Search This Blog

Sunday, July 17, 2011

Pekerja restoran diarah bela diri kes rogol



JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen di sini mengarahkan seorang pekerja restoran makanan segera membela diri atas tuduhan rogol beramai-ramai, setahun lalu.

Hakim, Zamri Bakar menetapkan 25 Ogos depan untuk tertuduh Muhammad Umar Md Fuad, 19, membela diri selepas pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Tertuduh didakwa merogol seorang remaja 19 tahun secara bergilir-gilir, 14 September 2010 jam 2.15 pagi bersama tiga lagi rakannya yang masih bebas di Kampung Melayu Pandan.

Dia didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Chuah Shyue Chien turut memanggil enam saksi.

Dalam keterangan pihak pendakwaan semasa perbicaraan sebelum ini, mangsa yang bekerja di restoran makanan segera berlainan telah menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) untuk meminta Muhammad Umar mengambilnya di tempat kerja pada 14 September tahun lalu, jam 1 pagi.

Tertuduh telah datang bersama tiga lagi rakannya dan memaklumkan perlu ke sebuah rumah di Kampung Melayu Pandan untuk mengambil baju dan menaiki motosikal untuk ke rumah terbabit.

Setibanya di situ, tertuduh telah memaksa mangsa menyalin baju dan membuka seluar, namun mangsa cuba melarikan diri dan dihalang rakan tertuduh, manakala salah seorang daripada rakan tertuduh telah mengacukan parang untuk mengugut dan merogol mangsa.

Tertuduh telah berperanan menutup mulut mangsa dari awal hingga akhir kejadian dan merupakan orang terakhir merogol mangsa dan rakan tertuduh turut merakamkan gambar mereka bersama.

Muhammad Umar diwakili peguam Ibrahim Haikal Razak.
SH

Tidak sangka ditipu



KAMPUNG BOYAN – Seorang lelaki, Eddy Teh, 39 mendakwa dirinya rugi RM7,000 setelah ditipu oleh dua individu yang mengaku diri mereka sebagai wakil sebuah syarikat pelaburan hartanah sekitar Kuala Lumpur.

Eddy tidak menyangka akan tertipu setelah mendengar taklimat jual beli apartmen di salah sebuah hotel sekitar Taiping.

Menurutnya, kejadian berkenaan serta kerugian yang dialami telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepadanya.

“Taklimat itu telah disampaikan dua individu yang mengaku diri mereka sebagai wakil kepada sebuah syarikat yang menguruskan pelaburan hartanah.

“Saya menghadiri taklimat itu kerana nama saya terpilih sebagai salah seorang pemilik kad kredit sebuah institusi perbankan terkemuka di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kedua individu berkenaan memaklumkan sebanyak RM7,000 akan dipotong melalui kad kreditnya setelah masing-masing bersetuju membuat pelaburan.

Menurut Eddy, dia merasa tidak sedap hati tentang pelaburan yang dibuat dan telah cuba menyiasat latar belakang syarikat berkenaan.

“Setelah disiasat saya dapati syarikat berkenaan tidak pernah wujud dab nombor siri syarikat yang tertera pada kad nama salah seorang individu berkenaan adalah milik sebuah syarikat lain.

“Saya juga telah cuba menghubungi mereka beberapa kali namun gagal, dan menyedari saya telah ditipu, saya telah menghubungi pihak bank untuk menghentikan pembayaran namun sudah terlambat kerana wang berkenaan telah dikreditkan kepada individu berkenaan,” katanya.

Eddy berkata, dia telah membuat laporan polis berkenaan kejadian itu dan berharap agar orang ramai lebih berhati-hati kerana kes seumpama itu banyak berlaku dalam masyarakat serta jangan terlalu mudah mempercayai sesiapa tanpa memeriksa terlebih dahulu.
SH

Ibu menjerit



IPOH – “Cukuplah sebelum ini saya pernah kehilangannya dua tahun, saya tak mahu kejadian sama berulang kembali,” rintih seorang wanita berusia 50-an yang merayu agar anaknya yang diberkas anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dilepaskan.

Bukan setakat itu, ibu malang terbabit menjerit seolah-olah seperti terkena histeria ketika merayu pihak berkuasa melepaskan anaknya.

Anaknya yang hanya dikenali sebagai Siti, 23, ditahan selepas disyaki terbabit dalam gejala penagihan dadah pada satu operasi bersepadu bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kinta yang diadakan baru-baru ini.

Gadis itu ditahan kira-kira jam 10 malam berhampiran kawasan perniagaan Gerbang Malam selepas didapati merayau dalam keadaan mencurigakan.

Ibu kepada gadis berkenaan kemudiannya tiba di perkarangan ibu pejabat penguat kuasa MBI bagi menuntut anaknya yang ditahan sebelum itu.

Menurutnya, sebelum ini anaknya pernah ditempatkan di Pusat Serenti Bachok, Kelantan selama dua tahun kerana menagih dadah jenis ganja.

Pegawai JKM Daerah Kinta, Mohd Mahir Mohd Tahir yang ada di pejabat berkenaan cuba menenangkan wanita terbabit dan meminta supaya bertenang dan bersabar sebelum anaknya dikembalikan semula.

Wanita itu yang datang bersama cucu lelakinya bersabar sementara menanti ujian air kencing dilakukan petugas AADK.

Sinar Harian difahamkan, wanita terbabit adalah penerima bulanan bantuan JKM di samping menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi menampung hidup.

Dalam perkembangan sama, Siti yang ditahan di dalam dewan bersama beberapa penagih dadah lain diarah memberikan sampel air kencing sebelum ujian dadah dilakukan.

Bagaimanapun, ujian saringan air kencing sang dijalankan gadis itu didapati negatif dan beliau dibebaskan kira-kira sejam kemudian.

Beliau menyesal di atas perbuatannya dan tidak mahu terbabit dengan gejala dadah yang sering menyebabkan ibunya tertekan.

“Saya tak mahu lagi masuk ke dalam Pusat Serenti. Saya kini mahu membantu ibu meneruskan hidup dengan berniaga,” katanya.
SH

Lima lelaki ditahan kes curi



BALIK PULAU – Lima lelaki ditahan pihak polis kerana menyebabkan kehilangan 275 aluminium magazin bernilai RM 33,000 yang diisi ke dalam 25 buah kotak di stor kilang Jalan Batu Maung, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Him berkata, dalam kejadian pada 13 Julai lalu, seorang daripadanya merupakan sebahagian daripada tiga hingga empat lelaki memecah masuk dengan memanjat tembok stor dan memotong pagar dawai belakang kilang.

“Aluminium magazin itu biasanya digunakan untuk pemasangan audio kenderaan dan bernilai RM120 setiap satu dan akan dieksport ke Amerika Syarikat.

“Kesemua kotak itu diangkut sedikit demi sedikit menggunakan motosikal dan dijual kepada premis barang lusuh tanpa lesen di Batu Maung dengan harga RM 1,190 sahaja,” katanya.

Fah Him berkata, suspek berusia 16 tahun itu ditangkap di Lintang Batu Maung 4 dan mengaku mencuri kesemua kotak berisi aluminium magazin itu bersama tiga lagi lelaki yang masih bebas.

“Suspek yang tidak bersekolah turut mengaku terlibat dalam kes kecurian barangan besi dan aluminium di sebuah kilang di Batu Maung pada 4 Jun lalu yang melibatkan kerugian sebanyak RM 200,000,” katanya.

Fah Hin berkata, empat lelaki berusia lingkungan 16 sehingga 43 tahun yang merupakan pengusaha dan pekerja premis barang lusuh berjaya ditahan hasil soal siasat yang dijalankan.

“Pihak polis turut merampas 262 aluminium magazin, sebuah motosikal dan sebuah topi keledar.

“Kesemua suspek merupakan penduduk tempatan dan seorang daripadanya memiliki dua kesalahan lampau iaitu kecurian dan curi motosikal.

“Bagaimanapun, keempat – empatnya bebas dadah melalui ujian saringan air kencing,” katanya.

Kesemua suspek direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 411 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihati pihak pengurusan memasang lampu sorot sekiranya lokasi kilang terletak di kawasan yang sunyi dan gelap.

“Walaupun stor itu dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), namun kawasan gelap memberi peluang kepada jenayah untuk memecah masuk dan mencuri barangan yang ada,” katanya.
SH

Samun bersenjatakan pistol



KULIM - Seorang lelaki lingkungan 20-an yang bersenjatakan pistol berjaya melarikan wang tunai, barangan peribadi dan beberapa karton rokok ketika melakukan samun di sebuah kedai di Taman Senangin kira-kira jam 4.10 petang, kelmarin.

:Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, ketika kejadian, pemilik premis sedang menjalankan perniagaannya. Selain pemilik premis, pelanggan yang ada dalam kedai itu turut disamun.

“Seorang lelaki bersenjatakan pistol kemudiannya keluar dari kereta Proton Wira warna hitam dan masuk ke dalam kedai dan melakukan samun terhadap pemilik dan semua pelanggan yang ada di dalamnya. Suspek kemudiannya berlari keluar dan masuk ke dalam keretanya semula dan berhenti di lorong belakang kedai terbabit.

“Mangsa adalah ahli PPKM. Dia memaklumkan tentang kejadian itu melalui alat perhubungan. Ahli PPKM yang ada di tempat kejadian kemudiannya mengejar Proton Wira yang dipandu suspek,” katanya.

Eng Khim berkata, beliau nampak kereta suspek keluar dari Tol Lebuh Raya Butterworth Kulim Express (BKE) kemudiannya belok masuk ke Jalan Mengkuang dan menghala ke Brapit.

Beliau kemudiannya menghubungi ahli PPKM di Bukit Mertajam untuk mendapatkan bantuan.

PPKM terus memburu suspek hingga ke Kampung Baru Bukit Mertajam. Memandangkan keadaan jalan terlalu sesak ketika itu, suspek terpaksa meninggalkan kereta dan berlari keluar.

“Ahli PPKM yang ada di sekitar kawasan cuba mengepung suspek, tetapi khuatir dicederakan kerana suspek mempunyai pistol. Bagaimanapun kereta digunakan suspek berjaya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Kulim (IPD) Kulim,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kereta suspek diperiksa Unit Forensik untuk mengesan cap jari penjenayah terlibat.

Menurutnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.

“Polis masih mengesan semua suspek terlibat dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian ini untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
SH

Ajal bersama 2 beranak



SEREMBAN - Seorang bayi dan ibunya maut setelah lori kecil yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 252.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, berdekatan susur masuk Plaza Tol Senawang, dekat sini, kira-kira jam 5.45 petang semalam.

Jurucakap polis berkata, mangsa, Dalila Hashim, 40, dan anak lelakinya, Che Najwan Hanif Che Rosdi, setahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala serta badan.

Menurutnya, pemandu lori yang juga suami Dalila, Che Rosdi Ahamad, 33, cedera parah dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawatan lanjut.

“Lori kecil membawa muatan makanan sejuk beku itu dalam perjalanan dari Melaka ke Selangor sebelum dikatakan dilanggar sebuah kereta jenis Proton Perdana di sisi kanan.

“Perlanggaran dipercayai menyebabkan lori terbabit hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di bahu kanan lebuh raya,” katanya.

Menurutnya, Dalila dan Che Najwan tercampak keluar dari lori dan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

“Pemandu Proton Perdana, seorang lelaki berumur 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah tampil membuat laporan kepada pihak polis,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika mengesahkan kejadian berkata, punca sebenar kemalangan masih disiasat dan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat.
SH

Nyaris maut kereta terbabas



MASJID TANAH - Seorang pemuda nyaris maut apabila kereta jenis Perodua Kancil yang dipandunya terbabas di Jalan Hutan Simpan berhadapan Kem 93 Depo Pusat Peluru, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, Kasman Abd Rahman, 20, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Pinang, Ayer Limau dari arah Sungai Udang.

:Menurutnya, dia memang menggunakan laluan itu untuk pulang ke rumahnya.

“Sebaik tiba di satu selekoh, saya cuba mengelak satu lintasan menyebabkan kereta hilang kawalan. Kereta terbabas ke kanan dan memasuki laluan bertentangan.

“Saya cuba membrek kerana takut dirempuh kenderaan lain. Kereta berpusing beberapa kali sebelum masuk ke longkang dan naik semula ke tepi jalan serta menghala ke Sungai Udang,” katanya.

Kasman berkata, dia terkejut sebaik keretanya berhenti dan menyedari dirinya berada di belakang tempat duduk penumpang.

“Kereta saya terseret kira-kira 25 meter dan bernasib baik kerana tidak merempuh mana-mana tiang elektrik.

“Saya bersyukur kerana tiada sebarang kenderaan lain yang melalui jalan bertentangan, jika tidak pasti lebih teruk,” katanya.

Saksi kejadian yang hanya ingin dikenali sebagai Amri Ishak, 25, berkata, sebelum itu kereta Kasman memotong lalauan keretanya.

Bagaimanapun menurutnya, dia terkejut apabila mendapati Perodua Kancil itu terbabas tidak lama selepas itu.

“Selepas terbabas, saya lihat dia keluar sendiri dari kereta. Saya terus berhentikan kereta untuk membantu dan anggota polis peronda tiba beberapa minit kemudian.

“Mujur dia tidak mengalami sebarang kecederaan dan kebetulan jalan itu lenggang tidak dilalui pengguna lain,” katanya.
SH

Maut terseret 600 meter



MELAKA - Salah seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan di kilometer 197.9, Lebuh Raya Utara Selatan, awal pagi semalam, tidak menyangka ada mangsa maut dan tercampak sehingga 600 meter dari tempat kejadian.

Mohd Faizal Shamsuri, 27, berkata, dia ternampak sebuah van remuk di laluan tengah, sebelum menyedari beberapa kenderaan lain turut terlibat.

“Saya ingat hanya dua orang sahaja yang menaiki van berkenaan, tidak sangka pula ada seorang lagi tercampak jauh dari tempat kejadian.

“Tidak dapat dipastikan sama ada van berkenaan telah dilanggar oleh sebuah kenderaan lain atau pun ia terbabas di pembahagi jalan, namun melihat keadaan mangsa yang tercampak jauh, besar kemungkinan dia diseret kenderaan lain,” katanya.

Menurutnya, dia dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Batu Pahat sebelum terlibat dalam kemalangan itu, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin mengesahkan kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi, menghala ke selatan.

Menurutnya, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Sabri Mohd Yusoff, 26, berasal dari Kangar, Perlis.

“Siasatan awal polis mendapati, van yang dinaiki mangsa bersama dua rakannya dari Selangor, dipercayai gagal dikawal lalu terbabas di pembahagi jalan.

“Mangsa yang meninggal dunia dipercayai tercampak keluar dari kenderaannya dan parah di badan serta kepala,” katanya.

Umar berkata, seorang lagi mangsa yang menaiki van terbabit, Ali Johar, 42, mengalami kecederaan di kepala dan dirawat di Hospital Melaka.

“Sementara itu, pemandu van berkenaan, Mohd Syukur Mohd Derus, 42, hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

“Empat kenderaan terlibat dalam kemalangan ini, membabitkan tujuh lagi mangsa lain namun mereka hanya :mengalami cedera ringan,” katanya.
SH

Suspek kes rogol berjaya diberkas



PORT DICKSON – Polis Port Dickson berjaya memberkas seorang lelaki dipercayai suspek kes rogol seorang wanita berusia 28 tahun.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan di sekitar Port Dickson beberapa jam selepas mangsa buat laporan polis.

Menurutnya, difahamkan mangsa baru mengenali suspek selama empat hari sebelum dirogol.

“Menurut laporan, dia berkenalan dengan suspek di sebuah kedai di Batu 9 Telok Kemang,” katanya.

Baljeet berkata, mereka kemudian bertukar nombor telefon dan sering berhubung sehingga suspek mengajak mangsa untuk berkahwin.

“Pada hari kejadian iaitu Selasa lalu, suspek membawa mangsa keluar kononnya untuk membeli cincin pernikahan, namun dia dibawa ke sebuah apartmen di Batu 9 Telok Kemang dan dipaksa melakukan hubungan seks.

“Mangsa membuat laporan polis keesokan harinya dan suspek berjaya ditahan untuk bantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, dalam satu kejadian berasingan, seorang lelaki masih diburu polis bagi membantu menyelesaikan sebuah kes rogol membabitkan remaja perempuan berusia 14 tahun.

“Kejadian berlaku pada 17 Jun lalu jam 7.30 malam di sebuah padang di Batu 4 Port Dickson.

“Menurut laporan mangsa, dia yang berada berhampiran padang berkenaan secara tiba-tiba ditarik oleh seorang lelaki lalu dirogol sebelum ditinggalkan,” katanya.

Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam usaha membanteras kejadian rogol.

“Sentiasa lakukan langkah pencegahan seperti tidak keluar dengan lelaki yang tidak dikenali atau berjalan bersendirian di kawasan sunyi,” katanya.
SH

Trauma diculik lelaki bertatu



KUALA LUMPUR - “Kalau terdengar bunyi tapak kasut atau orang berjalan, saya jadi takut, bimbang ada orang mengekori dan cuba culik saya seperti kejadian Rabu lalu,” kata Dania Syazwana Azahar, 10, ketika ditemui di rumahnya di perumahan flat, Taman Sentul Utama, semalam.

Terdahulu, kanak-kanak itu yang baru pulang dari sekolah dilarikan seorang lelaki ketika berada depan rumah, sebelum menjadi ‘tahanan’ selama tiga jam berdekatan belakang sebuah kedai pengantin, kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Walaupun sudah tiga hari berlalu, mangsa (Dania) berkata, dia masih trauma dan akan meninjau keadaan sekeliling setiap kali hendak pulang ke rumah atau berjalan seorang diri.

Ketika ditanya berhubung kejadian, mangsa memberitahu dia pulang bersendirian selepas habis sekolah dan ditarik oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika sedang membuka pintu rumah.

Katanya, kejadian berlaku terlalu cepat dan dia tidak dapat mempertahankan diri atau meminta bantuan kerana mulutnya ditekup lelaki terbabit yang menariknya turun melalui tangga di tingkat enam terbabit.

“Saya hanya perasan lelaki itu ada tatu di lengan dan ketika saya dilarikan ada orang yang nampak tapi mereka buat tidak tahu. Saya tak boleh jerit minta tolong dan sewaktu melalui taman permainan saya terjatuh sehingga kaki dan siku saya terluka.

“Lelaki itu panggil kawan-kawannya untuk ikat tangan saya dan tutup mulut dengan pita pelekat,” katanya.

Mangsa berkata, dia bagaimanapun lega apabila terdapat seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan tempatnya dikurung memberi bantuan sebelum menghantarnya pulang ke rumah.

Sementara itu bapa mangsa, Azahar Ahmad, 41, berkata, dia bersyukur kerana tiada kejadian buruk menimpa anak perempuan sulungnya.

Menurutnya, dia sangat berterima kasih dengan lelaki yang tidak dikenali yang sanggup membantu menyelamatkan anaknya dalam kejadian Rabu lalu.

“Sekurang-kurangnya dengan pertolongan dia, Dania terselamat daripada jadi mangsa seperti kes kehilangan Sharlinie Mohd Nashar dan Nurin Jazlin Jazimin beberapa tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Azahar berkata, sudah hampir dua tahun, Dania dan adiknya berusia sembilan tahun dibiarkan pulang ke rumah sendiri kerana dia dan isteri bekerja.

“Saya dan isteri memang bimbang untuk biarkan mereka pulang sendiri ke rumah, tetapi kami tiada pilihan lain kerana masing-masing bekerja. Kami cuma dapat minta jiran bersebelahan yang ada di rumah untuk tengokkan anak kami,” katanya yang bekerja sebagai pemandu peribadi.

Menurutnya, dia percaya lelaki yang melarikan anaknya mungkin sudah membuat intipan awal kerana dia tidak menggunakan lif yang mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV), sebaliknya memilih untuk gunakan tangga dalam kejadian itu.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan anaknya malam kelmarin dan dia menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan bagi mengesan individu terlibat yang dipercayai didalangi sindiket tertentu.
SH

Lumpuh ditetak perompak



KUALA LUMPUR – Kecederaan yang dialami akibat bergelut dengan penjenayah ketika menjalankan tugas sebagai pengawal keselamatan setahun lalu membuatkan seorang pemuda gagal mendapat pekerjaan sehingga kini.

Prakash, 36, berkata, tangan kirinya kini lumpuh setelah ditetak perompak di tempat kerjanya dan turut mengenai bahagian urat mengakibatkan dia tidak mampu menggunakan kudrat bahagian terbabit.

Menurutnya, disebabkan itu sehingga kini dia gagal mendapatkan sebarang pekerjaan dan hanya bergantung hidup dengan wang persaraan bapanya.

“Tempat kerja lama juga sudah tidak mahu menerima saya bekerja kerana ketidakmampuan fizikal saya,” katanya ketika lawatan Persatuan Kebajikan Sesama Warga Kuala Lumpur (Sesama) di rumahnya di Blok 100, PPR Seri Pantai di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Sesama, Raymond Suppiah berkata, dengan keadaan ibu bapa Prakash yang sudah tua dan memerlukan perhatian, dia memerlukan pekerjaan untuk perbelanjaan harian mereka.

Katanya, wang persaraan bapanya tidak mencukupi untuk menampung kos hidup di bandar dan perubatan ibunya yang juga mengalami lumpuh separuh badan.

“Dengan keadaan ibunya yang juga lumpuh, tidak mampu bergerak sendiri, keluarga ini amat memerlukan perhatian yang sewajarnya oleh mana-mana agensi yang bertanggungjawab,” katanya.

Timbalan Presiden Sesama, M Parthiban berkata, dalam hal terbabit, dia meminta jasa baik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk turun padang melihat sendiri keadaan keluarga berkenaan untuk dipertimbangkan sebarang bantuan mengikut kelayakan mereka.

Katanya, Sesama sebagai orang tengah hanya membantu menguruskan sebarang kes mahupun permohonan mana-mana keluarga yang memerlukan perhatian dan keputusan sama ada mereka layak mahupun tidak bergantung kepada JKM.

“Bagaimanapun, saya ucapkan terima kasih kepada JKM kerana memberi kerjasama yang baik dengan memantau kes yang dirujuk untuk tindakan lanjut,” katanya.
SH

Peniaga patah tulang pinggang



KUALA KUBU BHARU – Seorang peniaga tidak menyangka kemalangan yang menimpanya Jun lalu menyebabkan tulang pinggangnya patah dan mungkin berdepan dengan kecacatan kekal.

Muhammad Diah Hamidon, 32, yang kini terlantar di Hospital Selayang tetap reda dengan ketentuan Ilahi, namun masih berharap dia pulih sepenuhnya.

“Kejadian berlaku ketika saya pulang dari Rawang ke Kerling dan ketika itu memandu berseorangan.

“Setibanya di persimpangan Taman Melati, Serendah, sebuah lori tiba-tiba meluru keluar dan merempuh kereta saya menyebabkan kereta terseret ke laluan bertentangan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Program Tautan Kasih bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali di Hospital Selayang, semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku pada waktu siang dan lori itu dikatakan teragak-agak ketika mahu keluar dari persimpangan berkenaan.

Bagaimanapun, kejadian berlaku terlalu pantas dan dia gagal mengelak lalu dirempuh dari sebelah kiri kenderaan jenis Perodua Viva yang dinaiki.

Muhammad Diah berkata, hingga kini dia telah melalui beberapa proses rawatan termasuk memasukkan besi menggantikan tulang yang patah.

Katanya, sebagai persediaan dia memohon bantuan kerusi roda daripada ADUN, Datuk Mohd Isa Abu Kasim untuk kegunaannya sebaik dibenarkan keluar.

Sementara itu, Mohd Isa berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk membantu mendapatkan kerusi roda berkenaan tetapi perlu menunggu sehingga pesakit keluar dari hospital.

Menurutnya, setakat ini permohonan masih belum boleh dibuat memandangkan keadaan fizikal pesakit yang belum dapat dipastikan.

:“Saya difahamkan pesakit masih belum membuat laporan polis mengenai kejadian menimpanya dan kita nasihatkannya supaya berbuat demikian.

“Laporan polis akan bantu pesakit membuat tuntutan termasuk memudahkan permohonan bantuannya nanti,” katanya.
SH

Rumah imam dipukul ribut



MENTAKAB – Imam masjid Kampung Desa Bakti di sini yang sedang bersiap untuk menunaikan solat asar petang kelmarin dikejutkan dengan dentuman petir serentak ribut dari belakang rumahnya hingga menyebabkan kerosakan pada bumbung.

Imam itu, Ramli Mat Zali, 73, duduk di ruang makan bahagian dapur ketika hujan lebat bersama petir petang kelmarin.

Menurutnya, ketika mahu mengambil wuduk, dia terdengar dentuman kuat dan sempat memalingkan muka ke luar rumah.

“Semasa kejadian, saya lihat panahan petir di luar rumah dan sekelompok sampah berterbangan dibawa angin seperti puting beliung terus merempuh bumbung rumah saya.

“Ketika dalam kekalutan itu, saya cuba azan tetapi tak bersuara lalu dibawa seorang anak dan isteri ke ruang tamu untuk berlindung,” katanya.

Ramli berkata, ketika berjalan untuk berlindung, atap zink dapur dan beberapa kayu tercabut dari rumahnya dan melayang ke depan.

Menurutnya, pada masa sama, ribut turut menghentam bengkel kereta milik anaknya di depan rumah lalu menerbangkan bumbung sejauh lebih 10 meter.

“Bumbung bengkel anak saya jatuh betul-betul di atas jalan utama Temerloh ke Karak, nasib baik ketika kejadian tidak banyak kenderaan lalu,” katanya.

Ramli yang juga bekas ketua kampung Desa Bakti berkata, ketika kejadian, dia bersama seorang anak lelaki dan isterinya, Siti Hasnah Singah, 65, berada dalam rumah.

Menurutnya, selepas kira-kira setengah jam, hujan mulai reda dan beberapa pihak termasuk ketua kampung antara terawal meninjau kerosakan pada rumahnya.

“Nasib baik kejadian ribut ini tidak menyebabkan kecederaan atau lebih dahsyat kehilangan nyawa. Sepanjang hampir 40 tahun tinggal di sini, ini adalah kejadian ketiga dan paling dahsyat.

“Kejadian pertama berlaku lebih 10 tahun dulu, kedua pada 2008 tetapi kejadian semalam paling teruk kerana saya lihat angin sama macam puting beliung,” katanya.

Ramli berkata, selain rumahnya, terdapat sebuah lagi rumah terbabit dalam kejadian itu selain masjid yang terkopak atapnya. Ramli kemudian membuat laporan di Balai Polis Mentakab mengenai kejadian itu.
SH

Warga asing maut



BANDAR PEKAN – Seorang lelaki warganegara Indonesia pecah kepala selepas motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah kereta di Kilometer 48, Jalan Kuantan-Segamat, kelmarin.

Dalam kejadian 9.40 malam itu, mangsa berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki dari arah Kuantan menuju ke Kota Perdana.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada mangsa yang secara tiba-tiba keluar dari simpang di sebelah kanan jalan.

Menurutnya, pemandu kereta yang terkejut tidak sempat memberhentikan kenderaannya dan cuba mengelak ke sebelah kiri jalan, sebelum terlanggar motosikal mangsa.

“Mangsa yang dikenali sebagai Abdul Ghafur, 40, disahkan mati serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan sebelum dituntut keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sehubungan itu, Yahaya mengingatkan orang ramai supaya mengambil iktibar daripada kejadian itu.

“Pengguna jalan diminta tidak menunggang motosikal secara melulu atau memandu ketika keadaan fizikal diri tidak mengizinkan seperti berada dalam keadaan mengantuk atau tidak sihat.

“Kepekaan kita terhadap amalan berhemah dapat mewujudkan persekitaran selamat bagi diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.
SH

Pemandu lori bakal digantung

Memo Editor


KUALA TERENGGANU - Seorang pemandu lori bakal berdepan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dakwaan mengedar heroin seberat 23.0 gram pada 1 Julai lalu.

Tertuduh, Maliki Ismail, 48, dari Kampung Padang Nenas, Mengabang Telipot didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39B (2) Akta yang sama.

Mengikut kertas pertudu-han, tertuduh pada 1 Julai lalu jam 10.10 malam bertempat di tepi pondok pengawal Kesihatan Batu Rakit, Kuala Terengganu telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 23.0 gram.

Tertuduh ditangkap oleh Unit Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu melalui penyamaran ketika tertuduh dipercayai sedang menunggu pelanggan.

Tertuduh, duda kepada lima anak itu dibawa ke balai polis IPK Terengganu selepas polis menjumpai sebanyak lima botol serbuk putih jenis heroin yang disorokkan dalam satu beg pinggang yang dipakainya.

Tertuduh turut didapati positif saringan awal ujian air kencing dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan heroin semasa ditahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Masriwani Mahmud @ Mamat dihadapan hakim Noradila Ab. Latif dan menetapkan 25 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Manakala di mahkamah yang sama, seorang nelayan turut berhadapan nasib sama jika disabitkan kesalahan selepas didakwa mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 75.0 gram juga pada 1 Julai lalu.

Tertuduh, Mohamed Nasir Abdul Ghani, 28, dari kampung Baru, Seberang Takir didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum gantung sampai mati itu di bawah garaj belakang rumah bernombor 6053 Kampung Baru Seberang Takir kira-kira jam 4.45 pagi.

Noradila menetapkan 17 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
SH

Lapan pelatih histeria



KEMAMAN - Tidak sampai sebulan dibuka, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, di sini, gempar apabila lapan daripada pelatihnya dipercayai diserang histeria sejak kelmarin.

Sinar Harian difahamkan, lapan mangsa terbabit adalah tiga pelatih lelaki dan lima perempuan.

Lima mangsa dikatakan secara tiba-tiba meraung ketika perhimpunan pagi yang diadakan di kawasan pusat latihan itu, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Seorang pelatih yang enggan dikenali berkata, kejadian malang itu dipercayai susulan daripada kejadian histeria yang berlaku kira-kira jam 6.30 lewat petang kelmarin apabila seramai tiga pelatih dirasuk.

Bagi meredakan keadaan, difahamkan pihak pengurusan IKBN mengarahkan semua pelatih pulang ke rumah masing-masing sempena cuti hujung minggu.

IKBN Kemasik mula beroperasi sejak 4 Julai lalu dan kini mempunyai pelatih seramai 107 orang.

Sementara itu, Pengarah IKBN Kemasik ketika dihubungi enggan mengulas mengenai kejadian itu.
SH

Pemandu van cedera tersepit



KAMPUNG BERANGAN – Seorang pemandu lelaki berusia lingkungan 50-an cedera apabila van yang dipandunya terlibat kemalangan dua kenderaan lain di Kampung Berangan, Lati, di sini.

Dalam kemalangan kira-kira jam 10 pagi itu, menyebabkan seorang pemborong yang memandu sendirian tersepit di tempat duduk setelah vannya remuk bahagian kiri kenderaan itu.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Daerah Pasir Mas dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang.

Seorang pemandu yang turut terlibat kemalangan itu, Salim A/L Enpat, 33, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari bengkelnya di Gual Tinggi menghala ke Kota Bharu.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, dia merasakan kenderaannya dirempuh dari belakang.

“Selepas itu saya terus memberhentikan kenderaan saya dan melihat sebuah pacuan empat roda melanggar belakang kenderaan saya.

“Saya juga dapat lihat sebuah lagi kenderaan terlibat dalam kemalangan ini,” katanya.

Kemalangan ini menyebabkan keadaan jalan agak sesak hamper setengah jam apabila kenderaan yang melalui kawasan kejadian memperlahankan kenderaan untuk melihat kemalangan ini.
SH

Kanak-kanak lemas



KUALA KRAI - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang sedang berkelah bersama keluarga di Air Terjun Lata Kertas, dekat Dabong, di sini, mati lemas ketika mandi di air terjun itu, petang kelmarin.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Azmi Ibrahim berkata, mayat mangsa, Siti Nurwahyu Ghazali ditemui anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) atau Unit Skuba Bomba, jam 7.15 petang.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, kejadian kira-kira jam dua petang dipercayai berlaku selepas mangsa tergelincir dan jatuh dari atas batu besar di kawasan air terjun itu.

”Mayat mangsa ditemui di lokasi dia dikatakan jatuh dalam keadaan tersangkut pada satu lubang yang terdapat di celah batu di dasar air terjun itu.

"Empat anggota PPDA yang melakukan operasi menyelam hanya mengambil masa kira-kira tiga minit sebelum menemui mangsa,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Azmi berkata, mayat mangsa yang beralamat di Kampung Dalam La, Meranto, Gua Musang dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) sebelum dituntut oleh keluarga.

Sementara itu, Azmi berkata, pihaknya mengambil masa hampir dua jam untuk sampai ke tempat kejadian memandangkan kedudukan air terjun itu yang agak jauh iaitu kira-kira 12 kilometer dari pekan Dabong.

Katanya, selain empat anggota PPDA, seramai dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai dan sembilan anggota dari Gua Musang turut serta pada operasi mencari dan menyelamat mangsa.
SH

Wanita hamil lapan bulan maut



KULIM - Seorang wanita yang sarat mengandung maut manakala suami dan pembantunya cedera apabila kederaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan lori pasir di persimpangan lampu isyarat Taman Selasih di sini, kira-kira jam 11.45 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, Shalini Mohd Yusof, 26, mati di tempat kejadian, manakala suaminya Norhusaini Normadi, 26, dan pembantunya Hamdan Abdullah, 61, cedera parah dan dirawat di Hospital Kulim.

Kejadian berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu Norhusaini dirempuh sebuah lori pasir ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.

“Tayar lori pasir yang datang dari Taman Angsana itu meletup sebaik tiba di selekoh Taman Selasih mengakibatkan lori terbabit hilang kawalan lalu merempuh kenderaan mangsa.

“Kejadian itu menyebabkan pasir yang dibawa lori terbabit tumpah di atas jalan raya lalu menimbus Toyota Hilux itu,” katanya, semalam.

Difahamkan, ketiga-tiganya dalam perjalanan ke masjid Junjung untuk menghantar makanan.

“Jentolak digunakan untuk mengangkat lori yang menghempap kenderaan terbabit.

“Pasukan bomba terpaksa memotong bumbung kereta itu untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk belakang dan berada dalam keadaan tertiarap serta ditimbus pasir,” katanya.

Berdasarkan pemeriksaan awal, mangsa yang hamil lapan bulan maut kerana mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Lebih menyedihkan, bayi dalam kandungannya juga gagal diselamatkan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Ghuzlan berkata, polis akan menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai.
SH

Wanita sarat mengandung maut, suami dan mentua parah dalam kemalangan di Kulim


KULIM - Seorang wanita yang sarat mengandung maut manakala suami dan bapa mertuanya parah apabila kederaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan lori pasir di persimpangan lampu isyarat Taman Selasih, di sini hari ini.

Shalini Mohd Yusof, 26, mati di tempat kejadian manakala suaminya Norhusaini Normadi Hamdan, 26, dan bapa mertuanya Hamdan Abdullah, 61, cedera parah dan dirawat di Hospital Kulim.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu, kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dipandu Norhusaini Normadi dilanggar sebuah lori pasir ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.

"Kenderaan yang dinaiki keluarga itu dari arah Taman Selasih berhenti menunggu lampu hijau apabila lori membawa pasir yang dipercayai dipandu laju dari arah Kampung Air Merah membelok ke kiri arah Taman Selasih lalu terbabas dan terbalik menghempap Toyota Hilux berkenaan.

"Kejadian itu menyebabkan pasir yang dibawa lori terbabit tumpah di atas jalan raya lalu menimbus Toyota Hilux itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata anggota bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan yang ditimbusi pasir itu.

Mayat Shalini yang mengandung lapan bulan itu dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat. -Bernama

SH

APMM tahan hampir 400 terlibat jenayah



AHMAD Maslan meninjau tapak landasan bot di Pangkalan Nelayan Ayer Baloi selepas merasmikannya sempena Program Jiwa Murni di Pontian, Johor, semalam. - BERNAMA


PONTIAN 16 Julai - Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 8,135 buah kapal dan bot diperiksa oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan 393 orang ditahan atas pelbagai kesalahan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, kesalahan yang dilakukan termasuk pencerobohan oleh nelayan asing, aktiviti penyeludupan dan kes memperdagangkan manusia.

Menurutnya, dengan menjadi agensi penguatkuasaan tunggal di laut bermula penghujung Ogos ini, APMM akan berupaya memastikan kawasan perairan negara bebas daripada sebarang aktiviti atau perbuatan yang boleh menggugat keselamatan negara.

"Kerajaan yakin dengan perubahan struktur yang dilakukan dan APPM mampu melaksanakan tugasan tersebut dengan sebaik mungkin pada masa akan datang," katanya selepas merasmikan Program Jiwa Murni di Kampung Ayer Baloi, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Amdan Kurish; Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar dan Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon.

Program selama tiga hari itu melibatkan aktiviti kemasyarakatan serta membina sebuah landasan di Jeti Nelayan bagi kegunaan nelayan untuk menaik dan menurunkan bot bagi membuat kerja-kerja penyelenggaraan.

Pada majlis tersebut, APMM turut menyumbangkan sebuah bot kepada pejabat Ahli Parlimen Pontian yang akan digunakan ketika menghadapi banjir.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian memberitahu, dalam tempoh lima tahun lalu, APMM juga terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan 2,451 kejadian dan berjaya menyelamatkan 1,916 nyawa.

Beliau berkata, program Jiwa Murni itu merupakan salah satu program sentuhan hati agensi kerajaan bagi memastikan kebajikan dan keperluan rakyat sentiasa terbela.

"Saya berharap menerusi program seperti ini, APMM dan golongan nelayan akan menjalinkan kerjasama yang baik kerana kesejahteraan di laut memerlukan komitmen semua pihak," katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Barat iktiraf pemberontak



beribu-ribu penyokong Gaddafi mengadakan tunjuk perasaan di bandar Zlitan, 160 kilometer ke timur Tripoli, kelmarin. - REUTERS


ISTANBUL 16 Julai - Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara kuasa dunia lain mengiktiraf pemimpin pemberontak sebagai kerajaan sah Libya, semalam dalam usaha untuk meningkatkan lagi kempen menyingkirkan Muammar Gaddafi.

Barat turut merancang meningkatkan tekanan ketenteraan ke atas Gaddafi bagi menuntut pemimpin Libya itu berundur selepas 41 tahun memerintah negara di Afrika Utara itu.

Pengiktirafan itu diumumkan oleh Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton pada sidang kumpulan penghubung Libya di Turki, semalam.

Sebelum itu, sidang yang sama telah membuat keputusan mengisytiharkan rejim Gaddafi tidak lagi sah mentadbir Libya.

Pengumuman semalam juga dilihat menjadi langkah diplomatik penting yang akan menarik balik pembekuan berbilion-bilion dolar dana rejim Gaddafi.

Keputusan itu dibuat ketika laporan menyatakan Gaddafi menghantar utusan bagi berunding untuk menamatkan konflik di negara itu, walaupun Gaddafi menafikannya.

Dalam satu ucapan yang disiarkan kepada beribu-ribu penyokong setianya yang berhimpun di jalanan, Gaddafi menolak pengiktirafan antarabangsa terhadap pemberontak Libya itu.

Menurut Gaddafi, beliau menerima sokongan daripada berjuta-juta rakyat Libya yang sanggup mati, mati syahid dan membunuh diri.

Sidang yang diadakan di Istanbul itu yang dihadiri oleh lebih 30 negara dan badan antarabangsa itu turut membuat keputusan menggesa Gaddafi meletak jawatan dan melakukan peralihan kuasa kepada Majlis Peralihan Kebangsaan (TNC).

Wakil khas bagi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Abdul Elah al-Khatib akan diberi tanggungjawab mengemukakan syarat-syarat untuk Gaddafi berundur.

Sementara itu, Menteri Luar Britain, William Hague berkata, tindakan ketenteraan ke atas rejim Gaddafi turut akan ditingkatkan pada masa yang sama. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

2 rumah, masjid rosak dipukul ribut

MENTAKAB 16 Julai - Sebuah bengkel, dua buah rumah dan sebuah masjid rosak dalam kejadian ribut di Kampung Desa Bakti di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, rumah Imam Masjid Kampung Desa Bakti itu, Ramli Mat Zali, 73, antara yang mengalami kerosakan pada bahagian bumbungnya akibat diterbangkan angin kencang.

Ketika kejadian, Ramli sedang bersiap untuk menunaikan solat asar sebelum dikejutkan dengan dentuman guruh dan petir diiringi angin kencang yang menyebabkan kerosakan pada bumbung.

Dalam kejadian itu, Ramli berada di dapur rumah untuk mengambil wuduk.

''Saya sempat melihat panahan petir di luar rumah dan sekelompok sampah berterbangan dibawa angin kencang seperti puting beliung yang terus merempuh bumbung rumah saya.

''Dalam kekalutan itu, saya cuba azan tetapi tidak bersuara sebelum seorang anak dan isteri menarik saya ke ruang tamu untuk berlindung," katanya.

Ramli memberitahu, ketika cuba menyelamatkan diri untuk berlindung, atap zink dapur dan beberapa batang kayu tercabut dan melayang.

Pada masa sama, katanya, angin kencang itu menerbangkan bumbung bengkel kereta milik anaknya di depan rumah sejauh lebih 10 meter.

''Bumbung bengkel anak saya jatuh betul-betul di atas jalan utama Temerloh ke Karak dan nasib baik ketika kejadian tidak banyak kenderaan lalu lalang," katanya.

Utusan Malaysia Online - Pahang

Anggota polis bebas tuduhan rasuah


IPOH 16 Julai - Seorang anggota polis berpangkat sarjan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam daripada tuduhan menerima rasuah, lapan tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Teo Say Eng memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Mohamad Izahari Ramli, 56, terhadap sabitan dan hukuman penjara yang dihadapinya setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan.

Dia mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Faiz Dziyauddin yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 atas kesalahan itu, 19 Oktober tahun lalu.

Dia yang pernah bertugas sebagai anggota polis di Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak didakwa menerima rasuah RM500 daripada Heng Ah Lek di Rose Garden Coffee House, Teluk Intan pada pukul 11 malam, 12 Mac 2003.

Wang rasuah itu didakwa sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas Ah Lek yang dikatakan pemilik sebuah premis perjudian di Kelab Persatuan Kebajikan dan Sukan Bagan Datoh, Sungai Burung, dekat sini.

Mohamad Izahari diwakili peguam bela Ranjit Singh Sandhu manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazali.

Utusan Malaysia Online - Utara

Sindiket curi aluminium tumpas

PULAU PINANG 16 Julai - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket yang dipercayai melarikan 275 aluminium 'magazine' iaitu kepingan bekas untuk menghasilkan cakera padat bernilai RM33,000 dari sebuah kilang di Batu Maung dekat sini kelmarin.

Kejayaan itu hasil penangkapan seorang suspek remaja berusia 16 tahun oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya kira-kira pukul 10 malam ketika sedang berlegar-legar 100 meter dari kilang tersebut.

Siasatan polis mendapati, sindiket tersebut mempunyai kaitan dengan kecurian barangan besi dan aluminium bernilai RM200,000 di sebuah kilang berhampiran pada 4 Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Supritendan Lai Fah Hin berkata, siasatan juga mendapati, suspek bertindak secara berkumpulan bersama tiga rakannya yang masih bebas.

Beliau memberitahu, hasil soal siasat ke atas suspek, pihaknya menahan empat lagi lelaki berusia 16 hingga 43 tahun yang terdiri daripada pengusaha dan pekerja premis barangan lusuh berhampiran tempat kejadian.

"Suspek mengaku mencuri 25 kotak berisi 275 aluminium 'magazine' yang ditemui dalam kenderaannya dengan cara memanjat tembok stor serta memotong pagar dawai belakang kilang terbabit.

"Kesemua kotak tersebut dibawa keluar menggunakan motosikal yang diangkut sedikit demi sedikit. Malah, semua barang dicuri dijual kepada premis barangan lusuh tanpa lesen di Batu Maung pada harga RM1,190," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Fah Hin memberitahu, polis berjaya menemui semula 262 keping aluminium 'magazine' di premis barangan lusuh itu selain merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 125z.

"Harga pasaran bagi aluminium magazine adalah RM120 setiap keping dan produk kilang tersebut diproses untuk dieksport ke luar negara," katanya.

Beliau memberitahu, suspek direman empat hari mulai semalam dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan manakala empat pekerja serta pengusaha premis barangan lusuh terbabit disiasat di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan iaitu memiliki barangan curi.

Utusan Malaysia Online - Utara

Warga emas terselamat dalam kebakaran

PETALING JAYA 16 Julai - Seorang lelaki warga emas yang menghidap penyakit asma sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran melibatkan tiga unit rumah teres di Jalan Seksyen 14/3 di sini hari ini.

Ketika kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Chong, 72, sedang membaca surat khabar di dalam rumahnya sebelum terdengar bunyi letupan di rumah jiran sebelah.

Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, dia kemudian mendapati api sedang marak di kediaman jiran sebelahnya.

"Sebaik sahaja nampak api, saya mengambil ubat asma saya dan terus keluar menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam kejadian itu, rumah yang dihuni oleh Chong dan seorang lagi ahli keluarganya terbakar hampir 60 peratus, manakala dua buah rumah lagi tidak berpenghuni semasa kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7 Petaling Jaya, Esa Aini berkata, dua buah jentera dikejarkan ke tempat kejadian bersama 10 anggota sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian itu.

"Ketika kejadian, warga emas itu tinggal seorang diri kerana seorang lagi ahli keluarganya tiada di rumah," katanya yang masih menyiasat punca kebakaran itu.

Utusan Malaysia Online - Kota

Kren 60 tan hempap stesen KTM



Bumbung Stesen Keretapi Kuala Lumpur di Jalan Sultan Hishammuddin, roboh setelah dihempap oleh sebuah kren mengangkat papan tanda yang terbalik, semalam. - MINGGUAN/ MOHD NOOR AMIN


KUALA LUMPUR 16 Julai - Sebuah kren seberat 60 tan yang digunakan untuk mengangkat papan iklan tumbang dan menimpa bumbung kabel elektrik tren di Stesen Keretapi Kuala Lumpur di Jalan Sultan Hishamuddin di sini tengah malam tadi.

Kren tersebut yang sedang dikendalikan oleh beberapa pekerja dikatakan berada pada kedudukan tidak stabil sebelum tumbang dan menimpa bumbung di platform 2, 3 dan 4 stesen kereta api itu.

Berikutan insiden yang berlaku kira-kira pukul 12.44 tengah malam itu, semua perkhidmatan tren yang melalui stesen tersebut mengalami gangguan dan terpaksa dihentikan untuk kerja baik pulih.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

"Semua perkhidmatan tren yang melalui Stesen Keretapi Kuala Lumpur mengalami gangguan ekoran insiden kren terbalik di Kilometer 387, iaitu platform 4 stesen ini.

"Gangguan dijangka berakhir sehingga hari Isnin ini selepas kerja-kerja pengalihan struktur, pembersihan dan pemasangan semula kabel-kabel yang rosak selesai dalam tempoh dua hari.

"Insiden itu dipercayai berpunca daripada kecuaian pihak ketiga ketika melakukan kerja-kerja menanggalkan papan iklan dan tiang unipole berkenaan," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, perkhidmatan bas disediakan bermula pukul 6 pagi hingga 11.45 malam bagi membawa penumpang dari laluan stesen Bank Negara, stesen Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral). Contohnya, penumpang dari Tanjung Malim ke Seremban akan berhenti di Bank Negara menaiki bas sebelum dibawa ke KL Sentral untuk meneruskan perjalanan ke Seremban.

Pengguna tren elektrik (ETS) menghubungkan Kuala Lumpur ke Ipoh boleh menaiki bas yang disediakan untuk ke stesen Bank Negara sebelum meneruskan perjalanan ke stesen Sentul menggunakan perkhidmatan komuter.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Seorang lelaki direman bantu kes warga emas kena tetak

KOTA BHARU: Seorang lelaki berusia 50-an ditahan reman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian bunuh seorang warga emas berusia 75 tahun dalam kejadian amuk di Kampung Perupok, Bachok, dekat sini, petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, perintah tahanan reman sehingga 22 Julai ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terhadap suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.


“Siasatan masih dijalankan terhadap suspek terbabit yang juga jiran sekampung kepada warga emas terbabit, Fatimah Salleh, 75. Bagaimanapun, polis tidak menolak suspek menjadi pelaku dalam kes itu dan siasatan masih diteruskan.

“Suspek dalam kes itu ditahan pada petang kejadian (kelmarin) dan tidak timbul isu membabitkan suspek kurang siuman kerana kertas siasatan sudah dibuka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Akhbar semalam melaporkan, seorang warga emas berusia 75 tahun menjadi mangsa amuk seorang lelaki apabila ditetak berulang kali sebelum mayatnya ditemui berhampiran rumahnya di Kampung Kemasin, Perupok, di sini, petang kelmarin.


Dalam kejadian jam 3.30 petang, Fatimah ditemui mati di dalam semak oleh penduduk kampung selepas dipercayai dibunuh dengan senjata tajam ketika dalam perjalanan ke kedai runcit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Superintendan Mohd Azman Mohd Sapri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung sebelum bergegas ke tempat kejadian.

myMetroSeorang lelaki direman bantu kes warga emas kena tetak

7 warga asing gagal bolos

TAWAU: Taktik tujuh warga asing, termasuk tiga wanita, menggunakan pasport orang lain berjaya dihidu anggota Jabatan Imigresen sebelum mereka berlepas ke Kuala Lumpur melalui Lapangan Terbang Tawau, kelmarin.

Dalam kejadian pada 9.30 malam, semua suspek berusia lingkungan 21 hingga 43 tahun ditahan ketika ingin melepasi pemeriksaan imigresen.


Ketua Imigresen Tawau, Ibrahim Tamsil berkata, hasil pemeriksaan, anggotanya mendapati wajah semua suspek tidak menyerupai gambar pasport dikemukakan di kaunter, sebaliknya seperti suku kaum Timur dari Indonesia dan gambar pada pasport mereka sangat berbeza.

“Siasatan juga mendapati mereka berurusan dengan individu tertentu di sini bagi mendapatkan pasport terbabit untuk membolehkan mereka menaiki pesawat ke Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, kelmarin.


Menurutnya, mereka ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) yang membolehkan mereka ditahan 14 hari untuk siasatan.


“Ini kes pertama berlaku dalam tahun ini dan kita percaya semua suspek memasuki daerah ini menggunakan jalan ‘tikus’ dua hari lalu.

“Mereka ditahan di Pusat Tahanan Sementara dan akan disiasat mengikut Seksyen 12(1)(b) iaitu menyamar atau menggunakan pasport orang lain untuk kegunaan sendiri,” katanya.



Menurutnya, jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, Ibrahim menggesa orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti yang menyalahi peraturan imigresen.

myMetro7 warga asing gagal bolos

Jerit sebelum ajal

SUNGAI PETANI: “Saya dan isteri terkejut apabila Che Su tiba-tiba menjerit memberitahu perut, dada dan tulang belakangnya sakit kira-kira jam 2 pagi tadi (semalam), tetapi 30 minit kemudian dia pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.”

Begitu kata Md Isa Tahir, 54, bapa kepada seorang ibu tunggal yang meninggal dunia dipercayai selepas menelan pil untuk kelihatan lebih berisi yang dibeli dari sebuah kedai menjual ubat tradisional dan kosmetik di bandar ini, Khamis lalu.


Mangsa, Che Su Md Isa, 29, mati selepas seluruh tubuhnya tiba-tiba menjadi panas dan lumpuh ketika di rumahnya di Taman Arked, di sini, sebelum paramedik dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dipanggil bagi mendapatkan bantuan, namun gagal.

Ibu kepada seorang anak lelaki berusia lima tahun itu yang bekerja di sebuah kilang plastik di Kawasan Industri Bakar Arang, di sini, dipercayai menelan dua jenis pil mengandungi steroid pada Khamis lalu selepas membelinya dari kedai berkenaan.


Md Isa berkata, dia tidak menyedari anak perempuannya mengambil pil berkenaan, malah juga tidak dimaklumkan bahawa Che Su memakannya, tetapi terkejut apabila arwah mengadu sakit perut dan badan menjadi panas dan lumpuh seluruh tubuh pada malam kelmarin.


Menurutnya, dia hanya mengetahui kesengsaraan anaknya apabila pulang dari tempat kerja jam 7.30 malam selepas melihat isterinya menyapu tubuh anaknya dengan air.

Katanya, ketika itu isterinya mendapati badan Che Su semakin panas dan walaupun pelbagai cara diusahakan, keadaan panas masih tidak kurang, malah semakin teruk.



“Seluruh kaki dan tangannya juga lumpuh, dia tidak boleh bergerak. Namun jam 2 pagi (semalam) Che Su mengejutkan seluruh ahli keluarga apabila dia menjerit sambil mengadu sakit perut, dada serta tulang belakang.

“Keadaan menjadi semakin mendebarkan apabila setengah jam selepas itu dia terus senyap, malah ketika ambulans tiba untuk membawanya ke HSAH, Che Su disahkan meninggal dunia.


“Saya dan isteri juga terkejut apabila darah mula keluar dari lubang dubur Che Su dengan banyak, menyebabkan mereka terpaksa memakaikan lampin pakai buang bagi menahan darah keluar tanpa henti sebelum membawanya ke Jabatan Forensik HSAH,” katanya ketika ditemui, di sini.


Katanya, dia percaya anaknya mungkin memakan pil berkenaan di kilangnya pada malam Khamis lalu kerana ia hari terakhir bekerja syif malam, disebabkan Che Su tidak membawa pulang pil itu di rumah, menyebabkannya tidak menemuinya.


Sementara itu, adik mangsa yang mahu dikenali sebagai Umi berkata, sebelum ini arwah kakaknya pernah menunjuk serta mengajaknya mencuba pil gemuk itu, namun dia enggan kerana pil itu pelik selain bimbang memudaratkan kesihatan.


Katanya, selepas itu dia tidak tahu sama ada kakaknya mengambil pil itu atau tidak, malah dia juga tidak tahu di mana kakaknya membeli pil terbabit hinggalah pagi semalam selepas rakan arwah memberitahu ia dibeli di sebuah kedai menjual ubat tradisional dan kosmetik di Sungai Petani.


“Menurut rakan kakak, tiga jenis pil berkenaan dibeli pada harga RM5 untuk satu set, tetapi saya tidak tahu berapa lama arwah mengambilnya kerana dia (Che Su) tidak pernah memberitahu kami sekeluarga.


“Saya tidak tahu kenapa kakak perlu mengambil pil berkenaan sedangkan badannya tidaklah terlalu kurus. Saya dan keluarga juga terkejut ketika dibedah siasat, darah di dalam tubuh kakaknya tiada dan hanya tinggal sedikit di dalam ususnya.


“Saya sedih dengan apa yang berlaku dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan segera,” katanya.


Dalam pada itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan dan melakukan siasatan dengan mengambil contoh pil berkenaan bagi dihantar ke Jabatan Kimia untuk tujuan analisis.


Tinjauan Metro Ahad juga mendapati kedai berkenaan yang menjual pelbagai ubat dan jamu tradisional serta kosmetik dari negara jiran, beroperasi sejak setahun lalu dan menjadi tumpuan golongan wanita tempatan dan warga asing.

myMetroJerit sebelum ajal

Enggan pindah selepas rumah terbakar

PETALING JAYA: “Saya baru hendak menjamah nasi berlauk ikan goreng untuk makan tengah hari sebelum terdengar jeritan jiran,” kata Ng, 78, mangsa kejadian kebakaran membabitkan tiga rumah teres, di Seksyen 14/7, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi, Ng bersama rakan serumahnya Yap, 60, terkejut sebaik mendengar jeritan beberapa jiran supaya keluar kerana api marak.


“Saya terkejut lalu keluar menyelamatkan diri. Saya sedih kerana tiada apa mampu diselamatkan memandangkan saya cacat dan menggunakan tongkat untuk berjalan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Biarpun rumah terbakar, Ng dan Yap enggan berpindah keluar dan mahu tinggal di sebuah bilik belakang yang terselamat daripada kebakaran.


Difahamkan, Ng tidak mahu meninggalkan rumah yang didiami lebih 20 tahun itu kerana itulah hartanya yang masih ada.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7, Esa Aini berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11 pagi sebelum sebuah jentera membabitkan tujuh pegawai dan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kami mendapatkan bantuan satu jentera membabitkan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat di Jalan Penchala.



“Punca kejadian masih dalam siasatan, namun kebakaran bermula dari rumah tengah yang 90 peratus hangus terbakar,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian penghuni rumah tengah berkenaan tidur manakala isteri dan seorang anaknya tiada di rumah.


Bagaimanapun, Esa berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan api berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh 15 minit.


Katanya, jumlah kerugian dianggarkan lebih RM450,000 kerana membabitkan tiga rumah iaitu rumah kedua (Ng) 30 peratus terbakar dan rumah ketiga hanya 10 peratus terbakar.

myMetroEnggan pindah selepas rumah terbakar

Dibelasah 10 samseng cilik

LEBAM... pelajar tingkatan empat menunjukkan kesan lebam yang dialaminya.
LEBAM... pelajar tingkatan empat menunjukkan kesan lebam yang dialaminya.

JOHOR BAHRU: Seorang pelajar tingkatan empat berdepan detik mencemaskan apabila dibelasah 10 ‘samseng junior’ di dua lokasi berasingan di bandar raya ini akibat dituduh mendalangi kegiatan vandalisme.

Selain diminta menjelaskan RM7,000 kerana menyebabkan kerosakan kenderaan seorang ahli kumpulan itu, dia turut dipukul sehingga mengalami bengkak di kepala, wajah dan kedua-dua kaki, menyebabkan dia terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).


Menceritakan kejadian pada Khamis lalu, pelajar terbabit dikenali sebagai Mohamad, 16, berkata pada jam 1.30 petang, dia yang berada di medan selera di Taman Bukit Saujana, di sini, dihampiri seorang remaja lelaki yang berpura-pura bertanya namanya.

Menurutnya, remaja itu kemudian memaksanya memasuki sebuah kereta jenis Honda berwarna hitam yang dinaiki lima remaja lelaki, dipercayai pelajar sekolah lain.


“Saya dibawa ke sebuah kawasan pangsapuri berhampiran masjid dan di situ beberapa remaja lelaki dipercayai pelajar sekolah lain berpakat membelasah saya kerana dituduh menyembur cat pada kereta milik seorang daripada mereka.


“Biarpun saya menjelaskan ia angkara pelajar lain, mereka tidak mengendahkannya, sebaliknya terus memukul saya dan kejadian itu turut disaksikan penduduk berhampiran,” katanya.

Mohamad berkata, kumpulan remaja itu kemudian membawanya ke rumah terbengkalai di kawasan perkampungan sebelum memukulnya dengan objek keras.



Katanya, kumpulan itu menuduhnya menjadi ketua kumpulan vandalisme serta mengugut menikamnya dengan pisau jika gagal membayar ganti rugi RM7,000 bagi kerosakan kereta akibat diconteng dengan semburan cat.

Katanya, dalam keadaan terdesak, dia terpaksa berbohong dan mengaku melakukan perbuatan vandalisme supaya dapat menyelamatkan diri selain berjanji akan melangsaikan tuntutan ganti rugi itu.


“Mereka kemudian merampas kad pengenalan saya sebagai cagaran dan turut memaksa saya menyalin baju sebelum dihantar berhampiran rumah di sebuah pangsapuri dengan tujuan mendapatkan wang dituntut itu.


“Mujur ayah berada di rumah dan menjadi penyelamat di mana mereka melarikan diri selepas melihat kami bersama-sama turun di blok pangsapuri itu,” katanya ketika ditemani ibunya, Masliza Isa, 40-an, di HSA, semalam.


Mohamad berkata, dia menjangka ada pihak salah faham dan beranggapan dia sengaja merosakkan kereta yang diletakkan berhampiran sekolahnya hingga tergamak melakukan perkara itu terhadapnya.


“Memang benar saya melihat sekumpulan pelajar lelaki menyembur cat pada sebuah kereta di luar kawasan sekolah jam 7.30 pagi pada 13 Julai lalu tetapi saya tiada kaitan, malah hasrat saya untuk melaporkan kejadian itu kepada guru juga dihalang pelajar terbabit.


“Tidak sangka akhirnya saya menjadi mangsa,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Sentral, di sini, kelmarin.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Md Hasidin Zaini berkata, pihaknya akan menyiasat terhadap kejadian menimpa mangsa dengan secepat mungkin.


“Kami masih tidak menerima aduan daripada pengurusan sekolah mahu pun ibu bapa berkaitan kejadian itu.


“Namun kami akan berusaha mendapatkan maklumat daripada kedua-dua pihak yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob mengesahkan menerima laporan dan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

myMetroDibelasah 10 samseng cilik

10 anggota polis Mexico terbunuh

CULIACAN: Sekurang- kurangnya 10 anggota polis dan seorang awam terbunuh di Sinaloa, negeri di barat laut Mexico selepas mereka diserang hendap sekumpulan lelaki bersenjata berat.

Anggota berkenaan berkhidmat dengan Setiausaha Awam Cinaloa, Francisco Cordova.

Cordova bagaimanapun tidak berada di kawasan itu ketika kejadian.

Menurut sumber polis yang enggan namanya disiarkan, serangan itu berlaku berhampiran bandar Guasave ketika anggota polis dalam perjalanan pulang dari satu perhimpunan politik di Los Mochis, ibu negeri Sinaloa dengan beberapa kereta.


Cordova tidak berada bersama-sama mereka kerana pulang dengan helikopter, kata sumber itu.


Kira-kira 37,000 orang mati sejak kerajaan Mexico melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran Disember 2006 terhadap kartel dadah berpengaruh negara itu. - AFP

myMetro10 anggota polis Mexico terbunuh

Eksklusif: Bakar premis tuntut duit

ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha memadam kebakaran sebuah premis dua tingkat di Taman Perindustrian OUG, Kuala Lumpur, Jun lalu.
ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha memadam kebakaran sebuah premis dua tingkat di Taman Perindustrian OUG, Kuala Lumpur, Jun lalu.
Pemilik bangunan mahu untung mudah

KUALA LUMPUR: Terdesak atau mahu cari untung mudah mendorong sesetengah pemilik bangunan sanggup membakar premis sendiri, termasuk kediaman semata-mata mahu mendapatkan pampasan insurans daripada serendah puluhan ribu sehingga mencecah jutaan ringgit.
Perbuatan sedemikian dikategorikan sebagai jenayah, iaitu sabotaj dan sengaja memusnahkan harta benda. Berdasarkan perangkaan 2010, sebanyak 3,766 kes kebakaran bangunan dilaporkan dengan 298 daripadanya disyaki mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.
Berita Harian Online | Eksklusif: Bakar premis tuntut duit

Kren hempap stesen KTMB


KERJA membaik pulih platform Stesen KTMB Kuala Lumpur, semalam. - Foto Asraf Syawal
KERJA membaik pulih platform Stesen KTMB Kuala Lumpur, semalam. - Foto Asraf Syawal
Baik pulih platform selesai esok

KUALA LUMPUR: Sebuah kren seberat 60 tan yang melakukan kerja menanggalkan iklan berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Jalan Sultan Hishamuddin, di sini jatuh menghempap bumbung dan kabel elektrik stesen berkenaan, awal pagi semalam.
Kejadian jam 12.40 pagi itu menyebabkan semua platform tidak boleh digunakan akibat kerosakan elektrik yang teruk dan proses membaik pulih dijangka mengambil masa tiga hari sehingga Isnin ini sebelum beroperasi semula. Pegawai Perhubungan Awam KTMB, Kelvin Khew bagaimanapun berkata, tiada kecederaan dilaporkan berikutan tren tamat operasi jam 12 tengah malam.

“Kejadian dipercayai berlaku akibat jentera berat itu dikatakan berada dalam kedudukan tidak stabil sebelum jatuh ke atas bumbung dan kabel elektrik di Platform 2, 3 dan 4. Siasatan awal mendapati ia berpunca daripada kecuaian pihak ketiga,” katanya ketika dihubungi, semalam.

KTMB menyediakan bas untuk memindahkan penumpang yang menaiki komuter dari Stesen Bank Negara ke KL Sentral dan sebaliknya.

Bagi perkhidmatan tren elektrik ETS, perjalanan dari KL Sentral ke Ipoh bermula dan tamat di Sentul manakala perjalanan Seremban-Ipoh tamat di Stesen KL Sentral dan penumpang menaiki bas ke Stesen Sentul bagi meneruskan perjalanan.
Perkhidmatan bas bermula jam 6 pagi sehingga waktu perkhidmatan terakhir pada 11.45 malam sehingga kerja pembersihan selesai.

Bagi perkhidmatan KTM Kargo dan KTM antara bandar, tren beroperasi satu aliran iaitu Platform 1 dan tren akan diperlahankan apabila melalui kawasan insiden dengan kelewatan ketibaan dijangka antara 30 minit hingga sejam.
Berita Harian Online | Kren hempap stesen KTMB