Search This Blog

Wednesday, July 13, 2011

Dua beradik trauma disamun dua perompak


KUANTAN 12 Julai - Seorang wanita dan abangnya, orang kurang upaya (OKU) trauma apabila rumah mereka di Batu 5 Jalan Gambang di sini, dimasuki dua lelaki bersenjatakan parang semalam.

Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 30 tahun dan lingkungan 40-an keluar dari rumah menghantar adik mereka ke tempat kerja di sebuah pasar raya dekat sini.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, kira-kira pukul 8.40 pagi mangsa sampai kembali ke rumahnya dan terkejut apabila mendapati dinding rumah mereka terbuka.

"Wanita itu kemudian menjerit untuk bertanya dari luar dan terkejut apabila muncul dua lelaki yang menutup muka dengan kain serta bersenjatakan parang meluru ke arahnya.

"Suspek meragut rantai leher mangsa ketika wanita itu meluru ke arah abangnya di dalam kereta. Suspek turut menarik rantai leher abang mangsa," katanya ketika di temui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini.

Katanya, suspek tersebut turut melarikan telefon bimbit, sedikit wang tunai, kunci kereta milik mangsa dan sebuah motosikal berwarna putih.

Tambahnya, bagaimanapun, wanita dan abangnya itu tidak cedera dan kerugian keseluruhan yang dialami mangsa sebanyak RM2,000.

"Kita masih memburu suspek itu dan kes disiasat di bawah seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Utusan Malaysia Online - Pahang

Ditangkap bersama hasil samun


JOHOR BAHRU 12 Julai - Tiga suspek terpaksa berputih mata kerana tidak sempat berjoli dengan hasil samun setelah dicekup oleh polis, Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, mereka baru beberapa jam menyamun sebuah lori tangki muatan minyak kelapa sawit bernilai RM160,000 di Pasir Gudang.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kejadian pukul 3.30 pagi itu berlaku ketika mangsa seorang lelaki berusia 47 tahun dalam perjalanan menghantar 36 tan minyak kelapa sawit dari Kuantan, Pahang ke sebuah kilang di Pasir Gudang di sini.

Katanya, ketika kejadian mangsa tidur dalam lorinya di kawasan stesen minyak di Lebuh Raya Pasir Gudang, kemudian dikejutkan dengan kemunculan tiga lelaki bersenjatakan pisau yang memecahkan cermin lorinya.

"Suspek mengikat mangsa dan membawanya pergi sebelum dia ditinggalkan di kawasan Perindustrian Tebrau 2 di sini," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Utusan Malaysia Online - Johor

50 tinggal sehelai sepinggang



Penduduk cuba menenangkan salah seorang mangsa yang tidak dapat menahan kesedihan apabila rumahnya hangus.


KUALA LUMPUR 12 Julai - Kira-kira 50 penduduk yang tinggal di 12 buah rumah di Kampung Chubadak Jaya, Sentul di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran awal pagi ini.

Kebakaran berlaku pukul 5.30 pagi semasa kebanyakan mereka sedang nyenyak tidur menyebabkan ramai yang tidak sempat menyelamatkan harta-benda.

Namun, tiada kecederaan dan kehilangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu kerana semua penduduk sempat menyelamatkan diri.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Haikal Jimmy Ngali Abdul berkata, sebanyak sembilan jentera bersama 48 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan, Sentul, Chow Kit, Hang Tuah dan Setapak dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kebakaran itu pada pukul 5.53 pagi.

Beliau berkata, usaha memadam kebakaran menghadapi masalah kerana tiada pili bomba di tempat kejadian menyebabkan pihaknya terpaksa mengambil air dari sungai di belakang perkampungan tersebut dan pili bomba dari sebuah flat lain yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ.

"Setelah bertungkus-lumus, akhirnya api dapat dikawal pada pukul 6.39 pagi dan kebakaran padam sepenuhnya pada pukul 8.15 pagi," katanya ketika ditemui di tempat kebakaran di sini hari ini.

Sementara itu, seorang mangsa, Norlia Sakrani, 27, yang ditemui di tempat kejadian hari ini berkata, dia yang sedang nyenyak tidur terjaga apabila tiba-tiba terdengar bunyi letupan.

Norlia yang bekerja di sebuah kedai fotostat di Chow Kit berkata, dia kemudian terpandang api sedang marak di sebahagian rumah mereka.

"Tanpa berlengah saya dan ahli keluarga lain segera keluar menyelamatkan diri tanpa sempat mengambil apa-apa untuk dibawa bersama," katanya.

Kebakaran kali pertama di kampung yang sudah berusia 30 tahun itu turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan apabila mengambil kesempatan melawat mangsa-mangsa kebakaran pada pukul 8.15 pagi ini.

Menurut Saravanan, beliau akan membantu kesemua mangsa terlibat dalam kejadian itu untuk mendapatkan penempatan baru di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu dalam tempoh 24 jam.

"Kami juga akan memberikan bantuan uniform, peralatan sekolah dan kewangan kepada anak-anak mangsa yang masih belajar," katanya sambil memberitahu buat sementara, mangsa ditempatkan di Pusat Komuniti Sentul Perdana.

Utusan Malaysia Online - Kota

50 mayat kanak-kanak ditemui dalam bot karam



ANGGOTA penyelam dari Kementerian Kecemasan Rusia mengangkat mayat mangsa bot pesiaran Bulgaria, yang tenggelam di Sungai Volga, ke atas kapal penyelamat semasa operasi mencari dan menyelamat di wilayah Tatarstan, Rusia, kelmarin. – REUTERS


KAMSKOYE USTYE 12 Julai – Kira-kira 50 mayat kanak-kanak ditemui di bilik permainan sebuah kapal persiaran yang karam dalam kejadian ribut kuat di Sungai Volga, hari ini.

Menurut pasukan keselamatan Russia, mereka menggunakan jaket keselamatan bagi membawa keluar berpuluh-puluh mayat ke pesisir pantai dalam operasi pemulihan yang diiringi tangisan ibu bapa dan kemarahan Kremlin.

Sehingga hari ini, 129 orang disahkan terkorban manakala 79 orang lagi terselamat dalam bencana yang berlaku di sebuah daripada sungai terpenting di Rusia.

Menteri Kecemasan Rusia memberitahu Presiden Dmitry Medvedev bahawa semasa kejadian, kapal persiaran yang diberi nama Bulgaria itu membawa 208 orang penumpang.

Ia telah melanggar peraturan yang memperuntukkan hanya 140 orang sahaja dibenarkan berada di atas kapal berusia 56 tahun itu.

Menurut laporan yang berasingan, kapal persiaran Bulgaria tidak menjalani pengubahsuaian sejak 1980 dan ia hanya dilengkapi dengan dua daripada empat bot penyelamat yang diperlukan.

Malah, kedua-dua bot penyelamat itu tidak diturunkan ketika kejadian kerana kapal tersebut telah ditenggelami air dalam masa hanya beberapa minit.

Medvedev memerintahkan kajian semula dijalankan ke atas keseluruhan infrastruktur pengangkutan Rusia dan meminta penjelasan mengapa kapal tersebut belayar tanpa lesen operasi dan enjin kiri yang rosak.

“Menurut maklumat yang kami perolehi, kapal tersebut berada dalam keadaan yang tidak baik semasa belayar,” katanya kepada televisyen tempatan.

Kejadian ini merupakan bencana bot sungai yang terburuk sejak 1983, diikuti beberapa siri pesawat Rusia terhempas dan masalah teknikal yang dihadapi sekali gus menunjukkan Rusia perlu melakukan perubahan bagi menaik taraf infrastruktur di era Soviet. – AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

AS mahu dakwa News Corp.





WASHINGTON 12 Julai - Syarikat News Corp. milik hartawan media, Rupert Murdoch (gambar) mungkin menghadapi dakwaan terlibat dalam rasuah oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

Pakar undang-undang di AS berkata, News Corp. mungkin dikenakan tindakan undang-undang ketika siasatan terhadap dakwaan berkenaan dibuat di bawah Akta Amalan Rasuah Asing AS.

Undang-undang itu menyatakan sebarang syarikat yang ada kaitan dengan AS bersalah jika memberikan rasuah kepada pegawai asing untuk mendapatkan atau mengekalkan perniagaan.

Media Britain sebelum ini melaporkan wartawan akhbar News of the Worldmembeli maklumat telefon kerabat diraja daripada seorang pegawai keselamatan.

Akhbar Daily Mirror pula melaporkan wartawan akhbar itu juga menawarkan untuk membayar polis New York bagi mendapatkan rekod telefon peribadi mangsa serangan keganasan 11 September 2001.

Dalam pada itu, di London, Ahli-Ahli Parlimen Britain akan menyoal ketua-ketua polis hari ini berhubung skandal intipan panggilan telefon kerabat diraja dan bekas Perdana Menteri, Gordon Brown yang menyaksikan penutupan News of the World.

Empat pegawai kanan dan bekas pegawai kanan Scotland Yard dijangka disoal oleh satu suruhanjaya hal ehwal dalam negeri ketika skandal berkenaan tersebar dan memberi kesan kepada kerajaan.

Detektif memaklumkan Brown semalam bahawa beliau mungkin menjadi sasaran The Sunday Times dan The Sun, dalam krisis terbaru yang menggegarkan industri media, politik dan polis.

"Kami terkejut dengan jenayah dan pendekatan tidak beretika untuk mendapatkan maklumat peribadi. Perkara ini sedang ditangani oleh pihak polis,'' kata jurucakap bekas Perdana Menteri itu.

Polis memberitahu Brown bahawa kakitangan The Sun dan Sunday Times telah menggodam telefon, mengakses akaun bank dan menemui rekod perubatan ketika beliau memegang jawatan Menteri Kewangan.

Akhbar Guardian melaporkan kerabat diraja termasuk Putera Charles dan isterinya, Camilla mungkin turut menjadi sasaran News of The World.

Ekoran skandal yang menjadi ancaman kepada seluruh empayar media Murdoch itu, sayap akhbar Britainnya, News International mengeluarkan kenyataan ringkas meminta maklumat mengenai dakwaan berkaitan Brown. - AFP/Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Termakan pujukan jurujual, 32 pelajar universiti merana tanggung hutang


MEMPELAJARI bahasa Inggeris memang digalakkan tetapi ada juga kursus atau program mempelajari bahasa itu yang hanya ingin mengaut keuntungan.

Bagi 32 pelajar sebuah universiti di utara, mereka berasa teraniaya apabila terpaksa menanggung hutang RM2,389 seorang selepas membeli barangan set program pembelajaran bahasa Inggeris selepas termakan pujukan jurujual.

Walaupun tidak berkemampuan, mereka sanggup menggunakan wang pinjaman pendidikan, meminjam wang kawan dan mengeluarkan wang simpanan semata-mata untuk membeli set program itu daripada sebuah syarikat pembelajaran bahasa terkemuka.

Jurujual pada mulanya memberitahu bayaran boleh dilakukan secara ansuran selama 19 bulan tanpa sebarang caj faedah tetapi rupa-rupanya mereka turut dikenakan caj faedah lewat bayar.

Setelah beberapa bulan berlalu, produk yang dibeli tidak pun digunakan, manakala empunya badan pula terpaksa menanggung beban apabila ansuran bulanan sebanyak RM110 gagal dilunaskan.

Mereka mendakwa tertipu dengan syarat yang dikenakan oleh syarikat itu membabitkan caj faedah lewat bayar selain gangguan tuntutan hutang daripada ejennya.

Berikutan itu, kesemua pelajar terbabit yang berasal dari seluruh negara tampil membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Alor Setar, Kedah untuk membatalkan kontrak pembelian produk tersebut.

Seorang penuntut terbabit, Che Khairunnisa Che Mohamad, 23, memberitahu, dia bersetuju membeli peralatan tersebut dengan membayar deposit RM299 manakala bakinya, RM2,090 dibayar secara ansuran RM110 sebulan dalam tempoh 19 bulan.

''Alangkah terkejut apabila terima penyata pada bulan berikutnya bahawa saya harus selesaikan RM2,104 atau faedah akan dikenakan atau nama saya disenaraihitamkan,'' katanya yang berasal dari Kelantan pada prosiding tuntutannya di TTPM baru-baru ini.

Seorang lagi penuntut, Nuryanti Syafila Che Att, 22, pula memberitahu, dia membeli produk tersebut pada 23 Julai tahun lepas dan hanya sempat membayar beberapa bulan kerana tidak mampu.

''Namun apa yang saya geram adalah caj faedah lewat bayar dan panggilan telefon berbaur ugutan daripada ejen syarikat,'' katanya yang menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membelinya.

Pada prosiding tuntutan mereka baru-baru ini, syarikat terbabit, Linguaphone Distributors Sdn. Bhd., yang hadir sebagai penentang diwakili oleh Pengurus Kawalan Kreditnya, Ariffin Long Chik.

Setelah mendengar keterangan kedua-dua pihak, Presiden TTPM, Reihana Abd. Razak menolak tuntutan mereka untuk membatalkan kontrak kerana urusan jual beli itu dilaksanakan secara sah dengan persetujuan penuntut terbabit berdasarkan kontrak yang ditampilkan sebagai bukti.

''Jika semua anda menggunakan hak anda sebagai pengguna hari itu dan menolak pujuk rayu jurujual terbabit, perkara ini tidak akan berlaku.

''Tidak ada undang-undang yang mampu melindungi pengguna jika mereka membeli sesuatu barang tersebut semata-mata anda bersimpati dengan jurujual yang telah merayu-rayu sehingga menangis,'' katanya.

Selain itu, syarikat terbabit pula diarah memberi kelonggaran dengan memanjangkan tempoh ansuran baki tunggakan selama 24 bulan bermula bulan Julai untuk setiap penuntut terbabit.

''Dalam tempoh ini syarikat tidak boleh menggenakan sebarang caj faedah jika lewat bayar atau bertindak menganggu penuntut dengan panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS).

''Selepas tempoh tersebut jika penuntut masih gagal membayar baki ansuran mereka, syarikat boleh mengenakan caj faedah lapan peratus setahun ke atas jumlah tunggakan tersebut,'' katanya.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Wati ada RM40j


BINCANG...tiga peguam bela, Amer  (dari kiri), Gurbachan Singh dan Manjeet berbincang di luar kamar mahkamah sebelum mendengar keterangan saksi.
BINCANG...tiga peguam bela, Amer (dari kiri), Gurbachan Singh dan Manjeet berbincang di luar kamar mahkamah sebelum mendengar keterangan saksi.

SHAH ALAM: Buhari Mohamed, 62, bekas suami Datuk Sosilawati Lawiya, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam bahawa jutawan kosmetik itu mempunyai simpanan peribadi RM40 juta.
Ahli perniagaan itu yang tampil sebagai saksi pendakwaan ke-24 berkata demikian ketika menjawab soalan peguam bela, Manjeet Singh Dhillon pada hari ketujuh perbicaraan kes bunuh Sosilawati dan tiga individu lain.

MANJEET: Adakah kamu tahu berhubung status dan kedudukan kewangan syarikat Sosilawati pada Ogos 2010?
BUHARI: Saya tahu sedikit.
MANJEET: Berapa jumlah simpanan syarikat?

BUHARI: RM40 juta di bawah nama dia dan bukan menerusi akaun syarikat.

MANJEET: Adakah dia (Sosilawati) memberi kamu butiran berhubung akaun itu atau ia hanya anggapan kamu?

BUHARI: Saya mendapat maklumat ini daripada anak.


Terdahulu, Buhari yang berkahwin dengan Sosilawati pada 1985 dan bercerai pada 2006 berkata, dia mengetahui urusan pembelian tanah syarikat Sosilawati di Pulau Pinang pada harga RM25 juta dan bekas isterinya itu perlu membayar RM2.5 juta atau 10 peratus daripada nilai itu.

Menurutnya, Sosilawati membayar antara RM1.2 dan RM1.25 juta daripada jumlah RM25 juta itu, namun dia tidak mengetahui sama ada Sosilawati menerusi salah satu syarikatnya, Southern Symphony Sdn Bhd menjalankan urus niaga berkenaan secara perkongsian dengan individu bernama Suhaimi atau Sabari.


