Search This Blog

Monday, August 1, 2011

Dirogol ketika ponteng sekolah





MAHANG - Seorang bapa berusia 56 tahun yang dipanggil ke sekolah untuk berjumpa guru anak perempuannya berusia 16 tahun terkejut apabila dimaklumkan anaknya dirogol dua pelajar lelaki. Gambar fail.

Rahsia perlakuan sumbang itu terbongkar apabila mangsa dipanggil seorang guru lelaki untuk membuat pengakuan terhadap kejadian yang berlaku kepada diri mangsa. Bapa mangsa yang kecewa dengan kejadian itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Mahang.

Pada hari kejadian, mangsa bersama dua rakan perempuannya mengambil keputusan untuk ponteng sekolah. Mereka turut ditemani tiga pelajar lelaki lain. Setelah berbincang, mereka bersetuju untuk pergi ke sebuah rumah dalam ladang kelapa sawit.

Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dirogol dua pelajar lelaki berusia 15 tahun di hadapan seorang rakan perempuannya.


Rakan mangsa tidak berbuat apa-apa dan terus merahsiakan tentang kejadian itu. Selepas dirogol, mangsa terus balik ke rumah.

Jurucakap polis berkata, memandangkan mangsa masih di bawah umur, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. -SH

Ulasan GB

Hal seperti di atas sudah macam menjadi perkara biasa di negara ini. Anak-anak remaja yang masih bersekolah kini terdedah dengan segala macam perkara yang merosakkan yang akhirnya menyebabkan mereka sendiri terjebak di dalam gejala kerosakan akhlak.

Pendidikan agama dan pemantauan disiplin di sekolah semacam tidak lagi berkesan untuk membendung korosakan akhlak di kalangan para pelajar?

Sebabnya?

Sistem! Sistem yang dibawa oleh kerajaan UMNO BN selama lebih separuh dekad sudah tamat tarikh luputnya. Turunkan mereka dengan segera.
http://greenboc.blogspot.com

Pulangkan anak-anakku...



SENAI – “Demi masa depan anak-anak, saya tidak akan mengalah untuk mendapatkan hak penjagaan daripada bekas suami kerana dia tidak menjaga kedua anak kami dengan baik malah cuba mengetepikan hak saya sebagai ibu,” dakwa Masriah Kasiran, 40.

Hasil perkahwinan Masriah dengan bekas suaminya itu, mereka dikurniakan dua anak lelaki iaitu Muhammad Redhuan Addin, 14, dan Muhammad Firdaus Addin, 12.

Bagaimanapun dua beradik itu gagal dikesan sejak akhir tahun lalu kerana ‘disembunyikan’ bapa kandungannya.

“Semenjak bercerai kira-kira sembilan tahun lalu, saya yang menjaga kedua anak kami termasuk menanggung kos perbelanjaan harian dan persekolahan mereka, namun sejak tahun lalu bekas suami mula menuntut hak penjagaan anak di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, bermula 13 Oktober 2010, mahkamah telah mengeluarkan perintah supaya hak penjagaan Muhammad Redhuan diberikan kepada bapanya manakala Muhammad Firdaus di bawah jagaan Masriah selain diberikan kebenaran untuk melawat anak sulungnya itu.

“Atas perintah mahkamah saya akur dengan keputusan itu walaupun berat hati untuk melepaskan Muhammad Redhuan... Malah sejak tinggal bersama ayahnya sikap Muhammad Redhuan mula berubah dan sering mengelak jika saya ingin bertemu,” katanya.

Katanya, Muhammad Firdaus turut tinggal sementara bersama ayahnya ketika cuti persekolahan tahun lalu, malangnya peluang yang diberikan Masriah telah membuatkan bekas suaminya mengambil kesempatan ‘melarikan’ dua beradik berkenaan.

“Saya cuba menjejaki anak-anak termasuk menghubungi bekas suami dan pergi ke rumahnya di Johor Bahru namun gagal, sejak itu juga Firdaus tidak bersekolah dan dikhuatiri dia tidak dapat menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi,” katanya.

Khuatir pelajaran kedua anaknya tercicir, Masriah telah memfailkan tuntutan hak penjagaan kedua anaknya di Mahkamah pada Jun lalu, namun sudah dua kali perbicaraan berlangsung bekas suaminya itu tidak hadir.

“Sehingga kini saya tidak tahu bagaimana keadaan Muhammad Redhuan dan adiknya... saya juga berharap bekas suami dapat hadir ke mahkamah pada 13 september ini untuk perbicaraan supaya ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya yang berharap akan menang dalam tuntutan berkenaan.
http://www.sinarharian.com.my

Angkara minuman keras



ALOR GAJAH - Gara-gara menunggang motosikal dalam keadaan mabuk, seorang lelaki maut setelah dilanggar kereta di Jalan Kemuning menghala ke Hutan Percha, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun itu dipercayai terjatuh dari motosikal jenis Yamaha SS yang ditunggangnya sebelum diseret sejauh sepuluh kilometer dari tempat kejadian oleh kereta jenis Proton Saga yang datang dari arah sama.

Ketua Turus Bahagian Trafik Daerah Alor Gajah, Ketua Inspektor Mohd Zuki Abd Ghani berkata, mangsa yang tinggal di Simpang Gading, Durian Tunggal itu dipercayai dilanggar pemandu kereta terbabit yang tidak sedar mangsa berada di situ.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada mangsa yang hilang kawalan akibat menunggang dalam keadaan laju dan kemudian rebah di jalan raya. Sementara laluan di situ gelap dan mangsa tidak disedari pemandu kereta berkenaan.

“Mangsa menunggang dalam pengaruh alkohol, tambahan pula laluan di situ gelap menyebabkan pemandu kereta terbabit tidak menyedari mangsa berada di atas jalan raya, sekali gus terpaksa merempuh mangsa akibat gagal mengawal kenderaan,” katanya.

Pemandu kereta, AS Logeswaran, 33, berkata, dia tidak menyedari mangsa terbaring di atas jalan raya berikutan laluan di situ gelap dan terkejut sebaik keretanya menghampiri mangsa.

“Saya tidak menyangka objek yang terdampar di atas jalan raya itu adalah manusia kerana pada mulanya saya sangka mungkin ia haiwan atau sampah yang tercicir. Namun, sebaik jarak semakin dekat baru saya sedar ia manusia.

“Kemudian, saya terus menekan brek mengejut. Namun, tidak sempat mengelak mangsa kerana jika tidak, kereta saya akan terbabas merempuh ladang kelapa sawit yang berada di kiri jalan. Malah, motosikal mangsa juga berada dekat dengannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Umar Ali Saifuddin Shaharudin, ketika dihubungi mengesahkan laporan berhubung kemalangan maut terbabit dan mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.
http://www.sinarharian.com.

