Search This Blog

Friday, July 29, 2011

Peniaga dakwa MBI beli produk ciplak rekaannya



Md. Nayan Salleh menunjukkan produk pengasingan sisa makanan yang diciplak daripada ciptaannya di Ipoh, semalam.


IPOH 28 Julai - Seorang peniaga, Md. Nayan Salleh mendakwa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menggunakan produk pengasingan sisa makanan yang diciplak 100 peratus daripada ciptaannya, yang telah dipatenkan pada 1 Januari 2009.

Lebih mengecewakan, Md. Nayan berkata, permohonan untuk membekalkan produk ciptaannya yang dikenali Sistem Penyaringan dan Pengasingan Sisa Makanan, Lemak dan Gris (Simpak) pernah ditolak pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

"Saya tidak marah namun kecewa dengan tindak-tanduk MBI kerana bukan sahaja enggan melayani permohonan untuk membekalkan produk itu sejak Januari lalu secara sah tetapi PBT terbabit bersekongkol dengan penciplak.

"Tindakan MBI nyata menimbulkan tanda tanya tetapi apa yang berlaku ini sememangnya melemahkan semangat para pereka dan pencipta produk tempatan seperti saya," katanya pada sidang akhbar di sini.

Md. Nayan berkata, pemasangan 17 unit pengasingan sisa makanan berkenaan berdekatan medan selera terbuka di sini disedarinya tiga hari lalu selepas dimaklumkan seorang pengedar produk tersebut.

Beliau mendakwa, satu surat permohonan rasmi untuk menjadi pembekal produk itu kepada MBI telah dihantar ke PBT terbabit pada 12 Januari lalu dan sehingga kini tidak mendapat perhatian.

Ekoran penemuan produk tiruan itu, Md. Nayan berkata dia sendiri telah mengadakan pertemuan bersama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim bagi mendapatkan penjelasan selain membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam, di sini, semalam.

Katanya, Simpak yang mula direka sejak 1998 sebelum mula dikomersialkan pada 2005 telah mendapat dua pengiktirafan antarabangsa iaitu pingat emas pada Konvensyen Reka Cipta di Bulgaria dan Geneva, Switzerland pada 1998.

"Apa yang menjadi persoalan adalah harga yang dibeli MBI ke atas produk ciplak kerana saya difahamkan ia tiga kali ganda lebih mahal berbanding produk saya.

"Simpak hanya dipasarkan RM450 untuk pemasangan sendiri manakala RM950 bagi unit siap pasang. Sehingga kini lebih 2,500 unit terjual melibatkan PBT, Jabatan Pengairan dan Saliran dan beberapa agensi kerajaan serta premis restoran," katanya.

Beliau yang juga bekas Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran sebuah agensi kerajaan berkata, satu laporan akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian produk ciplak oleh MBI itu.

"Saya menghabiskan hampir RM300,000 termasuk mendaftarkan paten namun apa yang berlaku, ada pihak termasuk PBT sendiri tidak menyokong usaha pereka tempatan dan mendapatkan produk ciplak," katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Pelajar penerbangan rugi RM24.5 juta



Muhd. Izam Naroodin (tiga dari kiri) mewakili pelajar-pelajar kolej penerbangan membuat pengaduan kepada Muhd. Khairun Aseh (kanan) di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 28 Julai – Seramai 94 pelajar program penerbangan mendakwa kerugian kira-kira RM24.5 juta apabila diperdayakan pihak pengurusan sebuah kolej swasta setelah gagal menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan.

Kolej penerbangan yang beroperasi di Bintulu, Sarawak itu didakwa sengaja memberi cuti kepada para pelajar berkenaan sehingga melebihi tempoh wajib latihan.

Menurut wakil pelajar, Muhd. Izam Naroodin, 32, kesemua pelajar penerbangan berkenaan dikenakan bayaran pengajian sebanyak RM250,000 melalui pinjaman bank atau Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan perlu menamatkan pengajian selepas 20 bulan menjalani latihan.

