Search This Blog

Monday, July 11, 2011

Pelacur ditahan ketika ‘beraksi’

Sindiket pelacuran jadikan kawasan rumah berpagar lokasi kegiatan tak bermoral

JOHOR BAHRU: Sindiket pelacuran di bandar raya ini dikesan mula menjadikan kawasan perumahan berpagar yang dikawal pengawal keselamatan sebagai lokasi rahsia menjalankan kegiatan tidak bermoral itu bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Malah, sindiket itu juga dikatakan mengambil langkah berjaga-jaga dengan memilih pelanggan terpilih saja yang akan dihubungi menerusi telefon bimbit untuk mengelak ditahan pihak berkuasa.
Taktik terbaru itu bagaimanapun terbongkar selepas sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Johor menyerbu sebuah rumah mewah di Taman Setia Indah di sini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah malam hasil maklumat awam dan risikan itu, empat wanita warga Thailand ditahan ketika sedang asyik 'beraksi' bersama pelanggan masing-masing.

Pegawai Turus, Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Deputi Superintendan Mohammad Abd Hamid, berkata serbuan itu dilakukan selepas mendapat maklumat wujudnya kegiatan pelacuran di sebuah rumah lot tepi perumahan itu.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa memecahkan pintu rumah dan satu daripada tiga bilik di tingkat atas digunakan sebagai tempat melepaskan nafsu pelanggan sarang pelacuran terbabit.

"Kita percaya tempat ini baru beroperasi selama dua bulan dan mereka (pengendali sindiket) hanya berurusan dengan pelanggan yang berminat menerusi panggilan telefon sebelum mereka diberikan alamat lokasi terbabit.
"Bayaran pula terus diberi kepada wanita terbabit tanpa membabitkan anggota sindiket," katanya.

Difahamkan, setiap wanita terbabit mengenakan bayaran antara RM100 hingga RM150 bagi sekali perkhidmatan, manakala rumah terbabit turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Selain menahan empat wanita warga Thailand berusia 20 hingga 31 tahun yang dipercayai menjalankan kegiatan tidak bermoral, kita turut menahan empat lelaki warga tempatan, dipercayai pelanggan wanita terbabit, selain menemui sebuah tin dipenuhi kondom di ruang tamu rumah berkenan.

"Ini menunjukkan sindiket itu tidak takut menjalankan kegiatan mereka kerana yakin ia tidak dapat dihidu polis," katanya.

Beliau berkata, semua empat warga asing terbabit ditahan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pelacuran.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di sebuah premis menawarkan judi haram dalam talian dan mesin slot di Taman Ehsan Jaya, di sini pada kira-kira jam 1 pagi semalam, Mohammad berkata, pihaknya merampas 44 mesin judi dan menahan seorang lelaki dipercayai pelanggan pusat judi haram itu. Berita Harian Online | Pelacur ditahan ketika ‘beraksi’

Gempa bumi kuat landa Jepun

SEKUMPULAN penduduk berkumpul di atas bukit selepas amaran tsunami dikeluarkan di Ishinomaki, Miyagi, semalam.
SEKUMPULAN penduduk berkumpul di atas bukit selepas amaran tsunami dikeluarkan di Ishinomaki, Miyagi, semalam.
Loji nuklear Fukushima terpaksa dikosongkan ekoran amaran tsunami

TOKYO: Gempa bumi kuat menggegarkan timur laut Jepun semalam, menyebabkan loji nuklear yang terjejas, Fukushima terpaksa dikosongkan tetapi tiada tanda kemusnahan berlaku di loji itu atau laporan kematian di sepanjang pesisir pantai.

Agensi Meteorologi Jepun mengeluar amaran tsunami selepas gempa dengan magnitud 7.1 melanda di kawasan sama yang musnah akibat gempa bumi kuat dan tsunami pada 11 Mac tetapi menarik amaran itu kembali.
Pegawai rasmi berkata ombak setinggi 10 sentimeter direkodkan. “Gegaran berlaku lebih lama dan kuat,” kata seorang pegawai kerajaan di bandar Iwaki, Fukushima memberitahu penyiar NHk.

“Rak buku bergoyang tetapi tiada yang jatuh, kami menasihati orang ramai supaya tidak menghampiri pantai,” katanya.

Sekurang-kurangnya 21,000 orang terbunuh atau hilang dalam malapetaka Mac lalu yang turut menjejaskan bekalan tenaga ke loji nuklear Fukushima.

Tiada laporan kecederaan atau kemusnahan akibat gempa bumi itu setakat ini. Agensi kaji cuaca berkata gempa bumi berlakui pada kedalaman 10 kilometer di luar timur laut pantai negara itu sebelum jam 10 pagi waktu tempatan.
Pegawai syarikat pengendali loji nuklear Fukushima, Tokyo Electric Power, berkata pekerja di loji berkenaan sudah diarahkan keluar dan pergi ke kawasan tinggi.

Beliau berkata, tiada kemusnahan di loji di mana pekerja bekerja keras membina sistem penyejukan untuk menstabilkan reaktor.

Syarikat itu berkata, walaupun dengan pengosongan itu, air masih dipam masuk ke rektor dan nitrogen turut dimasukkan ke dalam dua rektor untuk mengelakkan letupan hidrogen.

Akhbar Japan Today yang memetik agensi berita Kyodo melaporkan rombakan loji nuklear Fukushima Daiichi termasuk mengeluarkan bahan bakar nuklear, meruntuhkan reaktor dan bangunan di dalam loji itu, dijangka mengambil masa beberapa dekad. – Reuters/ Agensi
Berita Harian Online | Gempa bumi kuat landa Jepun

Tercampak keluar 50 meter



LEDANG – Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar sejauh 50 meter daripada kereta yang dipandunya apabila dirempuh daripada arah belakang oleh kereta Volvo yang dipandu lelaki dipercayai warga Singapura di Batu 3 1/2 di Parit Bunga, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa, Wee Yong Seng, 36, yang memandu kereta Honda Accord baru saja pulang daripada sebuah majlis keramaian rakannya.

Setibanya di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai merempuh tiang telekomunikasi sebelum merempuh sebatang pokok.

