Search This Blog

Tuesday, July 5, 2011

Polis Rampas Dadah Bernilai RM1.8 Juta

SHAH ALAM: Polis merampas 7.1 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.8 juta dalam tangkapan berasingan membabitkan dua lelaki Nigeria yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata tangkapan pertama dilakukan pada 1 Julai kira-kira pukul 4.50 petang daripada seorang lelaki berusia 34 tahun yang membawa 4.1kg syabu yang disembunyikan di dalam sebuah bagasi.

"Suspek yang baru tiba dari Afrika memberi alasan masuk ke negara ini kerana mahu menghantar beg yang dibawa kepada kawan," katanya dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Selasa.

Beliau berkata suspek kedua pula berusia 24 tahun, ditahan kira-kira pukul 9.35 pagi semalam dengan memberi alasan mahu membeli barangan elektronik di negara ini.

Katanya sebaik pemeriksaan, polis menemui 3kg syabu disembunyikan di dalam beg bimbit milik suspek terbabit yang baru tiba dari Ethopia.

Tun Hisan berkata kedua-dua suspek bekerja sebagai penjual pakaian di negara asal mereka dan pertama kali masuk ke negara ini.

Beliau berkata polis menganggarkan jumlah rampasan syabu daripada kedua-dua suspek itu boleh menampung bekalan kepada kira-kira 24,000 penagih syabu.

"Kedua-dua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman sehingga 9 dan 10 Julai ini," katanya.

Tun Hisan berkata sehingga 17 Jun lepas, sebanyak 43 kes tangkapan dicatatkan membabitkan rampasan 151.1kg dadah dan daripada jumlah itu, seramai 37 lelaki serta 11 wanita ditahan di KLIA. -BERNAMA

mStar Online
: Polis Rampas Dadah Bernilai RM1.8 Juta

Tukang Urut Buta Rogol Anak Hingga Mengandung Minta Ringankan Hukuman

KUALA LUMPUR: Seorang tukang urut buta berusia 47 tahun meminta Mahkamah Sesyen di sini meringankan hukuman ke atasnya setelah dia mengaku bersalah merogol anak perempuannya sendiri selama empat tahun dengan alasan dia tidak begitu arif tentang undang-undang.

Kata-katanya itu telah menyebabkan hakim Emelia Kaswati Mohd Khalid membidasnya semula dengan berkata; “Mana ada undang-undang yang membenarkan seorang ayah mengadakan hubungan seksual dengan anak perempuannya sendiri.”

Beliau kemudian menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dengan 10 kali sebatan.

Anak perempuannya yang berusia 18 tahun itu kini sedang sarat mengandung tujuh bulan akibat daripada perbuatannya.

"Apa juga hukuman yang bakal dikenakan ke atas kamu tidak akan mengembalikan semula kehormatan diri anak kamu.

“Saya juga tidak dapat bayangkan apakah masa depan anak yang bakal dilahirkan oleh anak kamu nanti. Adakah dia anak kamu? atau cucu kamu? Malah saya tidak dapat bayangkan betapa kelamnya masa depan mereka berdua," tegas Emelia Kaswati.

Lelaki tersebut didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas anak perempuannya itu di sebuah bilik di rumah mereka di Jalan San Peng, antara tahun 2007 hingga 24 Jun tahun ini.

Perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Kesiksaan.

Menurut kertas fakta, lelaki buta berkenaan telah melakukan perbuatan sumbang itu sejak tahun 2007 dan pada tahun ini sahaja dia telah merogol anaknya itu sebanyak tiga kali.

Anak perempuannya itu tidak melaporkan kejadian ini kepada pihak berkuasa kerana takut dan tidak mahu ibunya yang juga buta mengetahuinya.

Bagaimanapun perkara ini terbongkar apabila ibunya mula menyoal kenapa dia ingin menghindari peperiksaan dan ketika itulah dia memberitahu ibunya mengenai apa yang terjadi.

Lelaki buta itu mempunyai dua orang isteri yang juga buta dan lapan orang anak yang berusia di antara 22 tahun hingga 10 bulan.

mStar Online
: Tukang Urut Buta Rogol Anak Hingga Mengandung Minta Ringankan Hukuman

Bapa Ditahan Kerana Disyaki Dera Anak Kandung

KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang bapa yang dipercayai mendera anak kandungnya sehingga mengalami cedera parah dalam kejadian yang berlaku di rumah mereka di Kampung Kubang Tangga, di sini Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan berkata suspek yang berusia 54 tahun dan bekerja sebagai pemandu di sebuah jabatan kerajaan negeri ditahan di rumahnya kira-kira pukul 3.45 pagi Selasa.

Katanya polis turut merampas seutas tali pinggang yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa.

"Menurut laporan, mangsa kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dipercayai telah didera oleh bapa kandungnya itu pada Ahad lepas kira-kira pukul 5.45 petang," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan sedang sedang bermain dengan abangnya yang berusia 13 tahun sebelum dipanggil masuk ke rumah dalam keadaan marah oleh suspek dan selang beberapa minit kemudian abangnya terdengar jeritan mangsa memanggil namanya meminta tolong.

Katanya, sejurus setelah mendengar jeritan tersebut, abangnya terus meluru ke dalam rumah dan berlaku sedikit pertengkaran mulut di antara dia dan bapanya.

Ketika kejadian, ibu tiri mangsa yang sedang mengandung sembilan bulan turut berada di dalam rumah tersebut.

Untuk menyelamatkan keadaan, Manoharan berkata abang mangsa telah membawa adiknya itu ke Bukit Besar di sini sebelum membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah setelah mendapati adiknya itu mengalami kecederaan teruk.

"Doktor mengesahkan terdapat beberapa kesan bengkak di telinga kiri, bahu kanan dan peha kanan mangsa dan kini dalam keadaan stabil," katanya.

Ekoran itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Cabang Tiga, di sini pada pukul 10.40 pagi semalam, kata Manoharan.

Beliau berkata, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan abangnya mendakwa sering didera oleh bapa mereka sejak ibu kandung mereka meninggal dunia empat tahun lalu.

Katanya suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. -BERNAMA

mStar Online
: Bapa Ditahan Kerana Disyaki Dera Anak Kandung

Dipenjara lima bulan



IPOH – Seorang lelaki yang menghidap penyakit kencing manis dengan kaki berlubang dijatuhkan hukuman penjara lima bulan di Mahkamah Majistret, di sini semalam, atas tuduhan memiliki dadah jenis heroin dan morfin pada 11 Mei lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh M Jegadeson, 45, ditemui bersama satu tiub penyedut minuman yang dipercayai mengandungi dadah jenis heroin di perkarangan Mahkamah Majistret Ipoh.

Tertuduh yang ditahan polis melakukan ujian saringan air kencing dan laporan keputusan yang dikeluarkan Jabatan Patalogi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati ia mengandungi dadah jenis morfin.

Manakala, laporan analisa kimia yang dijalankan mendapati serbuk yang terdapat di dalam tiub penyedut minuman itu adalah dadah jenis heroin dengan berat bersih 0.73 gram.

Jegadeson yang mengaku bersalah memohon mahkamah mengurangkan hukuman memandangkan beliau mempunyai tahap kesihatan yang kurang memuaskan.

Tertuduh turut merayu supaya hukuman yang dikenakan berjalan serentak dengan tarikh ditangkap. Sebelum ini, tertuduh pernah dikenakan hukuman penjara pada tahun 1991.

Majistret Intan Nurul Fareena Zainal Abidin menetapkan hukuman serentak bagi kedua-dua kesalahannya termasuk dua tahun pengawasan polis bermula dari tarikh tangkap iaitu penjara lima bulan bagi pertuduhan pindaan dan tiga bulan untuk pertuduhan pertambahan.

Beliau turut mengarahkan tertuduh supaya dirujuk ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan susulan.
SH

2 pemandu lori miliki dadah



IPOH – Dua pemandu lori dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan memiliki dadah jenis heroin.

Tertuduh, Muhammad Irwan Shah Abdul Rahim, 26, dituduh memiliki dadah jenis heroin seberat 0.55 gram di Kampung Baru, Simpang Pulai pada Ahad lalu.

Jika sabit kesalahan dia boleh didenda sebanyak RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Intan Nurul Fareena Zainal Abidin semalam.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam menyatakan beliau dianiaya dan dadah itu bukan miliknya.

Pegawai Pendakwa, Akmarul Nizam Ahmad menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Intan Nurul Fareena kemudiannya memutuskan untuk menetapkan wang jaminan sebanyak RM2,900 dengan seorang penjamin.

