Search This Blog

Saturday, July 9, 2011

Penjenayah warga Indonesia mati ditembak

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menembak mati seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai terbabit dalam beberapa kes jenayah dalam satu kejadian tembak menembak di Jalan Paya Terubong di sini 2 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SAC II Zahruddin Abdullah, berkata sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian sebaik mendapat maklumat terdapat sebuah Proton Wira dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

"Anggota polis yang sampai ke tempat kejadian cuba menghampiri dan meminta pemandunya berhenti, bagaimanapun lelaki berusia lingkungan 30-an itu terus memecut laju kereta yang dipandunya itu ke arah persimpangan lampu isyarat Jalan Dato' Ismail Hashim, Relau di sini.

"Dalam masa sama lelaki terbabit juga bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis dan kita terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Zahruddin berkata, kereta yang dipandu lelaki terbabit terbabas ke kiri jalan selepas satu daripada tempakan yang dilepaskan polis mengenainya.

Katanya, suspek mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

"Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan terbabit dalam pelbagai aktiviti jenayah antaranya samun, pecah rumah, mencuri dan pengedaran dadah di sekitar negeri ini," katanya.


Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui sepucuk pistol jenis Revolver .38mm dan beberapa bungkus dadah jenis ganja dalam kereta lelaki itu.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan lelaki terbabit menjalankan kegiatan jenayah bersama kumpulannya dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan mereka. - Bernama

SH

Usaha lolos gagal



TANAH MERAH - Usaha empat pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Besut untuk melarikan diri gagal apabila tiga daripada mereka berjaya ditangkap semula di Batu 11 dan seorang lagi masih diburu.

Empat pelatih pusat serenti itu melarikan diri dengan menaiki lori pembekal makanan kira-kira jam 10.15 pagi semalam, dan dipercayai mahu ke utara kerana tiga darinya berasal dari Kedah dan seorang lagi dari Melaka, namun gagal.

Ketua Operasi Kelab Sahabat Keselamatan Tanah Merah, Machang dan Jeli (SKTMJ), Che Aziz Yusof berkata, maklumat mengenai empat pelatih itu diterima dari ahli di Pasir Putih yang mengatakan lori dinaiki empat pelatih itu dari Machang ke Tanah Merah.

“Bertindak atas maklumat di SKTMJ bertindak mengejar lori yang mereka naiki terbabas dan masuk ke longkang berdekatan stesen minyak.

“Mereka keluar daripada lori berkenaan ke stesen minyak untuk mencuri sebuah lagi kenderaan, namun cubaan tersebut gagal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, usaha empat pelatih itu melarikan diri gagal apabila tiga darinya sudah berjaya ditangkap dan seorang lagi masih diburu kerana masih lagi berada di kawasan sekitar.

“Kami di SKTMJ akan cuba membantu dan memantau untuk sama-sama menangkap seorang lagi pelatih tersebut,” katanya.

Antara pihak yang bertindak tangkas dalam operasi penangkapan tersebut adalah polis, SKTMJ dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Besut kira-kira jam 10.45 pagi memaklumkan kejadian itu.

“Lori yang dilarikan empat pelatih lelaki berkenaan terlepas ketika melalui sekatan jalan raya di Bukit Yong sehingga menyebabkan salah seorang anggota trafik terpaksa mengejar mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, berlaku pintas memintas ketika Lans Koperal Anuar Ali, 30, yang menaiki motosikal semasa cuba menahan lori itu dan anggota itu jatuh ketika dihimpit lori itu.

Mohd Kamal berkata, akibat kejadian itu Anuar terbabas dan terjatuh sehingga menyebabkan tangannya patah dan cedera ringan badan serta dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk rawatan.
SH

7 terbunuh kena tembak


TERLALU SEDIH...seorang lelaki tumbang selepas diberitahu anak perempuanya terbunuh ditembak Dantzler (gambar kecil).
TERLALU SEDIH...seorang lelaki tumbang selepas diberitahu anak perempuanya terbunuh ditembak Dantzler (gambar kecil).

CHICAGO: Seorang lelaki Michigan dipercayai menembak mati tujuh orang - termasuk seorang budak - sebelum membunuh diri selepas berlaku drama tebusan di bandar Grand Rapids, semalam.
Dua tebusan lain terselamat selepas lelaki terbabit, Rodrick Shonte Dantzler, menembak dirinya sendiri ketika polis bercakap dengannya melalui telefon.