Akibat rempuhan tersebut menyebabkan keretanya hilang kawalan dan berpusing beberapa kali ke tengah jalan raya sehingga menyebabkan sebuah kereta Volvo gagal mengelak, lalu merempuh belakang kereta mangsa.

Warga Singapura berusia dalam lingkungan 30-an yang tidak diketahui identitinya mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, Yong Seng yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SH

Tercampak keluar 50 meter



LEDANG – Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar sejauh 50 meter daripada kereta yang dipandunya apabila dirempuh daripada arah belakang oleh kereta Volvo yang dipandu lelaki dipercayai warga Singapura di Batu 3 1/2 di Parit Bunga, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa, Wee Yong Seng, 36, yang memandu kereta Honda Accord baru saja pulang daripada sebuah majlis keramaian rakannya.

Setibanya di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai merempuh tiang telekomunikasi sebelum merempuh sebatang pokok.

Akibat rempuhan tersebut menyebabkan keretanya hilang kawalan dan berpusing beberapa kali ke tengah jalan raya sehingga menyebabkan sebuah kereta Volvo gagal mengelak, lalu merempuh belakang kereta mangsa.

Warga Singapura berusia dalam lingkungan 30-an yang tidak diketahui identitinya mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, Yong Seng yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SH

Tekad terjun sungai


MUAR – Niat seorang wanita untuk mencederakan dirinya dengan menggunakan pisau dan terjun di jambatan pintasan Muar tidak kesampaian selepas berjaya dipujuk suaminya.

Insiden penuh cemas jam 4.30 petang semalam mendapat perhatian orang awam dan kemudiannya bertindak melaporkannya kepada pihak polis.

Pihak polis yang tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit kemudian berusaha memujuk wanita berkenaan tetapi tidak diendahkannya.

Sebaliknya wanita yang hanya dikenali sebagai Suriani itu meminta supaya suaminya datang ke tempat kejadian untuk memujuknya.

Wanita terbabit juga mengugut jika permintaannya tidak dipenuhi, dia akan terjun dari jambatan selain mahu mengelar lehernya menggunakan senjata yang dibawa.

Difahamkan, wanita terbabit bertindak sedemikian kerana mengetahui suaminya mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.

Dia yang tidak berpuas hati dengan perbuatan suaminya itu nekad bertindak melarikan diri dari rumahnya di Tanjong Agas, Ledang sebelum menuju ke jambatan terbabit.

Pihak polis bagaimanapun akur dengan permintaan Suriani dan segera memanggil suami wanita tersebut.

Kira-kira 10 minit kemudian suaminya yang berusia sekitar 30-an tiba di tempat kejadian dan berjaya memujuk isterinya supaya bertenang serta menyelesaikan masalah secara damai.

Kehadiran suaminya berjaya menenangkan Suriani yang kemudian turun dari jambatan sebelum bertindak menyerah diri kepada pihak polis.

Kedua-dua pasangan suami isteri itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli mengesahkan insiden tersebut.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai punca sebenar wanita terbabit bertindak sedemikian.

“Pihak polis turut merampas pisau yang digunakan suspek dalam cubaannya untuk membunuh diri,” katanya.

Mohamad Nasir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk membunuh diri dan jika sabit kesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
SH

Kelibat putih di atas ‘gon’



PENDANG – Orang ramai yang sering melalui ‘gon’ (bukit) di laluan Kampung Kilang Kechik mendakwa laluan itu misteri berikutan sering ternampak kelibat putih yang terbang di sekitar gon itu.

Sinar Harian difahamkan penduduk sekitar kawasan itu bahawa mereka termasuk orang luar yang melalui kawasan itu sering menceritakan tentang kejadian misteri yang berlaku di atas gon itu.

Penduduk, Nurul Nadiah Mat Noh, 24, berkata, dia pernah ternampak kelibat putih terbang di atas gon itu kira-kira jam 1 pagi ketika keluar rumah untuk mengunci kereta.

“Sebelum ini saya hanya mendengar cerita daripada orang ramai mengenai kejadian misteri itu namun, kali ini saya melihat sendiri kejadian itu memandangkan rumah saya berada berdekatan kawasan itu.

“Saya tidak tahu sama ada misteri yang berlaku di situ ada kaitan dengan kejadian kemalangan meragut nyawa yang sering berlaku di atas gon berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, pengguna jalan raya, Nor Ahmad Zakaria, 44, berkata, gon itu kelihatan sunyi pada waktu malam memandangkan kawasan itu gelap.

“Saya berpendapat kejadian misteri itu yang sering diceritakan orang ramai ada kaitan dengan kejadian kemalangan yang sering berlaku di situ,” katanya.

Namun, bagi seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali Zaleha berkata, kejadian misteri yang sama turut berlaku pada dirinya apabila kelibat putih di atas gon yang dijumpainya itu terbang ke arahnya dengan laju dan tiba-tiba hilang.
SH

Bayang hitam kelilingi bot



BALING –“Saya nampak bayang-bayang hitam mengelilingi bot kami. Bayang-bayang berkenaan berpusing selama lima minit, kemudian hilang begitu sahaja,” kata seorang pemancing tegar Mohamad Faizal Abdul Ghani, 27, ketika memancing di Empangan Temengor, Grik.

Menurutnya, kejadian berkenaan berlaku pada 2008 dan sentiasa terpahat dalam ingatannya.

“Ketika itu, saya hanya mampu istighfar, tiga rakan saya sedang tidur. Hanya saya yang berjaga. Saya menjadi tergamam dan tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya ayat al-Quran yang bermain di bibir,” katanya.

Katanya, pengalaman berkenaan tidak mematahkan semangatnya untuk terus memancing kerana terlalu minat terhadap aktiviti itu.

“Saya mula memancing sejak berumur 12 tahun. Semasa zaman bujang, saya kerap memancing. Boleh dikatakan hampir setiap hari saya memancing.

“Tarikan ikan ketika terkena umpan membuatkan saya begitu ketagih untuk memancing. Namun begitu, saya adalah pemancing ‘tangkap dan lepas’. Kepuasan saya hanya mendaratkan ikan.

