Search This Blog

Sunday, July 3, 2011

Cedera lori balak terbalik


KUANTAN- Seorang lelaki cedera parah apabila lori balak yang dipandunya terbalik ke dalam longkang di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang, berhampiran jejambat yang dalam pembinaan, pagi semalam.

Mangsa yang cedera di bahagian tangan dan kepala terselamat apabila orang awam membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam lori tersebut.

Difahamkan, kemalangan berlaku akibat lori mangsa dikatakan dihimpit sebuah lori lain sebelum kemalangan mengakibatkan muatan balak bertaburan di permukaan jalan selain keadaan kedua-dua laluan sesak kira-kira satu kilometer.

Saksi kejadian, Azri Mohamed Ridzuan, 29, berkata, dia melihat lori balak yang dipandu mangsa dihimpit sebuah lori lain sebelum lori tersebut terjunam ke dalam longkang berdekatan kira-kira jam 10 lagi semalam.

“Ketika kejadian saya sedang menunggang motosikal dalam perjalanan menghala ke Bandar Kuantan dari Taman Tas di sini dan berada di belakang lori sebelum kejadian.

“Selepas itu, sejurus sampai ke satu selekoh kecil lori yang berada di laluan kanan tiba-tiba terus menghimpit lori balak dipandu mangsa menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan seterusnya terbabas menjunam ke dalam longkang,” katanya.

Azri berkata, selepas kejadian terbabit pemandu lori yang menghimpit lori mangsa kemudian berhenti beberapa minit di tepi jalan sebelum terus melarikan diri daripada tempat kejadian.

Menurutnya, dia sempat melihat lori dipandu mangsa melayang ke kiri jalan dan terbalik ke dalam longkang.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dengan bantuan ambulans yang tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya tampil di Balai Trafik Kuantan bagi membantu siasatan.
SH

Jurujual pasar raya kena cekup




KAMPUNG CACAR - Tindakan seorang jurujual pasar raya membawa pulang teman lelaki untuk dijadikan ‘teman tidur’ pada awal pagi sehingga menimbulkan syak jiran membawa padah apabila mereka dicekup pihak berkuasa.

Lebih mendukacitakan, gadis terbabit yang berasal dari Bukit Besi itu dikatakan mula bekerja di pasar raya berdekatan sejak beberapa bulan lalu untuk menyara keluarga, namun usaha itu gagal menutup perbuatan sumbangnya yang mengaibkan maruah keluarganya.

Ketika serbuan, sepasukan Pegawai Penguat kuasa Jabatan Agama Dungun bersama Polis Paka kira-kira jam 1.10 pagi itu, jurujual yang tamat sekolah menengah ketika dicekup di bilik tidur bersama teman lelakinya itu hanya memakai seluar pendek berbaju T, manakala teman lelakinya memakai seluar tanpa baju.

Pemeriksaan lanjut menemui sehelai seluar dalam dipercayai milik salah seorang daripada mereka dan ia dirampas sebagai bahan bukti selepas dihadapkan ke mahkamah nanti.

Situasi itu menguatkan dakwaan bahawa dia sudah melakukan perbuatan tidak bermoral, walaupun mereka menafikannya.

Gadis berumur 18 tahun bersama teman lelakinya yang berasal dari Sabah itu bakal dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Dungun awal Ogos nanti mengikut Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.

Jika didapati bersalah mereka boleh didenda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
SH

Ah long silap sasaran



KUALA LUMPUR - Akibat tersalah sasaran, seorang peniaga kecil di Wangsa Maju trauma hampir setahun akibat gangguan ceti haram ah long.

Low Nga Nge, 57, yang tinggal di Seksyen 2, Wangsa Maju berkata, rumahnya disembur cat hitam dan dibaling batu sedangkan tidak pernah meminjam wang daripada pihak berkenaan.

Menurutnya, gangguan itu berlaku sejak Mac tahun lepas, yang terbaru 26 Jun lalu apabila rumahnya disembur cat dan diconteng dengan simbol ‘$’ serta perkataan lucah.

Tidak tahan dengan keadaan itu, Nga Nge membuat laporan polis pada hari sama selain mengadu kepada MCA Wangsa Maju untuk mengelakkan dirinya terus menjadi mangsa.

“Gangguan ini benar-benar mengganggu kehidupan saya dan keluarga. Saya minta hentikan gangguan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MCA Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look berkata, pihaknya berharap kumpulan ceti haram itu tidak lagi mengganggu Nga Nge kerana jelas mereka telah tersalah sasaran.
SH

21 penumpang panik




KOTA TINGGI – Seramai 22 penumpang termasuk pemandu sebuah bas ekspres terpaksa mengharungi detik-detik mencemaskan sebelum kenderaan tersebut terbabas di lereng bukit, di sini, pagi semalam.

Bagaimanapun kesemua mereka selamat dan beberapa penumpang hanya mengalami cedera ringan.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.15 pagi itu berpunca daripada pemandu hilang kawalan ketika tiba di puncak bukit sebelum terbalik di lereng bukit berdekatan kilang papan di Kilometer 47.5, Jalan Johor Bahru-Mersing.

Menurut Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Osman Mohammad Sebot, bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke Johor Bahru.

