Search This Blog

Wednesday, July 6, 2011

Pekerja bawa wang dirompak



KAMUNTING – Hasrat dua pekerja mahu memasukkan wang ke dalam bank tidak kesampaian apabila menjadi mangsa rompakan menyebabkan kerugian hampir RM18,000.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu. dua pekerja sebuah premis, di sini dikatakan membawa sejumlah wang untuk disimpan dalam bank sebelum didatangi dua lelaki tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, dua lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun itu bersenjatakan pisau dan pisau sabit.

Menurutnya, mangsa dikatakan baru sahaja mahu memasuki kenderaan dihalang dan diacukan senjata sebelum dikerah menyerahkan beg berisi wang.

“Panik dengan keadaan itu, pekerja berkenaan menurut dan menyerahkan beg yang dibawa mengandungi wang, mangsa sempat menjerit meminta bantuan, bagaimanapun dua lelaki berkenaan sempat melarikan diri,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, wang berkenaan merupakan milik ejen penjual rokok.

Yusuf berkata, buat masa ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan dua lelaki berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil di balai polis berhampiran� bagi membantu siasatan.
SH

Langgar anjing, 2 buah kereta elak ditahan



PASIR PINJI – Seorang lelaki yang dipercayai pengedar dadah melanggar dua buah kereta di Taman Bunga Raya, di sini malam kelmarin dalam usaha melarikan diri daripada ditahan polis.

Tindakan lelaki berusia 30-an itu bagaimanapun gagal apabila kereta Naza Citra yang dipandunya berlanggar dengan dua buah kereta Proton Wira dan teksi sebelum terbabas di kaki lima jalan.

Bukan setakat kereta, malahan seekor anjing yang berkeliaran di kawasan itu juga mati dilanggar suspek.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Superintendan Azisman Alias berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kenderaan suspek dikatakan berlegar-legar di kawasan taman sebelum berjaya ditahan polis.

“Sewaktu pemeriksaan dijalankan ke atas kenderaan milik suspek, anggota kami menemui dua paket plastik dipercayai dadah jenis heroin dan morfin.

“Selain itu, kami difahamkan kereta yang dipandu suspek adalah kenderaan curi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Azisman berkata kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung mandatori.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini (semalam) sehingga 11 Julai bagi membantu siasatan,” katanya.
SH

Juruteknik kesal tertawan dengan hadiah lumayan




JOHOR BAHRU – Seorang juruteknik kawalan produk berasa lega setelah tiga tahun mencuba nasib untuk memenangi pelbagai tawaran percutian dan produk mewah oleh sebuah majalah terbela apabila memenangi tuntutan modal di Mahkamah Tribunal Pengguna di sini, semalam.

Zul Iskandar Kasan, 30, akur dengan :keputusan mahkamah biarpun tidak mendapat :keseluruhan tuntutannya RM7,500, beliau berpuas hati den�gan arahan Presiden, Siti Naaishah Hambali mengarahkan syarikat majalah terbabit memulangkan wang RM6,600 kepada Zul Iskandar.

Katanya, pada tahun 2009 beliau menerima satu surat dari syarikat terbabit yang menawarkan pelbagai produk seperti buku, cekera padat dan mendakwa menerusi pembelian barang-barangan yang ditawarkan, beliau boleh memenangi pelbagai produk termasuk percutian ke Eropah.

Namun, setelah habis berbelanja melalui pembayaran menerusi kad kredit yang dibuat bernilai RM7,500, beliau tidak pernah memenangi sebarang hadiah termasuk hadiah sagu hati.

“Saya bukan pelanggan majalah ini, dan difahamkan surat tawaran tersebut dihantar secara rawak dan hadiah yang ditawarkan buat saya teringin untuk mencubanya, dengan pembelian mana-mana produk yang ditawarkan.

“Selama lebih tiga tahun, saya berasa kecewa dan tertipu kerana tidak pernah mendapat apa-apa hadiah yang ditawarkan kepada saya,” katanya yang ditemui di luar mahkamah, di sini, semalam.

Zul Iskandar berkata, beliau pernah menelefon syarikat terbabit mengenai perkara terbabit namun tidak pernah diendahkan.

Siti Naaishah membenarkan tuntutan tersebut dan mengarahkan pembayaran kepada Zul Iskandar dibuat dalam tempoh 14 hari dari tarikh award dikeluarkan.
SH

Pelajar dirogol rakan sendiri



PORT DICKSON – Seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah Lukut di sini, membuat laporan polis selepas dirogol rakan sekolahnya di sebuah rumah kosong di taman perumahan di Lukut sekitar jam 12.30 tengah hari, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, mangsa yang berumur 15 tahun mendakwa dia dipaksa rakannya itu untuk melakukan hubungan seks.

“Suspek yang juga berumur 15 tahun ditahan reman sehingga Jumaat depan untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya, semalam.

Dalam satu kejadian berasingan, Baljeet berkata, seorang wanita berumur 20 tahun, kelmarin, membuat laporan polis mendakwa dirinya dirogol kekasihnya yang berumur 43 tahun.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa dipaksa minum minuman dipercayai dicampurkan dengan sejenis pil khayal ketika makan di sebuah kedai sebelum dirogol di bilik salah sebuah hotel di Telok Kemang di sini.

“Kejadian berlaku pada April lalu dan mangsa membuat laporan polis selepas mendapati dirinya sudah mengandung.

“Suspek berjaya ditahan reman sehingga Isnin depan untuk membantu siasatan dan kedua-dua mereka bukan penduduk Port Dickson dan hanya datang ke sini untuk bercuti,” katanya.

Difahamkan, statistik laporan berkenaan kes rogol dari Januari sehingga 3 Julai tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Sebanyak 16 laporan ke rogol dicatatkan pada tahun ini berbanding sebanyak 12 kes pada tahun lalu dan kebanyakan mangsa adalah di bawah umur serta suspek juga dikenali mangsa.

Sementara itu, Baljeet berkata, satu pendekatan holistik perlu diambil oleh semua pihak dalam menangani masalah ini secara tuntas sebelum keadaan menjadi semakin teruk.

“Ibu bapa terutamanya perlu memainkan peranan mereka untuk memantau pergerakan anak serta aktiviti mereka dalam semua perkara dan tidak melepaskan tanggungjawab itu semata-mata kepada pihak ketiga seperti sekolah,” katanya.
SH

Parah ditetak dengan parang



ALOR GAJAH - Seorang lelaki berusia 27 tahun cedera parah apabila ditetak sebanyak enam kali menggunakan senjata tajam parang hampir seluruh anggota badannya oleh seseorang yang dikenali di Taman Perindustrian Kelemak, dekat sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa, D Saravanan, yang tinggal di Taman Seri Sutera, Pengkalan, dikatakan berseorangan ke tempat kejadian yang juga tempat kerja lamanya selepas tiga hari berhenti bekerja di situ atas urusan dengan suspek yang dikenali itu.

Rakan mangsa, N Saravanan, 26, berkata, dia menerima panggilan daripada mangsa kira-kira jam 11.10 malam, ketika berada di rumah di Pengkalan, di sini.

Menurutnya, mangsa dengan nada suara yang kurang jelas dan lemah memaklumkan dirinya dikelar sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama dua adiknya untuk melihat keadaan mangsa.

“Mulanya, kami sangka dia ditetak di kilang tempat kerjanya di Kolam Air, tetapi sebaik sampai tiada apa di sana dan saya hubungi dia semula dan dia maklumkan bahawa dia berada di stor tempat kerjanya di Taman Perindustrian Kelemak.

“sebaik kami sampai ke sana, saya lihat dia sudah terbaring atas lantai dalam keadaan penuh darah di seluruh tubuhnya dan separuh sedar sambil menahan kesakitan dan saya terus menghubungi pihak polis dan ambulan,” katanya.

Difahamkan, mangsa bekerja sebagai kelindan lori yang membawa muatan ayam sejak sebulan lalu dan berhenti kerja tiga hari lalu.

Saravanan berkata, mangsa ada menyatakan hendak ke tempat kerjanya untuk menyelesaikan urusan kerja dengan rakan sekerjanya di situ.

Sementara itu, isteri mangsa, R Gayathri, 28, ketika ditemui berkata, suaminya itu keluar dari rumah sekitar 10.30 malam mengatakan hendak ke tempat kerja kerana ada urusan yang hendak diselesaikan dan keluar berseorangan.

“Saya tidak tahu apa punca hingga suami saya menjadi mangsa kelar kerana dia mula bekerja di tempat berkenaan sejak kira-kira sebulan lalu dan sudah berhenti kerja tiga hari lalu, dia tidak menceritakan apa-apa kepada saya,” katanya.

Sementara itu, ketua Polis daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian.

Menurutnya, kes sedang disiasat dan mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah sebelum mangsa di rujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Dipercayai dua suspek terbabit adalah orang dikenali dan polis sedang memburu mereka untuk bantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya semalam.
SH

Nenek rimas diusik ‘pak hitam’



PUCHONG – Rimas dengan sikap jiran warga Afrika yang sering mengganggunya setiap hari, seorang nenek memaklumkan sudah membuat hampir 12 laporan polis mendakwa hidupnya kini dalam ketakutan.

Yap Ah Hua, 61, berkata, dia yang tinggal di sebuah pangsapuri di Taman Wawasan, Pusat Bandar Puchong bersama seorang anak lelaki sejak setahun lalu mendakwa hidupnya mula dilanda ketakutan apabila unit bersebelahan kediamannya itu disewakan pemiliknya kepada tiga warga Afrika dipercayai pelajar kolej swasta.

“Apa yang membuatkan saya tidak tahan, jiran warga asing itu setiap hari mengacau saya dan membuat bising sehingga mengganggu kehidupan seharian.

“Mereka mengetuk dinding, menggoncang pintu pagar jeriji besi selain sering menjengukkan kepala melalui tingkap ruang tamu ke rumah saya,” katanya ketika ditemui selepas membuat aduan kepada Ketua Pemuda MCA Selangor, Dr Kow Cheong Wei.

Ah Hua berkata, tidak cukup dengan itu, tiga jiran ‘nakal’ itu turut mempersendakannya ketika melakukan upacara keagamaan di rumah.

“Mereka pernah menyepak troli perniagaan yang digunakan saya dan merakam gambar saya menggunakan telefon bimbit tanpa diketahui tujuannya.

“Tindakan itu menyebabkan saya tidak boleh bersabar dan sakit hati sehingga merasakan mahu menyimbah air kencing ke wajah mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Cheong Wei yang juga Ketua Pusat Perkhidmatan MCA Kinrara yang menerima aduan daripada mangsa berharap tuan rumah dapat menyewakan rumah itu kepada penyewa lain.

“Kita tiada kuasa memaksa pemilik menyewakan rumahnya kepada orang lain, tetapi kita boleh menggesanya untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu warga emas itu.

“Selain itu, saya berharap pihak pengurusan dapat menjalankan rondaan keselamatan dan pastikan warga emas ini tidak diganggu kerana dia mendakwa hidup dalam ketakutan dan sukar tidur kerana jiran mula membuat bising bermula jam 5.30 pagi,” katanya yang berterima kasih kepada pihak pengurusan yang sebelum ini pernah menyelesaikan masalah membabitkan penyewa warga asing di pangsapuri itu.

Beliau berkata, pihaknya akan turut merujuk kepada polis mengenai isu yang membebani warga emas berkenaan.
SH

Dihukum penjara lima tahun



KUANTAN- Seorang pembantu gerai menjual karipap dihukum penjara lima tahun selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan merompak seorang lelaki dan merampas wang tunai RM50 di tempat awam, awal Julai lalu.

Tertuduh, Mohd Hayyum Qayyum Rosli, 21 dari Kampung Tengah di sini sebelum itu merayu supaya hanya diletakkan di bawah pengawasan bagaimanapun Hakim Nor Adidah Ahmad menolak memandangkan kes tersebut serius dan hukuman penjara adalah wajib.

Selepas dimaklumkan mahkamah, dia boleh dihukum penjara hingga 14 tahun atas kesalahan itu, tertuduh memilih hukuman penjara selama 12 tahun bagaimanapun segera menukar tempoh itu kepada hanya tiga tahun.

Nor Adidah berkata, tertuduh patut dikenakan hukuman yang lebih berat memandangkan kesalahan yang dilakukan itu serius.

Bagaimanapun mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh yang menjimatkan masa mahkamah, tiada rekod lampau, kesalahan pertama dan faktor usianya yang masih muda, Nor Adidah menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun bermula dari tarikh tangkap.

Menurutnya, tertuduh yang masih muda dan tidak sepatutnya terlibat dalam kegiatan jenayah seperti ini.

“Kamu berpura-pura minta duit, bila orang nak bagi kamu rampas dan ugut mangsa dengan pisau sehingga menimbulkan ketakutan kepadanya.

“Saya harap kamu insaf dan jadikan kes ini sebagai yang pertama dan terakhir. Jangan habiskan usia muda kamu keluar masuk penjara,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dikemukakan Timbalan pendakwa Raya, Amer Abu Bakar, tertuduh didakwa menghampiri mangsa ketika berada di stesen bas awam, Jalan Pasar sebelum berpura-pura meminta wang.

Tertuduh bertindak merampas beg duit mangsa dan mengambil RM50 yang berada di dalamnya.

Mangsa meminta wang itu dipulangkan bagaimanapun tertuduh enggan dan bertindak mengugut lelaki itu menggunakan sebilah pisau.
SH

Direman belasah anak



KUALA TERENGGANU - Bapa durjana! Itulah panggilan selayaknya diberikan kepada seorang pemandu di salah sebuah jabatan kerajaan yang sanggup mendera anak kandungnya sendiri tanpa belas kasihan dalam satu kejadian di kediaman mereka di kampung Kubang Tangga, Kuala Terengganu, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.45 petang ketika mangsa yang berusia sembilan tahun sedang bermain bersama abangnya, 13, di kawasan luar rumah mereka.

“Semasa sedang bermain, mangsa dipanggil bapanya, 50, masuk ke dalam rumah, tetapi beberapa minit kemudian, mangsa menjerit kesakitan meminta pertolongan abangnya yang ketika itu masih berada di luar rumah.

“Terkejut dengan jeritan mangsa, abangnya terus meluru masuk ke dalam rumah dan melihat adiknya sedang dibelasah bapanya menggunakan tali pinggang tanpa belas kasihan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Manoharan berkata, tidak sanggup melihat adik bongsunya dilakukan sedemikian rupa, anak ketiga daripada empat beradik itu nekad melawan bapanya dan bermulalah ‘perang mulut’ di antara dua beranak itu.

“Takut bapanya bertindak lebih kejam, dia terus membawa adiknya melarikan diri ke rumah bapa saudaranya yang terletak di Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu.

“Melihat keadaan mangsa yang mengalami kecederaan agak serius pada bahagian badan, kepala dan telinga kanan, bapa saudaranya terus membawa mangsa ke hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan susulan dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Katanya, abang mangsa bersama bapa saudaranya telah membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga sehari selepas kejadian kira-kira jam 10.40 pagi.

“Suspek ditahan pada jam 3.45 pagi semalam di rumahnya dan akan direman selama tujuh hari bermula semalam. Tali pinggang yang dipercayai digunakan memukul mangsa turut dirampas,” katanya.

Manoharan berkata, siasatan awal mendapati suspek yang sudahpun berkahwin lain telah melakukan perbuatan kejam itu sejak empat tahun lalu iaitu selepas kematian isterinya.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak.
SH

Belasah adik tiri guna helmet



KUALA TERENGGANU - Gara-gara tidak berpuas hati terhadap adik tiri yang didakwa mencuri telefon bimbit miliknya, seorang abang sanggup bertindak kejam dengan memukul adiknya menggunakan topi keledar.

Tertuduh, Muhamad Azam Omar, dari Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam memukul mangsa yang juga adik tirinya, Mohd Shah Rudi Moktar pada 29 Jun lalu kira-kira jam 6.30 petang di belakang pasaraya Hock Kee Seng, Kuala Terengganu.

Natijah pengakuan bersalah itu, hakim Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman lima bulan penjara bermula tarikh tertuduh ditangkap.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 29 Jun lalu pada jam 6.30 petang di belakang Pasaraya Hock Kee Seng, Kuala Terengganu telah memukul seorang lelaki, Mohd Shah Rudi Moktar menggunakan sebiji topi keledar berwarna hitam bercorak.

Tertuduh yang datang secara tiba-tiba, menyerang mangsa yang ketika itu sedang menaiki motosikal di kawasan berkenaan dengan cara menghayun topi keledar dan terkena bahu kanan mangsa lalu terus melarikan diri.

Akibat tindakan itu, mangsa mengalami kecederaan dan sakit pada bahagian bahu kanannya.

Dengan itu, tertuduh telah didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun dan boleh dikenakan denda serta sebat.
SH

Menipu untuk beli susu anak



KUALA TERENGGANU - Menyedihkan! Bapa kepada seorang anak sanggup mengambil jalan mudah mendapatkan wang untuk membeli susu anak dan dadah dengan menipu seorang suri rumah dalam satu kejadian di kampung Gelugor Kedai, Kuala Terengganu, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari, suspek yang berasal dari kampung Pantai Ali, Simpang Rawai, Kuala Terengganu telah memperdaya seorang suri rumah, Zainab Mamat, 46, dengan melesapkan wang tunai RM100 milik mangsa.

Suspek, 37, yang juga masih dalam kawalan pencegahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bertindak menyamar sebagai anak saudara mangsa yang datang untuk menjemput mangsa hadir ke satu majlis kenduri di Bukit Tunggal.

Pada masa sama, suspek memperdaya mangsa dengan memberi alasan keretanya rosak ketika dalam perjalanan dan meminta meminjam wang kononnya untuk membaiki kereta tersebut dan berjanji akan memulangkan kembali wang berkenaan.

Mangsa yang ketika itu sedang memasak tidak mengesyaki apa-apa lalu terus menghulurkan tunai RM100.

Bagaimanapun, tiga jam kemudian, mangsa yang baru menyedari dirinya ditipu bertindak menghubungi Rakan Cegah Jenayah (RCJ) dan bersama penduduk kampung untuk mencari suspek yang melarikan diri dengan menunggang basikal.

Suspek berjaya ditangkap ketika menyorok dalam sebuah rumah usang dipercayai baru selesai mengambil dadah dan turut ditemui bersamanya jarum suntikan dadah, kunci kereta serta seutas rantai yang disimpan di dalam begnya.

Suspek dibawa ke Balai Polis Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan saringan awal ujian air kencing mendapati dia positif Methamphetamine.
SH

Imam tidak mengaku salah cabul pelajar



KUALA TERENGGANU - Seorang imam yang sebelum ini didakwa menodai kesucian seorang pelajar ketika memberi rawatan kepada mangsa yang difahamkan pernah mengalami gangguan makhluk halus, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Bagaimanapun, tertuduh, Shafie Awang, 59, dari Rumah Kos Rendah, Bukit Besi, Dungun tidak mengaku bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 377 CA Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Shafie tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan mencabul mangsa yang berumur 16 tahun tujuh bulan pada 25 Jun lalu, kira-kira jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari di rumah mangsa iaitu di Jalan Nilam 2, Bukit Besi, Dungun.
SH

Dua maut nahas awal pagi



BACHOK – Dua maut dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Kandis, Kampung Air tekok Merah pada jam 5.20 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Yahya Salleh berkata, kemalangan tersebut menyebabkan seorang peniaga, Fatimah Mat Saman, 42, yang memandu van dengan nombor pendaftaran DAS 4032 serta pemandu kereta dengan nombor pendaftaran CAV 6390, Mohd. Nor Hafiz Ahmad,21, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Dipercayai kereta tersebut dari arah Melawi menuju ke Tok Bali telah memasuki laluan kanan jalan dan bertembung dengan van Fatimah yang dari arah Tok Bali.

“Kedua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan seorang wanita penumpang kereta bersama Mohd. Nor Hafiz cedera parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi HUSM,” katanya.

Fatimah dikatakan dari Kampung Melawi manakala Mohd. Nor Hafiz pula beralamat di Pulau Perhentian.

Menurutnya jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke hospital di Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga masing- masing.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SH

Kereta, van tembung 2 maut



KOTA BHARU - Dua maut manakala seorang lagi cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan yang membabitkan dua kenderaan dalam kejadian di Kampung Teko Air Merah, dekat Kandis di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi itu, kedua-dua mangsa, pemandu van Fatimah Mat Saman, 42, dan pemandu kereta, Mohd Noor Hafiz Ahmad, 21, masing-masing meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai tersepit dalam remukkan kenderaan mereka.

Bagaimanapun, rakan kepada Mohd Noor Hafiz, Che Salwa Che Johan, 20-an, cedera parah dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan keadaannya dilaporkan kritikal.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Kelantan/Trafik, Superintendan Azli Mohd Noor, semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika kereta yang dipandu Mohd Noor Hafiz yang bekerja sebagai pemandu bot pelancong bersama rakannya dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Bachok.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Proton Wira itu dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan van yang dipandu Fatimah.

”Kedua-dua pemandu dipercayai tersepit dalam remukkan kenderaan masing-masing sebelum dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat sebaik tiba di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke HUSM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, suami kepada Fatimah, Yassin Seman, 38, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa isterinya itu kira-kira jam 6.30 pagi selepas dihubungi polis.

Beliau berkata, sebaik menerima panggilan itu, dia bergegas ke tempat kejadian dan mendapati isterinya sudah meninggal dunia serta van yang dipandunya remuk di bahagian depan.

”Isteri saya keluar dari rumah kira-kira jam 5 pagi untuk membeli barang di pasar Jelawat sebelum ke tempat berniaga di pasar Besut, Terengganu.

”Saya terkilan kerana tidak sempat menatap wajah dan bercakap dengan dia. Kebiasaannya, setiap hari ketika memunggah barang masuk ke dalam van, saya sempat berbual dengan dia sebelum keluar,” katanya.

Katanya, dia tidak menyangka pemergian isterinya bagi mencari nafkah keluarga hari ini (semalam), adalah untuk selama-lamanya apabila dia terlibat dalam kemalangan maut dan jenazah isterinya akan dibawa pulang ke Kampung Gong Manok, Semerak, Pasir Puteh untuk dikebumikan.

Sementara itu, kakak kepada Noor Hafiz, Noramiza, 24, berkata, dia sekeluarga mengetahui kejadian menimpa adiknya kira-kira jam 6.45 pagi, selepas dimaklumkan polis.

Dia berkata, ketika itu, adiknya bersama rakannya dikatakan dalam perjalanan dari Kota Bharu selepas keluar dari rumah malam semalam dan keluarga amat terkejut kerana tidak sampai setahun adik kepada arwah iaitu, Mohd Ridzuan juga maut akibat kemalangan jalan raya.

“Ketika berada di Pulau Perhentian pagi semalam, dia kelihatan muram dan kurang bercakap. Biasa dia sangat periang dan mudah bercakap apabila ditegur tetapi semalam dia kelihatan pendiam dengan adik beradik lain,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HUSM, di sini semalam.
SH

44 kertas siasatan dibuka, 23 ditahan di Kedah


ALOR SETAR - Sebanyak 345 laporan dan 44 kertas siasatan dibuka, manakala seramai 23 individu ditahan sehingga kini, berhubung perhimpunan haram yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata, ia merupakan jumlah terkini yang direkodkan membabitkan kes-kes yang dipercayai mempunyai hubung kait dengan perhimpunan terbabit.

"Pada pagi ini, dua individu (pasangan suami isteri) telah dituduh di mahkamah, yang lain-lain sedang tunggu tindakan selanjutnya, mereka yang ditangkap sebelum ini dibebaskan selepas polis mengambil kenyataan, atas jaminan polis,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. - Bernama

SH

Dadah: Remaja mengaku salah


KUALA LUMPUR 5 Julai - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki dua jenis dadah seberat 0.43 gram, dua bulan lalu.

S. Hemanathan yang bekerja sebagai tukang cat didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 0.31 gram di tangga bahagian bawah Blok 07, Flat Seri Selangor, Jalan San Peng di sini kira-kira pukul 3 petang, 16 April lalu.

Dakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rozana Husin mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi tuduhan kedua, Hemanathan didakwa memiliki setengah biji pil nimetazepam (Eramin 5) seberat 0.12 gram pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta tersebut.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh merayu agar dikenakan hukuman ringan dan memohon maaf atas kesalahan pertamanya itu.

Majistret Abdullah Siddiq Mohd. Nasir kemudian menjatuhkan hukuman bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan cagaran RM500 dan seorang penjamin mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah.

Utusan Malaysia Online - Kota

Curi: Pemandu van dipenjara

KUALA LUMPUR 5 Julai - Seorang pemandu van yang pernah didakwa sebanyak lima kali atas kesalahan mencuri, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan sama.

Kali ini, Azman Ishak, 43, didakwa mencuri 15 botol bahan penjagaan diri bernilai RM179.54 di pasar raya Tesco, Jalan Klang Lama di sini pada pukul 4.20 petang, 1 Julai lalu.

Azman yang mengaku bersalah atas tuduhan itu kemudian dihukum penjara lapan bulan oleh Majistret Hafizza Sauni.

Azman yang mendakwa baru sahaja kehilangan isteri pada bulan lalu dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Hafizza turut menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap tertuduh atas kesalahan gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri kepada pihak polis pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping mengemukakan lapan rekod jenayah lampau tertuduh iaitu tiga kesalahan dadah dan lima mencuri.

Kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap.

Utusan Malaysia Online - Kota

2 warga Nigeria seludupsyabu RM1.8 juta


SHAH ALAM 5 Julai - Polis menggagalkan dua cubaan menyeludup masuk dadah ke negara ini dengan tertangkapnya dua warga Nigeria bersama 7.1 kilogram syabu bernilai RM1.8 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini baru-baru ini.

Kedua-dua suspek yang dipercayai keldai dadah berusia 24 tahun dan 34 tahun masing-masing ditahan dalam pemeriksaan berasingan pada beg pakaian mereka, Jumaat dan Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Hamzah berkata, kedua-dua suspek bukan daripada sindiket yang sama dan masing-masing datang dengan penerbangan berasingan.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan pasport, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai penjual pakaian di negara masing-masing, baru pertama kali datang ke Malaysia.

"Suspek pertama datang dengan penerbangan dari Afrika dan tiba pada pukul 4.30 petang Jumaat lalu sementara suspek kedua menaiki penerbangan dari Ethopia menuju Addis Abbaba sebelum ke Bangkok dan kemudian tiba di KLIA pada pukul 9.35 pagi Ahad lalu.

"Jika kedua-dua suspek lolos, bekalan syabu yang dibawa cukup untuk bekalan 24,000 penagih di negara ini," kata beliau kepada pemberita di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Menurut Tun Hisan, kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah beliau, berdasarkan pengamatan pihaknya, sindiket dadah antarabangsa kini menukar taktik dengan lebih kerap menggunakan warga Nigeria untuk membawa masuk dadah ke negara ini berbanding warga Iran.

Ujar beliau lagi, berikutan tangkapan yang kerap iaitu kira-kira 48 orang sepanjang enam bulan tahun ini, cubaan menyeludup dadah ke negara ini juga dilihat menurun.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Motif samun mungkin punca gadis remaja dibunuh

JOHOR BAHRU 5 Julai - Polis tidak menolak kemungkinan motif samun sebagai punca pembunuhan seorang gadis remaja berusia 16 tahun yang dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dikerat serta dibakar di dua lokasi berasingan dengan cebisan mayatnya ditemui di Tanah Perkuburan Hindu, Masai, dekat sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, siasatan awal mendapati suspek mengetahui latar belakang bapa mangsa yang mengusahakan kantin di sebuah kuari di Masai dan mengenalinya.

"Suspek dipercayai pernah melihat mangsa mengira wang dalam jumlah yang banyak hasil daripada perniagaan yang diusahakan oleh bapanya. Namun sehingga kini siasatan masih dijalankan merangkumi pelbagai aspek dan sudut.

"Ketika ini juga, siasatan tertumpu pada seorang suspek sahaja iaitu pengawal keselamatan yang ditahan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan penemuan mayat Nurrahayu Qomarodin, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti 1, Skudai di sini dalam keadaan tragis dipercayai dibunuh, dikerat dan dibakar di dua lokasi berasingan.

Remaja yang dikenali sebagai Ayu dan mendapat taraf penduduk tetap (PR) itu, dilaporkan hilang dari rumah sejak 18 Jun lalu oleh ibu bapanya.

Bagaimanapun, Ahad lalu polis menemui petunjuk mayat remaja itu dibakar di dua lokasi berasingan iaitu di Sungai Tiram dan Tanah Perkuburan Hindu di Masai untuk menghilangkan bukti.

Ketika ditemui, mayat mangsa hanya tinggal cebisan rambut, baju dan selipar di tanah perkuburan berkenaan antara pukul 4 dan 5 petang.

Sehubungan itu, pihak polis menahan seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun yang bertugas di kuari berkenaan dan siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai lapan kesalahan jenayah lampau termasuk melarikan orang, pecah rumah dan mendatangkan kecederaan.

Tambah Roslan, pihaknya juga menunggu laporan ujian forensik dan patologi bagi pengesahan sama ada mangsa terlebih dahulu dirogol sebelum dibunuh.

"Kita menjangka keputusan ujian berkenaan akan diperolehi dalam tempoh satu hingga dua minggu ini," katanya lagi.

Sementara itu, bapa mangsa, Qomarodin Abdullah, 47, yang masih trauma dengan kejadian tersebut berharap suspek dikenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Menurutnya, perbuatan tersebut kejam dan berharap pihak polis dapat mencari bukti-bukti kukuh sekali gus mengheret mangsa ke muka pengadilan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Lemas dalam lubuk V

SEREMBAN: “Kami sangka dia hanya bergurau apabila mengangkat kedua-dua tangannya namun tidak sangka rupa-rupanya dia sedang lemas,” kata Jailani Jamari, 14, rakan mangsa lemas di Sungai Temiang di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Zulfadhli Zakaria, 16, terkorban akibat lemas ketika mandi di sungai berkenaan bersama tiga lagi rakannya.