“Sekarang saya dah ada keluarga. Jadi, saya jarang memancing. Tapi, jika ada masa lapang, saya akan pastikan joran saya berisi umpan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pengalaman diganggu semasa memancing adalah perkara biasa yang sering berlaku kepada pemancing tegar.

“Pemancing tegar sanggup ke mana-mana lubuk yang dikatakan mempunyai banyak ikan. Saya yakin ramai lagi pemancing pernah mengalami nasib yang sama seperti saya.

“Gangguan berkenaan hanya untuk menguji keimanan kita. Saya percaya pada satu. Tujuan saya memancing adalah untuk kepuasan. Bukan untuk melakukan perkara lain,” katanya.

Faizal yang mempunyai lebih daripada 20 joran itu berkata, pengalaman diganggu juga pernah berlaku ketika dia memancing di daerah ini.

“Ketika itu, saya bersama tiga orang rakan. Kami mendirikan khemah di hutan sebelum bergerak ke lubuk ikan.

“Semasa berada dalam khemah saya terdengar bunyi tapak kaki di luar khemah. Saya pun keluar untuk melihat namun tiada apa di luar,” katanya.

Faizal berkata, selepas itu, dia pulang ke rumah seperti biasa.

“Semasa saya tidur, isteri saya bangun untuk ke tandas. Selepas itu, bila dia ingin masuk ke bilik semula, dia nampak seorang perempuan berambut panjang di sebelah saya.

“Saya hanya mampu beristighfar, dan menenangkan isteri. Mungkin ‘benda’ itu mengekori saya hingga ke rumah,” katanya Faizal yang tinggal di Taman Bersatu, Baling itu.

Menurutnya, sebelum masuk ke hutan untuk memancing, beberapa petua perlu diikuti untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak dingini.

“Antaranya kita perlu menjaga kelakuan dan kata-kata serta yang paling penting berdoa kepada Allah supaya perjalanan kita, dipermudah” katanya.
SH

Kesal cermin kereta dipecahkan



KAPAR – Dua pemilik kereta yang juga jiran bersebelahan rumah di Taman Sri Wangi di sini terpana sebaik mendapati cermin kereta mereka dipecahkan pihak tidak bertanggungjawab.

Kejadian disedari pagi kelmarin ketika masing-masing mahu menghantar anak ke sekolah dan keluar bekerja.

Sinar Harian dimaklumkan, kedua-dua kereta itu diparkir di luar pagar kediaman dan bersebelahan antara satu sama lain.

Salah seorang mangsa yang juga pemilik kereta jenis Perodua Kancil, Embi Sabbar, 48, berkata, dia keluar rumah kira-kira jam 7 pagi untuk memanaskan enjin kereta.

“Bunyi bising suara jiran bersebelahan mengejutkan saya lalu bergegas ke arahnya.

“Saya terperanjat sebaik melihat cermin hadapan kereta jenis Proton Wira itu pecah.

“Pada awalnya, saya sangka hanya cermin keretanya yang dipecahkan. Namun, sebaik mendekati kereta saya, cermin belakang kereta turut pecah,” katanya.

Tambahnya, dia menjumpai batu sebesar kepala bayi berada dalam kereta.

“Bagaimana pun, saya hairan kerana mendapati cermin hanya dipecahkan pada bahagian tertentu dan saya tidak menolak kemungkinan ia perbuatan khianat.

“Mungkin kerana kereta kami bersebelahan, maka kedua-duanya dijadikan sasaran. Ini adalah kejadian pertama kali berlaku ke atas saya dan merupakan kali kedua menimpa jiran saya,” katanya.

Embi berkata, dia dan keluarga tidak mendengar sebarang bunyi bising semasa kejadian itu dan percaya ia dilakukan awal pagi ketika dia dan jiran sedang diulit mimpi.

Katanya, dia segera membuat laporan polis di Balai Polis Kapar dengan harapan pihak tidak bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan.
SH

Ibu tunggal hilangkan diri



POKOK SENA - “Jangan cari aku lagi, korang (kamu semua) tidak akan jumpa aku,” kata Sharmila Md Saad, kepada adiknya, Abdullah yang menghubunginya pada April lalu.

Ibu tunggal berumur 32 tahun itu berkata demikian selepas dipercayai berlaku salah faham melibatkan dirinya dengan bapanya, Md Saad Mat, 59 sebelum itu.

Md Saad berkata, sebelum Sharmila dipercayai menghilangkan diri, pihaknya sedang menguruskan majlis pertunangan dan menanti rombongan pihak lelaki dari Yan.

Bagaimanapun, majlis berkenaan ditunda sehingga tiga kali disebabkan rombongan lelaki tidak datang dan Sharmila memberi alasan bahawa cuaca tidak mengizinkan menyebabkan mereka tidak dapat hadir.

“Saya menegur dia, sama ada rombongan lelaki betul-betul hendak datang atau Sharmila hanya hendak mempermainkan kami, namun selepas itu dia terus mematikan telefon bimbitnya,” katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Besar, di sini.

Md Saad berkata, dia tidak tahu sama ada kata-katanya membuatkan Sharmila berkecil hati atau disebabkan masalah lain.

Namun, Md Saad merayu anaknya itu pulang atau menghubungi keluarganya.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan pihaknya termasuk meminta bantuan rakannya untuk mencari Sharmila.

“Dua anaknya berumur 12 dan lapan tahun kini dijaga bekas suaminya di Alor Mengkudu, Alor Setar.

“Bekas suaminya turut membantu mencarinya tetapi gagal,” katanya.

Menurutnya, anak kedua dari enam beradik itu kali terakhir bekerja sebagai pengasuh di Yan sebelum dia berhenti bekerja dan menghilangkan diri.
SH

Mayat lelaki disangka tidur



ALOR GAJAH - Sekujur tubuh yang ditemui seorang pencari barang terpakai disangka sedang tidur di belakang Pasar Awam Masjid Tanah, dekat sini, rupa-rupanya mayat seorang lelaki yang dipercayai dibunuh, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, pencari barangan terpakai yang ingin dikenali sebagai Zali, 50-an, berkata, tidak menyangka menemui rakannya yang disangka tidur tanpa menyedari terdapat darah di kepala mangsa.

