Search This Blog

Tuesday, July 12, 2011

Kerajaan Negeri kesal kes pelajar dirantai, ditendang



KOTA BHARU- Kerajaan Negeri kesal terhadap kes pelajar salah sebuah sekolah tahfiz di Bachok yang dikatakan dirantai dan ditendang akibat kesalahan merokok.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, jika kes berkenaan berlaku, hukuman yang dikenakan guru berkenaan tidak patut dilakukan ke atas pelajar terbabit.

“Jika benar perkara ini berlaku, tidak sepatutnya hukuman merantai dan menendang dilakukan.

“Ini kerana, masih ada cara lain yang lebih sesuai bagi menghukum pelajar yang melakukan kesalahan, bukan dengan cara yang teruk dan memudaratkan pelajar itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata, sekolah itu dikatakan sekolah swasta dan ia berada di luar bidang kuasa Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Biasanya, sekolah tahfiz swasta akan didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam Kelantan (Maik), tetapi saya tidak pasti ia sudah berdaftar atau belum, jika mengikut peraturan, ia perlu berdaftar,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar tahfiz di Bachok, Mohd Ihsan Mohd Husain, 13 mendakwa terpaksa berjalan kaki kira-kira dua setengah jam selepas melarikan diri daripada guru yang didakwa memukulnya akibat kesalahan merokok.

Ibu bapa pelajar itu mengakui kesalahan anaknya, namun mereka kesal dengan mendakwa hukuman merotan dan menendang anaknya yang mengakibatkan kecederaan yang agak keterlaluan.

Kes itu dibuat laporan polis di Balai Polis Bachok dan keluarga pelajar harapkan tindakan tegas terhadap guru itu diambil.
SH

Ibu, dua anak rindukan Asiah



PASIR PUTEH – Pemergian Asiah Awang Ngah, 38, mengikut suaminya yang berasal dari Sabah, lima tahun lalu, menyebabkan ibunya, Wan Selamah Wan Hassan, 74, dan dua anaknya merindui kepulangannya.

Anak keduanya, Mohd Amiruddin Daud, 19, berkata, kali terakhir dia dan abangnya, Mohd Hafizul Daud, 25, bertemu ibunya itu adalah selepas perkahwinan ibunya itu dengan ayah tiri mereka lima tahun lalu.

“Selepas itu sehingga sekarang kami tidak lagi bertemu atau mendengar khabar beritanya.

“Kami ada berhubung beberapa kali dengan telefon tetapi selepas itu nombor yang diberikan itu sudah tidak dapat dihubungi lagi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Batu Lapan, Jalan Pasir Puteh-Machang di sini, semalam.

Menurutnya, mereka sekeluarga sangat merindui ibunya itu dan berharap sangat jika ada yang mengenali dan mengetahui di mana Asiah berada dapat memberikan maklumat kepada mereka sekeluarga.

Mohd Amiruddin berkata, ibunya merupakan anak ke ketujuh daripada lapan adik beradik, dan semua adik beradiknya ada mencari tetapi tidak menjumpai ibunya itu.

“Kami dah buntu, kerana gambar kenangan pun tidak ada, jadi tidak tahu macam mana untuk mencari ibu,” katanya.
SH

Guru maut, lima cedera



KOTA BHARU- Rutin seorang ibu menghantar anaknya ke sekolah setiap pagi berakhir semalam apabila dia maut dalam kemalangan di Batu 6 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Tunjong, pagi semalam melibatkan dua kereta, dua motosikal dan sebuah van.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Junaidah Mohd Nor, 45, menaiki kereta jenis Wira bersama empat anaknya, Nurul Julia Mohd Nawi, 17, Nabila Jasmine, 15, Norjaihan Hafini, 13, dan Natasha Juliana, 10, untuk menghantar mereka ke sekolah masing-masing.

Dalam kejadian tersebut, Junaidah yang juga seorang guru Bahasa Melayu Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner, Azham Othman berkata, kejadian berlaku apabila sebuah van dari arah Kota Bharu menghala ke Ketereh cuba memotong sebuah kereta lalu bertembung dengan kereta Kancil dari arah bertentangan.

”Selepas bertembung dengan Kancil tersebut, van tersebut hilang kawalan dan masuk semula ke laluannya dan melanggar sebuah motosikal serta terbabas semula ke laluan bertentangan lalu dirempuh oleh kereta yang dinaiki mangsa dan anak-anaknya.

”Manakala sebuah motosikal lain yang berada di belakang kereta mangsa turut terbabas,” katanya.

Dalam kejadian itu, keempat-empat anak Junaidah cedera dan menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, manakala salah seorang kanak-kanak membonceng motosikal lain bersama ibunya yang dilanggar van terbabit dilaporkan cedera.

Sementara itu, suami mangsa, Mohd Nawi Deraman, 45, berkata, pada hari kejadian arwah isterinya keluar rumah lebih awal darinya iaitu kira-kira jam 6.40 pagi untuk menghantar dua anaknya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab 1, seorang di Sekolah Kebangsaan Putera dan seorang lagi di SMK Putera.

Katanya, sebelum kematian isterinya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan bersikap seperti kebiasaannya dengan menjemur pakaian sebelum menghantar anak-anak ke sekolah.

Mohd Nawi yang juga seorang guru di SMK Mulong berkata, ketika dalam perjalanan ke sekolahnya bersama dua lagi anaknya dia mendapati lalu lintas sesak dan menyedari berlaku kemalangan.

”Saya terima panggilan telefon memberitahu isteri saya terlibat kemalangan dan saya jangka ia kemalangan biasa,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Nawi terkejut mendapat tahu isterinya maut dan seorang anaknya parah dalam kemalangan itu.

Semalam, Azham bersama pegawainya melawat anak mangsa yang menerima rawatan di HRPZ II.
SH

Curi dompet: Penganggur dijel empat bulan



KOTA BHARU – Gara-gara tindakannya mencuri dompet milik seorang pengunjung di sebuah dewan badminton, di sini, sebulan lalu, seorang penganggur dijatuhi hukuman empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Keputusan itu dibuat Majistret Nur Zakiyah Shamsudin sejurus tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan selesai dibacakan terhadap lelaki berusia 30 tahun tersebut.

Zali Zulyadi Seman bersalah mencuri beg duit mengandungi wang tunai RM29 dan pengenalan diri milik Mohd Badrul Azwarie, 27 di Dewan Badminton Suara Muda, Jalan Doktor, di sini 7 Jun lalu.

Dalam kejadian 10 malam itu, Mohd Badrul mengunjungi dewan tersebut untuk bermain badminton meletakkan beg duit tersebut bersama pakaian di atas kerusi sebelum datang tertuduh dan duduk berdekatan kerusi terbabit.

Sejurus 20 minit tertuduh meninggalkan dewan itu, pengadu yang membuat pemeriksaan mendapati dompetnya hilang dan bertindak membuat laporan ke balai polis yang membawa kepada penahanan tertuduh.

Pada prosiding semalam, tertuduh turut menghadapi tuduhan berasingan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menagih dadah jenis Metamphetamine.

Hukuman penjara mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan itu diarah Majistret Nur Zakiyah bermula dari tarikh tangkapan.
SH

Dipenjara lima tahun kerana meragut



KUANTAN – Seorang penganggur berusia 24 tahun dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam, kerana meragut rantai bernilai RM1,000 yang dipakai seorang wanita.

Hakim Mohd Azhar Otman menjatuhkan hukuman itu kepada Hafizuddin Abdul Rashid selepas meneliti fakta kes dan rayuan peguam belanya.

Mohd Azhar sebelum menjatuhkan hukuman berkata, walaupun mangsa tidak alami kecederaan namun kesalahan itu serius dan boleh mengganggu ketenteraman awam dan menakutkan mangsa.

Hafizuddin melakukan kesalahan itu di hadapan balai bomba Jalan Bukit Ubi pada 5 Jun lalu kira-kira jam 12 tengah hari. Bagaimanapun, wanita berusia 35 tahun itu tidak mengalami kecederaan.

Dia yang ditemani bapanya hanya mendiamkan ketika hakim menjatuhkan hukuman. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Tan Gin Han.
SH

Mohon dibicara, tidak mengaku salah miliki dadah



KUALA TERENGGANU- Seorang pemuda berhadapan penjara seumur hidup sekiranya didapati bersalah, selepas didakwa memiliki dadah jenis Methamphetamine di Mahkamah Sesyen, semalam.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Hasrul Hamdan, 22, dari Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) Akta yang sama dibacakan dihadapan hakim Azman Mustapha.

Selepas pengakuan tidak bersalah direkodkan, Azman menetapkan 21 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk menunggu laporan kimia.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 27 Jun lalu jam lebih kurang enam petang di sebuah rumah di Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot telah ada dalam kawalan dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat kasar 36.4 gram.

Dengan itu, dia didapati melakukan kesalahan jika disabitkan, boleh dipenjara tidak kurang lima tahun atau dipenjara seumur hidup dan diwajibkan tidak kurang 10 sebatan.
SH

Nafsu syaitan



BIJANGGA – Seorang bapa bernafsu syaitan bertindak di luar perikemanusiaan apabila sanggup menodai kesucian anak tirinya sendiri sebagai alat pemuas nafsu.