“Bagaimanapun, belum sempat tamat pengajian, kami diminta mengambil cuti dan hingga kini tiada maklumat tentang status pengajian kami.

“Jika diberi status gagal, ia bermakna tidak sah kerana tindakan pihak pengurusan kolej seolah-olah memperdaya pelajar-pelajar dengan pemberian cuti berkenaan.

“Kolej itu memperoleh kelulusan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) serta diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), bagaimanapun dikatakan mengalami masalah sejak lapan bulan lalu,” katanya.

Muhd. Izam berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan oleh Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO yang turut dihadiri pengerusinya, Datuk Muhd. Khairun Aseh di sini, hari ini.

Sementara itu, Muhd. Khairun berkata, pelajar-pelajar berkenaan berada dalam keadaan tertekan apabila diburu pihak bank yang mahu mereka menjelaskan pinjaman pelajaran sedangkan mereka belum menamatkan pengajian secara sah.

“Kes penipuan seperti ini tidak boleh dibiarkan sahaja kerana pelajar dan ibu bapa masing-masing telah dianiaya pihak kolej berkenaan.

“Pihak saya akan berusaha membantu mengatasi masalah yang dialami pelajar-pelajar terbabit dengan mengadakan rundingan dengan kolej berkenaan, Mara serta bank berkaitan,” katanya lagi.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Dua fanatik agama dihukum penjara


SERANG 28 Julai - Sebuah mahkamah Indonesia hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga dan lima bulan setengah kepada dua fanatik agama di negara ini yang membunuh tiga pengikut Ahmadiyah dalam satu serangan rusuhan.

Dani Misra, 17, yang didapati bersalah yang memecahkan tengkorak mangsa menggunakan batu dijatuhi hukuman penjara tiga bulan kerana menyebabkan kematian.

Idris Mahdani yang mengetuai rusuhan lebih 1,000 penganut Islam pada Februari lalu pula didapati bersalah memiliki parang dan dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan 15 hari. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Kereta api bawa kimia tergelincir


LOS ANGELES 28 Julai - Kira-kira 100 buah rumah terpaksa dikosongkan semalam selepas sebuah kereta api pengangkut yang dipercayai membawa bahan kimia berbahaya, tergelincir di California, Amerika Syarikat, dan dikhuatiri berlaku kebocoran.

Menurut jurucakap bomba, tiada kecederaan dilaporkan, namun 22 daripada 70 gerabak kereta api Union Pacific itu tergelincir dari landasan di Palmdale, utara Los Angeles dan kebocoran masih belum dapat disahkan.

Terdapat laporan menyatakan bahawa sekurang-kurangnya satu daripada gerabak membawa bahan kimia klorin, namun tidak dapat dipastikan sama ada terdapat bahan kimia lain yang dibawa.

"Kejadian berlaku di kawasan yang kurang padat penduduk, mungkin ia (bahan kimia) hanya memberi kesan terhadap rumah berhampiran lokasi kejadian. Pengosongan rumah dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga," katanya. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Pesawat kargo Asiana terhempas, 2 maut



GAMBAR video merakamkan anggota Pengawal Pantai Korea Selatan membawa sebahagian daripada bangkai sebuah pesawat kargo Asiana Airlines yang terhempas di laut kira-kira 100 kilometer ke barat pulau Jeju, Korea Selatan, semalam yang mengorbankan dua anak kapalnya. - AFP


SEOUL 28 Julai - Sebanyak dua orang maut apabila sebuah pesawat kargo Asiana Airlines hari ini terhempas di laut berdekatan kawasan perairan pulau Jeju, lapor agensi berita Yonhap.

Yonhap yang memetik seorang pengawal pantai sebagai berkata, anak kapal melaporkan masalah mekanikal dan cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju, Korea Selatan sebelum pesawat Boeing 747 itu hilang dari radar.

Pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dan dalam perjalanan ke Pudong, Shanghai ketika kejadian itu berlaku.

