Search This Blog

Monday, July 25, 2011

Enam lagi korban bot karam di Rusia ditemui

MOSCOW 25 Julai - Pasukan penyelam Rusia membawa keluar enam lagi mangsa daripada bangkai bot pelancong yang karam di Sungai Volga pada dua minggu lepas, meningkatkan jumlah kematian kepada 120 orang dalam kejadian terburuk yang berlaku sejak berdekad lalu.
Menurut jurucakap Kementerian Kecemasan, dua orang masih dilaporkan hilang namun telah dianggap mati lemas, tatkala pihak berkuasa sedang berusaha membawa semula bangkai bot tersebut ke permukaan air.
Hanya 79 daripada 201 penumpang yang menaiki kapal berusia 56 tahun itu, terselamat dalam kejadian yang berlaku di wilayah tengah Tatarsan pada 10 Julai lalu. - REUTERS
Utusan Malaysia Online - Terkini

10 maut kemalangan 7 kenderaan di Argentina

BUENOS AIRES 25 Julai - Sekurang-kurangnya 10 orang maut manakala 20 yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan beberapa buah kenderaan yang bertindih antara satu sama lain di barat laut ibu negara Argentina, semalam.
Menteri Kesihatan, Alenjandro Collia yang berada di tempat kejadian, berkata, ramai mangsa yang mengalami kecederaan termasuk seorang remaja perempuan yang mengalami kecederaan serius.
Kemalangan tersebut membabitkan sebuah trak, van dan sekurang-kurangnya lima kereta, berlaku kira-kira pukul 8 malam (11 malam waktu Malaysia) berdekatan Las Flores, terletak 187 kilometer dari Buenos Aires.
Pihak berkuasa memaklumkan punca sebenar kemalangan mungkin disebabkan keadaan kabus tebal. - AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini

Kapal minyak Itali dirampas, 23 krew ditahan lanun

ROME 25 Julai - Sekumpulan lanun merampas sebuah kapal tangki minyak Itali serta menahan 23 krew kapal terbabit di Teluk Guinea, semalam, kata agensi berita ANSA.
Krew kapal Rbd Anema e Core itu terdiri daripada 20 kelasi Filipina. dua warga itali dan seorang Kapten rakyat Romania.
Tiga orang lanun meloloskan diri ke untuk merampas kapal tersebut yang berada 23 batu nautika di selatan Cotonou, wilayah ekonomi Benin.
Kementerian Luar Itali memaklumkan unit krisis kecemasan telah menghubungi pemilik kapal yang berpangkalan di Naples dan situasi semasa dipantau rapi.
Tiada maklumat lanjut sama ada kapal tersebut membawa pengawal bersenjata. - AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini

Rompak nenek sendiri, pemuda dipenjara 7 tahun



KOTA BHARU 24 Julai - Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan lima sebatan terhadap seorang pemuda kerana merompak neneknya sendiri Jun lalu.
Hakim Irwan Suainbon menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Shamsul Kahar Mohamad, 30, mengaku bersalah merompak seutas gelang tangan dan rantai leher emas berharga RM6,000 milik neneknya, Rokiah Boto, 78, di Taman Binjai Manis, Ketereh dekat sini pada pukul 1 petang 28 Jun lalu.
Rakannya, Mohd. Ikhwan Abdullah, 30, yang turut terlibat dalam rompakan tersebut juga mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan itu dan dipenjara 10 tahun dan lima sebatan.
Irwan memerintahkan hukuman tersebut berkuat kuasa hari ini kerana mahkamah memandang serius kes tersebut dan mahu ia dijadikan pengajaran kepada orang lain.
Menurut fakta kes, Shamsul Kahar dan rakannya itu telah datang ke rumah neneknya pada hari kejadian serta berpura-pura meminta air daripada warga emas terbabit yang kemudiannya telah masuk ke dapur.
Sementara rakan cucunya, Mohd. Ikhwan telah mengekori Rokiah dan bertanyakan tandas.
Pemuda tersebut tiba-tiba menolak dan memeluk mangsa serta menarik barangan kemas yang dipakainya. Mereka kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.
Shamsul Kahar bagaimanapun berjaya ditangkap pada 4 Julai lalu, diikuti rakannya empat hari kemudian. Siasatan polis mendapati, kedua-dua tertuduh yang tidak bekerja, telah menjual barang kemas terbabit dan hasilnya dikongsi bersama.
Kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, Shamsul Kahar yang berasal dari Padang Enggang, Jalan Pasir Hor, merayu supaya hukumannya diringankan kerana mendakwa, ketika melakukan perbuatan itu dia di bawah pengaruh pil kuda yang menyebabkannya tidak tidur selama seminggu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari memohon supaya kedua-dua tertuduh diberikan hukuman setimpal atas kesalahan yang dilakukan.
"Apabila mangsa meminta tolong, cucu sepatutnya membantu tetapi dalam kes ini cucu bukan sahaja membiar neneknya disakiti bahkan telah melarikan diri dengan motosikal. Jenayah dalam kes ini amat berat iaitu di dalam rumah sendiri, melibatkan warga tua dan ahli keluarga sendiri," katanya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

'Datuk Kadir' masuk jerat




Azham Othman (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan salah satu pakaian seragam polis dan peralatan lain yang dirampas di IPD Kota Bharu, Pengkalan Chepa, semalam.


KOTA BHARU 24 Julai - Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan kerana menyamar sebagai pegawai kanan polis berpangkat Asisten Supritendan dan turut menipu beberapa mangsa membabitkan kerugian lebih RM125,000.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, lelaki yang berasal dari Sarawak serta memperkenalkan dirinya sebagai 'Datuk Kadir', ditahan kira-kira pukul 3 petang, Khamis lalu.
Beliau berkata, berikutan penahanan suspek, polis turut menemui beberapa peralatan penyamaran serta beberapa keping gambarnya yang lengkap berpakaian seragam polis di rumahnya di Tanjung Chat di sini.
"Hasil daripada maklumat awam yang diterima, suspek telah ditahan ketika sedang memandu kereta Toyota Alphard di Jalan Long Yunus di sini dan menemui sebuah jaket keselamatan tertera logo polis di dalam kereta itu serta wang tunai bernilai RM2,619.
"Siasatan lanjut di rumah suspek turut menemui beberapa peralatan penyamaran polis seperti pakaian seragam, lencana, pangkat, gari, tali pinggang dan sarung pistol," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Jelas beliau, gambar yang menunjukkan suspek berpakaian seragam polis itu dipercayai digunakan untuk menipu mangsanya agar mempercayai dia adalah pegawai anggota pasukan berkenaan.
Katanya, suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dalam kes yang sama termasuk di Kuala Lumpur dan Selangor, malah dia baharu dibebaskan daripada penjara beberapa bulan lalu.
"Kes di Kelantan, membabitkan penipuan terhadap seorang peniaga emas di Kubang Kerian membabitkan urusniaga berjumlah RM125,000 manakala suspek juga pernah berjanji untuk menguruskan proses lelongan peralatan elektrik di Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) bernilai RM20,000.
"Suspek juga pernah menyamar sebagai polis dan kononnya akan membebaskan seorang individu yang ditahan berkaitan kes dadah," tegasnya.
Tambahnya, suspek direman sehingga hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan yang dibekalkan kepada pegawai polis serta menggunakannya tanpa kebenaran.
Selain itu katanya, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 420 akta sama kerana menipu.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Pembantu rumah ditemui mati dicekik




ANGGOTA polis membawa keluar mayat seorang pembantu rumah warga Filipina yang ditemui mati di Jalan Gasing, Petaling Jaya kelmarin. - UTUSAN/Izham Jaafar


PETALING JAYA 24 Julai - Seorang pembantu rumah warga Filipina ditemui mati dipercayai dicekik di dalam banglo dua tingkat milik majikannya di Jalan 5/50, Jalan Gasing, di sini, malam tadi.
Mangsa berusia 36 tahun ditemui majikannya di dalam keadaan terbaring di bilik tidur yang terletak di tingkat bawah, pukul 11.45 malam.
Ketika kejadian, difahamkan ahli perniagaan yang berusia 30-an serta isteri dan dua anaknya tiada di rumah kerana keluar makan pukul 7 petang.
Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, polis yang dihubungi majikan mangsa mendapati mangsa dibunuh dipercayai pukul 10 malam.
Katanya, siasatan awal polis menolak kejadian itu bermotifkan samun kerana tiada barang berharga yang hilang selain kesan pergelutan hanya di bilik mangsa.
"Siasatan awal mendapati terdapat kesan lebam akibat dicekik di leher serta luka di kepala mangsa.
"Kita juga percaya mangsa dibunuh orang yang dikenali kerana tiada kesan pecah masuk rumah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, awal pagi ini.
Tambah Arjunaidy, ketika ditemui mangsa yang sembilan tahun bekerja dengan majikannya dalam keadaan berpakaian lengkap dan polis menyiasat kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Pemandu terkejut lihat objek terbang