MANJEET: Ada kamu periksa berhubung pembayaran RM1.2 juta pada akaun Southern Symphony?

BUHARI: Tidak ada.

MANJEET: Setuju jika saya katakan Southern Symphony adalah ‘syarikat RM2’?

BUHARI: Setuju... mungkin boleh jadi ya, boleh jadi tidak.

MANJEET: Adakah awak tahu siapa (Datuk) Abdul Rahman Palil?

BUHARI: Ya, dia wakil rakyat.

MANJEET: Adakah kamu tahu tanah itu dijual kepada syarikat Abdul Rahman?

BUHARI: Tidak.

MANJEET: Walaupun Sosilawati bawa kamu berjumpa dengan peguamnya, ada dia (Sosilawati) beritahu berhubung perkara ini?

BUHARI: Tidak

MANJEET: Ada Sosilawati beritahu macam mana dia dapat tahu pasal tanah itu?

BUHARI: Tidak


Pada prosiding semalam, Buhari yang pernah bertugas sebagai pengurus bank kira-kira lapan tahun, turut mengesahkan Sosilawati gemar membeli dan menjual semula tanah untuk mendapat keuntungan.


MANJEET: Tahun lalu, beliau (Sosilawati) kena tindakan di Kuala Lumpur sebab buat perjanjian tetapi tak mahu jual?

BUHARI: Ya

MANJEET: Bila dapat tahu kes itu?

BUHARI: Saya tidak tahu. Tapi saya yang mengendalikan kes itu sekarang. Apabila Sosilawati sudah tak balik rumah, anak saya minta tolong (uruskan kes itu). Seingat saya, kes itu sudah selesai.

MANJEET: Bangunan itu dijual kepada orang berkenaan?

BUHARI: Ya.


Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung hari ini. myMetro | Wati ada RM40j

Bekas isteri Zainal Abidin tuntut RM167,000 hutang nafkah anak

KUALA LUMPUR: Bekas isteri penyanyi terkenal Zainal Abidin Mohamed memfailkan keterangan bertulis di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam mengenai tuntutan hutang nafkah anak berjumlah RM167,102.04 yang dikemukakan terhadap artis itu.

Natasha Gabriel Abdullah, 52, (gambar) yang juga bekas model itu selaku plaintif menerusi peguam syarie, Norhusniah Husin mengemukakan ikatan dokumen itu di hadapan Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zain.


Bagaimanapun, bekas vokalis kumpulan Headwind berusia 51 tahun itu yang diwakili peguam syarie, Abdul Halim Bahari, tidak hadir.

Natasha mengemukakan tuntutan itu yang juga hutang nafkah sejak 2002 sehingga kini membabitkan yuran persekolahan, kelas agama dan perubatan.


Zainal Abidin juga menghadapi satu tuntutan lain iaitu permohonan mengubah perintah nafkah bulanan, wang perbelanjaan hari raya dan pembelajaran dua anaknya yang difailkan Natasha tahun lalu.


Dalam tuntutan itu, Natasha memohon nafkah bulanan RM200 sebulan bagi setiap anak dinaikkan kepada RM1,200 seorang.

Turut dimohon, nafkah hari raya diubah daripada RM150 kepada RM300 setiap seorang.


Bagi nafkah membabitkan pembelajaran, Natasha menuntut belanja pendidikan Mikhail dinaikkan sehingga RM3,500 sebulan manakala Timur RM2,000 bulan.

myMetro | Bekas isteri Zainal Abidin tuntut RM167,000 hutang nafkah anak

Bawa anak mencuri

TELUK INTAN: Gelaran ibu bapa ‘jahanam’ patut diberikan kepada sepasang suami isteri apabila menjadikan dua anak mereka berusia tiga dan empat tahun sebagai rakan subahat dalam kegiatan jenayah dilakukan.

Kegiatan pasangan masing-masing berusia 29 tahun itu dibongkar apabila mereka sekeluarga ditahan polis selepas mencuri dua telefon bimbit dari sebuah pejabat syarikat insurans di Taman Ros, di sini, pagi kelmarin.

Suspek bersama dua anak mereka ditahan ketika menunggang motosikal di Jalan Sungai Manik kira-kira 45 minit selepas kes itu dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, penahanan itu dibuat selepas polis mendapat aduan daripada kerani syarikat insurans berkenaan mengenai kehilangan dua telefon bimbitnya kira-kira jam 9.15 pagi kelmarin selepas didatangi kedua-dua suspek bersama dua anak mereka.


Goh berkata, siasatan lanjut mendapati pasangan berkenaan berada dalam senarai individu dikehendaki polis di Sungai Siput, Tapah dan Sitiawan atas pelbagai kesalahan termasuk kes curi motosikal.

myMetro | Bawa anak mencuri

Kekal penjara 14 tahun

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan terhadap peniaga susu segar yang didapati bersalah merogol seorang warga emas berusia 62 tahun, di hadapan suaminya.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad, Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Mohamed Apandi Ali memutuskan rayuan Ahmad Nazari Abd Majid tiada merit untuk dipertimbangkan dan sehubungan itu tiada alasan untuk mengusik keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.


Ahmad Nazari, 48, yang mempunyai dua isteri dan lapan anak, dituduh merogol seorang penoreh getah, di ladang getah di Kuala Muda, Kedah antara 7 pagi dan 8 pagi pada 13 Disember 2000 dan 27 Disember 2000.

myMetro | Kekal penjara 14 tahun

Wanita parah disimbah asid

AMPANG: Seorang wanita cedera parah di muka dan tangan apabila disimbah asid dalam kejadian samun di Jalan Taman Muda, Ampang, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa bersama rakannya yang bekerja sebagai jururawat baru habis bekerja dan ingin pulang ke rumah namun ketika tiba di tempat kejadian, tayar kereta dinaiki tiba-tiba pancit.


Menurut sumber, mangsa dan rakannya kemudian memberhentikan kenderaan mereka untuk menukar tayar.

“Selepas 20 minit, muncul dua lelaki tidak dikenali menghampiri mereka.


“Seorang daripada lelaki terbabit mengeluarkan botol dari poket seluarnya dan menyimbah ke muka mangsa,” katanya.


Sumber berkata, mangsa meraung kesakitan apabila cecair itu menghakis kulitnya sementara rakannya yang terkejut cuba membantu.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan suspek terus masuk ke dalam kereta mangsa sebelum beredar meninggalkan mangsa yang kesakitan dan rakannya yang terpinga-pinga.


“Mujur ketika itu sebuah teksi melalui kawasan itu dan membantu membawa mangsa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan,” katanya.

Keadaan mangsa dilaporkan kritikal dan muka serta tangannya melecur teruk.


Rakan mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Pandan Indah.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

myMetro | Wanita parah disimbah asid

Terjun tingkat 9 hospital

GOMBAK: Seorang lelaki kelainan upaya (OKU) yang baru empat hari dimasukkan ke Hospital Selayang nekad menamatkan riwayat hidupnya dengan terjun melalui tingkap di wad 9D hospital itu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.13 tengah hari itu, lelaki berusia 44 tahun terbabit dimasukkan ke wad berkenaan selepas disyaki menghidap penyakit batuk kering.


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, mangsa yang pekak dan bisu dimasukkan ke wad berkenaan Sabtu lalu.

Menurutnya, kejadian itu disedari pemandu ambulans yang terdengar dentuman sebelum keluar melihatnya dan terkejut apabila mendapati mangsa tertiarap di atas jalan raya.


“Hasil siasatan tiada unsur jenayah dan kes itu diklasifikasikan mati mengejut.


“Mayat lelaki itu dihantar ke bilik mayat untuk dibedah siasat dan punca kematian masih disiasat,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa yang ingin dikenali sebagai Runa, 30-an berkata, abangnya dimasukkan ke hospital itu selepas mengadu sakit hidung tambahan pula keadaan tubuh badan abangnya itu yang semakin kurus menyebabkan mereka sekeluarga membawanya ke hospital untuk menerima rawatan.


