Search This Blog

Wednesday, July 20, 2011

Bayi cedera diserang biawak


PENDANG – Seorang bayi perempuan yang baru berusia 62 hari mengalami cedera ringan di bahagian kepala apabila diserang seekor biawak yang menyelinap masuk ke sebuah rumah di Taman Seri Mas, semalam.

Ibunya, Nor Faizah Aziz, 27, berkata, ketika kejadian kira-kira 11.30 pagi bayinya Eryna Insyirah Mohd Redzuan sedang tidur di atas katil dalam sebuah bilik manakala dia berada di bahagian ruang tamu rumah untuk memasang kain langsir.

“Ketika sedang memasang langsir saya terdengar bunyi sesuatu sedang mencakar tikar di bahagian tepi ruang tamu menyebabkan saya segera menghampiri kawasan ruang itu untuk melihat dari mana datangnya bunyi itu.

“Saya terkejut melihat biawak besar berada dalam rumah dan kehadiran saya mungkin mengejutkan biawak itu menyebabkan biawak masuk ke bilik berdekatan ruang itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, biawak itu berlari dan naik ke atas katil sehingga mencederakan Eryna sehingga anaknya itu menangis. Biawak itu kemudiannya berlari dan masuk ke bawah katil.

“Saya segera mendapatkan anak saya setelah anaknya menangis dan terkejut melihat kesan darah di bahagian kepala.

“Keluarga saya segera menghubungi pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah itu bagi membantu menangkap biawak itu kerana saya takut melihat saiz biawak yang agak besar,” katanya.

Nor Faizah segera membawa anaknya ke klinik bagi mendapatkan rawatan kerana bimbang kesan kecederaan dan calar di bahagian kepala itu.

Sinar Harian difahamkan biawak itu dipercayai menyelinap masuk melalui pintu belakang rumah yang tidak ditutup. Kejadian itu juga merupakan yang pertama kali berlaku walaupun keluarga itu pernah dimaklumkan oleh beberapa jiran bahawa kawasan perumahan di situ mempunyai banyak biawak.

Ketua Operasi JPAM Pendang, Izzudin Inus Meah berkata, JPAM segera ke tempat kejadian bersama dua anggota untuk menangkap biawak seberat kira-kira 5 kilogram dan panjang 1 meter.

Menurutnya, JPAM hanya mengambil masa lima minit untuk menangkap biawak yang berada di bawah katil sebuah bilik di rumah itu dan mendapati biawak itu muntah serta mengeluarkan seekor anak kucing sebelum ditangkap.

Izzudin berkata, kes seperti itu jarang diterima JPAM daerah itu. Kes yang pernah diterima melibatkan kes ular masuk ke dalam rumah sahaja.

“JPAM akan menyerahkan biawak itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kerana mencederakan orang,“ katanya.
SH

Mesin slot judi disita



SEPANG – Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menyita 75 monitor, 120 unit pemprosesan pusat (CPU), tiga papan kekunci dan dua tetikus dalam serbuan di beberapa premis mesin slot simulator judi di Kota Warisan dan Bandar Baru Salak Tinggi, semalam.

Superintenden Kanan MPSepang, Mohd Azran Musa berkata, dalam operasi yang diketuai Superintenden Hairol Azman Razali dan dibantu seramai lapan pegawai penguat kuasa MPSepang berjaya merampas beberapa perkakasan dan perisian mesin slot simulator judi.

“Kesemua barangan berkenaan disita atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen selain dipercayai menjalankan aktiviti perjudian terbuka, semua barangan sita dibawa ke Jabatan Penguat Kuasa untuk proses pengeluaran kompaun kepada pemilik premis.

“Tindakan berkenaan diambil di bawah peruntukan 3, Undang-undang Kecil Pusat Siber dan Kafe (MPSepang) 2007,” katanya.

Menurutnya, operasi ini dijalankan bagi mengurangkan aktiviti premis tanpa lesen di bawah pentadbiran MPSepang dan akan dijalankan secara berkala bagi mengelak aktiviti seumpama ini dapat dibanteras.

“Dengan bantuan orang ramai, MPS akan sentiasa menjalankan pemeriksaan berterusan di premis perniagaan seumpama ini, modus operandi aktiviti seumpama ini lebih kepada perjudian terbuka,” katanya.
SH

Penjaja ditipu rakan niaga



KUALA LUMPUR – Seorang penjaja mendakwa ditipu rakan niaga yang menggunakan namanya dalam pelbagai urusan membabitkan bank, sejak lapan tahun lalu.

Akibatnya, Lai Heng Kok, 35, kini diburu pelbagai pihak gara-gara tindakan rakan lelaki yang juga majikannya, dikenali sebagai Koon Fah, 39.

Heng Kok berkata, Koon Fah menggunakan namanya ketika membuka sebuah pusat hiburan pada 2004 dan membuat pinjaman pembelian kereta Toyota Camry, setahun kemudian.

“Saya setuju Koon Fah gunakan nama saya kerana dia janji akan bayar ansuran kereta setiap bulan.

“Dia juga janji hendak bayar dividen kepada saya apabila syarikat terbabit dapat untung bersih, tetapi hingga kini saya tidak dapat satu sen pun wang dijanjikan,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong.

Bagaimanapun menurutnya, kereta berkenaan ditarik semula pihak bank pada 2006 kerana Koon Fah gagal membayar ansuran RM25,000.

Katanya, pada 2008, dia sekali lagi dihubungi Koon Fah, meminta izin menggunakan namanya untuk membuat pinjaman ke atas kereta jenis Nissan Murano.

“Pada mulanya, saya tidak benarkan dia gunakan nama saya, tetapi Koon Fah memujuk dan akhirnyai saya terjerat dengan penipuannya.

“Sekarang, pihak bank tanya saya di mana kereta itu kerana sudah lima bulan ansuran tidak dibayar. Jumlah hutang kereta itu kini tinggal RM124,000. Koon Fah guna nama saya untuk pinjam, tetapi saya tidak pernah melihat kenderaan terbabit,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu juga menggunakan namanya untuk memohon kad kredit dari pelbagai bank, sepanjang tempoh itu.

“Ketika dia buat permohonan kad kredit, saya dibawa oleh dua orang rakan Koon Fah ke bank terbabit untuk berurusan kerana saya buta huruf,” katanya.

Sementara itu Chong berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada bank terlibat dan Bank Negara Malaysia, untuk meminta mereka menyiasat dakwaan mangsa.

“Saya pelik bagaimana seorang individu boleh buat banyak pinjaman.

Mungkin ada sindiket lain terlibat sehingga pinjaman Heng Kok diluluskan,” ka�tanya.
SH

Tak sedar enjin lori terbakar



KLANG – Jeritan kuat seorang penunggang motosikal yang memaklumkan berlaku kebakaran menyelamatkan seorang pemandu lori daripada rentung dalam satu kejadian di Jalan Kebun, di sini kelmarin.

Sebaik mendengar jeritan itu, pemandu lori dikenali Mohd Zaini Hamid (gambar), 33, sempat memandang cermin sisi beberapa kali sebelum ternampak kepulan asap dari arah belakang kenderaan milik Majikannya.

Mohd Zaini berkata, menyedari diri dalam bahaya, dia segera memberhentikan lori di bahu jalan dan keluar menyelamatkan diri.

Menurutnya, dalam keadaan diri yang masih terkejut, dia masih mampu mendapatkan bekalan air bagi memadamkan kebakaran, namun gagal apabila api semakin marak.

“Dalam masa 15 minit sahaja, bahagian hadapan lori hangus, saya hanya melihat tanpa mampu berbuat apa-apa, mujur kebakaran ini disedari awal,” katanya kepada Sinar Harian.

Bomba yang tiba tidak sempat menyelamatkan lori berkenaan kerana keadaan api marak terlalu cepat.

Difahamkan, ketika kejadian, Mohd Zaini dalam perjalanan menghantar kren dari Pelabuhan Klang ke Kota Kemuning.

Insiden itu menyebabkan kerugian hampir RM2,000 termasuk barangan peribadi milik mangsa yang musnah seperti player, liquid crystal display (LCD) dan beberapa peralatan lain yang disimpan dalam lori.

Mohd Zaini berkata, dirinya bernasib baik apabila penunggang motosikal berkenaan menghampiri lori yang dipandu sambil menjerit kuat memaklumkan bahagian enjin sedang terbakar.

“Saya tidak tahu apa akan berlaku jika dia tidak bertindak sedemikian, saya bersyukur kerana terselamat, ini kejadian pertama kali berlaku dalam hidup sejak bekerja dengan syarikat ini enam tahun lalu,” katanya.
SH

Mangsa kebakaran kecewa



KUALA LUMPUR – Seramai 12 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Chubadak Jaya, Sentul pada 12 Julai lalu kecewa apabila tawaran unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang diterima sekadar atas kertas tetapi tidak direalisasikan.

Ia berikutan, mereka yang ditawarkan ini masih tidak dapat menduduki unit berkenaan kerana mendakwa rumah yang ditawarkan masih berada dalam keadaan tidak sesuai diduduki dan pihak Pejabat Kecil Perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan ia memerlukan kerja pembaikan yang memakan masa kira-kira dua minggu.

Lebih membebankan apabila bantuan makanan yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah diberhentikan hujung minggu lalu membuatkan kesemua mangsa terpaksa memperuntukkan perbelanjaan tinggi untuk membeli makanan.

Pengerusi Persatuan Penduduknya, Samsudin Shah Saad berkata, perkara terbabit tidak sepatutnya berlaku kerana mereka yang menjadi mangsa memerlukan penempatan semula dengan segera.

Menurutnya, DBKL sepatutnya membaiki unit ditawarkan terlebih dahulu sebelum menawarkannya.

“Setelah menerima surat tawaran Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk S Saravanan pada 13 Julai lalu, penduduk dimaklumkan bahawa mereka boleh berpindah masuk dalam tempoh 48 jam.

“Bagaimanapun, apabila kebanyakan mereka yang menerima tawaran melihat keadaan unit yang ditawarkan, ternyata kerosakannya sangat teruk sehinggakan ada unit yang tidak ada pintu,” katanya kepada Sinar Harian.

Samsudin berkata, beliau berharap perkara tersebut dapat diselesaikan segera memandangkan penduduk yang terjejas juga sudah tidak mendapat bantuan makanan.

“Saya juga berharap sekiranya JKM dapat menghulurkan bantuan makanan semula kepada penduduk sehingga mereka semua dapat memasuki unit ditawarkan,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Kamaria Kadir, 57, turut meluahkan rasa terkilan berikutan perkara yang menimpa mereka.

Menurutnya, dia tertekan dengan keadaan terbabit apabila mereka 12 keluarga yang terdiri daripada 57 penghuni termasuk sembilan kanak-kanak terpaksa bersesak dalam dewan.

“Di sini, bercampur lelaki dan perempuan, terpaksa naik dan turun bangunan untuk menggunakan kemudahan tandas kerana tandas di atas hanya ada satu.,” katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian cuba menghubungi Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan DBKL, Sukiman Surahman untuk mendapatkan maklum balas lanjut namun gagal dan difahamkan sedang bercuti.
SH

Bilik gerakan SRS terbakar



KUANTAN – Aktiviti Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Perkampungan Sungai Isap Damai, di sini tidak terjejas biarpun bilik gerakannya mengalami kerosakan teruk akibat kebakaran, petang kelmarin.

Pengerusi KRT Sungai Isap Damai, Mohamad Noor Azman Bakar berkata, kebakaran yang berlaku memusnahkan sebahagian besar bangunan tersebut terutamanya bahagian dalam bangunan termasuk pintu, tingkap dan siling.

“Selain itu, peralatan seperti komputer, kompang, alat-alat sukan serta sofa turus hangus terbakar. Lebih menyedihkan, data dan maklumat keselamatan penduduk turut musnah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya lagi, berikutan kejadian, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama ahli SRS malam kelmarin bagi mendapatkan bilik gerakan sementara supaya aktiviti SRS dapat berjalan seperti biasa.

“Kebakaran yang berlaku tidak bermakna kami perlu memberhentikan operasi, sebaliknya operasi tetap diteruskan kerana kami percaya apa yang berlaku ini adalah atas perbuatan khianat.

“Kami jadikan musibah ini sebagai cabaran dan penguat semangat untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada penduduk serta memastikan keselamatan mereka tidak terabai,” katanya.

Azman berkata, buat sementara waktu, ahli SRS yang bertugas akan menggunakan gerai-gerai milik penduduk untuk dijadikan tempat berehat.

Katanya, dia mengharapkan ada pihak yang prihatin untuk tampil memberikan bantuan segera supaya ahli SRS kawasan itu dapat melaksanakan tugas dengan lebih selesa.

“Memandangkan struktur bangunan yang rosak memerlukan peruntukan yang tinggi, kami tidak mampu untuk melaksanakannya sendiri. Jika kami menjalankan gotong-royong sekalipun, bukan semua bahagian bangunan dapat dibetulkan,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi, Din Hussin berkata, dia menghubungi Pasukan Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota sebaik mengesan kebakaran kira-kira jam 2.15 petang kelmarin.

“Pasukan forensik jabatan berkenaan yang turut berada di tempat kejadian menolak kejadian berlaku akibat litar pintas,” katanya.

Berikutan itu, Azman telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kelmarin.
SH

Kereta bertembung, dua maut



KUANTAN - Seorang pemandu dan penumpang sebuah kereta maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 8, Jalan Pintasan Kuantan dekat Taman Pertanian Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 5 petang itu, pemandu kereta Honda Civic, Nuralif Abdul Rahman, 23 dari Taman Indera Mahkota di sini mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia dalam perjalanan menerima rawatan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Manakala penumpangnya, Muhd Sufian Masri, 30 dari Felda Bukit Sagu 1 dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohd Najid Jusoh berkata, pemandu kereta jenis Produa Viva yang belum dikenal pasti identitinya dipercayai turut mengalami kecederaan parah.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah pelabuhan ke Kuantan hilang kawalan ketika sampai di tempat kejadian.

“Ekoran kejadian, kereta itu dipercayai terbabas ke kanan jalan lalu melanggar besi pembahagi jalan dan termasuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Perodua Viva terbabit.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HTAA untuk bedah siasat sebelum jenazah kedua-dua mereka dituntut keluarga masing-masing untuk dikebumikan,” katanya.

Mohd Najid berkata, kemalangan yang meragut nyawa pemandu dan penumpang kereta terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Justeru itu beliau menasihatkan semua pemandu supaya lebih berhati-hati ketika memandu bagi mengelak kejadian tidak diingini.
SH

‘Kaki pow’ parah dibelasah



KUALA TERENGGANU- Seorang ‘kaki pow’ bukan sahaja terpaksa berputih mata setelah gagal mendapatkan habuan, tetapi lebih malang, dia mengalami kecederaan yang teruk selepas dibelasah mangsanya sendiri dan seterusnya ditahan polis dalam kejadian samun di Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot, di sini, petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang, suspek, 30, cuba menyamun seorang lelaki Bangladesh yang bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan mengacukan sebilah pisau sepanjang 7.5 sentimeter bagi menakutkan mangsa.

“Mangsa, 46, yang baru sahaja habis bekerja di tapak pembinaan itu dalam perjalanan balik kerumahnya di Kampung Tanjung Gelam.

“Bagaimanapun apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa yang hanya berjalan kaki secara tiba-tiba dihampiri suspek yang ketika itu juga turut berjalan kaki,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Menurut beliau, suspek terus mengacukan sebilah pisau berhulu kayu kepada mangsa serta dalam masa sama, meminta mangsa menyerahkan telefon bimbit dan semua wang tunai yang ada.

Manoharan berkata, bengang dengan tindakan lembab mangsa yang mengambil masa agak lama untuk mengeluarkan telefon bimbit serta wang tunai sejumlah RM300 itu, suspek bertindak memukul mangsa dengan sebatang kayu yang turut dibawa.

“Bagaimanapun, mangsa cuba melawan bagi mempertahankan dirinya dan semasa pergelutan itu, suspek tercedera dan mengalami luka di jari kiri serta lehernya.

“Melihat keadaan suspek yang berlumuran darah dan sudah tidak bermaya untuk melawan itu, mangsa terus menjerit meminta tolong daripada orang awam,” katanya.

Katanya, suspek yang mengalami kecederaan agak serius itu diserahkan kepada polis oleh orang awam yang membantu dan kini menerima rawatan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Suspek kini direman empat hari bermula semalam untuk disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Manoharan berkata, siasatan awal mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau termasuk memiliki dadah, positif ujian saringan awal air kencing serta pernah dipenjarakan sebelum ini.

Sementara itu, Manoharan berkata, mangsa yang turut mengalami kecederaan di bahagian buku lali kini turut ditahan di bawah Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen asal yang sah.

“Bagaimanapun, mangsa tidak akan didakwa atas tindakannya mencederakan suspek kerana dia tidak sengaja berbuat demikian dan hanyalah untuk mempertahankan diri,” katanya.
SH

Misteri bau busuk



PASIR MAS – Misteri bau busuk sejak beberapa hari lalu, akhirnya terjawab, berikutan penemuan mayat seorang warga emas dalam keadaan berulat di Kampung Kubang Panjang, di sini, pagi semalam.

Mangsa, Mat Zin Mat Kit ,71, kali terakhir dilihat sepupunya, Mohd Shamsudin Noor, 52, pada Sabtu lalu, sebelum ditemui dalam keadaan duduk di kediaman yang didiami sejak 1997.

Menurutnya, dia mendapat maklumat yang mangsa tinggal sendirian dan belum berkahwin itu ketika berada di kedai kopi kampung itu dan kemudiannya bergegas ke rumah mangsa.

“Selepas berbincang dengan penduduk kampung, kami mengambil keputusan masuk ke rumah arwah menerusi pintu belakang rumahnya.

“Sebaik masuk ke rumah berkenaan, arwah ditemui dalam keadaan duduk dan menongkat kedua-dua tangan ke lantai,” katanya kepada pemberita di pekarangan Bilik Mayat, Hospital Daerah Pasir Mas, semalam.

Mohd Shamsudin berkata, walaupun tidak tinggal bersama mangsa, tetapi setiap hari dia akan bertemu arwah di kedai kopi kerana itulah rutin hariannya

Menurutnya, dia tidak dapat membawa arwah tinggal bersamanya kerana dia mempunyai keluarga yang besar.

“Walaupun begitu, saya sering bertanya khabar arwah dari penduduk Kampung dan sering berjumpa dengannya di dua kedai kopi yang sering dikunjunginya, jika tiada wang, dia akan minta.

“Sebenarnya Sabtu lalu kali terakhir saya berjumpanya, ketika bercakap dengan arwah, dia jawab acuh tak acuh sahaja, tetapi itulah tabiatnya, kadang kala dia banyak cakap kadang kala dia diam,” katanya.

Mohd Shamsudin berkata, walaupun telah beberapa hari tidak menemui arwah, tetapi dia tidak mengesyaki apa-apa memandangkan ketika membawanya ke klinik swasta awal tahun lalu doktor memberitahunya penyakit darah tinggi arwah telah pulih.

Menurutnya, beliau hanya mengesyaki perkara buruk menimpanya setelah diberitahu tentang bau busuk dari arah rumahnya oleh penduduk kampung kira-kira jam 10.20 pagi semalam.

“Jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Mengelong sebaik sahaja bedah siasat selesai dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim, ketika dihubungi mengesahkan warga emas itu mati mengejut dan tiada unsur jenayah.
SH

Warga S'pura dihukum penjara dua tahun



WILSON RAJ: Gunakan pasport palsu masuk ke Finland. -- Foto AFP

SINGAPURA
KELONG DI LIGA FINLAND
Oleh
Safhras Khan

SEORANG warga Singapura yang terlibat dalam skandal rasuah bola sepak antarabangsa didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Lapland di Finland atas tuduhan-tuduhan rasuah, pemalsuan dan memasuki sempadan secara tidak sah.
Wilson Raj Perumal, 46 tahun, yang juga dikenali sebagai 'Raja Kelong' telah dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun, semalam.Dia dikatakan menjadi dalang kelong keputusan bola sepak dan didapati bersalah kerana menetapkan keputusan dalam beberapa perlawanan Liga Finland dari 2008 hingga 2011.Wilson Raj telah menyasarkan sebuah kelab Liga Finland, FC Rovaniemi, yang berpangkalan di kawasan utara Rovaniemi di Finland bagi operasi nya.Menurut satu laporan Reuters, satu kenyataan mahkamah berkata hukuman ke atas Wilson Raj berat kerana dia telah merancang tindakannya dan menjadi sebahagian daripada kumpulan antarabangsa yang menjalankan komplot taruhan.Sembilan pemain pasukan tersebut juga didapati bersalah dan telah diheret ke mahkamah bagi menghadapi hukuman.Kesemua pemain tersebut; tujuh dari Zambia dan dua dari Georgia, telah digantung antara enam dengan 20 bulan kerana menerima rasuah antara 11,000 euro ($18,963) dengan 40,000 euro bagi menentukan keputusan perlawanan bola sepak.Ketika kesnya dibicarakan di mahkamah, Wilson Raj mengaku telah membayar lapan pemain daripada FC Rovaniemi sebanyak 80,000 euro supaya mereka memastikan pasukan mereka tewas di tangan PS Kemi dalam satu perlawanan liga, Ogos lalu.Bayaran tersebut merupakan rasuah terbesar ditawarkan kepada para pemain bagi menentukan keputusan perlawanan dalam Liga Finland.Selain daripada itu, Wilson Raj juga dipercayai telah terlibat dalam kes-kes menentukan keputusan perlawanan serata dunia.Antara lain dia juga sedang disiasat oleh Persatuan Bola Sepak Zimbabwe atas tuduhan-tuduhan yang serupa.Wilson Raj telah diberkas di Lapangan Terbang Helsinki-Vantaa, Februari lalu, kerana menggunakan pasport palsu masuk ke Finland.Ketika diminta mengulas, Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Encik Zainudin Nordin, berkata sememangnya golongan yang mencemari nama baik bola sepak diheret ke muka pengadilan.'Kami (FAS) akan terus bekerja keras dan bekerjasama dengan agensi-agensi yang relevan bagi memastikan kegiatan menetapkan keputusan perlawanan bola sepak akan ditumpaskan satu hari nanti.'Saya tahu ini bukanlah sesuatu yang mudah tetapi saya yakin jika kami terus berusaha keras dan mengenalkan sistem dan proses tertentu, kami akan berjaya dalam jangka panjang,' katanya.Cyberita Online Singapura

Maut apabila bertembung bas



SEORANG penunggang motosikal berusia dalam lingkungan 50-an tahun terbunuh apabila motosikal yang ditunggangnya dan sebuah van bertembung dengan sebuah bas di simpang Havelock Road dan Outram Road pada 6.15 pagi semalam.

SINGAPURA

Lelaki Cina itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik pada 6.30 pagi.

Dalam kejadian itu, motosikal dan van tersebut dikatakan sedang dalam perjalanan dari Havelock Road menghala ke Alexandra Road apabila sebuah bas dari arah bertentangan membuat pusingan ke kanan ke Outram Road mengakibatkan ketiga-tiganya bertembung.

Polis menahan pemandu bas itu, seorang lelaki Cina berusia 40-an tahun, atas tuduhan menyebabkan kematian akibat cuai.

Polis sedang menyiasat kemalangan itu.

Cyberita Online Singapura

Ditahan miliki senapang angin


KUALA PILAH 19 Julai - Walaupun pernah dikenakan tindakan atas kesalahan yang sama September tahun lalu, seorang lelaki berusia 38 tahun sekali lagi ditahan polis selepas dipercayai memiliki senapang angin untuk tujuan memburu di Kampung Sungkak, dekat sini Khamis lalu.

Dalam serbuan yang dilancarkan oleh pihak berkuasa kira-kira 12.30 tengah hari itu, lelaki berkenaan bersama lima lagi rakannya berjaya diberkas polis ketika sedang khayal di sebuah rumah selepas dipercayai mengambil dadah

Ketua Polis Daerah, Superintendan Jaafar Baba memberitahu, hasil pemeriksaan pihaknya menemui selaras senapang angin buatan sendiri dan beberapa butir bebola besi yang digunakan sebagai peluru senjata bekenaan.

''Berdasarkan siasatan awal polis, lelaki berkenaan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu menghasilkan senjata yang mempunyai jarak efektif sejauh 50 meter berkenaan untuk tujuan memburu di kawasan sekitar.

''Kita percaya dengan penggunaan senapang itu hasil buruannya itu akan dijual untuk mendapatkan bekalan berdasarkan kepada penemuan dua paket dadah dipercayai heroin dan syabu seberat dua gram," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jaafar juga menjelaskan kesemua suspek berkenaan kini disiasat mengikut Sekyen 12(2) Akta dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki heroin dan syabu serta Seksyen 15(1) akta sama kerana memasukkan dadah dalam badan.

Mengenai kes pemilikan senapang angin pula, beliau menjelaskan ia disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki dan mengimport senjata tiruan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Utusan Malaysia Online - Selatan

20 etnik minoriti Uighur terbunuh


BEIJING 19 Julai - Kira-kira 20 penunjuk perasaan etnik minoriti Uighur terbunuh dalam satu pertempuran dengan polis di wilayah bergolak Xinjiang, barat laut China, lapor kumpulan Uighur yang beroperasi di luar negara, hari ini.

Media negara memetik seorang pegawai di wilayah tersebut sebagai berkata, kejadian semalam adalah satu serangan 'keganasan' yang mengakibatkan empat pegawai polis maut apabila sekumpulan penunjuk perasaan menyerbu sebuah balai polis di bandar terpencil Hotan, Xinjiang.

Bagaimanapun, Kongres Uighur Dunia yang beribu pejabat di Jerman menyifatkan kejadian itu sebagai luahan rasa marah etnik beragama Islam Uighur dan menuduh pihak berkuasa cuba menyekat maklumat kejadian semalam.

Kongres itu yang memetik sumber di Xinjiang berkata, pasukan keselamatan bertindak memukul 14 penunjuk perasaan Uighur sehingga mati serta menembak mati enam yang lain semasa tercetus pertempuran.

"Pihak berkuasa China perlu menghentikan segera penindasan terhadap etnik minoriti Uighur bagi mengawal situasi," kata jurucakap kumpulan tersebut, Dilxat Raxit.

Beliau berkata, insiden itu tercetus apabila sekumpulan penunjuk perasaan Uighur cuba menawan pegawai polis bagi menuntut pembebasan ahli keluarga mereka yang ditahan sebelum ini.

Menurut laporan media, penunjuk perasaan turut membakar balai polis berkenaan.

Xinjiang dicemari pergolakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, melibatkan pertempuran antara etnik Uighur dengan kumpulan majoriti China Han di ibu negara, Urumqi pada Julai 2009. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Pemberontak Libya dakwa berjaya kuasai Brega


AJDABIYA, Libya 19 Julai - Pemberontak Libya semalam mendakwa berjaya menguasai bandar Brega yang menempatkan kilang-kilang penapisan minyak negara ini.

Jurucakap pemberontak, Shamsiddin Abdulmolah berkata, tentera Gaddafi telah berundur ke bandar Ras Lanuf, 50 kilometer dari barat Brega.

Namun, jurucakap kerajaan Libya, Mussa Ibrahim menegaskan ia masih menguasai timur laut Brega.

''Mereka (pemberontak) cuba menguasai semula bandar itu tetapi gagal dan 500 pemberontak terbunuh dalam pertempuran,'' katanya di Tripoli.

Pemberontak berkata, tentera Gaddafi yang dipimpin anaknya, Mutassim berundur dari Brega dan hanya meninggal 150 hingga 200 askar dan sedikit bekalan di bandar itu.

''Bekalan makanan dan air mereka telah dipotong, Kami berharap mereka akan menyerah diri sebelum pertumpahan darah berlaku,'' kata Shamsiddin.

Penguasaan pemberontak ke atas bandar tersebut merupakan satu kejayaan besar yang meningkatkan moral dan laluan kepada infrastruktur masa depan ekonomi negara ini. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Polis siasat bekas isteri Strauss-Kahn


PARIS 19 Julai - Polis telah menyoal siasat bekas isteri Dominique Strauss-Kahn, Brigitte Guillemett berhubung bekas Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) didakwa cuba merogol seorang wartawan wanita Perancis pada 2003.

Guillemett merupakan ibu baptis kepada Tristane Banon, 32, yang memfailkan aduan terhadap Kahn ketika beliau sedang menunggu untuk dibicarakan di mahkamah di New York berhubung satu lagi kes serangan seksual di sana.

Menurut sumber perundangan semalam, detektif daripada skuad jenayah ganas telah menyoal siasat bekas isteri Kahn pada Jumaat lalu, sekali gus mengesahkan laporan di laman web majalah Le Point.

Sementara itu, ibu Banon, Anne Mansouret menerusi beberapa wawancara media mendedahkan, beliau telah menghubungi Guillemett tidak lama selepas anaknya mengadu tentang cubaan rogol tersebut.

Banon mendakwa Kahn cuba menyerangnya secara seksual semasa satu wawancara di sebuah pangsapuri di tengah Paris pada Februari 2003. Wartawan itu disoal siasat polis berhubung kejadian berkenaan pada 11 Julai lalu.

Menurut sumber lagi, turut disoal siasat pada Jumaat lalu ialah seorang wartawan dalam talian yang bekerja dengan Banon.

Dalam perkembangan yang sama hari ini, calon pilihan raya Presiden Francois Hollande daripada Parti Sosialis juga akan disoal siasat berhubung dakwaan sama terhadap Kahn.

Peguam Banon berkata, anak guamnya ada memberitahunya tentang kejadian itu semasa beliau berkhidmat sebagai setiausaha parti, sekali gus menimbulkan persoalan sejauh manakah Hollande mengetahui perkara berkenaan.

Pendakwa raya akan menentukan kemudian sama ada akan mendakwa ahli politik Parti Sosialis berusia 62 tahun itu atau tidak, yang dijangka akan mencabar Presiden Perancis Nicolas Sarkozy pada pilihan raya Presiden akan datang.

Kahn berhadapan dakwaan jenayah di New York kerana cuba merogol seorang pekerja hotel pada Mei lalu, namun beliau menafikannya. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

3 termasuk seorang anak VIP ditahan seludup PATI


JOHOR BAHRU 19 Julai - Tiga lelaki, salah seorang daripadanya anak orang kenamaan (VIP) bergelar 'Datuk' ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam jenayah penyeludupan manusia di Kota Tinggi dekat sini, baru-baru ini.

Anak VIP itu yang berusia 21 tahun ditahan bersama dua rakannya di persimpangan tiga jalan besar Sungai Rengit-Teluk Ramunia pada pukul 8 malam kelmarin.

Suspek merupakan penuntut sebuah institusi pengajian tinggi tempatan dan sedang bercuti semester.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Supritendan Muhammad Shamsuddin berkata, suspek menggunakan kenderaan Perodua MyVi miliknya mempunyai pelekat VIP untuk membawa empat pendatang asing tanpa izin (PATI) di lokasi tersebut.

"Polis sebelum itu menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan manusia di Sungai Rengit sejak beberapa bulan lalu.

"Bagaimanapun ketika serbuan, dua daripada mereka berjaya meloloskan diri tetapi tiga suspek berjaya ditangkap bersama 15 PATI Indonesia termasuk dua wanita," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, hari ini.

Tambah Muhammad, dua lagi rakan suspek berusia lingkungan 20-an dan siasatan awal mendapati, mereka biasanya membawa PATI dari Ulu Tiram ke Sungai Rengit sebelum diseludup pulang ke negara masing-masing.

Katanya, setiap PATI biasanya dikenakan bayaran RM3,000 dan mereka dibawa menggunakan kenderaan lebih besar termasuk van sebelum diseludup keluar.

Berikutan itu, polis sedang mengesan dua lelaki, Erey Azlan Abd. Ghani, 30, dari Felda Palong 5, Gemas, Negeri Sembilan dan Muhammad Redhuan Mat Sheh, 21, dari Taman Bukit Tiram, dekat sini, untuk membantu siasatan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Maut terjun tingkat lapan



ANGGOTA polis unit forensik memeriksa mayat seorang lelaki yang terjatuh dari tingkat lapan ketika cuba melarikan diri sewaktu serbuan polis di sebuah hotel di Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/ROSNI MASRI


KOTA BHARU 19 Julai - Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah maut selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah hotel di sini, ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis.

Dalam kejadian pukul 11 pagi ini, lima lagi suspek tempatan, termasuk seorang wanita berusia antara 25 hingga 45 tahun diberkas kerana dipercayai menjadikan bilik hotel berkenaan sebagai pusat transaksi jual beli pelbagai jenis dadah.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu, methampethamine, Eramin 5 dan heroin bernilai kira-kira RM60,000 dalam bilik hotel berkenaan.

Selain itu, katanya, turut ditemui ialah mata wang tempatan dan Baht Thailand kesemuanya dianggarkan berjumlah RM90,000 dalam sebuah kotak.

"Polis mendapat maklumat awal wujud transaksi dadah dijalankan di hotel itu. Selepas melakukan intipan dan mengenal pasti lokasi hotel yang dimaksudkan, serbuan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di salah sebuah bilik di tingkat sembilan.

"Polis mengarahkan pintu yang dikunci dari dalam dibuka, namun suspek enggan menyebabkan kita terpaksa memecah masuk ke dalam bilik itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Azham, sebaik pintu dibuka, lima suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berada di dalam.

Seorang lagi suspek melarikan diri dengan terjun melalui tingkap ke tingkat lapan, tetapi ditemui mati di tingkat dua hotel berkenaan.

Lelaki berusia 24 tahun dan berasal dari Kampung Kemumin, Pengkalan Chepa, dipercayai memecahkan siling tandas di dalam bilik tersebut untuk melarikan diri melalui lubang angin tetapi gagal, kemudian bertindak terjun melalui tingkap," katanya.

Katanya, mayat suspek itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut kes berkenaan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Lelaki buta huruf diperdaya rakan RM150,000


KUALA LUMPUR 19 Julai - Seorang peniaga mendakwa terpaksa menanggung hutang lebih RM150,000 selepas ditipu oleh rakan kongsi yang menggunakan namanya untuk membuat pinjaman dengan pihak bank sejak tahun 2003.

Lai Heng Kok, 30, mendakwa rakannya berusia 39 tahun, yang dikenalinya sejak tahun itu sering memperdayakannya untuk bersetuju menggunakan namanya ketika memohon pinjaman bank dan kad kredit.

Malah, rakannya juga didakwa sering mangambil kesempatan di atas kekurangan Heng Kok yang buta huruf untuk menandatangani dokumen-dokumen penting dalam urusan pinjaman bank.

Mengulas mengenai perkenalannya dengan rakan itu, mangsa memberitahu, dia dan rakannya itu memulakan perniagaan restoran nasi ayam dengan peruntukan modal bersama.

Bagaimanapun, perniagaan tersebut tidak dapat diteruskan kerana mengalami kerugian menyebabkan mereka beralih kepada perkhidmatan menjual paip pada 2004.

Menurut Heng Kok, disebabkan tiada keuntungan diperoleh melalui perniagaan tersebut, dia dan rakan itu seterusnya membuka pusat hiburan pada tahun 2007.

"Sepanjang menjalankan perniagaan bersama, dia bukan sahaja sering mengambil duit hasil perniagaan kami tetapi turut membuat pinjaman bank untuk membeli dua buah kereta menggunakan nama saya.

"Pada mulanya saya bersetuju memandangkan dia berjanji untuk melangsaikan hutang tersebut bagaimanapun dia gagal melunaskannya menyebabkan pihak bank mencari saya,," katanya ketika ditemui di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA di sini hari ini.

Tambah Heng Kok, dua buah kereta yang dibeli rakannya itu iaitu Toyota Camry dan Nissan Murano bagaimanapun tidak pernah ditunjukkan kepadanya.

Katanya lagi, permohonan kad kredit menerusi bank Maybank, RHB, Ambank dan EON Bank juga dibuat melalui namanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Micheal Chong memberitahu, pihaknya akan merujuk kes tersebut kepada Bank Negara Malaysia untuk menyiasat aduan tersebut.

"Sungguh menghairankan apabila permohonan pinjaman bank yang terlalu banyak mudah diluluskan atas nama seorang individu," katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Peniaga didakwa rompak, rogol dua wanita di tandas awam

KUALA LUMPUR 19 Julai - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak dan merogol dua wanita di dalam tandas awam dalam dua kejadian berasingan, dua minggu lalu.

Endry Roni Afandi, 27, dari Gombak dekat sini didakwa merompak wanita berusia 32 tahun dengan bersenjatakan pisau pemotong sayur di dalam tandas awam di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar raya, Dang Wangi di sini antara pukul 5.15 dan 5.30 petang, 8 Julai lalu.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh yang bertubuh kurus itu didakwa merogol sehingga boleh menyebabkan ketakutan, kematian dan kecederaan terhadap mangsa tersebut pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi kes kedua, dua hari selepas kejadian pertama, lelaki itu didakwa merompak seorang wanita lain berusia 24 tahun menggunakan pisau pemotong sayur di dalam tandas awam di stesen minyak Shell, Danau Kota, Setapak di sini antara pukul 2 dan 5 petang.

Tertuduh turut didakwa merogol wanita itu sehingga boleh menyebabkan ketakutan, kematian dan kecederaan terhadap mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi tuduhan merompak, lelaki yang memakai kemeja-T lengan panjang berbelang putih dan kelabu itu didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebatan.

Sementara bagi tuduhan merogol pula, pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(b) kanun sama.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tuduhan ke atas tertuduh adalah serius.

Bagaimanapun, peguam bela, Rusnan Hassan memohon tertuduh diberikan jaminan memandangkan anak guamnya itu tiada rekod jenayah lampau dan ahli keluarga lelaki itu hadir sebagai penjamin.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada hari Isnin setiap minggu, dilarang mendekati mangsa dan menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

Beliau turut menetapkan penjamin yang berbeza bagi setiap kes.

Perbicaraan ditetapkan pada 10 dan 11 Oktober ini bagi kes pertama dan 24 dan 25 Oktober ini bagi kes kedua.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Seludup dadah guna pos laju

SEPANG 19 Julai – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup tujuh kilogram dadah menggunakan perkhidmatan pos laju yang dianggarkan bernilai RM1 juta hasil dua tangkapan yang dilakukan dalam tempoh seminggu.

Pengarahnya, Datuk M. Govinden berkata, kes pertama melibatkan dua penghantaran empat kilogram (kg) dadah jenis ketamine dianggarkan bernilai RM720,000 kepada dua individu berbeza yang beralamat di Sepang dan Subang, Selangor pada 13 Julai lalu.

Menurut beliau, kesemua bungkusan dadah tersebut disembunyikan dalam sebuah lubang yang terdapat pada tujuh unit skrol lukisan yang dipos dari China.

“Pegawai kastam di bahagian penguatkuasaan mengesan tiga bungkusan yang mahu dihantar ke Sepang manakala empat bungkusan yang dialamatkan ke Subang itu mengandungi dadah setelah melalui imbasan di Pusat Mel dan Kurier KLIA.

“Dengan kerjasama pihak Pos Malaysia, kita berjaya menahan empat individu, bagaimanapun selepas siasatan rapi dilakukan, dua orang dilepaskan manakala dua suspek lagi ditahan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM di KLIA hari ini.

Govinden berkata, kedua-dua lelaki terbabit kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut beliau, tiga hari kemudian, pihaknya berjaya mengesan lima kotak kosong barang kemas yang mengandungi tiga kg dadah jenis methamphetamine (syabu) bernilai RM750,000 yang dihantar menggunakan modus operandi yang sama.

“Hasil pemeriksaan pegawai kastam mendapati dadah itu disembunyikan di bahagian bawah di dalam kotak barang kemas yang dikirim dari India dan dihantar kepada sebuah syarikat multinasional di Selangor.

“Namun, hasil siasatan terhadap pihak yang menerima dadah itu telah membawa kita kepada penahanan seorang suspek yang berusia 45 tahun yang juga merupakan pekerja biasa di syarikat tersebut,” katanya.

Sementara itu, Govinden berkata, sejak awal tahun ini sehingga semalam, pihaknya berjaya mematahkan 15 cubaan penyeludupan dadah melalui pintu masuk KLIA.

“Kesemua dadah yang dirampas itu adalah daripada jenis syabu (lima kes), ketamine (lima kes), Eramin 5 (tiga kes), ganja (satu kes) dan heroin (satu kes) yang mengandungi kuantiti seberat 64.37 kg dan bernilai lebih RM5.6 juta,” katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Penyamun tersilap langkah lari di hadapan IPK


SEREMBAN 19 Julai - Tiga lelaki yang melarikan diri selepas menyamun seorang suri rumah di Kuala Pilah menjerat leher sendiri apabila tersalah masuk laluan di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Akibatnya, polis terpaksa menembak kaki salah seorang suspek berusia 40 tahun ketika dia melarikan diri di hadapan IPK itu sebelum ditahan bersembunyi di sebuah kedai keranda.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, dua lagi rakan suspek berusia 30 hingga 40 tahun dapat melarikan diri dan mereka kini diburu oleh polis.

"Ketiga-tiga suspek sebelum itu menyamun rumah seorang wanita berusia 36 tahun pada pukul 9.30 pagi di Taman Impian, Kuala Pilah.

"Dalam kejadian itu, salah seorang suspek tiba-tiba melompat pagar rumah mangsa dan mengacukan parang sebelum merentap dua utas rantai emas yang dipakai wanita itu," katanya pada sidang akhbar di IPK Negeri Sembilan, hari ini.

Menurut Hamdan, mangsa yang hamil dua bulan kemudian dibawa oleh penduduk taman itu ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, seorang saksi yang melihat kejadian itu segera melaporkan kepada polis termasuk jumlah suspek, jenis kenderaan serta nombor pendaftaran yang digunakan mereka.

Berdasarkan maklumat tersebut, sebuah kereta peronda polis terserempak dengan kereta Perodua Kancil dinaiki suspek di hadapan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini dan segera mengarahkan mereka berhenti, namun suspek terus memecut kenderaan itu.

"Kenderaan mereka itu bagaimanapun tersilap kerana memasuki laluan menghala ke IPK negeri sebelum polis melepaskan beberapa das tembakan dan mengenai tayar kereta itu.

"Kereta dinaiki penjenayah itu kemudian terbabas sebelum melanggar pagar Masjid Jamek Seremban di sini," kata Hamdan.

Ketika melarikan diri, katanya, salah seorang suspek cuba merampas sebuah motosikal milik anggota polis, dan ketika itu seorang anggota peronda melepaskan satu das tembakan mengenai betis kanannya.

Hasil tangkapan itu, polis menemui sehelai jaket hitam, tiga pemutar skru, satu tukul besi, tiga bilah parang, sebilah kapak dan sepasang sarung tangan dipercayai digunakan untuk jenayah dalam kenderaan suspek," katanya.

Menurut Hamdan, kenderaan yang dinaiki suspek itu dicuri di Jalan Sungai Keramat, Klang pada 12 Jun lalu dan nombor pendaftarannya adalah palsu.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Bekas pegawai Alcatel tidak mengaku rasuah


KUALA LUMPUR 19 Julai - Seorang timbalan pengurus negeri di sebuah syarikat pembekal peralatan telekomunikasi dan penyelesaian rangkaian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan memberi rasuah RM25,000 kepada seorang pegawai Telekom Malaysia Bhd. (Telekom) bagi mendapatkan maklumat berkenaan satu tender, lima tahun lalu.

Radziah Ani, 49, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah memberikan sekeping cek tunai Alliance Bank bernilai RM25,000 kepada Penolong Pengurus Bahagian Perolehan Telekom, Mohd. Asri Idris, 42, di antara pukul 1 dan 2.30 petang, 17 Februari 2006.

Cek Alcatel Networks Systems (M) Sdn. Bhd. (Alcatel) bertarikh 15 Februari 2006 itu diberikan sebagai upah kepada Mohd. Asri membekalkan maklumat tender ''for the supply of wideband code division multiple access (WDCMA) mobile communications system and the provision of works phase II''.

Pada waktu kejadian, wanita tersebut merupakan Ketua Akaun Pelanggan Serantau bagi Alcatel.

Alcatel kini dikenali sebagai Alcatel-Lucent selepas bergabung dengan Lucent Technologies pada Disember 2006 dan merupakan subsidiari kepada syarikat telekomunikasi Perancis itu.

Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 10(b)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fariza Hamzah manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Sallehudin Saidin.

Pihak pendakwaan memberitahu seramai 27 orang saksi akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu dan memohon agar tujuh hari ditetapkan untuk perbicaraan.

Beliau turut mencadangkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan kedua-dua pihak, Rozilah menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin terhadap wanita tersebut.

Beliau turut menetapkan perbicaraan bermula pada 17 Oktober ini. Sebelum tarikh tersebut, satu sebutan kes akan dibuat pada 12 Ogos ini bagi memastikan pihak-pihak yang terlibat membekalkan dokumen-dokumen yang diperlukan mengikut Seksyen 51A Akta Keterangan.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Blogger diarah bayar Rais RM300,000

KUALA LUMPUR 19 Julai - Angkara fitnah yang dibuat secara meluas terhadap Datuk Seri Dr. Rais Yatim, seorang penulis blog hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini supaya membayar ganti rugi RM300,000 kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu.

Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof yang membuat keputusan itu turut memerintahkan Amizudin Ahmat, 42, yang juga merupakan anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) membayar kos RM100,000 kepada Rais.

Pada 5 Julai lalu, mahkamah memutuskan Amizudin yang diwakili peguam William Leong bertanggungjawab memfitnah Rais, 69, menerusi sebuah artikel yang dipaparkan dalam blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com.

Rais selaku plaintif yang diwakili oleh peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dan Azad Bashir memfailkan writ saman terhadap Amizudin pada 31 Januari lalu.

Dalam pernyataan tuntutan, Rais menyatakan, pada 28 Disember 2010, Amizudin sama ada secara sendiri mahupun melalui ejen-ejennya telah menyebabkan satu penerbitan artikel bertajuk 'Hei Pak Menteri...mana mau lari...'

Menurut Rais, seluruh kandungan artikel dalam bahasa Malaysia itu berniat jahat dan memfitnahnya, selain ia bermaksud atau difahamkan membawa maksud yang beliau bersalah melakukan kesalahan serius iaitu merogol dan mampu membunuh pembantu rumahnya dari Indonesia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu di Negeri Sembilan, menafikan tuduhan itu selepas penulis blog terbabit menamakannya.

Susulan itu, seorang wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah selama lapan tahun dengan Rais dilaporkan oleh portal berita Indonesia telah menafikan yang dirinya diberi layanan buruk atau dirogol oleh majikannya.

Dalam penghakiman bertulis, Hakim Zabariah menjelaskan, jumlah ganti rugi itu adalah munasabah dan ia ditetapkan selepas mengambil kira fakta dan bentuk fitnah yang dibuat oleh Amizudin selaku defendan selain nilai wang semasa.

Menurut beliau, mahkamah juga memberikan pertimbangan kepada beberapa faktor antaranya, kedudukan plaintif sebagai menteri Kabinet yang telah berkhidmat selama 37 tahun dan dikenali di peringkat antarabangsa.

Fitnah yang dibuat oleh defendan sangat serius kerana sekiranya seseorang mempercayainya, reputasi plaintif akan terjejas bukan sahaja di negara ini bahkan ke peringkat antarabangsa selain memberi kesan dalam kehidupan menteri itu serta keluarganya.

Dakwaan rogol pula, menurut Hakim Zabariah, melibatkan kesalahan jenayah yang dilakukan terhadap individu dari negara lain dan dakwaan tersebut sangat menjijikkan terhadap menteri Kabinet.

Katanya, ia juga dakwaan yang tidak sihat terhadap hubungan diplomatik antara dua negara dan menambahkan lagi kemarahan negara jiran itu memandangkan terdapat kes-kes rakyat negara tersebut didera ketika bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini.

Selain itu, kata Hakim Zabariah, penyiaran artikel tersebut melalui blog boleh diakses oleh sesiapa sahaja menerusi Internet di seluruh dunia.

Ini merupakan faktor-faktor istimewa yang membezakan kes saman itu dengan kes-kes saman fitnah yang telah diputuskan terdahulu, jelas Hakim Zabariah.

Tambahan pula, kata beliau, daripada keterangan, didapati defendan telah bertindak secara melulu dan cuai apabila dia mengakui hanya pergi ke Jakarta untuk 'menyiasat' dakwaan tersebut selepas artikel itu disiarkan dalam blognya.

Lebih-lebih lagi sepanjang tiga hari berada di negara itu, ujar hakim, defendan gagal mendapatkan sebarang pengesahan daripada wanita tersebut yang dikatakan sebagai 'mangsa' untuk mengesahkan cerita itu.

Rais yang ditemui di luar mahkamah berkata, keputusan tersebut amat bermakna dan berharap individu lain lebih berhati-hati apabila menulis mengenai orang lain.

''Hari ini hari yang hebat, ia satu lambang sebenar tentang keyakinan terhadap badan kehakiman kita,'' kata beliau.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Peket syabu milik rakan - Benjy


KUALA LUMPUR 19 Julai – Pelakon Benjy mendakwa bahawa satu peket plastik berisi dadah jenis syabu seberat 0.24 gram yang ditemui di kediamannya di Kondominium Menara Duta 2, tahun lalu adalah milik rakannya yang dikenali sebagai Nor Azizi.

Benjy, 33, atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim (gambar) yang memberi keterangan membela diri di Mahkamah Majistret di sini hari ini, turut mendakwa rakannya itu yang dipanggil sebagai Gi sebenarnya meletakkan peket dadah itu di sebuah rak buku dalam unit kondominium tersebut.

Ujar anak lelaki tunggal dramatis Azean Irdawaty itu, semua perkara tersebut terbongkar selepas bekas pembantu peribadinya, Afifi Hamid memberitahunya ketika mereka dalam perjalanan pergi memancing di Kampung Delek, Klang pada pukul 1 pagi, 11 Mac 2010.

Menurutnya lagi, Afifi juga memaklumkan bahawa Gi telah datang ke kediamannya antara pukul 8 dan 12 tengah malam, sehari sebelum itu untuk menemuinya, namun bekas pembantunya itu memaklumkan dia sedang memancing di kolam ikan di Desa Aman, Kepong.

‘‘Afifi menceritakan, Gi duduk di ruang tamu dan membuka bungkusan plastik didakwa berisi syabu yang dibawa lelaki itu lalu menghisap dadah tersebut.

‘‘Bekas pembantu peribadi saya mengatakan kemudian melihat Gi meninggalkan peket plastik di sebuah rak buku sebelum beredar dari kediaman tersebut,’’ jelasnya selaku saksi pembelaan pertama sewaktu pemeriksaan utama oleh peguam belanya, Amer Hamzah Arshad.

Namun ketika sesi soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abd. Halim, Benjy sebaliknya menyatakan dia tidak memberitahu perkara itu kepada polis semasa siasatan kerana ketika itu dia keliru dan tidak tahu ia perlu dimaklumkan kepada pihak polis.

Benjy kemudian menafikan keterangan mengenai kewujudan seorang lelaki yang bernama Gi sengaja direka walaupun dia tidak tahu di mana individu tersebut berada sekarang.

Sementara itu, Afifi yang turut dipanggil sebagai saksi pembelaan kedua mengesahkan bahawa dia sendiri memberitahu Benjy mengenai kedua-dua dakwaan tersebut.

Jelas wanita itu, pada pukul 8 malam sebelum tangkapan berlaku pada 11 Mac 2010, dia menghantar bekas majikannya itu ke Desa Aman sebelum pulang semula ke Kondominium Menara Duta 2 dan individu yang dikenali Gi muncul kemudian.

Kata Afifi, selepas Gi beredar, Benjy menelefonnya supaya datang semula ke Desa Aman untuk mengambil artis berkenaan untuk pergi ke Kampung Delek dan ketika itu dia menceritakan mengenai perbuatan Gi kepada bekas majikannya.

‘‘Benjy memarahi saya kenapa membiarkan Gi melakukan perkara itu dan mengarahkan agar menghapuskan peket itu selepas menghantarnya ke Kampung Delek.

‘‘Tetapi saya lupa untuk berbuat demikian ketika pulang ke Kondominium Menara Duta 2 selepas tiba dari Kampung Delek,’’ kata Afifi ketika disoal oleh Amer Hamzah.

Benjy diperintahkan membela diri pada 8 Julai lalu atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu di No. A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B melalui Jalan Segambut di sini, pada pukul 4 petang, 11 Mac tahun lalu.

Dia bagaimanapun dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memiliki 0.14 gram dadah jenis sama di No. C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Persimpangan Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru di sini pada pukul 3 petang hari yang sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Majistret Hafizza Sauni menetapkan esok untuk hujahan di akhir kes pembelaan.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

4 beranak trauma disamun RM15,000


KUANTAN 19 Julai – Empat beranak bukan sahaja kerugian RM15,000 disamun empat penyamun di rumah mereka di Felda Selancar 9 dekat Rompin, awal pagi semalam, malah turut trauma apabila diikat kumpulan penjenayah itu.

Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, dalam kejadian 3.30 pagi itu, mangsa bersama isteri yang berusia 50-an dan dua anaknya tidur di dalam bilik masing-masing.

“Tanpa disedari keempat-empat suspek yang menutup muka dengan kain telah berada di dalam rumah mangsa.

“Mangsa dikejutkan sebelum dia dan ahli keluarganya diikat dalam sebuah bilik,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Noor Asyikin berkata, salah seorang daripada suspek dipercayai mengalami luka di tangan akibat terkena pisau ketika hendak memotong kain ikatan salah seorang mangsa.

“Suspek menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan diri bersama barang kemas, wang tunai dan komputer riba dianggarkan bernilai RM15,000,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Jelas Noor Asyikin, suspek yang dipercayai memecah masuk rumah mangsa dengan mengumpil pintu belakang bagaimanapun tidak mencederakan mangsa sekeluarga.

Utusan Malaysia Online - Pahang

8 PATI diberkas



PATI Indonesia ditahan di Jeti Tanjung Kupang, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, Johor Bahru, kelmarin. - Gambar Ihsan APMM


JOHOR BAHRU 19 Julai - Hasrat lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk pulang berhari raya musnah apabila bot mereka ditahan berhampiran Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 pagi, PATI yang ditahan berusia antara 19 hingga 46 tahun, termasuk dua wanita dengan seorang daripadanya mengandung tujuh bulan.

Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, hasil pemeriksaan mendapati semua warga asing itu tidak memiliki sebarang dokumen.

"Selain mereka, pihak kami turut menahan tekong dan pembantunya yang juga warga Indonesia. Kesemua penumpang bot ini dipercayai mahu pulang awal untuk menyambut puasa dan hari raya.

"Kesemua PATI dikenakan bayaran RM450 seorang untuk membawa mereka keluar dari negeri ini ke Tanjung Balai, Indonesia," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ditahan, pihaknya menemui sebuah bot yang dalam keadaan mencurigakan dan bertindak menghampirinya, namun ia memecut laju sebelum berjaya dipintas di Jeti Tanjung Kupang.

Beliau memberitahu, kesemua PATI, tekong dan pembantunya dibawa ke pejabat agensi itu untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 5(1)(2) Akta Imigresen 1959/63 dan kes ini juga disiasat di bawah Akta Pemerdagangan Orang (Pindaan 2010).

Utusan Malaysia Online - Johor

Bot karam: 46 PATI nyaris maut





JOHOR BAHRU 19 Julai – Sekumpulan 46 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba menyusup keluar dari negeri ini bernasib malang apabila bot yang mereka naiki karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 3.50 pagi itu, kesemua PATI itu turut mengalami detik-detik mencemaskan apabila enjin bot tersebut rosak, lantainya bocor menyebabkan ia tersadai dalam keadaan cuaca buruk.

Bagaimanapun, kesemua PATI berumur 18 hingga 49 tahun itu berjaya diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebelum bot itu karam.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, bot itu ditemui kira-kira 16.4 batu nautika (30.3 kilometer) dari timur Tanjung Sedili.

“Kesemua mereka ditemui dalam keadaan lemah dan panik. Sebaik sahaja diselamatkan, bot itu mula karam dan mangsa kemudian dibawa ke Jeti Stulang Laut untuk siasatan lanjut.

“Siasatan mendapati, kesemua 46 PATI lelaki itu dalam perjalanan keluar dari negeri ini ke Batam, Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, tekong bot itu terjun ke laut dan berenang ke pantai berhampiran setelah menyedari bot tersebut akan karam iaitu beberapa jam sebelum PATI berkenaan diselamatkan.

Menurut Zulkifili, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian menimpa bot itu pukul 5.30 petang semalam, tetapi gagal mengesannya kerana cuaca buruk dan hari semakin gelap.

Usaha menyelamat, katanya, disambung awal pagi ini selepas cuaca kembali baik dan berjaya menemui bot tersebut dalam keadaan hampir karam.

Beliau memberitahu, bot yang membawa mereka adalah jenis bot pancung kayu berukuran kira-kira lima meter panjang dan tiga meter lebar dengan menggunakan tiga enjin.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Denda RM250 sorok kematian suami

MELAKA: Akibat mematuhi pesanan arwah suami supaya kematiannya tidak dihebahkan, seorang pengawal keselamatan didenda RM250 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam selepas mengaku salah terhadap tuduhan menyembunyikan kematian dan tidak mendaftarkan kematian suaminya pada Oktober tahun lalu.

Majistret Muhammad Hazri Hanafi menjatuhkan hukuman itu terhadap Zaini Malek (gambar), 48, dan mengarahkan tertuduh dipenjara tiga hari jika gagal membayar denda.


Zaini mengaku bersalah terhadap tuduhan bahawa dia sebagai isteri kepada Abd Halim Manan, 70, pada masa kematiannya atau merawati ketika sakitnya adalah orang yang layak untuk memberikan maklumat kepada pendaftar kelahiran dan kematian berikutan kematian itu di Lot 282, Batu 4 1/2, Jalan Kampung Batu Berendam, pada 3 hingga 6 Oktober 2010.

Bagi pertuduhan itu, Zaini didakwa mengikut Seksyen 35(e), Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian yang memperuntukkan hukuman denda RM250.


Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon mahkamah meringankan hukuman dengan mempertimbangkan pengakuan salahnya dan dia sebatang kara serta perlu membayar sewa rumah.


“Mohon hukuman dikurangkan kerana saya tidak mempunyai anak dan tinggal seorang, mungkin masa kejadian saya fikir macam-macam. “Sebelum meninggal, suami pesan jangan beritahu sesiapa. Saya tahu jenazahnya perlu disempurnakan, tetapi mungkin ketika itu saya dirasuk syaitan,” katanya.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhather Mohd Kudus.


Muhammad Hazri yang mempertimbangkan pengakuan salah tertuduh kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM250 dan jika gagal dipenjara tiga hari.

myMetro | Denda RM250 sorok kematian suami

Kilang getah terbakar, pemilik rugi RM107 juta

KULIM: “Ketika berlari keluar, saya dapat melihat api mula menyambar ruang tempat kami bekerja,” kata seorang pekerja kilang pengeluar produk getah di Kawasan Perindustrian Padang Meha, Sungai Karangan, dekat sini, yang musnah dalam satu kebakaran, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, kilang yang sudah beroperasi sejak 15 tahun dan mempunyai 600 pekerja itu musnah menyebabkan kerugian melebihi RM100 juta.


Pekerja yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian pekerja syif pagi baru hendak memulakan tugas sebelum diarahkan keluar dari kilang akibat kebakaran itu.

“Saya yang baru memulakan tugas tiba-tiba diarahkan rakan untuk keluar menyelamatkan diri. Ketika api mula memasuki kawasan tempat kami bekerja, kami sudah lari menerusi pintu kecemasan.


“Mujur semua pekerja dapat menyelamatkan diri dan tidak ada yang cedera atau terkorban,” katanya, semalam.


Pemilik kilang, Datuk Eng Hock Sing, 47, berkata, kejadian itu disedari beberapa pekerjanya sebelum pihak pengurusan mengarahkan mereka segera menyelamatkan diri. “Saya bersyukur apabila semua pekerja saya dapat menyelamatkan diri. Namun, kilang ini gagal di selamatkan dan kerugian dipercayai mencecah RM107 juta termasuk peralatan serta barangan yang hendak dieksport,” katanya.

Eng berkata, dia berharap kilang berkenaan dapat beroperasi kembali dalam masa enam bulan dan sekiranya bangunan itu tidak dapat digunakan, pihaknya akan berpindah ke suatu tempat lain bagi menjalankan operasi dan berharap pekerjanya bersabar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song berkata, pasukan bomba dan penyelamat termasuk pasukan Hazmat berada di kawasan kilang itu bagi memadamkan serta mengawal kebakaran itu.

Sementara itu, Penyelaras Parlimen Padang Serai, Dr Chin Tung Leong berkata, pihaknya berasa kecewa apabila mendapati keadaan tekanan air di kawasan perindustrian itu terlalu rendah sehingga menyukarkan pasukan bomba dan penyelamat memadamkan api.

myMetro | Kilang getah terbakar, pemilik rugi RM107 juta

Anak VIP angkut pendatang asing

KOTA TINGGI: Seorang anak orang kenamaan (VIP) bergelar Datuk dikatakan menggunakan kesempatan bercuti dengan melakukan pekerjaan haram ‘mengangkut’ pendatang asing tanpa izin sebelum ditahan di Sungai Rengit berhampiran Teluk Ramunia di sini, Ahad lalu.

Suspek yang juga pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berusia 21 tahun itu dikatakan menggunakan Perodua Myvi miliknya yang ditampal pelekat VIP bagi membawa empat warga Indonesia sebelum ditahan jam 8 malam.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, suspek turut melakukan kegiatan itu bersama empat lagi rakannya.

“Kumpulan lima lelaki terbabit menggunakan empat kenderaan dan ditahan berhampiran sebuah bengkel kereta selepas polis mendapat maklumat berkaitan kegiatan mereka.


“Bagaimanapun, dua pemandu kenderaan itu dapat meloloskan diri melalui semak-samun di tepi jalan manakala tiga lagi ditahan bersama 15 pendatang asing,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, semalam.


Menurutnya, kumpulan terbabit yang masing-masing berusia 20-an dipercayai menggunakan kenderaan persendirian untuk menghantar pendatang asing berkenaan dari rumah transit ke jeti sebelum perjalanan pulang pendatang asing itu diambil alih pengusaha bot di kawasan sekitar Pengerang dan Sungai Rengit.

“Setiap pendatang asing terbabit dipercayai dikenakan bayaran RM300 bagi sekali perjalanan tidak termasuk tambang bot.

“Kebiasaannya, tekong darat tidak menggunakan kereta kecil, sebaliknya kenderaan seperti van yang boleh membawa lebih ramai penumpang,” katanya.

Muhammad berkata, berikutan itu, pihaknya mahu menghubungi dua lelaki iaitu Erey Azlan Abd Ghani, 30, dari Felda Palong 5, Gemas, Negeri Sembilan, serta Muhammad Redhuan Mat Sheh, 21, dari Taman Bukit Tiram di sini, bagi membantu siasatan kes berkenaan.


Menurutnya, tiga tekong darat terbabit disiasat mengikut Seksyen 55(e), Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang asing.


“Pendatang asing terbabit pula ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya.

myMetro | Anak VIP angkut pendatang asing

Kawasan makam ‘Datuk Keramat’ tempat simpan barang curi

GEORGETOWN: Kawasan makam tokoh agama terkenal di sini, kini ‘tercemar’ berikutan bukan hanya menjadi lokasi penagih dadah melepaskan ketagihan, tetapi turut dijadikan tempat bersembunyi penjenayah ragut.

Makam yang terletak di kawasan tanah perkuburan Islam Jalan Perak di sini, didakwa menjadi sarang peragut mengasingkan barang berharga dan wang tunai hasil kegiatan jenayah mereka.


Kegiatan itu terbongkar dengan penemuan beg tangan dan dompet berselerakan sekitar sebuah bangunan makam tokoh agama dikenali sebagai ‘Datuk Keramat’ di bahagian belakang tanah perkuburan yang tertua dan terbesar di pulau itu.

Selain itu, batu nisan dan kepingan logam di tanah perkuburan itu turut menjadi sasaran hingga Jawatankuasa Kariah Masjid Hashim Yahaya menjadi mangsa kemarahan waris jenazah yang dikebumikan di situ.


Penagih juga mengumpil jubin lama yang bernilai tinggi, pintu serta besi tingkap untuk dijual, manakala hampir keseluruhan bangunan makam itu dirosakkan.


Jemaah dan penduduk berhampiran mendakwa tanah perkuburan itu menjadi tempat penagih dadah melakukan perbuatan itu pada waktu malam apabila kakitangan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), selesai bertugas.

Harian Metro yang ke tanah perkuburan itu mendapati hampir keseluruhan bangunan yang menempatkan makam beberapa tokoh agama yang berusia lebih seabad hanya tinggal tiang selepas kepingan dinding dan peralatan lain seperti jubin dan pintu hilang dikebas pencuri. Setiausaha Jawatankuasa Kariah Masjid Hashim Yahaya, Zambri Abdul Rahman berkata, selain peralatan di tanah perkuburan itu lesap, turut menjadi sasaran pencuri adalah pejabat masjid itu apabila sebuah projektor bernilai lebih RM3,000 hilang baru-baru ini.

Katanya, laporan polis dibuat di Balai Polis Jalan Datuk Keramat selepas kejadian disedari siak masjid ketika membuka pejabat pada waktu Subuh.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid itu, Roslan Yusoff berkata, MAINPP juga diminta menjalankan siasatan dan membaiki semula makam tokoh agama terkemuka itu.

myMetro | Kawasan makam ‘Datuk Keramat’ tempat simpan barang curi

Senapang ekzos motor

KUALA PILAH: Seorang bapa kepada tujuh anak yang pernah didenda kerana memiliki senapang angin buatan sendiri masih tidak serik apabila sekali lagi dicekup kerana kesalahan sama di Kampung Sungkak di sini, Khamis lalu.

Difahamkan, lelaki berusia 38 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas didapati bersalah memiliki enam laras senjata berkenaan di kampung sama, tahun lalu.


Suspek dikatakan memiliki kemahiran menghasilkan senapang itu dengan bahan terpakai seperti ekzos motosikal dan besi tingkap yang digunakan untuk memburu.

Perbuatan lelaki itu bagaimanapun dikesan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah yang menyerbu sebuah rumah, kira-kira jam 12.30 tengah hari, Khamis lalu.


Ketika serbuan, suspek bersama lima rakannya berusia 24 hingga 38 tahun dilihat berkelakuan mencurigakan di anjung rumah berkenaan lalu ditahan untuk tindakan lanjut.


Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui senapang angin dan bebola besi serta tembaga padu dipercayai senjata tiruan. “Selain itu, kami menemui dua peket dadah disyaki heroin dan syabu dianggarkan dua gram serta satu botol kaca dipercayai alat menghisap dadah.

“Hasil ujian air kencing mendapati enam suspek itu positif dadah methapethamine,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, kes pemilikan senapang angin disiasat mengikut Seksyen 36, Akta Senjata Api 1960 manakala kes dadah disiasat mengikut Seksyen 12 (2), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) akta sama.

Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati senjata itu mempunyai jarak efektif sejauh kira-kira 50 meter yang digunakan untuk memburu selain dijual bagi mendapatkan wang.


“Senapang berkenaan dianggap berbahaya kerana boleh mendatangkan kecederaan atau kematian.


“Justeru, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian sama boleh memaklumkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

myMetro | Senapang ekzos motor

Wanita ditangkap edar dadah bukan jururawat

KUALA TERENGGANU: Wanita yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah bersama suami di Kampung Darat, Kijal, di sini, pada 20 Jun lalu, bekerja sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) dan bukannya jururawat.

Pengesahan jawatan wanita berusia 33 tahun dan bertugas di sebuah hospital di Kota Bharu itu dibuat Persatuan Jururawat Malaysia yang berpejabat di Wisma Goshen, Plaza Pantai, Kuala Lumpur.


Presidennya, Dr Ramziah Ahmad melalui satu surat kepada Harian Metro berkata, pihaknya mengesahkan wanita berkenaan adalah kakitangan sebuah hospital di Kota Bharu.

“Wanita berkenaan dilantik PPK pada 15 Ogos 2005.


“Ketika ditahan, dia sepatutnya bertugas di syif petang dan tidak hadir tugas kerana melawat saudara di Kampung Kijal,” katanya.


Akhbar ini pada keluaran 22 Jun lalu melaporkan seorang wanita sanggup mencemarkan kerjaya murni sebagai jururawat apabila dikatakan bersekongkol bersama suami menjalankan kegiatan pengedaran dadah di Kemaman.

Ketika ditahan, polis merampas dua botol heroin seberat kira-kira 48 gram bernilai RM1,200 ketika menyerbu rumah sewa mereka di Kampung Darat, Kijal, di sini, pada jam 4.25 pagi, 20 Jun lalu.

myMetro | Wanita ditangkap edar dadah bukan jururawat

Pengedar dadah mati jatuh hotel

KOTA BHARU: Cubaan seorang lelaki berusia 24 tahun dipercayai pengedar dadah, melarikan diri daripada polis membawa padah apabila dia maut selepas terjatuh dari ketinggian 18 meter di sebuah hotel, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa berasal dari Kemumin dekat Pengkalan Chepa, di sini, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan mengadakan pertemuan dengan lima individu di sebuah bilik di tingkat sembilan hotel berkenaan, dipercayai atas urusan berkaitan dadah.

Bagaimanapun, ketika berurusan, mereka terkejut diserbu sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kota Bharu sebelum mangsa cuba melepaskan diri dengan keluar dari tingkap yang dipecahkan.


Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman, berkata, polis menerima maklumat mengenai satu urusan berkaitan dadah dilakukan di dalam sebuah bilik di sebuah hotel, kira-kira jam 10 pagi sebelum melakukan serbuan.

myMetro | Pengedar dadah mati jatuh hotel

Enjin meletup

IPOH: Seorang pemandu lori hanya mampu meraung kesakitan apabila badan dan kakinya disambar api akibat letupan enjin kereta yang menyebabkan 50 peratus kulit tubuhnya terbakar dan tertanggal serta merta.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi 19 Jun lalu, mangsa K. Baskaren, 37, dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akibat melecur teruk di bahagian kaki, paha dan pinggang.


Dia berkata, kemalangan berlaku ketika dia memeriksa enjin keretanya di sebuah bengkel berdekatan kediamannya di Taman Seri Permai, Padang Rengas, di sini.

Menurutnya, dalam kejadian itu api menyambar sebahagian tubuhnya menyebabkan bahagian pinggul ke bawah terutama di kedua-dua belah kakinya terbakar teruk.


“Saya menggelupur kesakitan sebelum dihantar ke hospital untuk menjalani rawatan kecemasan. Kemalangan itu menyebabkan kulit saya tertanggal dan mengalami kesukaran untuk bergerak serta berdiri kerana tapak kaki masih berdarah.


“Saya terpaksa menjalani tujuh pembedahan pemindahan kulit untuk menggantikan sel kulit mati di kedua-dua belah kaki,” katanya yang mempunyai tiga anak berusia dua, lima dan tujuh tahun.

Menurutnya, doktor terpaksa mengambil kulit di bahagian belakang badannya untuk ditampal pada kedua-dua belah kaki, paha dan tapak kaki. Katanya, doktor sudah membenarkannya pulang kelmarin namun, dia menolaknya kerana tidak yakin dengan tahap kesihatannya selain perlu dipimpin untuk berjalan.

“Doktor memberitahu, saya memerlukan masa dua tahun untuk pulih seperti sedia kala. Tempoh itu agak lama, namun saya akan berusaha untuk mula bekerja setahun lebih awal kerana mahu membantu keluarga.

“Sejak terlantar, isteri, S Mugana Sundari, 33, guru di Sekolah Rendah Kebangsaan Jenis Tamil (SRJKT) Ladang Kapig terpaksa menanggung keluarga,” katanya.


Katanya, dia paling bimbangkan anak bongsunya, B Tarmesh Nair, 2, memandangkan anak lelakinya itu menderita pelbagai penyakit termasuk buah pinggang, penyakit jantung dan kecacatan otak.


Baskaren berkata, anak lelakinya itu kini terlantar sepanjang masa sejak dilahirkan, malah kelihatan seperti bayi disebabkan berat badannya yang tidak sampai lima kilogram (kg).


“Setiap bulan, saya terpaksa mengeluarkan wang sebanyak RM400 terutama bagi membeli lampin pakai buang, susu dan kos rawatan di hospital.


Katanya, permohonan mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah dibuat, namun sehingga kini tiada perkembangan diterima.

myMetro | Enjin meletup

Maut lepas 3 hari ditauliah

ARAU: Seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang baru tiga hari ditauliahkan sebagai Leftenan Muda di Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia (KTU) Kepala Batas, Alor Setar, Sabtu lalu, maut dalam satu kemalangan ngeri apabila kereta dipandunya terbelah dua di Kilometer 21, Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis, berhampiran Kampung Katong di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, mangsa, Mohd Zulhelmi Mohd Yusof, 21, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, akibat kecederaan parah di kepala dan badan.


Dalam kejadian itu, tiga rakan mangsa iaitu Muhammad Amir Mohamed Ariffin, 21; Melati Kamarudin, 20; dan Ku Shahida Ku Shali, 22, parah selepas patah kaki dan cedera di muka.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, mangsa yang berasal dari Teluk Intan, Perak, dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Kangar untuk menghantar Melati dan Ku Shahida.


Mohd Zulhelmi dan Muhammad Amir baru ditauliahkan sebagai pegawai TUDM, manakala dua rakan wanita itu pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri itu.


“Mereka dipercayai baru selesai menghadiri majlis jamuan bagi meraikan pentauliahan itu di Sungai Petani, malam kelmarin,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohd Nadzri berkata, mangsa yang memandu kereta Perodua Viva itu dipercayai mengantuk sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Katanya, keadaan kereta mangsa hancur di sebelah kanan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan kecederaan bahagian dalaman, manakala dua lagi rakannya patah kaki dan seorang lagi cedera di muka.

“Mangsa yang cedera parah akibat rempuhan kuat di sebelah kanan kereta itu disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke HTF.


“Rakan mangsa juga dihantar ke HTF bagi mendapat rawatan susulan dan sehingga semalam keadaan ketiga-tiga mereka dilaporkan stabil,” katanya.


Menurut Nadzri, keluarga mangsa dan pihak TUDM sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan sebaik selesai urusan bedah siasat, jenazah mangsa dituntut pihak TUDM bagi urusan selanjutnya tengah hari semalam.


“Kereta pegawai tentera itu akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

myMetro | Maut lepas 3 hari ditauliah