Search This Blog

Friday, July 8, 2011

Wang dalam akaun lesap



SKUDAI – Sepasang suami isteri menjadi bingung apabila wang simpanannya berjumlah RM5,000 di dalam bank lesap secara tiba-tiba walaupun kad ATM masih berada di simpanannya.

Mangsa, Subatra Devi P Kunjan, 38, berkata, dia tidak pernah mengeluarkan wang terbabit dan menyedari kehilangan wangnya apabila mengemas kini jumlah akaun setelah adiknya memasukkan wang sebanyak RM5,000 sehari selepas kejadian itu.

Menurutnya, dia bersama suami, Ambrose Balan, 42, segera ke bank terbabit melaporkan kejadian itu dan meminta pihak bank mengeluarkan kenyataan transaksi wang di akaunnya.

“Saya dapati pengeluaran wang dibuat sebanyak empat kali iaitu tiga kali pada jam 10.11 malam sehingga 10.13 malam di sebuah stesen minyak dan pengeluaran terakhir pada 10.22 malam di sebuah pasar raya.

“Yang menjadi persoalannya, bagaimana individu terbabit boleh mengeluarkan wang itu sedangkan kad ATM masih berada dalam simpanan saya. Kemudian saya meminta pihak bank untuk memberikan :rakaman litar tertutup (CCTV) untuk mengenal pasti individu itu,” katanya ketika sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Gelang Patah di sini, semalam.

Subatra berkata, pihaknya telah membuat laporan polis dan dinasihatkan supaya mereka meminta pihak bank untuk :menyegerakan proses melihat rakaman CCTV itu agar individu terbabit dapat diberkas.

“Saya dimaklumkan oleh pihak bank, CCTV yang terdapat pada mesin ATM di stesen minyak itu tidak berfungsi dengan baik dan rakaman individu yang mengeluarkan wang saya dapat dilihat menerusi CCTV stesen minyak terbabit sahaja.

"Rakaman hanya menunjukkan bahagian belakang individu itu dan mereka terdiri daripada seorang lelaki dan seorang perempuan,” katanya.

Sementara itu, pembantu khas Ahli Parlimen Gelang Patah, Goh Teck Kuan berkata, pihaknya meminta Bank Negara untuk menjalankan siasatan ke atas bank terbabit dan menyarankan bank itu agar mengambil berat terhadap simpanan yang dibuat oleh pelanggan mereka.

“Saya akan memastikan bank terbabit memulangkan semula wang berjumlah RM5,000 milik mangsa kerana kejadian yang berlaku itu adalah kelalaian yang dilakukan oleh mereka. Wang milik mangsa didakwa dikeluarkan oleh pihak ketiga sedangkan kad ATM masih berada dalam simpanannya.

“Selain itu, kami akan memanjangkan perkara ini Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan meminta hakim mengambil keputusan untuk kes itu,” katanya.
SH

Warga asing kena samun



SEGAMAT - Pihak polis berjaya menyelesaikan satu kes samun kurang daripada 10 minit selepas kejadian apabila berjaya menahan suspek utama sekitar jam 8.15 malam pada 2 Julai lalu di Jalan Ibrahim, Segamat.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa yang merupakan lelaki berbangsa Bangladesh berusia 29 tahun sedang berjalan kaki melalui jejantas di Jalan Ibrahim.

“Ketika mangsa hendak menyeberangi jalan tersebut, dia didatangi tiga lelaki yang berpura-pura meminta rokok sebelum bertindak untuk menyamun mangsa.

“Salah seorang suspek mengeluarkan sebilah pisau lipat dan mengacukan ke bahagian leher mangsa sebelum mengambil telefon bimbit dan wang tunai RM41,” katanya pada sidang media semalam.

Abdul Majid berkata, selepas kejadianitu, mangsa bertemu dengan pihak polis yang sedang melakukan rondaan dan memberitahu kejadian yang dialaminya.

“Polis berjaya mengesan dan menangkap seorang daripada tiga suspek yang terlibat. Ketika ditahan, polis menjumpai sebilah pisau yang digunakan suspek ketika menyamun.

“Suspek yang ditahan berusia 21 tahun dan berasal dari Jalan Pemuda, Segamat manakala dua lagi suspek sudah dikenal pasti oleh pihak polis dan jika sabit kesalahan, suspek boleh dijatuhi hukuman penjara dan sebatan” katanya.
SH

Suspek pecah rumah cedera



KULAIJAYA – Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Begitulah nasib dialami seorang suspek yang cedera dalam kemalangan jalan raya setelah memecah masuk sebuah kediaman di Taman Mas, Jalan Kulai-Kota Tinggi, di sini, semalam.

Sinar Harian difahamkan, suspek berkenaan terjatuh dari motosikalnya selepas cuba melarikan diri apabila perbuatannya memecah masuk sebuah rumah penduduk dikesan tuan rumah berkenaan.

Tuan rumah, Han Yong Ting, 30, berkata, beliau menyedari kediamannya di pecah masuk sebaik sahaja terdengar bunyi bising dari arah siling rumah ketika baru pulang dari tempat kerja kira-kira jam 5.40 petang, semalam.

“Sebelum masuk ke rumah, saya ada ternampak sebuah motosikal diletakkan di bawah pokok berhampiran rumah saya, tetapi menyangkakan ia milik adik lelaki saya.

“Kemudian saya terdengar bunyi dari arah siling rumah dan mula mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku dan segera mencari adik saya,” katanya.

Yong Ting berkata, suspek berkenaan berjaya melarikan diri bersama beberapa barang berharga milik keluarganya termasuk sebuah kamera digital, wang tunai SD500 dan sejumlah barang kemas.

“Kejadian itu menyebabkan saya kerugian kira-kira RM10,000 termasuk wang tunai dalam mata wang Singapura.

“Bagaimanapun saya bernasib baik kerana suspek berkenaan berjaya ditangkap setelah dikejar menaiki kereta dan terjatuh (suspek) berhampiran sebuah stesen minyak di sini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu dan ia merupakan kejadian kedua berlaku di rumahnya selepas kali pertama terjadi kira-kira dua tahun lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Deputi Superintendan Mohd Kamil Sukami ketika dihubungi mengesahkan suspek mengalami kemalangan ketika dikejar oleh tuan rumah dan kini sedang menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bharu.
SH

Pemilik kedai rugi hampir RM1 juta



PALOH - Pemilik kedai di kawasan deretan rumah kedai di Pekan Paloh mengalami kerugian hampir RM1 juta akibat kejadian kebakaran yang berlaku pada pagi Ahad lalu.

Pemilik kedai motor, Lim Peng Yam, 50, berkata, dia mengalami kerugian hampir RM1 juta apabila dua kedainya terbakar dan tidak sempat menyelamatkan sebarang peralatan kerana pada hujung minggu premis tidak beroperasi.

“Saya sedih kerana terlalu banyak kerugian yang dialami dan perniagaan barang motor ini telah diusahakan saya sekeluarga sejak 40 tahun, lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia akan berusaha mencari modal untuk membuka semula kedainya tetapi memerlukan masa sedikit kerana sudah mempunyai pelanggan tetap dan kebakaran yang berlaku adalah dugaan baginya.

Peng Yam berkata, dia berterima kasih kepada pihak yang datang menghulurkan bantuan dan bersimpati dengan nasib pemilik kedai di Pekan Paloh ini.

Sementara itu, pemilik kedai buah, Wong Ah Kwang, 58, berkata, kedai buahnya habis terbakar dan dia juga tidak sempat menyelamatkan hasil :jualannya kerana api marak dengan cepat.

Menurutnya, kebakaran yang berlaku membuatkan dia sekeluarga berasa sedih kerana sudah lebih 20 tahun berniaga di kedai berkenaan.

“Saya sayang sangat kedai buah berkenaan kerana saya terpaksa bersusah payah mengumpulkan wang bagi mendapatkan rumah kedai tetapi akhirnya ia terbakar.

“Selain itu, saya turut menjual surat khabar sebagai pendapatan :sampingan dan setelah ia terbakar, saya menumpang di kedai lain untuk menjual surat khabar tetapi saya asyik terbayang-bayang kejadian kebakaran berkenaan kerana ia berlaku di depan mata saya,” katanya.
SH

Dua rakan maut



SALENG – Dua sahabat maut dalam nahas kemalangan jalan raya di Kilometer 28 laluan Johor Bahru-Air Hitam berhampiran sebuah stesen minyak di sini, kira-kira jam 5.20 pagi, semalam.

Mangsa, Moganraj Muniandy, 20, dan rakannya Jayenthran Balakrishnan, 24, maut dan tersepit di tempat duduk masing-masing setelah kenderaan yang dipandu Moganraj terbabas dan melanggar sebatang pokok pada bahu jalan.

Kedua-dua mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Saleng dan Indahpura sebaik-sahaja selesai bertemu dengan rakan mereka di sebuah kedai minuman sekitar Johor Bharu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Deputi Supritendan Mohd Kamil Sukami berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca dari kecuaian pemandu yang gagal :mengawal kenderaannya.

“Kenderaan berkenaan dipandu laju sehingga ia sukar dikawal dan menyebabkan kemalangan berlaku.

“Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai kemalangan maut,” katanya.

Sementara itu, mayat Moganraj yang merupakan anak bongsu dari tiga adik-beradik dan rakannya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, di sini untuk bedah siasat.
SH

Lembu dibaham Pak Belang



KATI - Kehadiran pak belang yang membaham seekor lembu milik seorang penternak di Padang Ragut, Changkat Jambu, di sini, semalam, membuatkan penduduk sekitar berasa bimbang dan takut untuk keluar ke kebun atau kawasan berhampiran.