“Dengan bantuan orang awam, penumpang yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Kota Tinggi, termasuklah pemandu bas yang mengalami patah bahu,” katanya kepada Sinar Harian di tempat kejadian.

Katanya, ada penumpang bas terpaksa keluar melalui tingkap cermin hadapan dan memecahkan cermin belakang untuk keluar naik ke tebing menyelamatkan diri.

Sementara itu, pihak pengurusan syarikat bas menggantikan bas baru untuk membawa penumpang meneruskan perjalanan ke Johor Bahru.

“Terdapat juga sekumpulan lapan ahli pengakap Singapura yang menaiki bas tersebut. Mereka dalam perjalanan pulang daripada kerja komuniti di Setiu. Mereka telah dirawat sebagai pesakit luar,” katanya
SH

PKR, Pas kecam tangkapan




IPOH - PKR dan Pas Negeri mengecam tindakan polis menahan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) yang ditahan kelmarin dan malam sebelumnya.

ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari berkata, penahanan itu tidak wajar dan dilihat keterlaluan kerana takut dengan Barisan Nasional (BN).

Katanya, pihak berkuasa hanya menurut arahan pemimpin BN dan secara tidak langsung merendahkan institusi itu.

“Kalau hendak mengampu sekalipun, janganlah sampai menjatuhkan maruah mereka yang terpaksa menguruskan hal-hal yang tidak berkaitan.

“Banyak lagi kerja-kerja pencegahan jenayah yang patut dilakukan berbanding menahan wakil-wakil rakyat ini,” katanya dalam satu sidang media semalam.

Beliau berpendapat pihak berkuasa perlu adil dalam menjalankan tugas bukan menuruti arahan pihak-pihak tertentu.

Beliau turut mempersoalkan sikap pihak berkenaan yang tidak membuat sebarang tangkapan menerusi provokasi Pemuda UMNO yang ingin membakar bangunan PKR sebaliknya individu dalam PR ditahan kerana memakai baju kuning.

“Kita dapat lihat ketakutan UMNO dan BN yang sedar kuasa mereka semakin hilang. Mereka akan menggunakan pelbagai cara untuk menyekat penguasaan PR dan rakyat.

“Semua cubaan menakut-nakutkan rakyat dengan menangkap wakil rakyat PR tidak akan mematahkan semangat pemimpin PR yang lain untuk menyertai perhimpunan Bersih,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Negeri, Abu Bakar Hussain menyelar tindakan pihak berkuasa menahan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Pulai, Chan Ming Kai dan Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye pagi kelmarin.

Menurutnya, Pas menganggap tindakan itu tidak bertamadun walaupun Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memberi sokongan terhadap perhimpunan itu.

“Pas lihat tindakan itu melambangkan pihak berkuasa tidak menjalankan tugas yang diamanahkan rakyat.

“Suhakam telah beri jaminan dan sokongan. UMNO dan pihak berkuasa pula tidak berikan hak perlembagaan untuk rakyat berkumpul nyatakan pandangan,” katanya.
SH

Warga emas tertipu




LAMBOR KANAN - “Dulu saya ada rumah, ada tanah namun akibat tidak reti membaca dan menulis, saya telah ditipu oleh yang saya percayai,” kata Puteh Aishah Mat Napeh, 77, yang kini terpaksa menumpang kasih di rumah anaknya secara bergilir-gilir.

Puteh Aishah berkata, kini dia sudah uzur dan kehilangan sebelah kaki akibat sakit tulang selain terpaksa bergilir-gilir ke rumah anaknya kerana tidak mahu membebankan seorang anak sahaja.

Menurutnya, anaknya juga mempunyai tanggungan keluarga selain mempunyai penyakit yang memerlukan peruntukan besar.

"Sebelum ini, saya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama setahun lapan bulan sebanyak RM300 tetapi dihentikan tanpa sebarang alasan.

"Pernah juga saya memohon kembali bantuan ini namun jawapan yang diberikan mengecewakan kerana mereka meminta saya mencari pekerjaan sendiri selain mengatakan anak-anak saya mampu menanggung," katanya ketika ditemui di rumah anaknya di Kampung Tersusun Rimba Raja, Lambor Kanan.

Puteh Aishah berkata, memang anak-anak boleh menanggung makan minum namun, sampai satu peringkat dia kasihan melihat keadaan anak yang mempunyai masalah termasuk berpenyakit serta kerja tidak menentu.

“Saya tidak mahu terlalu menyusahkan anak-anak kerana mereka juga mempunyai tanggungjawab dan kesusahan masing-masing.

“Jika mendapat bantuan bulanan sudah mencukupi bagi saya untuk menampung makan minum kerana saya sendiri sudah tidak mampu bekerja," katanya.

Katanya, besar harapan agar pihak berkenaan boleh mempertimbangkan permohonannya untuk mendapatkan kembali bantuan bulanan itu.

"Sekurang-kurangnya saya boleh menanggung makan minum sendiri dan tidak lagi menyusahkan anak-anak.

