Search This Blog

Tuesday, July 26, 2011

Wanita dan bayi selamat dalam kebakaran


KUALA TERENGGANU: Seorang wanita dalam pantang dan dua anaknya termasuk bayi yang baru berusia 22 hari, terselamat dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Padang Tengir, Manir, di sini hari ini.
Kejadian berlaku pada 9.30 pagi tadi, ketika Nor Azizah Yusof, 42, sedang menyusukan bayinya. Turut berada bersamanya seorang lagi anaknya berusia tiga tahun.

"Apabila saya melihat api dari bilik sebelah, saya terus membawa anak-anak saya keluar. Saya cuba untuk masuk semula ke dalam rumah untuk menyelamatkan dokumen penting tetapi api yang sedang marak menghalang saya untuk melakukan demikian," katanya. Suaminya, Wan Ramli Wan Muda, 41, yang bekerja sebagai tukang kayu, keluar bekerja. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Mohamed Kassim berkata 14 anggota bersama tiga jentera dapat mengawal kebakaran dalam masa lima minit.

myMetro | Wanita dan bayi selamat dalam kebakaran

Buruh ladang dipenjara lapan tahun, empat sebatan

TEMERLOH: Seorang buruh ladang dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyimbah cuka getah terhadap dua adik beradik pada 19 Julai lalu.

Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohamad Hafiz Ismail, 31, mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah kepada Syafiq Haikal Mat Safa Zaidi, 13 dan Syaffiy Aiman, 10, dengan menyimbah cecair disyaki cuka getah di bahagian muka dan badan mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di atas jalan raya berhampiran rumah bernombor 149, Felda Jengka 9, Maran antara pukul 7.30 malam dan 8.30 malam pada 19 Julai lepas mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pertama (menyimbah cuka kepada Syafiq Haikal) tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama 8 tahun dan dua sebatan manakala bagi pertuduhan kedua (menyimbah cuka kepada Syaffiy Aiman) dia juga dijatuhi hukuman penjara selama 8 tahun dan dua sebatan.

Dazuki bagaimanapun memerintahkan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak.

Terdahulu, Mohamad Hafiz yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya kerana dia perlu menanggung ibunya yang menghidap penyakit jantung.

Timbalan Pendakwa Raya, Rashidi Abd Rahim bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berikutan mangsa bukan sahaja cedera tetapi turut mengalami trauma akibat kejadian itu.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian, kedua-dua beradik berkenaan sedang dalam perjalanan ke rumah rakan mereka untuk mengulangkaji pelajaran dengan menaiki motosikal sebelum disimbah cecair berkenaan oleh tertuduh. - BERNAMA
Berita Harian Online | Buruh ladang dipenjara lapan tahun, empat sebatan

Penculikan palsu, dua suspek ditahan

SHAH ALAM - Polis menahan dua suspek termasuk seorang ”mangsa” yang dipercayai terbabit dalam kes merancang penculikan palsu dengan memperdaya bapa ”mangsa” untuk membayar wang tebusan sebanyak AS$500,000 (kira-kira RM1.5 juta) pada 23 Julai lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata ”mangsa” yang juga suspek itu adalah wanita berumur 23 tahun manakala seorang lagi suspek adalah teman lelakinya warga Nigeria berumur lingkungan 20-an.
Mohd Adnan berkata, bapa wanita itu menerima panggilan daripada seorang lelaki kira-kira 3 petang 21 Julai lepas dengan mengatakan anaknya bersama teman lelakinya diculik dan hanya akan dibebaskan jika wang tebusan sebanyak itu diserahkan.
Beliau berkata, bapa wanita itu berada di Kuching, Sarawak ketika menerima panggilan mengenai penculikan itu dan terus membuat laporan polis pada hari yang sama.
"Polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporan pada hari itu dan berjaya menahan suspek wanita itu bersama teman lelakinya di sebuah lobi hotel di Pulau Pinang pada 23 Julai lepas.
"Hasil siasatan mendapati pasangan kekasih itu menuntut di sebuah universiti swasta di negara ini. Mereka merancang penculikan palsu itu untuk meminta wang tebusan tersebut kononnya untuk perbelanjaan harian dan membiayai kos pengajian mereka,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.
Kosmo! Online - Terkini

Penyelia feri mati ditembak dalam rompakan

ALOR SETAR 26 Julai – Seorang penyelia syarikat perkhidmatan feri ke Langkawi mati ditembak, dipercayai satu kejadian rompakan, berhampiran rumahnya di Taman Desarina, Kuala Kedah dekat sini malam tadi.
Mangsa Zamzuri Ghazali, 36, ditembak kira-kira 300 meter dari rumahnya sewaktu menunggang motosikal ketika pulang dari Jeti Kuala Kedah untuk ke rumahnya.
Mangsa dipercayai membawa sebuah beg mengandungi wang hasil jualan tiket syarikat tempat dia bekerja.
Jiran mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Zam berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira 7.45 malam itu, dia bersama dua rakannya berada kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.
Katanya ketika itu mereka sedang bersiap-siap untuk pulang ke rumah setelah bermain sepak takraw dan azan Maghrib baru selesai berkumandang.
Zam berkata, tiba-tiba dia terdengar tiga das tembakan di hadapan mereka lalu bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa terbaring tidak bermaya dan terdapat darah dan kesan tembakan di dada kanan mangsa.
"Sebelum itu saya melihat dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal mengambil beg yang dibawa mangsa lalu memecut laju ke arah Kuala Kedah,” katanya ketika ditemui lewat malam tadi.
Zam berkata, dia terus membuat panggilan kecemasan ke Balai Polis Kuala Kedah bagi memaklumkan kejadian itu dan kemudian membawa mangsa ke hospital dengan menggunakan kenderaan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).
Zamzuri meninggalkan seorang balu berusia 32 tahun dan empat orang anak yang berusia antara tiga hingga sembilan tahun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - BernamaKosmo! Online - Terkini

Dua kereta bertembung



MUAR - Seorang lelaki dan wanita maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung dalam kejadian kemalangan ngeri di Jalan Salleh awal pagi, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 pagi, mangsa yang terbunuh ialah Chow Sow Kew, 41, dan Koh Saw Meng, 41.

Sow Kew yang berasal dari Yong Peng, Batu Pahat datang ke Muar dengan menaiki kereta Proton Wira bersama seorang rakannya.

Dipercayai kenderaan Sow Kew dari arah Muar menghala ke Jalan Pintasan Muar telah bertembung dari arah bertentangan dengan sebuah kereta Proton Iswara yang dipandu oleh Saw Meng.

Manakala, Saw Meng dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Abong selepas makan malam bersama rakannya di sebuah restoran berhampiran Taman Putera Indah, Jalan Salleh, di sini.

Akibat pertembungan tersebut, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan kemudiannya dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan yang lain.

Sementara itu, rakan Sow Kew yang tidak dikenal pasti identitinya kini dirawat di HPSF berikutan kecederaan yang dialaminya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SH

Bekas anggota polis maut



IPOH – Seorang bekas anggota polis yang parah selepas dibelasah dengan batu-bata dan kerusi oleh sekumpulan enam lelaki di sebuah restoran di Taman Desa Pakatan di sini, Sabtu lalu meninggal dunia kelmarin.

S Sunther, 50, disahkan meninggal dunia kira-kira 8.15 pagi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas dimasukkan lebih 24 jam kerana mengalami kecederaan teruk di kepala.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 pagi, mangsa yang minum sendirian didatangi oleh sekumpulan lelaki dan berlaku pertikaman lidah di situ.

Bagaimanapun, mangsa sempat melarikan diri kira-kira 10 meter dari kawasan berkenaan namun berjaya ditangkap yang kemudian terus dipukul beberapa kali.

Anak lelakinya, S Yoges, 21, berkata, dia menerima panggilan dari orang ramai yang menyatakan ayahnya belasah oleh sekumpulan lelaki tidak jauh dari restoran berkenaan.

“Tiba di tempat kejadian, saya jumpa ayah terbaring tidak sedarkan diri dengan kepala berdarah. Dengan bantuan beberapa anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela), kami menghantar ayah ke hospital. Sebelum itu, ayah ada beritahu untuk minum di kedai berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Superintendan Azisman Alias berkata, ekoran kejadian tersebut, polis berjaya menahan dua lelaki di sekitar kawasan Taman Lapangan di sini bagi membantu siasatan kes.