Kedatangan binatang liar berkenaan bukan kali pertama, kerana penternak di padang ragut mendakwa pada 21 Jun lalu, seekor lembu milik mereka cedera diserang.

Penternak, Zakaria Kulop Adam, 63, berkata, dia hanya menyedari seekor lembunya hilang petang kelmarin dan mendapati binatang itu mati dalam keadaan beberapa anggota badan sudah tiada.

Menurutnya, kesan tapak kaki yang berada di sepanjang anak sungai di padang ragut itu juga mengukuhkan lagi andaian mereka mengenai kehadiran haiwan berkenaan.

“Kami menternak lembu secara berkelompok dan terdapat enam penternak terlibat dalam projek ini serta kira-kira 30 ekor lembu semuanya.

“Berpuluh tahun saya menternak lembu, di sini tetapi kejadian seperti ini tidak pernah berlaku dan ini kali pertama membuatkan penduduk bimbang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di padang ragut itu, di sini, semalam.

Zakaria berkata, lembu yang menjadi mangsa pak belang itu berusia setahun setengah dan dia mengalami kerugian kira-kira RM1,500.

Katanya, jarak kawasan padang ragut dengan rumah penduduk hanya setengah kilometer dan mereka bimbang sekiranya terserempak dengan haiwan itu.

“Bukan semua penduduk tahu terdapat harimau di kawasan ini dan kebun-kebun mereka berada di sekitar sahaja.

“Demi keselamatan ramai, laporan polis sudah dibuat dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) juga sudah datang membuat siasatan.

“Dipercayai terdapat dua ekor harimau yang datang ke padang ragut ini berdasarkan kesan tapak kaki dengan salah satunya berukur lilit 15 sentimeter,” katanya.

Katanya, pihak bertanggungjawab juga akan datang membuat pemasangan jerat untuk menangkap binatang liar itu dalam masa terdekat supaya kejadian lebih teruk tidak akan berlaku.
SH

Hanya bunyi tayar pecah



TAMAN MEWAH – Bunyi letupan beberapa kali mengejutkan penduduk di taman perumahan, di sini, apabila empat rumah di Lorong 11 terbakar dalam satu kejadian kebakaran awal pagi, semalam.

Mangsa, Musa Ghazali, 49, berkata, dia tidak menyangka kebakaran itu akan memusnahkan seluruh rumahnya memandangkan dia adalah jiran yang paling hampir dengan rumah yang dipenuhi tong gas.

Musa berkata, dia sedang tidur ketika kejadian tetapi dikejutkan dengan bunyi letupan namun, hanya menyangka bunyi tayar pecah.

“Selepas bunyi bising itu, anak saya bangun untuk melihat keadaan dan terkejut apabila melihat api di dinding luar rumah.

“Saya bertindak mengejutkan anak-anak dan mengarahkan mereka keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri mengikut pintu belakang,” katanya.

Menurutnya, dia yang hanya berkain pelekat masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil seluarnya kerana semua dokumen diri termasuk dompet dan telefon bimbit berada dalam poket seluar.

Katanya, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan hanya trauma sahaja.

“Mungkin untuk sementara, kami akan menumpang di rumah jiran.

“Jika semua telah selesai, barulah kami akan cuba membina semula kehidupan ini seperti sedia kala,” kata ayah kepada empat cahaya mata.



Ibu masih berpantang panjat tembok

Sementara itu, Zurina Abu Bakar,43, berkata, dia yang masih berpantang selepas melahirkan anak kedua, 27 hari lalu terpaksa memanjat tembok di belakang rumahnya bagi menyelamatkan diri.

Menurutnya, bunyi letupan memang didengarnya tetapi tidak mengendahkan kerana telah terbiasa dengan bunyi bising.

“Tetapi ia semakin menjadi-jadi apabila pemuda yang berada di luar rumah membunyikan hon motosikal berkali-kali.

“Suami dan anak sulung sempat keluar melalui pintu hadapan, saya rasa tidak berdaya untuk keluar dari situ memandangkan kabel elektrik di hadapan rumah juga putus gara-gara bahang api,” katanya.

Zurina berkata, walaupun dalam situasi genting, dia sempat mengingatkan anaknya untuk menyelamatkan dokumen penting memandangkan anaknya akan mengikuti kursus tidak lama lagi.

“Anak baru sahaja selesai memfotokopi semua dokumen seperti sijil dan sebagainya dengan hanya meletakkan di lantai rumah, jadi saya suruh dia ambil semua kerana ia tidak dapat dicari jika sudah terbakar.

“Setakat ini, ramai kawan-kawan yang mempelawa dan ingin membantu kami sekeluarga,” katanya.

Katanya, dia bersyukur dengan semua pihak yang bertungkus lumus membantu keluarganya sama ada secara langsung atau tidak langsung.



Tiba 3 minit lepas kebakaran


Manakala, Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Zon Taiping, Aziz Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.35 pagi dan tiba ke lokasi kejadian tiga minit kemudian dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting serta Taiping.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, api sedang marak dan merebak ke bahagian bumbung rumah lain menyebabkan bara-bara api itu memberi kesan pada perabot dalam rumah.

“Seramai 14 anggota bomba berjaya mengawal api jam 4.10 pagi bagaimanapun, kerja memadam api selesai selepas azan Subuh,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, tiada kemalangan jiwa berlaku kerana semua penghuni rumah yang terlibat berjaya menyelamatkan diri masing-masing namun, punca dan kerugian masih disiasat.



Kejadian pertama sejak 15 tahun

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Rahmat, Abdullah Sani Abdul Khalid berkata, selama 15 tahun dia tinggal di taman perumahan itu, kejadian kebakaran berkenaan adalah kali pertama berlaku.

Menurutnya, dia yang baru tiba dari Kuala Lumpur terus ke lokasi kejadian setelah terdengar bunyi letupan.

“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat telah dimaklumkan mengenai perkara ini.

“Buat masa ini, pihak JKKK akan mengusahakan untuk mencari rumah sewa atau dewan bagi penduduk menetap buat sementara waktu,” katanya.
SH

Pelajar maut digilis lori



JUNJUNG - Keseronokan dua pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Vokasional Telok Air Tawar di Butterworth yang dalam perjalanan ke Taman Rekreasi Air Terjun Junjung bertukar menjadi tragedi apabila terlibat dalam kemalangan ngeri di Jalan Junjung kira-kira 400 meter dari Kem Pasukan Gerakan Am, tengah hari semalam.

Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, mereka menunggang motosikal Yamaha LC 135 dan ketika tiba di selekoh, penunggangnya gagal mengawal motosikal lalu masuk ke arah bertentangan sebelum merempuh bahagian belakang tayar sebuah lori treler.

Kedua-duanya terseret dan terhumban ke belakang lori sebelum dirempuh sebuah lori lain dari arah belakang.

Penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian badan dan patah kaki kanan manakala pemboncengnya maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh yang berada di tempat kejadian berkata, mangsa yang cedera parah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kulim oleh ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) manakala rakannya dihantar ke rumah mayat untuk bedah siasat.

Beliau berkata, mangsa yang terbunuh dikenali Muhamad Zaidi Mohd Zabel, 17, dari Taman Seri Serdang, Kepala Batas.

Mereka dilaporkan dalam perjalanan untuk berkelah di Air Terjun Junjung kerana sekolah di Pulau Pinang ditutup untuk cuti am.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, mangsa datang dari arah Kulim menuju ke Junjung manakala dua lori pula dari arah bertentangan.

“Motosikal mereka terbabas dan masuk ke arah bertentangan. Mangsa yang merupakan pembonceng maut apabila kepalanya digilis oleh tayar belakang lori manakala penunggangnya cedera parah. Sehingga kini, polis masih menyiasat punca kemalangan itu,” katanya.
SH

Cubaan lelaki seludup 2,000 liter diesel tumpas



BANDARAYA MELAKA - Cubaan seorang lelaki menyeludup diesel bersubsidi tumpas selepas berjaya ditahan anggota polis trafik di sebuah stesen minyak di Jalan Hang Tuah Mall, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan apabila :perbuatannya mengisi minyak ke dalam sebuah tangki menggunakan dua hos dicurigai tiga anggota polis yang meronda di kawasan terbabit.

Seorang jurucakap polis berkata, pemeriksaan terhadap lori yang boleh memuatkan muatan seberat tiga tan itu membawa kepada penemuan sebuah lagi tangki di dalam kenderaan terbabit yang ditutup dengan kain kanvas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri, Jamil Buang berkata, polis telah menyerahkan kes berkenaan kepada pihaknya selepas laporan dibuat di Balai Polis Melaka Tengah, Jalan Banda Kaba, dekat sini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kira-kira 2,000 liter minyak diesel di dalam tangki yang telah diubahsuai membabitkan kerugian RM3,600 dipercayai bagi kegiatan menyeludup diesel bersubsidi di negeri ini.

“Ini kes kelima berlaku dan berdasarkan modus operandi, pemandu akan berhenti di beberapa stesen minyak untuk membeli minyak dan mengepam ke dalam sebuah lagi tangki di atas lori.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang mencurigakan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu manakala denda RM250,000 bagi syarikat,” katanya.
SH

Dipenjara lapan bulan bawa lari anak gadis



KUALA KLAWANG - Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan dari tarikh ditangkap dan didenda sebanyak RM1,000 atas kesalahan melarikan gadis bawah umur tanpa persetujuan penjaganya.

Tertuduh, Wandi Hashim, 21, yang berasal dari Lombong Tengah, Indonesia melakukan kesalahan itu di perhentian bas Hospital Petaling kira-kira jam 7.30 pagi, pada 4 Mei lalu.

