Search This Blog

Friday, July 15, 2011

Jumpa mayat dalam sungai



PUCHONG – Seorang lelaki dibunuh kejam dengan kepalanya ditetak berkali-kali di bahagian kepala dan badan sebelum mayatnya dicampak di Sungai Klang berdekatan Lebuhraya Kesas di Taman Kinrara Sekyen 1 di sini.

Mayat mangsa yang sudah menggelembung dipercayai sudah tiga hari berada dalam sungai ditemui orang awam yang kebetulan ke tebing sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Abd Razak Elias berkata, polis menerima panggilan kira-kira jam 6 petang sebelum sepasukan polis ke tempat kejadian dan mendapati mayat tersangkut di tepi batu sungai.

“Berdasarkan keadaan mangsa, kita percaya dia sudah dibunuh tiga hari lalu di tempat lain sebelum mayatnya dicampak dan dihanyutkan di sungai Klang.

“Hasil pemeriksaan polis forensik mendapati luka di kepala dan badan akibat ditetak dengan menggunakan objek tajam,” katanya.

Abd Razak berkata, mangsa dikenali sebagai Radze Haron, 45, berasal dari MR 14 A, Kampung Paya Pulai, Temerloh, Pahang.

Beliau berkata, dompet duit mangsa ditemui bersamanya dengan sejumlah wang tunai, Mykad, lesen memandu dan kad mesin juruwang otomatik (ATM).

“Kita meminta ahli keluarga mangsa supaya dapat berhubung dengan polis untuk mengecam mayatnya. Ketika ditemui dia memakai t-shirt dan seluar jeans berwarna gelap.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
SH

Enjin kereta tercabut keluar



LEMBAH BERINGIN - Seorang maut, manakala dua lagi parah akibat tercampak keluar dari kenderaan dinaiki setelah terlibat kemalangan di Kilometer 404.7 Lebuh Raya Utara Selatan selepas susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim, di sini, pagi semalam.

Mangsa yang maut warga Myanmar, Keshor Kumar berusia lewat 30-an, tercampak kira- kira 25 meter ke laluan bertentangan lebuh raya.

Dua lagi rakan mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Ipoh dan dilaporkan berada dalam kritikal.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Norel Azmi Yahya Affendi berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira 8.10 pagi itu melibatkan sebuah kenderaan dinaiki ketiga-tiga di mana dua daripadanya warga Myanmar dan seorang lelaki yang belum diketahui identitinya namun disahkan berbangsa Cina.

“Kemalangan berlaku apabila kereta dinaiki mangsa terbabas sebelum melanggar pembahagi lebuh raya.

“Seorang daripada mangsa maut di tempat kejadian dan dua lagi dikejarkan ke hospital.

“Kemalangan turut mengakibatkan enjin kereta tercabut dan terpelanting ke arah bertentangan (Kuala Lumpur - Ipoh) beberapa meter serta terkena pada sebuah kereta lain dan lori, namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat dan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, menurut beberapa saksi di lokasi kejadian, kereta mangsa dikatakan terbabas dan terbalik beberapa kali.

Kenderaan terbabit dinaiki mangsa yang dipercayai dari sebuah syarikat pemasangan perencah tapak binaan.

Kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke Subang Jaya setelah bercuti di Pulau Pinang.
SH

Dua rakan bersubahat pecah amanah RM1.61 juta



IPOH – Seorang bekas Penolong Pengurus di sebuah bank terkemuka bersama rakannya seorang penarik kereta dihadapkan di Mahkamah Sesyen semalam, masing-masing atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyerah dan menerima wang yang dipercayai berjumlah RM1.61 juta sekitar Ipoh di antara 3 Januari 2007 hingga 30 Mac tahun lalu.

Tertuduh, See Kee Sin @ Si Kee Sin, 45, dari Simpang Pulai dan Azlan Moorthy Abdullah, 37, dari Batu Gajah mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Hayati Mat.

Kee Sin didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan manakala, Azlan Moorthy yang bersubahat dengan rakannya itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 408 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi empat belas tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Selepas meneliti setiap pertuduhan dan menimbang hujah kedua-dua pihak Noor Hayati menetapkan 27 September ini sebagai sebutan semula kes.

Di samping itu,Noor Hayati membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 melalui seorang penjamin.

Noor Hayati turut mengarahkan supaya pasport kedua-dua tertuduh disimpan di mahkamah dan hanya akan diserahkan kepada mereka jika perlu.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhaimin Aris manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela Ranjit Singh Sandhu.
SH

Penjara 4 bulan kerana mencuri



KUANTAN - Seorang lelaki dihukum penjara empat bulan selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencuri barangan penjagaan diri bernilai RM34 dari sebuah kedai di Jalan Mahkota, di sini, 13 Julai lalu.

Tertuduh, Wan Mohd Firdaus Wan Nordin, 28 dari Tanah Putih Lama di sini turut didenda RM1,000 atau penjara 30 hari.

Hukuman diputuskan Majistret Nurulnaim Abdullah manakala pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati mencuri 11 kotak ubat gigi, lima botol syampu dan sebotol minuman dari kedai terbabit kira-kira jam 6.30 petang sebelum ditahan polis hari yang sama.

Tertuduh dihadapkan ke mahkamah itu atas tuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam mahkamah berasingan, dua lelaki termasuk seorang warga Myanmar turut menerima nasib sama apabila mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan kad pengenalan dan pasport palsu.

Bakri Ude, 43 dari Lorong Seberang Balok dekat sini dihukum penjara sebulan dan didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Balok Makmur dekat sini kira-kira jam 12.50 pagi, 12 Julai lalu.

Dia yang ditahan polis dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 25(1)(E) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
SH

Operasi jejak Kak Yah



KUALA TERENGGANU- Polis Terengganu kini sedang bekerjasama dengan polis Thailand dalam usaha mengesan seorang bomoh wanita dikenali sebagai ‘Kak Yah’ yang dipercayai terlibat kes kematian seorang lelaki ketika mendapatkan rawatan di rumahnya di Kampung Pulau Rusa, Marang, 16 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, identiti lengkap mengenai bomoh wanita berketurunan Siam itu sudah diperoleh hasil maklumat soal siasat yang diberikan suaminya, 33, yang ditahan pada 5 Julai lalu.

“Daripada keterangan yang diberikan, kami percaya suspek kini melarikan diri ke sempadan Malaysia-Thailand dan bagi memudahkan usaha menjejakinya, pihak kami kini sedang bekerjasama dengan polis di Thailand,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Manoharan berkata, suami suspek yang ditahan di sebuah rumah di Rantau Panjang, Kelantan pada 5 Julai lalu dibebaskan selepas memberi kerjasama sebaiknya sepanjang siasatan dan dia akan dipanggil sebagai saksi polis di mahkamah nanti.

Sebelum ini, Sinar Harian keluaran 17 Jun menyiarkan kisah Faizal Harun, 26, maut selepas menjalani upacara membuang sihir dan jin dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Pulau Rusa, Marang.

Dalam kejadian itu, mangsa dihantar ke rumah bomoh terbabit kira-kira jam 7.45 malam untuk menerima rawatan, namun menghembuskan nafas terakhir jam 12.30 pagi selepas pengsan ketika menerima rawatan berkenaan.

Bomoh terbabit dikatakan memulakan rawatan dengan memaksa mangsa minum beberapa jag air, kononnya bagi memastikan muntah untuk mengeluarkan penyakitnya itu.

Tetapi, apabila mangsa tidak muntah, bomoh itu memaksa mangsa dengan memasukkan paip ke dalam mulutnya.

Akibat tindakan itu, mangsa pengsan dan bomoh terbabit mengakui dia berjaya mengeluarkan penyakit tersebut dan meminta keluarga mangsa membawa mangsa ke klinik.

Bagaimanapun, mangsa yang juga menghidap sakit mental disahkan meninggal dunia dan kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
SH

Lapan pelatih histeria



KEMAMAN - Tidak sampai sebulan dibuka, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, di sini, gempar apabila lapan daripada pelatihnya dipercayai diserang histeria sejak kelmarin.

Sinar Harian difahamkan, lapan mangsa terbabit adalah tiga pelatih lelaki dan lima perempuan.

Lima mangsa dikatakan secara tiba-tiba meraung ketika perhimpunan pagi yang diadakan di kawasan pusat latihan itu, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Seorang pelatih yang enggan dikenali berkata, kejadian malang itu dipercayai susulan daripada kejadian histeria yang berlaku kira-kira jam 6.30 lewat petang kelmarin apabila seramai tiga pelatih dirasuk.

Bagi meredakan keadaan, difahamkan pihak pengurusan IKBN mengarahkan semua pelatih pulang ke rumah masing-masing sempena cuti hujung minggu.

IKBN Kemasik mula beroperasi sejak 4 Julai lalu dan kini mempunyai pelatih seramai 107 orang.

Sementara itu, Pengarah IKBN Kemasik ketika dihubungi enggan mengulas mengenai kejadian itu.
SH

Duit masjid kena kebas



KUANTAN - Pengurusan Masjid Saidina Ali Abi Talib, Bukit Sekilau di sini bingung memikirkan episod kecurian tabung masjid itu yang semakin berleluasa berikutan dua kali kejadian sama berlaku dalam tempoh dua minggu.

Terbaru, kejadian sama berlaku di masjid itu apabila tiga tabungnya dipecahkan pencuri ‘kurang ajar’ di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid,Zubir Ibrahim berkata, kejadian itu hanya disedari beberapa ahli jawatankuasa masjid itu selepas Subuh dan mendapati tabung terbabit dipecahkan dan wang derma orang ramai lesap begitu saja.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat bertindak segera untuk memastikan mereka yang tidak bertanggungjawab bermaharajalela mencuri.

“Sebelum ini wang tabung itu pernah dicuri pada 1 Julai lalu dan hasil siasatan mendapati ia dilakukan tiga pemuda yang berbadan tegak dan bertindik namun identiti mereka tidak dapat dikenali,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu dilakukan orang luar dan lokasi tabung yang terdedah di luar kamar masjid memberikan peluang untuk mereka melakukannya memandangkan masjid itu tidak mempunyai pengawal keselamatan.

Beliau turut memberitahu, kejadian sebegitu kerap berlaku dan sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan sekali dan hanya kali ini, dua kali terjadi dalam bulan yang sama.

Kecewa dengan kejadian tersebut, Biro Keselamatan masjid itu, Ahmad Manan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Ketika tinjauan Sinar Harian di lokasi terbabit, terdapat kesan umpil pada ketiga-tiga tabung itu yang terletak berhampiran di luar ruang solat jemaah lelaki selain mangga kunci dipotong pencuri.
SH

Tamak hadiah loteri RM2 juta



PUCHONG – Gara-gara tamakkan hadiah wang loteri yang dijanjikan sebanyak RM2 juta, seorang akauntan kerugian hampir RM400,000 selepas mendakwa tertipu dengan iklan risalah bomoh handal nombor ramalan yang diterimanya Mei tahun lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Fredie berkata, dia menerima sekeping risalah yang mengiklankan kebolehan seorang sami Thailand untuk mendapatkan nombor ramalan yang menawarkan hadiah wang tunai dengan jumlah lumayan.

Terpengaruh dengan iklan itu, Fredi mendakwa dia menghubungi nombor telefon yang tertera di risalah dan bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Ah Chung.

“Dalam perbualan itu, lelaki terbabit memaklumkan saya sudah memenangi nombor ramalan dengan jumlah hadiah hampir RM2 juta.

“Lelaki itu meminta saya memasukkan sejumlah wang sekiranya mahu menuntut hadiah kemenangan yang dinyatakan,” katanya yang memaklumkan pihak terbabit turut mengirimkan gambar tiket hadiah yang dimenanginya melalui e-mel.

Mangsa berkata, tanpa berfikir panjang dia kemudian memasukkan wang tunai sebanyak RM392,588 dalam tempoh empat bulan melalui 29 transaksi pembayaran dilakukan di bank.

“Tunggu punya tunggu, hari berganti hari, minggu berganti minggu dan bulan terus meninggalkan bulan tetapi saya masih gagal menuntut hadiah yang dimaksudkan.

“Hanya pada 15 November lalu, saya menyedari sudah ditipu apabila gagal menghubungi semua nombor telefon yang digunakan untuk berurusan sebelum ini,” katanya yang mengadukan perkara itu kepada Ketua Biro Aduan Puchong, Kuan Chee Heng di Puchong Utama.

Fredie berkata, dia bingung kerana wang yang lebur kebanyakan dipinjam daripada kawan dan juga saudara mara.

“Saya merasakan penipuan dilakukan turut menggunakan ilmu hitam kerana saya percaya dipukau sindiket itu sehingga menuruti kesemua arahan mereka.

“Memang rasa menyesal, disebabkan itu saya meminta supaya orang ramai tidak mudah terpedaya dengan janji mendapat hadiah lumayan melalui risalah yang dihantar di rumah mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu Chee Heng ketika ditemui berkata, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menerima risalah atau panggilan telefon yang menawarkan hadiah lumayan dan sebagainya.

“Saya banyak menerima aduan daripada mangsa yang mendakwa ditipu termasuklah membabitkan produk minyak pelincir dan sebagainya.

“Biasanya sindiket penipuan akan menggunakan pelbagai kaedah dan cara untuk mencairkan hati dan mempengaruhi mangsanya untuk benar-benar yakin dengan hadiah ditawarkan mereka,” katanya.
SH

Ejen hartanah tipu RM48,000



KUALA LUMPUR – Seorang pengurus pemasaran kerugian RM48,000 setelah ditipu seorang ejen hartanah yang kononnya boleh membantu mendapatkan penyewa untuk kedainya yang diiklankan di Bandar Tun Hussein, Cheras, di sini.

Mangsa, Azharin Shaari, 37, berkata, dia membeli lot kedai di kawasan terbabit dan meletakkan iklan ‘untuk disewa’ dengan nombor telefon untuk dihubungi.

Menurutnya, pada 5 Julai lalu, dia dihubungi seorang ejen hartanah sebuah syarikat, yang memperkenalkan diri sebagai Alex yang menawarkan diri untuk membantunya mencari penyewa kedai.

Katanya, Alex juga meyakinkannya bahawa penyewa terbabit sudah menyediakan wang RM40,000 meliputi sewa, deposit kedai, termasuk penyelenggaraan dan utiliti seperti yang dimintanya.

“Saya langsung tak syak dan terus datang dari Kedah untuk bertemu dia (Alex) dan bakal penyewa kedai saya di Bandar Tun Hussein.

“Selepas berbincang dan menandatangani beberapa dokumen perjanjian serta sewa, Alex serahkan cek bernilai RM40,000 kepada saya bertarikh 6 Julai lalu,” katanya pada sidang akhbar di Jabatan Pengaduan Awam MCA, semalam.

Azharin berkata, dia turut memberi cek berjumlah RM8,000 atas nama Alex bertarikh 16 Julai (esok) sebagai komisen kerana Alex membantunya mendapatkan penyewa kedai.

Bagaimanapun menurutnya, dia tiba-tiba dihubungi oleh pihak bank pada 8 Julai lalu memaklumkan wang dalam akaun miliknya tidak mencukupi.

“Tiga hari kemudian saya pergi ke bank untuk buat semakan lanjut dan dimaklumkan bahawa cek yang saya keluarkan berjumlah RM8,000 bertarikh 16 Julai 2011 diubah kepada 6 Julai 2011.

“Dua laporan polis sudah dibuat di Kulim dan Kajang. Saya mahu perkara ini disiasat dan pihak bank perlu beri penjelasan bagaimana cek itu boleh dilepaskan tanpa pengesahan saya, termasuk membayar ganti rugi atas kecuaian yang dilakukan,” katanya.

Dia berkata, cek bernilai RM40,000 bertarikh 6 Julai lalu juga gagal diperoleh kerana setelah disemak cek itu adalah cek tendang.

Katanya, dia juga musykil kerana jika benar cek itu palsu, kenapa ketika dia memeriksa akaun bank beberapa hari sebelum itu, mendapati duit itu ada dan dalam proses untuk dipindahkan ke akaunnya.

Menurutnya, dia juga menghubungi syarikat ejen hartanah untuk mencari Alex termasuk mengesan penyewa kedainya melalui alamat dan nombor telefon yang diberikan, tetapi mendapati semuanya tidak wujud.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, penasihat perundangannya akan menghantar surat kepada bank terbabit dan akan bersemuka hari ini dengan pihak syarikat hartanah serta bank yang terlibat bagi menyiasat perkara yang berlaku.
SH

Sindiket curi motosikal tumpas



SIJANGKANG – Polis berjaya menangkap tiga rakan sekampung dalam satu serbuan melerai komponen–komponen motosikal curi di sebuah rumah kampung di Lot 927 Jalan Sri Tanjung, Kampung Sijangkang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, pada serbuan jam 12 pagi itu, polis berjaya menahan dua mekanik dan seorang penganggur berumur dalam lingkungan 19 hingga 25 tahun yang ketika itu sedang membuka alat–alat gantian motosikal curi di rumah terpencil, di sini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam rumah terbabit, polis menemui empat motosikal, sebuah rangka motosikal jenis Yamaha, 11 komponen penutup enjin dengan tidak dilengkapi nombor siri, 12 tangki minyak motosikal pelbagai jenis selain peralatan yang disyaki digunakan untuk meleraikan komponen terbabit seperti dua ellan key berbentuk T dan sebuah spanar bersaiz 10 yang ditajamkan di bahagian hujungnya.

“Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 379 A (1) Kanun Keseksaan Curi Motosikal dan kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini (semalam).

“Nilai keseluruhan komponen motosikal dirampas mencecah RM20,000 melalui semakan rekod kenderaan yang ditemui di tiga kawasan Lembah Klang, antaranya Banting, Seksyen 11, Shah Alam dan Taman Chee Leong, Klang,” katanya pada sidang media sempena Operasi Lejang Sijangkang, yang dilancarkan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Langat, semalam

Nordin berkata, beliau menganggap kegiatan meleraikan alatan komponen motosikal curi itu sebagai sindiket berikutan suspek utama yang menjalankan aktiviti curi motosikal masih lagi diburu.

Katanya, pemeriksaan terhadap tiga kes awal itu turut membantu proses mengesan suspek lain akibat lokasi rumah dijadikan sarang komponen–komponen motosikal curi itu dipercayai adalah lokasi utama suspek,” katanya.
SH

Mayat ditemui dalam longkang

BUKIT SENTOSA – Penduduk sekitar perumahan Jalan Cempaka dan Pangsapuri Seri Cempaka gempar apabila menemui mayat seorang lelaki yang hanyut bersama sampah di dalam longkang dekat Jalan Cempaka di sini, pagi semalam.

Mayat lelaki berusia 55 tahun itu awalnya ditemui seorang pekerja pembersihan kira-kira jam 10.30 pagi ketika sedang membersihkan longkang terbabit.

Sumber penduduk memberitahu, pekerja pembersihan itu terkejut apabila mendapati objek yang disangka sampah rupanya tubuh manusia.

“Ketika itu, pekerja terbabit sedang membersihkan longkang, namun disatu kawasan aliran longkang tersumbat dia cuba mengalihkan sampah yang tersekat.

“Bagaimanapun, dia terperanjat apabila mendapati objek yang mengembung dan tersangkut pada longkang rupanya mayat seorang lelaki,” katanya ketika di temui di lokasi kejadian.

