Search This Blog

Loading...

Wednesday, July 27, 2011

Padah rogol remaja bawah umur



JOHOR BAHRU – Seorang pengedar katalog dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Seksyen, di sini, semalam, selepas didapati bersalah merogol seorang remaja perempuan di bawah umur, April lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Hassan Abd Ghani selepas mendapati tertuduh, B Nathan, 26, bersalah di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Laman Sarawak, Taman Rekreasi Taman Mutiara Rini, di sini, pada 13 April yang lalu sekitar jam lebih kurang 4.30 petang.

Mengikut fakta kes, mangsa bersama tiga adiknya pergi Taman Rekreasi Taman Mutiara Rini, di sini, dengan kereta kancil milik tertuduh sebelum ketiga-tiga adiknya dikuncikan di dalam kereta itu.

Kemudian, tertuduh telah membawa mangsa ke sebuah pondok di Laman Sarawak dan memukul mangsa di bahagian mukanya hingga lebam lalu, membuka pakaian mangsa sebelum bertindak membuka pakaiannya sendiri dan merogol mangsa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Chuah Shyue Chien.
SH

Diperintah bela diri kerana bunuh majikan



IPOH – Seorang pekerja ladang, S Alandu, 44, diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam untuk membela diri setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap tuduhan membunuh majikannya, S Gunaseelan, 60, di Parit Buntar, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah setelah diberi tiga pilihan sama ada untuk memberi keterangan dari kandang tertuduh atau berdiam diri.

Pesuruhjaya Kehakiman, Teo Say Eng memerintahkan demikian setelah mendengar dan meneliti keterangan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Talib.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian ke atas Gunaseelan di rumah lot 6679, Sungai Rawa, Parit Buntar antara jam 9 malam hingga 11 malam. pada 26 Januari 2009.

Alandu diwakili peguam, Rajit Gill dan K Nahtan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Say Eng menetapkan 25 dan 26 Ogos depan untuk sambung bicara.
SH

Berdepan hukuman gantung



GEORGETOWN - Empat rakan berhadapan dengan hukuman di tali gantung apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mengedar dadah, dua minggu lalu.

Mohd Faisal Ghazali, 32; Ahmad Firdaus Ghazali, 42; Muhammad Izdihar Amir, 23, dan Muhamad Ilham Samsudin, 27, didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis heroin seberat 158 gram di Flat Kampung Melayu, Ayer Itam, di sini, kira-kira jam 2 petang, 15 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama iaitu membawa hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

Sejurus dibacakan pertuduhan dan diterangkan oleh jurubahasa, semua mereka mengangguk faham tetapi tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Siti Salwa Ja’afar.

Muhamad Ilham, Muhamad Izdihar Amir dan Mohd Faisal Ghazali yang tidak diwakili peguam menghadapi satu lagi pertuduhan memiliki dadah.

Muhamad Ilham yang merupakan pekerja kilang mempunyai satu lagi pertuduhan memiliki heroin seberat 1.17 gram, di tempat, masa dan tarikh sama.

Sementara, Mohd Faisal yang merupakan peniaga turut didakwa miliki heroin 1.7 gram, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa secara berasingan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama memperuntukkan penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya.

Dalam mahkamah sama, Muhamad Izdihar Amir juga didakwa miliki heroin seberat 3.51 gram di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 A (1) akta yang sama yang memperuntukkan penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada lima tahun dan diwajibkan menjalani hukuman sebat di antara tiga hingga sembilan kali.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim.

Siti Salwa menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula untuk serahan laporan kimia.
SH

Hanya keluarga tahu kerja mangsa



KUALA KEDAH - “Dia tidak datang ke rumah saya sejak dua tiga hari yang lalu seperti kebiasaannya,” kata bapa kepada mangsa kejadian samun dan tembak di Taman Seri Putra, kira-kira jam 7.30 malam, kelmarin.

Pada kejadian itu, mangsa, Zamzarmi Ghazali, 36, yang tinggal di Taman Desarina dipercayai disamun dan ditembak sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah dengan membawa wang yang dianggarkan berjumlah RM12,500 iaitu hasil jualan tiket feri yang beroperasi pada sebelah petang iaitu jam lima hingga tujuh petang.

Bagi bapa mangsa, Ghazali Othman, 66, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan yang ketara.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu setelah dimaklumkan oleh rakannya yang memberitahu anaknya mengalami kemalangan.

“Ketika dimaklumkan saya hendak menunaikan solat Maghrib kemudian rakan saya datang ke rumah dan mengajak ke tempat kejadian dengan menyatakan Zamzarmi mengalami kemalangan.

“Mereka tidak memberitahu yang anak saya ditembak dan apabila sampai saya melihat dia (mangsa) terbaring,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Perumahan Kuala Kedah.

Bagi adik ipar mangsa, Fahrizul Adha Ghazali, 28, pekerjaan mangsa yang membawa pulang wang hasil jualan tiket sebelum dimasukkan ke dalam bank itu hanya diketahui oleh isteri mangsa, Faradina, 32, dan keluarga terdekat sahaja.

Katanya, mangsa kemungkinan sudah lama diperhatikan kerana jiran mangsa juga tidak mengetahui yang mangsa membawa pulang wang hasil kutipan jualan tiket.

Menurutnya, mangsa juga tidak pernah memaklumkan kepada keluarga bahawa dia bimbang membawa pulang wang dalam jumlah yang banyak.

“Tidak pernah sekalipun dia bersungut risau membawa pulang hasil jualan tiket ke rumah kepada saya atau keluarga.

“Mangsa juga pernah membawa pulang hasil jualan mencecah puluhan ribu ringgit sekiranya pada musim cuti sekolah,” katanya.

Fahzirul berkata, abang iparnya selamat dikebumikan kira-kira jam 3.30 petang semalam di Tanah Perkuburan Islam Lorong Mayat, Kuala Kedah.
SH

5 beranak tinggal berhimpit



PADANG KERBAU – Siapa mahu hidup susah namun, jika sudah ditakdirkan seseorang itu hanya mampu reda dalam menempuh setiap dugaan yang mendatang. Itulah ungkapan yang mampu diberikan oleh sebuah keluarga di Kampung Paya Lipai di sini, mengenai kehidupan mereka yang begitu daif.

Sinar Harian menemui keluarga berkenaan setelah� mendapat maklumat mengenai lima beranak di kampung itu yang terpaksa tinggal berhimpit di sebuah rumah usang dan menunggu masa untuk roboh.

Zakaria Abdul Rahman, 47, berkata, dia bersama isteri dan anak-anaknya terpaksa� tinggal di rumah itu memandangkan tidak mampu untuk menyediakan� tempat tinggal yang selesa untuk keluarganya.

“Saya menyedari rumah itu sudah tidak selamat untuk diduduki namun, saya tidak mampu memandangkan tidak tidak mempunyai sumber kewangan tetap.

“Saya hanya mengambil upah menoreh getah bersama isteri dengan pendapatan sekitar RM30 sehari namun, pendapatan itu tidak menentu dan bergantung kepada faktor cuaca dan kesihatan saya,” katanya.

Menurutnya, mereka terpaksa berlari keluar ketika hujan dan angin kuat ke pangkin berdekatan kerana bimbang rumah roboh.

“Saya berusaha untuk menambah sumber pendapatan dengan melakukan kerja sampingan dengan mengurut namun, pelanggan tidak menentu dan kadangkala hanya memperoleh RM20 sahaja sebulan.

“Pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi memandangkan tiga anak masih bersekolah dan tidak mendapat sebarang bantuan walaupun sudah membuat permohonan daripada pihak sekolah,” katanya.

Berikutan pendapatan mereka yang tidak seberapa menyebabkan Zakaria sudah beberapa kali mengemukakan permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Pendang namun, sehingga kini tiada sebarang jawapan.

Zakaria berkata, ketika kedatangan pihak jabatan itu ke rumahnya kira-kira dua tahun lalu mereka berjanji akan membantu menyalurkan bantuan kepadanya namun, sehingga kini tiada sebarang bantuan diterima.

“Saya juga memohon bantuan rumah mesra rakyat melalui pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang namun, difahamkan pihak petugas di pusat khidmat itu bahawa saya tidak layak memohon rumah itu kerana dikatakan faktor usia saya sudah meningkat.

“Rumah buruk itu begitu kecil dan hanya mempunyai satu ruang yang turut dijadikan tempat memasak, tidur dan makan,” katanya.

Selain itu, ketika Sinar Harian membuat lawatan di rumahnya mendapati anak keduanya terlantar akibat terjatuh dari pokok namun, Zakaria tidak mampu membawa anaknya ke hospital berikutan masalah kewangan.
SH

Nasi kandar atas lantai



GEORGETOWN – Nasi kandar atas lantai, itulah realitinya yang berlaku ketika operasi pemeriksaan dijalankan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di sebuah kedai nasi kandar di Lebuh Queen.

Daripada sumber yang diperoleh kedai nasi kandar berkenaan sememangnya menjadi tumpuan orang ramai.

Malah ketika operasi dilakukan, pelanggan beratur panjang untuk mendapatkan lauk di kedai berkenaan.

Keadaan di bahagian luar nampak biasa sahaja, tapi siapa tahu rupa-rupanya dua periuk nasi kandar diletakkan begitu sahaja di atas lantai, malah ada bahan mentah yang turut diletakkan di bawah saja.

Tambahan lagi MPPP sudah mengeluarkan kompaun berikutan lantai restoran nasi kandar itu kotor kerana basah dan berminyak.

Bukan itu sahaja, keadaan lantai di bahagian dapur juga kotor dan tidak bersih sepertimana di bahagian tempat duduk pelanggan.

Ketika Bahagian Perlesenan MPPP membuat pemeriksaan di bahagian dapur didapati ada antara pekerja kedai nasi kandar sibuk membasuh bahagian tempat masak kerana bimbang dikompaun.

Namun, kesalahan mereka masih lagi dapat dikesan apabila kuali dan periuk dibasuh di bahagian bawah dengan tidak menggunakan perangkap gris.

Sedangkan singki yang dipasang dengan perangkap gris langsung tidak digunakan untuk membasuh peralatan memasak.
SH

Cubaan seleweng diesel subsidi tumpas



SEREMBAN - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan kesalahan membeli diesel secara berlebihan di sebuah stesen minyak berhampiran Taman Mawar, Senawang dekat sini, Sabtu lalu.

Timbalan Pengarahnya, Mohd Nor Musa berkata, lelaki berumur 40-an itu ditahan semasa sedang mengisi kira-kira 500 liter diesel bersubsidi ke dalam sebuah lori tangki yang dipercayai diubah suai bagi kegiatan itu.

“Serbuan kira-kira jam 3 petang itu dijalankan susulan maklumat orang ramai oleh sepasukan lima anggota PPDNKK negeri yang diketuai Pegawai Penguat kuasa, Syamril Ngah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tangki pada lori terbabit mengandungi kira-kira 5,200 liter diesel dengan anggaran nilai pasaran RM9,360,” katanya ketika mengesahkan serbuan berkenaan di sini, semalam.

Menurutnya, lelaki yang juga pemandu lori terbabit dipercayai membeli diesel bersubsidi pada harga RM1.80 seliter sebelum menjual semula kepada pihak lain pada harga RM2.80 seliter.

Katanya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipercayai diubah suai sebulan lalu bagi menampung jumlah minyak yang lebih banyak berbanding biasa.

“Lelaki terbabit seterusnya ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 memperuntukkan denda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi orang perseorangan, manakala denda RM200,000 bagi syarikat jika sabit kesalahan,” katanya.

Menurutnya, kesalahan serupa pernah dikesan di sekitar Kuala Sawah, Rantau dekat sini dan pihaknya sedang menyiasat sama ada kegiatan menyalahi undang-undang itu didalangi oleh sindiket tertentu.
SH

DVD cetak rompak, lucah dirampas



BANDARAYA MELAKA - Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguat kuasa merampas 260 DVD cetak rompak serta 13 DVD lucah ketika serbuan ke sebuah kedai DVD di Pulau Gadong, dekat sini, malam kelmarin.

Selain itu. seorang remaja berusia 19 tahun yang dipercayai pekerja kedai berkenaan, turut ditahan bagi membantu siasatan.

Serbuan dilakukan berikutan aduan orang awam mengenai jualan bahan lucah yang mereka dakwa turut diedarkan kepada pelajar sekolah di kawasan berkenaan.

Timbalan Pegawai Penguat kuasanya, Ariff Hussein Malham berkata, sekumpulan empat pegawai penguat kuasa menyerbu kedai berkenaan kira-kira jam 9.15 malam dan mendapati ada beberapa pelanggan muda di dalam kedai terbabit.

Menurutnya, kedai itu turut mempunyai sebuah bilik rahsia, di mana pelanggan boleh memilih bahan lucah yang mereka mahu tanpa disedari.

“Bagaimanapun, pihak kami berjaya mengesan bilik rahsia ini setelah beberapa hari membuat intipan,” katanya, di sini semalam.

Ariff Hussein berkata, serbuan dibuat berikutan aduan orang ramai yang mendakwa penjualan bahan lucah kepada remaja dan murid sekolah berleluasa di kawasan berkenaan.
SH

Tak sempat jemput isteri



TAMPIN – Tiada apa yang lebih meruntun hati seorang isteri apabila mengetahui suaminya maut dalam keadaan kepalanya pecah dan otak bertaburan di atas jalan.

Dalam kejadian kira-kira 2.40 petang itu, mangsa, Sulaiman Muhamad, 41, maut dalam keadaan ngeri apabila kenderaan jenis Proton Waja yang dipandunya terbabas di Taman Bahagia Tampin, dekat sini, semalam.

Isteri mangsa, Norliza Mohd Nor, 38, berkata, suaminya berjanji untuk mengambilnya di Taman Bukit Tampin kira-kira 3 petang, namun setelah menunggu sehingga jam 3.05 petang, dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang ke rumah yang terletak di Taman Gunung Mas, Tampin Jaya.

Menurutnya, bagaimanapun, sebaik sahaja tiba di rumah, jiran memaklumkan suaminya maut dalam kemalangan berhampiran simpang masuk Taman Bahagia sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Saya sangat terperanjat dan tidak mampu untuk melihat dengan lebih dekat lagi kemalangan itu.

“Malah, terngiang-ngiang di telinga saya dengan kata-kata suami malam semalam (kelmarin) yang meluahkan kegusarannya dengan masa depan saya sekiranya dia sudah tiada di dunia ini,” katanya ketika ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian, semalam.

Manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin (HT) untuk dibedah siasat. Mangsa meninggalkan seorang balu dan anak berusia 16 tahun.

Mayat mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tampin Tengah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang mengesahkan kejadian itu dan menyatakan mangsa maut di tempat kejadian.

Katanya, dipercayai mangsa memandu terlalu laju dari arah Taman Bukit Tampin dan merempuh tiang Telekom Malaysia (TM) lalu terbalik, berpusing beberapa kali dan tercampak keluar dari kenderaan.

Sehubungan itu, Kooi Cheang meminta kerjasama orang awam yang melihat kejadian itu supaya menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan di talian 06-4411222 atau 06-4431999.
SH

Pelatih dua kem ‘bertempur’



JEMPOL - Kehebatan pelatih Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) kem De Bana, Jempol dengan Kem Karisma, Kuala Pilah tidak hanya di padang kawad, malah ternyata tampil hebat pada pertandingan bola jaring dan bola sepak di Padang Awam Felda Lui Muda.

Timbalan Komandan PLKN Kem Karisma Kuala Pilah, Mejar (B) Norazman Abd Shukur berkata, perlawanan itu bukan hanya suka-suka, namun ianya antara langkah proaktif kem PLKN untuk rapatkan jurang komunikasi.

Menurutnya, perlawanan itu juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara pelatih PLKN dari dua kem terbabit.

“Malah ini juga membuka lembaran baru buat pelatih untuk mengenali pelatih dari kem lain.

“Istilah juara adalah untuk semua. Semuanya berbakat dan saya yakin ini dapat meningkatkan lagi disiplin serta semangat setia kawan antara kumpulan,” katanya ketika ditemui sejurus tamat pertandingan itu.

Hadir sama, Komandan Kem PLKN De Bana, Mejar Zainal Ishak.

Kem PLKN De Bana berjaya menewaskan Kem Karisma dalam pertandingan bola jaring dengan pungutan mata 9-0, namun tewas dalam perlawanan bola sepak, apabila Kem Karisma mendahului dengan 4-3.

Sementara itu, pelatih PLKN D Bana, Jempol, Siti Fatihah Alwi, 18, berkata, dia sangat teruja dan bersemangat apabila bertemu dengan pelatih PLKN, Kuala Pilah.

“Seronoklah, lagipun saya memang berminat dalam sukan bola jaring. Peserta pasukan lawan juga bukan calang-calang orangnya,” katanya.

Manakala, pelatih PLKN Karisma Kuala Pilah, Mohd Hafiza Abd Rahman, 18, berkata, diharap perlawanan seperti itu akan diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Semua peserta berbakat dan semuanya handal. Dengan adanya perlawanan seperti ini, saya yakin pelatih akan terus bersemangat dalam apa juga aktiviti,” katanya.
SH

Pekerja kilang dipenjara



AYER KEROH - Akibat merusuh dengan senjata, lapan pekerja kilang tekstil warga Bangladesh dihukum penjara dan denda oleh dua Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Muhammad Hazri Hanafi menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Sokkur Miah Aman Ullah, 25; Zaki Late Falu Miah, 27, dan Mamun Hossain Ali, 35, selepas ketiga-tiga mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa Bangladesh.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didapati hadir dan berada dalam rusuhan yang bersenjatakan pisau, serampang buatan sendiri dan batang besi yang digunakan sebagai alat untuk menyerang antara jam 9 hingga 9.25 malam di dewan makan Blok G, Asrama Recron, Pantai Puteri pada 30 Mei 2011.

Terdahulu, tertuduh melalui jurubahasa Bangladesh, Monaj Kumar memohon mahkamah memberikan hukuman ringan dengan alasan masing-masing mempunyai keluarga dan ingin pulang segera ke negara asal.

Pegawai Pendakwa Inspektor Muhather Mohd Kudus yang meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal memberitahu kesemua tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Muhammad Hazri kemudian menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh iaitu penjara lima bulan daripada tarikh di tangkap pada 30 Mei 2011 dan denda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar.

Beliau turut mengarahkan warga Vietnam, Tran Van Trinh, 23 dan Nguyen Ngoc Quang, 31 yang turut dituduh bersama untuk hadir :sebutan semula kes pada 6 September depan.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan, Rokan Molla Din Mohammad Molla, 29; Liton Mia Amir Hossain, 31; Akkasur Rahman Nurudin, 30 dan Nurul Islam Monirahmed, 28, dijatuhkan hukuman penjara empat bulan.

Hukuman dijatuhkan Majistret Ida Rahayu Sharif setelah mendengar rayuan tertuduh dan meneliti fakta kes yang disediakan Pegawai Pendakwa Rosli Rasi.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah bersama-sama hadir dan berada dalam rusuhan bersenjatakan kayu dan batang besi yang digunakan sebagai alat untuk menyerang di antara jam 8.30 pagi hingga 1.20 tengah hari di kawasan asrama Recron, Pantai Puteri pada 31 Mei 2011.

Terdahulu, keempat tertuduh melalui jurubahasa memohon mahkamah memberikan hukuman seringan-ringannya kerana mereka daripada keluarga miskin.

“Kami berada di Malaysia kira-kira empat tahun dan membelanjakan RM15,000 untuk datang bekerja di sini.

“Mohon hukuman denda seringan-ringannya, namun sekiranya mahkamah mahu memberikan hukuman penjara mohon penjara seringan-ringannya sebab mahu segera kembali ke negara asal,” katanya.