Bapa kepada gadis berkenaan membuat laporan polis setelah mendapati anak perempuannya tidak pulang ke rumah, pada hari sama kira-kira jam 5 petang.

Berdasarkan laporan itu, sepasukan anggota polis telah menangkap lelaki berkenaan di Pekan Manchis, Pahang kira-kira jam 11.45 malam pada 16 Jun lalu.

Namun, pihak polis telah membuat tangkapan semula ke atas tertuduh kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah kira-kira jam 4.05 petang pada 17 Jun lalu.

Siasatan mendapati, tertuduh mengaku membawa mangsa tanpa persetujuan penjaganya dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk masuk ke Malaysia.

Tertuduh berhadapan dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
SH

Warga emas trauma disamun



ALOR GAJAH - Tindakan seorang lelaki tidak dikenali yang datang bertanyakan soalan sama banyak kali mendatangkan rasa curiga seorang warga emas sebelum disamun di rumahnya di Jalan Mentangor 2, Kelemak, dekat sini, kelmarin.

Sapiah Othman, 57, kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.45 pagi itu, dia berada di luar rumah sebelum didatangi seorang lelaki bertubuh kurus bertanyakan rumah seorang penduduk yang dikenali berhampiran rumahnya.

“Secara tiba-tiba muncul sebuah motosikal berwarna merah yang dinaiki dua lelaki dan seorang daripadanya turun mendekati saya bertanya rumah seseorang bernama Tahir.

“Kemudian saya menunjukkan arah rumah yang dikehendaki tetapi lelaki itu meminta saya membawa dan menunjukkan rumah yang dicari sebelum mengulang semula soalan yang sama.

“Kemudian, dia bertanya sama ada ada sesiapa di rumah yang boleh menunjukkan rumah yang dicari tadi dan saya kata tiada siapa, sedangkan suami saya ada di rumah,” katanya.

Pertanyaan bertalu-talu itu didengari suaminya, Ramby Adam, 63, yang juga sidang kampung itu, yang turut curiga dengan kedatangan lelaki itu.

“Secara tiba-tiba, lelaki yang memakai topi keledar dan menampakkan jelas mukanya membuka dengan kasar pintu rendah di ruang tamu luar sebelum mengeluarkan pisau lipat.

“Dia mendekati saya dan merentap seutas rantai yang dipakai bernilai anggaran RM1,5000 serta mengugut untuk menikam jika saya menjerit, namun saya tetap menjerit ketakutan sehingga didengari suami,” katanya.

Ramby berkata, sebaik terdengar jeritan isterinya, dia terus mencapai sebatang besi di belakang rumah untuk mengejar lelaki terbabit, namun nasib tidak menyebelahi apabila kakinya tersadung di longkang belakang rumah.

“Lelaki itu terus melarikan diri bersama seutas rantai milik isteri.

“Ketika itu, mak mertua saya, Miah Maujud, 79, berada di bilik hadapan rumah sempat melihat kelibat kedua-dua suspek melarikan diri menaiki motosikal ditunggang seorang lelaki berisi yang sedia menunggu di luar,” katanya.

Menurutnya, dia yang takut akan berlaku kejadian yang sama terhadap penduduk yang lain bertindak membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan tidak menolak kemungkinan ia dilakukan suspek sama yang sedang diburu polis.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.
SH

Kereta bertembung



ALOR GAJAH - Seorang lelaki nyaris maut apabila Perodua Alza yang dipandu bertembung dengan sebuah Proton Wira Aeroback di Jalan Kampung Gangsa, Durian Tunggal, dekat sini kira-kira jam 12 tengah malam, semalam.

:Dalam kejadian terbabit, pemandu Perodua Alza, Ahmad Sufian Mohd, 31, dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Kenari Jaya menuju ke Hospital Melaka bertembung dengan Proton Wira Aeroback dipandu lelaki berusia 25 tahun yang datang dari arah bertentangan.

Ahmad Sufian berkata, dia memandu sendirian ke Hospital Melaka untuk melawat seorang rakan.

“Apabila sampai di jalan berbukit, tiba-tiba muncul sebuah kereta menyebabkan saya gagal mengelak.

“Saya tidak menyedari kereta yang datang dari arah bertentangan disebabkan jalan yang berbukit. Kereta saya hilang kawalan sehingga bertembung dengan kereta itu sebelum kereta saya berpusing beberapa kali dan menghala semua ke Durian Tunggal,” katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik tidak cedera parah disebabkan beg udara berfungsi.

“Kereta saya bergegar kuat sehingga menyebabkan tayar hadapan tercabut. Namun, saya bersyukur kerana selamat dan keluar sendiri dari kereta,” katanya.

Dalam keadaan yang masih terkejut, Ahmad Sufian berkata, dia segera turun dan melihat keadaan pemandu Proton Wira Aeroback yang bertembung dengannya.

“Pemandu itu sempat melompat ke tempat duduk sebelah pemandu untuk menyelamatkan diri.

“Keadaan keretanya menghala semula ke Melaka dan pemandu itu tersepit di tempat duduk sebelah pemandu. Orang awam yang berada di situ segera menghubungi pihak bomba dan penyelamat, ambulans serta anggota polis,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Ho Yew Meng berkata, anggotanya ada menerima panggilan kira-kira jam 12 tengah malam sejurus berlakunya kejadian itu dan seramai enam anggota dengan satu jentera serta dua anggota unit kenderaan khas dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati pemandu Proton Wira Aeroback tersepit sebelum anggota kami berjaya mengeluarkan mangsa kurang dari seminit selepas terdapat bahagian kereta yang terpaksa dipotong.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut sementara Ahmad Sufian hanya cedera ringan dan sakit di dada hanya menerima rawatan pesakit luar di klinik berdekatan,” katanya.
SH

Maut lepas solat



TAMPIN – Tiga maut dan seorang lagi cedera parah selepas motosikal ditunggangi terbabit dalam kemalangan ngeri di dua lokasi kemalangan berbeza di Gemencheh, dekat sini, tidak sampai 30 minit daripada kejadian kemalangan pertama, malam kelmarin.

Kemalangan pertama membabitkan Bilal Masjid Assyakirrin, Harun Sahor, 73, jam 9 malam di Kilometer 25, Jalan Gemas-Tampin yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Seri Gemencheh selepas selesai menunaikan solat Isyak berjemaah.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi mangsa berlanggar dengan sebuah kereta Toyota Wish.

“Mangsa parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Tampin untuk rawatan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

“Kejadian kedua pula berlaku kira-kira jam 9.15 malam di persimpangan Pekan Gemencheh menghala ke Felda Bukit Rokan,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian motosikal ditunggangi seorang remaja, Muhamad Hanis Mohd Ali, 18, dalam perjalanan pulang dari rumah neneknya di Kampong Air Rawa ke rumahnya di Kampung Seri Asahan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa bertembung dengan motosikal lain yang ditunggangi dan dibonceng lelaki Indonesia yang cuba membelok ke sebelah kanan menuju ke Felda Bukit Rokan.

“Muhamad Hanis parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara Sudirman disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tampin,” katanya.

Difahamkan, rakan Sudirman yang parah di kepala dan muka, dikenali sebagai Abdul Sukur, 32, dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, anak angkat Allahyarham Harun, Izdihar Suhin, 27, berkata, arwah ingin melihatnya berkahwin kerana dia sahaja masih bujang daripada empat adik-beradik angkat yang lain.

“Memang sudah lama arwah ayah menggesa saya berkahwin dan ingin melihat lelaki pilihan saya, namun saya menolak dengan baik kerana menunggu hari lahir saya pada 12 September ini.

"Walaupun saya hanya anak angkat tetapi saya amat rapat dengan arwah ayah kerana telah diasuh dan dijaga sejak berusia 40 hari lagi,” katanya.

Bapa Muhamad Hanif, Mohd Ali Ismail, 52, pula berkata, anak keempat daripada lima adik-beradik itu sudah tiga tahun mengidap kanser tulang dan menjalani beberapa siri rawatan termasuk kimoterapi.

“Sepatutnya hari ini (semalam) saya menemaninya ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan susulan selepas kimoterapi. Tidak sangka dia pergi begitu cepat” katanya.

Jenazah Allahyarham Harun dikebumikan di Tanah Perkuburan Sri Gemencheh, sementara Allahyarham Muhamad Hanis dikebumikan di Tanah Perkuburan Sri Asahan.
SH

Pemandu nyaris ditimpa pokok



SELAYANG - Kejadian hujan lebat dan ribut seawal jam 3 petang semalam menyebabkan beberapa pokok di laluan utama sekitar Selayang tumbang mengakibatkan kesesakan trafik.

Ketua Unit Tindakan Cepat (Smart Team), Jabatan Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS), C Paramasivam berkata, dalam kejadian itu, seorang pemandu lori satu tan mengangkut sampah nyaris tercedera.

“Pokok tumbang di Bandar Baru Selayang selepas laluan bulatan di situ menimpa kepala lori dipandu mangsa. Akibatnya mangsa tersepit dalam kenderaan terpaksa dibawa keluar oleh bomba.

“Selain di Bandar Baru Selayang, kita juga membantu membersihkan pokok tumbang di Jalan Utama dekat bulatan Taman Selayang Baru. Walaupun hujan lebat ketika itu, tetapi anggota kita tetap menyegerakan tugas mengalihkan pokok itu bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.

Paramasivam berkata, akibat pokok tumbang di Taman Selayang Baru itu, kesesakan kenderaan teruk berlaku sepanjang kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

Katanya, dua lagi pokok tumbang di Bukit Idaman membabitkan laluan jalan utama, tetapi tidak serius dan kenderaan masih boleh melalui jalan terbabit seperti biasa.