Ketua Polis Grand Rapids, Kevin Belk, berkata Dantzler bersenjata sepucuk pistol dan membebaskan seorang tebusan wanita berusia 53 tahun ketika meminta diberikan minuman dan rokok.
Dantzler, 34, didakwa mengamuk dan melepaskan tembakan di dua rumah lain menyebabkan seorang budak berusia 10 tahun maut.

Turut maut, lima wanita dan seorang lelaki.

Kata polis, Dantzler mempunyai hubungan dengan penghuni kedua-dua rumah berkenaan, tetapi tiada butiran lanjut diberikan.
Ekoran kejadian itu, buruan polis membawa pihak berkuasa ke sebuah rumah yang dipercayai tidak ada kaitan dengan Dantzler.

Di situ, suspek meninggalkan kenderaannya dan melepaskan tiga tembakan ke arah polis.
Tembakan balas pihak berkuasa memaksa Dantzler berlindung di rumah berkenaan.

Belk berkata, Dantzler turut menembak dua individu lain, termasuk seorang wanita yang dipercayai terkena peluru sesat suspek terbabit.

“Bagaimanapun, kecederaan mereka tidak serius,” katanya.

Keluarga Dantzler berkata, lelaki terbabit baru dibebaskan dari penjara dan dalam keadaan tertekan, dipercayai akibat tidak mengambil ubat sepatutnya. - AFPmyMetro | 7 terbunuh kena tembak

Wanita dirogol 3 lelaki depan anak

JEDDAH: Tiga suspek - dua warga Arab Saudi berusia 18 tahun dan seorang rakyat Somalia berusia 25 tahun yang merogol seorang wanita di depan anaknya, didapati bersalah semalam.

Biro Siasatan dan Pendakwaan memindahkan kes tiga penjenayah itu dan rakan mereka ke Mahkamah Awam di Jeddah serta menuntut mereka dijatuhi hukuman berat, lapor akhbar Saudi Gazette.


Laporan itu bagaimanapun tidak menyebut bila kejadian berlaku. Kumpulan lelaki berkenaan juga merakam adegan pemerkosaan itu dan melucutkan pakaian anak perempuan mangsa di samping mengugut mencabulnya. Tiga penjenayah terbabit turut merompak kediaman mangsa sebelum melarikan diri. Suspek keempat, warga Yaman didapati bersalah kerana melindungi perbuatan tiga rakannya.

Hukuman ke atas penjenayah itu akan ditentukan oleh mahkamah beberapa hari lagi. Polis menerima laporan kejadian itu daripada suami mangsa yang tidak ada dirumah ketika kejadian. - SG

myMetro | Wanita dirogol 3 lelaki depan anak

Mati lepas 19 hari disengat tebuan


MENYEDIHKAN...keranda berisi jenazah mangsa hantar ke kenderaan untuk dibawa ke tanah perkuburan. Gambar kecil, Muhamad Al-Amin Ibrahim.
MENYEDIHKAN...keranda berisi jenazah mangsa hantar ke kenderaan untuk dibawa ke tanah perkuburan. Gambar kecil, Muhamad Al-Amin Ibrahim.

KUANTAN: Selepas 19 hari bertarung nyawa, Muhamad Al-Amin Ibrahim, 8, yang parah disengat tebuan di sekolahnya, meninggal dunia di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), jam 3 petang semalam.
Bapa angkat Muhamad Al-Amin, Aziz Mamat, 49, yang menjaganya di HTAA sejak dimasukkan ke hospital berkenaan berkata, keadaan mangsa menjadi semakin buruk sejak malam kelmarin apabila pernafasannya tidak normal.

“Saya sempat membacakan surah Yasin dua kali ke telinga arwah. Itulah saja yang dapat saya lakukan selain berdoa dia sembuh. Bagaimanapun, sebaik mahu memulakan bacaan ketiga, arwah sudah pergi dan saya reda dengan kehilangannya itu.
“Apa yang membuatkan saya sedikit terkilan ialah arwah tidak sempat menjamah piza serta ayam goreng yang saya beli atas permintaannya sebelum dihantar ke ICU beberapa hari lalu. “Saya bergegas mendapatkan makanan yang diminta tetapi dia tidak menjamahnya langsung kerana selera makannya hilang,” katanya ketika ditemui di HTAA, semalam.

Muhamad Al-Amin yang juga murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, parah selepas beberapa bahagian badan dan kepalanya kena sengatan tebuan pada 20 Jun lalu.

Allahyarham dilaporkan disengat tebuan ketika menyaksikan rakan-rakannya bersukan.
Aziz yang masih gagal menahan emosinya selepas kehilangan Muhamad Al-Amin, berkira-kira untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Sekolah terbabit.

