Search This Blog

Thursday, August 4, 2011

Serangan siber terbesar dikesan



BOSTON - Satu siri serangan siber terbesar melibatkan pencerobohan jaringan maklumat 72 organisasi termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kerajaan dan syarikat serata dunia dikesan.

Syarikat perisian keselamatan komputer, McAfee mengesan pencerobohan itu yang didakwa didalangi sebuah negara, namun enggan menamakannya dalam lapo-ran dikeluarkan, semalam.

Serangan dilancarkan selama lima tahun itu, menyasarkan banyak pihak termasuk ke:rajaan Amerika Syarikat, Taiwan, India, Korea Selatan, Vietnam, Kanada, Jawatan�kuasa Olimpik Antarabangsa serta puluhan syarikat di seluruh dunia.

:Menurut McAfee, penggodam mencerobohi sistem komputer PBB di Geneva pada 2008 dan bersembunyi di dalam sistem itu selama dua tahun sambil mengambil ribuan maklumat rahsia.

“Tidak diketahui apa berlaku kepada data yang dicuri ini,” menurut McAfee yang mula menyedari kempen penggodaman itu pada Mac tahun ini.SH

Dadah RM1.46 bilion dirampas



LONDON - Pihak berkuasa Britain berjaya melakukan rampasan dadah terbesar dalam sejarah negara itu yang mampu memenuhi satu pertiga permintaan tahunan pengguna dadah di Britain.

Dadah jenis kokain seberat 1.2 tan dengan nilai jalanan mencecah 300 juta pound (RM1.46 bilion) itu disembunyikan di dalam sebuah kapal layar di Southampton.

Dadah dengan ketulenan 90 peratus itu, dimasukkan ke dalam ruang penyimpanan kapal layar di Venezuela sebelum dibawa ke Britain.

Enam lelaki Belanda dan Belgium turut ditahan selepas penemuan dadah itu.SH

15 ditahan serbuan pusat hiburan, rumah tumpangan



TAIPING – Seramai 15 individu ditahan dalam operasi pemeriksaan di rumah-rumah tumpangan dan pusat hiburan sekitar bandar ini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, hasil siasatan mendapati kesemua mereka yang berusia antara 20 dan 30 tahun itu ditahan kerana memiliki dadah.

“Dalam operasi yang dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu, 14 premis telah diperiksa dan seramai 113 orang turut diperiksa serta didokumentasi.

“Mereka akan dibebaskan sekiranya dalam keadaan baik dan tiada rekod jenayah, manakala mereka yang mempunyai jenayah lampau akan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan reman 14 hari bagi membantu siasatan.

“Kami turut mengadakan sekatan jalan bermula tengah malam hingga lima pagi di empat lokasi sekitar Taiping yang selalu menjadi laluan penjenayah untuk meloloskan diri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yusuf berkata, sehingga hari ini, terdapat penurunan sebanyak enam kes dalam kedudukan indeks jenayah di Taiping berbanding tahun lalu,” katanya.SH

Lapan bulan kereta rosak masih tidak dibaiki



JOHOR BAHRU – Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), mengarahkan sebuah bengkel, di sini, membayar sejumlah wang bernilai RM17,441 sebagai bayaran pampasan dan ganti rugi dalam masa 14 hari kepada seorang ahli perniagaan yang mengalami pelbagai kerugian.

Presiden TTPM, Mohd Nasrim Mohd Salleh mengeluarkan perintah itu kepada sebuah bengkel yang berlokasi di Bandar Baru Uda, di sini, setelah mendengar tuntutan yang dibuat oleh Nur Muhammad Shabidin, 30.

Nur Muhammad dari Taman Munsyi Ibrahim dalam tuntutannya berkata, beliau telah membeli sebuah kereta model Naza Ria terpakai pada Februari tahun lalu, namun telah mengalami kerosakan setelah enam bulan menggunakannya.

Beliau mengambil keputusan menghantar keretanya yang rosak ke bengkel berkenaan sebelum diberitahu mengalami kerosakan enjin yang dianggarkan perlu membayar sejumlah lebih daripada RM4,000 sebagai kos pembaikan kereta berkenaan.

“Namun, saya bersetuju membayar RM3,000 secara tunai sebagai wang pendahuluan untuk membaik pulih kerosakan kereta tersebut dalam jangka masa yang ditetapkan tetapi tidak dapat disiapkan dengan pelbagai alasan yang diberikan.

“Malangnya sehingga lapan bulan pembaikan kereta berkenaan masih tertangguh menyebabkan saya sendiri datang ke bengkel tersebut untuk mengambil semula kereta tersebut dan melihat keadaan kereta tersebut tidak seperti yang dihantar dahulu malah lebih teruk,” katanya.

Beliau yang kecewa dengan perkara tersebut hingga kerap kali menimbulkan masalah lain akibat insiden tersebut mengambil keputusan membawa kes berkenaan ke TTPM sebelum menghantar kereta tersebut ke pusat servis berdekatan untuk penilaian anggaran kos kerosakan.

“Saya amat terkejut diberitahu bahawa nilai kos kerosakan hingga RM13,000 namun masih ada kerosakan lain turut dikenakan, namun saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya keputusan TTPM, hari ini, sedikit sebanyak meredakan saya sekeluarga,” katanya.SH

Dituduh bunuh bekas polis



IPOH – Tiga sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menyebabkan kematian seorang bekas anggota polis di Taman Pengkalan Indah, 22 Julai lalu.

R Ganesan, 30; S Sivakumar, 18; dan Hasyim Jaganathan Abdullah, 36, masing-masing berasal dari Ipoh dituduh melakukan perbuatan membunuh ke atas S Sunther, 50, dengan niat mendatangkan kecederaan pada tubuh badan yang boleh menyebabkan kematian.

Mereka melakukan kesalahan itu di hadapan Pusat Makanan Kum Sam antara jam 10 malam hingga 12 malam pada hari berkenaan.

Dakwaan terhadap mereka itu mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhaimin Aris menawarkan jaminan sejumlah RM20,000 seorang atas alasan kepentingan orang awam.

Kesemua tertuduh diwakili Peguam Bela, Ranjit Singh Sandhu merayu jaminan dikurangkan berikutan ahli keluarga hadir di mahkamah selain mempunyai gaji rendah bekerja sebagai tukang besi buruk.

Hakim Noor Hayati Mat membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sejumlah RM8,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 27 September depan.

Akhbar pada 26 Julai lalu melaporkan, seorang bekas polis maut dibelasah dengan sekumpulan lelaki menggunakan batu-bata dan kerusi selepas menikmati minuman di restoran berkenaan.

Lelaki itu meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas dimasukkan ke lebih 24 jam kerana mengalami kecederaan teruk di kepala.SH

Adik rayu abang pulang



KANGAR - Seorang adik dari Kampung Masjid Bukit Keteri, dekat sini merayu supaya abangnya, Azmi Nor, 37, yang tidak pulang ke kampung halaman sejak dua tahun lalu kembali bertemu mereka.

Suri rumah, Azizah Nor, 35, berkata, rayuan itu dibuat selepas keluarga terutama ibu begitu merindui anak sulung daripada empat beradik yang sering hidup berpindah itu.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu abang sulungnya itu ialah pada 2009 iaitu ketika Azmi dan isterinya yang berasal dari Pendang, Kedah pulang ke rumah bagi melawat ibu.

Bagaimanapun, selepas itu, mereka tidak pernah lagi menerima khabar berita daripada abangnya, sehingga isteri Azmi menerusi satu panggilan telefon memberitahu bahawa mereka sudah tidak lagi tinggal sebumbung.

Malah, paling menghampakan ialah bekas kakak ipar juga tidak mengetahui di mana abang Azmi berada.

“Saya sudah beberapa kali menghubungi kakak ipar untuk mengetahui lokasi abang. Bagaimanapun, kakak tidak mengetahui di mana abang tinggal kerana mereka sudah lama berpisah.

“Namun, pada awal 2010, saya ada menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) dari nombor dipercayai milik abang memberitahu dia kini berada di Kelantan dan sedang sakit. Namun, usaha menghubungi semula nombor itu gagal,” katanya kepada pemberita, semalam.

Azizah berkata, dia berharap supaya abangnya itu segera ke kampung untuk melawat mereka sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang kerana mereka sekeluarga begitu merinduinya.

“Sekiranya abang membaca laporan ini, saya berharap supaya dia segera pulang ke kampung bertemu keluarga.

“Tambahan pula abang Azmi adalah anak sulung dan masih banyak perkara yang perlu diselesaikan olehnya terutama membabitkan soal tanah pusaka.

“Selepas kematian ayah, abang Azmi sebagai anak sulung perlu meneruskan tanggungjawab itu. Justeru, saya berharap supaya dia segera pulang,” katanya.SH

Lori terbalik tengah jalan




SEREMBAN – Sebuah lori membawa muatan kelapa sawit terbalik selepas berlanggar dengan sebuah kereta Toyota di Jalan Batu 8 Labu, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, pemandu lori dan pemandu kereta terbabit, masing-masing berusia lingkungan 20-an dan 30-an terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.

Menurut saksi yang enggan dikenali, dia terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat seorang lelaki bergegas keluar daripada lori dipandunya yang terbalik di tengah jalan.