“Selain unit tindakan cepat kami, anggota dari Jabatan Taman dan Rekreasi MPS turut membantu membersihkan sisa pokok tumbang yang mengambil masa lebih sejam,” katanya.
SH

Terpaksa kebas cukai jalan




KLANG SELATAN – Dua lelaki terpaksa berputih mata apabila hasrat melarikan barangan berharga milik seorang ahli perniagaan tidak kesampaian, malah hanya sempat menarik cukai jalan kereta mangsa sebelum melarikan diri dalam kejadian di hadapan premis rumah kedai, Jalan Raya Barat,di sini, awal pagi semalam.

Kedua-dua lelaki yang menaiki motosikal dikatakan menghampiri kenderaan jenis Proton Waja milik ahli perniagaan itu sebelum memecahkan cermin penumpang sebelah pemandu dipercayai untuk menyelongkar barangan berharga.

Bagaimanapun, hasrat mereka punah selepas barangan yang dicari tiada dalam kenderaan itu. Gara-gara bengang, mereka dipercayai mengoyak cukai jalan yang tertampal di cermin hadapan kereta sebelum melarikan diri selepas disergah orang awam yang menyedari kejadian itu.

Mangsa, Vijay Segar, 48, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1 pagi ketika dia sedang asyik menyiapkan urusan kerja di pejabat di tingkat atas premis rumah kedai itu.

“Jeritan salah seorang pemilik premis meminta saya turun mengejutkan saya sebelum bergegas ke kereta.

“Saya amat terkejut mendapati cermin kereta pecah berderai, bagaimanapun bersyukur kerana tidak menyimpan barangan berharga dalam kereta.

“Cuma beberapa dokumen berkaitan kerja disimpan dalam kenderaan ini, bagaimanapun ia tidak terusik,” katanya.

Menurutnya, dia hairan apabila mendapati cukai jalan keretanya dilarikan.

“Apa motif mereka saya tidak tahu mungkin mereka bengang selepas barangan berharga yang ingin dilarikan tiada dalam kereta.

“Saya beranggapan mereka mungkin sengaja melarikan cukai jalan untuk digunakan pada kenderaan mereka bagi tujuan jenayah,” katanya.

Tambah Vijay lagi, walaupun keretanya diparkir di kawasan yang terang namun kejadian ini tetap berlaku.

“Malah, saya dimaklumkan orang ramai kejadian ini adalah kali ketiga. Sebelum ini sebuah motosikal yang diparkir di kawasan ini turut dilarikan dan juga sebuah kenderaan turut dipecahkan.

“Kejadian ini amat menggusarkan hati kami lebih-lebih lagi terpaksa meletak kenderaan bagi urusan kerja memandangkan premis rumah kedai di sini ditutup sele��pas jam 10 malam,” katanya yang tinggal di Telok Gadong.

Berikutan itu, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya meminta polis menjalankan rondaan lebih kerap di kawasan itu bagi menghalang kegiatan sama berterusan.
SH

Pelajar sekolah dibelasah ketika sekatan jalan raya



GOMBAK - Seorang pelajar sekolah cedera apabila mendakwa dipukul anggota keselamatan sukarela sebelum sempat melalui sekatan jalan raya di Batu 7, Jalan Gombak pada 18 Jun lalu.

Menceritakan kejadian, Muhammad Azraf Hafizam Zamri 16, berkata pada ketika itu dia sedang menunggang motosikal menuju ke Jalan Gombak bagi urusan meminjam buku rujukan sekolah dari kawannya.

Menurutnya, sewaktu menghampiri Jalan Batu 7, Gombak, terdapat sekatan jalan raya dibuat anggota polis, tetapi 50 meter sebelum sekatan tersebut terdapat tiga anggota badan beruniform itu di bahu jalan.

“Oleh kerana tidak berani untuk melalui sekatan itu, saya berpatah balik, tetapi saya telah ditendang oleh salah seorang anggota tersebut sehingga hampir terjatuh dari motosikal.

“Seorang daripada mereka telah memukul saya dengan menggunakan kayu.Akibat dari itu, saya cedera teruk di bahagian dagu, dada kiri dan belakang hingga saya mengalami pendarahan dan lebam di dada,”katanya.

Azraf berkata, dia berjaya melepaskan diri dan terus balik ke rumah dan membuat laporan polis di balai polis bersama bapanya.

Bapa mangsa, Zamri Mat Nor nyata kesal dengan tindakan anggota tersebut yang jelas tidak tidak bertanggungjawab dalam tugas.

“Apakah bidang kuasa mereka boleh mencederakan anak saya yang tidak melakukan kesalahan. Anak saya bukanlah ancaman kepada mereka kerana hanya berseorangan menunggang.

“Saya ingin menasihatkan kepada pihak berkuasa seharusnya lebih teliti mengambil anggota seperti ini yang tidak layak dan tidak faham peranan serta tanggungjawab yang diberi.

“Bagaimana pula sekiranya anggota ini dibenarkan menggunakan senjata api pula.Pasti anggota ini akan bertindak lebih daripada itu,”kata Zamri.

Sinar Harian difahamkan keluarga mangsa telah membawa perkara ini untuk siasatan dan telah mengambil tindakan guaman bagi menuntut ganti rugi dan tindakan undang-undang.

Sebelum ini, anggota sukarela tersebut telah berjaya memujuk keluarga mangsa untuk menyelesaikan masalah tersebut, namun gagal melaksanakan janji dipersetujui.
SH

Musibah latihan sukan



KUANTAN – Seorang murid Tahun Dua di Sekolah Kebangsaan Sungai Ular di sini tenat setelah disengat lebih 10 tebuan ketika menjalani latihan sukan 20 Jun lalu.

Mohamad Al-Amin Ibrahim, 8, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan setelah paru-parunya dikatakan gagal berfungsi kerana jangkitan kuman.

Bapa angkatnya, Abdul Aziz Mamat, 49 berkata, anaknya itu dikatakan disengat tebuan di bangunan pra sekolah tersebut dan terus dibawa ke rumah oleh pihak pengurusan sekolah tanpa merujuknya terus ke klinik atau hospital.

Menurutnya, anaknya itu disengat di bahagian kepala, leher, rusuk dan belakang sehingga menyebabkan seluruh badannya berubah menjadi kebiruan.

“Saya agak terkilan kerana guru di sekolah tersebut tidak terus membawa anak saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana tebuan yang menyengat anak saya ini bukan sedikit.

“Mereka terus membawa ke rumah saya dan isteri saya, Rosilawati Abdul Rahman untuk dibawa ke hospital,” katanya yang apabila guru memaklumkan anaknya itu sengaja datang ke sekolah walaupun tiada latihan sukan.

Selain itu, dia juga agak terkilan kerana guru di sekolah tersebut tidak mengambil perhatian terhadap apa yang terjadi.

Sinar Harian dimaklumkan juga, pihak sekolah telah menghubungi bomba untuk memusnahkan sarang tersebut sehari selepas kejadian menimpa Al-Amin.

“Meraung-raung dia cakap pada saya seluruh badan dia sakit-sakit, dua minggu dia terlantar di hospital dia masih boleh bercakap dan sejak tiga hari lalu dia dimasukkan ke dalam ICU dalam keadaan separuh sedar, ada guru-guru datang menjenguk,” katanya yang menjaga Al-Amin sejak berumur tiga hari sedih melihat keadaan anak bongsunya itu dalam keadaan tidak bermaya.

Sehubungan itu juga, mereka telah membuat laporan di Pejabat Pendidikan bagi memaklumkan kejadian yang menimpa anaknya itu.

“Semoga kejadian seperti ini tidak berlaku kepada orang lain dan dijadikan pengajaran kepada.

“Saya juga harap agar anak saya cepat sembuh kerana menurut doktor keadaan dia ketika ini benar-benar tenat,” katanya.
SH

Kehilangan anak masih dirasai



DURIAN MAS – “Tiada apa dapat menggantikan kenangan saya bersama arwah anak walaupun ditimbuni pelbagai sumbangan dan barangan, tetapi bersyukur kerana ramai yang simpati dengan nasib kami sekeluarga,” demikian luah mangsa kebakaran dalam kejadian Selasa lalu.

Mangsa, Suriani Sulong, 40 berkata, setiap hari tanpa mengira siang atau malam, masih terbayang-bayang telatah anak kembarnya, Nor Fatin Farzana dan Nor Fatin Farzanah, 3, hasil perkahwinannya bersama Hamid Mustafa, 44, walaupun pada hakikatnya, mereka telah pergi buat selama-lamanya.

“Ibu mana tidak sedih dengan kejadian yang menimpa, tetapi menganggap semua ini sebagai takdir.

“Walaupun bersedih dengan kejadian yang menimpa, masih ada rasa syukur kerana sejak kebakaran sehingga hari ini, banyak pihak tampil menghulurkan bantuan,” katanya yang ditemui ketika menerima kunjungi daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di rumahnya di Kampung Durian Mas, Manir semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Harujan Sulaiman berkata, pihaknya cuba membantu setakat termampu dari segi barangan keperluan harian bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

“Setelah kediaman mereka siap nanti, Maidam bersedia memberi bantuan kelengkapan rumah sekiranya diperlukan iaitu lebih kurang RM1,000 untuk memastikan segala kemudahan tersedia.

“Jika berlaku kejadian rumah terbakar, menjadi tanggungjawab Maidam untuk tampil memberi bantuan segera kepada mangsa supaya tidak membebankan mereka,” katanya.