“Kalau ikutkan hati memang saya nak saman,” kata Aziz.
Muhamad Al-Amin dipelihara Aziz selepas tiga hari dilahirkan dan menganggap Allahyarham sebagai anak yang manja dan periang.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Mazlan Mohamad berkata, pihaknya sangat simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Menurutnya, beliau sudah membuat siasatan dengan terperinci dan mendapati guru sekolah sambil dibantu keluarga mangsa sempat membawa murid terbabit ke sebuah klinik swasta sejurus disengat tebuan, sekali gus menolak anggapan yang mengatakan pihak sekolah tidak mengambil apa-apa tindakan berhubung kejadian itu.

“Mengenai saman, saya tidak pasti saman apa yang akan diambil,” katanya.myMetro | Mati lepas 19 hari disengat tebuan

53 dipercayai maut dalam nahas Kapal terbang Congo

KINSHASA 9 Julai - Kira-kira 53 orang dipercayai mati selepas kapal terbang yang cuba mendarat dalam cuaca buruk terhempas di lapangan terbang Kisangani di timur Republik Demokratik Congo hari ini.

Menurut Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan Hewa Bora, Stavros Papaioannou, juruterbang cuba untuk mendarat tetapi tidak menyentuh landasan.

"Setakat ini 53 orang dipercayai terbunuh," katanya ketika dihubungi.

Jurucakap kerajaan, Lambert Mende berkata, 40 orang berjaya ditarik keluar dari bangkai Boeing 727 itu dan kesemua mereka selamat.

Kemalangan yang berlaku di lapangan terbang antarabangsa Kisangani itu adalah yang terbaru dalam rentetan bencana yang membebani negara Afrika dengan yang mempunyai rekod keselamatan udara paling teruk di dunia.

Syarikat penerbangan Hewa Bora disenarai hitam oleh syarikat penerbangan Kesatuan Eropah atas faktor keselamatan, sama seperti semua syarikat penerbangan yang disahkan di Congo.

Kejadian ini adalah kemalangan maut kedua yang melibatkan syarikat penerbangan itu dalam tempoh tiga tahun, selepas pesawat DC-9 terhempas di pinggir bandar timur Congo Goma pada 2008 yang membunuh 44 orang. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Terkini

Tragedi dua beradik lemas

SEREMBAN 8 Julai - Kasih seorang abang untuk menyelamatkan adiknya daripada lemas berakhir dengan tragedi apabila kedua-dua mereka mati lemas selepas dihanyutkan arus deras longkang di hadapan sekolah mereka.

Kejadian menyayat hati itu turut disaksikan rakan-rakan Sekolah Kebangsaan Wawasan, Seremban 2 dekat sini apabila mereka bergegas menghubungi guru sebaik sahaja ternampak dua beradik itu terjatuh dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari ketika hujan lebat.

Mangsa, Aqhari Aqwa Saprudin, 8, dan adiknya, Arif Hidayatullah, 7, dihanyutkan arus deras longkang sedalam 1.5 meter sehingga ke dalam kolam takungan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Seremban 2.

Difahamkan, Arif Hidayatullah tergelincir dan jatuh ke dalam longkang berkenaan ketika hujan lebat dan pada masa yang sama, abangnya cuba memaut tangan adiknya sebelum dia turut dihanyutkan.

Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat negeri, Abu Bakar Katain berkata, mayat mangsa lemas pertama iaitu Arif Hidayatullah ditemui kira-kira pukul 2.45 petang di dasar kolam tersebut.

"Mayat abangnya pula ditemui pukul 4.54 petang ini juga di dasar kolam itu. Kedua-duanya dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kepayang , Zulhelmi Abdul Wahab, 26, berkata, dia mendengar jeritan beberapa pelajar untuk meminta tolong sejurus selepas dua murid itu terjatuh ke dalam longkang.

"Bagaimanapun, sebaik sahaja saya tiba di tempat kejadian, kedua-dua mangsa sudah hilang dibawa arus deras," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat itu disertai pasukan Bomba dan Penyelamat Seremban 2 serta 13 anggota dari Unit Skuba Teluk Kemang, Port Dickson.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut melawat lokasi kejadian melahirkan rasa simpati dan berharap keluarga mangsa bersabar dengan kejadian yang berlaku.

"Saya mengarahkan Majlis Perbandaran Seremban dan pemaju supaya mengambil tindakan segera memasang jeriji atau menutup longkang berkenaan, yang dilihat membahayakan pelajar.