“Saya merayu agar pihak berkenaan mempertimbangkan kembali permohonan saya supaya diluluskan agar dapat meringankan beban yang ditanggung,” katanya.
SH

Datuk rindu dua cucu


CHEMOR – Kerinduan seorang datuk kepada dua cucunya semakin memuncak selepas sebulan ‘kehilangan’ mereka setelah diambil semula oleh ibunya yang menghilangkan diri didakwa mengikut seorang lelaki beristeri dua.

Muhamad Fadzil Nordin, 60, berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk menjejaki kedua cucunya itu termasuk menghubungi anaknya, Ros Mawati, 31, dan lelaki yang dikenali sebagai Ismawan, 31, tetapi usaha itu menemui jalan buntu.

Menurutnya, Ros Mawati sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga serta mempunyai dua cahaya mata, Arisa Balqis Amizuddin, 6, dan Arina Batrisha, setahun sebelum bercerai kira-kira setahun yang lalu.

“Perkenalan singkat dengan Ismawan menyebabkan tingkah laku anaknya sangat berbeza. Ismawan bertindak memperkenalkan dirinya sebelum melamar Ros (panggilan Ros Mawati) tidak lama kemudian.

“Dalam pada itu, dia menipu kami kononnya telah bercerai dan bercadang memperisterikan Ros secepat mungkin kerana mendakwa sibuk menguruskan perniagaan di Vietnam, Singapura dan Indonesia,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Muhamad Fadzil berkata, dia dan isterinya, Azizah Gulap Din, 56, terkejut apabila Ismawan meminang sendirian tanpa membawa ahli keluarga dengan alasan ayahnya sakit.

“Kami percaya kata-katanya kemudian bersetuju menerima pinangan lelaki itu yang kami sangka jujur dan berbudi bahasa selain melihat kesungguhan Ros mencintai lelaki itu.

“Pada hari pernikahan, penipuan lelaki itu terbongkar apabila seorang wanita yang mendakwa isteri lelaki itu muncul dan mengamuk di surau, 5 Mac lalu,” katanya.

Katanya, wanita itu menyatakan pernah berkahwin dengan bakal menantunya itu tetapi perkahwinan itu tidak didaftarkan dengan pejabat Agama Islam.

“Malu dengan kejadian itu, saya membatalkan majlis itu. Bagaimanapun, kenduri tetap diteruskan. Ismawan pula membuat laporan polis supaya kami memulangkan wang hantaran sejumlah RM5,000.

“Kami terpaksa menanggung malu selepas mengetahui lelaki terbabit turut mempunyai dua isteri lain sebelum ini,” jelasnya.

Muhamad Fadzil turut menyifatkan Ros Mawati seperti terkena ubat pengasih, seolah-olah tidak boleh menerima keputusan keluarga menghalangnya dari berkahwin dengan kaki tipu itu.

“Kami menasihatkan dia supaya berfikir panjang demi masa depan dua anaknya yang masih kecil. Dia akhirnya bertindak keluar dari rumah dengan melarikan kedua-dua anak kecilnya pada 19 Mei lalu dengan menaiki kereta Proton Satria.

“Setelah beberapa hari tidak pulang rumah, kami terus membuat laporan polis. Lagipun, kami bimbang dengan Arina yang menghidap asma. Kami mahu mereka kembali ke pangkuan keluarga selain meneruskan tadika seperti biasa,” katanya.

Menurut Muhamad Fadzil, laporan polis dibuat berhubung kejadian itu kerana bimbang keselamatan cucunya yang sehingga kini tiada sebarang berita.

Orang ramai yang mengenali dan melihat Ros serta kedua-dua cucunya itu segera menghubungi Balai Polis Tanah Hitam di talian 05-2012522 atau mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi keluarga Muhamad Fadzil di talian 05-2014742.
SH

Niat murni bantu jiran bertukar sengsara




SEREMBAN – Niat murni membantu jirannya memeriksa rumah untuk mengelakkan daripada berlaku kebakaran membawa kepada penderitaan buat seorang bapa kepada tiga anak di Taman Desa Dahlia, di sini.

Norizan Abu Samah, 56, mengalami kecacatan kekal pada kaki semasa membantu jirannya membuat pemeriksaan di dapur, pertengahan tahun lalu.

Norizan berkata, semasa kejadian, anak jirannya meminta pertolongan kerana terhidu bau gas dalam rumah mereka.

“Tanpa berlengah, saya terus ke ruang dapur membuat pemeriksaan.

“Belum pun sempat pintu kabinet dibuka, api menyambar di keseluruhan badan saya,” katanya.

Menurutnya, kecederaan di kaki dan tangan masih meninggalkan kesan sakit sehingga kini, malah kakinya semakin membengkak dan menyukarkannya untuk berjalan.

“Saya bekerja sebagai pemandu bas, tapi pendapatan saya sekarang tidak menentu kerana saya bekerja ikut trip dan gaji hari. Lagipun saya tak boleh kerja kuat dengan keadaan sekarang.

“Jadi, saya mohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Tapi sampai sekarang saya belum menerima sebarang maklum balas,” katanya.

Selain daripada masalah itu, Norizan juga berdepan dengan masalah rumah apabila kediamannya mengalami keretakan serius disebabkan tanah mendap.