Pada kunjungan itu, Maidam menyerahkan beberapa barangan keperluan harian kepada keluarga mangsa kebakaran.
SH

Spiderman kantoi



SUNGAI BUAYA – Tindakan sekumpulan penagih menjadikan sebuah rumah di satu perkampungan nelayan dekat sini sebagai port melepaskan gian terbongkar apabila aktiviti mereka berjaya dihidu pihak berkuasa.

Ketika serbuan dilakukan sepasukan anggota polis narkotik kira-kira jam 2 petang itu, dua daripada tujuh suspek nekad terjun melalui tingkap lalu berlaku adegan mengejar lebih 300 meter sebelum kedua-duanya berjaya ditahan di kawasan berdekatan.

Dua daripada suspek yang berada di rumah tersebut masing-masing cuba bersembunyi dalam bilik air dan dalam kotak bahagian dapur serta bawah rumah manakala seorang lagi yang berada di ruang tamu gagal meloloskan diri sebaik dikepung polis.

Setelah enam daripada suspek berjaya ditahan, timbul kemusykilan bagi anggota yang membuat serbuan setelah seorang lagi daripada suspek dipercayai gagal ditemui.

Bagaimanapun pemeriksaan lanjut akhirnya berjaya mendapati seorang lagi suspek bersembunyi bawah lantai rumah dalam keadaan tergantung ala ‘Spiderman’.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati enam daripadanya positif dadah jenis methamphethamine manakala seorang lagi positif morfin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan terbabit dan suspek kini disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah, Rawatan dan Pemulihan.
SH

Ibu muda tidak serik



KAMPUNG RAJA – Seorang ibu muda kepada seorang bayi berusia tiga bulan yang pernah ditahan kerana kesalahan dadah bukan sahaja ditinggalkan suaminya yang menghilangkan diri ketika serbuan polis malah turut berdepan hukuman sebat tidak kurang tiga kali selepas dicekup dalam satu serbuan di rumahnya di Kampung Pangkalan Atap dekat Kampung Keluang di sini, kelmarin.

Wanita berusia 23 tahun itu ditahan jam 12 tengah hari oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah ketika dia berada di beranda rumahnya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis menyerbu rumah tidak bernombor dan menahan ibu muda tersebut yang terkedu melihat kehadiran polis.

Menurutnya, pemeriksaan polis berjaya menemui satu plastik yang diikat dengan getah dan di dalamnya terdapat lapan tiub straw mengandungi 80 biji pil dipercayai dadah jenis methamphetamine.

“Dalam setiap tiub straw itu mengandungi 10 biji pil dan rampasan keseluruhan bernilai RM3,000,” kata beliau kepada pemberita.

Kamaruddin berkata, wanita berkenaan pernah ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) atas kesalahan dadah sebelum ini.

Menurutnya, dia yang tidak serik mengulangi kegiatan sama dipercayai mengedar dadah di sekitar kawasan tersebut turut didapati positif dadah melalui saringan air kencing.

Dia ditahan lanjut untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tiga sebatan.
SH

Ajal dua pemandu

KEMAMAN – Dua maut setelah sebuah bas persiaran membawa 22 pelancong Cina bertembung dengan sebuah Toyota Vios dalam nahas yang berlaku di selekoh di Kilometer 125 jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Institut Kemahiran Bina Negara (IKBN) Kemasik, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, pemandu kereta, Siti Norliza Said, 24, dan pemandu bas persiaran, Liew Yun Tan, 67, meninggal dunia dalam perjalanan ketika dikejarkan ke Hospital Kemaman.

Bagaimanapun, penumpang kereta yang juga ibu dan anak saudara Siti Norliza, Maimunah Teh Bakar, 50-an dan Mohd Irfan, 7, tidak mengalami kecederaan serius.

Semua pelancong Cina yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas bercuti di Pulau Redang juga terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun bas yang dinaiki mereka turut terbabas ke dalam semak selepas bas terbabit bertembung.

Akibat perlanggaran secara berdepan itu, kereta yang dipandu Siti Norliza yang berasal dari Kampung Tanah Lot, Gong Chengal, Kemasik yang dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu remuk teruk pada bahagian kanan, manakala bas turut remuk di bahagian hadapan dan terbabas sejauh 500 meter.

Sinar Harian difahamkan, selepas pertembungan itu bas terbabit yang dalam perjalanan menghala ke Kuantan kemudian melanggar pengadang besi di sebelah kanan jalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang pokok sebelum masuk ke dalam semak.

Rakan Anti Jenayah (RAJ) Kemasik yang tiba awal di tempat kejadian bertindak membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa yang cedera parah dan tidak sedarkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kejadian itu berkata, punca kejadian masih lagi disiasat.

Dalam pada itu, seorang penumpang bas yang ditemui, Yeng Chooi Ping, 31, dari Kuala Lumpur berkata, nahas itu hanya disedarinya selepas terdengar bunyi dentuman kuat.

“Tiba-tiba terdengar dentuman kuat selepas bas dan kereta bertembung dan ketika itu saya yang duduk hanya selang sebuah kerusi di belakang pemandu bas terdorong ke depan.

“Waktu itu bas sudah melanggar pengadang besi sebelah kanan jalan sebelum terbabas ke dalam semak sebelah kiri jalan sebelum kami semua keluar ikut pintu kecemasan di bahagian belakang bas.

“Nasib baik bas tidak terus terbabas ke kanan jalan, kalau tidak sudah tentu akan terjun ke gaung,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Menurutnya, sebelum kejadian mereka telah berhenti rehat selama 15 minit di kawasan Rehat dan Rawat Meraga Beris, Kijal.
SH

Pendakwa raya dan peguam berbalah

KES BERCELARU: Mantan ketua IMF, Dominique Strauss-Kahn meninggalkan rumah yang disewanya di New York, semalam, bersama isterinya, Cik Anne Sinclair, dengan diiringi pengawal peribadi mereka. -- Foto AP

KES DAKWAAN CUBAAN ROGOL MANTAN KETUA IMF
NEW YORK: Kes serangan seksual yang didakwa ke atas mantan ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn, semakin bercelaru dan menemui jalan buntu, apabila perbalahan tercetus di antara pejabat pendakwa raya daerah dengan pihak menuduh.

Peguam pengemas bilik hotel yang mendakwa Strauss-Kahn cuba merogolnya di sebuah bilik hotel di Manhattan pada 14 Mei lalu telah menuntut seorang pendakwa raya baru, sambil menuduh pejabat pendakwa raya daerah New York membocorkan maklumat dan terdapat konflik peribadi.

Jurucakap Pendakwa raya daerah, Cik Cyrus Vance, dalam satu kenyataan yang dikirim menerusi e-mel kepada agensi berita AFP, pula berkata permohonan berkenaan adalah 'tidak berasas'.

Perbalahan di antara pihak mangsa dengan mereka yang sepatutnya membuat dakwaan dalam kes Strauss-Kahn itu terjadi selang beberapa hari selepas pihak pendakwaan membuat pengakuan dalam satu perbicaraan di mahkamah bahawa ia meragui kebolehpercayaan pihak mangsa.

Mereka berkata wanita itu telah memberikan maklumat palsu berhubung borang permohonan cukai dan suakanya, termasuk mengenai satu dakwaan dirogol secara bergilir-gilir di Guinea.

Mungkin perkara yang lebih serius ialah apabila mangsa berbohong dalam satu keterangan bersumpah mengenai kes Strauss-Kahn.

Pengemas bilik hotel itu pada mulanya memberitahu para juri, yang memutuskan pada Mei lalu bahawa kes tersebut boleh diteruskan, bahawa dia telah meninggalkan bilik Strauss-Kahn selepas dakwaan serangan seksual itu berlaku dan menunggu di ruang depan sehingga tertuduh meninggalkan tempat itu.

Namun, pihak pendakwaan mendedahkan pada Jumaat lalu bahawa mangsa kemudian menarik balik versi renteten kejadian itu, sambil berkata bahawa dia membersihkan sebuah lagi bilik dan kembali membersihkan bilik Strauss-Kahn sebelum mengadu kepada penyelianya mengenai insiden tersebut.

Dalam perkembangan terbaru, peguam pengemas bilik hotel itu, Encik Kenneth Thompson, kelmarin menghantar surat kepada Cik Vance meminta beliau menarik diri daripada kes berkenaan dan membenarkan pelantikan seorang pendakwa khas.

Sebahagian besar daripada surat setebal empat muka surat Encik Thompson itu membutirkan dakwaan kebocoran maklumat daripada pejabat Cik Vance, khususnya berhubung laporan akhbar The New York Times (NYT) mengenai perbualan pengemas bilik hotel itu dengan seorang penjenayah yang sudah dipenjarakan, dan dirakam secara sulit.

Beliau menulis bahawa ketua penolong pendakwa raya daerah, Encik Daniel Alonso, memanggilnya pada 30 Jun lalu dan menyatakan bahawa semasa perbualan itu pengemas bililk hotel itu berkata: 'lelaki ini banyak wang. Saya tahu apa yang saya lakukan'.

NYT kemudian melaporkan butir-butir perbualan mangsa itu di telefon pada keesokan harinya dengan menggunakan kata-kata hampir sama dengan apa yang disebut oleh Encik Alonso, menurut Encik Thompson. -- AFP.

Cyberita Online Luar Negara

Hadiah $379,00 bagi setiap pelombong yang diselamatkan

BEIJING: Para pekerja penyelamat telah ditawarkan ganjaran dua juta yuan ($379,100) bagi setiap pekerja yang dapat dikeluarkan daripada lombong arang batu yang runtuh pada hujung minggu lalu.

