Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Kaki peniaga tersepit 14 minit



KANGAR - Seorang peniaga durian, terpaksa menahan kesakitan 14 minit apabila dua belah kakinya tersepit di bahagian depan kenderaan selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Sungai Siran, Batu Pahat, petang kelmarin.

Mangsa, Mat Salleh, 66, dari Kampung Paya Pauh, Gembul Jalan Kaki Bukit yang baru pulang dari mengutip durian di dusunnya di Batu Pahat hilang kawalan lalu terbabas sehingga melanggar pohon jati di kanan jalan.

Dia yang dalam perjalanan ke Balai Baru, Beseri untuk berniaga cedera di kedua-dua belah kaki dan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk menerima rawatan lanjut.

Rakannya, Zainol Baharom yang ditemui di tempat kejadian berkata, mangsa yang disuruh menunaikan solat Zohor di kedainya di Batu Pahat bagaimanapun enggan kerana mahu pulang ke Balai Baru dan menunaikan solat di sana.

“Bagaimanapun, selepas beberapa minit bertolak pulang dari kedai saya, saya mendapat maklumat bahawa Mat yang lebih dikenali sebagai ‘Mat Kinkong’ terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Setiba di tempat kejadian, saya melihat muatan buah durian untuk dijual yang dibawa mangsa bertaburan di jalan raya dipercayai akibat rempuhan kuat kenderaan jenis Ford Laser yang dinaikinya pada pokok jati di bahu jalan.

Menurutnya, kaki mangsa yang tersepit gagal dikeluarkan orang ramai sehingga anggota bomba datang dan mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit di bahagian depan.’

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Shohimi Che Mat berkata, pihaknya yang bergegas bersama enam anggota ke tempat kejadian mengambil masa kira-kira 14 minit untuk mengeluarkan kedua-dua kaki mangsa yang tersepit.

Beliau berkata, disebabkan rempuhan kuat itu kaki mangsa tersepit kerana bahagian depan keretanya remuk selepas terbabas dan melanggar pohon jati di kanan jalan.
SH

Pencuri buat ‘kerja’ dua kali



KULIM - Seorang lelaki 30 tahun yang baru balik bekerja kira-kira jam empat petang terkejut apabila mendapati rumahnya di Taman Makmur berada dalam keadaan berselerak.

Menurut mangsa, ketika dia membuat pemeriksaan mendapati komputer riba miliknya hilang.

Dia kemudiannya pergi ke bahagian belakang rumah dan menjumpai televisyen LCD 32 inci yang sebelum ini berada diruang tamu diletakkan di tepi pintu pagar.

Khuatir akan mengganggu siasatan polis ketika mengesan cap jari, mangsa kemudiannya membiarkan televisyen itu berada di situ.

Mangsa kemudiannya terdengar anak jirannya menjerit kerana ternampak suspek. Mangsa kemudiannya berlari ke hadapan rumah tetapi mendapati tidak ada sesiapa dan kemudiannya kembali ke pintu belakang rumah dan mendapati televisyen yang diletakkan di pagar belakang rumahnya sudah hilang.

Mangsa kemudiannya menghubungi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) untuk mendapatkan bantuan.

Dari pemeriksaan dibuat, suspek dipercayai masuk melalui bumbung rumah, kerana terdapat kesan siling pecah.

Mangsa kemudiannya ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan.

Pengerusi PPKM Khor Eng Khim berkata, suspek masuk ke rumah mangsa dua kali untuk mencuri tiga barang berasingan.

Menurutnya, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM6,000.

“Sehingga kini, beberapa kejadian pecah rumah dilaporkan berlaku terutama pada waktu subuh. Saya menasihatkan penduduk supaya lebih berhati-hati.

“Sekiranya orang ramai ternampak orang mencurigakan masuk ke kawasan taman, sila hubungi polis atau PPKM untuk bantuan segera,” katanya.
SH

Pembonceng maut, nahas tiga kenderaan



KUANTAN - Seorang remaja maut selepas terbabit dalam satu kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 17, Jalan Kuantan - Kemaman dekat Balok di sini, kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Mangsa yang bekerja sebagai nelayan, Nor Quzairri Asha’ari, 18, dari Kampung Habib, Kuala Kemaman, Terengganu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa dipercayai membonceng motosikal ditunggang rakanya, Mohd Fadhillah Razali, 20-an dari arah Kemaman menuju ke Kuantan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah lagi motosikal dari arah sama.

“Akibat pergeseran itu, mangsa terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Proton Wira yang datang dari arah Kuantan ke Kemaman.

“Mangsa mati di tempat kejadian manakala rakannya patah kaki kanan dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan,” kata beliau ketika di temui di pejabatnya di sini, semalam.

Mohamed Fauzi berkata, pemandu kereta berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pemandu pelancong dari Beserah bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Turut terselamat penunggang sebuah lagi motosikal seorang pelajar berusia 18 tahun berasal dari Negeri Sembilan dia apabila hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mereka memakai topi keledar ketika kejadian dan penunggang mempunyai lesen memandu yang sah.

“Semasa kejadian cuaca dalam keadaan baik namun laluan agak berselekoh dan bergaris kembar.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.
SH

Peniaga kuih tidak mengaku rogol kekasih



KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga kuih bakal berhadapan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan setelah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin atas dakwaan merogol teman wanitanya yang juga remaja bawah umur, dalam kejadian pada 13 Julai lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Ridzuan Mat Zin, 28, dari Felda Kerteh Enam Ketengah Jaya, Dungun tidak mengaku bersalah atas dakwaan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan itu.

Pertuduhan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Ngiam Ooi Ming di hadapan hakim Zainal Abidin Kamarudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
SH

Pelajar ditangkap jual dadah



BUKIT BESI – Tembelang seorang pelajar Tingkatan Lima yang mencari pendapatan tambahan melalui aktiviti menyalahi undang-undang terbongkar apabila dia ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah berdekatan kawasan deretan kedai makan, dekat sini, tengah malam kelmarin.

Hasil pemeriksaan lanjut polis menemui kira-kira 40 butir pil kemerahan disyaki dadah jenis Methampethamine yang diletakkan bersama beg duit dalam poket seluar.

Turut ditemui pada tangkapan polis jam 11.20 malam itu ialah sejumlah tunai RM582 dipercayai hasil jualan dadah.

Nilai pasaran terhadap dadah dirampas dianggarkan berjumlah RM1,300 dan suspek dikatakan boleh meraih keuntungan kira-kira RM300 atas hasil dadah yang berjaya dipasarkan.

Siasatan awal mendapati, suspek, pelajar sebuah sekolah menengah di sini mula mengaut keuntungan hasil aktiviti mengedar dadah secara kecil-kecilan di kawasan sekitar sejak beberapa bulan lalu.

Remaja terbabit yang juga anak Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan anak Pengerusi Masjid kampung berdekatan sebelum ini juga dikatakan pernah ditahan polis kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah, namun dibebaskan apabila ujian saringan air kencing pada masa itu mendapati dia bebas dadah.

Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini dikatakan melakukan perbuatan itu di luar pengetahuan bapanya yang juga seorang ahli parti politik.

Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis dan kesnya disiasat mengikut seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum menunggu kertas siasatan dilengkapkan untuk dihadapkan ke mahkamah nanti.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan ke atas remaja itu dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan berkaitan kes terbabit.
SH

400 beg simen berterabur



KEMAMAN – Gara-gara bergesel dengan sebuah lori treler yang datang dari arah bertentangan, sebuah lori sarat dengan muatan simen terbabas mengakibatkan kira-kira hampir 400 beg simen seberat 20 tan metrik yang dibawa pecah dan bertaburan di permukaan jalan dalam nahas di Jalan Cerul-Sagu, dekat Felda Cerul, di sini, kelmarin.

Lebih teruk, akibat simen berterabur dan keadaan jalan yang licin itu, sebuah treler balak yang melalui jalan itu tergelincir dan terbalik, sebelum kayu balak yang dibawa menghentam kereta Perodua Kancil yang secara kebetulan meletakkan kenderaan di tepi jalan ladang kelapa sawit berkenaan.

Namun begitu, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, pemandu lori muatan simen, Azmi Mamat, 36, terselamat.
SH

Pembonceng maut, nahas tiga kenderaan



KUANTAN - Seorang remaja maut selepas terbabit dalam satu kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 17, Jalan Kuantan - Kemaman dekat Balok di sini, kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Mangsa yang bekerja sebagai nelayan, Nor Quzairri Asha’ari, 18, dari Kampung Habib, Kuala Kemaman, Terengganu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa dipercayai membonceng motosikal ditunggang rakanya, Mohd Fadhillah Razali, 20-an dari arah Kemaman menuju ke Kuantan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah lagi motosikal dari arah sama.

“Akibat pergeseran itu, mangsa terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Proton Wira yang datang dari arah Kuantan ke Kemaman.

“Mangsa mati di tempat kejadian manakala rakannya patah kaki kanan dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan,” kata beliau ketika di temui di pejabatnya di sini, semalam.

Mohamed Fauzi berkata, pemandu kereta berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pemandu pelancong dari Beserah bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Turut terselamat penunggang sebuah lagi motosikal seorang pelajar berusia 18 tahun berasal dari Negeri Sembilan dia apabila hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mereka memakai topi keledar ketika kejadian dan penunggang mempunyai lesen memandu yang sah.

“Semasa kejadian cuaca dalam keadaan baik namun laluan agak berselekoh dan bergaris kembar.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.
SH

Remaja diperalat kutip derma



KUALA ROMPIN – Jika rakan seusia lain sibuk bersekolah, namun terdapat segelintir remaja yang menjadikan stesen minyak dan institusi perbankan di daerah ini sebagai tempat mereka mengutip derma atau membuat jualan amal.

Kegiatan mereka sebelum ini pernah didedahkan Sinar Harian, namun ia hanya ‘diam’ seketika sebelum kelibat remaja perempuan seawal usia 13 hingga 17 tahun itu muncul semula dengan menggunakan modus operandi sama seperti sebelum ini.