HULU SELANGOR 24 Julai - Seorang pemandu bas ekspres hanya mampu tergamam kerana tidak menyangka objek terbang seperti Superman yang terhempas di depan cermin kenderaan dan disangka tayar kereta rupa-rupanya adalah mayat seorang penunggang motosikal.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang di Kilometer 404.7 Lebuh Raya Utara-Selatan itu, pemandu bas ekspres Transnasional, Ismail Naim, 52, dalam perjalanan dari Teluk Intan, Perak menuju ibu negara apabila ternampak satu objek berwarna hitam 'terbang' di udara sebelum jatuh terhempas di atas cermin bas yang dipandunya.
Dia yang terkejut bagaimanapun sempat mengawal bas daripada terbabas sebelum berhenti untuk menyiasat objek 'terbang' yang kemudian terseret di bawah kenderaannya.
Ismail berkata, dia yang mulanya menyangka objek tersebut adalah tayar tercampak dari kereta di hadapannya begitu terkejut apabila menemui seorang lelaki berlumuran darah tersangkut di bawah tayar belakang bas dipandunya.
"Saya perasan ada objek terbang seperti Superman terhempas di depan cermin bas dan melalui cermin sisi, saya lihat ia berwarna hitam dan menyangka ia tayar kereta.
"Saya langsung tidak terfikir ia adalah penunggang motosikal yang sebelum itu merempuh sebuah kereta yang terbabas pada penghadang jalan di hadapan saya. Saya bagaimanapun tidak perasan kereta jenis apa yang dirempuh mangsa kerana pemandunya terus melarikan diri," katanya ketika ditemui di tempat kemalangan di sini, hari ini.
Menurut Ismail, semasa kejadian, dia dalam perjalanan membawa 41 penumpang dari Teluk Intan ke Hentian Bas di Jalan Duta dan Puduraya dekat sini.
Ismail berkata, mujur semasa insiden itu dia berjaya mengawal bas daripada terbabas menyebabkan semua penumpang termasuk dirinya terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Bagaimanapun, lapan kenderaan yang mengekori di belakang termasuk sebuah lagi bas ekspres dan sebuah motosikal terpaksa berhenti mengejut menyebabkan mereka gagal mengelak daripada merempuh antara satu sama lain.
Kejadian itu menyebabkan kelapan-lapan kenderaan terbabit remuk tetapi semua pemandu dan penumpang selamat.
Sementara itu, pasukan Bomba dan Penyelamat yang dikejarkan ke tempat kejadian mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan mayat mangsa, Syafiq Aswadi Hishamuddin, 23, pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang tersepit di bawah tayar bas.
Syafiq Aswadi yang berasal dari Taman Guchil, Jalan Guchil Bayam, Kota Bharu, Kelantan, dan menjalani latihan di Sungai Buloh mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian perut dan kepala.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat dan punca kemalangan masih dalam siasatan.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Kontraktor, anak mati rempuh jentolak

MARANG 24 Julai - Seorang kontraktor dan anaknya berusia lapan tahun maut selepas kereta mereka terbabas dan melanggar belakang sebuah jentolak yang berhenti di tepi jalan di Kilometer 62, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berdekatan Kampung Jambu Bongkok, dekat sini, semalam.
Mangsa, Wan Shaari Zakaria dan anaknya, Wan Shakisfri meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat cedera parah dalam kejadian pukul 5 petang.
Difahamkan, Wan Shaari dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Pasir Putih selepas membawa anaknya pergi ke kedai gunting rambut di bandar Dungun.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, setibanya di lokasi, kereta dipandu Wan Shaari dikatakan hilang kawalan dan terbabas.
"Jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat. Polis masih menyiasat punca kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.
Pemandu jentolak itu, Mohd. Rowi Abu Bakar, 48, ketika ditemui hari ini berkata, dia berada di situ untuk menggali lubang bagi menanam kabel.
Katanya, selepas selesai kerja, dia memberhentikan jentolak itu di tepi jalan untuk mengambil duit sewa daripada seorang kontraktor.
"Tiba-tiba terdengar dentuman kuat sebelum saya dapati sebuah kereta remuk di bahagian depan selepas merempuh belakang jentolak.
"Saya bersama beberapa rakan sekerja lalu menarik keluar kedua-dua mangsa ke tempat selamat kerana bimbang kereta terbakar," ujarnya.
Tambahnya, beberapa penduduk kampung turut menghulurkan bantuan namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

43 korban nahas kereta api laju


SHUANGYU: Pihak berkuasa China semalam mengarahkan keselamatan sistem kereta api di negara itu dipertingkatkan serta-merta selepas 43 orang mati dalam kemalangan paling buruk kereta api membabitkan rangkaian kereta api laju negara itu.
Kira-kira 210 orang lagi cedera apabila kereta api yang terputus bekalan kuasa selepas disambar petir dilanggar kereta api lain, menyebabkan empat gerabak terhumban ke bawah jambatan dan dua lagi tergelincir dari landasan Kemalangan yang berlaku di Shuangyu, pinggir bandar Wenzhou itu meningkatkan persoalan mengenai keselamatan rangkaian kereta api laju di China, antara yang terbesar di dunia.

Beberapa jam selepas nahas itu, Xinhua berkata, kerajaan melancarkan langkah pembaikan serta-merta keselamatan kereta api kebangsaan, yang menjadi kebimbangan di seluruh negara walaupun sebelum nahas terbaru itu berlaku. “Siasatan awal mendapati peralatan gagal berfungsi akibat disambar petir,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan. Xinhua melaporkan dua warga asing antara yang terbunuh dalam nahas yang berlaku ketika cuaca buruk itu. Kedua-dua kereta api membawa 1,400 penumpang ketika kejadian.

Sementara itu, pihak berkuasa memecat tiga pegawai kanan kereta api selepas kemalangan di Shuangyu itu dalam usaha mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pengangkutan itu.

Menurut satu kenyataan, pegawai itu juga akan disoal siasat. - AP

myMetro | 43 korban nahas kereta api laju

Helikopter ketiga tentera Thai terhempas


BANGKOK: Sebuah helikopter tentera Thai terhempas di barat negara itu, semalam, menyebabkan tiga anggota tentera mati, menjadikan nahas membabitkan pengangkutan itu kepada tiga dalam masa sembilan hari dan jumlah korban kepada 17, di kawasan yang sama.
Helikopter Bell 212 ditugaskan membantu operasi mencari tujuh mangsa helikopter Black Hawk yang hilang Selasa lalu ketika ia terhempas dan terbakar di wilayah Phetchaburi.

Dua mayat ditemui kelmarin termasuk seorang jurukamera televisyen.

Helikopter Black Hawk yang terhempas itu dalam misi mencari lima anggota tentera yang mati apabila helikopter era Perang Vietnam terhempas hujung minggu lalu.

Jurucakap tentera, Sansern Kaewkamnerd berkata, satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas semalam adalah mekanik yang memberitahu mengenai kerosakan ekor helikopter itu, dipercayai berpunca daripada masalah enjinnya. Stesen televisyen negara itu menyiarkan gambar helikopter itu terbakar di kawasan berbatu-batan. Saksi memberitahu mereka melihat helikopter itu seakan-akan menghadapi masalah sebelum terhempas. Dua helikopter pertama yang terhempas terbang merentasi kawasan hutan bergunung-ganang ketika hujan lebat. Misi udara dilakukan setiap hari kerana pasukan penyelamat tidak dapat sampai ke lokasi dengan berjalan kaki.


Kekerapan helikopter tentera terhempas di negara itu agak mengejutkan. Tiga helikopter Bell UH-1H terhempas antara Jun dan Oktober 2008 akibat masalah enjin atau cuaca buruk. - Reuters

myMetro | Helikopter ketiga tentera Thai terhempas

Amy Whinehouse ditemui mati

LONDON: Penyanyi Britain yang bermasalah Amy Winehouse, di mana masalah ketagihan dadah dan araknya mengatasi suara seksinya ditemui mati di kediamannya di sini pada usia 27 tahun.
Penyanyi pemenang anugerah Grammy itu, yang mempunyai gaya rambut sarang lebah terkenal dengan lagu hitnya Rehab. Laporan mengatakan penyanyi itu mati akibat pengambilan dadah berlebihan tetapi polis berkata, tidak wajar untuk memberi spekulasi mengenai kematiannya yang dikatakan belum dapat dipastikan lagi. Amy ditemui mati di kediamannya di Camden di utara London, kelmarin. Peminat kemudian mula berkumpul dan meletakkan bunga, lilin dan anak patung di luar kepungan polis, manakala rakan artis menyuarakan kejutan dan kesedihan mereka. Jurucakap Perkhidmatan Ambulans London (LAS) berkata mereka dihubungi ke kediamannya kira-kira jam 3.54 petang kelmarin dan menghantar dua petugas ambulans yang tiba lima minit kemudian.

“Malang sekali pesakit sudah mati,” katanya. Pegawai forensik dilihat keluar dan masuk di kediaman penyanyi itu sebelum van ambulans persendirian tiba di luar. Dua petugas kemudian membawa keluar satu beg mayat. Petugas LAS menghubungi polis beberapa minit sebelum sampai di kediaman Amy. “Ketika tiba, polis menemui mayat seorang wanita berusia 27 tahun yang disahkan mati. Warisnya diberitahu dan saya dapat mengesahkan wanita itu adalah Amy Winehouse,” kata Superintendan Raj Kohli. - AFP
myMetro | Amy Whinehouse ditemui mati

Lelaki tembak mati isteri ketika parti hari jadi anak


HOUSTON: Seorang lelaki yang menghadiri pesta hari lahir ke-11 anak lelakinya di gelanggang sukan kasut roda menembak mati lima orang termasuk isteri, selepas satu pertengkaran.
Dia kemudian menembak dirinya sendiri selepas kejadian di gelanggang kasut roda antarabangsa di Grand Prairie, Texas. Mangsa yang terbunuh terdiri daripada dewasa dan remaja. Polis berkata, kejadian itu berlaku jam 7 malam kelmarin selepas berlaku pertengkaran antara lelaki itu dengan isterinya. Jurucakap polis, John Brimmer berkata: “Ia berpunca akibat pertengkaran. Kemudian, lelaki itu tiba di parti hari jadi, mengacukan pistol lalu mula menembak.” - AP
myMetro | Lelaki tembak mati isteri ketika parti hari jadi anak

Remaja dibuang sekolah ugut pelajar serah wang


AMPANG: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang sudah dibuang sekolah kerana masalah disiplin dikesan menjadikan pelajar di kalangan bekas rakan sekolahnya sebagai sasaran ugutan bagi mendapatkan wang mudah.
Difahamkan, remaja lelaki berkenaan dikatakan sering berkeliaran di depan sebuah sekolah, di sini setiap kali tamat waktu persekolahan.

Dalam kejadian terbaru Jumaat lalu di hadapan sekolah berkenaan, remaja terbabit mengugut dua pelajar lelaki berusia 13 tahun supaya menyerahkan wang tunai dan barangan berharga. Bagaimanapun, kedua-dua mangsa enggan berbuat demikian menyebabkan remaja terbabit naik angin dan mengugut akan mengganggu mereka lagi.

Menurut sumber, ketika kedua-dua remaja terbabit sedang melayari Internet di sebuah pusat Internet berhampiran sekolah beberapa jam kemudian remaja berkenaan sekali lagi menemui mangsa.

“Remaja itu mengugut akan mencederakan mereka menyebabkan mangsa yang ketakutan menyerahkan wang tunai RM20 dan jam tangan masing-masing,” katanya.


Sumber berkata, sebaik pulang ke rumah, salah seorang mangsa menceritakan kejadian berkenaan kepada ibu bapanya.

Bapa mangsa yang bimbang keselamatan anak lelakinya itu kemudian membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

myMetro | Remaja dibuang sekolah ugut pelajar serah wang

Pekerja kebas baju


KUALA LUMPUR: Ibarat memberi susu dibalas tuba, begitulah situasi yang dihadapi oleh seorang pengusaha dan penganjur pameran butik pengantin apabila niat ingin membantu seorang wanita mencari rezeki dipercayai ditipu selepas dua minggu mengambilnya bekerja.
Nor Sharlina Abdul Rashid, 39, menanggung kerugian sebanyak RM8,500 apabila kehilangan lima baju pengantin termasuk dua yang disewa daripada pereka fesyen lain sejak 4 Julai lalu iaitu selepas dua pameran butik pengantin dipercayai dilarikan salah seorang pekerjanya yang dikenali sebagai Nor.

“Sepatutnya dia (Nor) memulangkan empat helai baju kepada pemilik (pereka fesyen) pada 7 Julai iaitu selepas menyewanya, namun hanya menyerahkan dua daripadanya dan mengatakan dua helai lagi ada pada saya. Saya tidak mengetahui perkara itu sehinggalah pereka fesyen berkenaan meminta saya memulangkan baju selebihnya.

“Saya cuba menghubungi Nor, namun tidak berjawab. Dia tidak datang bekerja pada 7 Julai sehingga sekarang dan saya mempercayai dia menghilang diri dengan baju-baju terbabit. Selain itu, dia juga melarikan komputer riba jenis Asus milik saya.

Walaupun cuba menghubungi dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk meminta semula semua baju pengantin berkenaan, Nor tidak pernah membalasnya sebaliknya memberitahu rakan mangsa bahawa dia tertinggal baju itu di kaunter ketika pameran butik pengantin yang diadakan di Shah Alam, baru-baru ini.


“Saya mengenalinya lebih dari setahun dan dia pernah bekerja sambilan dengan saya beberapa kali. Kemudian, dia selalu menceritakan masalahnya yang ditinggalkan suami dan perlu mencari pekerjaan untuk menyara hidup. Oleh sebab simpati, saya bersetuju mengambilnya bekerja secara tetap selain membenarkan Nor tinggal di rumah saya,” katanya.

Pembantu rumahnya memberitahu ada memasukkan baju itu ke dalam kereta wanita berkenaan untuk dipulangkan semula kepada pemilik asal, sebelum dia menghilangkan diri. Bagi mengelakkan kerugian selain menjaga nama, mangsa membuat laporan polis di Balai Bukit Puchong, Subang Jaya.

“Saya tidak menolak kemungkinan baju-baju itu telah dijual kepada pengusaha butik pengantin. Saya meminta sesiapa saja yang membeli baju-baju itu, menghubungi saya di talian 017-2680375 dan memulangkannya kerana baju itu bukan milik saya,” katanya.

myMetro | Pekerja kebas baju

Dibelasah samseng


AMPANG: Sepasang suami isteri cedera selepas dipukul seorang lelaki yang layak digelar ‘samseng jalanan’ hanya kerana kereta dinaiki mangsa hampir melanggar kereta lelaki itu di Taman Melawati, di sini kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu menyebabkan pasangan itu cedera di mata, muka, badan dan kaki selepas dipukul lelaki berusia 30-an terbabit.

Mangsa, Nasib Kaur, 25, berkata, ketika kejadian, dia dan suaminya Mubeen Akhtar, 31, dalam perjalanan ke pusat bandar sebelum bertembung dengan kereta dipandu lelaki berkenaan dan mereka hampir merempuh kereta itu.

“Sebagai tanda minta maaf, kami mengangkat tangan kepadanya, namun lelaki itu yang tidak berpuas hati dengan kejadian berkenaan menyembunyikan hon dan meminta kami berhenti.

“Sebaik berhenti, lelaki itu keluar dari kereta meluru ke arah suami saya dan dengan tiba-tiba terus menumbuk muka suami serta menampar muka saya yang cuba menenangkan keadaan,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, selepas puas membelasah mereka hingga mendatangkan kecederaan di mata dan muka, lelaki itu kemudian masuk semula ke dalam keretanya untuk melarikan diri tetapi dihalang suaminya.

Nasib Kaur berkata, suaminya menghalang dengan cara berdiri di depan kereta lelaki itu menyebabkan lelaki berkenaan sengaja melanggar hingga menyebabkan suaminya terjatuh dan mengalami kecederaan di kaki kiri.

“Terkejut dengan kejadian itu, saya bertindak menarik kolar baju lelaki berkenaan menyebabkan dia keluar dari kereta sebelum bertindak menumbuk muka suami saya sekali lagi.
“Dalam keadaan itu, saya berlari ke kereta dan menelefon polis untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya yang mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.