“Pada masa sama, saya mendapati sebuah kereta lain turut terbabit dalam kemalangan berkenaan. Bagaimanapun, saya difahamkan kedua-dua pemandu hanya cedera ringan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Sime Darby Plantation Ladang Labu, Wan Mohd Fadhil Shah, 26, berkata lori terbabit dalam perjalanan menuju ke kilang syarikat selepas selesai mengambil kelapa sawit di sekitar Batu 5.SH

‘Gambar ini tanda ingatan saya’



LUKUT – Seorang lelaki yang keluar bersarapan di sebuah kedai berhampiran rumahnya di Rumah Murah Daratan Segar dikejutkan dengan panggilan telefon memaklumkan bahawa rumahnya terbakar.

M Tanggaraja, 49, berkata, dia terus bergegas pulang ke rumahnya dan mendapati api sedang marak.

Menurutnya, semua barang di dalam rumahnya tidak dapat diselamatkan.

“Namun, sejurus api dipadamkan saya nekad masuk ke dalam rumah walaupun ketika itu kerja-kerja pemadaman masih dilakukan oleh pihak bomba.

“Saya masuk untuk mengambil gambar isteri di dalam bilik tidur kerana ia adalah satu-satunya tanda ingatan saya kepadanya yang meninggal dunia dua tahun lalu,” katanya.

Tanggaraja berkata, kira-kira sebulan lalu, bahagian dapur rumahnya sudah terbakar dan dengan bantuan bomba, ia dapat dipadamkan sebelum merebak ke bahagian lain.

“Pada Isnin lalu, bilik rumah kosong di sebelah rumah saya juga berlaku kebakaran.

“Cuma kali ini mungkin nasib saya kurang baik, sebahagian rumah saya pula terbakar,” katanya.

Sementara itu, pegawai daerah, Ab Khalid Mat ketika melawat mangsa memaklumkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat akan disalurkan segera.

Manakala, Pegawai Bomba Kanan 2, R Maniam berkata, bomba tiba di lokasi kebakaran lima minit selepas menerima panggilan :kecemasan daripada orang awam.

“Ketika tiba di lokasi, api sedang marak dan sebahagian besar ruang hadapan rumah mangsa sudah dijilat api.

“Kerja-kerja mengawal api daripada merebak ke rumah bersebelahan dapat dilakukan dalam masa empat minit sahaja dan api dapat dipadam sepenuhnya setengah jam kemudian,” katanya.

Maniam berkata, anggota bomba juga terpaksa memecah pintu utama rumah berkenaan berikutan ketika kejadian penghuninya tiada di rumah dan rumah berada di dalam keadaan berkunci.

“Operasi turut dibantu oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang melibatkan seramai 19 anggota dan empat jentera bomba,” katanya.

Katanya, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

“Dalam kejadian ini, sebuah rumah bersebelahan juga turut terbakar, namun ia adalah rumah kosong,” katanya.SH

Ditahan tidak puasa



KUALA PILAH – Tidak malu!. Itulah boleh dikatakan kepada tiga lelaki yang dicekup ketika menjamu selera di restoran dan membeli nombor ekor di dua tempat berasingan dekat sini, semalam.

Seorang lelaki berusia 48 tahun, yang sedang leka makan di sebuah restoran di Tanjung Ipoh, kira-kira 10.28 pagi ditangkap oleh pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) dalam satu rondaan di sekitar daerah Kuala Pilah.

Manakala dua lelaki yang bekerja sendiri berusia 41 dan 47 tahun pula ditangkap ketika membeli nombor ekor di pekan Kuala Pilah.

Ketua Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS), Ahmad Zaki Hamzah berkata, hasil rondaan di sekitar Kuala Pilah pada tiga Ramadan, pihaknya berjaya menangkap seorang lelaki beragama Islam yang sedang menjamu selera di sebuah restoran di pekan Tanjung Ipoh.

Menurutnya, ketika rondaan, pihaknya mendapati lelaki yang bekerja sebagai penoreh getah itu sedang makan di sebuah restoran seorang diri tanpa mempedulikan khalayak ramai.

“Makan pada siang hari ketika Ramadan adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara selama tempoh tidak lebih tiga bulan mengikut seksyen 114 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui di Bahagian Penguat kuasa Pejabat Agama Islam daerah Kuala Pilah.

Ahmad Zaki berkata, ketika melakukan rondaan di pekan Kuala Pilah, pihaknya berjaya menangkap dua lelaki beragama Islam yang sedang leka membeli nombor ekor dekat sini.

“Dua lelaki itu akan dituduh mengikut Seksyen 79A Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan (Pindaan) 2004 menyatakan orang Islam yang berjudi atau didapati berada di tempat perjudian adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Katanya, pihaknya sentiasa mengadakan rondaan terutamanya pada Ramadan bagi mencegah kesalahan jenayah yang melanggar syariah termasuklah gejala maksiat.

“Oleh itu, diharap masyarakat akan memberi kerjasama kepada kami untuk sama-sama mencegah jenayah yang berlaku di persekitaran mereka.

“Sepatutnya, kesucian Ramadan, tidak dicemari dengan kegiatan seperti ini sebaliknya disinari dengan amal ibadah,” katanya.SH

Bapa, dua anak perempuan ditahan



SHAH ALAM – Seorang bapa dan dua anak perempuannya ditahan polis semalam kerana disyaki terlibat dalam kes dera pembantu rumah.

Ketiga-tiga suspek yang berusia 20, 23 dan 52 tahun itu ditahan di rumah mereka di Taman Sri Sinar, Segambut, Kuala Lumpur, kira-kira jam 3 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar (gambar) berkata, pihaknya menahan semua suspek sejurus menerima dua laporan daripada pembantu rumah warga Kemboja terbabit dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).

Katanya, menurut laporan yang diterima, pembantu rumah wanita berusia 26 tahun itu mendakwa dipukul dan ditampar pada badannya tanpa diketahui sebabnya.

“Hasil pemeriksaan awal, kepala mangsa didapati dibotakkan. Kita akan hantar mangsa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, mangsa mula bekerja di rumah majikannya sejak Mei 2010, bagaimanapun, kita tidak dapat pastikan sejak bila dia didera,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, suspek lelaki terbabit tinggal di rumah berkenaan bersama isteri dan juga dua anak perempuannya.

“Bagaimanapun, kita masih siasat sama ada isteri suspek terbabit terlibat atau tidak dengan kes ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.SH

Polis giat buru Rambo



KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang lelaki dipercayai perancang utama sindiket curi kereta dikenali sebagai Rambo, manakala, seorang ahli sindiket itu berjaya ditahan awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, polis menahan ahli sindiket berusia 45 tahun itu di sebuah apartmen di Bandar Baru Sentul

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, penahanan itu dibuat susulan tertangkapnya dua suspek sindiket sama pada Khamis lalu di dua lokasi di Pantai Dalam.

Menurutnya, penahanan suspek ketiga itu juga membawa kepada penemuan tiga buah kereta yang dicuri.

“Hasil siasatan dijalankan menunjukkan tiga kereta itu terdiri daripada dua jenis Proton Wira Aeroback serta sebuah kereta Kia Carnival menggunakan nombor pendaftaran dan geran palsu.

“Siasatan awal mendapati suspek itu mempunyai kaitan dengan kedua-dua suspek yang ditahan sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Petaling, di sini, semalam.

Wan Abdul Bari berkata, siasatan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah tetapi mempunyai rekod lalu berkaitan penagihan dadah.

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket berkenaan.

“Kita percaya sindiket ini mempunyai rangkaiannya yang besar dan ketiga-tiga suspek ditahan ini menjalankan kerja-kerja mencuri.

“Berdasarkan geran, cukai jalan dan nombor pendaftaran palsu ini, kita percaya terdapat individu lain yang terlibat memalsukan dokumen itu serta menjual kereta dicuri,” katanya.

Wan Abdul Bari berkata, polis kini memburu Rambo yang dipercayai merupakan perancang sindiket curi kereta berkenaan.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan dapat menahan Rambo dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan kes itu.

Katanya, sindiket itu dikesan menyasarkan kereta jenis Proton kerana ia mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

Sabtu lalu Sinar Harian melaporkan dua lelaki ditahan serta lima buah kereta dirampas di Pantai Dalam. Sindiket tersebut dipercayai aktif mencuri kereta sejak setahun lalu.SH

Lelaki maut, motor rempuh lori



KUANTAN - Seorang penunggang maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah lori di Kilometer 16 Jalan Kuantan - Sungai Lembing, berhampiran Tanjung Pasir dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9.50 malam itu, mangsa, Mohamad Wahidi Wahid, 38 dari Kampung Bukit Goh dekat sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa dipercayai menunggang dari arah Kuantan menuju ke Sungai Lembing.

“Menurutnya, ketika tiba di kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah lori di hadapannya tanpa menyedari kenderaan itu membelok masuk ke simpang di sebelah kanan,’’ katanya ketika di hubungi di sini, semalam.

Mohamed Fauzi berkata, mangsa yang gagal mengelak terlanggar lori terbabit menyebabkan dia jatuh dari motosikal dan tercampak ke atas jalan.

‘’Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.

Beliau berkata, kes masih dalam siasatan dan akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.SH

Lima tiang telefon tengah jalan



PETALING JAYA - Lima tiang kabel telefon di tengah jalan! Hakikat yang terpaksa dilalui sebahagian penduduk Kampung Sungai Kayu Ara apabila jalan yang sudah dibesarkan kepada dua laluan bakal membawa musibah.

Tinjauan Sinar Harian menemui penduduk yang kebanyakannya kesal dengan apa yang berlaku kerana boleh menyebabkan kemalangan.

Penduduk, Michael Subramaniam 45, berkata, kewujudan tiang berkenaan yang menghalang satu laluan masuk di jalan berkenaan menyebabkan sering berlakunya kemalangan sejak jalan itu dibesarkan sebulan lalu.

“Terbaru satu kemalangan berlaku membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal yang mana salah satu darinya mengelak tiang terbabit lalu terbabas dan melanggar kenderaan lain dari arah bertentangan,” katanya.

Menurutnya, semua kejadian berlaku pada malam selain faktor jalan gelap turut menyumbang kemalangan.

“Perkara ini sudah diberitahu kepada kontraktor yang membina jalan raya itu, namun kami difahamkan bahawa surat pemberitahuan sudah diberikan kepada semua pihak berkaitan berhubung tiang elektrik, tiang kabel telefon dan longkang.

“Tiang elektrik misalnya sudah dialihkan sebelum ini Tenaga Nasional Berhad sekarang yang tinggal adalah tiang kabel telefon yang sehingga kini masa tidak dialih,” katanya

Sementara itu, A Chandran mahu pihak bertanggungjawab segera mengalihkan tiang berkenaan kerana menghalang satu laluan.

“Kami penduduk di sini terutama yang tinggal di Flat Vista Angkasa meminta pihak bertanggungjawab memasang lampu jalan bagi menerangi jalan raya sepanjang 200 meter kerana ianya adalah jalan utama kepada pelajar untuk ke sekolah terutamanya pada waktu pagi,” katanya.SH

Melambung dirempuh kereta



BESUT – Hasrat seorang isteri membeli juadah berbuka puasa untuk suaminya tidak kesampaian apabila dia maut selepas dilanggar sebuah kereta Proton Putra dalam kejadian di kampung ini, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Puteri dekat Kilometer 3 Jalan Jertih Kuala Besut, Kampung Tok Has, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 petang itu, Wan Zakiah Wan Omar, 61, meninggal dunia di tempat kejadian selepas melambung dan tercampak kira-kira 25 meter keti:ka melintas jalan tidak jauh dari rumahnya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berjalan kaki melintas jalan untuk pulang ke rumah selepas membeli juadah berbuka puasa di kedai yang terletak kira-kira 50 meter dengan rumahnya.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan teruk pada beberapa anggota badan meninggal dunia di tempat kejadian apabila dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah Kuala Besut menghala ke Jertih.

“Juadah berbuka yang dibeli mangsa bertaburan di jalan raya selepas dirempuh kereta yang dipandu seorang lelaki yang menetap di Rumah Murah Kos Rendah Taman Pelagat, Seberang Jertih,.

“Kereta tersebut tidak berhenti di kejadian sebaliknya terus membuat laporan di Balai Polis Trafik Besut di Jertih,” katanya.

Pemandu kereta berusia 36 tahun bekerja sebagai pemandu lori buah tidak mengalami kecederaan namun hasil pemeriksaan saringan air kencing mendapati dia positif Methamphetamine (pil kuda) dan ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.SH

Ragut, samun makin serius



KOTA BHARU- Jalan yang sunyi tetapi ia menjadi laluan utama penduduk Melor dan Ketereh, namun kini jalan itu didakwa seolah-olah tidak selamat apabila terdapat kes ragut dan samun berlaku.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, jalan itu ternyata sunyi dan ada beberapa kediaman yang tempatnya terletak jauh daripada rumah lain terutama di kawasan padang, sawah padi berhampiran sekolah.

Mendengar cerita samun seorang peniaga kedai runcit, Zamdiana Mohamad, 31 meninggalkan rasa ralat apabila penyamun berkenaan tergamak bertindak di luar batas meminta barang kemasnya.

“Kejadian ini berlaku kira-kira jam 1.30 petang ketika saya meniaga di kedai runcit. Semasa berbual-bual dengan kakak ipar yang datang ke kedai, kami didatangi tiga lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Wira Aeroback berwarna kelabu.

“Salah seorang daripada mereka keluar daripada kereta, pada mulanya dia bertanya untuk membeli air mineral, kemudian air asam jawa, setelah dia mengambil air dalam peti sejuk, semasa membayar air di kaunter, dia menghulurkan wang RM10, tiba-tiba dia mengasari saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kedai Melor, di sini.

Beliau berkata, semasa kejadian, tiada ada sesiapa di luar kedai, tidak cukup menolak badan Zamdiana, penyamun berkenaan turut menolak meja kaunter untuk menghalangnya bergerak.

“Puas saya menjerit dan kakak ipar yang ada bersama turut panik, kami sama-sama menjerit meminta tolong tetapi penyamun itu terus merenggut rantai yang saya pakai.

“Saya cukup geram dengan tindakan perompak itu, sudahlah dia curi rantai, selepas rampas rantai itu, dia tunjukkan rantai itu di hadapan saya dengan penuh bangganya,” katanya yang sempat melihat penyamun itu membawa pisau yang diletakkan di pinggangnya.

Menurutnya, lelaki berusia kira-kira 20-an, berkulit hitam dan berbadan rendah itu menjadikan umpan RM10 kononnya untuk membeli air, tetapi sebenarnya menyamun rantai berharga anggaran RM5,000.

Kawasan itu mungkin menjadi tumpuan peragut dan penyamun kerana 6 Mei 2009 lalu, negara digemparkan dengan kes wanita hamil maut diragut di jalan Kampung Padang Raja, Melor.

Kes tragis kira-kira dua tahun lalu membabitkan seorang mangsa, Saripah Mohd Noor, 34, ibu kepada lima anak yang cedera parah di kepala, kaki dan badan setelah maut dirempuh kereta selepas terjatuh dari motosikal akibat diragut dua lelaki bermotosikal jam 10.50 pagi.

Berhampiran kejadian tersebut, minggu lalu, kes samun berlaku lagi melibatkan seorang jururawat desa berusia 30 tahun yang bertugas di pejabat berhampiran kira-kira jam 8 pagi.

Jururawat desa itu (yang enggan namanya disiarkan) berhadapan dengan bahaya apabila penyamun yang membawa sebilah pisau memasuki premis pejabat ketika beliau menunggu rakan lain bertugas.

Bukan sahaja bahaya, rantai yang dipakainya berharga anggaran RM7,000 turut direnggut penyamun berkenaan, kemudian pintu bilik dikunci dari luar.

Ekoran kekerapan kes samun dan ragut yang berlaku di kawasan itu, penduduk sekitar memohon pondok polis dan rondaan dijalankan di jalan berkenaan bagi mengawal keselamatan.

“Mungkin masih ramai mangsa yang kena samun dan diragut mengalami trauma dan khuatir untuk membuat laporan kepada polis,” kata penduduk, Mat Nor Hasan, 50.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, selain itu, terdapat beberapa premis lain juga disamun termasuk kedai serbaneka 24 jam di Pekan Melor minggu lalu dan kedai itu mengalami kerugian RM500 anggaran harga rokok yang disamun dan wang RM40.

“Terdapat tujuh kes samun iaitu samun tanpa senjata (1), samun berkawan tanpa senjata (5), samun berkawan bersenjata (1) dan ragut (1) di kawasan Melor dari awal tahun ini hingga Julai lalu,” katanya.

Berkenaan pondok polis, ia akan dilakukan berdasarkan kekerapan jenayah yang berlaku di satu-satu kawasan itu, namun jika diteliti kes di Melor, kes terbabit masih terkawal dan berada di peringkat masih rendah.

“Namun, polis memberi perhatian serius mengenai kes di sini, kami tidak akan melepaskan tanggung jawab dan akan mengadakan rondaan menggunakan kenderaan MPV dan motosikal dari Balai Polis Kota Bharu dan Balai Polis Melor dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati dan menjaga keselamatan diri, tidak memakai barang kemas bagi mengelak diperhatikan penyamun.SH

Budak terperangkap dalam kereta



TUMPAT – Seorang kanak-kanak berusia setahun lapan bulan terperangkap dalam kereta bersendirian selepas ibunya turun membeli juadah berbuka puasa dalam kejadian di depan Klinik Sungai Pinang, petang kelmarin.

Bagaimana pun, kanak-kanak terbabit, Ahmad Fazli Ahmad Sabri yang terperangkap selama dua jam dalam kereta ibunya itu selamat selepas anggota Bomba dan Penyelamat Tumpat berjaya mengeluarkan mangsa dari kereta jenis BMW.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Ahmad Fazli ditinggalkan bersendirian di dalam kereta yang tidak dimatikan enjin kerana ibunya, Siti Maizan Ghazali, 43, turun untuk membeli juadah berbuka puasa di gerai berdekatan.

Menurutnya, kereta itu dipakir dekat sahaja dengan gerai menjual juadah berbuka puasa dan hanya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk dia selesai membeli kuih muih itu.

“Selepas selesai membeli kuih, saya terus ke kereta dan alangkah terkejutnya saya kerana pintu kereta terkunci dari dalam.

“Saya cuba berkomunikasi dengannya supaya membuka pintu ini tetapi kali ini dia gagal walau pun kebiasaannya dia tahu di mana perlu ditekan sekiranya pintu terkunci,” katanya yang tinggal di Pasir Puteh dan ke Kampung Sungai Pinang kerana menziarahi saudara.

Menurutnya, dalam usaha dia mengeluarkan anaknya itu, kelihatan Ahmad Fazli kepenatan, namun ketika itu dia buntu sehingga terlupa untuk meminta bantuan bomba.

“Selepas dua jam baru saya teringat untuk meminta pertolongan bomba dan saya terus menghubungi meminta bantuan.