Sejauh ini, hujan lebat telah menyukarkan usaha mengeluarkan 19 pekerja yang terperangkap dalam lombong di bandar Heshan di wilayah Guangxi itu.

Daripada jumlah itu, enam dikatakan mempunyai 'peluang paling besar untuk hidup,' lapor agensi berita Xinhua.

Laporan itu menambah pihak berkuasa setempat telah membuat tawaran ganjaran itu sebagai insentif kepada pekerja penyelamat.

Sejauh ini, para pekerja penyelamat telah mengeluarkan tiga mayat daripada runtuhan itu.

Anggota keluarga mangsa telah menandatangani perjanjian pampasan bernilai antara 400,000 yuan dengan 600,000 yuan daripada syarikat Lombong Arang Batu Guangxi Heshan.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 36 pekerja arang batu terperangkap dalam kejadian di timur China, kelmarin.

Kejadian berkenaan adalah kali kedua dalam tempoh seminggu dalam industri arang batu di China.

Pentadbiran Keselamatan Pekerja negeri semalam, berkata mesin pemampat udara sedalam 225 meter dalam lombong berkenaan terbakar lewat petang kelmarin.

Siasatan awal mendapati 36 pekerja terperangkap dan operasi mencari serta menyelamat sedang dilaksanakan.

Pada 2010, seramai 2,433 orang terkorban dalam kemalangan di lombong arang batu di China.

Kumpulan buruh bagaimanapun berkata angka itu mungkin lebih tinggi kerana banyak lagi kemalangan yang tidak dilaporkan. -- Agensi.

Cyberita Online Luar Negara

Budak 10 tahun mati lepas ditinggal ibu dalam kereta

SEREMBAN: Hancur luluh hati seorang ibu apabila melihat anak perempuannya berusia 10 tahun yang ditinggalkan dalam kereta meninggal dunia, dipercayai kerana lemas terperangkap dalam kenderaan itu selama enam setengah jam, kelmarin.

Izzah Athirah Mohd Khir ditemui ibunya, Cik Haliza Talib, 44 tahun, terkulai dalam kereta itu pada 2 petang. Cik Haliza meninggalkannya dalam kereta untuk bergegas masuk ke kelas bagi mengajar di Sekolah Rendah Islam ABIM di sini.

Pada kira-kira 7.30 pagi itu, Izzah, yang juga belajar di sekolah itu, dikatakan enggan keluar dari kereta bersama ibu serta tiga adik-beradiknya untuk masuk ke sekolah kerana mahu mencari kasutnya.

Menurut bapanya, Encik Mohd Khir Abd Majid, 45 tahun, oleh kerana mahu cepat isterinya meninggalkan kunci kereta pada anaknya itu lalu beredar.

'Kami tidak tahu mengapa Izzah tidak keluar dari kereta sedangkan dia sudah biasa dengan kereta itu. Ketika isteri saya pergi ke kereta selepas waktu sekolah, dia nampak Izzah terkulai tidak sedarkan diri dalam kereta dan tingkap kereta tertutup,' kata Encik Khir, seorang penolong pegawai pelajaran daerah Rembau.

Izzah dikejarkan ambulans ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Encik Khir berada di Port Dickson bagi menghadiri mesyuarat ketika kejadian kematian mengejut. -- BHM.

Cyberita Online Luar Negara

Dr M: Tindakan keras kerajaan akan jejas undi pilihan raya

KUALA LUMPUR: Tindakan keras kerajaan Malaysia ke atas gerakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 boleh menjejas peluangnya dalam pilihan raya akan datang, demikian pandangan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menambah, pengundi dijangka menentang Barisan Nasional (BN) jika mereka merasakan kerajaan menindas hak asasi mereka.

'Apa pun yang dibuat kerajaan akan dicerminkan semasa pilihan raya. Jika mereka (pengundi) berasa bahawa kerajaan menindas, mungkin kerajaan akan kehilangan undi,' kata Dr Mahathir dalam satu sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, kelmarin.

'Namun, ada sesetengah orang berfikir bahawa kerajaan terlalu lemah... contohnya (ada orang bertanya): 'Mengapa mereka membenarkan demonstrasi dalam sebuah dewan?'

Dr Mahathir, bagaimanapun, mengelak apabila ditanya sama ada kerajaan bertindak keterlaluan terhadap rancangan perhimpunan Bersih 2.0 sambil menyifatkannya 'satu perkara mengikut pendapat masing- masing'.

'Saya fikir kerajaan berfikir ia harus bertindak tegas. Beberapa orang berfikir ia tidak seharusnya melakukannya. Walaupun dalam kerajaan sendiri, ada yang menyokong dan ada yang menentang; ini biasalah,' jelasnya.

Baru-baru ini, kerajaan bertindak tegas ke atas aktivis Bersih dan penyokongnya.

Sambil mengambil pendirian tegar, polis menahan ramai orang kerana memakai kemeja-T Bersih, manakala ibu pejabat Bersih di Petaling Jaya diserbu tanpa waran dengan beberapa penganjur dan kakitangan kumpulan itu dipanggil untuk disoal siasat.

Seramai 30 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM), termasuk Ahli Parlimen (AP) Sungai Siput, Dr D Jeyakumar, ditahan kerana memiliki kemeja-T Bersih dan mengandungi foto pemimpin komunis. Enam daripadanya ditahan di bawah Ordinan Darurat. -- Agensi.

Cyberita Online Luar Negara

Budak dua tahun maut akibat terjatuh dari tangga bergerak

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun 10 bulan mati selepas terjatuh dari tangga bergerak, dari tingkat dua ke tingkat satu, di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya, dekat sini, Selasa lalu.

Kejadian berlaku pada 4.30 petang semasa Mohammad Shevana Zhakir bersama ibunya, Cik Nathira Begam Abdul Kadir, 34 tahun, menuruni tangga bergerak itu untuk ke kantin selepas selesai memperbaharui visa untuk pulang ke kampung bapanya di India minggu depan.

Shevana dikatakan terjatuh secara tiba-tiba 10 meter ke tingkat bawah selepas ruang pemegang tali tangga bergerak itu tidak bertutup dengan sebarang halangan.

Dia cedera di kepala dan dikejarkan ke Hospital Putrajaya, tetapi dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur pada tengah malamnya kerana keadaannya bertambah serius.

Shevana bagaimanapun meninggal dunia kirakira 1.30 petang kelmarin.

Bapanya, Encik Zhakir Husin Abdullah, 33 tahun, yang menetap di Malaysia sejak lapan tahun lalu, berkata satu laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian itu.

'Saya hairan bagaimana pihak pengurusan ibu pejabat Jabatan Imigresen tidak memantau keadaan keselamatan di laluan awam di pejabat mereka hingga boleh meragut nyawa anak saya.

'Saya dan isteri saya akan membawa perkara ini ke muka pengadilan dan berharap perkara yang sama tidak berlaku ke atas orang lain,' kata Encik Zhakir ketika ditemui di bilik mayat hospital.

Beliau turut meluahkan rasa kesalnya kerana rancangan membawa anak keduanya itu bertemu datuk dan neneknya di Thirucchi, India, tidak menjadi kenyataan.

Jenazah Shevana dikebumikan kelmarin.

Selasa lalu, seorang budak berumur 13 tahun mati di Beijing, China, apabila sebuah tangga bergerak tiba-tiba bertukar arah pergerakannya.

Kejadian itu turut mencederakan 28 penumpang lain tangga bergerak di pintu keluar Stesen Zoo itu.

Kanak-kanak itu dalam perjalanan ke taman haiwan tersebut bersama bapa dan saudara perempuannya apabila kejadian itu berlaku.

Dia maut apabila para penumpang lain tangga bergerak itu terjatuh dan menghempapnya. -- BHM.

Cyberita Online Luar Negara

Polis tembak kepala suspek

"MUAR: Drama tebusan lima jam membabitkan 30 murid sebuah tadika dan empat guru wanita berakhir pada jam 3.05 petang semalam, selepas polis menggempur tadika itu dan menembak suspek di kepala, menyelamatkan semua mangsa tanpa kecederaan.

Polis melepaskan tembakan tepat pada kepala suspek yang semakin agresif apabila dia cuba memukul seorang anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang menjalankan usaha menyelamat.


Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata lelaki berkenaan dikenali sebagai Loi Hui Chung, 30, meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, pada jam 9.15 malam tadi. Menurutnya, pihaknya bergegas ke lokasi dan mendapati pusat jagaan kanak-kanak itu ditawan suspek bersenjata.

“Rundingan bermula jam 11 pagi dan suspek mula membuat beberapa tuntutan tidak masuk akal termasuk sepucuk pistol dan peluru.


“Pada masa sama kami berjaya berkomunikasi dengan seorang guru yang membaling nota melalui tingkap memaklumkan dia dan mangsa lain berada dalam keadaan selamat,” katanya."
myMetro | Polis tembak kepala suspek:

Yingluck janji kekal subsidi minyak

BANGKOK 7 Julai - Bakal Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra berkata, Parti Pheu Thai akan mengekalkan subsidi minyak dan akan menggantung levi tertentu ke atas bahan api sehingga diberitahu kelak.
Agensi Thai News (TNA) melaporkan, Yingluck akan menggantung levi ke atas minyak premium 95, 91 dan diesel bagi satu tempoh tertentu bertujuan mengurangkan harga runcit bahan api serta mengurangkan kos pengangkutan awam.
Pemimpin itu juga dilapor akan mengekalkan subsidi gas petroleum cecair (LPG) dan gas asli untuk kenderaan (NGV) yang digunakan pengangkutan awam seperti bas dan teksi bagi mengawal harga runcitnya.
Ahli perniagaan wanita yang menceburi politik itu berkata, partinya juga tidak berhasrat melaksanakan polisi apungan mata wang sekarang.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand dilapor hanya akan mengesahkan kira-kira 450 daripada 500 anggota Dewan Perwakilan pada 12 Julai ini, selepas ia menerima aduan tentang penipuan undi melibatkan 50 anggota Parlimen.
Jelas beliau, pihaknya akan meneliti aduan itu secepat mungkin. - Bernama/Agensi
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Dua suspek lelaki samun kedai serbaneka diburu


KUANTAN 7 Julai - Polis kini giat memburu dua lelaki bersenjatakan parang yang aktif menyamun kedai serbaneka di sekitar bandar ini termasuk sebuah kedai di Jalan Sungai Lembing di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner T. Narenasagaran berkata, dalam kejadian terbaru itu, suspek menyamun premis itu ketika seorang pekerja wanita bertugas di bahagian kaunter pada pukul 12 tengah malam.
"Suspek berusia lingkungan 20 hingga 30-an masuk ke dalam kedai sambil mengacukan parang ke arah mangsa sebelum meminta wang dan rokok," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata, selepas mengambil wang tunai dan beberapa kotak rokok, kedua-dua suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.
Menurut beliau, kejadian yang sama berlaku di sebuah kedai serbaneka di Kubang Buaya di sini pada Rabu lalu apabila suspek dikatakan turut melakukan jenayah samun menggunakan modus operandi yang sama.
"Polis masih menyiasat kes ini di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan kita percaya kedua-dua suspek terlibat adalah orang yang sama," katanya.
Utusan Malaysia Online - Pahang

Kerani mangsa ragut



JOHOR BAHRU 7 Julai - Seorang kerani Jabatan Pemasaran cawangan Johor Bahru Utusan Melayu (M) Berhad menjadi mangsa ragut dua lelaki bermotosikal di persimpangan lampu isyarat berdekatan Wisma Daiman di sini awal pagi semalam.
Kejadian pukul 4.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Hairulnizal Abdullah, 32, menunggang motosikal untuk ke tempat kerjanya di Jalan Serampang, di sini.
Katanya, ketika sampai di persimpangan lampu isyarat tersebut terdapat beberapa kenderaan lain termasuk motosikal di kiri dan kanannya.
"Sebaik sahaja lampu isyarat bertukar hijau, tiba-tiba salah sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki terus menghimpit motosikal saya.
"Salah seorang daripada lelaki tersebut dengan pantas meragut beg sandang saya yang diletakkan di dalam bakul motosikal sebelum mereka memecut melarikan diri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Menurut Hairulnizal, dia tidak dapat mengecam jenis motosikal yang dinaiki suspek kerana keadaan ketika itu agak gelap.
Katanya, antara barang yang hilang termasuklah wang tunai RM80, kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM dan sebuah telefon bimbit.
Dia yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudian membuat laporan polis di Balai Johor Bahru Sentral di sini.
Utusan Malaysia Online - Johor

Ditahan cuba seludup minyak diesel


MELAKA 7 Julai - Hasrat seorang lelaki untuk menyeludup diesel subsidi tidak kesampaian apabila dia ditahan anggota polis trafik di sebuah stesen minyak di Jalan Hang Tuah Mall di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan apabila perbuatannya mengisi minyak ke dalam sebuah tangki menggunakan dua hos dicurigai tiga anggota polis yang sedang meronda di kawasan tersebut.
Jurucakap polis berkata, pemeriksaan terhadap lori yang boleh memuatkan muatan seberat tiga tan itu membawa kepada penemuan sebuah lagi tangki di dalam lori terbabit.
"Ketika anggota sedang meronda, kami ternampak seorang lelaki sedang mengisi minyak diesel ke dalam tangki namun berasa pelik apabila lelaki itu menggunakan dua hos untuk mengisi minyak ke dalam tangki yang terdapat di bawah lori," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Jamil Buang berkata, polis sudah menyerahkan kes tersebut kepada pihaknya selepas laporan polis mengenai penahanan lelaki berkenaan dilakukan di Balai Polis Melaka Tengah.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, terdapat kira-kira 2,000 liter minyak diesel disimpan dalam tangki yang telah diubahsuai melibatkan kerugian RM3,600 dipercayai bagi kegiatan menyeludup diesel subsidi di negeri ini.
Utusan Malaysia Online - Selatan

891 mesin judi bernilai RM1 juta dirampas




Roslan Hassan (lima dari kanan) bersama pengawai polis Johor Bahru Utara (JBU) memberi ceramah sempena Majlis Pelancaran Program PDRM Bersama Pelanggan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara Skudai, semalam.


JOHOR BAHRU 7 Julai - Sebanyak 891 mesin judi bernilai lebih RM1 juta dirampas di premis-premis di sekitar kawasan Johor Bahru Utara bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, rampasan itu melibatkan penahanan 106 pemilik dan pekerja premis-premis tersebut.
"Kegiatan mereka biasanya dilakukan di kawasan taman perumahan dan biasanya apabila dirampas mesin-mesin perjudian itu dan pemilik atau pekerjanya dikenakan tindakan undang-undang, mereka akan kembali melakukan aktiviti yang sama.
"Caranya dengan menyewa premis di kawasan lain bagi mengelakkan dikesan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Pelanggan Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di sini hari ini.
Beliau berkata, beberapa pengusaha premis yang ditahan itu turut dikenakan tindakan buang daerah mengikut Akta Kediaman Terhad.
Ruslan memberitahu, sebanyak 1,468 mesin judi dirampas sepanjang tahun lalu dengan melibatkan tangkapan seramai 145 pemilik dan pekerja premis-premis berkenaan.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 57 premis telah dipotong bekalan elektriknya kerana menjalankan kegiatan judi haram.
Sementara itu, beliau meminta masyarakat supaya membantu pihak polis dalam menanggalkan iklan-iklan ah long yang ditampal sesuka hati di tempat-tempat awam.
Menurutnya, polis bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan operasi membuang iklan-iklan ceti haram itu setiap minggu bagi membanteras aktiviti tersebut.
Mengenai kadar jenayah di Johor Bahru Utara, beliau berkata, bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini statistiknya menunjukkan penurunan iaitu sebanyak tiga peratus.
Utusan Malaysia Online - Johor

Beribu ikan mati di Sg. Merbok




MOHD Zubib (tiga kiri) menunjukkan pelbagai jenis ikan sungai yang ditemui mati dalam Sungai Merbok di Bikan, Labu Besar Kulim semalam.


KULIM 7 Julai - Beribu ekor ikan mati di Sungai Merbok di Mukim Bagan Sena dekat sini dipercayai akibat air sungai tercemar dan beracun.
Kejadian itu memeranjatkan hampir 1,000 penduduk di Kampung Bikan Atas, Bikan Bawah dan Kampung Petani terutama yang sering menjala, menahan pukat dan menahan candik di sungai sepanjang 15 kilometer itu.
Penduduk mendakwa, kejadian itu mungkin berpunca daripada sebuah kilang tidak jauh dari kampung tersebut yang dikatakan telah membuang sisa kumbahan ke dalam sungai berkenaan.
Berikutan itu, banyak ikan seperti lampam, sisik,, pucuk pisang, haruan, keli dan bujuk ditemui mati sepanjang sungai itu.
Seorang penduduk, Zakaria Mat, 72, berkata, mereka sedih dengan kejadian itu dan ia boleh menjejaskan pencarian penduduk yang bergantung kepada sungai berkenaan.
''Pihak berkenaan sepatutnya lebih prihatin dan tidak membuang sisa kumbahan kilang secara sesuka hati ke dalam sungai,'' ujarnya.
Seorang penoreh getah, Khalid Sudin, 62, pula memberitahu, air sungai tersebut juga selama ini dipam masuk ke Loji Air Bikan daripada dulu sampai sekarang dan menjadi sumber air bersih untuk penduduk sekitar.
"Saya lihat banyak bangkai ikan terapung dalam sungai selepas selesai menoreh getah dan air sungai pula ketika itu berwarna ungu," katanya.
Seorang lagi penduduk, Jamil Abdel Nasser Zakaria, 42, berkata, penduduk di kawasan terlibat boleh mendapat ikan hampir 20 kilogram jika menjala atau menahan pukat di sungai itu sebelum ini.
"Apabila kes seperti ini berlaku, pasti pihak terbabit lepas tangan dan enggan bertanggungjawab dan yang susahnya penduduk kampung yang mencari ikan sungai," katanya.
Setiausaha UMNO Bahagian Padang Serai, Drs. Mohd. Zubib Saad berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kerajaan Pas Kedah perlu membuat pemeriksaan dan siasatan mengenai perkara itu.
"Masalahnya sekarang, air sungai sudah dipenuhi bangkai ikan dan tidak wajar air sungai itu terus diminum oleh penduduk sepanjang sungai," katanya.
Utusan Malaysia Online - Utara

Rozali dapat semula RM35 juta


PUTRAJAYA 7 Julai - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan pengasas Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd., Tan Sri Rozali Ismail dan dua yang lain berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan mereka membayar ganti rugi RM35 juta kepada seorang penasihat korporat.