Norizan bagaimanapun mengakui sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin ada menghulurkan bantuan kepadanya semasa awal kejadian.
SH

Pelajar perempuan jatuh dari bas



ALOR GAJAH - Seorang pelajar rebah di tepi jalan raya selepas dikatakan pengsan ketika sedang berdiri berhampiran pintu bas sekolah terbabit di pekan Kuala Sungai Baru, dekat sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.15 tengah hari itu, Nuremi Syakila Hamadi, 15, dikatakan kepenatan selepas menyertai Larian 1Malaysia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Kuala Permai menaiki bas sekolah.

Rakannya, Nur Nadhirah Mohd Ramli, 15, berkata, Nuremi itu yang berdiri di tangga bas secara tiba-tiba terlepas genggaman tangan pada tempat berpaut sebelum jatuh keluar dari bas terbabit.

“Dia jatuh terjelopok atas rumput di tepi jalan raya ketika bas masih bergerak perlahan kerana hendak menurunkan pelajar.

“Saya terkejut melihatnya jatuh, mujur dia jatuh di atas rumput dan kenderaan semuanya bergerak perlahan. Saya berlari ke arahnya dan melihat ada darah di kepala Nuremi,” katanya.

Saksi kejadian, Roslina Md Nor, 33, berkata, dia bersama suami dan kakaknya dari Kuala Linggi hendak ke rumah saudara di Taman Desa Bayu menyedari seorang pelajar terbaring atas rumput tepi jalan sebelum berhenti membantu.

“Pada mulanya saya sangka Nuremi terbabit dalam kemalangan kerana terdapat sebuah kereta yang remuk hadapan tidak jauh dari situ dan terus meminta suami berhentikan kereta untuk membantu pelajar itu yang tak sedarkan diri.

“Mujur ketika itu seorang kakitangan Klinik Kesihatan Kuala Linggi menunggang motosikal di belakang kereta saya dan terus mengarahkan pelajar tersebut dihantar ke klinik terbabit dan saya terus mengangkatnya.

“Saya lihat kepala pelajar itu berdarah berkemungkinan terhantuk pada batu yang ada tepi jalan itu dan kemudian dia terus dirujuk ke Hospital Alor Gajah dengan menaiki ambulan klinik terbabit,” katanya.
SH

Nyaris maut langgar lori JKR



SEREMBAN – Seorang remaja nyaris maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah lori Jabatan Kerja Raya (JKR) di susur keluar Kampung Baru Rahang, dekat sini, semalam.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, mangsa, Mohd Zullihar Affendy, 20, menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan ke rumahnya dari Kampung Baru Rahang ke Rembau.

“Siasatan awal mendapati, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas sebelum merempuh bahagian belakang lori terbabit.

“Mangsa dipercayai tidak sedar sebuah lori JKR yang berada di hadapan bergerak perlahan dekat lokasi kejadian,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk rawatan.
SH

Warga emas maut kemalangan



PELABUHAN BARAT – Seorang warga emas maut setelah van dipandunya gagal dikawal sebelum melanggar kereta jenis Proton Wira dan kontena sebelum menjunam ke parit di Lebuhraya Kesas, kira-kira jam 3.30 petang, semalam.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang mengambil masa kira-kira 10 minit mengeluarkan mangsa mangsa berketurunan Cina berusia sekitar 62 tahun yang tersepit di tempat duduk

Bagaimanapun mangsa yang parah di seluruh anggota badan itu akhirnya meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Sementara itu, pemandu kontena hanya ingin dikenali Zali, 34, berkata, dia memandu kontena berseorangan dari arah Shah Alam menghala Pelabuhan Barat untuk mengambil muatan.

“Secara tiba-tiba saya perhatikan dari arah bertentangan, van yang dipandu bersebelahan Proton Wira hilang kawalan sebelum melanggar bahagian kanan Proton Wira itu.

“Kedua-dua kenderaan terbabit masuk ke laluan sayamemaksa saya membrek secara mengejut,” katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian.

Menurutnya, dalam masa yang sama kedua-dua kenderaan itu melanggar kontenanya.

“Bagaimanapun kereta Wira terhenti di pertengahan jalan manakala van itu terus meluru laju ke tepi lebuh raya sebelum menjunam ke dalam parit sedalam kira-kira setengah meter.

“Pada saat itu saya amat berdebar-debar dan perasaan takut menguasai diri kerana menyangka kedua-dua pemandu terbunuh berdasarkan keadaan kedua-dua kenderaan yang remuk teruk.

“Bagaimanapun bersyukur selepas melihat kedua-duanya selamat dan dikejarkan ke HTAR dengan ambulans yang tiba tidak lama kemudiannya.

“Namun sejam kemudian, saya terkejut dimaklumkan pemandu van meninggal dunia di hospital oleh polis yang bertugas,” katanya.

Sinar Harian dimaklumkan pemandu van yang parah meninggal dunia di Wad Kecemasan kira-kira sejam kemudian manakala pemandu Proton Wira yang berusia 21 tahun turut dirawat di hospital sama kerana kecederaan di bahagian muka.

Dalam pada itu, Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abdul Rahman berkata, mayat mangsa kemudiannya dipindahkan ke bilik mayat bagi urusan bedah siasat.

Katanya, polis masih menyiasat identiti dan maklumat berkaitan diri mangsa.
SH

Wanita ditemui mati dipercayai dibunuh



KUANTAN - Hasrat seorang kakak untuk bertemu adiknya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila menemui mangsa terbaring mati dipercayai dibunuh suaminya di dalam rumah di Taman Klasik 2, Lorong Sri Stali di sini, Selasa lalu.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, mayat Yap Kwee Yin, 49, ditemui kakaknya yang kebetulan ingin melawat wanita itu antara jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

Menurutnya, kakak mangsa bertanyakan jiran adiknya sama ada wanita itu berada di di rumah atau tidak selepas melihat keadaan sunyi selain pintu rumah berkunci.

“Jiran adiknya memberitahu mengenai dia terdengar suara orang bergaduh di rumah tersebut pada pagi sebelum bertukar menjadi sunyi,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, kelmarin.

Menurutnya, kakak mangsa kemudian meminta bantuan jiran adiknya untuk memecah masuk ke dalam rumah tersebut.

Noor Asyikin berkata, mangsa kemudian ditemui terbaring di atas lantai sebaik kakaknya masuk ke dalam rumah sebelum membuat aduan polis dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat, mangsa disahkan mati akibat dicekik di leher serta patah empat tulang rusuk.
SH

Pengharaman Bersih

Kami mengutuk keras tindakan Menteri Dalam Negeri yang mengisytiharkan Bersih sebagai pertubuhan haram di bawah seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966.

Bagaimanakah sebuah pergerakan untuk pilihan raya yang adil menjadi ancaman kepada keselamatan?

Bagaimanakah sebuah perhimpunan aman dengan matlamat demokrasi yang murni menjadi ancaman kepada keselamatan awam?

Arahan yang dibuat Menteri adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan. Seksyen 5 Akta Pertubuhan adalah bercanggah dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan untuk rakyat.

Menteri turut menyalahgunakan kuasanya di dalam mengeluarkan perintah tersebut memandangkan tindakan tersebut bermotifkan politik dan berhasrat mengekang kritikan terhadap Kerajaan BN.

Kami menuntut perintah tersebut dibatalkan dan semua yang ditahan berkaitan dengan Bersih dibebaskan serta-merta.

N. Surendran
Naib Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Dipetik daripada blog Datuk Seri Anwar Ibrahim

SH

Ah long silap sasaran

KUALA LUMPUR - Akibat tersalah sasaran, seorang peniaga kecil di Wangsa Maju trauma hampir setahun akibat gangguan ceti haram ah long.

Low Nga Nge, 57, yang tinggal di Seksyen 2, Wangsa Maju berkata, rumahnya disembur cat hitam dan dibaling batu sedangkan tidak pernah meminjam wang daripada pihak berkenaan.

Menurutnya, gangguan itu berlaku sejak Mac tahun lepas, yang terbaru 26 Jun lalu apabila rumahnya disembur cat dan diconteng dengan simbol ‘$’ serta perkataan lucah.

Tidak tahan dengan keadaan itu, Nga Nge membuat laporan polis pada hari sama selain mengadu kepada MCA Wangsa Maju untuk mengelakkan dirinya terus menjadi mangsa.

“Gangguan ini benar-benar mengganggu kehidupan saya dan keluarga. Saya minta hentikan gangguan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MCA Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look berkata, pihaknya berharap kumpulan ceti haram itu tidak lagi mengganggu Nga Nge kerana jelas mereka telah tersalah sasaran.SH

Warga emas mati ditikam



Ah Ngo, Mui Tian


MELAKA 2 Julai – Hanya kerana cemburu, seorang lelaki menikam bertubi-tubi sehingga mati seorang wanita warga emas dan mencederakan anak perempuan mangsa di sebuah rumah di Kampung Baru Ayer Salak, Bukit Rambai, di sini malam semalam.

Mangsa, Ah Ngo, 75, maut akibat tikaman itu manakala anak perempuannya, Lim Mui Tian, 33, yang juga bekas kekasih suspek cedera parah.

Dalam kejadian pukul 11.40 malam itu, suspek yang sudah berkahwin datang ke rumah mangsa untuk bersembang ketika suami Mui Tian berada di luar negara kerana bekerja.

Menurut jurucakap polis, Mui Tian kemudian menyuruh bekas kekasihnya yang merupakan rakan sekampung pulang dengan alasan sudah lewat malam.

“Bagaimanapun lelaki itu tidak dapat menerima lalu berlaku pertengkaran antara kedua-duanya. Lelaki itu mengeluarkan pisau dan menikamnya di dapur.

“Suspek seterusnya meluru ke ruang tamu dan menikam ibu mangsa bertubi-tubi hingga mati. Anak lelaki Mui Tian berusia dua tahun terselamat kerana tidur di sebuah bilik,” katanya di sini hari ini.

Mayat Ah Ngo dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala Mui Tian dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye ketika dihubungi hari ini memberitahu, suspek menyerah diri kepada polis kira-kira pukul 11 pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Lelaki Pakistan ditangkap bawa 3kg heroin

SEPANG 2 Julai – Pelbagai taktik digunakan penyeludup dadah termasuk terbaru seorang lelaki warga Pakistan sanggup mengikat tiga kilogram dadah jenis heroin bernilai RM600,000 di kakinya ketika ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kelmarin.

Suspek berusia 20 tahun itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan sejurus tiba dari Karachi, Pakistan dengan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) pukul 8.30 pagi.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA, Datuk M. Govinden berkata, imbasan ke atas sebuah beg bimbit milik suspek tidak menemui sebarang imej luar biasa.

“Oleh itu pemeriksaan badan dilakukan dan kita menemui dua bungkusan heroin diikat di kakinya.

“Heroin itu bermutu tinggi dan jika diproses boleh mencecah tiga kali ganda beratnya dengan nilai RM3 juta,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Govinden, siasatan mendapati suspek memasuki negara ini sebanyak empat kali pada tahun lalu dan dipercayai menggunakan taktik sama untuk menyeludup dadah ke negara ini.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Pakar bedah saraf Malaysia mengaku ketagih seks, dadah

MELBOURNE 2 Julai - Seorang pakar bedah saraf Malaysia memberitahu sebuah mahkamah Sydney minggu ini bahawa beliau menyedari masalah ketagihan seks dan dadahnya "menjadi semakin tidak terkawal" apabila seorang pelacur berusia 22 tahun Victoria McIntyre, meninggal akibat mengambil terlalu banyak kokain di pangsapurinya di Sydney pada Februari 2009.

"Saya telah membuat kesilapan besar dan semuanya menjadi langsung tidak terkawal.

"Terdapat sebahagian daripada diri saya yang menyedari bahawa keadaan sudah tidak dapat lagi dikawal...tapi ada sebahagian lagi daripada diri saya yang memilih untuk mengetepikan sifat rasional yang terdapat pada minda saya," kata Suresh Nair, 43, kepada Mahkamah Daerah Downing Centre, Sydney pada Khamis lalu yang dipetik oleh akhbar "The Australian". Seorang lagi pelacur Suellen Domingues-Zaupa, 23, meninggal dunia dalam keadaan serupa sembilan bulan kemudian iaitu pada November 2009.

Suresh berkata kepada Hakim Robert Toner, "sekiranya saya menangani keadaan dengan cara berbeza dan bersikap jujur pada diri sendiri, saya amat yakin tiada perkara buruk akan berlaku terhadap Suellen."

Dalam laporannya, akhbar The Sydney Daily Telegraph berkata bekas rakan sekerja Suresh, yang juga pakar bedah saraf terkenal Charlie Teo, menyatakan, sebelum ini, Suresh memiliki perangai yang amat terpuji.

Dr. Teo memberitahu mahkamah bahawa beliau amat mengagumi Suresh walaupun bekas rakan sekerjanya itu menghadapi tuduhan berkenaan.

Beliau berkata, setelah dua kali melawat Suresh di penjara, beliau dapati rakannya itu "amat menyesali dengan apa yang telah berlaku". Dr Teo berkata walaupun Suresh memiliki "sifat sosial yang pelik", tetapi tanggungjawab dan kepakarannya dalam menjaga pesakit amat mengagumkan.

Suresh mengaku bersalah terhadap tuduhan membunuh Domingues-Zaupa dan menjadi pembekal dadah yng mempunyai kaitan dengan kematian McIntyre.

Suresh digantung tugas oleh Lembaga Perubatan New South Wales dan menunggu masa untuk dibatalkan pendaftarannya setelah mengaku bersalah terhadap tuduhan membunuh Domingues-Zaupa dan dua tuduhan lain berkaitan dadah, satu daripadanya mempunyai kaitan dengan kematian McIntyre.

Sejak ditahan di penjara 18 bulan lepas, Suresh sering menjadi mangsa serangan hingga mengalami kerosakan penglihatan.

Dia juga berdepan dengan tindakan dihantar pulang ke Malaysia kerana tidak mempunyai taraf kerakyatan Australia, walaupun telah berhijrah ke sini sejak 1980 ketika berusia 11 tahun.

Mahkamah akan menjatuhi hukuman terhadap Suresh pada 12 Ogos ini. - Bernama

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Pensyarah maut dirempuh kereta sendiri

SEREMBAN 2 Julai - Seorang pensyarah wanita maut dirempuh kenderaannya sendiri yang secara tiba-tiba mengundur ketika mangsa hendak menutup pintu pagar di rumahnya di Taman Setia Hati, di sini semalam.

Mangsa, Nor Adibah Ghazali, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJ) di sini, pukul 2.10 pagi akibat cedera parah di kepala.

Difahamkan ketika kejadian kira-kira pukul 6 petang, Nor Adibah yang bertugas di Institut Perguruan Raja Melewar (IPRM) di sini baru sampai ke rumah selepas selesai bekerja.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang memandu Perodua Myvi bersendirian kemudian meletakkan kenderaannya itu di dalam kawasan rumahnya yang agak curam.

"Bagaimanapun, ketika mangsa mahu menutup pintu pagar kereta berkenaan tiba-tiba mengundur lalu merempuh mangsa yang ketika itu berada di belakang.

"Berikutan itu wanita berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

11 sekeluarga korban bom jalanan

KANDAHAR: Satu bom meletup di pinggir jalan ketika sebuah bas mini membawa satu keluarga pelarian Afghanistan lalu di kawasan itu, membunuh 13 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, semalam.

