KUALA LUMPUR 18 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan syarikat pembekal barangan pilihan raya, Elegant Advisory Sdn. Bhd. (Elegant Advisory) berhubung perintah yang membenarkan Barisan Nasional (BN) dan dua pihak yang lain mengetepikan penghakiman ingkar terhadap mereka dalam saman RM218 juta.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mohamad Ariff Md. Yusof di kamar beliau selepas mendengar hujahan peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili tiga defendan terbabit, manakala syarikat tersebut selaku plaintif diwakili peguam Mohd. Nazuddin Abdullah.
Mohd. Hafarizam memberitahu pemberita, rayuan plaintif terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar mahkamah tersebut pada 23 Jun lalu yang membenarkan permohonan defendan mengetepikan penghakiman ingkar terhadap mereka, ditolak oleh hakim dengan kos RM1,000.
Menurut beliau, mahkamah menetapkan 21 Julai ini sebutan kes tersebut dan dalam masa yang sama pihaknya akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman plaintif yang difailkan pada 17 Februari lalu.
Dalam saman itu, plaintif menamakan Bendahari Agung BN yang juga Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan pegawai awam BN masing-masing sebagai defendan.
Tindakan itu diambil oleh plaintif atas dakwaan pihak defendan tidak menjelaskan bayaran bekalan barangan dan perkhidmatan semasa Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004.
Usaha pihak media untuk mendapatkan butiran kandungan writ saman tersebut gagal kerana menurut Mohd. Nazuddin, pihaknya tidak mahu mengganggu perjalanan perbicaraan kes itu.
Plaintif berjaya mendapatkan penghakiman ingkar pada 7 Mac lalu setelah defendan gagal memasukkan kehadiran dalam masa lapan hari setelah saman diserahkan kepada mereka.
Sebelum ini, plaintif telah memfailkan saman yang serupa pada 23 Jun 2008 dengan menamakan bendahari UMNO ketika itu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi sebagai defendan sebelum nama beliau dibatalkan.
Dalam writ tersebut, syarikat itu mendakwa telah membekal peralatan pilihan raya, pengangkutan serta penerbitan; dan pada pilihan raya umum tersebut tahun 2004 pihaknya membekalkan UMNO dengan pelbagai peralatan pilihan raya yang diperlukan.
Syarikat itu menyatakan, ia kemudiannya menghantar invois RM218,013,475 untuk mendapatkan pembayaran, namun defendan gagal membayarnya.
Pada 10 September 2009, Pesuruhjaya Kehakiman, Anantham Kasinather membatalkan saman Elegant Advisory setelah mendapati tiada kontrak yang sah sama ada secara lisan mahupun bertulis dibuat antara syarikat itu dengan UMNO.
Syarikat itu bagaimanapun pada 25 Ogos 2010 telah gagal memperoleh kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman RM218 juta terhadap UMNO.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah