Search This Blog

Sunday, July 24, 2011

Cucu rompak nenek dijel 7 tahun dan lima sebatan


KOTA BHARU - "Saya mengaku salah merompak barang kemas nenek saya Yang Arif. Saya minta maaf kerana semasa kejadian dipengaruhi pil kuda, sudah seminggu saya tidak tidur," kata seorang penganggur dalam rayuannya di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Shamsul Kahar Mohamad, 30 dari Kampung Padang Enggang, Jalan Pasir Hor, di sini dan rakannya, Mohd Ikhwan Abdullah, 30, didakwa bersama-sama merompak secara berkumpulan terhadap Rokiah Boto, 78 tahun dengan mengambil seutas rantai leher dan rantai tangan emas berharga RM6,000.

Mereka mengaku salah atas pertuduhan itu dan didakwa merompak warga emas berkenaan di sebuah rumah di Taman Binjai Manis, Ketereh, di sini pada jam 1 petang, 28 Jun lalu.

Hakim Irwan Suainbon menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan lima sebatan terhadap tertuduh pertama dan 10 tahun lima sebatan terhadap tertuduh kedua yang berasal dari Kampung Kubur Kuda, di sini.

“Selepas mengambil kira pengakuan tertuduh dan mendengar rayuan mereka serta menimbang hujah Timbalan Pendakwa Raya dan juga fakta kes, mahkamah mendapati kesalahan yang dilakukan tertuduh serius dan mengancam masyarakat.

“Oleh itu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara itu mulai tarikh jatuh hukum dan masing-masing dikenakan lima sebatan,” katanya.Terdahulu dalam rayuannya, Mohd Ikhwan memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadapnya kerana dia sudah insaf dan sedar atas kesilapannya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari dalam hujahnya berkata, jika benar mereka insaf sudah tentu kedua-dua tertuduh menyerah diri selepas kejadian kerana kes itu turut melibatkan ahli keluarga.

"Namun tertuduh pertama berjaya ditahan pada 4 Julai manakala tertuduh kedua pada 8 Julai lalu dan Mohd Ikhwan juga mempunyai empat rekod kesalahan lampau dan pernah dipenjara.

"Tertuduh pertama pula cucu kepada mangsa iaitu neneknya berusia 78 tahun, sepatutnya cucu menjaga nenek dan bukan merompaknya.

Selepas menjual barang kemas itu wang hasil rompakan itu dibahagi dua antara mereka," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian tertuduh pertama mengunjungi neneknya dengan membawa seorang rakannya (tertuduh kedua) dan apabila tiba di rumah itu Mohd Ikhwan mengekori mangsa hingga ke dapur.

Katanya, ketika itu dia tiba-tiba memeluk mangsa sebelum menarik rantai leher dan tangan emas yang dipakai mangsa lalu mangsa menjerit meminta tolong dengan harapan cucunya itu akan membantu.

Namun sebaliknya, Asmah berkata, cucunya itu terus melarikan diri bersama tertuduh kedua dengan menunggang motosikal dan laporan polis dibuat pada hari sama oleh anak mangsa.

“Jenayah yang dilakukan tertuduh serius kerana melibatkan warga emas dan mangsa neneknya sendiri, kejadian itu juga berlaku di rumah nenek berkenaan. Oleh itu saya memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh,” katanya.

SH

28 kes penceraian tertunggak di Wilayah Persekutuan diselesaikan tahun ini

KUALA LUMPUR - Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mensasarkan 28 kes penceraian tertunggak sejak 2008 di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan akan dapat diselesaikan tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah ini sejajar dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) JKSM yang mahu kes-kes tertunggak lebih daripada tiga tahun diselesaikan pada tahun ini juga.

Sehubungan itu, beliau berkata, pembukaan dua unit transit Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) hari ini di kuarters kerajaan Jalan Duta di sini akan memudahkan lagi tujuan tersebut.

"Pembukaan BSK ini menjadikan jumlah unit BSK kepada enam buah termasuk dua di Kompleks Darussa'dah di Jalan Ipoh dan dua lagi di Putrajaya.

"BSK juga selain itu turut membiayai makan dan minum serta tambag pergi balik ke mahkamah bagi meringankan beban mereka sementara kes mereka dibicarakan di mahkamah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan unit tersebut di sini hari ini.

Katanya, seramai 96 pegawai JKSM akan ditugaskan di unit berkenaan bagi menyelaraskan keperluan mereka yang tinggal di unit transit tersebut.

Dalam pada itu beliau turut mengulas perbuatan wanita bertudung labuh dan berpurdah tetapi mencemuh dan mencaci polis pada perhimpunan haram 9 Julai lalu.- Bernama

SH

91 korban serangan berganda di Norway

SERANGAN KEDUA: Mangsa serangan di perkhemahan belioa di Pulau Utoeya dipindahkan ke darat bagi mendapatkan rawatan perubatan. - Foto AP



Pengerusi Hadiah Keamanan Nobel sifatkan serangan khemah belia bertujuan cederakan rakyat muda yang terlibat aktif dalam persatuan demokratik dan politik

OSLO (Norway): Seramai 91 orang terbunuh dalam serangan berganda di Norway kelmarin, jauh lebih tinggi daripada anggaran awal seramai 17 orang.

Serangan itu disifatkan sebagai paling besar di Eropah Barat sejak pengeboman ke atas kereta api di Madrid pada 2004.