“Suspek berusia 30 dan 18 tahun itu kini direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

“Motif pembunuhan masih disiasat. Usaha mengesan dan tangkapan sedang dijalankan setelah empat suspek lain dikenal pasti. Selepas siasatan lengkap, suspek akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
SH

Dua maut digilis lori sawit



HUTAN MELINTANG - Dua remaja maut digilis lori muatan buah kelapa sawit dalam satu kejadian pagi semalam, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 6.40 pagi itu, kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z dan sebuah lori jenis Hino.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mangsa dikenali sebagai Ahmat Tan, 20, berasal daripada Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, Selangor manakala pemboncengnya dikenali sebagai Noraini Zulkafli, 20, dari Bandar Baru Jempol, Johor, maut di tempat kejadian.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila kedua-dua mangsa menunggang motosikal dari arah Bagan Datoh ke Hutan Melintang dipercayai cuba memotong kenderaan hadapan mereka, di sebelah kiri bahu jalan.

“Cubaan memotong kenderaan di hadapan mereka gagal apabila terbabas sendiri lalu jatuh ke tengah jalan sebelum dilanggar sebuah lori daripada arah Bagan Datoh ke Hutan Melintang.

“Disebabkan jarak terlalu dekat, lori yang dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun itu menggilis dan menyebabkan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, Noraini mengalami kecederaan parah di bahagian kepala manakala Ahmat putus kaki kiri dan cedera parah di bahagian dada, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat.

Katanya, pihaknya kini mengesan saksi kejadian kemalangan itu bagi membantu siasatan mereka.

“Kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu, boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Hilir Perak, Inspektor Azli di talian 05-6299222 untuk sebarang maklumat mengenai kejadian kemalangan itu.

“Pihak kami akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SH

Diarah berkelakuan baik kerana miliki motor curi



IPOH – Seorang lelaki diperintahkan berkelakuan baik selama dua tahun dengan bon cagaran RM800 oleh Mahkamah Majistret Ipoh, di sini, semalam setelah mengaku salah atas pertuduhan memiliki sebuah motosikal curi bulan lalu.

Majistret Nurul Akmal Mustafa Kamal menjatuhkan hukuman ke atas Helmi Zaharuddin, 31, berdasarkan peruntukan Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah.

Helmi mengaku bersalah memiliki motosikal bernilai RM2,000 milik R Letcgumanan, 48, pada 5.30 petang, 23 Jun lalu di Tanjung Rambutan di sini.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun dan denda.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang buruh mengaku tidak bersalah dan minta bicara atas tuduhan memiliki sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda bernilai RM5,900 milik Syed Umar Farizzuan Syed Farman, 30.

Tertuduh, T Jhagan, 29, bersama seorang rakan yang masih bebas, melakukan kesalahan di hadapan kedai runcit, Taman Rishah pada jam 10.50 pagi, 22 Julai lalu. Jhagan didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Nurul Akmal menetapkan jaminan sejumlah RM2,800 dengan seorang penjamin dan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 2 Ogos depan. Kedua-dua kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nor Abdurrahim.
SH

Ejen insurans didenda RM2,000 menyamar polis



GEORGETOWN - Seorang ejen insurans didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret semalam setelah mengaku bersalah menyamar sebagai anggota polis dari Balai Polis Datuk Keramat di kafe siber berdekatan Jalan Ayer Itam, di sini, 10 hari lalu.

Rizal Hashim, 30, dari Paya Terubong, Relau, ditahan kerana cubaan meminta wang daripada pekerja KS Internet Cafe, Lee Kok Bon, 37, kira-kira jam 10 malam, 16 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, Majistret Siti Salwa Ja’afar memerintahkan Rizal membayar denda RM2,000 atau tiga bulan penjara.

Dalam rayuan, Rizal memohon tidak dipenjarakan dengan alasan menanggung lima ahli keluarga termasuk ibunya.

Mengikut fakta kes, Rizal yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis meminta sedikit wang daripada pekerja kafe siber dengan alasan ayahnya meninggal dunia.

Pengadu turut mensyaki tertuduh menyamar sebagai polis yang kemudian cuba melengah-lengahkan masa lalu menelefon polis.

Kira-kira jam 10.45 malam, dua anggota polis ke kafe siber berkenaan menahan Rizal dan membuat pemeriksaan badan serta tidak mempunyai apa-apa barang salah.

Bagaimanapun, siasatan awal mendapati Rizal sebelum ini pernah dua kali meminta wang tanpa mengemukakan sebarang identiti sebagai polis.
SH

Libas kepala bapa guna wayar



SIK - Mahkamah Majistret Sik semalam, menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan serta dua sebatan terhadap seorang lelaki atas kesalahan mencederakan bapa kandungnya tahun lalu.

Azizan Che Romli, 34, dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Che Romli Mat, 72, kira-kira jam 8 pagi, 11 April tahun lalu di sebuah kedai tidak bernombor, di hadapan titi Batu 5, Sik, dengan menggunakan wayar pengecas bateri (diguna untuk melibas mangsa).

Azizan didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli berkata, setelah mendengar semua keterangan, mahkamah mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes manakala pendakwa berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah dan Azizan disabitkan dengan pertuduhan.

“Keterangan dua saksi yang mendakwa tidak nampak kesan cedera pada mangsa tidak dapat diterima oleh mahkamah.

“Penggunaan wayar pengecas bateri boleh mengundang maut kerana ia melibatkan bahagian kepala selain faktor usia mangsa ketika kejadian,” katanya.

Sementara itu, tertuduh yang mempunyai tiga rekod kesalahan lampau, dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman denda atas alasan bekerja sendiri, menyara isteri dan tiga anak serta sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahannya.

Mahkamah bagaimanapun menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan serta dua sebatan, manakala permohonan tertuduh agar pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menanti proses rayuan tidak dibenarkan mahkamah.

Azizan diwakili peguam Rafidi Mohamad manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syaiful Akmal Mohd Razi.
SH

2 remaja dituduh rogol gadis bawah umur



SIK - Dua remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sik, semalam, atas tuduhan merogol seorang gadis berusia 15 tahun, di dalam sebuah pondok rehat di Kampung Tandop Gajah Putih, Mukim Jeneri, April lalu.

Kedua-dua remaja, berusia 15 dan 18, dituduh melakukan perbuatan itu kira-kira jam 11 malam, 23 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Sewaktu pertuduhan dibacakan, kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
SH

Abdullah takut tengok wanita



AIR PUTEH – ‘Dia akan berlari jika terjumpa atau dikunjungi mana-mana wanita ke rumahnya’ itulah cerita beberapa penduduk di sekitar Kampung Paya Mak Inson Lama mengenai keunikan seorang warga emas di kampung itu kepada wartawan Sinar Harian semalam.

Abdullah Chin, 74, tidak pernah mendirikan rumah tangga menyebabkan dia hidup seorang diri di dalam hutan memandangkan kedua ibu bapanya sudah meninggal dunia sekian lama.

Sinar Harian terpaksa berjalan masuk ke tempat tinggalnya kira-kira 500 meter daripada jalan utama bagi menemui warga emas itu sambil ditemani beberapa penduduk kampung yang menghubungi Sinar Harian bagi memaklumkan perkara itu.

Sinar Harian difahamkan beberapa penduduk kampung yang bersama Sinar Harian ketika itu bahawa Abdullah masih takut untuk menemui mana-mana wanita yang mengunjungi rumahnya walaupun jiran kawasan itu menyebabkan penduduk kawasan itu terpaksa turut serta dalam kunjungan ini kerana bimbang Abdullah akan melarikan diri.

Namun bertuah bagi seorang jiran, Asmah Hasyim, 52, yang satu-satunya wanita yang boleh menemui Abdullah di rumah itu memandangkan Asmah adalah kenalan Abdullah sejak kecil lagi menyebabkan warga emas itu tidak malu atau melarikan diri jika dikunjungi rakannya itu.

Ketika ketibaan Sinar Harian di rumah itu, kelihatan Abdullah sedang menjamu hidangan tengah hari dan beberapa penduduk kampung segera memaklumkan mengenai kehadiran wartawan supaya Abdullah tidak malu atau melarikan diri.



Sikap luar biasa

MENURUT Asmah, Abdullah mempunyai sikap luar biasa terhadap wanita sejak usia muda lagi, namun dia lega kerana Abdullah tidak pernah melarikan diri ketika dia mengunjungi rumahnya.

“Hanya saya seorang sahaja yang sering datang menjenguk dia (Abdullah) di sini kerana dia tidak mempunyai keluarga atau saudara mara menyebabkan saya bersimpati terhadap dirinya.

“Sikap takut dan malu kepada wanita itu sudah diketahui oleh semua penduduk kampung kawasan ini menyebabkan jiran-jiran lain tidak mahu datang ke rumahnya kerana setiap kali mereka datang dia pasti akan melarikan diri,” katanya.

Asmah berkata, sikap takut kepada wanita itu kemungkinan terjadi ketika penduduk kampung berusaha mencari jodoh untuknya ketika muda dan sejak itu sikap takut kepada golongan wanita semakin jelas dilihat.

“Saya melihat Abdullah akan tunduk ketika menaiki basikal ke tempat kerja satu masa dahulu dan kini jika mana-mana wanita yang datang ke rumahnya pasti dia akan melarikan diri.

“Saya akan segera ke rumahnya jika mendapati mana-mana wanita berjalan menuju ke rumahnya supaya saya boleh memaklumkan lebih awal mengenai sikap Abdullah kepada mereka itu bagi memastikan mereka boleh menemui Abdullah jika saya turut berada di rumah itu,” katanya.


Perlu bantuan JKM

KEHIDUPAN Abdullah sebatang kara di dalam hutan itu menyebabkan beberapa penduduk kampung begitu bersimpati terhadap keadaannya yang tidak pernah mendapat bantuan daripada mana-mana pihak walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah itu.

Abdullah memaklumkan bahawa sebelum ini dia terpaksa bekerja mengambil upah memotong rotan untuk menampung keperluan hariannya di rumah itu memandangkan dia tidak mempunyai sumber pendapatan lain.

“Saya menetap di hutan itu lebih 50 tahun di sebuah pondok usang namun atas simpati jiran mereka membantu dengan cara gotong-royong membina rumah ini sejak 10 tahun lalu.

“Saya akan menggunakan basikal untuk pergi ke mana-mana dan tempat kerja yang jarak lebih 10 kilometer daripada rumah, namun disebabkan faktor usia yang semakin meningkat dan masalah kesihatan akibat dipatuk ular di bahagian tangan seminggu lalu, menyebabkan saya hilang sumber pendapatan,” katanya.

Katanya, pendapatan kurang RM10 sehari yang diperolehnya ketika bekerja dahulu digunakan sedikit demi sedikit untuk menampung keperluan dirinya di rumah itu sambil dibantu Asmah yang sering mengunjunginya bagi bertanya khabar dan menghantar makanan.

“Saya akan memasak nasi sendiri dan akan memasak ikan masin sebagai lauk, namun kadangkala Asmah akan datang menghantar masakan ikan segar kepada saya.

“Lebih dua bulan saya tidak lagi bekerja dan hanya menghabiskan hari-hari saya di rumah ini sambil bercucuk tanam, namun jika sunyi saya akan mendengar radio yang menjadi teman saya,” katanya.

Sementara itu, Asmah berkata, dia berharap pihak berkenaan dapat meluluskan permohonan bantuan bulanan Abdullah kerana pada masa kini warga emas itu begitu memerlukan bantuan berbanding sebelum ini Abdullah enggan memohon bantuan daripada pihak berkenaan kerana masih mampu bekerja walaupun diminta jiran berbuat demikian.



Tiada bekalan air, elektrik

SUDAHLAH menetap seorang diri di pinggir hutan, namun terpaksa bermalam di rumah itu dengan bergantung kepada cahaya pelita kerana rumahnya itu tidak dibekalkan elektrik menyebabkan dia sentiasa takut, namun tidak mampu berbuat apa-apa kerana memahami dirinya serba kekurangan.

Difahamkan lagi, Abdullah hanya bergantung kepada bekalan air perigi sejak menetap di situ kerana kemudahan air paip turut tidak diperoleh di rumahnya itu.

Dalam lawatan itu, Sinar Harian turut dimaklumkan penduduk bahawa Abdullah tidak pernah dilawati mana-mana pemimpin atau wakil rakyat kawasan itu kerana memahami kemungkinan kehidupan Abdullah di hutan itu tidak diketahui pihak berkenaan memandangkan dia tidak pernah mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) sejak usianya meningkat.
SH

Edar dadah, lelaki dihadapkan ke mahkamah



SIK - Seorang lelaki dihadapkan Mahkamah Majistret Sik, semalam, atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 25.88 gram, yang terkandung dalam tujuh peket plastik lut sinar, akhir bulan lalu.

Mohd Fazil Hussain, 32, didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.20 petang, 21 Jun lalu, di Kampung Charok Sireh, dan dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, Mohd Fazil boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama Pindaan 1983, yang membawa hukuman mati.

Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syaiful Akmal Mohd Razi.
SH

Tergamam lihat mayat abang hampir reput



SEREMBAN – Seorang anggota tentera tidak dapat melupakan keadaan mayat abangnya, Mohd Sopian Mustafa, 34, yang ditemui dalam lubang sedalam hampir satu meter di sebuah ladang getah di sekitar Felda Pasir Besar, Gemas, Tampin, awal pagi semalam.

Mohd Yatim, 29, berkata, dia mula berasa bimbang sebaik sahaja menerima maklumat daripada pihak polis mengenai kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu mangsa ditemui di lokasi berkenaan, kira-kira jam 12.20 tengah malam, kelmarin.

“Tanpa membuang masa, saya segera mencari di sekitar kawasan berkenaan dan ternampak lubang terletak kira-kira 50 meter daripada kereta abang saya yang ditutup dengan daun kering.

“Tidak dapat digambarkan betapa tergamamnya saya apabila menemui mayat abang dalam keadaan hampir reput dan kepalanya hampir terbelah,” katanya di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar, dekat sini, semalam.

Menurutnya, lebih menyedihkan apabila leher abangnya dilihat hampir putus dan terdapat kesan tetakan pada anggota badan mangsa termasuk pergelangan tangan serta telinga.

Katanya, mangsa ditemui berpakaian lengkap tetapi dompet dan telefon bimbitnya tiada di lokasi terbabit.

“Abang saya adalah anak kedua daripada enam beradik dan kali terakhir kami berjumpa pada petang Jumaat lalu,” katanya.

Dalam pada itu, ibu mangsa, Fauziah Ahmad, 53, berkata, Mohd Sopian memberitahu mahu menemui seseorang sebelum keluar dari rumah mereka di Kampung Temeris, Bahau dekat Jempol, kira-kira jam 1 pagi, Sabtu lalu.

Katanya, dia dan suami, Mustafa Ali, 59, mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila mangsa tidak pulang ke rumah lebih sejam kemudian.

“Suami saya cuba menghubungi telefon bimbit Mohd Sopian tetapi selepas 20 kali mendail, dia tidak menjawab.

“Kemudian, kami membuat laporan polis berhubung kehilangan anak kami kerana bimbang keselamatannya,” katanya.

Menurutnya, kebimbangannya bertukar menjadi igauan ngeri sebaik sahaja dimaklumkan penemuan mayat mangsa yang dipercayai dibunuh.

“Pemergian Mohd Sopian amat memilukan kerana Allahyarham seorang anak yang baik dan suka menolong orang dalam kesusahan.

“Setahu saya, arwah juga tidak mempunyai musuh. Dia juga enggan berkahwin kerana mahu menjaga saya selagi dia masih hidup,” katanya.

Jenazah Allahyarham Mohd Sopian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temeris, petang semalam.
SH

Denda RM20,000 simpan kicap tiruan



SEREMBAN – Seorang pemilik kedai borong didenda RM20,000 atau sebulan penjara setelah mengaku bersalah memiliki 3,840 botol kicap tiruan menggunakan jenama Cap Kipas Udang di Mahkamah Sesyen Seremban, dekat sini, semalam.

Tertuduh, Ng Kok Chin, 53, didakwa melakukan kesalahan itu semasa serbuan dijalankan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri di sebuah premis di Jalan Tuanku Antah dekat sini, kira-kira jam 1 petang, 13 Disember lalu.

Kok Chin yang tidak diwakili peguam dituduh di bawah Seksyen 3(1) (b) Akta Perihal Dagangan 1972 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 18 (1) akta sama memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Ibrahim Md Yunus di depan Hakim Mazilah Manap.

Dalam rayuannya, Kok Chin memohon mahkamah memberinya peluang kerana dia tidak tahu semua kicap terbabit adalah tiruan.

Menurutnya, kesalahan itu pertama dilakukannya sejak berniaga 25 tahun lalu dan dia perlu menyara tiga anak.