“Abang belum berkahwin dan sehari sebelum kejadian, saya ada melawatnya dan sempat berbual seperti biasa.

“Ketika itu, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan malah melayan saya seperti biasa,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat, semalam.


Menurutnya, dia sendiri tidak tahu punca mengapa abangnya sanggup terjun dari tingkat sembilan wad itu dan terkejut dengan berita diterimanya.

myMetro | Terjun tingkat 9 hospital

Suami gila ‘sugar mummy’

JOHOR BAHRU: Gara-gara hubungan intim dengan ‘sugar mummy’ terbongkar, seorang suami di Skudai di sini, sanggup menumbuk muka isteri serta membelasahnya biarpun wanita itu masih dalam pantang, semalam.

Mangsa hanya dikenali sebagai Ita, 29, berkata, kejadian berlaku pada jam 5 pagi selepas dia menegur suaminya, seorang penganggur kerana lewat pulang ke rumah semata-mata mahu menemani seorang wanita yang juga bekas majikan lelaki terbabit.

Menurut Ita, rahsia itu terbongkar selepas seorang rakan karib suami yang simpati dengannya mendedahkan kegiatan lelaki terbabit melayan isteri seorang ahli perniagaan berusia 40-an.

“Saya terkilan dengan sikap suami yang bukan saja pulang awal pagi malah bebas membawa rakan lelakinya ke rumah.


“Berikutan itu saya menegur dan menasihatkannya bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, suami terus melenting sebelum menumbuk muka menyebabkan kening kanan saya berdarah, suami juga menolak dan membelasah saya di depan rakannya,” katanya.

myMetro | Suami gila ‘sugar mummy’

Si tua peragut

KUANTAN: Tua tak sedar diri mungkin ungkapan paling tepat menggambarkan seorang warga emas yang tanpa rasa malu, cuba meragut rantai emas seorang wanita berusia 56 tahun di depan sebuah pasar raya di Air Putih di sini, jam 8.15 malam kelmarin.

Lelaki berusia 51 tahun itu juga sanggup menolak mangsa hingga tersungkur sebelum meragut rantai emas wanita tua berkenaan hingga menyebabkannya cedera di leher.


Lelaki itu dikatakan menyergah mangsa yang berjalan seorang diri dari belakang di depan pasar raya berkenaan.

Berlaku pergelutan dengan suspek dalam usaha mangsa enggan menyerah rantai emasnya.


Mangsa menjerit dan orang awam yang terdengar jeritan itu pantas membantu sebelum menahan lelaki tua berkenaan.


Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Superintendan Noor Asyikin Syamsuri berkata, berkata suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan mendapati suspek berasal dari Bukit Setongkol Maju di sini, dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada dia memiliki rekod jenayah lampau atau sebaliknya.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

myMetro | Si tua peragut

Ditikam dua kali


TELITI...anggota unit forensik PDRM memeriksa mayat mangsa di tempat kejadian.
TELITI...anggota unit forensik PDRM memeriksa mayat mangsa di tempat kejadian.

KLANG: Gara-gara berebut teman wanita, dua lelaki bergaduh sebelum seorang daripada mereka mati ditikam di dada dan paha kanan di hadapan koridor sebuah premis di Jalan Meru, semalam.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, warga Indonesia berusia 21 tahun dan berasal dari Jawa Tengah, Indonesia itu maut ditikam dengan sebilah pisau oleh suspek juga warga negara sama.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 1.55 tengah hari dan apabila bergegas ke sana mangsa didapati sudah meninggal dunia.
“Hasil siasatan kami mendapati mangsa ditikam dengan sebilah pisau di bahagian dada dan paha kanan, manakala terdapat sedikit kesan luka pada pergelangan tangan kirinya akibat ditetak.

“Mangsa dikatakan sedang berjalan dengan seorang wanita warga Indonesia sebelum dia dikejar suspek di lorong belakang premis manakala seorang lagi suspek dipercayai menunggu di motosikal.

“Mangsa melarikan diri ke dalam sebuah bengkel kereta yang terletak bersebelahan dengan premis itu sebelum dia terjatuh dan ditikam dua kali,” katanya.
Mohamad Shukor berkata, motif pembunuhan dipercayai kerana dendam akibat merebut teman wanita dan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek memakai kemeja-T berwarna putih serta berseluar jeans biru cerah.

“Kami masih menjalankan siasatan menerusi CCTV yang dipasang di premis berdekatan tempat kejadian bagi mengenal pasti suspek. Polis meminta agar orang ramai yang melihat kejadian tampil memberi kerjasama dalam siasatan,” katanya.
Ditanya mengenai senjata digunakan untuk menikam mangsa, Mohamad Shukor berkata, pisau itu belum ditemui.

Menurutnya, siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Difahamkan, wanita bersama si mati sebelum itu turut melarikan diri dengan suspek.myMetro | Ditikam dua kali

Dua kali lapor polis

SHAH ALAM: “Saya hubungi peguam Pathma dan tanya di mana Sosilawati. Saya katakan anak sudah buat laporan polis berhubung kehilangannya dan dia terpaksa bertanggungjawab,” kata bekas suami kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya iaitu Buhari Mohamed, 62, ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Buhari berkata, pada kira-kira jam 11 pagi, 2 September 2010, dia menghubungi N Pathmanabhan yang pernah ditemui pada 2008 berhubung urusan jual beli tanah, sebelum membuat laporan polis kali kedua berhubung kehilangan Sosilawati. “Saya masih ingat suara dia. Saya kenalkan diri sebagai Buhari Gudang Garam. Saya tanya di mana Sosilawati sebab dia pergi berjumpanya pada 30 Ogos 2010 hingga sekarang tidak balik-balik. Saya beritahu anak sudah buat laporan polis dan dia terpaksa bertanggungjawab. “Ketika itu Pathmanabhan beritahu Sosilawati baik dan berniaga bersama-sama, macam mana boleh hilang? Saya tidak memberi sebarang komen terhadap apa yang dia kata,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.


Terdahulu, Buhari seorang peniaga yang juga saksi pendakwaan ke-24, memberitahu mahkamah dia menerima panggilan telefon daripada anaknya, Erni Erinawati Sofia, 22, pada jam 10 pagi, 31 Ogos tahun lalu memaklumkan Sosilawati tidak pulang ke rumah selepas keluar ke Banting menemui Pathmanabhan.

ISHAK: Selepas Sofia menghubungi kamu memaklumkan perkara itu, apa tindakan kamu? BUHARI: Saya tanya dia ‘mak’ (Sosilawati) pergi mana? Dia maklumkan pergi ke Banting untuk urusan jual beli tanah dengan peguam Pathma. Saya kata saya kenal peguam itu dan tahu di mana pejabatnya. Saya minta dia (Sofia) datang jemput saya di Selayang dan selepas itu terus ke Banting. Ketika itu saya beberapa kali cuba menghubungi Sosilawati, tetapi gagal. Saya kemudian menghubungi Erni Dekritawati Yuliana (Rita) dan dia maklumkan berada di Shah Alam. Saya minta dia tunggu di hadapan Hospital Klang.


ISHAK: Tahu apa dia (Rita) buat di Shah Alam? BUHARI: Dia mahu pastikan kereta Noorhisham (Noorhisham Mohammad, pegawai bank CIMB) masih ada di situ dan ya memang masih ada di situ. Saya kata tidak mengapa, ia bermakna mereka masih tidak balik, oleh itu kami terus ke Banting mencari pejabat Pathmanabhan. Kami pergi dua kereta. Saya tidak ingat alamat, tetapi saya pernah pergi ke pejabatnya di jalan besar, Jalan Abdul Samad, arah ke Morib.


ISHAK: Ada kamu jumpa? BUHARI: Selepas hampir dua hingga tiga jam mencari, kami tidak menjumpainya. Oleh kerana ketika itu Ramadan, kami bertolak balik ke Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang. Saya berbincang dengan anak-anak dan setuju membuat laporan polis. Selepas laporan polis pertama tidak memberi hasil, kami membuat laporan kedua.