Tembelang jahat suspek yang tidak berhati perut itu terbongkar apabila bapa mangsa mengesyaki sesuatu perkara buruk berlaku terhadap anak perempuannya yang mengadu sakit pada kemaluan ketika hendak memandikannya di bilik air.

Sebelumnya, mangsa yang baru berusia empat tahun dan kakaknya berusia 6 tahun difahamkan tinggal bersama ibunya di Bijangga yang mendirikan perkahwinan kedua bersama suspek selepas bercerai dengan bapa mangsa.

Kejadian dipercayai mula disedari 7 Jun lalu apabila bapa mangsa pergi untuk mengambil dua anak perempuannya yang ditinggalkan di rumah abangnya.

Ketika hendak memandikan mangsa, anaknya itu mengadu sakit pada kemaluan dan ketika ditanya mangsa dikatakan menceritakan segala perbuatan durjana bapa tirinya.

Bapa mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Dungun.

Berikutan itu, suspek yang bertugas sebagai Pembantu Pertanian di sebuah agensi kerajaan di Dungun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah di rumahnya di Desa Keluarga, Bijangga, kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam.

Suspek, berusia 26 tahun yang baru tiga bulan menimang cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan isterinya (ibu mangsa) kini ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kes terbabit dan pihaknya kini sedang melengkapkan kertas pertuduhan sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk mensabitkan suspek dengan kesalahan dilakukannya.
SH

Remaja nyaris maut nahas



PELABUHAN KLANG – Sekumpulan anggota Trafik dari Balai Klang Selatan yang sedang menjalankan sekatan jalan raya dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat sebelum seorang remaja dilihat terbaring di jalan raya Persiaran Raja Muda Musa, malam kelmarin.

Bimbangkan nyawa remaja terbabit, anggota Trafik terbabit berlari menyelamatkan mangsa yang mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dan tangan.

Remaja yang berusia 16 tahun itu dikatakan menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha R6 milik bapanya.

Ketua Operasi yang juga Pegawai Trafik dari Balai Trafik Klang Selatan, Cif Inspektor Zulkifli Hashim berkata, remaja itu mengaku menunggang motosikal dalam keadaan laju dan tidak menyedari adanya sekatan jalan raya sedang dijalankan polis.

“Hanya beberapa meter dari tempat pemeriksaan barulah dia menyedari ada sekatan jalan raya, sebelum menekan brek mengejut dann hilang kawalan serta melanggar kereta Proton Wira di hadapannya.

“Akibatnya, bahagian belakang kenderaan itu remuk begitu juga dengan keadaan motosikal yang ditunggang remaja tersebut. Dia yang cedera kemudiannya dihantar ke klinik bagi mendapatkan rawatan oleh bapanya yang turut hadir di tempat kejadian,” katanya.

Zulkifli berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 malam ketika beliau bersama enam anggota sedang menjalankan pemeriksaan melalui operasi Cegah Samseng Jalanan di Persiaran Raja Muda Muda arah Pelabuhan Klang.

“Kami tidak sangka kejadian ini berlaku, sedangkan kami telah meletakkan kon dan papan amaran berkenaan pemeriksaan polis beberapa meter daripada tempat pemeriksaan sebagai makluman kepada pemandu kenderaan.

“Bagaimanapun, kami agak kesal kejadian ini berlaku yang mana ia boleh mengancam keselamatan anggota polis yang sedang bertugas,” katanya.

Beliau berkata, walaupun begitu pihaknya tetap bersyukur kerana remaja itu terselamat daripada sebarang kejadian lebih serius.

Oleh itu, katanya, orang ramai dinasihatkan agar peka dan prihatin dengan sebarang papan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelak kejadian seumpama ini berulang.
SH

Cebisan daging dalam sampah



PETALING JAYA – Seorang pekerja pembersihan di sebuah kondominium di Bandar Sri Damansara dekat sini menggigil ketakutan apabila beg plastik yang disangkanya mengandungi sampah rupa-rupanya mengandungi darah dan cebisan daging selepas plastik itu terburai akibat terjatuh.

Pekerja berkenaan, Sumiati Nawi, 50, berkata, ketika kejadian dia sedang menjalankan tugas hariannya membersihkan bilik sampah di blok B kira-kira jam 8 pagi sebelum menemui bungkusan plastik berwarna hitam

“Beg plastik hitam itu memang dilonggokkan bersama sampah yang lain di dalam bilik itu, saya angkat beg plastik itu dan letakkannya di atas troli sebelum ia secara tidak sengaja tiba-tiba bergolek dan jatuh ke lantai,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Panik melihat bungkusan plastik kecil berwarna merah di dalamnya menghamburkan darah, dia bergegas melaporkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan bertugas yang kemudiannya bertindak menghubungi polis.

Menurutnya, kejadian terbabit adalah kali pertama berlaku sejak dia mula bekerja di situ sejak setahun lalu.

Pasukan Forensik yang menjalankan pemeriksaan terperinci di sekitar kawasan itu turut menemui bahan lain yang boleh dikaitkan dengan penemuan beg plastik yang mengandungi darah itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi berkata, pihaknya belum dapat mengenal pasti sama ada darah dan cebisan daging yang ditemui milik manusia ataupun tidak.

Menurutnya, bahan yang ditemui itu dibawa ke makmal untuk menjalani ujian kimia terlebih dahulu bagi mengesahkan kandungannya dan kes berkenaan masih di dalam siasatan.
SH

Usaha mencari Tze Choong masih diteruskan



MELAKA - Lelaki yang dipercayai lemas semasa memancing kira-kira 5 batu nautika dari perairan antarabangsa berhampiran Pulau Undang, dekat sini, pagi kelmarin, masih belum ditemui.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abdul Rahman berkata, setakat ini usaha mencari masih diteruskan, biarpun mangsa, Choy Tze Choong, 28, sudah lebih 36 jam hilang.

“Pasukan mencari dan menyelamat masih belum menemui sebarang petunjuk bagi mengetahui di mana lokasi mangsa berada dan operasi mencari dijalankan di sekitar perairan 10 batu nautika dari Jeti Umbai di mana mangsa dikhuatiri lemas.

“Sebanyak enam buah bot digunakan bagi operasi mencari membabitkan seramai 40 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, pasukan Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pertahan Awam Malaysia (JPAM) dan Agensi Penguat kuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya.

Sementara itu, abang ipar mangsa, Micheal Lee, 41, berkata, mereka sekeluarga bimbang memikirkan nasib menimpa adik iparnya itu.

“Namun, kami sekeluarga sudah bersedia segala kemungkinan dan menerima kenyataan sekiranya dia sudah tiada lagi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Sabtu lalu, mangsa dikatakan keluar memancing bersama enam rakan lain dengan menggunakan khidmat sebuah bot dari jeti Muara Sungai Duyong, di sini, namun dilaporkan hilang kira-kira 9 pagi kelmarin ketika dalam perjalanan pulang.
SH

Kereta terbabas, langgar tiang elektrik



MELAKA - Dua lelaki maut, manakala dua lagi cedera parah apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbabas lalu melanggar sebatang tiang elektrik, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 3 pagi di Jalan Hang Tuah, dekat sini berhampiran sebuah stesen minyak.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Ong Kian Keong, 35, dari Taman Tanjung Minyak Utama yang memandu kereta jenis Honda Civic berkenaan.

Manakala seorang lagi mangsa, Tan Meng Hoe, 41, dari Taman Bukit Cheng dikatakan duduk di bahagian penumpang hadapan.

Dua lagi penumpang kenderaan sama turut mengalami kecederaan, bagaimanapun dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Melaka Tengah, Asisten Superintendan V. Gunasegaran ketika mengesahkan kemalangan itu berkata, kereta mangsa turut terbalik, lalu masuk ke dalam longkang sebaik saja terbabas.
SH

Lapan tayar kereta lesap



ALOR GAJAH - Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi yang sedang bersiap untuk ke tempat kerja terkejut apabila mendapati kesemua lapan tayar daripada dua keretanya Proton Waja dan Proton Gen2 hilang, pagi semalam.

Huzaisham Hussin, 51, tinggal di Jalan Haji Hassan, Ayer Limau, Masjid Tanah berkata, ketika sedang bersiap dan masih berada di dalam rumah kira-kira 6.40 pagi, dia dikejutkan dengan jeritan anak bongsunya yang berada di luar rumah.

Menurutnya, anak bongsunya, Nur Hasifah, 14, sudah berada di luar rumah untuk ke sekolah.

“Tiba-tiba dia masuk semula ke dalam rumah dan memaklumkan bahawa kesemua tayar kereta milik saya dan isteri itu sudah tiada dan pada mulanya saya enggan mempercayai kerana menganggap dia hanya bergurau.

“Kemudiannya, dia minta saya melihat sendiri kereta yang berada di parkir dan sebaik melihatnya saya rasa seperti hendak pengsan, habis kelapan-lapan tayar dua kereta saya dikebas perompak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Huzaisham berkata, pintu pagar rumahnya bertutup dan dia tidak mendengar sebarang bunyi mencurigakan atau bunyi bising peralatan yang digunakan perompak terbabit.

“Saya memang ada letakkan tindihan batu tela yang digunakan untuk mengubahsuai rumah di bawah tepi kedua-dua kereta terbabit dan itu mungkin memudahkan perompak melakukan operasi mereka,” katanya.

Beliau berkata, salah sebuah kereta itu digunakan isterinya, Nor Wardah Abu Hasan, 47, yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan Ayer Limau.

“Apabila melihat kesemua tayar sudah tiada, saya tidak dapat pergi bekerja pada hari ini (semalam) dan anak saya pula tidak ke sekolah, mujur hari ini isteri bercuti,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Huzaisham terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM3,000 bagi menggantikan semula tayar yang hilang.

Huzaisham juga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Masjid Tanah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin mengesahkan laporan berhubung kejadian itu.

“Kita ada menerima laporan berhubung kecurian tayar kereta terbabit dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek yang melakukan kegiatan ini.

“Kes akan disiasat di bawah seksyen 379 kanun keseksaan atas kesalahan mencuri,” katanya.
SH

Kaki judi lari lintang pukang



TAMPIN - Beberapa kaki judi yang sedang leka berada di premis nombor ekor di sekitar pekan ini, bertempiaran lari selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), petang kelmarin.

Serbuan turut bertukar menjadi kecoh apabila ada antara mereka yang dicekup enggan memberikan kerjasama ketika butiran mereka hendak direkodkan.

Dalam operasi khas kira-kira 6 petang itu, seramai 14 kaki judi yang berada di empat premis sekitar pekan Tampin dan Gemencheh, di sini ditangkap.

Ketua Operasi, Ahmad Zaki Hamzah berkata, serbuan itu dibuat hasil aduan orang awam yang kurang senang melihat gelagat pembeli nombor ekor beragama Islam tidak segan silu menjejaki premis berkenaan.

Menurutnya, antara ditangkap merupakan seorang penjawat awam pada serbuan pertama di pekan Tampin.

“Pada serbuan pertama, enam lelaki ditahan, manakala pada serbuan kedua pula membabitkan dua premis di pekan Gemencheh, lapan lelaki Melayu ditahan,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan, kelmarin.

Menurutnya, semua yang ditangkap dibawa ke Balai Polis Tampin dan Gemencheh untuk tindakan lanjut.

Zaki berkata, mereka yang dicekup berumur antara 30 dan 60 tahun dan bakal disiasat mengikut Seksyen 79 (a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2004 kerana berada di dalam premis perjudian.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
SH

Jambatan Pulau Pinang sesak, kabel TNB terbakar



GEORGETOWN - Ratusan kenderaan terkandas hampir dua jam di laluan masuk dan keluar di Jambatan Pulau Pinang dan sekitar bandar itu apabila kabel elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di bawah jambatan itu terbakar petang semalam.

Jurucakap Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB) berkata, kesesakan itu menjadi serius berikutan kejadian kebakaran kabel berkenaan berlaku pada waktu puncak iaitu pada 5.30 petang semalam.

Bagaimanapun keadaan jalan beransur pulih pada 7 malam semalam setelah kerja-kerja pembaikan kabel dan memadam kebakaran selesai dijalankan.

Sementara itu, Pengurus Besar TNB Pulau Pinang Abdul Aziz Jaafar ketika dihubungi mengesahkan berlakunya kebakaran kabel simpanan di bawah jambatan itu pada 5.25 petang semalam.

Katanya, kebakaran kabel itu bagaimanapun tidak menjejaskan bekalan elektrik di negeri itu kerana ia hanyalah kabel simpanan.

“Kebakaran kabel 132kv itu dapat dipadamkan sepenuhnya pada 6.30 petang tadi dan ia hanya melibatkan kabel simpanan dan TNB sedang menjalankan siasatan mengenai punca kejadian,” katanya. - Bernama
SH

Mayat lelaki ditemui



PADANG SERAI - Mayat seorang lelaki berusia 29 tahun ditemui di Ladang Kelapa Sawit, Padang Meha dekat sini kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mangsa hanya berseorangan di tempat kejadian.

“Mayat mangsa ditemui oleh orang ramai dan kemudiannya memaklumkan penemuan mayat itu kepada polis. Dari pemeriksaan dijalankan terhadap mayat mangsa, polis tidak menemui sebarang perbuatan jenayah yang boleh mengakibatkan mangsa terbunuh.

“Sehingga kini polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya.

Menurut orang ramai yang berada di tempat kejadian berkata, mangsa sedang menarik sesuatu sebelum terjatuh dan meninggal dunia.
SH

Maut ketika ke tempat kerja



AYER TAWAR - Seorang kakitangan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) maut dihempap lori dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 5.0 Jalan Sitiawan-Ipoh, berhampiran simpang tiga Sungai Wangi, di sini pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.15 pagi itu, Abu Bakar Ariffin, 54, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah lori yang terbabas akibat hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, lori yang membawa muatan pasir itu dalam perjalanan dari arah Ayer Tawar ke Sitiawan.

Bagaimanapun, menurutnya, tiba di tempat kejadian, pemandu lori berkenaan dipercayai hilang kawalan dan melanggar motosikal mangsa sebelum terbalik ke bahagian kanan jalan.

“Mangsa berasal dari kampung Sungai Wang, di sini maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan mengalami pendarahan dalaman.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja.

Allahyarham Abu Bakar merupakan Pembantu Kesihatan Awam Unit Lanskap, Jabatan Perancangan Bandar MPM dan telah berkhidmat selama lebih lapan tahun.

Seorang saksi, Mohd Norzi Musa berkata, ketika kejadian, dia sedang menunggu seorang rakan di sebuah lokasi tidak jauh dari tempat perlanggaran berlaku.

Menurutnya, sebelum insiden itu, dia sempat melihat dua lori dipandu laju menuju ke arah simpang jalan yang ketika itu menandakan isyarat berhenti.

“Ketika itu, ada tiga kereta dan sebuah motosikal berhenti di simpang berkenaan, gagal menghentikan kenderaan, lori yang membawa muatan pasir itu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik menghempap motosikal mangsa,” katanya.
SH

Empat lelaki dikehendaki



KUALA KANGSAR – Tiga lelaki India dan seorang lelaki Melayu diburu pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah serta samun di lokasi berasingan di sini bulan lalu.

Dua daripada mereka, C Peachu Muthu, 22, dan N Murli, 19, diminta melaporkan diri bagi membantu siasatan berkaitan kes pecah rumah di Kampung Buaia, Padang Rengas yang berlaku pada 7 Jun lalu.

Manakala, H Barathidass, 18, pula disyaki terlibat dengan satu kes samun di Jalan Besar, Kampung Baru Jerlun pada Mei lalu dan Mohd Ridzuan Pandak Osman, 48, diburu kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah mengakibatkan kerugian sehingga RM120,000 di Taman Seikh Tahir, Kampung Stesen pada Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritendan Abdul Gaffar Mohammad berkata, keempat-empat lelaki tersebut diperlukan untuk membantu siasatan bagi menyelesaikan tiga kes samun dan pecah rumah.

Menurutnya, dengan bantuan mereka, kes berkenaan dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan mampu mengelak kejadian yang sama daripada berulang.

“Pada Mei lalu, seorang lelaki dari Kampung Buaia membuat laporan mengatakan rumahnya dimasuki lima lelaki pada jam 4 pagi.

“Peachu dari Taman Sungai Mas, Taiping manakala Murli dari Taman Kaya, disyaki terlibat dengan kejadian berkenaan,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Beliau berkata, pada bulan yang sama, seorang wanita mengalami kerugian puluhan ribu ringgit apabila barang berharganya dilarikan tiga lelaki dalam satu kejadian pecah rumah di Kampung Stesen.

Katanya, bagi membantu siasatan Mohd Ridzuan yang berasal dari Taman Bunga Raya Kuala Kangsar kini sedang diburu polis.

“Barathidass dari Taman Bunga Raya turut diburu bagi membantu siasatan berkaitan kes samun di Jerlun, manakala tiga suspek lagi sudah dituduh di mahkamah berhubung kes itu,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keempat-empat lelaki berkenaan diminta menghubungi polis menerusi talian 05-7762222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Azman Nawi , 019-5535578.
SH

Dadah: Tiga bujang terlajak ditahan



BAGAN SERAI – Kegiatan licik tiga lelaki bujang yang dipercayai menyara hidup melalui hasil pengedaran dadah jenis ganja berjaya dibongkar polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Parit Sungai Setar 1, Parit Buntar.

Tiga lelaki berusia lingkungan 42 hingga 45 tahun berasal dari Titi Serong dan Kampung Kedah itu ditahan secara berasingan dalam operasi yang dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri, di sini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Mat Fauzi Nayan berkata, penangkapan tiga lelaki itu berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah jenis ganja di sekitar kawasan Utara Perak, Selatan Pulau Pinang dan Kedah.

Menurutnya, salah seorang daripada lelaki berkenaan ditahan 6 Julai lalu di Jalan Terusan Simpang Lima, Parit Buntar.

“Hasil pemeriksaan ke atas motosikal yang ditungganginya, polis menemui satu bungkusan plastik hitam mengandungi dua ketulan mampat daun kering yang dibalut dengan plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja seberat 1,833 gram.

“Pada hari yang sama sekitar jam 10.10 malam, polis membuat serbuan ke sebuah rumah di Parit Sungai Setar 1 dan telah berjaya menahan dua lagi lelaki yang ketika itu berada di rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui pada sidang media di bilik mesyuarat IPD Bagan Serai, di sini semalam.

Pemeriksaan lanjut anggota polis diketuai Asisten Superintendan Mohd Fikri Hashim yang dibuat dalam rumah berkenaan, membawa kepada penemuan tiga lagi ketulan mampat dadah jenis ganja dengan anggaran seberat 112 gram.

Turut dirampas wang tunai berjumlah RM3,320 dipercayai hasil jualan dadah termasuk selaras senapang angin buatan sendiri.

Mat Fauzi berkata, rampasan senapang angin itu adalah yang pertama membabitkan pengedar dadah dan boleh didakwa di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api kerana memiliki senjata api tanpa lesen.

Katanya, dua daripada lelaki yang ditahan didapati mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata, siasatan lanjut ke atas tahanan itu, polis diketuai Asisten Superintendan Frediel Anak Nyambong menemui beg yang mengandungi enam ketulan mampat ganja anggaran 4,918 gram yang disembunyikan di kawasan sawah padi, di belakang rumah yang didiami lelaki berkenaan.

“Buat masa ini, semua mereka ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Peraturan Jenayah (KPJ) selama 7 hari sehingga Rabu ini.

“Kes akan disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah, jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori,” katanya.

Semua dadah jenis ganja seberat 6,863 gram yang dirampas dianggarkan bernilai RM17,500 dan boleh mencecah harga pasaran antara RM21,000 hingga RM35,000.

Mat Fauzi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengetahui sumber dadah itu diperoleh.

“Kejayaan ini adalah hasil maklumat dan risikan anggota bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD dan IPK Perak,” katanya.
SH

Sekeluarga dicekup polis



TELUK INTAN - Satu keluarga ditangkap polis di Jalan Sungai Manik kerana terlibat dalam jenayah curi yang berlaku di sebuah premis perniagaan dekat Teluk Intan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisiner Goh Kok Liang berkata, pihaknya menahan keluarga selepas menerima laporan mengenai kejadian curi tersebut.

Menurutnya, pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu juga ditahan bersama dua anaknya berusia empat dan tiga tahun dipercayai terlibat sama dalam aktiviti mencuri di beberapa premis perniagaan di daerah ini.

“Ketua keluarga itu mempunyai beberapa rekod jenayah di sekitar Teluk Intan, Sungai Siput, Tapah dan Sitiawan manakala isterinya mempunyai rekod di beberapa kawasan di sini.

“Kami juga menerima lapan laporan orang ramai mengenai kes curi barangan di premis perniagaan di tujuh kawasan di sini dan satu di Hutan Melintang,” katanya pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, disini semalam.

Beliau berkata, modus operandi digunakan keliarga itu adalah, si isteri berpura-pura bertanya mengenai harga satu-satu barang dalam sebuah perniagaan pada pemilik atau pekerja kedai.

Menurutnya, pada masa yang sama si suami atau anak mereka mengambil apa sahaja barangan bernilai sebelum melarikan diri ketika pemilik dan pekerja kedai sibuk melayan si isteri.

“Semua aktiviti itu dilakukan sepanjang tahun ini dan pada kejadian terbaru iaitu Khamis lalu, seorang pemilik premis di Taman Ros, melaporkan kehilangan telefon bimbitnya setelah dikunjungi keluarga itu sebelum kami membuat operasi mencari mereka,” katanya.

Kok Liang berkata, berdasarkan laporan pemilik permis tersebut, pihaknya menjalankan satu operasi bagi mengesan keluarga itu dan berjaya menahan mereka pada Khamis lalui di Jalan Sungai Manik.

Katanya, menerusi soal siasat pihaknya berjaya menemui dua lokasi yang menyembunyikan barangan curi mereka sebagai usaha mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kesemua barangan yang dicuri itu turut disimpan di dua lokasi iaitu di rumah milik rakannya di Taman Malaysia dan rumah ibu mertuanya di Taman Fajar dekat sini malahan ada sebahagian daripada mereka dijual kepada orang ramai.

“Kini pasangan itu ditahan reman bagi menjalankan soal siasat, manakala kedua-dua anaknya diserahkan kepada saudara mara dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.
SH

Hangus: Angkara mat gian



KAMPUNG PALOH – “Habis harta benda, dokumen penting malahan motosikal saya hangus. Nasib baik saya berjaya selamatkan diri daripada menjadi mangsa kebakaran ini,” kata Ng Koi Wang, 46, mangsa yang tercedera dalam kejadian kebakaran di kawasan rumah setinggan sini, petang semalam.

Koi Wang mendakwa kebakaran itu dilakukan seorang penagih dadah yang tinggal berhampiran kawasan terbabit.

“Ketika kejadian saya sedang tidur berseorangan di rumah manakala dua rumah bersebelahan tidak berpenghuni.

“Kira-kira jam 1 lebih saya terbau asap dan kelihatan api sudah mula marak dan masuk ke dalam rumah menyebabkan saya kelam kabut untuk selamatkan diri.

“Nasib baik hanya bahu dan tangan saya yang melecur serta tidak ada kecederaan serius menimpa saya,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Dalam kejadian itu, sebanyak tiga rumah musnah manakala kira-kira 10 rumah lain turut terkena tempias.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R Ganesan turut meluangkan masa melawat ke tempat kejadian.

Sementara itu, Timbalan Penguat kuasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvam berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 1.28 petang.

Menurutnya, panggilan berkenaan menyebut terdapat kawasan belukar yang terbakar.

“Bagaimanapun, apabila tiba di tempat kejadian kami mendapati ia membabitkan tiga rumah dan kerja memadam kebakaran dijalankan segera,” katanya.

Beliau berkata, api marak dengan pantas memandangkan struktur rumah di kawasan itu diperbuat daripada kayu, bagaimanapun api berjaya dikawal melalui kekuatan dua jentera dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh termasuk 13 anggota yang bertugas.

“Api berjaya dikawal tiga minit kemudian dan operasi dihentikan pada jam 2.30 petang. Seorang mangsa yang juga penghuni salah sebuah rumah terbabit melecur lima peratus di bahagian bahu dan badan.

“Mangsa terbabit dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Setakat ini punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
SH

Ibu rayu anak gadis pulang



JOHOR BAHRU – Seorang ibu merayu agar anak perempuannya yang menghilangkan diri sejak tiga bulan lalu agar kembali pulang ke pangkuan keluarga.

Khor Swee Kheng yang menetap di Ipoh, Perak, khuatir akan keselamatan anak bongsunya, Looi Kwai Leng, 19, selain bimbang diambil kesempatan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk tujuan jenayah.

Menurutnya, pada April lalu, Kwai Leng mula pergi ke Johor Bahru kerana ingin bekerja di sini.

Dia yang tinggal bersama ibu saudaranya di sini dikatakan keluar rumah kira-kira jam 10 pagi bersama kawan lelaki yang dikenalinya.

”Apa yang merisaukan kami sekeluarga, kami dapati dia ada memasuki Singapura tetapi mendapati tidak masuk semula ke Johor Bahru selepas itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Swee Kheng berkata, dia ada menghubungi anaknya itu selepas seminggu menghilangkan diri namun tidak dijawab.

“Kali terakhir dia pulang ke Perak pada Februari lalu untuk menyambut perayaan bersama keluarga sebelum pulang semula ke Johor Bahru,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali remaja terbabit diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Swee Kheng di talian 016-5133235.

Sementara itu, Naib Pengerusi Dap Johor Bahru, Ng Siam Luang berkata, pihaknya menasihatkan kepada ibu bapa supaya lebih peka dalam menjaga anak-anak.

“Kita berharap agar Kwai Leng ditemui dan saya ingin menasihatkan kepada ibu bapa supaya lebih peka terhadap aktiviti seharian anak-anak,” katanya.
SH

92 pati didakwa di mahkamah



PEKAN NENAS - Seramai 92 pendatang asing didakwa atas pelbagai kesalahan di Mahkamah Sesyen Imigresen Pekan Nenas, semalam.

Antara kesalahan yang dilakukan adalah seperti tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah, dokumen perjalanan tamat tempoh, salah guna pas dan tinggal melebihi masa yang ditetapkan di negara ini.

Mereka terdiri daripada 74 lelaki dan 18 wanita berusia di antara lingkungan umur 25 hingga 50 tahun.

Kes dibicarakan di hadapan hakim, Nu’aman Zuhadi dan pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwaan Imigresen, Aminuddin Zakaria.

Kebanyakan yang ditahan merupakan pendatang dari Indonesia, Pakistan, Nepal, India, Myanmar, Bangladesh, dan Vietnam.

Kebanyakan pendatang berkenaan dikenakan hukuman penjara di antara dua hingga lapan bulan dan kemudian akan diusir dari negara ini.

Perbicaraan kes didengar dengan menggunakan jurubahasa yang dilantik memandangkan kebanyakan mereka tidak faham berbahasa Melayu dan Inggeris.

Ketika pendakwaan dilakukan, seorang wanita yang mengandung empat bulan tidak dapat menahan sebak dan meminta agar hukuman yang dijatuhkan ke atasnya diringankan.

Wanita yang hanya dikenali sebagai Ida, 26, dari Jawa Tengah Indonesia di tangkap dalam serbuan yang dilakukan pihak Imigresen di Kampung Pertanian Masai, pada awal bulan ini kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Hakim kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama satu bulan bermula dari tarikh dia ditangkap dan kemudian akan diusir dari negara ini.
SH

Bilik elektrik diceroboh masuk



TAMAN CENDANA – Gara-gara bilik elektrik di blok 46 Rumah Pangsa Taman Cendana dicerobohi dan kabel serta fiusnya dicuri, sebanyak 40 buah rumah terpaksa bergelap selepas bekalan elektrik terputus, malam kelmarin.