Ganti rugi tersebut adalah ekoran kegagalan ketiga-tiga individu tersebut untuk membayar upah yang dijanjikan setelah Lim Pang Cheong @ George Lim membantu mereka mendapatkan projek berkaitan bekalan air untuk syarikat WWE Holdings Bhd. (WWE) pada 2001.
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk K.N. Segara, Datuk Alizatul Khair dan Datuk Aziah Ali sebulat suara membenarkan rayuan Rozali dan dua yang lain serta menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah tersalah arah semasa membenarkan tuntutan George.
Dengan keputusan tersebut, Mahkamah Rayuan mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi dan memerintahkan George untuk memulangkan semula kesemua wang yang telah dibayar kepadanya.
Oleh itu, penasihat korporat itu mesti membayar balik kira-kira RM35.5 juta dengan kos kepada ketiga-tiga individu tersebut.
Pada 29 November tahun lalu, George selaku plaintif yang diwakili peguam Datuk N. Vijay Kumar berjaya memperoleh ganti rugi RM34,989,978.47 yang dikatakan merupakan komisen beliau untuk mendapatkan projek Jelutong Sewerage Treatment Plan untuk WWE.
Dalam tuntutan saman bertarikh 26 September 2005, plaintif menamakan Rozali selaku Pengerusi Eksekutif syarikat WWE bersama Pengarah Urusannya yang juga pemegang saham terbesar, Mat Hairi Ismail dan juga syarikat tersebut masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Lelaki ditembak Kamal Affandi pernah mengamuk



KLANG 7 Julai - Seorang lelaki yang mati ditembak penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim dalam kejadian amuk di Flat Valencia, Seksyen 25, Shah Alam kelmarin pernah mengamuk di Kampung Jawa di sini lima tahun lalu, dipercayai kerana marahkan jirannya.
Menurut sepupu lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Jumaidy, selepas kejadian tersebut, Darwis Dusa, 42, yang berasal dari Kampung Merotai, Tawau, Sabah dan berhijrah di Lembah Klang sejak 2001 untuk bekerja, diminta pulang ke kampung halamannya.
Bagaimanapun, katanya, Darwis datang semula ke sini tanpa pengetahuan keluarganya tahun lalu.
"Arwah dikesan menghidap penyakit sawan sejak berusia 20-an ketika masih di Sabah dan kebiasaannya setiap tahun dia akan didatangi penyakit itu. Setiap kali diserang penyakit itu, dia akan pengsan atau mengamuk.
"Dalam kes yang berlaku lima tahun lalu, arwah tidak dikenakan hukuman kerana mempunyai surat dari hospital. Namun, tidak sangka dia telah meninggal dunia dan kami hanya mengetahuinya melalui akhbar. Saya memang tidak berpuas hati dengan cara kematian arwah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.
Jumaidy memberitahu, jenazah arwah dibawa pulang ke kampung halamannya malam ini untuk disemadikan.
Sementara itu Kamal Affandi yang ditemui di Pusat Perubatan KPJ petang ini berkata, beliau turut bersimpati dengan kematian arwah dan berharap orang ramai dapat menghormati hak peribadi keluarganya ekoran kejadian tersebut.
Katanya, beliau memang berniat mempertahankan diri yang cedera akibat dilibas oleh arwah semasa melepaskan tembakan.
Mengenai perkembangan kesihatannya, Kamal Affandi berkata, beliau mungkin dibenarkan pulang dalam masa dua minggu lagi selepas menjalani satu lagi pembedahan di bahunya yang cedera dalam kejadian.
"Buat masa ini, tulang di bahagian tangan kanan yang patah sudah disimen, lutut terkoyak sudah dijahit manakala bahu terkehel masih belum sembuh sepenuhnya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat dan forensik daripada hospital dan ia akan dibandingkan dengan keterangan mangsa sama ada konsisten atau sebaliknya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Suspek nampak baik tapi sering berubah laku






MUAR 7 Julai - "Lelaki itu nampak macam baik. Dia boleh dukung kanak-kanak, tetapi tiba-tiba dia boleh arahkan seorang guru memukul kepalanya dengan tukul besi. Jika tidak, murid-murid tadika akan dicederakan."
Detik-detik mencemaskan itu antara pengalaman yang dilalui oleh Pengetua Pusat Jagaan dan Didikan (Tadika) Serikids, Khoo Chon Den, 50, serta tiga guru dan 30 kanak-kanak lain yang menjadi tebusan seorang lelaki kurang siuman yang bersenjatakan parang dan tukul di Taman Sungai Abong Cemerlang, Sungai Abong di sini, hari ini.
Katanya, disebabkan semua guru takut untuk memukul suspek dengan tukul itu, kesemua yang berada di dalam rumah itu dikumpulkan di dalam sebuah bilik di tingkat atas tadika.
Menurut Chon Den, kesempatan berada dalam bilik itu digunakan untuk dia mengunci pintu itu dari dalam dan suspek hanya mampu berlegar-legar di luar bilik tersebut tanpa dapat mencederakan sesiapa.
Dia memberitahu, suspek yang berusia 40 tahun itu menceroboh masuk pukul 9.15 pagi melalui salah satu pintu belakang tadika tersebut.
"Dengan membawa tukul, dia meminta kami mengikut arahannya dan mengugut akan mencederakan kanak-kanak jika tidak memberi kerjasama," katanya.
Dia bersyukur kesemua selamat dalam kejadian itu dan berterima kasih kepada polis yang menjalankan tugas dengan sempurna.
Dalam pada itu, menurut salah seorang penduduk, Soh Yoke Chong, dia terpinga-pinga apabila dihalau pergi oleh guru tadika semasa mahu menghantar anaknya ke tadika itu.
"Tiap-tiap hari apabila saya menghantar anak, cikgu akan datang membuka pintu pagar, tetapi hari ini tiada. Apabila dia keluar, guru itu memberitahu kunci tiada dan tadika ditutup sambil memberi isyarat mata.
"Sebab tidak berpuas hati, saya telefon cikgu itu dan kali ini lelaki itu keluar dan menyuruh anak saya ditukarkan ke tadika lain," katanya.
Mengesyaki sesuatu yang tidak kena sedang berlaku, wanita itu menghubungi suaminya yang kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Drama tebusan tadika Sungai Abong



LELAKI yang cedera ditembak oleh sepasukan Unit Tindakan Khas kerana menjadikan kanak-kanak dan guru Tadika Serikids sebagai tebusan di Taman Sungai Abong Cemerlang, Muar, Johor, semalam.


MUAR 7 Julai - Nyawa 30 kanak-kanak dan empat orang guru menjadi taruhan dalam kejadian tebusan oleh seorang lelaki yang bersenjatakan tukul besi dan parang di Pusat Jagaan dan Didikan (Tadika) Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang, Sungai Abong di sini, hari ini.

Lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai kurang siuman dan seorang penagih dadah itu menceroboh masuk tadika yang terletak di sebuah rumah banglo dua tingkat itu kira-kira pukul 9.15 pagi sebelum mengurung semua penghuninya.

Pihak polis dan ahli keluarga lelaki tersebut yang tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 10 pagi cuba berunding dengan suspek meminta supaya semua tebusan dibebaskan, namun gagal.

Setelah rundingan gagal, sepasukan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) menyerbu masuk ke dalam tadika itu pukul 3.40 petang dan suspek telah ditembak di bahagian kepala mengakibatkan dia mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di hospital malam ini.

Insiden tebusan tersebut berakhir pada pukul 4 petang dengan kesemua tebusan iaitu empat guru wanita dan 30 kanak-kanak berusia antara 2 hingga 6 tahun itu berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, suspek dalam kes tersebut dipercayai individu sama dalam kes serangan seorang lelaki kurang siuman yang mencederakan kanak-kanak menggunakan tukul di Tadika Sinario di Lorong Haji Ali, Jalan Abdul Rahman di sini pada 10 Mac tahun lalu.

Katanya, pihak polis juga percaya suspek adalah orang sama dalam kejadian tiga kanak-kanak ditikam di hadapan sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Jalan Sakeh, Sungai Abong pada 12 Januari 2009.

Mengimbas detik-detik kejadian tebusan di Tadika Serikids hari ini, Jalaluddin berkata, polis mendapat maklumat mengenainya pukul 10 pagi dan sebuah kereta peronda dihantar ke premis itu.

"Suspek dikatakan mengurung kesemua empat guru dan 30 kanak-kanak di dalam sebuah bilik di tingkat atas dan dia turut mengunci semua pintu di tadika itu.

"Usaha untuk berunding dengan suspek dilakukan sejak pukul 11 pagi hingga 3 petang dan suspek telah mengemukakan beberapa tuntutan tidak logik, termasuk meminta sepucuk pistol automatik," katanya.

Tambahnya, salah seorang detektif dapat mengecam dan mengenal pasti identiti suspek dan telah membawa bapa saudara, kakak serta adik suspek untuk memujuknya namun usaha itu gagal.

Katanya, polis yakin kesemua tebusan berada dalam keadaan selamat untuk satu serbuan dilakukan setelah menemui sekeping kertas yang diremukkan dan dilempar keluar oleh salah seorang guru tadika itu mengatakan dalam bahasa Cina: 30 kanak-kanak dan guru dikunci di dalam bilik atas.

Menurutnya, semasa serbuan dilakukan, banyak kerusi telah diselerakkan di bahagian tangga oleh suspek dan dia yang berada di tingkat atas juga bertindak menghalang kemaraan pihak polis dengan menyembur alat pemadam api.

Katanya, suspek cuba bertindak agresif dengan menggunakan tukul sebagai senjata dan pihak polis terpaksa melepaskan tembakan mengenai bahagian kepalanya menyebabkan dia mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.

Suspek disahkan meninggal dunia di hospital pukul 9.15 malam ini.

"Mengenai seorang kanak-kanak yang dikatakan telah dicederakan, suspek telah berbohong mengenainya semasa rundingan dilakukan dan kesemua tebusan adalah selamat tanpa kecederaan," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah