Search This Blog

Thursday, July 28, 2011

2 jemaah Mesir mati nahas

JEDDAH: Dua orang jemaah dari Mesir terbunuh dan lima lagi cedera apabila kenderaan yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Yanbu-Madinah, semalam.

Menurut polis, bas persendirian yang membawa jemaah telah melanggar belakang treler. Punca kemalangan masih lagi disiasat.

Anggota Pertahanan Awam terpaksa memotong kenderaan itu untuk mengeluarkan semua mangsa yang terperangkap.

Lima jemaah yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital manakala mayat pula dihantar ke rumah mayat.

myMetro | 2 jemaah Mesir mati nahas

Tiga hotel musnah akibat tanah runtuh

KOREA SELATAN: Tanah runtuh yang disebabkan hujan lebat di kawasan peranginan di pergunungan timur Seoul semalam, menyebabkan tiga bangunan hotel musnah dan sekurang-kurangnya 13 orang mati.

Cuaca buruk sejak kelmarin menyebabkan banjir kilat, penutupan jambatan dan menyukarkan perjalanan di bahagian tengah negara itu.

Kerosakan akibat tragedi itu dianggarkan mencapai beberapa juta dollar.

Di Chuncheong, sekitar 100 kilometer dari timur Seoul, pasukan penyelamat, dibantu askar membersihkan lumpur dan runtuhan bangunan dan menyelamatkan beratus-ratus orang yang sedang bercuti di situ. - Reuters

myMetro | Tiga hotel musnah akibat tanah runtuh: "t"

Polis China patahkan dua sindiket jual bayi

BEIJING: Polis China menyelamatkan 89 bayi yang telah diculik untuk dijual dan menahan 369 orang yang disyaki terlibat dalam dua kumpulan pemerdagangan orang, bulan ini.

Menurut laporan akhbar China Daily, dalam kes yang pertama, penyeludup yang hampir kesemuanya penduduk Vietnam, menculik bayi dari Vietnam dan menjual mereka di wilayah Guangdong dan Guangxi.

Julai lalu, polis telah menahan 39 suspek yang mempunyai kaitan dengan pemerdagangan manusia dan menyelamatkan lapan bayi yang berusia antara 10 hari dan tujuh bulan yang telah diberi ubat tidur.

Menurut akhbar itu lagi, dalam satu lagi operasi yang dibuat bulan ini, polis telah menahan 330 orang yang disyaki terlibat dalam penyeludupan bayi perempuan.

Operasi itu dijalankan di beberapa tempat dalam 14 wilayah. Semua 81 bayi yang diselamatkan, diserahkan kepada pusat penjagaan.


Polisi “satu anak” di China yang mengutamakan anak lelaki telah menyumbang dalam peningkatan kes penyeludupan kanak-kanak dan wanita. - Reuters

myMetro | Polis China patahkan dua sindiket jual bayi

Nahas terburuk

MAGHRIBI: Kesemua 80 penumpang sebuah pesawat tentera terhempas di kawasan pergunungan akibat cuaca buruk di selatan Maghribi semalam.

Sumber tentera berkata, 78 penumpang mati serta merta apabila pesawat Hercules C-130 terhempas di pinggir padang pasir Sahara. Ia merupakan nahas pesawat terburuk di dalam sejarah negara itu.

Pesawat itu terhempas di kawasan pergunungan di timur laut Guelmim yang merupakan kawasan pinggir padang pasir Sahara, kira-kira 830 kilometer dari selatan Rabat.

Mereka berkata nahas itu disebabkan cuaca buruk.

“Cuaca buruk dan berkabus. Kami belum mempunyai maklumat yang lengkap,” kata pegawai Kementerian Dalam Negeri.


Seorang pegawai daerah berkata, pesawat itu bersedia untuk mendarat di sebuah lapangan terbang tentera di Guelmin apabila dia melihat “asap tebal dari arah gunung.” Katanya pesawat itu telah merempuh gunung yang dikenali sebagai Gunung Sayyert.

Pemimpin negara, Raja Mohammed VI mengisytiharkan tiga hari berkabung untuk memperingati mereka yang terbunuh dalam nahas itu.

Sumber dari hospital berkata, dua orang yang cedera parah telah dibawa ke hospital tetapi meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

Pihak berkuasa pada awalnya mengatakan ada 81 penumpang di dalam pesawat itu tetapi mereka tersilap kerana seorang penumpang tidak menaiki pesawat dari Laayoune di barat Sahara.

Hampir semua mangsa adalah askar yang dalam penerbangan dari Laayoune di barat Sahara menuju ke bandar pinggir laut, Agadir. Ada juga beberapa orang awam termasuk ahli keluarga di dalam pesawat itu.

Beberapa mayat mangsa telah ditemui di kawasan pergunungan itu dan dibawa ke hospital di Guelmin.

Sumber tempatan berkata, ahli keluarga mangsa berkumpul di kawasan itu cuba untuk mencari sisa-sisa mangsa nahas itu.

Pesawat Lockheed C-130 Hercules buatan Amerika itu sering digunakan sebagai pesawat pengangkutan di banyak negara di seluruh dunia.

“Ia merupakan pesawat yang digunakan untuk mengangkut tentera dan keluarga mereka. Ia memang banyak digunakan di padang pasir Sahara,” kata pegawai Kementerian Dalam Negeri.

Menurut laporan agensi akhbar negara, Raja Mohammed telah mengisytiharkan tiga hari berkabung bermula hari Selasa dan bendera negara Maghribi juga akan dikibarkan separuh tiang.

Pada Disember 2001, sebuah pesawat enjin berkembar dua yang biasa digunakan oleh tentera udara, terhempas di bahagian selatan Maghribi dan mengorbankan lima orang penumpang. - AFP

myMetro | Nahas terburuk

Nock-ten tenggelamkan dua wilayah Filipina

MANILA: Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dan sembilan lagi hilang apabila ribut tropika menyebabkan hujan lebat melanda pulau utama di Filipina, kata pihak berkuasa, semalam.

Ribut Nock-ten yang dinamakan sempena nama burung di Laos, dijangka menyebabkan lebih banyak kemusnahan di kawasan pergunungan di utara pulau Luzon, malam tadi, selain mengundang hujan lebat ke Manila, menurut laporan khidmat kaji cuaca negeri.


Menurut pegawai pertahanan awam, angka kematian terbaru akibat Nock-ten yang melanda timur Filipina, kelmarin adalah 25 orang dengan kebanyakan mangsa hanyut ekoran banjir atau tertimbus dalam tanah runtuh. Kira-kira 645,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka di wilayah pantai Albay dan Camarines Sur di tenggara Luzon di mana ribut itu mula-mula melanda.

“Dua wilayah itu ditenggelami air,” kata Ketua Majlis Pengurusan dan Bantuan Bencana Kebangsaan, Benito Ramos.


“Kami tidak dapat menggunakan trak tentera kerana jalan di situ ditenggelami air,” katanya lagi. - AFP

myMetro | Nock-ten tenggelamkan dua wilayah Filipina

Padah zalimi tiga kucing


KEJAM...rakaman video yang disebarkan  di Internet  sehingga menimbulkan kemarahan pencinta haiwan.
KEJAM...rakaman video yang disebarkan di Internet sehingga menimbulkan kemarahan pencinta haiwan.


PETALING JAYA: Padah menzalimi tiga kucing dengan memukul menggunakan payung, menendang serta menyakiti haiwan malang itu Februari lalu, seorang wanita berusia 21 tahun didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Chow Xiao Wei dijatuhkan hukuman selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan. Nik Mohd Fadli juga memerintahkannya dipenjara tujuh hari jika gagal membayar denda itu. Bagaimanapun, Chow menjelaskan dendanya.

Mengikut tuduhan pertama, dia didakwa secara zalim menyakiti dua kucing antara jam 4.25 petang hingga 5 petang pada 19 Februari lalu di depan sebuah gerai di Pasar Seri Kembangan di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Chow juga didakwa melakukan perbuatan tidak wajar menyebabkan kesakitan serta penderitaan seekor kucing pada masa, tarikh dan tempat sama.


Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Jabatan Veterinar, Jamadi Badri, manakala Chow tidak diwakili peguam bela. Penganiayaan Chow terhadap tiga kucing itu sebelum ini tersebar luas di laman sosial, facebook dan blog selepas dimuat naik ke Internet hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Rakaman lima minit itu menimbulkan kemarahan banyak pihak, khususnya pencinta haiwan sehingga mendorong mereka menggerakkan usaha ‘mencari seorang pembunuh kucing’.

Rakaman video itu menunjukkan perbuatan tertuduh yang melakukan penyeksaan terhadap tiga kucing termasuk melibas dengan payung, menolak ke longkang, malah memijak hingga menyebabkan seekor kucing mati.


Selepas pelbagai usaha dijalankan, Chow yang dikenal pasti melakukan perbuatan itu akhirnya dikesan di facebook melalui pakaiannya dalam video yang disebarkan.


Chow yang menyedari identiti dirinya terbongkar meminta maaf secara terbuka dengan memaklumkan dia sedang menjalani rawatan psikologi kerana tekanan yang dikatakan dihadapinya akibat perceraian ibu bapanya.
myMetro | Padah zalimi tiga kucing

Keluarga lelaki mati semasa aksi erotik mahu inkues dibuka semula

PUTRAJAYA: Keluarga seorang lelaki yang dipercayai mati semasa aksi erotik kendiri akan membuat representasi untuk meminta satu inkues bagi menentukan keadaan yang membawa kepada kematiannya, dibuka semula.