Siti Maizan berkata, anaknya keletihan di dalam kereta kerana melompat ke tempat duduk belakang, ke depan apabila dia menyangka usaha menyelamatkannya itu satu permainan.

“Semakin ramai orang mengerumuninya, semakin seronok dan lincah dia bermain di dalam kereta tersebut, dia sangka kita bermain dengannya,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Yaacob Abdullah berkata, seramai empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 5.12 petang.

Menurutnya, dengan bantuan peralatan bomba, cermin sisi belakang kereta terbabit dibuka menggunakan pisau bagi membolehkan kunci pintu kereta itu terbuka.

“Usaha menyelamat akhirnya berjaya dilakukan dan kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan atau pun lemas kerana penghawa dingin kereta terbabit dipasang,” katanya.SH

Dihempap siling rumah ketika ribut



KOTA BHARU- Seorang warga emas, Salleh Yusof, 64 mengalami kecederaan di bahagian pipi kirinya akibat dihempap serpihan dinding siling rumah dalam kejadian ribut di kampung Beta Hilir, Ketereh di sini petang kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, Salleh dikatakan sedang tidur di ruang tamu, sementara menunggu waktu berbuka puasa manakala isterinya, Ramlah Jusoh, 62, sedang memasak di dapur.

Bapa kepada lapan anak itu berkata, sewaktu kejadian hujan turun dalam keadaan renyai dan dia hanya menyedari mukanya terkena serpihan dinding siling terbabit apabila terasa sakit di pipi kirinya

“Selepas terkena serpihan dinding siling berkenaan, saya terus berlari ke kawasan dapur tanpa memikirkan perkara lain selain menyelamatkan diri sendiri daripada bahaya.

“Habis kesemua bumbung rumah diterbangkan angin dan saya tidak sempat menyelamatkan sebahagian barangan rumah yang berada berdekatan dengan kawasan terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata Salleh, dia bernasib baik kerana tidak ditimpa sebatang kayu yang terletak hanya beberapa meter dari kedudukan siling rumah terbabit.

“Saya amat bersyukur kerana semasa kejadian isteri saya serta anak lelaki kelima saya, Mohamad Rohaizi, 28 ,berada di kawasan dapur.

“Mujurlah saya hanya mengalami kecederaan di bahagian pipi dan mulut sahaja, namun saya masih trauma dengan kejadian terbabit dan terkejut dengan kejadian yang pertama kali berlaku sepanjang 40 tahun tinggal di rumah ini,” katanya.

Sementara itu, menurut Ramlah, kerugian disebabkan kejadian itu dianggarkan berjumlah kira-kira RM10,000, akibat kerosakan di bahagian bumbung termasuk mesin jahit, kipas, lampu dan barangan dalam rumah.

“Sedih rasanya apabila rumah yang kami diami sejak sekian lama musnah dalam kejadian ribut ini.

“Tahun ini merupakan sambutan Ramadan yang paling memilukan sepanjang kami tinggal di sini dan harapan kami agar ada pihak yang sudi membantu meringankan beban kami sekeluarga selepas tragedi ini.

“Buat sementara ini, kami masih menetap di rumah ini dan mengharapkan ihsan jiran-jiran untuk mendapatkan bekalan api dan air untuk memasak juadah dan hidangan berbuka puasa. Lagipun suami saya tidak lagi bekerja dan saya hanya suri rumah,” katanya.SH

Guru tertoreh kepala pelajar ketika bergelut



KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Marang cedera di kepala selepas tertoreh pisau yang dipegang seorang guru dalam kejadian tengah hari semalam.

Akibat kejadian 12 tengah hari itu, Mohd Hafirza Mujahid menerima lima jahitan di sebelah kiri kepalanya, manakala guru berusia 55 tahun tersebut ditahan polis kira-kira 12 jam kemudian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata kejadian dipercayai berlaku apabila pelajar itu melanggar arahan guru lelaki tersebut yang tidak membenarkannya keluar kelas ketika dia sedang mengajar.

Berang dengan perbuatan pelajar itu, guru terbabit menjejaki Mohd Hafirza sambil tangannya memegang sebilah pisau kecil, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

"Guru itu akhirnya menjumpai pelajar berkenaan di sebuah kelas lain dan ketika cuba menarik tangan pelajar tersebut untuk kembali ke kelas, berlaku sedikit pergelutan menyebabkan pisau yang dipegang guru itu secara tidak sengaja telah tertoreh kepala pelajar terbabit," katanya.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Sementara itu, ibu mangsa Zawiyah Ibrahim, 49, yang ditemui pemberita, berkata beliau kecewa dengan tindakan yang dilakukan oleh guru terbabit.

"Kalau boleh, saya tidak mahu lagi ustaz terbabit mengajar di sekolah berkenaan kerana risau peristwa yang terjadi kepada anak saya akan berulang kepada pelajar lain," katanya. - BernamaSH

Wanita buang bayi dalam tong sampah



MELAKA - Seorang wanita berumur 24 tahun disyaki membuang bayinya yang tidak cukup bulan di dalam tong sampah di rumahnya di Flat Taman Sri Lanang di sini.

Mayat bayi itu didapati tanpa kepala dan berusia lebih kurang enam bulan. Wanita itu pada mulanya disyaki apabila doktor di Hospital Melaka mendapati dia mengalami pendarahan yang banyak ketika menerima rawatan di situ, yang kemudiannya membuat laporan polis.

"Kami menerima laporan (Selasa lalu) kira-kira jam 9 malam dari doktor tersebut bahawa mangsa mengalami pendarahan yang banyak ketika menerima rawatan dan dipercayai dia telah melahirkan anak," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Raja Shahrom Raja Abdullah.

Beliau berkata seorang Pegawai Penyiasat telah dihantar bagi menemui wanita itu dan mendapati dia telah melahirkan anak yang tidak cukup bulan, seorang diri di rumahnya kira-kira pukul 6 petang Selasa itu.

"Anggota polis telah dihantar ke tempat kejadian dan menjumpai mayat bayi berkenaan. Kepala bayi itu masih belum dapat dikesan dan usaha mencari kepala tersebut sedang dijalankan," kata Raja Shahrom.

Siasatan awal mendapati wanita terbabit dipercayai membuang bayi itu disebabkan merasa cemas dan takut kerana melahirkan anak yang tidak sempurna.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Kesiksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi.- BernamaSH

Lagi 98 dakwa terima layanan kasar



JOHOR BAHRU - Lagi kes kelakuan dan tindakan kasar pelatih terhadap pelajar yang menyertai kem motivasi di Penjara Kluang terbongkar apabila didakwa ia turut dialami pengalaman sama 98 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya 2, di sini, semalam.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit, Yip Siew Ling berkata, perkara yang disiarkan di akhbar bukan kes pertama yang berlaku di SMK Bandar Baru Uda itu, malah ia turut berlaku terhadap pelajar SMK Permas Jaya 2 yang menyertai kem motivasi serupa tahun lalu.

Menerusi jumlah itu, seramai 54 daripada pelajar terbabit adalah pelajar lelaki, manakala 44 pelajar perempuan.

Siew Ling berkata, pelajar terbabit telah merasai penga-laman sedemikian terlebih dahulu dan ianya tidak wajar dilakukan terhadap pelajar.

Beliau berkata, program motivasi selama tiga hari pada Februari tahun lalu bagi memberi pendedahan terhadap hukuman diterima sebagai banduan seharusnya diberi gambaran, penerangan atau dengan cara lain yang lebih berkesan dan bukan dengan memberi pelajar terbabit merasai hukuman sebagai seorang banduan sebenar.

“Saya berharap pihak berkenaan hentikan kem seumpama ini kerana tidak wajar dilakukan kepada pelajar.

“Tidak dinafikan program dan pendedahan seumpama ini memang baik dan saya sendiri menyokong program ini dilaksanakan, tetapi sekiranya ia melibatkan tindakan pelatih kepada pelajar dan dikenakan hukuman sama seperti banduan, ia tidak wajar,” katanya.

Menurutnya, pelajar terbabit seharusnya diberi pendedahan, penerangan dan gambaran sebagai banduan sahaja dan bukan menjadikan pelajar berkenaan seperti banduan sebenar yang didakwa dilempang, ditumbuk, ditendang sedan sebagainya.SH

Beri laluan ambulans, kereta dirempuh



Kemalangan yang melibatkan tiga buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Gong Kapas, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/Shaifudin Mohd. Nor


KUALA TERENGGANU 3 Ogos - Akibat memberi laluan kepada ambulans di persimpangan lampu isyarat, seorang pegawai bank dan isterinya nyaris maut apabila kereta mereka dirempuh kenderaan lain di Gong Kapas dekat sini, hari ini.
Kejadian berlaku pukul 11.30 pagi ketika mangsa, Mohd. Haslin Ibrahim, 34, dalam perjalanan dari arah Kampung Paloh dekat sini untuk menghantar isterinya, Salina Salleh, 31, ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kuala Terengganu.
Salina ketika ditemui berkata, kereta Proton Waja yang dipandu suaminya itu berhenti di lorong paling kanan kerana lampu isyarat merah sebelum sebuah ambulans muncul dari arah belakang sambil membunyikan siren.
Ketika itu, katanya, suaminya segera membelok ke kiri untuk memberi laluan namun tiba-tiba, sebuah kereta Perodua MyVi dari sebelah kiri terus melanggar kereta pasangan itu.
"Kereta kami kemudian terbabas sehingga merempuh sebuah Proton Wira di arah bertentangan yang turut berhenti kerana lampu isyarat merah, sementara MyVi berkenaan melanggar tiang lampu isyarat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana kesemua mangsa yang terlibat tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan siren kecemasan sama ada ambulans, polis atau bomba.
"Pemandu harus berwaspada dengan siren kecemasan tidak kira ambulans atau bomba bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini," katanya.utusan

Geng 7E tumpas



Lai Yong Heng (tiga dari kanan) besama pegawainya menunjukkan senjata tajam yang digunakan oleh Geng 7E di Kota Bharu, kelmarin.


KOTA BHARU 3 Ogos - Polis menumpaskan 'Geng 7E' yang aktif melakukan jenayah samun bersenjata di beberapa kedai serbaneka 24 jam termasuk 7-Eleven sejak empat bulan lalu, dengan tertangkapnya dua anggota kumpulan berkenaan kelmarin.
Kedua-dua anggota kumpulan itu berusia 19 dan 20 tahun, diberkas kira-kira pukul 7 pagi semalam selepas dua jam menyamun sebuah kedai 7-Eleven di Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, tangkapan dua anggota kumpulan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 48 tahun di kawasan Binjai kira-kira tiga jam berikutnya, kerana memiliki 500 kotak rokok curi pelbagai jenama bernilai RM10,000.
"Modus operandi geng ini yang dianggotai tujuh ahli itu adalah menggunakan parang untuk mengancam mangsa supaya menyerahkan rokok dan wang tunai yang ada dalam premis.
"Polis menahan dua daripada suspek di kawasan semak berhampiran Taman Sari selepas mereka dikatakan menyamun premis di Pantai Cahaya Bulan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Yong Heng berkata, dengan tertangkapnya anggota kumpulan terbabit, polis berjaya menyelesaikan 13 kes samun membabitkan kedai 24 jam di sini termasuk sebuah di Kuala Besut, Terengganu.
Beliau berkata, sepanjang aktif melakukan jenayah terbabit sejak April lalu, kumpulan penjenayah itu telah menyamun rokok pelbagai jenama dan wang tunai bernilai hampir RM20,000.utusan

226 barangan termasuk kabel Telco curi ditemui



SHAH ALAM 3 Ogos - Polis menemui semula 226 barangan termasuk kabel milik syarikat telekomunikasi yang dipercayai dicuri di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri dalam serbuan di sebuah kedai menjual barangan lusuh di Bandar Bukit Puchong, Petaling Jaya dekat sini pada 29 Julai lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, dalam serbuan itu, lima lelaki termasuk tiga daripadanya warga India berusia 30 hingga 40 tahun diberkas.
Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat penglibatan kumpulan yang ditahan itu dengan kes-kes kecurian kabel di negeri ini.
"Pihak polis memandang serius kes curi kabel di Selangor dan telah mengambil tindakan tegas di mana sehingga Julai lepas sebanyak 261 saman telah dikeluarkan kepada pengusaha premis barangan lusuh di Selangor kerana pelbagai kesalahan termasuk membeli barangan curi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Media Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tun Hisan turut mengingatkan kira-kira 820 pengusaha premis barangan lusuh di Selangor agar tidak melanggar undang-undang kerana mereka akan berdepan dengan tindakan pembatalan lesen perniagaan.utusan

3 lelaki didakwa sebabkan kematian bekas polis



IPOH 3 Ogos - Seorang peniaga di pasar borong dan dua pekerja kedai besi buruk, masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang bekas anggota polis, dua minggu lalu.
R. Ganesan, 30, S. Sivakumar, 18, dan Hasyim Jaganathan Abdullah, 36, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nur Hayati Mat.
Mereka didakwa membunuh S. Sunther, 50, di hadapan Pusat Makanan Kum San di No. 1-3, Jalan Pengkalan Indah 2, Taman Pengkalan Indah, dekat sini antara pukul 10 malam dan 12 tengah malam, 23 Julai lalu.
Pendakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhaimin Aris manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Ranjit Singh Sandhu.
Nur Hayati membenarkan ketiga-tiga tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 berserta seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 27 September ini.utusan

Taktik terbaru seludup dadah

Tun Hisan Tun Hamzah (kiri) melihat ukiran kepala harimau
 diperbuat daripada dadah jenis syabu di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 3 Ogos – Polis memberkas seorang lelaki warga Iran yang membawa masuk replika kepala harimau seberat 8.4 kilogram diperbuat daripada dadah jenis syabu bernilai RM1.6 juta yang dikeraskan dalam acuan sebelum dibentuk dan diwarnakan.
Suspek berusia 26 tahun ditahan sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, ini merupakan kali pertama pihaknya merampas syabu yang telah dibentuk dan diwarnakan menjadi replika kepala harimau.
Beliau berkata, replika itu kemudian dimasukkan ke dalam kotak agar nampak seperti cenderahati bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Namun hasil penelitian dan siasatan, pihak kami berjaya mengesan taktik terbaru yang digunakan sindiket dadah ini dan memberkas keldai dadah yang terlibat,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Dalam satu lagi serbuan yang dibuat di KLIA kelmarin, Tun Hisan memberitahu, seorang lelaki warga Nigeria berusia 31 tahun diberkas setelah polis menemui 15 potong ikan masin yang disumbat dengan 1.01 kilogram syabu di dalam bagasinya.
Ujar beliau, taktik itu dipercayai digunakan mungkin kerana sindiket pengedaran dadah terlibat menyangka ikan masin tersebut dapat menyembunyikan bau dadah daripada dihidu oleh anjing pengesan.
“Mereka ini menggunakan pelbagai taktik. Jika beberapa bulan lepas, mereka menggunakan taktik memotong ubi kayu dan menyumbat dadah di bahagian tengahnya, kali ini mereka memasukkan dadah ke dalam perut ikan masin pula,” ujar beliau.
Tambah Tun Hisan, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.utusan

Hilang ikut lelaki beristeri dua




AZLAN Maidin (kiri) bersama wakil Pembela BN, Amir Hamzah Tapa menunjukkan gambar anaknya, Nabilah Ashazra Azlan pada sidang media di Pejabat Pembela BN, Ayer Keroh, Melaka, semalam. – UTUSAN/GAIE UCHEL


MELAKA 3 Ogos – Seorang bapa hari ini mendakwa anak keempatnya yang juga atlet pelapis penembak wanita kebangsaan, yang akan beraksi di Sukan SEA Palembang, November ini, dilarikan seorang lelaki yang sudah mempunyai dua isteri.
Azlan Maidin, 53, mendakwa, anaknya, Nabilah Ashazra Azlan, 20, yang mewakili Melaka dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) XIII Melaka tahun lalu ditahan di rumah keluarga lelaki itu di Kampung Kor, Lorong Kubur Kota Bharu, Kelantan.
Nabilah, 20, menyumbang dua pingat perak dalam acara ‘air-pistol’ individu dan berpasukan dalam temasya sukan itu.
“Saya mendapat tahu anak saya dilarikan lelaki itu setelah dia tidak pulang ke rumah di Batu Berendam dan tidak masuk ke asrama di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SBJ) pada 25 Julai lalu.
“Saya bimbang mengenai masa depan anak saya dalam sukan menembak kerana dia telah terpilih mewakili skuad kebangsaan di Sukan SEA Palembang, November ini tetapi hingga sekarang tidak pulang ke asrama,” katanya kepada pemberita di pejabat Pembela Barisan Nasional (BN) di Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Menurut Azlan, dia mendapat tahu anaknya berada di Kota Bahru, Kelantan selepas dihubungi oleh isteri pertama lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Zah, 42.
“Dia bagi tahu, anak saya telah bernikah dengan suaminya (Mohd. Sophee Yaacob, 44) dan saya terkejut mendapat berita itu lalu menyuruh dua anak lelaki saya pergi ke rumah lelaki tersebut untuk menyelamatkan Nabilah,” ujarnya.
Azlan berkata, pada 29 Julai lalu, dua anak lelakinya berjaya ke rumah bapa lelaki tersebut di Kampung Kor hasil pertolongan isteri pertama lelaki itu.
“Bagaimanapun, Nabilah gagal ditemui sebaliknya anak lelaki saya berjaya menemui beg baju, sijil nikah Nabilah di Patani dan beberapa barang hiasan milik anak saya,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada 26 Julai lalu dan satu lagi laporan turut dibuat di Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada 29 Julai lalu.
“Setelah dua laporan dibuat, anak saya masih gagal dikesan dan belum balik ke SBJ untuk meneruskan latihan serta persekolahannya,” ujarnya.
Sehubungan itu, dia merayu kepada mana-mana pihak untuk membantu mengesan anak keempatnya daripada tujuh beradik itu.utusan

DVD cetak rompak dirampas




M. GUNA SELAN (kanan) memeriksa cakera padat digital cetak rompak yang dirampas dalam satu serbuan di Seberang Jaya, Pulau Pinang, semalam.


BUKIT MERTAJAM 3 Ogos – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pulau Pinang merampas cakera padat digital (DVD) cetak rompak dan lucah bernilai lebih RM1 juta dalam satu serbuan di sebuah premis di Seberang Jaya hari ini.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu, sebanyak 100,000 keping DVD pelbagai tajuk termasuk filem tempatan yang baru ditayangkan di pawagam dirampas 11 anggota penguat kuasa agensi ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa, M. Guna Selan berkata, rampasan itu adalah yang terbesar pada tahun ini dan semua DVD itu untuk dipasarkan di Pulau Pinang, Kedah dan Johor.
Pihaknya membuat intipan selama tiga minggu di kawasan itu selepas mendapat maklumat mengenai kegiatan pengedaran DVD cetak rompak yang dipercayai beroperasi di premis terbabit.
“Pihak kami terpaksa memotong jeriji pintu ketika serbuan kerana pintu dikunci oleh anggota sindiket yang melarikan diri sebaik sahaja menyedari kedatangan pihak penguat kuasa.
“Biarpun tiada tangkapan, kita telah mengenal pasti suspek terlibat berdasarkan beberapa dokumen yang ditinggalkan di dalam salah satu daripada lima bilik di dalam premis itu yang dijadikan pejabat,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai serbuan itu hari ini.
Guna Selan menambah, salah sebuah bilik dijadikan tempat memproses DVD yang dilengkapi 11 unit mesin penyalin DVD dengan setiap satu mampu menghasilkan 106 keping DVD pada satu-satu masa.
Selain itu jelasnya, tiga lagi bilik dijadikan tempat menyimpan DVD yang siap diproses dan dilengkapi dengan rak-rak berisi DVD filem Inggeris, Thailand, Cina dan lucah selain kartun serta filem-filem tempatan.
Kes ini, katanya, disiasat mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 bagi setiap keping DVD atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.utusan

Jeritan wanita dalam ladang


KAWAL...Siti Hamidah dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
KAWAL...Siti Hamidah dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM: Seorang amah warga Indonesia memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, dia mendengar jeritan wanita sebanyak dua kali ketika berada di sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting, pada malam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, didakwa dibunuh pada 30 Ogos tahun lalu.
Siti Hamidah Karnas, 18, yang juga pembantu rumah tertuduh keempat, R Khatavarayan atau Ravi berkata, dia juga melihat api besar setinggi pohon sawit di tempatnya bekerja di sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting, dekat sini, keesokan harinya.
Saksi pendakwaan ke-33 itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani pada hari ke-12 perbicaraan kes bunuh Sosilawati, pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohamad, 38, semalam.

Terdahulu, ketika menceritakan semula peristiwa pada hari kejadian, Siti Hamidah berkata isteri Ravi, Jacinta menerima panggilan telefon kira-kira jam 4 petang sebelum meminta semua pekerja ladang masuk rumah dalam tempoh sejam.
Dia berkata, semua pekerja menurut arahan itu termasuk Lolita, seorang wanita Filipina yang baru tiba di ladang itu dan mereka tidak dibenarkan keluar tanpa kebenaran Ravi atau Jacinta.Katanya, selepas Ravi makan pada jam 5 petang, Jacinta memintanya mengambil dua parang dan sebilah pisau di atas almari bilik tidur untuk diberikan kepada suaminya.
Saya ambil parang dan pisau itu menggunakan kerusi. Saya nampak ada banyak parang. Ravi suruh letak di belakang pintu yang ada sofa dalam rumah itu,” katanya.
Siti Hamidah berkata, dia nampak Ravi keluar apabila tertuduh pertama, bekas peguam, N Pathmanabhan, 42, datang pada jam 5 petang sebelum Ravi memasukkan senjata itu ke dalam sebuah kenderaan.Katanya, kedua-dua lelaki itu dilihat berbincang sebelum meninggalkan ladang dalam keadaan cemas menggunakan kenderaan berkenaan pada jam 5.55 petang.
Saksi itu kemudian berkata, Jacinta mendapat satu lagi panggilan telefon dan mengarahkan Lolita yang sebelum itu tinggal di sebuah rumah di hadapan ladang datang ke rumah mereka di bahagian belakang atas alasan Pathmanabhan mahu bermesyuarat di situ.Katanya, kira-kira jam 7 malam, dia nampak Jacinta dalam keadaan cemas dan melihat tiga lelaki dan seorang wanita berada tidak jauh dari rumah majikannya.IDHAM: Kemudian, apa berlaku?SITI: Jacinta mahu mandi, tapi dia takut.IDHAM: Bagaimana kamu tahu dia takut?
SITI: Jacinta beritahu saya yang dia takut. Dia menyuruh saya menggiling tosai di biliknya. Dia kemudian dapat panggilan dan saya disuruh sediakan dua baju berlengan dan tidak berlengan, seluar trek, syampu, bedak, tuala dan kunyit.Kami bungkus barangan itu dengan akhbar dan masukkan dalam baldi. Saya diarah untuk sediakan barangan itu di dapur dan ketika itu semua orang tidak boleh berada di situ kecuali saya dan Jacinta.IDHAM: Kunyit itu untuk apa?SITI: Untuk mandi.IDHAM: Di mana kamu letak barangan itu?SITI: Saya tinggalkan barangan itu di pintu belakang.

Jurulatih cili pelatih polis


MANILA: Lapan pegawai polis Filipina telah ditahan semalam, kerana dituduh memaksa pelatih makan cili. Mereka turut dituduh menggenyeh cili dikemaluan mangsa.
Menurut jurucakap polis, Ketua Superintenden, Agrimero Cruz mereka mungkin akan didakwa atas salah laku setelah rakaman video perbuatan mereka, tersebar.

“Perbuatan ini tidak ada tempat dalam Polis Filipina kerana polisi kami menghormati hak asasi manusia dan undang-undang,” katanya.

Kata Agrimero, klip video yang ditunjukkan di hadapan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia itu jelas menunjukkan kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang terlibat.

Mangsa, yang tidak diberitahu jumlahnya, sedang menghadiri kursus khas menangani pemberontakan di selatan Manila ketika video yang dikatakan dirakam tahun lepas. Ada mangsa yang sudah pun dinaikkan pangkat.

Video itu menunjukkan mangsa dipaksa makan segenggam cili oleh beberapa orang lelaki yang dipercayai jurulatih mereka.


Jurucakap Hak Asasi, Marissa Cruz berkata, dalam video itu mangsa diarah buka seluar dan jurulatih menggenyeh cili di kemaluan mereka. - AFPhmetro

Nyaris tertimbus hidup-hidup

PARIT BUNTAR: “Jika tidak kerana diajak pekerja minum teh, mungkin saya sudah tertimbus hidup-hidup atau dihempap lori yang terbabas itu,” kata ahli perniagaa, Edmund Yeoh, 42.
Edmund nyaris maut selepas premis aksesori kereta miliknya di sini, dirempuh sebuah lori yang hilang kawalan dipercayai akibat dipandu laju ketika melalui persimpangan di hadapan kedainya sebelum terbalik, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 11.50 itu turut menyebabkan kereta Mercedes milik mangsa serta bahagian hadapan premis mangsa rosak akibat dihempap muatan tanah merah dibawa lori berkenaan.

“Persimpangan jalan di hadapan premis saya sentiasa sibuk disebabkan kerja-kerja pembinaan sedang dilakukan tetapi tidak pernah berlaku kemalangan sebelum ini.

“Pengguna jalan raya akan berhati-hati setiap kali melaluinya disebabkan keadaan jalan di sini memang berbahaya kerana selain sempit, ia terletak berhampiran premis serta laluan pejalan kaki,” katanya.

Namun semalam hampir menjadi hari paling malang buat Edmund yang bernasib baik tidak ditimbus muatan tanah dibawa sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an.
Edmund berkata, sejurus meletak kenderaan, seorang daripada pekerja memanggil saya meminum teh sebelum premis kami dibuka secara rasmi kira-kira jam 12 tengah hari ini.

“Sebaik melangkah ke dalam premis, saya terdengar dentuman kuat betul-betul di belakang saya dan pada masa sama cebisan tanah mengenai kepala. Apabila berpaling, saya terkejut melihat sebuah lori terbalik di belakang saya dan menghempap bahagian belakang kereta saya,” katanya.

Usaha menemubual pemandu lori terbabit gagal selepas dihalang beberapa lelaki dipercayai pekerja syarikat lori berkenaan.hmetro

Asyik termenung

KUANTAN: “Sejak hari pertama Ramadan, arwah asyik termenung setiap kali sebelum masuk waktu berbuka dan saya tidak menyangka perlakuannya itu petanda yang dia akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,” kata Wahed Awang, 73, bapa kepada Mohd Wahidi, 33, yang meninggal dunia akibat digilis lori di Kilometer 16, Jalan Kuantan-Sungai Lembing di Tanjung Pasir, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.50 malam kelmarin, Mohd Wahidi yang bekerja sebagai seorang buruh dan berasal dari Kampung Bukit Goh, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kepalanya digilis lori yang mahu membelok ke kanan untuk memasuki stesen minyak.

Mangsa yang menunggang motosikal, dipercayai tidak sempat mengelak lori berkenaan sebelum terjatuh dan digilis lori yang mahu ke Sungai Lembing dari Kuantan itu.

“Dia seorang anak yang baik dan saya reda dengan pemergiannya cuma terkilan kami tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama-sama tahun ini,” kata Wahed yang enggan bercakap banyak kerana terlalu sedih dengan pemergian anaknya itu.

Lebih menyedihkan lagi, beberapa anggota keluarga mangsa turut membantu anggota polis mengutip cebisan otak mangsa yang bertaburan di jalan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan yang dalam perjalanan menghala ke Sungai Lembing dari Kuantan dikatakan cuba membelok ke kanan untuk memasuki ke sebuah stesen minyak.
“Pada masa sama, mangsa yang berada di belakang lori berkenaan dipercayai cuba memotong kenderaan berat itu, namun gagal sebelum berlaku pergeselan di sebelah kanan lori.

“Akibatnya, mangsa terjatuh di permukaan jalan sebelum digilis lori berkenaan mengakibatkan kepalanya pecah. Kejadian terbabit mengakibatkan laluan menjadi sesak berikutan lori berkenaan melintang jalan sebelum keadaan dapat dikawal anggota polis trafik,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Katanya, pemandu lori terbabit yang berusia 31 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan dan tampil membuat laporan berhubung kejadian di Balai Trafik Kuantan, pagi semalam.

Zulkifli berkata, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.hmetro

Dua beradik maut bersama


SEGAMAT: Dua beradik berumur 56 dan 57 tahun serta masih bujang maut diseret kira-kira 100 meter selepas motosikal ditunggang dirempuh lori di Kilometer 54, Jalan Jementah-Segamat di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, Lim Chong Chun dan Lim Choon Lan maut di tempat kejadian manakala pemandu lori terbabit tidak berhenti walaupun motosikal mangsa terbakar di bawah kenderaan berkenaan.

Kedua-dua mangsa mati akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Asisten Superintendan Mansur Taib berkata, mangsa dalam perjalanan ke kebun getah milik mereka di Batu 11, Jalan Jementah-Segamat.

“Sejurus mangsa tiba di lokasi kejadian, lori terbabit yang datang dari arah bertentangan terus merempuh mereka.

“Tambah tragik, lori yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun itu tidak menghiraukan perkara berkenaan sebaliknya hanya berhenti kira-kira 30 kilometer iaitu di daerah Ledang selepas ditahan kereta peronda polis,” katanya, semalam.


Menurut beliau, apabila ditanya, pemandu lori ayam terbabit memberi alasan tidak mahu berhenti kerana hendak membuat laporan polis di Balai Polis Ledang.

Mansur berkata, kejadian berkenaan disedari seorang anggota polis yang tidak bertugas sebelum dia menghubungi Balai Polis Jementah.

“Anggota polis berkenaan berada di sebuah gerai di lokasi kejadian bersama beberapa rakan dan menyaksikan kejadian terbabit.

“Pemandu terbabit kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 410 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.hmetro

Hosni, anak tidak mengaku salah


KAHERAH: Presiden Mesir yang disingkirkan, Hosni Mubarak, dan dua anak lelakinya mengaku tidak bersalah atas dakwaan membunuh serta rasuah dalam perbicaraan bersejarah terhadap diktator itu, semalam.
Sambil berbaring di atas pengusung dalam kandang tertuduh, Hosni menafikan semua tuduhan merancang pembunuhan ke atas penunjuk perasaan antikerajaan dikenakan terhadapnya.

Anak Hosni, Alaa dan Gamal, turut membuat pengakuan sama bagi tuduhan menipu.

Kedua-dua anak Hosni juga kelihatan bergilir-gilir melindungi bapa mereka daripada rakaman kamera televisyen, selain sering mendekatkan diri dari semasa ke semasa untuk bercakap dengannya.

Tiga anak beranak itu dibicarakan bersama bekas Menteri Dalam Negara, Habib al-Adly, dan enam bekas pegawai kanan keselamatan Mesir.

Perbicaraan itu adalah tuntutan utama penunjuk perasaan yang turun ke jalan raya pada 25 Januari lalu bagi mendesak rejim Hosni digulingkan.

Penyingkiran Hosni - selepas memerintah Mesir secara kuku besi selama 30 tahun - mengejutkan rantau Timur Tengah.Agensi berita rasmi Mesir, MENA, melaporkan Hosni akan terus ditempatkan di hospital selepas membuat kemunculan pertama di mahkamah.Hosni dirawat di hospital Sharm el-Sheikh sejak April lalu selepas mengalami masalah kesihatan kesan soal siasat kes salah laku terhadapnya. - AFPhmetro

Mayat dikerat 15 bahagian

AMPANG: Misteri bau busuk di sebuah unit pangsapuri tanpa penghuni di tingkat lima Blok Chryssa, Apartmen Astaria, di sini, sejak Sabtu lalu terbongkar apabila pihak pengurusan menemui kaki kiri manusia yang sudah berulat dan beberapa organ manusia dalam tandas unit itu, petang semalam.
Difahamkan, beberapa anggota badan manusia turut ditemui dalam tiga bungkusan plastik di atas siling tandas dan beberapa tempat dalam rumah berkenaan.

Dipercayai mangsa dibunuh tidak lebih dari seminggu lalu sebelum anggota badannya dikerat melebihi 15 bahagian.

Penghuni yang menginap selang sebuah rumah dari unit terbiar itu, Shahril Abdul Rahman, 30, berkata sebaik pulang dari kerja kira-kira jam 5.30 petang, dia bersama beberapa kakitangan pihak pengurusan bangunan memasuki unit berkenaan bagi menyiasat punca bau busuk itu.

“Saya terkejut apabila menemui satu kaki manusia dikerat dari paras pinggang sebelum pihak pengurusan menghubungi polis,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin yang berada di tempat kejadian, berkata anggota badan yang ditemui itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk proses bedah siasat.


“Identiti dan jantina mangsa belum dipastikan dan anggota terbabit sudah dihantar ke PPUM bagi tindakan lanjut.

“Anggota badan itu ditemui dibuang di merata-rata tempat dalam unit berkenaan yang lebih kurang 10 tahun tidak dihuni,” katanya.

Menurut Amirrudin, siasatan lanjutan akan dijalankan secepat mungkin bagi mengenal pasti identiti mangsa serta kejadian sebenar di sebalik penemuan mayat yang dikerat itu.hmetro

‘Berpisah depan sekolah’

SETIU: “Saya tidak menyangka perpisahan di depan sekolah selepas suami menurunkan saya kira-kira jam 7 pagi tadi (semalam) adalah pertemuan terakhir kami,” kata Azlina Mohd Razali, 30, yang kehilangan suami selepas lelaki berkenaan maut dalam kemalangan di Kilometer 54, Jalan Kuala Terengganu-Jertih di Kampung Sungai Tong, semalam.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, Ahmad Yusrizal Yusof, 35, maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di tempat kejadian.

Azlina yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Tong tidak dapat menahan perasaan sedih selepas mendapat berita kematian suaminya yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Langkap, dekat sini.

Ahmad dalam perjalanan dari sekolahnya untuk menjemput Azlina pulang bersama-sama ke rumah mereka di Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, dia terbabit dalam kemalangan selepas kereta Perodua Viva dipandunya bertembung sebuah lori yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan.

Kemalangan itu berlaku kira-kira satu kilometer dari tempat isterinya bertugas.


Azlina yang baru seminggu kembali bertugas selepas bersalin anak ketiga dikatakan berulang-alik bersama suaminya setiap hari ke sekolah masing-masing.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas dua jam dan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Permaisuri terpaksa menggunakan gergaji elektrik memotong kereta terbabit bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.
Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kepala lori terbabit masuk ke dalam parit terletak di tepi jalan raya itu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.hmetro

Kecil-kecil sudah zalim


CEDERA...bapa berkenaan menunjukkan kecederaan pada telinga anaknya.
CEDERA...bapa berkenaan menunjukkan kecederaan pada telinga anaknya.
SUNGAI PETANI: “Tak sangka mereka tergamak berbuat demikian kerana perbuatan itu begitu zalim, sanggup meliwat, memukul dan mendera anak saya tanpa ihsan.”
Begitu kata seorang bapa yang kesal dengan tindakan tiga pelajar senior sebuah sekolah agama di Baling yang dikatakan mendera dan meliwat tiga murid berusia sembilan tahun dan sepasang kembar berusia lapan tahun sejak 20 Jun lalu.
Difahamkan, kejadian berlaku sejak sebulan lalu selepas murid berkenaan mendaftar masuk sekolah agama itu, malah seorang daripada mereka dikatakan diliwat beberapa kali dalam masa lebih sebulan.

Bapa yang enggan dikenali itu mendakwa, kejadian berlaku sejak dia mendaftar anaknya berusia sembilan tahun ke sekolah berkenaan dan murid terbabit mengikuti minggu orientasi 40 hari tanpa dibenarkan pulang ke rumah atau berjumpa waris.


“Saya terkejut apabila melihat muka anak lebam, selain bengkak kaki dan tangan. Telinga anak saya juga kehitaman manakala darah keluar melalui hidungnya. Saya terus membawanya ke hospital.hmetro

Ketua geng curi diburu

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dikehendaki polis selepas terbabit dalam sindiket curi kenderaan ditahan dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Sentul, di sini kelmarin.
Penahanan itu juga adalah susulan penangkapan dua suspek sindiket curi kereta di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai, di sini 28 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, penahanan itu hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek terbabit.

“Suspek adalah seorang lelaki berusia 45 tahun dan siasatan awal mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau tetapi terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Difahamkan, suspek ketiga itu bertindak sebagai orang tengah yang melakukan urusan jual beli kenderaan yang dicuri.

“Ketiga-tiga suspek direman hingga 6 Ogos ini,” katanya.


Menurutnya, dalam serbuan itu, mereka turut menemui tiga lagi kenderaan yang dilaporkan dicuri di sekitar Lembah Klang iaitu dua Proton Wira Aeroback dan sebuah Kia Karnival.

“Selain itu, polis turut menemui beberapa geran serta cukai jalan palsu yang dipercayai digunakan sindiket terbabit untuk menjual kenderaan itu kepada pengedar kenderaan terpakai. “Polis masih memburu seorang lagi suspek yang dikenali sebagai ‘Rambo’ yang dipercayai bertindak sebagai ketua sindiket berkenaan,” katanya.

Wan Abdul Bari berkata, sekurang-kurangnya 20 kes curi serta pecah kereta berjaya diselesaikan selepas suspek diberkas walaupun masih terdapat seorang suspek yang masih bebas.

Polis turut menemui pelbagai barangan yang dipercayai dicuri dan disimpan di rumah suspek kedua termasuklah pisau pelbagai model, pedang samurai, keris, jam tangan pelbagai jenama, pemain DVD, perakam video Sony, serta telefon bimbit pelbagai jenama.hmetro

‘Saya rasa terbakar’

CEDERA...keadaan tubuh Faizal akibat disimbah asid oleh individu tidak dikenali, kelmarin.
CEDERA...keadaan tubuh Faizal akibat disimbah asid oleh individu tidak dikenali, kelmarin
KOTA BHARU: Seorang jurujual nekad berlari sejauh kira-kira 30 meter dalam keadaan kepanasan untuk mendapatkan rawatan selepas disimbah cecair dipercayai asid dalam kejadian di Taman Uda Murni, dekat Pengkalan Chepa, malam kelmarin.
Mangsa, Faizal Halim Rustam, 37, berkata, sebelum kejadian dia berada di hadapan sebuah kedai sambil membaca akhbar selepas membeli minuman kira-kira jam 8.30 malam.

“Secara tiba-tiba saya berasa seperti belakang badan, kepala serta muka terbakar selepas disimbah sejenis cecair oleh individu yang tidak saya kenali.

“Saya berlari ke sebuah klinik komuniti berhampiran yang terletak kira-kira 30 meter dari tempat kejadian bagi mendapatkan rawatan awal. Sebaik tiba, kakitangan di klinik itu menyapukan krim ke seluruh anggota badan serta muka,” katanya.

Menurut Faizal, dia dihantar ke Kota Bharu Medical Centre (KBMC) untuk rawatan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana kecederaan serius di bahagian mata.

Ketika ditanya mengenai motif kejadian, Faizal berkata, kemungkinan ada individu dengki dengannya dan enggan mengulas lanjut serta menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.


“Saya tidak bermusuh dengan sesiapa dan menyerahkan kepada polis menjalankan siasatan dan berharap suspek yang terbabit dengan kejadian ini dapat ditangkap segera,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu.Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad berkata, Faizal masih menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan dan mengalami kesan terbakar lebih 17 peratus.Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Wanita kena tembak


SUNGAI PETANI: Seorang kakitangan sebuah pasar raya terkejut apabila individu tidak dikenali melepaskan tiga das tembakan ke arah cermin pintu rumahnya dengan menggunakan pistol angin di Taman Ria Jaya, di sini, malam kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam ketika wanita berusia 40-an berkenaan yang tinggal berseorangan sedang berehat sambil menonton televisyen di ruang tamu sebelum terdengar bunyi pintu kaca hadapan seperti terkena objek keras.

Sumber berkata, mangsa yang terkejut dengan kejadian itu meluru keluar ke pintu depan untuk melihat apa yang berlaku sebelum ternampak kelibat sebuah kereta hitam memecut laju dari hadapan rumahnya.

Menurutnya, mangsa kemudian memeriksa cermin pintu hadapan dan mendapati ada kesan retak seperti terkena tembakan.

“Mangsa membuat laporan polis sebelum sepasukan anggota dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan mendapati wujud dua lubang dipercayai tembakan pistol angin selain polis turut menemui dua butir peluru (guli) di luar pagar serta halaman rumah.

“Sepasukan anggota dari Jabatan Forensik yang melakukan siasatan juga mendapati peluru yang ditembak itu tidak menembusi kain langsir rumah mangsa,” katanya.


Katanya, sebelum ini rumah seorang peniaga di Taman Sejati ditembak sebanyak enam kali kira-kira jam 3 pagi oleh penyerang yang sama manakala suspek menembak sebanyak lima kali ke sebuah rumah di Bandar Puteri Jaya (BPJ) kira-kira jam 4 pagi pada 28 Julai lalu.

“Bagaimanapun, kedua-dua tembakan itu hanya disasarkan ke arah pintu rumah dan tingkap bilik tidur tanpa ditujukan kepada penghuni.


“Berikutan itu, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu yang terbabit serta apa tujuan dan motif mereka berbuat demikian,” katanya.mymetro

Jurujual disimbah asid lari 30 meter dapatkan rawatan

KOTA BHARU: Seorang jurujual kereta mengharungi saat memeritkan apabila terpaksa berlari sejauh 30 meter untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik komuniti berhampiran selepas disimbah cecair dipercayai asid dalam kejadian di Taman Uda Murni, Pengkalan Chepa, di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Faizal Halim Rustam, 37, mengalami kecederaan pada belakang badan, mata, leher serta lengan dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Menceritakan detik cemas itu, Faizal berkata, selepas membeli minuman pada malam itu, beliau berada di depan sebuah kedai sambil membaca akhbar sebelum disimbah cecair oleh individu tidak dikenali.
“Tiba-tiba saya rasa belakang badan, kepala dan muka seolah-olah terbakar.

Walaupun dalam keadaan kepanasan, saya sempat berlari ke sebuah klinik komuniti yang terletak kira-kira 30 meter dari situ dan kakitangan klinik itu segera menyapu krim ke seluruh badan serta muka,” katanya.

Berikutan keadaan Faizal itu, dia segera dibawa ke Kota Bharu Medical Centre (KBMC) oleh isterinya sebelum dirujuk ke HRPZ kerana mangsa mengalami kecederaan pada mata.

Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad, berkata mangsa mengalami kesan terbakar lebih 17 peratus selepas disimbah sejenis cecair.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan.bharian

Taktik kreatif seludup dadah


Datuk Tun Hisan (kiri) melihat ukiran kepala harimau yang di perbuat daripada dadah syabu yang di rampas di KLIA Selasa lalu. Juga ditunjukkan kepada wartawan ialah sebahagian ikan kering yang disumbat dadah yang dirampas di KLIA.



SHAH ALAM - Seimbas pandang, ia memang barang cenderamata berbentuk kepala harimau yang halus buatannya.
Namun tidak disangka, selepas diperiksa berkali-kali, replika kepala harimau belang itu rupa-rupanya diperbuat menggunakan 8.4 kilogram (kg) dadah jenis syabu.
Hampir 100 peratus replika cenderamata itu diperbuat dengan syabu yang menggunakan acuan berbentuk kepala harimau sebelum ia diwarnakan.
Demikian rahsia cenderamata yang dibawa seorang warga Iran berusia 26 tahun yang ditahan pada pukul 11 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang kelmarin.
Sebelum ditahan lelaki itu yang masuk sebagai pelancong berlepas dari Doha, Qatar.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, replika kepala harimau itu dibawa oleh suspek dengan memasukkannya ke dalam sebuah kotak.
"Apabila tiba di balai ketibaan, polis curiga melihat replika berbentuk kepala harimau di dalam kotak tersebut yang kononnya mahu dijadikan sebagai hadiah.
"Setelah diteliti beberapa kali, replika kepala harimau tersebut kemudian didapati bukan sekadar replika sebaliknya ia diperbuat daripada syabu bagi mengaburi pihak berkuasa," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor di sini semalam.kosmo

Jumpa bom ketika menjala



PORT DICKSON – Dua butir bom jenis ‘air dropped’ yang ditemui nelayan ketika menjala di laut sekitar perairan Port Dickson berjaya diletupkan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB), Ibu Pejabat kontinjen (IPK) Seremban, semalam.

Ketua Polis Daerah Superintendan Baljeet Singh berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan bom sepanjang 45 sentimeter itu pagi tadi (semalam) dan dimusnahkan pada jam 3.05 petang hari sama.

Menurutnya, manakala bom yang kedua pula dimusnahkan kira-kira 20 minit kemudiannya.

“Kedua-dua bom dimusnahkan di satu kawasan belukar berhampiran Jeti Kuala Lukut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi berkenaan.

Baljeet berkata, bom itu ditemui oleh nelayan kira-kira seminggu lalu dalam sebuah kotak kayu.

“Nelayan berkenaan pada awalnya tidak tahu kotak kayu yang tersangkut pada jalanya berisi bom sebelum berhasrat untuk menjualnya ke kedai besi buruk.

“Namun hasratnya terbatal apabila pembeli besi buruk berkenaan memberitahu barang yang ditemuinya itu menyerupai bom dan kemudian membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, operasi memusnahkan bom itu berjalan lancar.SH

Maut terjatuh jentera berat



AIR PUTIH – Seorang pekerja lombong maut setelah terjatuh dari jentera berat ketika menuruni cerun dalam kejadian di tapak perlombongan bijih timah Air Putih, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, mangsa, Xue You Yan, 49, seorang warganegara China dipercayai meninggal dunia ketika dikejarkan ke sebuah hospital pakar di Kuantan, Pahang.

Difahamkan, enjin jentolak yang secara tiba-tiba mati ketika menuruni cerun mengakibatkan You Yan yang memandu kenderaan berat terbabit terjatuh ke atas jalan.

Ketua Polis daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, mangsa yang berasal dari Fujian, China mengalami kecederaan parah selepas terjatuh segera dikejarkan ke hospital.

Menurutnya, mayat mangsa juga telah diserahkan kepada majikannya semalam untuk urusan selanjutnya termasuk pengebumian.

Sehubungan itu, Abdullah Sani menasihatkan pekerja yang bekerja yang di tempat berisiko termasuk di kawasan lombong, tapak pembinaan dan sebagainya agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri.

Katanya, pemandu jentera berat juga perlu memastikan kenderaan sentiasa selamat untuk digunakan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.SH