Menceritakan detik cemas itu, Jailani berkata, mereka termasuk pasangan adik beradik, Mohd Iffendi Nor Azhar, 14, dan Mohd Fazil, 11, datang ke kawasan berkenaan dengan dua motosikal. “Ketika kejadian dia (mangsa) dilihat mengangkat kedua tangannya terkapai-kapai seolah-olah lemas namun kami beranggapan dia bergurau. “Bagaimanapun selepas beberapa minit, dia masih tidak timbul, saya mula tidak sedap hati lalu menjerit kepada dua rakan supaya membantu,” katanya yang ditemui di tempat kejadian, semalam. Menurutnya, mereka tidak berdaya melakukan apa-apa kerana tidak mahir berenang sebaliknya hanya mampu ke tebing sungai untuk menyelamatkan mangsa.

“Kami mengambil sebatang kayu panjang untuk menariknya namun dia tetap tenggelam ke dalam sungai. Kami kesal namun sudah tidak berguna,” katanya.


Mohd Iffendi yang pandai berenang juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana arus ketika itu kuat.


“Kami segera pergi ke rumah berhampiran meminta bantuan dan mayat mangsa ditemui tersekat di bawah batu besar,” katanya. Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Ungku Abd Jalil Ungku Ismail berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 3.20 petang.

“Seramai 10 anggota melalui sebuah jentera dikerah mencari dan menyelamat mangsa. Sejurus tiba, kita mendapati mayat mangsa sudah dibawa naik oleh orang awam.


“Siasatan awal mendapati lokasi mangsa lemas itu dipercayai lubuk yang agak dalam berbentuk V dan orang ramai dinasihatkan berwaspada ketika mandi kawasan terbabit,” katanya.

myMetro | Lemas dalam lubuk V

Polis guna anjing pengesan

KUALA LUMPUR: Polis akan meningkatkan kawalan keselamatan secara bersepadu di semua kawasan di ibu negara termasuk menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan bahan terlarang diletakkan di beberapa lokasi oleh pihak tidak bertanggungjawab sempena perhimpunan Bersih, Sabtu ini.

Langkah itu dibuat berikutan penemuan tiga bungkusan mengandungi senjata berbahaya termasuk molotov coktail, gergaji, parang dan mercun diletakkan dalam pasu bunga di pusat beli-belah Sogo, Kompleks Pertama dan Wisma Bumi Raya, kira-kira jam 4.30 pagi, Ahad lalu.


Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh berkata, polis kini memburu tiga suspek yang dipercayai terbabit melakukan perbuatan itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Menurutnya, dua saksi melihat tiga suspek berkenaan memakai kopiah putih dan bertopeng meletakkan tiga plastik hitam mengandungi objek terlarang itu di tiga lokasi berlainan.


“Kami sedang berusaha mengesan ketiga-tiga suspek berkenaan melalui rakaman dua CCTV yang berada di kawasan berkenaan dikendalikan Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS),” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Beliau berkata, pihaknya menjalankan siasatan dari segenap sudut bagi memastikan semua suspek berkenaan ditahan kerana mempunyai kaitan dengan penganjuran perhimpunan haram berkenaan.

Ahad lalu, kira-kira jam 4.30 pagi, dua saksi yang berniaga di belakang Kompleks Pertama mendakwa melihat tiga lelaki menyembunyikan bungkusan hitam dalam pasu bunga.


Saksi itu yang bermotosikal mengekori lelaki terbabit yang menaiki Proton Waja dalam keadaan tergesa-gesa menyembunyikan bungkusan plastik hitam kedua di bawah tangga Wisma Bunga Raya dan terakhir dalam semak di belakang pusat beli-belah Sogo sebelum menghubungi polis.

myMetro | Polis guna anjing pengesan

Bulan madu dalam lokap

KUALA LUMPUR: Hasrat sepasang suami isteri yang baru berkahwin untuk berbulan madu di New Zealand musnah selepas ditahan imigresen negara itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Christchurch, 30 Jun lalu.

Pasangan Doong Sui Choong, 37, dan Yeak Ai Kui, 30, dikatakan gagal meyakinkan pihak berkuasa negara itu tujuan kedatangan mereka untuk melancong walaupun percutian itu sudah dirancang sejak beberapa bulan lalu.


Malah, pasangan itu mendakwa turut menunjukkan pelbagai dokumen pengenalan dan pasport antarabangsa sebagai bukti perjalanan sah, namun pihak berkuasa berkenaan merampas dokumen terbabit dan menuduh mereka berniat bekerja secara haram di negara itu.

Doong ditemui pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA semalam berkata, dia dan isteri dibawa ke balai polis dan ditahan dalam sel berasingan selama 20 jam.


“Kami bingung diperlakukan sedemikian sedangkan tujuan asal kedatangan kami untuk melancong dan berbulan madu.


“Saya tidak faham kenapa mereka menuduh kami datang untuk bekerja secara haram dan pada masa itu isteri sedang hamil lima bulan.

“Malah, permintaan saya untuk menghubungi Kedutaan Malaysia juga tidak dibenarkan,” katanya.


Menurutnya, mereka sudah melakukan pelbagai usaha bagi meyakinkan pihak berkuasa terbabit termasuk menunjukkan AS$3,000 (RM9,034.50), dolar New Zealand NZ$2,000 (RM4,985.90), RM600 selain akaun bank mereka mengandungi dolar NZ$17,000 (RM42,406.68) yang mencukupi bagi pembiayaan percutian itu.

Katanya, hanya pada keesokan hari, baru mereka dibebaskan, namun tidak dibenarkan meneruskan percutian itu.


“Berikutan kejadian itu, kami kerugian sekurang-kurangnya RM5,000 selepas menempah pakej melancong daripada sebuah agensi pelancongan.


“Kami terpaksa membeli tiket kapal terbang yang baru dan pulang dari negara itu pada hari sama,” katanya.


Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya akan merujuk kes berkenaan dengan Kementerian Luar di Wisma Putra untuk mendapatkan pandangan dan tindakan lanjut.

myMetro | Bulan madu dalam lokap

Umpan dan tetak

ALOR GAJAH: Seorang lelaki sempat menghubungi rakannya memberitahu diserang dua lelaki bersenjatakan parang di tempat kerja sebelum rebah ke lantai akibat kecederaan parah dialaminya, lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, D Saravanan, 26, yang baru berhenti kerja empat hari lalu, dikatakan diumpan seorang kenalan untuk berjumpa bagi menyelesaikan masalah kerja.

Setibanya di pekarangan tempat kerja lamanya di Taman Perindustrian Kelemak, dua lelaki bermotosikal muncul lalu menyerangnya dengan melibas parang terhadap mangsa menyebabkan Saravanan cedera parah akibat enam tetakan pada bahu kiri, kedua-dua belah tangan serta kaki.

Menurut rakannya, N Saravanan, 26, dia terkejut apabila mangsa menghubunginya jam 11.10 malam memberitahu diserang dua lelaki.


“Saya dengar suaranya tersekat-sekat dan kurang jelas serta lemah mengatakan ada orang menetaknya dengan parang di tempat kerja lamanya. Bagaimanapun, saya tidak tahu di mana lalu menghubungi dua adik lelakinya dan kami ke tempat lokasi pertama, namun tidak menemuinya,” katanya.

myMetro | Umpan dan tetak

Dikurung kekasih

KUALA LUMPUR: Gara-gara enggan menemui teman lelakinya, seorang wanita berusia 32 tahun dikurung di rumahnya sendiri di sebuah apartmen di Teratai Mewah, Setapak, di sini, kelmarin selepas suspek bertindak mengunci kediaman mangsa dari luar.

Selepas lebih sejam dikurung dan diganggu lelaki berusia lewat 30-an itu yang berkeras enggan membuka jeriji besi rumah itu, mangsa kemudian menghubungi polis melaporkan kejadian itu.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, sepasukan polis yang tiba di lokasi berjaya mengeluarkan mangsa selepas memotong mangga besi manakala suspek melarikan diri.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Setapak, di sini.

Menurut sumber, suspek mengunci jeriji rumah teman wanitanya dari luar menggunakan mangga selepas mangsa enggan menemuinya.

“Suspek yang berkeras untuk menemui teman wanitanya itu dilaporkan cuba mengumpil pintu selain membuat bising di depan rumah itu, namun tidak diendahkan mangsa kerana wanita itu mulanya yakin teman lelakinya itu akan beredar dari kawasan itu.

“Bagaimanapun, telahan mangsa meleset apabila suspek yang berang bertindak mengunci jeriji rumah berkenaan dari luar menggunakan mangga sebelum suspek mengugut untuk membakar rumah berkenaan,” katanya.

myMetro | Dikurung kekasih

Penjual karipap samun pelajar dipenjara lima tahun

KUANTAN: “Kesalahan kamu menyamun di stesen bas dikategorikan sebagai jenayah jalanan dan ia serius kerana membabitkan keselamatan awam. Oleh itu, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman sewajarnya untuk membendung jenayah sama berulang,” kata Hakim Mahkamah Sesyen, Noradidah Ahmad, ketika mengenakan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang penjual karipap, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Hayyum Qayyum Mohd Rosdi, 21, dari Kampung Baru, di sini, mengaku salah atas dakwaan melakukan samun terhadap seorang pelajar berusia 17 tahun dengan merampas wang tunai bernilai RM50 di stesen bas awam, Jalan Pasar, di sini, jam 8.40 malam, 1 Julai lalu.


Bagi kesalahan itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, mangsa bersama rakannya ketika berada di stesen bas itu tiba-tiba dihampiri tertuduh yang meminta wang. Ketika mangsa mengeluarkan dompetnya, tertuduh terus merampas dompet itu dan mengambil wang RM50.


Mangsa merayu tertuduh supaya mengembalikan wang itu, sebaliknya dia mengacu pisau ke arah mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian. Rakan mangsa kemudian menghubungi polis sebelum tertuduh diberkas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut.


Tertuduh merayu mahkamah meringankan hukuman dikenakan terhadapnya dengan alasan membiayai persekolahan seorang adiknya, manakala ketika kejadian dia tidak berniaga.

“Saya mohon mahkamah mengenakan pengawasan terhadap saya dan jika mahu dipenjarakan saya minta tiga tahun kerana menanggung seorang adik yang masih bersekolah,” katanya.


Dalam penghakimannya, Noradidah berkata, walaupun kesalahan itu serius namun mahkamah mengambil kira pengakuan salah dibuat tertuduh kerana menjimatkan masa dan tidak perlu memanggil saksi.

Menurutnya, tertuduh juga didapati tidak ada rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencingnya menunjukkan negatif selain jenayah samun dilakukan itu kesalahan pertamanya.

myMetro | Penjual karipap samun pelajar dipenjara lima tahun

‘Sepatutnya kamu jaga, bukan rosakkan’

SHAH ALAM: “Sepatutnya kamu menjaga anak dan bukan merosakkannya,” kata Hakim Mahkamah Sesyen, Latifah Mohd Tahar ketika menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan terhadap pengawal keselamatan yang mengaku salah merogol anak keenamnya berusia 13 tahun di Kuala Kubu Baru, dekat sini, bulan lalu.

Mahkamah juga memerintahkan hukuman itu berjalan mulai tarikh tangkap tertuduh iaitu pada 23 Jun lalu. Bapa kepada tujuh anak berusia 43 tahun yang memakai baju-T kuning dan seluar bermuda itu dilihat tidak henti-henti mengesat air matanya dengan tuala kecil sepanjang prosiding kes itu semalam. Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di rumah mereka di Kuala Kubu Baru antara jam 1 dan 7.30 pagi, pada 9 Jun tahun lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan berada dalam keadaan tidak sedar kerana mabuk.


“Isteri saya tidak bekerja dan menghidap asma. Saya pula menderita penyakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya.


Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian tertuduh masuk ke dalam bilik anaknya, sebelum bertindak merogol mangsa.

Remaja itu yang ketakutan kemudian melarikan diri ke rumah mak ciknya yang terletak berhampiran kediaman keluarganya sebelum menceritakan perbuatan terkutuk bapanya.


Mak cik gadis itu membawa mangsa ke balai polis berhampiran membuat laporan membawa kepada penahanan tertuduh.

myMetro | ‘Sepatutnya kamu jaga, bukan rosakkan’

Bawa ‘racun’ 24,000 penagih

RAMPAS...anggota polis menunjukkan syabu yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS...anggota polis menunjukkan syabu yang dirampas daripada suspek.

SHAH ALAM: Dua Mat Afrika dicekup ketika baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, selepas polis menemui 7.1 kilogram syabu bernilai RM1.8 juta dalam beg pakaian mereka yang dipercayai berupaya menampung keperluan 24,000 penagih dadah di negara ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata kedua-dua suspek warga Nigeria berusia 34 dan 24 tahun itu diberkas dalam operasi berasingan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA pada 1 dan 3 Julai lalu selepas membawa beg pakaian dalam keadaan mencurigakan.


“Tangkapan pertama pada jam 4.50 petang dan suspek berusia 34 tahun itu membawa beg berisi syabu seberat 4.1 kilogram.

“Suspek kedua pula ditahan pada 3 Julai, jam 9.35 pagi yang membawa dadah jenis sama seberat tiga kilogram.


“Suspek yang baru tiba dari Ethiopia memberi alasan masuk ke negara ini kerana mahu menghantar beg dibawa kepada rakan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah ialah RM1.8 juta.

Menurutnya, kedua-dua suspek bekerja sebagai penjual pakaian di negara asal mereka dan pertama kali masuk ke Malaysia.


“Kedua-dua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman hingga 9 dan 10 Julai ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, sepanjang awal tahun ini hingga 17 Jun lalu, sebanyak 43 kes tangkapan dicatatkan membabitkan rampasan 151.1 kilogram dadah dan daripada jumlah itu, seramai 37 lelaki dan 11 wanita ditahan di KLIA.

myMetro | Bawa ‘racun’ 24,000 penagih

‘Abang’ mangsa pukul samun komputer riba

AMPANG: Tindakan seorang lelaki berusia 20-an menyamar abang kepada orang yang konon dipukul mangsa membuatkan remaja terbabit kehilangan komputer riba selepas disamun suspek, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa berusia 19 tahun dihampiri suspek ketika berjalan menuju Stesen LRT Pandan Indah, di sini.


Menurut sumber, mangsa yang juga pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) terkejut sebaik dihampiri suspek yang menaiki motosikal.

“Suspek mulanya menyamar abang seorang lelaki yang konon pernah dipukul mangsa. Suspek menceritakan kejadian itu dan mangsa menafikan terbabit.


“Bagaimanapun, suspek menunjukkan pisau dibawanya bagi menakutkan mangsa sebelum memaksa mangsa mengikutnya ke sebuah rumah pangsa berhampiran bertemu adiknya,” katanya.