Peguam Gurbachan Singh, yang mewakili keluarga Th'ng Boon Siang, memaklumkan Mahkamah Rayuan hari ini bahawa mereka mahu mengadakan representasi kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuka semula kes itu di Mahkamah Koroner (Mahkamah Majistret).
Beliau memberitahu panel yang terdiri daripada Hakim Datuk Sulong Matjeraie, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Azahar Mohamed bahawa beliau sudah memaklumkan pendakwaan mengenai perkara itu pagi ini.
Oleh itu, mahkamah menangguhkan kes itu kepada 15 September bagi membolehkan pihak pembela membuat representasi. Hari ini ditetapkan untuk pendengaran kebenaran untuk rayuan.

Keluarga Th'ng memfailkan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan bahawa keputusan Mahkamah Koroner bahawa kematian mangsa adalah disebabkan asfiksia (hal mati lemas) dan luka yang dilakukan sendiri yang dialami semasa melakukan aksi erotik kendiri.

Pada 2007, Mahkamah Koroner membuat dapatan berdasarkan testimoni Ketua Jabatan Forensik Hospital Ipoh Dr Mohammad Shafie Othman @ Osman, yang mendapati punca kematian akibat asfiksia seksual.

Gurbachan berkata, mereka mahu membuka semula kes itu kerana terdapat pendapat berbeza oleh dua ahli patologi forensik berhubung keadaan yang membawa kepada kematian Th’ng.
Dua ahli patologi forensik itu ialah Ketua Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh dan Dr Mohammad Shafie.

Semasa inkues itu, beliau berkata, Dr Mohammad Shafie mendapati bahawa kematian mangsa disebabkan oleh pengasfiksian dan luka yang dilakukan sendiri semasa melakukan aksi erotik kendiri.

Dalam keterangan Dr Bhupinder di Mahkamah Tinggi semasa perkara itu disemak, berkata bahawa kematian mangsa bukan disebabkan aksi erotik kendiri.

Keluarga mangsa memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Ipoh berhubung keputusan Mahkamah Koroner.

Gurbachan berkata, semasa inkues dan di peringkat semakan di Mahkamah Tinggi, pihak pendakwaan juga gagal untuk memanggil saksi penting, pembantu rumah Indonesia mangsa, yang menjumpai mangsa selepas insiden itu.

Bagaimanapun, keluarga pemilik kedai runcit itu percaya beliau dibunuh kerana leher dan kaki mangsa diikat dengan tali nilon dan rafia.

Isteri Th'ng, Ang Kim Hong, menjumpai mayatnya di atas lantai di sebuah bilik belakang di tingkat bawah kedai mereka pada kira-kira 7.30 pagi 29 Mei, 2003, di Manjung dengan kedua-dua tangannya diikat. - BERNAMA
Berita Harian Online | Keluarga lelaki mati semasa aksi erotik mahu inkues dibuka semula

Tiga terbunuh apabila pesawat terhempas di Jepun

TOKYO: Tiga orang terbunuh manakala seorang juruterbang pelatih terselamat apabila sebuah pesawat terhempas di kawasan pergunungan utara Jepun hari ini selepas bahagian enjin terbakar.

Mangsa yang terselamat, Isamu Kawaguchi berkata, dirinya tercampak keluar dari pesawat ringan Beechcraft A36 selepas ia terhempas ketika terbang dari sekolah penerbangan berpusat di Obihiro, Pulau Hokkaido.
Jurucakap Kolej Penerbangan Awam berkata, dua pengajar dan seorang lagi pelatih terbunuh. - AFP
Berita Harian Online | Tiga terbunuh apabila pesawat terhempas di Jepun

Empat maut nahas bas ekpress


KEADAAN bas ekspres yang remuk dilanggar lori membawa muatan gula yang terbabas dari arah bertentangan di KM201.5 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran susur keluar Kamunting di Bagan Serai, Perak. Nahas awal pagi itu menyebabkan empat orang terkorban. - Foto Ikhwan Munir


IPOH - Empat termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun maut dalam kemalangan membabitkan bas ekspress dengan treler di Km 201 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kamunting, tengah malam tadi.
Identiti mereka yang terbunuh iaitu pemandu dan kelindan treler, serta dua penumpang bas termasuk kanak-kanak itu belum dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Kerian Supritendan Mohd Fauzi Nayan ketika dihubungi berkata kejadian berlaku 12.30 malam tadi apabila treler dalam perjalanan ke utara itu terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas terbabit.
Tiga daripada mereka maut di tempat kejadian, manakala kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Taiping, katanya menambah maklumat lanjut akan dimaklumkan pada sidang media petang ini. - Bernama
Kosmo! Online - Terkini

Nyaris maut, lori junam ke sungai

KOTA BAHARU - Seorang pemandu lori tong gas nyaris maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam Sungai Pengkalan Chepa di Jambatan Lapang Pari, dekat Pantai Cahaya Bulan (PCB) hari ini.

Kamarudin Ismail, 33, ketika ditemui berkata, dia terselamat tanpa mengalami kecederaan selepas berjaya membuka pintu lori yang telah tenggelam itu dan berenang sejauh kira-kira lima meter ke tebing sungai.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang tadi, ketika saya bersendirian dalam perjalanan dari Pengkalan Chepa menuju ke PCB untuk menghantar tong gas kepada pelanggan.

"Namun, sebaik melalui jambatan kayu satu laluan itu, lori yang dipandu tiba-tiba tergelincir daripada papan landasan atas jambatan menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Kamarudin berkata dalam keadaan terkejut dan hampir lemas kerana berada dalam lori yang semakin tenggelam, dia segera membuka pintu lori dan keluar menyelamatkan diri. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini

Padah rompak kapal berkumpulan


JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Kota Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan tiga sebatan ke atas tujuh lanun warga Indonesia.

Tertuduh-tertuduh hanya dikenali sebagai Habsan, 23, Ali, 25, Hadi, 29 dan Selamat, 29, Herman, 30, Wasdiah, 31, dan Kusnan, 32.

Pesuruhjaya Kehakiman, Samsudin Hassan mengekalkan hukuman itu berikutan kesemua tertuduh sudah mengaku salah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Salawati Djambari pada 22 Mac lalu.

Menurutnya, rayuan yang dibuat oleh ketujuh-tujuh tertuduh untuk mengurangkan hukuman ditolak kerana tiada sebarang faktor baru untuknya berbuat sedemikian berikutan Mahkamah Sesyen Kota Tinggi sudah mengambil kira semua faktor sebelum keputusan dibuat.

Kesemua tertuduh mengaku cuba melakukan rompakan berkumpulan terhadap kapal Mt Front Queen di kedudukan kira-kira 3.2 batu nautika dari Pulau Mungging, Kota Tinggi pada jam 3 pagi, 9 Mac lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mirza Mohamad manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu, media cetak dan elektronik tempatan melaporkan kejayaan APMM Wilayah Selatan menumpaskan satu cubaan rompakan ke atas kapal Mt Front Queen yang didalangi oleh tujuh lelaki Indonesia di perairan Pengerang berkenaan.

Kejadian berkenaan disedari oleh sekumpulan anggota APMM Wilayah Selatan yang sedang melakukan rondaan di kawasan itu.
SH

Padah rompak kapal berkumpulan



JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Kota Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan tiga sebatan ke atas tujuh lanun warga Indonesia.

Tertuduh-tertuduh hanya dikenali sebagai Habsan, 23, Ali, 25, Hadi, 29 dan Selamat, 29, Herman, 30, Wasdiah, 31, dan Kusnan, 32.

Pesuruhjaya Kehakiman, Samsudin Hassan mengekalkan hukuman itu berikutan kesemua tertuduh sudah mengaku salah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Salawati Djambari pada 22 Mac lalu.

Menurutnya, rayuan yang dibuat oleh ketujuh-tujuh tertuduh untuk mengurangkan hukuman ditolak kerana tiada sebarang faktor baru untuknya berbuat sedemikian berikutan Mahkamah Sesyen Kota Tinggi sudah mengambil kira semua faktor sebelum keputusan dibuat.

Kesemua tertuduh mengaku cuba melakukan rompakan berkumpulan terhadap kapal Mt Front Queen di kedudukan kira-kira 3.2 batu nautika dari Pulau Mungging, Kota Tinggi pada jam 3 pagi, 9 Mac lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mirza Mohamad manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu, media cetak dan elektronik tempatan melaporkan kejayaan APMM Wilayah Selatan menumpaskan satu cubaan rompakan ke atas kapal Mt Front Queen yang didalangi oleh tujuh lelaki Indonesia di perairan Pengerang berkenaan.

Kejadian berkenaan disedari oleh sekumpulan anggota APMM Wilayah Selatan yang sedang melakukan rondaan di kawasan itu.
SH

Satu maut tiga cedera ringan



TELUK INTAN – Seorang maut manakala tiga lagi cedera ringan apabila dua lori terlibat dalam kemalangan di Kilometer 5.5 Jalan Teluk Intan - Kampung Gajah, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan kejadian kemalangan itu yang berlaku kira-kira jam 5.50 petang.

Kok Liang berkata, mangsa yang dikenali sebagai Yong Chee Sei, 31, membawa lori jenis Daihatsu dan berasal daripada Taman Cempaka, Ipoh itu, maut di tempat kejadian.

Menurutnya, manakala kelindan yang berusia 22 tahun, hanya mengalami kecederaan ringan.

