Search This Blog

Thursday, July 21, 2011

Punca kematian gagal dikesan



KEMAMAN – Hasil bedah siasat ke atas rangka manusia yang dipercayai warga emas Abdul Razak Abdullah, 75, mengesahkan si mati meninggal dunia dalam tempoh sebulan lebih yang lalu.

Ketua Polis daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, bagaimanapun hasil bedah siasat gagal mengenal pasti punca kematian disebabkan si mati sudah lama meninggal.

Justeru katanya, sampel tulang si mati akan dihantar ke jabatan kimia di Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat ini (esok) untuk dianalis DNA sebagai pengesahan identiti si mati berdasarkan DNA yang dipercayai anak si mati.

Menurutnya, paling singkat keputusan DNA itu akan diketahui dalam tempoh seminggu, namun kebiasaannya keputusan diketahui dalam tempoh sebulan.

“Kita jalankan bedah siasat itu pagi tadi di Unit Forensik, Hospital Kuantan dan kira-kira jam 11.30 pagi ia dituntut oleh waris (anak si mati) untuk dikebumikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Difahamkan, jasad Abdul Razak itu dikebumikan selepas waktu Asar semalam.

Sementara itu, rangka manusia yang masih tersusun ditemui dalam keadaan terlentang di bawah pondok usang yang dihuni si mati oleh dua pelajar Pondok Al-Mustaqim, Binjai ketika keluar mencari kayu api di kawasan kebun terbiar Kampung Batu 4, Binjai, di sini, lewat petang Isnin lalu.

Penemuan itu juga meleraikan misteri kehilangan Abdul Razak yang dikatakan sejak lebih sebulan lalu tidak dilihat penduduk sekitar kerana kebiasaannya dia sering dilihat menunggang basikal tua di sekitar Binjai.
SH

Nyaris maut angkara suami



KUANTAN - Seorang bekas jurujual hampir berdepan maut apabila suaminya cuba mencederakannya menggunakan alat renjatan elektrik ketika cuba melarikan dari sebuah tokong di Taman Angkasa, Air Putih, di sini ke rumah bapa saudara, kelmarin.

Mangsa yang lebih mahu dikenali Madam Si,28 tahun sempat menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa angkara suaminya lebih dikenali Chong, 35 dengan bersembunyi di rumah bapa saudaranya itu.

Itu penderitaan yang ditanggung ibu kepada dua anak lelaki berusia 8 dan 3 tahun sejak Mac tahun lalu akibat didera suaminya dan sehingga kini, 15 laporan polis dibuat namun hingga sekarang, masih tiada jalan penyelesaian.

Dakwanya, pihak polis tidak dapat bertindak kerana kes itu adalah masalah keluarga namun dia pula semakin takut kerana ugutan dan tingkah laku suaminya sebelum kali terakhir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada 5 Julai lalu.

Biarpun mendapat perlindungan sementara atas arahan mahkamah selama setahun pada 5 April tahun lalu, Si masih tertekan dan diburu ketakutan dek keganasan suaminya yang mula mengganas sejak terlibat dengan dadah sintetik.

Si ditemui ketika mengadakan sidang media di pejabat Khidmat Ahli Parlimen Kuantan, di sini semalam untuk meminta pertolongan kerana tidak mampu menanggung penderitaan dengan sikap suaminya yang panas baran dan cemburu melampau.

Hadir sama, Pegawai Khas Ali Parlimen, Sim Chon Siang dan Pengurus Pusat Khidmat, Norbaini Abu Bakar.

Menurutnya, dia sudah berkahwin selama 8 tahun dengan suaminya yang juga seorang ‘ah long’ dan mengakui sikap panas barannya sejak mula lagi namun makin parah selepas terbabit dengan dadah.

“Suami kuat cemburu dan selalu menuduh saya menyimpan lelaki lain di luar dan kali pertama dipukul, saya dilayan seperti binatang, ditarik seperti seekor anjing di depan rumah.

“Pernah juga saya dipukul dan dicampakkan dalam longkang di Semambu ketika balik bekerja selepas suami menghalang kenderaan saya,” katanya turut gusar dengan keselamatan dengan dua anaknya.

Si berkata, suaminya turut mengugut beberapa bekas majikannya menyebabkan dia tidak dapat bekerja kerana mereka takut untuk mengupahnya dan kini kedua ibu bapanya yang kian uzur menjadi tempat buatnya bergantung.

Menurutnya, dia merayu terhadap mana-mana pihak untuk membantunya kerana sudah tidak mampu dengan ugutan dan perbuatan suaminya yang semakin melampau selain dia sendiri ingin memulakan hidup baru untuk menanggung keluarganya

“Dah banyak kali saya tukar kerja kerana masalah ini, kawan-kawan pun sudah hilang kerana takutkan suami dan kini saya dalam proses menuntut penceraian terhadapnya.

“Namun suami juga pernah mengugut tidak akan melepaskan saya biarpun sudah bercerai dan berkata, mati pun biar sama-sama,” dakwanya.

Sementara itu, Chon Siang berkata, dia pernah menasihatkan mangsa itu supaya mendapatkan bantuan daripada sebuah pertubuhan wanita di Kuala Lumpur iaitu Women Aid Organization (WAO) untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi Si.

Menurutnya, beliau mengharapkan pihak polis bertindak segera sebelum kejadian lebih serius berlaku seperti kehilangan nyawa sekali gus boleh menjejaskan kredibiliti pihak berkuasa.
SH

Panik pasar raya terbakar



TANJUNG GEMOK – Kira-kira 30 pekerja dan pelanggan yang menjalankan urusan jual beli di sebuah pasar raya, di sini, panik selepas mendapati tingkat tiga bangunan rumah kedai itu tiba-tiba terbakar.

Kejadian pada jam 8 malam itu disedari orang ramai yang berada di luar apabila mereka ternampak api tiba-tiba terpercik menerusi kabel elektrik tingkat tiga premis perniagaan itu hingga mengeluarkan asap.

Pengurus Besar pasar raya itu, Lim Teng Lai, berkata, ketika kejadian, dia sibuk menyemak stok barangan di premis itu sebelum dikejutkan suara riuh rendah pekerja dan pelanggan yang cemas.

“Saya terkejut dan panik apabila mendengar suara orang menjerit yang mengarahkan semua keluar kerana berlaku kebakaran di tingkat atas bangunan.

“Saya terus ke bahagian kaunter menuju pintu utama dan mendapati semua orang berpusu-pusu keluar dari premis ini untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Teng Lai berkata, dia juga terkejut apabila melihat kepulan asap pada bahagian dinding depan bangunan tingkat tiga mula merebak ke kawasan berhampiran.

“Kejadian berlaku dalam sekelip mata. Ia dipercayai berpunca daripada masalah pendawaian elektrik atau ada gangguan haiwan seperti burung yang mungkin tersangkut pada kotak elektrik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Mohd Affandi Mansor berkata, kejadian itu hanya menyebabkan kebakaran pada bahagian papan tanda nama premis itu.

Menurutnya, anggota bomba Rompin tiba di lokasi kejadian pada jam 8.23 malam, namun sebaik sampai, kebakaran itu berjaya dipadamkan anggota Bomba dan Penyelamat Endau, Johor yang tiba lebih awal di lokasi kejadian.

“Anggaran jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
SH

Kes rogol, curi motosikal naik



TEMERLOH – Jumlah jenayah membabitkan remaja di peringkat sekolah di negeri ini meningkat berbanding tahun lalu membabitkan jenayah rogol dan curi motosikal.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, dua kesalahan jenayah itu antara paling tinggi dilakukan remaja di peringkat sekolah daripada kesalahan-kesalahan jenayah lain.

Menurutnya, bagi kes curi motosikal tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas iaitu sehingga Jun tahun ini jumlah dilaporkan 1,115 kes berbanding tahun lalu sebanyak 1,034 kes.

“Bagi kesalahan rogol pula jumlah dilaporkan pada tahun ini sebanyak 133 kes berbanding tahun lalu hanya 112 kes.

“Kesalahan rogol dipercayai berlaku dalam kalangan remaja di peringkat sekolah akibat kegagalan memahami undang-undang dan pergaulan terlampau bebas antara lelaki dan perempuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kemasyarakatan Polis Di Raja Malaysia Bersama Pengusaha Shell Negeri Pahang di sini semalam.

Beliau tiba bersama konvoi bermotosikal disertai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang. Turut hadir Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor.

Pada majlis sama Sharifuddin turut menyampaikan sumbangan kerusi roda baru kepada dua kakitangan awam yang berkhidmat di Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

Dua kakitangan awam itu ialah Mohd Irwan Abd Malek 22, yang mengalami kecacatan sejak berumur 14 bulan selepas mengalami demam panas.

Mohd Irwan kini menjawat jawatan Pembantu Tadbir Kewangan IPD Temerloh telah berkhidmat selama satu setengah tahun.

Mohd Irwan merakamkan penghargaan kepada PDRM Negeri Pahang atas sumbangan tersebut.

Sementara seorang lagi penerima sumbangan kerusi roda adalah Ku Ghazali Ku Yakub 35, yang juga berkhidmat di Baka IPD Temerloh sejak tiga setengah tahun yang lalu.

Beliau mengalami kecacatan akibat kemalangan jalan raya semasa bekerja kilang di Negeri Sembilan pada 1998.

Dalam perkembangan berkaitan Sharifuddin berkata, konvoi bermotosikal akan diteruskan di seluruh negeri bagi mengeratkan hubungan polis bersama masyarakat.
SH

Suami isteri dicekup edar dadah



BERA – Seorang wanita lima anak dipercayai menjalankan aktiviti mengedar dadah di sekitar Felda Gugusan Bera ditahan polis di rumahnya dekat Kerayong, kelmarin.

Wanita berusia 30 tahun itu ditahan jam 12.45 tengahari di sebuah rumah kos rendah di Taman Kerayong Makmur dan dipercayai menjadikan rumahnya sendiri sebagai tempat membungkus dadah sebelum dipasarkan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Suprintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 28.0 gram dan syabu (3.5 gram) yang dianggarkan bernilai RM3,500.