Menurutnya, pada jam 8 malam, dia berbual dengan mangsa di kedai makan berhampiran dan tidak lama selepas itu dia ke belakang pasar hendak mengambil barangan terpakai yang dikumpulkan.

“Saya terlihat seorang lelaki berbaring di kotak dan kertas yang saya kumpulkan dengan kedua-dua selipar dijadikan alas kepala. Saya tidak sedap hati dan mencuitnya namun tidak bergerak lalu menyuluh muka mangsa dengan pemetik api.

“Kelihatan kepalanya berlumuran darah. Salah seorang rakan saya bertindak menghubungi talian kecemasan bagi mengenal pasti sama ada mangsa masih hidup ataupun tidak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika ditemui berkata, lelaki terbabit dikenali sebagai Nasafri Ismail, 41, ditemui mati kira-kira jam 10.30 malam.

Menurutnya, selepas menerima maklumat, beberapa anggota polis dari Balai Polis Masjid Tanah dikejarkan ke tempat kejadian dan menemui mayat seorang lelaki terbaring di pondok dalam keadaan terlentang serta tidak sedarkan diri.

“Ketika melakukan pemeriksaan, mayat pekerja pasar awam itu seperti berada dalam keadaan tidur didapati sudah meninggal dunia berikutan cedera parah di kepala.

“Hasil siasatan awal, pihak polis percaya mangsa cedera parah di kepala selepas dihentak dengan kuat menggunakan senjata tumpul berikutan terdapat kesan pukulan di kepalanya,” katanya.

Umar Ali berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Bilik Mayat Hospital Melaka bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, kami belum mengenal pasti sebarang motif pembunuhan dan percaya mangsa dibunuh di kawasan berdekatan antara jam 8 hingga 10 malam sebelum mayatnya ditemui.

“Siasatan awal juga mendapati pembunuhan ini bukan bermotifkan samun berikutan barangan peribadi milik mangsa seperti jam tangan, beg duit dan dokumen lain tidak hilang,” katanya.

Umar Ali berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil atau hubungi Asisten Superintendan Zabidi Kadir Mohamed menerusi talian 012-4505020 untuk membantu siasatan.
SH

Akibat mencuri ayam



KUALA TERENGGANU- Seorang isteri hanya mampu menangis teresak-esak di kamar mahkamah sejurus melihat suaminya di kandang pesalah kerana berhadapan dengan tuduhan mencuri 65 ekor ayam yang sudah diproses pada 2 Julai lalu.

Tangisan si isteri semakin tidak dapat dikawal selepas Hakim Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman penjara selama seminggu dan denda RM2,000, sekiranya gagal membayar denda akan dipenjara selama empat bulan terhadap suaminya, Anuar Abd Rahman, 41, dari Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu.

Hukuman itu diputuskan selepas tertuduh dengan tenang mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan itu di Mahkamah Majistret, disini, semalam.

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati telah mencuri 65 ekor ayam proses yang bernilai RM600 di tepi kedai ayam Segar Delima MD di Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu milik Mohd Fauzi Musa, 28, pada 2 Julai lalu kira-kira jam 4.30 pagi.

Tindakan tertuduh itu disedari salah seorang pekerja di kedai berkenaan yang ternampak tertuduh melarikan empat bakul berisi ayam proses dengan sebuah kereta.

Ketika kejadian pekerja tersebut sempat mencatatkan nombor pendaftaran kereta berkenaan.

Pada keesokkan harinya iaitu 3 Julai kira-kira jam 12.30 pagi, Mohd Fauzi iaitu pemilik kedai telah melaporkan kes kecurian itu di Balai Polis Chabang Tiga.

Susulan laporan yang dibuat, polis menahan tertuduh selepas mengesan nombor pendaftaran kereta. Bagaimanapun, ketika ditahan, semua ayam yang dicuri sudah tiada bersama tertuduh.

Selepas soal siasat dijalankan, tertuduh telah membawa polis ke kawasan parit tali air di kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu dan di situ, polis menemui empat bakul kosong tertera nama kedai seperti mana yang dilaporkan. Tertuduh telah mengaku mencampakkan bakul tersebut ke dalam parit tali air selepas menjual semua ayam itu di sebuah pasar di sekitar Kuala Terengganu.

Dengan itu, dia didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga tempoh tujuh tahun dan juga dikenakan denda.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi.
SH

Hanya curi RM42.97, duda dipenjara enam bulan

KUALA TERENGGANU- Tidak berbaloi! Hanya kerana mencuri dua bungkus Nescafe Classic dan sekeping coklat Dove Crispy di Pasaraya Giant Jalan Sultan Mahmud, seorang duda ‘merasa’ hidup di dalam penjara selama enam bulan.

Bukan itu sahaja, tertuduh, Bakti Mukhtar, 34, dari Kampung Paya Lima Amas Batu Enam turut dikenakan denda RM2,000 dan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut, dia akan dipenjara empat bulan selepas mengaku bersalah mencuri kedua-dua jenis barangan itu yang hanya bernilai RM42.97.

Hukuman berkenaan dijatuhkan selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan di Mahkamah Majistret, disini, semalam.

Pertuduhan dijalankan Pegawai Polis, Inspektor V Ravi di hadapan Hakim Noradila Abd Latif.

Mengikut fakta kes, tertuduh pada 7 Julai lalu kira-kira jam 3 petang telah mencuri dua bungkus Nescafe Classic yang setiap satu seberat 300 gram dan sekeping coklat Dove Crispy seberat 40 gram, nilai keseluruhan RM42.97 di dalam sebuah pasar raya Giants Sultan Mahmud Kuala Terengganu.

Tertuduh ditahan pengawal keselamatan di pintu masuk utama pasar raya berkenaan ketika cuba bertindak membawa keluar barang yang dicuri dengan menyorokkannya di dalam baju yang dipakai tertuduh.