Pegawai keselamatan berkata, sekurang-kurangnya 11 daripada mangsa adalah daripada satu keluarga.


Katanya, mangsa dalam perjalanan dari Pakistan melalui wilayah terpencil Zabul di selatan Afghanistan.

“Kejadian berlaku di kawasan Zanzir, di daerah Shamulzayi,” katanya.


Jurucakap itu berkata, empat wanita dan dua kanak-kanak adalah antara korban bom itu.


Timbalan gabenor, Mohammad Jaan Rasulyar, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 7.50 pagi.

Kejadian serangan bom pinggir jalan memang sering berlaku di kawasan yang kuat pengaruh Taliban.


Biasanya bom itu disasarkan kepada tentera asing. - AFP

myMetro11 sekeluarga korban bom jalanan

4 maut terhidu gas peti sejuk

SEOUL: Empat terbunuh selepas disyaki menghidu gas beracun ketika cuba membaiki kerosakan sebuah peti sejuk gergasi milik pasar raya jualan murah utama di Korea Selatan, kata polis semalam.

Mayat empat pekerja terbabit ditemui di tingkat bawah pasar raya E-Mart di Ilsan, kira-kira 30 kilometer di barat laut Seoul, pada awal pagi.


Jurucakap polis berkata, mereka dikejarkan ke hospital tetapi disahkan mati tidak lama kemudian. - AFP

myMetro4 maut terhidu gas peti sejuk

2 remaja pecah rumah ditahan

SANDAKAN: Usia muda tidak menghalang dua kanak-kanak berusia 12 dan 14 tahun melakukan jenayah pecah masuk enam rumah sekitar bandar ini sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan licik itu berakhir apabila dicekup sepasukan polis yang memburu mereka ketika berlegar-legar di Pasar Ikan, di sini, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marung berkata, suspek ditangkap kerana dipercayai terbabit dalam enam siri kes pecah masuk rumah.

“Polis berjaya menahan kedua-dua mereka dan kini memburu seorang lelaki berusia 18 tahun dipercayai ketua yang masih bebas.


“Hasil tangkapan itu, polis menemui semula sebuah mesin jahit dan dan dua basikal dipercayai dicuri,” katanya. pada sidang media, di sini.

myMetro2 remaja pecah rumah ditahan

Gagal seludup 40,000 pokok anak getah

BUKIT KAYU HITAM: Cubaan seorang lelaki menyeludup 40,000 pokok anak getah ke Thailand menggunakan treler gagal apabila ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) berhampiran kompleks bebas cukai, di sini, malam kelmarin.

Lelaki berusia lewat 40-an itu ditahan sepasukan anggota UPP diketuai Sarjan Anuar Jonit bersama pegawai Lembaga Getah Malaysia Wilayah Utara, Che Husin Ali Kadir selepas menerima maklumat kegiatan penyeludupan anak getah ke negara jiran, jam 10.30 malam.


Komander UPP Kedah, Mohd Jasri Othman berkata, lelaki itu memberi alasan dia hanya membawa tempurung kelapa, tetapi pemeriksaan menemui anak pokok getah yang diisi dalam plastik hitam dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

myMetroGagal seludup 40,000 pokok anak getah

Hembus nafas terakhir depan Subkhiddin

NIBONG TEBAL: “Saya sempat mendekati mangsa dan memanggil namanya, namun beberapa minit kemudian dia menghembuskan nafas terakhir,” kata pengadil Piala Dunia 2010, Subkhiddin Mohd Salleh, 45, selepas dia terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Bukit Panchor berdepan pintu masuk Sekolah Menengah Vokasional Nibong Tebal (SMVNT), jam 11 pagi semalam.

Subkhiddin yang juga guru SMVNT berkata, dia ketika itu dalam perjalanan dari arah Parit Buntar ke sekolahnya untuk menyertai program larian serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia yang diadakan di seluruh negara, semalam.


“Ketika membelok ke kiri memasuki pintu masuk sekolah, saya lihat melalui cermin sisi sebuah motosikal yang ditunggang laju memotong sebuah lori dari sebelah kiri.

“Saya sempat mengelak memasuki lorong semula tetapi motosikal itu bergesel dengan kereta saya sebelum penunggangnya terbabas dan melanggar sebatang pokok,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.


Menurutnya, selepas kejadian dia mendekati mangsa dan mendapati mangsa parah. Dia memanggil nama mangsa tetapi beberapa minit kemudian mangsa menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian.


“Saya sangat terkejut dengan kejadian ini. Ia berlaku pantas, malah saya sempat mengelak tetapi ia berlaku juga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, kedua-dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu ialah dari arah Bukit Panchor menuju ke Nibong Tebal.


Katanya, kemalangan berlaku ketika sebuah kereta membelok ke kiri memasuki pintu masuk sekolah.

“Dipercayai motosikal ditunggang mangsa yang memotong dari sebelah kiri bergesel dengan bahagian sebelah kiri kereta terbabit,” katanya.

myMetroHembus nafas terakhir depan Subkhiddin

Pelajar penat berlari jatuh bas

ALOR GAJAH: Tindakan seorang pelajar perempuan berdiri di pintu bas sekolah dinaiki ketika perjalanan pulang ke rumahnya mengundang padah apabila terjatuh, menyebabkannya pengsan di Kuala Sungai Baru, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 petang, Nuremi Syakila Hamadi, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat, dekat sini, dikatakan kepenatan selepas menyertai acara larian di sekolahnya.


Rakannya, Nur Nadhirah Mohd Ramli, 15, berkata Nuremi Syakila berdiri di tangga bas dan terjatuh apabila terlepas genggamannya pada besi palang di tangga.

“Saya melihat dia tiba-tiba lemah ketika berdiri di tangga ketika bas bergerak laju. Ketika bas memperlahankan kenderaan kerana menurunkan pelajar, saya melihat dia terjatuh di tepi jalan.


“Saya dan rakan menjerit meminta pemandu berhenti,” katanya.


Menurutnya, mangsa yang tinggal bersama keluarganya di Taman Kuala Permai, Kuala Linggi, didapati tidak sedarkan diri dengan kepalanya berdarah sebelum dikejarkan ke hospital dengan bantuan orang ramai.

Saksi kejadian, Roslina Md Nor, 33, berkata, dia bersama suami dan kakaknya melihat seorang pelajar perempuan terbaring di atas rumput tepi jalan sebelum membantu.


“Pada mulanya saya sangka dia terbabit dalam kemalangan kerana ada sebuah kereta remuk tidak jauh dari tempat kejadian dan terus meminta suami berhentikan kereta ke sebelah kiri jalan bagi membantu pelajar itu.

“Kebetulan ketika itu, seorang kakitangan Klinik Kesihatan Kuala Linggi yang melalui jalan itu mengarahkan kami menghantar mangsa ke klinik kesihatan Kuala Sungai Baru sebelum mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah,” katanya

myMetroPelajar penat berlari jatuh bas

Wanita maut kena langgar

KUALA LUMPUR: Malang tidak berbau bagi sepasang kekasih yang melintas jalan di Jalan Klang Lama, di sini, awal pagi semalam, apabila seorang terbunuh selepas dilanggar sebuah kereta.

Difahamkan, kejadian jam 5.45 pagi itu berlaku apabila pasangan kekasih berkenaan cuba melintas jalan tetapi sebuah kenderaan yang dalam perjalanan dari Puchong ke pusat bandar raya gagal memperlahankan kenderaan sebelum melanggar mereka.


Ketua Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, Kadijah Ashaari, 17, pekerja salun rambut, disahkan mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

myMetroWanita maut kena langgar

Pasangan sejoli ditahan


KUALA LUMPUR: Taktik licik sepasang kekasih membawa bekalan dadah dari utara tanah hari tidak menjadi selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sentul berjaya menghidu tindakan mereka.
Difahamkan, pasangan kekasih yang masing-masing berusia 25 dan 20 tahun itu menaiki bas untuk ke Kuala Lumpur dan mereka dicekup sejurus tiba di Hentian Puduraya jam 8 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, hasil siasatan mendapati lima bungkusan heroin seberat 2.3 kilogram (kg) disimpan kemas di dalam beg galas dibawa lelaki terbabit.
myMetroPasangan sejoli ditahan

Ikat dadah pada betis

SEPANG: Gelagat mencurigakan seorang pelancong lelaki dari Pakistan sewaktu memasuki laluan pemeriksaan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin membawa kepada penemuan tiga kilogram dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM600,000.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk M Govinden berkata, pegawai kastam yang melakukan pemeriksaan rapi terhadap lelaki terbabit menemui dadah itu terikat kemas pada betisnya selepas pemeriksaan biasa iaitu imbasan pada beg bimbit biru dibawanya tidak menunjukkan imej mencurigakan.


“Lelaki berusia 20-an itu tiba ke negara ini jam 8.30 pagi kelmarin melalui Penerbangan Malaysia (MAS) dari Karachi ke Kuala Lumpur dan dia difahamkan mahu berada di negara ini seminggu.

“Imbasan pada begnya tiada menunjukkan perkara mencurigakan, namun melihat kepada gerak-geri, malah penampilannya berseluar jeans dengan saiz lebih besar menimbulkan syak pegawai kami.


“Pegawai bertugas melakukan pemeriksaan rapi pada badan suspek sehingga menemui dua bungkus dadah heroin dengan berat setiap bungkusan adalah 1.5 kilogram diikat menggunakan tali pada betis suspek,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kargo KLIA, di sini, semalam.


Govinden berkata, heroin itu daripada jenis bermutu tinggi dengan beratnya boleh mencecah tiga kali ganda jika melalui beberapa proses, malah nilainya juga boleh mencapai hampir RM6 juta.

Katanya, tindakan lelaki terbabit yang memakai seluar lebih besar bukan saja bagi memudahkan pergerakan, malah bersama beg yang tiada bahan larangan adalah bertujuan mengaburi mata pegawai kastam.


Menurutnya, berikutan penemuan dadah itu, lelaki terbabit direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Dalam siasatan awal, pihak kami mendapati suspek pernah mengunjungi negara ini empat kali tetapi tidak pasti tujuan kedatangannya ke sini,” katanya.


myMetro | Ikat dadah pada betis