Menurutnya, dadah yang dirampas itu adalah dalam bentuk 17 peket heroin dan keratan tiub straw iaitu sebanyak 11 (heroin) dan 24 (syabu).

“Ketika serbuan, wanita tersebut berada di ruang tamu rumahnya sambil memegang sebuah beg berwarna coklat yang berisi dua jenis dadah dan wang tunai hasil jualan dadah tersebut.

“Bagaimanapun, pada waktu sama juga, hanya empat anaknya berada di bilik rumah itu sementara suaminya berada di luar rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Bera, semalam.

Turut hadir, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah, ASP Hashim Ya dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Chief Inspektor Zahari Mohamed Noor.

Mohd Zahid berkata, berdasarkan siasatan polis, wanita tersebut dipercayai mula mengedarkan dadah pada awal Jun lalu.

Katanya, suspek menghubungi penagih lama dan baru menggunakan telefon bimbitnya sementara penghantaran dilakukan menggunakan kenderaannya sendiri.

“Ujian saringan awal pihak polis terhadap suspek adalah negatif terhadap sebarang penggunaan dadah, dan suspek juga tidak pernak mempunai rekod jenayah lampau,” kata beliau.

Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 39 (B) dan dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, sementara suaminya turut ditahan di bawah Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.
SH

Rumah 2 beranak hangus



CHERAS – Dua beranak hilang tempat tinggal apabila rumah mereka di unit Perumahan Awam (PR) Seri Johor terbakar dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam.

Ketika kejadian, Chua Kim Kwan, 47, keluar bekerja manakala ibunya, Soo King In, 72, juga tidak berada di rumah kerana keluar ke pasar.

Kim Kwan berkata, dia mendapat panggilan telefon daripada rakannya sebelum bergegas balik ke rumah.

“Saya tidak tahu macam mana kejadian ini berlaku, tetapi saya ada tinggalkan api kecil yang menyala di tempat sembahyang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Dia yang sudah lebih 20 tahun menetap di rumah tersebut masih tidak dapat memastikan jumlah kerugian yang ditanggung daripada kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Bandar Tun Razak, Mohamad Sofi Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10 pagi.

Menurutnya, pihaknya juga mendapat bantuan daripada Balai Polis Pudu dengan jumlah anggota seramai 17 orang.

“Punca kebakaran masih disiasat dan kita menolak sebarang unsur jenayah kerana ketika tiba, didapati pintu pagar berkunci,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan, Datuk A Chandrakumanan yang tiba melawat tempat kejadian berkata, pihaknya akan mengusahakan sebarang bantuan yang diperlukan oleh mangsa.

“Daripada maklum balas awal, mangsa tidak mahu ditawarkan ke unit lain walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai peruntukan terbabit kerana mereka akan tinggal bersama saudara terdekat sementara rumah dibaiki,” katanya.
SH

Dua jam tawan ular terpanjang



KLANG – Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Selangor mengambil masa hampir dua jam ‘menjinakkan’ ular sawa sepanjang 6.3 meter yang ditemui di sebuah kebun, di sini.

Ular sawa batik seberat kira-kira 55 kilogram itu, ditemui penjaga jentolak kira-kira jam 2.30 pagi di kawasan kebun, Kampung Budiman, Meru, di sini semalam.

Pegawai Operasi Gerakan JPAM Selangor, Leftenan Md Noor Hashim berkata, empat anggota JPAM dihantar ke kawasan kebun itu,.

Bagaimanapun, menurutnya, kekuatan anggota terpaksa ditambah apabila usaha awal menangkap reptilia berkenaan tidak berjaya.

“Kita terpaksa menggunakan pelbagai peralatan pada awalnya, namun gagal sehingga salah seorang anggota tercedera ketika ingin menarik reptilia berkenaan.

“Berkat kerjasama, akhirnya reptilia itu berjaya ditangkap kira-kira jam 4.30 pagi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat JPAM, di Jalan Raya Barat,” katanya kepada Sinar Harian.

Gara-gara saiz ular berkenaan berbeza daripada penemuan sebelum ini, JPAM turut berdepan masalah apabila karung dan peralatan yang dibawa bagi menyimpan reptilia itu tidak mampu menampung saiznya yang panjang dan besar.

Md Noor berkata, kejayaan itu menjadi penangkapan reptilia terpanjang dan paling berat pernah dilakukan JPAM Selangor tahun ini.

Katanya, berdasarkan maklumat awam, terdapat seekor lagi ular sawa dengan saiz hampir sama berada di kawasan itu, namun dipercayai telah mati akibat ditimpa jentolak.

“Orang awam yang mempunyai maklumat penemuan haiwan berbahaya diminta menghubungi Bilik Gerakan JPAM dengan segera,” katanya.
SH

Panggilan gadis urut



PETALING JAYA – Sebuah rumah urut di SS2 yang menawarkan perkhidmatan urut melalui panggilan telefon diserbu sepasukan Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam.

Pusat urut yang pernah diserbu beberapa kali itu masih berdegil dan menjalankan operasinya secara sembunyi-sembunyi kali ini melalui pintu belakang.

Hasilnya pelbagai barangan termasuk tilam dan peralatan serta minyak urut dirampas berikutan ia beroperasi tanpa lesen.

Modus operandi pusat terbabit ialah pelanggan yang datang perlu membuat tempahan dan menunggu seketika gadis yang diinginkan tiba.

Pemeriksaan mendapati hampir ke semua bilik di premis itu mempunyai ruangan untuk mandi.

Dalam operasi sama juga, sebuah pusat refleksologi bakal diheret ke mahkamah setelah didapati menyalahgunakan lesen untuk urutan badan

Selain itu, turut disita 30 set komputer milik sebuah premis pusat siber judi dan 10 set komputer milik sebuah kafe siber yang beroperasi secara haram di seksyen 14.

Pengarah Penguat Kuasa MBPJ, Mohd Fauzi Maarop berkata, daripada 15 orang yang diperiksa, dua lelaki berusia 30-an ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kerana positif dadah jenis metafetamin.

Tindakan diambil di bawah Undang Undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber MBPJ 2007 dan Undang-Undang Kecil Pusat Kesihatan dan Kecantikan MBPJ 2007.
SH

Tidak mengaku pukul anak



AYER KEROH – Seorang penoreh getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dakwaan mendatangkan kecederaan parah kepada anak remajanya, Julai lalu.

M Anbalagan, 38, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh penterjemah mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, Anbalagan yang juga bapa tunggal empat anak didakwa telah mendatangkan kecederaan parah terhadap A Manimaran, 17, dengan menggunakan sebatang besi.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di nombor 1708, Jalan 6, Taman Baiduri, Pulau Sebang, Alor Gajah, kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 14 Julai lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shazwani Ishak, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Pertuduhan dibuat di bawah Sekyen 326 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksima 20 tahun, denda dan boleh juga boleh disebat jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Nur Shazwani turut memohon supaya mahkamah mengenakan jaminan RM15,000, selain tertuduh diperintah tidak mendekati mangsa.

Ahmad Sazali menetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin sementara menanti tarikh sebutan semula kes dan pelantikan peguam untuk tertuduh pada 19 Ogos depan.
SH

Lima diberkas, seorang diburu



PORT DICKSON – Pasukan polis Port Dickson berjaya memberkas sekumpulan lelaki dipercayai terlibat dengan dua kes samun di Rumah Jagaan Orang Tua Jimah, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Baljeet Singh berkata, kesemua suspek melibatkan lima lelaki berusia antara 30 hingga 35 tahun.

“Suspek berjaya diberkas Ahad lalu di sekitar Lukut dan Chuah pada waktu berasingan.

“Suspek ditahan reman hingga Ahad depan bagi membantu siasatan polis dan kesemua mereka adalah warga tempatan serta bekerja sendiri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Baljeet berkata, siasatan masih dijalankan sama ada suspek mempunyai jenayah lampau atau tidak.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dengan menggunakan senjata yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan,” katanya.

Menurutnya, pihak polis menggandakan lagi usaha untuk memburu seorang lagi suspek lelaki dipercayai turut terlibat dalam kes sama.

Terdahulu, Rumah Jagaan Orang Tua Jimah pada 6 Jun lalu sekitar jam 4.30 pagi di pecah masuk oleh empat lelaki bersenjatakan parang.

Kerugian mencecah RM6,000 dan seorang penghuni rumah kebajikan tersebut mengalami kecederaan akibat dilibas dengan parang oleh suspek.

Genap sebulan kemudian iaitu pada 6 Julai lalu, kejadian hampir sama berulang melibatkan sekumpulan lagi lelaki dengan memakai penutup muka dan bersenjatakan parang merompak rumah kebajikan tersebut.

Rumah kebajikan itu menempatkan 14 penghuni di dorm lelaki dan 10 penghuni di dorm wanita.

Namun, hanya penghuni lelaki menjadi mangsa. Kejadian pada 6 Jun lalu adalah kali pertama berlaku sejak ditubuhkan pada 1978.
SH

Kecewa sikap kontraktor



GEDUK – Seorang warga emas kesal dengan sikap kontraktor yang didakwa bersikap sambil lewa ketika menjalankan kerja-kerja membina tebing jalan hingga menyebabkan sebatang pokok durian berusia lebih 40 tahun miliknya kini hampir mati.

Bahari Sulong, 65, yang juga bekas guru dari Kampung Geduk, di sini, tidak dapat menahan rasa kecewanya berikutan pokok durian hasil peninggalan arwah ayahnya itu merupakan peninggalan keluarga yang mana menjadi harapan arwah ayahnya supaya anak cucunya dapat menikmati hasil tanaman berkenaan.

Dakwanya, pokok durian berkenaan kini hampir mati susulan sikap kontraktor yang bertindak membakar sampah sarap di bawahnya ketika melakukan kerja-kerja membina tebing jalan.

“Akibatnya, akar pokok durian berkenaan kini hangus dan ramai penduduk turut mendakwa pokok ini akan mati tidak lama lagi.

“Saya sangat sedih kerana kejadian ini berlaku awal Julai lalu. Sepatutnya kontraktor lebih peka sekiranya melakukan sebarang aktiviti atau menggunakan tanah orang lain semasa melakukan kerja,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Sementara itu, Bahari berkata, kejadian pencerobohan tanah dan berhadapan dengan kontraktor yang tidak peka dengan tanah milik orang kampung itu sudah pun dua kali berlaku ke atas dirinya.

Menurutnya, kejadian pertama membabitkan kerja-kerja membina jalan ladang bagi padang ragut di kampung berkenaan dua tahun lalu yang mana pagarnya telah dirosakkan.

“Namun, saya masih boleh bertimbang rasa dengan memperbaikinya sendiri tanpa meminta pampasan. Tetapi kali ini tidak lagi memandangkan ianya merupakan peninggalan arwah ayah saya.

“Oleh itu, saya amat berharap agar pihak kontraktor dapat mengambil iktibar dari kejadian ini dan bersikap lebih bertimbang rasa dengan orang kampung," katanya.
SH

Dua suspek samun diburu



SEREMBAN – Polis menggiatkan usaha memburu dua suspek yang terlibat dalam kejadian menyamun seorang wanita hamil di Taman Impian dekat Kuala Pilah, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya kepada pihak polis.

“Mangsa, seorang suri rumah berumur 36 tahun kini dalam keadaan stabil dan pihak polis telah mengambil keterangannya,” katanya, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin, mangsa yang hamil dua bulan diacukan parang, ditampar dan ditendang suspek sebelum rantai lehernya diragut.

Dua lelaki terbabit dan seorang lagi rakan mereka seterusnya melarikan diri namun kereta jenis Perodua Kancil dinaiki mereka dikesan polis di Jalan Campbell dekat sini, kira-kira sejam kemudian.

Salah seorang suspek berumur 40-an cedera setelah ditembak polis pada betis kanannya, manakala dua lagi suspek berjaya melarikan diri.
SH

Rayuan guru ditolak



ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam, menolak rayuan seorang guru untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 9 Mei tahun lalu, berhubung dakwaan melakukan perbuatan melampau terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab berkata, mahkamah mengekalkan keputusan terdahulu yang dibuat Hakim Maznah Abd Aziz terhadap Muhamad Nizar Shuib, 30, iaitu penjara lapan bulan bermula daripada tarikh hukuman dijatuhkan.

“Saya dapati ada keterangan yang cukup untuk membuktikan kesalahan perayu, kegagalan pendakwa mengemukakan saksi tidak menjejaskan kes pendakwaan malah tiada elemen penyembunyian keterangan.

“Hukuman yang diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini adalah sesuai dan berpatutan, rayuan perayu ditolak oleh mahkamah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Muhamad Nizar bagaimanapun memohon supaya hukuman ditangguhkan untuk mereka memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan, atas alasan masih berstatus kakitangan kerajaan.

Mohd Zaki kemudiannya memutuskan untuk membenarkan permohonan Muhamad Nizar, dengan kadar jaminan yang ditetapkan Mahkamah Sesyen sebelum ini iaitu RM35,000 dan seorang penjamin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhamad Nizar dituduh merangsang dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dengan tujuan melakukan suatu perbuatan melampau terhadap kedua-duanya, di sebuah rumah bernombor 497, Taman Siswa 2, Jalan Universiti, Kubang Pasu, antara Mei 2003 hingga April 2004.

Muhamad Nizar yang mengajar kelas tambahan Bahasa Inggeris kepada kanak-kanak itu didakwa di mahkamah pada 28 April 2004, kerana melakukan kesalahan bawah Seksyen 377E Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah seksyen sama.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam G Ravish Shankar.
SH

Pencuri larikan Proton Satria



TAMAN PATANI JAYA – Sebuah keluarga di sini mengalami kerugian RM15,000 dalam satu kejadian curi melibatkan kehilangan barangan berharga termasuk komputer peribadi, telefon bimbit dan sebuah kereta Proton Satria milik mangsa.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Teh, 40-an, berkata, dipercayai dua pencuri cuba menyelinap masuk ke dalam rumahnya antara jam 2.30 hingga 6.30 pagi kelmarin ketika dia bersama isteri dan dua anak sedang nyenyak tidur di tingkat atas rumah.

“Mereka bertindak melompat pintu pagar dan memotong ruang kunci pintu gerigi besi sebelum cuba masuk dan mengejutkan pembantu rumah yang dikenali sebagai Yati, 25, yang tidur dalam bilik di tingkat bawah,” katanya.

Teh berkata, Yati yang sudah berkhidmat dengan keluarga berkenaan lebih empat tahun, tidak menyangka pintu bilik diketuk oleh suspek dan terus membuka sebelum diacu sebilah pisau di leher dengan isyarat memintanya berdiam diri.

Menurutnya, semua bahagian dalam rumah digeledah dan suspek juga sempat masuk ke dalam bilik tidur mereka dan melarikan beg tangan yang berisi wang tunai selain komputer peribadi, tiga kamera dan empat telefon bimbit.

“Pencuri berkenaan juga berjaya menjumpai kunci kereta Proton Satria dan turut melarikan kenderaan terbabit,” katanya.

Menurutnya, disebabkan leka membuat kerja pada malam kejadian, Teh hanya masuk tidur pada jam 2.30 pagi dan tidak menyedari langsung mengenai kejadian itu sehinggalah bangun semula pada jam 6.30 pagi sebelum diceritakan Yati.

“Yati yang terkejut dengan insiden berkenaan langsung tidak keluar dari biliknya sehinggalah kami sekeluarga menjumpainya dalam keadaan ketakutan dan menyembunyikan diri,” katanya.

Bagaimanapun dia membuat laporan polis berhubung kejadian itu di balai polis berhampiran.
SH

Tersepit 15 minit



GEORGETOWN – Seorang konstabel polis terpaksa menahan kesakitan selama 15 minit apabila kaki kanannya tersepit di bahagian depan kereta jenis Honda Civic yang dipandunya malam kelmarin.

Zulfadzli Zamzuri, 23, yang memandu sendirian dikatakan nyaris maut apabila kenderaan dipandunya hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu kira-kira jam 9.30 malam itu.

Mangsa yang bertugas di Balai Polis Kampung Bharu, Ayer Itam patah kaki kanan dan cedera di bahagian kepala serta badan.

Dia kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan masih belum sedarkan diri.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, akibat hilang kawalan, kereta dipandunya merempuh pembahagi jalan di bahagian tengah dan melanggar sebuah kereta Proton Wira yang berada di hadapannya sehingga berpusing beberapa kali.

“Mangsa yang tidak bertugas itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Farlim dari Sungai Nibong. Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tersepit kerana bahagian depan keretanya remuk selepas terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

“Orang ramai yang cuba membantu gagal mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta sebelum pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak tiba dan berjaya membawanya keluar selepas berusaha selama 15 minit,” katanya.

Ayub berkata, polis masih menyiasat punca kemalangan dan meminta saksi yang mempunyai maklumat tampil untuk membantu siasatan.
SH

Seorang anggota Rela hampir ditikam penyamun



IPOH – Ketangkasan lima anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) berjaya menahan seorang daripada dua penyamun yang cuba memecah masuk sebuah rumah di Persiaran Pasir Puteh, Taman Shatin, kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Bagaimanapun, salah seorang daripada anggota Rela terbabit hampir dicederakan penyamun yang cuba menikamnya dengan pemotong dawai dan playar ketika mereka bergelut antara satu sama lain.

Kehadiran kedua-dua penyamun itu disedari lima anggota itu ketika sedang melakukan rondaan di kawasan taman berkenaan.

Dua penyamun dalam lingkungan 30-an itu disergah anggota Rela berkenaan menyebabkan mereka panik dan cuba melarikan diri dengan sebuah motosikal yang diletakkan di luar pagar.

Namun salah seorang daripada penyamun terbabit gagal meloloskan diri menyebabkan dia dicekup dan kemudian di bawa ke Balai Pasir Puteh untuk siasatan lanjut.

Ketua Seksyen Rela Taman Melur dan Taman Shatin, C Y Chan berkata, beliau bersama empat rakan sekerjanya sedang melakukan rondaan rutin bermula.

Kira-kira jam 2.15 petang semalam di taman berkenaan sebelum terserempak dengan dua lelaki yang sedang memanjat pagar sebuah rumah.

Katanya, dengan pantas beliau menyergah dua lelaki berkenaan sehingga menyebabkan mereka panik dan cuba melarikan diri.

“Saya berjaya mencekup salah seorang daripada mereka manakala, seorang lagi berjaya melarikan diri dipercayai menuju ke jalan utama Pasir Puteh-Ipoh.

“Sebaik dicekup, suspek berkenaan yang masih memegang playar dan pemotong dawai cuba mencederakannya namun, saya berjaya mengelak,” katanya.

Beliau berkata dengan bantuan empat rakan sekerja lain, suspek berjaya ditangkap sebelum menghubungi polis.

Dalam perkembangan sama, Ketua Perhubungan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Mukim Kinta Utara, Chang Kok Aun berkata, beliau sentiasa mengarahkan anggotanya untuk melakukan rondaan rutin di kawasan perumahan berkenaan.
SH

Saudara baru ditipu ejen pelancongan



JOHOR BAHRU - “Saya nyaris terkandas di Makkah apabila agensi yang menguruskan pakej umrah tidak sediakan tiket balik ke Malaysia. Mujur ada jemaah lain sudi pinjamkan saya duit untuk beli tiket,” dakwa seorang saudara baru, Junaidah Abdullah, 57.

Beliau yang mengerjakan umrah pada April lalu memfailkan tuntu��tan ganti rugi sebanyak RM1,690 iaitu kos membeli tiket penerbangan terhadap sebuah agensi pelancongan di Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), di sini, semalam.

“Pakej umrah bernilai RM5,900 yang saya pilih meliputi tiket penerbangan pergi dan balik, makanan, dan penginapan selama 14 hari. Malangnya wakil agensi itu memaklumkan jemaah perlu membeli tiket menggunakan duit sendiri pada hari sepatutnya kami dijadualkan pulang ke tanah air,” katanya.

Junaidah adalah salah seorang daripada keseluruhan 36 jemaah menggunakan pakej umrah ditawarkan agenda pelancongan berkenaan selain terpaksa melanjutkan tempoh penginapan di hotel, malah paling membimbangkan visa dimiliki bakal tamat tempoh.

Menurutnya, selain minta ganti rugi, tujuannya memfailkan tuntutan berkenaan adalah sebagai pengajaran kepada agensi pelancongan itu supaya tidak melakukan penipuan kepada semua jemaah haji atau umrah yang menggunakan pakej mereka untuk ke tanah suci.

Presiden TTPM, Mohd Nasrim Datuk Mohd Salleh mengarahkan pihak penentang (syarikat agensi pelancongan berkenaan) membayar sebanyak RM1,690 kepada Junaidah dalam tempoh 14 hari pada tarikh award dikeluarkan.
SH

Kereta tak dapat, deposit lesap



JOHOR BAHRU – Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini, semalam memerintahkan seorang jurujual kereta memulangkan semula deposit sebanyak RM6,000 yang diserah�kan oleh pelanggan.

Pelanggan berkenaan, seorang tukang masak, Mohd Helmi Zulkifli, 23, mendakwa menyerahkan wang kepada jurujual berkenaan sebagai deposit untuk membeli sebuah Toyota Vios pada Februari lalu.

“Disebabkan saya mengalami masalah kewangan, saya batalkan hasrat untuk membeli kereta berkenaan dan meminta jurujual menguruskan pembelian kereta Proton Persona dengan menggunakan deposit yang saya berikan sebelum ini,” katanya.

Katanya, sebaik sahaja pihak bank meluluskan pinjaman, lelaki itu masih belum menguruskan urusan jual beli keretanya menyebabkan dia mengambil keputusan menguruskan sendiri sekali gus meminta kembali deposit berkenaan.

“Saya ada bertemu dengan lelaki itu dan memintanya memulangkan semula wang yang telah diberikan, namun dia cuba berdolak-dalik dengan memberikan pelbagai alasan selain mendakwa deposit itu telah diserahkan kepada pihak lain,” katanya.

Mohd Helmi turut memberi peluang kepada lelaki itu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi di luar mahkamah malangnya peluang yang diberikan pihaknya tidak dimanfaatkan malah sehingga kini wang miliknya masih tidak dipulangkan.

“Saya juga pernah menjejaki lelaki berkenaan di syarikat tempat dia bekerja. Apa yang mengejutkan ada seorang pembeli turut menjadi mangsanya. Khuatir menjadi mangsa seterusnya, saya turut melaporkan kes ini kepada pihak polis,” katanya yang berasal dari Kampung Sungai Tiram, di sini.

Berdasarkan tuntutan itu, Presiden TTPM, Mohd Nasrim Datuk Mohd Salleh memerintahkan deposit yang dibayar oleh Mohd Helmi dipulangkan semula dalam tempoh 14 hari pada tarikh award dikeluarkan.
SH

Tuntut RM20,000 ubah suai rumah separuh jalan



JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri memfailkan tuntutan di Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini, selepas kecewa dan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan kontraktor yang menjalankan kerja pengubahsuaian kediaman mereka.

Juruteknik, Y Sivaligam, 35, berkata, kerja pengubahsuaian kediamannya di Taman Permata, Kluang pada Januari lalu, membabitkan kos sebanyak RM27,500 manakala pihak kontraktor berjanji projek berkenaan siap dalam jangka masa dua bulan sahaja.

“Pihak kontraktor bukan sahaja lambat menyiapkan kerja pengubahsuaian malah meminta bayaran tambahan sebanyak RM2,000. Kami bersetuju asalkan kediaman kami dapat disiapkan dengan sempurna,” katanya.

Katanya, kontraktor gagal menyiapkan kerja pengubahsuaian mengikut tempoh seperti yang dijanjikan apabila terlewat dua bulan. Selain itu hasil pengubahsuaian dilakukan hanya separuh jalan walaupun telah membuat pembayaran seperti diminta.

“Disebabkan pihak kontraktor tidak menyudahkan kerja pengubahsuaian kediaman kami, saya terpaksa mengupah kontraktor baru selain perlu membelanjakan RM20,000 lagi untuk menyiapkan kerja yang hanya separuh jalan,” katanya.

“Saya tidak menuntut sepenuhnya bayaran yang saya serahkan, kami faham pihak kontraktor memperuntukkan sebahagian kos untuk membiayai kerja pengubahsuaian kediaman kami,” katanya.

Sivaligam dan isterinya, S Letchumi, 30, gembira apabila Presiden TTPM, Mohd Nasrim Datuk Mohd Salleh memerintahkan syarikat kontraktor berkenaan membayar sebanyak RM20,000 seperti yang dituntut pasangan berkenaan.
SH

54 Pati gagal lolos lagi



SENAI - Seramai 54 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia ditahan oleh Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua selepas cuba untuk keluar dari negara ini menerusi perairan pantai Ladang Kurnia, Bandar Penawar, Kota Tinggi, semalam.

Komander PGM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan berkata, pihaknya berjaya menahan bot fibre sekitar jam 4 pagi yang membawa Pati terbabit terdiri daripada 42 lelaki, 11 wanita dan seorang kanak-kanak menerusi Operasi Octopus.

“Berdasarkan maklumat penyeludupan Pati, bot ronda PGM mengesan bot pancung yang mencurigakan di perairan Pantai Ladang Kurnia. Ketika dihampiri, bot terbabit memecut laju melarikan diri ke arah pantai seterusnya dikejar oleh PGM.

“Bot pancung terbabit sudah diarahkan oleh anggota PGM untuk berhenti, namun tidak diendahkan oleh tekong.

“Selepas lebih kurang 10 minit berlaku insiden kejar mengejar, bot terbabit berjaya ditahan dan beberapa individu dipercayai tekong bertindak nekad terjun ke dalam laut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya menerusi bantuan anggota PGM yang menjalankan operasi darat ada melakukan usaha pencarian selama lebih satu jam untuk mengesan tekong bot pancung terbabit, namun gagal.

“Berdasarkan soal siasat yang dijalankan, Pati berusia setahun hingga 55 tahun terbabit hendak keluar ke perairan negara.

“Dalam operasi ini, PGM Wilayah Dua merampas sebuah bot fiber panjang bersama dua enjin sangkut,” katanya.

Zainul Abidin berkata, Pati terbabit ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002 kerana keluar dan masuk dari Malaysia menerusi pangkalan tidak diwartakan.

“Terdapat juga Pati yang ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Mereka dibawa ke Balai polis Pengerang sebelum diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk tindakan lanjut manakala seorang Pati yang cedera dihantar ke klinik bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Selain itu, katanya, PGM Wilayah Dua sudah berjaya menghasilkan tangkapan di bawah Akta Imigresen sebanyak 73 kes diikuti 844 Pati berjaya diberkas dan 22 tekong ditahan ketika cuba memasuki atau keluar dari negara ini.

“Statistik ini menunjukkan peningkatan Pati yang berjaya diberkas oleh PGM Wilayah Dua berbanding tahun lalu,” katanya.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya di talian 07-237 2222 atau 07-237 6122.
SH

Lori diseret 40 meter



JOHOR BAHRU - Seorang pemandu lori cat maut selepas kenderaan dipandunya dirempuh lori kargo muatan baja dalam kemalangan di Kilometer 6 Jalan Kulai-Kota Tinggi di sini, pagi semalam.

Kejadian jam 8 pagi itu menyaksikan lori satu tan dipandu, Ahmad Kader, 62, dipercayai diseret sejauh kira-kira 40 meter ke bahu jalan secara tiba-tiba apabila dirempuh lori 10 tan yang hilang kawalan dipercayai akibat dilanggar dengan sebuah kereta di lokasi sama terlebih dahulu.

Difahamkan, kejadian itu berpunca sebaik sahaja kereta terbabit dipercayai tersasar sedikit memasuki jalan arah bertentangan ketika cuba memotong motosikal di hadapan seterusnya berlanggar dengan lori muatan baja berkenaan.

Susulan daripada pelanggaran kecil itu, lori muatan baja berkenaan terus hilang kawalan dan merempuh lori dipandu mangsa yang ketika itu dalam perjalanan menuju ke Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala, tubuh badan selain hancur kedua belah kaki berikutan rempuhan dialami.

“Pemandu lori muatan baja itu hanya cedera ringan, manakala pemandu Proton Wira pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulai untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SH

Sindikit pindah minyak masak tumpas



JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri merampas 51,000 kilogram (kg) minyak masak bernilai RM127,500 selepas menyerbu sebuah kilang di Taman Kota Puteri, Masai, semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasanya, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, serbuan jam 3 pagi itu turut menahan dua individu warga tempatan berusia lingkungan 30-an yang sedang melakukan operasi pemindahan minyak masak subsidi paket dan botol dalam tujuh buah tangki kecil.

Menurutnya, 25,000 kg minyak masak di dalam tangki khas ditemui hasil daripada pemeriksaan lanjut diikuti 22,000 kg masih di dalam bungkusan dan bakinya di dalam dua buah tangki kecil, masing-masing memuatkan 3,200 kg dan 1,000 kg.

“Kegiatan ini dipercayai bermula dua hingga tiga bulan lalu dan kami mendapati mereka mendapat keuntungan kasar kira-kira RM60,000 apabila minyak masak berkenaan dijual semula di pasaran terbuka.

“Kesemua minyak masak ini datang dari Kuantan, Lembah Klang dan Melaka dan pemiliknya sedang dikesan. Setakat ini kami masih belum mengenal pasti sama ada minyak masak ini dijual kepada industri atau diseludup keluar,” katanya kepada pemberita di premis terbabit, di sini, semalam.

Katanya, apa yang pasti kegiatan itu mengambil hak pengguna dan menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran.