Seorang lelaki warga Norway berusia 32 tahun, yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kumpulan pelampau sayap kanan, telah ditahan polis.

Serangan pertama berlaku apabila bom kereta diletupkan di depan kawasan pejabat kerajaan, yang turut menempatkan pejabat Perdana Menteri, Encik Jens Stoltenberg, sekitar 3.30 petang (waktu tempatan).

Dalam kejadian tersebut, tujuh orang terkorban dan 10 parah.

Encik Stoltenberg terselamat kerana bertugas dari rumah.

Mengutuk serangan itu, Encik Stoltenberg, berkata:

'Saya mempunyai mesej kepada mereka yang menyerang kami. Ia mesej dari semua rakyat Norway. Anda tidak akan dapat memusnahkan demokrasi dan komitmen kami untuk mewujudkan dunia yang lebih baik.'

Lokasi tempat bom meletup penuh dengan besi bengkok dan serpihan kaca selain kertas dokumen dari pejabat beberapa bangunan sekitarnya, yang menempatkan pejabat kerajaan dan ibu pejabat beberapa akhbar utama negara itu.

Seorang saksi, Encik Ian Dutton, yang berada di hotel berdekatan berkata:

'Orang ramai rasa terkejut dan tidak percaya kerana kejadian ini berlaku di negara yang selamat dan terbuka seperti Norway.'

Selang dua jam kemudian, seorang suspek yang menyamar sebagai anggota polis, melepaskan tembakan ke arah sekumpulan belia yang mengadakan program perkhemahan parti yang memerintah di Pulau Utoeya, yang terletak di barat laut Oslo.

Seramai 84 orang terkorban dalam serangan itu.

'Saya nampak beberapa orang belia lari bertempiaran dan melompat ke laut,' kata seorang saksi, Cik Kristine Melby, kepada saluran televisyen Al Jazeera.

Memberi butir lanjut mengenai suspek yang ditahan, pemangku ketua polis, Encik Sveinung Sponheim, berkata:

'Lelaki itu adalah suspek utama letupan bom di Oslo dan disyaki telah bergerak dari ibu kota ke kawasan perkhemahan.'

Serangan itu turut mendapat kecaman pemimpin dunia, dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, berkata:

'Ia merupakan satu peringatan bahawa seluruh masyarakat dunia mempunyai taruhan dalam usaha mengelakkan serangan serupa ini daripada berulang.'

Encik Obama turut mengucapkan takziah kepada rakyat Norway, sambil mengenang kembali layanan mesra ketika beliau menerima Hadiah Keamanan Nobel di Oslo pada 2009.

Pengerusi Hadiah Keamanan Nobel, Encik Thorbjorn Jagland, berkata serangan ke atas peserta program perkhemahan belia menunjukkan 'ia bertujuan mencederakan rakyat muda kita yang terlibat aktif dalam persatuan demokratik dan politik.

'Tetapi, kita tidak harus takut. Kita harus memperjuangkan kebebasan dan demokrasi setiap hari,' kata Encik Jagland. -- AFP, AP, Reuters.

Cyberita Online Luar Negara

Dua kumpulan Amerika Latin dalang curi berlian

SHAH ALAM: Polis mengenal pasti dua kumpulan warga Amerika Latin, terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita, yang dipercayai terlibat dalam dua kes mencuri berlian dan barangan kemas bernilai RM1.66 juta di kawasan balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, pada Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata siasatan pihak polis juga mempercayai kumpulan berkenaan adalah kumpulan sama terlibat dalam kes curi tiga beg berisi emas bernilai kira-kira RM900,000 di Terengganu pada akhir 2009.


"Kita dapat lihat kelicikan mereka dalam mencuri dengan datang secara berkumpulan ke Malaysia dan menyewa kereta, kemudian samun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Jom Memancing Bersama Ketua Polis Selangor dan melancarkan Pasukan Kesedaran Jenayah (CAT) Peringkat Selangor di Kolam Memancing Air Tawar Rabok Bay, Jalan Kebun, di Seksyen 32 di sini hari ini.

myMetroDua kumpulan Amerika Latin dalang curi berlian

Empat sahabat dihukum gantung

ALOR SETAR: Empat sahabat, termasuk seorang warga Thailand, hari ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar selepas didapati bersalah mengedar kanabis lima tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.


Mohd Sabri Ishak, 36, Muhamad Hasbi Baskaran Abdullah, 41, Jarry Saeddanee, 37, warga Thailand, dan Azizan Hamid, 45, ditahan oleh anggota polis yang menyamar sebagai pembeli di Bukit Kayu Hitam pada 20 Mei 2006.

Kesemua lelaki itu dituduh dengan niat bersama mengedar kanabis seberat 93,070 gram di Jalan Taman Seri Temin, Bukit Kayu Hitam, kira-kira 7 pagi pada tarikh tersebut.


Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan dihukum menurut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

myMetroEmpat sahabat dihukum gantung

Plastik punca penyu mati

KEMAMAN: Dana Hidupan Liar Sedunia-Malaysia, percaya plastik yang dibuang ke dalam laut merupakan salah satu punca menyebabkan penyu mati.

Ketua Program Pemuliharaan Penyu dan Tuntung Laut Terengganu, WWF-Malaysia, Rahayu Zulkifli berkata ini kerana plastik yang dibuang ke laut dan terapung-apung di permukaan air itu disangka oleh penyu sebagai obor-obor, makanannya. "Sebab itu apabila kita jumpa penyu mati kita dapati dalam perutnya mengandungi plastik," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Kempen 'Lindungilah Penyu Kita' di sini.


Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat khususnya nelayan supaya bekerjasama dan tidak membuang segala plastik ke dalam laut memandangkan plastik itu boleh membunuh penyu yang semakin pupus.

myMetroPlastik punca penyu mati

Perlanggaran dua kereta api laju yang di Shuangyu, China


KEADAAN tapak perlanggaran dua kereta api laju yang di Shuangyu, China, ketika usaha mencari dan menyelamat diteruskan. Pihak berkuasa China mengarahkan penilaian semula aspek keselamatan sistem kereta api selepas nahas yang mengorbankan 35 orang dan mencederakan lebih 200 yang lain. - Foto AFP

6 maut dalam serangan bom kereta di Yaman

SANAA: Letupan bom kereta di luar pangkalan tentera di bandar pelabuhan Aden di selatan Yaman membunuh enam orang dan mencederakan 15 yang lain, menurut sumber perubatan.

Saksi turut menyatakan mereka melihat sebuah kereta kebal terbakar.
Letupan itu berlaku selepas satu lagi letupan bom yang dipasang pada kereta membunuh seorang rakyat Britain Rabu lalu.
Negara itu dilanda kekacauan politik berikutan penentangan terhadap pemerintahan 33 tahun Presiden Ali Abdullah Saleh, sejak beberapa bulan lalu. - Reuters
Berita Harian Online | 6 maut dalam serangan bom kereta di Yaman

Dua pelajar cedera disengat tebuan

IPOH: Dua pelajar Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman, Ipoh, cedera akibat disengat tebuan ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Gunung Korbu, dekat Kuala Kangsar, kira-kira 60 kilometer dari sini, semalam.

Pegawai Kanan Bomba Kuala Kangsar, Ismail Darus, berkata Mohd Adlin Aiman Razali dan Mohd Harith Zainuddin, kedua-dua berusia 14 tahun, mengalami bengkak di seluruh badan akibat kejadian dan mereka sedang dirawat di Hospital Kuala Kangsar.
"Mereka masih dirawat di hospital dan keadaan mereka stabil," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian jam 7 petang itu, mereka berdua bersama 23 pelajar dari sekolah itu sedang menuruni gunung tersebut untuk pulang ke asrama sekolah di sini.

Katanya, laporan kejadian diterima pada 7.25 petang dan lebih 40 petugas dari Jabatan Bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), polis dan RELA, dengan bantuan orang ramai bergegas ke tempat kejadian untuk menghulur bantuan.

Ismail berkata, kedua-dua pelajar yang cedera itu kemudian dibawa ke hospital dengan menaiki pacuan empat roda dan kumpulan pelajar itu didapati mendaki gunung berkenaan dua hari LALU tanpa memaklumkan kepada pihak polis atau bomba.
- BERNAMA
Berita Harian Online | Dua pelajar cedera disengat tebuan

Suspek serangan Norway bertindak sendirian: Polis

OSLO: Polis Norway hari ini menyatakan suspek serangan berkembar yang membunuh sekurang-kurangnya 92 orang bertindak sendirian selepas beberapa saksi memberitahu seorang lagi lelaki bersenjata mengambil bahagian dalam pembunuhan beramai-ramai itu.

Namun polis masih cuba mengenal pasti sama ada terdapat "seorang atau lebih" penembak dalam serangan kelmarin terhadap perjumpaan remaja Parti Buruh di Pulau Utoeya.
“Semasa sosal siasat, suspek berkata beliau bertindak sendirian. Kami akan cuba memastikan perkara ini menerusi siasatan kami," kata Pesuruhjaya Polis, Sveinung Sponheim. - AFP
Berita Harian Online | Suspek serangan Norway bertindak sendirian: Polis

Amah Filipina ditemui mati dibunuh

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah rakyat Filipina ditemui mati dengan kesan lebam di badan dan hentakan di kepala di rumah majikannya di Jalan Gasing, Petaling Jaya dekat sini malam tadi.

Mayat mangsa ditemui terbaring di bilik tidur oleh majikannya kira-kira jam 12 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi berkata pemeriksaan awal forensik mendapati mangsa yang berumur 36 tahun itu mati akibat kesan hentakan di belakang kepala selain terdapat beberapa kesan lebam pada badannya.
"Polis masih menyiasat motif kejadian dan senjata yang digunakan suspek dalam kes pembunuhan ini.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan mangsa mengenali suspek kerana tiada kesan pecah masuk atau umpilan pada pintu rumah itu," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa barang milik suspek yang dipercayai hilang berdasarkan keadaan bilik yang berselerak.

"Mangsa bekerja sebagai pembantu di rumah ini selama sembilan tahun dan ketika kejadian mangsa bersendirian di rumah majikannya. Polis kini masih mencari bukti bagi menjejaki suspek," katanya.
Mayat wanita itu di hantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Sementara itu, dalam kes berlainan, seorang wanita maut manakala kawan lelakinya cedera parah dalam kemalangan di KM18 Jalan Klang Gate menghala ke arah Ampang dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa, Puteri Yushru Qistina Mazlan, 20, dipercayai menunggang motosikal dengan laju sebelum terbabas di satu selekoh lalu melanggar pembahagi jalan.