Seorang pengunjung stesen minyak, Mohd Saufi Radzali, 28, berkata, kegiatan itu semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini dengan menjadikan kawasan stesen minyak dan institusi perbankan sebagai sasaran utama.

“Apa yang mendukacitakan, remaja ini diperalat oleh pihak tertentu yang kononnya mahu mendirikan sebuah rumah amal di Kedah, namun perkara ini menimbulkan keraguan kepada saya kerana sehingga kini rumah amal yang dimaksudkan masih belum didirikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Pelanggan bank, Rahimi Abu Samah, 30, berkata, dia didatangi remaja yang sama sebanyak tiga kali dalam tempoh sebulan lalu ketika mahu mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang segera (ATM).

“Biasanya remaja perempuan ini akan menghampiri pelanggan bank dengan menyatakan hasrat dan tujuan mereka menjual barangan bagi membantu rumah amal.

"Namun ada juga dalam kalangan mereka dengan jelas memohon sumbangan ikhlas,” katanya.

Menurutnya, kegiatan seperti itu perlu dibanteras bagi mengelakkan rasa malu umat Islam yang kononnya hanya bergantung harap kepada sumbangan derma semata-mata untuk mendirikan rumah amal.

“Jika niat mereka mahu mendirikan rumah amal, seharusnya mereka perlu mendapatkan surat kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) bagi meyakinkan orang ramai menyumbang.

“Kita tidak mahu imej bersih Islam dipandang serong agama lain kerana menjalankan kegiatan meminta derma di bank dan stesen minyak bagi tujuan tertentu yang boleh mencemarkan agama,” katanya.
SH

Juru ukur ditemui mati lemas



KERAYONG – Gara-gara tidak sabar menunggu rakan setugas mendapatkan perahu untuk menyeberangi tebing Sungai Triang, seorang juru ukur dipercayai mati lemas ketika mengharungi sungai itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang kelmarin, mangsa, Muhammad Fauzi Muhamad Rosely, 31, dikatakan cuba mengharungi sungai itu untuk ke tebing selepas menjalankan tugas mengukur tanah di tebing sungai bersama dua rakannya yang lain.

Namun, malang tidak berbau apabila mangsa tiba-tiba tergelincir di bahagian tengah sungai dan tenggelam di kawasan tersebut.

Mangsa yang berasal dari Kampung Bukit Kelulut, Temerloh meninggalkan seorang balu dan dua anak masing-masing berusia empat dan dua tahun.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 7 petang daripada orang awam.

Menurutnya, seramai 12 anggota polis dan 12 anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian susulan gerakan mencari mangsa.

“Gerakan mencari mangsa dimulakan pada jam 7.30 hingga 11 malam oleh semua anggota polis dan bomba terlibat termasuk beberapa orang kampung yang turut membantu.

“Namun, gerakan mencari pada waktu malam terhad berikutan cuaca semakin gelap,” katanya.

Mohd Zahid berkata, gerakan mencari dimulakan semula jam 6 pagi sehingga mayat ditemui pada jam 10 pagi oleh pasukan skuba bomba.

Menurutnya, mayat mangsa tersangkut di bawah sebatang kayu besar berdekatan dengan tebing sungai berdekatan Kampung Paya Pagar.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk tindakan susulan.
SH

Cubaan curi gaharu gagal



BENTONG – Seramai lapan warganegara Vietnam berumur dalam lingkungan 20 hingga 51 tahun ditahan ketika cuba membawa keluar kepingan pokok gaharu dari Hutan Simpang Lentang dekat sini.

:Pegawai Penyiasat Jabatan Perhutanan Negeri, Ramlee Ahmad berkata, kira-kira jam 9 pagi kelmarin, dua pengawas hutan menjalankan rondaan biasa di sekitar kawasan ini.

Menurutnya, mereka kemudiannya terserempak dengan lapan lelaki yang sedang membawa beg dan guni dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, beg yang dibawa mengandungi kepingan pokok gaharu dan juga beberapa alatan mencari gaharu.

“Mereka kemudiannya dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut sama ada aktiviti mereka itu mendapat kebenaran atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian.

Ramlee berkata, namun selepas siasatan dijalankan, pihaknya mensyaki, kesemua warganegara Vietnam yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah itu tidak mempunyai kebenaran mengambil hasil hutan.

Menurutnya, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan, kesemua mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Bentong untuk direman bermula 21 Julai hingga 24 Julai ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 (pindaan) 1993 atas kesalahan mengambil hasil hutan tanpa kebenaran.

“Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM500,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 20 tahun,” katanya.

Ramlee berkata, anggaran berat beg yang dipenuhi kepingan gaharu dibawa mereka semua ialah lebih kurang 140 kilogram dan ia dikenal pasti sebagai gaharu gred C.

Menurutnya, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti mengambil hasil hutan tanpa kebenaran diminta menghubungi Pejabat Hutan berhampiran.
SH

Nyaris ditipu ASP Chong



PUCHONG – Tidak sampai seminggu seorang wanita mendakwa dirinya ditipu lelaki yang menyamar sebagai Asisten Superintenden (ASP) Foo sehingga kerugian RM13,000, semalam seorang lelaki pula mendakwa nyaris ditipu lelaki sama namun kali ini menyamar sebagai ASP Chong.

Menggunakan modus operandi sama iaitu mendakwa si penerima panggilan melakukan jenayah komersil, lelaki yang menghubungi mangsanya akan memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.

Mangsa, S L Phang, 61, berkata, pagi semalam dia menerima panggilan daripada lelaki tidak dikenali menggunakan talian telefon tetap memaklumkan dua lelaki sudah ditahan kerana menggubal wang haram di Hong Kong.

Menurutnya, ASP Chong palsu itu memaklumkan kes itu berhubung kait dengan dirinya kerana akaun bank simpanan yang dibuka menggunakan namanya.

“Dia memaklumkan saya terbabit dengan kes ‘black money’ dan menyuruh saya menghubungi satu nombor telefon dipercayai nombor talian luar negara.

“Saya tidak mengikuti arahannya kerana bimbang apa-apa terjadi dan memaklumkan akan ke Bukit Aman sendiri untuk mendapatkan penjelasan sebenar,” katanya.

Mendengar jawapan itu, Phang berkata, lelaki terbabit kemudian menyuruhnya menghubunginya terlebih dahulu sebelum ke Bukit Aman.

“Bimbang sesuatu yang tidak baik berlaku, saya kemudian mengadukan perkara itu kepada Ketua Biro Aduan Puchong untuk mendapatkan nasihat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan Puchong, Kuan Chee Heng berkata, beliau sudah menghubungi JSJK Bukit Aman dan dimaklumkan tiada pegawai polis bernama demikian.

“Semalam ada lagi mangsa cuba ditipu namun bernasib baik kerana belum memindahkan apa-apa wang kepada si pemanggil. Justeru, saya menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan terus berhubung dengan Bukit Aman di talian 03-22662222 untuk pertanyaan lanjut,” katanya.
SH

Warga Afrika miliki barang curi



KUALA LUMPUR – Seorang daripada lapan suspek lelaki warga Afrika berjaya ditahan kerana memiliki barangan curi termasuk bedak bayi dianggarkan bernilai RM200,000 disyaki untuk dieksport ke negara asal mereka.

Turut ditahan dalam serbuan yang dijalankan di sebuah gudang simpanan di Taman Fadason, Jinjang pada Selasa lalu, adalah dua wanita tempatan masing-masing berusia 44 dan 25 tahun.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, ketika serbuan dibuat jam 12.30 tengah hari itu, tujuh lelaki yang menyedari kehadiran polis sempat meloloskan diri, manakala seorang daripada mereka berusia 25 tahun berjaya ditangkap bersama dua wanita terbabit.

Menurutnya, pemeriksaan dalam gudang simpanan mendapati terdapat beberapa pembahagian atau lot kecil dibuat khas untuk disewakan kepada orang lain.

“Gudang simpanan itu disewa wanita tempatan berusia 44 tahun daripada individu lain, sebelum menyewakan satu lot kecil dalam premis kepada suspek lelaki Afrika itu sejak enam bulan lalu.

“Kita jumpa pelbagai barangan elektrik antaranya lapan komputer paparan cecair kristal pelbagai jenama, televisyen (11), mesin basuh (1), peti ais (1), pencetak (1) dan radio (1),” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Kepong, semalam.

Zakaria berkata, pemeriksaan lanjut di lot yang disewa suspek itu turut menemui sebanyak 103 kotak besar yang setiap satunya berisi 24 botol bedak bayi.

Beliau berkata, hasil soal siasat awal, suspek mengaku membeli barangan elektrik terbabit daripada kedai menjual barangan lusuh, sebelum dieksport menggunakan kontena ke negara asalnya untuk dijual.

Katanya, semakan ke atas barangan elektrik dirampas mendapati ia barangan curi yang dijual kepada kedai menjual barangan lusuh terbabit.

Menurutnya, bedak bayi itu adalah bedak yang dikilangkan di Bukit Jelutong, Shah Alam dan sepatutnya dihantar ke Johor Mei lalu.

“Kita percaya pemandu lori yang sepatutnya menghantar bedak bayi itu pecah amanah dan menjual stok bedak terbabit kepada suspek lelaki Afrika. Lori menghantar stok barangan itu dijumpai di Perak, manakala pemandu lori menghilangkan diri,” katanya.

Zakaria berkata, siasatan ke atas suspek lelaki Afrika itu menunjukkan dia tidak mempunyai dokumen perjalanan diri walaupun mendakwa datang ke negara ini untuk belajar.

“Kita siasat mengikut Akta Imigresen dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil kerana mempunyai barang disyaki curi,” katanya.

Menurutnya, dua wanita tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 407 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.
SH

Dua lelaki dihukum mati



SHAH ALAM - Dua lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam kerana mengedar dadah jenis ganja seberat 4.8 kilogram di Taman Datuk Harun, tiga tahun lalu.

Hakim, Datuk Abdul Alim Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Mohd Za’ba Abdul Talib, 25, dan Musa Maarof, 43, selepas berpuas hati pendakwaan berjaya membuktikan kes.

Mereka melakukan kesalahan di Jalan 16, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, jam 8.30 malam, 10 Jun 2009.

Pada hari kejadian, ejen polis menerima maklumat Musa ingin menjual ganja seberat 5 kilogram yang bernilai RM12,500.

Ejen polis kemudian membuat penyamaran dengan menyerahkan sejumlah wang itu dan Mohd Za’ba yang menunggang motosikal menyerahkan beg galas berisi lima ketulan mampat dadah. Mereka ditangkap di tempat kejadian.
SH

Angkara Awang Hitam



SELAYANG – Seperti tiada kesudahan, kumpulan Awang Hitam buat hal lagi dengan bergaduh semasa rakan senegara di khalayak ramai.

Wakil penduduk setempat berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 11 malam itu berpunca apabila terdapat sekumpulan Awang Hitam dipercayai penyewa di situ tidak berpuas hati dengan seorang rakannya.

“Seorang lagi rakan senegaranya cuba meleraikan sehingga berlaku pergaduhan namun mereka tidak sempat berbuat apa-apa selepas jawatankuasa penduduk menyedari insiden dan datang ke tempat kejadian.

“Sebaik jawatankuasa sampai, mereka terus beredar dari tempat kejadian,” katanya.

Dalam pada itu menurutnya, kawasan kondominium berkenaan membimbangkan masyarakat memandangkan ramai warga asing tinggal di situ dan mengganggu ketenteraman.

Menurutnya, pihak berkaitan melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Subahan Kamal, polis dan Jabatan Imigresen sudah datang mengadakan dialog bersama penduduk.

“Kita dimaklumkan pihak imigresen bahawa semua mereka ada dokumen sah. Tetapi kejadian pergaduhan sebegini amat merunsingkan kami," katanya.
SH

Ditahan selepas menyamun



PETALING JAYA – Tidak sampai tempoh 24 jam melakukan samun, bekas pengawal keselamatan sebuah kelab dicekup polis di rumahnya di Apartmen Saujana Ria, Taman Wangsa Permai, Desa Jaya, di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, sebelum penahanan dibuat, suspek lelaki berusia 26 tahun itu meragut seorang wanita kira-kira jam 10 pagi di tempat letak kereta di Sri Damansara.

Beliau berkata, suspek menghampiri mangsa yang dipercayai hendak ke tempat kerja sebelum mengacu pistol ke arahnya.

Katanya, mangsa terpaksa menyerahkan wang tunai RM200, telefon bimbit, kad bank termasuk komputer riba kepada suspek itu yang kemudiannya melarikan diri.

“Selepas siasatan dijalankan susulan laporan dibuat mangsa, kita kemudiannya dapat kesan suspek dalam tempoh 24 jam sebelum menahannya di rumah tersebut.

“Pemeriksaan lanjut menemui semua barangan mangsa yang disamun. Kita turut rampas sepucuk pistol bersama lima butir peluru dipercayai senjata api yang digunakan ketika menyamun mangsa,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Mohd Adnan berkata, semakan mendapati suspek terlibat dalam beberapa kes samun di Lembah Klang.

“Bagi tempoh Januari lalu sehingga kelmarin, kita terima laporan sebanyak 72 kes berkaitan samun melibatkan senjata api di Selangor. Kita percaya suspek itu terbabit dalam sebahagian daripada kes tersebut,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan Mohd Adnan berkata, seorang pengawal keselamatan berusia 39 tahun ditahan pihaknya kerana memiliki senjata api.

Menurutnya, perkara tersebut dimaklumkan orang awam, sebelum polis menahan suspek lelaki itu di kawasan Kayu Ara, di sini, kelmarin.

Katanya, susulan penahanan itu polis menyerbu rumah suspek di Bandar Utama dan menemui sepucuk pistol.

Mohd Adnan berkata, kedua-dua kes disiasat polis mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api.
SH

Mayat lelaki ditemui berulat



BANDAR SAUJANA PUTRA – Mayat seorang lelaki yang diberi gelaran ‘Coco’ sudah berulat dan kembung ditemui dalam sebuah kedai cuci kereta di No 21 Jalan SP 4/ 29, Bandar Saujana Putra, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, mayat mangsa berusia awal 30-an yang dipercayai warganegara Myanmar itu dijumpai orang awam pada jam 11.30 pagi yang terhidu bau busuk tidak jauh dari sebuah kedai cuci kereta di sini.

“Berdasarkan maklumat orang awam, pihak polis melakukan siasatan ke lokasi. Setelah membuat pemeriksaan di bahagian belakang kedai terbabit didapati pintu kedai masih berkunci dan terpaksa dipecahkan polis.

“Hasil siasatan, terdapat satu mayat lelaki yang sudah berbau, kembung dan berulat,” katanya.

Katanya, berdasarkan keadaan mayat, dipercayai mangsa meninggal dunia antara lima keenam hari, identitinya masih belum dikenal pasti kerana tiada sebarang pengenalan diri ditemui bersamanya.

“Mayatnya dihantar ke Hospital Banting untuk dibedah siasat. Orang ramai mempunyai maklumat diharap dapat membuat laporan kepada pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya.
SH

Pegawai Imigresen ditahan ISA



KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Imigresen dan seorang lelaki warga Sri Lanka ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana boleh mendatangkan kemudaratan kepada negara, kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pegawai kerajaan yang berumur 29 tahun dan bertugas di Pusat Tahanan KLIA ditahan di pusat tahanan sementara itu.

Katanya, lelaki warga asing berumur 36 tahun juga ditahan di tempat sama.

“Suspek dipercayai memalsukan dokumen dan tindakannya ini boleh memudaratkan keselamatan negara,” katanya.

Sebelum ini, enam pegawai jabatan itu juga ditahan di bawah akta sama kerana terlibat dalam sindiket penyeludupan manusia melalui KLIA.

“Siasatan untuk menyiasat penglibatan suspek dengan tangkapan sebelum ini sedang giat dilakukan. Saya percaya polis dapat melumpuhkan aktiviti sindiket ini dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Balai League Table Polis Diraja Malaysia (PDRM) siri 1/2011, semalam.

Pada majlis itu, Balai Polis Wangsa Maju merangkul tempat pertama dalam kategori A, diikuti Balai Polis Jinjang dan Balai Polis Batu 9.

Dalam perkembangan lain, beliau mengesahkan Peguam Perancis, William Bourdon di tahan di KLIA mengikut Akta Imigresen.

William dipercayai ditahan Jabatan Imigresen selepas tiba dari Pulau Pinang di mana beliau mendedahkan tentang urus niaga pembelian kontroversi pembelian kapal selam Scorpene milik negara, malam kelmarin.
SH

Saya fikir akan mati: Roslam



PELABUHAN BARAT - “Saya fikir akan mati sebaik lori saya bergoyang kuat sejurus dilanggar lori kontena, namun saya bersyukur masih panjang umur dan tiada sebarang kecederaan,” demikian cerita pemandu lori dikenali Roslam berkenaan detik-detik cemas yang dilalui selepas lori dipandunya dilanggar sebuah lori kontena di bahagian belakang, kelmarin.

Menurutnya, sebaik bunyi dentuman kuat berakhir, dia menggagahkan diri keluar dari lorinya dan terkejut melihat lori kontena itu melekat pada bahagian lorinya dengan pemandunya dalam keadaan lemah.

“Namun beberapa minit kemudian, saya lihat pemandunya seorang lelaki Cina keluar sambil memegang tangannya yang sakit.

“Keadaan lori itu sangat teruk dan saya yakin kalau ada kelindan bersebelahannya pasti kejadian lebih serius berlaku,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa memperlahankan kenderaannya secara tiba-tiba kerana tayar hadapan bocor.

“Jadi saya pandu lori perlahan-lahan ke lorong kecemasan dan belum sempat memberhentikan kenderaan, lori kontena itu terlebih dahulu merempuh bahagian belakang lori saya,” katanya.

Katanya, rempuhan kuat menyebabkan salah satu kontena yang dibawa tercampak ke lorong kanan.

Dalam masa sama, sebuah lori yang kebetulan melalui lorong kanan gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar kontena kosong itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Roslam termasuk dua lagi pemandu kenderaan berat terselamat dan salah seorang daripadanya cedera ringan selepas berlaku kemalangan melibatkan ketiga-tiga kenderaan di Jambatan Marin arah Klang menghala Pelabuhan Barat.

Berikutan kejadian itu, jalan kedua-dua arah terpaksa ditutup sementara untuk kerja-kerja pengalihan. Akibatnya berlaku kesesakan teruk sehingga menjangkau tiga kilometer.

Bagi mengurangkan masalah itu, Polis Trafik dari Balai Klang Selatan dan Pelabuhan Barat terpaksa mengubah laluan sehala kepada dua hala bagi laluan arah Klang.

Bagaimanapun, kerja pengalihan dan kesesakan jalan dapat dikurangkan kira-kira dua jam kemudian.
SH

Peniaga durian ‘gigit jari’



PORT DICKSON – Seorang peniaga durian di tapak parkir hadapan sebuah bank di bandar Port Dickson, di sini terpaksa 'gigit jari' apabila semua barang perniagaannya dirampas Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), kira-kira 4 petang, semalam.

Yang di-Pertua MPPD, Abd Wahab Shamsuddin berkata, peniaga tersebut didapati telah melanggar undang-undang MPPD iaitu di bawah Seksyen 4(5) Undang-undang Kecil Penjaja, Majlis Daerah Port Dickson yang mana dia berniaga bukan pada masa yang ditetapkan seperti tertera pada lesen perniagaan.

“Penguat kuasa MPPD telah mengeluarkan beberapa notis peringatan sebelum ini, namun peniaga masih ingkar dan tindakan tegas terpaksa dilakukan.

“Lesen meletakkan syarat perniagaan perlu beroperasi pada jam 5 petang dan ke atas, namun peniaga tersebut sebaliknya beroperasi lebih awal sekitar 12 tengah hari,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Abd Wahab berkata, syarat berkenaan dikeluarkan kerana kawasan tapak niaga tersebut adalah kawasan parkir dan sering berlaku kesesakan lalu lintas, sekali gus mengundang rasa tidak selesa orang awam.

“MPPD mengutamakan keselesaan orang awam selain turut memberi peluang perniagaan kepada peniaga tersebut tetapi selepas waktu pejabat iaitu pada jam 5 petang,” katanya.

Katanya, kesalahan tersebut membawa kepada denda kompaun sebanyak RM250 dan rampasan barang perniagaan.

“Semua peniaga perlu sentiasa mematuhi peraturan yang tertakluk kepada kelulusan lesen masing-masing dan MPPD akan melakukan tindakan tegas jika mereka gagal berbuat demikian,” katanya.
SH

Mahasiswi jual komputer curi



PORT DICKSON – Polis berjaya menahan tiga mahasiswi daripada salah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Selangor, pagi Rabu lalu kerana didakwa menjual dua komputer riba curi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, polis turut berjaya menahan tujuh remaja lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun pada hari yang sama selepas didapati terbabit sebagai pembekal komputer riba berkenaan.

“Kesemua remaja tersebut merupakan mereka yang keciciran dalam persekolahan dan ditahan di sekitar Telok Kemang sementara ketiga-tiga mahasiswi yang berusia antara 20 dan 22 itu ditahan di IPTA.

“Mahasiswi terbabit telah menjual komputer riba tersebut kepada rakan-rakannya di universiti berkenaan dengan harga RM650 dan RM800 setiap satu.

“Sementara tujuh remaja terbabit berjaya ditahan polis di sekitar Telok Kemang pada lokasi yang berbeza,” katanya kepada Sinar Harian.

Baljeet berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula dengan kejadian curi komputer riba oleh sekumpulan remaja tersebut.

“Mangsa pertama melibatkan seorang lelaki berusia 23 tahun yang juga merupakan pekerja di sebuah kopitiam di Batu 4. Mangsa merupakan seorang warganegara Indonesia dan kejadian berlaku sekitar jam 3.30 petang, Selasa lalu.

“Kira-kira dua jam kemudian, sekumpulan remaja tersebut didapati melakukan kegiatan sama mencuri komputer riba milik seorang penuntut Politeknik Port Dickson berusia 20 tahun di sekitar kawasan kampus berkenaan,” katanya.

Baljeet berkata, salah seorang daripada remaja terbabit kemudiannya bertindak menyerahkan kedua-dua komputer riba tersebut kepada kakaknya yang sedang menuntut di sebuah IPTA di Banting untuk dijual.

“Komputer riba berkenaan telah dijual dengan harga RM650 dan RM800 setiap satu,” katanya.

Baljeet menambah, ketiga-tiga mahasiswi telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala tujuh remaja tersebut ditahan sehingga 27 Julai bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal menunjukkan bahawa kesemua remaja terlibat tidak mempunyai rekod jenayah lampau, tetapi polis akan memeriksa jika ia telah terbabit dalam sebarang salah laku yang tidak dilaporkan,” katanya.

Polis sedang menyiasat kes di bawah seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan.
SH

Suspek rompakan kecundang



TAMPIN – Dua suspek disyaki terbabit dalam tiga kes rompakan di lokasi berbeza berjaya diberkas polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, kira-kira 12 tengah hari, kelmarin.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 34 dan 37 tahun itu dikatakan baru sahaja merompak warga asing dengan menyamar sebagai pegawai imigresen di Hutan Percha, Alor Gajah kira-kira jam 11 pagi sebelum berjaya dicekup pihak berkuasa.

Menurut Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang, berkata melalui penangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan dua kes yang mempunyai modus operandi serupa di Tampin dan Gemencheh, manakala satu lagi di Hutan Percha, Alor Gajah.

“Kita berjaya menangkap kedua-dua suspek hasil maklumat yang diterima daripada orang awam serta rasa sangsi anggota kita yang sedang membuat rondaan di jalan utama Tampin-Gemas.

“Pada mulanya anggota kita mengarahkan kedua-dua suspek yang ketika itu menaiki dua motosikal untuk memberhentikan kenderaan, namun kedua-duanya enggan sehingga berlaku aksi kejar-mengejar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPD Tampin, semalam.

Kooi Cheang berkata, bagaimanapun polis berjaya menahan kedua-dua suspek berkenaan dan hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan didapati kedua-duanya positif dadah.

Susulan penangkapan berkenaan, polis berjaya merampas beberapa barangan antaranya tiga buah motosikal, lima buah telefon bimbit, lambang badan beruniform, dan senjata yang digunakan.

Menurutnya, kedua-dua suspek masing-masing mempunyai rekod jenayah yang mana suspek berusia 34 tahun yang ditangkap mempunyai empat rekod kesalahan lampau.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman bermula hari ini (semalam) dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan," katanya.
SH

Pasar raya musnah terbakar



SUNGAI UDANG - Sebuah pasar raya di Jalan Desa Taming Sari, di sini musnah dalam kebakaran, petang semalam sehingga membabitkan kerugian dianggarkan lebih RM1.5 juta.

Dalam kejadian kira-kira 1.20 petang itu, seluruh empat lot Pasaraya Ten Ten yang menjual pelbagai barangan keperluan harian hangus, ketika umat Islam berpusu-pusu menunaikan solat Jumaat.

Ketika kejadian, seramai 40 orang pekerja dan pelanggan yang berada dalam bangunan dua tingkat itu berjaya menyelamatkan diri dari kebakaran yang dikatakan bermula dari bahagian tengah pasar raya tersebut.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, R Ezhumalai berkata, api berjaya dikawal dalam tempoh 51 minit.

“Bomba bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 1.20 petang dan tiba selepas 12 minit kemudian. Namun ketika itu bomba Tentera Darat (TD) telah sampai dan menjalankan kerja-kerja memadamkan kebakaran.

“Api berjaya dikawal sepenuh 51 minit kemudian dan padam kira-kira jam 3.45 petang dengan bantuan enam jentera dari Tangga Batu, Masjid Tanah, Jalan Kubu dan TD dengan kekuatan 45 anggota dan pegawai termasuk TD dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, semalam.

Ezhumalai berkata, pihaknya juga berjaya mengawal api daripada merebak ke sebuah stesen minyak terletak kira-kira 18 meter dari pasar raya berkenaan.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan, namun siasatan awal mendapati ia berpunca dari bahagain tengah yang menempatkan pakaian dan beg dalam pasar raya ini,” katanya.

Menurutnya, tiada kecederaan dilaporkan dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

Sementara itu, Pengurus Zon Selatan pasar raya terbabit, Chan Ah Hok berkata, semasa kejadian, beliau berada di Tangkak, Johor dan bergegas ke pasar raya itu apabila dimaklumkan oleh seorang pekerjanya kira-kira 1.30 petang.

“Ketika kejadian, pekerja pasar raya mengarahkan orang ramai yang sedang membeli-belah supaya keluar menyelamatkan diri.

“Pasaraya yang telah beroperasi sejak lima tahun ini dianggaran membabitkan kerugian lebih RM1.5 juta,” katanya.
SH

Video terus disebar



BALING - Ketua PKR Cabang Baling, Lim Chong Wei membuat laporan polis berikutan mendakwa terdapat pihak yang menyebarkan video lucah secara terbuka dalam satu ceramah membincangkan isu semasa di Pejabat UMNO Kuala Ketil pada 17 Julai lalu.

Chong Wei berkata, penyebaran video itu dibuat menerusi video cakera padat (VCD) mengandungi aksi lucah yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ketika itu, Naib Ketua Cabang Baling, Rahmat Shaari turut berada dalam ceramah berkenaan. Penyebaran VCD itu dibuat secara terbuka dan setiap yang hadir akan diberikan VCD berkenaan.

“Sehubungan itu, Rahmat juga mendapat VCD yang sama,” katanya.

Menurutnya, Rahmat menyerahkan VCD berkenaan kepadanya sebagai bahan bukti wujudnya penyebaran video lucah secara terbuka.

“Saya bertindak melihat rakaman yang dimuat turun dalam VCD itu dan memastikan memang wujudnya rakaman aksi lucah.

“Walaupun video itu banyak dimuat turun dalam laman sesawang, beberapa adegan panas dipotong sebelum dimuat turun dalam Internet. Namun, penyebaran yang dibuat pada 17 Julai lalu mengandungi rakaman penuh,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu sepatutnya mendapat perhatian pihak yang bertanggungjawab, kerana ia ternyata menyalahi undang-undang negara.

“Orang ramai sememangnya tahu, penyebaran video lucah merupakan satu kesalahan. Jadi, mengapa perkara ini terus berlaku. Sehubungan, saya menggesa pihak berkuasa agar menjalankan tanggungjawab dengan seadilnya dengan mengekang masalah ini dari terus berlaku,” katanya.
SH

Rumah 100 tahun rentung



LENGGONG – Satu keluarga di Kampung Masjid Jamek, di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka berusia 100 tahun rentung dalam satu kebakaran, awal pagi semalam.

Mangsa, Mohd Najib Rosli, 31, berkata, kejadian berlaku begitu pantas sehingga dia tidak sempat untuk menyelamatkan apa-apa barangan dalam rumah termasuk dokumen-dokumen penting.

Menurutnya, hanya dalam masa 15 minit, rumah pusaka peninggalan nenek moyangnya rentung dalam kejadian kebakaran itu.