“Ketika kejadian, mangsa dan kelindannya dalam perjalanan dari arah Jalan Teluk Intan ke Kampung Gajah.

“Setiba di tempat kejadian, lori di hadapan mangsa dari arah sama memberikan isyarat untuk membelok ke kanan, namun akibat jarak yang terlalu dekat, mangsa tidak sempat menekan brek, lalu merempuh lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan maut di tempat kejadian.

“Kelindan mangsa, pemandu lori, 59, berasal daripada Aulong serta rakan sekerja, 35, dari Kamunting, Taiping dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan pesakit luar,” katanya.

Katanya, kini pihaknya juga giat mencari saksi kejadian itu untuk membantu siasatan.

“Saksi kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, Inspektor Azli di talian 05-629 9222 untuk membantu siasatan.

“Pihak kami akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SH

Wanita mencuri di kedai emas



TAIPING - Satu kejadian curi telah dilaporkan berlaku di sebuah kedai emas, dekat Jalan Pasar, di sini, kelmarin membabitkan kehilangan seutas rantai emas bernilai RM4,800.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, polis kini sedang memburu seorang wanita dan seorang lelaki yang dipercayai suspek kejadian berkenaan.

Menurutnya, kejadian telah dilaporkan berlaku pada jam lebih kurang 4.30 petang oleh pemilik kedai emas berkenaan.

“Suspek utama merupakan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun yang dibantu seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

“Semasa kejadian, suspek dikatakan masuk ke dalam premis kedai emas berkenaan dan menyamar sebagai pelanggan dan meminta untuk melihat seutas rantai emas yang dipamerkan untuk jualan,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Menurut Yusuf, polis telah dimaklumkan bahawa suspek juga telah berpura-pura merundingkan harga rantai emas berkenaan sebelum melarikan diri secara tiba-tiba.

Katanya, suspek telah melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal, ditunggang seorang lelaki yang telah bersiap sedia menunggu suspek di luar premis kedai emas berkenaan.

“Pekerja kedai emas terbabit telah cuba mengejar suspek sewaktu kejadian namun gagal setelah terjatuh dan mengalami kecederaan ringan pada bahagian siku, sementara pemilik telah melaporkan kejadian kepada polis dengan segera,” katanya.

Katanya, polis masih menyiasat kejadian berkenaan dan setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes itu.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, iaitu curi dalam bangunan dan sabit kesalahan kedua-dua suspek boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun dan denda RM10,000.

“Polis juga menyeru orang ramai yang melihat kejadian berkenaan untuk menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan bagi membantu polis dalam siasatan kes ini, seterusnya menangkap suspek,” katanya.
SH

Maut dirempuh treler sendiri



GEORGETOWN - Gara-gara terlupa menarik brek tangan, seorang pemandu treler maut selepas dia dirempuh dan diheret beberapa beberapa meter dengan kenderaan itu ketika dia berada di sebelah treler itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa Mohd Erwadi Othman, 32, dari Ipoh, Perak menghembuskan nafas terakhirnya di tempat kejadian selepas dia dikatakan tidak boleh bernafas kerananya dadanya tersepit.

Lebih menyedihkan, mangsa sempat meraung meminta pertolongan daripada orang ramai namun mereka tidak dapat melakukan apa-apa kerana dia tersepit dan sukar untuk dibantu.

Orang ramai kemudian menghubungi bomba untuk meminta bantuan namun mangsa ketika itu sudah menghembuskan nafas ya terakhir.

Menurut rakan sekerja mangsa, Budiman Abdul Kadir, mangsa pada mulanya memisahkan bahagian kepala dan badan untuk mengisi minyak.

Badan treler ditinggalkan di tepi jalan sebelum dia kembali untuk menyambungkan kepala treler terbabit.

“Namun, ketika turun dan cuba menyambung bahagian badan dan kepala itu, treler berkenaan secara tiba-tiba bergerak ke depan.

“Dia yang berada di luar bahagian pemandu itu tersepit apabila treler terbabit bergerak,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Mohd Rozi Mustaffa berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.50 malam tadi dan tiba di lokasi empat minit kemudian.

“Kita terpaksa menggunakan beg udara dan pemotong besi untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Bagaimanapun dia sudah meninggal dunia ketika itu dan kita mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mayatnya,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa tidak menarik brek tangan trelernya yang kemudian bergerak dan menyebabkannya tersepit.
SH

Leka bercinta bawa padah



ALOR GAJAH - Hubungan intim pasangan yang masih penuntut di institut pengajian tinggi (IPT) merupakan lumrah kehidupan masa kini walaupun hubungan cinta tersebut boleh mengganggu fokus mereka terhadap pelajaran.

Menurut Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, Muhammad Anwar Fahmi Abdullah, berkata hubungan tersebut bukan sahaja menyebabkan implikasi perhubungan sosial yang lebih kronik seperti mengadakan hubungan terlarang, malah boleh melibatkan kes pembuangan bayi serta masalah sosial lain.

“Keghairahan penuntut dalam menjalinkan hubungan cinta semasa dalam pengajian mampu mengganggu-gugat tumpuan mereka terhadap pelajaran yang sepatutnya diberi tumpuan sepenuhnya bagi memperolehi segulung diploma mahupun ijazah," katanya.

Katanya, tuntutan kehidupan menyebabkan remaja masa kini terlalu mengejar kemewahan dan keseronokan dunia tanpa memikirkan kesan pada masa akan datang.

“Akibat terlalu mengejar kedudukan, kewangan serta nikmat hubungan seksual, penuntut IPT di negara ini sanggup menggadai maruah dengan terjebak dalam kancah perzinaan, berkhalwat serta berkunjung ke pusat-pusat hiburan,” katanya.

Namun, beliau tidak menafikan terdapat penuntut yang menjadikan pasangan masing-masing sebagai inspirasi bagi mencapai kejayaan dan mendapat pekerjaan yang menjamin masa depan sebaik tamat pengajian kelak.

“Tidak dinafikan terdapat pelajar yang berjaya disebabkan sokongan dan dorongan yang diberikan oleh pasangan masing-masing hingga berjaya menggenggam segulung pengiktirafan selepas berhempas pulas memerah otak demi masa depan,” katanya.

Justeru, penuntut di IPT seharusnya bijak mencorak masa depan dengan mengelak gejala sosial dan memberi tumpuan terhadap pelajaran sekali gus mengawal tingkah laku terutama bagi mereka yang menjalin hubungan cinta.
SH

246 kes curi elektrik direkod



TAMAN MELAWATI - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatatkan 246 kes dalam tempoh 10 bulan berhubung kes kecurian elektrik.

Ketua Jurutera Bahagian Pembahagian TNB (Kuala Lumpur), Zubir Hashim berkata, apabila kes kecurian elektrik ini berlaku, bekalan elektrik pengguna akan meningkat kepada 400 voltan berbanding 240 voltan sehingga menyebabkan peralatan elektrik pengguna rosak.

“Kebiasaannya, barang peralatan elektrik akan terbakar, rosak dan sudah tidak boleh diguna.

“Sekiranya perkara seperti itu berlaku di atas punca TNB, TNB akan menanggung kos tersebut tetapi jika ia berlaku disebabkan kecurian maka TNB tidak dapat bertanggungjawab,” katanya semasa Program Bersama Pemimpin Komuniti Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di K-Club Taman Melawati yang dirasmikan Ketua Jurutera (Operasi-Wilayah 1) Bahagian Pembahagian TNB, Ir Mohd Yusof Ibrahim, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar (Kuala Lumpur) Bahagian Pembahagian TNB, Ir Kamaliah Ab Kadir, Pemangku Pengurus Besar (Pengurus Tanah dan Izin Lalu), Hashim Ismail, wakil Ketua Kawasan Suruhanjaya Tenaga Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Nor Zaini Mohd Sani serta Pengurus Kawasan TNB Kuala Lumpur Timur, Ahmad Sazree Abdul Aziz.

Dalam program berkenaan juga, sesi dialog dan sesi pendaftaran sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) 15454 turut berlangsung dalam mendapatkan maklum balas pengguna dan membincangkan masalah yang berbangkit.

Sementara itu Yusof berkata, TNB juga menghadapi masalah kecurian peralatan seperti kabel dan tembaga yang mana bukan sahaja menjejaskan bekalan elektrik malah mendatangkan kerugian berjuta ringgit kepada TNB.

“Selain kecurian peralatan, wujud juga aktiviti penyamaran orang awam sebagai pekerja TNB di mana mereka menyamar memeriksa jangka dan pendawaian di premis terutama di kediaman orang awam.

“TNB memandang berat tentang kegiatan ini dan sangat berharap dengan kerjasama orang ramai supaya dapat menjadi mata dan telinga kepada TNB bagi memantau dan membanteras jenayah dan vandalisme ini bersama,” katanya.

Dalam pada itu menurutnya, TNB juga membelanjakan sekitar RM20 juta bagi melaksanakan 32 projek pengukuhan sistem di kawasan Kuala Lumpur Timur yang sebahagiannya telah siap dan sebahagian lagi masih dalam pelaksanaan.

Beliau berkata, manakala bagi projek pembangunan prasarana elektrik di kawasan Kuala Lumpur Timur, TNB membelanjakan sebanyak RM55 juta bagi 37 projek baru.
SH

Sindiket seleweng gas tumpas



SUNGAI SEDU- Serbuan lima anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sepang di sebuah stor di Kilometer 16, Sungai Sedu, Banting berjaya membongkar kegiatan penyelewengan gas memasak bersubsidi yang dijual pada harga industri.

Dalam serbuan kira-kira jam 7 malam itu, sebanyak 566 tong berisi gas petroleum cecair (LPG) dengan muatan 14 dan 50 kilogram (kg) bersama 366 tong gas kosong bersaiz 14 dan 50 kg termasuk peralatan pemindahan gas disita dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM100,000.

Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Daerah Sepang, Abdul Wahab Satar berkata, ketika serbuan dilakukan, empat pekerja Myanmar didapati sedang menjalankan kerja pemindahan LPG bersubsidi.

Menurutnya, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan membuat pemindahan� LPG bersubsidi ke dalam tong bersaiz 50 kg sebelum dijual kepada pihak industri dengan harga sekitar RM180 ke RM200 untuk satu tong.

“Mereka dipercayai mampu memindahkan 500 tong bersaiz 14 kg dalam satu masa melalui lima paip yang disalurkan terus, masuk ke dalam tong bersaiz 50 kg berkenaan.

“Maklumat ini berdasarkan penemuan hampir 500 tong LPG yang siap sedia dipasang untuk proses pemindahan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Stor Penyimpanan Gas Petroleum Cecair di Sungai Sedu, Banting, kelmarin.

Hasil siasatan selama seminggu, didapati empat tong gas LPG bersubsidi bersaiz 14 kg diperlukan untuk mengisi satu tong gas LPG bersaiz 50 kg di mana setiap tong itu dijual kepada pengguna industri dengan keuntungan sekitar RM100 (berdasarkan harga industri yang tinggi sekarang).

Abdul Wahab berkata, sehingga kini, KPDNKK masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik premis berkenaan yang didapati beroperasi tanpa permit dan melakukan penyelewengan barangan subsidi.

Kes berkenaan, katanya, disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM100,000 dan lima tahun penjara serta denda RM250,000 bagi syarikat.

“Penyelewengan seperti ini merupakan kerugian besar kepada kerajaan yang terpaksa berbelanja besar untuk meringankan beban rakyat melalui pemberian subsidi.

“Orang ramai diharap dapat membantu menyalurkan maklumat dan sentiasa peka dengan sebarang aktiviti penyelewengan khususnya yang berlaku di sekitar kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata. kejayaan rampasan itu merupakan yang terbesar dilakukan KPDNKK Cawangan Sepang tahun ini.

Menurutnya, selain rampasan barangan, serbuan yang dilakukan itu turut menahan empat warga Myanmar yang dipercayai bekerja di premis berkenaan.
SH

Mayat bayi dalam sungai



SHAH ALAM – Pilu apabila mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru lahir ditemui orang awam dalam keadaan sudah membusuk di tebing Sungai Klang berhampiran Taman Bukit Jati, Klang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, selain tanpa seurat benang, mayat bayi cukup sifat itu masih bertali pusat.

Mayat tersebut dipercayai dihanyutkan oleh arus sungai ke tebing itu.

“Pemeriksaan mendapati, bahagian belakang badan bayi itu berulat, badan kebiru-biruan dan kemaluannya bengkak.

“Mayat bayi itu kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya.
SH

Penguat kuasa belasah orang



SELAYANG – Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengarahkan seorang anggota penguat kuasa wanita Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang didakwa memukul orang awam 21 Julai lalu, bercuti.

Pengarah Penguatkuasa MPS, Azmi Ismail berkata, perkara tersebut dianggap serius biarpun kejadian difahamkan berlaku atas sebab-sebab peribadi.

“Yang Dipertua MPS, Datuk Zainal Abidin Aala memandang perkara ini secara serius. Bagaimanapun difahamkan dia (penguat kuasa wanita) melakukannya (membelasah) atas urusan peribadi.

“Isu ini sudah sampai ke pengetahuan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dan beliau juga berharap perkara ini tidak hanya didiamkan kerana ia boleh menjejaskan nama baik MPS,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Penuh MPS Bulan Julai, di bangunan MPS, di sini, semalam.

Azmi berkata demikian ketika mengulas isu itu yang dibangkitkan ahli majlis semasa mesyuarat tersebut yang dipengerusikan Ahli Majlis MPS, A Rahim Ahmad Kasdi.

Sementara tu, Ahli Majlis MPS, Lim Ching How menyifatkan kejadian tersebut serius memandangkan beliau menerima mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seseorang mengaku suaminya koma akibat dibelasah dalam kejadian itu.

Katanya, beliau dimaklumkan mangsa dibelasah sehingga terpaksa mendapatkan rawatan rapi di sebuah hospital.

Menurutnya, jika benar penguat kuasa tersebut membelasah orang awam itu dalam kawasan MPS untuk urusan peribadi, tindakan tegas harus diambil terhadapnya.

Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 9.30 malam 20 Julai lalu oleh penguat kuasa berkenaan bersama abang dan rakan kepada abangnya yang dikatakan ahli sebuah pertubuhan.

Terdahulu, kenyataan rasmi berhubung kejadian masih belum dapat dikeluarkan pihak MPS, berikutan ketiadaan Zainal Abidin ke mesyuarat semalam kerana urusan rasmi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan pihaknya menerima laporan berlakunya kejadian penguat kuasa wanita terlibat membelasah seseorang di kawasan MPS pada 20 Julai lalu di Balai Polis Selayang.
SH

Seminggu tiada bekalan air



SEPANG – Bil air mereka tidak mempunyai tunggakan dan dibayar mengikut tempoh masa yang ditetapkan namun kerana masih menggunakan meter pukal, ratusan penduduk di Pangsapuri Ruvena Villa di Taman Putra Perdana di sini terpaksa menggunakan air daripada pili bomba untuk keperluan seharian apabila bekalan itu dipotong, sejak seminggu lalu.

Difahamkan, akaun pukal yang sepatutnya diuruskan pihak pengurusan dan dibayar kepada pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mempunyai tunggakan sehingga ratusan ribu ringgit menyebabkan agensi bekalan air membuat pemotongan meter pada 20 Julai lalu.

Akibat tindakan itu, 900 pemilik rumah daripada 22 blok pangsapuri yang masing-masing tanpa gagal membuat bayaran dan culas membayar bil sama-sama menanggung beban tidak mendapat bekalan air.

Wakil penduduk, Borhan Zainudin berkata, pemotongan air itu adalah tindakan kali ketiga diambil Syabas sejak November tahun lalu

“Pada November lalu, bekalan air dipotong selama tiga hari manakala pemotongan kedua pada Februari, bekalan itu dipotong hampir dua minggu.

“Penduduk ada membuat pembayaran bil kepada pihak pengurusan supaya ia diserahkan kepada Syabas namun tidak pasti sama ada pembayaran dibuat atau tidak sehinggalah bekalan dipotong,” katanya.

Borhan berkata, kecewa dengan sikap pihak pengurusan pangsapuri itu, penduduk atas inisiatif sendiri kemudiannya membuat kutipan dari rumah ke rumah untuk membuat pembayaran terus kepada pihak Syabas.

“Dari Mac hingga 18 Julai lalu, RM77,534.25 berjaya dipungut daripada penduduk dan dibayar kepada Syabas. Manakala daripada pihak pengurusan bayaran dibuat dari Mac lalu adalah sebanyak RM107,541.95.

“Masalahnya bil air meningkat terlalu tinggi setiap bulan dan kami percaya ia berikutan pembaziran akibat paip pecah bawah tanah yang enggan dibaikpulih pihak pengurusan,” katanya yang terkejut apabila Syabas mengambil tindakan memotong bekalan air pada Rabu lalu dan menuntut hampir RM80,000 sekiranya mahu bekalan disambung semula.

Katanya, masalah timbul apabila pihak pengurusan tidak mengeluarkan bil daripada April hingga Julai menyebabkan penduduk tidak menjelaskan bil mereka.

“Kami sudah melantik syarikat baru untuk menyelenggarakan pangsapuri bermula 1 Ogos. Sehubungan itu kami meminta Syabas menyambung semula bekalan sebelum pengurusan menyelesaikan isu yang timbul.

“Ramadan hampir tiba, ini akan menimbulkan kesukaran sekiranya bekalan air secara terus-terusan dipotong,” katanya.

Sementara itu, penduduk yang ditemui Sinar Harian, N Krishnan, 43, berkata, mereka sekeluarga kini terbeban apabila Syabas membuat pemotongan air di pangsapuri diduduki.

“Sekarang kami terpaksa guna air dari pili bomba untuk mandi sehingga ahli keluarga mengalami gatal-gatal .Baju terpaksa hantar ke dobi dan kami terpaksa makan di luar setiap hari kerana tiada bekalan air bersih di rumah.

“Saya tiada tunggakan bil air tetapi kerana meter air utama dipotong kami turut sama menerima nasib malang tidak mendapat bekalan air,” katanya.
SH

Tidak mengaku bersalah curi peralatan mencuci



KUANTAN-Dua lelaki tidak mengaku bersalah mencuri peralatan mencuci milik sebuah syarikat bernilai RM2,000 selepas dihadapkan ke Mahkamah Trafik di sini, semalam.

Tertuduh, R.Sati Velu, 22 dari Lorong Seri Kuantan dan rakannya berusia 19 tahun tidak mengaku bersalah di hadapan Majistret Rini Triany Mohd Ali.

Dalam kes yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Chif Inspektor Mohamad Azman Arifin, beliau menawarkan ikat jamin sebanyak RM3,500 seorang namun Rini kemudiannya menetapkan denda RM2,200 seorang selain menetapkan tarikh sebutan semula kes tersebut pada 10 Ogos depan.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-duanya didakwa mencuri 2 unit mesin polish jenis Hitachi, satu unit turbo pembersih vakum, satu unit troli vacum, satu unit compresor snow wash dan satu tukul milik sebuah syarikat.

Kejadian itu berlaku di antara jam 4 hingga 5 pagi di sebuah tempat mencuci kereta di Jalan Telok Sisek di ini pada 23 Julai lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun dan denda
SH

Tidak kisah bayar kompaun



KEMAYAN - Demi mengaut keuntungan berlipat kali ganda, ada yang sanggup melanggar peraturan dan undang-undang asalkan dapat apa yang dikehendaki.

Begitulah yang berlaku di sekitar kawasan ini apabila pengusaha burung walit secara haram semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Walaupun Majlis Daerah Bera (MDB) sering mengadakan operasi dan mengenakan kompaun kepada mereka, tetapi pengusaha haram itu tetap berdegil.

Ahli Majlis MDB, Zaharuddin Ibrahim berkata, pengusaha burung walit haram itu langsung tidak menghiraukan aduan penduduk sekitar..

Menurutnya, kebanyakan rumah burung walit tidak berjaga, sementara pembesar suara dipasang melebihi had yang dibenarkan menyebabkan gangguan kepada orang ramai.

“Kebanyakan pengusaha ini tidak tinggal berdekatan kawasan rumah walit mereka menyebabkan pihak penguat kuasa MDB sukar menjalankan tugas.

“Walaupun kerap kompaun dan notis dikeluarkan, namun tindakan itu sia-sia kerana mereka mampu membayar jumlah kompaun yang dikenakan,” katanya.



Kompaun rendah, kuasa terhad



Zaharuddin berkata, kompaun maksimum yang dikenakan kepada pengusaha burung walit yang melanggar peraturan adalah sebanyak RM500 dan jumlah itu sememangnya mampu dibayar mereka.

Katanya, harga bagi sekilogram sarang burung walit pula mencecah antara RM8,000 hingga RM10,000 berdasar pada kualitinya.

Sementara itu, Ahli Majlis, Fadzil Saban berkata, jika setiap hari mereka diminta membayar kompaun, pengusaha tetap mampu membayarnya kerana nilai sarang burung walit sangat tinggi.

“Mustahil mereka hanya mendapat satu kilogram sarang burung walit dalam sebulan. Sekurangnya mencecah puluhan kilogram dan jumlah kompaun jika dikumpulkan, masih rendah bagi mereka,” katanya.

Fadzil berkata, kuasa yang ada pada MDB sangat terhad, di mana mereka hanya boleh mengeluarkan notis dan kompaun mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976.



Rumah walit umpama mahligai



Pengusaha walit juga sanggup mengeluarkan modal yang besar untuk membina rumah burung terbabit.

Ahli Majlis, Wong Yoke Loong berkata, terdapat kira-kira 10 rumah burung walit giat diusahakan, manakala enam buah lagi sedang dalam pembinaan.

Menurutnya, semua rumah burung itu bernilai melebih RM300,000 yang kebanyakan dibina di atas tanah persendirian atau bangunan kedai sedia ada.

“Rumah burung umpama harga sebuah mahligai. Ini menunjukkan melalui perusahaan ini, mereka mampu mendapat keuntungan yang banyak. Tetapi malangnya, pengusaha ini mengusahakannya secara haram tanpa kebenaran MDB,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan rumah burung walit itu dibina berdekatan dengan kawasan perumahan dan sekolah menyebabkan penduduk tidak dapat hidup dengan selesa terutamanya pada waktu malam.



Beri tempoh 14 hari



Wartawan Sinar Harian berkesempatan mengikuti operasi pihak penguat kuasa MDB ke beberapa lokasi perusahaan haram burung walit.

Operasi yang diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa, Afzanizam Mat Datar seolah-olah dapat dihidu oleh pengusaha terbabit kerana kebanyakan mereka ‘menghilangkan diri’.

Menurut Afzanizam, semua pengusaha itu diberikan Notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan mengikut Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Katanya, sekiranya mereka ingkar dengan arahan itu, MDB berhak memecah masuk premis untuk merampas alat ajuk bunyi burung, selain menyita sebarang hak milik pengusaha yang berkaitan.

“Mereka bukan sahaja menjalankan pengusahaan ini secara haram, tetapi menggunakan pembesar suara sebagai alat ajuk bunyi burung melebihi had yang dibenarkan iaitu 40 desibel sahaja.

“Melalui alat pengukur bunyi, hampir kesemua alat ajuk bunyi burung itu melebihi 70 desibel,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya mereka ingkar dengan arahan MDB, pengusaha boleh dikenakan denda tidak melebihi RM7,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 82
SH

Patah tangan akibat dikejar anjing



BENTONG – Seorang murid tahun dua patah tangan kiri akibat terjatuh dari basikal ditunggangnya selepas dikejar anjing ketika bermain di sekitar kawasan rumahnya di Kampung Chamang Baru dekat sini.

Bapa mangsa, Suhaimi Samah, 42 berkata, anaknya, Siti Noraishah, 8, keluar bermain kira-kira jam 6.00 petang pada 13 Julai lalu.

Menurutnya, secara tiba-tiba seekor anjing mengejar anaknya dari belakang menyebabkan Siti Noraishah terkejut dan kemudian terjatuh dari basikal dinaikinya.

“Susulan kejadian itu, anak saya pulang ke rumah dan mengadu kepada isteri berkaitan apa yang terjadi.

“Kami kemudiannya membawa dia ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan dan selepas diperiksa, doktor mengesahkan Siti Noraishah mengalami kecederaan patah di bahagian tangan kiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Suhaimi berkata, akibat kejadian itu anaknya terpaksa ditahan di wad Hospital Bentong dan dibenarkan keluar Jumaat lalu.

Menurutnya, berikutan kecederaan dihadapi anaknya itu menyebabkan sesi persekolahan terganggu.

“Pada awalnya, doktor memberikan cuti sakit sehingga 26 Julai sahaja tetapi kemudiannya disambung sehingga Ogos ini sehingga tangan anak saya benar-benar sihat sepenuhnya.

“Susulan kejadian ini saya amat berharap, tindakan segera dapat diambil bagi menangani masalah anjing berkeliaran di kawasan ini kerana ia jelas membahayakan penduduk terutama kanak-kanak,” katanya.

Suhaimi berkata, sebelum ini terdapat anak penduduk yang turut berdepan nasib sama iaitu dikejar anjing tetapi tidak mendatangkan kecederaan teruk seperti anaknya itu.

Menurutnya, dia amat berharap pihak berwajib dapat menjalankan operasi menangkap anjing yang berkeliaran di kawasan ini secepat mungkin.

“Tambahan pula, ada pemilik anjing yang membiarkan anjing peliharaan mereka bebas sehingga menakutkan penduduk terutama kanak-kanak,” katanya.
SH

Terlepas hukuman gantung



KUANTAN - Seorang penyelenggara terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 120.94 gram (g) di Cherating pada Jun tahun lalu.

Hakim Datuk Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud dan Tan Gin Han gagal membuktikan kes prima facie dalam kes berkenaan.

Tertuduh Khairul Fikri, 23, terus mengangkat kedua-dua tangannya sebelum meraup ke wajahnya tanda kesyukuran. Keputusan itu juga disambut oleh ibu bapanya yang hadir mendengar keputusan penghakiman sambil berpelukan

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berasal daripada Kemaman, Terengganu, didakwa di mahkamah buat pertama kali pada 15 Jun 2010 dan didakwa mengedar dadah tersebut dalam sebuah bilik di sebuah resort di Cherating, di sini kira-kira jam 9.30 malam pada 2 Jun tahun lalu.

Khairul didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Mariana berkata, pegawai penyiasat didapati gagal membentangkan kes di mahkamah dengan sempurna apabila mengabaikan beberapa bukti penting yang menjadi petunjuk utama kes berkenaan ketika dalam siasatannya.

Menurutnya, pegawai penyiasat kes berkenaan yang juga saksi pendakwaan ke-7 (SP7) juga gagal memberi keterangan dengan jelas dan tepat di hadapan hakim menyebabkan mahkamah mempertikai kes berkenaan sekali gus menimbulkan banyak keraguan munasabah.

“Mahkamah mendapati pegawai penyiasat tidak menjalankan siasatan dengan sempurna apabila dia tidak mengesan cap jari pada peket plastik mengandungi dadah yang dipercayai ada sentuhan dengan tertuduh.

“Malah, pegawai penyiasat juga tidak menyiasat dompet yang dipercayai milik tertuduh diperoleh daripada mana,” katanya.

Beliau juga memberitahu, pegawai penyiasat juga didapati tidak menyiasat tiga telefon bimbit yang ditemui bersama tertuduh yang boleh digunakan untuk mengesan panggilan keluar masuk menerusi kad SIM telefon bimbit berkenaan.

Menurutnya, SP7 juga dalam keterangannya mengaku tidak menyiasat apa lagi barangan dalam beg galas dibawa tertuduh, sebaliknya hanya menyiasat barangan yang diberi kepadanya tanpa memeriksa kandungan lain yang kemungkinan ada dalam beg itu.

Katanya, SP7 tidak menyiasat lanjut mengenai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada hari kejadian sedangkan dia sendiri bersetuju ia aspek penting dalam siasatannya.

