Search This Blog

Saturday, July 2, 2011

Tidak serik kena penjara

Tidak serik kena penjara

BIJANGGA - Pengalaman bermalam di lokap polis belum cukup memberi pe-ngajaran kepada dua remaja belasan tahun apabila kembali menjadi penghuni tirai besi itu setelah ditangkap pihak berkuasa kali kedua kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Menurut salah seorang suspek, titik hitam dalam hidupnya bermula apabila dia yang berasal dari Bijangga disingkirkan dari persekolahan beriku--tan masalah disiplin menyebabkan dia mencari keseronokan untuk melepaskan tekanan.

Remaja yang hanya tamat Tingkatan Empat itu berkata, kekurangan kasih sayang setelah ibu bapanya bercerai menyebabkan dia menjadi lebih liar sehingga berjaya dipengaruhi rakan sebaya untuk menjadikan aktiviti pengambilan dadah sebagai kaedah untuk melepaskan tekanan.

“Saya mula mengenali pil kuda daripada seorang rakan yang memberikannya secara percuma, perasaan ingin mencuba akhirnya menyebabkan saya menjadikan dadah sebagai satu keperluan.

“Kini segala pendapatan diperoleh hasil mengambil upah memasang khemah akan saya gunakan untuk membeli dadah, ibu pula jarang ambil tahu, ayah jauh sama sekali kerana masing-masing sudah tidak bersama,” katanya yang positif Methampethamine.

Rakannya, 19, yang turut berkongsi cerita berkata, biarpun masih baru menjadi penagih, namun dia sedar barang larangan itu hampir menghancurkan masa depannya belum pun mencecah usia 21 tahun.

Namun dia mengakui, amat sukar untuknya kembali ke pangkal jalan berikutan rakan sebayanya adalah penagih dan pe-ngedar kecil-kecilan yang sentiasa menjadikan dirinya sebagai sasaran untuk memasarkan produk haram itu.

“Kalau kita tak ‘order’ pun, dia cari kita, bila dah ‘lalok’, mesti ‘pekena’. Kalau tak, tidak senang duduk dibuatnya,” katanya yang pernah diberhentikan sekolah disebabkan masalah moral.

Kedua-duanya ditahan dalam serbuan berasingan sempena Operasi Tapis oleh polis narkotik disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya apabila ujian saringan air kencing mendapati mereka positif Methampethamine.
SH

Dua remaja didakwa miliki dadah



KUANTAN- Dua remaja yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki dadah difahamkan terpaksa ditahan di penjara setelah keluarga mereka gagal menyediakan wang jaminan ketika hadir mendengar sebutan kes itu dalam Mahkamah Majistret Kuantan, semalam.

Sebelum itu, tertuduh, Mohd Saiful Zakaria, 20 dan rakannya, Muhammad Nyatimat, 21, dari Balok dekat sini dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu sebutan laporan kimia 5 September depan.

Bagaimanapun selepas mendengar jumlah jaminan RM7,000 yang diputuskan Majistret Nordiana Abdul Aziz itu, mereka terus terkedu.

Berdasarkan tuduhan pertama dikemukakan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Mohamad Azman Ariffin, mereka didakwa memiliki enam tiub straw berisi pil WY yang disorokkan dalam bekas gula-gula.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu ketika berada di lampu isyarat Jalan Teluk Sisek menghala ke Jalan Beserah kira-kira jam 4.30 pagi, 27 Jun lalu.

Bagi tuduhan kedua, mereka didakwa memiliki 0.05 gram Methamphetamine manakala tuduhan ketiga memiliki 0.12 gram heroin dan semua bahan turut ditemui dalam bekas gula-gula sama dan dilakukan serentak dengan tuduhan pertama.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1998) (Akta 234) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama.
SH

Pemuda dipenjara 4 tahun akibat merompak



KUANTAN- Seorang pemuda dipenjara empat tahun di Mahkamah Sesyen 2, di sini semalam selepas mengaku bersalah merompak di sebuah kedai serbaneka 24 jam.

Tertuduh, Mohd Suhaimi Sabli, 20 dari Kampung Manggis, Kuala Penyu, Sabah mengaku bersalah di hadapan Hakim Fathiyah Idris ketika dihadapkan ke mahkamah buat kali pertama.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh melakukan rompakan ke atas dua pekerja kedai dengan mengacukan pisau untuk menakutkan mangsa di Jalan Bukit Ubi, pada 19 Jun lalu kira-kira jam 5.58 pagi.