Selepas menjatuhkan hukuman, Ida Rahayu turut menetapkan tertuduh, Nguyen Van Hung, 21, untuk hadir sebutan semula kes pada 11 Ogos depan bagi membenarkan pihak pendakwaan melantik jurubahasa Vietnam.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah kanun yang sama dan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
SH

Padah berpakaian ala polis



KEPONG – Gara-gara berpakaian menyerupai uniform polis, dua pengawal keselamatan sedang bertugas di perumahan apartmen di Bandar Utara Selayang Kuala Lumpur, di sini, ditahan pihak berkuasa.

Difahamkan pengawal itu bertugas di bawah seliaan sebuah syarikat keselamatan dari Kuala Lumpur, yang mendapat kontrak menjaga kawasan perumahan tersebut sejak kira-kira sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bagaimanapun masalah berbangkit apabila pengawal keselamatan bertugas memakai pakaian ala polis itu menimbulkan kekeliruan kepada penghuni.

“Penghuni mempertikaikan mengapa polis boleh jaga (mengawal) di pondok pengawal perumahan itu.

“Semasa diperiksa sekitar tengah hari tadi (semalam) didapati kedua suspek berpakaian menyerupai uniform polis dan mempunyai peralatan polis seperti cara peletakan tanda nama, pemakaian tali pinggang termasuk lencana ‘integriti’ polis digunakan, menyebabkan mereka ditahan,” katanya, pada satu sidang media di Balai Polis Kepong, semalam.

Dalam pada itu, menurut Zakaria, dua suspek terbabit adalah Melayu berusia lewat 30-an juga akan disiasat sama ada menyalahgunakan uniform ala polis yang dipakai.

“Memiliki dan menggunakan peralatan yang menyerupai anggota polis secara haram adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 89, Akta Polis dan boleh dikenakan tindakan.

“Kita minta kepada syarikat kawalan keselamatan prihatin perkara ini supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan pemakaian menyerupai uniform polis kepada pekerja mereka,” katanya.

Menurut Zakaria, majikan kepada dua pengawal keselamatan ditahan itu juga akan disiasat dan dikenakan tindakan jika sabit kesalahan kerana terdapat kemungkinan menyalahgunakan pakaian uniform polis berkenaan.
SH

Lelaki ditemui gantung diri



KEPONG – Seorang lelaki bujang berusia 57 tahun dari Jalan Ratna Pillay, Sentul di sini ditemui mati dipercayai akibat menggantung diri di ruang tamu rumahnya, petang kelmarin.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, mangsa berbangsa Cina dan tinggal seorang diri di rumah setinggan di situ.

“Daripada nota ditinggalkan dan dibaca sendiri oleh abang mangsa, mendiang memberitahu membunuh diri kerana mahu lari daripada peminjam wang haram ah long, yang memberinya pinjaman sebanyak RM200,000.

“Semasa ditemui oleh ahli keluarganya, didapati pergelangan tangan mangsa juga dikelar dipercayai dilakukan olehnya sendiri,” katanya pada sidang media di Balai Polis Kepong, semalam.

Menurut Zakaria, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut, manakala mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.
SH

Dua geng samun tumpas



KEPONG – Dua kumpulan geng samun bermaharajalela menyamun semasa di kawasan lampu isyarat sejak awal tahun ini berjaya ditumpaskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dengan tertangkapnya anggota kumpulan berkenaan baru-baru ini.

Kumpulan terbabit dikenali sebagai Geng Boboi dianggotai empat ahli, manakala satu lagi adalah Geng Auni dengan tiga ahli, masing-masing kesemuanya berusia antara 20 hingga 24 tahun.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, sejak tertangkapnya dua geng samun terbabit, jenayah samun di kawasan lampu isyarat di sekitar daerah Sentul tidak berlaku dalam tiga ke empat hari lalu.

“Kesemuanya didapati mempunyai rekod jenayah samun dan curi kenderaan. Daripada pengakuan suspek, mereka telah melakukan kira-kira 50 samun di beberapa kawasan sejak enam bulan lalu.

“Modus operandi mereka adalah menggunakan alat khas iaitu dawai hujungnya diikat dengan spark plug (motosikal) untuk melibas cermin kereta sebelum membuka kunci kereta mangsa yang kebanyakan wanita,” katanya pada sidang media di Balai Polis Kepong, semalam.

Dalam pada itu menurutnya, polis berjaya merampas barangan berharga hasil samun daripada beberapa suspek yang ditahan di Kampung Kemensah, Hulu Klang, Kampung Kerdas, Jinjang dan Pandan Indah.

“Antara yang dirampas adalah seperti lapan motosikal, beg tangan, telefon bimbit dan jam tangan berjenama, kad ATM, MyKad, lesen memandu dan lain-lain dengan anggaran keseluruhan adalah RM70,000,” katanya.

Menurutnya, dua geng terbabit sebelum ini aktif mencari mangsa sekitar Jalan Ampang, Jalan Tun Razak, Jalan Genting Klang dan Jalan Segambut kira-kira jam 4 petang hingga lewat petang.

Difahamkan kebanyakan mangsa adalah wanita yang meletakkan beg tangan di sebelah kiri iaitu di tempat duduk penumpang hadapan.

Suspek dikatakan bergerak berdua dengan satu motosikal, sebelum mengenal pasti sasaran lebih awal.

Terdahulu menurut Zakaria, semasa ditahan kesemua suspek didapati positif mengambil dadah jenis Syabu.

Semua suspek yang ditahan akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.
SH

Polis tumpas enam sindiket



SUBANG JAYA – Polis menumpaskan enam sindiket seludup kereta ke negara luar, membabitkan nilai jutaan ringgit bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, berlaku sedikit peningkatan dalam kes kecurian kereta tahun ini, tetapi pihaknya tidak berputus asa kerana banyak tangkapan dilakukan dalam tempoh sama.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama beberapa agensi kerajaan bekerjasama membuat kajian berhubung faktor serta penyelesaian boleh dilakukan bagi menangani masalah curi dan seludup kereta yang berlaku ini.

Katanya, antara perkara menjadi perhatian pihaknya adalah bagaimana kenderaan dalam negara ini boleh dibawa keluar dengan mudah.

“Sebagai contoh, baru-baru ini terdapat 188 kontena, setiap satunya mempunyai lima kereta di dalamnya, dapat diseludup keluar dari negara ini dengan mudah.

“Kita sedang meneliti bagaimana perkara ini boleh berlaku, selain taktik digunakan termasuk cara mereka bawa keluar kenderaan curi melalui sempadan negara,” katanya selepas merasmikan program Ayuh!! Jom Cegah Jenayah di sebuah pusat beli-belah, di sini, semalam.

Tun Hisan berkata, pihaknya sedang mencari penyelesaian terbaik bagi memperketat pintu sempadan negara, di samping usaha-usaha untuk meningkatkan lagi tangkapan ke atas mereka yang terlibat.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Tun Hisan berkata, pelaksanaan Rakan Cops membawa banyak perbezaan terhadap kadar indeks jenayah di Selangor khususnya.
SH

Jumpa mayat penuh kesan tikaman di dada



SUBANG JAYA- Pengunjung sebuah pusat beli-belah terkenal di USJ di sini gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki dipenuhi kesan tikaman di dada petang, kelmarin.

Mayat terbabit yang berpakaian lengkap ditemui dalam keadaan terlentang oleh pengawal keselamatan pusat beli-belah terbabit yang kebetulan melakukan rondaan keselamatan dalam pasar raya berkenaan kira-kira jam 7.45 petang.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, mayat mangsa ditemui tidak jauh dari rak menjual pisau sebuah pasar raya dalam pusat beli-belah berkenaan.

“Mangsa, dikenali sebagai Low Seong Juan, 21, disahkan mati ketika ditemui dalam keadaan berlumuran darah. Hasil pemeriksaan mendapati sebilah pisau memotong sayur ditemui dekat dengan kepala mangsa,” katanya.

Zainal Rashid berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada mangsa dibunuh atau membunuh diri.

“Hingga kini kita masih klasifikasikan kematiannya sebagai mati mengejut. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.
SH

Treler terbabas elak babi hutan



KUALA ROMPIN - Gara-gara mengelak babi hutan, seorang pemandu treler maut selepas kenderaan yang dipandunya berpusing beberapa kali sebelum terbabas di bahu jalan di Kilometer 140, Jalan Kuantan-Seremban, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa, Wong Tew Meng, 63, yang tinggal di Chukai Terengganu, mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, mangsa yang dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Kuantan dipercayai terkejut dengan kehadiran babi hutan yang sedang melintas jalan.

“Mangsa dipercayai cuba mengelak babi hutan yang secara tiba-tiba melintas jalan, namun tindakannya memakan diri apabila kenderaan yang dipandunya pula terbabas ke bahu jalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Johari berkata, mangsa yang dalam keadaan lemah dan mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Muadzam Shah untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 2.30 petang, hari yang sama.

Sehubungan itu, Johari mengingatkan pengguna jalan raya di laluan berkenaan supaya memandu dengan lebih berhati-hati memandangkan kawasan terbabit berisiko berlakunya kemalangan terutama pada waktu malam.

Beliau berkata, pemandu kenderaan perlu mematuhi peraturan had laju yang dibenarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Kemalangan jalan raya dapat dielakkan jika pengguna sendiri mengamalkan sikap berwaspada dan mengikut peraturan di jalan raya. Kikis sikap memandu laju kerana ia bukan saja membahayakan nyawa sendiri tetapi pengguna lain,” katanya.
SH

Maut selepas 15 jam nahas



BENTONG – Seorang lelaki bertarung nyawa hampir 15 jam sebelum maut selepas terlibat dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 7 Jalan Bentong-Raub kira-kira jam 5.30 pagi kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohamad Nor berkata, mangsa, Choo Weng Leong, 29, disahkan mati pada jam 7 petang hari yang sama selepas dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk menerima rawatan lanjut.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Raub ke Bentong menaiki kereta jenis Nissan Sunny seorang diri.

“Setibanya di tempat kejadian, kenderaan yang dipandunya itu dipercayai terbabas ke kanan jalan memasuki laluan bertentangan.

“Kemudian bertembung dengan sebuah lori jenis Hicom tanpa muatan dari arah Bentong ke Raub,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Mansor berkata, akibat pertembungan itu, mangsa tersepit di bahagian hadapan kereta dan terpaksa dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Bentong.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah iaitu patah kedua kaki dan bahagian dada.

“Kes kemalangan ini masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SH

JPJ keluarkan 506 notis, saman



KEMAMAN – Sebanyak 506 notis dan saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu sementara 12 pengguna jalan raya ditahan kerana positif dadah dalam tempoh tiga hari pada Operasi Bersepadu Bersama Pengarah yang diadakan di Stesen Penguat Kuasa (SPK) Kijal, Kemaman dan SPK Bukit Besi, Dungun.

Operasi yang berakhir kira-kira jam 12 tengah hari semalam itu dijalankan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman.

Pengarahnya JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, sepanjang operasi tiga hari itu, sebanyak 1,377 kenderaan diperiksa sebelum 506 notis dan saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, kes tertinggi adalah kesalahan cermin gelap dengan kira-kira 108 kes diikuti cukai jalan tamat tempoh (85 kes) dan lesen memandu tamat tempoh (79 kes).

Selain itu, katanya, kes lain yang turut dikesan ialah kesalahan ubah suai kenderaan, nombor plat tidak me�ngikut spesifikasi, membawa muatan bahaya dan tidak mempamerkan P dan L.

“Bagi kesalahan cermin gelap yang mencatat kes tertinggi sepanjang operasi kali ini, kita mengeluarkan notis kepada mereka. Ketika ini kerajaan masih lagi memberi kelonggaran kepada pemilik kenderaan dengan memberi mereka tempoh selama 10 hari untuk menanggalkan cermin gelap.

“Untuk cukai jalan yang tamat tempoh pula kita menyita kenderaan pesalah dan ia akan disimpan di kandang JPJ kerana kita tidak benarkan kenderaan itu berada di atas jalan,” katanya kepada pemberita selepas tamat operasi terbabit di SPK Kijal, semalam.

Operasi di SPK Kijal diadakan selama dua hari yang bermula kelmarin manakala sebelum itu operasi sama selama sehari diadakan di SPK Bukit Besi.

Abdul Rahman berkata, selaras dengan arahan ibu pejabat, pihaknya sejak kelmarin juga telah menjalankan penguatkuasaan ke atas kenderaan perdagangan seperti ke atas lori dan penguatkuasaan itu akan berterusan sehingga ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Sementara itu, sepanjang operasi tersebut, seramai 117 pengguna jalan raya dibuat pemeriksaan ujian air kencing dan 12 orang positif dadah membabitkan tujuh orang yang diperiksa di SPK Kijal.

Ketua Pegawai AADK Kemaman, Zamzita Ismail berkata, di SPK Kijal seramai 60 orang diperiksa dan tujuh yang positif dadah membabitkan kesemua pengguna jalan raya lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

“Daripada jumlah ini, seramai enam daripadanya positif pil kuda sementara seorang lagi positif ganja,” katanya.
SH

Dadah RM7,000 dirampas



KAMPUNG RAJA - Dua lelaki berusia 29 dan 22 tahun dari Kelantan berdepan hukuman mati jika didapati bersalah setelah ditahan kerana dipercayai memiliki Heroin seberat 43.52 gram di Kuala Besut, kelmarin.

Dalam operasi yang dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah itu, suspek ditahan kira-kira jam 11.15 malam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, turut dirampas ialah enam pil berwarna kemerahan dipercayai Methamphetamine (pil kuda) daripada suspek.

Menurutnya, operasi yang diketuai Inpektor Rumaizur Rahman Ab Sattar bersama 14 anggota itu juga merampas wang tunai bernilai RM1,630 dan empat unit telefon bimbit serta sebuah i phone.

“Siasatan awal mendapati, suspek berumur 29 tahun dari Rantau Panjang itu pernah terbabit dengan kes jenayah dan dadah di sekitar Kelantan dan Terengganu, manakala rakannya beralamat di Bachok mempunyai tiga kes membabitkan dua kes jenayah dan satu kes dadah juga di Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Kamaruddin berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di sini semalam,

Menurut beliau, sebelum kejadian polis yang sedang menjalankan operasi di sekitar Kuala Besut telah terserempak dengan kereta dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan berhenti di sebuah kedai keropok di Kampung Gertak Seratus.

Katanya, apabila dihampiri kedua lelaki berkenaan cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan, namun mereka berjaya ditahan.

“Apabila diperiksa, polis menjumpai satu bungkusan kertas surat khabar yang terletak di bawah alas kaki kereta bahagian pemandu di dalamnya terdapat 10 botol cerah berisi serbuk putih disyaki Heroin.

“Manakala empat biji pil kuda ditemui di dalam kereta, sementara dua lagi dalam poket pinggang pemandu iaitu suspek berusia 29 tahun,” jelasnya.

Kesemua nilaian rampasan berjumlah RM7,000 dan kedua suspek kini ditahan reman sehingga 31 Julai untuk membantu siasatan.
SH

Reman lima suspek edar dadah dilanjutkan



KOTA BHARU – Tempoh reman lima lelaki termasuk seorang wanita dipercayai pengedar dadah yang dikatakan menjadikan sebuah hotel di bandar ini sebagai transit urus niaga pelbagai jenis dadah antara Malaysia dan Thailand dilanjutkan Mahkamah Kota Bharu, di sini, semalam.

Perintah lanjutan tahanan reman terhadap kesemua suspek yang berusia 27 dan 48 tahun itu dibuat di hadapan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Rozita Md Saat, di mahkamah tersebut.

Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, tempoh reman terbaru tersebut berkuat kuasa sehingga 1 Ogos depan.

“Mereka akan ditahan tujuh hari lagi untuk membantu siasatan polis mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman mati mandatori mengikut peruntukan di bawah seksyen tersebut.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah maut selepas terjatuh dari tingkat lapan bangunan sebuah hotel, di sini dalam cubaan meloloskan diri dari serbuan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK, di sini, 11 pagi, 20 Julai lalu.

Sementara lima lagi rakanya berjaya ditahan dan dikenakan perintah reman sehingga Isnin depan.
SH

Polis maut kemalangan



MACHANG - Seorang anggota polis maut apabila kereta jenis Kancil yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 50.8, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di sini, semalam.

Kejadian jam 1.30 petang, di Kampung Batu 31 itu berlaku ketika Baharim Mohd. Noh, 51 dalam perjalanan dari Machang ke Kuala Krai.

Baharim merupakan anggota polis di Kuala Krai dan pernah berkhidmat di Machang sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Che Malek Bedot berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di Hospital Machang kira-kira jam 3.45 petang.

“Ketika kemalangan, kereta jenis Kancil yang dipandu mangsa dipercayai cuba memotong kenderaan di depannya sebelum bertembung dengan MPV yang datang dari arah bertentangan.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Machang sebelum meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian. Turut terlibat sebuah motosikal, bagaimanapun pemandu MPV dan penunggang motosikal tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,’’ katanya.

Sementara itu, Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Che Mohd Fauzi Che Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1.34 petang dan tiba di tempat kejadian jam 1.43 petang.

Katanya, ketika sampai di tempat kejadian, mangsa dikeluarkan oleh orang ramai dan dihantar ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut.

Katanya, operasi menyelamat tersebut melibatkan empat anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Machang.
SH

Lelaki melecur redah api



KAMPUNG CHENERAI – Seorang lelaki nekad redah api yang marak untuk menyelamatkan diri apabila rumah pusaka yang didiaminya sejak kecil musnah terbakar kira-kira jam 5 pagi kelmarin.

Mangsa, Mohd Fakri Mat Deris, 37, yang juga seorang buruh binaan berkata, ketika sedang tidur di biliknya, dia terasa panas pada bahagian belakang badan.

Menurutnya, dia yang ketika itu tidak berbaju terus bangun dan mendapati tilamnya sedang terbakar.

“Melihatkan tilam terbakar, saya tidak terfikir untuk menyelamatkan diri, yang penting ketika itu adalah cuba untuk memadamkan kebakaran menggunakan baju, tetapi gagal, malah api makin besar baju juga turut terbakar.

“Ketika kejadian, saya tidak terfikir untuk memanggil jiran, mulut bagaikan terkunci melihatkan kebakaran itu, setelah api makin besar, baru saya mula memikirkan keselamatan diri,” katanya, semalam.

Mohd Fakri berkata, melihatkan api sedang marak, dia cuba untuk terjun, tetapi disebabkan kediamannya terlalu tinggi, dia batalkan hasrat itu.

Menurutnya, dia berlari keluar serta meredah api, bagaimanapun ketika itu jari kaki kanan serta tumit kaki kirinya melecur.

“Saya bersyukur selamat dalam kebakaran tersebut walaupun melecur pada kaki dan tumit.

“Sekarang, saya hanya tinggal sehelai sepinggang, semua pakaian musnah terbakar, begitu juga dokumen penting seperti kad pengenalan,” katanya.

Mohd Fakri berkata, sekarang dia tinggal sementara di rumah abang kelimanya di belakang rumah yang terbakar itu.

Menurutnya, dia akan berusaha membina pondok di tapak yang terbakar kerana abangnya juga mempunyai keluarga besar.

“Justeru, saya memohon mana-mana pihak yang boleh membantu saya membina rumah baru kerana tidak berkemampuan berbuat demikian memandangkan pendapatan harian sekitar RM45 sahaja.

“Sejak semalam, ramai yang datang menghulurkan sumbangan, jadi saya ucapkan terima kasih, termasuk penduduk kampung, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff,” katanya.
SH

Dua cedera parah tersepit



MACHANG – Dua pemandu cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung sesama sendiri, di sini, malam kelmarin.

Kedua-dua mangsa, Roslina Mamat, 37, dan Amam Yusoff, 30, tersepit dalam kereta dipandu masing-masing sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba dan kemudiannya dikejarkan ke Hospital Machang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Che Mohd Fauzi Che Omar berkata, kejadian berlaku di kilometer 42 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai membabitkan kereta jenis Perodua Kancil dan Proton Saga.

“Berdasarkan maklumat awal, Roslina dipercayai berasal dari Kuala Krai dalam perjalanan pulang sebelum bertembung dengan Amam dari arah bertentangan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 8.47 malam dan tiba di tempat kejadian jam 8.58 malam.

“Operasi menyelamat melibatkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Machang.

“Kedua-dua mangsa yang tersepit itu berjaya dikeluarkan dan dihantar ke hospital menggunakan dua ambulan termasuk dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau turut menasihati orang ramai memandu dengan berhati-hati di kawasan selepas jejantas (Lebuhraya Baru Machang–Kuala Krai) memandangkan kawasan tersebut agak gelap dan sering berlaku kemalangan.

“Sikap berhati-hati dan memandu dengan berhemah mampu menyelamatkan nyawa,” katanya di sini.
SH

Rompak ibu saudara



KOTA BHARU – Seorang pemuda dari Kampung Kota, di sini berdepan seksaan penjara sehingga 20 tahun selepas dituduh merompak ibu saudaranya sendiri dalam kejadian di Pasir Puteh lebih tiga minggu lalu.

Berikutan tuduhan itu, Nur Aizat Ibrahim Affandi, 26 bersama rakanya, Wan Mohd Khairul Wan Mohd Sidek, 24 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, di sini, semalam.

Mengikut pertuduhan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin, mereka didakwa secara bersama melakukan kesalahan terhadap warga emas berusia 66 tahun tersebut bertempat di Banggol Sentul, Selising, Pasir Puteh, 4 Julai lalu.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, Nur Aizat dan Wan Mohd Khairul dikatakan secara berkumpulan merompak Rokiah Abdullah dengan mengambil seutas rantai tangan, rantai leher dan seunit telefon bimbit menyebabkan mangsa kerugian RM12,000.

Selain penjara sehingga 20 tahun, mereka boleh juga dikenakan sebat jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Pada prosiding di mahkamah semalam, kedua-duanya mengangguk tanda faham sejurus pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan jurubahasa mahkamah.

Walau bagaimanapun, tidak ada sebarang pengakuan salah rekodkan sebaliknya masing-masing memohon mahkamah untuk dibicarakan atas tuduhan tersebut.

Hakim Zainal L. Salleh kemudiannya menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

“Tidak ada sebarang jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh,” katanya.
SH

Lebih baik guna dakwat; Nik Aziz


KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akhirnya bersetuju dengan pendirian Pas Pusat menolak penggunaan sistem biometrik dalam pilihan raya.

Beliau berkata, kenyataan beliau tiga hari lalu menyokong biometrik dengan syarat, iaitu selagi ia tidak menimbulkan keraguan bagi menjamin pilihan raya bersih dan adil.

“Kenyataan saya dua hari lepas dengan syarat, saya kata benda ini kalau timbul keraguan kena tolak dan kebetulan, alhamdulillah kelmarin terdapat kes pengundi bertindih di Selangor.

“500 daripadanya sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), itu baru selangor tak termasuk Kelantan dan negeri-negeri lain, jadi menampakkan memang meragukan,” katanya.

Katanya, penggunaan dakwat seperti yang dicadangkan sebelum ini lebih baik dan selagi biometrik meragukan, ia mesti ditolak.

“Sekiranya UMNO atau Barisan Nasional jadi pembangkang...maka dia akan senyap ke atau bising berhubung nama bertindih ni, dia tetap tidak akan senang juga,” katanya selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Komplek Kota Darul Naim, di sini semalam.

Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata, sistem biometrik terdedah kepada manipulasi pihak pengendali kerana hanya segelintir sahaja yang mempunyai kepakaran sistem tersebut.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, penyerahan 500 nama itu merupakan senarai pertama pengundi bertindih iaitu satu nama keluar dua atau tiga kali sebagai pendaftar yang sudah pastinya boleh keluar mengundi lebih dari sekali.

“Pas Selangor mengenal pasti sebahagian orang itu dan orang itu mengaku namanya ada tiga kali dalam senarai. Kita ada banyak senarai, cuma kita mahu melihat apa tindak balas SPR dan yang paling penting, mengapa boleh berlaku pendaftaran bertindih yang mengundang pengundian bertindih?

“Cara paling mudah untuk mengelak masalah ini ialah dengan menggunakan dakwat, biometrik hanya boleh mengesahkan pengundi dengan pengenalan ibu jari, selepas itu mereka yang bertindih nama boleh mengundi lagi ditempat lain, biometric tidak menghalang orang itu mengundi berkali-kali,” katanya.

Husam berkata, dengan kesan dakwat dia jari, individu itu tidak boleh mengundi lagi.

Pas Pusat katanya, bukan sahaja akan menyerahkan senarai itu kepada SPR malah akan mengadakan persidangan antarabangsa untuk mendedahkan kepincangan tersebut selain mempamerkan senarai nama itu di seluruh negara.

Ketika diminta mengulas kenyataan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Mohd Yasin yang mengatakan penggunaan dakwat sesuai untuk negara kurang maju, Husam berkata, apa guna penggunaan teknologi moden kalau penipuan dapat disahkan.

”Amalan kurang maju tidak apa asalkan boleh mengelak penipuan, kita perlu mengakui wujudnya pertindihan nama secara besar-besaran dalam daftar pemilih yang menyebabkan pengundian meragukan.

SH

Remaja OKU hilang 25 Mei lalu ditemui mati dalam Sungai Pida 3, Jitra


JITRA - Kehilangan seorang remaja lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) sejak dua bulan lalu terjawab apabila mangsa ditemui mati lemas dalam Sungai Pida 3, Tunjang dekat sini, tengah hari tadi.

Penemuan basikal milik Mohd Fikril Mohd Yusoff, 25, oleh orang kampung di sungai itu berikutan air sungai yang surut membawa kepada penemuan mayatnya oleh anggota Bomba dan Penyelamat Jitra kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra Hasbullah Mohd Isa berkata pihaknya yang menerima panggilan pukul 11.40 pagi bersama enam anggota bergegas ke tempat kejadian bagi operasi mencari mayat mangsa setelah penemuan basikal itu.

"Kita menemui mayat mangsa dalam keadaan bertulang rangka tersepit pada basikal yang dipercayai milik mangsa. Ekoran terlalu lama dalam sungai yang kedalamannya satu meter menyebabkan kulit mereput," katanya, hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat. Pada 25 Mei lalu, Mohd Fikril dari Kampung Pida Tiga, Air Hitam dekat sini dipercayai hilang selepas keluar dari rumahnya untuk keluar merayau-rayau di Pekan Air Hitam. - Bernama

SH

Lelaki Singapura ke tali gantung kerana edar dadah


JOHOR BAHARU - Seorang lelaki warga Singapura hari ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah terhadap empat pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, tiga tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Samsudin Hassan membuat keputusan itu terhadap Ng Yan Seng, 58, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Ng didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 376.91 gram di rumah bernombor 33, Jalan Kempas, Taman Megah Ria, Seri Alam, di sini, kira-kira pukul 7.30 malam, 19 Nov 2008.

Bagi tiga pertuduhan seterusnya, dia didakwa mengedar 257.75 gram methamphetamine, 19.23 gram monoacetylmorphines dan 667.16 gram ketamin, di alamat, waktu dan tarikh yang sama.

Didakwa melakukan kesemua kesalahan itu mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan memiliki dadah pula, Ng dikenakan hukuman penjara dua tahun atas dakwaan memiliki nimetazepam (Eramin 5) seberat 10.70 gram, juga di alamat, waktu dan tarikh yang sama.

Kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Samsudin berkata tertuduh ketika ditahan hanya berseorangan di dalam rumah terbabit.

"Tidak ada orang lain malah semua dadah itu ditemui dalam bilik tertuduh. Berdasarkan bukti, hanya tertuduh menyewa rumah berkenaan, bukan orang lain," kata Samsudin.

Katanya kenyataan tertuduh mengenai seorang lelaki bernama Mike sebagai pemilik semua dadah terbabit tidak berasas kerana pembelaan gagal membuktikan kewujudan lelaki terbabit sepanjang tempoh perbicaraan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Umar Saifuddin Jaafar dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala tertuduh diwakili peguam, K.L Chee. - Bernama

SH

Kaki pancing maut diserang perompak



MAYAT Rambo dibawa ke dalam bot APMM setelah berjaya ditemui di Perairan Batu 5, Tawau, Sabah semalam.


TAWAU 26 Julai - Keseronokan empat sahabat keluar memancing bertukar menjadi tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat diserang dua perompak bersenjata di Perairan Batu 5 di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Rambo, berusia lingkungan 40-an meninggal dunia setelah gagal berenang apabila kakinya terkena tembakan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata, empat sahabat lelaki itu pergi ke laut untuk memancing sebelum bot mereka tiba-tiba dihampiri sebuah bot dinaiki dua lelaki.

"Kedua-dua lelaki itu kemudian melepaskan tembakan ke arah kesemua mangsa sekali gus memaksa mereka terjun ke laut, sebelum bot dan dua enjin sangkut mereka yang bernilai RM10,000 dilarikan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Ibrahim, kesemua mangsa berusia antara 20 dan 40-an.

Tambah beliau, tiga daripada mangsa yang terselamat berenang ke kawasan darat Batu 5, Jalan Apas, untuk mendapatkan bantuan dan membuat laporan polis.

"Seorang mangsa kini dirawat di Hospital Tawau manakala dua lagi rakannya dirawat sebagai pesakit luar. Kita percaya kejadian ini bermotifkan dendam namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Kita juga bekerjasama dengan beberapa pihak berkuasa lain bagi memburu suspek yang terlibat," katanya.

Pasukan lain yang membantu polis ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Gerakan Marin (PGM).

Sementara itu, mayat mangsa yang hilang berjaya ditemui pasukan mencari APMM di perairan Batu 5 kira-kira pukul 1.37 petang ini dan dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Penyelia bawa wang kutipan mati ditembak dua perompak



Faradina Ghazali (tengah) bersama ahli keluarga sedih atas kematian Zamzarmi Ghazali selepas ditembak dalam kejadian samun di Taman Seri Putra Fasa 3, Jalan Kuala Kedah, kelmarin.


ALOR SETAR 26 Julai - Seorang penyelia sebuah syarikat feri maut setelah ditembak tiga das oleh dua lelaki dalam satu kejadian samun di Taman Seri Putra Fasa 3, Jalan Kuala Kedah, di sini semalam.

Kejadian pukul 7.30 petang itu berlaku ketika mangsa, Zamzarmi Ghazali, 36, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Desarina sambil membawa wang tunai hasil kutipan tiket feri berjumlah RM12,500.

Pengurus Ferryline Ventures Sdn. Bhd., Hussin Hassan, 51, berkata, Zamzarmi membawa pulang wang hasil kutipan itu terlebih dahulu sebelum memasukkannya ke dalam bank keesokkan harinya.

"Saya dan Zamzarmi memang bergilir-gilir membawa wang hasil kutipan tiket feri pada pukul 5 hingga 7 petang.

"Sepatutnya saya menyimpan wang tersebut semalam, tetapi Zamzarmi telefon saya beritahu dia akan datang untuk mengambil wang tersebut," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah di sini, hari ini.

Menurutnya, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu pukul 7.45 petang.

"Saya masih terkejut dengan kejadian itu kerana sepanjang 15 tahun bekerja dengan Zamzarmi, kami tidak pernah bermusuh dengan sesiapa," katanya.

Dalam pada itu, isteri mangsa, Faradina Ghazali, 32, berkata, suaminya pulang ke rumah kira-kira pukul 3 petang semalam dan tertidur sehingga pukul 6.45 petang.

"Saya mengejutkan dia (Zamzarmi) untuk ke tempat kerja dan dia keluar rumah dengan hanya membawa telefon bimbit sahaja kerana tertinggal dompet.

"Saya tunggu dia pulang ke rumah kerana dia akan pergi sekejap saja tetapi pada pukul 7.30 petang, seorang jiran beritahu bahawa Zamzarmi ditemui terbaring kerana ditembak dan disamun," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asistan Komisioner Adzaman Mohd. Janberkata, mangsa mati setelah terkena tiga das tembakan di dada pada jarak dekat.

Beliau berkata, kejadian itu dilakukan oleh dua suspek yang dipercayai mengikut mangsa dengan menaiki motosikal dari Terminal Feri Kuala Kedah.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

6 sindiket curi kereta tumpas


SUBANG JAYA 26 Julai - Polis Selangor berjaya melumpuhkan enam sindiket curi kenderaan yang membawa keluar kenderaan yang dicuri melalui beberapa laluan pintu masuk sempadan negara, sejak awal tahun ini.

Antara sindiket yang berjaya ditumpaskan itu terlibat menyeludup sejumlah 940 buah kereta curi dengan menggunakan 188 buah kontena di Kampung Black Water di Klang.

Setiap satu kontena itu dikatakan membawa lima buah kereta curi untuk diseludup ke negara luar.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah (gambar) berkata, walaupun kes curi kereta di negeri ini agak membimbangkan, pihaknya yakin kejayaan menumpaskan enam sindiket itu sedikit sebanyak dapat mengekang kegiatan jenayah tersebut.

"Meskipun kes curi kereta mengalami peningkatan pada tahun ini namun, banyak tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis.

"Hasil kejayaan itu, kita dapati banyak kelemahan yang perlu dibaiki dan ia akan dilaksanakan bagi memastikan sindiket curi kereta dapat dikekang," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kempen 'Ayuh, Jom Cegah Jenayah' di Sunway Piramid di sini hari ini.

Menurut Tun Hisan, kajian dijalankan oleh pihak polis bersama beberapa agensi kerajaan bagi mengenal pasti langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil bagi menghalang kegiatan sindiket berkenaan.

"Kita dapati, setiap kereta curi itu begitu mudah dibawa keluar oleh sindiket berkenaan dengan menggunakan jalan raya menuju ke luar sempadan negara.

"Untuk itu, kita akan mengkaji semula bagaimana kenderaan curi mudah dibawa keluar sekali gus mengenal pasti langkah-langkah yang berkesan untuk menanganinya," katanya lagi.

Tun Hisan dalam pada itu memberitahu, bagi mengatasi kes kecurian kenderaan, orang ramai juga dinasihatkan supaya meletakkan pengenalan identiti kenderaan pada cermin kenderaan mereka.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Kes khalwat Salim digantung


PULAU PINANG 26 Julai - Mahkamah Tinggi Syariah di sini menggantung prosiding perbicaraan kes khalwat Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan dengan bekas pembantu peribadinya di sebuah hotel di Batu Feringghi yang sepatutnya bermula hari ini.

Hakim Syarie, Mohammad Zamri Roslan membenarkan penggantungan perbicaraan sementara menunggu keputusan semakan yang difailkan oleh Salim pada 21 Jun lalu melalui peguam syarie yang mewakilinya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Salim mengemukakan semakan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya yang membenarkan perbicaraan kes khalwat diteruskan walaupun beliau mempunya satu lagi kes di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Kes di ibu negara itu pada 2 Ogos ini adalah berkaitan kebenaran berpoligami dan pengesahan perkahwinan pasangan itu yang didakwa dilakukan di selatan Thailand.

Mohammad Zamri kemudian menetapkan 15 September ini untuk mendengar hujahan Zainul Rijal dan pihak pendakwa yang diwakili Ketua Pendakwa Syarie, Mohd. Zulkhairi Aziz sebelum menentukan sama ada keputusan mahkamah rendah itu betul atau tidak mengikut undang-undang.

''Sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada membenarkan semakan ini atau tidak, saya rasa mahkamah perlu mendengar hujahan kedua-dua pihak terlebih dahulu.

''Justeru, saya benarkan prosiding di Mahkamah Rendah Syariah digantung sementara menunggu keputusan semakan di mahkamah ini,'' kata Mohammad Zamri.

Mengikut pertuduhan, Salim, 51, dan Nur Diayana Norslan, 30, yang bukan mahram didakwa berada bersama-sama dalam keadaan yang menimbulkan syak kira-kira pukul 5 pagi, 16 April lalu, di bilik bernombor 224 sebuah hotel di Batu Feringghi di sini.

Salim yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa mengikut Seksyen 27(a) Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nur Diayana didakwa di bawah Seksyen 27(b) enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, setiap tertuduh boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Difahamkan pasangan itu telah berkahwin di selatan Thailand sebelum mereka ditangkap khalwat.

Pada 20 Jun lalu, Nik Bukhari menetapkan perbicaraan kes khalwat tersebut didengar mulai hari ini selepas menolak permohonan pihak peguam agar tarikh sebutan ditetapkan untuk kes itu sementara menunggu keputusan kes di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Pengawal keselamatan dijel menakutkan dua wanita


PETALING JAYA 26 Julai - Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengugut dan menakut-nakutkan dua wanita dengan mengacukan selaras pump gun yang berisi peluru hidup ke arah mereka, Mei lalu.

Ram Amas Pasaran, 24, didakwa melakukan perkara tersebut ke arah dada Samarah Ubah, 35, di Ubowl Internet Cafe, Tingkat 4, New Wing Pusat Beli-Belah One Utama, Bandar Utama, Damansara di sini pada pukul 9 malam, 8 Mei lalu.

Pada masa, tarikh dan tempat yang sama, tertuduh turut didakwa melakukan perkara serupa dengan mengacukan pump gun tersebut ke arah muka Nor Azira Awang Hasan, 20.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aifaa Che Abdullah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Nahas berpunca kecuaian juruterbang syarikat pengangkutan udara tempatan


KUALA LUMPUR 26 Julai - Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini memutuskan kematian Joseph Chan Sum Foo kira-kira lima tahun lalu berpunca daripada kecuaian seorang juruterbang syarikat pengangkutan udara tempatan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Amin Firdaus Abdullah dalam keputusannya berpendapat, Kapten Lukhman Abdul Rahman dari Weststar Aviation Services Sdn. Bhd., cuai apabila meninggalkan helikopter yang kipasnya masih berpusing sehingga menyebabkan kematian Joseph.

Keputusan tersebut sekali gus mengetepikan penemuan yang dibuat oleh Mahkamah Koroner Jawi, Pulau Pinang pada 31 Mei tahun lalu.

Pada 30 Mac 2006, Joseph, 45, pengurus besar projek perumahan maut selepas terkena kipas helikopter AS 365N1 Dauphin (9M-DSA) yang digunakan untuk membawa jurugambar dan pemberita meninjau pembangunan projek perumahan Bandar Cassia di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Menurut Mohd. Amin, syarikat penerbangan tersebut juga terlibat sama dalam kecuaian berkenaan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia.

''Selepas mahkamah menimbangkan Peraturan Penerbangan Awam 1969, prosedur operasi standard (SOP) Westar dan Laporan Siasatan Kemalangan Udara, bukti yang dikemukakan, mahkamah ini berpendapat Kapten Lukhman telah melakukan pecah amanah dalam tugasnya menjaga keselamatan mendiang dengan cara melanggar SOP.

''Sehubungan itu mahkamah berpendapat, syarikat terbabit juga harus dipersalahkan,'' kata Mohd. Amin.

Peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dan Badrul Munir Bukhari mewakili keluarga Joseph prosiding semakan oleh keluarga mendiang terhadap keputusan Mahkamah Koroner tersebut.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Kayu untuk bakar, zink alas mayat



N. Pathmanabhan (depan) bersama R. Matan di Mahkamah Tinggi, Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 26 Julai – ‘‘Saya dan Suresh alas enam zink untuk bakar mereka, dibuang di satu sungai di ladang kelapa sawit. Saya boleh tunjuk. Di sini kami buang enam zink itu.’’

Itu kata-kata T. Thilaiyalagan, iaitu tertuduh kedua yang didakwa membunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi berhubung penemuan zink di sebuah sungai di Jalan Kenangan, Kampung Kelanang, Banting pada pukul 5.25 petang, 14 September tahun lalu.

Thilaiyalagan semasa di atas jambatan Sungai Kampung Endah pada 13 September tahun lalu juga berkata: ‘‘Kami buang kayu yang digunakan untuk bakar mangsa di kelapa sawit Sungai Arak.’’

Ketika 14 batang sisa kayu bakar ditemui di tempat pembuangan sampah Sungai Arak pada pukul 7.30 malam hari yang sama, Thilaiyalagan sekali lagi berkata: ‘‘Kayu ini digunakan bakar mereka.’’

Kata-kata tersebut dimaklumkan oleh pegawai soal siasat dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Cif Inspektor N. Govindan, 45, semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini.

Menurutnya, kata-kata tertuduh itu disebutkan kepadanya dalam bahasa Tamil.

Perkataan yang digunakan oleh pekerja ladang itu diterjemahkan secara terus oleh jurubahasa selepas Hakim Datuk Akhtar Tahir menerima permohonan peguam Manjeet Singh Dhillon agar ia disebut dalam bahasa asal.

Menurut saksi pendakwaan ke-32, beliau dan pasukannya menemu bual tiga tertuduh, Thilaiyalagan, R. Matan, R. Kathavarayan serta seorang lagi pekerja ladang, U. Suresh di bilik soal siasat lokap, Balai Polis Selayang antara pukul 12.10 tengah hari dan 4 petang, 11 September tahun lalu.

Hasil temu bual lanjut dengan Kathavarayan pada keesokan hari, beliau bersama pegawai dan anggota polis yang lain dipandu arah oleh Suresh dan Matan ke Ladang Gadong di Lot 2001, Kampung Layang, Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

‘‘Hasil pemeriksaan di kawasan itu, kami menemui satu penyodok tanah, serpihan tulang, sembilan kesan darah, enam kesan timbul cap jari, tujuh keratan atau potongan dawai.

‘‘Kami turut menemui dua puntung rokok, satu kayu kriket, sampel tanah berbau petrol, satu tong cecair letupan serta sarung dan potongan kusyen yang ada kesan darah,’’ jelas beliau.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20; Matan, 21; dan Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Menurut Govindan, semasa berada di Ladang Gadong pada pukul 3 petang, 12 September tahun lalu, Kathavarayan berkata: ‘‘Abu mayat buang ke Sungai Panchau. saya boleh tunjuk tempat tersebut.’’

Setelah dipandu arah oleh Thilaiyalagan dan Kathavarayan dan tiba di paip besar Air Selangor Tanjung Sepat, dakwa beliau, tertuduh keempat berkata:‘‘Ini adalah Sungai Panchau.’’

‘‘Pukul 5.45 petang semasa berada di Sungai Panchau, Kathavarayan berkata: ‘‘Saya buang tiga telefon bimbit mangsa dekat kunci air berhampiran Pasar Besar Banting.’’

‘‘Dengan dipandu arah oleh Kathavarayan dan Thilaiyalagan, kami dibawa ke kunci air Pasar Besar Banting dan di sana Kathavarayan berkata: ‘‘Di tempat ini, parit kunci air telefon bimbit dibuang’’,’’katanya.

Jelas saksi, semasa temu bual di bilik pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada pukul 3 petang, 13 September 2010, Kathavarayan berkata: ‘‘Kami buang tiga jam tangan mangsa di sungai berhampiran Kampung Endah. Tempat kami boleh tunjuk.’’

Dengan dipandu arah oleh Kathavarayan, Thiaiyalagan dan Suresh, pasukannya tiba di jambatan Sungai Kampung Endah pada pukul 4.35 petang dan Kathavarayan berkata: ‘‘Di sini kami buang jam tangan.’’

Pada prosiding hari ini, saksi turut mengecam barang-barang kes yang dijumpai di semua lokasi termasuk enam keping zink yang mempunyai kesan terbakar serta sisa kebakaran yang masih melekat padanya.

Perbicaraan yang masuk hari ke-11 bersambung esok.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Buruh simbah asid dihukum penjara 8 tahun, 4 sebatan



MOHAMMAD Hafiz Ismail di Mahkamah Seksyen, Temerloh, semalam.


TEMERLOH 26 Julai - Seorang buruh ladang dihukum penjara lapan tahun dan sebatan empat kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap dua beradik dengan menyimbah cuka getah terhadap kanak-kanak tersebut di Felda Jengka 9, Maran, tujuh hari lalu.

Mohammad Hafiz Ismail, 31, yang berbadan kurus dan memakai baju lokap kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan oleh Hakim Dazuki Ali terhadapnya yang menghadapi dua pertuduhan.

Lelaki itu mengaku menyebabkan kecederaan parah ke atas Syafiq Haikal Mat Safa Zaidi, 13, dan adiknya, Syaffiy Aiman, 10, dengan menyimbah cecair disyaki cuka getah di bahagian muka dan badan kedua-dua mangsa tersebut.

Kejadian didakwa berlaku berhampiran rumah beralamat No. 149, Felda Jengka 9 kira-kira pukul 7.30 malam dan 8.30 malam, 19 Julai lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, Mohammad Hafiz didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Dazuki menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan sebatan dua kali bagi setiap pertuduhan serta diperintahkan berjalan serentak, berkuat kuasa mulai tarikh tertuduh ditangkap pada hari kejadian.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Mohammad Hafiz yang tidak diwakili peguam bela merayu supaya dikenakan hukuman ringan kerana perlu menjaga ibunya di Felda Jengka 9 yang menghidap penyakit jantung.

"Saya perlu menanggung ibu yang sakit jantung dengan pendapatan hanya RM300 sebulan sebagai buruh ladang. Ayah saya pula sudah tiga tahun meninggal dunia," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Rashidi Abd. Rahim pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan yang sama.

Beliau juga meminta mahkamah mengambil kira kesan tindakan tertuduh yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan kekal sepanjang hidup mereka.

Mengikut fakta kes, pada masa kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan menaiki motosikal menuju ke rumah rakan mereka untuk mengulangkaji pelajaran.

Ketika melalui jalan di hadapan rumah tertuduh, tiba-tiba lelaki itu telah menyimbah sejenis cecair dipercayai cuka getah dan terkena badan serta muka kedua-dua mangsa.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Temerloh untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Pesawat tentera Maghribi terhempas, 78 maut


MAGHRIBI 26 Julai - Seramai 78 orang terbunuh, manakala tiga lagi cedera parah, apabila pesawat Hercules C-130 milik tentera terhempas di kawasan pergunungan di selatan negara ini, hari ini.

Agensi berita MAP melaporkan, pesawat pengangkut milik Tentera Diraja Maghribi itu terhempas berhampiran bandar Guelmim, 600 kilometer ke barat daya bandar Rabat.

Pesawat itu dalam penerbangan dari selatan bandar Agadir ke Laayoune di Sahara Barat membawa sembilan anak kapal, 60 anggota tentera dan 12 orang awam.

Ketiga-tiga mangsa yang terselamat dan 42 mayat telah ditemui dan dibawa ke hospital tentera berdekatan.

Menurut kenyataan tentera, kemalangan tersebut dipercayai disebabkan keadaan cuaca buruk.

Sumber Kementerian Dalam Negeri berkata, pesawat tentera itu juga digunakan untuk mengangkut ahli keluarga tentera dan digunakan di sekitar Sahara.

Seorang saksi berkata, terdapat kabus tebal di kawasan tersebut ketika nahas itu berlaku pada pukul 9 pagi waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia).

Ia merupakan nahas udara terburuk di Maghribi dalam tempoh beberapa dekad.

Kali terakhir ahas pesawat di Maghribi berlaku pada 1994 apabila 44 orang penumpang dan anak kapal pesawat Royal Air Maroc terhempas di barat daya bandar Agadir. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Suspek hadapi penjara 30 tahun



Suspek serangan bom kereta dan tembakan rambang Anders Behring Breivik (baju merah) diiringi seorang anggota polis menaiki kereta peronda polis selepas meninggalkan bangunan mahkamah di Oslo, kelmarin. - afp


OSLO 26 Julai - Polis Norway mungkin mendakwa suspek kejadian berkembar di Oslo, Anders Behring Breivik atas tuduhan 'jenayah menentang kemanusiaan' yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun.

Dakwaan terbaru ke atas lelaki berusia 32 tahun itu bermaksud dia akan menjalani hukuman penjara lebih lama berbanding 21 tahun yang dihadapinya sekarang atas dakwaan berkaitan keganasan, satu tempoh yang dirasakan rakyat Norway sebagai tidak cukup lama.

Pendakwa raya Christian Hatlo memberitahu akhbar Aftenpostenhari ini, dakwaan baru itu yang dikuatkuasakan mengikut satu peruntukan undang-undang pada 2008, bagaimanapun hanya satu kemungkinan.

"Polis buat masa ini hanya mendakwa suspek atas dakwaan keganasan, tetapi pertuduhan lain juga tidak boleh diketepikan. Cuma, keputusan akhir masih belum ditentukan lagi," katanya.

Sementara itu, polis Norway hari ini akan mengeluarkan senarai penuh nama 68 mangsa yang ditembak mati di pulau Utoya minggu lalu, kata Ketua Polis Oslo, Arnstein Gjengedal kepada stesen penyiar NRK. - AFP/dpa

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Pemandu treler maut elak babi hutan

ROMPIN 26 Julai - Seorang pemandu treler terbunuh selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dipercayai cuba mengelak seekor babi hutan di Kilometer 140, Jalan Kuantan-Seremban, di sini semalam.

Wong Tew Meng, 63, dari Chukai, Terengganu, maut ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Muadzam Shah dekat sini selepas mengalami cedera parah di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Johari Jahaya berkata, dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, mangsa yang memandu treler tanpa muatan dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Kuantan.

"Bagaimanapun, mangsa dikejutkan dengan kehadiran seekor babi hutan dipercayai dari semak berhampiran yang tiba-tiba berada di atas jalan raya menyebabkan dia cuba memberhentikan kenderaannya secara mengejut.

"Tindakan pemandu itu akhirnya memakan diri sendiri apabila treler yang dipandunya itu gagal dikawal dan terbabas di bahu jalan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Johari berkata, mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Muadzam Shah untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 2.30 petang semalam.

Mayat mangsa dituntut ahli keluarganya selepas selesai bedah siasat, katanya.

Utusan Malaysia Online - Pahang

Gara-gara sehelai baju dipenjara dua minggu

KUALA LUMPUR 26 Julai - Seorang bekas pengawal keselamatan dihukum penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah mencuri sehelai kemeja-T bernilai RM59.90 dari sebuah kedai pakaian di ibu negara, kelmarin.

Abdul Asintu, 31, mengaku melakukan perbuatan tersebut di kedai Reject Shop, Kompleks Pertama, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada pukul 3.35 petang, 25 Julai lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Ahmad mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda.

Majistret Aizatul Akmal Maharani memerintahkan hukuman penjara terhadap Abdul, yang tidak diwakili peguam bela, bermula dari tertuduh ditangkap iaitu pada hari kejadian.

Utusan Malaysia Online - Kota

Tukang cat ke tali gantung

Lelaki didapati salah edar ketamin

JOHOR BAHRU: Seorang tukang cat dari Batu Pahat dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi semalam, selepas didapati bersalah mengedar 18 kilogram (kg) ketamin, kira-kira tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Samsudin Hassan menjatuhkan hukuman itu ke atas Lau Ivan, 44, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap dua tuduhan ke atasnya.
Bagi tuduhan pertama, tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar sebanyak 1,662.81 gram ketamin di depan pintu lif tingkat 11, Blok B, Kondo Larkin Perdana, di sini, kira-kira jam 11.15 pagi pada 16 Disember 2008.
Dalam tuduhan kedua pula, dia didapati bersalah mengikut seksyen dan akta sama kerana mengedar dadah 16,383.21 gram ketamin di rumah bernombor B-1603, Tingkat 16, Blok B, Apartmen Sri Impian, Jalan Larkin Perdana 1, di sini, kira-kira jam 12.30 tengahari pada hari sama.

Tertuduh yang berkemeja-T lengan panjang berwarna biru muda serta seluar panjang berwarna putih itu kelihatan tenang di kandang tertuduh dan hanya mengangguk faham ketika Samsudin membacakan keputusan berkenaan.

Samsudin berkata, hujah pembelaan yang dikemukakan tertuduh menerusi peguam bela, Syed Ismail Syed Omar, gagal menimbulkan keraguan terhadap kes itu, sekali gus menyebabkan mahkamah mendapati tertuduh bersalah.

Pendakwaan kes terbabit dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azlan Shah Mohd Allias.
Berita Harian Online | Tukang cat ke tali gantung

Perangkap ‘Road Runner’

Sekurang-kurangnya empat motosikal pancit kena paku dalam sehari di Prai

BUTTERWORTH: Kegiatan menabur paku semakin menjadi-jadi apabila beribu-ribu paku berukuran lebih enam sentimeter ditemui di sepanjang dua kilometer (km) di Jalan Perusahaan Maju Empat dan Tingkat Perusahaan Enam, Prai dekat sini,

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu dipercayai dilakukan pihak tertentu untuk memerangkap pengguna kenderaan yang menggunakan laluan berkenaan terutama penunggang motosikal yang rata-ratanya pekerja kilang.
Difahamkan, dalam tempoh sehari sekurang-kurang empat motosikal menjadi ‘mangsa’ apabila tayar kenderaan mereka pancit sebelum didatangi individu bermotosikal membantu menukar tayar dengan mengenakan sejumlah bayaran.
Penunggang motosikal yang mahu dikenali sebagai Rahmat, 40, berkata perbuatan itu mungkin dilakukan individu digelar ‘Road Runner’ yang mengambil upah menukar tayar pengguna motosikal yang pancit tayar untuk mengaut keuntungan berlipat ganda.

"Apabila motosikal pengguna pancit, mereka akan sampai dan menawarkan perkhidmatan menukar tayar pada harga berlipat ganda daripada kebiasaan. Mangsa yang tiada pilihan terpaksa mengambil perkhidmatan mereka.

"Perbuatan mereka yang mencari untung tanpa mempedulikan kesukaran orang lain amat dikesali," katanya kepada Berita Harian.

Penunggang motosikal, Arshadi Zakaria, 44, berkata walaupun menggunakan tayar bertiub dan motosikal boleh digunakan walaupun tercucuk paku, dia terpaksa menukar tayar tiga kali dalam tempoh sebulan sejak kebelakangan ini.
Katanya, kejadian terbaru berlaku membabitkan rakannya yang dalam perjalanan ke tempat kerja menyebabkan rakannya yang membonceng motosikal seorang diri hampir terbabas.

"Boleh dikatakan hampir empat kali sehari kami akan melalui jalan ini kerana ini saja laluan yang ada untuk ke tempat kerja dan hampir setiap hari juga dapat melihat ada motosikal tayarnya akan pancit.

"Atas rasa tanggungjawab, dalam perjalanan pulang saya mengutip paku-paku dan terkejut jumlahnya beribu-ribu dalam pelbagai saiz hingga mencecah berat hampir dua kilogram," katanya yang mahukan tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa.

Akhbar ini pernah melaporkan kekerapan berlaku kejadian tayar motosikal pancit di atas Jambatan Pulau Pinang menyebabkan Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB) mengambil tindakan dengan membuat kerja pembersihan sekurang-kurangnya dua kali sehari.
Berita Harian Online | Perangkap ‘Road Runner’

Mahkamah gantung prosiding kes khalwat

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang menggantung prosiding Mahkamah Rendah Syariah yang sepatutnya bermula semalam, bagi perbicaraan kes khalwat Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, dengan seorang wanita di sebuah hotel di Batu Feringgi, April lalu.

Hakim Syarie Mohammad Zamri Roslan membuat keputusan itu bagi membolehkan menunggu keputusan semakan yang difailkan oleh peguam Salim, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, pada 21 Jun lalu.
“Saya berpendapat mahkamah ini perlu memberi peluang kepada kedua-dua pihak termasuk Ketua Pendakwa Syarie, Mohd Zulkhairi Aziz untuk memperdengarkan hujah masing-masing sebelum keputusan dibuat sama ada membenarkan semakan ini atau tidak.
“Demi keadilan semua pihak, saya menggantung sementara semua prosiding di Mahkamah Rendah Syariah bagi menunggu keputusan semakan di mahkamah ini,” katanya.

Mohammad Zamri dalam keputusannya itu menetapkan 15 September depan untuk membolehkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan untuk menentukan sama ada keputusan yang dibuat mahkamah rendah itu betul atau tidak mengikut undang-undang.

Terdahulu semakan itu difailkan oleh Salim yang tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya yang membenarkan perbicaraan kes itu diteruskan walaupun beliau mempunyai satu lagi kes di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Salim mempunyai kes membabitkan kebenaran berpoligami dan pengesahan perkahwinannya yang dilakukan di selatan Thailand yang akan didengar pada 2 Ogos ini.
Dalam prosiding semalam, Salim yang berkemeja kelabu ditemani isterinya manakala Nur Diayana Norslan, 29, memakai baju kurung gelap yang juga bekas pembantu peribadi kepada Salim dilihat hanya mendiamkan diri.
Berita Harian Online | Mahkamah gantung prosiding kes khalwat

Penyelia syarikat feri kena tembak


pix_gal0
Dua suspek bermotosikal larikan RM30,000


ALOR SETAR: Seorang penyelia syarikat perkhidmatan feri Langkawi, maut selepas ditembak dua lelaki bermotosikal yang turut melarikan sebuah beg mengandungi wang hasil jualan tiket feri berjumlah RM30,000 yang dibawa mangsa, dalam kejadian samun berhampiran rumahnya di Perumahan Awam Taman Sri Putera, Kuala Kedah, di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam kelmarin, Zamzani Ghazali, 37, dalam perjalanan pulang ke rumahnya dengan motosikal sejurus mengutip wang hasil jualan tiket syarikatnya.
Bagaimanapun, sebaik memasuki lorong berhampiran rumahnya, motosikal mangsa dipercayai dihimpit sebuah motosikal lain yang dinaiki dua lelaki sebelum seorang daripada suspek melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa.
Sejurus menembak mangsa, kedua-dua suspek melarikan beg sandang yang dibawa mangsa, dipercayai berisi wang tunai bernilai RM30,000.

Mangsa yang parah di badan, dipercayai mati ketika dikejarkan ke Hopital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

Difahamkan, mangsa yang berkhidmat hampir 15 tahun dengan Feri Line Ventures Sdn Bhd membawa wang hasil kutipan feri itu pulang bersamanya untuk disimpan di rumah, sebelum diserahkan kepada pihak pengurusan syarikat, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner, Adzaman Mohd Jan berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya percaya suspek adalah dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dengan memakai topi keledar ketika melakukan jenayah terbabit.
Katanya, polis kini mengumpul maklumat dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil membuat laporan untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian. Kita percaya kes ini bermotifkan samun kerana suspek turut melarikan sejumlah wang selepas menembak mangsa,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Farahdina Ghazali, 32, yang ditemui di Jabatan Forensik HSB berkata, suaminya keluar rumah kira-kira jam 6.45 petang kelmarin dan memaklumkan mahu pergi mengambil wang hasil jualan tiket feri syarikatnya.

Katanya, dia sempat menghubungi suaminya bagi memaklumkan yang mangsa terlupa membawa bersama beg duitnya, namun mangsa menjelaskan dia hanya keluar sebentar.

“Pada jam 7.30 malam (kelmarin) ada orang memaklumkan kepada saya yang suami saya ditembak dan saya amat terkejut mendengar berita itu.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik, selain berperwatakan ceria,” katanya yang mempunyai empat anak berusia empat hingga 10 tahun hasil perkongsian hidup dengan mangsa. Berita Harian Online | Penyelia syarikat feri kena tembak