Kakitangan bank, janda dicekup khalwat



TAMAN RAKYAT JAYA – Seorang janda yang difahamkan baru tiga hari menerima keputusan perceraian di mahkamah dengan bekas suami dicekup khalwat ketika berdua-duaan dengan kekasih barunya dekat sini, awal pagi kelmarin.

Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 3.30 pagi oleh sepasukan anggota penguat kuasa syariah di perumahan kos rendah yang disewa teman lelakinya dekat sini, wanita terbabit yang hanya memakai baju tanpa lengan dan berseluar pendek dikatakan sedang menonton televisyen di ruang tamu bersama teman lelakinya yang memakai seluar tanpa baju.

Bagaimanapun, sebaik pintu diketuk dan penguat kuasa memperkenalkan diri, janda berasal dari Felda Kerteh Lima dan bekerja sebagai pembantu kedai makan itu cuba bersembunyi di dalam bilik.

Hasil pemeriksaan lanjut, wanita terbabit tidak mempunyai sebarang hubungan muhrim dengan teman lelakinya dari Kemaman yang bekerja sebagai kakitangan bank di Paka itu.

Kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut sebelum didakwa mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
http://www.sinarharian.com.my

Padah tolak ajakan bersiar



KAMPUNG RAJA - Seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di daerah ini membuat laporan polis Ahad lalu selepas mendakwa dirogol rakan sekolahnya di sebalik batu di kawasan Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut pada pertengahan Jun lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa yang berumur 14 tahun itu mendakwa dia ditarik seorang suspek dikenali dengan gelaran bermula dengan huruf ‘D’ ke satu sudut di sebalik batu sebelum merogolnya.

Menurutnya, seorang lagi suspek iaitu rakan kepada ‘D’ pula bertindak memegang tangan dan menanggalkan seluar mangsa sebelum merogol mangsa di situ.

“Sebelum itu mangsa berjalan bersama rakannya di kawasan Teluk Bayu dan datang dua lelaki termasuk D. Suspek menegur dan mengajak mangsa bersiar-siar.

“Mangsa menolak ajakan suspek dan tiba-tiba ‘D’ menarik tangan mangsa dibantu rakannya ke sebalik batu tersebut,” katanya.

Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Besut dan susulan itu tiga suspek berumur belasan tahun berjaya ditangkap dan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Mangsa dihantar ke hospital dan hasil pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat kesan koyakan lama namun tiada sebarang kecederaan pada kemaluan dan badan mangsa.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Kamaruddin berkata, polis meminta ibu bapa dan masyarakat memberi tumpuan mengenai asas agama, nilai budaya dan moral tinggi kepada anak muda hari ini supaya kes seperti ini dapat dielakkan.
http://www.sinarharian.com.my

Pura-pura tanya rumah



SETIU – Padah barang kemas. Itulah yang dialami seorang guru wanita berusia 35 tahun apabila dia dilarikan dan disamun oleh empat suspek yang sebelumnya berpura-pura bertanyakan rumah salah seorang penduduk di situ.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.15 hingga 6.30 petang itu menyebabkan guru wanita tersebut mengalami kerugian RM20,000 apabila barang kemas yang dipakainya disamun empat lelaki.

Ketika kejadian mangsa tinggal seorang diri di rumahnya di Kampung Gong Baloh sebelum didatangi suspek menaiki kereta Perodua Myvi.

“Apabila mangsa tidak mengetahui lokasi yang dimaksudkan suspek, tiga daripada empat suspek masuk semula ke dalam kereta mereka sebelum meninggalkan rumah guru terbabit.

“Tidak berapa lama kemudian, keempat-empat suspek itu datang semula dan terus menarik serta mengangkat mangsa masuk ke dalam kereta,” katanya.

Menurutnya, ketika dalam kereta, suspek merampas barang kemas yang dipakai oleh mangsa seperti gelang tangan dan rantai.

Mangsa kemudiannya ditinggalkan di tepi jalan yang jaraknya lebih kurang empat hingga lima kilometer dari rumah.

“Mangsa yang masih terkejut akibat kejadian pantas itu bagaimanapun tidak diapa-apakan oleh suspek,” katanya.

Guru berkenaan kemudiannya membuat laporan di balai polis dan turut memberikan nombor pendaftaran kereta suspek.

“Kami dapati nombor pendaftaran kereta yang diberikan mangsa adalah palsu kerana ia didaftarkan atas sebuah kereta Proton Saga,” katanya.

Rohaizat berkata, taktik yang digunakan suspek sangat licik sehinggakan mangsa tidak mengesyaki apa-apa tindakan buruk akan berlaku kepadanya sebelum itu.

“Suspek seolah-olah memerhatikan gerak-geri mangsa lebih awal berikutan pada waktu tersebut suami mangsa tiada di rumah dan kesempatan itu diambil sepenuhnya oleh suspek untuk memastikan rancangan mereka berjaya.

“Bagaimanapun, polis masih meneruskan siasa-tan lanjut bagi mengesan semua suspek dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my

Pemandu lori tidak mengaku bersalah merompak



KOTA BHARU - Seorang pemandu lori bakal berdepan dengan hukuman 20 tahun penjara dan sebatan jika disabitkan kesalahan melakukan rompakan secara berkumpulan.

Semalam tertuduh yang berusia 41 tahun dari Kampung Binjai itu, mengaku tidak bersalah serta memohon kepada mahkamah untuk dibicarakan dan Hakim Mahkamah Sesyen, Rofiah Mohamad menetapkan pada 5 September ini sebagai tarikh perbicaraan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas pada 24 Julai lalu kira-kira jam 2.45 petang bertempat di Jalan Sri Cemerlang melakukan rompak berkumpulan ke atas Nur Laila Samira Abu Bakar, 29.

Dalam kejadian itu, turut diambil ialah beg tangan dan dokumen yang bernilai RM100, kerana itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes tersebut dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azha.

Sebelum tertuduh menyatakan pengakuan tidak bersalah, ayah kepada seorang anak itu mendiamkan diri seketika kerana terkejut selepas mendengar hukuman yang bakal dikenakan jika didapati bersalah itu dibacakan.
http://www.sinarharian.com.my

Kes samun tertidur kena cekup



KOTA BHARU - Angkara pecah masuk dua rumah dan ditangkap polis ketika tidur dalam sebuah bilik seorang juru jual dikenakan hukuman penjara selama dua tahun bermula tarikh tangkapan.

Majistret Noshaslinda Che Seman menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Wong Kai Song, 35 tahun selepas dia mengaku bersalah melakukan pecah rumah berkenaan.

Kai Song, menghadapi tiga pertuduhan dan ditahan polis pada 16 Julai lalu pada jam 12.30 tengah hari dalam rumah di sebuah rumah Jalan Bayam.

Semalam, mahkamah menjatuhkan hukuman dua tahun penjara terhadap Kai Song, kerana pada hari sama lebih kurang jam 10.15 pagi pengadu Yeap Tong Wei diberitahu kakaknya rumah juga di sebuah rumah Jalan Bayam dipecah masuk, keadaan rumah berselerak dan banyak barang didapati hilang.

Kemudian kira-kira jam 10.35 pagi pengadu membuat laporan polis daripada hasil siasatan dia mengaku memasuki rumah kakak pengadu dan melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan seterusnya, dia menerima hukuman satu tahun penjara kerana pada 16 Julai lalu kira-kira jam 12.10 tengah hari semasa pengadu, Koo Jet Teng, 39, sampai di rumah mertuanya di Jalan Bayam didapati seorang lelaki Cina yang tidak dikenali tidur atas katil dalam bilik anak pengadu.

Mengikut fakta kes, selepas menerima laporan kira-kira jam 12.30 tengah hari polis sampai di tempat kejadian dan pengadu menunjukkan lelaki tersebut yang tidur kemudiannya membuat pemeriksaan serta menangkapnya.

Hasil siasatan yang dijalankan oleh Sarjan Rosli Ismail di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan didapati mengaku bersalah memasuki rumah pengadu tanpa kebenaran serta melakukan kesalahan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, dia juga menghadapi satu lagi hukuman tujuh bulan penjara kerana gagal mengemukakan kad pengenalan diri dan semua hukuman berjalan serentak dari tarikh tangkapan.

Antara barang yang dicuri ialah, enam jam tangan pelbagai jenama, lima utas rantai berwarna keemasan, dua utas rantai berwarna silver, wang siling campur bernilai RM50, sebuah telefon bimbit berjenama Sony Ericsson.

Pendakwaan tersebut dijalankan Nabilah Nizam.
http://www.sinarharian.com.my

Kedai emas dirompak



KOTA BHARU - Sebuah kedai emas di Jalan Bazar Buluh Kubu di sini, kerugian kira-kira RM30,000 apabila 10 utas rantai emas yang dijual di kedai terbabit, disamun dua lelaki di sini, semalam.

Kejadian terbabit dikatakan berlaku ketika salah seorang daripada suspek berpura-pura masuk ke kedai untuk melakukan urusan jual beli emas.

Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, seorang daripada suspek yang dipercayai berusia sekitar 30-an masuk ke kedai kononnya mahu membeli emas manakala seorang lagi rakannya menunggu di luar kedai menggunakan motosikal.

”Selepas masuk ke kedai, tiga daripada enam jurujual di situ segera melayan suspek yang bertanya mengenai emas yang dijual namun perlakuan terbabit hanyalah tipu helah suspek untuk mengaburi mata penjual.

”Suspek kemudiannya mengambil 10 utas rantai emas di dalam meja pameran kaca selepas berjaya memperdaya dan mengalihkan tumpuan kesemua jurujual yang berada di kedai emas tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, lelaki itu kemudiannya bergegas ke tempat rakannya yang menunggu di luar kedai lalu segera melarikan diri menaiki motosikal yang ditunggang seorang lagi suspek terbabit. Azham berkata, polis telah membuat pengecaman wajah suspek melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di dalam kedai tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 kerana mencuri dalam bangunan.

Menurutnya, suspek tidak melakukan sebarang kekerasan dan tidak membawa senjata ketika melakukan rompakan.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, ketika masuk ke dalam kedai, suspek telah bertanya beberapa soalan untuk meyakinkan jurujual seolah-olah dia mahu membeli emas.

”Semasa kejadian, salah seorang dari lelaki itu bertanya tentang harga emas serta upah yang perlu dibayar untuk barang kemas yang ditempah sehinggalah semua jurujual terpedaya.

"Beberapa jurujual disuruh mengambil emas di tempat berlainan dan masa itulah suspek segera mengambil 10 utas rantai itu yang berharga sekurang-kurangnya RM3,000 setiap satu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
http://www.sinarharian.com.my

54 korban akibat dua ribut di Filipina

MANILA: Jumlah korban berikutan ribut Nock-ten yang melanda Filipina meningkat kepada 52 orang, sedang satu lagi ribut yang menghala ke arah negara itu mengorbankan dua jiwa lagi dan menyebabkan sebuah kapal besar karam, kata pejabat pertahanan awam Filipina semalam.
Ribut tropika Mufia semalam berada sekitar 1,000 kilometer ke bahagian timur Filipina, sambil membawa hujan lebat dan puting beliung, kata timbalan pegawai pertahanan awam, Encik Florentino Sison.Sedang ribut Mufia menjelang, sebuah kapal nelayan karam akibat hujan lebat di utara Manila minggu lalu, menyebabkan dua orang mati, kata Majlis Pengurangan Risiko dan Penguruan Bencana Kebangsaan Filipina.Seorang lagi cedera akibat puting beliung Mufia di kawasan sama Jumaat lalu, tambah Encik Sison.'Ia (Mufia) tidak mempunyai kesan secara langsung tetapi ia telah menjejas suasana cuaca setempat, menyebabkan puting beliung, banjir dan hujan lebat, hingga mengakibatkan kemalangan yang dihadapi para nelayan itu,' kata ujarnya.Semalam, sebuah kapal penumpang dan kargo seberat 2,400 tan, MV Trans Asia Malaysia, dilanda ombak tinggi hingga karam.Bagaimanapun, pihak pengawal pantai dan kapal-kapal berdekatan berjaya menyelamatkan kesemua 155 orang atas kapal itu, kata pihak berkuasa Filipina.Di Vietnam, ribut tropika Nock-ten menyebabkan seorang terbunuh apabila ia melanda bahagian utara negara itu, kata seorang pegawai semalam.Ribut itu melanda Vietnam lewat kelmarin di wilayah Thanh Hoa dan Nghe An, tempat 40,000 orang terpaksa dipindahkan, tetapi seorang lelaki terbunuh apabila tiang kawat elektrik tumbang dalam cuaca buruk itu.'Seorang lelaki berusia 68 tahun mati akibat terkena kejutan elektrik di daerah Anh Son di wilayah Nghe An,' kata seorang pegawai jawatankuasa pengawalan makanan dan ribut kebangsaan Vietnam.Kesan ribut itu disifatkan tidak terlalu besar oleh Encik Nguyen Xuan Hung, ketua pejabat yang menangani bencana alam di Nghe An, selepas kekuatan Nock-ten mula menurun berbanding ketika ia melanda Filipina minggu lalu. -- AFP.
http://cyberita.asia1.com.sg