Selain itu, Intan Nurul Fareena turut menetapkan 4 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Bagi kes kedua, tertuduh, S Murugiah, 37, didapati bersalah memiliki heroin seberat 0.46 gram di sebuah dewan berhampiran Kampung Chan Thye Lee pada 10 Mei lalu.

Murugiah dalam rayuannya memohon supaya hukuman dikurangkan kerana isterinya tidak bekerja dan perlu menanggung empat orang anak dalam keluarganya.

Tertuduh mempunyai satu rekod kes jenayah lampau dan pernah dipenjarakan selama 10 bulan pada tahun 2008.

Sehubungan itu, Intan Nurul Fareena menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas tertuduh bermula dari tarikh tangkap.
SH

Pencuri besi gagal bolos



SITIAWAN – Cubaan seorang lelaki berusia lebih kurang 40 tahun untuk memboloskan diri daripada tangkapan Pasukan Gerakan Marin (PGM) Kampung Acheh, kelmarin, gagal apabila sampan yang dinaiki tidak mampu bergerak laju.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Kampung Acheh, Deputi Superintendan Shaari Arifin berkata, suspek ditangkap di kawasan Selat Dinding, oleh sepasukan empat anggota Bot Ronda PSC 24, yang diketuai Koperal Kamal Din.

Menurutnya, suspek ditangkap sekitar jam 4.45 pagi kelmarin ketika Bot Ronda PSC24 sedang menjalankan Operasi Cegah Jenayah Octopus di kawasan berkenaan.

“PGM bertindak atas maklumat orang ramai, risikan, pemantauan dan laporan polis mengenai kes curi kabel atau besi itu.

“Semasa menjalankan rondaan, PSC24 melihat sebuah sampan yang cuba lari sebaik melihat kehadiran bot ronda dan mengambil masa 10 minit untuk menahannya,” katanya ketika ditemui di Markas Operasi PGM Wilayah Satu, Kampung Acheh, di sini, semalam.

Shaari berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya mendapati terdapat rantai dan potongan besi disyaki barang curi dijumpai bersama lelaki itu.

Menurutnya, barang rampasan dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri besi dibawa balik ke Markas Operasi PGM Wilayah Satu Kampung Acheh.

“Saya berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat mengenai kejadian dan kegiatan jenayah di perairan, persisiran pantai serta di kawasan pelabuhan bagi membantu kami membanteras jenayah.

“Sumbangan maklumat daripada orang ramai sangat penting bagi pihak berkuasa dalam usaha mencegah jenayah,” jelasnya.:
SH

Polis Kedah rampas 150 baju Bersih, blok pencetak



ALOR SETAR - Polis Kedah merampas 150 helai baju kuning logo Bersih serta tiga blok mencetak baju Bersih dalam serbuan ke atas sebuah rumah kedai dua tingkat, di Taman Nuri, semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, serbuan turut mendapati terdapat lima pekerja sedang berada dalam sebuah bilik yang turut menempatkan beberapa mesin jahit, dipercayai dijadikan kedai jahitan pakaian.

“Polis menerima maklumat dan membuat serbuan kira-kira 4.45 petang dan ketika menggeledah satu daripada dua bilik di tingkat atas, polis menjumpai baju kuning logo Bersih yang siap dalam bungkusan plastik,” katanya pada media.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemilik premis tiada di lokasi ketika serbuan dan pihaknya masih mengesan individu terbabit untuk siasatan lanjut.

“Terdapat lima pekerja sedang berada di premis itu ketika serbuan, dua daripadanya warga Bangladesh dan selebihnya orang tempatan. Pemeriksaan awal mendapati seorang daripada warga Bangladesh itu tidak mempunyai dokumen perjalanan,” katanya.

Kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 30 tahun dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk siasatan.

“Ini adalah rampasan pertama membabitkan baju Bersih di Kedah. Polis mendapati premis ini bukan sahaja mencetak baju kuning Bersih, tetapi turut mencetak pelbagai baju lain,” katanya.

Ahmad berkata, pihaknya tegas dalam menangani isu berkaitan Bersih, termasuk membuat pencegahan awal dengan merampas peralatan berkaitan kerana ianya adalah perhimpunan haram.

“Kita tegas dan merampas apa jua yang ada kaitan dengan Bersih sebelum bahan promosi itu diedarkan kepada orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan, berkata, seorang lelaki dan wanita berusia 51 dan 48 tahun dipercayai suami isteri ditahan polis kerana memiliki lima helai baju kuning logo Bersih dalam sekatan jalan raya di Jalan Kubang Rotan-Kuala Kedah.

Menurutnya, ketika ditahan polis pada 9.05 malam Sabtu lepas, kedua-dua suspek menaiki kereta jenis Proton Wira dan ketika pemeriksaan, polis menjumpai lima helai baju itu dalam kereta terbabit.

“Difahamkan mereka adalah pasangan suami isteri dan ditahan mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan,” katanya.

Sabtu lalu, seramai 14 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah ditahan atas dakwaan cuba menghasut orang ramai untuk menyertai perhimpunan haram berdekatan Pasar Koboi, Jalan Teluk Wanjah, namun kesemuanya telah dibebaskan dengan ikat jamin malam kelmarin.
SH

Seorang maut tangki meletup



SUNGAI ULAR - Seorang pekerja tempatan berusia 49 tahun maut akibat cedera parah di badan selepas tangki minyak yang diselenggarakan di sebuah kuari batu di Sungai Ular, di sini tiba-tiba meletup.

Kejadian itu juga menyebabkan seorang lagi pekerja tempatan mengalami patah tangan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin apabila tangki minyak itu bocor dan perlu dibaiki segera. Tiga daripada empat pekerja berada di atas tangki manakala seorang lagi berada di bawah.

:Katanya, ketika kerja penyelenggaraan berlangsung, penutup tangki itu terpelanting dan menghentam dua pekerja di atasnya.

“Polis mendapati tangki yang meletup itu tidak berisi minyak diesel atau petrol. Ia hanya menempatkan minyak tar bagi kegunaan membuat jalan. Letupan berlaku berpunca dari tekanan gas yang berada dalam tangki itu. Apabila kerja memotong dijalankan, tangki itu menjadi panas dan meletup.

“Mangsa yang tercedera kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan kecemasan, ”katanya.

Menurutnya, hasil siasatan, tidak berlaku sebarang unsur perlakuan jenayah yang menyebabkan mangsa terbunuh dan polis mengklasifikasikan kes kematian mangsa sebagai mati mengejut.
SH

Tertuduh diserang sawan di mahkamah



AYER KEROH - Mahkamah Majistret 2 di Kompleks Mahkamah Melaka, di sini gempar seketika apabila seorang tertuduh tiba-tiba rebah diserang sawan semasa menunggu kesnya dibicarakan.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, tertuduh, Mohd Shahrizal Ibrahim, 26, yang berada di dalam kandang pesalah mengalami kekejangan dan turut kelihatan buih keluar dari mulutnya.

Pegawai Pendakwa Inspektor Muhather Mohd Kudus yang bertindak pantas menghubungi ambulans berkata, sebelum kejadian, tertuduh dari Rantau, Negeri Sembilan, berada di dalam kandang pesalah bersama tertuduh lain sedang menunggu prosiding kes sivil selesai.

Tertuduh yang berhadapan pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan sebelum ini turut diserang sawan kali pertama dituduh di mahkamah pada 25 Mei lalu.

Dia kemudian diusung menggunakan pengusung sebelum dibawa ke Poliklinik Ayer Keroh, di sini untuk rawatan lanjut.
SH

Kuarters jadi 'port' khalwat



TAMPIN - Dua pasangan berusia lingkungan 30-an ke 40-an terkedu apabila dicekup sepasukan kakitangan Bahagian Penguat kuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam serbuan di sebuah kuarters dekat Taman Clonlee, dekat sini kira-kira jam 12 tengah malam, 2 Julai lalu.

Sumber yang enggan namanya disiarkan berkata, kedua-dua pasangan berkenaan ditangkap di dua unit rumah yang berlainan dan dipercayai merupakan sebuah syarikat swasta di situ.

Menurutnya, serbuan berkenaan dibuat hasil aduan yang diterima dari penghuni kuarters berkenaan dan juga orang awam yang tidak mahu kegiatan maksiat berleluasa di penempatan mereka.