“Walau bagaimanapun saya bersyukur dan bernasib baik kerana isteri dan anak tidak bersama ketika kejadian kerana menjaga datuk yang sedang sakit di kampung bersebelahan.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 3.15 pagi dan telah turut meranapkan khazanah lama tinggalan nenek moyang yang tersimpan dalam rumah itu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menceritakan kembali saat kejadian, Mohd Najib berkata, dia tidur sendirian ketika itu dan terjaga kerana kipas syiling di bilik tidurnya tidak berfungsi secara tiba-tiba serta lampu turut padam.

Katanya, sebaik menyedari keadaan itu, dia terus ke bahagian bawah dalam keadaan mamai untuk memeriksa apa yang berlaku dan terkejut ketika melihat api di tingkat atas, bahagian belakang rumahnya.

“Melihat api berkenaan, saya segera bergegas naik semula ke tingkat atas dan mendapati api marak di sebuah bilik bahagian belakang rumah, lalu bergegas menyelamatkan diri ke rumah jiran.

“Kejadian berlaku dalam sekelip mata dan saya hanya dapat menyelamatkan diri sahaja dalam keadaan sehelai sepinggang,” kata Mohd Najib.

Mohd Najib yang bekerja sebagai mekanik sambilan turut menyatakan rasa sedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan rumah pusaka yang musnah di hadapan matanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong, Ahmad Izuwan Zakaria berkata, bomba mendapat panggilan sekitar jam 3.34 pagi berhubung kejadian dan mengambil masa tiga minit untuk sampai ke lokasi.

“Tujuh anggota bersama satu jentera telah ke lokasi dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 3.55 pagi.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan pemilik dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM160,000,” katanya.
SH

Tiga penjawat awam berdepan tuduhan rasuah



JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, menetapkan 12 September depan untuk sebutan semula kes tiga penjawat awam yang dituduh meminta rasuah daripada seorang pemilik kedai runcit daripada diambil tindakan kerana memiliki rokok seludup.

Hakim Madihah Hairullah menetapkan tarikh itu berserta wang jaminan berjumlah RM6,000 setiap seorang, selain meminta penjawat awam terbabit tampil bersama peguam masing-masing selepas mereka tidak mengaku salah di atas kesalahan yang dilakukan sebaik sahaja kertas pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh yang berpangkat pegawai bagi cawangan salah sebuah badan berkanun sekitar bandar raya ini secara rasuah meminta suapan berupa wang tunai RM500 pada jam kira-kira 2.41 petang, 30 Oktober 2010.

Suapan yang diterima itu diminta sebagai dorongan supaya penjawat awam terbabit tidak melakukan sesuatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal bidang tugas iaitu tidak mengambil tindakan ke atas pemilik kedai runcit di Taman Ria, Masai, kerana memiliki rokok seludup.

Tindakan itu sekali gus merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009) yang dibacakan bersama Seksyen 28 (a) (c) ASPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama.

Hukuman yang diperuntukkan jika sabit kesalahan adalah penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Pada prosiding sama, salah seorang tertuduh turut berdepan dengan tuduhan meminta suapan berupa wang tunai RM1,000 daripada pemilik kedai berkenaan pada tarikh dan lokasi sama kira-kira jam 2.20 petang.

Permintaan suapan bagi tujuan sama itu sekali gus adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 16 (a) (B) ASPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

:Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noorfazlin Hamdan manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
SH

Lebih 10 panggilan sehari



SEGAMAT – Jenazah Kapten Mohd Sham Isa, 42, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pogoh, di sini, awal pagi semalam, setelah disahkan meninggal dunia ketika menjalani :latihan penerjunan di Kedah, kelmarin.

:Isteri Allahyarham, Zanariah Esa, 39, berkata, sebelum pergi menjalani latihan berkenaan yang bermula Isnin lalu, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan dan sentiasa menghubunginya sepanjang berada di sana.

“Cuma pada Rabu, Allahyarham kerap menghubungi saya berbanding biasa dan pada hari itu, lebih 10 panggilan dibuat dalam sehari untuk bertanyakan khabar anak-anak dan kebetulan anak kami, Norliyana Zafirah, 2, kurang sihat.

“Dalam perbualan kami, dia sentiasa ceria, bergurau dan sering mengingatkan saya untuk menghantar anak ke klinik bagi mendapatkan rawatan kerana risau demam yang dialaminya,” katanya kepada Sinar Harian.

:Menurutnya, Allahyarham dijangka pulang pada hari ini (semalam) dan berita berkaitan kematiannya diberitahu pihak tentera yang datang ke rumah menyatakan Allahyarham telah meninggal dunia.

“Dia mula bertugas dalam tentera sejak umurnya 18 tahun lagi dan seorang ayah yang bertanggungjawab selain sentiasa mengambil berat perihal anak-anak terutama jika mereka tidak sihat walaupun bertugas di luar daerah,” katanya.

Mohd Sham meninggalkan lima anak, Nor Atirah, 16; Muhammad Farhan,14; Nor Ayuni, 10; Farah Farhana 4 dan Norliyana Zafirah 2 tahun yang masing-masing masih bersekolah di sekitar Melaka.

Pada masa sama, Sultan Johor turut berkenan mencemar duli menziarahi isteri Allahyarham dan turut menghadiri majlis pengebumian hingga selesai.
SH

Diancam bahaya



SENGKANG – Lambakan tong biru di dalam kawasan anak sungai ladang kelapa sawit milik pekebun kecil di Sengkang, di sini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk dan pemilik ladang.

Ladang kelapa sawit berkenaan yang terletak kira-kira 1 kilometer daripada pondok kereta api dan agak terpencil dikhuatiri menjadi lokasi pembuangan sisa toksik oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pekebun, Chong Kah Heng berkata, dia menyedari terdapat lambakan tong biru sepanjang kira-kira satu meter itu sejak dua bulan lalu ketika sedang memantau pekerjanya memotong buah kelapa sawit.

“Saya sudah lama tahu mengenai kewujudan tong-tong berkenaan tetapi tidak tahu agensi mana yang patut dimaklumkan.

“Saya bimbang tong berkenaan mengandungi sisa toksik yang boleh membahayakan keselamatan orang ramai.

“Sekurang-kurangnya terdapat kira-kira 15 tong dibuang ke dalam anak sungai ini yang dipercayai mengalir ke Sungai Skudai,” katanya.

Menurut Kah Heng, dia tidak pasti pihak yang bertanggungjawab membuang tong biru ke dalam sungai berkenaan namun beberapa kali ternampak lori keluar masuk dari kawasan berkenaan pada lewat petang.

Sehubungan itu, beliau berharap perkara berkenaan mendapat perhatian serius dari pihak yang berkenaan bagi menyiasat isi kandungan tong berkenaan supaya tidak menyebabkan mudarat kepada orang ramai.

Kah Jeng berkata demikian ketika mengadakan tinjauan ke lokasi berkenaan bersama Jawatankuasa DAP Parlimen Kulai dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sinar Harian difahamkan, sampel air dan sisa kandungan tong berkenaan akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengenal pasti status anak sungai berkenaan sama ada ia dicemari sisa toksik dan membahayakan pengguna.
SH

Motosikal rempuh kereta



KOTA TINGGI – Seorang remaja yang dipercayai menunggang secara berbahaya merempuh sebuah kereta lain di laluan Sungai Rengit-Kota Tinggi berhampiran simpang Teluk Sengat, di sini, tengajh hari kelmarin.

Dalam kejadian berkenaan, remaja terbabit dikatakan tercampak ke arah sebuah kereta Proton Waja sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan patah kaki dan tangan.

Pemandu Proton Waja yang juga saksi kejadian, Abu Hassan Wongso, 58, berkata, dia yang dalam perjalanan dari bandar Kota Tinggi ke rumahnya di Felda Tunggal bersama isteri dan anaknya terkejut apabila motosikal yang ditunggang remaja itu terpelanting ke arah keretanya.

“Saya sempat melihat penunggang motosikal berkenaan melakukan aksi wiley selepas berjaya mengelak daripada berlanggar dengan sebuah kereta di hadapannya.

“Namun, dengan tiba-tiba dia hilang kawalan lalu merempuh sebuah kereta jenis Proton sebelum tercampak ke arah kenderaan kami,” kata kepada Sinar Harian.

Pemilik kereta Proton yang dirempuh, Rosli Ismail berkata, dia terkejut dengan kejadian itu kerana berlaku secara tiba-tiba di depan mata.

“Saya bersama isteri dan dua anak dalam perjalanan dari Semenchu selepas mengambil anak yang bersekolah Tadika untuk ke Kota Tinggi.

“Tiba-tiba, kereta yang dipandu dirempuh motosikal dari arah hadapan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana anak dan isteri tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kota Tinggi, Superintenden Osman Muhammad Sebot ketika dihubungi telah mengesahkan kejadian berkenaan.

“Polis percaya penunggang motosikal Honda EX berwarna hitam berkenaan menunggang dalam keadaan laju sebelum merempuh kenderaan lain dan tercampak.

Penunggang terbabit kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HIS) akibat kecederaan dialaminya,” katanya.
SH

Rompak dalam 5 minit



JOHOR BAHRU – Tiga perompak bertopeng bersenjatakan pistol, tukul dan rotan hanya memerlukan masa lima minit untuk melarikan empat dulang emas dalam satu kejadian rompakan kedai emas di sebuah pasar raya di Nusa Bestari, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Nusajaya, Deputi Superintendan Razak Md Said berkata, tiga suspek bertopeng terbabit yang masuk ke tingkat satu pusat membeli belah berkenaan menggunakan laluan pekerja dipercayai melakukan rompakan menggunakan pistol palsu.

“Penjenayah sempat melarikan empat dulang barang kemas yang dianggarkan bernilai RM20,000 hingga RM30,000 dalam tempoh lima minit, di mana seorang lagi penjenayah sedang menunggu di luar bangunan pusat membeli belah berkenaan.

“Kesemua suspek dipercayai melarikan diri den­gan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira, yang turut ditemui terbakar di Plaza Tol Perling menghala ke Gelang Patah tidak lama sejurus selepas kejadian,” katanya.

Razak berkata, polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Katanya, premis terbabit tidak mempunyai pengawal keselamatan, malah turut menasihatkan pemilik kedai emas supaya mengambil khidmat pengawal keselamatan walaupun kedai mereka ditempatkan dalam pusat beli belah yang menawarkan perkhidmatan itu.

Sementara itu, seorang pekerja kedai emas itu yang bimbang dengan keselamatan diri sendiri bertindak lari menyelamatkan diri apabila premis tempat kerjanya diserbu masuk perompak terbabit.

Pekerja terbabit yang mahu dikenali sebagai Ah Song, 23, berkata, kedai emas itu dimasuki tiga lelaki bertopeng sebelum salah seorang daripadanya menghalakan pistol ke arahnya dan menggesa kaunter pameran barang kemas dibuka dalam kejadian sekitar jam 12.55 petang.
“Ia berlaku amat pantas, suspek datang lalu menghalakan pistol ke arah saya dengan menyerbu dan marah-marah supaya membuka laci pameran.

“Akibat terlalu ketakutan dan melihat rakan sekerja melarikan diri, saya turut lari keluar meninggalkan penjenayah itu di kedai,” katanya.

Menurutnya, dua penjenayah lain pula memegang tukul dan rotan seterusnya bertindak memecahkan kaunter pameran kedai emas berkenaan.

Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Rima, 19, berkata, dia nampak tiga lelaki bertopeng dan bersenjata meluru memasuki ke dalam premis itu.

“Saya terus menyorok dan takut untuk keluar, namun hanya kedengaran bun­yi cermin pecah,” katanya.
SH

Polis berkas pencuri kekenyangan, tertidur



KOTA BHARU - Akibat mabuk dan terlalu kenyang selepas menikmati mi segera dan pelbagai makanan di rumah yang disamunnya, seorang pencuri ditangkap polis selepas dia tertidur di rumah berkenaan.

Difahamkan sebelum itu, lelaki berkenaan juga memecah masuk sebuah rumah lain iaitu selang lima buah rumah dari lokasi kedua pencuri berkenaan masuk dan dia turut mengambil beberapa barang setelah pemiliknya mendapati beg yang mengandungi barangannya berada dalam rumah guru tersebut.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi Sabtu lalu, pencuri terbabit dipercayai berusia 30-an diberkas polis selepas anak pemilik rumah kedua milik seorang pesara guru yang dipecah masuk tersebut menyedari lelaki itu tertidur di dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah berkenaan di kawasan perumahan Jalan Bayam dekat sini.

Pemilik rumah itu, Foo Ai Siew, 63, berkata, beliau menyedari rumahnya dimasuki pencuri selepas pulang daripada menziarahi anaknya di Kampung Wakaf Stan, dekat sini.

anaknya, Wong Hwee Hoon, 35 dan menantunya, Koo Jit Teng, 37, memeriksa kediamannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan ada membuat tangkapan seorang lelaki, Sabtu lalu.
SH

Warga emas kena rempuh



KOTA BHARU - Seorang warga emas mati selepas hampir tujuh jam terbabit dalam kemalangan yang membabitkan basikal dan motosikal dalam kejadian di Kampung Kedai Lalat, dekat sini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi, ketika mangsa Ismail@Yusoff Mohd Salleh, 71, mengayuh basikal bersendirian dalam perjalanan ke masjid untuk solat Subuh.

Ismail yang hanya mengalami luka tangan dan bengkak dahi selepas di langgar motosikal yang ditunggangi kenalannya berusia 80-an, sempat berjalan kira-kira 200 meter untuk pulang ke rumah dan menceritakan kejadian kepada anak bongsunya, Mohd Izwan, 27, yang ketika itu berada di rumah.

Dalam kejadian itu, penunggang motosikal terbabit turut mengalami kecederaan parah dan kini masih menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Anak sulong mangsa, Mohd Hafzan, 50, yang juga seorang guru, berkata, bapanya disahkan mati kira-kira jam 4 petang setelah mengalami sesak nafas ketika sedang tidur di rumahnya selepas beberapa jam dirempuh motosikal terbabit.

Mohd Hafzan berkata, sebaik kejadian itu, bapanya sempat menceritakan kejadian kepada adiknya yang ketika itu berada di rumah, sambil tertanya-tanya kenapa kenalannya iaitu penunggang motosikal terbabit melanggarnya.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 11 pagi, selepas dihubungi oleh adik saya memaklumkan mengenai kejadian itu dan saya dimaklumkan selepas kejadian, bapa saya enggan menerima rawatan di hospital dan saya berhajat akan menghantarnya ke hospital selepas mengajar kerana kecederaannya dijangkakan tidak begitu serius.

“Selepas bersarapan, saya diberitahu, bapa saya sempat tidur dan sedar waktu tengah hari. Pada masa sama bapa saya mengalami muntah-muntah dan sesak nafas sebelum disahkan mati,” katanya.

Menurutnya, bapanya kemungkinan mengalami kecederaan dalaman dan pihak hospital yang tiba di rumah untuk melakukan pemeriksaan kemudian mengesahkan bapanya sudah mati.

“Mayat bapa saya kemudian dibawa ke HUSM Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang untuk urusan pengebumian dan sebelum ini arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan kerana asyik berkebun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan terima laporan kejadian itu.
SH

Pengunjung tak endah papan tanda amaran



JERAM LINANG – Papan tanda larangan di kawasan bahaya, Air Terjun Jeram Linang bagaikan perhiasan semata-mata apabila masih ada pengunjung degil mandi manda di kawasan tersebut.

Orang ramai ditemui, Fuad Khalid, 29, berkata, walau sudah banyak tragedi meragut nyawa berlaku di tempat sama, ia sedikit pun tidak menakutkan pengunjung yang datang.

“Mungkin ada antara mereka tidak tahu kejadian sebelum ini, tetapi papan tanda bahaya diletakkan berhampiran kawasan tersebut masih tidak dihiraukan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Kawasan yang mengorbankan seorang remaja lelaki minggu lalu itu merupakan tempat sama pernah meragut beberapa nyawa sebelum ini.

Ramai memberitahu air di kawasan itu dalam dan tidak sesuai untuk bermandi manda bagi mereka tidak tahu berenang.

Fuad berkata, diharap para pengunjung memandang serius apa sahaja diletakkan pihak berkuasa demi keselamatan mereka.
SH

Tinggal sehelai sepinggang



KUALA KRAI - Tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka hangus manakala sebuah lagi keluarga mengalami kerugian kira-kira RM50,000 pada kebakaran melibatkan empat rumah di Kampung Batu Jong, dekat sini, semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 4 petang itu, tiga rumah musnah sama sekali dan sebuah rumah lagi hanya terbakar pada bahagian dua tingkat yang menempatkan dapur dan bilik namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Seorang mangsa, Mohammad Abdullah, 42, berkata, kejadian berlaku ketika dia dan isteri tiada di rumah manakala empat anaknya sedang mandi di sungai berhampiran menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.

“Saya dalam perjalanan balik selepas menghantar isteri ke satu program di Sungai Sok, Manek Urai apabila dimaklumkan mengenai kejadian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Seorang lagi mangsa, Hamidah Wook, 51, yang tinggal bersama dua anaknya di rumah itu berkata, dia sedang dalam perjalanan ke Manek Urai untuk program sama sebelum dimaklumkan seorang jiran mengenai kebakaran tersebut.

Katanya, selain peralatan rumah, barang kemas, wang tunai dan dokumen penting, kebakaran turut memusnahkan bahagian hadapan rumahnya yang baru siap dibina kira-kira sebulan lalu.

“Saya keluarkan RM12,000 duit simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk sambung bahagian hadapan rumah tetapi sekarang semua musnah,” kata Hamidah.

Sulaiman Jusoh, 64, pula berkata, dia bersama seorang anak saudaranya yang berusia 52 tahun berada di ruang tamu apabila diberitahu mengenai api di bahagian tepi dinding rumahnya.

“Bila saya bangun nak tengok, api sudah marak, jadi kami berlari keluar tanpa sempat menyelamatkan apa-apa barang dalam rumah,” katanya yang turut kehilangan wang tunai RM3,000 dan barang kemas akibat kejadian.

Seorang lagi mangsa, Wan Rani Wan Yaakob, 50, bagaimana pun lebih bernasib baik apabila hanya bahagian dua tingkat rumahnya yang menempatkan dapur dan bilik musnah pada kejadian itu.

Beliau yang tinggal di rumah itu bersama isteri dan empat anak berusia 10 dan 23 tahun berkata, dia berada di rumah Sulaiman ketika kejadian sebelum terdengar jeritan mengatakan ada kebakaran.

“Ketika kejadian, dua anak saya berada dalam rumah tetapi sempat menyelamatkan diri kerana waktu itu api masih belum sampai ke rumah saya,” katanya yang menganggarkan kerugian kira-kira RM50,000 akibat kejadian.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Fauzi Abdul Latiff berkata, seramai lapan anggota dan dua jentera dengan bantuan enam anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terlibat dalam operasi memadam kebakaran.

“Tiga rumah pertama musnah sama sekali manakala rumah keempat terbakar kira-kira 70 peratus sebelum api dapat dipadamkan sepenuhnya.

“Kami menggunakan air sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kebakaran untuk operasi memadam api kerana tekanan air rendah,” katanya memberitahu, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
SH

Kedai Apple China palsu



KUNMING - Papan tanda, produknya kelihatan tulen, dan semua pekerja menyangka mereka bekerja untuk Steve Jobs, tetapi kedai Apple di China ini sebenarnya palsu.

Ia ditemui di Kunming oleh seorang penulis blog Amerika Syarikat digelar BirdAbroad yang pada mulanya percaya kedai itu adalah kedai tulen milik syarikat komputer Apple.

Namun, BirdAbroad kemudian menyedari papan tanda di luar kedai adalah berbeza dengan pusat jualan barangan Apple lain di seluruh dunia.

“Selepas meneliti, saya dapati kedai ini adalah kedai palsu yang direka dengan begitu hebat sehinggakan pekerjanya sendiri menyangka mereka benar-benar bekerja dengan Apple,” katanya.

Jurucakap Apple yang dihubungi mengesahkan kedai itu sememangnya bukan pengedar sah produk syarikat terbabit.

Namun, seorang pekerja kedai itu menegaskan barangan dijual adalah tulen.
SH

Rempuhan treler, dua maut



SEREMBAN – Nahas rempuhan sebuah treler membawa muatan gelung besi ke atas sebuah treler yang membawa lapan kereta Proton di Kilometer 264.6 Lebuh Raya Utara - Selatan, semalam mengorbankan dua nyawa.

Mangsa, pemandu treler membawa gelung besi, M Mayandi, 39, bersama kelindannya, Ravi, 23, kerana cedera parah di kepala dan badan.

Pemandu dan kelindan sebuah lagi treler selamat, bagaimanapun, lapan kenderaan masih baru yang dibawa treler berkenaan remuk teruk akibat rempuhan.

Menurut jurucakap polis, kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi semalam, ketika treler membawa semua kereta, Proton itu sedang berhenti di lorong kecemasan.

Bagaimanapun, dirempuh dari belakang oleh treler membawa muatan gelung besi dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Simpang Renggam.

Menurutnya, pemandu treler itu mungkin mengantuk dan tidak menyedari sebuah treler berada dalam lorong kecemasan.

“Pelanggaran itu menyebabkan treler dinaiki mangsa menjunam ke dalam parit tepi jalan selepas dipercayai berlaku pergeseran.

“Pemandu treler berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit, manakala kelindannya pula tercampak keluar (juga mati),” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan, bagaimanapun mungkin pemandu treler berkenaan mengantuk disebabkan melalui perjalanan yang lama,” katanya.

Sementara itu, kelindan treler, Mohd Izad Mohd Tap, 25, berkata, mereka dalam perjalanan ke Segamat tetapi terpaksa berhenti di lorong kecemasan selepas salah satu tayar treler pecah.

Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, setakat ini polis masih menyiasat kejadian itu.
SH

Polis tahan empat orang disyaki terbabit dalam kegiatan proses dan edar dadah


IPOH - Polis menahan empat orang termasuk seorang wanita dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah di sebuah rumah di Gunung Rapat di sini dalam serbuan awal hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Shukri Dahalan berkata, dalam serbuan pada jam 5 pagi di rumah berkenaan, polis menemui pelbagai jenis peralatan di sebuah bilik yang dijadikan sebagai makmal untuk memproses dadah jenis heroin.

"Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) dan direman esok untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata sabit kesalahan mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh membawa hukuman mati mandatori.

Beliau berkata polis merampas dadah jenis heroin dan syabu yang masih belum diketahui beratnya serta cecair yang belum diketahui jenisnya, di samping merampas dua kenderaan daripada mereka. - Bernama

SH

Polis tahan empat orang disyaki terbabit dalam kegiatan proses dan edar dadah


IPOH - Polis menahan empat orang termasuk seorang wanita dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah di sebuah rumah di Gunung Rapat di sini dalam serbuan awal hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Shukri Dahalan berkata, dalam serbuan pada jam 5 pagi di rumah berkenaan, polis menemui pelbagai jenis peralatan di sebuah bilik yang dijadikan sebagai makmal untuk memproses dadah jenis heroin.

"Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) dan direman esok untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata sabit kesalahan mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh membawa hukuman mati mandatori.

Beliau berkata polis merampas dadah jenis heroin dan syabu yang masih belum diketahui beratnya serta cecair yang belum diketahui jenisnya, di samping merampas dua kenderaan daripada mereka. - Bernama

SH

Dua Lelaki ditahan jadikan rumah tempat simpan dadah


KUALA LUMPUR - Dua lelaki ditahan dan pelbagai jenis dadah serta sebuah kereta jenis Suzuki Swift dengan anggaran nilai keseluruhan RM279,000 dirampas pada serbuan di sebuah rumah di Taman Maju Jaya, Ampang, dua hari lepas.

Ketua Polis Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata kedua mereka yang berumur 21 dan 24 tahun itu ditahan dalam serbuan ke rumah itu pda pukul 10 malam.

"Mereka ditahan setelah keluar dari rumah tersebut sebelum polis menjalankan siasatan lanjut tehadap rumah itu dan menemui beberapa paket dadah jenis ketamin dan syabu serta lima telefon bimbit pelbagai jenama.

"Selain itu turut dirampas ialah plastik kosong yang digunakan untuk membungkus dadah," katanya di pejabatnya hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati bekalan dadah tersebut diperoleh dari kawasan Cheras, Kuala Lumpur dan mereka dipercayai telah menjalankan kegiatan sejak tiga bulan yang lepas.

Amiruddin berkata kedua mereka juga positif dadah jenis ketamin dan suspek yang berumur 24 tahun bekerja sebagai jurujual.

"Mereka dikenakan perintah tahanan reman bermula semalam sehingga 27 Julai ini dan kes di siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati," katanya.- Bernama

SH

Dipenjara kerana guna not $50 palsu

SINGAPURA
SEORANG penganggur dijatuhi hukuman penjara setahun tiga bulan semalam kerana menggunakan wang not $50 palsu untuk membeli satu tin bir daripada sebuah kedai di Yishun.

Segar Ramiah, 37 tahun, mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut awal bulan ini.

Pada 2 September 2010, Segar menggunakan salah satu daripada dua keping not palsu itu, yang diberi sepupunya, Narindran Sangara Banoi, untuk membeli bir sekitar 7.30 malam.

Pemilik kedai tersebut hanya menyedari wang itu palsu tiga jam kemudian dan melaporkan perkara itu kepada polis.

Segar ditahan dan wang baki $47.80 masih bersamanya.

Sepupunya, Narindran, 21 tahun, telah pun dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun pada Februari lalu atas kesalahan menghasil dan menggunakan wang palsu.

Cyberita Online Singapura

Pegawai Imigresen ditahan ISA

KUALA LUMPUR 22 Julai - Seorang pegawai Jabatan Imigresen ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam kerana terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia iaitu memalsukan dokumen perjalanan warga asing.

Selain pegawai berusia 29 tahun itu, seorang lelaki warga Sri Lanka berusia 36 tahun yang dipercayai mempunyai hubung kait dengan kegiatan pegawai terbabit membantu melakukan aktiviti penyeludupan manusia turut ditahan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar ketika mengumumkan penahanan itu berkata, polis telah melakukan siasatan secara terperinci berhubung kegiatan itu sebelum menahan pegawai imigresen yang bertugas di Depot Tahanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu.

"Kegiatan memalsukan dokumen perjalanan yang membolehkan seseorang keluar masuk dalam negara kita jelas membahayakan sistem keselamatan Malaysia dan kita terpaksa menahan dua individu terlibat," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Liga Balai siri pertama 2011 di sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Peguam Perancis ditahan

PUTRAJAYA 22 Julai - Peguam Perancis, William Bourdon yang terlibat dengan isu pembelian kapal selam Scorpene hari ini ditahan oleh Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam yang mengesahkan penahanan tersebut berkata, pihak Imigresen akan mengeluarkan satu kenyataan mengenai penahanan Bourdon.

''Ya, betul beliau telah ditahan dan pihak Imigresen akan mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan penahanan ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bourdoun dilaporkan ditahan sebaik sahaja pesawat dinaikinya mendarat di KLIA dan akan diusir balik ke negara asalnya.

Peguam tersebut sebelum ini bercakap mengenai pembelian kapal selam Scorpene oleh Malaysia di Pulau Pinang.

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) melalui Bourdon memfailkan saman pemula ke atas syarikat pembuat Scorpene dari Perancis iaitu DCNS atas dakwaan terlibat dalam rasuah pasif serta aktif dalam penjualan kapal selam tersebut kepada Malaysia.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Amuk gara-gara bola tampar



PENDUDUK yang mengamuk merobohkan dinding gelanggang daripada buluh, tempat perlawanan bola tampar yang mencetuskan kemarahan apabila tiada penyertaan pemain kebangsaan walaupun dijanjikan penganjur di Kampung Blumbungan, Pamekasan, Jawa Timur, Ahad lalu.


PAMEKASAN, Jawa Timur – Beratus-ratus penonton mengamuk semasa menyaksikan pertandingan bola tampar di Kampung Blumbungan daerah Pamekasan di sini kerana tidak berpuas hati dengan penganjur perlawanan, Ahad lalu.

Penonton dilihat mengamuk dengan merosakkan kemudahan yang terdapat di gelanggang bola tampar tersebut selepas kecewa dengan penganjur pertandingan yang mungkir janji.

“Penganjur pertandingan mengatakan ada pemain kebangsaan yang akan hadir pada pertandingan ini namun tiada seorang pemain kebangsaan yang hadir walaupun pertandingan telah tamat,” kata Achmad, salah seorang daripada penonton yang mengamuk.

Menurutnya, kebanyakan penonton hadir ke pertandingan bola tampar itu kerana mahu menyaksikan kehadiran pemain kebangsaan seperti yang dijanjikan oleh pihak penganjur.

“Terbukti penganjur telah berbohong,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penonton, Abdul Wasid berkata, dia sanggup membayar Rp5,000 (RM1.80) untuk tiket masuk semata-mata mahu melihat pemain kebangsaan beraksi.

“Saya mula mengesyaki sesuatu sebaik sahaja pertandingan bermula selepas pemain kebangsaan tidak kelihatan seperti yang dijanjikan penganjur,” jelasnya.

Akibat marah dengan penganjur pertandingan, ratusan penonton terbabit bertindak merosakkan gelanggang serta dinding yang diperbuat daripada buluh.

Penganjur pertandingan yang takut dengan kejadian tersebut pula telah bertindak menyelamatkan diri masing-masing. – AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Pemohon suaka politik di Australia merusuh


SYDNEY 22 Julai - Pemohon suaka politik yang ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di barat Sydney bertindak mengorek kubur dan menanam badan mereka sehingga ke paras leher sebagai tanda protes dalam rusuhan yang memasuki hari ketiga.

Pegawai Imigresen berkata, satu lagi kejadian melibatkan 100 tahanan berlaku hari ini di pusat tahanan berkenaan, namun terdapat pelbagai laporan berbeza berhubung apa yang berlaku.

Peguam pelarian berkenaan, Ian Rintoul berkata, beberapa tahanan bertindak mengorek kubur dan menanam badan mereka sehingga ke paras leher bagi menunjukkan mereka semakin terdesak.

''Pemohon suaka politik di kawasan Hijau bertindak mengorek kubur.

''Sebahagian daripada mereka juga mengadakan pengebumian olok-olok, sebagai tanda simbolik bahawa penahanan mereka memberi ancaman kepada tubuh dan minda mereka,'' katanya.

Seorang jurucakap polis berkata, tahanan menggunakan senjata buatan sendiri dan memulakan beberapa kebakaran di beberapa lokasi di pusat tahanan berkenaan.

''Keadaan itu memaksa polis mengambil beberapa pendekatan tegas termasuk menggunakan gas pemedih mata dan peluru kekacang,'' katanya.

Rusuhan berkenaan memasuki hari ketiga ketika pemohon suaka membantah kelambatan memproses permohonan mereka.

Rintoul berkata, polis menyerbu pusat tahanan tersebut awal hari ini bagi menjejaki ketua rusuhan itu dan beberapa tahanan telah dipukul serta dibawa ke unit kawalan maksimum.

Jurucakap polis, bagaimanapun menafikan berlaku sebarang layanan buruk terhadap tahanan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Razali diugut bunuh lagi

PULAU PINANG 22 Julai - Ahli DAP Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman yang baru-baru ini tampil menjadi saksi mengenai majlis kesyukuran tertutup untuk paderi-paderi di sebuah hotel di Jalan Macalister di sini mendakwa dia sekali lagi menerima ugutan bunuh daripada orang tidak dikenali, semalam.

Beliau yang dipecat daripada DAP pada 6 Julai lalu mendakwa diugut sekali lagi menerusi panggilan telefon kira-kira pukul 10.05 pagi.

Pada 2 Jun lalu, Mohamed Razali, 42, pernah menerima ugutan bunuh menerusi nota ditulis atas sekeping kertas yang diletakkan di depan pintu rumahnya.

Dalam panggilan yang diterimanya semalam, Mohamed Razali mendakwa seorang lelaki dipercayai berbangsa Melayu mengugut akan melakukan sesuatu terhadap dirinya jika beliau mendedahkan rahsia parti.

"Pemanggil itu berkata begini: Hang jangan dok dedah apa pun. Hang baru hilang kerja. Lepas ni hang pulak nanti hilang.

"Saya percaya ugutan ini ada kena mengena dengan kenyataan saya yang disiarkan dalam akhbar baru-baru ini," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Jelutong di sini hari ini.

Selasa lalu, Mohamed Razali melahirkan hasrat untuk mendedahkan mengenai perancangan DAP yang dianggap menindas serta menganiaya rakyat khususnya orang Melayu.

Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi sebelum ini menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan satu majlis pertemuan paderi-paderi dari seluruh negara yang turut berikrar untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut di sebuah hotel di Jalan Macalister sebagai tetamu.

Bagaimanapun, pada 13 Mei lalu, Mohamed Razali membuat laporan bagi membantu polis melakukan siasatan mengenai penganjuran majlis itu.

Beliau berbuat demikian setelah kecewa dengan pembohongan oleh pihak terlibat mengenai majlis berkenaan.

Utusan Malaysia Online - Politik

Motosikal bertembung lori

KUANTAN 22 Julai – Sepasang suami isteri warga emas terbunuh selepas motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori muatan batu di Kilometer 6, Jalan Jerantut-Maran di sini semalam.

Shahbudin Abu Samad, 66, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Wan Rahmah Wan Ngah, 61, meninggal dunia di Hospital Jerantut akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.

Ketua Turus Trafik Pahang, Deputi Supritendan Mohd. Najid Jusoh berkata, dalam kejadian pukul 10.25 pagi itu, kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Jengka 8, dekat Bandar Tun Abdul Razak di Maran.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, dipercayai motosikal mangsa dari arah bertentangan terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

“Pemandu lori yang berusia 47 tahun itu cuba mengelak ke kiri jalan namun tidak sempat lalu bertembung dengan kedua-dua mangsa.

“Akibat pertembungan itu, Shahbudin yang cedera parah maut di lokasi kejadian manakala isterinya, Wan Rahmah meninggal dunia di hospital,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Katanya, pemandu lori itu tidak mengalami kecederaan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Treler rempuh belakang treler

SEREMBAN 22 Julai – Seorang pemandu dan kelindan sebuah treler maut selepas kenderaan mereka merempuh belakang sebuah lagi treler membawa muatan kereta Proton di Kilometer 264.6, Lebuh Raya Utara-Selatan sebelum susur keluar Seremban arah selatan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, pemandu treler membawa muatan gelung besi iaitu M. Mayandy, 38, dan kelindannya, B. Ravi, 23, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Menurut jurucakap polis, kemalangan berlaku apabila sebuah treler membawa muatan lapan buah kereta jenis Proton Persona berhenti di lorong kecemasan akibat mengalami kerosakan tayar.

Katanya, selepas beberapa minit berhenti, tiba-tiba treler dipandu Mayandy merempuh belakang kenderaan berat itu.

“Rempuhan itu mengakibatkan treler dipandu mangsa terbabas ke dalam parit di bahu jalan bersama muatan gelung besi yang dibawa.

“Kedua-dua mangsa yang berasal dari Simpang Renggam dan Segamat, Johor meninggal dunia di tempat kejadian manakala bahagian hadapan lori yang mereka naiki remuk teruk,” katanya di sini, hari ini

Kemalangan itu turut menyebabkan lebuh raya menghala ke selatan sesak teruk sehingga ke Nilai akibat kerja-kerja mengalih gelung besi yang terjatuh di lebuh raya berkenaan.

Tambah jurucakap berkenaan, Mayandi tersepit di tempat duduk pemandu manakala kelindannya tercampak keluar dari kenderaan itu.

“Beberapa kereta Proton yang dibawa oleh treler yang dilanggar itu turut mengalami kerosakan teruk akibat rempuhan tersebut,” katanya.

Sementara itu, kelindan lori yang membawa muatan kereta tersebut, Mohd. Izad Mohd. Tap, 25, berkata, ketika kejadian dia bersama pemandu, Mohd. Zainal Bani, 35, sedang memeriksa kenderaan mereka yang rosak sebelum terdengar bunyi letupan kuat di belakang.

“Terkejut dengan bunyi kuat itu, saya segera melarikan diri ke kawasan parit di tepi lebuh raya. Tidak lama kemudian, saya lihat sebuah lori treler merempuh belakang kenderaan kami,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja‘afar untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

SPRM cekup 8 penyeludup

KUCHING: Kelicikan lapan lelaki termasuk seorang pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang dipercayai terbabit dalam kegiatan menyeludup barang kawalan membabitkan nilai subsidi lebih RM1 juta setahun ke Kalimantan Barat, Indonesia, berakhir apabila mereka ditahan di sempadan Tebedu-Entikong, dekat Serian, kelmarin.

Kegiatan kumpulan terbabit ditumpaskan dalam operasi khas digerakkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya yang menyaksikan cubaan menyeludup 488 tong gas, 816 kilogram minyak masak serta 4,000 kilogram gula.


Nilai subsidi tiga jenis barang kawalan berkenaan dianggarkan RM7,300 yang cuba dibawa menerusi pintu sempadan tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa Malaysia.

Menurut sumber, kegiatan penyeludup terbabit terbongkar selepas SPRM menerima maklumat berhubung kewujudan tiga lori dari negara jiran cuba membawa keluar tong gas, gula dan minyak masak di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tebedu.


Katanya, suspek yang ditahan membabitkan seorang pegawai KDRM, pembekal berlesen barangan subsidi warga tempatan yang masing-masing berusia 40-an serta lima warga Indonesia dan seorang warga tempatan berusia antara 22 hingga 55 tahun.


“Kegiatan penyeludupan dikatakan berlaku setiap hari dan dipercayai turut membabitkan beberapa lagi kumpulan lain dan kegiatan itu menyebabkan kerajaan kerugian barangan subsidi lebih RM1 juta setahun,” katanya.

Sumber itu berkata, penyeludupan di sempadan Malaysia-Indonesia dikatakan sudah lama berlaku secara berleluasa dan dikaitkan dengan sindiket terancang yang menggunakan pembekal berlesen serta pembabitan beberapa pegawai pihak berkuasa Malaysia bagi memastikan kegiatan itu berjalan lancar.


“Kejayaan itu diyakini membawa kepada beberapa siri tangkapan lain dalam tempoh terdekat, termasuk anggota pihak berkuasa yang bertugas mengawal pintu sempadan di sini,” katanya.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Kuching di sini semalam membenarkan semua lapan suspek direman empat hari bagi membantu siasatan SPRM. Permohonan reman dibuat Pegawai Pendakwa SPRM Kuching, Othman Anyan di depan Pendaftar Mahkamah, Aida Buntong, mengikut Seksyen 16, Akta SPRM 2009.


Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24, akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi.


Othman berkata, pegawai KDRM yang bertugas di CIQ Tebedu ditahan selepas disyaki bersubahat dengan kumpulan.

myMetro | SPRM cekup 8 penyeludup