"Tambahan pula, kawasan berhampiran longkang itu sering menjadi tempat menunggu bas dan van oleh pelajar, apabila tamat waktu persekolahan. Ini akan kita buat segera bagi mengelak tragedi berulang," katanya kepada pemberita.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

6 orang rentung

SANDAKAN 8 Julai – Lima sekeluarga dan seorang pembantu rumah terkorban selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Jawa Dua, Batu 12 di sini awal pagi ini.

Mereka ialah Osir Kamis, 81; isterinya, Leong Siew Kit @ Kasnih Abdullah, 80; Zuliana Osir, 38; (anak perempuan), Rahim Hassan, 47; (menantu) dan Yulia Ezora Rahim, 3, (cucu), manakala identiti pembantu rumah mereka belum dikenal pasti.

Penguasa Bomba Dan Penyelamat Zon Sandakan, Alias Abu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.15 pagi mengenai kebakaran itu.

Menurutnya, dua buah jentera bersama 18 anggota bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25.7 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan.

Katanya, pasukan bomba tiba setengah jam kemudian dan mendapati rumah tersebut telah terbakar hampir 100 peratus dan api hanya dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 2.41 pagi.

“Selepas api dipadamkan, pasukan kami menemui enam mayat rentung dalam timbunan kayu yang terbakar di rumah dua tingkat berkenaan. Mangsa terdiri daripada lima orang dewasa dan seorang kanak-kanak,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pihak bomba difahamkan bahawa empat daripada mangsa berada di tingkat dua rumah tersebut dan dua lagi yang terdiri daripada warga emas tidur di tingkat bawah.

Empat mangsa yang ditemui di atas ialah anak perempuan pasangan warga emas tersebut berumur 38 tahun dan suaminya berumur 47 tahun serta anak perempuan mereka berusia tiga tahun.

“Seorang lagi mangsa adalah pembantu rumah yang baru sahaja bekerja dan mangsa berumur lingkungan 20-an,” katanya memberitahu semua mayat dihantar ke Hospital Duchess Of Kent untuk bedah siasat.

Sementara itu, tukang kebun keluarga mangsa, Gunawan Abu Bakar, 36, yang tinggal berhampiran rumah majikannya melahirkan rasa kesal kerana tidak sempat menyelamatkan majikannya.

“Saya terdengar jeritan meminta tolong dan bergegas ke rumah itu, pada masa itu api sedang marak dan majikan saya sempat mengarahkan untuk mengambil tangga.

“Tangga diambil dan diletakkan di tingkap tetapi pagar besi tingkap itu tidak dapat dibuka,” katanya yang masih sedih dengan kejadian itu.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Bas sekolah rempuh rumah


MELAKA 8 Julai - Sebuah bas sekolah yang diletakkan di kawasan curam di bahu jalan tiba-tiba menggelongsor menyeberangi jalan sebelum merempuh sebuah rumah di Kilometer 4, Kampung Bukit Duyung di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, sembilan sekeluarga yang berada dalam rumah tersebut terselamat.

Kemalangan itu juga tidak melibatkan kenderaan lain walaupun bas tanpa pemandu itu terbabas menyeberangi jalan utama yang sibuk.

Penghuni rumah tersebut, Dahlan Kasim, 44 berkata, ketika kejadian, dia dan isteri, Aini Jihad, 42, serta tujuh anaknya berusia tiga bulan hingga 11 tahun sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah.

"Kami tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat sebelum keadaan menjadi gelap-gelita akibat bekalan elektrik terputus," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, dia kemudian keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila mendapati sebuah bas sekolah telah melanggar dinding hadapan rumah dan van yang diletakkan di situ.

Tambahnya, walaupun rumah dan van miliknya rosak teruk, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya terselamat dalam kejadian itu.

"Nasib baik masa kejadian, saya dan isteri belum masuk tidur di dalam bilik, jika tidak tentu kami cedera dihempap batu dinding bilik yang runtuh," katanya.

Dahlan yang bekerja sebagai pemandu di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menambah kerugian dianggarkan RM20,000.

Sementara itu, pemandu bas sekolah berkenaan, Mordfin Wahab, 50, berkata, dia meletakkan kenderaan itu pada pukul 9.15 malam di seberang jalan kira-kira 100 meter dari rumah berkenaan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Benjy bela diri 19 Julai

KUALA LUMPUR: Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, semalam diperintah membela diri oleh Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 0.24 gram yang dijumpai di kediamannya di Menara Duta 2, tahun lalu.

Majistret Hafizza Sauni, memutuskan demikian terhadap Benjy selepas mendapati pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Noor Mawarni Abdul Halim, dapat membuktikan kes prima facie.

Anak lelaki tunggal seniwati Azean Irdawaty itu didakwa memiliki dadah di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B Persimpangan Jalan Segambut di sini pada jam 4 petang, 11 Mac 2010.
Dia juga didakwa memiliki 0.14 gram syabu di No C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Persimpangan Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru, di sini pada jam 3 petang hari yang sama.

Bagi kedua-dua tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Hafizza bagaimanapun melepas dan membebaskan Benjy daripada tuduhan memiliki dadah seberat 0.14 gram yang dijumpai di Vista Mutiara.

Hafizza menetapkan 19 dan 20 Julai ini bagi Benjy membela diri. Benjy diwakili peguam Amer Hamzah Arshad.
Berita Harian Online | Benjy bela diri 19 Julai

2 beradik maut jatuh longkang


 ARIF Hidayatullah  (kanan) dan  Aqhari Aqwa  yang lemas dihanyut arus deras dalam longkang di Seremban 2, semalam.
ARIF Hidayatullah (kanan) dan Aqhari Aqwa yang lemas dihanyut arus deras dalam longkang di Seremban 2, semalam.


Mangsa dibawa arus ke kolam takungan

SEREMBAN: Seorang ibu tidak menyangka kepetahan anak lelakinya berusia 7 tahun mengucapkan rasa sayang, menjadi ucapan terakhir apabila budak itu dan abangnya, maut selepas terjatuh dalam longkang dan dibawa arus deras di Seremban 2 di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, Aqhari Aqwa Saprudin, 8, dan Arif Hidayatullah, 7, lemas selepas terjatuh dalam longkang sedalam lebih satu meter itu.
Difahamkan, dua murid Sekolah Kebangsaan Wawasan itu tergelincir ke dalam longkang yang terletak di luar sekolah ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Mayat Arif Hidayatullah ditemui kira-kira jam 2.40 petang oleh pasukan penyelamat di sebuah kolam takungan air yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian yang disusuli penemuan mayat Aqhari Aqwa, di lokasi sama, kira-kira dua jam kemudian.

Ibu mangsa, Azmalina Kanuit, 46, berkata pada malam kelmarin, dia berasa pelik apabila Arif Hidayatullah tiba-tiba memeluknya sambil berkata: “Mak, adik sayang emak sangat.

“Pada malam itu juga saya lihat Aqhari Aqwa seperti tidak senang duduk dan sering bertukar tempat tidur beberapa kali.

“Saya tidak sangka kelakuan mereka adalah tanda mereka akan tinggalkan saya selamanya,” katanya.
Saksi kejadian yang juga guru sekolah mereka Zulhelmi Abdul Wahab, 26, berkata, dia sedang bertugas di bengkel sebelum terdengar jeritan kanak-kanak meminta tolong.

“Saya ternampak seorang murid lelaki memegang seseorang di dalam longkang namun apabila saya ke lokasi itu saya dapati mereka sudah dihanyutkan arus,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam. Berita Harian Online | 2 beradik maut jatuh longkang

Seludup ekor lembu Argentina


Oleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF


MOHD. PUDZI (kiri) menunjukkan ekor lembu beku yang dirampas di Klang semalam.


PELABUHAN KLANG – Permintaan tinggi terhadap ekor lembu di negara ini menjadi punca sindiket antarabangsa giat melakukan penyeludupan bahan mentah itu tanpa menghiraukan keperluan sijil halal dan permit import (AP) daripada Jabatan Veterinar.

Bagaimanapun, taktik licik itu berjaya dihidu dan ditumpaskan oleh Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor selepas ia menahan sebuah kontena berisi 2,275 karton ekor lembu beku seberat 22,750 kilogram bernilai RM342,150 di Pelabuhan Utara di sini kelmarin.

Pemangku Pengarah KDRM negeri, Mohd. Pudzi Man berkata, bertindak atas maklumat pada pukul 10 pagi, sepasukan pegawai kastam memeriksa sebuah kontena yang diikrarkan sebagai lobak merah.

“Kita menemui lobak merah pada tiga baris teratas lapisan kotak dalam kontena itu tetapi di dalam kotak yang lain mengandungi ekor lembu beku yang dibungkus di dalam kotak berjenama Trippex dari Argentina,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd. Pudzi menjelaskan, biarpun bahan mentah itu tidak melibatkan sebarang cukai kastam namun pengimport perlu mendapatkan AP yang sah daripada Jabatan Veterinar dan sijil halal.

Kosmo! Online - Negara