Menurutnya, kerja pemindahan minyak masak yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu bermula dengan memindahkan minyak subsidi dari tangki kecil ke dalam sebuah tangki simpanan menggunakan pam sebelum dibawa keluar menggunakan lori tangki.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau tiga tahun penjara untuk individu atau kedua-duanya manakala syarikat pula didenda tidak melebihi RM250,000,” katanya.

Operasi melibatkan lapan pegawai KPDNKK negeri dan cawangan Melaka itu dibuat selepas risikan selama tiga minggu.

Abdul Hamid turut mengingatkan semua pengusaha stesen minyak supaya mematuhi ketetapan KPDNKK berhubung larangan menjual petrol RON95 kepada kenderaan pendaftaran asing.

“Pemantauan menyeluruh dibuat setiap hari dan setakat ini, tiga stesen minyak di bandar raya ini telah dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kita juga sudah mengadakan pertemuan dengan pengusaha stesen minyak untuk memberi penjelasan bagaimana untuk mematuhi ketetapan yang sudah dibuat,” katanya.
SH

Mantan inspektor polis dijel dua minggu

SINGAPURA
SEORANG pegawai polis yang telah berkhidmat selama 18 tahun dihukum penjara dua minggu semalam setelah mengaku bersalah melanggar undang-undang sistem komputer Kementerian Dalam Negeri untuk mengesan pembantu rumahnya yang hilang.

Sheik Faisal Shaik Abdul Kader Ali, 35 tahun, mantan inspektor balai Divisyen Polis Bedok, mengaku salah bagi tiga daripada 14 tuduhan menyalahgunakan komputer pasukan polis pada 22 November 2009.

Mahkamah diberitahu bahawa apabila Sheik Faisal menyedari pembantu rumahnya, Cik Erma Pujiyatun, 20 tahun, tidak pulang ke rumah sejak pagi dia kembali ke pejabatnya.

Dia kemudian menggunakan sistem komputer tanpa kebenaran untuk cuba mengesan pembantu rumahnya itu.

Sistem komputer polis membenarkan pegawai polis menggunakan komputer bagi membuat laporan dan membuat carian terhadap laporan-laporan yang dibuat oleh orang awam.

Namun, setiap pegawai perlu mendapatkan kebenaran ketuanya sebelum menggunakan komputer itu.

Sheik Faisal menggunakan komputer itu pada waktu yang berlainan dan membuat pelbagai carian nama pembantu rumah Indonesia.

Dia akhirnya menemui Cik Erma membuat laporan polis terhadapnya.

Pembantu rumah itu mendakwa Sheik Faisal mencabulnya, namun laporan itu didapati palsu.

Mahkamah diberitahu bahawa Cik Erma membuat laporan palsu itu setelah hubungan sulit antara mereka berakhir dengan kegagalan.

Cik Erma diberi amaran keras oleh pihak berkuasa bagi tindakannya itu pada Januari lalu.

Di bawah undang-undang, Sheik Faisal boleh dihukum denda sehingga $5,000 dan/atau penjara sehingga dua tahun bagi setiap tuduhan.

Cyberita Online Singapura

FRU bertindak mengikut prosedur - Sulaiman

KUALA LUMPUR 20 Julai — Jika dakwaan bahawa polis terutama Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak kasar semasa perhimpunan haram 9 Julai lalu di ibu negara itu benar, sudah pasti ramai yang akan dirawat di hospital atau sebagai pesakit luar, kata seorang bekas komander FRU hari ini.

Supritendan (B) Sulaiman Menga Din berkata, anggota FRU telah dilatih bertindak secara minimum bagi menyuraikan para penunjuk perasaan mengikut undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP).

Semua anggota dikehendaki mematuhi arahan secara terperinci termasuk dakwaan melepaskan gas pemedih mata secara sembarangan, katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

"Setiap kali orang FRU diperlukan berada di lapangan, mereka diberi penerangan berdasarkan maklumat yang diterima mengenai jangkaan orang yang berhimpun, isu yang terlibat dan sama ada mereka bersenjata dan maklumat lain yang berkaitan," kata Sulaiman.

Beliau berkata, semasa perhimpunan 9 Julai itu, para pegawai yang terbabit dalam operasi dimaklumkan bukan sahaja untuk menghalang orang ramai daripada berhimpun di pusat bandar tetapi juga mencegah kemungkinan pertembungan antara kumpulan penunjuk perasaan yang bersaing.

"Anda perlu faham pada masa ini hampir setiap tindakan atau pergerakan direkodkan dan dalam tempoh sekejap sahaja ia telah pun dimuat naik dalam laman web dan penonton malah boleh mengikuti perkembangan hampir secara langsung."

"Di sini, timbul masalah kepada polis, penonton tidak berhati-hati atau dilatih untuk menapis maklumat yang diberikan kepada mereka atau apa insiden sebenarnya yang berlaku di tempat kejadian," kata Sulaiman.

Beliau berkata, masalah berlaku apabila hanya insiden terpilih atau terpencil ditonjolkan dan polis tidak berpeluang untuk mempertahankan diri mereka.

Sulaiman yang merupakan komander FRU antara 1996-99 berkata, polis gagal untuk memahami prosedur yang digunapakai oleh polis pencegah rusuhan dalam negara berbanding dengan negara-negara lain.

"Hampir setiap hari saluran berita menonjolkan bagaimana penunjuk perasaan diperlakukan dengan kasar dan polis pencegah rusuhan bertindak kasar malahan di negara-negara yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia," katanya.

Sulaiman berkata, berdasarkan pengalamannya pada 1998, ia merupakan tugas yang sukar untuk menghimpunkan 1,600 penunjuk perasaan dan menjalankan saringan sebelum membebaskan mereka menjelang 9 malam.

Beliau berkata, tidak sampai 10 orang yang datang ke balai polis keesokan paginya untuk membuat laporan jika mereka benar-benar dilayan secara buruk.

Malah, Sulaiman berkata, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengawal peribadinya mendakwa bahawa mereka terkena kanister gas pemedih mata, kedua-dua mereka dibenarkan mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta mengikut pilihan mereka dan polis tidak menghalang atau mengancam untuk menangkap mereka. — BERNAMA

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Amah Kemboja dakwa didera



Roland Gan menunjukkan kesan parut dera yang dialami pembantu rumah dari Kemboja, Met Seriani di Melaka, semalam.


MELAKA 20 Julai - Seorang pembantu rumah warga Kemboja yang tidak tahan didera majikannya sejak lebih setahun lalu bertindak melarikan dari dari kediaman majikannya di sebuah rumah kedai di Jalan Bendahara di sini.

Mangsa yang dikenali sebagai Met Seriani, 21, mendakwa didera oleh majikannya berusia awal 60-an sejak 16 bulan lalu, membuat laporan di Biro Aduan Barisan Nasional (BN) Kota Melaka.

"Saya didera dengan teruk dan berusaha untuk melarikan diri tetapi hanya sekarang saya berjaya melakukannya," katanya kepada pemberita di pejabat Biro Aduan BN, hari ini.

Met Seriani mendakwa, dia sering dipukul oleh majikannya beberapa kali dengan menggunakan objek tumpul.

Akibat daripada kekejaman itu katanya, terdapat beberapa kesan pukul dan luka pada anggota badannya.

Selain didera, Met Seriani mendakwa, dia dilayan seperti binatang apabila hanya diberi makan sisa makanan sepanjang tempoh bekerja dengan majikannya.

Dia juga turut mendakwa, tidak pernah menerima gaji bulanan RM600 yang dijanjikan majikannya sejak mula bekerja di situ.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan BN, Gan Yong Hoe berkata, satu laporan polis telah dibuat sejurus mangsa mendakwa didera oleh majikannya.

"Kami akan cuba membantu mangsa untuk mendapatkan semula gaji yang tidak dibayar oleh majikannya," kata Yong Hoe.

Beliau menambah, mangsa akan ditempatkan di rumah perlindungan buat sementara waktu sementara polis menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Sindiket dadah guna hotel dibanteras



MAZLAN Lazim (kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah dan sejumlah wang yang dirampas dalam operasi di sebuah hotel pada sidang media di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 20 Julai - Polis percaya dapat menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini yang turut melibatkan negara jiran dengan penahanan lima suspek di sebuah hotel di sini yang dijadikan lokasi urus niaga mereka, semalam.

Dalam serbuan pukul 11 pagi itu, polis menahan semua suspek termasuk dua kakitangan sebuah hotel dan seorang wanita, kesemuanya berusia 27 hingga 48 tahun.

Menurutnya, seorang lagi suspek maut akibat terjatuh dari tingkat lapan hotel terbabit ketika melarikan diri.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, kesemua suspek yang ditahan direman seminggu untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Katanya, perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Rozita Md. Saad.

"Suspek-suspek warga tempatan itu juga positif dadah sementara tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Polis percaya berjaya melumpuhkan sindiket jual beli dadah melibatkan dua negara (Malaysia dan Thailand)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut serbuan tersebut, Mazlan berkata, suspek yang maut itu ialah Tengku Mohd. Habib Tuan Yazid, 24, dari Kemumin, Pengkalan Chepa dekat sini.

Beliau memberitahu, polis turut menemui lima jenis dadah di dalam bilik hotel berkenaan iaitu dua botol heroin, 12 peket syabu, 235 biji ekstasi, 140 biji methamphetamine dan empat biji eramin 5 yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM60,000.

Polis juga, katanya, menemui mata wang ringgit berjumlah RM26,600 dan bath Thailand bernilai 640,000 (RM64,000).

"Kegiatan itu dikesan sejak empat bulan lalu. Selepas intipan dan risikan dilakukan, polis mendapati kegiatan urus niaga dadah itu sering berpindah lokasi sehinggalah mereka mendaftar masuk ke hotel tersebut pada sebelah pagi sebelum serbuan dilakukan," katanya.

Mazlan memberitahu, pihaknya akan turut menjalankan siasatan sama ada kesemua suspek mempunyai rangkaian dengan pengedar dadah di negara jiran.

"Polis tidak akan berhenti setakat ini dan siasatan akan dijalankan termasuk mengesan sekiranya terdapat rakan-rakan suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah itu," katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Kecoh: Ibu mangsa maki tertuduh

KLANG 20 Julai - Prosiding sebutan kes pekerja ladang warganegara India yang didakwa membunuh peguam dan ahli perniagaan, Datuk R. Anbalagan di Mahkamah Majistret di sini menjadi kecoh apabila ibu mangsa bertindak memarahi tertuduh.

Wanita yang dikenali sebagai Valliamah itu masuk ketika mahkamah berhenti rehat dan memarahi R. Narayanan, 24, yang berada di kandang tertuduh dengan nada tinggi dalam bahasa Tamil.

''Saya beri anak saya pelajaran sehingga dia jadi peguam, awak datang ke sini dan sekelip mata bunuh anak saya,'' kata wanita itu sambil meraung-raung.

Ketika Valliamah mengangkat tangan seolah-olah cuba memukul tertuduh, dia ditegur oleh anggota polis mahkamah manakala beberapa orang wanita dilihat segera menariknya keluar dari bilik bicara.

Semasa tertuduh dibawa keluar dari mahkamah, Valliamah turut memarahi para petugas media yang berada di situ sambil berkata: ''Kalau mak ayah awak yang kena bunuh, apa perasaan awak?"

Dia bagaimanapun ditenangkan sambil dipimpin oleh beberapa orang saudara mara sebelum meninggalkan mahkamah.

Terdahulu, peguam Datuk V. Sithambaram yang mewakili Narayanan memohon agar anak guamnya dirujuk ke hospital berikutan terdapat kesan-kesan kecederaan yang dikatakan berlaku sebelum dia ditahan.

''Semasa saya dan peguam S. Selvam menemubual tertuduh, kami dapati ada kesan-kesan luka termasuk sembilan jahitan di tangannya.

''Demi keadilan, kecederaan perlu direkodkan untuk tujuan perbicaraan. Ini kes memperdagang manusia. Kecederaan tersebut patut disiasat,'' kata beliau.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hasim memohon tarikh sebutan berikutan laporan bedah siasat dan laporan kimia berhubung kes itu masih belum diperoleh.

Majitret Azlinda Mohd. Sharif membenarkan permohonan peguam serta menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan kes itu.

Narayanan didakwa membunuh Anbalagan, 56, dengan menetak majikannya itu menggunakan sebilah parang di Kuil Sri Ramalingeswarari, Lot 9221, Jalan Kebun Baru, Kampung Perepat, Kapar di sini pada pukul 9.30 malam, 13 Jun lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Laporan akhbar tidak tepat

KUALA LUMPUR 20 Julai - Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini memberi amaran agar pihak media membuat laporan yang tepat mengenai prosiding kes ketua guru disiplin yang didakwa mencabul kehormatan 11 pelajar di sebuah sekolah di Pandan Mewah di sini.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman meminta agar pihak media tidak menggembar-gemburkan cerita sebaliknya harus memastikan kesahihan dan ketepatan fakta yang dilaporkan.

Ayuni Izzaty berkata demikian selepas peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili tertuduh, Ismazi @ Megat Ismazi Ismail melahirkan rasa tidak puas hati berkenaan berita yang disiarkan oleh akhbar The Star semalam.

Peguam itu turut mengemukakan keratan akhbar berbahasa Inggeris tersebut yang bertajuk'Crowd forces molest case delay' kepada mahkamah.

Mohamed Haniff seterusnya membacakan perenggan awal berita itu yang menyebut, prosiding semalam terpaksa ditangguhkan kepada hari ini kerana ramai guru sekolah berkenaan hadir untuk memberi sokongan moral kepada rakan mereka yang dituduh.

"Kenapa laporan itu berat sebelah? Ia menjadi subjudis (kacau ganggu kes yang belum selesai) kepada anak guam saya. Malah nama majistret yang dilaporkan juga salah.

"Jika wartawan terbabit tidak memahami bahasa Malaysia (yang digunakan di dalam mahkamah), sila belajar," katanya.

Ayuni Izzaty bersetuju dengan apa yang dibangkitkan oleh peguam tersebut dan menasihati para wartawan yang hadir supaya membuat liputan dengan tepat.

"Wartawan merupakan wakil kepada orang awam yang tidak berada di mahkamah, oleh itu, laporan mestilah tepat kerana implikasinya amat besar.

"Sebagai contoh, masyarakat mungkin beranggapan, guru-guru di sekolah tersebut tidak hadir ke sekolah pada hari ini sebaliknya datang ke mahkamah," katanya lagi.

Beliau turut memanggil seorang wakil guru terbabit bagi menjelaskan kehadiran ramai guru dan pelajar di ruang mahkamah.

Wakil guru tersebut menyatakan, guru-guru dan pelajar yang hadir hari ini adalah daripada sesi sekolah petang, bukannya sesi pagi dan tidak timbul isu ponteng.

Ayuni Izzaty seterusnya berkata, sesiapa sahaja berhak hadir mengikuti kes di mahkamah namun beliau berharap setiap individu tahu tanggungjawab yang harus didahulukan agar tidak menyusahkan mana-mana pihak.

Mohamed Haniff ketika ditemui pihak media menyatakan, alasan sebenar penangguhan prosiding pada Isnin lalu adalah kerana pihaknya dan pihak pendakwaan memerlukan masa untuk membuat hujahan berhubung permohonan pendakwa raya untuk mengendalikan 11 kes itu secara bersama-sama.

Di awal prosiding hari ini, kedua-dua pihak berhujah mengenai isu itu dan mahkamah kemudian memutuskan 11 kes itu dipinda menjadi empat kes, yang mana setiap kes mengandungi tiga atau dua pertuduhan.

Mahkamah turut memutuskan untuk mendengar kes itu secara serentak kerana ia melibatkan saksi-saksi yang sama.

Pada sesi petang, perbicaraan dimulakan dengan keterangan Ricky Toong Foo Weng, 25, yang merupakan pembantu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Janice Lee.

Menurut lelaki itu, dia mendapat panggilan telefon daripada bapa kepada seorang pelajar yang memberitahu bahawa anaknya dicabul oleh guru disiplin di sebuah sekolah di Pandan Mewah di sini.

"Lelaki itu bercakap dengan nada risau dan meminta saya menemaninya ke sekolah kerana dia tidak fasih berbahasa Melayu.

"Ketika kami sampai di situ pada pukul 12.45 tengah hari, saya lihat ramai ibu bapa telah tiba dan beberapa guru sedang mengambil keterangan daripada pelajar-pelajar," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Suzana Abdul Latiff.

Ismazi, 49, didakwa mencabul kehormatan 11 pelajar perempuan berusia antara 15 dan 16 tahun di dalam bilik guru disiplin di sekolah tersebut antara pukul 7.30 dan 8.30 pagi, 25 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Keputusan kes Benjy 17 Ogos



Benjy di temani adiknya, Elza ketika hadir di Mahkamah Majistret, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 20 Julai - Nasib pelakon Benjy sama ada dibebaskan atau disabitkan atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 0.24 gram yang ditemui dalam kediamannya di Kondominium Menara Duta 2, tahun lalu akan ditentukan oleh Mahkamah Majistret di sini pada 17 Ogos ini.

Majistret Hafizza Sauni menetapkan tarikh tersebut selepas peguam bela Amer Hamzah Arshad yang mewakili Benjy dan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abd. Halim selesai mengemukakan hujahan masing-masing hari ini.

Terdahulu, Amer Hamzah dalam hujahnya berkata, Afifi Hamid, 25, selaku bekas pembantu peribadi Benjy, dalam keterangannya mendakwa seorang lelaki yang dikenali sebagai Nor Azizi atau Gi telah datang ke kediaman artis itu sehari sebelum tangkapan berlaku pada 11 Mac 2010.

Tambah beliau, Afifi yang merupakan saksi pembelaan kedua juga memberitahu, Gi adalah rakan Benjy yang telah membawa satu peket plastik berisi syabu dan menghisap dadah itu di ruang tamu serta meninggalkannya di sebuah rak almari sebelum beredar dari unit kondominium tersebut.

''Selain itu, menerusi keterangan tertuduh dan bekas pembantunya, kedua-duanya mendakwa telah pergi memancing ikan di Desa Aman, Kepong pada malam 10 Mac 2010 sehinggalah mereka ditangkap pada hari berikutnya.

''Dakwaan saksi-saksi tersebut tidak dinyatakan melalui keterangan 14 saksi yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, sehubungan itu pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan kes tersebut,'' kata Amer Hamzah.

Noor Mawarni pula menghujahkan bahawa keterangan yang dikemukakan oleh Benjy dan bekas pembantunya merupakan rekaan semata-mata kerana kewujudan Gi tidak pernah dibangkitkan sewaktu Afifi memberi keterangan di peringkat pendakwaan.

Beliau menjelaskan, latar belakang Benjy yang merupakan seorang pelakon sejak kecil lagi, telah 'berlakon' ketika memberikan keterangan membela diri semalam dengan mengada-adakan cerita dalam mahkamah.

''Cerita demi cerita dikemukakan oleh pihak pembelaan dengan tidak memanggil penjaga kolam memancing di Desa Aman serta tidak mengemukakan resit bayaran sebagai bukti tertuduh pergi tempat tersebut.

''Benjy dan Afifi telah berpakat untuk berbuat demikian tetapi mereka sebenarnya telah menjerat diri sendiri dengan mengemukakan keterangan yang tidak konsisten dan berbeza antara satu sama lain.

''Sehubungan itu, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah, kami memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Benjy,'' tegas Noor Mawarni.

Amer Hamzah bagaimanapun menyangkal hujah pendakwa raya itu dengan mengatakan bahawa sekiranya seseorang pelakon di Malaysia dihadapkan ke mahkamah, tentunya sukar untuk mereka membela diri kerana akan didakwa 'berlakon' ketika memberi keterangan.

Benjy, 33, atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim diperintahkan membela diri pada 8 Julai lalu atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu di No. A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B melalui Jalan Segambut di sini, pada pukul 4 petang, 11 Mac tahun lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Kelucahan melampau: Hukuman penjara 8 bulan guru kekal

ALOR SETAR 20 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan seorang guru untuk mengetepikan hukuman penjara lapan bulan setelah disabitkan bersalah melakukan kelucahan melampau terhadap dua anak muridnya, lapan tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab memutuskan demikian setelah mendapati keputusan Mahkamah Sesyen di sini adalah patut dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh Mohammad Nizar Shuib, 30.

''Saya telah meneliti nota-nota keterangan dan mendapati terdapat keterangan yang mencukupi dan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap perayu.

''Oleh itu saya memutuskan bahawa hukuman terhadap perayu adalah sesuai dan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara terhadap perayu ditolak,'' kata Mohd. Zaki.

Mohammad Nizar mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Maznah Abd. Aziz yang menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadapnya pada 9 Mei tahun lalu.

Dia didapati bersalah merangsang dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun bagi tujuan melakukan suatu perbuatan melampau ke atasnya di sebuah rumah bernombor 497, Taman Siswa 2, Jalan Universiti, Jitra.

Perbuatan tersebut dilakukan antara Mei 2003 hingga April 2004.

Tertuduh pada ketika itu ialah seorang guru di sebuah sekolah rendah di Bandar Darul Aman, Jitra dan mengajar kelas tuisyen Bahasa Inggeris kepada dua mangsa tersebut. Dia digantung kerja sejak dihadapkan ke mahkamah pada 2004.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim manakala tertuduh diwakili oleh peguam, G. Ravishankar.

Mahkamah mengekalkan ikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dalam keterangan kepada Mahkamah Sesyen, kedua-dua mangsa mendakwa Mohammad Nizar memberi amaran kepada mereka supaya perbuatannya itu tidak diberitahu kepada sesiapapun tetapi selepas dipaksa ibu bapa masing-masing, mereka telah memberitahu perkara sebenar.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Penggodam Anonymous dibicara

WASHINGTON 20 Julai - Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) hari ini menahan 16 orang atas tuduhan mengambil bahagian dalam serangan siber termasuk cubaan melumpuhkan laman web eBay, PayPal sebagai hukuman kerana menjatuhkan pelanggannya, WikiLeaks.

Ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menahan 14 orang di sini dan sembilan negeri lain atas kesalahan menyerang laman web tersebut yang berlaku Disember lalu yang didakwa dilakukan oleh kumpulan penggodam Anonymous.

Ia merupakan tindakan terbesar pihak berkuasa yang kebelakangan ini sering menghadapi serangan siber berprofil tinggi.

Institusi kewangan seperti PayPal, Visa dan MasterCard menarik balik perkhidmatan untuk WikiLeaks tahun lalu selepas laman web tersebut menerbitkan laporan rahsia yang memalukan diplomatik AS sekali gus meregangkan hubungan antara Washington dan banyak sekutunya.

Menurut dakwaan yang difailkan di mahkamah persekutuan San Jose, California, penggodam yang bertindak balas dengan apa yang digelar 'serangan perkhidmatan penafian' menyerang laman-laman web syarikat tersebut dengan meminta maklumat dan menjadikan penggunanya tidak sah.

Seramai 14 individu tersebut didakwa atas kesalahan konspirasi yang membawa kepada penjara maksimum lima tahun, dan maksimum 10 tahun atas kesalahan kerosakan yang sengaja dilakukan ke atas komputer yang dilindungi .

Tertuduh berumur antara 20 hingga 42 tahun dan tinggal di Alabama, Arizona, California, Colorado, daerah Columbia, Florida, Massachusetts, Nevada, New Mexico dan Ohio. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Bapa simbah asid rindu keluarga

Che Ku Zaimah bersama Nurul Dahyatul Fazlinda dan dua lagi anaknya membaca surat yang dikirim suaminya, Mat Haizan Mat Yasin dari penjara Marang ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, semalam.
HULU TERENGGANU 20 Julai - Diselubungi perasaan bersalah, bapa kepada Nurul Dahyatul Fazlinda, 9, memohon maaf atas tindakannya menyimbah asid sehingga mencacatkan wajah anaknya itu, dalam surat yang ditulis dari penjara.

Haizan Mat Yassin, 29, (gambar) yang sedang menjalani hukuman penjara selama 10 tahun di Penjara Marang atas kesalahan yang dilakukan pada Ogos tahun lalu turut berharap bekas isterinya, Che Ku Huzaimah Che Ku Awang, 29, dapat memulihkan parut kesan asid demi masa depan anak mereka itu.

Che Ku Huzaimah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sekayu hari ini berkata, dalam surat itu Haizan meminta maaf kepada keempat-empat anaknya dan sentiasa merindui mereka.

Sambil menunjukkan surat berkenaan katanya, ia surat kedua yang diutus bekas suaminya itu sebagai balasan selepas menerima sepucuk surat beserta gambar keluarga yang dikirimkan kepada lelaki itu sebelum ini.

"Surat ini sering menjadi tatapan anak saya setiap kali rindu kepada ayahnya. Anak saya terutama Nurul Dahyatul Fazlinda yang dipanggil Lin memang sangat sayangkan ayahnya. Biasanya Lin akan baca surat ini bila dia rasa rindu dan sedih tetapi dia berkali-kali memberitahu bahawa ayahnya tidak sengaja menyimbah asid kepadanya.

"Buktinya, pada sambutan Aidiladha lalu, dia berhajat menemui ayahnya dan doanya itu termakbul. Memang Lin sangat sayangkan ayahnya walaupun kesan simbahan asid itu menyebabkan dia dipanggil hantu oleh rakan-rakannya di sekolah," jelasnya.

Dalam kejadian pada 15 Ogos tahun lalu, Haizan dikatakan memecah masuk rumah ibu mertuanya, Minah Omar, 56, untuk berjumpa isterinya dengan membawa bersama sebungkus plastik mengandungi asid.

Kehadirannya mencetuskan pertengkaran dengan isterinya itu yang cuba merebut bungkusan asid berkenaan menyebabkan cecair itu terkena dirinya, ibu mertua dan dua anak mereka iaitu Lin dan Muhammad Irfan Firdaus, 3.

Paling teruk tercedera ialah Lin apabila sebahagian besar wajah dan beberapa bahagian badannya melecur terkena simbahan asid itu.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

‘Tolong wan, adik sakit...’


‘Tolong wan, adik sakit...’


SAKIT...keadaan mangsa yang cedera parah.
SAKIT...keadaan mangsa yang cedera parah.


IPOH: “Tolong wan, adik sakit..., tolong adik...,” jerit kanak-kanak berusia tiga tahun kepada neneknya selepas diseret sejauh hampir 100 meter oleh van dinaikinya menyebabkan kulit kepalanya terkoyak sehingga menampakkan tempurung kepala, pagi kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi di Bandar Baru Putra, Bercham di sini, turut mengakibatkan Muhammad Haziq Aqasha Muhamad Sazali, cedera di perut dan tangan kirinya. Mangsa diseret di depan neneknya, Timah Sukaimi, 70, yang sedang menunggu di pintu untuk menyambut kepulangan cucunya taska.

Menurut Timah, ketika kejadian dia mahu membuka pagar sebelum dikejutkan dengan jeritan Muhammad Haziq. “Saya sangka adik (nama timangan mangsa) diculik kerana dia tidak kelihatan di tepi jalan selepas van dinaikinya bergerak pergi. “Jeritannya bertambah nyaring menyebabkan saya panik dan seperti orang tidak siuman mencarinya sekitar kawasan rumah,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Warga emas yang uzur dan berjalan menggunakan tongkat itu hampir pengsan selepas dimaklumkan jiran yang turut terdengar jeritan itu bahawa cucunya diseret van.

Kejadian dipercayai berlaku apabila beg galas dibawa mangsa tersangkut pada pintu van ketika menutupnya dan pemandu van yang menyangka mangsa sudah turun, memecut kenderaannya.


Tindakan pemandu van itu menyebabkan Muhammad Haziq terseret sejauh hampir 100 meter di bahagian bawah kenderaan dalam keadaan terbaring.

Mujur tindakan berani seorang wanita yang juga jiran keluarga mangsa melangkah ke tengah jalan untuk memberhentikan van itu berjaya menyelamatkan Muhammad Haziq daripada maut.


Pemandu van, seorang lelaki berusia 50-an mendakwa tidak mendengar jeritan mangsa ketika ditanya jiran wanita itu.

Jiran itu kemudian meminta orang ramai mengangkat mangsa yang meraung kesakitan ke dalam van sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan. Bapa mangsa, Muhamad Sazali Yahaya, 30, anggota Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta berkata, jirannya itu memaklumkan kejadian berkenaan kepadanya.

“Dia terlebih dulu memberitahu kejadian itu kepada ibu saya (Timah) sebelum menghubungi saya yang ketika itu berada di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) bagi menghantar makanan kepada isteri yang bertugas sebagai jururawat di sana.

“Saya bersama isteri bergegas ke klinik berkenaan dan luluh hati kami melihat keadaan anak yang meraung kesakitan. Saya cuba tabahkan diri untuk menenangkan perasaan, tetapi gagal,” katanya sebak.

Muhamad Sazali berkata, dia bertambah sayu selepas Muhammad Haziq meminta dia dan isteri berhenti menangis.

“Haziq pintar biarpun baru berusia tiga tahun lima bulan. Dalam keadaan sakit dia masih sempat menasihatkan saya dan isteri supaya jangan menangis kerana dia tidak mahu mati lagi,” katanya.

Berikutan kecederaan parah dialaminya, Muhammad Haziq dimasukkan ke bahagian kecemasan HRPB sebelum menjalani pembedahan.

Muhamad Sazali berkata, menurut doktor, anaknya mungkin mengalami kecacatan kekal pada dua jari tangan kirinya selepas urat saraf di bahagian itu hancur dan putus.

Pembedahan awal yang dilakukan ialah untuk mengambil cebisan kulit paha bagi ditampal pada perutnya.

Muhamad Sazali tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu van terbabit, namun tumpuannya kini ialah terhadap anaknya yang bakal menjalani satu lagi pembedahan plastik bagi menutup tempurung kepala.
myMetro | ‘Tolong wan, adik sakit...’

Kepala dicakar biawak

PENDANG: “Biawak itu melompat ke arah anak saya menyebabkan kepalanya cedera dipercayai terkena kuku haiwan itu,” kata Nor Faizah Aziz, 17, ibu kepada bayi perempuan berusia dua bulan yang cedera kepala terkena kuku biawak yang memasuki rumahnya di Taman Seri Mas, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, bayi terbabit, Eryna Insyirah Mohd Redzuan sedang tidur di atas katil dalam sebuah bilik di rumah itu manakala Nor Faizah sedang memasang langsir di ruang tamu.


Nor Faizah berkata, ketika sedang menggantung langsir dia terdengar bunyi sesuatu sedang mencakar tikar di bahagian tepi ruang tamu.

“Saya memeriksa dan terkejut mendapati seekor biawak sepanjang kira-kira satu meter di situ,” katanya.


Reptilia itu yang turut terkejut dengan kehadiran Nor Faizah, berlari masuk ke bilik tempat anak tunggalnya itu sedang tidur.


“Selepas memanjat katil anak saya, ia terus bersembunyi di bawah katil.

“Saya segera mendapatkan anak saya yang ketika itu sedang menangis selain terdapat kesan luka dan darah di kepalanya,” katanya yang membawa anaknya itu ke klinik berhampiran.


Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pendang, Izzudin Inus Meah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam11.45 pagi dan sepasukan anggota dihantar ke tempat kejadian.

“Kami mengambil masa lima minit untuk menangkap biawak itu dan ia agak sukar kerana ia bersembunyi di bawah katil,” katanya.

myMetro | Kepala dicakar biawak

Jerat SMS gambar seksi

KEPALA BATAS: “Helo sayang, esok sudah nak bertolak, saya telah tinggal msj (mesej) gambar untuk kamu,” begitulah kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima seorang lelaki.

Bagaimanapun, SMS itu bukan dihantar isteri kepada suaminya tetapi dipercayai taktik terbaru pihak tertentu cuba mengaut keuntungan dengan cara mudah melalui kiriman pesanan berkenaan yang menawarkan gambar wanita seksi kepada pemilik telefon bimbit secara rambang.


SMS itu sengaja dihantar dipercayai bagi memperdayakan lelaki melihat gambar wanita seksi membolehkan kredit panggilan mereka dipotong sebaik membalas SMS untuk pendaftaran.

Penerima SMS berkenaan yang mahu dikenali sebagai Zainal, 35, berkata, dia menerima beberapa mesej menawarkan gambar wanita memakai bikini dari beberapa nombor telefon bimbit tidak dikenalinya.


Katanya, pada mulanya dia tidak mempedulikan SMS itu kerana menganggapnya seperti SMS yang menawarkan hadiah.


“Beberapa hari kemudian saya dapat SMS sama daripada nombor berlainan menawarkan gambar wanita seksi.

“Saya balas mesej seperti diarahkan kepada nombor 32*** dan mengejutkan apabila kredit dipotong RM4 sebaik mendaftar.


“Bagaimanapun, gambar itu tidak diterima menyebabkan saya mengesyaki ia penipuan, pihak tertentu” katanya.

Menurut Zainal, dia belum membuat aduan kepada mana-mana pihak tetapi berharap pihak berkaitan dapat memantau syarikat telekomunikasi yang cuba memerangkap orang ramai melalui SMS.


Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Seberang Perai Utara, Mohd Nasri Hassan berkata, taktik menghantar mesej kepada pemilik telefon bimbit itu satu bentuk penipuan.


“Kami belum menerima aduan berhubung perkara itu dan mereka yang menerima mesej seperti itu boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), kerana ia dibawah bidang kuasa agensi berkenaan,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Operasi SKMM Wilayah Utara, Ismail Othman, ketika dihubungi berkata, pihaknya akan memanjangkan isu itu kepada Forum Pengguna Malaysia untuk tindakan lanjut.

myMetro | Jerat SMS gambar seksi

Tidak mahu mohon maaf

AMPANG: Ketua guru disiplin yang didakwa mencabul 11 pelajar perempuan berusia 15 dan 16 tahun di sebuah sekolah, di Pandan Indah, Februari lalu, dikatakan enggan meminta maaf kepada salah seorang bapa mangsa cabul berkenaan.

Saksi pertama pendakwaan, Ricky Toong Foo Weng, 25, dalam keterangannya di Mahkamah Majistret di sini, semalam berkata, kejadian itu berlaku ketika ketua guru disiplin, Ismazi@Megat Ismazi Ismail, 48, lalu di koridor di tepi bilik guru sekolah berkenaan.


“Ketika kejadian itu, ibu bapa mangsa yang sudah mengetahui perkara menimpa anak mereka berkumpul di depan bilik guru.

“Salah seorang bapa mangsa menahan guru disiplin itu yang melalui kawasan terbabit sebelum meminta penjelasan berhubung kes itu selain meminta permohonan maaf dibuat,” katanya. Beliau yang juga pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Janice Lee Ying Ha berkata, sebelum itu, ketika sampai di bilik guru pada jam 12.45 tengah hari, dia melihat guru Hal Ehwal Murid (HEM) sedang mengambil keterangan daripada pelajar yang mendakwa mereka dicabul.


“Pada masa sama, saya melihat beberapa ibu bapa mangsa meminta berjumpa guru besar bagi membincangkan perkara berkenaan.


“Bagaimanapun, selepas dimaklumkan guru besar tiada kerana menghadiri mesyuarat, semua ibu bapa sepakat membuat laporan polis berhubung tindakan guru disiplin itu,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Ismazi didakwa mencabul kehormatan dengan meletakkan tangannya di atas dada semua mangsa di dalam bilik guru disiplin antara jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi 25 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan, jika disabit kesalahan. Sementara itu, Ricky Toong memaklumkan mahkamah, dia mengetahui kejadian berkenaan selepas seorang bapa mangsa mendapat panggilan telefon daripada anaknya ketika mereka berada di pejabat Adun Teratai, di sini, jam 12.30 tengah hari.

“Saya dan bapa mangsa ketika itu berada di pejabat dan dikejutkan dengan panggilan anak perempuannya mendakwa dicabul kehormatan oleh guru disiplin. “Dalam panggilan telefon itu, anaknya turut memberitahu yang sekumpulan pelajar perempuan lain turut menjadi mangsa,” katanya.


Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang guru disiplin sebuah sekolah menengah di sini, diberkas polis selepas didakwa mencabul 11 pelajar perempuan.


Difahamkan, guru itu mahu melakukan pemeriksaan mengenai tahap kesihatan semua pelajar terbabit terlebih dulu sebelum merotan mereka kerana gagal hadir ke perhimpunan sekolah.


Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, semua pelajar terbabit dilaporkan tidak mengikuti perhimpunan sekolah kerana mendakwa mahu menyiapkan kerja sekolah di dalam kelas.


Terdahulu, pihak pendakwaan dan pembelaan memohon mahkamah supaya perbicaraan bersama dilakukan dengan meminda 11 pertuduhan berkenaan bagi menjimatkan masa dan kos mahkamah. Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membenarkan permohonan itu dengan menjadikan kepada empat pertuduhan.


Kes pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Suzana Abdul Latiff dan Ismazi diwakili peguam bela, Haniff Khatri.


Perbicaraan bersambung hari ini.

myMetro | Tidak mahu mohon maaf

Transit dadah

KOTA BHARU: Enam individu termasuk seorang lelaki berusia 24 tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah hotel di sini, kelmarin, dipercayai menjadikan hotel itu transit pengedaran dadah di Thailand dan Malaysia.

Polis Kelantan percaya sejumlah dadah ditemui di dalam bilik hotel ketika serbuan dilakukan adalah untuk pasaran negara ini dan Thailand.


Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, hasil serbuan kelmarin, polis merampas sejumlah syabu, pil kuda, Eramin 5, heroin dan pil Ecstasy bernilai kira-kira RM60,000 mengikut pasaran tempatan.

Katanya, dalam serbuan itu, polis juga merampas wang tunai dalam mata wang ringgit sebanyak RM26,600 dan Bhat Thailand 640,000 (RM64,000).


“Kami percaya ada dadah dirampas itu untuk dijual di Thailand seperti pil Ecstasy dan syabu manakala heroin dan pil kuda akan dijual di negara ini.


“Semua yang ditahan kemungkinan sudah lama mengedar dadah. Polis mengintip pergerakan mereka sejak beberapa bulan lalu sehingga mereka ditangkap dan kami percaya ini melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di negeri ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK), Kelantan, di sini, semalam.

Menurut Mazlan, semua lima individu berusia antara 27 dan 48 tahun yang ditahan termasuk seorang wanita, dipercayai pengedar dadah tempatan.

Katanya, mereka direman tujuh hari bermula semalam.

“Polis akan menyiasat mengikut Akta 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1962 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati.


“Wang yang dirampas disita mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Hak Harta) 1988,” katanya. Mazlan berkata, lima yang ditahan positif dadah manakala dua didapati mempunyai kesalahan lampau berkaitan dadah.


“Mangsa yang maut terjatuh ketika serbuan dilakukan juga positif dadah serta mempunyai kesalahan lampau,” katanya.


Menurut Mazlan, siasatan yang dijalankan juga mendapati dua lelaki yang ditahan dipercayai kakitangan hotel berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan rakan mereka untuk membantu siasatan.


Katanya, lelaki yang terbunuh akibat terjatuh itu ketika cuba melarikan diri dalam serbuan kelmarin dikenali sebagai Tengku Mohd Habib Tuan Yazib. Semalam, Harian Metro melaporkan cubaan seorang lelaki berusia 24 tahun dipercayai pengedar dadah melepaskan diri daripada polis membawa padah apabila maut selepas terjatuh dari ketinggian 18 meter di sebuah hotel, di sini.

myMetro | Transit dadah