“Mahkamah mendapati terlalu banyak percanggahan ketara dalam keterangan saksi yang bukan saja melemahkan kes tetapi turut tidak berpihak kepada pendakwaan. Percanggahan ini memberi kelebihan kepada tertuduh,” katanya.

Seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang berlangsung selama dua minggu dan Khairul diwakili peguam Ahmad Zaidi Zainal, T Kumar dan Kitson Foong,

Sementara itu, bapa tertuduh berkata, dia sekeluarga lega dengan keputusan itu yang membuktikan anak kedua daripada empat beradik itu tidak bersalah, di samping bersyukur kerana anaknya terlepas daripada hukuman gantung sampai mati.

Menurutnya, pembebasan anaknya itu satu khabar gembira buat mereka sekeluarga menjelang sambutan Ramadan yang akan disambut umat Islam tidak lama lagi.
SH

Kaki botol kena cekup



KUALA DUNGUN – Status orang kurang upaya (OKU) tidak menghalang seorang kaki botol menjadikan lokasi tersembunyi di belakang bangunan lama sebagai port untuk melepaskan nafsu syaitan.

Bagaimanapun perbuatan tidak bermoral yang turut dilakukan bersama dua lagi rakannya yang lain termasuk seorang duda anak satu membawa padah apabila port mereka diserbu pihak berkuasa, dekat sini kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Operasi yang diketuai Unit Penguat Kuasa Jabatan Agama Dungun dengan kerjasama Agensi Antidadah dan cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Dungun itu turut menemui beberapa botol minuman keras yang masih mengandungi arak, dipercayai digunakan ketiga-tiga suspek untuk melepaskan gian.

Salah seorang kaki botol terbabit ketika ditemui mengakui menjadikan perbuatan dosa besar itu sejak lebih 20 tahun lalu dan dia membeli arak di sebuah kedai di pekan lama Kuala Dungun antara harga RM6 hingga RM16.

“Saya sudah lama minum arak. Walaupun minum, tetapi saya tak kacau orang. Cuma untuk keseronokan sahaja. Tetapi malam ni nasib saya kurang baik sebab kena tangkap,” katanya yang berasal dari Kampung Paya dan turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, seorang lagi suspek yang ditahan berkata dia mula meminum arak sejak lebih setahun lalu dan perbuatan tidak bermoral itu dilakukan hanya untuk melepaskan tekanan berikutan masalah peribadi setelah mengalami keruntuhan rumah tangga.

Bagaimanapun hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek yang bekerja sebagai pemandu jentera itu positif dadah jenis methamphethamine.

Beberapa botol minuman keras pelbagai jenis dipercayai milik suspek turut dirampas sebagai barang kes.

Kesemua yang ditahan bakal dihadapkan ke Mahkamah mengikut Seksyen 23(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 atas kesalahan mengambil minuman memabukkan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
SH

Lega gajah ditangkap



BUKIT PAYONG - Penoreh getah di kawasan Sungai Tenang tidak jauh dari Lata Tembakah kini mampu menarik nafas lega selepas dua gajah yang berkeliaran di kawasan kebun getah mereka sejak sebulan lalu berjaya ditangkap sepasukan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Gajah pertama berjaya ditangkap pada Isnin lalu manakala seekor lagi berjaya ditangkap pada jam 11.30 pagi semalam kira-kira 500 meter dari gajah pertama ditambat setelah usaha menjejak dilakukan.

Seorang penoreh yang hanya mahu dikenal sebagai Azhar berkata, dengan penangkapan dua gajah itu telah melegakan beberapa penoreh memandangkan mereka sebelum ini takut untuk keluar menoreh memandangkan pernah terserempak dengan haiwan tersebut.

“Penoreh bimbang keluar menoreh kerana bimbang keselamatan mereka terancam disebabkan gajah tersebut berkeliaran di situ dan kejayaan itu memberi khabar gembira kerana kami dapat mencari rezeki semula,” katanya.

Sementara itu menurut Ketua Perhilitan Besut dan Setiu, Edley A Jiliun, semua gajah itu berjaya ditangkap sepasukan anggota Perhilitan termasuk dari Santuari Gajah Hulu Terengganu yang menjalankan operasi sejak beberapa minggu lalu.

Menurutnya, operasi menangkap dan memindahkan gajah terpaksa dilakukan kerana kedua-dua gajah jantan itu tidak mahu keluar dari kawasan tersebut.

“Sepasukan kakitangan Unit Gajah dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah (PKGK) di Kuala Gandah, dekat Lanchang, Pahang, tiba hari ini (semalam) dan usaha memindahkan gajah tersebut dijangka ke Sungai Ketiar, Tasik Kenyir akan dilakukan pagi esok (hari ini),” katanya.

Edley berkata, kerja membaiki jalan oleh Pejabat Daerah Besut dilakukan sejak kelmarin bagi memastikan lori yang ingin mengangkut gajah terbabit dapat menghampiri kawasan gajah yang ditambat itu.
SH

Lelaki mengaku rempuh polis ketika sekatan



KOTA BHARU – Seorang penunggang motosikal dari Tawang, Bachok berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun selepas mengaku bersalah merempuh seorang anggota polis sehingga cedera parah dalam sekatan jalan raya di Hujung Tanjong, Sering, seminggu lalu.

Buruh berusia 34 tahun itu mengaku melakukan kesalahan tersebut sejurus pertuduhan terhadapnya selesai dibaca jurubahasa di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nurul Huda Akmal Mohamed, petang semalam.

Jalaluddin Che Musa berdepan dakwaan sengaja enggan memberhentikan motosikal Honda Ex5, ADN 680 ditunggangnya selepas diarah sehingga melanggar Lans Koperal Mohd Zulkafli Che Abdullah, 22 Julai lalu.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mangsa, 47 tahun sedang bertugas cedera parah akibat rempuhan motosikal tertuduh.

Berikutan itu, tertuduh ditahan dan dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Huda Akmal menetapkan 31 Julai depan sebagai tarikh jatuh hukum sementara 23 September untuk sebutan tuduhan menagih dadah Metamphetamine yang turut dihadapi Jalaluddin.

Sebelum itu, media melaporkan seorang anggota polis patah kaki kanan dan cedera di lengan selepas dirempuh sebuah motosikal yang ditunggang laju dan cuba membolosi satu sekatan jalan raya di Sering.

Penunggangnya dikatakan panik kerana tidak mempunyai lesen, merempuh mangsa yang ketika itu berada di kiri jalan.
SH

3 kereta hangus, pemilik buntu



SEBERANG PASIR MAS – Seorang pemilik kedai kusyen di Kampung Dusun Pinang, buntu dan sedih apabila tiga daripada empat kereta yang menjadi punca pencariannya, hangus terbakar pada jam 11.35 malam kelmarin.

Mohd Radzuan Juddin, 41, berkata, dia tidak menyedari kejadian tersebut sehinggalah seorang jirannya mengetuk pintu di belakang rumah.

“Selepas itu, saya dapati kereta saya hangus hampir 100 peratus dan saya tidak sempat untuk menyelamatkannya.

“Mujurlah kereta Kancil diletakkan agar jauh dari kereta yang lain, kerana niat saya mahu menghantarnya ke Puspakom,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, dia terkejut dan terseliuh di bahagian kaki ketika cuba menyelamatkan keluarganya ketika api hampir marak.

Radzuan berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan tujuh anaknya yang berusia dua hingga 17 tahun, tidur di bilik, yang terletak di belakang kedai.

“Kami tidak menyedari mahupun terdengar apa-apa ketika berlakunya kebakaran terbabit.

“Saya tidak mengesyaki sebarang sabotaj mahupun hasad dengki daripada pihak lain, dan mungkin ini sudah menjadi ketentuan Ilahi,” katanya.

Radzuan juga bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Bomba dan Penyelamat Darul Naim serta Pasir Mas kerana kecekapan memadamkan kebakaran agar tidak merebak ke seluruh bahagian kedai mahupun kediamannya.
SH

Mayat ditemui di tebing sungai



RANTAU PANJANG - Penduduk setempat gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki dipercayai berusia sekitar 40 tahun ditemui mati dengan kesan kecederaan leher di tebing sungai Golok berhampiran Pos Kawalan Sempadan Salleh Berek, Jeram Perdah, dekat sini, pagi ini.

Ketika ditemui penduduk kampung kira-kira jam 10.30 pagi itu, mayat lelaki tersebut lengkap berpakaian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, identiti lelaki ini masih belum diketahui dan pihaknya tidak menemui sebarang pengenalan diri pada mayat tersebut.

Menurutnya, pihaknya masih meneruskan siasatan lanjut berhubung penemuan mayat tersebut.

“Siasatan awal kita mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher mangsa dan kita percaya dia telah dibunuh sebelum dicampak ke dalam sungai.

”Bagaimanapun kita tidak menolak kemungkinan lelaki ini warga Thailand,” katanya ketika dihubungi di sini.

Yong Heng berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum sampai mati.

Berikutan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran di talian 09-7908222.
SH

Warga Singapura senyum dihukum mati



JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga Singapura masih mampu mengukir senyuman walaupun dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini semalam, kerana mengedar seberat 1.3 kilogram dadah, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Samsudin Hassan mendapati Ng Yan Seng, 58, bersalah selepas pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan luar munasabah bagi kes itu.

Yang Seng didapati bersalah mengedar 376.97 gram heroin, 257.75 gram methamphetamine, 19.23 gram morfin, 667.16 gram ketamin dalam sebuah bilik di rumah sewanya, No. 33 Jalan Kempas, Taman Megah Ria, Seri Alam di sini, pada jam 7.30 malam, 19 November 2008,

Di samping itu, dia juga dikenakan hukuman penjara dua tahun kerana memiliki 10.7 gram nimetazepam pada masa, hari dan tempat yang sama.

Walaupun dihukum mati, Yan Seng yang memakai baju-T putih berlengan panjang dan berseluar jeans warna biru muda tidak menunjukkan sebarang kekesalan, sebaliknya masih mampu tersenyum.

Dalam kes ini, pendakwaan diwakili Ketua Unit Pendakwaan, Umar Saifuddin Jaafar dan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Yan Seng diwakili peguam, K L Chee.
SH

160 anggota MALCON terselamat bedilan bom

KUALA LUMPUR: Semua 160 pegawai dan anggota tentera Malaysia yang menyertai misi pengaman di Beirut, terselamat dalam serangan bom kawalan jauh (IED) ketika konvoi mereka bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri untuk pulang ke tanah air, petang kelmarin.

Panglima Markas Angkatan Bersama (MAB), Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata kejadian itu berlaku ketika konvoi diketuai Komander MALCON-EAST 6, Leftenan Kolonel Mohd Samin Mohd Sih yang turut disertai 10 anggota pengaman Angkatan Bersenjata Diraja Brunei melalui Saida Road di pinggir bandar raya berkenaan.
“Insiden berlaku ketika konvoi terbabit dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk pulang ke tanah air selepas selesai menjalankan misi pengaman Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) selama sembilan bulan di sana.
“Syukur semua pegawai dan anggota tentera kita selamat, namun kita simpati di atas kecederaan dialami lima anggota tentera Perancis dan Itali dalam kejadian itu.

“Sebelum ini pernah berlaku insiden sama di kawasan itu yang mengakibatkan kecederaan teruk pada pasukan pengaman Itali,” katanya selepas menyambut kepulangan pegawai dan anggota Kumpulan Kedua MALCON-EAST 6 di Pangkalan Udara Subang di sini, semalam.

Kepulangan MALCON-EAST 6 yang keseluruhannya 360 pegawai dan anggota dibuat dalam dua fasa, dengan kumpulan pertama tiba pada 22 Julai lalu dan kumpulan kedua, semalam. Misi MALCON-EAST 6 kini diambil alih MALCON-EAST 7 yang mula ditempatkan di wilayah bergolak itu, 28 Julai lalu untuk tempoh 12 bulan.

Ahmad Kamarulzaman turut berbangga kerana ATM dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dapat melaksanakan misi dua negara melalui penyertaan dalam satu kontinjen, sekali gus membuka lembaran baru dalam kerjasama pertahanan kedua-dua negara.
Berita Harian Online | 160 anggota MALCON terselamat bedilan bom

Hujan terburuk, tanah runtuh Korea Selatan ragut 36 nyawa

PULUHAN kenderaan terperangkap dalam banjir buruk berikutan hujan lebat luar biasa yang melanda Seoul, Korea Selatan, sejak petang semalam. - Foto REUTERS
SEOUL: Sekurang-kurangnya 36 terbunuh manakala ramai yang lain masih hilang dalam kejadian tanah runtuh susulan hujan lebat di Korea Selatan, semalam.

Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA), berkata jalan utama di Korea Selatan bertukar menjadi sungai dengan pusaran air serta air berlumpur.
Susulan banjir terburuk di negara itu, katanya, angka kematian sehingga 11 malam (waktu tempatan) meningkat kepada 36magsa dan ia dijangka bertambah. - AFP
Berita Harian Online | Hujan terburuk, tanah runtuh Korea Selatan ragut 36 nyawa

Seorang anggota polis dan bayinya berusia setahun terbunuh dalam nahas di Perak

KERIAN: Seorang anggota polis dan bayinya berusia setahun antara empat terbunuh dalam kemalangan sebuah bas dan treler di Kilometer 201.5 arah selatan Lebuh Raya Utara Selatan kira-kira jam 12.25 malam tadi.

Treler berkenaan dari arah selatan terbabas lalu melanggar pembahagi di tengag jalan masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bas ekspres yang dalam perjalanan ke selatan mengakibatkan pemandu dan kelindan treler berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang penumpang bas ekspres iaitu anggota polis, Konstabel Abdul Shahrer Abu Hassan meninggal dunia di tempat kejadian dan anaknya berumur setahun setengah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Anggota polis itu bertugas di Simpang Renggam.

Pemandu bas dan isteri anggota polis berkenaan parah dan menerima rawatan di Hospital Taiping.
Berita Harian Online | Seorang anggota polis dan bayinya berusia setahun terbunuh dalam nahas di Perak

Jururawat parah Kancil bertembung Proton Saga



Anggota bomba mengeluarkan Roslina Mamat yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 42, Kampung Kepas, Machang, kelmarin.


MACHANG 27 Julai - Seorang jururawat Hospital Jeli parah apabila kereta Perodua Kancil yang dipandunya terbabas lalu bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga di Kilometer 42, Kampung Kepas di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, Roslina Mamat, 37, patah paha kanan, manakala pemandu Proton Saga, Aman Yusof, 30, turut cedera selepas tersepit dalam kenderaan yang remuk dan kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Machang untuk rawatan.

Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Malik Bedut ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Roslina dari arah Machang ke Kuala Krai terbabas ke bahagian kanan jalan sebelum bertembung dengan kereta dipandu Aman.

"Ketika kejadian hujan lebat menyebabkan jalan licin. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku dan mangsa hanya mengalami kecederaan," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Che Mohd. Fauzi Che Omar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.47 malam dan tiba di tempat kejadian kira-kira 11 minit kemudian.

"Sebaik sahaja tiba, kami dapati Roslina dan Aman tersepit di bahagian pemandu. Anggota bomba terpaksa menggunakan alat pemotong bagi mengeluarkan mangsa yang mengambil masa kira-kira 10 minit," katanya.

Utusan Malaysia Online - Timur

Dua lelaki didakwa edar dadah



Muntai Kuthar Bhaks di Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 27 Julai - Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar heroin yang dianggarkan seberat 21 gram, pertengahan bulan ini.

Muntai Kuthar Bhaks, 58, yang juga datuk kepada tiga cucu dan rakannya, Mohd. Badrol Ngah, 36, didakwa mengedar dadah tersebut di sebuah rumah di Kampung Gong Tok Nasek di sini pada pukul 12.30 tengah malam, 14 Julai lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Di bawah akta tersebut, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati. Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela.

Majistret Norazizah Yusof menetapkan 12 September ini sebutan semula kes bagi membolehkan ujian kimia dilakukan untuk mengenal pasti berat sebenar dadah berkenaan.

Utusan Malaysia Online - Timur

Lupa tarik brek tangan, pemandu treler maut tersepit


PULAU PINANG 27 Julai - Akibat terlupa menarik brek tangan, seorang pemandu treler maut tersepit selepas kenderaannya itu tiba-tiba bergerak dan mengheret mangsa di Jalan Farlim, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa, Mohd. Erwadi Othman, 32, berasal dari Ipoh, Perak dipercayai berada bersebelahan treler sebelum ia bergerak dan mengheretnya.

Mangsa mati di tempat kejadian akibat tersepit di antara dinding sebuah kedai yang terletak kira-kira dua meter dari tempat treler itu berhenti.

Ketika diheret kenderaan itu, mangsa sempat meraung meminta pertolongan daripada orang ramai, namun mereka tidak dapat berbuat apa-apa.

Menurut rakan sekerjanya, Budiman Abdul Kadir, 30, mangsa pada mulanya memisahkan bahagian kepala dan badan treler untuk mengisi minyak.

"Badan treler itu ditinggalkan di tepi jalan sebelum dia kembali untuk menyambungkan kepala treler tersebut. Namun, ketika turun dan cuba menyambung bahagian badan dan kepala itu, treler berkenaan secara tiba-tiba bergerak ke depan.

"Treler itu kemudian mengheret Erwadi yang berada di hadapan treler sehingga menyebabkan dia terseret dan tersepit di dinding kedai," katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Kanak-kanak Orang Asli maut terkena tembakan abang


KUANTAN 27 Julai - Seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli maut setelah terkena tembakan senjata buatan sendiri milik abang kandungnya di Kampung Bangas, Kuala Sentul dekat Maran, semalam.

Kejadian berlaku pukul 7.45 malam ketika mangsa, Siti Nordiana Rahim, 10, keluar memburu babi bersama abangnya yang berusia 16 tahun di hutan berdekatan rumah mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner T. Narenasegaran berkata, kedua-dua beradik itu dipercayai keluar memburu kira-kira pukul 6.30 petang.

"Polis difahamkan, dua beradik itu keluar memburu babi dengan membawa senjata buatan sendiri yang dibuat daripada paip besi.

"Sewaktu pulang ke rumah, abang mangsa dikatakan membersihkan senjata yang digunakan dengan membuang bahan letupan yang masih terdapat di dalamnya.

"Dipercayai ketika itu, senjata tersebut dipercayai meletup sendiri sebelum terkena di bahagian tangan dan perut mangsa,'' katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Berikutan itu, katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Maran.

Kata Narenasegaran, polis bergegas ke rumah mangsa sebaik sahaja menerima laporan kejadian tersebut.

Selepas pemeriksaan dijalankan, katanya, polis menemui senjata berkenaan yang telah dibuang berhampiran rumah mereka.