“Malah, dipercayai salah seorang lelaki yang ditangkap sudah pun berkahwin dan memiliki seorang cahaya mata. Kesemua yang ditangkap bakal berhadapan dengan kesalahan di bawah Akta Jenayah Syariah 1982, Seksyen 61 (1) kerana percubaan melakukan persetubuhan haram,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, kedua-dua pasangan berkenaan akan dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Kedua-dua pasangan yang ditangkap berdua-duaan tanpa ikatan dalam dua unit rumah berbeza itu telah dibawa ke balai polis berhampiran sebelum tindakan lanjut diambil oleh pihak jabatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung dengan kejadian berkenaan.
SH

12 pusat judi siber diserbu



KUALA KLAWANG - Seramai 50 orang, termasuk lelaki dan wanita ditahan polis dalam 26 serbuan sepanjang Januari hingga Jun lalu, berhubung kesalahan membuka pusat judi siber di seluruh daerah ini.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Setapa Omar berkata, sepanjang serbuan terbabit, polis merampas sebanyak 223 komputer dan peralatan berkaitan.

Menurutnya, pihak polis telah mengenal pasti sebanyak 12 pusat judi siber yang masih beroperasi secara rahsia meskipun beberapa diserbu.

“Kita mengadakan serbuan di semua premis yang dikenal pasti menjalankan perniagaan judi siber, namun tidak semua serbuan ini berjaya kerana adakalanya ketika serbuan, premis berkenaan tidak menjalankan operasi.

“Mereka (premis judi siber) tidak melakukan operasi secara kerap dan ini menyukarkan polis menahan mereka yang terbabit.

“Bagaimanapun polis sentiasa mengambil tindakan terhadap sebarang aduan dan buat masa ini kita masih memantau premis judi siber yang dikenal pasti masih meneruskan operasi,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Dalam pada itu, Setapa berkata, mengikut laporan pihaknya, rata-rata pemilik pusat judi siber bukan berasal dari daerah ini, manakala pekerja yang bekerja di premis judi siber berkenaan adalah penduduk tempatan.

Setapa menafikan sebanyak 29 pusat judi siber beroperasi di daerah ini, sebaliknya hanya 10 hingga 12 premis sahaja yang menjalankan kegiatan haram terbabit.

Setapa turut mengesahkan pihaknya berjaya melumpuhkan kegiatan itu di pekan Simpang Durian sejak kes kematian yang membabitkan warga asing kira-kira dua bulan lalu.
SH

Penuntut diragut dalam bas



ALOR GAJAH - Dua penuntut sebuah kolej di sini, terkejut apabila beg yang disandang salah seorang daripada mereka direntap seorang lelaki yang hendak turun daripada bas di hadapan Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru, dekat sini, petang kelmarin.

Mangsa, Nor Azma Sarif, 19, kehilangan sebuah beg mengandungi sepasang baju kebaya, kad pengenalan, sebuah telefon bimbit jenis Sony Ericsson, kad ATM CIMB dan BSN, kad pelajar serta wang tunai berjumlah RM40 selepas dibawa lari peragut berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, Nor Azma bersama seorang rakan, Nor Laila Mohd Nor, 22, dalam perjalanan pulang dari Masjid Tanah ke kolej mereka dengan menaiki bas Mara Liner dari perhentian bas Masjid Tanah.

Nor Azma, yang berasal dari Temerloh, Pahang berkata, dia mengikut rakan pulang ke rumah neneknya di Jasin dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang semula ke kolej untuk menghadiri kuliah seperti biasa pada keesokan harinya (semalam).

Menurutnya, mereka duduk menghadap pintu kedua di bahagian tengah bas dan ketika itu terdapat tiga lelaki berdekatan mereka hendak turun bas.

“Ketika bas berhenti di hadapan Taman Melor untuk menurunkan penumpang, tiba-tiba lelaki terakhir terus menarik beg yang saya pangku dan melarikan diri.

“Saya terus menjerit meminta pemandu bas memberhentikan bas dan berlari ke balai polis yang kebetulan berdekatan ketika kejadian untuk membuat laporan,” katanya yang menuntut jurusan kaunseling Tahun 1.

Nor Azma berkata, dia tidak sedar sejak bila peragut berkenaan berada dalam bas kerana bas penuh dengan penumpang dan dia tidak dapat kenal pasti suspek.

“Tetapi jika diamati, saya rasa saya boleh cam fizikal mereka yang kurus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin, ketika dihubungi turut mengesahkan kejadian dan salah seorang suspek diberkas bagi membantu siasatan, manakala gerakan mengesan dua lagi rakannya yang terbabit terus dijalankan.
SH

Maut selepas lihat kemalangan



BATANG KALI – Gara-gara melintas lebuh raya untuk melihat satu kemalangan maut, seorang penunggang motosikal turut maut dirempuh sebuah kenderaan dalam kejadian di Kilometer 395.7, Lebuhraya Utara-Selatan arah Ipoh, di sini, awal pagi semalam.

Mangsa yang cedera parah di badan dan kepala, maut di tempat kejadian sementara kenderaan yang merempuhnya pula, memecut meninggalkan mangsa.

Menurut beberapa saksi, kemalangan pertama berlaku kira-kira jam 6 pagi dan selang 15 minit berlaku, kejadian kedua tidak jauh dari lokasi pertama.

“Kemalangan pertama melibatkan sebuah kereta Proton Waja yang sebelumnya terbabas melanggar pembahagi lebuh raya dan berpusing beberapa kali.

“Kemudian, sebuah kereta Proton Wira dari arah belakang dinaiki dua lelaki tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta Waja tersebut menyebabkan penumpang kereta Waja dikenali sebagai K Goppal, 29, maut di tempat kejadian,” katanya.

Saksi berkata, 15 minit kemudian, seorang penunggang motosikal, SN Samy Kanu, 51, bersama anaknya berhenti di laluan bersebelahan dan melintas untuk melihat kemalangan tersebut.

Sinar Harian difahamkan, ketika Samy cuba melintas semula lebuh raya untuk ke motosikalnya, dia dirempuh sebuah kenderaan menyebabkannya cedera parah di badan serta kepala dan maut di tempat kejadian.

Bagai manapun, kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Norel Azmi Yahya Affen di ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SH

Rumah Pam Syabas jadi sasaran pencuri



BANDAR MAHKOTA CHERAS – Rumah Pam dan Kolam Takungan Air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tidak terkecuali menjadi sasaran penceroboh mencuri kabel utama yang terdapat dalam kawasan itu.

Ini berikutan terdapat tiga kes dilaporkan berlaku di Rumah Pam Bandar Mahkota Cheras hingga akibatkan gangguan bekalan air kepada penduduk di kawasan itu.

Pengarah Eksekutif, Jabatan Hal Ehwal Korporat SYABAS, Abdul Halem Mat Som, berkata, rumah pam dan kolam takungan yang diwujudkan di setiap kawasan perumahan tidak terkecuali menjadi sasaran pencuri.

“Terdapat tiga kes dilaporkan berlaku di Rumah Pam Bandar Mahkota Cheras hingga mengakibatkan gangguan bekalan air kepada para penduduk di kawasan tersebut.

“Rumah-rumah pam dan kolam takungan air Syabas ini merupakan aset terpenting yang sangat bernilai kerana ianya merupakan sebahagian daripada komponen terpenting yang perlu ada untuk melengkapkan fungsi kitaran sistem pembekalan air kepada 7.5 juta pengguna air.

“Kes-kes yang melibatkan kecurian harta benda di rumah-rumah pam dan kolam-kolam air ini menjadi perhatian serius pihak Syabas kerana kehilangan harta benda di kawasan ini boleh menyebabkan penyaluran bekalan air bersih ke premis-premis pengguna terganggu“, katanya pada Program Kolam Angkat Bersama Penduduk Bandar Mahkota Cheras dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Turut hadir bersama ialah Ahli Majlis Perbandaran Kajang Zon 4, Lee Kee Hiong dan Ketua Wilayah Syabas Hulu Langat, Mohamad Zahir Mohamad Hassan.

Menurutnya, pencerobohan yang memasuki kawasan larangan juga berpotensi untuk mengancam keselamatan terhadap penduduk di kawasan sekitar selain mendatangkan masalah terhadap kualiti air di dalam kolam dan rumah pam tersebut.
SH

Tragedi ngeri



PELABUHAN KLANG – “Pakcik sering nasihatkan arwah mencari pekerjaan lain yang lebih menjamin masa depan demi kebaikan dan keselamatannya.

Pakcik kesal apabila dia meninggal dalam keadaan ngeri,” demikian luah Wan Ahmad Wan Bakar, 60, bapa kepada mangsa, Wan Shakir, 28, yang maut selepas kepalanya terputus akibat tersepit antara kontena dan kepala lori di kawasan sebuah kilang minyak masak, di Jalan Sungai Keladi, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa yang bekerja sebagai Kerani Operasi dikatakan dalam perjalanan menuju ke kontena untuk urusan pemeriksaan kontena dan sebelum sempat melaksanakan tugasan itu, mangsa terlebih dahulu dilanggar kepala lori yang sedang berundur.