Bagaimanapun, Mazilah dalam penghakimannya berkata, tertuduh bertanggungjawab memeriksa barangan dihantar pembekal dan perlu berhati-hati menjalankan urus niaga.

“Hukuman ini juga sebagai peringatan kepada peniaga lain agar mematuhi undang-undang,” katanya.
SH

Kereta ditemui di ladang getah



TAMPIN – Persoalan di sebalik kehilangan seorang ejen pekerja asing terjawab apabila mayatnya ditemui dalam lubang di ladang getah Peringkat Tiga, Felda Pasir Besar, Gemas dekat sini, kira-kira jam 1 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, mangsa, Mohd Sopian Mustafa, 34, dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas didapati tidak pulang sejak keluar menjalankan urus niaga getah, Sabtu lalu.

“Keluarga mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Polis Dangi, Kuala Pilah, kira-kira jam 12.40 tengahari, Ahad lalu.

“Pada awal pagi tadi (semalam), pihak polis bergegas ke ladang getah terbabit setelah menerima maklumat daripada adik mangsa mengenai penemuan kereta jenis Perodua Kancil digunakan Mohd Sopian di lokasi berkenaan,” katanya ketika mengesahkan kejadian di sini, semalam.

Menurutnya, gerakan mencari yang dilancarkan berjaya menemui mayat mangsa ditutup dengan daun dalam lubang sedalam hampir satu meter di ladang getah terbabit.

Katanya, pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati mangsa cedera pada bahagian kepala dan badan serta terdapat kesan tetakan pada tangannya.

“Bagaimanapun tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat mangsa dan identiti mangsa dikenal pasti menerusi pengecaman oleh keluarganya.

“Selain itu, wang tunai kira-kira RM3,000 dikatakan dibawa mangsa ketika keluar rumah turut tidak ditemui,” katanya.

Kooi Cheang berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, Asisten Superintendan Mohd Safari Sidik menerusi talian 06-441 1222 atau balai polis berhampiran,” katanya.
SH

Tiga peragut ‘gatal’ diberkas



PUCHONG – Berpura-pura mengurat mangsanya sebelum melarikan barangan berharga, itu antara taktik terbaru tiga peragut kepada mangsa wanita yang menjadi sasarannya.

Bagaimanapun, tidak sampai lima minit menikmati hasil yang diperoleh, tiga peragut terbabit berjaya diberkas dua anggota polis yang kebetulan melakukan rondaan cegah jenayah di lokasi berkenaan semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.05 pagi itu, kedua-dua mangsa dikatakan menaiki sebuah motosikal di Jalan Kinrara Puchong Batu 8 sebelum didatangi tiga lelaki menaiki dua motosikal.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Abd Razak Elias berkata, mangsa memberitahu suspek yang menunggang motosikal dengan perlahan di sebelahnya sebelum itu berpura-pura mengurat mereka berdua sebelum rakannya yang membonceng melakukan ‘kerja’ melarikan beg.

Katanya, terkejut dengan kejadian itu mangsa yang bernasib baik terus memaklumkan kepada dua anggota polis Koperal Mohd Faidil Haysmi Heesham dan Koperal Muhamad Rashidi Yousoh yang kebetulan bertugas di kawasan berhampiran.

“Bertindak atas maklumat itu, anggota polis peronda terus mengejar suspek kira-kira 20 meter sehingga ke Jalan Bangau Puchong Jaya,” katanya.

Abd Razak berkata, berlaku pergelutan antara semua suspek berusia lingkungan 20-an dengan anggotanya sebelum ketiga-tiganya berjaya dicekup.

“Barang milik mangsa berjaya diperoleh dan hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya positif dadah jenis Methamphetamine.

“Siasatan akan diteruskan untuk mengenal pasti penglibatan suspek dan kesemuanya akan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
SH

Dua lelaki terkejut jumpa tengkorak ketika berjoging



HULU LANGAT – Aktiviti riadah dua lelaki terganggu seketika apabila terlihat objek misteri seakan-akan tengkorak ketika berjoging di tepi jalan di Taman Lingkaran Nur, Sungai Long, Kajang di sini, semalam.

Rozilam Mohd Hussin berkata, pada mulanya rakannya memaklumkan mengenai objek misteri dilihatnya.

Menurutnya, rakannya yang pada mulanya menganggap perkara itu hanyalah gurauan akhirnya mengambil keputusan untuk melihat dengan lebih dekat dan terkejut apabila mendapati ia adalah tengkorak manusia

“Ketika sedang berjoging di laluan berkenaan rakan memberitahu ada ternampak objek misteri seakan-akan tengkorak, namun pada mulanya saya tidak percaya dan menganggap ia hanyalah bungkusan plastik.

“Walau bagaimanapun, timbul perasaan ingin tahu menyebabkan saya menghampiri objek berkenaan dan alangkah terkejutnya apabila mendapati ia adalah tengkorak manusia sebagaimana yang diberitahu rakan sebelum ini.

“Melihat penemuan berkenaan, saya bersama rakan memaklumkan kejadian kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abd Rashid Abd Wahab, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Setakat ini polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan tengkorak terbabit bersama beberapa tulang dan sebuah motosikal berhampiran kawasan kejadian.

“Mereka yang kehilangan ahli keluarga atau waris diminta membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.
SH

OKU ditemui mati mengejut



BENTONG – Bau busuk sejak beberapa hari lalu terungkai apabila mayat seorang Orang Kurang Upaya (OKU) ditemui meninggal dunia dalam keadaan terbaring di Rumah Murah Kampung Baru, dekat sini, pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa, dikenali sebagai Rose Laily Jamaludin, 45, dan tinggal seorang diri.

Menurutnya, jiran mangsa melaporkan kepada pihak polis berhubung bau busuk dan selepas menjalankan pemeriksaan menemui mayat Rose Laily yang sudah berbau.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih tiga hari lalu.

“Polis turut mendapati tiada sebarang kesan jenayah ditemui dan punca kematian mangsa disebabkan serangan jantung,” katanya kepada Sinar Harian.



Jiran bau busuk



Jiran mangsa, Yusof Tahir berkata, kira-kira jam 10.45 pagi semalam, dia terdengar jiran berhampiran kediamannya berkumpul di rumah Rose Laily.

Menurutnya, kebanyakan mereka terbau benda busuk dan memintanya membuka kunci rumah itu.

“Keluarga Rose Laily memang ada meninggalkan kunci rumahnya kepada saya kerana dia tinggal seorang diri.

“Saya mengambil keputusan tidak membuka pintu rumah sebelum ketibaan pihak polis namun ada jiran yang cuba melihat apa yang berlaku menerusi tingkap rumah Rose Laily,” katanya.

Yusof berkata, sebagai jiran dia berasa terkejut dan tidak menyangka kejadian itu berlaku selepas polis mengesahkan Rose Laily meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, Jumaat lalu dia dan keluarga ada terbau sesuatu yang busuk seperti bangkai berhampiran kediaman mereka namun selepas menjalankan pemeriksaan tidak menemui sebarang perkara yang pelik dan tidak menyangka bau itu datang dari rumah didiami Rose Laily.



Rasa kehilangan



Sementara itu, Penyelia PDK Ceria, Latifah Othman berkata, dia terkejut mendengar berita anak didiknya itu meninggal dunia kerana kali terakhir dia bertemu Rose Laily ialah pada 14 Julai lalu sebelum Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) ditutup seminggu.

Menurutnya, pada hari ini (semalam), Rose Laily sepatutnya hadir ke PDK seperti biasa selepas mendaftar sebagai pelatih pada 2009 sehingga kini.

“Setiap hari juga, ahli keluarganya akan menelefon PDK bertanyakan kehadiran Rose ke PDK.

“Pada hari ini (semalam), ahli keluarganya ada bertanyakan keadaan Rose Laily kerana bimbang panggilan mereka tidak dijawab selepas beberapa kali menelefon telefon bimbit milik Rose Laily,” katanya.

Latifah berkata, dia dimaklumkan kejadian yang menimpa Rose Laily kira-kira jam 11 pagi dan bergegas ke rumah Rose Laily untuk mengetahui keadaan sebenar.

Menurutnya, pihaknya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan kehilangan Rose Laily amat dirasai tenaga pengajar di PDK kerana sudah hampir tiga tahun bersama
SH

Tempoh tahanan reman ‘ASP’ dilanjutkan




KOTA BHARU – Tempoh tahanan reman seorang lelaki yang dipercayai menyamar sebagai Asisten Superintenden (ASP) dengan menggunakan gelaran ASP Datuk Kadir bertujuan menipu orang ramai dilanjutkan Mahkamah Kota Bharu, di sini, semalam.

