang disasarkan sebelum komponennya dileraikan untuk dijual di pasaran gelap.

”Bertindak atas laporan polis yang dibuat mangsa, polis menjalankan siasatan lanjut sebelum berjaya mengesan sindiket berkenaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Othman berkata, hasil siasatan sekumpulan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, ketiga-tiga suspek berusia antara 36 hingga 41 tahun ditahan di beberapa kawasan berasingan.
Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu ialah membuat kunci pendua berdasarkan tempat kunci pada but kereta.
Menurutnya, pihaknya berjaya menemui semula 17 kereta pelbagai jenis antaranya Proton Waja, Wira, Kia Citra, Kia Spectra dan Nissan Vanette.

“Kami percaya sindiket berkenaan sudah mencuri lebih 30 kereta di Lembah Klang sebelum meleraikan komponen dan dijual di kedai alat ganti kereta dan aksesori.

“Berikutan peningkatan kes curi kenderaan di daerah Sentul, polis kini sedang berusaha mengesan kegiatan sindiket lain yang mungkin terbabit dalam kes kecurian kenderaan,” katanya.

Othman berkata, dua daripada tiga suspek itu didapati memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kenderaan, pecah rumah dan dadah.

Menurutnya, ketiga-tiga mereka ditahan reman hingga Sabtu ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Gantung diri lepas isteri mahu lari

KANGAR: Akibat tembelang mempunyai skandal dengan wanita lain, seorang lelaki bertindak nekad menggantung diri sebuah bilik sewa di Taman Bukti Kaya, di sini, akibat kecewa selepas isteri keduanya mahu melarikan diri, semalam.
Mayat mangsa, P Surendran, 29, yang berasal dari Sungai Petani itu ditemui dalam bilik sewa oleh isteri keduanya, M Rajaspery, 32, selepas dia pulang ke rumah berkenaan untuk mengambil pakaiannya.

Rajaspery berkata, dia sudah tiga tahun berkahwin dengan suaminya, namun tidak mengetahui lelaki itu sudah beristeri menyebabkannya melarikan diri ke sini kira-kira dua bulan lalu.

“Kami bergaduh pada Selasa lalu mengenai masalah rumah tangga dan mahu mencari jalan penyelesaian terbaik, namun suami enggan dan memukul saya.

“Akibat itu, saya tinggal di rumah rakan manakala suami tinggal di bilik sewa saya sejak semalam (kelmarin), tetapi tidak sangka dia menggantung diri di dalam bilik itu ketika pulang mengambil pakaian, pagi tadi (semalam),” katanya.

Katanya, dia menghubungi polis bagi memaklumkan perkara berkenaan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Noordin berkata, mayat lelaki terbabit dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kencing dalam mulut

SUNGAI PETANI: “Depa (tiga pelajar senior) melakukan seks bahagian belakang menyebabkan saya berasa sakit dan mahu menjerit, tetapi depa tutup mulut saya dengan tangan, selain diberi amaran tidak melaporkan kejadian kepada ibu bapa.”
Begitu kata murid yang mahu dikenali sebagai Din, sembilan tahun, dipercayai menjadi mangsa liwat tiga pelajar senior di sebuah sekolah tahfiz di Baling, dekat sini, pada bulan lalu.

Kejadian berlaku pada minggu kedua selepas mangsa memasuki sekolah itu pada 20 Jun lalu, namun kejadian terbabit hanya diketahui ibu bapanya ketika dijemput selepas sesi orientasi selama 40 hari pada 30 Julai lalu berikutan terdapat kesan lebam pada tubuhnya.

Din mendakwa dia bukan sahaja diliwat berulang kali oleh tiga pelajar berusia 12 tahun terbabit, malah dipukul dengan pelbagai objek selain diugut tidak menceritakan segala kejadian kepada sesiapa.

Menurutnya, perbuatan terbabit dilakukan tiga pelajar itu setiap hari, adakalanya pada waktu tengah hari, tetapi lebih kerap pada malam sama ada dalam bilik asrama, bilik air, surau dan tandas.

“Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 10 malam walaupun saya sedang tidur dalam bilik, tetapi mereka mengejutkan saya dan meliwat berulang kali. Saya hanya menangis kerana amat sakit.