Pemandu lori tersebut dikatakan tidak perasan dengan kehadiran mangsa sebelum terus mengundurkan kepala lori bagi disambungkan dengan pengunci kontena.

Sebaik kepala lori hampir bercantum dengan pengunci kontena, mangsa berada di tengah-tengah tersepit sebelum lehernya terkena bucu tajam. Berikutan itu, leher mangsa terus bercerai daripada badannya beberapa meter antara satu sama lain di bawah kontena dan kepala lori tersebut.

Wan Ahmad berkata, dia dan keluarga amat sedih dengan kejadian yang meragut nyawa anak sulung daripada tiga beradik itu.

“Walau apa pun, kami harus menerima pemergian arwah kerana takdir telah tentukan yang dia terpaksa menghadap Ilahi pada usia yang masih muda.

“Arwah disifatkan anak yang baik dan rajin bekerja sepanjang berkhidmat di kilang tersebut sejak empat tahun lalu,” katanya yang tinggal di Lorong Azmi, Teluk Gadung Besar, Klang kepada Sinar Harian di Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Dalam pada itu, Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abdul Rahman berkata, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat bagi urusan bedah siasat.

“Setakat ini kita sudah memanggil saksi dan pemandu kepala lori itu bagi siasatan lanjut berkenaan kejadian ngeri ini.

“Oleh itu, saya nasihatkan kepada semua pekerja di kawasan kontena agar berhati-hati kerana pelbagai kejadian yang tidak diduga seperti ini boleh berulang jika keselamatan diabaikan,” katanya.
SH

Kes curi terbongkar



KUALA ROMPIN – Kegiatan sekumpulan pencuri anak benih pokok kelapa sawit di Tapak Semaian Felda Selendang 2, di sini, terbongkar apabila lori yang membawa muatan hasil curi itu tersangkut ketika menaiki sebuah bukit di Blok 3 Felda Selendang 1, Jumaat lalu.

Lebih memalukan, perbuatan mencuri benih sawit itu dipercayai dilakukan ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat, namun tindakan mereka disedari seorang peneroka yang baru keluar dari ladang sawit berhampiran.

Kes kecurian sawit di Felda Selendang menjadi ‘buah mulut’ peneroka sejak sekian lama, namun dalang di sebalik kejadian itu hanya diketahui sebaik saja tertangkapnya enam suspek termasuk seorang warganegara Indonesia dalam kejadian itu.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin berjaya menahan semua suspek serta merampas sebanyak 300 benih anak pokok kelapa sawit bernilai RM4,500.



Lori dalam keadaan mencurigakan



Seorang saksi kejadian, Mustafa Cha, 45, berkata, sebaik saja keluar daripada ladang sawitnya, dia curiga apabila mendapati sebuah lori membawa muatan benih sawit tersangkut ketika mahu mendaki bukit di sebuah jalan ladang.

Mustafa berkata, pada masa kejadian, dia hanya melihat kelibat pemandu lori dipercayai warganegara asing dalam keadaan mencurigakan apabila ditanya beberapa soalan hingga menimbulkan keraguan kepadanya.

Menurutnya, setelah didesak dengan pelbagai pertanyaan, akhirnya lelaki itu mengaku benih itu diperoleh dari Tapak Semaian Felda Selendang 2.

“Untuk mengeluarkan anak pokok benih sawit, seharusnya mereka menunjukkan bukti kelulusan daripada Felda Wilayah Kuantan, namun jawapan diberikan suspek meragukan kerana tidak memperoleh surat kelulusan seperti yang dipinta,” katanya.

Mustafa berkata, pasukan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang dimaklumkan berhubung kegiatan itu terus bergegas ke tempat kejadian untuk membuat kawalan keselamatan berterusan sebelum ia dilaporkan kepada polis.



Rela buat pemantauan berterusan



Seorang anggota Rela, Ahmad Akhbal M Kunhi Mohamed berkata, selepas diberitahu berhubung perkara itu, pasukan Rela dikerahkan untuk mengawal di kawasan itu sebelum kehadiran polis.

Ahmad Akhbal berkata, Rela membuat kawalan sehingga malam keesokannya (Sabtu) untuk memastikan hasil curi itu tidak dikebas pihak lain selain mahu penjenayah itu diberkas serta-merta.

“Kami ditugaskan mengawal tempat itu sebelum ia dilaporkan kepada polis untuk siasatan lanjut bagi mengesan semua suspek yang menjadi dalang kejadian itu,” katanya.



Sering dibangkitkan dalam mesyuarat



Pengerusi Biro Masyarakat dan Sosial Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Selendang, Mohamad Ibrahim berkata, kes kecurian sawit di Felda sering dibangkitkan dalam mesyuarat JKKR dan pengurusan Felda.

Bagaimanapun, menurutnya, perkara itu gagal ditangani berikutan suspek di sebalik kejadian itu gagal diberkas selain ia tidak dilaporkan pengurusan Felda kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Perkara ini sering saya suarakan, namun tiada tindakan susulan diambil, namun ia berjaya diselesaikan apabila semua suspek ditahan polis untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu,” katanya.



Bertindak selepas terima maklumat



Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, hasil pemeriksaan, polis berjaya merampas semua barang kes dan menahan lima suspek rakyat tempatan serta seorang warganegara Indonesia berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an.

Katanya, polis memandang serius kejadian itu dan kini sedang menjalankan siasatan ke atas semua suspek yang dipercayai terbabit secara langsung dalam aktiviti tidak bermoral seperti itu.

“Kita menahan semua suspek dan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini,” katanya.
SH

Lemas dalam kolam



JERTIH - Seorang lelaki yang baru empat bulan disahkan menghidap sawan ditemui mati lemas di dalam kolam ternakan ikan milik bapanya di Kampung Pak Kiang, Keluang di sini kelmarin.

Zabidi Ibrahim, 26, ditemui lemas dalam kolam ikan yang airnya sedalam kira-kira 0.9 meter pada jam 5.40 petang, dipercayai diserang sawan ketika membersihkan rumput di dalam kolam terbabit.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mayat mangsa ditemui oleh abangnya dalam keadaan terlentang di dalam kolam itu lengkap berpakaian dan memakai topi.

Menurutnya, mangsa dikatakan keluar rumah sejak pagi untuk pergi ke kolam bapanya untuk melihat ikan siakap yang diternak, di samping membersihkan rumpai dalam kolam.

“Bagaimana pada jam 4 petang, keluarga mangsa mula melakukan usaha mencarinya di sekitar kolam tersebut setelah bimbang dengan keadaan mangsa kerana kebiasaannya dia tidak pernah pulang lewat,” katanya.

Kamaruddin berkata, salah seorang abangnya mangsa berjaya menemuinya kira-kira jam 5.45 petang di dalam salah satu kolam bapanya, terapung tidak jauh dari tebing.

Menurutnya, mangsa pernah mengalami tanda epilepsi (sawan) sebelum ini dan polis tidak menolak dia dipercayai diserang sawan terlebih dahulu sebelum jatuh ke dalam kolam dan lemas.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan siasatan mendapati kes ini tidak ada unsur jenayah,” katanya.
SH

Kejar jiran dengan parang



KUALA TERENGGANU - Dua beranak naik angin selepas tidak tahan mendengar tuduhan melulu jirannya yang tidak henti-henti menyalahkan keluarga mereka menjadi punca anaknya turut ditangkap polis kerana jenayah pecah rumah sebelum itu.

Tertuduh, Mat Azah Mamat, 64, dan anaknya Ahmad Saiful Bakri Mat Azah, 40, dari Kampung Pak Madah, Bukit Payong, Marang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam mengugut untuk membunuh jirannya, Wan Kutom Shaikh Ibrahim, 54, dan mengejar dengan parang di hadapan rumahnya di kampung Pak Madah, Bukit Payong, Marang.

Kedua-dua beranak itu mengaku bersalah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama pada 3 Julai baru-baru ini kira-kira jam 11 pagi.
SH

Bekas tentera dipenjara

KOTA BHARU – Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhi hukuman sembilan bulan penjara terhadap seorang bekas tentera selepas didapati bersalah mencederakan seorang lelaki berusia 40 tahun dalam kejadian di Jalan Atas Banggol, di sini, dua bulan lalu.

Hukuman itu diputuskan Majistret Nur Zakiyah Shamsudin selepas tertuduh, Syaiful Anuar Mohd Firus mengaku bersalah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan Tengku Nor Azuzu Tengku Johan, 17 Mei lalu.

Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, mangsa yang sedang membaca akhbar di sebuah kedai fotostat didatangi tertuduh dan terus menyerangnya menggunakan sebilah pisau pemotong daging.

Ketika serangan itu, berlaku pergelutan antara mereka menyebabkan mangsa mendapat kecederaan di bahagian leher, dahi dan lutut sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan.

Berikutan kejadian itu, bapa Tengku Nor Azuzu membuat laporan di balai polis Kota Bharu yang membawa kepada penahanan tertuduh sehari selepas kejadian.

Pada prosiding semalam, Syaiful Anuar, 34 dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman berikutan mempunyai empat orang anak yang berada di bawah tanggungannya.

“Saya mohon kepada yang arif supaya hukuman terhadap saya diringankan kerana saya baru sahaja tamat perkhidmatan dengan tentera,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad yang mengendalikan kes itu memohon hukuman setimpal kerana jenayah yang dilakukan tertuduh sangat serius dan akibatkan kecederaan.
SH

Jiran kesal tidak sempat selamatkan mangsa

SINGAPURA
JIRAN-JIRAN pernah melihat adik-beradik Allahyarham Muhamad Irfan, lima tahun, dan abangnya yang dikenali sebagai Yan, tujuh tahun, didera.

Ada juga yang pernah menyaksikan mak cik mereka berkelakuan bengis kepada kedua-dua budak itu.

Malangnya tiada sesiapa yang sempat mengambil tindakan menyelamatkan Allahyarham Muhammad Irfan.

Allahyarham ditemui mati di flat mak ciknya di Teck Whye Lane dengan kesan-kesan dera di bahagian tangan, tubuh dan kemaluannya.

Mak ciknya, 47 tahun, kini telah diberkas polis kelmarin.

Bagi Cik Ramlah Mohamed, 44 tahun, pula beliau mengesyaki ada yang tidak kena memandangkan dua beradik itu nampak kurus dan tidak terurus.

'Sejak emak mereka diberkas, mereka duduk di rumah sahaja dan tidak bersekolah,' kata ibu enam orang anak itu.

Menurut Cik Ramlah, Allahyarham merupakan anak bongsu tujuh beradik.

Beliau juga sering menasihatkan mak cik Allahyarham supaya mendapatkan bantuan dan berkali-kali menawarkan diri menjaga Allahyarham namun ia ditolak.

'Kita sebagai jiran kesian tengok budak-budak itu, saya juga sering curi-curi kasi mereka makan.

'Kami pernah membuat rujukan kepada pusat khidmat keluarga berdekatan namun apabila tiba masanya dia (mak cik Allahyarham) tidak datang,' kata Cik Ramlah yang tinggal di flat berdekatan.

Beliau juga sering melihat Allahyarham Muhammad Irfan dan abangnya di kedai kopi tempat mak cik mereka bekerja.

'Budak-budak itu tidak dibenarkan bergerak dan kalau mereka gerak mereka ditempeleng,' kata Cik Ramlah dengan nada yang sebak.

Seorang lagi jiran pula pernah menyaksikan sendiri bagaimana adik-beradik itu didera di flat mereka.

Beliau yang meminta namanya tidak disiarkan berkata pada Selasa lalu, beliau telah melintasi unit flat tersebut untuk mengunjungi seorang teman yang tinggal berdekatan.

'Apabila saya lalu, pintu flat terbuka, saya ternampak budak berdua itu sedang berdiri sebelah-menyebelah dan tangan mereka itu diikat pada paip dapur.

'Saya terfikir kenapa budak-budak itu diikat macam anjing.

'Budak-budak memang nakal tapi takkan sampai kejam begitu,' kata wanita berusia 44 tahun itu.

Petang semalam Cik Ramlah dan jiran-jiran lain menyaksikan pasukan polis tiba di tempat kejadian bersama wanita yang tangan dan kakinya digari.

Menurut polis, seorang wanita akan dihadapkan ke mahkamah hari ini kerana terlibat dalam kes tersebut.

'Apa yang saya tak boleh terima ialah bagaimana dia boleh tergamak berbuat demikian,' tambah Cik Ramlah.

Mak cik Allahyarham adalah seorang janda dan tinggal sendirian menjaga dua anak saudaranya itu dan seorang abang angkatnya yang berusia 72 tahun.

Dia juga dipercayai mempunyai beberapa orang anak tetapi tidak tinggal dengannya.

Cyberita Online Singapura

Wanita disyaki aniaya budak ditangkap

SUSPEK: Polis membawa wanita yang disyaki terlibat dalam kematian Allahyarham Muhamad Irfan ke tempat kejadian. -- Foto TAUFIK A. KADER

SINGAPURA

KES BUDAK MATI

Oleh
Adli Yashir Kuchit

POLIS telah memberkas seorang wanita berusia 47 tahun kerana disyaki mendera dan menganiaya anak saudaranya yang berusia lima tahun hingga menyebabkan kematian budak lelaki itu.

Berdasarkan maklumat daripada jiran-jiran, wanita tersebut ialah seorang pencuci pinggan di sebuah kedai kopi berdekatan dengan flat kejadian.

Mangsa yang terkorban pula dikenali dengan nama Allahyarham Muhammad Irfan dan mereka tinggal di Teck Whye Lane.

Difahamkan, Allahyarham dan abangnya yang hanya dikenali dengan nama Yan, tujuh tahun, dijaga mak ciknya.

Menurut jiran, Yan kini dibawah jagaan pihak polis dan dia dalam keadaan selamat.

Kedua-dua ibu bapa mereka kini dalam penjara.

Menurut seorang jiran, Encik Mohd Atan Ja'amat, 82 tahun, beliau dibangunkan daripada tidur oleh mak cik Allahyarham yang mengetuk pintunya sekitar 2 pagi kelmarin.

'Dia kelam-kabut dan berteriak 'Irfan dah mati',' kata beliau.

Encik Mohd Atan yang tinggal empat pintu dari flat Allahyarham lalu bergegas ke rumah jirannya itu.

Di ruang tamu flat dua bilik tersebut, Encik Mohd Atan mendapati Allahyarham sudah terbujur kaku atas tilam.

'Saya perhatikan matanya tercelik, saya letakkan jari di hidungnya, dia sudah tidak bernafas, tangannya pula sudah sejuk dan kaku,' kata Encik Mohd Atan.

Beliau lalu menyuruh mak cik Allahyarham menghubungi polis.

Menurut polis, pihaknya menerima panggilan sekitar 2.15 pagi kelmarin dan Allahyarham disahkan meninggal pada 2.35 pagi hari yang sama.

'Saya lihat pergelangan tangannya biru-birat akibat dipercayai bekas ikatan. Dadanya pula ada bekas lebam.

'Apabila pasukan kecemasan tiba dan memeriksa mayatnya, saya terlihat ada kesan darah di kemaluannya,' kata Encik Mohd Atan.

Ketika wartawan Berita Harian ke tempat kejadian, mak cik Allahyarham yang berpakaian kemeja-T berwarna kelabu dan berseluar hitam juga ada dalam flat tersebut. Tangan dan kakinya digari ketika dibawa pihak polis ke tempat kejadian.

Menurut Encik Mohd Atan, seorang lelaki lanjut usia yang menumpang di rumah mak cik Allahyarham turut berada di flat tersebut ketika kejadian berlaku.

Ketika ditemui semalam, lelaki berusia 72 tahun itu menganggap dirinya sebagai abang angkat mak cik Allahyarham.

Beliau yang meminta namanya tidak disiarkan berkata polis telah menyoal siasatnya sekitar lima jam sebelum membenarkannya pulang.

Beliau sedang tidur ketika kejadian itu berlaku dan terjaga apabila dikejut mak cik Allahyarham.

'Dia (mak cik Allahyarham) selalu ikat budak-budak itu apabila dia keluar bekerja. Bila saya buka ikatan mereka, saya dimarah.

'Pada petang sebelum kejadian, budak-budak itu minta saya air untuk minum lalu saya buka ikatan mereka dan beri mereka minum,' kata lelaki berkenaan.

Seorang jiran, Cik Ramlah Mohamed, 47 tahun, pernah membawa Allahyarham ke rumahnya bermain-main dengan anakanaknya.

'Saya masih ingat lagi hari itu dia minta makan sebab lapar. Saya juga berkali-kali pernah tawarkan diri menjaga budak-budak itu, tetapi tidak benarkan.

'Saya benar-benar kesal tidak dapat menyelamatkan arwahnya,' kata Cik Ramlah sambil mengesat air matanya.

Cyberita Online Singapura

Malang model bogel


UNTUK DIJUAL...Albemarle House yang ditawarkan kepada sesiapa yang sanggup selepas bisnes wain Patricia runtuh.
UNTUK DIJUAL...Albemarle House yang ditawarkan kepada sesiapa yang sanggup selepas bisnes wain Patricia runtuh.

SEORANG bekas penari gelek dan model bogel yang popular dengan gelaran ‘janda paling kaya dalam sejarah’ selepas bercerai dengan suaminya, baru-baru ini mengisytiharkan dirinya muflis.
Selepas bercerai daripada suaminya yang kaya-raya 21 tahun lalu, Patricia Kluge mendapat pampasan kira-kira RM4.9 juta.
Foto
HADAPI KEGAGALAN...Patricia terpaksa mengisytiharkan dirinya muflis kerana dibelenggu hutang.


Sering melayan keluarga diraja, jutawan dan selebriti di pusat hiburan mewahnya di Virginia pada 1980-an sebelum menceburi bidang penghasilan wain, memfailkan permohonan muflis bersama suami ketiganya.

Apabila bercerai dengan bilionair media, John Kluge, pada 1990, Patricia, 62, dipercayai memperoleh kira-kira RM4.9 bilion.

Wang itu dibelanjakan untuk membeli rumah agak 45 bilik Abemarle House yang terletak di atas tapak seluas 1,214 hektar di Virginia.

Pernah sekali membintangi filem lucah, The Nine Acres of Nakedness, Patricia dikenali sebagai hos parti yang dihadiri golongan kaya dan ternama.

Bagaimanapun, gaya hidup wanita kelahiran Baghdad, Iraq, itu bertukar rupa apabila dia menghadapi masalah kewangan, manakala bisnes wain diusahakannya gagal mencatat keuntungan.

Dokumen permohonan status muflis Patricia menunjukkan, dia cuba menyelamatkan diri sejak tahun lalu dengan menjual pelbagai barangan yang dimiliki.

Bersama suaminya, William Moses, tanggungan hutang mereka dianggarkan bernilai RM151 juta.

Peguam pasangan itu, Kermin Rosenberg, berkata mereka kini meneruskan hidup sebagai orang muflis sambil cuba melangsaikan sedikit demi sedikit hutang masing-masing.

Patricia memperoleh hak ke atas Albemarle House dan tanah di sekitarnya selepas bercerai pada 1990.

Bekas suami Patricia, Kluge, meninggal dunia pada September tahun lalu.

Albermarle House dibangunkan dengan reka bentuk rumah Inggeris abad ke-18, bersama taman bertingkat, air pancut, kolam renang dan kabin tetamu.

Pada 1980-an, Patricia menjadikan rumah itu sebagai tempatnya melayan tetamu istimewa terdiri daripada keluarga bangsawan, tokoh korporat dan selebriti.

Tahun lalu, Patricia berkata, dia tidak lagi tinggal di Albemarle House, sebaliknya menumpukan perhatian kepada bisnes wain.

Permohonan muflis dibuat selepas rundingan dijalankan dengan tiga bank utama yang membiayai bisnes Patricia gagal mencapai persetujuan.

Kegagalan membayar hutang menyebabkan bank berkenaan menyita bisnes Patricia, selain Albermarle Houise dan sebuah lagi rumah mewah dalam pembinaan.

Rosenberg berkata, semua cubaan untuk menstruktur semula hutang Patricia tidak berjaya.

Melalui permohonan muflis itu, aset pasangan Patricia - Moses kini diletakkan di bawah kawalan pemegang amanah dilantik mahkamah.

“Agensi itu bertanggungjawab menguruskan pembayaran semula hutang kepada bank,” katanya.

Bank of America memfailkan saman ke atas Patricia di Mahkamah Daerah Charlottesville dengan mendakwa wanita terbabit mengabaikan tiga pinjaman bernilai lebih RM69 juta untuk membiayai rumah serta tapak berkenaan.

Pasangan itu turut kehilangan hak ke atas syarikat Kluge Estate Winery & Vineyard apabila gagal membayar semula pinjaman dari Farm Credit Bank bernilai RM105 juta yang merudum ketika ekonomi dunia lembap.

Tokoh perniagaan terkemuka, Donald Trump, membeli sebahagian besar bisnes Patricia pada April dan mendakwa mahu mengendalikan perusahaan berkenaan.

Satu lagi bank, Sonabank, mengambil semula anak syarikat Vineyard Estates pada harga RM14.7 juta dalam satu lelongan awam.

Untuk mengumpul wang, tahun lalu Patricia pernah menyenaraikan pelbagai perabot antik dan barangan lain untuk dilelong.

Lelongan pada Jun tahun lalu membolehkan mereka mendapat kira-kira RM45.6 juta.
Patricia turut menjual kebanyakan barang kemasnya pada harga RM15 juta sebelum ini. - DM
myMetro | Malang model bogel

Paksa anak lapor berzina

HULU SELANGOR: Berang selepas mendapat tahu anak gadis melakukan hubungan seks dengan teman lelaki, seorang ibu memaksa anaknya membuat laporan polis, kelmarin.

Sebelum itu, si ibu terdengar perbualan telefon antara anak gadisnya berusia 16 tahun dengan rakannya.


Menurut sumber, wanita berusia 30-an itu terkejut apabila mendengar pengakuan anaknya mendakwa melakukan hubungan seks dengan teman lelaki.

“Si ibu memarahi anak gadisnya itu dan memaksanya menceritakan apa yang berlaku.


“Pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah itu akur dan menceritakan perbuatan terkutuk bersama teman lelakinya yang juga pelajar sekolah sama,” katanya.


Beliau berkata, ibu mangsa yang marah dengan perbuatan lelaki terbabit menceritakan kejadian itu kepada jiran sebelum mereka mencarinya.

“Lelaki itu ditemui di rumah keluarganya, namun keluarga remaja terbabit menghalang mereka untuk membawa remaja lelaki itu ke balai polis.


“Bagaimanapun, selepas penjelasan diberikan remaja lelaki itu dibawa ke Balai Polis Bukit Sentosa dan mangsa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Bertindak atas laporan suspek yang juga teman lelaki mangsa ditahan polis bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan dilakukan.

myMetro | Paksa anak lapor berzina

Tahanan derita tak dapat bahan pornografi

MOUNT CLEMENS (Michigan): Seorang tahanan penjara di Michigan berkata, dia menjadi mangsa kekejaman dan hukuman luar biasa kerana dia tidak mendapat bahan pornografi.

Dalam tuntutan kepada mahkamah, Kylie Richards yang berusia 21 tahun mendakwa haknya diingkari di Penjara Daerah Macomb. Richards berkata menafikan haknya untuk menikmati bahan erotik menyebabkan kehidupannya menjadi teruk dan mendorongnya menderita secara seksual. Jabatan Pemulihan Michigan memberitahu The Detroit News bahawa penjara membenarkan sesetengah bahan pornografi walaupun ia diharamkan. Persatuan Kebebasan Awam Amerika berkata, penjara mempunyai pelbagai pengecualian.


Richards didakwa atas kesalahan merompak bank selepas polis mengekori kesan tapak kaki hingga ke apartmennya dari lokasi rompakan bank Januari lalu di Fraser, di utara Detroit.

myMetro | Tahanan derita tak dapat bahan pornografi

Budak jatuh aras 10, selamat

EIJING: Seorang kanak-kanak perempuan China berusia dua tahun yang jatuh dari tingkap bangunan tingkat 10 terselamat apabila seorang pejalan kaki berjaya menyambutnya dari bawah.

Wu Juping, 31, ibu kepada bayi berusia tujuh bulan melihat kanak-kanak itu bergayut di tingkap tingkat 10 bangunan apartmen dekat Hangzhou di wilayah timur Zhejiang, Sabtu lalu.


Wanita yang cepat meramal kejadian buruk bakal berlaku itu kemudian menanggalkan kasut tumit tingginya dan berkejar ke arah kanak-kanak terbabit sambil menghulurkan tangannya.

Juping dipuji sebagai heroin di stesen televisyen China yang menunjukkan dia dirawat di hospital selepas patah tangan ekoran kejadian itu. Kanak-kanak itu yang bernama Niu Niu mengalami pendarahan dalaman dan masih berada dalam keadaan kritikal.


Dia ditinggalkan di rumah sendirian ketika kemalangan itu berlaku, lapor agensi berita kerajaan Xinhua. Demi menyelamatkan Niu Niu, Juping patah tangan kirinya ketika kanak-kanak terbabit menghempapnya sebelum tercampak di atas rumput, manakala wanita berkenaan pengsan akibat kejadian itu.


Pengarah hospital bandar Fuyang, Jin Dengfeng yang menawarkan rawatan percuma kepada Juping selepas mendengar kisah wanita itu berkata, Juping menggadai nyawanya apabila cuba menyelamatkan kanak-kanak malang terbabit.

“Dia mungkin mati atau lumpuh jika kanak-kanak itu menimpa kepalanya atau belakang tubuhnya,” kata Jin.


Juping berkata ekoran kecederaan dialami, dia terpaksa berhenti menyusukan bayi lelakinya.

“Saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku,” katanya.


“Saya hanya berharap Niu Niu dapat sembuh,” katanya lagi. - DM

myMetro | Budak jatuh aras 10, selamat

800 troli pasar raya dilarikan pencuri barangan lusuh

LONDON: Pencuri melarikan lebih 800 troli dari sebuah pasar raya menyebabkan pengurusan syarikat itu menanggung kerugian lebih RM309,000.

Menurut laporan media, kakitangan pasar raya Asda menyedari kejadian itu selepas mendapati satu demi satu barisan troli di premisnya hilang dalam tempoh 12 hari.


Dipercayai, troli berkenaan dicuri untuk dijual semula sebagai besi buruk.

Jurucakap Asda, Jo Newbould, berkata kecurian itu dilakukan di kawasan letak kenderaan di Pusat Beli-belah Eastgate di Basildon, Essex.


“Sejumlah besar troli diambil dari pasar raya kami,” katanya.


Menurut Newbould, polis menyiasat mengapa troli berkenaan dicuri dan mendapati ia bukan dilakukan pelanggan Asda.

Katanya, Asda menanggung kerugian kerana kos menggantikan troli berkenaan tinggi.


“Kami meminta semua pihak segera memaklumkan pihak berkuasa jika melihat sesiapa mencuri troli dan menyukarkan pengguna,” katanya. - DM

myMetro | 800 troli pasar raya dilarikan pencuri barangan lusuh

Lelaki cuba dibantu rupa-rupanya penyamun

PETALING JAYA: Niat seorang jurugambar membantu seorang lelaki dalam kesusahan bertukar tragedi apabila dia dipukul, ditendang dan disamun menyebabkan kerugian kira-kira RM5,000 dalam kejadian di Taman Perumahan Desa Temuan Damansara Perdana, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, bermula apabila mangsa berusia 30 tahun mahu membantu lelaki itu yang berdiri seorang diri di tepi jalan di susur keluar Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).


Ketika mangsa memberhentikan kereta di sebelah suspek yang berusia 20-an dan mahu bertanya masalah tiba-tiba satu tumbukan singgah di muka menyebabkannya panik.

Sumber polis berkata, sebaik muka ditumbuk, suspek mengeluarkan pemutar skru dan membuka pintu kereta lalu mengarahkan mangsa memandu kenderaannya.


“Mangsa yang panik memandu kereta itu dan ketika tiba di lampu isyarat, suspek menyuruhnya memberhentikan kereta sebelum dua rakannya menaiki Proton Waja muncul.


“Suspek menyuruh mangsa berpusing di taman perumahan itu kira-kira dua jam untuk sebelum melakukan jenayah,” katanya di sini, semalam.

Sumber berkata, selepas puas berpusing, suspek mengarahkan mangsa memberhentikan kereta sebelum menariknya keluar dan membelasahnya.


“Suspek melarikan beberapa barangan berharga termasuk telefon, komputer riba, wang RM70 dan kunci kereta dengan nilai keseluruhan RM5,000,” katanya.

Dalam keadaan sakit mangsa ke kedai berdekatan minta pertolongan pekerja kedai itu menghubungi polis dan membuat laporan sejurus kejadian.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed mengesahkan siasatan dijalankan.

myMetro | Lelaki cuba dibantu rupa-rupanya penyamun

Saluran gas Mesir diletup






Api menjulang tinggi selepas berlaku letupan saluran paip gas dekat bandar El-Arish, 50 kilometer dari sempadan Mesir dan Israel, semalam.


ISMAILIA, Mesir 4 Julai - Saluran paip gas dari Mesir ke Israel dan Jordan diletupkan dalam satu kejadian sabotaj hari ini, sekali gus memaksa penutupan aliran gas.
Menurut sumber keselamatan Mesir, letupan itu berlaku awal pagi ini di sebuah stesen saluran paip gas di utara Semenanjung Sinai di Bir Abd, kira-kira 60 kilometer dari timur Terusan Suez.
Ia merupakan serangan ketiga sejak Februari lalu di saluran paip gas yang sama, yang menyalurkan gas asli ke Israel dan Jordan.
Sumber keselamatan berkata, beberapa lelaki dilengkapi mesingan menaiki sebuah trak kecil memaksa pengawal keselamatan di stesen tersebut meninggalkan kawasan berkenaan sebelum mereka menanam bahan letupan.
"Kami masih belum mendapat maklumat yang lengkap sehingga kini, tetapi pada dasarnya letupan itu sama dengan dua letupan yang berlaku sebelum ini," kata satu lagi sumber lain kepada Reuters.
Jelas sumber itu, syarikat gas asli yang mengendalikan saluran paip itu segara menutup aliran gas sejurus letupan berlaku.
Saksi berkata, bunyi kuat letupan turut kedengaran di gurun tersebut, menakutkan penduduk sekitar dan api yang menjulang tinggi dapat dilihat dari lokasi kejadian.
Letupan yang berlaku pada 5 Februari dan 27 April lalu telah menyebabkan saluran paip itu ditutup selama seminggu.
Saluran paip gas itu dikendalikan Gasco, sebuah syarikat pengangkutan Mesir yang merupakan anak syarikat kepada syarikat gas nasional, EGAS. - REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Lebih 7,000 pekerja lombong emas mogok


TIMIKA, Indonesia 4 Julai - Lebih 7,000 pekerja Freeport McMoRan, sebuah syarikat lombong emas dan arang batu gergasi Amerika Syarikat (AS) di wilayah timur Papua, memulakan mogok selama seminggu hari ini untuk menuntut kadar upah yang lebih baik.

Menurut seorang peserta, Frans Kaweai, mereka mengadakan mogok bagi menuntut kenaikan gaji supaya boleh menjalani kehidupan yang lebih baik.

"Kami akan memulakan mogok hari ini kerana pihak pengurusan syarikat menolak untuk bersetuju dengan tuntutan kami," katanya kepada AFP pintu masuk lombong.

Beratus-ratus polis turut ditempatkan untuk menjaga keselamatan di kawasan lombong itu.

"Anggota kami akan mengawal keselamatan bagi mengelak mogok bertukar ganas," kata ketua polis Mimika, Deny Edward Siregar.

Jurucakap Freeport McMoRan, Ramdani Sirait berkata, mogok itu tidak menjejaskan operasi pengeluaran mereka tetapi menggesa kakitangannya kembali bekerja, sementara isu ini diselesaikan untuk mengelak sebarang kesan kepada pekerja dan syarikat.

"Syarikat sedang bergelut berunding dengan kesatuan dan ketua majikan untuk menyelesaikan isu ini," katanya dalam satu kenyataan.

Freeport adalah antara syarikat yang mempunyai simpanan emas terkaya di dunia dan merupakan anak syarikat milik AS yang menjadi penyumbang terbesar cukai kepada kerajaan Indonesia. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Remaja dikerat sebelum dibakar



Tempat mangsa dibakar berhampiran tanah perkuburan Hindu di Masai, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 4 Julai - Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditemui mati dalam keadaan tragis, dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dikerat dan dibakar di dua lokasi berasingan semalam.

Nurrahayu Qomarodin yang mendapat taraf penduduk tetap (PR) dilaporkan hilang dari rumah sejak 18 Jun lalu oleh ibu bapanya yang mengusaha kantin di sebuah kuari di Masai.

Bagaimanapun, petang semalam, polis menemui petunjuk bahawa mayat remaja itu dibakar di dua lokasi berasingan iaitu di Sungai Tiram dan Tanah Perkuburan Hindu di Masai bertujuan untuk menghilangkan bukti.

Ketika ditemui, mayat mangsa hanya tinggal cebisan rambut, baju dan selipar di tanah perkuburan berkenaan antara pukul 4 dan 5 petang.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, berdasarkan laporan saksi, mangsa dikatakan dibawa lari oleh seorang lelaki pada hari kejadian dan sejak itu tidak pulang ke rumah keluarganya.

"Pihak polis yang menjalankan siasatan kemudian mendapat maklumat daripada orang awam yang menemui cebisan rambut, baju dan selipar di sebuah tanah perkuburan Hindu di Masai.