Tambah beliau, susulan daripada itu, polis menahan abang mangsa dan bapanya untuk siasatan lanjut.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat, katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Ubat, kosmetik tiruan RM10 juta dirampas

HULU LANGAT 27 Julai - Meskipun menyedari penjualan ubat-ubatan dan kosmetik tiruan boleh membahayakan nyawa pengguna, satu sindiket yang didalangi beberapa adik-beradik tidak mengendahkan risiko itu asalkan mereka dapat mengaut keuntungan mencecah jutaan ringgit.

Bagi mengelak kegiatan haram dihidu pihak berkuasa, adik-beradik itu mengisytiharkan dua syarikat mereka kononnya menjalankan perniagaan menjual barang keperluan rumah, produk borong serta perniagaan air mineral dan sabun.

Mereka turut memiliki empat stor penyimpanan barang-barang, tiga premis dijadikan pejabat syarikat dan membuka kedai sebuah runcit yang terletak berdekatan antara satu sama lain di pekan Sungai Chua dan Pusat Perindustrian Sungai Chua, Kajang di sini.

Sebaliknya, semua premis itu dijadikan pusat mengurus, membungkus dan mengedar ratusan jenis ubat-ubatan serta produk kosmetik tiruan yang menggunakan jenama popular keluaran tempatan, Indonesia, Filipina dan Thailand.

Perbuatan menyalahi undang-undang itu akhirnya dibongkar Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) yang menyerbu sembilan premis secara serentak termasuk sebuah banglo enam bilik milik salah seorang anggota sindiket di Kajang Impian, Kajang hari ini.

Serbuan pukul 11.30 pagi disertai 50 pegawai diketuai Pengarahnya, Mohd. Hatta Ahmad membawa kepada rampasan ubat-ubatan dan produk kosmetik tiruan berjumlah kira-kira RM10 juta, iaitu nilai rampasan terbesar di seluruh negara setakat tahun ini.

Menurut Mohd. Hatta, serbuan dalam operasi dinamakan Ops Audi itu dilakukan setelah dua bulan pihaknya membuat intipan terhadap kegiatan dan pergerakan anggota sindiket.

"Sindiket menggunakan beberapa lori dan van yang mempunyai nombor pendaftaran sama untuk mengaburi aktiviti mereka.

"Kerja-kerja pembungkusan pula dijalankan di rumah beberapa pekerja yang diupah termasuk warga asing sebelum disimpan di stor-stor berkenaan," katanya ketika ditemui di tempat serbuan di Taman Perindustrian Sungai Chua, hari ini.

Mohd. Hatta berkata, permintaan ubat-ubatan dan kosmetik tiruan itu amat tinggi di kalangan penduduk yang tinggal di kawasan kampung dan Felda kerana harganya jauh lebih murah.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

10 individu ditahan cuba cetus kekecohan


KUALA LUMPUR 27 Julai - Polis menahan 10 individu termasuk tiga wanita dipercayai penyokong kumpulan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang cuba melakukan provokasi di KL Sentral di sini hari ini.

Kesemua mereka ditahan kira-kira pukul 2.30 petang sebelum majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berlangsung di stesen pengangkutan di ibu negara itu.

Sebelum ditangkap, polis menerima maklumat mengenai sekumpulan individu berpakaian kuning yang cuba berhimpun dan dipercayai boleh menggugat ketenteraman awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, kesemua mereka ditahan selepas satu laporan polis dibuat oleh Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Wan Khalid sebaik sahaja menerima maklumat tersebut.

Menurut Chin Wah, penahanan itu dibuat bagi mencegah tercetusnya ketegangan dan suasana yang menggugat ketenteraman awam.

"Pada mulanya, kita menahan lima lelaki yang memakai baju berwarna kuning di hadapan sebuah kedai makanan segera di dalam KL Sentral kerana melakukan provokasi dengan melaungkan perkataan reformasi.

"Tidak lama kemudian, lima lagi termasuk tiga wanita ditahan selepas Wan Abdul Bari mendapat maklumat mengatakan terdapat kumpulan berpakaian kuning ingin membuat kacau dan provokasi dan kemudian membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Chin Wah, kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau berkata, sebaik selesai dirakam percakapan, kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan pihak polis.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Dua suspek bunuh penyelia feri diburu


ALOR SETAR 27 Julai - Polis sedang memburu dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun dan bunuh seorang penyelia syarikat perkhidmatan feri ke Langkawi, Zamzarmi Ghazali di Taman Seri Putra Fasa 3, Kuala Kedah di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, identiti kedua-dua suspek itu belum dikenal pasti, namun pihaknya percaya kejadian itu telah dirancang.

Menurutnya, mangsa dipercayai ditembak satu das sebelum suspek mengambil beg mangsa yang mengandungi RM12,500 hasil jualan tiket syarikat tempat dia bekerja dan menembak semula mangsa sehingga mati.

"Kita percaya kejadian itu berlaku ketika mangsa pulang dari tempat kerja. Dia diekori dua lelaki menaiki motosikal Yamaha LC, berpakaian hitam dan bertopi keledar hitam.

"Polis sedang menyiasat dan mengumpul keterangan saksi dalam usaha menjejaki dua suspek," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini, hari ini.

Zamzarmi, 36, penyelia syarikat feri 'Ferryline Ventures' maut selepas ditembak kira-kira pukul 7.30 petang kelmarin.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Desarina, Kuala Kedah dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Nuovo selepas mengambil wang hasil jualan tiket tersebut di kaunter Terminal Feri Kuala Kedah.

Adzaman berkata, bedah siasat mendapati suspek melepaskan tembakan jarak dekat dari arah belakang yang terkena jantung Zamzarmi.

"Kita tidak menjumpai kelongsong peluru, mungkin ia tidak keluar dari senjata itu atau suspek mengambil semula kelongsong yang keluar," katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

23 percanggahan dalam keterangan Suresh


SHAH ALAM 27 Julai - Pekerja ladang, U. Suresh yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan melupuskan mayat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi hari ini memberi 23 keterangan yang bercanggah di Mahkamah Tinggi di sini dengan kenyataan kepada pihak polis pada 26 Oktober tahun lalu.

Berikutan itu, Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd, Yusoff untuk mencabar kebolehpercayaan saksi pendakwaan ke-29 itu selepas mendapati percanggahan tersebut adalah penting serta material.

''Terdapat 23 percanggahan. Saya telah mendengar keterangan saksi dan melihat kenyataan saksi. Saya dapati 22 daripada percanggahan itu adalah material.

''Jadi permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar kebolehpercayaan saksi dibenarkan. Pihak pendakwaan boleh memulakan prosiding (mencabar kebolehpercayaan saksi),'' kata beliau.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Suresh semasa prosiding untuk mencabar kebolehpercayaan lelaki itu sebagai saksi pendakwaan, mengaku menurunkan tandatangan serta mengenal pasti rakaman percakapan yang diambil oleh Asisten Supritendan (ASP) Ong Seng Keong bertarikh 26 Oktober 2010.

Dia bagaimanapun tidak mengaku isi kandungan kenyataan tersebut diberikan olehnya dan mendakwa ia diambil secara paksa selain turut dipukul.

Berikutan penafian itu, Hakim Akhtar membenarkan pihak pendakwaan memulakan prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) bagi menentukan sama ada rakaman percakapan Suresh boleh diterima sebagai bahan bukti atau sebaliknya sebelum keputusan tentang kebolehpercayaan saksi dibuat.

Dalam prosiding TWT tersebut, Seng Keong sebagai pegawai penyiasat kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi memberitahu, rakaman video turut dibuat semasa kenyataan Suresh diambil bagi mengelakkan sebarang tohmahan.

Beliau yang merupakan saksi pertama TWT berkata, rakaman video itu dilakukan oleh Detektif Sarjan Abdul Hadi Ismail semasa kenyataan Suresh dirakam mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah di Penjara Sungai Udang, Melaka antara pukul 7 dan 11.30 malam, 26 Oktober 2010.

''Rakaman percakapan divideokan bagi mengelakkan sebarang tohmahan bahawa percakapan ini dibuat secara paksa.

''Selepas mengajukan soalan peribadi seperti tarikh lahir, alamat, saya terangkan kedudukan Seksyen 112 dan ia dijelaskan dalam bahasa Tamil yang mudah oleh jurubahasa, Detektif Koperal Kamarudin,'' jelasnya.

Dalam prosiding itu, Suresh yang memakai pakaian banduan dibenarkan berada di dalam mahkamah untuk mendengar keterangan saksi dengan ditemani seorang pegawai penjara.

Menurut Seng Keong, Suresh yang menganggukkan kepala dan memberitahu dia faham tentang amaran yang dibacakan telah menjawab setiap soalan yang ditanya manakala beliau menaip terus jawapan tersebut.

Beliau, Suresh dan jurubahasa kemudian menurunkan tandatangan masing-masing pada rakaman percakapan setebal 24 muka surat itu sebelum ia diserahkan kepada pengawai penyiasat, ASP Ishak Yaakob.

Semasa menjawab soalan peguam yang mewakili Suresh, A.S. Dhaliwal, Seng Keong memberitahu, dia tidak bertanya sama ada Suresh dipukul atau mengadu diancam sebelum rakaman percakapan dibuat.

Beliau juga tidak mengetahui tentang urusan keluar masuk serta rakaman percakapan daripada Suresh dengan pihak penjara kerana ia diuruskan oleh pegawai penyiasat kes.

Perbicaraan yang masuk hari ke-12 bersambung Jumaat ini.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah