Search This Blog

Saturday, July 16, 2011

Sindiket palsu daftar PATI bawah Program 6P dikesan

SEREMBAN 15 Julai - Syarikat yang tidak dilantik oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menguruskan pendaftaran dalam Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program 6P kini dilaporkan cuba mengaut keuntungan daripada pendatang asing terbabit.

Sindiket berkenaan dikatakan membuat tawaran palsu kepada PATI kononnya mereka boleh menguruskan pendaftaran berkenaan, selain menjanjikan peluang pekerjaan di negara ini dengan gaji yang lebih lumayan.

Sumber Jabatan Imigresen negeri memberitahu, pihaknya sedang memantau penipuan ini melalui kain rentang yang digantung di beberapa lokasi di negeri ini.

"Sindiket ini dikesan menawarkan perkara yang tidak wujud melalui Program 6P ini," kata sumber itu kepada Utusan Malaysia hari ini.

Program 6P ditangguhkan sementara bagi pelaksanaan Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing sebelum ia dimulakan pada 1 Ogos depan.

Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing dilaksanakan dahulu bagi menangani isu berhubung tindakan pekerja asing sah yang merancang melarikan diri daripada majikan asal untuk menyertai Program 6P.

Menurut sumber itu, sindiket ini cuba memancing pekerja sah dan tidak sah di kilang berskala kecil atau mana-mana sektor perkhidmatan kononnya mereka merupakan wakil yang telah dilantik oleh KDN untuk tujuan berkenaan.

"Lebih malang, sindiket ini memujuk pekerja kilang yang sah supaya membuang pasport mereka, melarikan diri dan didaftarkan di bawah Program 6P," katanya.

Difahamkan, sindiket ini menawarkan perkhidmatan sehingga RM500 ke RM1,500 untuk mendaftar seorang PATI.

Sementara itu, Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman ketika ditemui hari ini mengesahkan wujudnya syarikat yang tidak bertanggungjawab itu dan pihaknya kini memantau perkembangan itu dengan serius.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

5 lelaki Amerika Latin ditahan

SHAH ALAM 15 Julai - Polis menahan lima lelaki Amerika Latin yang dipercayai terlibat dalam dua kes curi berlian dan barangan kemas bernilai RM1.66 juta di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada Isnin lalu.

Mangsa dalam dua kes itu ialah enam lelaki dari Hong Kong yang merupakan pemilik barangan kemas dan berlian. Mereka dikatakan baru selesai menyertai pameran di Kuala Lumpur pada 7 hingga 10 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah (gambar) berkata, kes pertama berlaku pada Isnin lalu ketika empat lelaki pemilik barangan berharga itu sedang menunggu untuk pulang ke negara mereka kira-kira pukul 8 pagi.

Menurutnya, tiga daripada lelaki itu masuk ke dalam tandas manakala seorang rakan mereka menunggu di luar bersama tiga buah beg mengandungi barangan kemas dan berlian bernilai RM257,040 yang diletakkan di atas sebuah troli.

"Tiba-tiba datang seorang lelaki Amerika Latin menepuk bahu mangsa dan berpura-pura bertanyakan sesuatu. Beberapa saat kemudian, mangsa yang tidak faham dengan pertanyaan itu mendapati dua beg di atas troli telah hilang," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Mohd. Adnan berkata, kes kedua pula berlaku kira-kira pukul 8.45 pagi hari yang sama membabitkan seorang lelaki juga dari Hong Kong yang menunggu rakannya yang memesan makanan di sebuah restoran makanan segera di Balai Berlepas KLIA.

Beliau berkata, mangsa yang sedang duduk di restoran meletakkan dua bagasi berisi barangan kemas dan berlian bernilai RM1.4 juta di sebelah kirinya apabila secara tiba-tiba ditegur seorang wanita Amerika Latin menggunakan modus operandi yang sama dengan kes pertama.

Katanya, selang beberapa minit selepas wanita itu berlalu mangsa tersedar satu daripada bagasinya telah ditukar dengan beg lain yang mengandungi beberapa helai pakaian dan rambut palsu.

"Sebaik sahaja menerima laporan daripada kesemua mangsa, gerakan terus dijalankan dan polis berjaya menahan lima lelaki dipercayai suspek bagi kedua-dua kes terbabit," katanya.

Mohd. Adnan berkata tangkapan pertama dilakukan Selasa lalu kira-kira pukul 6.20 petang di hadapan sebuah pasar raya di Petaling Jaya membabitkan empat lelaki Amerika Latin berusia antara 25 dan 50 tahun yang menaiki kereta sewa.

Kelmarin, kata beliau, polis menahan seorang lelaki juga warga Amerika Latin berusia 32 tahun kira-kira pukul 12.30 tengah malam di sebuah restoran di Sunway.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut terhadap kesemua suspek dan beberapa lagi rakan mereka yang dipercayai terlibat dalam kes ini masih diburu. Sehingga kini polis belum menemui barangan curi terbabit," katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Bukan dibunuh, bukan bunuh diri

KUALA LUMPUR 15 Julai - Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed didakwa tidak membunuh diri dan tidak dibunuh, sebaliknya terjatuh ketika hendak keluar secara senyap menerusi tingkap di tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan.

Itulah kesimpulan yang dibuat oleh pegawai penyiasat tempat kejadian jenayah (CSI), Deputi Supritendan Polis (DSP) Sharul Othman Mansor berhubung misteri kematian Ahmad Sarbaini di pejabat SPRM yang terletak di Jalan Cochrane di sini pada 6 April lalu.

Saksi dari Makmal Forensik Bukit Aman itu dipanggil semula ke Mahkamah Koroner hari ini bagi mendapatkan keterangan berhubung penemuan siasatannya.

Menurut Sharul, tiada sebarang pergelutan berlaku sebelum Ahmad Sarbaini terjatuh, kerana melalui pemeriksaan kasar, tiada kecederaan ditemui pada mayatnya, hanya luka kecil di dahi dan banyak darah keluar dari hidung serta telinga lelaki itu.

''Jika ada pergelutan, tanda kotoran di pantri mungkin lebih banyak seperti cap jari, tapak kasut, kesan koyakan pada baju atau butang tercabut.

''Saya bersetuju jam yang dipakai Ahmad Sarbaini tercabut adalah perkara biasa bagi orang yang mati akibat jatuh dari tempat tinggi,'' katanya ketika disoal oleh peguam yang mewakili SPRM, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.

Saksi itu yang kerap mengendalikan kes mangsa jatuh dari tempat tinggi juga percaya, Ahmad Sarbaini keluar dari tingkap secara senyap dan perlahan-lahan kerana tidak mahu diketahui oleh sesiapa.

''Saya percaya dia tidak keluar dalam keadaan tergesa-gesa, tingkap di sebelah kiri dipilih kerana ia paling dekat dengan bumbung dan sinki di sebelah tingkap itu diperlukan sebagai tempat bertenggek.

''Saya bersetuju berdasarkan saiz badan Allahyarham, dia boleh keluar menerusi tingkap tersebut dan tingkap paling kiri dipilih kerana ia paling hampir dengan bumbung,'' katanya lagi.

Menurutnya, pendapat itu diberikannya berikutan kedudukan mayat di gelanggang badminton dengan bucu tingkap di Aras 3 bangunan itu lebih kurang satu meter.

Prosiding inkues menyiasat punca kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor yang meninggal dunia di gelanggang badminton di pejabat SPRM itu masuk hari ke-10 hari ini.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam tersebut bahawa secara menyeluruh, cara Ahmad Sarbaini jatuh adalah konsisten dengan jatuhnya seseorang dari tempat yang tinggi.

Peguam yang mewakili keluarga lelaki itu, Awtar Singh pula mempersoalkan sekiranya Ahmad Sarbaini jatuh dengan kakinya dahulu, sepatutnya mayatnya terlentang dan bukan tertiarap seperti kejadian itu.

Menurut Sharul, dia percaya sebelum terjatuh, badan Ahmad Sarbaini menghadap ke pantri, kemudian jatuh dengan kaki dahulu dan seterusnya terhempap ke depan.

Katanya lagi, kesan putih di kepala tali pinggang Ahmad Sarbaini adalah sama dengan kesan cat di kaki lima tingkap di Aras 3 yang berukuran empat sentimeter.

Ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Rashid mengenai sarung telefon bimbit di pinggang seluar Ahmad Sarbaini yang tiada kesan putih, Sharul menjelaskan, ia dipakai di sebelah kiri pinggang dan bukannya di hadapan seperti kedudukan kepala tali pinggangnya.

Terdahulu, Ketua unit Alkohol dan Toksikologi Jabatan Kimia Malaysia, Dr. Sukri Hassan mengesahkan tiada kandungan dadah, racun atau racun perosak ditemui di dalam usus perut lelaki tersebut.

Setakat 10 hari prosiding inkues itu berjalan sejak 4 Julai lalu, 27 saksi telah selesai memberikan keterangan.

Prosiding di hadapan Koroner Aizatul Akmal Maharani bersambung 2 Ogos ini.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Raja Azmi janji akan lebih berhati-hati

KUALA LUMPUR 15 Julai - Penerbit filem kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman, 52, yang ditahan kali kedua berjanji akan lebih berhati-hati pada masa akan datang agar kejadian serupa tidak berulang lagi.

Raja Azmi yang ditahan semalam kerana gagal menghadirkan diri dalam perbicaraan di mahkamah berkata, beliau serik dengan kejadian itu dan akan lebih serius dengan setiap arahan yang dikeluarkan oleh mahkamah.

"Kak Mi tidak tahu nak cakap apa lagi. Bukan Kak Mi sengaja buat hal, apa yang berlaku adalah kesilapan teknikal. Sijil cuti sakit (MC) telah diserah awal cuma tidak sampai ke tangan hakim.

"Lain kali, kalau terpaksa merangkak sekalipun Kak Mi akan pergi juga (ke mahkamah) kerana Kak Mi tidak mahu kejadian ditangkap berulang lagi," katanya yang membahasakan dirinya Kak Mi ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun penerbit filem '...Dalam Botol' itu berkata, beliau tidak malu untuk berhadapan dengan orang ramai walaupun ditangkap lagi kerana gagal hadir perbicaraan.

Beliau yang membayar wang jaminan sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin selepas ditangkap semalam di kediamannya di Ukay Perdana, Hulu Kelang dekat sini berkata, setiap yang berlaku ada hikmah.

Kali pertama Raja Azmi ditangkap pada 19 Ogos tahun lalu di Balai Polis Pandan Indah, Ampang Jaya selepas beberapa kali tidak hadir ke perbicaraan membabitkan dirinya, suami, Jalani Sidek dan syarikat mereka, Equal Alliance Sdn. Bhd.

Katanya, setiap apa yang berlaku semuanya ada hikmah dan beliau beruntung kerana sentiasa mendapat sokongan keluarga dan suami tercinta yang sentiasa berada di sisinya.

"Alhamdulillah, setakat ini keluarga sentiasa menyokong dan memberi kata-kata semangat kepada Kak Mi kerana mereka tahu apa yang sebenarnya berlaku.

"Orang luar boleh membuat pelbagai anggapan tapi Kak Mi tidak kesal kerana ini jalan hidup yang Kak Mi pilih, sebagai orang seni. Jadi Kak Mi sedia maklum setiap apa yang berlaku akan menjadi perbualan umum," katanya tenang.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Pengawal didakwa bunuh, bakar



D. KALAISELVAN dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 15 Julai - Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh pelajar berusia 16 tahun, Nur Rahayu Qomarodin yang mayatnya ditemui dikerat dan dibakar di dua lokasi berasingan di Masai dekat sini.

D. Kalaiselvan, 46, didakwa membunuh Nur Rahayu di ladang kelapa sawit Sungai Masai, Jalan Masai-Kong Kong, Masai di sini di antara pukul 2.30 pagi dan 2.50 pagi, 18 Jun lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Lelaki itu hanya menganggukkan kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Hafizah Johor Arif Johor.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Keluarga mangsa turut melantik Khairul Azwad Sariman sebagai peguam pemerhati bagi mewakili mereka.

Hafizah menetapkan 20 September ini untuk sebutan kes, sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat ke atas mangsa diserahkan kepada pihak pendakwaan.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan Nur Rahayu ditemui mati dalam keadaan tragis, dipercayai dibunuh sebelum mayatnya yang dikerat dan dibakar ditemui di dua lokasi berasingan pada 3 Julai lalu.

Nur Rahayu yang mendapat taraf penduduk tetap (PR) dilaporkan hilang dari rumah pada 18 Jun lalu oleh ibu bapanya yang mengusahakan kantin di sebuah kuari di Masai.

Polis yang menjalankan siasatan menemui cebisan rambut, baju dan selipar dipercayai milik mangsa di dua lokasi berasingan iaitu di Sungai Tiram dan Tanah Perkuburan Hindu di Masai.

Susulan penemuan cebisan mayat tersebut polis menahan seorang pengawal keselamatan yang bertugas di kuari tempat bapa mangsa mengusahakan kantin.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Kastam EU rampas 1 billion Euro barang tiruan

BRUSSEL: Kastam Eropah telah merampas barang-barang tiruan bernilai Euro1 billion (RM4.23 billion) tahun lepas, di mana 89 peratus daripada barang-barang tiruan ini berasal dari China.

Menurut Suruhanjaya Eropah, angka berkenaan menunjukkan kenaikan rampasan barang-barang tiruan dari China di mana 64 peratus dari 27 negara dalam Kesatuan Eropah dalam tahun 2009.

China merupakan negara pengeluar barang-barang tiruan dalam senarai yang turut menamakan India sebagai sumber pengeluar ubatan tiruan - AFP

myMetro | Kastam EU rampas 1 billion Euro barang tiruan

Ladang ganja terbesar ditemui

TIJUANA (Mexico): Askar Mexico telah menemui sebuah ladang ganja terbesar iaitu 120 hektar dalam negeri Baja California.

“Ia adalah sebuah ladang ganja yang terbesar dalam sejarah Mexico,” kata Ketua Alfonso Duarte, komander tentera wilayah yang berpangkalan di bandar sempadan utara-barat-Tijuana.

Duarte berkata, ladang itu boleh menghasilkan 120 tan ganja, yang bernilai hampir AS$160 juta (RM481 juta).
Menurutnya lagi, lokasi ladang yang turut menempatkan rumah untuk kira-kira 60 pekerja, tersembunyi di kawasan yang paling terkenal untuk penanaman tomato.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak tentera, ladang ganja yang ditemui di Baja California ini, hampir sekali ganda besarnya daripada ladang ganja yang pernah ditemui sebelum ini. Ladang seluas 64hektar yang terletak di barat laut negeri Sinolea itu ditemui pada tahun 2007.

Menurut Duarte, ladang ganja itu ditemui oleh sekumpulan tentera yang sedang membuat rondaan. Mereka menahan enam dari 20 orang pekerja yang berada di situ.

Duarte berkata, belum diketahui kartel dadah yang menjadi pemilik ladang ganja berkenaan.

Menurutnya, ladang tersebut terletak di bahagian tengah semenanjung Baja California tetapi enggan mengulas lanjut.

myMetro | Ladang ganja terbesar ditemui

Geng Macho pan-Asia tumpas





ABD. RAZAK menunjukkan pistol mainan dan beg galas patung beruang yang dirampas daripada ahli Geng Macho di Serdang semalam.


SERDANG - Satu kumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Macho yang terdiri daripada lelaki bermodalkan wajah tampan dan berpakaian segak dikesan aktif memecah masuk dan menyamun rumah di sekitar daerah ini. Kegiatan Geng Macho itu terbongkar apabila dua daripada ahli kumpulan berkenaan ditahan ketika cuba memecah masuk sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Kinrara, Puchong dalam kejadian pada pukul 10.20 pagi kelmarin.

Dalam kejadian itu, polis menerima maklumat awam berhubung dua lelaki yang berpakaian segak dan berwajah pan-Asia menaiki kereta jenis Peugeot 206, memberhentikan kenderaan sebelum cuba memasuki rumah jirannya. Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, jiran mangsa yang curiga dengan kedua-dua lelaki tampan tersebut telah menghubungi polis sebelum kedua-dua mereka ditahan lima minit kemudian.

"Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an tersebut cuba mencungkil pintu kediaman mangsa menggunakan pemutar skru. "Pihak polis turut merampas pelbagai peralatan pecah masuk rumah dan samun selain topeng monyet di dalam kenderaan suspek," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Seri Kembangan di sini semalam.

Abdul Razak berkata, hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek tersebut membawa kepada penahanan dua lagi suspek yang juga berwajah tampan dan berusia lingkungan 20-an di sebuah kondominium Taman Segar Mewah, Cheras di sini. "Polis turut menemui sepucuk pistol tiruan disorok dalam beg galas patung beruang, komputer, unit pemprosesan pusat (CPU) dan pelbagai barang berjenama di rumah suspek tersebut. "Siasatan lanjut mendapati, beberapa barang yang ditemui mempunyai kaitan dengan kes pecah masuk dan samun sebuah pejabat di Bandar Baru Bangi dekat sini pada 26 Jun lalu," katanya.

Kosmo! Online - Negara