Perintah lanjutan reman tiga hari lagi terhadap suspek berusia, 34 tahun itu dibuat di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen, Rashid Mustafa, di mahkamah tersebut, semalam.

Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, tempoh reman terbaru tersebut berkuat kuasa sehingga 27 Julai ini.

“Suspek adalah bekas banduan yang mempunyai 10 rekod lampau berkait kesalahan sama dan baru beberapa bulan dibebaskan.

“Reman disambung bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 89 Akta Polis, 170 dan 420 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kes berkenaan mendapat liputan meluas media tempatan selepas ditahan, Khamis lalu kerana dipercayai menyamar sebagai ASP Datuk Kadir bertujuan memperdaya orang ramai.

Azham berkata, ketika ditahan, polis turut menjumpai wang tunai RM2,619 dan barangan penyamaran termasuk seragam lengkap polis bersama pangkat dan gari.
SH

Duda ditahan reman



KOTA BHARU – Seorang duda yang dipercayai terlibat dalam kejadian menikam bekas isterinya menggunakan sebilah gunting dalam kejadian di tempat letak kenderaan di sebuah pasar raya di sini, bulan lalu ditahan reman Mahkamah Kota Bharu, di sini, semalam.

Perintah reman enam hari tersebut dikeluarkan Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen, Rashid Mustafa di sini, semalam bagi membolehkan siasatan dilakukan ke atas lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, suspek berusia 28 tahun dan bekerja di sebuah hospital, di sini.

Katanya, selepas lebih sebulan menyembunyikan diri, suspek akhirnya menyerah diri di Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini jam 3 petang, kelmarin.

“Perintah reman tersebut berkuat kuasa semalam sehingga 30 Julai dan suspek akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah dengan senjata,” katanya.

Jika sabit kesalahan, suspek berdepan seksaan penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda atau sebat.

Semalam, Sinar Harian melaporkan selepas lebih sebulan menjadi pelarian kerana dipercayai bertubi-tubi menyerang Hazita Mohamad, 27 dengan gunting, suspek akhirnya datang bersendirian menyerahkan dirinya kepada pihak polis.

Dalam kejadian 20 Jun lalu itu, mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital oleh orang awam yang berada di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala dan leher serta terdapat kesan kelar di bahagian mukanya.
SH

Didakwa memandu melulu



KOTA BHARU – Seorang penganggur berusia 21 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan memandu sehingga menyebabkan kematian seorang guru wanita di Tunjong, pada 11 Julai lalu.

Muhammad Haizzat Hashim, 21 didakwa memandu van DT5141 dengan melulu dalam keadaan merbahaya sehingga menyebabkan kematian pemandu kereta, Junaidah Mohd Nor di Kampung Tunjong, KM 10 Jalan Kuala Krai, di sini kira-kira jam 7 pagi, pada tarikh itu.

Dia berasal dari Kampung Sungai Budor, di sini didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara dua hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000.

Majistret Nur Zakiyah Shamsudin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Ogos ini sebagai tarikh sebutan sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Saiful Nizam Mislah.

Bagaimanapun, di Mahkamah Majstret berasingan Muhammad Haizzat mengaku bersalah atas tuduhan menagih dadah jenis ‘methamphetamine’ ketika ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, pada 17 Julai lalu.

Dia didakwa memberikan diri sendiri dadah jenis itu ketika berada di cawangan narkotik, IPD Kota Bharu, pada jam 4 petang, tarikh berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun.

Majistret Norhaslindar Che Seman menetapkan 20 September ini sebagai tarikh jatuh hukum dan dia dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2,800 dengan seorang penjamin.

Dalam kejadian kemalangan membabitkan beberapa kenderaan 11 Julai lalu, Junaidah 45, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera maut akibat cedera parah manakala empat anak perempuannya berusia 10 hingga 17 tahun cedera dalam kemalangan itu.

Mangsa dalam keadaan tersepit dan nazak dalam kereta sempat menggunakan sisa kudratnya memberi isyarat kepada empat anaknya keluar dari kereta, sebelum meninggal dunia.

Seorang anak mangsa Natasha Juliana Mohd Nawi, 10, patah kaki dan tangan manakala tiga lagi, Nurul Julia Mohd Nawi, 17; Nabila Jasmi, 15, dan Nur Jaihan Afilin, 13, cedera ringan.
SH

Kerani pertikai polis enggan ambil tindakan terhadap laporannya



ALOR SETAR -- Seorang kerani kewangan mempertikai polis kerana enggan mengambil tindakan terhadap seorang lelaki yang didakwa sengaja melanggar abang ipar dan keretanya dalam satu insiden di Kampung Hilir Tandop, Kubang Rotan di sini pada 12 Julai lepas.

Zuraida Abdul, 30, dari Kampung Chapa, Alor Mengkudu di sini juga tidak berpuas hati terhadap polis yang mengklasifikasikan insiden kira-kira 11.30 malam itu sebagai kes trafik walaupun terdapat unsur cubaan membunuh.

Beliau mendakwa seorang lelaki memandu sebuah kereta dan dengan sengaja melanggar abang iparnya, Farwis Shabuddin, 36, menyebabkan peha kirinya cedera parah dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selama lima hari.

"Sebelum kejadian, kami yang berada di rumah kakak saya terdengar bunyi deruman kereta menyebabkan Farwis keluar untuk mengalih kereta tetapi beliau terus dilanggar lelaki itu dan mengenai peha kirinya.

"Setelah dilanggar Farwis berlindung di belakang kereta namun lelaki itu merempuh kereta saya pula berkali-kali," kata Zuraida kepada pemberita semasa ditemui di rumah keluarganya di Kampung Chapa, hari ini.

Menurutnya beliau terus menghubungi polis dan sebuah kereta peronda tiba selepas dua jam berjaya memberkas lelaki tersebut yang mendakwa dia mabuk dan dibelasah orang kampung.

"Yang hairannya polis tidak menahan lelaki itu atau membuat ujian alkohol sebaliknya menghantar beliau ke bahagian kecemasan HSB dan dilepaskan begitu saja," dakwa Zuraida.

Katanya beliau kemudiannya membuat laporan polis kira-kira 2 pagi, 13 Julai di bahagian jenayah tetapi diminta membuat aduan di bahagian trafik kerana mereka mgngklasifikasikannya sebagai kes trafik.

"Saya tidak berpuas hati dan sekali lagi membuat aduan di bahagian jenayah pada siang hari 13 Julai manakala Farwis membuat aduan pada 17 Julai sebaik keluar HSB namun sehingga hari ini lelaki itu bebas tanpa sebarang tindakan.

"Saya juga tidak berpuas hati kerana polis yang berjanji datang mengambil kereta di rumah untuk ujian kimia tidak menunaikan janji lalu saya sendiri membawa kereta itu ke Balai Polis Alor Setar pada 15 Julai lepas," kata Zuraida.

Ketua Trafik Polis Alor Setar, DSP Mohd Sham Abdullah tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan kenyataannya berhubung isu ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kerabat DiRaja Kedah (PKDK) Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya yang menziarah mangsa hari ini, berharap pihak berkenaan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.

"Orang ramai akan mempersoalkan pihak polis selagi mereka tidak berpuas hati atau mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat bukti ada unsur-unsur jenayah," katanya. -- BERNAMA
SH

Kabel elektrik putus halang perkhidmatan tren laluan Kuang - Rawang



KUALA LUMPUR - Kesemua perkhidmatan tren yang melalui laluan antara Kuang–Rawang–Kuang, terhalang sejak pukul 1.13 pagi tadi berpunca daripada insiden kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) terputus dan jatuh melintang di laluan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di KM375.721.

Menurut kenyataan KTMB hari ini, kabel yang mengalirkan tenaga elektrik 33KV itu menyebabkan beberapa kabel talian atas milik KTMB yang berfungsi untuk membekalkan tenaga elektrik kepada tren KTM Komuter dan ETS turut terputus.

Ekoran insiden itu beberapa perkhidmatan terpaksa dijadualkan semula iaitu:

* Perkhidmatan KTM Komuter laluan Rawang–Sungai Gadut akan bermula dari Stesen Sungai Buloh. Pengguna dari Rawang akan dibawa ke Stesen Sungai Buloh dengan perkhidmatan bas.

* Ekspres Langkawi (Padang Besar–KL Sentral) ditamatkan di Stesen Rawang.

Pengguna akan meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan bas ke KL Sentral.