''Bangkai pesawat itu ditemui kira-kira 107 kilometer dari Bandar Jeju oleh bot peronda pengawal pantai,'' lapor Yonhap.

Komputer, semikonduktor dan pewarna dilaporkan merupakan antara barangan kargo yang dibawa oleh pesawat itu.

Kementerian Pengangkutan di Seoul berkata, kebakaran mungkin berlaku di tempat simpanan kargo.

Punca sebenar kejadian itu hanya boleh ditentukan apabila data penerbangan dan perakam suara ditemui, kata kementerian itu. - DPA

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Culik anak saudara tuntut wang tebusan


HANOI 28 Julai - Seorang lelaki di selatan Vietnam diberkas kerana disyaki menculik anak saudaranya berusia 3 tahun untuk meminta wang tebusan.

Menurut polis, Tran Dai Nam, 26, ditangkap ketika dia cuba mengambil wang tebusan kira-kira AS$600 (RM1,800) daripada kakaknya, semalam.

"Ini merupakan kali pertama polis menyelesaikan kes seperti ini.

"Suspek menyatakan dia tidak mempunyai wang dan bertindak menculik anak saudaranya untuk mendapatkan wang tebusan daripada kakaknya," kata Timbalan Ketua Polis Thong Nhat, Tran Si Quynh.

Menurut Quynh, Nam baru sahaja selesai menjalani hukuman penjara kerana merompak dan kini didakwa menculik anak saudaranya sendiri.

Tambahnya, suspek didakwa telah mengugut kakaknya untuk menjual anak saudaranya jika dia tidak mendapat wang tebusan, malah turut mengugut akan membunuh kanak-kanak tersebut jika kakaknya cuba menghubungi polis.

Katanya, polis berjaya menyelamatkan kanak-kanak terbabit selepas mengesan tempat dia disembunyikan.

Nam mungkin dijatuhi hukuman sehingga 12 tahun penjara jika didapati bersalah. - DPA

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Geng Citra tumpas, 14 kenderaan curi ditemui


SERDANG 28 Julai - Polis berjaya menumpaskan sindiket mencuri kenderaan selepas menahan tiga lelaki dan merampas 14 buah kenderaan, kebanyakannya kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra, minggu lalu.

Kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai Geng Citra itu ditangkap selepas sepasukan anggota dari Balai Polis Seri Kembangan menyerbu sebuah kilang besi di Taman Serdang Utama dan menahan enam penagih dadah pada 20 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, dalam serbuan itu, polis turut menemui sejumlah 5.7 gram dadah jenis syabu dan 18 gram ketamin.

Katanya, hasil siasatan, polis mendapat maklumat berhubung kegiatan Geng Citra yang bergerak aktif sejak lapan bulan lalu mencuri pelbagai jenis kenderaan termasuk Naza Citra, kereta dan lori.

"Susulan daripada itu, polis menahan seorang lelaki yang sedang memandu Naza Citra di Serdang Raya dan pemeriksaan mendapati MPV itu dicuri di Pandan Indah, Ampang.

"Selepas itu, polis berjaya menahan dua lagi ahli kumpulan berkenaan di sebuah stesen minyak di Jinjang ketika mereka sedang memandu MPV jenis sama. Hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai kelengkapan mencuri kenderaan termasuk anak kunci pendua," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Seri Kembangan, di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut terhadap ketiga-tiga ahli kumpulan berkenaan, polis telah menemui semula 14 buah kenderaan terutama Naza Citra, kereta dan sebuah lori muatan satu tan.

"Siasatan mendapati suspek mencuri kenderaan dengan mengumpil lubang kunci bahagian bonet belakang sebelum dibuat anak kunci pendua.

Katanya, hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif syabu.

Enam penagih dadah di kilang besi itu pula, katanya, tidak terlibat dengan kegiatan berkenaan.

Utusan Malaysia Online - Kota

Rompak RM100 kena jel 3 tahun

AMPANG: Gara-gara merompak wang RM100 milik warga emas wanita berusia 71 tahun dengan menggunakan senjata pada Mei lalu, seorang penganggur dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Tertuduh, Adi Fahmi Mohd Latip, 26, dijatuhkan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.


Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan rompakan bersenjata dengan menggunakan parang ke atas mangsa, Gurcharan Kaur di Poliklinik Samudera, Jalan Samudera Utara 1, Taman Samudera, Batu Caves, di sini, jam 8.05 pagi, 7 Mei lalu.

Bagi pertuduhan itu, Adi didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 14 tahun dan denda atau sebatan, jika disabit kesalahan.


Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa raya, Nordalina Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.


Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan dari tarikh ditangkap pada 7 Mei lalu.

myMetro | Rompak RM100 kena jel 3 tahun

Kena denda RM10,000

SHAH ALAM: Sebuah syarikat kontraktor perumahan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana mencuri air untuk kegunaan rumah kongsi dan bangunan yang sedang dibina, di Seksyen 22, tiga tahun lalu.

Hakim Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman itu selepas wakil iaitu pengarah syarikat Bina Mandat Sdn Bhd, Chew Koh Wah mengaku salah pada prosiding sebutan semula kes itu semalam. Aslam juga memerintahkan Chew dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu. Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa membuat penyambungan air ke paip air perkhidmatan awam, di sebahagian Lot 13823, Jalan Jubli Perak 22/1, Seksyen 22, di sini, pada 8 Julai 2008. Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 123 Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) 2006 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPAN, V Kirupakaran, manakala syarikat itu diwakili peguam, C C Hong. Terdahulu, Hong memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minimum terhadap syarikatnya atas alasan kontraktor itu hanya membuat satu sambungan pada paip awam. Menurutnya, sambungan lain pula dilakukan kontraktor lain.


Bagaimanapun, Kirupakaran memohon hukuman setimpal kerana syarikat itu adalah kontraktor utama berdasarkan papan tanda yang ada di tapak pembinaan. Berdasarkan fakta kes, SPAN mendapat aduan daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) yang mengetahui aktiviti penyambungan ke paip air perkhidmatan secara haram di satu kawasan di Seksyen 22, di sini. Pegawai SPAN melakukan siasatan dan mendapati ada penyambungan air tanpa kebenaran ke satu paip tanpa menggunakan sebarang meter. Pemeriksaan mendapati penyambungan dibina untuk ke bangunan yang dibina, bilik mandi dan rumah kongsi.

myMetro | Kena denda RM10,000

Kelindan dituduh edar heroin

PETALING JAYA: Seorang kelindan lori berdepan hukuman gantung apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mengedar heroin, dua minggu lalu.

Tertuduh, G Pusbalinggam, 33, bagaimanapun hanya berdiam diri dan tiada pengakuan direkodkan daripadanya selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki heroin anggaran berat 73 gram di rumah bernombor 3-511, Blok 3 Jalan Matahari U5/117, Seksyen U5, pada jam 1.30 tengah har, 14 Julai lalu.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa memiliki satu peket plastik syabu dengan berat kasar 0.8 gram pada masa, tarikh dan tempat sama.


Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Pusbalinggam bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi tuduhan itu dan Majistret Mohamad Ibrahim Mohamad Ghulam membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,800 dengan seorang penjamin. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Yahya.

Mahkamah menetapkan 14 September ini untuk sebutan semula dan laporan kimia.

myMetro | Kelindan dituduh edar heroin

Campak dadah tepi jalan

AMPANG: Khuatir dicekup pihak berkuasa, seorang lelaki yang memiliki heroin dan morfin membuang barangan larangan itu daripada kereta yang diberhentikan di tepi jalan di Kampung Tasek Permai, di sini.

Namun, perbuatannya yang mencurigakan pada Februari lalu dihidu anggota polis sebelum dia ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam.


Tertuduh, S Sashitaharan, 28, didenda RM5,000 terhadap dua pertuduhan selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Aida Mastura Mohamed Aman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki 20 peket plastik yang diikat gelang getah mengandungi bahan ketulan dan serbuk hijau dipercayai heroin dengan berat bersih 0.89 gram pada jam 6 petang 24 Februari lalu.


Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki 20 peket plastik diikat dengan gelang getah mengandungi bahan ketulan dan serbuk hijau dipercayai morfin dengan berat bersih 0.12 gram pada waktu, tempat dan hari sama. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Farrah Nor Azura Jumuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.


Sementara itu, dalam mahkamah sama, seorang pembantu restoran didenda RM5,000 atau dipenjara 20 bulan jika gagal membayar denda atas tuduhan memiliki syabu, bulan lalu.

Tertuduh, Hamdani Ibrahim yang juga warga Indonesia itu dijatuhkan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah di hadapan Aida Mastura.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki dadah jenis syabu dengan berat bersih 4.5 gram di depan rumah kedai di Jalan Pandan 3/10, Pandan Jaya, di sini, jam 4.10 pagi pada 5 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama (Pindaan 2003) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.


Terdahulu, peguam bela tertuduh, Dony Abdullah meminta hukuman ringan dikenakan atas alasan anak guamnya penanggung tunggal dan mempunyai tiga anak, termasuk dua daripadanya masih bersekolah.

myMetro | Campak dadah tepi jalan

Bayar duit muka RM800,000

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, semalam, projek restoran Malaysia di Dubai, empat tahun lalu tidak dapat dilaksanakan walaupun bayaran pendahuluan RM800,000 sudah dibuat Pembangunan Pelancongan Nasional (Pempena) Sdn Bhd.

Bekas Naib Pengerusi Eksekutif Pempena, Akit Sebli, 57, memberitahu, wang berkenaan diserahkan kepada syarikat Awana Dubai Sdn Bhd untuk melaksanakan projek berkenaan.


Menurutnya, bayaran pendahuluan itu dibuat selepas mesyuarat dengan ahli lembaga pengarah pada Februari 2007 yang kemudian meluluskan projek berkenaan.

Namun saksi pertama itu tidak dapat pastikan bila pembayaran dibuat dan siapa yang menandatangani pembayaran itu.


Katanya, bagaimanapun, projek berkenaan tidak dapat dilaksanakan dan syarikat itu perlu memulangkan kembali wang itu dalam tempoh sebulan.


Pihaknya kemudian mengadakan mesyuarat bagi mencari alternatif untuk mencari lokasi lain di Dubai untuk menggantikan projek berkenaan.

“Antara yang terbabit dalam mesyuarat itu termasuk saya, Mohammad Rosly Selamat, Mohd Ridza Ismail, Lim Khing Thai dan Raja Norzan,” jelasnya.

Bagaimanapun, tiada keputusan yang diperoleh menerusi mesyuarat itu.

Apabila ditanya sama ada wang itu sudah dipulangkan, Akit memberitahu, dia tidak pasti berhubung perkara itu kerana sudah tidak bertugas di Pempena sejak Julai 2007. Sementara itu, Akit ketika disoal peguam Saseedharan Menon ketika memberikan keterangan mengesahkan kewujudan syarikat Awana Dubai berdasarkan kepala surat yang diterima daripada Datuk Low Chi Lai pada 24 Januari 2007.


Menurutnya, surat berkenaan adalah bagi jumlah keseluruhan kos untuk pelaksanaan projek pembinaan restoran di Dubai.


Terdahulu, dia memberitahu mahkamah, projek berkenaan yang dibentangkan Rosly Selamat diluluskan pelaburannya oleh ahli lembaga pengarah yang lain.


Menurutnya, antara yang dibentangkan termasuk projek itu akan dijalankan sebuah syarikat baru dan Pempena akan melantik seorang wakil daripada syarikat itu.


Dia berkata demikian ketika menjadi saksi pertama kes Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Mirza Mohammad, 54, dan bekas Ketua Pegawai Operasi Pempena, Mohammad Rosly, 57, didakwa dengan niat bersama melakukan pecah amanah dana syarikat Pempena dengan meluluskan pembayaran RM888,000 dengan memasukkannya ke dalam akaun LCL Interior melalui Mashreq Bank Dubai bagi projek pembinaan restoran Malaysia di Dubai sedangkan syarat yang perlu dipatuhi bagi projek itu tidak dipenuhi.


Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 13, Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 41, Jalan Sultan Ismail, di sini, pada 27 Februari 2007.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda dan juga boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.


Perbicaraan di hadapan Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh bersambung hari ini.

myMetro | Bayar duit muka RM800,000

Digilis bas sendiri

NIBONG TEBAL: Seorang pemandu bas sekolah maut apabila dilanggar bas yang dipandunya itu ketika berhenti memeriksa tayar belakang bas berkenaan dalam kejadian pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi di Jalan Besar Sungai Bakap berhadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, mangsa, Saad Yusof, 47, cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia selepas lebih tiga jam menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).


Mangsa yang beralamat di Taman Rebana, Sungai Bakap dikatakan memberhentikan bas sekolah dipandunya di bahu jalan hadapan sekolah berkenaan.

Kemalangan berlaku selepas mangsa berada di bawah bas memeriksa tayar belakang sebelum bas berkenaan tiba-tiba bergerak dan menggilisnya.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, mangsa yang cedera parah dikejarkan ke HSJ dan meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira jam 3.15 petang.

myMetro | Digilis bas sendiri

Urutan manja di pantai

GEORGETOWN: Aksi romantis sepasang kekasih yang asyik melakukan urutan manja di tepi pantai secara terbuka membawa padah apabila dicekup kerana berkelakuan kurang sopan di Pesisiran Pantai Queensbay, malam kelmarin.

Kedua-dua pasangan berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan sepasukan pegawai penguat kuasa, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), diketuai Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan jam 8 malam.

Ketua Penolong Pengarah JHEAIPP, Jaafar Ismail berkata, kedua-dua pasangan itu dilihat asyik bercengkerama di kawasan terbuka tanpa mempedulikan orang ramai.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan, pasangan wanita asyik mengurut leher teman lelakinya sambil bergurau manja dan perbuatannya disaksikan pegawai penguat kuasa agama.


Katanya, ketika menghampiri pasangan itu, mereka terkejut sebelum ditegur pegawai penguat kuasa agama dan pasangan wanita itu memberi alasan mengurut leher teman lelakinya kerana keletihan bekerja.

myMetro | Urutan manja di pantai

‘Baik dia gores sendiri, mak cik...’

MELAKA: Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini, semalam, mengarahkan sebuah syarikat gores dan menang, Nilam Bumi Enterprise membayar semula RM16,400 kepada seorang warga emas yang mendakwa ditipu syarikat berkenaan.

Presiden TTPM, Siti Naaishah Hambali mengarahkan syarikat itu memulangkan wang berkenaan dalam tempoh 14 hari kepada Sapilah Kataludin, 60-an. Bagaimanapun, syarikat berkenaan gagal hadir dalam prosiding itu.


Siti Naaishah yang mengeluarkan arahan kepada syarikat itu turut menegur Sapilah supaya lebih berhati-hati pada masa depan.

“Kalau menang boleh dapat kereta, baik dia gores sendiri mak cik. Macam mana mak cik boleh berikan wang sebegini banyak kepada mereka,” katanya.

myMetro | ‘Baik dia gores sendiri, mak cik...’

Rugi RM33,000

PERAI: Dua beradik yang juga pemilik restoran nasi kandar kerugian lebih RM33,000 apabila mendakwa ditipu lelaki dipercayai ejen untuk pekerja asing dalam kejadian di Bagan Serai, Perak, baru-baru ini.

Mereka mendakwa, lelaki berkenaan yang berusia 40-an membuat penipuan dengan memalsukan maklumat 14 permit pekerja warga asing yang juga pekerja restoran berkenaan membabitkan pembayaran lebih RM33,000.


Mangsa yang hanya mahu dikenali Mohd, 41, berkata, dia menyerahkan RM10,600 kepada lelaki terbabit pada Januari lalu untuk membaharui pasport tiga pekerjanya manakala abangnya pula menyerahkan RM23,000 untuk membaharui 11 pasport pekerjanya.

Bagaimanapun, katanya, pada Februari lalu, dia dan isteri ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya kerana mempunyai urusan sebelum membuat pemeriksaan ke atas permit berkenaan, tetapi dimaklumkan pegawai Imigresen, nombor siri dan pelekatnya palsu.


“Berikutan itu, kami menghubungi lelaki berkenaan yang dikenali ‘Appo’ dan dia memberitahu maklumat permit itu belum dimasukkan dalam sistem dan mengambil masa enam bulan,” katanya ketika mengunjungi pejabat Harian Metro, kelmarin.


Mohd berkata, pada 21 Julai lalu, mereka ke Jabatan Imigresen di Putrajaya dan melalui pemeriksaan sekali lagi, mereka diberitahu nombor siri dan pelekat di permit pekerjanya palsu.

“Malah, pegawai bertugas itu berkata, kami boleh ditahan atas kesalahan memalsukan dokumen tetapi kami menjelaskan keadaan sebenar,” katanya kesal.


“Kami tidak percaya mengenainya sebelum saya dan abang membuat laporan di Balai Polis Menglembu pada 25 Julai lalu,” katanya.

myMetro | Rugi RM33,000

Lori tong gas tenggelam

KOTA BHARU: Seorang pemandu lori berdepan detik cemas apabila lori dipandu terhumban ke dalam Sungai Tok Sadang ketika melalui jambatan kayu di Kampung Lapan Pari, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, pemandu lori, Kamarudin Ismail, 33, menyelamatkan diri dengan keluar dari lori dan berenang ke tebing sungai sebelum lori dipenuhi tong gas itu tenggelam.

Kamarudin berkata, dia dalam perjalanan dari Pengkalan Chepa dan menggunakan jalan alternatif di Kampung Lapan Pari, di sini untuk menghantar bekalan tong gas ke kawasan Pantai Cahaya Bulan.

Katanya, ketika melalui sebuah jambatan kayu, lori dipandu tergelincir sebelum merempuh penghadang jambatan dan terhumban dalam sungai.


“Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya tidak sempat membrek ketika lori dipandu tiba-tiba tergelincir. Selepas lori terjunam ke dalam sungai, saya keluar dari lori.

myMetro | Lori tong gas tenggelam

Sukar cari pembantu rumah

MAKKAH: Menjelang Ramadan ini, penduduk di Arab Saudi semakin terdesak mencari pekerja untuk membantu mereka melakukan kerja di rumah.

Permintaan yang meningkat dan pembekuan pengambilan tenaga kerja daripada beberapa negara Asia, telah menyebabkan kenaikan yang tinggi untuk gaji pembantu rumah.

Dari tinjauan yang dilakukan, ramai suri rumah di Arab Saudi berkata, mereka amat memerlukan pembantu rumah untuk membantu mereka sepanjang Ramadan.

Futoon Al-Saad berkata, pembantu rumahnya melarikan diri sejak bulan Syaaban.

Katanya pembantu rumahnya meninggalkan satu nota,tetapi dia tidak faham apa yang ditulis kerana ianya berbahasa Indonesia. Dia terpaksa meminta bantuan daripada pemandu keretanya yang juga berbangsa Indonesia.

Kata Futoon, nota itu berbunyi: “Saya sudah dapat kerja dengan gaji SR2,500 sebulan (RM1,970) di rumah lain. Saya terpaksa melarikan diri dari puan untuk dapatkan gaji yang lebih baik daripada hanya SR800 (RM630) yang puan bayar.”

Kata Futoon, dia tidak ada pilihan lain dan terpaksa mencari pembantu rumah haram dan menerima permintaan mereka yang bukan-bukan.

Futoon menurut nasihat salah seorang kawannya dan menghubungi seorang broker dari Indonesia dan memintanya untuk mencarikan seorang pembantu rumah untuk bekerja dengannya sepanjang Ramadan.

Katanya, menurut broker itu, dia boleh dapatkan pekerja haram sekiranya Futoon sedia mengikut syarat mereka, termasuk membayar gaji RM1,970 sebulan dan kerja mereka tidak termasuk membasuh atau mencuci pinggan. Selepas tawar menawar, pembantu rumah itu menerima gaji RM1,807.

“Saya gembira sekarang kerana saya dapat pembantu rumah yang akan membantu kerja saya sepanjang bulan puasa ini,” katanya.

Suzan Gamlo berkata, dia juga telah meminta bantuan daripada seorang broker Indonesia untuk mencarikan pembantu untuk bekerja dengannya sepanjang Ramadan.

“Broker itu datang ke rumah bersama dengan seorang pembantu rumah. Dia menerima duit RM78.60 dan terus pergi,” katanya.- AN

myMetro | Sukar cari pembantu rumah

Juruterbang Garuda henti mogok

JAKARTA: Juruterbang penerbangan Garuda Indonesia menamatkan mogok selama 24 jam, semalam selepas mendapat kepastian isu perbezaan bayaran gaji akan diselesaikan.

Ketua Kesatuan Juruterbang Garuda, Stephanus Geraldus berkata, Menteri Negara (Badan Usaha Milik Negara) Mustafa Abubakar berjanji untuk campur tangan bagi mencapai penyelesaian dalam beberapa minggu lagi. “Saya gembira mogok itu dihentikan. Saya minta maaf kerana melancarkan mogok tetapi itu pilihan terakhir kami. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang meyokong kami,” katanya. Pegawai kanan kesatuan, Jose Rizal sebelum itu berkata, syarikat penerbangan terbabit cuba untuk menggagalkan mogok dengan cara mengambil juruterbang di kediaman mereka dan kemudian memaksa mereka menaiki pesawat. - AFP

myMetro | Juruterbang Garuda henti mogok

Keputusan khalwat Norman, Memey hari ini

KUALA LUMPUR - Aktor Norman Hakim dan tunangnya, Memey yang bakal disatukan pada September depan dengan tajaan perkahwinan RM12 juta perlu mendengar terlebih dahulu keputusan kes khalwat mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak dekat sini hari ini.

Hakim Syarie, Salehan Yatim dijangka membacakan keputusan di akhir pendakwaan selepas mahkamah selesai mendengar dan meneliti hujah kedua-dua belah pihak.

Seramai lapan orang saksi termasuk pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam (JAIS), abang Norman iaitu Mohd. Saufi dan pengadu, Muhamad Yusri Abd. Razak memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula sejak 15 Mei 2009.

Kosmo! Online - Negara

4 terbunuh treler rempuh bas




Lokasi kemalangan mengorbankan empat mangsa di Kilometer 201 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Kamunting, Perak semalam.


BAGAN SERAI - "Dentuman sangat kuat dan sepantas kilat, saya pecahkan tingkap sebelum melompat keluar untuk menyelamatkan diri."

Demikian diceritakan seorang anggota tentera, Abdul Razak Mohd. Zaid, 30, salah seorang penumpang bas ekspres yang dirempuh sebuah treler dari arah bertentangan di Kilometer 201 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Kamunting di sini semalam.

Katanya, dalam sekelip mata, treler yang remuk itu menghempap bahagian depan bas menyebabkan beberapa penumpang tercampak keluar termasuk seorang kanak-kanak.

Abdul Razak yang dalam perjalanan pulang ke Kem Mahkota Kluang, Johor memberitahu, dia langsung tidak dapat melelapkan mata sejak bas tersebut memulakan perjalanan dari Kangar, Perlis kira-kira pukul 8.30 malam.

"Saya seperti tidak sedap hati dan semasa treler itu merempuh, beberapa penumpang menjerit. Suasana hingar-bingar menyebabkan mereka yang baru tersedar dari tidur mula menangis ketakutan," ceritanya.

Kosmo! Online - Negara