Search This Blog

Thursday, July 7, 2011

Gurauan beras kenduri tahlil

PASIR MAS – Gurauan seorang anak dengan membeli 50 kilogram beras untuk dijadikan sajian kenduri menjadi kenyataan apabila digunakan untuk kenduri tahlilnya, di Kampung Lati, kelmarin.

Ibunya, Che Mariam Che Pa, 49, berkata, dia tidak menyangka gurauan Mohd Hazlan Ab Ghani, 33, anaknya sulung daripada lapan beradik itu merupakan petanda dia akan meninggalkan mereka sekeluarga.

“Tidak sangka pula, beras itu benar-benar digunakan untuk kenduri tahlil untuknya.

“Dia gemar bergurau dengan jiran dan saudara-mara di sini, namun ia menjadi kenyataan apabila dua hari selepas itu, dia meninggal dunia setelah terbabit dalam kemalangan,” katanya semalam.

Hazlan maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah motosikal lain di Kampung Jerulong, pada jam 1.15 pagi kelmarin.

Che Mariam berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya pada 12.30 malam ketika arwah ingin ke rumah adiknya, Mohd Hazli, 28, yang terletak tidak jauh dari rumah.

Menurutnya, sehari sebelum meninggalkan mereka sekeluarga, dia beria-ia menghabiskan masa bersamanya terutama ketika makan malam, sedangkan sebelum ini, dia tidak pernah berkelakuan sedemikian.

“Saya reda dengan pemergiannya dan arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Mas pada jam 2.30 petang kelmarin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan, ada menerima laporan berhubung perkara terbabit.

Beliau berkata, Hazlan yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dikatakan dari arah Lemal menuju ke Lati, bertembung dengan Mohd Marwan Wan Adnan, 33, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah bertentangan.

Marwan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala manakala Hazlan meninggal dunia di Hospital Pasir Mas beberapa jam kemudian.

“Saksi kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SH

Polis nafi Ayu dirogol



SENAI – Polis menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang melaporkan remaja mangsa pembunuhan kejam, Norrahayu Qomarudin,16, dirogol sebelum dibunuh dan dikerat.

Ketua Polis Seri Alam,Supritendan Roslan Zainuddin berkata, sehingga kini pihaknya hanya menyiasat kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kita masih lagi menyiasat pembunuhan ini dan motif pembunuhan juga masih belum diketahui, jadi laporan mengatakan mangsa dirogol masih belum dapat disahkan,”katanya.

Roslan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai bahagian badan mangsa yang belum ditemui dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengubungi polis untuk membantu siasatan.

Terdahulu,mayat seorang remaja dilaporkan dikerat sebelum dibakar sebanyak dua kali di dua lokasi berasingan.

Dia yang dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 18 Jun lepas dipercayai dibakar di kawasan Sungai Tiram, Ulu Tiram sebelum dibakar buat kali kedua di Tanah Perkuburan Hindu, Masai di sini.

Keadaan mayat mangsa yang merupakan anak seorang pengusaha kantin di sebuah kuari di Masa ditemui hanya tinggal cebisan rambut, baju dan selipar di tanah perkuburan berkenaan di antara pukul 4 hingga 5 petang, Selasa lalu. Hasil penemuan tersebut, polis turut menahan seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun yang turut bekerja di tapak kuari tersebut bagi membantu siasatan.
SH

SMS perangkap



PASIR GUDANG – Sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar seorang yang bernama Farah buat kali kedua kepada pengadu didakwa satu cubaan penipuan.

Pengadu, Ahmad Imran ketika menghubungi :Sinar Harian: berkata, beliau sudah menerima SMS yang sama kandungannya sebanyak dua kali sebelum bertindak melaporkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, pada mulanya beliau hanya mengesyaki ia adalah penipuan dan sangkaannya itu ternyata benar selepas cuba melayan SMS tersebut sebelum menerima ugutan yang didakwa daripada bapa Farah.

“Beberapa kali berbalas SMS tiba-tiba saya menerima SMS daripada seorang lelaki yang didakwa bapa Farah dan menuduh saya mengganggu anaknya lalu mengugut untuk membuat laporan polis.

“Saya turut membuat laporan polis April lalu untuk keselamatan diri daripada ugutan lelaki yang didakwa bapa Farah dan turut berharap pihak polis dapat melakukan siasatan secara terperinci,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Imran berkata, bagaimanapun awal bulan ini beliau sekali lagi menerima SMS dengan kandungan sama, tetapi menggunakan nombor telefon berlainan membuatkannya lebih berhati-hati.

Menurutnya, sekiranya perkara ini tidak didedahkan kepada umum, mungkin ramai lagi yang bakal menjadi mangsa penipuan apabila penerima SMS itu terperangkap.

“Saya bernasib baik kerana cepat tersedar ketika melayan SMS yang dihantar dan tidak masuk perangkap yang cuba dipasang apabila saya tidak meneruskan lagi berbalas SMS.

“Saya percaya ramai orang yang turut menerima SMS serupa, malah mungkin ada yang telah menjadi mangsa penipuan yang saya jangka pengirim SMS ini adalah daripada seorang lelaki,” katanya.

Ahmad berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan secara terperinci mengenai perkara ini dan orang ramai turut dinasihatkan supaya mengabaikan SMS sebegini yang jelas cuba mencari keuntungan melalui penipuan.
SH

Guru tuisyen nyaris dibelasah



KULAIJAYA – Seorang guru tuisyen nyaris dibelasah :sekumpulan remaja mabuk yang cuba memecah kenderaannya yang di parkir di luar di kediamannya di Indahpura dalam kejadian awal pagi semalam.

Leong Teck Siong, 38, berkata, kira-kira jam 1.30 pagi semalam, beliau terjaga dari tidur setelah terdengar alat penggera :kenderaannya berbunyi secara tiba-tiba dan segera keluar untuk meninjau situasi yang berlaku.

“Ketika keluar dari rumah, saya ternampak kira-kira sepuluh remaja berhampiran kereta saya dan sedang mengumpil untuk membuka pintu kereta.

“Saya segera menjerit ke arah mereka bagi menghalang perbuatan itu tetapi mereka kemudiannya bertindak agresif dan kasar seolah-olah mahu mencetuskan pergaduhan,” katanya.

Katanya, dia berasa panik kerana ada di antara remaja terbabit yang membawa kayu hoki bersama mereka dan berada dalam keadaan mabuk, namun bernasib baik kerana dibantu adik lelaki dan jiran yang ternampak situasi itu.

“Melihat kehadiran adik dan jiran, barulah kumpulan remaja berkenaan beredar, namun adik lelaki saya mengalami sedikit kecederaan di bahagian tangannya akibat situasi itu.

“Manakala cermin hadapan kereta saya turut diketuk sehingga menyebabkan lubang sepanjang lima sentimeter (cm),” katanya.

Bagaimanapun katanya, kumpulan remaja berkenaan bertindak semakin agresif dan sekali lagi dengan membaling cermin hadapan keretanya menggunakan topi keledar sebaik sahaja dia pulang dari membuat laporan polis kira-kira jam 5.30 pagi.