Katanya, anggota polis tiba beberapa minit kemudian dan meminta mereka ke Balai Polis Taman Melawati untuk diambil keterangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes berkenaan sedang disiasat.
myMetro | Dibelasah samseng

Terpijak sarang tebuan


KUALA KANGSAR: Dua pelajar sekolah masing-masing berusia 14 tahun terpaksa menanggung kesakitan hampir tujuh jam sebelum diselamatkan apabila mereka cedera disengat tebuan tanah ketika mendaki Gunung Bubu, Ulu Kenas, di sini, petang kelmarin.
Difahamkan, pelajar tingkatan dua Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star), Ipoh itu cedera terutama di bahagian muka dan seluruh badan akibat disengat sekumpulan tebuan sebelum dibawa turun sekumpulan anggota bomba dan penyelamat Kuala Kangsar malam kelmarin.

Kedua-dua pelajar itu, Muhammad Adli Aiman Razali dan Mohd Harith Zainudin, yang kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar (HKK) dilaporkan stabil dan dijangka keluar hospital hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, 26 pelajar dan tiga guru pengiring Star berdepan saat mencemaskan apabila dua daripada mereka diserang tebuan sebelum diselamatkan untuk mendapatkan rawatan kecemasan tujuh jam kemudian.

Menceritakan detik cemas itu, Muhammad Adli berkata, dia bersama pelajar lain termasuk guru pengiring mendaki gunung berkenaan kira-kira jam 9 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 3 petang.


Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba dia dan Mohd Harith diserang tebuan tanah ketika mendaki.

“Saya dan Mohd Harith lari bertempiaran dan menjerit kepada rakan lain termasuk guru supaya menyelamatkan diri.

“Keadaan menjadi kelam kabut apabila masing-masing lari menyelamatkan diri. Bagaimanapun, keadaan kembali tenang setengah jam kemudian sebelum saya diberi rawatan awal oleh guru,” katanya ketika ditemui di HKK di sini semalam.
Katanya, dia banyak mengikuti perkhemahan dianjurkan sekolah sebelum ini, namun ekspedisi mendaki itu adalah yang pertama kali disertainya. Muhammad Adli berkata, dia percaya tebuan tanah itu menyerangnya selepas dia dan Mohd Harith terpijak sarang serangga berbisa itu ketika mendaki.

Menurutnya, dia mengakui trauma dengan kejadian itu, namun bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius. Sementara itu, usaha Harian Metro untuk menemuramah Mohd Harith gagal kerana pelajar tingkatan dua itu masih dirawat selain sukar untuk bercakap dengan jelas disebabkan kesan serangan tebuan terutama di bahagian muka dan mulut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ismail Darus ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.25 malam kelmarin sebelum tiba di kaki gunung setengah jam kemudian bersama 16 anggota.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam untuk tiba di lokasi kejadian dan berjaya membawa turun dua mangsa berkenaan kira-kira jam 10.20 malam.

“Kami menghadapi kesukaran untuk menjejaki kedudukan mangsa dan pendaki lain berikutan hari gelap dan hujan. Namun, kami bernasib baik kerana operasi menyelamat disertai anggota daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Jarak kedudukan mangsa dengan kaki gunung sekitar 15 kilometer (km) dan ia memaksa kami mengambil masa yang lama untuk tiba di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati dua pelajar berkenaan berada dalam keadaan longlai sambil menahan kesakitan.
myMetro | Terpijak sarang tebuan

Cucu durjana kena jel 7 tahun, lima sebatan


KOTA BHARU: Seorang pemuda boleh dianggap 'cucu durjana' kerana bukan saja merancang rompakan terhadap nenek sendiri, malah turut membiarkan warga emas berusia 78 tahun itu ditolak rakan karibnya semata-mata mahu mendapatkan barangan kemas bernilai RM6,000.
Perbuatan kejam itu dilakukan dua sahabat terbabit ketika merompak warga emas berkenaan menggunakan alasan singgah ke rumah itu untuk meminta segelas air menghilangkan dahaga.

Kronologi perbuatan tertuduh terkandung dalam fakta kes dibentangkan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari sejurus Shamsul Kahar Mohamad, 30, dan rakannya, Mohd Ikhwan Abdullah, 30, mengaku salah terhadap tuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Malah, ketika mengemukakan rayuan di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Irwan Suainbon, Shamsul Kahar turut membuat pengakuan berani apabila mendakwa dipengaruhi pil kuda ketika merompak mangsa selain tidak tidur seminggu.

Irwan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan lima sebatan terhadap Shamsul Kahar yang juga cucu mangsa dan memerintahkan hukuman itu bermula semalam.


Mohd Ikhwan juga dipenjara 10 tahun dan lima sebatan selepas didapati mempunyai empat rekod kesalahan lampau termasuk dijatuhi penjara enam bulan dan setahun bagi kes sebelum ini.

Asmah berkata, dalam kes itu, tertuduh pertama yang juga cucu mangsa dan rakannya masuk ke rumah itu sebelum meminta minuman dan ketika mangsa ke dapur mengambil air, tertuduh kedua mengikutnya dan berpura-pura bertanyakan bilik air.

"Suspek kemudian meragut rantai warga emas itu. Cucu sepatutnya menjaga neneknya berusia 78 tahun, bukan menyakiti, sebaliknya sanggup merompak mangsa," katanya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Shamsul Kahar dari Kampung Padang Enggang, Jalan Pasir Hor dan Mohd Ikhwan dari Kampung Kubur Kuda, dekat sini, didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap Rokiah Boto dengan mengambil seutas rantai tangan dan gelang emas bernilai RM6,000.

Kedua-dua mereka didakwa bersama melakukan perbuatan itu di Taman Binjai Manis, Ketereh, dekat sini, jam 1 tengah hari, 28 Jun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
myMetro | Cucu durjana kena jel 7 tahun, lima sebatan

Resort tercemar virus kencing tikus ditutup


KALUMPANG: Sebuah resort terkemuka di daerah ini, diarahkan ditutup secara berperingkat-peringkat berikutan penemuan virus kencing tikus (leptospirosis) menyebabkan kematian seorang remaja Jun lalu.
Remaja berkenaan disahkan dijangkiti virus berkenaan ketika mandi di kolam renang resort berkenaan.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, penutupan bermula Jumaat lalu, jam 11.35 pagi bertujuan penyiasatan lanjut termasuk kerja perawatan air dan pembasmian kuman di resort berkenaan.

Katanya, resort berkenaan akan ditutup sepenuhnya pada awal Ogos ini.

“Tindakan itu wajar dilakukan segera bagi memastikan pengunjung tidak terdedah risiko dijangkiti virus berkenaan yang boleh membawa maut.


“Ketika ini, tiga lokasi yang dikenal pasti ada jangkitan virus berkenaan yang diarahkan ditutup adalah kolam mandi, kafetaria dan tapak perkhemahan awam ,” katanya kepada Harian Metro selepas menyertai lawatan khas di resort itu, semalam.

Hadir sama, beberapa pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor, anggota penguat kuasa dari Majlis Daerah Hulu Selangor dan Pejabat Daerah Hulu Selangor. Beliau yang juga Pengerusi Wabak Penyakit daerah ini berkata, keputusan dilakukan berdasarkan hasil siasatan sepasukan pegawai kesihatan awam Kementerian Kesihatan Selangor yang mengesahkan positif jangkitan virus berkenaan.

Nur Hisham berkata, penularan virus berkenaan mula dikesan sejak sebulan lalu hasil keputusan positif daripada dua sampel air yang diambil dari resort berkenaan.
“Saya menasihati pengunjung sentiasa berwaspada dengan pengumuman ini dan perlu mengambil tindakan sewajarnya termasuklah dilarang memasuki kawasan larangan,” katanya.
myMetro | Resort tercemar virus kencing tikus ditutup

Lelaki pecah cermin kereta kekasih sebelum perkosa

HULU SELANGOR: Seorang lelaki berusia awal 20-an sanggup merogol teman wanitanya selepas memujuk wanita itu yang berasal dari Sungai Petani, Kedah mengikutnya ke ibu kota.

Difahamkan, lelaki terbabit mengajak teman wanitanya yang berusia 22 tahun itu ke rumah salah seorang ahli keluarganya yang tinggal di Bukit Sentosa, di sini, Selasa lalu.


Menurut sumber, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa membenarkan suspek memandu kereta miliknya untuk ke rumah ahli keluarga lelaki itu.

“Sebaik tiba di rumah berkenaan kira-kira jam 2 pagi, suspek bertindak memaksa mangsa masuk ke dalam rumah dan menyatakan hasratnya untuk mengadakan hubungan seks.


“Mangsa yang terkejut dengan permintaan suspek kemudian menolak permintaan itu,” katanya.


Menurutnya, disebabkan keengganan mangsa, suspek dikatakan mengamuk dan bertindak memecahkan cermin kereta mangsa sambil mengarahkan mangsa keluar dari kenderaan itu.

“Selepas itu, mangsa yang ketakutan keluar dari keretanya sebelum ditarik suspek masuk ke dalam rumah berkenaan,” katanya.


Sumber berkata, mangsa diperkosa dalam sebuah bilik di rumah berkenaan sebelum mangsa dibawa pulang semula ke rumahnya di Sungai Petani keesokannya.

Mangsa kemudian memaklumkan apa yang berlaku ke atasnya kepada bapanya sebelum dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.


“Mangsa dihantar ke hospital untuk pemeriksaan. Hasil pemeriksaan mendapati ada kesan koyak pada kemaluan mangsa dipercayai dirogol,” katanya.

myMetro | Lelaki pecah cermin kereta kekasih sebelum perkosa

Amah mati kena cekik di bilik majikan

Polis tak tolak kemungkinan pembantu rumah warga Filipina dibunuh suspek dikenali

PETALING JAYA: Seorang pembantu rumah warga Filipina ditemui mati dalam bilik tidur rumah majikannya, dipercayai akibat dicekik dan ditetak dalam kejadian di Jalan Gasing di sini, malam kelmarin.

Kejadian disedari majikannya sebaik pulang dari makan malam jam 11.45 malam sebelum menemui wanita berkenaan yang lengkap berpakaian dalam keadaan terbaring di bilik terbabit.
Berdasarkan siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan mangsa berusia 36 tahun itu mengenali suspek dan membenarkannya masuk kerana tiada kesan pecah pada pintu rumah serta bilik tidurnya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata pemeriksaan forensik menemui kesan lebam pada leher mangsa dipercayai dicekik selain kesan hentakan di belakang kepalanya.

Beliau berkata, polis tidak menemui sebarang senjata digunakan untuk membunuh mangsa, manakala barang peribadi milik pembantu rumah terbabit didapati hilang.

“Kejadian dipercayai sekitar jam 10 malam ketika mangsa tinggal sendirian kerana majikannya keluar makan malam bersama keluarga. Setakat ini polis tidak menolak kemungkinan mangsa mengenali suspek berdasarkan keadaan rumah serta bilik tiada kesan dipecah masuk.

“Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti motif kejadian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya semalam.
Difahamkan, rumah milik seorang ahli perniagaan berkenaan dihuni empat sekeluarga selain pembantu rumah berkenaan yang sudah sembilan tahun bekerja dengan majikannya.
Berita Harian Online | Amah mati kena cekik di bilik majikan

Cucu rompak nenek kena tujuh tahun

SHAMSUL KAHAR  (kiri) dan Mohd Ikhwan dibawa keluar dari  Mahkamah Sesyen  Kota Bharu selepas dijatuhi hukuman, semalam.
SHAMSUL KAHAR (kiri) dan Mohd Ikhwan dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas dijatuhi hukuman, semalam.
Penganggur mengaku dipengaruhi pil kuda

KOTA BHARU: Seorang cucu yang merompak barangan kemas neneknya Jun lalu dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen, semalam.

Perbuatan cucu terbabit terkandung dalam fakta kes dibentangkan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari sebelum Shamsul Kahar Mohamad, 30, dan Mohd Ikhwan Abdullah, 30, masing-masing mengaku salah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Ketika mengemukakan rayuan di hadapan Hakim Irwan Suainbon, Shamsul Kahar mengaku diri dipengaruhi pil kuda ketika merompak neneknya, selain tidak tidur selama seminggu.
Shamsul Kahar dan Mohd Ikhwan didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas Rokiah Boto, 78, dengan mengambil seutas rantai tangan dan gelang emas, bernilai RM6,000.

Kedua-duanya yang juga penganggur dituduh melakukan perbuatan itu di Taman Binjai Manis, Ketereh, dekat sini, pada jam 1 tengah hari 28 Jun lalu. Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Mohd Ikhwan dihukum penjara 10 tahun dan lima sebatan kerana mempunyai empat rekod kesalahan lampau termasuk pernah dipenjara enam bulan dan setahun.

Terdahulu, Asmah meminta mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh kerana perbuatan itu membabitkan seorang cucu yang merompak neneknya sehingga mengalami sakit badan akibat perbuatan itu.
Katanya, tertuduh pertama yang juga cucu mangsa bersama rakannya masuk ke rumah sebelum meminta minuman dan ketika mangsa ke dapur, tertuduh kedua mengikutnya dengan berpura-pura bertanyakan bilik air.
Berita Harian Online | Cucu rompak nenek kena tujuh tahun

Guru maut SUV bertembung pikap


pix_gal0
KOTA TINGGI: Dua saudara angkat tercampak keluar dari kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki selepas bertembung sebuah pikap Toyota Hilux, menyebabkan seorang daripada mereka maut di Kilometer 33.7, Jalan Johor Bahru-Mersing, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, Nor Zakiah Umar, 29, yang baru selesai menghadiri kursus di Sekolah Kebangsaan Alai, Merlimau, Melaka, dalam perjalanan ke Johor Bahru bersama adik angkatnya, Azuanurhuda Abd Rahman, 24, juga seorang guru.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot berkata, kedua-dua mereka dipercayai dalam perjalanan ke Kota Tinggi untuk membeli belah, namun apabila tiba di tempat kejadian Toyota Rush dipandu Zakiah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung Toyota Hilux berkenaan.
“Akibat pertembungan itu, Zakiah terperosok di bawah Toyota Hilux itu dan meninggal di tempat kejadian manakala Azuanurhuda tidak sedarkan diri selepas tercampak keluar dari kenderaan ke bahu jalan tidak berturap,” katanya di sini, semalam.

Osman berkata, pemandu Hilux berusia lingkungan 40-an hanya mengalami kecederaan ringan di telinga kanan.

Katanya, Azuanurhuda dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) dipercayai mengalami kecederaan dalaman sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

“Kami sudah merekodkan keterangan daripada mangsa yang terselamat dan saksi turut diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, sahabat karib mangsa, Asiah Samad, 49, berkata berita kematian Nor Zakiah yang diketahui melalui SMS daripada rakannya bagaikan satu mimpi yang sukar untuk dipercayai.

“Saya terkejut menerima berita pemergian arwah sedangkan kami baru saja bergurau mesra bersama ketika kem ibadat dan kursus pembuatan filem Jumaat dan Sabtu lalu,” katanya.
Berita Harian Online | Guru maut SUV bertembung pikap