“Saya tak boleh menjerit kerana mereka menutup mulut. Perbuatan itu berlaku beberapa minit sahaja dan sebelum keluar, mereka memberi amaran dan mengugut akan melakukan perbuatan lebih teruk jika diketahui orang lain,” katanya.

Selain diliwat, dia mendakwa dipukul dengan pelbagai objek antaranya kayu, kerusi, besi, penyangkut baju, getah paip serta ditumbuk, malah ketiga-tiga pelajar itu membuang air kencing ke dalam mulutnya.

Menurut Din, dia dan murid lain tidak mampu melawan kerana takut dengan tiga pelajar terbabit.

“Kejadian liwat dan dera berlaku berulang kali, namun saya tidak berani melaporkan kepada pengurusan sekolah kerana takut dipukul. Sebelum itu saya pernah dipukul dengan batang paip plastik kerana enggan bercakap akibat dipaksa makan tulang ikan oleh tiga pelajar itu.

“Pada mulanya, saya mahu memberitahu kejadian kepada ayah yang datang pada 25 Julai lalu, namun terpaksa berdiam diri dan memberitahu saya sihat kerana diberi amaran oleh pelajar itu dan pengurusan.

“Namun, saya lega apabila ayah datang pada 30 Julai lalu dan membawa saya keluar dari tahfiz itu sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan perubatan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sementara itu, bapa mangsa, Johari Pak Zain, 44, berkata kejadian menimpa anaknya disedari ketika datang ke tahfiz berkenaan pada 25 Julai lalu selepas rakannya membuat laporan polis berhubung kecederaan yang berlaku terhadap anak kembarnya.

Menurutnya, pada mulanya dia terkejut melihat ada kesan lebam dan kecederaan pada muka dan telinga anaknya, lalu bertanya kepada pengurusan tahfiz itu, namun diberitahu Din mungkin mengalami alahan manakala cedera di telinga akibat bermain.

“Saya cuba bertanya kepada anak, namun memberitahu dia sihat dan tidak ada apa yang berlaku. Saya akur penjelasan daripada pengurusan sekolah lalu pulang.

“Tetapi, saya terkejut apabila mendapati ada kesan lebam pada tubuh anaknya apabila kembali melawatnya pada 30 Julai lalu. Justeru, saya kini akan membuat laporan polis lagi terhadap pengurusan tahfiz berkenaan untuk tindakan,” katanya.hmetro

Dua pelajar Afrika miliki dadah RM300,000


PETALING JAYA: Dua pelajar kolej warga Afrika lebih dua tahun memasuki Malaysia ditahan polis selepas memiliki syabu seberat 1.59 kilogram bernilai RM300,000 dalam dua serbuan berasingan di PJS 8 dan Taman Sri Subang, di sini, kelmarin.
Difahamkan, polis yang menerima maklumat berhubung kegiatan pelajar terbabit melakukan serbuan di sebuah rumah di PJS 8 dan menahan seorang pelajar berusia 26 tahun, kira-kira jam 6.15 petang.

Hasil pemeriksaan, polis menemui dua peket dadah jenis syabu dalam begnya dan suspek ditahan untuk disoal siasat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed berkata, berdasarkan maklumat suspek pertama, polis menyerbu kondominium di Taman Sri Subang, di sini dan memberkas seorang lagi suspek berusia 23 tahun.

“Dalam serbuan itu, polis menemui sepeket syabu seberat 59 gram dalam kediaman itu,” katanya.

“Polis turut menemui dokumen menunjukkan suspek pelajar di kolej berbeza tetapi terbabit bersama mengedar dadah,” katanya.hmetro

Syak amah curi RM8,000 dari peti besi

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas kerugian RM8,000 apabila wang tunai yang disimpan di dalam peti besi di rumahnya di Bukit Bandaraya, di sini, lesap dipercayai dicuri pembantu rumahnya, Ahad lalu.
Kejadian itu disedari warga emas berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari ketika membuka peti besi miliknya bagi mengambil wang untuk menjelaskan bayaran kontraktor pengubahsuaian rumahnya. Menurut sumber, perkara yang sama pernah berlaku beberapa bulan lalu apabila warga emas berusia 78 tahun itu mendapati wang tunai RM4,000 hilang dari peti besinya.

“Selepas kejadian itu, mangsa menyoal pembantu rumahnya iaitu seorang warga Indonesia berusia lingkungan 30-an, namun pembantu rumah itu tidak mengaku mengambil wang berkenaan.

“Bagaimanapun, sehari selepas kejadian itu, wang berkenaan ditemui semula di dalam mesin basuh di rumah itu,” katanya. Dalam kejadian terbaru Ahad lalu itu, mangsa terkejut apabila sekali lagi wang tunai sebanyak RM8,000 yang diletakkan di dalam peti besi miliknya itu lesap.

Beliau berkata, mangsa pada mulanya berniat mengambil RM400 dari dalam peti besi itu untuk membayar kontraktor pengubahsuaian rumahnya.

“Namun, mangsa terkejut mendapati wang yang disimpan selama beberapa bulan hilang dan yakin ia angkara pembantu rumahnya berikutan kejadian yang berlaku sebelum ini.


“Bagaimanapun, mangsa tidak terus bertanyakan berkenaan kehilangan wang itu kepada pembantu rumahnya kerana bimbang wanita warga Indonesia itu melarikan diri,” katanya.hmetro

Cedera dipukul abang kandung

KUALA LUMPUR: Angkara membawa keluar barang elektrik ketika berpindah rumah, seorang wanita berusia 27 tahun cedera dipukul abang kandungnya dalam kejadian di Taman Batu Muda, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa sedang berehat di rumah sewa barunya bersama seorang kakak apabila didatangi abangnya yang berusia 30-an yang dipercayai di bawah pengaruh dadah.

Sumber polis berkata, lelaki itu kemudian masuk ke dalam rumah sebelum memaki hamun mangsa kerana membawa keluar barang elektrik termasuk mesin basuh dan pinggan mangkuk.

Katanya, berlaku pertengkaran antara mereka selama beberapa minit sebelum lelaki itu menumbuk muka mangsa beberapa kali menyebabkan mangsa pening dan hilang pertimbangan.hmetro

Tragedi mercun


PADAH...Nasrudin kehilangan tiga jari tangan kiri akibat bermain mercun bola.
PADAH...Nasrudin kehilangan tiga jari tangan kiri akibat bermain mercun bola


KOTA BHARU: Tindakan seorang remaja menyalakan mercun bola ketika membonceng motosikal membawa padah, apabila tiga jari tangan kirinya hancur dan cedera di muka selepas mercun itu meletup sebelum sempat dilempar dalam kejadian di Kampung Dewan Beta, dekat sini, malam kelmarin.
Akibat kejadian itu, Nasrudin Mohd Nazli, 19, dipercayai menjadi mangsa pertama mercun yang cedera parah di negara ini dan kini terpaksa ‘berpuasa’ di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Menurut Nasrudin, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam ketika dia dalam perjalanan membonceng motosikal rakannya berjumpa beberapa rakan di kampung berkenaan untuk bermain mercun.

“Dalam perjalanan, saya menyalakan mercun bola tetapi tidak sempat melemparnya menyebabkan ia meletup di tangan kiri dan serpihan mercun turut terkena muka.

“Dalam keadaan tangan dan muka berlumuran darah, rakan yang menunggang motosikal bersama saya menghantar saya ke Klinik Kesihatan Lundang Paku, bagi mendapat rawatan lanjut sebelum dirujuk ke HRPZ II. Rakan saya itu turut terkena serpihan mercun, tetapi hanya cedera sedikit,” katanya ketika ditemui di wad HRPZII, semalam.

Nasrudin berkata, mercun bola itu dibeli di Rantau Panjang beberapa hari lalu dan merancang bermain mercun itu malam kelmarin di sekitar kampung.

Katanya, sebelum ini dia mendakwa tidak pernah menyalakan mercun ketika membonceng motosikal dan mengakui melakukan kesilapan.hmetro

7 maut akibat banjir di Thailand

BANGKOK: Tujuh orang maut akibat banjir di utara Thailand ekoran ribut tropika Nock-ten yang sudah mengorbankan lebih 60 orang di Filipina, kata pihak berkuasa, semalam.
Banjir menyebabkan hampir setengah juta penduduk terjejas dengan 16 wilayah ditenggelami air sejak minggu lalu, kata Jabatan Kawalan Bencana dan Mitigasi Thailand.

Seramai 12 orang cedera dan empat lagi hilang akibat banjir dan tanah runtuh ekoran hujan lebat luar biasa di utara dan timur-laut Thailand angkara ribut Nock-ten.

Nock-ten sudah meragut sekurang-kurangnya 66 nyawa dan 17 lagi hilang di Filipina ketika ia melanda negara itu bulan lalu.

Ribut itu turut mengorbankan seorang penduduk ketika ia menyerang Vietnam Sabtu lalu. - AFPhmetro

10 korban nahas helikopter

JAKARTA: Kejadian helikopter terhempas di Indonesia mengorbankan 10 orang, termasuk dua rakyat Australia dan dua warga Afrika Selatan, yang juga kakitangan syarikat perlombongan Newcrest yang beribu pejabat di Melbourne, kata syarikat berkenaan, semalam.
Pihak berkuasa tempatan berkata, angka kematian meningkat kepada 10 apabila seorang lelaki Indonesia yang ditemui masih hidup dalam helikopter terbabit kemudian meninggal dunia akibat kecederaan.

Enam rakyat Indonesia dan empat warga asing berada dalam helikopter itu ketika ia terhempas dalam hujan lebat tengah hari Rabu lalu selepas berlepas dari Manado di Pulau Sulawesi. “Helikopter itu terhempas di kawasan pergunungan dalam hujan lebat,” kata jurucakap kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan. Pasukan penyelamat menemui bangkai helikopter dalam keadaan berkecai di dalam hutan terpencil kira-kira 10 kilometer dari Manado, di utara Sulawesi.

Helikopter Bell 412 terbabit terbang menuju ke lombong Gosowong milik syarikat pengeluar emas terbesar Australia itu di Pulau Halmahera, kira-kira 2,400 kilometer di timur laut Jakarta. - AFPhmetro

Anak hartawan Sydney diikat ‘bom’ selama 10 jam


SYDNEY: Pihak berkuasa memburu suspek yang mencetuskan kegemparan dramatik seolah-olah filem Hollywood dengan mengancam seorang remaja daripada keluarga kaya di Sydney, semalam.
Madeleine Pulver, 18, mengalami pengalaman ngeri selama 10 jam selepas seorang lelaki bertopeng meletakkan sejenis alat didakwa bom pada lehernya di rumah mangsa di pinggir Mosman.

Penyerang turut meninggalkan nota di tempat kejadian.

Madeleine (gambar) adalah anak seorang daripada tokoh terkaya di Sydney.

Pegawai polis New South Wales, Mark Murdoch, berkata pihak berkuasa percaya kejadian itu ada kaitan dengan cubaan suspek memeras ugut keluarga mangsa.

“Arahan ditinggalkan suspek begitu terperinci, menyebabkan polis yakin ancaman berkenaan sangat serius,” katanya.

Kawasan di sekitar rumah Madeleine dikosongkan dan laluan di situ ditutup ketika skuad pemusnah bom, anggota penyelamat dan paramedik bertungkus-lumus menyelamatkan remaja itu.

Diikat di leher Madeleine menggunakan rantai, alat itu kemudian berjaya ditanggalkan sebelum tengah malam kelmarin. Kata Murdoch, alat itu kelihatan seperti bom tulen dan polis menanganinya dengan berhati-hati.

“Ada beberapa maklumat diperoleh dan remaja terbabit serta beberapa individu akan disoal siasat beberapa hari lagi,” katanya. - AFPhmetro

Maut dicekik penyamun


IPOH: “Saya mengucap panjang melihat kaki manusia terjulur dari gulungan selimut ‘toto’ ditinggalkan di atas tangga bertentangan pintu rumah,” kata Azlina Abu Talib, 33.
Azlina jiran kepada Dr Rohani Kasim, 38, ditemui mati dicekik di kediamannya di tingkat satu Pangsapuri Permai Lake View di Tambun, dekat sini, awal pagi semalam.

Azlina berkata, dia menyedari kejadian itu kira-kira jam 3 pagi semalam, selepas kecoh di luar rumahnya di tingkat bawah ketika bangun untuk bersahur.

“Saya terkejut mendengar bunyi bising dari arah tangga bertentangan pintu rumah saya dan keluar untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Saya seperti tidak percaya apabila diberitahu pengawal keselamatan di pangsapuri terdapat mayat di atas lantai tangga menuju ke tingkat bawah, betul-betul di hadapan kediaman saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, dia memberanikan diri naik ke tangga untuk melihat balutan tilam didakwa mengandungi mayat wanita itu dan terkejut apabila mendapati kaki manusia terjulur dari dalam tilam itu.


“Saya diberitahu pengawal keselamatan bertugas ternampak kelibat dua lelaki mengusung balutan tilam berkenaan ketika melakukan rondaan.

“Namun, suspek mencampak tilam itu ke lantai tangga sebaik menyedari kehadiran pengawal berkenaan. Dua lelaki itu melarikan diri melalui tingkap rumah berhampiran yang tidak berjeriji sebelum menuju ke arah sebuah kereta dipandu seorang lelaki tidak dikenali,” katanya.
Menurutnya, dia hanya mengetahui seorang lelaki menetap di pangsapuri itu ditahan sejurus polis dimaklumkan kejadian itu. Azlina berkata, dia baru mengenali mangsa yang berpindah ke pangsapuri ini awal bulan lalu dan tidak sangka kejadian ngeri itu menimpanya.

Dia berharap polis memberkas segera penjenayah itu bagi mengelakkan penduduk dihantui ketakutan.hmetro

Gagal jual emas curi


DAMMAM: Polis semalam menahan seorang wanita berusia 40-an tahun dan seorang lelaki yang bersama-samanya ketika mereka cuba menjual emas curi.
Seorang lelaki sebelum ini membuat laporan mengenai kejadian kecurian di rumahnya serta kehilangan sebahagian besar emas. Polis yang mengambil kesan cop jari di tempat kejadian berjaya menjejaki suspek, seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah.

Pergerakannya diawasi sehinggalah polis bertindak menahannya ketika dia bersama seorang wanita dilihat cuba menjual sebahagian emas yang dicurinya.

Polis juga mendapati wanita itu menggunakan kad pengenalan curi. - ANhmetro

Mangsa pertama mercun hilang tiga jari kiri


  NASRUDIN   putus tiga jari tangan kiri dan cedera di   muka akibat bermain mercun bola  menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, semalam.
NASRUDIN putus tiga jari tangan kiri dan cedera di muka akibat bermain mercun bola menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, semalam.

KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki hilang tiga jari dipercayai mangsa pertama mercun tahun ini dalam kejadian di Dewan Beta, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, Nasrudin Mohd Nazli, 19, yang membonceng motosikal bersama rakan dikatakan tidak sempat melempar mercun bola yang dibakar, dan akibatnya tiga jari kirinya hancur.
“Niat untuk bermain mercun bersama kawan sekampung bertukar tragedi apabila mercun meletup di tangan sehingga kehilangan ibu jari, jari tengah dan telunjuk.
“Dalam keadaan berlumuran darah, rakan membawa saya ke Klinik Kesihatan Lundang Paku sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII),” katanya ketika ditemui di hospital berkenaan, semalam. 

Nasrudin berkata, dia membeli mercun bola di Rantau Panjang beberapa hari lalu dan merancang bermain bersama rakan pada waktu malam. 

“Saya serik untuk bermain mercun dan akibat kejadian ini, hidup saya tidak lagi sempurna seperti orang lain,” katanya yang masih trauma dengan kejadian berkenaan. 

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berkenaan mengenai kejadian itu. 
“Mangsa mungkin berasa takut untuk tampil membuat laporan memandangkan dia melakukan kesalahan bermain mercun hingga menyebabkan kecederaan,” katanya. bharian