Mayat lelaki itu dikenali sebagai P Arikrisnan seorang pengawal keselamatan dan tinggal di taman perumahan berkenaan.

Anak mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kalai, 30, ketika ditemui di rumahnya yang terletak kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian, mengesahkan mayat tersebut adalah ayahnya.

:Menurutnya, seluruh ahli keluarga merasakan kehilangannya pada hari pertama mangsa keluar rumah semalam, namun tidak mengesyaki sesuatu berlaku.

“Tetapi, ketika pulang daripada kerja pagi tadi (semalam) saya lihat orang ramai berkumpul di tepi longkang (tempat ayahnya ditemui tersangkut).

“Saya terkejut apabila mendapati mayat itu adalah ayah saya,” katanya.

Katanya, kematian ayahnya dipercayai akibat terjatuh ketika duduk di tepi longkang depan rumahnya di mana tempat mangsa selalu berehat.

Katanya, mayat ayahnya ditemui dalam keadaan kembung dan terdapat kesan cedera pada dahi dipercayai terhantuk pada batu longkang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.
SH

Malang dua bersaudara



TELUK INTAN - Niat seorang lelaki mengambil anak saudara pulang dari kem perkhemahan di sekolah berakhir tragedi apabila terlibat dalam kemalangan maut di Lorong Tokong Siam, Jalan Selabak, petang semalam.

Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi Sinar Harian, mengesahkan kejadian 4.20 petang itu yang menyebabkan dua maut, seorang kritikal dan dua selamat.

Katanya, mangsa yang maut dikenali sebagai V Menan Raj, 21, juga pemandu kenderaan pacuan empat roda dan salah seorang anak saudaranya dikenali sebagai R Thivaran, 7, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Teluk Intan.

Menurutnya, mangsa lain dikenali sebagai, R Rajaletchumy, 9, masih kritikal menerima rawatan di Hospital Teluk Intan manakala R Mugilan, 13, dan adiknya, R Vimal, 2, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, mangsa (Menan Raj) bersama empat anak saudaranya dalam perjalanan pulang dari Selabak Dalam ke Jalan Padang Tembak melalui Lorong Tokong Siam.

“Tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa melalui sebuah jambatan sempit seluas lebih kurang 2.5 meter sebelum hilang kawalan lalu masuk ke dalam parit sedalam lebih kurang tiga meter.

“Penduduk yang menyedari kejadian itu membantu kesemua mangsa keluar namun Menan Raj yang tersepit di tempat duduknya menyukarkan lagi kerja-kerja menyelamat dan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan, namun anak saudara mangsa, R Thivaran, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Kok Liang berkata, punca kematian bagi kedua-dua mangsa masih belum diketahui kerana bedah siasat akan dijalankan pada 9.30 malam semalam manakala kesemua mangsa yang selamat masih menerima rawatan di pusat rawatan itu.

“Pihak kami akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SH

Padah ambil deposit haram



JOHOR BAHRU - Enam pengarah sebuah syarikat dihukum penjara dua tahun dan denda RM100,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, setelah didapati bersalah atas tuduhan mengambil deposit secara haram daripada 9,000 pelabur berjumlah anggaran RM180 juta,

Hakim, Zanol Rashid Hussain telah menjatuhkan hukuman ke atas R Ramesh, 42; R Suresh, 42; R Sopana Kumari, 47; T Sukmaran, 50; V Chandran, 54; dan V Parthiban, 40, selelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.

Dia turut memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda yang ditetapkan oleh mahkamah.

Ketika hakim membacakan hukuman, kesemua tertuduh hanya tunduk dan tidak memberi sebarang reaksi.

Kesemua tertuduh yang merupakan pengarah syarikat Ivory Multi Million didakwa menerima deposit daripada pendeposit tanpa memiliki lesen yang sah antara Mac hingga Oktober 2000 di Lot. 10, Tingkat 19, Johor Bahru City Square, 106-108, Jalan Wong Ah Fook di sini.

Kes berkenaan disiasat :mengikut Seksyen 25(1) Akta Institusi Perbankan dan Kewangan 1989.

Pendakwaan kes itu telah dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Bank Negara, Fahmi Abdul Moin, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Marisa Fernendo
SH

Lelaki ditahan bersama mata wang asing



JOHOR BAHRU – Kastam Johor menahan seorang lelaki tempatan bersama wang sejumlah SGD138,400 (RM340,000) di lorong pejalan kaki, Bangunan Sultan Iskandar, Isnin lepas.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Ramli Johari berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, pasukannya telah membuat pemeriksaan di lorong pejalan kaki apabila mendapati membawa barang mencurigakan.

Menurutnya, wang berkenaan dipercayai dibawa keluar ke Singapura dan lelaki berkenaan gagal mengemukakan kelulusan.

“Kita akan menyiasat tujuan lelaki berkenaan membawa wang tersebut dan kita telah menahan reman sehingga 18 Julai untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dibaca bersama Seksyen 23 (1)AMLTFA 2001.

Dalam kejadian berasingan, Kastam negeri telah menahan seorang pemandu membawa lori dengan kertas terpakai tanpa kelulusan Kastam.

Ramli berkata, pemandu berusia 25 tahun itu telah membawa :muatan itu seberat 26,300 kilogram bernilai RM10,613.40.

“Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu setelah membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori mendapati membawa barangan tanpa kelulusan kastam.

“Pemandu lori berkenaan ditahan reman sehingga 20 Julai untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Sesyen 135 (1)(g) Akta Kastam 1967.
SH

Pemilik kebun rugi RM3,000



KAMPUNG TANDUNG – Dua lelaki yang mengambil kesempatan menoreh di kebun getah milik orang lain akhirnya berjaya ditangkap pemilik kebun berkenaan pada 7 Julai, lalu.

Pemilik kebun, Ahmad Ragiman, 58, berkata, dia tidak ke kebun getahnya sejak tiga minggu lalu kerana perlu menyelesaikan :urusan keluarga.

Menurutnya, atas sebab berkenaan, dua lelaki terbabit mengambil kesempatan menoreh getah di kebunnya dan menjual hasil yang diperoleh.

:“Kejadian berkenaan mula disedari jiran berhampiran kebun saya yang melihat ada orang menoreh getah dan apabila ditanya kepada lelaki terbabit, dia dimaklumkan kebun saya sudah dipajakkan kepada mereka.

“Saya percaya, kejadian ini bukan kali pertama berlaku dan jika dikira kerugian, ia dianggarkan kira-kira RM3,000,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Ahmad berkata, menyedari kejadian berkenaan, dia yang dibantu tiga anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) melakukan intipan terhadap kegiatan yang dilakukan dua lelaki terbabit selama tiga hari sebelum berjaya menahan mereka pada jam 6.30 pagi, 7 Julai, lalu.

Menurutnya, ketika ditahan, kedua-dua lelaki berkenaan sudah menoreh 20 pokok getah dan mengutip hampir dua baldi penuh getah sekerap dengan jumlah nilai ratusn ringgit.

“Dua lelaki berkenaan berumur 30an juga mengaku telah menoreh di kebun saya sejak tiga minggu dan mengaut keuntungan lebih RM3,000.

“Saya percaya harga getah yang mencecah sehingga RM7 sekilogram menyebabkan dua lelaki berkenaan sanggup menoreh di kebun saya secara haram bagi mendapatkan keuntungan lumayan dalam masa singkat,” katanya.

Ahmad berkata, kedua-dua lelaki terbabit juga telah dibawa ke Balai Polis Buloh Kasap pada hari sama mereka ditangkap, dan dia turut membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan di balai polis sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Asisten Komisioner Abd Majid Mohd Ali ketika dihubungi berkata, beliau mengesahkan menerima laporan yang dibuat pemilik kebun berkenaan.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda Wave yang dipercayai digunakan dua lelaki terbabit semasa mereka melakukan kegiatan memungut hasil getah berkenaan.
SH

Lori, kereta bertembung



PASIR GUDANG – Seorang parah, manakala dua lagi stabil selepas kereta Kancil yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di simpang tiga Jalan Litar, Jalan Bandar, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Supurintendan Saifi Abd Hamid berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada :kecuaian pemandu kereta ketika ingin masuk ke simpang tiga.

Menurutnya, ketika kejadian, kereta Kancil yang dipandu seorang wanita itu dari arah Taman Pasir Putih ingin masuk ke simpang tiga menghala ke Jalan Litar sebelum berlanggar dengan sebuah lori yang dalam perjalanan dari Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang ke Tanjung Langsat.

“Lori yang menghala laluan terus ke Tanjung Langsat telah melanggar bahagian kiri kereta mangsa yang secara tiba-tiba meluru masuk ke simpang tiga.

“Penumpang sebelah kiri hadapan kereta mengalami kecederaan parah, manakala pemandu dan seorang lagi penumpang yang dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail dilaporkan stabil,” katanya kepada Sinar Harian.

Saifi berkata, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan telah diambil keterangan dan dibebaskan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1897.

“Kita masih menunggu laporan yang dibuat daripada waris mangsa kerana sehingga petang ini (semalam) tiada sebarang laporan dibuat keluarga mangsa,” katanya.
SH

Penyerang guna bom buatan sendiri

RAWATAN BAGI YANG CEDERA: Kakitangan perubatan Hospital JT sedang merawat mereka yang cedera akibat tiga serangan bom di Mumbai, India, kelmarin. -- Foto AFP
LETUPAN DI MUMBAI

Tiga serangan selang 15 minit yang ragut 17 jiwa bertujuan akibatkan cedera maksimum

MUMBAI: Menteri Dalam Negeri India semalam berkata bom-bom buatan sendiri bertujuan mengakibatkan kecederaan maksimum telah digunakan dalam tiga kejadian letupan di Mumbai yang membunuh 17 orang lewat kelmarin sedang para penyiasat mula memburu para pelakunya.

Menteri Dalam Negeri, Encik P. Chidambaram, enggan membuat spekulasi mengenai kumpulan di sebalik serangan tersusun yang berlaku ketika waktu sibuk di pusat komersial India itu, sambil berkata pihak berkuasa tidak menerima sebarang amaran sebelum kejadian atau dakwaan mengenai siapa yang bertanggungjawab.

'Semua kumpulan yang memusuhi India akan berada dalam radar. Kami tidak menolak sebarang kemungkinan, kami sedang melihat kepada semua pihak,' kata beliau kepada wartawan selepas melawat ke tempat kejadian serangan bom itu.

Bom-bom itu, yang diperbuat daripada ammonium nitrit - sejenis bahan baja yang biasanya digunakan dalam bom-bom buatan sendiri - meletup selang 15 minit setiap satu di tengah-tengah kawasan komersial yang sesak dengan orang ramai di selatan Mumbai dan sebuah daerah perumahan utama.

'Saya fikir mereka memilih tempat-tempat itu disebabkan kepadatan penduduknya dan kesesakan kawasan-kawasan berkenaan,' kata Encik Chidambaram.

'Mereka memilih tempat-tempat di mana satu letupan yang agak rendah kekuatannya pun dapat memberi kesan yang besar,' tambahnya.

Perangkaan rasmi kematian sejauh ini ialah 17 orang, menurut beliau, namun penemuan kepala yang terputus daripada badan seorang mangsa bermakna perangkaan tersebut mungkin meningkat.

Sejumlah 131 orang yang cedera telah dikejarkan ke hospital, dengan 23 mangsa berada dalam keadaan serius.

Ditanya mengapakan ibu kota komersial dan hiburan India itu sekali lagi menjadi sasaran serangan bom, Encik Chidambaram berkata semua bandar di negara Asia berpotensi menghadapi serangan.

'Kita tinggal di kawasan kejiranan paling bermasalah di dunia. Pakistan dan Afghanistan adalah pusat tercetusnya kegiatan pengganasan,' ujar beliau.

Namun, penduduk yang terkejut dengan serangan itu mengecam pemerintah India kerana gagal mengesan komplot pengeboman tersebut walaupun langkah-langkah keselamatan besar-besaran telah diambil selepas satu kejadian serangan kirakira tiga tahun lalu, dengan New Delhi menuding jari ke arah kumpulan militan yang berpangkalan di India.

'Selepas kejadian letupan pada 2008 dan semua gembar-gembur pihak media (mengenai langkah keselamatan), kami fikir kami sudah selamat. Tetapi semuanya masih sama dan penduduk di Mumbai terus berasa mudah terjejas,' kata Cik Anita Ramaswami, 33 tahun, seorang akauntan.

Encik Chidambaram berkata pihak risikan India tidak menerima sebarang amaran mengenai kemungkinan berlakunya serangan ke atas Mumbai sebelum kejadian itu.

'Sesiapa saja yang melakukan serangan ini telah melakukannya dengan cara yang amat sulit,' katanya.

Bom-bom yang meletup itu diletakkan di sebuah perhentian bas di Dadar, di kawasan tengah Mumbai; di jalan raya berdekatan dengan kawasan perniagaan Dewan Opera bandar itu; dan disembunyikan dalam sebuah motosikal di kawasan bazar barangan kemas Jhaveri.

Kesemua tempat yang terjejas itu mempunyai kamera pengawasan. -- AFP, AP.

Cyberita Online Luar Negara

Pengetua sekolah lesap

BIMA (Indonesia): Polis memburu pengetua sekolah agama berasrama penuh Umar bin Khatab di Bima di barat Nusa Tenggara yang melarikan diri bagi mengelak siasatan ke atas letupan bom di sekolah itu, awal minggu ini.

“Ketika polis datang ke sekolah itu kelmarin, mereka tidak menemui pengetuanya yang dipercayai melarikan diri bersama pengikutnya,” kata jurucakap Polis Kebangsaan, Brigadier Jeneral I Ketut Untung Yoga Ana, semalam.


“Polis masih memburunya di semua arah,” tambahnya yang enggan mendedahkan nama pengetua berkenaan. Menurutnya, pengetua itu dan pengikutnya dapat melarikan diri kerana mereka arif dengan keadaan persekitaran sekolah berbanding anggota polis.

“Sekolah itu terletak di kawasan seluas dua padang bola sepak...mereka arif dengan kawasan persekitarannya termasuk laluan untuk melarikan diri,” katanya. Ketika siasatan Rabu lalu, polis menemui sembilan bom botol dan beberapa senjata termasuk anak panah, parang, pedang dan senapang angin.


Mereka turut menemui alat yang digunakan untuk membuat bom seperti besi pematerian, kawat dan mancis.

myMetro | Pengetua sekolah lesap

Wanita potong zakar suami telah didakwa

LOS ANGELES: Seorang wanita berusia 48 tahun yang memotong zakar suaminya telah ditahan dan didakwa, semalam.

Catherine Kieu Becker, 48 dituduh meletakkan dadah ke dalam makanan sebelum mengikat kaki dan memotong kemaluan suaminya di rumah mereka di Garden Grove Isnin lepas.

Dia telah didakwa kerana menyiksa, menyebabkan kecederaan pada tubuh badan dan menyebabkan kehilangan anggota badan dan organ.

Lelaki berusia 51 tahun itu dalam keadaan serius.


Menurut jurucakap Pendakwa Raya Orange County, sekiranya disabit kesalahan, dia boleh dipenjara seumur hidup - AFP

myMetro | Wanita potong zakar suami telah didakwa

Kapal selam seludup dadah

TEGUCIGALPA (Honduras): Pihak berkuasa Honduras berjaya menumpaskan sendiket penyeludupan dadah menggunakan sebuah kapal selam dari Colombia.

Menteri Pertahanan Marlon Pascua berkata, lima saspek telah ditahan ketika pihak berkuasa berjaya memintas kapal selam itu yang berada 26 kilometer dari pantai negara itu, kelmarin.

“Kami akan merampas dadah sebagai bahan bukti dan meminta bantuan dari negara-negara jiran untuk menarik kapal itu keluar dari dasar laut.”

Menurut Pascua, kapal selam itu berasal dari Colombia tetapi telah ditenggelamkan sedalam 14 meter ke dasar laut.


Dia menganggarkan kapal itu boleh membawa antara tiga hingga lima tan kokain lebih banyak daripada dibawa oleh kapal terbang kecil dan bot laju.


Tahun ini saja, pihak berkuasa Honduras telah berjaya merampas hampir lima tan kokain.

Kebanyakannya berasal dari Amerika Selatan dan mahu diseludup dan dipasarkan ke Amerika.

Ini kali pertama pihak berkuasa Honduras berjaya mematahkan percubaan menyeludup dadah menggunakan kapal selam.

Negara jirannya Ecuador, pernah mematahkan cubaan penyeludupan 12 tan dadah dalam sebuah kapal selam besar buatan sendiri di kawasan berpaya berdekatan dengan sempadan Colombia - AFP

myMetro | Kapal selam seludup dadah

Pelancong Malaysia cedera dalam kemalangan di Melbourne

MELBOURNE: Lapan pelancong Malaysia mengalami kecederaan apabila van yang mereka naiki terbabas lalu menjunam ke dalam longkang di Lebuhraya Bass dekat French Island, dekat sini, semalam.

Agensi berita Australian Associated Press (AAP) berkata dalam kejadian pukul 6 petang waktu tempatan itu, van yang dinaiki kesemua pelancong berusia awal 20an itu terbabas lalu melanggar penghadang jalan sebelum menjunam ke dalam longkang.


Polis berkata sebahagian daripada kenderaan itu ditenggelami air dengan keadaan keempat-empat roda van ke atas.

Pemandu dan penumpang van berkenaan berjaya keluar daripada kenederaan itu sebelum petugas kecemasan tiba di tempat kejadian.


Seorang pelancong wanita mengalami kecederaan tulang belakang dan diterbangkan dengan ambulans udara ke Hospital The Alfred dan keadaannya dilaporkan stabil.


Lima lagi pelancong lelaki dan dua lagi wanita dibawa ke Hospital Dandenong dan Monash untuk rawatan.

Lebuhraya Bass ke arah utara ditutup selama 30 minit bagi membolehkan ambulans udara mendarat di tempat kejadian.

myMetro | Pelancong Malaysia cedera dalam kemalangan di Melbourne

Lelaki dipenjara 16 tahun sebabkan kematian pengawal

TAWAU: Seorang lelaki dihukum penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana kesalahan menyebabkan kematian seorang pengawal keselamatan menggunakan senapang patah, kira-kira enam tahun lalu.

Vetus Juani, 37, didapati bersalah menyebabkan kematian Mansor Aramsa, 39, di sebuah rumah pekerja di Kilang Kelapa Sawit Tong Len, Kunak pada kira-kira 10.04 malam, 16 Okt 2004.


Pesuruhjaya Kehakiman John Ko Wai Seng membuat keputusan berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesalahan yang dilakukan tertuduh.

Vetus dituduh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun.

myMetro | Lelaki dipenjara 16 tahun sebabkan kematian pengawal

Lima bulan dikurung ‘pucuk muda’


CEDERA...kesan tikaman di belakang badan Ngooi.
CEDERA...kesan tikaman di belakang badan Ngooi.

JOHOR BAHRU: Impian wanita berusia 41 tahun berkahwin dengan ‘pucuk muda’ yang juga seorang warga asing bertukar mimpi ngeri apabila dikurung serta didera termasuk ditikam sepanjang lima bulan berada di kediaman keluarga lelaki itu di Amman, Jordan.
Mangsa, Ngooi Sew Lan, berkata, lelaki berusia 25 tahun itu mendakwa dirinya anak hartawan ketika berkenalan melalui laman sosial ‘Tagged’ awal Januari tahun ini. “Saya berkenalan dengan lelaki dikenali sebagai Hamada ketika bertugas sebagai pengurus restoran di London, United Kingdom (UK).

“Saya mula menjalin hubungan cinta kerana tertarik dengannya. Kami serasi bersembang menggunakan Bahasa Inggeris dan Cina serta mendakwa dirinya ahli perniagaan,” katanya di sini, semalam.
Menurut Ngooi, dia kemudian bersetuju mengikuti Hamada ke Jordan untuk bertemu keluarga lelaki terbabit sambil melancong di sana.

Pada masa sama, dakwa Ngooi, Hamada meminjam RM48,000 daripadanya dengan alasan mahu meluaskan empayar perniagaan ke China.

“Pada mulanya, Hamada bersikap romantik tetapi tiba-tiba berubah seperti orang kurang siuman selain begitu obses terhadap saya.
“Bukan setakat dibelasah, malah dia pernah menikam belakang badan saya ketika berada di rumah keluarganya di Amman menyebabkan saya kehilangan banyak darah,” katanya.

Ngooi mendakwa, ketika itu dia tidak dapat menghubungi sesiapa untuk bantuan kerana sentiasa dikawal Hamada serta keluarganya dan barangan peribadinya termasuk pasport turut disimpan lelaki itu.
“Selepas ditikam dan dihantar ke hospital, saya menghubungi kakak di Malaysia bagi mendapatkan bantuan, 12 Jun lalu.

“Doktor memaklumkan saya bernasib baik kerana cepat dihantar ke hospital, jika tidak saya boleh kehilangan nyawa akibat cedera parah,” katanya.

Menurut Ngooi, tindakan kakaknya meminta bantuan pihak berkuasa negara ini dan Jordan membolehkan dia terlepas kawalan Hamada serta pulang ke negara ini dengan selamat.

Justeru, dia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa Jordan yang menyelamatkannya selain menasihati golongan wanita tidak terpedaya dengan helah lelaki terutama dikenali menerusi Internet.

Bagaimanapun, kata Ngooi, Hamada masih menghubungi dan meminta dia menerimanya sebagai kekasih selain mendakwa tidak boleh hidup tanpa dirinya.

“Saya fobia masih diganggu Hamada, namun saya tidak akan memenuhi permintaannya untuk kembali bersama sebagai pasangan kekasih,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Mok Chek Hou berkata, dia menerima panggilan telefon kakak mangsa, Bong Yeng Phong, 42, memaklumkan situasi menimpa Ngooi lalu menghubungi Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Jordan.

Menurut Mok, tindakan pantas pihak berkuasa dengan bantuan polis Jordan membebaskan Ngooi pada 30 Jun lalu sebelum dibawa pulang ke negara ini.myMetro | Lima bulan dikurung ‘pucuk muda’

‘Tiada mayat dikesan K9’


TENANG...Denis ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam. Gambar kecil, Zainol.
TENANG...Denis ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam. Gambar kecil, Zainol.

SHAH ALAM: Tiada mayat atau tulang manusia dikesan Unit Anjing Pengesan (K9) ketika haiwan itu dilepaskan ke Ladang Gadong, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, milik tertuduh pertama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain pada 9 September 2010.
Pegawai Staf D9 Unit Siasatan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Superintendan Denis Leong Sung Kuai, memberitahu demikian dalam perbicaraan kes bunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, di Mahkamah Tinggi, semalam.
Denis yang juga saksi pendakwaan ke-27 pada hari kesembilan perbicaraan, memberi keterangan ketika menjawab soalan balas peguam bela Amer Hamzah Arshad, berhubung penggunaan dua anjing baka Jerman yang terlatih mengesan bau mayat ketika siasatan dilakukan.
AMER: Setuju saya katakan bahawa unit K9 dibawa masuk mencari barang bukti?
DENIS: Setuju.

AMER: Setuju saya katakan K9 adalah anjing yang dilatih mengesan barang bukti melalui deria bau?

DENIS: Anjing yang dibawa adalah Cadaver iaitu dilatih mengesan bau mayat mereput.

AMER: Ada K9 menemui sebarang mayat di dalam ladang itu?

DENIS: Tidak ada.

AMER: Ada pasukan itu mengesan sebarang tulang manusia pada hari siasatan itu?

DENIS: Tidak ada.

AMER: Dalam laporan polis hasil siasatan dibuat kamu, ia mengatakan membuat pemeriksaan dalam kawasan ladang. Adakah ia bermaksud tiga pasukan iaitu pasukan kamu, pasukan Asisten Superintendan Azizan dan pasukan K9?

DENIS: Ya.

AMER: Berdasarkan laporan polis ini, adakah kamu mempunyai sebab tidak melaporkan bahawa tiada sebarang penemuan dibuat di dalam kawasan ladang itu?
DENIS: Saya tidak mempunyai sebab.

AMER: Polis perlu melakukan siasatan secara menyeluruh dan tidak berat sebelah?

DENIS: Ya.

AMER: Maklumat seperti ini iaitu tiada sebarang penemuan dibuat adalah penting dan perlu dimasukkan ke dalam laporan polis?

DENIS: Ya.

AMER: Tetapi kamu masih tidak memasukkannya?

DENIS: Ya, saya tidak masukkan.


Tiga pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 20; R Matan, 21; dan R Khatavarayan, 31, bersama-sama majikan mereka yang juga bekas peguam, N Pathmanabhan, 42, didakwa membunuh semua mangsa di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Rakan mereka, U Suresh, 27, dan K Sarawanan, 20, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun selepas mengaku bersalah melupuskan bahan bukti pembunuhan apabila membakar dan membuang abu mangsa.

Sementara itu menjawab soalan peguam bela, Gurbachan Singh, Denis mengakui pada 9 September 2010, polis membawa jengkaut masuk ke ladang itu bagi mengaut tanah untuk mencari bukti.

Menurutnya, jengkaut itu digunakan untuk menggali di kawasan hadapan ladang di sebelah kiri, sekitar kawasan rumah kayu dan kawasan pondok rehat.


GURBACHAN: Pasukan kamu yang membawanya?

DENIS: Ya.

GURBACHAN: Tetapi ia tidak disebut di dalam laporan polis?

DENIS: Ya.

GURBACHAN: Berapa lama menggali?

DENIS: Lebih kurang setengah jam.

GURBACHAN: Bagaimanapun tiada sebarang penemuan bukti?

DENIS: Tiada.

GURBACHAN: Di mana ia dilakukan?

DENIS: Kawasan hadapan ladang di sebelah kiri, sekitar kawasan rumah kayu dan kawasan pondok rehat.

GURBACHAN: Kawasan itu saja?

DENIS: Ya.

GURBACHAN: Saya diarahkan anak guam bahawa pihak kamu menggali di semua tempat termasuk kolam?

DENIS: Tidak.

GURBACHAN: Kamu tidak berasakan adalah penting menggali kolam itu?

DENIS: Kami tidak menggunakan jengkaut sebaliknya hanya menggunakan kayu.

GURBACHAN: Ketika mahkamah membuat lawatan ke Ladang Gadong (kelmarin), kamu ikut serta bukan?

DENIS: Ya.

GURBACHAN: Setuju saya katakan jalan masuk ke dalam ladang, dinaiki air di sebelah kanan dan kiri jalan?

DENIS: Ya.

GURBACHAN: Setuju dengan saya bahawa kawasan itu mudah dinaiki air?

DENIS: Setuju.

GURBACHAN: Setuju saya katakan bahawa paling penting dalam siasatan adalah memastikan bahan bukti tidak dialihkan atau dipinda?

DENIS: Ya.

GURBACHAN: Setuju saya katakan bahawa sebelum 9 September 2010, tiada tindakan diambil polis bagi memastikan bukti di kawasan ladang itu dialihkan atau dipinda?

DENIS: Ya.

GURBACHAN: Setuju saya katakan, sehingga 9 September 2010, kamu tidak tahu siapa pergi ke ladang itu atau mempunyai akses kemasukan ke situ?
DENIS: Saya tidak tahu.


Sementara itu, Asisten Superintendan Zainol Hisham Abu, 40, dari makmal forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur, memberi keterangan dia diarahkan membantu siasatan pasukan forensik di lokasi penemuan barang kes iaitu di Sungai Panchau, Banting, pada 12 September 2010.

Keadaan Zainol yang memberi keterangan dengan suara bergetar dan menggigil ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani, ditegur oleh Hakim Datuk Akhtar Tahir sekali gus menyebabkan mereka di galeri ketawa.

Dia yang mengakui menggigil disoal Idham, diminta menenangkan diri.

Perbicaraan akan bersambung pada 25 Julai depan.myMetro | ‘Tiada mayat dikesan K9’

4 kali gagal hadiri bicara


TAHAN...Raja Azmi ditahan selepas gagal hadir sebagai saksi perbicaraan, semalam.
TAHAN...Raja Azmi ditahan selepas gagal hadir sebagai saksi perbicaraan, semalam.

SHAH ALAM: “Kamu mahu dipenjarakan atau kamu dijamin?” kata Hakim Datuk Lim Yee Lan kepada produser filem, Raja Azmi Raja Sulaiman di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Terdahulu, penerbit filem kontroversi ...Dalam botol itu ditahan kira-kira jam 9.45 pagi di rumahnya di Hulu Klang, dekat sini, selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan sebelum dia dibawa ke mahkamah dalam keadaan tangan bergari.
Waran tangkap itu dikeluarkan selepas wanita berkenaan gagal hadir sebagai saksi pada perbicaraan kes saman sivil penjualan tanah seluas 14.2 hektar dengan harga RM5.2 juta membabitkan suaminya, Mohd Jalani Sidek dan syarikatnya pada 1998.

Bagaimanapun, Raja Azmi, 52, yang menerbitkan filem Black Widow Wajah Ayu dan Cinta 100 Ela itu dibebaskan selepas membayar jaminan RM30,000 dengan dua penjamin, kira-kira jam 4 petang.

Raja Azmi yang hadir memakai blaus kelabu memberitahu mahkamah, dia tidak hadir pada perbicaraan lalu berikutan dimasukkan ke hospital selama empat hari kerana menjalani pembedahan mata.myMetro | 4 kali gagal hadiri bicara

Alahai ibu mentua!

ALOR SETAR: Bukan saja rumah tangganya hancur dan anak-anak terpisah, wang simpanan isteri berjumlah hampir RM1 juta habis disapu selain dia turut menerima ugutan bunuh.

Itulah nasib seorang ahli perniagaan bergelaran Datuk yang dikenali sebagai Badrul, 58, (bukan nama sebenar), di sini, yang menjadi mangsa tamak ibu mentuanya sendiri yang sanggup berbuat demikian semata-mata kerana tamakkan harta sejak awal 2009 lalu.


Badrul ketika ditemui berkata, ibu mentuanya yang berusia 50-an itu sanggup memperalatkan anak perempuannya sendiri yang berusia 37 tahun yang juga isteri Badrul dengan memaksanya mengambil dadah jenis syabu sebelum mengarahkan anaknya itu supaya mengeluarkan wang simpanan ketika dia dalam keadaan khayal.

“Wang simpanan untuk isteri dan anak-anak berjumlah kira-kira RM700,000 habis disapunya. Selain itu, wang simpanan daripada tiga akaun simpanan milik anak-anak saya berjumlah lebih RM100,000 turut dilarikan.


“Bukan itu saja, dua buah kereta milik saya iaitu Proton Iswara dan Proton Perdana serta barangan rumah seperti pinggan mangkuk, langsir dan televisyen turut dilarikan,” katanya.


Badrul berkata, kejadian itu bermula awal 2009 lalu apabila ibu mentuanya yang berasal dari Kuala Lumpur ke rumahnya di Hutan Kampung, di sini, dengan alasan untuk bertemu anak dan cucunya selain memberi alasan mengalami tekanan.

Katanya, dua bulan kemudian, ibunya membawa seorang lagi anak perempuannya berusia lewat 30-an yang juga kakak ipar Badrul ke rumah itu dan wanita berkenaan dipercayai turut bersekongkol dengan ibunya melakukan kegiatan itu.


“Sebagai menantu, sudah tentulah saya tidak menghalang. Namun, tanpa saya sedari, dia sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu dan paling saya tidak boleh terima ialah dia sanggup memberikan dadah kepada isteri saya,” katanya.

Badrul berkata, wang simpanan yang dimasukkan sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 setiap bulan ke dalam akaun simpanan isterinya adalah untuk kegunaan wanita itu bersama tiga anak lelaki mereka yang berusia 12, tujuh dan enam tahun.


Katanya, perkara itu mula dikesan apabila isterinya menghilangkan diri bersama tiga anak mereka itu dipercayai mengikut ibunya ke Kuala Lumpur pada Oktober 2009.


“Ketika itu barulah saya tahu wang dalam akaun simpanan isteri dan anak-anak sudah lesap. Sekupang (10 sen) pun dia tak tinggal. Saya kemudian membuat semakan di bank dan mendapati wang itu dikeluarkan dalam tempoh 30 Mac 2009 hingga 24 November 2009. Sebanyak 18 transaksi dilakukan dengan jumlah pengeluaran di antara RM3,000 hingga RM10,000,” katanya.


Badrul berkata, hampir sebulan melarikan diri, isterinya kembali ke Alor Setar, namun sekali lagi melarikan diri pada 14 November 2009 bersama tiga anak mereka, bagaimanapun selepas beberapa hari isterinya kembali semula.


Menurutnya, pada 27 November 2009, isterinya sekali lagi bertindak melarikan diri, tetapi menyuruh seorang adik lelakinya menghantar pulang dua anak mereka berusia 12 dan tujuh tahun. “Selepas itu sehingga hari ini, dia bersama anak bongsu kami masih tidak pulang. Namun, dia kerap menghubungi saya untuk meminta wang dengan alasan untuk kegunaan anak, tetapi tidak mahu beritahu dia tinggal di mana. Namun, saya tahu dia bersama ibunya dan mereka ini kerap berpindah randah," katanya.


Badrul berkata, ibu mentuanya pernah menghubunginya sambil marah-marah dan bertanya mengapa dia tidak kirimkan wang tunai dan mengugut akan menyerahkan anak bongsunya itu kepada orang lain sekiranya dia tidak menghantar wang.


“Kerana masih sayangkan isteri dan bimbangkan keselamatan anak, saya tetap mengirimkan wang kepada mereka. Saya percaya, ibu mentua saya adalah dalang kepada semua ini termasuk menghasut isteri saya supaya meninggalkan saya.


“Isteri saya juga dikongkong ibunya sehingga dia tidak boleh ke mana-mana dan diperalatkan semata-mata untuk kepentingan ibunya,” katanya.


Badrul berkata, dia difahamkan isterinya kini bekerja di sebuah kelab malam di Ampang, Selangor dan dipercayai sudah mempunyai teman lelaki lain.


Katanya, dia percaya semua itu diaturkan ibu mentuanya, malah dia pernah diugut bunuh oleh teman lelaki isterinya baru-baru ini sekiranya dia datang ke Kuala Lumpur untuk membawa pulang wanita itu.


“Sejak berkahwin dengannya pada 1998, kami tidak ada masalah sehinggalah ibu mentua saya tinggal bersama pada awal 2009. Isteri saya sebelum itu seorang isteri yang taat serta menjaga kehormatannya termasuk berpakaian menutup aurat. Tetapi sekarang penampilannya berubah sama sekali termasuk mengambil dadah dan ini semua adalah kerja terkutuk ibunya sendiri,” katanya.


Badrul berkata, sejak 2009 dia sudah membuat enam laporan polis di sini dan Kuala Lumpur berhubung kejadian itu.

myMetro | Alahai ibu mentua!

myMetro | Budak 11 tahun dicabul jiran

HULU SELANGOR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun disyaki dicabul seorang jiran lelakinya di kawasan terusan berdekatan Kuala Kubu Baru, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa yang juga anak Orang Asli dikatakan dipaksa lelaki terbabit mengikutnya ke kawasan berkenaan.


Difahamkan, ketika kejadian, mangsa tinggal bersama sepupu lelakinya di rumah mangsa di Kuala Kubu Baru sementara bapanya yang bekerja sebagai penoreh getah tiada di rumah.

Menurut sumber, selepas mangsa dilarikan jiran lelakinya itu, sepupu mangsa pergi mencari bapa mangsa bagi memaklumkan kejadian berkenaan.


“Bapa mangsa yang baru pulang bekerja terkejut sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu dan pergi ke kawasan mangsa dilarikan namun gagal menemui anaknya itu.


“Sebaik pulang ke rumah, bapa mangsa melihat anak perempuannya itu sudah berada di rumah. Dia kemudian bertanyakan mangsa mengenai apa yang yang berlaku,” katanya.

Sumber berkata, terkejut selepas mendengar cerita mangsa, bapanya membawa mangsa ke hospital untuk pemeriksaan dan disahkan dicabul.


Berikutan laporan perubatan itu, bapa mangsa ke Balai Polis Kuala Kubu Baru untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

myMetro | Budak 11 tahun dicabul jiran

Kena samun RM40,000

KAJANG: Seorang lelaki kerugian RM40,000 apabila disamun tiga lelaki bertopeng bersenjatakan parang di Bandar Baru Bangi, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa yang berusia 40 tahun baru selesai mengeluarkan wang dari sebuah bank di Bandar Baru Bangi sebelum singgah di beberapa bank di sekitar Kajang dipercayai atas urusan membabitkan pengeluaran wang.


Menurut sumber, selepas selesai urusan dengan bank berkenaan, mangsa yang ditemani dua rakannya menuju ke Bandar Baru Bangi apabila keretanya dipintas sebuah BMW dinaiki tiga lelaki bertopeng.

“Sebaik kereta dinaiki mangsa berhenti di bahu jalan, suspek yang bersenjatakan parang meluru keluar daripada kereta dan menuju ke arah kereta mangsa.


“Mangsa yang ketakutan hanya berdiam diri sebelum suspek bertindak memecahkan cermin tingkap kereta mangsa menggunakan parang dan merampas wang tunai RM40,000 yang diletakkan dalam sebuah beg,” katanya.


Sumber berkata, ketika kejadian, semua mangsa tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya menuruti permintaan suspek kerana bimbang dicederakan.

Sebaik memperoleh wang, suspek melarikan diri.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan polis dan operasi memburu suspek sedang giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun berkawan menggunakan senjata.

myMetro | Kena samun RM40,000

Pelancong AS cedera bergelut dengan peragut

KOTA BHARU: Hasrat seorang pelancong wanita Amerika Syarikat (AS) pulang ke rumah tumpangannya bertukar tragedi apabila dia cedera di tangan kanan dipercayai terkena objek tajam ketika bergelut dengan seorang suspek yang cuba meragutnya di Jalan Seri Cemerlang, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa berusia 29 tahun kerugian wang tunai RM700, kad kredit dan debit serta pasport antarabangsanya selepas beg tangannya dilarikan suspek terbabit.


Difahamkan sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakan perempuannya berusia 28 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah tumpangan yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

Bagaimanapun, ketika itu, sebuah motosikal menghampirinya dan penunggangnya merentap beg tangan mangsa menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka.


Mangsa menjerit meminta tolong sebelum pengusaha rumah tumpangan terbabit datang bersama orang ramai menyebabkan suspek yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bergegas melarikan diri.


Mangsa cedera di tangan kanan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk rawatan dengan bantuan pengusaha rumah tumpangan sebelum dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Difahamkan mangsa bersama rakannya menginap di rumah tumpangan di jalan itu sejak petang kelmarin. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

myMetro | Pelancong AS cedera bergelut dengan peragut

Hilang dua hari kerana merajuk

SUBANG JAYA: Misteri kehilangan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dua hari lalu di hadapan sekolahnya di Sekolah Kebangsaan Subang Bestari, di sini akhirnya terjawab selepas dia ditemui guru besar sekolahnya, kelmarin.

Najmi Haqiemi Ahmad Salleh atau Haqiemi, dikatakan bersembunyi di rumah seorang rakan sekelasnya sebelum rakannya itu melaporkan kepada pihak sekolah Haqiemi berada di rumahnya berikutan penyebaran risalah mengenai kehilangannya.


Sebaik mendapat maklumat itu, guru besar sekolahnya pergi mengambil kanak-kanak itu dan membawanya balik ke sekolah sebelum menghubungi ibu bapanya.

Ibu kanak-kanak itu, Zetty, 34, berkata, anaknya berada dalam keadaan baik cuma terkejut kerana tidak menyangka tindakannya menghilangkan diri menimbulkan kerisauan.


“Rupa-rupanya pada malam kehilangannya, anak saya itu menumpang tidur di rumah rakan sekelasnya dengan memberi alasan ibu bapanya bekerja di luar daerah.


“Mungkin dia berkecil hati dan merajuk selepas suami saya memarahinya pada hari kejadian,” katanya.

Kehilangan Haqiemi dilaporkan selepas bapanya gagal menemuinya di kawasan sekolah ketika datang menjemputnya selepas waktu persekolahan tamat malah kanak-kanak itu tidak pulang ke rumah walaupun sudah lewat malam.


Bapanya kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran dan usaha mencari cuba dijalankan pada malam itu tetapi gagal disebabkan tiada siapa yang mendakwa pernah ternampak Haqiemi.

myMetro | Hilang dua hari kerana merajuk

Berang anak gadis ponteng sekolah, lakukan seks

AMPANG: Berang anak perempuannya bercinta dengan anak penjual kuih hingga sanggup ponteng sekolah dan terlanjur, seorang wanita membuat laporan polis, kelmarin.

Malah, wanita berusia lingkungan 30-an itu dipercayai memukul dan menampar anak gadisnya itu selepas anaknya mengakui melakukan hubungan seks dan merayu supaya tidak memisahkan hubungan cinta mereka.


Difahamkan, hubungan cinta mereka diketahui ibunya selepas seorang guru menghubungi wanita itu memaklumkan anak gadisnya tidak hadir ke sekolah.

Menurut sumber, pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah, di sini ponteng sekolah dan mengikut teman lelakinya yang juga pelajar tingkatan empat pulang ke rumahnya di Taman Muda, di sini.


“Akibat perbuatan itu, guru sekolah mereka menghubungi ibu pelajar perempuan terbabit menyebabkan wanita itu memarahi anaknya sebaik dia pulang bekerja.


“Anak gadisnya yang ketakutan mendakwa sudah melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya itu,” katanya. Sumber berkata, susulan itu, wanita itu membawa anak gadisnya itu ke rumah teman lelakinya hingga menyebabkan berlaku pertengkaran.

Menurutnya, ibu gadis itu memaksa teman lelaki anaknya mengaku pernah melakukan hubungan seks sebelum dia ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan polis menyebabkan remaja lelaki itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

myMetro | Berang anak gadis ponteng sekolah, lakukan seks

Kembar didera

KUALA LUMPUR: Dua kanak-kanak kembar berusia lima tahun didakwa didera pengasuhnya hingga mengalami pelbagai kecederaan termasuk bengkak mata kanan, belakang leher selain demam kuat akibat menanggung kesakitan.

Kanak-kanak itu dijaga pengasuhnya berusia lingkungan 30-an di rumah wanita berkenaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibah, Jalan Klang Lama, di sini, sejak awal Mei lalu ketika ibu bapa mereka keluar bekerja.

Bagaimanapun, kejadian hanya disedari ibu mangsa yang berusia 40 tahun selepas dimaklumkan kanak-kanak terbabit sebelum wanita itu membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, di sini, kelmarin.

Menurut sumber, sebaik ibunya pulang dari kerja kira-kira jam 10.30 malam pada 9 Julai lalu, mangsa mengadu sakit badan dan kepala, namun enggan menceritakan kejadian sebenar.


“Selepas didesak, mangsa mendakwa dipukul dan ditampar di kepala oleh pengasuhnya itu sejak mula dihantar ke rumah wanita itu,” katanya.

myMetro | Kembar didera

Buruh dijel 10 tahun, sebat

TELUK INTAN: Seorang buruh ladang dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan lapan kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan, semalam, selepas didapati bersalah mencabul anak kandungnya berusia 11 tahun dua bulan September tahun lalu.

Hakim, Adli Abd Ghalib, menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh yang berusia 39 tahun, dari Batu 1, Kampung Muhibbah, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, yang tidak diwakili peguam gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah sepanjang prosiding berlangsung.


Tertuduh kelihatan tenang ketika hakim membacakan keputusan kes berkenaan, namun isterinya yang turut berada di dalam kamar mahkamah menangis dan bergegas keluar.

Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim, dalam hujahnya mahu mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh kerana tertuduh bukan saja melakukan perkara menjijikkan itu, malah sebagai bapa dia seharusnya menjadi pelindung kepada anak perempuannya itu.


“Tertuduh diibaratkan sebagai ‘haruan makan anak’ atau ‘harapkan pagar, pagar makan padi’,” katanya.


Tertuduh menghadapi tuduhan mencabul mangsa ketika berada di ruang tamu di rumahnya antara jam 11.30 pagi hingga 1 tengah hari, 12 September 2010.

Kes dibicarakan di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan kerana sengaja memasukkan objek ke dalam kemaluan dengan niat mencabul.


Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

myMetro | Buruh dijel 10 tahun, sebat

6 didenda RM100,000

JOHOR BAHRU: Enam pengarah syarikat dijatuhi hukuman dua tahun penjara dan denda RM100,000 setiap seorang selepas didapati bersalah mengambil deposit secara haram berjumlah RM180 juta daripada 9,000 pelabur menerusi perniagaan bank pada 2000 di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zanol Rashid Hussain menjatuhkan hukuman ke atas pengarah syarikat Ivory Multi Mollion Sdn Bhd, R Ramesh, 42, R Suresh, 42, V Chandran, 54, T Sukmaran, 50, R Supana Kumari, 47, dan V Parthiban, 40, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah dan pembelaan tertuduh hanya berbentuk penafian.


Mahkamah juga mengarahkan semua tertuduh dikenakan penjara enam bulan sekiranya mereka gagal menjelaskan denda ditetapkan.

Ketika hukuman dijatuhkan, semua tertuduh hanya tunduk dan tidak memberi sebarang reaksi.


Bagaimanapun, peguam bela yang mewakili tertuduh, Marisa Fernando merayu kepada mahkamah supaya mengetepikan hukuman penjara dan mengurangkan denda dikenakan kerana tertuduh kini tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan tidak mampu membayarnya. Mengikut kertas pertuduhan, semua pengarah syarikat terbabit didakwa menerima deposit daripada pendeposit tanpa memiliki lesen yang sah dengan mengambil deposit haram seperti yang termaktub mengikut Seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.


Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 1 Mac dan Oktober 2000 di Lot 10, Tingkat 19, Johor Bahru City Square, 106-108, Jalan Wong Ah Fook di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25(1) Akta Institusi Perbankan dan Kewangan 1989 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya.


Pendakwaraya Bank Negara Malaysia (BNM), Fahmi Abdul Moin dalam hujahnya berkata, syarikat itu melalui pengarahnya tidak mempunyai kebenaran mengambil deposit daripada orang awam walaupun syarikat terbabit berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

myMetro | 6 didenda RM100,000

Dihukum kali kedua

MELAKA: Seorang pemandu bas yang sedang menjalani hukuman tiga tahun penjara kerana kesalahan menayangkan cakera padat video (VCD) lucah kepada seorang penumpang wanita warga Indonesia dihukum kali kedua iaitu penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan cuba merogol mangsa sama.

Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas tertuduh, P Kanapathy, 38, tiba-tiba menukar pengakuannya kepada bersalah selepas saksi utama pendakwaan yang juga mangsa memberi keterangan bersumpah terhadapnya.


Beliau turut menimbangkan segala fakta kes, rayuan tertuduh dan hujah Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin.

Kes berkenaan ditetapkan untuk perbicaraan, namun selepas mangsa memberi keterangan kira-kira dua jam, Kanapathy yang menyoal balas tiba-tiba memberitahu dia mahu mengaku bersalah.


Sesi soal balas ‘hangat’ apabila tertuduh mempersoalkan keterangan mangsa bahawa dia melakukan seperti didakwa, namun mangsa tetap teguh dengan keterangannya yang memperincikan setiap tindakan tertuduh yang cuba merogolnya termasuk berbogel, memeluk dan menolak tubuhnya hingga jatuh di dalam bas.


Berdasarkan pertuduhan, Kanapathy didakwa cuba merogol mangsa di dalam sebuah bas bernombor nombor pendaftaran AFC 4311 di tepi Jalan Bukit Kajang ke Tehel, kira-kira jam jam 10.45 malam, 6 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Sesyen 376/511, Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhi hukuman penjara lima hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Tertuduh sebelum itu merayu diringankan hukuman atas alasan dia sudah insaf serta berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.


Pendakwa raya memohon hukuman berat kerana kesalahan itu amat serius dan menimbulkan trauma kepada mangsa, selain menyebabkan kaum wanita takut menaiki bas sendirian.

Katanya, kesalahan dilakukan tertuduh juga secara tidak langsung menjejaskan imej negara.


Harian Metro pada 8 Jun lalu melaporkan kejadian wanita warga Indonesia yang dalam perjalanan ke negeri ini dengan menaiki sebuah bas ekspres nyaris diperkosa pemandu terbabit di sebuah ladang sawit.


Pemandu itu dipercayai sudah merancang dari awal untuk mencari mangsa bagi memuaskan nafsunya apabila menayangkan filem lucah sebaik menyedari wanita itu menjadi penumpang terakhir perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Terminal Melaka Sentral.


Lelaki terbabit melencongkan bas dipandu ke arah laluan ke daerah itu selepas menyedari peluang untuk merogol mangsa.


Mangsa bernasib baik apabila suspek gagal meneruskan niat jahat untuk menodainya selepas dua anggota polis yang melakukan rondaan dengan kereta peronda terserempak dengan bas berkenaan yang dalam keadaan mencurigakan.

myMetro | Dihukum kali kedua

Susu coklat ada bakteria

MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), mengesahkan sampel susu diambil daripada Program Susu 1Malaysia yang disyaki tercemar sehingga menyebabkan 191 murid di negeri ini mengalami keracunan makanan, positif bakteria bacillus cereus dan toksinnya.

Keputusan diperoleh melalui ujian makmal dilakukan ke atas beberapa sampel susu yang diambil berikutan berlakunya lima episod keracunan makanan dilaporkan berpunca daripada meminum susu itu sehingga 25 Jun 2011.


Pengarah JKN, Datuk Dr Azmi Hashim berkata, ia membabitkan susu dibekalkan syarikat Dutch Lady selaku pembekal dilantik Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

“Program Susu 1Malaysia di bawah KPM, Kementerian Kesihatan membantu dari segi pemantauan susu di gudang simpanan dan penyimpanan di sekolah.


“Ujian makmal ke atas beberapa sampel susu itu menunjukkan terdapat kehadiran bakteria Bacillus cereus dan toksinnya dan beberapa tindakan diambil,” katanya.


Menurutnya, lima episod keracunan makanan itu berlaku di lima sekolah, masing-masing dua di Alor Gajah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lendu membabitkan 43 murid dan SK Othman Syawal (5), dua di Jasin iaitu SK Selandar (41) dan Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka Assyakirin (13) dan satu di daerah Melaka Tengah, SK Alai (89).

Katanya, keracunan makanan didapati berpunca daripada minuman susu berperisa coklat yang dibekalkan melalui program berkenaan, yang mana baki susu di sekolah dan di gudang turut disita.


“Program ini diberhentikan sementara bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan untuk mengenalpasti punca sebenar keracunan makanan dan KPM akan menentukan sama ada program ini akan disambung atau tidak.

“Penyiasatan epidemiologi dijalankan bagi semua episod dan didapati ia berkaitan dengan meminum susu 1Malaysia yang dibekalkan dan semua murid terbabit diberi rawatan selepas mengalami gejala ringan dan tidak dimasukkan ke hospital,” katanya.


Menurutnya, pemeriksaan tempat simpanan susu di sekolah terbabit dan gudang di Serkam oleh Jabatan Pelajaran negeri (JPN), Pegawai Pelajaran Daerah dan pegawai dari Dutch Lady, Petaling Jaya dan didapati ia mematuhi prosedur penyimpanan ditetapkan.


Katanya, bekalan susu disita dan sampelnya dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Sungai Buloh mendapati beberapa sampel positif bakteria bacillus cereus dan toksinnya.


“Program Susu 1Malaysia di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor dihentikan sementara sehingga dimaklumkan kemudian dan semua sekolah dimaklumkan JPN.


“Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, JKN Selangor menjalankan siasatan di kilang Dutch Lady di Petaling Jaya dan menghantar sampel susu untuk ujian makmal, namun keputusannya masih belum siap,” katanya.


Menurutnya, pendidikan kesihatan terhadap murid terutama mengenai mempraktikkan konsep Lihat, Hidu dan Rasa sebelum makan atau minum perlu bagi mencegah keracunan makanan.


Bulan lalu, akhbar ini melaporkan 82 murid SK Alai terpaksa mendapatkan rawatan disyaki keracunan makanan selepas meminum susu Program Susu 1Malaysia berikutan pentadbiran sekolah terlepas pandang arahan pemberhentian sementara program itu dibuat JPN sehari sebelum kejadian.


Pemberhentian itu dibuat berikutan hampir 100 murid dari tiga sekolah di Alor Gajah dan Jasin disyaki keracunan makanan selepas meminum susu itu, sehari sebelum kejadian di SK Alai dilaporkan.

myMetro | Susu coklat ada bakteria

Padah rakam video wanita buang air di tandas

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja am dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan merakam video seorang wanita yang sedang membuang air kecil dengan menggunakan telefon bimbit di dalam tandas, minggu lalu.

Tertuduh, Khairulsfairuse Ahmad Madli, 30, kemudian mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir.


Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merakam video berkenaan di dalam tandas wanita Unit Forensik, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras di sini, jam 10.45 pagi, 7 Julai lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Rozana Husin dan Khairulsfairuse tidak diwakili peguam bela.


Bagaimanapun, tiada hukuman terhadap tertuduh semalam memandangkan telefon bimbit itu masih disiasat Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Mahkamah menetapkan 16 Ogos depan untuk jatuh hukum.

myMetro | Padah rakam video wanita buang air di tandas

Tikam pipi

KUALA LUMPUR: Seorang wanita bukan saja disepak terajang suaminya sebaliknya turut dipukul dengan penyapu dan getah paip dalam kejadian di rumah mereka di Metro Prima, Kepong, di sini, sejak enam bulan lalu.

Lebih kejam apabila dalam kejadian terbaru kira-kira jam 11 malam, kelmarin, pipi kanan dan dua tangan mangsa ditikam dengan gunting menyebabkannya mengalami kecederaan parah akibat kehilangan darah.

Tindakan suami mangsa berusia lewat 30-an memukul dan membelasah isterinya yang berusia 29 tahun itu mengesyaki wanita terbabit menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Tidak tahan dengan keganasan suaminya yang dikatakan kaki botol itu, wanita beranak dua itu membuat laporan di Balai Polis Kepong, di sini, selepas menerima rawatan di sebuah hospital berhampiran rumahnya.


Menurut sumber, kejadian bermula apabila suami mangsa pulang ke rumah dalam keadaan marah.

myMetro | Tikam pipi

3 jam diculik lapan lelaki

SENTUL: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun berdepan detik cemas apabila diculik selama tiga jam oleh sekumpulan lapan lelaki sebelum diikat tangan dan ditutup mulut dengan pita pelekat dalam kejadian di Taman Dato Senu, di sini, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari itu, mangsa, Dania Syazwana Azahar Ahmad, turut cedera di siku dan kaki selepas terjatuh dari dukungan seorang penculik ketika dia dilarikan ke tempat persembunyian.


Bagaimanapun, dia dapat diselamatkan selepas seorang lelaki warga emas yang kebetulan melihat sekumpulan lelaki sedang mengurung seorang kanak-kanak di belakang sebuah kedai kira-kira satu kilometer dari rumah kanak-kanak itu sebelum bertindak berani memukul kumpulan lelaki terbabit dengan kayu.

Tindakan itu, menyebabkan semua lelaki terbabit yang terkejut cuba melawan, tetapi gagal sebelum mereka bertindak melarikan diri. Menceritakan kejadian itu, Dania berkata, sebaik mahu menutup pintu rumahnya di tingkat enam Flat Sentul Murni, di sini, selepas pulang dari sekolah, seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba menariknya dari arah belakang dan menutup mulutnya hingga dia tidak boleh menjerit meminta tolong sebelum mengheretnya turun ke tingkat bawah.


“Sebaik tiba di tingkat bawah, lelaki terbabit mendukung dan membawa saya ke taman permainan berdekatan sebelum memberi isyarat kepada rakan lain.


“Malangnya ketika itu, saya terjatuh dari dukungan lelaki berkenaan menyebabkan kecederaan di kaki kanan dan siku kiri saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Menurutnya, lelaki itu mendukungnya semula dan meneruskan perjalanan ke belakang deretan sebuah kedai di Kampung Pauh Seberang kira-kira satu kilometer dari rumahnya.


“Di belakang kedai itu, mereka mengikat saya di satu kerusi sebelum menutup mulut saya dengan pita pelekat menyebabkan tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya berdoa supaya selamat.

“Mereka juga meminta wang, namun saya hanya mampu menggelengkan kepala kerana tidak mempunyai wang langsung menyebabkan mereka naik berang,” katanya.


Dania berkata, beberapa jam kemudian, seorang lelaki berusia 50-an yang menunggang motosikal kebetulan melihat kejadian itu terus menghampiri mereka dengan sebatang kayu.


“Saya lihat pak cik itu terus memukul penculik dan rakannya dengan sebatang kayu. Mereka cuba melawan tetapi tidak berjaya dan terus melarikan diri,” katanya yang masih trauma dengan kejadian berkenaan.


Menurutnya, selepas membuka ikatan di tangan dan pita pelekat di mulut, lelaki itu menghantarnya pulang ke rumah sebelum menceritakan kejadian itu kepada ibunya, Masni Abu Bakar, 30-an.


Selepas ayahnya pulang, mereka terus membuat laporan di Balai Polis Jinjang sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan. dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal suspek.


Setakat ini, tidak diketahui motif kumpulan lelaki terbabit kerana mereka langsung tidak menghubungi ibu bapa Dania bagi meminta wang tebusan sebaik menculik kanak-kanak itu.

myMetro | 3 jam diculik lapan lelaki