Ketua Polis Ampang, ACP Amiruddin Jamaluddin, berkata berikutan hentakan kuat antara motosikal itu dengan pembahagi jalan berkenaan, mangsa meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

"Mangsa yang juga pelajar sebuah kolej swasta di Kota Damansara meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat," katanya melalui khidmat SMS hari ini.

Beliau berkata, kawan lelaki mangsa yang berumur 26 tahun cedera di bahagian badan dan dihantar ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan lanjut. - BERNAMA
Berita Harian Online | Amah Filipina ditemui mati dibunuh

Dua beranak maut rempuh jentolak

MARANG - Dua beranak maut dalam satu kemalangan setelah kenderaan yang mereka naiki merempuh belakang jentolak di tepi jalan di Kampung Jambu Bongkok, di sini petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.45 petang semalam di kilometer 62, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan menyebabkan Wan Shaari Zakaria, 50, dan anaknya Wan Shakifli Wan Shaari, 8 tahun yang berasal dari Kampung Pasir Puteh, Merchang, mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mazlan Yahya berkata kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Wan Shaari dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bersebelahan lalu merempuh sebuah jentolak yang berhenti di tepi jalan.

"Ketika tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa dari arah Dungun hilang kawalan dan merempuh belakang sebuah jentolak yang berhenti ditepi jalan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini

Lelaki tikam bekas isteri, serah diri

KOTA BAHARU - Seorang lelaki yang dipercayai menikam bekas isterinya sehingga cedera parah di tingkat bawah ruang meletak kereta sebuah pasar raya bulan lepas, hari ini menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Azham Othman berkata suspek yang berumur 28 tahun itu hadir ke balai polis bersendirian kira-kira pukul 3 petang.

"Kami sudah ambil keterangan daripada suspek dan dia akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian bulan lepas seorang wanita berumur 27 tahun ditikam bertubi-tubi di tingkat bawah ruang meletak kereta sebuah pasar raya di Jalan Sultan Yahya Petra di sini.

Wanita itu mengalami kecederaan serius akibat ditikam dengan sebilah gunting di kepala, leher serta dikelar di bahagian muka, dan beberapa media melaporkan ia dipercayai dilakukan oleh bekas suami wanita itu.

Azham berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah dengan senjata dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebatan. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini

Lelaki menyamar polis dicekup

KOTA BAHARU - Polis menahan seorang lelaki berumur 34 tahun kerana menyamar sebagai pegawai kanan polis berpangkat ASP.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata, lelaki yang berasal dari Miri Sarawak itu ditahan empat hari lepas di Jalan Long Yunus, hasil maklumat orang awam.

"Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 3 petang, 21 Julai lepas bersama kenderaan jenis Toyota Alphard yang disewanya.

"Ketika ditahan dia hanya berpakaian biasa dan hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui pelbagai jenis barangan penyamaran sebagai anggota polis antaranya pakaian seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM), lencana dan pangkat PDRM, gari, tali pinggang polis dan sarung pistol,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata selain barangan penyamaran polis, turut dirampas dalam kenderaan itu ialah wang tunai berjumlah RM2,619, yang diletakkan dalam sekeping sampul surat.

Azham berkata siasatan awal polis mendapati lelaki itu memiliki beberapa rekod jenayah lampau dalam kes yang sama dan baru beberapa bulan dibebaskan dari penjara. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini

Mayat ditemui tepi jalan



TAMAN RINTING – Mayat seorang lelaki ditemui orang awam di tepi jalan susur keluar Jalan Persiaran Taman Rinting (Lebuh Raya Baru Permas Jaya-Pasir Gudang), di sini kira-kira jam 7.45 pagi, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Saifi Abd Hamid berkata, anggota polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat seorang lelaki di tepi jalan.

Menurutnya, pihak polis masih menunggu laporan bedah siasat ke atas mayat yang telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk menentukan punca kematian.

“Sebaik sampai di tempat kejadian, kita dapati lelaki yang berusia 23 tahun dan beralamat di Felda Adila, Kota Tinggi itu telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.

“Punca kematian masih dalam siasatan kerana kita masih belum dapat pastikan sama ada mangsa mati akibat kemalangan atau dibunuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Saifi berkata, hasil pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati terdapat kesan lebam di bahagian mata dan luka di ibu jari kaki kanan serta kesan luka juga terdapat di bahagian muka terutama di kening kiri.

Menurutnya, hanya mayat mangsa yang masih berpakaian lengkap ditemui orang awam terbaring di tepi jalan tanpa sebarang kenderaan di sampingnya.

“Kita telah menghubungi keluarga mangsa untuk memaklumkan penemuan mayat mangsa di sini.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam untuk membantu siasatan,” katanya.
SH

Janda dirogol dua lelaki selepas berhibur



GEORGETOWN - Seorang janda terpaksa menempuh detik yang mengaibkan apabila dia dirogol dua lelaki mabuk dalam satu kejadian di sebuah tapak perkuburan Cina di Teluk Kumbar di sini, awal pagi kelmarin.

Kejadian yang dipercayai berlaku di dalam kereta milik seorang daripada empat lelaki yang pada mulanya berniat menghantar mangsa pulang selepas mereka keluar berhibur di sekitar Queensbay, dekat sini.

Menurut sumber, mangsa yang berusia lewat 20an itu pada mulanya dikatakan keluar berhibur bersama empat rakan lelaki dan dia hanya mengenali seorang daripada mereka.

Katanya, kejadian berlaku ketika kesemua mereka dalam keadaan mabuk selepas keluar dari sebuah pusat hiburan kira-kira jam 4 pagi dan mangsa kemudian dibawa kumpulan lelaki terbabit di sekitar kawasan yang agak sunyi sebelum berlakunya perbuatan terkutuk itu.

“Ketika sampai di kawasan itu, mangsa pada mulanya dikatakan dirogol kenalan lelakinya dalam kereta milik lelaki terbabit dan kemudian mangsa sekali lagi dipaksa mengadakan hubungan seks dengan seorang lagi lelaki dan kejadian itu juga berlaku dalam kenderaan terbabit,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang tidak berpuas hati dengan kejadian itu kemudian membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Barat Daya selepas dia tersedar daripada mabuk.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat mangsa.

“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu, manakala seorang suspek sudah ditahan," katanya.
SH

Anjing jadi punca kemalangan



MELAKA - Gara-gara mengelak seekor anjing melintas jalan, seorang kakitangan syarikat swasta hadapi saat mencemaskan apabila kereta dipandunya terjunam ke dalam parit sedalam kira-kira 1.5 meter, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 3 petang di Jalan Pulau Gadong, dekat sini, apabila kereta jenis Proton Wira milik Mohd Fauzi Mohd Salleh, 29, rosak apabila roda depan sebelah kiri tercabut akibat kemalangan berkenaan.

Menurut Mohd Fauzi, semasa kejadian, dia dalam perjalanan menghala ke arah Taman Melaka Raya.

“Semasa tiba di tempat kejadian, saya terkejut apabila seekor anjing secara tiba-tiba menyeberang jalan,” katanya.

Dia yang memandu berseorangan ketika itu terpaksa memaut stereng ke kiri bagi mengelakkan kenderaannya merempuh anjing berkenaan, bagaimanapun tayar kiri kenderaannya terperosok ke dalam lubang di bahu jalan.

“Ia menyebabkan kereta saya pandu terus meluru ke depan sebelum terjunam ke dalam saluran parit yang dipenuhi sampah dekat pintu kawalan pasang surut empang air di sini,” katanya kepada Sinar Harian, di lokasi kemalangan, semalam.
SH

Maut tercampak dalam gaung



HULU BERNAM – Seorang kakitangan sebuah agensi media maut setelah tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki selepas terbabas di Kilometer 401.8 Lebuhraya Utara Selatan menghala Kuala Lumpur selepas susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim, di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Shakeera Hani Aznan, 26, yang bekerja sebagai Eksekutif Pemasaran Akhbar Kosmo! patah tengkuk dan cedera parah di muka selepas tercampak ke gaung sedalam kira-kira 10 meter.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 pagi itu, dipercayai berpunca daripada tayar hadapan kereta jenis Proton Inspira yang dinaiki mangsa bersama seorang rakannya, Abd Salimi Abd Halim, 31, pancit.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kereta terbabas dan melanggar penghadang tengah lebuh raya sebelum berpusing beberapa kali.

“Mereka dikatakan dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Lumpur, tiba di tempat kejadian, tayar kereta dipandu Abd Salimi pancit lalu hilang kawalan menyebabkan mereka terbabas dan berpusing setelah melanggar penghadang tengah lebuh raya, mangsa tercampak ke gaung sedalam 10 meter,” katanya.

Mayat mangsa hanya ditemui pada jam 4 pagi setelah lebih tiga jam usaha mencari dilakukan.

Norel Azmi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), rakan mangsa tidak mengalami kecederaan dan menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, sebelum insiden itu, kenderaan mangsa memasuki Plaza Tol Behrang untuk mengisi minyak sebelum keluar semula melalui Plaza Tol Tanjung Malim.

Kemalangan berlaku 100 meter dari susur keluar plaza tol berkenaan iaitu berdekatan Pintu Gerbang Bernam Jaya.
SH

Suspek serangan berkembar ditahan



OSLO - Seorang lelaki warga tempatan disyaki terlibat melakukan serangan ganas di dua tempat berasingan di Norway ditahan di rumahnya kelmarin dalam satu serbuan dilakukan polis.

Suspek dikenali sebagai Anders Behring Breivik (gambar), 32, dipercayai sebagai orang bertanggungjawab menyebabkan sekurang-kurangnya 84 remaja di kem musim panas pulau Utoeya terbunuh, manakala tujuh terkorban di Oslo dalam kejadian serangan berkembar terburuk di negara yang sebelum ini pernah menerima hadiah Nobel Keamanan.

Stesen penyiar terbesar TV2 dan akhbar Dagbladet mendakwa Breivik adalah ahli kumpulan pelampau berhaluan kanan di negara itu berdasarkan maklumat diperoleh melalui akaun peribadinya di beberapa laman sosial termasuk Facebook.

Beberapa jam selepas bangunan kerajaan dan pejabat perdana menteri, Jens Stoltenberg dibom, sebuah kem musim panas anjuran parti pemerintah, Parti Buruh turut menjadi sasaran serangan seorang lelaki bersenjata berpakaian uniform polis yang telah bertindak melepaskan tembakan rambang ke arah kumpulan remaja.

Pihak berkuasa menyatakan letupan di Oslo mungkin menggunakan lebih daripada satu butir bom kerana mereka turut menemui beberapa bahan letupan itu di tempat serangan ganas kedua berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Stoltenberg menyatakan beliau enggan membuat spekulasi dengan menuduh kumpulan pengganas terlibat dan menganggap serangan ganas itu tidak akan menggugat kestabilan dan keamanan negara mereka.
SH

Polis tahan empat orang disyaki terbabit dalam kegiatan proses dan edar dadah

IPOH - Polis menahan empat orang termasuk seorang wanita dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah di sebuah rumah di Gunung Rapat di sini dalam serbuan awal hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Shukri Dahalan berkata, dalam serbuan pada jam 5 pagi di rumah berkenaan, polis menemui pelbagai jenis peralatan di sebuah bilik yang dijadikan sebagai makmal untuk memproses dadah jenis heroin.

"Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) dan direman esok untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata sabit kesalahan mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh membawa hukuman mati mandatori.

Beliau berkata polis merampas dadah jenis heroin dan syabu yang masih belum diketahui beratnya serta cecair yang belum diketahui jenisnya, di samping merampas dua kenderaan daripada mereka. - Bernama

SH

Dua Lelaki ditahan jadikan rumah tempat simpan dadah

KUALA LUMPUR - Dua lelaki ditahan dan pelbagai jenis dadah serta sebuah kereta jenis Suzuki Swift dengan anggaran nilai keseluruhan RM279,000 dirampas pada serbuan di sebuah rumah di Taman Maju Jaya, Ampang, dua hari lepas.

Ketua Polis Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata kedua mereka yang berumur 21 dan 24 tahun itu ditahan dalam serbuan ke rumah itu pda pukul 10 malam.

"Mereka ditahan setelah keluar dari rumah tersebut sebelum polis menjalankan siasatan lanjut tehadap rumah itu dan menemui beberapa paket dadah jenis ketamin dan syabu serta lima telefon bimbit pelbagai jenama.

"Selain itu turut dirampas ialah plastik kosong yang digunakan untuk membungkus dadah," katanya di pejabatnya hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati bekalan dadah tersebut diperoleh dari kawasan Cheras, Kuala Lumpur dan mereka dipercayai telah menjalankan kegiatan sejak tiga bulan yang lepas.

Amiruddin berkata kedua mereka juga positif dadah jenis ketamin dan suspek yang berumur 24 tahun bekerja sebagai jurujual.

"Mereka dikenakan perintah tahanan reman bermula semalam sehingga 27 Julai ini dan kes di siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati," katanya.- Bernama

SH

RapidKL rugi RM10 juta akibat kecurian kabel tahun ini

KUALA LUMPUR - Pengendali perkhidmatan dua aliran transit aliran ringan (LRT) Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) kerugian kira-kira RM10 juta akibat kecurian kabel pada sistem semboyannya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengurus Besar Bahagian Operasi Rel RaipdKL, Bukhari Mohamed berkata, setakat ini terdapat 20 kes dilaporkan membabitkan kehilangan kabel pada sistem itu di semua aliran LRT terutamanya di kawasan Ampang dan Sri Petaling.

"Tahun lepas RapidKL mengalami kerugian RM15 juta akibat kehilangan kabel sistem itu yang menjejaskan sistem perkhidmatan LRT terutamanya di aliran Ampang," katanya kepada media di sini selepas menyertai program Latihan Kecemasan 2011 di LRT Sungai Besi, yang berakhir kira-kira pada pukul 1 pagi hari ini.

"Pencerobohan ini menyukarkan sistem operasi perjalanan LRT terutamanya dalam aspek perjalanan, kelajuan dan jarak masa," katanya.

Mengenai program latihan kecemasan itu, Bukhari berkata program itu turut melibatkan kerjasama antaranya pihak polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi memberi pendedahan kepada kakitangan RapidKL ketika berhadapan dengan situasi kebakaran di stesen LRT.

"Ini adalah latihan kebakaran pertama bagi tahun ini yang melibatkan 300 orang kakitangan RapidKL termasuk anggota polis dan bomba. Kita juga merancang untuk membuat latihan ini di LRT Kelana Jaya pada bulan September tahun ini," katanya.

RapidKL juga merupakan pengendali perkhidmatan bas RapidKL dan bas perantara.- Bernama

SH

Laporan polis kali kedua

KELANA JAYA: Isteri Penolong Pengarah Kastam, Ahmad Sarbaini Mohamed yang ditemui mati di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), April lalu, membuat laporan polis kali kedua bagi menggesa pihak polis menjalankan siasatan terhadap kes suaminya yang kini dibicarakan di mahkamah.

Maziah Manap, 50, membuat laporan polis di Balai Polis Kelana Jaya di sini, semalam, kerana tidak berpuas hati dengan beberapa prosiding yang dijalankan dan mengesyaki ada perkara tertentu dibuat sambil lewa.


“Saya yakin suami saya tidak bunuh diri tetapi wujud ‘permainan’ dalam kematian arwah suami saya berdasarkan kenyataan dalam blog yang ditulis Raja Petra Kamaruddin (RPK) di laman web Malaysia Today,” katanya.

Maziah juga mendakwa laporan polis dibuat keluarganya pada 2 Mei lalu di Kampung Baru Subang tidak disiasat polis dan keterangannya tidak diambil.

myMetroLaporan polis kali kedua

Buru 2 pencuri motosikal

KUALA TERENGGANU: Polis menggiatkan usaha memburu suspek dipercayai terbabit dalam kes mencuri motosikal jenis Honda EX5 di Chukai dan Kerteh, Kemaman, dalam dua kejadian berasingan minggu ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, dalam kes pertama, motosikal Honda EX5 yang diletakkan di depan sebuah bank di bandar Chukai dilaporkan hilang beberapa minit selepas mangsa meninggalkannya, Rabu lalu.


Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 10 malam ketika mangsa berurusan di bank dan sebaik selesai, dia mendapati motosikalnya hilang sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman.

“Kes kedua berlaku jam 4 pagi kelmarin di kawasan perumahan Taman Kaktus, Kerteh selepas mangsa pulang ke rumah,” katanya.

myMetroBuru 2 pencuri motosikal

Berdarah dibelasah samseng wanita

SEREMBAN: “Wanita itu bertindak ganas. Dia menarik rambut serta memukul kepala dan muka saya menggunakan kasutnya,” kata Gan Saw Foon, 43, yang menjadi mangsa serangan wanita samseng jalan raya di Jalan Temiang, di sini, Khamis lalu.

Menurut Gan, wanita terbabit turut mengambil botol bedak lalu memukul mukanya hingga berdarah.


Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa enggan memberi laluan kepada wanita itu bersama dua lelaki yang ingin masuk ke laluan sehala di situ.

Dalam kejadian jam 10 pagi, Gan lebam di mata dan cedera di muka selepas dipukul dengan kasut dan botol bedak sebelum perutnya ditendang oleh gadis ‘samseng’ itu.


Menceritakan kejadian, Saw Foon berkata, dia yang memandu Toyota Avanza mahu keluar dari simpang di jalan berkenaan sebelum dihalang sebuah kereta Perodua Kelisa berwarna biru dinaiki gadis berkenaan bersama dua lelaki.


“Saya mahu meletakkan kereta berdekatan kawasan itu supaya ibu yang berada di salun rambut berhampiran tidak perlu berjalan jauh, namun tidak sangka saya menjadi mangsa samseng jalan raya,” katanya.

Menurutnya, dia diarah gadis terbabit supaya memberinya laluan sedangkan itu adalah jalan sehala.

“Akibat keengganan saya memberinya laluan, gadis itu tidak berpuas hati lalu keluar dari kenderaan sebelum membuang puntung rokok ke arah saya melalui tingkap kereta.

“Apabila dia mula memukul, saya merayunya supaya berhenti kerana darah makin banyak keluar dari muka, namun dia kemudian menendang perut saya,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, dia tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan gadis itu membawa dua lelaki bersamanya di dalam kereta.


“Saya merayu kepadanya supaya berhenti memukul malah sempat menggigit tangannya, namun gadis itu menjerit menyuruh saya gigit dengan kuat lagi.


“Bimbang perkara tidak diingini berlaku, saya menjerit memanggil orang ramai yang kemudian meleraikan pergaduhan sebelum dua kereta peronda datang ke tempat kejadian.


“Sejurus kejadian, saya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan dan membuat laporan polis di Balai Polis Seremban,” kata ibu kepada tiga anak ini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya menyiasat kes itu secara terperinci.


“Kes ini masih dalam siasatan dan orang ramai yang ada maklumat diminta datang ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

myMetroBerdarah dibelasah samseng wanita

Masih sukar tidur malam

IPOH: “Mulai pagi tadi (semalam), dia (Muhammad Haziq Aqasha Muhamad Sazali, 3) mampu duduk, malah selera makannya juga semakin bertambah.

“Namun, dia sering merengek sambil meminta saya membawanya berjalan-jalan di luar wad. Mungkin kerana bosan sebab hanya terbaring dan tidur setiap masa,” kata Norazaliza Alwi, 31, ibu kepada kanak-kanak malang yang cedera parah selepas diseret van sekolah, pagi Selasa lalu.


Dalam kejadian jam 11.30 pagi di Bandar Baru Putra, Bercham, di sini, Muhammad Haziq cedera parah di kepala, perut dan tangan kiri selepas beg galasnya dipercayai tersangkut pada pintu van ketika menutupnya sebelum terseret hampir 50 meter.

Norazaliza berkata, anaknya akan menjalani pembedahan penting pada Selasa ini, terutama untuk menampal kecederaan serius di kiri kepalanya dengan kulit yang diambil dari belakang badan.


Katanya, sejak semalam, kesihatan anaknya beransur pulih, malah dia bersyukur Muhammad Haziq mampu makan dan minum berbanding sebelum ini.


“Buat masa ini, dia masih sukar tidur setiap malam dan hanya mampu merintih sakit. Saya tidak pasti berapa lama dia harus dirawat, namun doktor mengesahkan kecederaan dialaminya mengambil masa untuk pulih,” katanya.

Norazaliza berkata demikian selepas menerima kunjungan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam.


Pada kunjungan itu, Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada adik Muhammad Haziq selain bermesra dan bertanya khabar kepada kanak-kanak malang itu.

Ahmad Husni berkata, beliau simpati dengan kejadian yang menimpa kanak-kanak itu dan meminta pengusaha pengangkutan sekolah dan taska supaya lebih berhati-hati dan mengikut peraturan sedia ada yang ditetapkan, terutama ketika berdepan kanak-kanak yang masih kecil.


Katanya, pengusaha pengangkutan sekolah perlu peka dan memastikan murid atau kanak-kanak turun dengan selamat dari kenderaan.


“Kejadian malang yang menimpa Muhammad Haziq berpunca daripada kecuaian dan ia sekali gus membawa derita kepada kanak-kanak itu,” katanya.


Ahmad Husni berkata, kehadirannya diharap dapat memberi semangat kepada kanak-kanak itu berjuang untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan.


Pada masa sama, 30 ahli Skuad Sayang Wanita Umno Parlimen Tambun turut melawat Muhammad Haziq dan memberi sumbangan.

myMetroMasih sukar tidur malam

Pekerja maut nahas

HULU SELANGOR: Seorang pegawai eksekutif pemasaran sebuah akhbar maut manakala rakannya cedera dalam kemalangan di Kilometer 401.8 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Kuala Lumpur, awal pagi semalam.

Shakeera Hani Aznan, 26, tercampak ke dalam gaung sedalam 10 meter dan disahkan mati di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaannya.


Difahamkan, dalam kejadian jam 12.45 pagi, keretadinaiki Shakeera Hani dan dipandu Abd Salimi Abd Halim, 31, dalam perjalanan pulang dari Langkawi, Kedah.

Kejadian berlaku apabila tayar kereta itu pancit, menyebabkan pemandu hilang kawalan dan terbabas melanggar penghadang jalan sebelum berpusing beberapa kali.

myMetroPekerja maut nahas

Dirogol 2 lelaki

GEORGETOWN: Pengalaman hitam terpaksa ditempuh seorang janda apabila tubuhnya ‘dijamah’ dua lelaki di kawasan sunyi di Teluk Kumbar, awal pagi kelmarin.

Lebih menyedihkan, kejadian berlaku dalam kereta milik seorang daripada empat lelaki yang mulanya berniat menghantar mangsa pulang selepas keluar berhibur di sekitar Queensbay, dekat sini.


Dalam kejadian jam 4 pagi itu, mangsaberusia lewat 20-an keluar berhibur bersama empat rakan lelaki dan dia mengenali seorang daripada mereka.

Menurut sumber, semua mereka dalam keadaan mabuk dan mangsa dibawa kumpulan lelaki itu di sekitar kawasan sunyi, dipercayai tapak perkuburan Cina.


“Sebaik sampai, mangsa pada mulanya dirogol kenalan lelakinya dalam kereta Myvi milik lelaki terbabit.


“Wanita itu sekali lagi dipaksa mengadakan seks dengan seorang lagi lelaki dan ia juga berlaku dalam kenderaan terbabit,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang tidak berpuas hati membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Barat Daya.

Timbalan Ketua Polis Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat mangsa.

“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan dan seorang suspek berusia 20-an ditahan bagi membantu siasatan.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

myMetroDirogol 2 lelaki

Pemandu lori bebas tuduhan bunuh

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang pemandu lori daripada tuduhan membunuh seorang lelaki di Sungai Petani tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap S.Kumaravelan, 37.


Kumaravelan didakwa membunuh Azlan Abdul Rahim, 23, di jalan batu kerikil menghala ke ladang kelapa sawit OSK Properties Sdn Bhd berdekatan pasar raya Econsave, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani pada kira-kira pukul 5 petang, 28 Ogos 2008.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.


Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurshuhada Mohd Yatim manakala Kumaravelan diwakili peguam B.Murthy.

myMetroPemandu lori bebas tuduhan bunuh

Bapa dan anak maut dalam kemalangan di PLUS

KUALA LUMPUR: Tiga orang, termasuk seorang bapa dan anak lelakinya, maut setelah kenderaan yang mereka naiki terbabas dan melanggar tiang lampu di KM305.5 Lebuhraya Utara Selatan dekat sini, malam tadi.

Tujuh orang lagi yang turut menaiki kenderaan tersebut, yang sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Besi menuju ke Seremban, cedera parah, kata Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abd Razak Elias kepada Bernama di sini, hari ini.


Beliau berkata Zulkifle Zainul, 29 dan anaknya Mohd Adam Danis yang berusia dua tahun bersama seorang lagi individu yang belum dikenal pasti meninggal dunia di tempat kejadian. "Kenderaan itu dinaiki seramai 10 orang, dan mereka yang cedera parah kini dirawat di Hospital Serdang," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan.

myMetroBapa dan anak maut dalam kemalangan di PLUS

Dua kumpulan Amerika Latin dalang curi berlian

SHAH ALAM: Polis mengenal pasti dua kumpulan warga Amerika Latin, terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita, yang dipercayai terlibat dalam dua kes mencuri berlian dan barangan kemas bernilai RM1.66 juta di kawasan balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, pada Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata siasatan pihak polis juga mempercayai kumpulan berkenaan adalah kumpulan sama terlibat dalam kes curi tiga beg berisi emas bernilai kira-kira RM900,000 di Terengganu pada akhir 2009.


"Kita dapat lihat kelicikan mereka dalam mencuri dengan datang secara berkumpulan ke Malaysia dan menyewa kereta, kemudian samun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Jom Memancing Bersama Ketua Polis Selangor dan melancarkan Pasukan Kesedaran Jenayah (CAT) Peringkat Selangor di Kolam Memancing Air Tawar Rabok Bay, Jalan Kebun, di Seksyen 32 di sini hari ini.

myMetroDua kumpulan Amerika Latin dalang curi berlian