Xinjiang dilanda gelombang keganasan lagi



10 mati dibunuh penyerang bersenjatakan pisau manakala empat maut ditembak polis


BEIJING: Wilayah Xinjiang di China dilanda gelombang keganasan hujung minggu lalu, dengan 10 orang mati dibunuh para penyerang bersenjatakan pisau dan empat ditembak mati oleh polis, menurut media milik pemerintah dan pihak berkuasa negara itu semalam.
Pergolakan itu terjadi di bandar Kashgar, tempat berlaku dua serangan berasingan.Penduduk setempat berkata pusat bandar itu kini dikawal rapi oleh pasukan keselamatan China, yang meronda jalan-jalan rayanya.Xinjiang mengalami pergolakan ganas antara kaum sejak beberapa tahun lalu, sedang kaum minoriti Uighur Islam di wilayah itu semakin melahirkan kemarahan mereka terhadap apa yang disifatkan mereka sebagai penindasan oleh pemerintah China.Dalam serangan pertama malam kelmarin, tujuh orang terbunuh dan 28 cedera di sebuah pasar malam setelah diserang oleh dua lelaki bersenjatakan pisau.Seorang daripada lelaki itu mati dibunuh dalam keganasan itu, sementara rakannya ditangkap, menurut pihak berkuasa.Jurucakap bagi pemerintah wilayah barat laut China itu, Cik Hou Hanmin, memberitahu agensi berita AFP bahawa kedua-dua penyerang itu adalah anggota kaum Uighur.'Kes itu masih disiasat oleh itu saya tidak boleh memberi lebih banyak maklumat,' kata beliau.Semalam, tiga orang ditikam hingga mati oleh sekumpulan 'perusuh', kata agensi berita Xinhua News.Awal dari itu ia melaporkan mereka mati dalam satu letupan, tetapi laporan selanjutnya kurang jelas sama ada letupan itu benar-benar berlaku atau tidak.Sebuah laman web ala Twitter oleh penerbit stesen telvisyen CCTV, Weibo, pula menyatakan yang kedengaran ialah bunyi tembakan, bukan letupan.Polis menembak mati empat suspek yang didakwa terbabit dalam serangan itu dan menahan empat lagi, lapor Xinhua.Empat lagi orang dapat melarikan diri.Agensi berita itu berkata lebih 10 orang berada di tempat kejadian dan anggota polis turut tercedera.Seorang penyambut tamu sebuah restoran dekat tempat kejadian memberitahu AFP bahawa jalan raya di situ telah disekat.'Kenderaan mahu pun pejalan kaki tidak dibenarkan masuk. Polis sedang meronda di mana-mana,' katanya.Menurut laman berita tianshannet.com, yang dikendalikan oleh pemerintah wilayah itu, suspek dalam serangan di Kashgar kelmarin telah merampas sebuah trak yang sedang berada di simpang jalan trafik dekat pasar malam itu dan membunuh pemandunya. -- AFP.
http://cyberita.asia1.com.sg

'Orang hanyut' pertama ke sini

SYDNEY 31 Julai - Sekumpulan 'orang hanyut' di dalam sebuah bot yang dipintas di perairan Australia hari ini akan menjadi kelompok pertama yang dihantar ke Malaysia di bawah perjanjian pertukaran pencari suaka yang ditandatangani baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Brendan O'Connor berkata, bot itu dikesan oleh pesawat udara dekat Scott Reef, di perairan pantai barat laut Australia.
Bot tersebut yang dipercayai membawa 54 pencari suaka dan dua krew adalah yang pertama dipintas sejak perjanjian dengan Malaysia ditandatangani pada 25 Julai lalu, kata seorang jurucakap.
"Para penumpangnya akan dibawa ke Pulau Christmas untuk penilaian sebelum perpindahan, sementara menunggu untuk dihantar ke Malaysia," kata O'Connor dalam satu kenyataan.
Di bawah perjanjian yang ditandatangani selepas rundingan berbulan-bulan antara kedua-dua negara, Australia akan menerima 4,000 pencari suaka yang sudah diproses dari Malaysia manakala Kuala Lumpur akan menerima 800 pencari suaka yang belum diproses dari Australia.
Perjanjian pertukaran itu sangat diperlukan oleh Perdana Menteri, Julia Gillard yang menyaksikan popularitinya makin merosot dan kini cuba menangkis kritikan kerajaan beliau terlalu berlembut terhadap pencari suaka yang menjadi isu politik panas di Australia.
Keganasan dan protes telah kerap berlaku di pusat-pusat tahanan di negara ini, termasuk pusat pemprosesan utama yang penuh sesak di Pulau Christmas, Lautan Hindi.
Kerajaan Australia berkata, perjanjian itu bertujuan untuk menggagalkan kegiatan penyeludup manusia yang mengendalikan bot-bot usang yang kebanyakannya berlepas dari Indonesia.
Aktivis hak asasi mengkritik perjanjian itu tetapi beberapa negara di rantau ini menyuarakan hasrat untuk memeterai perjanjian serupa dengan Australia.
Australia mempunyai lebih 6,000 pencari suaka dalam tahanan, berasal dari negara seperti Iran, Iraq, Vietnam, Sri Lanka dan Afghanistan, manakala Malaysia mempunyai 93,000 orang, menurut angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Reuters
http://www.utusan.com.my