Sebelum ini, tertuduh pernah berdepan hukuman penjara selama tiga tahun atas kesalahan mencuri kabel telekom, mencuri motosikal dan pecah rumah.
SH

Pekerja Majlis Daerah Manjung maut dihempap lori dalam kemalangan


IPOH - Seorang pekerja Majlis Daerah Manjung maut akibat dihempap lori selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan lori berkenaan di Kilometer 5, Jalan Ipoh-Sitiawan hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohd Jamil Osman berkata, pekerja berkenaan, Abu bakar Ariffin, 54, dari Taman Sungai Wang, Setiawan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan itu berlaku pada kira-kira 7.15 pagi ketika Abu Bakar dalam perjalanan ke tempat kerja dan mayatnya dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat, katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori berusia dalam lingkungan 40-an hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital yang sama. - Bernama

SH

10 mayat tanpa kepala ditemui di Mexico

MEXICO CITY 11 Julai – Kira-kira 10 mayat tanpa kepala ditemui di utara bandar Torreon yang dipercayai dibunuh beramai-ramai berhubung persengketaan kumpulan pengedar dadah, semalam.

Akhbar Reforma melaporkan, kesemua mayat tersebut ditemui di belakang sebuah trak dan kepala-kepala yang dipancung dibuang di sekitar bandar.

Sementara itu, lebih 40,000 maut akibat keganasan dadah di Mexico sejak akhir 2006. – Reuters

Utusan Malaysia Online - Terkini

Yingluck didakwa tidak tunaikan janji pilihan raya



Yingluck Shinawatra


BANGKOK 10 Julai - Bakal Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra dituduh tidak menunaikan sekurang-kurangnya empat perkara yang beliau janjikan ketika berkempen dalam pilihan raya baru-baru ini.

Timbalan jurucakap Parti Demokrat, Boonyod Sukthinthai berkata, Yingluck sebelum ini berjanji untuk memansuhkan Dana Minyak, tetapi kemudiannya menyatakan kerajaan beliau masih belum dibentuk dan akan menggantung sementara waktu sumbangan kepada kumpulan itu.

Menurutnya, Yingluck turut berjanji bahawa Suruhanjaya Perdamaian bagi Kebenaran akan diberikan kebebasan untuk mengendalikan tugas, tetapi kemudian mahu suruhanjaya itu mempercepatkan kerja mereka.

"Ini sekali gus menunjukkan beliau telah masuk campur dengan kerja suruhanjaya itu," kata Boonyod.

Katanya, bakal Perdana Menteri itu juga sebelum ini cuba menyakinkan rakyat bahawa beliau membentuk Kabinet baru di Thailand, tetapi terdapat laporan yang menyatakan anggota Parlimen Pheu Thai dalam jumlah yang besar mengadakan lawatan ke Brunei dan Hong Kong untuk berjumpa dengan pemimpin sebenar parti itu, Thaksin Shinawatra.

Selain itu, adik kepada Thaksin itu juga sebelum ini menyatakan akan meminda Artikel 112 berkaitan penghinaan raja dalam Akta Jenayah, tetapi kemudiannya memberitahu tidak mahu ia disalah gunakan, tambahnya.

Boonyod dalam pada itu turut meminta rakyat untuk melihat sama ada Yingluck akan memindahkan beberapa pegawai kerajaan seperti ketua pengarah Jabatan Siasatan Khas dan gabenor wilayah Chiang Mai.

Sementara itu, Wirat Kalyasiri yang merupakan anggota pasukan undang-undang Parti Demokrat berkata, petisyen parti itu yang dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membubarkan Parti Pheu Thai kerana bertindak mengikut arahan bekas Perdana Menteri yang digulingkan, Thaksin yang kini diharamkan berpolitik selama lima tahun.

"Tindakan ini diambil bagi membolehkan Suruhanjaya itu menegakkan undang-undang dan bukan untuk membalas dendam kerana tewas dalam pilihan raya," kata Wirat. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Hakim Indonesia disyaki rasuah digantung tugas

JAKARTA 10 Julai - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono hari ini mengeluarkan dekri bagi menggantung tugas Hakim Imas Dianasari berikutan penahanannya kerana disyaki menerima rasuah pada 30 Jun lalu.

Pegawai Hal Ehwal Undang-Undang di pejabat presiden, Denny Indrayana berkata, mengikut peraturan, mana-mana hakim yang ditahan dan dinamakan sebagai suspek rasuah boleh digantung tugas sementara waktu.

Imas yang merupakan hakim di mahkamah industri telah ditahan oleh Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK) bersama pengurus PT Onamba Indonesia, Odi Juanda di Restoran La Ponyo di Cinunuk, Cibiru, Bandung pada 30 Jun lalu.

Ketika tertuduh ditahan, KPK menemui wang bernilai AS$23,470 (RM70,410) yang diletakkan di dalam plastik beg serta minivan jenis Toyota miliknya.

Dalam pada itu, PT Onamba dipercayai merasuah Imas berhubung pertikaian dengan kesatuan buruh di mahkamah rayuan.

Sebelum ditahan, Imas dijadualkan menghakimi kes berhubung firma aeroangkasa negara, PT Dirgantara Indonesia dan pekerjanya pada 8 Julai lalu malah turut terlibat dalam enam lagi kes termasuk PT Sundaya, PT Klasi, PT Sentral, PT Graha, PT Sumindo, dan PT Yupi. - AGENS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

5 wanita antara 8 direman samun peraih emas

KOTA BHARU 10 Julai - Lima wanita merupakan antara lapan orang yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes samun seorang peraih emas di Tanah Merah, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan Abdul Aziz Mahmud berkata, kelima-lima wanita terbabit berusia antara 40 dan 60 tahun ditahan kerana dipercayai berkongsi wang untuk membeli barangan curi.

Katanya, perintah tahanan reman telah dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Rozita Md. Saat hari ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Mereka ditahan reman selama empat hari bersama tiga lagi lelaki yang dipercayai turut terbabit dalam kes samun itu. Dua daripada lelaki berkenaan dipercayai dalang kes samun itu direman seminggu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam kejadian itu, seorang peraih emas wanita berusia 26 tahun di Tanah Merah, disamun dan diculik oleh dua lelaki yang berpura-pura mahu menjual emas kepadanya.

Bagaimanapun katanya, ketika urus niaga dijalankan, kedua-dua lelaki terbabit telah menutup muka wanita berkenaan dengan sarung bantal dan melarikannya ke Bukit Panau, Tanah Merah sebelum dia ditinggalkan di tepi jalan, kira-kira 15 kilometer dari tempat kejadian.