“Selepas berlaku kekecohan itu saya segera membuat laporan di balai polis berhampiran kira-kira jam 3 pagi dan pulang ke rumah pada jam 5 pagi.

“Tetapi kemudian sewaktu ingin melelapkan mata saya terdengar seperti bunyi cermin pecah dari arah luar rumah dan mendapati cermin hadapan kereta berlubang teruk sehingga menyebabkan keseluruhan cermin retak,” katanya.

Teck Siong yang bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga segera membuat laporan polis buat kali kedua berhubung situasi itu.

Dalam pada itu katanya, masalah yang disebabkan kumpulan mabuk di kawasan itu semakin berlarutan sejak beberapa bulan lalu sehingga mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam.

“Malah ada di antara jiran yang pernah mengalami kerugian kerana cermin kereta dipecahkan namun tidak berkesempatan membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Deputi Superintendan Mohd Kamil Sukami ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku.
SH

Langgar anjing, 2 buah kereta elak ditahan



PASIR PINJI – Seorang lelaki yang dipercayai pengedar dadah melanggar dua buah kereta di Taman Bunga Raya, di sini malam kelmarin dalam usaha melarikan diri daripada ditahan polis.

Tindakan lelaki berusia 30-an itu bagaimanapun gagal apabila kereta Naza Citra yang dipandunya berlanggar dengan dua buah kereta Proton Wira dan teksi sebelum terbabas di kaki lima jalan.

Bukan setakat kereta, malahan seekor anjing yang berkeliaran di kawasan itu juga mati dilanggar suspek.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Superintendan Azisman Alias berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kenderaan suspek dikatakan berlegar-legar di kawasan taman sebelum berjaya ditahan polis.

“Sewaktu pemeriksaan dijalankan ke atas kenderaan milik suspek, anggota kami menemui dua paket plastik dipercayai dadah jenis heroin dan morfin.

“Selain itu, kami difahamkan kereta yang dipandu suspek adalah kenderaan curi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Azisman berkata kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung mandatori.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini (semalam) sehingga 11 Julai bagi membantu siasatan,” katanya.
SH

Dua mengadu dipukul guru



IPOH – Dua pelajar sebuah sekolah menengah di sini, mengadu di pukul oleh seorang guru tampil membuat pengaduan di Pusat Khidmat dan Aduan BN Negeri, semalam.

Kedua-dua pelajar tersebut Lew Jin Wei dan Vincent Lim Wei berusia 13 tahun berkata, kejadian berlaku ketika mereka berada di sebuah makmal sekolah berkenaan dan dipanggil ke hadapan kerana mendapati mereka membuat bising.

Dalam pengaduan itu, kedua-dua pelajar yang ditemani ibu bapa masing-masing meluahkan rasa terkilan dan kecewa terhadap tindakan guru yang dianggap sebagai satu penderaan serius.

Ketika ditemui, bapa kepada Vincent Lim, Lim Kim Yang, 47 berkata, tindakan guru tersebut amat dikesali.

Menurutnya, satu laporan polis juga telah dibuat semalam, setelah mendapat tahu anaknya dipukul dengan teruk oleh guru di dalam kelas di hadapan pelajar-pelajar lain.

“Anak saya telah ditampar, dicubit bahagian perut, diheret dan dipukul dengan menggunakan kayu sehingga berdarah di bahagian hidung.

“Sememangnya saya tidak berpuas hati dengan tindakan guru tersebut dan berharap satu tindakan tegas diambil terhadapnya,” katanya.

Menceritakan kejadian, Lim Kim Yang berkata ketika melihat keadaan anaknya yang kesakitan dia terus menghantarnya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi mendapatkan rawatan sebelum membuat aduan ke pihak berkuasa.

Terdahulu, ibu kepada Lew Jin Wei, Choo Ai Lee, 37 berkata, dia begitu kecewa dengan pihak sekolah kerana tidak membenarkannya berjumpa guru terbabit.

Katanya, tindakan itu juga jelas menggambarkan pihak sekolah ingin melindungi guru tersebut walaupun ada rungutan daripada pelajar.

“Saya minta pihak sekolah mengenakan tindakan susulan kepada guru itu.

“Tindakan memukul yang keterlaluan ini boleh menjatuhkan imej pendidikan di negeri ini. Saya juga mahu guru tersebut dan menggesanya tampil memohon maaf secara terbuka kepada kami”, katanya.

Terdahulu, Ketua Pusat Khidmat berkenaan, Datuk Lee Kon Yin berkata, kes memukul pelajar itu melibatkan emosi bukan kes baru malah biasa berlaku di negeri lain.

”Mengikut undang-undang pelajaran negara ini, guru-guru tidak dibenarkan sama sekali melakukan tindakan sedemikian dan dianggap satu penderaan.

“Saya harap pihak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mengambil berat masalah ini dan berharap ianya tidak akan berulang lagi.

Sementara itu, Pengarah JPN, Datuk Mohd Rauhi Mohd Isa ketika dihubungi berkata, sehingga hari ini, kes berkenaan masih belum sampai ke pengetahuan pihaknya.

“Sekiranya kes ini sampai ke pengetahuan JPN, kami akan siasat dan akan ambil tindakan terhadap guru terbabit.

“Sememangnya tindakan seperti ini akan diketengahkan kerana ianya melibat imej pendidikan di negara ini,” katanya.
SH

Fitnah: Remaja buat laporan polis



SUNGAI JAGUNG – Seorang remaja membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pelajar perempuan yang memalukannya berhubung kes penyerahan surat yang mengandungi pelbagai fitnah dan mengaibkan dirinya.

Nur Syafikah Mohamad Hisham, 13, berkata, tindakan itu dibuat setelah tidak berpuas hati dengan tindakan pihak sekolah yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap penulis surat berkenaan.

“Tindakan dia (penulis surat) memalukan saya kerana isi kandungan yang mengandungi unsur fitnah dan mengaibkan itu disebarkan kepada pelajar lain di sekolah sebelum sampai ke tangan saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Disebabkan tidak tahan menanggung malu dengan ejekan rakan-rakan setiap hari apabila ke sekolah, Syafikah terpaksa berhenti dari sekolah berkenaan dan terpaksa membuat pendaftaran baru ke sekolah lain.

“Ketika kejadian, saya berada dalam surau sekolah menerima surat daripada seorang rakan.

“Dalam surat itu terkandung pelbagai fitnah yang mengaibkan sehingga menyebabkan saya malu untuk berhadapan rakan-rakan kerana mereka semua juga membaca kandungan surat berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia bukan sahaja menerima pelbagai tuduhan melalui surat berkenaan malah turut dilemparkan kata-kata kesat ketika diserahkan surat berkenaan.

“Apabila saya memberitahu pihak pengurusan sekolah mengenai perkara itu mereka hanya beranggapan ia adalah perkara biasa dan remeh semata-mata, namun langsung tidak menjalankan tindakan sewajarnya kepada penulis surat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya ibu bapa pelajar itu ada datang dan sudah memohon maaf kepadanya berhubung tindakan keterlaluan anak mereka.

“Saya berharap dia dikenakan tindakan sewajarnya setimpal dengan apa yang saya peroleh kerana menjatuhkan maruah diri sebagai seorang perempuan dan maruah keluarga saya juga tercemar akibat tindakannya.

