Search This Blog

Wednesday, August 3, 2011

Merokok dalam jamban

GEORGETOWN – Seorang warga emas sanggup tidak berpuasa dengan merokok di dalam tandas.

Perbuatan liciknya itu bagaimanapun berjaya dikesan Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) yang ketika itu sedang melakukan pemeriksaan di sebuah tandas awam dekat Jalan Perak.

Warga emas berusia 60 tahun dari kampung berdekatan lokasi yang ditahan itu membuat pengakuan hanya merokok kerana semput.

Kemudiannya seorang PPA JAIPP pula mengatakan kepada warga emas itu sekiranya merokok, keadaan akan lebih teruk dan akan lebih semput.

Namun warga emas itu hanya tersipu-sipu sambil membetulkan seluarnya kerana baru sahaja keluar daripada tandas.

Ketika pemeriksaan, penguat kuasa terpaksa menunggu hampir 5 minit di luar tandas berikutan warga emas itu masih berada dalam bilik air.

Semasa ditahan dia lengkap berpakaian dan juga bersongkok, namun didapati di celahan songkoknya terdapat beberapa rokok daun.

Warga emas itu berkata, dia pernah menghadapi hukuman penjara dan juga sebat tidak lama dulu.

Dalam pada itu, dia juga gagal membawa kad pengenalan berikutan ketika diperiksa dia gagal menunjukkannya kepada penguat kuasa.

Difahamkan, dia yang sudah pun bercerai mempunyai seorang anak berusia 20-an serta dipercayai tinggal bersendirian di sebuah kampung sekitar Georgetown.

PPA JAIPP kemudiannya mengeluarkan notis terhadap warga emas itu mengikut Seksyen 15 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1996 atas kesalahan tidak menghormati bulan Ramadan, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau tidak lebih enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.SH

Dua beradik nyaris rentung

IPOH – Jeritan dari luar rumah menyelamatkan dua adik-beradik yang nyaris rentung dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah lot di Jalan Madrasah, Rapat Setia di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Nurasyikin Ishak, 21, dan kakaknya, Zarifah Nadia, 23, sedang tidur di bilik tidur berasingan di bahagian hadapan dan belakang rumah berkenaan.

“Saya terdengar jeritan orang dari luar rumah yang melihat asap dan api mula marak dari bilik di bahagian belakang.

“Selepas menyedari api mula marak dan asap semakin menebal, saya segera berlari ke bilik belakang untuk menyelamatkan kakak yang kurang sihat kerana mengalami demam panas.

“Nasib menyebelahi kami berdua apabila berjaya keluar dari rumah dan jiran berhampiran turut datang menghulurkan bantuan,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Anak ketiga daripada lima adik beradik itu berkata, kakaknya pengsan dan sudah di bawa ke Hospital Pantai untuk mendapatkan rawatan.

Nurasyikin berkata, ibu serta bapa mereka, Norshimah Abdul Rahman, 51, dan Ishak Abdul Rahman, 51, sedang bekerja sewaktu kejadian berlaku dan pulang ke rumah untuk melihat keadaan rumah.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami berdua selamat. Mungkin kejadian ini adalah ujian daripada Tuhan sempena bulan Ramadan,” katanya yang sudah tinggal di rumah itu sejak enam tahun lalu.

Sementara itu, Timbalan Penguatkuasa Bomba II Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvam berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 10.27 pagi.

Tiga jentera dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh termasuk 24 anggota bergegas ke tempat kejadian bagi memadam kebakaran.

“Kami tiba di tempat kejadian pada jam 10.30 pagi dan api dapat dikawal 20 minit kemudian,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran, semalam.

Menurutnya, hampir 80 peratus daripada rumah berkenaan musnah dalam kebakaran itu namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Samasuvam berkata, setakat ini punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Bagaimanapun, siasatan awal mendapati kebakaran itu berpunca daripada bilik di bahagian belakang rumah.SH

Wanita nyaris maut kereta digesel treler

KEPALA BATAS- Seorang pemandu kereta jenis Produa MyVi hanya mampu beristighfar berkali-kali memohon diselamatkan apabila kereta yang dipandunya bukan sahaja digesel sebuah lori treler membawa mesin penuai padi di simpang empat, Pekan Lama di sini tengah hari semalam tetapi turut dirempuh sebuah motosikal dari belakang.

Biarpun tidak mengalami sebarang kecederaan, mangsa yang mahu dikenali sebagai Latifah dari Bertam Perdana berkata, dia mengalami kerugian besar apabila kereta yang baru dibelinya itu mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan belakang.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika Latifah, 40 an berhenti di lampu isyarat simpang empat itu menunggu lampu hijau untuk menghala ke arah pasar basah yang terletak berdekatan Sekolah Kebangsaan Hashim Awang di sini.

“ Kakak berada di garisan yang ditetapkan di persimpangan itu namun, sebuah lori treler membawa mesin penuai padi dari arah Bertam Perdana tiba-tiba membelok untuk ke arah jalan ke Sungai Petani merempuh bahagian kanan hadapan kereta.

“ Biarpun saya menjerit kuat, treler itu terus bergerak menyebabkan tayar mesin penuai padi berbilah besi yang dibawanya mengenai bahagian tepi kereta sehingga hampir mengenai badan saya sebelum beristighfar memohon diselamatkan oleh Allah,” katanya.

Menurutnya, dalam masa sama keretanya bergerak ke depan selepas dirempuh oleh sebuah motosikal dari arah belakang menjadikan dia semakin panik.

“ Alhamdulillah selepas beberapa kali beristighfar pemandu treler itu akhirnya memberhentikan kenderaannya dan saya yang ketakutan berjaya dibawa keluar oleh orang ramai melalui pintu penumpang selepas itu.

“Terkejut besar kerana terasa saya akan mengalami kecederaan teruk dalam kejadian itu apabila bilah besi tayar mesin penuai padi itu betul-betul berada di hadapan muka,” katanya.

Penunggang motosikal yang dikenali sebagai Malan, 50’an turut bersyukur hanya mengalami kecederaan ringan sahaja dalam kejadian itu.SH

Pemandu treler itu bagaimanapun enggan ditemu bual dan masing-masing membuat laporan di Pejabat Trafik Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Utara sejurus selepas itu.

Kemalangan itu turut mengakibatkan aliran trafik menghala ke arah Sungai Petani tergendala selama hampir sejam.

RM500,000 lesap dilarikan enam perompak



KUANTAN - Wang hasil kutipan perniagaan sepanjang hujung minggu sebuah pasar raya berjumlah kira-kira RM500,000 yang disimpan dalam peti besi premis perniagaan di Batu 6, Jalan Gambang dekat sini itu lesap dikebas enam perompak, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian antara jam 1.30 hingga 2 pagi itu, dua pengawal keselamatan yang bertugas turut diikat bagaimanapun mereka tidak dicederakan.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, enam suspek dipercayai warga asing dipercayai bertindak mengikat dua pengawal terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam pasar raya itu melalui pintu belakang.

Menurutnya, penjenayah yang memakai penutup muka serta bersenjatakan pisau. kapak dan besi itu terus masuk ke bilik pejabat dan memecah peti besi yang menyimpan kesemua wang hasil kutipan pasar raya terbabit sepanjang hujung minggu lalu.

“Suspek hanya mengambil wang kertas dianggarkan berjumlah RM0.5 juta,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Noor Asyikin berkata, selepas mendapat habuan lumayan itu, suspek segera melarikan diri dengan meninggalkan kedua-dua pengawal terbabit dalam keadaan terikat.

“Bagaimanapun kira-kira jam 4 pagi, salah seorang pengawal terbabit berjaya melepaskan diri sebelum keluar meminta bantuan dan membuat laporan polis di Balai Jaya Gading dekat sini,”katanya.

Beliau berkata, susulan laporan polis berhubung kejadian itu, polis menahan dua suspek warga asing bagi membantu siasatan.SH

200 rumah dilanda banjir

KANGAR - Lebih 600 penduduk di beberapa kampung di sini, panik apabila rumah mereka tiba-tiba dinaiki air sehingga paras betis akibat banjir kilat yang berlaku awal pagi, semalam.

Banjir yang menjejaskan lebih 200 buah rumah dari Kampung Kurung Batang, Kampung Syed Omer, Kampung Hutan Ketiau dan Kampung Sungai Batu Pahat itu dipercayai berlaku akibat hujan lebat kira-kira jam 3 pagi semalam.

Peniaga kuih kering tradisional, Aisyah Nanyan, 51 berkata, dia percaya banjir kilat itu berlaku disebabkan hujan lebat yang turun bermula ketika keluarganya bangun untuk bersahur kira-kira jam 3.30 pagi hingga 7 pagi.

Menurutnya, akibat hujan lebat berkenaan, air naik begitu pantas sehingga menyebabkan sebahagian penduduk kampung tidak sempat mengalihkan barangan mereka terutama peralatan yang berat dan besar.

Katanya, dia bersyukur kerana beberapa mesin termasuk mesin penipis tepung, mesin uli tepung dan mesin pembungkus berjaya disimpan di bengkel rumahnya berjaya diselamatkan.

“Selain itu, kuih tradisional seperti kuih karas, kuih kapal terbang, kuih loyang dan kuih popia simpul yang sudah disiapkan sejak satu Ramadan juga berjaya diselamatkan,” katanya yang sudah lebih 15 tahun mengusahakan perniagaan itu.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Ir. Nishad Mohamed Mohd. Shaffy berkata, kejadian banjir kilat yang berlaku awal pagi semalam itu dipercayai berpunca dari hujan lebat.

Malah, berdasarkan warna air yang seakan-akan kekuningan itu, pihaknya percaya banjir yang berlaku itu juga boleh dikaitkan dengan faktor hakisan tanah dan projek di sekitar Batu Pahat di sini.

Ir Nishad berkata, penduduk diingatkan untuk tidak mengaitkan kejadian banjir itu dengan Empangan Timah Tasoh kerana paras air di empangan ketika itu berada pada paras rendah iaitu 28.84 meter iaitu bawah paras normal 29.1 meter.SH

Musibah awal Ramadan

BUKIT PAYONG – Keluarga Mustafa Abu Bakar, 56, berdepan keadaan amat menyedihkan untuk menunaikan ibadat puasa dan menyambut Aidilfitri tahun ini apabila rumah mereka di Kampung Sungai, Atas Tol, di sini, musnah dalam kebakaran, semalam.

Kejadian kebakaran itu berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ketika Mustafa yang juga dikenali sebagai Pok Pa berada di rumah tersebut.

“Saya berada di ruang tamu bersama cucu, Mohd Fariz Fariza Faisal, 3, dan sedang bersiap untuk keluar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mustafa berkata, sebaik ingin melangkah keluar dari rumah dia terdengar bunyi letupan kecil dari arah dapur lalu masuk semula ke dalam rumah dengan meninggalkan cucunya di ruang tamu, manakala dia terus meluru masuk ke dapur.

Namun menurutnya, sebaik tiba di dapur, dia melihat api sudah marak dan merebak dengan begitu cepat. Tanpa berlengah, bapa enam anak ini terus keluar lalu mendapatkan cucu yang ditinggalkan di ruang tamu sebelum keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

“Dalam kejadian itu, semua peralatan perabot dan elektrik di rumah hangus. Saya sangat sedih kerana semua hasil titik peluh kami sekeluarga termasuk hasil wang bekerja sebagai pemandu di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) musnah dalam sekelip mata.

“Rumah ini juga terbina daripada hasil wang hasil titik peluh arwah mentua sebanyak RM25,000 yang diberikan kepada isteri saya. Kini tiada apa lagi yang tinggal, saya pula sudah bersara jad terpaksa menumpang di rumah anak sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Mustafa yang mempunyai enam anak tinggal di rumah itu bersama isterinya, Wan Mahani Wan Omar, 57, dan dua anak, Mohd Taufiq, 31, dan Siti Fatimah, 28, manakala empat lagi anaknya sudah berumah tangga dan tinggal berdekatan dengan rumahnya yang musnah itu.

Ditanya mengenai kerugian, Mustafa menganggarkan kerugian yang ditanggung adalah RM100,000 dan punca kejadian kebakaran juga masih dalam siasatan pasukan Bomba dan Penyelamat daerah Kuala Terengganu.

Pihak berkuasa itu ketika dihubungi turut mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Zaidi Muda, yang dimaklumkan mengenai musibah dialami keluarga Mustafa, turut melawat lokasi kejadian dan menyampaikan bantuan peribadi bagi meringankan beban mangsa.SH

Sanggup jahanam kereta

KUANTAN - Seorang lelaki disyaki pengedar dadah bersama isterinya sanggup menjahanamkan kereta mewah yang dinaiki apabila bertindak merempuh dua kenderaan polis yang cuba menghalang mereka daripada melepaskan diri daripada pemeriksaan di Plaza Tol Jabor, Kemaman, Terengganu, petang kelmarin.

Polis terpaksa bertindak memecahkan cermin tingkap sebelah pemandu bagi menghalang tindakan agresif lelaki itu apabila dia cuba merempuh semua kenderaan polis yang membuat halangan.

Cubaan suspek melepaskan diri gagal apabila dia berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan ke atas lelaki itu, polis menjumpai dua keratan straw berisi dadah Heroin, sebiji pil WY dan wang tunai RM207 dalam dompetnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Yap Toon Khuan berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta dinaiki suspek, polis turut menemui 237 gram heroin di tempat duduk penumpang belakang.

Menurutnya, turut dijumpai dan dirampas wang tunai RM1,400, empat telefon bimbit dan sebuah kereta jenis BMW yang dianggarkan bernilai RM40,000.

“Polis percaya dadah yang dibawa masuk dari ibu kota itu bernilai RM7,000 dan nilai runcitnya mencecah hingga RM21,000,” katanya dalam satu sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, suspek berusia 33 tahun berasal dari Bachok, Kelantan itu didapati positif Opiate dan memiliki dua rekod kesalahan lampau manakala isterinya berusia 27 tahun dari Marang, Terengganu positif Methamphetamine.

“Kedua-dua mereka kini ditahan reman selama seminggu di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang pemandu kereta menggigil ketakutan apabila kereta yang dinaikinya bersama seorang wanita ditahan poli semasa penugasan Ops Tapis Bersepadu dalam satu sekatan jalan di Kilometer 23, Jalan Jerangau-Jabor dekat sini, petang kelmarin.

Toon Khuan berkata, hasil pemeriksaan ke atas pemandu berusia 40 tahun dan wanita berusia 37 tahun itu, polis menemui serbuk dan ketulan berwarna kehijauan disyaki Heroin seberat 453 yang dibungkus menggunakan kertas surat khabar sebelum diisi dalam sebuah beg.

“Polis percaya dadah itu dibawa dari negara jiran dan nilainya RM12,000 manakala harga runcitnya mencapai RM36,000.

“Dalam kes ini polis turut merampas wang tunai RM2,110, tiga telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Ford Laser bernilai kira-kira RM12,000 untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini ditahan di IPD Kuantan untuk siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952.

Toon Khuan berkata, dua pasangan suami isteri itu antara enam individu yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di seluruh negeri ini dalam tempoh 29 Julai hingga 1 Ogos lalu.

“Berikutan tertangkapnya semua suspek itu, polis merampas pelbagai jenis dadah dengan beratnya lebih 753 gram dan dianggarkan bernilai RM23,500 manakala harga runcitnya hampir RM70,000,” katanya.

Dalam salah satu kejadian itu, seorang pengedar dadah cedera di bahagian muka, bahu, dada dan jari akibat bergelut dengan polis ketika cuba melarikan diri daripada Ops Tapis Bersepadu di Kampung Ria Semantan, Cheroh Raub.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas lelaki itu polis menemui tujuh peket plastik dadah Heroin seberat 18.7 gram dan lima keratan straw berisi dadah sama dianggarkan nilai runcitnya mencecah RM4,050.

“Kita juga turut menahan seorang penunggang dan merampas 18 peket plastik lut sinar disyaki Heroin seberat 44.30 gram yang cuba dicampak bagi mengelak pemeriksaan polis ketika melalui Jalau Krau ke Felda Mempaga 3 , Karak.
SH

Janda anak dua kaki Morfin

PINANG MERAH – Kunjungan seorang wanita berstatus janda anak dua ke rumah teman lelakinya untuk berkongsi hobi gian dadah membawa padah apabila dia dicekup pihak berkuasa.

Wanita terbabit yang berasal dari Tumpat, Kelantan dan menetap di Gong Gemia datang ke lokasi terbabit dipercayai untuk mendapatkan bekalan daripada teman lelakinya yang juga seorang pengedar.

Bagaimanapun, serbuan kira-kira jam 9 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah diketuai Inspektor Wahid Sujani itu berjaya menahan janda terbabit dan teman lelakinya, 37, yang hanya berseluar dalam, selain menemui satu tiub serbuk putih disyaki dadah jenis Heroin disembunyikan di dalam seluar dalam suspek lelaki.

Suspek wanita ketika ditanya turut mengakui pernah mengambil dadah jenis Heroin dan Methapethamine dan dia juga pernah ditahan polis sebelum ini kerana terbabit penyalahgunaan dadah selain terlibat dengan kes khalwat.

Teman lelakinya yang berasal dari Pinang Merah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki serta positif dadah.

Janda terbabit yang pernah bekerja sebagai pembantu kedai makan di Paka itu setelah menjalani ujian saringan air kencing juga didapati positif dadah Methapethamine dan ditahan reman mengikut seksyen 15(1) ADB 1952.

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kes terbabit.
SH

Pemandu cedera parah

RANTAU PANJANG – Gara-gara sebuah kenderaan membuat pusingan U di sini kira-kira jam 5.30 petang kelmarin, pemandu kereta Alphad menerima nasib malang apabila cedera parah dalam kemalangan di Kampung Gual Mesa, di sini.

Ketika kejadian Sinar Harian difahamkan kereta jenis Nissan Latio dinaiki lelaki Melayu dalam perjalanan dari Rantau Panjang untuk membeli air tebu sebagai juadah berbuka hari pertama berpuasa, kelmarin.

Bagaimanapun, tiba di tempat kejadian, pemandu Nissan Latio yang selesai membeli air tebu membuat pusingan ‘U’ menyebabkan pemandu Alphad dari arah sama gagal mengawal kenderaan dan melanggar Nissan Latio sebelum melanggar sebatang pokok di tepi jalan.

Berikutan kejadian itu, pemandu Alphad, seorang lelaki Melayu cedera parah pada bahagian badan dan turut difahamkan patah kaki dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

:Seorang ahli keluarga kepada mangsa kemalangan berusia 27 tahun dan enggan dikenali berkata, ketika kejadian kereta Nissan Latio dipandu seorang lelaki tanpa penumpang, sementara kereta jenis Alphad dinaiki tujuh penumpang termasuk pemandu.

“Semua yang terbabit dihantar ke HUSM yang mana pemandu mengalami kecederaan parah,” katanya.
SH

Saksi kes ragut diminta tampil

KUALA TERENGGANU - Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian ragut melibatkan dua beradik di Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu, Ahad lalu untuk tampil membantu polis.

Katanya, kerjasama orang awam yang melihat kejadian itu amat perlu memandangkan sehingga hari ini, pihaknya masih belum terima sebarang petunjuk yang boleh membantu siasatan untuk menangkap penjenayah.

“Sehingga kini, masih belum ada saksi berani tampil memberi maklumat. Namun, kami yakin pasti ada saksi semasa kejadian memandangkan lokasi kejadian terletak di kawasan yang agak sibuk dengan laluan orang ramai.

“Jika saksi kejadian ini mengambil sikap berdiam diri, ini satu keputusan yang amat dikesali kerana kita hidup bermasyarakat perlu, prihatin satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat dua beradik itu di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.

Menurutnya, daripada maklumat awal mangsa, mereka diragut oleh dua remaja lelaki yang menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran.

“Daripada maklumat itu, kami yakin penjenayah terbabit merupakan antara penjenayah yang berpengalaman dan ini bukanlah kegiatan pertama mereka,” katanya.

Menurutnya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

Sinar Harian keluaran Isnin lalu menyiarkan tindakan nekad dua beradik mengejar peragut yang melarikan beg tangan mereka membawa padah apabila motosikal ditunggangi bertembung dengan sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan di Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu, kira-kira jam 8.30 pagi.

Dalam kejadian itu, Maleha Malik, 25, hampir putus tangan kanan dan luka pada bahagian badan manakala adiknya, Maizatul Akmal Malik, 22, dilaporkan koma sementara seorang penunggang motosikal lain berumur 30-an turut mengalami kecederaan parah dan dirawat di hospital sama.

Bagaimanapun, semalam, ketiga-tiga mereka dilaporkan stabil.

Dalam perkembangan lain, Jamshah berkata, sempena Ramadan, pihaknya mengambil inisiatif menambah anggota kawalan bagi memastikan keselamatan orang awam lebih terjamin terutama di lokasi yang menjadi tumpuan seperti Bazar Ramadan dan pasar raya.

“Kami mengurangkan anggota di pejabat dan mengerahkan mereka membuat kawalan di luar termasuklah rondaan pejalan kaki, rondaan bermotosikal, rondaan kereta peronda (MPV) serta terlibat dengan Ops Payung yang dilancarkan sebelum ini,” katanya.SH

Polis buru isteri mangsa

KOTA BHARU - Polis Kelantan kini memburu seorang wanita untuk membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat suaminya yang berusia 56 tahun selepas dipercayai dibunuh dan disumbat di dalam bonet kereta di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang akhir Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng, berkata, wanita yang dikenali sebagai Low Eng Kim, 44, berasal dari Apartment Desa Sri Maju, Pudu Pantai Cahaya Bulan dekat sini diminta tampil segera untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabit kesalahan boleh dihukum sampai mati.

Sehubungan itu, Yong Heng meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi segera balai polis berdekatan atau menerusi talian 09-7450999.

Sebelum ini, beliau berkata, polis sudah mengambil keterangan beberapa saksi selepas mayat ditemui untuk membantu pihaknya menjalankan siasatan.

Pada Mac lalu, mangsa yang juga ahli perniagaan ditemui mati dan disumbat di dalam bonet kenderaan sebelum dijumpai oleh orang awam kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Polis menerima laporan daripada seorang penjual air tebu memaklumkan mengenai penemuan sebuah kenderaan jenis Toyota Vios berwarna hitam yang berada dalam keadaan mencurigakan dan tidak berkunci di kawasan itu.

Hasil pemeriksaan pihak polis yang tiba di kawasan itu kira-kira jam 10 malam membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki.
SH

15 hilang tempat tinggal

PASIR MAS – Seorang nenek nekad menyelamatkan dua cucunya yang berusia 11 bulan dan empat tahun apabila rumah yang didiami sejak 40 tahun lalu di Kampung Kasar, terbakar pada jam 12.30 tengah hari, semalam.

Mangsa, Zawiyah Che Kar, 60, berkata, dia terdengar tangisan cucunya yang baru sahaja pulang dari sekolah, Mohd. Wafi Azlan, 6, menjerit kerana terdapat api mula menyambar di bilik hadapan rumahnya.

“Ketika itu, makcik sedang memasak untuk sajian cucu-cucu yang akan pulang dari sekolah, namun terpaksa mendukung Norsila Mohd Faizal, 11 bulan yang sedang tidur bersama Juwita Sabila Azlan, 4 dan Wafi.

“Tiada apa yang boleh makcik lakukan, mahupun mengambil dokumen yang penting, kerana keselamatan cucu-cucu lebih penting daripada segala-galanya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, suaminya, Zakaria Awang Kechik, 60, berkata, ketika kejadian, dia berada di bandar dan tidak sempat membeli juadah berbuka puasa apabila, anaknya menghubunginya mengenai kejadian yang menimpa mereka tengah hari itu.

“Semua kelengkapan rumah, barang kemas milik isteri, kereta proton saga pakcik dan motosikal EX-5 milik menantu hangus dalam kebakaran ini.

“Kerugian mungkin mencecah sehingga berjumlah RM90,000 memandangkan empat anak pakcik bersama menantu dan lima cucu turut sama menginap di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Pasir Mas, Che Kadir Che Ya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.05 tengah hari.

“Kita bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera bersama lima anggota, dan kita dapati rumah tersebut terbakar hampir 100 peratus.

“Tiada kemalangan maut dilaporkan, dan punca serta kerugian yang ditanggung masih lagi dalam siasatan,” katanya.
SH

Penyeludup petrol sanggup melompat dari kereta


KOTA BHARU - Pelbagai taktik dilakukan penyeludup petrol di negeri ini bagi mengelak ditangkap dan yang terbaru dua lelaki sanggup melompat dari kereta yang bergerak sehingga kenderaan itu melanggar tiang dan tangga rumah di Pasir Pekan, Tumpat, dua hari lalu.

Bagaimanapun, dua lelaki terbabit berjaya melarikan diri ke dalam semak di kawasan itu sejurus melompat keluar dari kereta Proton Saga yang dipercayai membawa muatan petrol untuk diseludup ke negara jiran.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan, Fauzi Harun berkata, siasatan dijalankan mendapati tangki minyak kereta itu diubahsuai dan dipercayai mampu memuatkan petrol sehingga 300 liter.

“Dalam kejadian 1.30 petang itu, seorang lelaki didapati dalam keadaan mencurigakan ketika mengisi minyak di Petronas Pasir Pekan dan seorang lagi rakannya menunggu di tempat pemandu kereta.

“Apabila menyedari kehadiran pegawai kami yang diketuai A'ala Shah Md Yusop mereka tergesa-gesa masuk ke dalam kereta dan melarikan diri sehingga terlanggar kereta penguatkasa,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Menurutnya, pemandu kereta itu terus memecut ke jalan kampung sehingga hilang kawalan sebelum bertindak melompat keluar dari kereta yang bergerak dan membiarkan kenderaan itu melanggar tiang rumah dan tangga rumah penduduk.

Katanya, mereka kemudian terus masuk ke kawasan semak dan akibat tindakan liar itu menyebabkan tiang dan tangga rumah tersebut patah namun tiada kecederaan yang dilaporkan.

Fauzi berkata, dua lelaki terbabit sanggup membahayakan nyawa sendiri dan tidak menghiraukan nyawa orang lain terutama kanak-kanak yang sedang bermain ketika kejadian itu.

“Pihak kami mendapati aktiviti penyeludupan barang kawalan terutama petrol dan diesel semakin berleluasa dan aktif ekoran permintaan tinggi dan harga lebih mahal di Thailand.

”Penyeludup ini juga menggunakan kereta atau lori pendaftaran tempatan yang diubahsuai tangki minyak hingga boleh memuatkan muatan sehingga mencapai kuantiti 500 liter,” katanya.

Menurutnya, penyeludup juga menggunakan tangki asal tetapi kerap membuat pengisian selepas menyedut keluar di kawasan penyeludupan yang ditetapkan sebelum minyak itu diseludup ke negara jiran pada malam hari.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Bekalan 1974.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
SH

Penarik kereta dihukum kali ke-11


KOTA BHARU - Seorang penarik kereta menghadapi hukuman kali ke-11 apabila Mahkamah Majistret 3 Kota Bharu, di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadapnya kerana kesalahan memiliki dadah, Mei lalu.

Lelaki berusia 37 tahun itu sebelum ini memiliki 10 rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 membabitkan penyalahgunaan dan pemilikan dadah mengikut Seksyen 12(2) akta sama.

Terbaru, semalam, Tengku Mohamed Zabaniah Raja Jaafar dituduh memiliki 0.30 gram Heroin semasa berada di sebuah rumah banglo di Lorong Chica, Jalan Bayam, di sini pada jam 3 petang, 1 Mei lalu.

Pada prosiding semalam, tertuduh yang sedang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan sebelum ini sekali lagi mengaku bersalah pada pertuduhan terbaru berkenaan.

Berikutan pengakuan itu, Majistret Nur Zakiyah Shamsudin memutuskan hukuman penjara 10 bulan tersebut.

“Hukuman terhadap kamu akan berkuat kuasa dari tarikh hukuman dijatuhkan hari ini (semalam),” katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.
SH

15 warga Indonesia nyaris maut bot karam dipukul ribut

PELABUHAN KLANG 3 Ogos – Hari pertama puasa pada Isnin lepas tidak akan dilupakan oleh 15 warga negara Indonesia apabila kesemua mereka nyaris maut selepas bot yang dinaiki karam dipukul ribut.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 4 Pelabuhan Klang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kapten Maritim Mohd Amir Hamzah berkata, kesemua mereka berdepan dengan detik mencemaskan apabila bot yang dinaiki karam, 17 batu nautika dari Pulau Jarak, pada 11 malam.

Beliau berkata, ketika kejadian, bot ”Anugerah Rezeki” itu dalam perjalanan dari Tanjung Balai, Indonesia, menuju ke Satun, Thailand, untuk menghantar bekalan belacan seberat 276,000 kilogram bernilai RM117,000.

"Kesemua mangsa berusia antara 30 dan 50 tahun itu diselamatkan oleh dua buah kapal tunda yang kebetulan melalui kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Amir berkata, kesemua mereka diselamatkan oleh kapal tunda Atlantic Gulf yang membawa mangsa sebelum memindahkan mereka ke sebuah lagi bot tunda dikenali Mas Indera 7 yang dalam perjalanan menuju ke Pelabuhan Klang. – Bernama
utusan

Bekas anggota polis bersalah miliki ganja


IPOH – Seorang bekas anggota polis berpangkat L/Kpl hari ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah memiliki dadah jenis kanabis seberat 39.2 gram pada Januari tahun lepas.

Mohd Zamri Ismail, 43, yang bertugas di Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar dekat sini didapati bersalah selepas mahkamah meneliti hujah-hujah pendakwaan dan pembelaan.

Mengikut pertuduhan pindaan, Mohd Zambri didakwa memiliki dadah jenis Cannabis seberat 39.2 gram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pusat Cuci Kereta GP Global Pacific Enterprise Hasan Snow Car Wash di sini pada 5 Januari tahun lepas, 9.15 malam.

Majistret Intan Nurul Farena memerintahkan hukuman penjara dilaksanakan dari hari ini. – Bernama
kosmo

Edar heroin: 4 berhadapan hukuman mati

IPOH 3 Ogos – Tiga lelaki dan seorang wanita hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 754 gram pada bulan lepas.
Dua adik beradik Ng Kok Wah, 34, dan Ng Kok Hung, 31 dari Taman Perling, Johor bersama-sama A. Surentheran, 19, serta Nur Syuhada Amira Mohd Ramli, 30, didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 754 gram di Lengkok Hill View, Gunung Rapat di sini pada 5 pagi 23 Julai lepas.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.
Mahkamah menetapkan 6 September ini untuk sebutan semula kes dan untuk menunggu laporan kimia. – Bernama
kosmo

VCD, DVD cetak rompak RM1j dirampas


BUTTERWORTH 3 Ogos – Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang berjaya merampas DVD cetak rompak bernilai RM1 juta dalam satu serbuan di sebuah premis di Seberang Jaya dekat sini hari ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, M Guna Selan berkata, dalam operasi pada pukul 12 tengah hari itu, pihaknya merampas lebih 100,000 keping VCD dan DVD cetak rompak pelbagai tajuk dan lucah.
Katanya, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan 11 penguat kuasa KPDNKK negeri diketuai Mohd Amir Abdullah selepas melakukan risikan sejak tiga minggu lepas.
"Semasa serbuan, premis dijadikan stor memproses dan menyimpan VCD dan DVD itu berkunci dan anggota saya terpaksa memecahkan pintunya sebelum dapat masuk ke dalam,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, antara barangan lain yang dirampas ialah 11 unit mesin penyalin atau “burner” serta beberapa perkakasan mencetak.
Guna Selan berkata, serbuan hari ini merupakan rampasan terbesar KPDNKK Pulau Pinang bagi tahun ini dan ketika serbuan dibuat, tiada pekerja yang sedang bertugas di premis berkenaan. – Bernama
kosmo

Suresh perlu buktikan dipukul, dipaksa beri kenyataan



SURESH (kanan) ketika bawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam semasa perbicaraan kes pembunuhan Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, semalam.


SHAH ALAM 2 Ogos - Pekerja ladang, U. Suresh yang mendakwa dipukul dan dipaksa semasa memberi kenyataan kepada pihak polis pada 26 Oktober tahun lalu mempunyai beban untuk membuktikan dakwaan tersebut pada bicara dalam perbicaraan (TWT) di Mahkamah Tinggi di sini.
Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff berhujah, Suresh yang merupakan saksi pendakwaan ke-29 dalam perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi juga juga perlu membuktikan bahawa isi kandungan kenyataan itu tidak diberikan olehnya.
''Bicara dalam perbicaraan ini untuk membuktikan bahawa Suresh yang membuat kenyataan tersebut dan dia bukan tertuduh dalam kes ini.
''Jadi Suresh yang perlu meyakinkan mahkamah, dia tidak memberikan kenyataan tersebut lebih-lebih lagi dari awal dia mengaku menurunkan tandatangan pada kenyataan itu,'' katanya.
Beliau juga berhujah bahawa soalan yang memimpin atau soalan yang mempunyai jawapan juga tidak dilarang diberi kepada saksi semasa kenyataannya dirakam.
Selain itu, jelas Ishak, adalah mustahil untuk seseorang pegawai perakam mahupun penterjemah langsung tidak mengetahui tentang latar belakang kes sedangkan kisah pembunuhan Sosilawati disiar secara meluas di semua media.
Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Sementara Suresh bersama seorang mekanik, K. Sarawanan pula dihukum penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini bagi kesalahan melupuskan mayat keempat-empat mangsa.
Suresh telah memberi keterangan bercanggah di mahkamah pada 27 Julai lalu dengan kenyataan yang dirakam di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah pada 26 Oktober tahun lalu.
Berikutan itu, pihak pendakwaan memohon untuk mencabar kebolehpercayaan Suresh yang membawa kepada TWT selepas lelaki itu tidak mengakui isi kandungan kenyataan yang diberikan olehnya.
Sementara itu, peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan pula berhujah bahawa kenyataan Suresh itu tidak boleh diterima sebagai bahan bukti atas alasan proses rakaman tidak dilakukan dengan sempurna.
Menurut beliau, kemungkinan isi kandungan kenyataan itu telah diganggu berikutan penggunaan komputer riba serta pemacu simpanan data mudah alih (USB Pen Drive) oleh pegawai perakam, Asisten Supritendan (ASP) Ong Seng Keong yang tidak langsung diperiksa oleh pegawai penyiasat kes.
Begitu juga masalah kenyataan tersebut yang langsung tidak ditulis tangan oleh Seng Keong selain penggunaan pencetak untuk mencetak kenyataan tersebut yang tidak mempunyai sijil atau pengesahan.
Peguam Gurbachan Singh yang mewakili Matan pula berhujah bahawa terdapat keterangan bercanggah oleh Seng Keong apabila beliau mengatakan amaran dibaca tetapi tiada catatan dalam kenyataan tersebut.
Katanya, pegawai perakam itu juga gagal membacakan semula isi kandungan kenyataan yang dirakam untuk dibetulkan oleh Suresh sekiranya terdapat kesilapan sebagaimana yang tercatat pada bahagian tempat lahir saksi tersebut.
Selepas pihak-pihak selesai berhujah, Hakim Datuk Akhtar Tahir memaklumkan, beliau memerlukan sedikit masa untuk memutuskan sama ada kenyataan Suresh akan diterima sebagai bahan bukti atau sebaliknya.
Beliau turut mengarahkan prosiding TWT bagi memastikan cara tertuduh-tertuduh disoal sehingga membawa kepada penemuan bahan-bahan bukti di beberapa lokasi di Banting didengar mulai esok.
Pada prosiding hari ini, Hakim Akhtar turut menolak permohonan untuk mengemukakan buku catatan pegawai soal siasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Cif Inspektor N. Govindan sebagai bahan bukti.
http://www.utusan.com.myPerbicaraan yang masuk hari ke-15 bersambung esok.

Deposit haram: Ahli perniagaan tukar akuan

ALOR SETAR 2 Ogos - Seorang ahli perniagaan hari ini menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima deposit haram berjumlah kira-kira RM500,000 daripada orang ramai, hampir 13 tahun lalu.
Abdul Halim Che Ismail, 36, yang sepatutnya dijatuh hukum hari ini selepas mengaku bersalah pada prosiding lalu, mengubah pengakuannya selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Rosli Osman.
Ketika pertama kali didakwa di mahkamah pada 29 Julai tahun lalu, dia mengaku tidak bersalah tetapi menukar pengakuan kepada bersalah pada 11 Julai lalu.
Berikutan perkembangan hari ini, Mohd. Rosli menetapkan 19 September ini untuk perbicaraan kes tersebut.
Beliau bagaimanapun menasihatkan tertuduh agar memikirkan secara berhati-hati keputusannya memandangkan kes tersebut sudah lama tertangguh.
Mengikut pertuduhan, Abdul Halim didakwa menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah antara Disember 1998 dan Julai 2001 di Silvercoin Enterprise, di No. 15, Taman Enggang Alor Malai Jalan Langgar di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM10 juta atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh dua pegawai pendakwa dari Bank Negara, Anthony Kularaj Kulasingam dan Mohd. Syahkirin Mahpot manakala tertuduh diwakili peguam, Azman Aziz.

Kepala terlekat di pelepah sawit


NGERI...tengkorak seorang lelaki hampir reput yang terlekat pada pelepah kelapa sawit.
NGERI...tengkorak seorang lelaki hampir reput yang terlekat pada pelepah kelapa sawit.



KULIM: “Saya mahu mengait kelapa sawit, tetapi alangkah terkejutnya saya apabila ternampak kepala manusia yang sudah reput terlekat di pelepah kelapa sawit itu,” kata S Nandakumaran, 31, yang menemui mayat lelaki yang sudah reput dan anggotanya yang berselerak di Ladang Air Merah, berhampiran Taman Melur, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, pekerja ladang kelapa sawit itu baru hendak memulakan tugas mengait buah kelapa sawit di ladang itu.

Katanya, ketika tiba di situ, dia mula terhidu bau busuk yang meloyakan dan pada mulanya menyangka ia berpunca daripada bangkai binatang yang mati berhampiran kawasan berkenaan.

“Ketika saya berjalan ke arah pokok kelapa sawit untuk mengait buahnya, tiba-tiba saya terpandang satu objek bulat berwarna hitam terlekat pada pelepah kelapa sawit. Saya kemudian menghampiri objek berkenaan dan amat terkejut apabila mendapati objek itu adalah kepala manusia yang hampir reput,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, lebih mengejutkan, dia terjumpa pula bahagian tubuh mayat berkenaan yang hanya tinggal kaki dan badan berhampiran pokok kelapa sawit itu, manakala kedua-dua tangannya ditemui beberapa meter dari situ.

Nandakumaran membuat laporan di Balai Polis Kulim.


“Saya bersama beberapa pekerja lain baru memulakan tugas mengait buah berkenaan hari ini (semalam) selepas kali terakhir melakukannya pada 13 Julai lalu. Waktu itu, tiada apa-apa berlaku di kawasan ini,” katanya.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata berdasarkan dokumen pengenalan yang ditemui pada mayat terbabit, mangsa dikenali sebagai A Benny Roy, 31, dan beralamat di Klang, Selangor.Keadaan mayat yang hampir reput dan hanya tinggal kaki, manakala kedua-dua belah tangannya dijumpai beberapa meter dari mayat itu kemungkinan dibawa lari binatang buas. Kepala mangsa pula tersangkut pada pelepah pokok kelapa sawit. Seutas tali turut berada pada kepala itu,” katanya.Beliau berkata, mayat itu dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan setakat ini polis mengklasifikasikan sebagai kematian mengejut.-metro

Mangsa ingin jumpa peragut


KUALA TERENGGANU: “Setiap kali terkenangkan tragedi itu, saya berasa ingin berjumpa dan berdepan dengan peragut itu,” kata Maleha Malik, 25, yang terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, akibat menjadi mangsa ragut di Jalan Kamaruddin, di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Maleha mengalami pendarahan dalaman, patah tangan kanan dan cedera di leher manakala adiknya, Maizatul Akmal, 22, koma berikutan parah di kepala.

Anak keempat daripada 11 beradik itu berkata, dia berharap peragut terbabit dikenakan hukuman setimpal.

“Sebelum ini, saya kerap membaca kejadian ragut melalui akhbar mahupun televisyen dan tidak pernah terlintas di fikiran saya sendiri akan menjadi mangsa. “Kejadian ini membuatkan saya tertekan dan sedih apatah lagi ia berlaku ketika masyarakat Islam membuat persiapan menyambut Ramadan.

“Malah, hati saya dihambat pilu apabila dimaklumkan keluarga mengenai keadaan adik yang masih koma. Saya berharap peragut itu menerima balasan setimpal. Dia perlu bertanggungjawab di atas perbuatannya,” katanya ketika ditemui di HSNZ, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa yang ditemui ketika melawat pasangan adik-beradik itu memohon kerjasama orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan.

“Sehingga kini, tiada sebarang maklumat diterima daripada saksi tempat kejadian mengenai penjenayah terbabit. Hasil maklumat awal, dua beradik terbabt cedera apabila cuba mengejar peragut.Mangsa memaklumkan kepada saya yang mereka diragut dua lelaki yang menaiki motosikal tanpa nombor pendaftaran dan polis tidak menolak kemungkinan penjenayah terbabit sudah biasa melakukan kegiatan ragut.Kejadian ini berlaku di kawasan sibuk dan mustahil tiada siapa pun yang tidak nampak. Bagi saya, ia menyedihkan jika tiada siapa yang tampil membantu siasatan,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun.Nasib dua beradik itu turut mendapat simpati Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang mengunjungi mereka di HSNZ, petang semalam.http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mangsainginjumpaperagut/Article/index_html

Remaja Turki disebat

SHAH ALAM: Seorang remaja Turki hanya mampu menangis sambil memandang ke arah bapanya apabila dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas mengaku salah memiliki hampir tiga kilogram syabu, tahun lalu.
Hakim Datuk Akhtar Tahir juga memerintahkan supaya tertuduh, Bulut Toksoz, 19, dihukum 10 kali sebatan. Akhtar pada penghakimannya berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman itu dengan mengambil kira usia tertuduh yang masih muda. “Walaupun kesalahan dilakukannya adalah berat, saya memberi peluang kedua kepada tertuduh kerana saya mahu tertuduh menyambung pelajaran,” katanya. Remaja itu berpelukan dengan bapanya yang baru tiba di negara ini untuk mengikut prosiding itu sebelum dibawa ke lokap mahkamah. Bulut mengaku salah atas pertuduhan pilihan memiliki 2.775 kg syabu di pintu ketibaan antarabangsa, tingkat 3, bangunan terminal utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini, jam 10.30 pagi, 30 Ogos 2010 Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hani Mohd Adzhar.

Terdahulu, peguam mewakili tertuduh, Shahrul Nizam Azwir merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya melakukan kesalahan itu kerana pengaruh rakan. “Tertuduh seorang pelajar di sebuah sekolah tinggi di negaranya dalam jurusan elektrik dan elektronik.

“Dia memohon diberikan peluang untuk kembali ke negara asal bagi membolehkan dia mencapai cita-citanya menjadi jurutera,” katanya. Selain itu katanya, tertuduh yang menjaga bapanya yang sudah bersara dan mempunyai pelbagai masalah kesihatan merayu dikenakan hukuman sebatan lebih banyak untuk memendekkan tempoh hukuman penjara. “Ini bagi membolehkan tertuduh pulang ke kampung halaman secepat mungkin,” katanya.http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/RemajaTurkidisebat/Article/index_html

Dadah dalam tong sampah

KUALA LUMPUR : Seorang pekerja kafe siber yang bergiat aktif mengedar dadah jenis ketamin dan pil Eramin 5 di pusat Internet dan pusat hiburan di Cheras dan kawasan sekitarnya dicekup Jumaat lalu.
Difahamkan, lelaki berusia 35 tahun ini bukan sahaja menjadikan kafe siber tempat kerjanya sebagai lokasi mengedar dadah berkenaan, malah dipercayai turut mengedarnya ke pusat hiburan berhampiran.

Bagaimanapun, hasil intipan dan maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan lelaki berkenaan selepas menyerbu kafe siber itu yang terletak di Pusat Perniagaan Cheras, di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh berkata, serbuan dilakukan anggotanya kira-kira jam 5 petang dan menemui 10 peket kecil berisi ketamin seberat 16 gram yang disimpan di dalam kotak rokok milik suspek.

“Selepas disoal siasat, suspek membawa sepasukan polis ke sebuah tong sampah yang terletak di luar premis berkenaan yang membawa kepada penemuan sebuah sampul surat, dua plastik besar dan lima peket kecil yang mengandungi 369 gram dadah jenis ketamin. “Turut ditemui, sebuah beg kertas yang mengandungi empat ikatan gelang yang setiap daripadanya mengandungi 10 foil pil Eramin 5 berjumlah 400 biji,” katanyai, semalam.

Beliau berkata, siasatan lanjut ke atas lelaki itu mendapati dia adalah pengedar pil Eramin 5 dan dadah jenis ketamin di pusat hiburan dan kafe siber di sekitar Cheras sejak Mei lalu.


Katanya, lelaki berkenaan juga didapati positif ketamin dan ditahan reman hingga 4 Ogos depan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mohan berkata, pihaknya sedang menyiasat sama ada lelaki berkenaan bergerak secara sendirian atau bersindiket.

Eksekutif kanan akhbar Murdoch ditahan


LONDON: Polis yang menyiasat kes pencerobohan talian telefon oleh kakitangan akhbar News of the World menahan seorang didakwa bekas eksekutif atasan syarikat milik Rupert Murdoch itu, semalam.Individu itu dinamakan sebagai bekas pengarang urusan akhbar tabloid berkenaan, Stuart Kuttner, 71.Menurut Scotland Yard, Kuttner ditahan pada jam 10.50 (waktu tempatan) di sebuah balai polis di utara London kerana disyaki menceroboh dan merasuah polis.Kuttner menjadi suspek ke-11 ditahan dalam siasatan kes kontroversi berkenaan. - AFPhttp://www.hmetro.com.my

Kereta, motosikal kena khianat

SEBAHAGIAN daripada motosikal yang hangus di kawasan Flat Sri Kota, Jalan Tun Razak, semalam.
SEBAHAGIAN daripada motosikal yang hangus di kawasan Flat Sri Kota, Jalan Tun Razak, semalam.

18 kenderaan penghuni flat terbakar dipercayai dilempar bahan letupan

KUALA LUMPUR: Tiga kereta dan 15 motosikal bernilai lebih RM50,000 milik penghuni Flat Sri Kota, Jalan Tun Razak, di sini, terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, beberapa motosikal dikatakan terbakar dipercayai selepas dua pemuda melemparkan bahan letupan sebelum merebak ke kereta dan motosikal lain yang diletak di kawasan letak kenderaan di flat terbabit.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Suhaimi, 40-an, berkata kejadian disedari seorang penghuni flat yang kemudian memaklumkan kepada jiran lain dan menghubungi balai bomba.

Beliau berkata, seorang penduduk dikatakan sempat melihat dua pemuda berada di luar kawasan flat melemparkan bahan letupan mengenai motosikal sebelum terbakar dan merebak ke kenderaan lain.

“Akibat kebakaran itu, tiga kereta iaitu Proton Persona, Proton Savvy dan Perodua Kancil serta 15 motosikal terbakar,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan sehingga kini pihaknya menerima satu laporan polis daripada mangsa.
“Polis tidak menolak kemungkinan ia perbuatan khianat dan dilakukan lebih daripada dua suspek, tetapi siasatan terperinci kejadian itu sedang dilakukan.

“Siasatan polis di lokasi kejadian tidak menemui sebarang bahan letupan digunakan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.
http://www.bharian.com.my

Wanita pengsan rumah didiami 30 tahun terbakar

Foto
MUSTAFFA mencari barang berharga di kawasan bekas rumahnya yang hangus dijilat api di Kampung Sungai Atas Tol, Kuala Terengganu, semalam.
Foto
WAN MAHANI masih dalam keadaan terkejut dirawat pegawai perubatan.
KUALA TERENGGANU: Seorang wanita pengsan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas terkejut apabila rumah didiaminya lebih 30 tahun di Kampung Atas Tol, hangus dalam kebakaran pagi semalam turut memusnahkan semua barangan persiapan Ramadan dan Aidilfitri.

Ketika kejadian jam 11.35 pagi itu, mangsa, Wan Mahani Wan Omar, 57, sedang bekerja di tempat memproses keropok tidak jauh dari rumahnya dan bergegas pulang selepas dimaklumkan kejadian itu oleh anaknya.
Suaminya, Mustaffa Abu Bakar, 56, berkata beliau bersama cucu, Mohd Faris Farizal Faizal, 3, sedang berehat di luar rumah dan terdengar bunyi percikan api dari dapur dan selepas itu, api mula marak menyebabkan mereka berlari keluar menyelamatkan diri.
“Saya berlari keluar memaklumkan kepada kakak ipar yang tinggal berhampiran rumah dan kami tidak sempat menyelamatkan harta benda.

“Memang sedih kerana ia terjadi pada bulan Ramadan dan akan menyambut Aidilfitri, tetapi saya tetap bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kebakaran ini,” katanya ditemui di perkarangan rumah didiami bersama isteri dan dua anak, di sini, semalam.

Kakak ipar mangsa, Zurina Maidin, 46, berkata selepas mengetahui kebakaran itu, dia menghubungi bomba tetapi ketika pasukan itu tiba, keseluruhan rumah sudah hangus.

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung, Zaidi Muda, yang melawat mangsa kebakaran berkata, bantuan segera sebanyak RM1,000 akan disalurkan kepada mangsa, manakala urusan membina rumah baru akan dilakukan kemudian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Mohamad Kassim yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.37 pagi.

“Seramai 16 anggota dengan tiga jentera bomba berjaya memadam api dalam tempoh lima minit dan ketika tiba, hampir 90 peratus rumah sudah musnah terbakar dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM100,000, manakala punca kejadian masih disiasat,” katanya.
http://www.bharian.com.my