ISHAK: Tadi kamu kata ada mempunyai nombor telefon Pathmanabhan , tetapi kenapa kamu tidak hubungi dia terus dan tidak perlu ke pejabat di Banting? BUHARI: Ya, pada 2008, saya mempunyai dokumen perjanjian jual beli tanah dengan Pathmanabhan. Saya ada catatkan nombornya pada muka depan dokumen itu, tetapi pada hari saya pergi mencarinya saya terlupa membawanya.


ISHAK: Kamu kata ada berjumpa Pathmanabhan pada 2008. Jika ditunjukkan boleh kamu cam? Ada dia di dalam mahkamah? BUHARI: Boleh. (Selepas itu Buhari berdiri dan memandang ke arah kandang tertuduh dan menunjukkan ke arah tertuduh pertama yang memakai kemeja berwarna putih).

ISHAK: Di mana kamu berjumpa Pathmanabhan? BUHARI: Di pejabatnya di Banting, Selangor.


ISHAK: Siapa lagi ketika itu? BUHARI: Saya bersama Sosilawati.


ISHAK: Kenapa Sosilawati meminta kamu mengikutnya berjumpa Pathmanabhan, sedangkan ketika itu kamu sudah bercerai? BUHARI: Saya mempunyai hubungan baik dengan Sosilawati dan anak-anak walaupun selepas bercerai. Sosilawati meminta saya mengikutnya ke Banting kerana mahu saya melihat dokumen perjanjian yang dia buat dengan Pathmanabhan. Ia untuk kepastian sama ada perjanjian itu betul atau tidak. Dia (Sosilawati) tahu saya mempunyai pengetahuan serba sedikit berhubung perjanjian sebab saya pernah menjadi pengurus dua bank.


ISHAK: Boleh beritahu mahkamah bagaimana suasana perbincangan? BUHARI: Agak hangat kerana saya banyak komen mengenai perjanjian itu, tetapi Pathmanabhan kata dia peguam dan dia tahu prosedurnya. Sementara itu ketika menjawab soalan peguam bela, Manjeet Singh Dhillon, Buhari memberitahu mahkamah Sosilawati ada memaklumkan duit deposit dibayar kurang daripada 10 peratus seperti perjanjian, bagaimanapun tidak pasti jumlahnya sama ada RM1.2 juta atau RM1.25 juta.

myMetro | Dua kali lapor polis

Kepala badak sumbu di muzium lesap

BLOIS (Perancis): Sekumpulan pencuri melarikan kepala badak sumbu dari sebuah muzium di negara ini, insiden terbaru dalam beberapa kejadian yang disyaki didorong kegiatan perdagangan antarabangsa, kata sumber polis dan muzium, semalam.

Kakitangan muzium sejarah di Blois, kira-kira 160 kilometer di barat daya Paris, menemui bahan pameran hilang pada pagi Sabtu lalu ekoran kejadian pecah masuk di muzium berkenaan.


Kepala badak sumbu seberat 100 kilogram dan ditemui pada kurun ke-19 itu dipercayai diseret di sepanjang lantai muzium. - AFP

myMetro | Kepala badak sumbu di muzium lesap

Wanita dirempuh kuda dibenar keluar hospital

SHAH ALAM: Wanita yang cedera dirempuh kuda dalam kejadian Ahad lalu di sebuah taman tema di Dengkil, berada dalam keadaan stabil dan sudah dibenarkan keluar dari wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, petang semalam tetapi perlu menggunakan pendakap leher.

Kakak mangsa, Nor Bainah Saron, 43, berkata adiknya Nor Zainab, 37, perlu menggunakan pendakap leher itu sekurang-kurangnya selama tiga bulan.


Katanya, anak Nor Zainab yang berusia lima tahun dan turut mengalami kecederaan benjol di kepala mungkin akan dibawa semula ke hospital untuk rawatan susulan berikutan dikhuatiri terkena jangkitan kuman.

“Kami sekeluarga bersyukur Achik (nama panggilan Nor Zainab dalam keluarga) sudah beransur pulih. Apa yang penting kesihatannya pulih seperti sedia kala,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

myMetro | Wanita dirempuh kuda dibenar keluar hospital

2 warga AS diculik

ZAMBOANGA: Sekumpulan lelaki bersenjata menculik dua warga Amerika Syarikat dan seorang saudara mereka warga Filipina ketika mereka bercuti di sebuah pulau kecil di selatan Filipina, semalam.

Gerfa Yeatts Lunsmann, 50, anaknya Kevin, 14, dan anak saudaranya rakyat Filipina, Romnick Jakaria, 19, diculik oleh lebih 12 lelaki bersenjata yang menyerbu pulau berkenaan dengan bot sebelum subuh, kata ketua polis tempatan, Nonito Asdai.


“Mereka memaksa pengawal meniarap ketika membawa lari mangsa,” kata Asdai sambil menunjukkan pasport kedua-dua warga Amerika Syarikat itu yang ditemui di Pulau Tictabon, luar pantai Zamboanga.

Wanita berkenaan dilahirkan di Tictabon tetapi diambil untuk dijadikan anak angkat oleh sepasang suami isteri warga Amerika Syarikat ketika dia masih kecil. Menurut Asdai, Gerfa ialah tuan punya pusat peranginan di Tictabon dan bercuti di situ sejak dua minggu lalu.


Budak lelaki berkenaan ialah anaknya hasil perkahwinan dengan suaminya, warga Jerman yang menetap di Virginia, Amerika Syarikat.


Si suami tidak berada di Filipina ketika kejadian.

Asdai berkata, pihak berkuasa melancarkan siasatan berdasarkan saksi yang melaporkan penculik terbabit berlepas bersama-sama mangsa ke Pulau Basilan, kubu kuat kumpulan Abu Sayyaf, kira-kira 20 kilometer ke selatan.


Edwin Lacierda, jurucakap Presiden Benigno Aquinio berkata, jawatankuasa khas digerakkan untuk menangani kes berkenaan.

Menurutnya, polis dan tentera berusaha sedaya upaya untuk menjejaki mangsa culik itu.


Bagaimanapun, sehingga ini, belum ada pihak yang menuntut wang tebusan.


Mereka juga belum dapat mengesahkan sama ada kumpulan Abu Sayyaf terlibat.


Beliau mengulangi dasar kerajaan yang menentang pembayaran wang untuk mebebaskan tebusan. - AFP

myMetro | 2 warga AS diculik

Pengajar mati kena bom buatan sendiri

JAKARTA: Seorang lelaki yang cuba menunjuk kepada pelajar cara membuat bom terbunuh akibat letupan bom buatan sendiri di sebuah sekolah agama berasrama di Pulau Sumbawa, Indonesia Tengah, semalam.

Pegawai dan pelajar menghalang polis memasuki kawasan sekolah berkenaan, kata jurucakap polis tempatan, Lt Kol Sukarman Husen.


Mereka menemui mayat pembuat bom itu yang hanya dikenali sebagai Firdaus, 30, dalam bas yang meninggalkan sekolah itu.

Polis turut merampas sejumlah panah dan parang.


Menurut Sukarman, mangsa ialah bendahari sekolah berkenaan tetapi media melaporkan dia pernah menjalani latihan membuat bom di Mindanao, Filipina.


Stesen televisyen TVOne mendakwa dia terbunuh ketika melatih pelajar membuat bom.

Sebelas orang ditahan untuk disoalsiasat dan polis masih memujuk pegawai sekolah supaya membenarkan mereka memasuki perkarangan sekolah itu. Ketua Polis Kebangsaan, Anton Bachrul Alam berkata bom berkenaan dibuat untuk menyerang polis. - AFP

myMetro | Pengajar mati kena bom buatan sendiri

Wanita purdah gagal rompak

SHARJAH: Seorang wanita bertindak nekad dengan menyerang seorang lelaki dalam sebuah lif dengan niat untuk merompak.

Anak saudara mangsa Nikhil Joseph berkata, tiada kamera litar tertutup di dalam lif itu.

Menurut Nikhil, kejadian itu berlaku pada hari Sabtu lepas sekitar jam 6.15 pagi sewaktu bapa saudaranya Joy E., 48 hendak masuk ke dalam lif.

Seorang wanita yang memakai purdah, mengekorinya masuk ke dalam lif lantas cuba merampas beg duit dan jam tangan lelaki itu.


Lelaki itu melawan dan sempat menarik purdah wanita itu. Apabila lif berhenti di tingkat satu, wanita itu terus melarikan diri.

myMetro | Wanita purdah gagal rompak

Jururawat mati terjun bangunan

JEDDAH: Seorang jururawat berbangsa Cina yang bekerja di sebuah hospital swasta membunuh diri dengan terjun dari tingkat tujuh bangunan kediaman di daerah Sharafiyah, kelmarin.

Menurut Polis, siasatan awal mengesahkan jururawat yang berusia 25 tahun itu membunuh diri.

“Bedah siasat ke atas mangsa menunjukkan tiada tanda-tanda keganasan atau pergelutan,” kata jurucakap Polis Jeddah Leftenan Kanan Nawaf Al Bouq kepada Arab News.

“Kami dan Jabatan Forensik sedang menyiasat mengapa mangsa mengambil tindakan demikian.”

Pihak polis juga sedang menyoal siasat seorang lelaki Somalia yang mungkin mempunyai maklumat tentang kes berkenaan.

JEDDAH: Seorang jururawat berbangsa Cina yang bekerja di sebuah hospital swasta membunuh diri dengan terjun dari tingkat tujuh bangunan kediaman di daerah Sharafiyah, kelmarin.

Menurut Polis, siasatan awal mengesahkan jururawat yang berusia 25 tahun itu membunuh diri.

“Bedah siasat ke atas mangsa menunjukkan tiada tanda-tanda keganasan atau pergelutan,” kata jurucakap Polis Jeddah Leftenan Kanan Nawaf Al Bouq kepada Arab News.

“Kami dan Jabatan Forensik sedang menyiasat mengapa mangsa mengambil tindakan demikian.”

Pihak polis juga sedang menyoal siasat seorang lelaki Somalia yang mungkin mempunyai maklumat tentang kes berkenaan.

Lelaki yang berusia 30 tahun itu dikatakan telah merakam video mangsa yang terjun dari bumbung bangunan tempat tinggalnya. - Arab News

Lelaki yang berusia 30 tahun itu dikatakan telah merakam video mangsa yang terjun dari bumbung bangunan tempat tinggalnya. - Arab News

myMetro | Jururawat mati terjun bangunan

PGM rampas balak RM458,000

KUCHING: Pasukan Gerakan Marin membuat rampasan terbesar setakat ini di Sarawak dengan nilai keseluruhan RM458,000 setelah berjaya mematahkan cubaan menyeludup balak haram di Sungai Sarikei, petang semalam.

Komander Pasukan Gerakan Marin Wilayah 5 ACP Mohamad Saleh Mat Jani, berkata jumlah rampasan itu ialah bagi 200 batang balak haram yang cuba diseludup bernilai RM108,000 serta balak, enjin dan pelbagai peralatan bernilai RM350,000.


"Enam orang kesemua lelaki termasuk seorang kapten dan dua warga India ditahan untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Saleh berkata kesemua suspek berumur 25 hingga 53 tahun dan siasatan lanjut mendapati warga India itu mempunyai permit kerja sah.


"Operasi dijalankan pada pukul 7.30 petang semalam dan siasatan awal mendapati kapal tersebut sedang dalam perjalanan ke Tanjung Manis," katanya. - Bernama

myMetro | PGM rampas balak RM458,000

Pemandu mabuk langgar garaj

ALOR SETAR: Tujuh sekeluarga berdepan dengan saat cemas apabila sebuah kereta merempuh garaj kereta di hadapan rumah mereka di Kampung Kubang Pangas Mukim Kubang Rotan dekat sini kira-kira 12 tengah malam tadi.

Pemilik rumah tersebut Muhammad Abdullah, 51, berkata selepas mendengar dentuman kuat, dia terus keluar dan melihat sebuah kereta telah melanggar garaj keretanya.


"Ketika itu pemandu kereta tersebut masih berada di dalam keretanya dan apabila ditanya kenapa dia ke sini, dia tidak menjawab dan keadaannya seperti orang mabuk. Nafasnya juga berbau busuk," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini, hari ini.

Katanya, dia hairan bagaimana pemandu itu boleh terbabas ke kawasan rumahnya sedangkan rumahnya bukanlah berada di tepi jalan utama dan pemandu itu bukan orang kampung itu.

myMetro | Pemandu mabuk langgar garaj

2 pekerja kumpulan rock ditahan miliki dadah

AMPANG: Dua pekerja chalet milik sebuah kumpulan rock terkenal tanah air ditahan di Kampung Kemensah, di sini kerana memiliki dua kilogram ganja, petang semalam.

Dalam serbuan dilakukan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira jam 5 petang itu, kedua-dua lelaki berusia 40-an itu berehat dalam sebuah rumah di chalet itu.


Difahamkan, ketika serbuan kelima-lima ahli kumpulan rock yang muncul dengan album pertamanya pada 2001 itu tiada di chalet berkenaan.

Bagaimanapun, kumpulan terbabit yang juga majikan kepada kedua-dua lelaki itu sudah dimaklumkan polis berhubung penahanan mereka.


Menurut sumber, hasil maklumat orang awam sepasukan polis menjalankan siasatan di rumah dalam kawasan chalet berkenaan.


“Sebaik tiba di rumah itu, terdapat lima lelaki di rumah berkenaan. Dua daripada mereka cuba meloloskan diri namun gagal.

“Hasil pemeriksaan dalam bilik kedua lelaki berkenaan polis menemui dua kilogram dadah dipercayai ganja. Berikutan penemuan itu, semua mereka ditahan polis untuk siasatan lanjut,” katanya.


Sumber berkata, hasil keterangan dan ujian saringan air kencing, tiga daripada mereka dibebaskan, tetapi dua lelaki terbabit didapati positif dadah jenis ganja.

“Kedua-dua lelaki itu ditahan reman sehingga 19 Julai ini bagi membantu siasatan berhubung penemuan itu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

myMetro | 2 pekerja kumpulan rock ditahan miliki dadah

Pelakon dipenjara

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara 30 bulan dan tiga sebatan terhadap abang kepada Zizie Ezette, Samzy Fuzette A Samad kerana memiliki 12.15 gram syabu di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, Ampang, dekat sini, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas menolak rayuan difailkan pelakon yang pernah membintangi beberapa drama tempatan seperti Seri Istana dan ‘Cucu-cucu Atuk’.


Samzy Fuzette, 35, (pemohon) yang kini berniaga sendiri memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Majistret Ampang pada 30 November 2010.

Bapa kepada tiga anak yang kelihatan tenang dilihat memeluk isterinya, Sarinah Mohammad, 32, bagi menenangkan wanita itu yang menangis teresak-esak apabila mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula semalam.


Terdahulu, Samzy Fuzette yang hadir memakai kemeja putih dan diiringi beberapa rakannya sempat berbisik kepada pemberita, ‘doakan saya’ sebelum mengambil tempat di kandang tertuduh.


Mohtarudin pada penghakimannya berkata, mahkamah mendapati hujah pemohon dadah ditemui di tempat kejadian diletakkan orang lain adalah keterangan terfikir kemudian.

Beliau berkata, perkara itu seharusnya dibangkitkan ketika soal balas terhadap saksi pendakwaan pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Majistret Ampang.


Katanya, pemohon itu juga mempunyai peluang paling awal untuk menerangkan kepada anggota polis berhubung penemuan dadah di tempat kejadian, tetapi sebaliknya tidak berbuat demikian.

Menurutnya, mahkamah berpendapat hukuman dijatuhkan Majistret Aida Mastura Mohamed Aman tidak terlalu berat.


“Rayuan ditolak dan sabitan dan hukuman (terhadap pertuduhan) dikekalkan,” katanya.


Mengikut pertuduhan, Samzy Fuzette didakwa memiliki 10 peket plastik lut sinar berisi syabu seberat 12.15g, di DG-W4, Villa Ria Condo, Taman Bukit Mulia, Jalan Mulia 1/5, Bukit Antarabangsa, Ampang, jam 3.30 petang, 11 April 2005.


Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh didakwa mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.


Ia memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


Pada prosiding semalam, pemohon diwakili peguam Muhammad Faiz Fadzil, manakala responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar.


Sepanjang perbicaraan kes di Mahkamah Majistret Ampang, seramai tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan tampil memberi keterangan.


Pada masa kejadian, Samzy ditahan bersama seorang lagi artis, Baby Arin atau nama sebenarnya Lily Zarina Khalil, 31, dan lima lagi individu dalam satu serbuan di kondominium di Bukit Antarabangsa.

myMetro | Pelakon dipenjara

Putera mohon penjarakan ibu

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, memberi kebenaran kepada Putera Azamuddin Shah Abdul Shah, anak saudara Sultan Selangor, memfailkan permohonan komital untuk memenjarakan bondanya sendiri kerana didakwa mengingkari perintah mahkamah.

Kebenaran itu diberikan pada 23 Jun lalu dan permohonan itu sepatutnya didengar semalam di hadapan Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah.


Peguam Datuk Rajan Navaratnam yang mewakili Putera Azamuddin Shah memberitahu pemberita bahawa hakim menetapkan 26 Julai ini untuk perbicaraan kes itu disebabkan peguam yang mewakili, Tengku Putri Arafiah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz yang merupakan adinda Sultan Selangor tidak hadir ke mahkamah.

Pada 8 Jun lalu, Putera Azamuddin Shah memohon perintah komital itu kerana bondanya gagal menandatangani dan mematuhi perjanjian jual beli saham syarikat Sunshine Fleet Sdn Bhd berjumlah RM2 juta.


Mengikut notis usul, Putera Azamuddin Shah berkata, mahkamah sudah membenarkan permohonannya untuk perintah pelaksanaan spesifik pada 19 April lalu dan bondanya dikehendaki menandatangani dan mematuhi perjanjian jual beli saham itu dalam tempoh lima hari selepas itu.


Bagaimanapun, dia mendakwa bondanya sengaja tidak berbuat demikian dan ia jelas mengingkari perintah mahkamah.

Afidavit sokongan Putera Azamuddin Shah menyatakan bahawa bondanya sudah bersetuju untuk membeli semua 100,000 unit saham miliknya dalam syarikat Sunshine Fleet Sdn Bhd. - Bernama

myMetro | Putera mohon penjarakan ibu

JKDM rampas barangan seludup RM28 juta

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur merampas pelbagai barangan seludup bernilai hampir RM28 juta membabitkan cukai lebih RM75 juta sepanjang 18 bulan lalu dengan rampasan tertinggi membabitkan rokok putih bernilai lebih RM15 juta.

Sepanjang 2010 dan enam bulan pertama tahun ini, JKDM Kuala Lumpur merampas lebih 110,000 batang rokok putih dengan anggaran cukai kira-kira RM50.5 juta, diikuti rokok keretek bernilai RM3.5 juta membabitkan anggaran cukai RM13.3 juta.
Bagaimanapun, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, kejayaan terbesar dicatatkan adalah membabitkan 67 kenderaan mewah pelbagai jenama yang diseludup masuk ke negara ini bernilai RM1.35 juta dengan cukai dianggarkan lebih RM2 juta.
Pengarah JKDM Kuala Lumpur, Datuk Saadon Mohd Dros, berkata antara barangan lain yang dirampas sepanjang tempoh berkenaan termasuk minuman keras, cerut, tembakau, telefon bimbit, walkie talkie dan peralatan seks tiruan selain sebuah mesin memproses rokok bernilai RM1 juta.

Katanya, usaha sedang digiatkan menerusi operasi di lokasi dikenal pasti bagi memastikan negara tidak kehilangan hasil cukai melalui kegiatan penyeludupan oleh pihak tertentu yang mahu meraih keuntungan dengan jalan mudah.

“Kita percaya penyeludup akan menggunakan pelbagai taktik bagi mengelak aktiviti mereka dikesan, namun kita akan terus menjalankan pemantauan dan risikan serta kerjasama dengan masyarakat setempat bagi membendung kegiatan itu,” katanya selepas melancarkan Kempen Mencegah Pengedaran Rokok Tidak Sah di Pasar Borong Baru Selayang di sini, semalam.

Menerusi kempen itu, JKDM Kuala Lumpur akan meletakkan anggotanya secara tetap di kawasan berkenaan sehingga 31 Julai ini bagi memantau penjualan rokok putih dan keretek selain pelbagai barangan lain yang didapati tidak diisytiharkan.
Sementara itu, dalam operasi yang dijalankan sekitar Selayang kelmarin, JKDM bersama beberapa agensi penguat kuasa lain memeriksa 16 premis dan merampas pelbagai jenama rokok putih dan keretek bernilai RM2,550 dengan anggaran cukai RM11,781.

Saadon berkata, hasil operasi itu, seramai lima individu warga tempatan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali nilai barang atau tiga tahun penjara.

“Saya berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat kepada pihak kastam berhubung aktiviti penyeludupan dan penjualan barangan tidak sah di kawasan mereka.

“Identiti pemberi maklumat dirahsiakan dan pemberian sagu hati akan dipertimbang bagi setiap laporan kes yang tepat sehingga tertangkapnya pihak terbabit,” katanya.
Berita Harian Online | JKDM rampas barangan seludup RM28 juta

Tempat sampah seludup manusia

57 pendatang ditahan cuba guna laluan tikus

KOTA TINGGI: Sindiket penyeludupan manusia dikesan menjadikan kawasan pembuangan sampah berhampiran pesisir pantai Johor sebagai laluan baru menyeludup masuk atau keluar pendatang tanpa izin dari negara ini.
Taktik terbaru itu terbongkar selepas sepasukan anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua menahan 57 warga Indonesia dalam serbuan ke satu kawasan pembuangan sampah Kampung Masjid dekat Teluk Ramunia, di sini kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.
Komandernya, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan, berkata seramai 44 lelaki dan 13 wanita berusia 19 hingga 50 tahun ditahan hasil maklumat awam serta risikan dan dipercayai cuba menyeludup keluar dari negara ini menggunakan laluan tikus.

Katanya, pemeriksaan yang dijalankan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah, selain mengaku cuba pulang ke negara asal melalui jalan laut secara haram.

“Bagaimanapun, ketika serbuan dilakukan, tiada tekong atau anggota sindiket penyeludupan manusia yang bertanggungjawab membawa mereka keluar dari negara ini di kawasan berkenaan," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, semua pendatang itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, Zainul Abidin berkata, pihaknya sudah menahan seramai 755 pendatang tanpa izin yang cuba menyeludup keluar secara haram dengan 62 kes membabitkan Akta Imigresen sejak awal tahun hingga kelmarin.

Justeru, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung cubaan pendatang asing tanpa izin untuk keluar dari negara ini secara haram supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkenaan kepada PGM Wilayah Dua ditalian 07-2372222 atau 07-2376122.
Berita Harian Online | Tempat sampah seludup manusia

Bapa, ibu ‘ketua’ pencuri anak beranak

TELUK INTAN: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Itulah yang berlaku kepada sepasang suami isteri yang sering membawa dua anak mereka berusia tiga dan empat tahun untuk mencuri pelbagai barangan di pusat beli-belah dan kedai sekitar negeri ini, sebelum ditahan selepas mencuri dua telefon bimbit seorang kerani di Taman Ros di sini, Selasa lalu.
Pasangan terbabit yang begitu licik menjalankan kegiatan mereka berjaya meloloskan diri daripada buruan polis kerana sering berpindah randah.
Modus operandi suspek adalah pergi ke premis perniagaan yang tiada pelanggan sebelum si bapa atau ibu berpura-pura bertanya harga sesuatu barangan dan kemudian bertengkar dengan peniaga berkenaan.

Pada masa sama seorang daripada mereka mengajak dua anak kecil masing-masing seorang lelaki dan perempuan mencuri barangan di kedai itu sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata pasangan itu yang masing-masing berusia 29 tahun turut diburu polis Sungai Siput, Tapah dan Sitiawan kerana pelbagai kesalahan termasuk kes curi motosikal.

Beliau berkata, pasangan itu diberkas ketika menunggang motosikal curi di Jalan Sungai Manik di sini, ketika melarikan diri selepas mencuri dua telefon bimbit milik seorang kerani syarikat insurans di Taman Ros.
Katanya, hasil soal siasat, pasangan itu mengaku terbabit dalam beberapa kes mencuri di beberapa pusat beli-belah dan kedai di sekitar Teluk Intan.

“Polis kemudian merampas pelbagai barangan curi termasuk telefon bimbit, komputer riba, jam tangan dan kamera yang disembunyikan di dua rumah iaitu di Taman Fajar dan Jalan Perak di Taman Malaysia.

"Siasatan mendapati pasangan itu bersama dua anak mereka terbabit dalam sekurang-kurangnya enam kes curi di sekitar Teluk Intan sejak dua bulan lalu.

"Siasatan juga mendapati motosikal dinaiki pasangan itu turut dilaporkan dicuri di Sitiawan. Lelaki terbabit mempunyai beberapa kes jenayah lampau dan masih menjadi buruan polis Tapah, Sungai Siput dan Sitiawan," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Berita Harian Online | Bapa, ibu ‘ketua’ pencuri anak beranak

4 ditahan bawa parang panjang


 MOHD MOKHTAR  (dua dari kanan) melihat sebahagian parang yang ditemui dalam sebuah kereta milik empat remaja pada sidang media di IPK Johor, semalam.
MOHD MOKHTAR (dua dari kanan) melihat sebahagian parang yang ditemui dalam sebuah kereta milik empat remaja pada sidang media di IPK Johor, semalam.


Suspek dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap naik kereta dalam keadaan curiga

JOHOR BAHRU: Empat pemuda berusia 18 hingga 23 tahun dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap ditahan bersama sembilan parang panjang dalam pemeriksaan polis dekat Taman Daya di sini, awal pagi kelmarin.
Suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Wira warna hitam dalam keadaan mencurigakan itu, ditahan sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan terbabit kira-kira jam 1 pagi.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif, berkata anggota polis bermotosikal yang meronda di kawasan itu mengesan kereta berkenaan yang dipandu laju sebelum memintas kenderaan terbabit serta mengarahkan pemandunya supaya berhenti.

Katanya, polis yang melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan itu terkejut apabila menemui tiga parang panjang di tempat duduk bahagian belakang, manakala enam lagi tersorok dalam bonet kereta itu.

"Berdasarkan senjata bahaya yang dibawa, kita percaya mereka adalah anggota kumpulan kongsi gelap. Seorang daripada mereka dikesan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Johor di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Datuk Amer Awal.
Mohd Mokhtar berkata, polis masih menyiasat motif sebenar suspek membawa senjata itu dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang sengaja ingin menimbulkan huru hara di negeri ini.

"Polis memberi jaminan akan menyiasat perkara ini secara menyeluruh kerana kita tidak mahu wujudnya kumpulan kongsi gelap di negeri ini yang boleh mendatangkan keadaan tidak selamat di kalangan masyarakat," katanya. Kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Mokhtar berkata, polis menyelesaikan kes samun sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak kelapa sawit dalam tempoh 24 jam dengan tertangkapnya tiga lelaki pada Jumaat lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi apabila seorang pemandu lori yang sedang tidur dalam kenderaannya itu disamun tiga lelaki bersenjatakan pisau di sebuah stesen minyak berhampiran Lebuhraya Pasir Gudang.

Katanya, mangsa seterusnya dibawa suspek dan ditinggalkan di kawasan Perindustrian Tebrau 2 sebelum mereka melarikan lori terbabit bersama dokumen serta telefon bimbit milik mangsa. Berita Harian Online | 4 ditahan bawa parang panjang

Lelaki tembak lima belia di Monterrey

MEXICO CITY: Seorang lelaki bersenjata menembak mati lima mangsa di tempat awam, pinggir Monterrey utara negara ini semalam.

Jurucakap keselamatan wilayah Nuevo Leon berkata, mangsa berusia di antara 15 dan 20 tahun.
Jumaat lalu, kira-kira 15 lelaki bersenjata menembak mati 20 orang dalam sebuah bar di Monterrey. Tiada seorang pun ditahan setakat ini. - AFPBerita Harian Online | Lelaki tembak lima belia di Monterrey

Lelaki bersenjata culik tiga orang termasuk wanita AS di Filipina


GERFA Yeatts Lunsmann (kiri) dan anak lelakinya, Kevin Eric Lunsmann (tengah) bergambar bersama suaminya yang tidak diketahui identitinya.
GERFA Yeatts Lunsmann (kiri) dan anak lelakinya, Kevin Eric Lunsmann (tengah) bergambar bersama suaminya yang tidak diketahui identitinya.


MANILA: Sekumpulan lelaki bersenjata di Filipina menculik tiga orang awal semalam, termasuk seorang wanita Amerika Syarikat dan anak lelakinya berusia 14 tahun, kata polis.

Lelaki bersenjata itu menyerbu sebuah rumah pantai di Pulau Tictabon, berhampiran bandar raya pelabuhan di selatan Zamboanga, dan melarikan tiga orang pelancong, kata Ketua Polis Bandar Raya Manila, Edwin de Ocampo kepada pemberita.
Pulau itu adalah di selatan Filipina yang bermasalah di mana militan dan pemisah Islam aktif.
De Ocampo berkata seramai 14 lelaki bersenjata menaiki dua bot tiba kira-kira jam 3 pagi pada Selasa dan menewaskan pengawal tanpa senjata.

Mereka melarikan Gerfa Yeatts Lunsmann, 50, anak lelakinya Kevin Eric dan seorang anak saudara, Romnick Jackaria, 19.

“Kami masih lagi menjejaki kumpulan lelaki bersenjata itu dan mencari di mana mereka membawa tahanan terbabit,” kata de Ocampo sambil menambah suami wanita itu, seorang rakyat Jerman sudah dimaklumkan mengenai penculikan itu.

Lunsmanns adalah dari Virginia dan juga sedang bercuti bersama beberapa saudara di pulau terbabit.
Mereka sepatutnya pulang ke rumah minggu ini selepas dua minggu berada di Filipina, kata de Ocampo.

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam penculikan itu. Sebilangan kumpulan pemisah beroperasi di kawasan penculikan berlaku, kata de Ocampo.

Kumpulan militan Abu Sayyaf dan juga kumpulan pemisah terbesar, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) aktif di kawasan terbabit.

Kumpulan Abu Sayyaf melakukan banyak penculikan termasuk membabitkan seorang rakyat Malaysia dan India di Pulau Basilan dan Jolo.

Bulan lalu, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia memberi amaran melarang warga mereka ke kawasan larangan di selatan Filipina terutama kawasan peranginan dan menyelam di Basilan, Jolo dan kawasan Tawi-tawi berikutan ancaman penculikan dan serangan bom. – Reuters Berita Harian Online | Lelaki bersenjata culik tiga orang termasuk wanita AS di Filipina

Lelaki maut bom buatan sendiri meletup

MATARAM: Sekurang-kurangnya seorang lelaki terbunuh apabila sebutir bom buatan sendiri meletup di sebuah sekolah agama di timur Indonesia semalam, yang didakwa pihak polis mempunyai kaitan dengan ulama radikal, Abu Bakar Bashir.

“Sebutir bom yang diubah suai meletup di dalam sebuah bilik darjah jam 3.30 petang,” kata jurucakap polis wilayah Nusa Tenggara Barat, Sudjoko, yang menambah, bendahari sekolah, Firdaus, terbunuh dalam letupan itu.
Laporan menyatakan selepas letupan itu beratus-ratus pelajar dilengkapi senjata tajam menyekat laluan ke sekolah bagi menghalang polis dan askar memasuki lokasi kejadian untuk menyiasat.
“Mereka tidak membenarkan kami masuk ke kawasan sekolah,” katanya. – AFP Berita Harian Online | Lelaki maut bom buatan sendiri meletup