“Saya juga berharap pihak sekolah lebih peka dengan kejadian ini supaya perkara seumpama ini boleh dikurangkan bagi menjaga imej sekolah sebagai sebuah pusat pendidikan,” katanya.
SH

Lagi kereta disimbah cat



ALOR SETAR - Setiausaha Pas Kawasan Alor Setar, Adnan Saad kesal dengan tindakan pihak tertentu yang menyimbah cat merah ke atas kereta Avanza miliknya, dipercayai dilakukan awal pagi semalam.

Kereta itu yang diparkir di hadapan rumahnya di Kampung Mempelam turut dipecahkan cermin belakang dengan benda tajam.

Adnan yang juga Pembantu Khas ADUN Alor Mengkudu, Dr Ismail Salleh, berkata, sekitar 7 pagi ketika hendak keluar rumah menghantar anaknya ke sekolah, dia terkejut apabila mendapati cermin belakang kereta pecah, manakala cat merah disembur pada bahagian badan kereta, serta terdapat sehelai nota ugutan dan seketul batu.

“Apabila saya buka bungkusan kertas yang ada batu itu rupanya ianya adalah nota berbaur ugutan yang menyuruh saya tidak hadir perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur. Kesemua bahan bukti itu diserahkan pada polis untuk siasatan,” katanya, yang turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Setar pada 8.30 pagi, semalam.

Menurutnya, dia percaya kejadian itu dilakukan awal pagi memandangkan ketika tiba di rumah pada pukul 3 pagi selepas pulang dari Sungai Petani kerana menghadiri ceramah di sana, keadaan keretanya masih elok.

“Anak saya, Mohd Izzudin ada mendengar bunyi bising di luar rumah sekitar 4 pagi tetapi tidak menyangka berlaku perkara buruk seperti itu,” katanya.

Isterinya, Rohaya Abdul Wahab, 38, berkata, dia tidak mendengar atau melihat kejadian itu kerana sedang tidur lena ketika itu.
SH

Ditampar depan perhimpunan



SEREMBAN – Akibat ditampar depan pelajar lain sewaktu perhimpunan, seorang pelajar terpaksa menanggung malu dengan tindakan dilakukan oleh seorang guru lelaki di sebuah sekolah dekat Mantin, di sini, Jumaat lalu.

Sinar Harian difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, pelajar, Loh Kah Fei, 13, dipanggil oleh guru terbabit kerana dipercayai melawan pengawas.

Namun katanya, dia tidak sedikit pun berbuat demikian kerana apa yang berlaku itu tidak disengajakan.

“Semasa saya duduk dalam barisan sewaktu perhimpunan, seorang pengawas yang bertugas menyuruh saya duduk di bahagian depan dan sewaktu saya mahu berdiri, saya tertekan kaki pengawas terbabit.

“Ia bukan disengajakan, disebabkan badan saya agak besar, saya terpaksa menekan tangan ke bawah bagi membolehkan saya bangun tetapi pengawas berkenaan menyangka saya cuba melawannya dan terus beritahu guru,” katanya.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih teruk apabila guru terbabit menamparnya di hadapan semua murid sehingga menyebabkan mukanya merah dan bengkak.

Sementara itu, neneknya, Pan Li Lian, 61, berkata dia tidak berpuas hati dengan tindakan cikgu terbabit yang menampar pipi cucunya itu sehingga meninggalkan kesan.

Menurutnya, akibat kejadian itu, cucunya sehingga kini malu untuk ke sekolah.

“Saya tahu dia memang nakal tetapi kenapa guru menampar mukanya di depan pelajar lain sedangkan dia boleh memanggilnya ke bilik dan mendenda dengan cara lain.

“Saya tidak akan mempertikaikan perkara ini jika guru terbabit merotan tangan atau anggota badan lain, dengan cara yang lebih berhemah,” katanya.

Li Lian berkata, pihaknya hanya akan memaafkan kejadian itu jika guru lelaki terbabit datang berjumpanya dan meminta maaf secara terbuka.

Ahli Majlis Perbandaran Nilai, Gan Chee Biow ketika melawat mangsa berkata, beliau sudah berbincang dengan pihak sekolah terbabit dan menyusulkan beberapa isu kepada pihak sekolah bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.

“Diharap kejadian seumpama ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.
SH

Lelaki didenda RM300



PORT DICKSON – Dua lelaki yang ditahan dalam kejadian curi paip di kampung Sawah Sunggala telah dituduh di Mahkamah Majistret Port Dickson, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh berkata, kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 29 (1) Atas Kesalahan Kecil.

“Masing-masing didenda RM300,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Baljeet berkata, kegiatan jenayah dua suspek ini berjaya dipatahkan oleh Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sawah Sunggala sebelum :laporan dan tangkapan polis dilakukan.

“Kerjasama yang diberikan SRS dalam menangani jenayah di daerah ini sangat dihargai dan diharap usaha ini akan terus berterusan,” katanya.
SH

Anak lemas dalam kereta



SEREMBAN - Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia selepas terperangkap hampir tujuh jam dalam kereta milik ibunya di pekarangan sebuah sekolah rendah agama di bandar ini, semalam.

Bapa mangsa, Mohd Khir Abd Majid, 45, berkata, anaknya, Izzah Athirah, 10, menaiki kereta jenis Perodua Alza bersama isterinya dan tiga adik-beradik yang lain ke sekolah berkenaan.

“Saya difahamkan Izzah Athirah tidak mahu keluar daripada kereta sebab dia tiada kasut sekolah. Sudah puas dia cari kasut itu di merata-rata tempat tetapi tidak jumpa.

“Allahyarham tinggal sendirian di dalam kereta, sementara isteri yang bertugas sebagai guru di sekolah berkenaan terpaksa bergegas ke kelas bersama tiga anak kami, kira-kira jam 7.30 pagi,” katanya kepada pemberita di pekarangan Hospital Tuanku Ja’afar, dekat sini, semalam.

Beliau yang juga Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Rembau (Bahagian Pendidikan Khas dan Swasta) berkata, salah seorang anaknya pergi ke kereta untuk memeriksa :keadaan Izzah Athirah, kira-kira jam 2 petang.

Menurutnya, mangsa terus dikejarkan ke hospital selepas dia ditemui dalam :keadaan lemas, dalam kereta yang berkunci dan ditutup semua tingkap namun disahkan meninggal dunia di hospital sama, kira-kira jam 2.15 petang.

“Semasa kejadian, saya berada di sebuah hotel dekat Port Dickson untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tilawah al-Quran Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan 2011.

“Saya terus berkejar ke hospital selepas dimaklumkan seorang rakan mengenai kejadian yang menimpa Izzah Athirah,” katanya.

Mohd Khir berkata, pemergian anak kelima daripada lapan beradik itu diterima dengan reda dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Yayasan Sofa dekat Rembau, pagi ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, mengesahkan telah menerima laporan ibu mangsa berhubung kematian anaknya dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 iaitu penjaga disyaki cuai dalam penjagaan kanak-kanak.
SH

Kes pecah amanah terbongkar



SERENGKAM - Harapkan pagar, pagar makan padi. Itulah ungkapan cukup sesuai buat seorang kakitangan kanan Ladang Getah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Serengkam di sini apabila tindakannya menjual hasil ladang kepada pihak luar sejak Januari lalu dibongkar pihak pengurusan agensi itu.

Sehubungan itu, peserta Felcra Serengkam meminta supaya pihak pengurusan mengambil tindakan tegas terhadap kakitangan itu yang didakwa melakukan pecah amanah dengan nilai jualan mencecah RM100,000.

Ketua peserta, Abdul Ghafar Barat berkata, seramai 88 peserta berharap supaya kakitangan berusia 50-an itu tidak terlepas begitu sahaja kerana ia membabitkan kerugian besar.

“Pada Sabtu lalu, hasil maklumat mendapati kakitangan itu yang sudah berkhidmat lebih kurang 25 tahun di ladang ini akan mengeluarkan sebanyak 35 guni berisi getah beku, kira-kira pada jam 3.30 pagi.

“Tindakan pantas pegawai pengurusan dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) berjaya menahan seramai 16 pekerja yang sedang memunggah guni selain sebuah lori penuh muatan getah beku dan sebuah pacuan empat roda.

“Turut ditahan, seorang pembeli dari Sri Jaya yang mengaku melakukan urusan jual beli dengan kakitangan itu sejak Januari lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang peserta, Azman Mokhter, 43, berkata, berdasarkan resit pembelian, kakitangan itu mengaut keuntungan atas angin berjumlah RM68,000 sepanjang Januari hingga Mei.

Menurutnya, perkara itu amat dikesali apabila individu yang diberikan amanah melakukan penyelewengan dengan hanya sebahagian hasil ladang dijual kepada Felcra.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu dan siasatan sedang dijalankan.
SH

Dua maut nahas 3 motosikal



KUANTAN - Dua remaja lelaki maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal di Kilometer 78 Jalan Kuantan - Chini, dekat Pekan semalam.

Mangsa, penunggang motosikal Honda EX-5, Zaiful Azman Ahmad, 16, dan Azizul Mat Ali, 21, penunggang Yamaha RX-Z.

Manakala mangsa yang cedera parah, pembonceng Honda EX-5, Ahmad Fazkri Ame Rosli, 17, dan penunggang sebuah lagi motosikal jenis Yamaha RX-Z, Mohd. Fazullah, 20, kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian pukul 7.30 malam itu Zaiful Azman dan rakannya, Ahmad Fazkri dari arah Chini Timur menuju ke bandar Chini.

“Sampai tempat kejadian, dipercayai motosikal Yamaha RX-Z yang ditunggang Mohd. Fazullah telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal Honda EX-5.

“Pertembungan itu menyebabkan motosikal yang ditunggang Azizul tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang motosikal yang ditunggang Fazullah.

“Ekoran itu, Zaiful Azman dan Azizul meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Ahmad Fazkri dan Fazullah yang parah dikejarkan ke HTAA,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan, semalam.
SH

Lelaki mati atas kerusi



JERTEH – Orang ramai yang mengunjungi pekan ini kelmarin, gempar seketika dengan penemuan mayat seorang lelaki di atas sebuah kerusi di depan sebuah kedai bunga, di sini.

Anggota pejabat pertanyaan Balai Polis Jerteh memaklumkan, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang ramai yang memaklumkan mengenai penemuan itu, sebelum pihak hospital dipanggil ke tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan, sebelum mendapati dia telah meninggal dunia.

Lelaki terbabit dikenali sebagai Mohd Nawi Awang Long, 60, pesara Felcra dari Kampung Padang Hangus, Chetok, Pasir Mas Kelantan.

Hasil pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan Hospital Besut, Dr Mohd Kamil Sabry, didapati lelaki terbabit meninggal dunia akibat serangan jantung.

Mayatnya kemudian diserahkan kepada isterinya untuk dibawa pulang ke Pasir Mas, Kelantan pada jam 5.45 petang bagi urusan pengebumian.

Difahamkan, lelaki terbabit datang ke pekan ini kerana mengikuti seorang rakannya yang juga seorang kontraktor, melakukan kerja di Keruak. Mereka dikatakan menyewa di sebuah hotel di sini sebelum kejadian itu.
SH

Curi lembu bayar ansuran kereta



KUALA TERENGGANU – Seorang anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas pertuduhan mencuri dua ekor lembu milik bapa tirinya bernilai RM2,800 untuk dijadikan modal bagi menjelaskan ansuran bulanan kereta.

Tertuduh, Mohd Jaafar Lim Abdullah, 38, dari Kampung Buluh Gading, Kuala Terengganu mengaku tidak bersalah dan mohon untuk membela diri sendiri tanpa melantik peguam bela selepas dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan dijalankan Pegawai Polis, Inspektor V Ravi di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama rakannya, Shahrol Anwar Mohamad, 27, dari Kampung Tambak Baru, Wakaf Tapai, Marang pada 2 Julai lalu kira-kira jam 8 malam hingga 9 malam di kampung Tambak Baru, Wakaf Tapai, Marang, dengan niat bersama telah didapati melakukan kesalahan mencuri dua ekor lembu milik Ghazali Muda, 72, yang juga bapa tiri Mohd Jaafar Lim bernilai kira-kira RM2,800.
SH

Pemuda parah tersepit



BANDAR PERMAISURI – :Seorang pemandu van berumur 25 tahun cedera parah dan kini di rawat di Hospital Setiu selepas van yang dipandunya melanggar lori dari arah belakang ketika lori yang tidak membawa apa-apa muatan itu berhenti untuk masuk ke simpang kanan.

:Manakala, bapa kepada pemandu van berkenaan hanya mengalami cedera ringan dan pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan

:Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani berkata, kejadian berlaku jam 9 pagi di hadapan stadium mini Sungai Tarom, semalam.

:“Hasil siasatan yang dibuat oleh anggota trafik mendapati, van dari arah Kota Bharu ke Kuala Terengganu tersebut cuba mengelak daripada

:melanggar belakang lori terbabit tetapi gagal berbuat demikian menyebabkan pemandu van tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya kepada Sinar Haria“Anggota bomba terpaksa dipanggil ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit kerana bahagian hadapan van tersebut remuk dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
SH

2 keluarga hilang tempat tinggal

MACHANG – Dua keluarga di Kampung Pangkal Jetas, Labok dekat sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka hangus dalam kebakaran kira-kira jam 10.20 malam, kelmarin.

Kejadian yang dipercayai berpunca daripada litar pintas tersebut disedari salah seorang ahli keluarga namun tidak sempat berbuat apa-apa kecuali menyelamatkan diri masing-masing.

Salah seorang mangsa, Aminah Lahman, 58 berkata, ketika kejadian dia dan seorang anaknya baru tiba daripada Pengkalan Chepa.

Katanya, suaminya, Ramli Ibrahim, 56, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Pangkal Jetas pergi bermesyuarat selepas menghantar mereka pulang di kampung berdekatan.

Tambahnya, ketika dia sedang bersiap-siap untuk mandi, tiba-tiba pam air di rumahnya berhenti berfungsi dan apabila bertanyakan kepada anaknya, anaknya memberitahu ada api di dalam bilik.

“Saya segera mematikan meter elektrik dan berlari keluar bersama anak saya. Pada mulanya api kecil namun keadaan menjadi kelam kabut dan kebetulan tiada sesiapa yang berdekatan.

“Saya sendiri mempunyai masalah penglihatan sebab itulah saya tidak berani untuk memadamkan api tersebut dan hanya menyelamatkan diri sendiri. Api yang marak kemudiannya merebak ke rumah ibu saudara saya yang terletak berdekatan. Mujurlah dia tiada di rumah,’’ katanya sebak.

Sementara itu, ibu saudara Aminah, Bidah Jusoh berkata, biasanya pada malam dia menumpang tidur di rumah keluarga terdekat memandangkan dia tinggal seorang diri.

Katanya, dia hanya mengetahui perkara tersebut apabila diberitahu oleh ahli keluarga yang lain namun tiada apa-apa yang sempat diselamatkannya.

Selain dua buah rumah dan sebuah motosikal, kain tempahan pelanggan Aminah turut musnah.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Zamri Che Ya berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.29 malam dan berjaya mengawal kebakaran pada jam 10.50 malam.

Katanya, operasi tersebut melibatkan dua jentera bomba dengan kekuatan tujuh anggota.

“Ketika pasukan kami tiba di tempat kejadian, kedua-dua buah rumah telah terbakar dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah malam.

“Punca kebakaran masih disiasat dan anggaran kerugian adalah RM90,000 yang mana melibatkan rumah, kelengkapan rumah dan sebuah motosikal,’’ katanya.
SH

Suami bomoh Thai ditangkap


KUALA TERENGGANU 6 Julai - Setelah lebih dua minggu diburu polis berhubung kes kematian seorang pemuda semasa menerima rawatan tradisional, 15 Jun lalu, Norhisham Mustapa, 33, suami kepada seorang bomoh warga Thailand akhirnya ditahan di sebuah rumah di Rantau Panjang, Kelantan, malam semalam.

Bagaimanapun, isterinya yang dikenali sebagai Kak Yah atau Kak Mah selaku suspek utama masih gagal dikesan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu hasil maklumat orang ramai.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bomoh wanita itu telah menghilangkan diri lebih awal dan tidak berada di rumah bersama suaminya.

"Bagaimanapun, kita percaya bomoh itu masih bersembunyi di sempadan Malaysia-Thailand," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Bomoh wanita dan suaminya itu diburu polis ekoran kematian Faisal Harun, 26, dari Kampung Gong Beris, Marang, semasa menjalani rawatan bagi mengubati penyakit pemuda tersebut.

Dalam kejadian itu, mangsa dipaksa minum air melalui hos getah kononnya untuk mengeluarkan jin dalam badannya sehingga tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Mercang untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, Manoharan memberitahu, penahanan suami kepada bomoh tersebut diharap akan membantu menguatkan siasatan berhubung kes berkenaan.

Katanya, dengan penahanan lelaki itu juga, diharap bomoh tersebut akan tampil menyerah diri secepat mungkin.

"Buat masa ini, polis menahan reman lelaki itu selama tujuh hari bermula semalam dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujar beliau.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Rumah MB Kedah disimbah cat merah



HALAMAN depan rumah Azizan Abdul Razak di Sungai Limau, Yan disimbah cat merah oleh individu yang tidak bertanggungjawab semalam.


ALOR SETAR 6 Julai – Rumah dan kenderaan beberapa pemimpin Pas Kedah termasuk rumah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Sungai Limau, Yan di sini, disimbah cat merah oleh individu yang tidak bertanggungjawab awal pagi tadi.

Antara rumah pemimpin Pas lain yang disimbah cat merah ialah rumah Pegawai Khas Menteri Besar, Roslizan Zakaria; rumah Setiausaha Pas Alor Setar, Adnan Hassan dan rumah Ahli Jawatankuasa Pemuda Pas Kuala Kedah, Mohd. Radzi Said.

Azizan berkata, beliau menyifatkan tindakan pihak yang melempar cat merah itu ialah perbuatan mereka yang sengaja ingin mencipta kontroversi dan isu panas di negeri ini.

“Saya dimaklumkan oleh orang saya di Yan bahawa rumah saya di Sungai Limau dilempar cat merah.

“Saya dan pemimpin Pas yang lain bukan ada hutang dengan ah long yang mereka nak lempar cat merah dan saya juga rasa perkara ini bukan berkaitan dengan perhimpunan Bersih sebab cat yang dilempar bukan berwarna kuning,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau telah menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut.

“Saya pun tidak tengok bahagian mana di rumah saya yang telah dilempar cat merah ini.

“Biasalah ini kerja budak nakal, dulu mereka lempar risalah kutuk kerajaan negeri sekarang lempar cat pula, apa pun kita tunggu polis siasat perkara ini,” ujarnya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Petrol, diesel subsidi bernilai RM63,000 dirampas



DUA anggota penguatkuasa KPDNKK memeriksa saluran paip dari lori tangki ke tangki bawah tanah semasa melakukan serbuan ke atas tempat simpanan minyak haram di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.


BUKIT KAYU HITAM 6 Julai - Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah menahan empat lelaki dan merampas 34,000 liter diesel dan petrol subsidi bernilai RM63,000 dalam operasi di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK, Shuhaimi Mat Sari berkata, bertindak hasil maklumat awam, 10 anggotanya menyerbu tempat menyimpan minyak haram tersebut kira-kira pukul 10 pagi.

Hasil pemeriksaan lanjut pihaknya menemui 11,000 liter petrol dalam sebuah tangki bawah tanah, 8,000 liter petrol dalam lori tangki dan 15,000 liter diesel dalam sebuah tong.

"Ketika serbuan dilakukan dua pekerja, pemilik tempat itu dan juga seorang pemandu lori, kesemuanya warga tempatan berusia 30-an sedang sibuk memindahkan minyak dari sebuah lori tangki dan pemiliknya juga dipercayai baru sahaja selesai melakukan transaksi jual beli minyak (tidak dinyatakan petrol atau diesel) dengan pelanggan dari Thailand.

"Tempat ini baru sahaja enam bulan melakukan operasi dan hasil siasatan mendapati mereka mendapatkan petrol dan diesel dari stesen minyak sekitar Changlun dan Alor Setar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Shuhaimi berkata, pemilik itu juga mendakwa tempat ini baru dibina untuk dijadikan sebagai tempat simpanan minyak sementara sebelum dihantar ke negara jiran dengan cara yang sah.

"Apabila kita periksa rekod KPDNKK, pemilik terbabit tidak mempunyai lesen sah untuk menyimpan petrol dan diesel ini," katanya.

Suspek akan didakwa mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau tiga tahun penjara untuk individu atau kedua-duanya manakala syarikat pula didenda tidak melebihi RM250,000. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Kebakaran: Bapa selamat tiga anak



HASLINDA Ramli bersama tiga anaknya, Balkis Mohd. Afendi (dipangku), Haikal dan Hakim (kanan) sedih melihat rumah sewa mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kubang Labu, Tumpat, kelmarin.


TUMPAT 6 Julai - Tindakan pantas seorang bapa yang terkejut daripada tidur nyenyak selepas terhidu bau hangit, berjaya menyelamatkan tiga anaknya berusia antara satu hingga empat tahun dalam kebakaran membabitkan rumah sewa mereka di Kampung Kota Kubang Labu dekat sini, semalam.

Ketika kejadian pukul 1.10 petang, lelaki itu, Mohd. Afendi Mohamad, 23, seorang peniaga, sedang tidur nyenyak dalam sebuah bilik bersama-sama tiga anaknya, Mohd. Haikal, 4; Mohd. Hakim, 2, dan Balqis, 1.

Isterinya, Haslinda Ramli, 22, pula keluar bekerja di sebuah kedai makan di Kota Bharu.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd. Afendi, memberitahu, dia dikejutkan oleh bau hangit yang datang dari arah ruang dapur dan ternampak kepulan asap.

"Saya bingkas bangun dan terkejut apabila mendapati ruang hadapan rumah dipenuhi asap. Saya bergegas ke arah dapur dan mendapati dapur juga sudah terbakar.

"Walaupun panik, saya cuba memadamkan kebakaran tersebut namun gagal. Bimbang api yang semakin marak, saya terus menyelamatkan diri dan anak-anak," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Menurut Mohd. Afendi, selepas memastikan anak-anaknya selamat, dia cuba masuk semula ke rumah untuk memadamkan kebakaran, namun gagal kerana api marak dengan cepat.

"Saya hanya mampu melihat dari jauh tanpa sempat berbuat apa-apa. Namun saya bersyukur kami anak-beranak selamat," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Ridzuan Harun ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.19 petang dan seramai 12 anggota serta tiga jentera telah dikerah ke lokasi.

"Sebaik sahaja sampai, hampir keseluruhan rumah yang dihuni oleh dua keluarga itu telah terbakar. Tidak ada kemalangan jiwa berlaku, kerugian dianggar sebanyak RM100,000 dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Utusan Malaysia Online - Timur

Suami mati tergantung

KUANTAN: Belum hilang penat pulang dari kerja, seorang isteri terpaksa menelan kepahitan apabila suaminya mati dengan leher tergantung pada kipas siling di rumah mereka di Taman Amalina Lestari, Raub, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, wanita berusia dalam lingkungan 20-an berkenaan baru pulang dari tempat kerjanya di pekan Raub sebelum mendapati pintu rumahnya berkunci dan panggilannya tidak disahut.

Wanita itu meminta bantuan jirannya memecahkan pintu gril depan sebelum dia menjerit melihat mangsa, V Kanagarajan tergantung pada kipas siling rumah mereka.

Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Superintendan Noor Asyikin Syamsuri berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

myMetro | Suami mati tergantung

Wanita ditumbuk kerana hutang

KUALA LUMPUR: Tindakan kejam seorang lelaki berusia 30-an memukul seorang wanita kali kedua ketika terserempak dengan mangsa di Mont Kiara, di sini, mengundang padah apabila dicekup polis, Isnin lalu.

Difahamkan, sehari sebelum kejadian, suspek dikatakan memukul wanita berusia 41 tahun itu selepas mangsa pergi ke rumah lelaki terbabit untuk menuntut hutang sebanyak RM8,000 sebelum pulang kecewa.


Bagaimanapun, nasib malang wanita terbabit berterusan apabila mangsa sekali lagi terserempak dengan suspek pada keesokan hari ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bersarapan di sebuah restoran berhampiran kawasan itu, kira-kira jam 9.30 pagi.

Sumber berkata, suspek yang menghampiri mangsa terus menampar dan menumbuk wanita berkenaan.


“Tindakan itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek lebih 10 minit. Orang awam yang menyaksikan kejadian itu segera membantu mangsa, namun suspek mengugut untuk mencederakan sesiapa yang membantu wanita berkenaan,” katanya.


Menurutnya, dua anggota polis yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan berkenaan segera memberkas suspek sebelum membawanya ke balai polis.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Travers dengan mendakwa diserang suspek yang tidak berpuas hati dengannya ketika datang menuntut hutang.


Sumber itu berkata, dalam laporan berkenaan, mangsa juga mendakwa dipukul lelaki terbabit.

Difahamkan, mangsa yang dibawa ke hospital berhampiran kawasan itu menerima rawatan pesakit luar.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Rashid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut masih dilakukan.

myMetro | Wanita ditumbuk kerana hutang

‘Gemuk’ ancam penggal kepala

GOMBAK: Seorang ejen surat khabar mendakwa hidup dalam kebimbangan selepas diugut seorang pekerjanya yang mahu memenggal kepalanya selepas dikatakan meniduri isteri lelaki berkenaan.

Mangsa, Abdul Halim Perumal Abdullah, 53, berkata, pekerjanya berusia 49 tahun membuat ugutan itu melalui telefon kira-kira jam 11 malam kelmarin menyebabkan dia sukar melakukan urusan harian kerana bimbang dicederakan lelaki terbabit.

Menurutnya, pekerjanya yang dipanggil ‘Gemuk’ itu dikatakan turut mengugut mahu membakar mayatnya selain memusnahkan perniagaannya selepas disyaki termakan hasutan isterinya.

“Masalah bermula apabila isteri lelaki itu membuat tuduhan konon saya melakukan perbuatan tidak senonoh dengannya sejak beberapa bulan lalu.


“Semua dakwaan itu bohong dan hanya rekaan semata-mata bagi memporak-perandakan keluarga dan perniagaan saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

myMetro | ‘Gemuk’ ancam penggal kepala

Beli beras kenduri sebelum maut

PASIR MAS: “Saya pelik apabila arwah membeli 50 kilogram beras untuk mengadakan kenduri sedangkan kami tidak pernah berhasrat untuk berbuat demikian dalam masa terdekat,” kata Che Mariam Che Pa, 49, ibu kepada Hazlan Abdul Ghani@Abdul Aziz, 33, yang terbunuh dalam kemalangan di Jalan Pasir Mas-Lati dekat Lemal, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, perjalanan pulang Hazlan dari rumah adiknya di Lemal bertukar tragedi apabila motosikal Yamaha RXZ ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lain yang ditunggang Mohd Marwan Wan Adnan, 33.


Kemalangan itu menyebabkan Mohd Marwan cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Hazlan yang turut mengalami nasib sama disahkan meninggal dunia tiga jam kemudian di Hospital Pasir Mas.

Che Mariam berkata, anak sulungnya itu beria-ia membelikan beras sebanyak 50 kilogram, sedangkan perkara itu tak pernah dibuatnya sebelum ini.


“Memang saya pelik dengan tingkah lakunya ketika itu dan perkara sama turut disedari adik beradiknya yang lain. Bila ditanya kepadanya ketika itu, dia hanya menjawab ringkas sambil berkata tujuannya membeli beras itu untuk kenduri.


“Tidak sangka sikap peliknya itu menjadi petanda yang kenduri dimaksudkan itu untuk dirinya sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lati di sini, semalam.

Menurut Mariam, Hazlan membeli beras dalam kuantiti banyak dua hari sebelum kemalangan menimpanya dan perangai pelik itu disedari adik beradiknya, memandangkan beras itu terlalu banyak untuk dimakan dalam tempoh yang lama.


“Bagaimanapun, selepas dua hari dia membeli beras, saya dan keluarga menerima berita menyedihkan apabila dia terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berkunjung ke rumah adiknya, Mohd Azli, 28, yang tidak jauh dari rumah kami.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Haliludin Rahim, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan terbabit.


Katanya, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang masing-masing bertembung antara satu sama lain menyebabkan mereka cedera parah.

myMetro | Beli beras kenduri sebelum maut

Sebak lihat ibu didera bapa buas

ALOR GAJAH: Perbuatan seorang lelaki warga asing tidak ubah seperti haiwan apabila tergamak mendera isterinya setiap kali mahu melakukan hubungan seks termasuk menendang dan memukul mangsa dipercayai kerana cemburu, malah lebih mengejutkan, kekejaman suspek berlarutan sejak 24 tahun lalu.

Difahamkan, lelaki berusia 53 tahun berasal dari Pulau Rupat, Indonesia bekerja sebagai tukang rumah itu memukul isterinya setiap kali keinginannya ditolak dan perbuatannya itu turut disaksikan enam anak mereka berusia 11 hingga 24 tahun di rumah mereka di sebuah kampung di Simpang Ampat, di sini.


Perbuatan jahat suspek disembunyikannya daripada pengetahuan saudara-mara dan jiran itu terbongkar apabila dia ditangkap petang kelmarin, sekali gus mendedahkan dia sebenarnya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah sejak 13 tahun lalu.

Tangkapan terhadap suspek dilakukan kira-kira jam 6 petang oleh anggota polis yang menerima aduan daripada anak gadis mangsa berusia 17 tahun yang tidak tahan dengan perbuatan bapanya itu.


Mendedahkan sikap jijik bapa kandungnya gadis berkenaan mendakwa suspek seorang yang panas baran dan sering memukul ibunya yang berusia 52 tahun.


Anak keempat daripada enam beradik itu mendakwa dia sudah muak dengan perlakuan ganas bapanya yang sering menumbuk dan menyepak ibunya sejak dia kecil lagi. “Kami enam beradik tinggal serumah di rumah kecil Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Ruang yang sempit itu memudahkan kami melihat dan mendengar apa yang berlaku. Jeritan serta rintihan ibu minta dilepaskan daripada dikasari ayah yang kerap memukulnya membuatkan kami sedih mengenangkan nasib ibu,” katanya ketika ditemui.

Katanya, dia nekad melaporkan perkara itu di Balai Polis Simpang Ampat, kelmarin, kerana sudah tidak tertahan lagi serta selepas dinasihat bapa angkatnya.


Katanya, kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin, dia terjaga dari tidur apabila terdengar ibunya menangis meminta tolong sambil ayahnya terus memukul dan mengugut untuk membunuh jika ibunya menjerit.

“Saya nampak ayah menuju ke dapur dan datang membawa sebilah pisau lalu mengancam ibu supaya tidak menjerit atau dan memberitahu sesiapa perbuatannya sebelum menumbuk ibu.


Sementara itu Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan tangkapan suspek dan kes dirujuk ke Jabatan Agama Islam (Jaim) Alor Gajah untuk tindakan.


“Pihak kami dimaklumkan menerusi laporan polis dibuat anak mangsa, suspek disyaki melakukan penderaan seksual ke atas ibunya dan selepas diperiksa didapati suspek seorang warga Indonesia memiliki dokumen perjalanan tamat tempoh sejak 1998 lagi,” katanya.

myMetro | Sebak lihat ibu didera bapa buas

Diburu along angkara bekas pasangan

KUALA LUMPUR: Angkara individu lain meminjam wang daripada ceti haram atau along, dua individu, masing-masing seorang lelaki dan wanita mendakwa hidup dalam ketakutan apabila diburu kumpulan along terbabit yang mengganggu dan mengugut mereka di rumah masing-masing, sejak 30 Jun lalu.

Kedua-dua mangsa tampil membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam MCA semalam, apabila masing-masing mendakwa bekas isteri dan suami membuat pinjaman itu tanpa pengetahuan.

Seorang mangsa, Cheah Tin Keong, 49, berkata, dia kecewa dengan tindakan bekas isteri.

myMetro | Diburu along angkara bekas pasangan

Nafi mangsa diperkosa

JOHOR BAHRU: Polis menafikan laporan akhbar mendakwa remaja yang menjadi mangsa pembunuhan kejam, Norrahayu Qomarudin, 16 atau Ayu, dirogol sebelum dibunuh, dikerat dan dibakar.

Ketua Polis daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, sehingga kini pihaknya hanya menyiasat kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


“Kami masih menyiasat pembunuhan ini dan motif pembunuhan juga masih belum diketahui, berikutan itu laporan mengatakan mangsa dirogol masih belum dapat disahkan.

“Siasatan masih dijalankan mengikut pelbagai sudut dan kami juga menahan suspek utama kes iaitu pengawal keselamatan sebuah kuari berusia 46 tahun untuk mencari petunjuk sekali gus melengkapkan kertas siasatan,” katanya.


Beliau juga enggan mengulas lanjut ketika ditanya berhubung bahagian badan mangsa yang belum ditemui dan meminta orang ramai mempunyai maklumat menghubungi polis untuk membantu siasatan.


Terdahulu, mayat seorang remaja dilaporkan dikerat sebelum dibakar sebanyak dua kali di dua lokasi berasingan, penemuan itu dikaitkan dengan Norrahayu yang dilaporkan hilang oleh keluarganya, 18 Jun lalu.

Mayat mangsa dipercayai dibakar di kawasan Sungai Tiram, Ulu Tiram sebelum dibakar buat kali kedua di Tanah Perkuburan Hindu, Masai.


Keadaan mayat mangsa yang juga anak seorang pengusaha kantin di sebuah kuari di Masai, Qomardin Bajuri, 46, ditemui hanya tinggal cebisan rambut, baju dan selipar di tanah perkuburan berkenaan di antara pukul 4 hingga 5 petang, Selasa lalu.

Hasil penemuan itu, polis menahan seorang pengawal keselamatan bagi membantu siasatan.

myMetro | Nafi mangsa diperkosa

Tolonglah cari kepala arwah

JOHOR BAHRU: “Tolonglah, kami merayu kepada pihak berkuasa supaya mencari kepala arwah secepat mungkin, kami reda dengan apa yang berlaku tapi tidak tenang selagi belum dapat mengebumikan jasadnya,” kata ibu mangsa pembunuhan kejam Nurrahayu Qomarodin, 16, atau Ayu.

Umidah Setu, 49, berkata, mereka sekeluarga yakin kecekapan polis menjalankan siasatan, namun berharap pihak berkuasa dapat menemui kepala arwah anaknya secepat mungkin.

Katanya, sikap dan kelakuan Ayu sebagai anak tiada cacat celanya dan disifatkan sangat baik serta mendengar kata.

“Ayu sangat manja, mukanya tidak pernah masam sebaliknya hanya tersenyum manis. Jika kena marah, arwah tidak akan melawan sebaliknya lebih suka berdiam diri dan menurut perintah kami.


“Arwah juga ringan tulang kerana suka membantu orang dan kadang-kadang tolong kami menjual air minuman dengan menaiki van di kawasan berdekatan,” katanya.

myMetro | Tolonglah cari kepala arwah

Lemas dalam kereta ibu

SEREMBAN: Remuk hati seorang ibu apabila mengetahui anak perempuannya yang juga murid tahun empat mati akibat lemas selepas tertinggal selama lebih enam jam di dalam kenderaan miliknya, di Sekolah Rendah Islam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di sini, semalam.

Difahamkan, kejadian disedari kira-kira jam 2 petang apabila mangsa, Izzah Athirah Mohd Khir, 10, dilihat masih berada di dalam kereta Perodua Alza berkenaan yang diletakkan di perkarangan kawasan sekolah terbabit.


Bapa mangsa, Mohd Khir Abd Majid, 45, yang juga Penolong Pegawai Pelajaran Rembau berkata, anak kelima daripada lapan beradik itu pergi ke sekolah berkenaan dengan menaiki kereta dipandu isterinya, Haliza Talib, 44, kira-kira jam 6.30 pagi. “Sejurus tiba kira-kira jam 7.30 pagi, isteri saya yang juga guru di sekolah sama mahu cepat mengajar dan mengarahkan keempat-empat anak keluar dari kereta.

“Namun, Izzah (anak) dikatakan enggan keluar kereta kerana tidak memakai kasut. Selepas tamat waktu sekolah kira-kira jam 2 petang, isteri saya terkejut melihat Izzah seperti tidak sedarkan diri dan badannya terkulai. “Isteri segera menghubungi ambulans dan Izzah dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensiki, semalam.


Menurut Mohd Khir, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan.


Beliau berkata, dia sebelum itu sedang menghadiri mesyuarat di sekitar Port Dickson dan mengetahui kejadian berkenaan ketika dihubungi rakan sepejabatnya, kira-kira jam 3.30 petang.

“Saya diberitahu Izzah terperangkap di dalam kereta dan masih tidak mengetahui dia sudah meninggal dunia.


“Namun, apabila tiba di hospital, saya terkejut apabila dimaklumkan Izzah sudah meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya yang reda dengan insiden memilukan itu. Kata Mohd Khir yang menetap di Taman Pinggiran Senawang, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara kecuali sempat meminta kunci Proton Iswara miliknya untuk mencari kasut, sebelum kejadian berlaku.

“Izzah bangun awal berbanding biasa dan memberitahu mahu mencari kasutnya. Saya tidak menyangka ia petanda pemergiannya yang sudah ditetapkan Ilahi,” katanya.


Menurutnya, jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Yayasan Sofa, Rembau, hari ini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu kecuaian penjaga dalam penjagaan anak.


“Siasatan awal mendapati mangsa berada di dalam kereta itu yang berkunci dan tingkapnya tertutup. Ibu mangsa dipercayai terlupa untuk menjenguk sebelum mendapati kanak-kanak berkenaan sudah tidak sedarkan diri,” katanya. Pada 22 Mei lalu, seorang budak perempuan tiga tahun ditemui lemas dalam kereta yang tertutup rapat dan berkunci ketika ayahnya menghadiri pengebumian sepupunya di Kampung Morak, Tumpat, Kelantan.


Dalam kejadian itu, Nur Izyan Natasya @Aisyah Ishak tertinggal dalam kereta ketika bapanya tergesa-gesa untuk mengusung jenazah kerana menyangkakan dia sudah turun untuk ke rumah sepupunya itu.

myMetro | Lemas dalam kereta ibu

7 suspek seludup senjata Filipina melalui Malaysia

JAKARTA: Indonesia menahan tujuh suspek pengganas didakwa menyeludup senjata dari Filipina ke negara itu melalui Malaysia, kata polis semalam.

Jurucakap polis Indonesia, Boy Rafli Amar, berkata semua suspek terbabit diberkas dalam operasi di sekitar Jakarta dan Surabaya.


Kata Boy, senjata berkenaan dibawa masuk ke Indonesia dari Filipina melalui Tawau, Sabah.

“Semua suspek itu kini disoal siasat unit khas antipengganas,” katanya.


Turut dirampas dalam serbuan itu, kata Boy, tujuh senjata api dan kira-kira 100 peluru.


Sementara itu, sumber lain polis berkata, kumpulan pengganas terbabit merancang melakukan rompakan bank bagi mendapatkan dana bagi membiayai kegiatan mereka.

Bulan lalu, polis menahan 16 suspek pengganas didakwa merancang meracun anggota polis dengan menyuntik bahan berbahaya ke dalam botol air mineral yang dijual di kantin. - AFP

myMetro | 7 suspek seludup senjata Filipina melalui Malaysia

Budak maut jatuh eskelator pejabat imigresen

ZHAKIR Husin bersama Nathira Begam dan anak bongsu mereka tidak dapat menahan sedih selepas kematian Mohammad Shevana (gambar kecil) yang terjatuh dari eskelator Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya, kelmarin.
ZHAKIR Husin bersama Nathira Begam dan anak bongsu mereka tidak dapat menahan sedih selepas kematian Mohammad Shevana (gambar kecil) yang terjatuh dari eskelator Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya, kelmarin.
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak berusia 2 tahun 10 bulan maut selepas terjatuh dari tangga bergerak (eskelator) dari tingkat 2 ke tingkat 1 di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya, dekat sini, petang kelmarin.

Ketika kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa Mohammad Shevana Zhakir ditemani ibunya, Nathira Begam Abdul Kadir, 34, menuruni tangga bergerak berkenaan untuk ke kantin selepas selesai memperbaharui visa untuk pulang ke kampung halaman bapanya di India minggu depan.
Shevana dilaporkan terjatuh secara tiba-tiba ke tingkat bawah setinggi 10 meter selepas ruang pemegang tali tangga bergerak itu tidak bertutup dengan sebarang halangan.
Mangsa yang cedera di kepala kemudian dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan, tetapi dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) tengah malam kelmarin, kerana keadaannya bertambah serius.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.30 petang semalam.

Bapa mangsa, Zhakir Husin Abdullah, 33, yang sudah menetap di negara ini sejak lapan tahun lalu mendakwa satu laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian yang menimpa anak keduanya itu.

“Saya hairan bagaimana pihak pengurusan ibu pejabat Jabatan Imigresen tidak memantau keadaan keselamatan di laluan awam di pejabat mereka hingga boleh meragut nyawa anak saya.
“Saya dan isteri akan membawa perkara ini ke muka pengadilan dan berharap perkara yang sama tidak berulang lagi kepada orang lain,” katanya yang ditemui di bilik mayat HKL di sini.

Beliau kesal kerana harapan untuk membawa Shevana bertemu dengan datuk dan neneknya di Thirucchi, India, tidak menjadi kenyataan.

“Kedua-dua ibu bapa saya sering menghubungi saya kerana ingin melihat cucu mereka itu, tetapi musnah selepas kejadian berkenaan,” katanya.

Jenazah Shevana kemudian dibawa ke rumah ibu bapanya di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Gong, malam tadi.
Berita Harian Online | Budak maut jatuh eskelator pejabat imigresen