Sumber itu berkata, sebaik tiba di bawah rumah pangsa berkenaan, suspek meminta mangsa menyerahkan komputer riba sebagai cagaran.

Mangsa yang ketakutan menyerahkan komputer riba itu sementara menunggu suspek dan adiknya turun, namun mereka tidak muncul selepas lebih setengah jam menunggu.


Beliau berkata, mangsa yang menyedari ditipu pergi ke balai polis berhampiran membuat laporan.

myMetro | ‘Abang’ mangsa pukul samun komputer riba

Keluarga kesal sikap sambil lewa teman lelaki

JOHOR BAHRU: Sikap sambil lewa teman lelaki Nurrahayu Qomarodin, 16, disifatkan tidak bertanggungjawab menyebabkan mangsa bukan saja dipercayai dirogol, malah dibunuh sebelum dikerat dan dibakar.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa dikatakan menjerit meminta teman lelakinya itu mengambilnya semula selepas lelaki itu meninggalkannya di pondok pengawal berhampiran rumahnya di tapak pembinaan dekat pekan Seri Alam dekat sini, 18 Jun lalu. Bagaimanapun, jeritan mangsa tidak diendahkan lelaki berusia 28 tahun itu yang terus berlalu kerana menyangka Arwah dimarah atau dibelasah bapanya.


Kakak mangsa, Wayaaliasanti, 19, menyifatkan tindakan juruteknik dari Rengit itu meninggalkan Ayu di depan pondok pengawal keselamatan di tapak pembinaan pekan Seri Alam pada jam 2 pagi, sebagai tidak bertanggungjawab.

“Dia sepatutnya mementingkan keselamatan arwah, menghantar adik hingga ke rumah.


“Selain itu, mengapa dia menunggu hingga dua hari sebelum memaklumkan perkara berkenaan kepada keluarga, sedangkan dia boleh datang seawal mungkin memaklumkan kepada kami.


“Biarpun pemergian Ayu ketentuan Allah, namun kami terkilan dengan tindakannya yang menyebabkan Ayu mati dalam keadaan amat kejam.

“Dia mendengar jeritan Ayu ketika dipukul lelaki tidak dikenali, arwah merayu dia datang kembali dan mengambilnya tetapi kenapa dia tidak berpatah balik,” katanya.

myMetro | Keluarga kesal sikap sambil lewa teman lelaki

Penangan ‘si warak’

SERDANG: Seorang lelaki warga emas dipercayai menggunakan ilmu pukau bagi menyamun seorang mangsanya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Besi, di sini, Jumaat lalu.

Mangsa dikenali sebagai Wan, 38, seorang jurujual berkata, pada mulanya dia tidak mengesyaki apa-apa selepas didatangi warga emas berusia 60-an itu yang tiba-tiba mengetuk cermin kenderaannya.


Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa menurunkan cermin kenderaannya lalu bertanyakan suspek jika memerlukan bantuan.

Menurutnya, suspek yang berkopiah dan berbaju Melayu putih meminta bantuan menghantarnya ke Jalan Hang Jebat untuk membuat kunci pendua teksinya.


Mangsa yang terus mempercayai suspek berikutan ketika itu terdapat teksi di belakang kenderaannya langsung tidak mengesyaki sebarang perkara buruk kerana warga emas itu kelihatan warak.


Sepanjang perjalanan, suspek memberitahu anaknya akan menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta sambil menunjukkan bungkusan di tangannya yang didakwa berisi RM3,000 sebagai deposit pembedahan berkenaan. “Suspek juga mendakwa berasal dari Rembau, Negeri Sembilan dan mengajar kelas mengaji al-Quran secara sambilan,” katanya.

“Saya hanya berniat menolongnya secara ikhlas, jadi langsung tidak mengesyaki apa-apa,” katanya.


Sebaik tiba di destinasi dimaksudkan, suspek menyuruh mangsa menunggu sambil menepuk belakangnya.

Lima minit kemudian, suspek kembali dan meminta wang daripadanya dengan alasan tiada wang kecil lalu mangsa terus menyerahkan wang RM70, namun suspek menyatakan jumlah itu terlalu sedikit.


“Saya terus menyerahkan semua wang hasil jualan kepada suspek sebanyak RM250.


“Kemudian dia meminta telefon bimbit saya dan mendakwa mahu menambah nilai lalu mengarahkan saya menunggunya sambil menunjukkan jari ke arah bungkusan deposit pembedahan anaknya untuk meyakinkan saya sebelum beredar,” katanya.


Selepas lebih dua jam menunggu, kelibat lelaki itu tidak kelihatan dan mangsa mulai ragu lalu membuka bungkusan ditinggalkan suspek dan mendapati ia hanya mengandungi buku nombor ekor.


Mangsa juga cuba menghubungi telefon bimbit diserahkan kepada suspek dan mendapati ia dimatikan. Menyedari ditipu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

myMetro | Penangan ‘si warak’

Atlet boling mengaku perkosa

MELAKA: Bekas jaguh boling Kejohanan Remaja Kebangsaan ke-30 dan atlet Sukan Malaysia negeri terlepas daripada hukuman penjara apabila dilepaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik selama lima tahun bernilai RM25,000 tanpa cagaran oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas kesalahan merogol seorang gadis bawah umur tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Abu Bakar Katar selepas tertuduh, Nor Afizal Azizan, 20, menukar pengakuannya kepada bersalah petang semalam.


Semalam ditetapkan untuk perbicaraan hari pertama kes itu, namun selepas saksi pendakwaan pertama iaitu bapa mangsa memberi keterangan, tertuduh melalui peguam bela Azrul Zulkifli Stork memberitahu mahkamah dia mahu menukar pengakuannya.

Abu Bakar dalam penghakimannya turut meneliti semua fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin serta rayuan peguam.


Mengikut pertuduhan, Nor Afizal didakwa merogol gadis berkenaan yang ketika kejadian berusia 13 tahun empat bulan antara jam 12.30 pagi hingga 5 pagi, di bilik bernombor 225, tingkat dua, Hotel Kings, Ayer Keroh pada 5 Julai 2010.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Sementara itu, Azrul merayu mahkamah menggunakan budi bicara peruntukan Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah kerana tertuduh adalah pesalah muda yang perlu diberi peluang selain dia masih atlet dan itu adalah kesalahan pertamanya.


Beliau juga menyatakan tertuduh adalah atlet yang mengharumkan nama negara dan negeri serta menanggung keluarga kerana ibu bapanya tidak bekerja.

Katanya, kepentingan awam juga membawa maksud tertuduh diberi peluang kerana mempunyai masa depannya cerah selain pertuduhan itu adalah rogol bawah umur dan tiada unsur paksaan.


Ifa bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh sebagai pengajaran atas perbezaaan usianya 19 tahun manakala mangsa pula 13, ketika kejadian.


Katanya, sebagai atlet, kesalahan dilakukan tertuduh turut mencemarkan imej negara dan negeri.


Sementara itu pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hukuman itu di Mahkamah Tinggi.


Sepanjang kerjayanya, Nor Afizal pernah memenangi pingat emas Kejohanan Bowling Remaja Milo Kebangsaan 2006 selain muncul juara Kejohanan Bowling Remaja Kebangsaan ke-30 dan mewakili Negeri Sembilan dalam temasya Sukan Malaysia ke-11 di Seremban pada 2008.

myMetro | Atlet boling mengaku perkosa

Cubaan rompak gagal, dirakam CCTV

GAMBAR dari rakaman CCTV menunjukkan Draper (tengah)  dipukul oleh dua perompak itu.
GAMBAR dari rakaman CCTV menunjukkan Draper (tengah) dipukul oleh dua perompak itu.

DERBYSHIRE: Saat dramatik pergelutan antara seorang bapa dengan dua lelaki bertutup kepala yang menceroboh masuk ke rumahnya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Adrian Draper, 43, bergelut dengan dua lelaki bersenjata itu selepas mereka cuba merompak di rumahnya awal pagi semalam.


Bagaimanapun, kedua-dua lelaki itu tidak menyedari kejadian itu dirakam menerusi kamera yang dipasang Draper. Rakaman mengejutkan itu menunjukkan Draper, berbaju biru, dipukul oleh kedua-dua perompak itu sambil mereka mengacukan pistol di kepalanya sebelum dia bertindak berani merampas pistol itu daripada mereka.

“Saya begitu marah kerana kejadian ini berlaku di rumah saya. Anak perempuan saya berusia belasan tahun berada di atas dan dia begitu takut.


“Saya bernasib baik kerana memasang kamera itu. Saya memasangnya kerana saya bimbang dirompak,” kata Draper.


Menurutnya, dia membuka pintu selepas mendengar ada orang mengetuknya dan mendapati kedua-dua lelaki itu di luar. “Mereka mengacu pistol pada perut saya. Mulanya saya sangka ia pistol palsu. Tetapi riak muka mereka membuat saya yakin ia senjata betul,” kata Draper.

Kamera itu merakam kira-kira 20 saat kejadian ketika-tiga lelaki itu bergelut sebelum Draper berjaya merampas senjata itu dan mengejar kedua-dua lelaki itu hingga ke dapur.


“Mereka bagaimanapun berjaya merampas pistol itu dan lari keluar menerusi pintu depan. Saya menelefon polis kerana menyedari kejadian itu dirakam sepenuhnya,” katanya. Draper luka di belakang kepala sementara matanya lebam. Jurucakap Polis Derbyshire berkata, satu daripada senjata itu, belum diketahui sama ada palsu atau tiruan, ditinggalkan di tempat kejadian. - Agensi

myMetro | Cubaan rompak gagal, dirakam CCTV

Sangka kawan purapura lemas

SEREMBAN: “Kami sangka dia hanya bergurau apabila mengangkat kedua-dua tangannya namun tidak sangka rupa-rupanya dia sedang lemas,” kata Jailani Jamari, 14, rakan mangsa lemas di Sungai Temiang di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Zulfadhli Zakaria, 16, terkorban akibat lemas ketika mandi di sungai berkenaan bersama tiga lagi rakannya.


Menceritakan detik cemas itu, Jailani berkata, mereka termasuk pasangan adik beradik, Mohd Iffendi Nor Azhar, 14, dan Mohd Fazil, 11, datang ke kawasan berkenaan dengan dua motosikal. “Ketika kejadian dia (mangsa) dilihat mengangkat kedua tangannya terkapai-kapai seolah-olah lemas namun kami beranggapan dia bergurau. “Bagaimanapun selepas beberapa minit, dia masih tidak timbul, saya mula tidak sedap hati lalu menjerit kepada dua rakan supaya membantu,” katanya yang ditemui di tempat kejadian, semalam. Menurutnya, mereka tidak berdaya melakukan apa-apa kerana tidak mahir berenang sebaliknya hanya mampu ke tebing sungai untuk menyelamatkan mangsa.

“Kami mengambil sebatang kayu panjang untuk menariknya namun dia tetap tenggelam ke dalam sungai. Kami kesal namun sudah tidak berguna,” katanya.


Mohd Iffendi yang pandai berenang juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana arus ketika itu kuat.


“Kami segera pergi ke rumah berhampiran meminta bantuan dan mayat mangsa ditemui tersekat di bawah batu besar,” katanya. Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Ungku Abd Jalil Ungku Ismail berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 3.20 petang.

“Seramai 10 anggota melalui sebuah jentera dikerah mencari dan menyelamat mangsa. Sejurus tiba, kita mendapati mayat mangsa sudah dibawa naik oleh orang awam.


“Siasatan awal mendapati lokasi mangsa lemas itu dipercayai lubuk yang agak dalam berbentuk V dan orang ramai dinasihatkan berwaspada ketika mandi kawasan terbabit,” katanya.

myMetro | Sangka kawan purapura lemas

Kanak-kanak kembar rentung berpelukan











MERATAPI pemergian anak kembar. Hamid Mustafa, 44, menenangkan isterinya, Suriani Sulong, 40, selepas anak kembar perempuan mereka berusia tiga tahun ditemui rentung berpelukan dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Durian Mas, Manir, Kuala Terengganu, pagi semalam.- Foto Rozainah Zakaria

ANGGOTA bomba menunjukkan tempat mayat Norfatin Fazanah dan Norfatin Fazana  ditemui dalam kebakaran di sebuah rumah  di Kampung Durian Mas pagi semalam.
ANGGOTA bomba menunjukkan tempat mayat Norfatin Fazanah dan Norfatin Fazana ditemui dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Durian Mas pagi semalam.





Mayat Norfatin Fazanah, Norfatin Fazana ditemui dalam timbunan kain di rumah PPRT


KUALA TERENGGANU: Pasangan kembar perempuan berusia tiga tahun ditemui rentung dalam keadaan berpelukan selepas rumah mereka di Kampung Durian Mas, Manir di sini musnah dalam kebakaran pagi semalam.
Norfatin Fazanah Hamid dan Norfatin Fazana ditemui dalam timbunan kain di bilik mereka di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat sejurus memadamkan kebakaran yang bermula kira-kira 9.18 pagi.
Bapa mangsa, Hamid Mustafa, 44, berkata ketika kejadian beliau tidur di ruang tamu dan hanya menyedari mengenai kebakaran itu setelah dikejutkan sepupunya Wan Norizan Wan Ismail, 40, yang duduk berjiran dengannya.

“Saya hanya menyedari kejadian selepas sepupu menjerit rumah saya terbakar dan saya memanggil kedua-dua anak tetapi gagal menemui mereka,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, yang melawat mangsa kejadian bersimpati dengan musibah yang menimpa keluarga itu dan akan memastikan bantuan segera termasuk pembinaan rumah baru untuk mereka. Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Zuhaimi Omar dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Yusof Awang Hitam.

Hamid yang menghidap penyakit epilepsi tidak menyangka kerenah anak kelima dan keenam itu meminta dihantar ke klinik setelah demam dua hari adalah petanda mereka akan pergi untuk selama-lamanya.
“Sebelum tidur, anak ada menyuruh hantar ke klinik sebab demam dan mereka ada memberitahu nak ke klinik dan tidak mahu balik lagi,” katanya.

Ibu kanak-kanak itu, Suriani Sulong, 40, yang ditemui di Bilik Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah pula berkata, ketika kejadian dia tidak berada di rumah kerana bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Menengah Agama Khairiah, Kuala Terengganu.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas mendapat panggilan telefon daripada seorang rakan kira-kira 9.30 pagi yang menyatakan rumah saya terbakar,” katanya dengan sayu dan kelihatan masih kebingungan dengan kejadian malang itu.

Katanya, pasangan kembar itu sempat memintanya mencium mereka sebelum dia keluar bekerja kira-kira 7.30 pagi.

Pasangan suami isteri itu mempunyai enam anak terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan berumur antara tiga hingga 18 tahun, bagaimanapun kerana kesempitan hidup, dua daripada anak mereka iaitu berusia 11 dan 17 tahun tinggal dengan saudara di Kemaman.

Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md Salleh Sarbini, berkata bomba tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit selepas menerima panggilan 9.20 pagi dan apabila tiba di tempat kejadian hampir 95 peratus rumah itu sudah terbakar. Berita Harian Online | Kanak-kanak kembar rentung berpelukan