"Berdasarkan siasatan kes ini, kita percaya kesemua barang bukti konsisten dengan kes kehilangan mangsa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Susulan penemuan cebisan mayat tersebut, menurut Roslan, pihaknya menahan seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun yang bertugas di kuari tempat bapa mangsa mengusahakan kantin.

Katanya, suspek ditahan ketika cuba bersembunyi di sebuah kawasan semak di Ulu Tiram di sini, petang semalam.

"Suspek dipercayai pernah melihat mangsa di tempat kerjanya sedang mengira wang tunai. Bagaimanapun, punca sebenar mangsa dilarikan sebelum dibunuh masih disiasat dan sehingga kini kami masih menunggu hasil ujian patologi ke atas cebisan mayat mangsa," katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati, suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk melarikan orang, pecah rumah dan mendatangkan kecederaan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Muka cedera ditoreh pisau

KUANTAN 4 Julai - Seorang lelaki cedera di muka akibat ditoreh dua lelaki dengan pisau dalam kejadian samun di sebuah hotel di Jalan Gambut di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam ketika mangsa yang berusia 57 tahun pergi ke hotel itu untuk menghantar makanan yang dipesan abangnya yang bekerja di situ.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, sewaktu mangsa menunggu abangnya di kaunter pertanyaan, dua lelaki tiba-tiba meluru masuk ke premis tersebut lalu menuju ke arahnya.

"Suspek yang berusia lingkungan 20-an kemudian bertanya kepada mangsa mengapa dia berada di situ sebelum salah seorang daripada mereka mengeluarkan sebilah pisau mengugut dan memintanya menyerahkan wang.

"Suspek kemudian bertindak ganas apabila merampas telefon bimbit dan wang tunai sebelum mencederakannya dengan menoreh muka lelaki terbabit," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Katanya, mangsa dibawa abangnya ke sebuah klinik swasta berdekatan untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis.

Utusan Malaysia Online - Pahang

Pemandu pelancong digantung



Lokman Borhan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuantan, semalam setelah didapati bersalah mengedar ganja seberat 895.08 gram. - BERNAMA


KUANTAN 4 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang pemandu pelancong selepas didapati bersalah kerana mengedar ganja seberat 895.08 gram pada tahun lalu.

Lokman Borhan, 54, disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah itu di rumahnya di No. 11 Lorong Kubang Buaya 47, Taman Kubang Buaya di sini, pada pukul 9.20 malam, 7 Ogos 2010.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Lokman turut didapati bersalah memiliki lima peket plastik lutsinar mengandungi 22.39 gram ganja pada waktu, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 6 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta tersebut, lelaki itu dihukum penjara empat tahun bermula dari tarikh tangkapan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mariana Yahya menjatuhkan hukuman tersebut setelah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Tertuduh diwakili oleh peguam bela, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud.

Utusan Malaysia Online - Pahang

Didenda RM2,000 atau penjara 5 bulan gara-gara curi beg tangan milik Datin Ser

KUALA LUMPUR 4 Julai - Gara-gara mencuri sebuah beg tangan milik seorang wanita yang bergelar Datin Seri pada minggu lalu, seorang penganggur didenda RM2,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Mohd. Faris Mohd. Sanusi, 28, dijatuhi hukuman tersebut selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di hadapan Majistret Hafizza Sauni.

Bapa kepada dua anak itu mengaku mencuri beg tangan kepunyaan Datin Seri Ruzina Hanam Mohd. Saleh, 58, dengan melarikan kad pengenalan, lesen memandu, kad kredit dan wang tunai RM150.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut dalam sebuah kereta milik Ruzina Hanam di hadapan rumah No. 71, Jalan Taman Melati C, Taman Melati, Wangsa Maju di sini pada pukul 8.10 malam, 21 Jun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abd. Halim mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mohd. Faris yang tidak diwakili peguam bela turut dihukum penjara tujuh bulan oleh mahkamah yang sama setelah dia mengaku bersalah atas tuduhan menyimpan harta curi iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha bernombor plat WQD 5095 milik Mohd. Sufian Basiron, 24.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jalan Persiaran, Taman Melati, Wangsa Maju di sini pada pukul 6.30 petang, 25 Jun lalu.

Mahkamah menetapkan tempoh hukuman bagi kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada hari kejadian.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Lelaki bunuh guru cuba ubah wajah

CHIBA: Seorang lelaki Jepun membuat pengakuan di mahkamah semalam bahawa dia merogol dan mencekik seorang wanita muda Britain, tetapi turut mendakwa tidak bermaksud untuk membunuh mangsa berusia 22 tahun itu.

Pada masa sama, lelaki itu juga cuba mengubah wajahnya menerusi pembedahan kosmetik untuk mengelak dikesan selepas pihak berkuasa melancarkan operasi memburunya di seluruh negara.
Tatsuya Ichihashi didakwa membunuh guru bahasa Inggeris, Lindsay Ann Hawker di pangsapurinya pada 2007.
Kes itu adalah pembunuhan berprofil tinggi di Jepun selepas mayat Hawker ditemui dalam tab mandi dipenuhi kotoran di balkoni pangsapuri Ichihashi.

Ketika permulaan perbicaraan, Ichihashi mengaku merogol mangsa dan menyebabkan kematiannya, namun turut menekankan dia tidak berniat membunuh seperti didakwa pendakwa raya.

“Saya tidak berniat membunuhnya, namun saya bertanggungjawab atas kematiannya,” kata Ichihashi.

Hawker, dari Brandon, England, berada di Jepun untuk mengajar bahasa Inggeris. Dia dibunuh selepas mengajar Ichihashi secara persendirian di rumahnya.
Ichihashi melarikan diri selepas polis menemui mayat Hawker di pangsapurinya. Dia mengelak daripada ditahan polis lebih dua tahun, menggunakan identiti palsu dan malah menjalani pembedahan kosmetik untuk mengelak ditahan. Dia akhirnya ditahan pada 2009. – AP Berita Harian Online | Lelaki bunuh guru cuba ubah wajah

Merana ditipu pelaburan ikan patin


SYED IDRIS menunjukkan dokumen perjanjian pelaburan ikan patin buah dan laporan polis di Klang semalam.


KLANG – Impian seorang lelaki yang baru mendirikan rumah tangga untuk mendapat habuan sebanyak RM1,440 sebulan dalam satu skim pelaburan ternakan ikan patin buah berkecai selepas mendapati dia ditipu syarikat pengendali ternakan berkenaan.

Bukan itu sahaja, Syed Idris Syed Ishak, 28, kini terpaksa membayar balik pinjaman bank berjumlah RM80,000 termasuk faedah selama 15 tahun yang telah dijadikan sebagai modal pelaburan tersebut.

Syed Idris berkata, dia terjebak dalam skim pelaburan itu setelah diperkenalkan oleh rakan-rakannya dan terpedaya dengan janji manis syarikat terbabit.

“Saya sebelum itu pergi ke syarikat tersebut di Bukit Tinggi di sini dan mereka menasihati saya supaya membuat pinjaman bank untuk menyertai pelaburan itu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Syed Idris yang berkhidmat di sebuah syarikat swasta di Temerloh memberitahu, dia kemudian menandatangani surat perjanjian dengan syarikat terbabit pada Januari tahun lalu.

Berdasarkan perjanjian, jelasnya, semua urusan perniagaan akan diuruskan oleh syarikat terbabit dan dia sebagai pelabur hanya menunggu bayaran bulanan.

“Saya juga diberikan sebuah sangkar yang mempunyai 1,800 benih anak ikan patin,” ujarnya.

Menurutnya, dia mula menerima habuan sebanyak RM1,020 pada Mac tahun lalu dan RM1,140 pada bulan berikutannya.

Bagaimanapun, kata Syed Idris, pada bulan Mei sehingga kini, dia tidak lagi menerima bayaran dan apabila syarikat terbabit dihubungi, pelbagai alasan tidak munasabah diberikan.

“Mereka mendakwa syarikat telah berhadapan dengan masalah, banyak ikan mati dan kesukaran pasaran,” katanya.

Syed Idris berkata, tidak lama selepas itu dia cuba menghubungi pihak terbabit namun tiada jawapan sehingga dia terpaksa pergi ke pejabat syarikat berkenaan.

“Saya terkejut apabila mendapati pejabat syarikat itu sudah ditutup menyebabkan saya bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada 23 Jun lalu sebelum merujuk kes tersebut kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

“Difahamkan terdapat lebih 20 pelabur lain terdiri daripada kakitangan kerajaan yang telah ditipu syarikat yang sama,” ujarnya

Kosmo! Online - Negara