* Ekspres Senandung Mutiara (Butterworth–KL Sentral) ditamatkan di Stesen Rawang. Pengguna akan meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan bas ke KL Sentral.

* Bagi perkhidmatan Ekspres Sinaran Mutiara (KL Sentral-Butterworth), jika laluan terhalang dapat dibebaskan sebelum pukul 8.30 pagi, perkhidmatan ini diteruskan namun jika lewat dari waktu tersebut perkhidmatan akan dibatalkan.

* Perkhidmatan ETS dari Ipoh ditamatkan di Stesen Rawang dan pengguna dipindahkan ke Stesen Sungai Buloh menggunakan bas sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi.

* Perkhidmatan ETS dari KL Sentral dan Seremban ditamatkan di Stesen Rawang dan pengguna dipindahkan ke Stesen Sungai Buloh menggunakan bas sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi.

* Tiada perkhidmatan KTM Kargo akan melalui kawasan laluan terhalang sehingga laluan bebas.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pengalihan dan baik pulih sedang dilakukan dan jangka masa pulih belum dapat dipastikan. Maklumat terkini mengenai insiden itu akan dihebahkan dari masa ke masa.

Bagi perkhidmatan tren yang dibatalkan, pengguna boleh membuat tuntutan semula harga tiket atau membuat penukaran tarikh perjalanan.

KTM Berhad memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTM Berhad di talian 1-300-88-5862.-Bernama

'Datuk Kadir' direman tiga hari untuk bantu siasatan



KOTA BHARU 25 Julai - Polis menahan reman seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan untuk menipu beberapa mangsa membabitkan kerugian lebih RM125,000, mulai hari ini.
Perintah tahanan reman selama tiga hari itu dikeluarkan Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen di sini, Rashid Mustafa bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, suspek yang berasal dari Sawarak selain memperkenalkan dirinya sebagai 'Datuk Kadir' direman bagi membantu siasatan polis.
"Suspek direman sehingga Rabu ini kerana memiliki peralatan yang dibekalkan kepada pegawai polis serta menggunakannya tanpa kebenaran.
"Selain itu, dia juga disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 420 akta sama kerana menipu," katanya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun kerana menyamar sebagai pegawai kanan polis berpangkat asisten supritendan dan turut menipu beberapa mangsa.
Dia ditahan kira-kira pukul 3 petang Khamis lalu ketika memandu kereta Toyota Alphard di Jalan Long Yunus di sini, hasil maklumat orang awam.
Berikutan penahanan lelaki itu, polis turut menemui beberapa peralatan menyamar serta beberapa keping gambarnya yang lengkap berpakaian seragam polis di rumahnya di Tanjung Chat dekat sini. Turut ditemui, jaket keselamatan tertera logo polis dan wang tunai RM2,619 dalam kenderaannya.
Suspek dikatakan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dalam kes yang sama termasuk di Kuala Lumpur dan Selangor, malah dia baharu dibebaskan daripada penjara beberapa bulan lalu.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

RM63j rugi angkara jenayah siber

PULAU PINANG 25 Julai – Sebanyak 6,167 kes penipuan dalam Internet melibatkan nilai kerugian RM63 juta dilaporkan di negara ini sepanjang tahun lalu.
Ia meningkat empat kali ganda dalam tempoh empat tahun berbanding pada 2007 yang hanya mencatatkan 1,139 kes dengan nilai RM11.4 juta.
Bagi 2008, sebanyak 1,821 kes dengan kerugian RM12.9 juta dilaporkan, manakala 2009 adalah 3,863 kes bernilai RM22.3 juta.
Ketua Unit Jenayah Internet, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Deputi Supritendan Mahfuz Ab. Majid berkata, tiga jenayah siber yang kerap dilakukan adalah perbankan Internet, VoIP (Voice Over Internet Protocol) dan e-Perdagangan.
“Jenayah-jenayah itu melibatkan penipuan dalam cubaan memperoleh maklumat peribadi seperti nama pengguna, nombor akaun, nombor pengenalan peribadi (PIN), kata laluan serta butiran kad kredit dengan menyamar sebagai entiti boleh dipercayai menerusi komunikasi elektronik.
“Oleh itu, kini boleh dilihat sindiket tidak perlu lagi menipu orang ramai secara berdepan, sekadar dalam talian saja sudah memadai,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja semasa Seminar Industri Antarabangsa bertemakan Teknologi Dalam Jenayah dan Pencegahan Kerugian di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mahfuz memberitahu, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia masih tidak menyedari bahawa mereka telah dijadikan mangsa dalam jenayah siber seperti pencurian identiti, virus dan penghantaran e-mel.
“Pada masa yang sama, saya juga mendapati ramai dalam kalangan mereka juga ditipu semasa membeli secara talian terus.
“Pembelian secara talian terus sangat berisiko dan tidak dijamin kerana individu yang berminat perlu membayar terlebih dahulu sebelum mendapat produk mereka dan kebanyakan mereka tidak menerima produk berkenaan,” katanya lagi.
Pada perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan, trend rakyat Malaysia yang suka berjudi secara talian terus juga melibatkan kerugian serta penipuan.
Sehubungan itu, katanya, polis kini berdepan cabaran yang besar untuk menyiasat jenayah siber kerana undang-undang sedia ada tidak selari dengan teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang berkembang dengan pesat.
“Justeru, undang-undang sedia ada perlu dikaji semula dan agensi-agensi berkaitan juga perlu bekerjasama bagi menangani jenayah siber di negara ini,” katanya.
Pengerusi Eksekutif Internet Fraud Watchdog Ltd. (IFW), Ken Gamble berkata, Malaysia mencatatkan sebagai 13 negara paling aktif dalam jenayah siber di seluruh dunia.
Katanya, negara-negara lain yang turut mencatat angka tertinggi dalam jenayah itu adalah United Kingdom, Ukraine, Indonesia, Yugoslavia, Lithuania, Romania, Turki, Russia, Pakistan, Israel, Nigeria dan China.
“Ia menunjukkan jenayah siber melibatkan rangkaian penjenayah antarabangsa. Jenayah siber di seluruh dunia pada tahun ini dijangka mencecah tujuh trilion kes membabitkan penipuan perbankan, kandungan porno, gangguan, kecurian identiti, pengedaran dadah dan keganasan,” katanya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Dua anak anggota polis dihukum gantung

Allison Anak Isa (depan) dan Abang Firdaus Abang Jemain dijatuhi
hukuman gantung sampai mati oleh
Mahkamah Tinggi Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 25 Julai - Seorang anak pesara polis dan seorang anak anggota polis dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.35 kilogram, dua tahun lalu.
Dalam kejadian tersebut, dadah tersebut diselitkan di bahagian pinggang masing-masing dipercayai untuk diseludup ke Indonesia melalui terminal feri di Stulang Laut.
Hakim Samsudin Hassan memutuskan demikian terhadap Abang Firdaus Abang Jemain, 24, dan Allison Anak Isa, 23, yang berasal dari Sarawak setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.
Kedua-duanya disabitkan bersalah mengedar methamphetamine masing-masing seberat 666 gram dan 681.8 gram di Terminal Feri The Zon Stulang Laut di sini pada pukul 9 pagi, 14 Julai 2009.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Azlan Shah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Dalam penghakimannya, Samsudin berkata, kedua-dua tertuduh disabitkan dengan kesalahan itu setelah keterangan pembelaan mereka gagal menafikan pemilikan dadah tersebut serta pengedaran dadah yang diikat pada tubuh mereka.
''Jumlah dadah yang dibawa juga adalah besar dan bukan untuk kegunaan sendiri tetapi bagi tujuan pengedaran. Hanya satu hukuman bagi kesalahan ini iaitu hukuman gantung sampai mati,'' katanya.
Kedua-dua tertuduh yang memakai baju kemeja putih dengan masing-masing berseluar biru dan hitam kelihatan tenang semasa hukuman dibacakan, namun air mata Abang Firdaus dan Allison kelihatan bergenangan ketika menoleh ke arah ahli keluarga mereka.
Beberapa anggota keluarga tertuduh yang duduk di galeri awam turut kelihatan menitiskan air mata, malah ada yang terus melangkah keluar dari mahkamah.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Roy Anak Gingkoi dan dan A. Vasudevan.
Mengikut fakta kes, ketika ditahan Abang Firdaus yang merupakan pekerja kilang memiliki lima paket besar dadah jenis methamphetamine seberat 666 gram manakala Allison seorang penganggur memiliki dadah seberat 681.8 gram yang diselit di bahagian pinggang mereka. Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Suami Zakiah enggan cerai, timbangtara kali ketiga

PETALING JAYA 25 Julai - Buat kesekian kalinya, suami kepada Zakiah Anas tetap dengan pendiriannya untuk tidak menceraikan pengacara televisyen itu walaupun jawatankuasa hakam (timbangtara) yang dilantik bagi kali kedua mendapati tidak wujud lagi ikatan kasih sayang dalam hubungan rumah tangga mereka.
Menurut Mohamed Yusof Taib, 49, beliau enggan berbuat demikian kerana tidak diberi peluang untuk diadakan perbicaraan berhubung tuntutan cerai yang difailkan oleh isterinya sejak tahun lalu.
Beliau selaku defendan juga mendakwa personaliti itu gagal menjalankan tugas sebagai isteri dengan tinggal secara berasingan selama tiga tahun serta mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu.
''Saya terkilan perkahwinan yang dibina selama 18 tahun dibiar begitu sahaja dan turut kasihan dengan anak-anak yang ditinggalkan oleh plaintif.
''Yang Arif, berilah peluang kepada saya agar mahkamah mengarahkan Zakiah menukar permohonan cerai kepada fasakh,'' rayu Mohamed Yusof di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Selain itu, ahli perniagaan tersebut tidak bersetuju dengan proses khuluk (tebus talak) seperti yang dicadangkan oleh Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohamad mengikut Seksyen 48(6) Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam Selangor 1984.
Hakim syarie tersebut mencadangkan khuluk selepas meneliti laporan hakam yang dibentangkan kepadanya oleh wakil-wakil jawatan kuasa tersebut.
Wakil-wakil tersebut terdiri daripada peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie bagi pihak Zakiah manakala Mohamed Yusof diwakili Imam Masjid Kampung Johan Setia Wangsa Maju, Tuan Mohd. Zamani Tuan Ahmad.
Peguam syarie, Abdullah Anuar Sahri yang mewakili Zakiah, 45, kemudiannya memberitahu bahawa anak guamnya enggan menuruti saranan Mohamed Yusof supaya diadakan permohonan fasakh.
Ujar Abdullah Anuar, sekiranya defendan tidak berpuas hati dengan khuluk, beliau boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.
Wan Mahyuddin selepas itu memanggil wakil-wakil hakam tersebut dan bertanyakan sama ada mereka bersetuju dengan cadangan khuluk.
Wakil-wakil tersebut masing- masing menyatakan tidak ada persetujuan mengenai khuluk serta tidak bersedia untuk melafazkan khuluk walaupun diberi kuasa mengikut undang-undang untuk berbuat demikian.
''Setelah melihat hakam yang dilantik gagal kerana tidak berani melafazkan khuluk walaupun diberi kuasa, jadi mahkamah tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut.
''Oleh demikian, saya memutuskan hakam tersebut dibatalkan dan mahkamah dengan ini melantik proses yang sama (hakam) untuk kali ketiga yang akan terdiri daripada pegawai-pegawai sulh,'' kata Wan Mahyuddin.
Beliau menetapkan 16 Ogos ini untuk sebutan prosiding hakam tersebut.
Sebelum jawatan kuasa itu dibentuk, proses yang sama telah dijalankan pada April lalu, namun ia turut gagal mendamaikan dan memujuk pasangan itu untuk hidup semula sebagai suami isteri.
Mahkamah sebelum itu turut membentuk sebuah badan yang dinamakan Jawatankuasa Pendamai, namun ia juga gagal mendamaikan mereka.
Zakiah dan suaminya berkahwin sejak 18 tahun lalu dan dikurniakan dua orang anak lelaki, Aiman Muzammil, 17, dan Amir Muzhaffar, 15.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Penunggang maut dirempuh kereta terbabas




KEADAAN salah sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Baru Lembah Klang, semalam.


KUALA LUMPUR 25 Julai - Seorang penunggang motosikal maut setelah dirempuh sebuah kenderaan yang terbabas akibat dipandu laju di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), dari arah Sungai Buloh ke ibu negara, malam tadi.
Kejadian berlaku pukul 9.30 malam apabila sebuah kereta jenis Honda dipercayai sedang berlumba tidak dapat mengawal kenderaan lalu melanggar sebuah kereta Proton Wira.
Akibat daripada itu, kereta Honda yang dipandu oleh seorang lelaki berpusing di tengah lebuh raya sehingga merempuh sebuah lagi kereta Suzuki Swift dan motosikal yang ditunggang mangsa, sebelum berhenti selepas melanggar pembahagi jalan.
Difahamkan, penunggang motosikal itu maut akibat cedera parah di kepala setelah terhentak pada pembahagi jalan manakala pemandu Honda itu pula cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Dalam pada itu, pemandu Proton Wira, Shah Rizam Mohd Isa, 33, memberitahu, ketika kejadian dia memandu di laluan kiri dan tidak menyangka akan dirempuh oleh kenderaan lain.
"Kejadian berlaku pantas dan saya tidak tahu bagaimana ia boleh berlaku namun pengguna lebuh raya ini memberitahu kereta itu dipandu laju dan mungkin sedang berlumba.
"Mujurlah saya masih mampu mengawal stereng kereta walaupun rempuhan kuat di bahagian pemandu dan ketika itu, apa yang penting adalah keselamatan tiga lagi ahli keluarga," katanya yang ditemui di tempat kejadian di sini malam tadi.
Katanya, dia bersyukur kerana anak keduanya berusia enam bulan yang di pangku isteri di tempat duduk belakang dan ibunya di hadapan selamat.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning ketika dihubungi hari ini mengesahkan kemalangan maut yang berlaku kira-kira 500 meter berhampiran plaza Tol Duta itu.
"Seorang daripada mangsa maut di tempat kejadian dan polis masih mengenal pasti identiti mangsa. Polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987," katanya.
Utusan Malaysia Online - Kota

Dicekup selepas 10 minit ragut

SERDANG: Polis menahan dua peragut kira-kira 10 minit selepas melarikan beg tangan milik dua wanita yang sedang menunggang motosikal di Taman Kinrara, Puchong di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi itu, dua suspek berusia 20-an yang menunggang motosikal dikatakan cuba memikat dua perempuan ketika berhenti di lampu isyarat sebelum seorang lagi rakan suspek yang menunggang motosikal berlainan di belakang mangsa merentap dua beg tangan milik wanita terbabit sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias, berkata Unit Peronda Polis (MPV) yang kebetulan membuat rondaan di lokasi itu terserempak dua wanita terbabit melambai tangan meminta pertolongan dan memaklumkan mereka diragut.
“Bertindak atas maklumat itu, pasukan polis terbabit menahan dua lelaki berkenaan kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian bersama dua beg milik mangsa, manakala seorang lagi ditahan jam 8 pagi, juga di lokasi berhampiran.

“Modus operandi suspek adalah memikat wanita sedang menunggang motosikal, manakala rakan mereka yang berada di belakang memantau sebelum bertindak melarikan beg mangsa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Berita Harian Online | Dicekup selepas 10 minit ragut

Pulangkan wang 13 penuntut



SEORANG mangsa kes penipuan pakej umrah menunjukkan surat arahan pembayaran balik ganti rugi di pejabat TTPM, Seberang Jaya, semalam.
SEORANG mangsa kes penipuan pakej umrah menunjukkan surat arahan pembayaran balik ganti rugi di pejabat TTPM, Seberang Jaya, semalam.
Impian Travel & Tours diarah bayar RM19,500 selepas tipu pakej umrah

BUKIT MERTAJAM: Kekecewaan 13 penuntut sebuah universiti yang tidak dapat mengerjakan umrah selepas ditipu syarikat pelancongan, terubat selepas Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), semalam mengarahkan wang mereka dikembalikan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Cawangan Seberang Prai Tengah (SPT), di sini, TTPM Pulau Pinang mengarahkan Impian Travel & Tours membayar balik wang pendahuluan diterima daripada penuntut terbabit berjumlah RM19,500.
Presiden TTPM Pulau Pinang, Faridah Abrahim mengarahkan jumlah itu dibayar selepas mendapati syarikat terbabit menipu penuntut berkenaan dan mengarahkan pembayaran dibuat dalam tempoh 14 hari.
Dalam prosiding itu, kumpulan penuntut berkenaan yang diwakili seorang daripada mereka, manakala wakil syarikat berkenaan tidak hadir.