"Dua lelaki terbabit turut mengambil gelang dan cincin emas milik mangsa. Mangsa kemudian membuat laporan polis dan berjaya mengecam nombor pendaftaran kenderaan suspek.

"Suspek berjaya ditahan kelmarin dan hasil siasatan, polis menemui sebilah pisau rambo dan sarung bantal di rumah salah seorang suspek. Mereka mengaku menjual barangan kemas terbabit kepada dua peraih emas di Pasir Mas dan tiga lagi rakan mereka yang turut bersubahat membeli barang curi," katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

35 maut kereta api tergelincir



GERABAK kereta api yang tergelincir, mengakibatkan kematian 35 orang di Fatehpur, 150 kilometer dari Lucknow, India, semalam. - AFP


LUCKNOW, India 10 Julai - Sebuah kereta api yang sarat dengan penumpang tergelincir di utara India hari ini dan mengorbankan sekurang-kurangnya 35 penumpang apabila 15 buah gerabaknya terkeluar dari landasan, lapor pegawai.

Pasukan keselamatan yang terus bergegas menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalam kereta api itu melaporkan lebih 100 penumpang turut tercedera dalam kemalangan yang berlaku di Uttar Pradesh itu, 150 kilometer dari selatan bandar Lucknow

"Sekurang-kurangnya 35 orang terkorban setakat ini dan masih ramai terperangkap di dalam gerabak-gerabak yang remuk itu," kata pegawai perkhidmatan kereta api negeri, Pradeep Ojha kepada AFP. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Mayat lelaki ditemui dalam lubang najis


KUALA LUMPUR 10 Julai - Mayat seorang lelaki warga asing ditemui dalam keadaan tertiarap dalam lubang najis sebuah kilang besi tinggal di Kawasan Perindustrian KRI di Rawang dekat sini hari ini.

Mayat mangsa yang berpakaian lengkap dengan kesan tiga tetakan di bahagian kepala, ditemui di dalam lubang najis sedalam 1.8 meter tersebut oleh pihak polis kira-kira pukul 1 petang setelah mendapat maklumat orang awam.

Mangsa dipercayai telah meninggal dunia tiga hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah berbau busuk dan mula mereput.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah warga asing berumur dalam lingkungan 30-an dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama mangsa.

"Mangsa dipercayai bergelut dengan lebih daripada seorang suspek dan titisan darah ditemui sepanjang 100 meter dari lubang najis itu sebelum mangsa dicampakkan ke lubang najis tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Polis juga menjumpai sebilah kapak yang dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mangsa berdekatan dengan tempat mayat ditemui.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-6138 5222.

Utusan Malaysia Online - Kota

Bomba berjaya selamatkan gadis



BEBERAPA anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang remaja daripada cubaan mencederakan diri di kediamannya di Machang, semalam.


MACHANG 10 Julai – Kecekapan anggota Bomba dan Penyelamat berjaya menyelamatkan cubaan seorang gadis yang dipercayai pelajar perubatan daripada terjun dari bumbung rumahnya setinggi 4.3 meter di Jalan Bahagia, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, gadis berusia 21 tahun itu dikatakan berada dalam keadaan separuh sedar semasa memanjat bumbung rumah tersebut melalui bahagian dapur.

Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat yang dipanggil untuk membantu mengambil masa 10 hingga 15 minit untuk memujuk mangsa turun dengan bantuan abangnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Che Mohd. Fauzi Che Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 11.06 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama enam anggota dan sebuah jentera.

Katanya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, gadis terbabit berada di atas bumbung rumahnya, namun berjaya dipujuk dengan kerjasama keluarga mangsa.

“Dia tidak melakukan sebarang tindakan yang agresif malah, sebaik sahaja dipujuk dia terus menghulurkan tangan dan meminta kami membawanya turun.

“Dia tidak mengalami kecederaan dan dirawat oleh ahli keluarga sendiri untuk memulihkan semangat selepas kejadian terbabit,” ujarnya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, keluarga gadis terbabit enggan untuk ditemu bual.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Lelaki ugut bunuh wartawan

IPOH: Seorang lelaki yang baru terlepas daripada hukuman gantung atas tuduhan membunuh, mengugut membunuh wartawan dan jurugambar jika mengambil gambarnya.

Ng Hock Lai, 32, berkata demikian selepas Mahkamah Tinggi di sini kelmarin, membebaskan dia daripada tuduhan membunuh tiga tahun lalu.


Pesuruhjaya Kehakiman, Choong Siew Khim membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Ketika membacakan keputusan penghakimannya, hakim turut mengambil kira keterangan pegawai kimia iaitu seorang daripada saksi kes yang gagal membuktikan tertuduh terbabit dalam pembunuhan itu.


Mahkamah juga mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan dua suspek lain yang masih bebas.


Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa membunuh Tan Kong Hoo, 51, jam 8 malam pada 10 Mei 2009 di depan kedai runcit Wong Wei Boh di Batu 12, Jalan Gunung Tunggal Segari di Manjung.

myMetro | Lelaki ugut bunuh wartawan

Penyelia pecah amanah dicekup

KOTA KINABALU: Seorang penyelia berusia 31 tahun dipercayai melakukan pecah amanah selepas didapati mengambil wang majikannya sebanyak RM33,333 sebelum dicekup polis di rumahnya di Kampung Delima, Sepanggar, kelmarin.

Perbuatan suspek terbongkar selepas juruaudit yang ditugaskan membuat semakan akaun pada 7 Julai lalu mendapati sejumlah wang hilang daripada simpanan syarikat berkenaan yang terletak di Taman Layang-layang.


Siasatan juruaudit berkenaan mendapati kehilangan wang terbabit mempunyai kaitan dengan suspek yang juga penyelia di syarikat berkenaan. Dia kemudian melaporkan perkara itu kepada pengurus syarikat sebelum membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, mengesahkan menerima laporan berkenaan dan memberitahu penahan lelaki terbabit dilakukan kira-kira jam 3 petang.


“Berdasarkan laporan, polis melakukan siasatan dan berjaya menjejaki suspek yang ketika itu berada di rumahnya di Sepanggar, kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar,” katanya.

myMetro | Penyelia pecah amanah dicekup

Niat bantu tukar tragedi

ALOR GAJAH: Niat murni seorang lelaki membantu mangsa yang cedera dalam kemalangan bertukar tragedi apabila dia maut dirempuh kereta di Kilometer 202, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah Selatan berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi, A Vimal Marusu, 25, maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan anggota badan.

Sebelum itu, sebuah Perodua Myvi dipandu seorang lelaki terbabit dalam kemalangan dengan kereta Nissan Latio, menyebabkan kenderaan itu melintangi lebuh raya.

Pada masa sama, Toyota Vios dipandu Vimal gagal mengelak lalu melanggar Nissan Latio itu, menyebabkan kedua-dua kenderaan rosak teruk.


Vimal yang tidak cedera kemudian dikatakan keluar dari keretanya untuk membantu pemandu Nissan Latio yang cedera.

myMetro | Niat bantu tukar tragedi

Serbu transit pendatang

ULU TIRAM: Sekumpulan 47 warga Indonesia, termasuk dua berstatus penduduk tetap (PR) yang cuba pulang ke negara asal melalui lorong tikus, sempat mengadakan doa selamat sebelum ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Sungai Tiram, di sini, jam 9 malam kelmarin.

Malah, tekong terbabit menggunakan pelekat logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tertera perkataan ‘Rakan Cops’ pada kenderaan dipercayai digunakan untuk mengangkut pendatang asing, disyaki bagi mengabui pihak berkuasa.


Bagaimanapun, anggota Imigresen Johor berjaya memintas empat kereta membawa sebahagian pendatang asing terbabit ketika mereka baru meninggalkan perkarangan rumah sebelum disyaki menuju ke lorong tikus.

Ketua Operasi Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Hasan Silong, berkata empat kereta dipandu dua tekong serta dua lelaki warga asing turut dirampas.


Menurutnya, pemeriksaan mendapati empat kenderaan terbabit dipenuhi sebahagian daripada 45 warga asing serta beg pakaian.


Katanya, semua yang ditahan dipercayai dalam perjalanan ke lokasi rahsia sebelum ke lorong tikus untuk keluar dari negara ini, manakala pemeriksaan dalam rumah terbabit mendapati sebahagian lagi menunggu giliran diangkut ke pangkalan melalui lorong tikus.

“Ketika memasuki rumah, ada warga asing sibuk berkemas dan menyusun barang di dalam beg dan ada juga yang berehat,” katanya.


Hasan berkata, serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan orang ramai bahawa premis berkenaan digunakan sebagai transit untuk menyeludup pendatang asing.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket penyeludupan manusia aktif sejak seminggu lalu manakala pendatang asing terbabit dipercayai baru tiba di rumah berkenaan yang turut dijadikan pusat berkumpul.


“Kami berusaha mengenal pasti pemilik sebenar rumah itu untuk membantu siasatan dan susulan itu kita mungkin mengambil tindakan selanjutnya.


“Hasil siasatan, kami mendapati dua tekong yang ditahan mempunyai status penduduk tetap dan dipercayai dalang utama sindiket.


“Mereka disyaki mengenakan bayaran RM800 hingga RM1,000 bagi setiap warga asing yang ingin pulang melalui lorong tikus,” katanya.


Menurutnya, lima yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 56 (1) (I), Akta Imigresen, 1959/63, enam orang mengikut Seksyen 15 (1) (c) akta sama, manakala selebihnya mengikut Seksyen 6 (1) (c).


Selain itu, katanya, dua tekong dan dua lagi warga asing disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.


Semua warga asing iaitu 40 lelaki dan lima wanita berusia 30 hingga 50 tahun ditahan dan dibawa ke Depoh Imigresen Pekan Nanas (DIPN) Pontian untuk tindakan selanjutnya. Turut disita tiga Proton Waja dan sebuah Proton Iswara.

myMetro | Serbu transit pendatang

Lelaki mati tepi motosikal

KULIM: “Saya sempat memangku arwah dan dia beritahu belakang dan pinggangnya sakit. Saya dan seorang rakan menghubungi ambulans, namun apabila ia sampai mangsa disahkan meninggal dunia,” kata Johari Hashim, 52, yang terkejut melihat seorang lelaki terbaring bersebelahan motosikalnya di ladang kelapa sawit di Sungai Seluang, Jalan Padang Cina, di sini, semalam.

Johari berkata, kejadian berlaku jam 9 pagi selepas dia dimaklumkan seorang pemilik kebun mengenai penemuan seorang lelaki terbaring di tanah bersebelahan motosikalnya di kawasan ladang itu.


“Saya bergegas ke tempat kejadian bersama seorang rakan dan ketika itu saya melihat seorang lelaki terbaring berhampiran motosikalnya.

“Saya memangku mangsa dan ketika itu dia memberitahu pinggang dan belakangnya sakit. Kami kemudian menghubungi ambulans untuk membawa mangsa ke Hospital Kulim bagi menerima rawatan.


“Namun sebaik ambulans tiba, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya yang ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.


Timbalan Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Superintendan Law Tiang Huat berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang ramai jam 9 pagi.

Katanya, sepasukan anggota polis dihantar ke tempat kejadian untuk menyiasat dan menemui mayat lelaki terbabit.

myMetro | Lelaki mati tepi motosikal

Remaja mangsa kes rogol tertinggi


KUCHING: Biarpun jumlah kes rogol menunjukkan penurunan, golongan remaja, terutama berusia 16 tahun, perlu diberi perhatian apabila mencatat bilangan mangsa tertinggi bagi tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Statistik Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) menunjukkan, daripada 67 kes rogol yang berlaku sejak Januari hingga bulan lalu, 40 kes atau 60 peratus mangsa ialah remaja pada usia berkenaan dan sekali gus menimbulkan kebimbangan semua pihak.

Ketika mendedahkan perkara ini, Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, tahun lalu sebanyak 200 kes rogol direkodkan dengan 139 atau 70 peratus daripada mangsanya adalah remaja.
Beliau berkata, daripada segi peratusan atau jumlah remaja menjadi mangsa kerakusan lelaki, tidak banyak berubah khususnya dua tahun lalu apabila merekodkan 141 daripada 206 kes rogol keseluruhan.

“Begitu juga pada 2008 apabila 70 daripada 145 kes membabitkan golongan sama. Daripada maklumat diperoleh, kebanyakan kejadian berlaku di rumah mangsa dan suspek,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat MWKS dan Perlantikan Ahli Majlis sesi 2011/12, semalam.

Fatimah berkata, rekod juga menunjukkan mangsa membabitkan golongan kurang upaya (OKU) termasuk kurang siuman, mengalami kecacatan mental dan kurang upaya lain.
Katanya, berikutan bilangan kes rogol membabitkan remaja meningkat, MWKS akan mengadakan pelbagai program, terutama berkaitan pendidikan bagi mengelak lebih ramai gadis menjadi mangsa.

“MWKS akan mengatur program bersama badan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan masyarakat. Malah, program bakal dijalankan memberi tumpuan kepada remaja di bandar dan luar bandar.
“Menerusi program ini, kita akan memberi pendedahan berhubung kebarangkalian menjadi mangsa rogol dan kesan daripada pergaulan bebas,” katanya.

Fatimah berkata, program pendidikan turut disertai golongan lelaki baik remaja mahupun dewasa supaya mereka lebih mengetahui perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan serta lebih menghormati hak wanita.

Dalam pada itu, Fatimah menambah, statistik menunjukkan daripada 200 kes pada 2010, Kuching merekodkan bilangan tertinggi dengan 49 kes, diikuti Samarahan (26 kes), Sibu (24 kes), Miri (23 kes) dan Bintulu (18 kes).
myMetro | Remaja mangsa kes rogol tertinggi

Kekasih diburu

IPOH: Seorang penjenayah yang mempunyai tiga rekod kes dadah menjadi buruan polis selepas memperdaya dan melarikan seorang gadis lepasan universiti sejak dua minggu lalu.

Suspek yang pernah mempunyai dua isteri dikesan menjadikan wanita lepasan IPT sebagai sasaran utama untuk digoda sebelum diajak kahwin lari.


Dalam kejadian terbaru 26 Jun lalu, suspek didakwa mengamal ilmu penunduk melarikan graduan, Hazwani Mohmad Diah, 23.

Bapa saudara mangsa, Mohd Hanafi Abu Bakar, 35, berkata Hazwani berkenalan dengan suspek sejak awal tahun dan menjadi sukar dikawal dan panas baran.


Menurutnya, kehilangan Hazwani disedari keluarga pada jam 8 pagi 26 Jun lalu di rumah mereka di berek polis Rantau Panjang, Kelantan.


“Keluarga percaya dia dilarikan kenalan lelaki bernama Mohd Faizal, 34, yang tinggal di Gombak, Selangor.

“Entah apa ilmu digunakan kerana Hazwani tiba-tiba menghantar SMS pada kakaknya 3 Julai lalu memberitahu ingin bernikah secara haram dengan lelaki itu di Padang Besar, Perlis.


“Saya dan ayah mangsa menuju ke rumah lelaki itu di Kampung Bendahara, Jalan Sungai Tua dengan bantuan polis dan berjaya menemui abangnya yang menunjukkan rumah lelaki itu,” katanya.

Menurutnya, mereka terkejut diperkenalkan kepada seorang wanita yang mengaku isteri suspek.


Wanita berusia 30-an itu memberitahu kehidupannya daif dan terpaksa menyara anak berusia setahun hingga 12 tahun.


“Kami diberitahu suspek turut mempunyai isteri kedua, juga graduan di Pahang sebelum merancang berkahwin dengan Hazwani. “Agak menyedihkan apabila Hazwani yang juga graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hanya menunggu surat arahan memulakan tugas sebagai guru,” katanya. Orang ramai yang ada maklumat dan melihat mangsa diminta menghubungi talian 019-3154900 dan 016-9364025.


myMetro | Kekasih diburu

Pemburuan berakhir


MAUT... anggota polis mengawasi mayat lelaki yang ditembak mati selepas diangkat masuk ke dalam sebuah kenderaan polis.
MAUT... anggota polis mengawasi mayat lelaki yang ditembak mati selepas diangkat masuk ke dalam sebuah kenderaan polis.


GEORGETOWN: Selepas dua tahun diburu kerana aktif melakukan kegiatan jenayah, seorang lelaki akhirnya maut selepas ditembak polis di Relau, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2 pagi, lelaki berasal dari Indonesia dan berusia lingkungan 20-an itu pada mulanya dilihat berada dalam keadaan mencurigakan dan berkeliaran di kawasan Relau dengan memandu kereta.

Polis yang menerima maklumat kemudian mengekori lelaki terbabit sebelum meminta dia berhenti ketika berhampiran lampu isyarat, namun lelaki itu terus memecut kenderaannya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Zaruddin Abdullah berkata, polis kemudian mengejar lelaki berkenaan tetapi suspek tiba-tiba bertindak di luar dugaan apabila melepaskan beberapa das tembakan.

“Menyedari suspek bertindak agresif, polis membalas tembakan untuk mempertahankan diri sebelum lelaki itu memberhentikan kereta dan selepas diperiksa, lelaki terbabit didapati meninggal dunia akibat terkena tembakan,” katanya.

Menurut Zaruddin, pemeriksaan lanjut dalam kereta suspek turut menemui sepucuk pistol revolver .38 dan beberapa ketulan ganja mampat.
“Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes samun, pecah rumah dan curi di sekitar Pulau sejak dua tahun lalu.

“Kita tidak menolak kemungkinan suspek bergerak bersama kumpulannya untuk melakukan jenayah dan siasatan lanjut akan dilakukan,” katanya.
Menurutnya, suspek juga menggunakan kereta Proton Wira yang diubahsuai, dipercayai bagi memudahkannya memecut ketika melakukan kegiatan jenayah atau terserempak dengan pihak berkuasa.

“Pemeriksaan awal mendapati kereta terbabit didaftar menggunakan nama seorang penduduk tempatan dan polis turut menemui kad pengenalan dipercayai palsu,” katanya.

Menurutnya, mayat lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.myMetro | Pemburuan berakhir