Kontraktor diganggu selepas pinjamkan akaun bank



IPOH 31 Julai - Gara-gara terlalu mempercayai kenalan yang bekerja sebagai broker, seorang kontraktor kini sering 'diganggu' orang tidak dikenali setelah membenarkan satu urusan transaksi wang dijalankan menggunakan akaunnya.
A. Aaron Raj, 32, yang mengenali Patrick Wong selama hampir setahun setengah di sebuah pub, bersetuju membenarkan rakannya itu memindahkan wang AS$118,202.50 (RM347,979) yang dipercayai daripada seorang pelabur Arab Saudi ke akaun Bank Standard Chartered miliknya.
Menurut Aaron Raj, Patrick memohon bantuan menggunakan akaunnya kerana ia akan membolehkan wang tersebut dipindahkan dalam tempoh sehari.
"Lagipun Patrick mendakwa dia tidak memiliki akaun dalam bank tersebut. Setelah seminggu saya mengeluarkan wang tersebut dan memberikannya kepada Patrick pada 4 Julai lalu, saya menerima panggilan daripada seseorang dari Turki yang mengenalkan diri sebagai Ali Yana.
"Dia meminta saya memulangkan wang yang telah diberikan kepada Patrick dan mendakwa ada orang yang telah menggodam akaun e-mail milik beliau dan memberikan akaun Standard Chartered saya kepadanya.
"Lebih mengejutkan apabila keesokan harinya iaitu pada 13 Julai lalu, saya menerima panggilan telefon dari pihak bank dan mengatakan bahawa wang sebanyak RM347,979 itu telah tersalah masuk ke dalam akaun saya dan meminta saya memulangkannya semula," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak Kawasan Ipoh Barat di sini, kelmarin.
Hadir sama, Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd. Rawi Abdullah.
Dalam pada itu, Aaaron Raj berkata, sejak itu, dia sering diganggu dengan pelbagai panggilan telefon oleh lelaki dan wanita asing yang tidak dikenalinya bagi mendesak untuk memulangkan duit tersebut.
Dia yang tidak memahami situasi tersebut akhirnya membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam 15 Julai lalu selain menukar nombor telefon bimbitnya.
"Saya pelik kerana selepas membuat semakan di bank, pemindahan wang tersebut sememangnya dilakukan atas nama saya. Malah, Patrick Wong juga gagal dihubungi selepas insiden tersebut.
"Saya rasa ini satu sindiket penipuan oleh sekumpulan warga Asia Barat," katanya.
http://www.utusan.com.my

Dua kes serangan berdarah di Xinjiang

BEIJING 31 Julai - Seramai 11 orang maut dan 31 orang yang lain cedera dalam dua serangan berbeza di Kashgar, Xinjiang hari ini.
Seramai tujuh orang terbunuh dan 28 orang lagi cedera akibat diserang dua orang lelaki bersenjatakan pisau di Xinjiang, kata pihak berkuasa hari ini.
Seorang penyerang kemudian dibunuh dalam kejadian yang bermula malam tadi di Kashgar, serangan kedua di Xinjiang pada bulan ini di mana berlakunya hubungan tegang antara penduduk minoriti Uighur dengan pemerintah.
Jurucakap kerajaan wilayah Xinjiang, Hou Hanmin berkata, penyerang merupakan anggota kumpulan etnik Uighur.
''Penyerang kedua telah ditahan. Kes ini masih disiasat jadi saya tidak mempunyai maklumat lanjut,'' katanya.
Menurut laman web kerajaan wilayah itu tianshannet.com, dua penyerang berkenaan merampas sebuah trak yang berhenti di lampu isyarat dekat pasar malam Kashgar.
Mereka membunuh pemandu trak itu dan menggunakan kenderaan tersebut untuk melanggar pejalan kaki.
Kedua-dua penyerang itu kemudian menyerang orang ramai selepas keluar dari trak berkenaan.
Dalam pada itu, empat orang termasuk seorang pegawai polis maut dan tiga orang lagi cedera dalam satu letupan di Kashgar, lapor media rasmi. - AFP
http://www.utusan.com.my

Pesawat terbabas putus dua di Guyana



pesawat jet Caribbean Airlines terputus dua setelah terbabas dari landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Cheddi Jagan di Georgetown, Guyana, kelmarin. - REUTERS


GEORGETOWN, Guyana 31 Julai - Sebuah pesawat syarikat penerbangan Caribbean Airlines yang sarat dengan penumpang tergelincir dari landasan ketika mendarat di Guyana malam tadi sebelum terputus dua, namun ia tidak mengakibatkan sebarang kematian.
Pesawat Boeing 737-800 dari New York itu tersasar dari landasan dan merempuh pagar sejurus mendarat di lapangan terbang Cheddi Jagan, di sini tengah malam tadi.
Pesawat malang berkenaan terputus dua dan berhenti hanya beberapa meter dari gaung.
Hanya tiga daripada 163 penumpang dan anak kapal mengalami kecederaan dengan seorang daripadanya patah kaki.
"Ia memang satu keajaiban kerana nahas ini tidak menyebabkan kematian," kata Pengerusi Caribbean Airlines, George Nicholas yang melawat tempat kejadian.
Para penumpang dilaporkan menjerit apabila pesawat tersebut hilang kawalan sejurus mendarat dan mereka berpusu-pusu keluar dari kapal terbang menggunakan gelongsor kerana bimbang ia mungkin terbakar.
Syarikat penerbangan Caribbean Airlines yang berpangkalan di Trinidad and Tobago berkata, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti punca kejadian yang berlaku ketika cuaca elok dan jarak penglihatan baik.
Penyiasat dari Amerika Syarikat (AS) dan Guyana telah dihantar bagi mencari kotak hitam pesawat.
Stesen penyiar Canadian Broadcasting Corporation melaporkan, seramai 12 rakyat Kanada berada dalam penerbangan itu, sementara kebanyakan penumpang lain merupakan rakyat Guyana.
Hospital Besar Georgetown dalam satu kenyataan memberitahu, seramai 35 penumpang kini dirawat termasuk juruterbang, Edinburgh Gardens, 52 tahun. - Reuters
http://www.utusan.com.my

Wanita Indonesia dibunuh kekasih




Anggota polis mengangkat mayat wanita Indonesia yang dibunuh di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 31 Julai - Hasrat seorang wanita warga Indonesia untuk pulang berhari raya di kampung halaman tidak kesampaian apabila mati dibunuh kekasihnya di rumah mereka di Kampung Rumah 10, di sini hari ini.
Dalam insiden pukul 10.30 pagi itu, wanita berusia 28 tahun yang hanya dikenali sebagai Ana mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dipercayai dipukul oleh suspek juga berusia 28 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Supritendan Saifi Abdul Hamid berkata, pasangan kekasih berkenaan baru sebulan menetap di kampung berkenaan.
"Hingga kini polis masih menyiasat punca kematian dan motif sebenar pembunuhan tersebut. Punca kematian Ana hanya akan diketahui selepas selesai bedah siasat.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek yang juga warga Indonesia dan bekerja sebagai juruelektrik ditahan sejurus selepas pihak polis tiba di tempat kejadian.
Sementara itu, seorang jiran mangsa yang enggan dikenali memberitahu, sebelum kejadian mereka sekeluarga terdengar jeritan Ana yang tidak bekerja meminta tolong.
"Apabila kami keluar, kami dapati lelaki yang dikenali sebagai Edy itu sedang memukul mangsa dan apabila cuba ditenangkan dia memarahi dan minta kami jangan masuk campur urusan mereka.
"Saya dan jiran-jiran cuba pujuk dan menyuruhnya bertenang, namun tidak diendahkan. Tanpa berfikir panjang, anak saya dan beberapa orang lain memegang suspek dan menghubungi polis," katanya.
Katanya, sebelum kejadian, Ana sempat pergi ke rumah salah seorang jiran mereka dan menyatakan hasrat untuk pulang ke kampungnya di Indonesia sempena Aidilfitri nanti.
Malah, katanya, Ana juga sudah membeli beberapa barangan keperluan untuk dibawa pulang ke kampungnya.
"Walaupun baru sahaja berpindah ke sini, dia sudah mesra dengan masyarakat setempat kerana dia seorang yang ramah dan sepanjang berjiran saya tidak pernah mendengar mereka bertengkar," katanya.
http://www.utusan.com.my

17 terbunuh pertempuran dua kumpulan politik di Papua

JAKARTA 1 Ogos – Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh, manakala beberapa lagi cedera dalam pertempuran antara dua kumpulan penyokong ahli politik di daerah Papua, semalam.
Menurut jurucakap polis Papua, Wachyono, perusuh yang bersenjatakan anak panah dan getah mentah bertempur di luar bangunan majlis tempatan di daerah Puncak.
Media tempatan melaporkan, pertembungan tercetus apabila suruhanjaya pilihan raya tempatan enggan mendaftar calon untuk bertanding dalam pilihan raya yang dijadualkan pada November bagi jawatan ketua daerah.
“Beberapa bangunan dan rumah rosak dan dibakar oleh perusuh. Polis menghantar anggota tambahan ke daerah itu bagi mengelak keganasan lebih teruk berlaku,” kata Wachyono.
Papua merupakan wilayah termiskin dan rumah kepada pemberontak pemisah peringkat bawahan di Indonesia. - DPA
http://www.utusan.com.my

Sindiket dagang manusia untung RM5 bilion

KLUANG 31 Julai – Sindiket pemerdagangan manusia di negara ini mengaut keuntungan besar dengan mencatatkan nilai perniagaan melebihi RM5 bilion, khususnya yang melibatkan warga Bangladesh.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya dimaklumkan ada sindiket ‘menjual’ pekerja warga Bangladesh pada harga RM10,000 seorang.
“Menurut Pesuruhjaya Bangladesh yang berada di Malaysia sekarang, (sama ada pendatang secara) sah dan tidak sah, mencatatkan bilangan seramai 500,000 orang. Kalau betul, jumlahnya besar dan (nilai) duitnya juga besar iaitu melebihi RM5 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 50 masjid dan surau di Masjid Kampung Melayu Niyor, Paloh dekat sini hari ini.
Hishammuddin berkata, aktiviti pemerdagangan manusia adalah fenomena antarabangsa dan kerajaan berusaha keras bagi membanteras jenayah tersebut termasuk menerusi perjanjian dengan kerajaan Australia, baru-baru ini.
Mengenai keputusan melanjutkan pelaksanaan sistem biometrik, beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong menegaskan, langkah tersebut bukan bermakna kerajaan tunduk kepada desakan majikan.
Katanya, sebaliknya kerajaan mahu mendapatkan keputusan terbaik dalam melaksanakan sistem itu.
“Bukan tempoh jadi pertimbangan, yang penting adalah penyelesaian kerana saya dah kata kita buat biometrik kerana dunia globalisasi membawa ancaman sangat dahsyat termasuk keganasan, penyeludupan senjata dan dadah.
“Bukan sama ada kita tunduk (kepada majikan) atau tidak, nak tunjuk kuasa ke apa. Yang penting kita nak tengok hasil bersandarkan faedah dan masa yang munasabah,” katanya.
Hishammuddin berkata, selepas ini majikan tidak boleh memberi alasan untuk tidak mendaftarkan pekerja asing ekoran pelanjutan tempoh itu dan beliau menasihati mereka berbuat demikian secepat mungkin tanpa menunggu sehingga hari terakhir.
http://www.utusan.com.my

Seorang terbunuh kejadian tembakan di perarakan

MONTREAL 31 Julai - Seorang lelaki terbunuh manakala dua lagi cedera dalam kejadian tembak-menembak dengan polis dalam perarakan Karnival Caribbean Toronto, hari ini.
Polis Toronto memberitahu Radio-Canada dan televisyen CBC, mereka diarah untuk menyekat pertikaian antara tiga lelaki di laluan perarakan dan tembakan dilepaskan sebaik mereka tiba di tempat kejadian.
Seorang wanita berusia 22 tahun yang cedera terkena tembakan terpaksa menjalani pembedahan dan seorang lagi mangsa hanya cedera di bahagian kening. - AFP
http://www.utusan.com.my

12 polis maut, pengebom berani mati letupkan kereta

KANDAHAR 31 Julai - Sekurang-kurangnya 12 anggota polis dan seorang kanak-kanak terbunuh apabila pengebom berani mati meletupkan sebuah kereta di luar ibu pejabat polis di bandar selatan Lashkar Gah, hari ini.
Serangan tersebut berlaku selepas kawalan keselamatan di ibu kota wilayah Helmand, 'bebas' dari kawalan tentera Britain dan Afghanistan yang dilihat sebagai proses meninggalkan Afghanistan menjelang 2014.
Sesetengah pakar mempersoalkan keupayaan askar dan polis Afghanistan untuk melindungi negara dari serangan Taliban yang sebelum ini mendakwa bertanggungjawab keatas letupan dan pemberontakan yang berlaku. - AFP
http://www.utusan.com.my

Kereta api ekspres langgar kereta api, tiada cedera

NEW DELHI 31 Julai - Sebuah kereta api ekspres melanggar sebuah kereta api penumpang lain di timur India hari ini, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Agensi Berita Trust of India melaporkan, enjin kereta api ekspres Guwahati-Bangalore tergelincir apabila berlanggar dengan sebuah kereta api tempatan di daerah Malda West Bengal, kira-kira 350 kilometer di utara Kolkata.
Nahas itu adalah yang kedua selepas kejadian nahas sebuah kereta api ekspres dari Kolkata tergelincir pada kelajuan tinggi di utara Uttar Pradesh tiga minggu lalu, menyebabkan 63 orang terbunuh. - AFP

Kekasih mati


ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat mangsa, semalam.
ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat mangsa, semalam.


JOHOR BAHRU: “Jangan campur urusan aku,” kata seorang lelaki ketika cuba dileraikan jiran apabila dia memukul kekasihnya bertubi-tubi menggunakan beg sebelum wanita itu terjatuh dan terhentak pada bucu televisyen lalu meninggal dunia akibat parah di kepala, pagi semalam.Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi di Jalan Berembang, Kampung Rumah 10, Plentong, di sini, suspek seorang warga Indonesia, Edy, 28, tergamam melihat kekasihnya yang juga dari Indonesia, terbaring tidak sedarkan diri sejurus terhentak pada bucu televisyen lama di tepi rumah sewa mereka.Menurut saksi, Abd Kadir Saman, 57, dia terdengar bunyi bising lalu bergegas keluar rumah sebelum melihat mangsa dikenali sebagai Ana, 28, terbaring berlumuran darah di depan rumah sewa pasangan berkenaan yang ketika itu dikerumuni orang ramai.Menurutnya, panik dengan kejadian itu, suspek dipercayai cuba melarikan diri dengan memberi alasan ingin berjumpa rakan dan akan datang kembali untuk menguruskan hal mangsa, namun dihalang orang ramai di tempat kejadian.“Dengan muka pucat lesi dia memberi alasan mahu keluar berjumpa rakan, tapi dihalang orang ramai. Pada masa sama, pemilik rumah menghubungi polis yang tiba beberapa minit kemudian sebelum mengesahkan wanita terbabit sudah meninggal dunia.

Polisdiarahtembakdulu


JOHANNESBURG: Ketua Polis Afrika Selatan, Bheki Cele semalam memberi amaran kepada anggotanya supaya ‘menembak dulu’ untuk melindungi diri mereka daripada penjenayah bersenjata.
Amaran itu diberikan berikutan peningkatan keganasan yang menyaksikan lebih 50 anggota polis terbunuh sejak awal tahun ini.

“Apabila anda melihat seorang penjenayah mengacukan senjata ke arah anda, jangan senyum kerana pistol itu bukan kamera. “Tembak dulu bagi melindungi diri anda,” kata Cele ketika menghadiri majlis pengebumian dua anggota yang terbunuh ketika bertugas di timur Johannesburg, hujung minggu lalu.

“SAPS (Perkhidmatan Polis Afrika Selatan) bukan persatuan mengebumikan orang mati yang mengebumikan anggota polis setiap hujung minggu. “Kita perlu bangkit dan menentang pengganas dan kita mesti menang,” katanya.

Menurut polis, sekurang-kurangnya 56 anggota terbunuh sejak Januari lalu.

Minggu lalu, Menteri Kepolisian, Nathi Mthethwa menggesa supaya lebih banyak latihan diadakan untuk anggota polis yang terpaksa berdepan dengan kadar jenayah paling tinggi di dunia.


Negara itu mencatatkan purata 46 pembunuhan setiap hari tahun lalu. - AFP

Penyelia ditipu bomoh tilik nasib diburu along


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 33 tahun bukan saja kerugian RM37,000, malah dia kini diburu along sejak enam bulan lalu gara-gara terpedaya tipu helah seorang lelaki menyamar bomoh tilik nasib hanya kerana mahu mendapatkan nombor ramalan.
Mangsa yang juga penyelia di sebuah kilang mendakwa ghairah untuk menjadi jutawan selepas terpedaya dengan bomoh berasal dari Thailand berusia lewat 40-an itu sehingga dia sanggup meminjam wang daripada along, mencagar barang kemas isterinya selain menggunakan wang simpanannya bagi membayar khidmat lelaki terbabit.

Padahnya, mangsa kini bukan saja kesempitan wang, malah dia dan keluarga diburu along kerana gagal melunaskan hutang pinjamannya RM10,000.

Tidak tahan dengan ancaman along, mangsa membuat laporan di Balai Polis Semenyih, di sini, Jumaat lalu.

Menurut sumber, mangsa yang berada di rumahnya di Semenyih, dekat Kajang, tertarik untuk menghubungi suspek selepas terbaca kertas iklan dalam peti surat di rumahnya itu, baru-baru ini.

“Sebaik menghubungi ‘tok guru’ terbabit, suspek mendakwa mangsa akan mendapat tuah selain bakal bergelar jutawan selepas diberikan satu nombor ramalan sebelum diminta memasukkan wang ke dalam akaunnya untuk bayaran perkhidmatan.


“Disebabkan terpengaruh, mangsa memasukkan RM110 ke dalam akaun suspek sebagai deposit. Selepas beberapa kali berjumpa suspek di kawasan rumahnya, mangsa yang terpedaya janji suspek diminta membayar sehingga RM37,000,” katanya.Sumber berkata, mangsa mencagar barang kemas isterinya selain membuat pinjaman along.Namun, selepas memberikan wang diminta suspek, mangsa berputih mata apabila lelaki terbabit menghilangkan diri,” katanya.Katanya, sejak enam bulan lalu, keselamatan mangsa dan keluarganya terancam kerana diganggu along kerana dia gagal melunaskan pinjamannya.

Mati ditikam anak tiri


SUSPEK...anggota polis membawa suspek untuk membantu siasatan kes bunuh bapa tiri.
SUSPEK...anggota polis membawa suspek untuk membantu siasatan kes bunuh bapa tiri


DI SINI...penduduk menunjukkan tempat mangsa bergelut dengan anak tirinya.
DI SINI...penduduk menunjukkan tempat mangsa bergelut dengan anak tirinya.
ALOR SETAR: “Aku tunggu di rumah, tetapi hang (suspek) tak balik,” kata Ismail Ahmad, 58, yang mati terkena tikaman pisau lipat di dada kirinya dalam satu pergaduhan dengan anak tiri lelakinya di sebuah rumah penduduk kampung yang juga jiran mereka di Kampung Tebengau, dekat sini, kelmarinKetika kejadian, anak tiri mangsa berusia 32 tahun dikatakan sedang membaiki enjin bot milik seorang penduduk selepas pulang membeli barangan alat ganti di Sungai Petani.Nelayan yang juga saksi kejadian, Mohd Jamil Ahmad, 27, berkata, dia dan suspek bekerja sebagai mekanik baru pulang dari Jalan Putra, dekat sini, dan Sungai Petani kira-kira jam 7 malam dengan menaiki kereta.Menurutnya, ketika mereka sibuk membaiki enjin, mangsa muncul sebelum azan Maghrib dan memarahi anak tirinya lalu memukul suspek.Katanya, keadaan itu menyebabkan suspek melepaskan satu tumbukan sebelum mereka bergelut kira-kira 10 minit dan ketika itu ternampak mangsa berlumuran darah.

Tipu jaja majlis Salih Yaakob

KUALA LUMPUR: “Saya kecewa apabila majlis meraikan empat isteri saya 24 September ini dimanipulasikan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan sedangkan tujuan asal saya menganjurkan majlis itu sebagai amal jariah sepanjang 50 tahun saya hidup di muka bumi Allah,” kata pengacara terkenal, Salih Yaakob, 50.
Kekecewaan itu diluahkan Salih sejurus dia memberitahu Majlis Malam Mesra Salih Yaccob dan Keluarga Tersayang yang dirancangnya pada September ini dipolitikkan dan diniagakan pihak penganjur untuk kepentingan mereka.

Menurut Salih, awal Julai lalu dia didatangi seorang lelaki dikenali sebagai Shafie, 50-an mendakwa pemilik kedai emas di Johor dan menawarkan diri sebagai penaja majlis itu dengan nilai anggaran kos keseluruhan kira-kira RM400,000. “Lelaki terbabit sanggup mendapatkan saya di Astro Bukit Jalil dan memberitahu mahu menaja majlis saya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor, Persada. Pada mulanya saya enggan menerima kerana tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku namun sesudah lelaki itu tidak henti memujuk saya, akhirnya saya menerimanya.

“Namun, yang peliknya apabila Shafie enggan menandatangani sebarang perjanjian dan tiada surat hitam putih dimeterai biarpun puas saya memintanya mewujudkan perjanjian bersama. “Lelaki terbabit seolah-olah cuba merancang sesuatu sejurus meminta menangguhkan perjanjian sehinggalah semalam (kelmarin),” katanya.

Kata Salih, sepanjang sebulan berurusan dengan Shafie melalui lima kali pertemuan di ibu kota, lelaki itu berperangai pelik dan bersifat kurang ajar apabila memasuki bilik hotel penginapannya di Jalan Ampang, di sini, sesuka hati dan meminta isteri keduanya menjadi pembantu peribadi sepanjang menguruskan majlis terbabit.

Menurutnya, dua minggu lalu ketika datang ke hotel penginapannya, lelaki terbabit menghampiri isteri kedua dan anak perempuannya dengan mengeluarkan kata-kata lucah iaitu “tidak dapat anak, emak pun jadilah”.


“Saya geram dan mula mencurigai lelaki terbabit. Sesudah memeriksa latar belakangnya barulah saya tahu saya ditipu kerana Shafie bukanlah pemilik kedai emas, tidak bekerja dan banyak menipu orang ramai termasuklah terbabit satu kes penipuan pertandingan karaoke di Johor,” katanya.

Menurut Salih, seminggu lalu dia mendapati lelaki itu mengiklankan majlis malam mesra di Internet tanpa persetujuannya termasuk menjual meja tempahan bernilai RM5,000 dengan menawarkan 150 meja keseluruhannya.
“Saya tidak merancang untuk ‘menjual’ majlis saya kerana majlis dirancang adalah untuk meraikan empat isteri, sambutan Aidilfitri, rumah terbuka untuk peminat dan majlis penyampaian sumbangan kepada mereka memerlukan,” katanya.

Katanya lagi, lelaki terbabit mensasarkan ‘perniagaan’ itu dengan menawarkan meja tempahan kepada seluruh rakyat Johor selain turut menghasilkan baju, topi, cenderahati dan logo menggunakan namanya selain menyebarkan tandatangannya di blog seterusnya mencemarkan namanya.

“Saya meminta kepada seluruh rakyat Johor supaya tidak terpedaya dengan iklan itu dan kepada mereka yang sudah membuat tempahan supaya segera berurusan dengan lelaki berkenaan. Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah menyetujui tempahan meja itu,” katanya.

Kata Salih, menyedari ditipu, dia kini merancang menganjurkan majlis makan malam itu menggunakan wang sendiri dengan memperuntukkan RM500,000.

“Saya mengimpikan menderma RM100,000 kepada isteri dan anak artis (artis yang sudah meninggal dunia) dan saya sudah pun memperuntukkan sejumlah wang untuk kegunaan mereka,” katanya.
http://www.hmetro.com.my

Budak maut dihempap tiang gol

NEWTON (Wales): Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun terbunuh apabila tiang gol di padang permainan di sebuah kampung tumbang dan menimpanya.
Kejadian itu berlaku Jumaat lalu ketika Casey Breese bermain dengan rakannya, di padang bola sepak di desa Caersws, dekat Newtown di tengah Wales.

Dia dikejarkan ke hospital tetapi meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.

Polis serta pegawai kesihatan dan keselamatan masih menyiasat kejadian itu.

Inspektor Ian Andrews dari Balai Polis Dyfed-Powys berkata: “Sekumpulan kanak-kanak sedang bermain bola sepak apabila tiang gol menghempap mangsa hingga menyebabkan kematiannya.

“Kami meminta saksi kejadian supaya tampil memberi maklumat. Tiada sebarang perbuatan mencurigakan dilaporkan dan pihak koroner juga sudah memaklumkannya.


Polis ingin bercakap dengan rakan mangsa di padang yang menjadi kediaman Caersws FC itu, dalam minggu ini. Kebanyakan mereka masih bersedih dengan kejadian itu dan enggan ditemu bual.

Seorang ibu berkata: “Anak lelaki saya terlalu sedih - dia dan Breese adalah kawan baik. Breese seorang kanak-kanak lelaki yang periang, selalu tersenyum dan dikenali oleh setiap orang di desa ini. Tiada siapa percaya apa yang sudah berlaku.” Sementara itu, perlawanan persahabatan pra-musim antara Caersws FC dengan Carmarthen Town yang dijadualkan semalam dibatalkan sebagai tanda hormat atas kematian Breese.
http://www.hmetro.com.my

Bapa mabuk, anak 8 tahun pandu trak

NEW ORLEANS: Seorang lelaki mabuk didakwa membenarkan anaknya berusia lapan tahun memandu pikapnya di lebuh raya di tenggara Louisiana semalam, sambil dia tidur di sebelah, sehingga peronda menahan kanak-kanak itu.
Budak itu memandu trak Chevrolet itu berhampiran bandar Holden dengan bapanya tidur di tempat duduk penumpang dan adiknya yang berusia empat tahun di belakang, menurut kenyataan yang dikeluarkan polis Louisiana.

Seorang pemandu menyedari trak itu dipandu tidak tentu arah sebelum menelefon polis.

Peronda yang menahan trak berkenaan di Livingston Paris mendapati ia dipandu kanak-kanak berkenaan sebelum menyoal siasat bapanya, Billy Joe Madden, 28.

Polis berkata, Madden mabuk dan tidur sementara anaknya memandu kenderaan itu dalam perjalanan ke Dallas, Texas.

Lelaki terbabit ditahan dan di penjara atas kesalahan, membenarkan kanak-kanak memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar. Madden kekal dipenjara di Pusat Tahanan Livingston Parish kerana gagal membayar ikat jamin berjumlah AS1,474 (RM4,422).


Kedua-dua anaknya diserahkan kepada pihak berkuasa kebajikan sementara menanti seorang anggota keluarga yang boleh mengambil alih penjagaan ke atas mereka, kata polis. - Agensi
http://www.hmetro.com.my