Pada 16 Jun lalu, pelajar berkenaan memfailkan aduan ke TTPM Pulau Pinang apabila menyedari ditipu selepas pekerja syarikat itu menghilangkan diri selepas menerima bayaran pendahuluan RM19,500.

Mereka memilih syarikat berkenaan untuk menguruskan program umrah selepas tertarik dengan tawaran menarik kerana kos perlu dibayar hanya RM3,965 seorang, manakala syarikat akan menampung bayaran RM2,000 untuk setiap orang.

Pelajar itu kemudian membuat bayaran pendahuluan RM7,500 melalui mesin deposit tunai pada 18 Februari lalu, manakala bayaran kedua RM5,500 dibayar sendiri kepada pengurus syarikat itu, tiga minggu kemudian.
Bayaran ketiga pula dibuat pada 25 Mac lalu sebanyak RM6,500, juga secara tunai kepada pengurus terbabit.

Selepas tarikh itu, mereka cuba menghubungi syarikat terbabit namun semua panggilan, emel dan khidmat pesanan ringkas tidak dijawab.

Lebih mengejutkan, kunjungan mereka ke pejabat syarikat berkenaan pada 7 Mei lalu mendapati premis berkenaan berkunci dan mereka dimaklumkan pejabat sudah ditutup hampir dua minggu sebelum itu.

Kerani syarikat yang dihubungi pula mendakwa dia berada di Kuala Lumpur atas urusan menukar nama syarikat.

Usaha menjejaki syarikat terbabit dibuat sehingga ke Kajang, Selangor, berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia juga menemui jalan buntu apabila alamat yang diberikan adalah pangsapuri kosong, bukannya pejabat.

Sementara itu, wakil pelajar berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Siti ketika ditemui, menyatakan rasa syukur terhadap keputusan berkenaan dan berharap syarikat pelancongan terbabit mematuhi arahan TTPM.
Berita Harian Online | Pulangkan wang 13 penuntut

Kedai jual pil tambah berat badan diserbu

SUNGAI PETANI: Jabatan Farmasi menyerbu sebuah premis di Jalan Petri, di sini yang dipercayai menjual pil menambah berat badan yang mengakibatkan seorang ibu tunggal berusia 29 tahun maut selepas mengambil ubat yang disyaki tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan, pagi semalam.

Dalam serbuan jam 11 pagi itu, seramai 20 anggota penguat kuasa Jabatan Farmasi yang menyerbu kedai ubat berkenaan turut menemui sejumlah besar ubat dan alat kosmetik tidak berdaftar, termasuk jenis pil menambah berat badan.

Dalam kejadian 16 Julai lalu, Che Su Md Isa, 29, meninggal dunia selepas dipercayai mengambil ubat untuk menambah berat badan berharga RM5 yang dibeli daripada premis berkenaan.
Jurucakap Jabatan Farmasi, berkata pihaknya menerima laporan orang ramai mengenai kegiatan menjual pil dan ubat-ubatan tradisional tidak berdaftar yang dilakukan oleh pemilik premis berkenaan.

Difahamkan, ketika serbuan, pemilik kedai memberi alasan hanya meletakkan barangan berkenaan di dalam premis itu tetapi tidak menjual kepada orang awam, bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Lelaki berusia lingkungan 50-an itu turut tidak mengaku sebagai pemilik stor terbabit, selain bertindak memberi kunci palsu untuk menggagalkan usaha pihak berkuasa menyerbu ke dalam premis berkenaan sehingga memaksa anggota penguat kuasa Jabatan Farmasi memotong kunci yang dipasang di pintu kedai terbabit.

Hasil serbuan itu, anggota penguat kuasa Jabatan Farmasi menemui dua jenis pil Dexamethasone (0.75 gram dan 0.5 gram) dan Pronicy 4 yang disembunyikan di dalam sebuah stor kecil di kedai terbabit, dipercayai jenis pil yang diambil mangsa.
“Kedua-dua jenis pil ini mengandungi steriod dan berbahaya kepada pengguna, pil terbabit juga tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan ia dilarang dijual kepada orang ramai.

“Kami turut menemui sejumlah besar pil dan ubat tradisional yang dilarang jualannya serta tidak berdaftar dengan KKM dijual premis terbabit,” katanya.

Semua pil dan ubat tradisional berkenaan dirampas untuk siasatan dan sebagai bukti, manakala kedua-dua pemilik premis itu akan dikenakan tindakan mengikut Akta Racun 1952, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun dan denda maksimum RM50,000.

Jabatan Farmasi turut menyerbu sebuah kedai menjual produk yang sama berhampiran Terminal Bas Sungai Petani.
Berita Harian Online | Kedai jual pil tambah berat badan diserbu

‘Kami pasti rindu telatah anak’

Keluarga pasrah bayi baru pandai sebut perkataan abah, emak rentung

KUCHING: Panggilan ‘abah’ dan ‘emak’ yang baru dituturkan seorang bayi berusia setahun tiga bulan menjadi kenangan terakhir keluarganya apabila beliau ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Malihah, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, Mohd Shahfizan Salleh, sedang tidur di bilik utama ketika api mula marak menyebabkan kakaknya Norliana, 17, yang berada di rumah gagal menyelamatkan adik bongsunya itu.

Beberapa jiran yang melihat Norliana panik dan menjerit di luar rumah sambil memanggil nama adiknya cuba bertindak memasuki rumah itu namun gagal apabila seluruh bahagian rumah terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Terry Robson, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan dari orang ramai pada jam 4.49 petang dengan jentera pertama tiba di lokasi kejadian 11 minit kemudian.

“Kami difahamkan api bermula dari bahagian bilik tidur utama yang terletak di tengah blok rumah teres sebelum api turut merebak ke rumah bersebelahan.

“Seorang bayi berusia setahun tiga bulan gagal diselamatkan kerana terperangkap dalam bilik manakala mangsa lain berjaya menyelamatkan diri sejurus menyedari rumah mereka terbakar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Seramai 13 anggota dari Balai Petra Jaya dan tujuh dari Batu Lintang berusaha memadamkan kebakaran yang berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6 petang. Sementara itu, bapa mangsa, Salleh Hamid, 38, berkata ketika kejadian beliau sedang bekerja manakala isteri, Rapillah Rabaie, 38, sedang berniaga goreng pisang di kawasan berdekatan.

“Selepas ini, kami pasti merindui gelak ketawa serta tangisannya, anak bongsu saya itu baru saja pandai bercakap tetapi pertuturannya belum lancar, ” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Umum Sarawak, semalam.
Berita Harian Online | ‘Kami pasti rindu telatah anak’

Mayat ejen pekerja asing ditemui ngeri

Mangsa hilang Sabtu lalu disyaki dibunuh

GEMAS: Seorang ejen pekerja asing yang hilang sejak Sabtu lalu, ditemui mati dipercayai dibunuh dengan keadaan leher hampir putus, telinga kanan hilang dan pergelangan tangan kanannya putus, dalam lubang yang ditutup daun kering di ladang getah dekat Pasir Besar di sini, awal pagi semalam.

Mayat Mohd Sofian Mustafa, 34, ditemui hampir reput dicampak dalam lubang sedalam satu meter.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, berkata mayat mangsa yang masih bujang ditemui di Kilometer 10 Jalan Gemas-Pasir Besar, kira-kira jam 1 pagi.
Katanya, mangsa meninggalkan rumahnya di Dangi, Kuala Pilah ke FELDA Palong, Jempol, kerana urusan kerja sebagai pembekal pekerja asing ke ladang dan tanah rancangan FELDA, dipercayai membawa wang tunai RM3,000.

“Mangsa meminjam kereta adiknya yang dijumpai penduduk tempatan dan kemudian melaporkan kepada polis. Ketika itu, mayatnya belum ditemui.

“Apabila adiknya dipanggil ke tempat kejadian, dia terkejut menemui mayat abangnya dalam keadaan mengerikan,” katanya, semalam.

Wooi berkata, siasatan awal mendapati mangsa parah di kepala, leher dan tangan, tetapi tiada senjata ditemui di tempat kejadian, manakala dokumen pengenalan diri dan wang tunai RM3,000 miliknya hilang.
Sementara itu Mohd Yatim, 29, yang menemui mayat abangnya berkata, polis datang ke rumahnya jam 12.20 pagi semalam dan memaklumkan menemui keretanya di ladang getah dekat FELDA Pasir Besar.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di talian 06-4411221 atau 06-4411222 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Safari Sidik
di talian 019-7582222.
Berita Harian Online | Mayat ejen pekerja asing ditemui ngeri