Seorang penyewa, Zulkefli Sehat, 46, berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu dipercayai penagih dan remaja nakal yang ingin mendapatkan wang segera.

Menurutnya, ramai penduduk yang mengeluh kerana mengalami kerugian apabila banyak :peralatan elektrik rosak selepas berlaku arus kuasa elektrik berlebihan akibat kecurian itu.

“Kita kesal dengan perbuatan yang telah menyusahkan orang lain, sedangkan barangan yang dicuri mungkin boleh ditukarkan dengan nilai kurang RM50, tetapi kesannya telah mengakibatkan banyak keluarga di penempatan tersebut menerima musibahnya.

“Kerosakan barangan elektrik seperti televisyen dan peti sejuk memberi kesan yang amat dirasai penyewa yang rata-ratanya terdiri daripada penduduk golongan berpendapatan rendah.

“Lebih terasa apabila ada keluarga terlibat yang sedang dalam pantang melahirkan anak dan warga emas uzur terpaksa bergelap sehingga menimbulkan kesukaran kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Penduduk Taman Cendana, Shamsul Bahrin Ibra-him menyarankan penyewa senantiasa peka dan bersatu dalam banyak perkara yang membabitkan permuafakatan di antara sesama jiran tetangga.

Menurutnya, banyak perkara dapat dihindarkan jika semua penyewa dapat bersatu termasuk membanteras permasalahan remaja nakal atau penagih dadah melalui sikap ambil tahu dan saling menegur yang diamalkan.

Katanya, bagaimanapun pihaknya berterima kasih kepada Pegawai bertugas di perumahan rumah pangsa Taman Cendana kerana segera melaporkan masalah itu kepada pihak atasannya sehingga tindakan segera dapat diambil.

“Kami nasihatkan mereka yang terlibat dengan kecurian itu agar segera menghentikan sikap buruk itu kerana banyak pekerjaan yang tersedia di kawasan perindustrian Pasir Gudang.

“Golongan remaja disarankan mengikuti kursus yang disediakan Kerajaan seperti Kolej Komuniti Pasir Gudang dan Giat Mara mengikut minat masing-masing agar tidak terlibat dengan gejala negatif sehingga menyusahkan orang lain,” katanya.
SH

Hukuman penjara 14 tahun dan rotan kekal, rogol warga emas 62 tahun

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan terhadap peniaga susu segar yang didapati bersalah merogol seorang warga emas berusia 62 tahun, di hadapan suaminya.


Panel tiga hakim diketuai Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad, Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Mohamed Apandi Ali memutuskan rayuan Ahmad Nazari Abd Majid tiada merit untuk dipertimbangkan dan sehubungan itu tiada alasan untuk mengusik keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.

Ahmad Nazari, 48, yang mempunyai dua isteri dan lapan orang anak, menghadapi dua tuduhan merogol mangsa, seorang penoreh getah, di ladang getah di Kuala Muda, Kedah antara 7 pagi dan 8 pagi pada 13 Dis 2000 dan 27 Dis 2000.

Bagi pertuduhan pertama, dia dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar tetapi didapati bersalah bagi pertuduhan kedua dan dihukum penjara lapan tahun dengan dua sebatan rotan.

Pada 28 April 2009, Mahkamah Tinggi Alor Setar menolak rayuan Ahmad Nazari terhadap sabitan dan hukuman. Sebaliknya Mahkamah Tinggi menambah hukuman penjara kepada 14 tahun dan enam sebatan rotan selepas membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan terhadap hukuman tertuduh.

Ahmad Nazari diperintah menjalani hukuman penjara mulai 28 April 2009 kerana diikat jamin sementara menunggu rayuannya didengar di Mahkamah Tinggi. Pihak pendakwaan tidak merayu berhubung pembebasannya bagi pertuduhan pertama.

Berdasarkan fakta kes, Ahmad Nazari pergi ke ladang getah itu ketika mangsa sedang menoreh bersama suaminya. Dia membawa sebatang kayu yang besar dan cuba untuk memukul suami mangsa tetapi gagal.

Dia kemudiannya menarik mangsa ke dalam semak dan merogolnya dan insiden itu disaksikan oleh suami mangsa yang tidak setanding dengan kekuatan tertuduh dan tidak berupaya untuk membantu isterinya. Ahmad Nazari terus berlalu selepas merogol mangsa.

Mangsa pulang ke rumah tetapi tidak membuat laporan polis kerana beliau malu. Mangsa hanya membuat laporan polis pada Tahun Baru Cina tahun berikutnya, selepas anak lelakinya membawa mangsa membuat laporan polis.

Polis menjalankan siasatan dan menangkap tertuduh. Mangsa mengecam tertuduh dalam barisan kawat cam.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya V. Shoba manakala Ahmad Nazari diwakili peguam Harpal Singh. - Bernama

SH

Dua nahas kereta api di India ragut 69 jiwa, 200 cedera

CUBA MENYELAMAT: Pasukan penyelamat dan orang ramai memeriksa kereta api yang tergelincir daripada landasannya di kampung Bhatkuchi, kira-kira 70 kilometer dari Guwahati, di wilayah Assam, pagi semalam. -- Foto AFP

LUCKNOW (India): Pasukan-pasukan penyelamat, dengan bantuan anjing-anjing penghidu, semalam terus mencari mayat-mayat dan mereka yang terselamat daripada bangkai dua kereta api penumpang India yang tergelincir daripada landasannya.

Nahas kelmarin itu mengakibatkan 69 jiwa terkorban dan 200 yang lain cedera.

Lebih 10 gerabak kereta api ekspres yang sarat penumpang itu tergelincir daripada landasannya di wilayah Uttar Pradesh, utara India, manakala sebutir bom yang disyaki dipasang pada landasan kereta api di wilayah Assam, di timur laut India, menyebabkan sebuah lagi kereta api tergelincir dalam satu lagi nahas awal semalam.

Dalam nahas pertama yang berlaku kira-kira 150 kilometer dari Lucknow, pasukan penyelamat menggunakan alat pengangkut berat bagi memindahkan gerabak- gerabak - ada yang saling bertindih manakala ada pula yang remuk teruk.

Dua warga Sweden didapati adalah antara 69 orang yang terbunuh itu manakala seorang lagi warga negara tersebut sedang dirawat di hospital, kata seorang pegawai setempat, Encik A.K. Pathak, kepada agensi berita AFP di tempat kejadian.

Kira-kira 100 orang cedera dan dikejarkan ke beberapa hospital tempatan, dengan empat daripada mereka didapati dalam keadaan serius.

'Anjing-anjing penghidu dikerah bagi mencari mayat dan mangsa yang terperangkap di bawah kepingan-kepingan besi,' kata Encik Pathak.

'Kami fikir semua mayat telah dapat dikeluarkan sekarang,' ujarnya lagi.

Sanak saudara dan rakan-rakan 1,000 penumpang yang menaiki kereta api dari Kolkata ke New Delhi itu berkumpul di stesen-stesen dalam keadaan bimbang.

Mereka meminta agar maklumat mengenai orang-orang yang mereka sayangi itu diberi.

Di Assam, polis berkata mereka mengesyaki kumpulan pemisah, Barisan Demokratik Kebangsaan bagi Bodoland (NDFB), memasang bom yang menyebabkan empat gerabak sebuah lagi kereta api tergelincir daripada landasannya.

Sekurang-kurangnya 100 orang cedera dan 20 lagi dilapor dalam keadaan kritikal.

'Kami telah mengeluarkan amaran berwaspada peringkat tinggi di seluruh wilayah itu dengan kakitangan keselamatan dikerah ke lokasi-lokasi yang difikirkan mudah diserang untuk menyekat serangan daripada pemberontak itu,' kata Ketua Menteri Assam, Encik Tarun Gogoi.

'Kami mengecam tindakan militan yang kejam itu seperti pengeboman kereta api atau perkara lain yang disasarkan ke atas orang awam,' katanya.

Khidmat kereta api Guwahati-Puri Express hampir tiba ke Ghograpara, kira-kira 70 kilometer dari Guwahati, bandar utama Assam, apabila letupan kuat itu berlaku.

Perdana Menteri India, Encik Manmohan Singh, yang juga pemangku Menteri Perkhidmatan Kereta Api, melahirkan rasa 'amat sedih dan terkejutnya atas kehilangan nyawa' berikutan kededua nahas kereta api itu. -- AFP.

Cyberita Online Luar Negara

Amah dijel lapan tahun kerana tikam, kelar anak majikan

SINGAPURA
SEORANG pembantu rumah Indonesia yang didakwa menikam dan mengelar anak perempuan majikannya berumur tujuh tahun semalam dijatuhi hukuman penjara lapan tahun.

Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Kumaeroh, 24 tahun, menyerang budak perempuan yang ketika itu berada di darjah satu di rumah majikannya pada 23 September 2009.

Kejadian itu berlaku ketika budak itu bersiap-siap mahu ke sekolah.

Kumaeroh tiba-tiba menikam budak tersebut di perut dan belakangnya beberapa kali. Dia juga mengelar kededua pergelangan tangan budak perempuan itu.

Budak perempuan itu, yang kini berusia sembilan tahun dan berada di darjah tiga, tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah.

Peguam amah tersebut berkata serangan itu didorong pemikiran amah itu yang beranggapan dia sering dipantau dan takut akan dihantar pulang ke Indonesia kerana prestasi kerjanya yang kurang memuaskan.

Ibu bapa budak perempuan itu yang hadir di mahkamah memberitahu media selepas hukuman dijatuhkan bahawa anak mereka telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami tetapi dia masih takut berbual dengan orang yang tidak dikenali.

Cyberita Online Singapura

Amah dijel lapan tahun kerana tikam, kelar anak majikan

SINGAPURA
SEORANG pembantu rumah Indonesia yang didakwa menikam dan mengelar anak perempuan majikannya berumur tujuh tahun semalam dijatuhi hukuman penjara lapan tahun.

Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Kumaeroh, 24 tahun, menyerang budak perempuan yang ketika itu berada di darjah satu di rumah majikannya pada 23 September 2009.

Kejadian itu berlaku ketika budak itu bersiap-siap mahu ke sekolah.

Kumaeroh tiba-tiba menikam budak tersebut di perut dan belakangnya beberapa kali. Dia juga mengelar kededua pergelangan tangan budak perempuan itu.

Budak perempuan itu, yang kini berusia sembilan tahun dan berada di darjah tiga, tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah.

Peguam amah tersebut berkata serangan itu didorong pemikiran amah itu yang beranggapan dia sering dipantau dan takut akan dihantar pulang ke Indonesia kerana prestasi kerjanya yang kurang memuaskan.

Ibu bapa budak perempuan itu yang hadir di mahkamah memberitahu media selepas hukuman dijatuhkan bahawa anak mereka telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami tetapi dia masih takut berbual dengan orang yang tidak dikenali.

Cyberita Online Singapura

12 maut letupan besar di pangkalan tentera Cyprus



PASUKAN kecemasan memeriksa mayat dan kereta bomba yang musnah dalam letupan besar di pangkalan tentera di Cyprus, semalam. – REUTERS


LARNACA, Cyprus 11 Julai – Sebanyak 12 orang terbunuh apabila satu letupan besar berlaku di pangkalan tentera laut Cyprus Greek di Zygi awal hari ini.

Agensi berita rasmi, CNA berkata, lima anggota bomba, empat anggota Pengawal Kebangsaan Cyprus Greek dan dua kelasi terbunuh dalam kejadian itu.

CNA yang memetik sumber tentera menyatakan sekurang-kurang 30 orang lagi disahkan cedera.

Letupan itu turut mengena sejumlah senjata yang dirampas daripada satu penghantaran kargo dari Iran pada 2009.

Tiada pengesahan mengenai punca letupan tersebut.

CNA yang memetik jurucakap polis berkata, terdapat sebanyak 98 bekas simpanan serbuk letupan dan dua daripadanya meletup.

Jurucakap polis berkata, letupan yang berlaku sebelum pukul 6 pagi (11 pagi waktu Malaysia) mungkin merupakan punca kepada bekalan elektrik terputus hari ini.

Saluran televisyen rasmi berkata, letupan tersebut mengakibatkan kerosakan harta benda di kawasan perumahan berdekatan pangkalan tentera laut.

Saluran televisyen itu memberitahu, letupan berkenaan turut menjadi punca kebakaran hutan ekoran cuaca kering ketika ini.

– AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Bot pesiaran Moscow karam 62 hilang

MOSCOW 11 Julai - Sekurang-kurangnya 48 orang disahkan terkorban dan 62 masih hilang termasuk kanak-kanak apabila sebuah kapal pesiaran dua tingkat yang membawa seramai 188 penumpang karam di Sungai Volga, timur Moscow, semalam.

Jurucakap Menteri Kecemasan, Irina Andrianova berkata, seramai 80 penumpang berjaya diselamatkan ketika ini.

"Satu mayat wanita ditemui semalam manakala lapan lagi berjaya ditarik keluar dari bangkai kapal yang karam hari ini.

"Berdasarkan situasi kejadian, peluang untuk menemui mangsa yang masih hidup adalah tipis," katanya.

Dalam pada itu, pasukan penyelam yang melakukan operasi mencari melaporkan terdapat lebih 100 mayat terperangkap dalam bangkai kapal tersebut.

Seorang daripada mangsa memberitahu, ketika kejadian, mereka meminta bantuan daripada kapal yang melintasi tempat kemalangan namun ia tidak diendahkan.

"Dua buah kapal tidak berhenti walaupun kami melambai ke arahnya," katanya.

Kapal bernama Bulgaria yang dibina pada 1955 di Czechoslovakia itu dalam pelayaran dari bandar Bulgar ke Kazan ketika kejadian berlaku. - AP/Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Biskop Roman Katholik Filipina mohon maaf skandal rasuah

MANILA 11 Julai - Ketua gereja Roman Katholik hari ini memohon maaf selepas sekumpulan biskopnya menerima sumbangan daripada sumber loteri negara yang menimbulkan skandal rasuah.

Presiden Persidangan Biskop Katholik, Nereo Odchimar berkata, tujuh biskop yang terlibat bersedia untuk dikenakan tindakan sekiranya didapati bersalah.

"Kami amat berdukacita dengan perkara yang terjadi (rasuah)," katanya menerusi kenyataan.

Skandal rasuah itu berpunca selepas bekas Presiden Gloria Arroyo menggunakan dana loteri negara untuk membeli kenderaan pacuan empat roda kepada tujuh biskop tersebut termasuk memberi wang tunai berjumlah AS$196,000 (RM588,000) di antara 2007 dan 2010 bagi mendapatkan sokongan politik.

Pemberian kenderaan dan wang tunai itu berlaku apabila Arroyo berdepan dengan krisis pemecatan selepas beliau dituduh merasuah serta mewujudkan undian palsu dalam pilihan raya pada 2004.

Sehubungan itu, Dewan Senat Filipina kini sedang menyiasat kes tersebut terutamanya mengenai sumbangan yang diterima serta masalah perpecahan Perlembagaan gereja dan negara.

Kumpulan biskop berkenaan mengaku menerima kenderaan dan wang tunai tersebut namun menegaskan perbuatan itu untuk membantu golongan miskin dalam komuniti mereka.

Sementara itu, Odchimar menyatakan skandal rasuah yang timbul telah memberikan gambaran buruk ke atas imej gereja Katholik.

"Kami amat sedih apabila ramai di antara anda keliru dengan ajaran dan tindakan kami, itu perkara yang memalukan malah bertentangan dengan apa yang diamalkan," katanya. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

RM150,000 ubat haram dirampas


PULAU PINANG 11 Julai – Kementerian Kesihatan merampas lebih 100 kotak ubat-ubatan haram, termasuk ubat perangsang seks bernilai lebih RM150,000 dalam serbuan besar-besaran di 10 premis termasuk dua kilang melalui Ops Ubat di Jalan Pintal Tali di sini, hari ini.

Ketika serbuan serentak di semua premis itu pukul 2.30 petang, kebanyakan peniaga sedang leka bekerja dan tidak menyedari kehadiran pasukan berkenaan.

Operasi yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Penguat Kuasa Farmasi negeri, Mokhtar Abdullah bersama 50 anggota dan pegawai dari Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Kuala Lumpur.

“Kita menyerbu dua kilang kecil dan beberapa premis memproses dan menyimpan pelbagai ubat tidak berdaftar di bawah kementerian, termasuk ubat tradisional, ubat batuk dan perangsang seks.

“Lebih 100 kotak mengandungi 15 jenis ubat bernilai lebih RM150,000 dirampas. Ubat-ubat itu tidak berdaftar manakala kilang tersebut pula dibatalkan lesen pengilangannya beberapa tahun lalu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati, semua ubat dirampas di kilang itu pernah didaftarkan, tetapi dibatalkan kerana tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Polis cari empat lelaki kes samun


KUALA KANGSAR 11 Julai - Polis mencari empat lelaki bagi membantu siasatan tiga kejadian samun berasingan di daerah ini pada 20 Mei lalu dan 7 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Supritendan Abdul Ghafar Mohamad berkata, mereka ialah M. Narayanan, 19, kad pengenalan bernombor 9204 27-08-5421 dan alamatnya di No. 997, Jalan Taman Kaya, Taman Kaya, Taiping.

Katanya, selain itu PM Chelyam, 22, kad pengenalan nombor 891008- 08-5937, alamat di No, 21, Jalan 29, Taman Sungai Mas, Taiping dan Hari Krishnan, 19, kad pengenalan 931021- 08-5891 di alamat No. 286, Lorong 29, Taman Bunga Raya, di sini.

"Seorang lagi ialah Mohd. Ridzuan Pandak Osman, 47, kad pengenalan nombor 630723-08-5311 di alamat No. 42,Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar," katanya di sini hari ini.

Katanya, kesemua mereka dikehendaki dalam kes samun pada 20 Mei lalu, di sebuah rumah di Jalan Besar, Kampong Baharu Jerlun dekat sini dan kes samun di Kampung Buaya Seberang, Padang Rengas dekat sini mengakibatkan kerugian di antara RM8,000 hingga RM15,000.

Abdul Ghafar berkata, sesiapa yang mengenali individu berkenaan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar di talian 05-7762222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Azman Nawi @ Ismail di 019-5535578.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Nenek mahu lawat cucu sulung cedera parah diragut


KOTA BHARU 11 Julai - Hasrat seorang nenek melawat cucu sulungnya yang baru dilahirkan seminggu lalu bertukar mimpi ngeri apabila dia cedera parah sehingga pengsan selepas diragut oleh dua lelaki bermotosikal, semalam.

Kejadian berlaku pukul 7.15 pagi di Jalan Sultan Yahya Petra, berhampiran Kompleks Balai Islam di sini, ketika mangsa, Rahimah Che Dollah, 44, seorang pembantu taman asuhan kanak-kanak (Taska), menunggang motosikal sendirian ke rumah anaknya itu di Telipok.

Namun, tiba-tiba, muncul dua lelaki meragut beg tangannya yang diletakkan dalam raga sebelum menendang motosikalnya sehingga dia terjatuh dan patah tangan kiri serta sebatang gigi.

Selain itu, Rahimah turut cedera di kepala dan kening serta bibirnya koyak sehingga terpaksa dijahit.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kedua-dua suspek dipercayai telah mengekori mangsa yang baru keluar dari rumah tidak jauh dari tempat kejadian sebelum meragutnya.

"Suspek dipercayai melihat beg tangan mangsa yang diletakkan di dalam raga menyebabkan mereka mengekorinya lalu meragut, pada masa sama turut menumbuk dan menendang mangsa.

"Mangsa cuba melawan, tetapi terjatuh dari motosikalnya lalu pengsan dan dia dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) oleh orang ramai yang berada di situ.

"Selain patah tangan kiri, mangsa turut cedera di kepala, menerima dua jahitan di mulut, lima jahitan di kening, tiga jahitan di kepala dan patah sebatang gigi," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Azham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dengan mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu supaya menghubungi pihak polis bagi memudahkan siasatan dan memberkas suspek.

Sementara itu, suami mangsa, Johar Abdullah, 45, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya berdekatan ketika ditemui di HRPZ II hari ini berkata, dia tidak dapat mengikut Rahimah kerana perlu menghantar anak yang lain ke sekolah sebelum ke tempat kerja.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Wanita maut, anak cedera parah

KUANTAN 11 Julai - Seorang wanita maut manakala anaknya yang berusia lima tahun parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 21 Jalan Johor Bahru-Pekan dekat Nenasi, semalam.

Dalam kemalangan pukul 5 petang itu, mangsa, Junaida Abu Bakar, 40, dari Tanjung Batu, Pekan, yang memandu MPV Proton Exora maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Bagaimanapun, pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux dan kereta Honda Civic itu hanya mengalami cedera ringan.

Semasa kejadian, Junaida bersama anak perempuannya dalam perjalanan dari rumahnya di Pekan menuju ke Kuantan manakala Toyota Hilux pula dari arah Pekan menuju ke Nenasi.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahaya Othman berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila Toyota Hilux itu memasuki laluan bertentangan dan melanggar Proton Exora sehingga menyebabkan kenderaan mangsa terbabas ke dalam longkang.

"Pada masa sama, kereta Honda Civic yang datang dari arah Nenasi, tidak sempat mengelak sebelum melanggar Toyota Hilux itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia Online - Pahang

Warga Vietnam tawar khidmat seks dipenjara


KUALA LUMPUR 11 Julai - Seorang wanita warganegara Vietnam dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencari langganan dengan menawarkan perkhidmatan seks, dua bulan lalu.

Nguyen Thi Lan, 53, dituduh atas perbuatan tersebut ke atas seorang anggota polis yang menyamar dalam operasi membanteras pelacuran di hadapan UK Restoran Bukit Bintang, Jalan Bukit Bintang di sini, kira-kira pukul 11.10 malam, 1 Mei lalu.

Tertuduh ditangkap setelah cuba menawarkan perkhidmatan tersebut kepada seorang pegawai polis bagi maksud persundalan.

Dakwaan dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor D.R. Ganthi Nathan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda atau kedua-duanya.

Nguyen juga mengaku bersalah atas tuduhan kedua iaitu memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Bagi kesalahan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) Akta 155 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama.

Seksyen tersebut membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya dan sebatan tidak lebih daripada enam kali.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela meminta maaf dan memohon hukuman diringankan dengan alasan dia terpaksa menyara anak perempuan dan ibu bapanya di Vietnam selepas kematian suaminya.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman penjara selama empat bulan bagi pertuduhan kedua.

Kedua-dua hukuman tersebut diperintahkan berkuat kuasa mulai tarikh tertuduh ditangkap.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Empat lelaki menculik dijel, sebat



Empat lelaki dihukum penjara dan sebatan atas kesalahan menculik seorang kanak-kanak bersama ibunya di Johor Bahru, semalam. Gambar digital : RAJA JAAFAR ALI


JOHOR BAHRU 11 Julai - Empat lelaki terselamat daripada hukuman gantung sampai mati apabila dihukum penjara antara enam dan 13 tahun selain sebatan kerana menculik seorang wanita dan anak lelakinya bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM2.03 juta, tiga tahun lalu.

Ng Kim Low, 38; Tan Kok Peng, 53; Lim Cheng Yong, 40; Ching Siong Huat, 44, dijatuhi hukuman tersebut oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini setelah masing-masing mengaku bersalah atas tuduhan pilihan berkaitan kes berkenaan.

Mereka pada asalnya didakwa atas dua tuduhan menculik seorang budak lelaki berusia sembilan tahun dan ibunya berumur 45 tahun bagi mendapatkan wang tebusan RM2.03 juta di hadapan sebuah rumah di Jalan Bulat, Taman Abad di sini pada pukul 11.40 pagi, 6 Oktober 2008.

Kedua-dua tuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.

Bagi tuduhan pilihan pertama dan kedua, keempat-empat lelaki itu mengaku menculik dua beranak tersebut dengan niat untuk menyembunyi dan mengurung mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Samsudin Hassan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap tuduhan pilihan itu dan memerintahkan hukuman tersebut berjalan berturut-turut mulai tarikh mereka ditahan pada 8 Oktober 2008.

Kim Low dan Kok Peng masing-masing juga dihukum penjara tujuh tahun dan sebatan tiga kali setelah mengaku bersalah atas tuduhan pilihan ketiga mengikut Seksyen 5 Akta Culik 1961.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa dengan niat menerima wang tebusan berjumlah RM2.03 juta di tepi pagar kilometer 130, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan pada pukul 12.30 tengah hari, 7 Oktober 2008.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Lebih 120 korban bot karam

KAZAN (Russia): Penyelam yang mencari mangsa bot karam di Sungai Volga semalam melaporkan melihat lebih 100 mayat terperangkap dalam bot berkenaan.

Puluhan penyelam yang menggunakan lampu dalam air terbabit dalam gerakan mencari mangsa bot pelancong dua tingkat itu yang dibina pada 1955.


Penumpang yang terselamat berkata, bot itu, ‘Bulgaria,’ yang membawa 200 penumpang menyenget ke kiri sebelum karam ketika cuaca buruk.

Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Darurat, Irina Andrianova berkata, sembilan orang disahkan mati setakat ini dan kira-kira 80 selamat. Mayat seorang wanita ditemui semalam sementara lapan lagi ditarik keluar dari bot berkenaan malam kelmarin. Menurut penyelam, peluang untuk menemui lebih ramai mangsa yang terselamat adalah tipis.


Kira-kira 110 mayat, termasuk 30 kanak-kanak masih terperangkap di dalam bot itu, lapor agensi berita Interfax yang memetik kenyataan perkhidmatan mencari dan menyelamat tempatan.


Menurut laporan media, kira-kira 60 penumpang ialah kanak-kanak dan kira-kira 30 daripada mereka berkumpul dalam bilik berhampiran bahagian belakang kapal untuk bermain sejurus sebelum ia karam tiga kilometer dari pantai di kawasan luas Sungai Volga di Tatarstan. Andrianova berkata, 185 orang berada di atas kapal itu tetapi cawangan kementerian itu di Tatarstan kemudian mengesahkan, jumlah penumpang ialah 199 orang, termasuk 18 yang tidak berdaftar. - AFP

myMetro | Lebih 120 korban bot karam

Pengawal diacu parang

KAJANG: Gara-gara permintaannya memasuki kawasan perumahan tidak dilayan pengawal keselamatan, dua lelaki dipercayai mabuk bertindak ‘gila’ apabila merosakkan beberapa peralatan elektrik selain memecahkan pintu dan tingkap pondok pengawal dalam kejadian di Taman Bukit Mewah Fasa 8, dekat sini, semalam.

Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 4.45 pagi sebaik sebuah kereta dinaiki lima lelaki dalam keadaan mencurigakan melalui kawasan berhampiran pondok berkenaan sebelum mangsa menahan kereta itu untuk pemeriksaan.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, mangsa berusia 18 tahun menghampiri kereta dinaiki suspek dan bertanya tujuan mereka ke kawasan itu.

“Tanpa rasa bimbang, suspek mengatakan mahu pergi ke rumah seorang kenalan di kawasan perumahan itu tetapi gagal memberikan butiran kenalan mahu ditemui.


“Mangsa yang curiga dengan jawapan diberikan, enggan melayan permintaan suspek, sebaliknya meminta mereka beredar dari tempat kejadian,” katanya.


Bengang permintaannya tidak dilayan, suspek yang berang meluru keluar dari kereta sambil mengacukan parang kepada mangsa.

“Mangsa tergamam dengan tindakan suspek merayu tidak dicederakan selain hanya memerhatikan tindakan suspek merosakkan peralatan di sekitar pondok pengawal.


“Suspek bersenjatakan parang kemudian merosakkan beberapa peralatan elektrik seperti kamera litar tertutup (CCTV), televisyen, radio, pintu dan tingkap,” katanya ketika ditemui ketika sesi dialog bersama pengusaha kilang di Taman Taming Jaya, di sini, semalam.

Menurutnya, sebaik mengetahui perbuatannya disedari orang awam yang melalui kawasan itu, suspek kemudian melarikan diri.


“Polis kini giat mengumpul bukti dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan melakukan ugutan jenayah,” katanya.

myMetro | Pengawal diacu parang

Dibelasah kerana topi keledar

AMPANG: Hanya kerana bertanyakan topi keledarnya yang hilang kepada sekumpulan lelaki di sebuah restoran di Pandan Indah, seorang lelaki dibelasah dengan batang besi, botol dan batu menyebabkan dia cedera di tangan, dahi dan badan dalam kejadian Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa berusia 21 tahun mulanya mendapati topi keledar yang diletakkan atas motosikalnya hilang selepas 10 lelaki terbabit beredar dari restoran berkenaan.


Menurut sumber, mangsa mulanya mengesyaki seorang daripada lelaki terbabit mengambil topi keledarnya menyebabkan dia bertanyakan dengan kumpulan berkenaan.

myMetro | Dibelasah kerana topi keledar

Dibelasah kerana topi keledar

AMPANG: Hanya kerana bertanyakan topi keledarnya yang hilang kepada sekumpulan lelaki di sebuah restoran di Pandan Indah, seorang lelaki dibelasah dengan batang besi, botol dan batu menyebabkan dia cedera di tangan, dahi dan badan dalam kejadian Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa berusia 21 tahun mulanya mendapati topi keledar yang diletakkan atas motosikalnya hilang selepas 10 lelaki terbabit beredar dari restoran berkenaan.


Menurut sumber, mangsa mulanya mengesyaki seorang daripada lelaki terbabit mengambil topi keledarnya menyebabkan dia bertanyakan dengan kumpulan berkenaan.

myMetro | Dibelasah kerana topi keledar

Ibu maut depan mata


PEKAN: Kelu lidah seorang kanak-kanak apabila ibu kesayangan maut di depan mata selepas kereta Proton Exora dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 21, Jalan Pekan-Nenasi, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang, Junaida Abu Bakar, 40, dari Kampung Tanjung Batu, Nenasi, dekat sini, maut di tempat kejadian akibat patah leher.

Anaknya, Amira Aziqah Arzabaijan berusia lima tahun yang duduk di kerusi penumpang belakang patah kaki dan bahu, dikejarkan ke Hospital Pekan (HP) sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan lanjut.
Wanita berkenaan bersama anaknya dalam perjalanan pulang ke Kem Rejimen Askar Wataniah, dekat Kuantan kerana suaminya seorang tentera.
myMetro | Ibu maut depan mata

Pekerja kelab golf dituduh cabul gadis

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kelab golf dihadapkan di Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan mencabul seorang gadis berusia 18 tahun di tangga, tempat dia bekerja, dua minggu lalu.

Tertuduh, Kamaruddin Abdul Hamid, 46, berasal dari Kampung Pandan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menggunakan kekerasan terhadap mangsa dengan niat mencabul kehormatannya dengan meraba bahagian bawah dan dada.


Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tangga di kelab golf tempatnya bekerja pada jam 10.30 pagi pada 29 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abd Halim, memohon agar wang jaminan RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh.


Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan tertuduh adalah penanggung tunggal keluarga.

Majistret Aina Azharina Arifin menetapkan RM3,000 dengan seorang penjamin selain syarat tertuduh tidak boleh mendekati mangsa. Mahkamah menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula.

myMetro | Pekerja kelab golf dituduh cabul gadis

Broker tanah nafi ubah wang haram RM1.7 juta

SHAH ALAM: Seorang broker tanah dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas 39 tuduhan menerima dan mengguna wang hasil aktiviti haram membabitkan RM1.7 juta, tiga tahun lalu.

Tertuduh, P Dharmendran, 35, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohd Fadhir Harun.


Mengikut pertuduhan, Dharmendran didakwa dengan lima tuduhan menerima RM57,1146 dengan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Tun Abdul Aziz Lim Tan, Kajang dan Jalan PJS 11/28 A Bandar Sunway, Selangor, antara 20 November dan 7 April 2009.


Lelaki itu turut menghadapi 34 pertuduhan menggunakan wang hasil aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1,642,885.04 melalui cek untuk membayar kepada Yue Lap Chon, 57.


Dia didakwa melakukannya di sebuah bank, di Jalan SS 6/5S, Dataran Glamac, Pusat Bandar, Kelana Jaya, Petaling Jaya, antara 13 dan 15 Mei 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM5 juta, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, C Vignesh Kumar menawarkan jaminan RM300,000 dengan mengambil kira pertuduhan itu membabitkan kesalahan serius. Bagaimanapun, peguam Jaspa yang mewakili Dharmendran memohon jumlah ikat jamin dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak berkemampuan.


“Jumlah jaminan yang ditawarkan itu terlalu tinggi dan seperti memberi hukuman kepada anak guam saya yang masih belum dibuktikan yang dia sememangnya bersalah.

myMetro | Broker tanah nafi ubah wang haram RM1.7 juta

Jurumekap rugi RM15,000 disamun

PETALING JAYA: Gara-gara terlupa mengunci pintu jeriji rumah, seorang jurumekap sambilan kerugian kira-kira RM15,000 selepas pelbagai barangan berharga di rumahnya dilarikan tiga penyamun di Taman Sri Subang, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 22 tahun dan rakan serumahnya berusia 31 tahun mendakwa tangan dan kaki mereka diikat dan mulut disumbat serta dikurung dalam sebuah bilik sebelum suspek menggeledah keseluruhan rumah.


Mereka yang ketakutan hanya mampu melihat dua lelaki dan seorang wanita 20-an melarikan barangan berharga termasuk telefon bimbit, dompet, barangan kemas, televisyen, pemain cakera digital, komputer riba, kamera digital, set peralatan mekap, sebuah mesin urut Ogawa dan RM150. “Penjenayah turut mengambil kunci rumah dan kunci kereta atas meja.

“Malah, seorang daripada suspek turut mengarahkan rakan wanitanya mengeluarkan wang melalui mesin juruwang automatik selepas meminta nombor PIN daripada saya,” katanya.


Menurutnya, kejadian bermula apabila suspek wanita menekan loceng rumah dan bertanyakan seseorang yang konon dicarinya di rumahnya.


Malah, katanya, suspek mengatakan seorang teman serumahnya konon mengalami kemalangan dan memberikan alamat mangsa meminta bantuan.

“Saya membuka pintu jeriji tetapi terlupa mengunci pintu lalu terus ke bilik rakan serumah sedang tidur bertanyakan hal itu.


“Tiba-tiba dua lelaki dan wanita berkenaan menyerbu masuk mengikat saya dan rakan serumah serta menolak kami ke dalam sebuah bilik,” katanya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan kes itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

myMetro | Jurumekap rugi RM15,000 disamun

3 tauke judi kuda didenda

SEPANG: Tiga pengusaha mesin kuda berputih mata, selepas premis mereka yang berselindung di sebalik perkhidmatan Internet diserbu pihak berkuasa, sekali gus merampas semua perkakas perjudian, semalam.

Premis berkenaan, masing-masing di Puchong, Dengkil dan Kota Warisan, dekat sini, difahamkan kegiatan pengusaha perkhidmatan Internet yang baru seminggu beroperasi itu berjaya dihidu pegawai penguat kuasa dari Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).


Ketua Inspektor Jabatan Penguatkuasa MPSepang, Hairol Azman Razali, berkata sebaik mengenal pasti premis terbabit, pihaknya dengan 12 pegawai penguat kuasa melakukan serbuan dan menyita ketiga-tiga premis berkenaan dengan nilai dianggarkan hampir RM25,000. Menurutnya, antara perkakas yang disita ialah 87 Unit Pemprosesan Komputer (CPU), 45 monitor dan 58 tetikus.

“Ketika operasi kami mendapati ada 12 pelanggan menggunakan khidmat pusat Internet itu dan kebanyakan mereka berumur dalam lingkungan 40 tahun ke atas.


“Pemilik ketiga-tiga premis itu dikompaun RM1,000 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen mengikut Undang-Undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber 2007 MPSepang,” katanya.


Hairol Azman berkata, dalam operasi itu pihaknya mengambil masa beberapa minit untuk memecahkan pintu satu daripada premis itu kerana pengusahanya tidak membenarkan pegawai penguat kuasa memasukinya.

“Namun, selepas berbincang pengusaha premis terbabit memberi kerjasama baik dan tidak ada sebarang pertelingkahan berlaku,” katanya.


Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras premis yang menjalankan aktiviti mesin judi di sekitar daerah Sepang.

myMetro | 3 tauke judi kuda didenda