Tertuduh yang juga seorang penganggur merampas 143 kotak rokok pelbagai jenama dan wang tunai sebanyak RM209.

Ketika diberikan peluang untuk merayu, pemuda itu memberikan alasan tidak mampu membayar sewa rumah dan makan selepas diberhentikan kerja di sebuah stesen minyak di sini selepas sebulan bekerja.

Dalam kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Gin Han, Fathiyah bersimpati dengan nasib tertuduh namun menjelaskan tertuduh sudah melakukan kesalahan itu dan perlu menerima hukuman sebelum menetapkan hukuman terbabit iaitu empat tahun penjara berkuat kuasa dari tarikh ditangkap iaitu 19 Jun lalu.
SH

Kaki judi ditahan positif dadah



PETALING JAYA – Lima lelaki yang juga pelanggan tetap sebuah pusat siber judi di Sungai Way ditahan selepas pemeriksaan air kencing yang dijalankan pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan mereka positif dadah jenis syabu dan ganja.

Kesemua yang ditahan berusia awal 20-an dan 30-an itu mengaku terlibat dalam kegiatan tidak sihat itu selepas tertekan berikutan mengalami kekalahan teruk setiap kali bertaruh di pusat siber berkenaan.

Operasi bersepadu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bersama Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) IPD Petaling Jaya dan AADK menyerbu tiga premis perjudian di sekitar kawasan itu.

Turut ditahan dalam operasi kelmarin ialah dua penjaga kaunter yang seorang daripadanya adalah warga emas berusia 75 tahun.

Pengarah Penguat Kuasa MBPJ, Mohd Fauzi Maarop berkata, sebanyak 29 set komputer disita MBPJ manakala 61 set lagi dirampas polis.

“Operasi dibuat bertujuan membanteras habis-habisan pusat yang tidak bermoral bagi mengelak orang ramai terjerumus ke kancah tidak sihat,” katanya.

Fauzi berkata, setakat ini pihaknya menerima banyak aduan dan rungutan khususnya daripada kaum isteri yang rata-ratanya bimbang kewujudan pusat sedemikian boleh merosakkan suami mereka apabila sebahagian besarnya menghabiskan wang gaji mereka untuk berjudi

“Pintu utama di dua premis juga terpaksa dipecahkan berikutan keengganan penjaganya untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan,” katanya.

Menurutnya, operasi bersepadu seperti itu akan dilakukan dari masa ke semasa bagi mencegah kewujudan pusat berkenaan yang masih tidak serik untuk beroperasi meskipun sudah dikenakan banyak kali tindakan.

Dalam operasi sama, peralatan di sebuah hotel di PJS 8 turut disita kerana beroperasi tanpa lesen sah.
SH

Dituduh perdaya orang awam



:SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan dari Golden Nest Properties International (M) Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan memperdaya orang awam untuk menyertai skim pelaburan haram.

Berdasarkan pertuduhan, Datuk Wong Sen Chiew, 55, didakwa memperdaya orang awam untuk menyertai skim pelaburan ‘bird nest cultivation’ yang menjanjikan pulangan tetap hingga menyebabkan orang awam membayar deposit melalui akaun syarikatnya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 366 (3) Akta Syarikat 1965 (Akta 125) yang boleh membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau RM30,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, ahli perniagaan berkenaan juga mengaku tidak bersalah terhadap 28 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti penggubahan wang haram hasil aktiviti pelaburan tanpa permit itu sejumlah RM975,000.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di pejabatnya itu, Tingkat 1, Blok A, Jaya One, Jalan Universiti, Petaling Jaya dan di beberapa bank sekitar Lembah Klang antara 2 Disember 2008 dan 1 Oktober 2009.

Bagi tuduhan penggubahan wang haram, beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a), Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001) yang boleh membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda hingga RM5 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim, Aslam Zainuddin membenarkan ahli perniagaan itu diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 4 Ogos depan.
SH

Mayat terapung



BANTING – Mayat seorang lelaki lingkungan umur 30-an ditemui terapung di Kunci Air berhampiran Sungai Lang, malam kelmarin.

Mayat dijumpai orang awam yang sedang memancing berhampiran Sungai Langat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, maklumat mengenai penemuan mayat terbabit diterima kira–kira jam 7 malam.

“Bagaimanapun, mangsa yang memakai pakaian belang biru dan putih dengan berseluar jeans itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan dipercayai mati sejak tiga hingga empat hari.

“Tiada identiti diri ditemui bersama mangsa,” katanya kepada pemberita, semalam.

Nordin berkata, mayat terbabit dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat.

Menurutnya, pihak polis masih menyiasat dan tiada menerima sebarang aduan sama ada ianya berhubung kait dengan kes jenayah atau sebaliknya.

Sehubungan itu kepada orang awam yang mempunyai maklumat atau ada ahli keluarga boleh menghubungi Ketua Balai Polis Banting, Husairin Che Hussin (012-965 4927).
SH

Mayat bayi dalam kotak kasut



KAJANG – Mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam keadaan berbalut dengan sehelai baju T putih dan diletakkan dalam kotak kasut di hentian menunggu bas berhadapan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Dukong, Kajang, semalam.

Mayat lelaki berkenaan yang dipercayai tidak cukup bulan masih bertali pusat berada dalam keadaan bersih ditemui seorang wanita yang menunggu bas kira-kira jam 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abd Rashid Abd Wahab berkata, polis menerima aduan mengenai penemuan bayi berkenaan dan bergegas ke tempat kejadian.

“Selepas wanita berkenaan membuka kotak terbabit, dia terkejut mendapati terdapat mayat seorang bayi di dalamnya lantas menelefon polis.

“Kotak berkenaan juga dilitupi dengan sehelai plastik pakai buang dan diletakkan berhadapan di kawasan hentian R&R berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dipercayai bayi berkenaan mati sebelum diletakkan di kawasan terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Mayat bayi berkenaan kini dihantar ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut dan mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan boleh menghubungi balai polis berhampiran atau di talian 03-8736222,” katanya.
SH

Kedai makan di pecah masuk



LUKUT – Seorang pengusaha kedai makan tabah menghadapi dugaan apabila kedai makan yang diusahakannya selama ini sebagai sumber pendapatan dipecah masuk pencuri minggu lalu, ketika mereka cuti selama sebulan untuk membuat persiapan majlis perkahwinan anaknya.

Mangsa, Fauziah Hashim, 50, terpaksa menanggung kerugian mencecah RM12,000 apabila suspek berjaya melarikan beras sebanyak 150 kilogram, enam tong gas, televisyen, pemain cakera video digital (DVD), peralatan memasak serta makanan ringan.

Fauziah berkata, hampir 90 peratus peralatan dapur dilarikan suspek kecuali barang yang besar dan berat tidak dicuri.

Menurutnya, kerugian itu menyebabkan dia dan suaminya terpaksa mengusahakan semula perniagaannya seperti mula-mula menjalankannya kira-kira setahun lalu, dengan mengeluarkan modal yang sama besar ketika membuka kedai makan berkenaan.

“Kedai makan ini perlu juga dibuka dan diusahakan memandangkan ia punca pendapatan keluarga di samping pekerjaan suami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kedainya, dekat sini.

Fauziah berkata, dia yakin kegiatan jenayah ini dilakukan lebih tiga orang dan menggunakan lori kerana terdapat kesan tayar lori di belakang kedai.

“Malah, terdapat beberapa barang seperti gula yang dibawa keluar tetapi ditinggalkan begitu sahaja, mungkin lori sudah penuh.

“Saya juga rasa agak terkilan kerana barang-barang di kedai ini di‘sapu’ bersih sehingga sudu dan garpu juga di bawa lari,” katanya.

Menurutnya, perniagaannya kini kembali normal dengan permulaan modal kecil-kecilan dan pelanggan juga sudah maklum dengan musibah yang menimpa.

“Kejadian ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus berniaga mencari rezeki halal berbanding pencuri itu yang meraih ‘keuntungan’ besar tetapi haram dan tidak berkat,” katanya.
SH

Pekebun rugi ribuan ringgit



ULU SEPRI – Hanya kerana kerbau, seorang pekebun, Kamaruddin Mohd Amin, 58, terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit apabila tanamannya musnah dimakan oleh haiwan ternakan berkenaan sejak 18 Jun lalu.

Kamaruddin berkata, pada awalnya dia sudah pun mengambil langkah berjumpa dengan pemilik kerbau di Kampung Ulu Sepri, namun mereka tidak mengakui binatang ternakan mereka memusnahkan tanaman di kebun yang baru diusahakan seluas 1.2 hektar berbanding keluasan sebenar iaitu 3.2 hektar.

Menurutnya, jika sebelum ini kebun yang diusahakan sejak lima tahun lalu memiliki pagar, namun dipercayai haiwan berkenaan melalui jalan dari parit dan saliran yang baru sahaja dibuat oleh agensi kerajaan.

“Saya sangat kecewa, kebun ini saya usaha dengan titik peluh sendiri tanpa mengharapkan bantuan mana-mana agensi. Malah, saya sememangnya sudah jangkakan bakal mengutip hasil pertama tiga bulan lagi dan mendapat keuntungan kira-kira RM3,000.

“Bagaimanapun, ia hanya mimpi sahaja apabila sebanyak 120 pokok pisang dan juga 20 batang pokok mangga dimusnahkan oleh haiwan berkenaan termasuk anak pokok mangga,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kebunnya.

Difahamkan, sebelum ini, Kamaruddin telah pun membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan pada 18 Jun lalu.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, dia amat berharap agar ada pihak tampil menanggung kerugian yang dialaminya, terutamanya pemilik kerbau berkenaan.

“Malah, saya berharap agar pemilik kerbau dapat mengambil langkah tepat dengan mengurung kerbau masing-masing daripada dibiarkan berkeliaran dan memusnahkan tanaman orang lain,” katanya.
SH

Tiga ditahan berhubung Bersih



SEREMBAN - Seorang lelaki ditahan polis kerana didapati mengedarkan risalah berhubung perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di perkarangan Masjid Jamek Datuk Klana Petra Sendeng, Ampangan dekat sini, selepas solat Jumaat, semalam.

Lelaki berumur 27 tahun itu dikatakan berbuat demikian pada perhimpunan aman disertai kira-kira 100 jemaah bagi membantah tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menamatkan perkhidmatan Imam 1 masjid berkenaan, Norazman Mohamad, berkuat kuasa semalam.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Deputi Superintendan Ramlan Abd Razak berkata, penahanan lelaki terbabit dibuat kira-kira 2.05 petang.

“Pemerhatian pihak polis mendapati lelaki itu mengedar risalah perhimpunan Bersih dan kita merampas sebanyak 150 risalah sama di sekitar masjid berkenaan.

“Dia kemudian dibebaskan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, sebanyak 87 risalah berkaitan perhimpunan Bersih dirampas di luar pintu utama sebuah masjid di Sikamat.

Sementara itu, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang ditahan polis selepas menghadiri majlis makan malam anjuran DAP di sekitar Titi, Jelebu, malam kelmarin.

ADUN Lukut, Ean Yong Ting Sin dan ADUN Bahau, Teo Kok Seong dipercayai memakai kemeja T Bersih berwarna kuning semasa dibawa ke Balai Polis Titi dan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Setapa Yusoff ketika mengesahkan penahanan itu berkata, dua ADUN terbabit disiasat di bawah Seksyen 50 (3) Akta Pertubuhan 1966.
SH

Babi hutan ancam penduduk



PENDANG – Penduduk di beberapa kampung dan taman perumahan sekitar tapak projek pembinaan hospital daerah di sini, bimbang berikutan sering diancam sekumpulan babi hutan yang berkeliaran di sekitar perumahan mereka.

Difahamkan tapak projek untuk pembinaan hospital daerah itu sudah terbiar lebih 15 tahun sehingga menyebabkan kawasan tapak itu ditumbuhi semak dan menjadi habitat babi.

Penduduk, Musa Ahmad, 45, berkata, penduduk sekitar kawasan itu bimbang dengan keselamatan mereka kerana sekumpulan babi hutan sering berkeliaran di situ terutamanya pada waktu malam sehingga lewat pagi.

Menurutnya, antara kampung yang terlibat adalah Kampung Banggol Pauh, Pondok Hampar Kanan, Banggol Petai dan beberapa lagi kampung lain termasuk Taman perumahan iaitu Taman Mawar, Melor, Orkid.

“Penduduk dari kawasan berkenaan takut untuk keluar kerana bimbang dicederakan babi yang keluar dari tapak projek itu.

“Selain itu, babi berkenaan turut memusnahkan tanaman penduduk,” katanya kepada Sinar Harian.

Musa berkata, bukan sahaja kawasan perumahan dan tanaman yang menjadi sasaran babi juga tanah perkuburan Islam turut diceroboh dengan merosakkan beberapa batu nisan di tanah perkuburan itu.

“Tapak projek itu sudah terbiar lebih 15 tahun namun, hanya sekali sahaja pihak berkenaan membersihkan kawasan itu.

“Sepatutnya pihak berkenaan menjaga kawasan tapak projek itu walaupun projek di tapak itu belum dijalankan,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Syed Basharudin Syed Noor, 39, berkata, pengguna jalan raya termasuk penunggang motosikal juga sering berhadapan bahaya kerana babi hutan itu turut berkeliaran di jalan raya.

“Ada pengguna jalan raya yang cedera akibat disondol babi ketika sedang menunggang motosikal.

“Kawasan itu juga turut menjadi sasaran kepada penagih dan pencuri motosikal untuk menjalankan aktiviti tidak sihat,” katanya.

Sementara itu, Harun Hamid, 59, berkata, pelbagai aduan sudah dibuat kepada pelbagai pihak namun, tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkenaan.

Sinar Harian difahamkan, ada penduduk yang memohon untuk menyewa memajukan tapak projek itu untuk tanaman pertanian sementara tapak itu dibangunkan untuk projek berkenaan namun, belum mendapat kelulusan.
SH

Budak diliwat pelajar Tingkatan 1



KANGAR – Seorang kanak-kanak lelaki enam tahun diliwat remaja 13 tahun di rumah neneknya di Kampung Bakong, Jejawi Permatang Arau, di sini kelmarin.

Mangsa pulang ke rumah neneknya di Arau bersama ibu yang bekerja sebagai tukang cuci menetap di Kuah, Langkawi dan baru beberapa hari pulang ke rumah neneknya.

Suspek adalah orang yang dikenali mangsa dan tinggal berdekatan rumah neneknya.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan Nashir Ya berkata, dalam kejadian 4.30 petang kelmarin, mangsa yang bermain diajak suspek ke sebuah pondok kosong di belakang rumah sebelum diliwat.

Beliau berkata, kejadian itu diketahui ibunya selepas mangsa yang belajar di prasekolah di Langkawi menceritakan suspek yang dipanggil abang itu melakukan perkara tidak senonoh terhadapnya di belakang rumah.

Berikutan itu, ibu mangsa yang berusia 28 tahun tampil membuat laporan di Balai Polis Arau di sini, kira-kira jam 6.25 petang kelmarin.

Bertindak atas laporan berkenaan, polis menahan suspek di Balai Polis Arau kira-kira jam 10 malam ketika dipanggil memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

“Tangkapan dibuat ketika suspek hadir ke balai polis untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

“Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan,” katanya yang mengesahkan suspek masih bersekolah dalam Tingkatan Satu di salah sebuah sekolah menengah di Arau.

Nashir berkata, Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
SH

Rampas mesin judi



SERI MANJUNG - Sebanyak 131 mesin judi berkomputer dirampas Jabatan Siasatan Jenayah (SJS) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dalam 11 serbuan terkini sepanjang Jun lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, semua serbuan yang dilakukan membabitkan 11 premis berlainan yang menjalankan kegiatan mesin perjudian.

Menurutnya, tumpuan serbuan itu juga selaras dengan status Manjung sendiri sebagai sebuah kawasan pelancongan di Perak.

“Dalam serbuan yang dibuat di sekitar daerah Manjung itu juga, kita telah berhasil menangkap 11 individu yang merupakan penjaga premis-premis yang diserbu dan juga seorang pemain.

“Sembilan daripada individu yang ditangkap merupakan lelaki Cina, manakala seorang lelaki India dan seorang lagi adalah lelaki warga Negara Vietnam,” katanya kepada media ketika ditemui di IPD Manjung, semalam.

Beliau berkata, selain mesin perjudian, polis turut melaksanakan Ops Noda yang memberi fokus serta tumpuan kepada tangkapan warga Negara asing terutama dari kalangan wanita.

Menurutnya, sebanyak lima serbuan dan pemeriksaan telah dilaksanakan sepanjang Jun lalu di premis-premis hiburan dan restoran sekitar daerah Manjung.

“Dalam serbuan yang dilakukan sepanjang bulan lalu, kita telah berjaya menangkap seramai 11 wanita warga Negara asing.

“Lapan daripada wanita yang ditangkap merupakan warga negara Vietnam, manakala tiga daripada mereka adalah warga negara Cina,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, polis juga telah mengeluarkan satu saman ke atas salah satu premis yang diserbu kerana tidak mempunyai lesen perniagaan.

Tegasnya, operasi ke atas kegiatan mesin perjudian haram serta Ops Noda akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan itu daripada berleluasa.
SH

Empat lelaki ditahan



TELUK INTAN - Dua pelajar sekolah menengah dan dua lelaki ditangkap polis kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah curi kabel milik Telekom di kawasan Bagan Datoh pada Rabu lalu.

:Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian itu, anggotanya membuat rondaan dan melihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di Sungai Lancang, Rungkup, kira-kira enam pagi.

Menurutnya, anggota polis melihat dua lelaki menjalankan kegiatan tidak bermoral itu sebelum menahan mereka dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Hilir Perak (IPD) untuk siasatan.

“Hasil soal siasat, kami mendapat maklumat mengenai dua lagi suspek yang turut terlibat dalam kegiatan jenayah itu di kawasan Bagan Datoh.

“Kami percaya, terdapat sindiket di belakang kes curi kabel milik Telekom kerana barangan itu tidak dijual di kawasan ini,” katanya pemberita di IPD Hilir Perak, semalam.

Beliau berkata, pihaknya percaya penahanan empat lelaki itu membantu menyelesaikan 10 kes kecurian kabel milik Telekom di kawasan Bagan Datoh.

Menurutnya, pihaknya juga akan membuat: siasatan ke atas pembeli besi buruk di daerah ini sebagai salah satu alternatif mengurangkan kadar kes jenayah curi besi dan kabel di kawasan ini.

“Sementara itu, kami menerima 29 laporan dibuat Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan badan politik bagi membantah Perhimpunan Bersih 2.0 yang diadakan pada 9 Julai ini.

“Buat masa ini, kami tidak menahan mana-mana pihak berkaitan Perhimpunan Bersih ,namun bersedia bertindak jika ada sesiapa yang menyalahi undang-undang,” katanya.
SH

Jiran nampak asap tebal



TANJUNG TUALANG - Sebuah kuarters kakitangan Felcra Sungai Durian di Tanjung Tualang dekat sini musnah dalam satu kebakaran yang berlaku, tengah hari semalam.

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 12.15 tengah hari, namun tiada kemalangan melibatkan nyawa berlaku kerana semua penghuninya tidak di rumah.

Mangsa, Kamaluddin Muhammad, 56, berkata, kejadian disedari jiran mereka yang bertindak menghubungi bomba sebaik melihat asap tebal dari rumah berkenaan.

Menurutnya, dia tidak pasti punca sebenar kebakaran itu dan masih menunggu siasatan daripada bomba.

“Ketika kejadian tidak ada siapa di rumah kerana saya bekerja di Sabak Bernam dan isteri pun tiada di rumah.

"Sebaik sahaja menerima panggilan dari pada jiran memaklumkan kejadian itu saya terus pulang ke rumah," katanya ketika ditemui Sinar Harian. ketika itu serta saya segera balik ke rumah sebaik saja dimaklumkan oleh jiran-jiran.

Kamaluddin berkata, akibat kejadian itu dia mengalami kerugian lebih RM50,000.

Katanya, semasa tiba di rumah, kesemua barangan termasuk dokumen penting turut musnah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, G Mahandran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu kira-kira jam 12.27 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebuah jentera bersama enam anggota bomba sampai ke tempat kejadian 20 minit kemudian malah turut mendapat kerjasama Bomba Sukarela Kampung Timah.

“Pihak kami berjaya mengawal api pada jam 1.14 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” jelasnya.

Kejadian itu turut mendapat perhatianAhli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Keshvinder Singh.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha membantu mangsa sekeluarga mendapatkan pertolongan.

Katanya, beliau bersimpati atas kejadian yang berlaku memandangkan mangsa tidak sempat menyelamatkan semua barangan milik mereka.

“Saya akan usahakan bantuan segera lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tabung bencana dari Pejabat Daerah dan Tanah untuk meringankan beban mangsa,” jelasnya.
SH

Masih tak serik



SIMPANG – Sebuah premis disewa di sebuah pasar raya di Kamunting yang menjual cakera padat digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) tetap menjalankan kegiatan sama walaupun sudah beberapa kali diserbu pihak berkenaan.

:Serbuan itu dibuat sepasukan pegawai penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Taiping diketuai Penolong Pengawai Perihal Dagangan, Mohd Affandi Samad telah membuat satu pemeriksaan ke atas sebuah premis dan menyita hampir 2,000 DVD dan VCD.

:Ketua PPDNKK cawangan Taiping, Basaruddin Mohiyuddin berkata, pemeriksaan ke atas premis berkenaan dilakukan selepas mendapat aduan mengenai urus niaga cekera padat cetak rompak.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dibuat, seorang lelaki dan wanita ditahan bersama DVD dan VCD cetak rompak yang terpamer di atas meja.

“Premis ini sudah berkali-kali di serbu sejak Operasi Gerak Gempur Cetak rompak dijalankan tahun lalu, namun pemilik premis itu masih menjalankan aktiviti yang sama,” katanya ketika ditemui :Sinar Harian.

Beliau berkata, lelaki dan wanita yang ditangkap disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 kerana mempamerkan DVD tanpa label cakera optik untuk tujuan perdagangan.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM100,000.

Katanya, kesemua barang sitaan dibawa balik ke Pejabat PPDNKK untuk siasatan lanjut.
SH

28 kapal masih ditahan



LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memaklumkan penahanan ke atas kapal negara ini di Perairan Eden semakin berkurangan apabila dilepaskan sedikit demi sedikit setelah keadaan di perairan itu dilihat selamat.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, sebanyak 28 kapal bersama 380 anak kapal masih lagi ditahan di perairan Eden.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan kehadiran Kapal Auxillary Bunga Mas 5 (BM5) memberikan impak positif di sekitar perairan negara itu.

“Sepanjang 230 hari BM5 beroperasi di perairan Eden sejak Operasi Fajar 9 dilancarkan pada 26 Februari lalu sehingga berakhir pada hari ini (semalam), kita berjaya mencatat rekod sifar kejadian buruk.

“Namun kita juga tidak menyangkal keadaan perairan itu yang kini bergelora mungkin turut menyumbang kepada pengurangan aktiviti pelanunan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menyambut Sambutan Kepulangan BM5 di Jeti Operasi, Pengkalan TLDM Lumut, semalam.

Abdul Aziz turut memaklumkan sepanjang operasi, keseluruhan kapal negara yang dilindungi BM5 yang selamat dari aktiviti pelanunan.

Menurutnya, beliau percaya kehadiran BM5 memberi gambaran mereka sentiasa berada dalam tahap kesiagaan dalam menawarkan keselamatan kepada kapal negara yang melalui perairan itu.

“Semasa ketiadaan BM5, usaha melindungi kapal negara tetap berterusan dalam bentuk perlindungan khas yang dipasang pada pengangkutan itu.

“Operasi Fajar juga akan disambung, malah TLDM juga mungkin akan menghantar sebuah kapal Auxillary lagi ke perairan Eden,” jelasnya.

Ditanya mengenai keadaan anak kapal BM5, beliau berkata, keseluruhan 13 pegawai dan 50 anggota terlibat berada dalam keadaan moral yang tinggi walaupun telah sekian lama berada di lautan.
SH

Tangkap GRO kali kedua



MANJUNG – Dua pemegang pas pelajar antara 15 wanita warga asing yang ditangkap oleh Jabatan Imegresen Cawangan Lumut dalam Ops Sayang, lewat petang kelmarin.

Ketua Jabatan Imigresen Cawangan Lumut, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Zaidi Dali berkata, ini merupakan kali ke dua dalam tempoh tiga bulan, pemegang pas pelajar ditahan kerana disyaki bekerja sebagai GRO di restoran dalam ladang sawit sekitar Sitiawan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, salah seorang wanita warga asing yang ditangkap merupakan pemegang pas pelajar Universiti Malaya (UM) manakala seorang lagi adalah pemegang pas pelajar sebuah kolej swasta sekitar Kuala Lumpur.

“Kedua-duanya adalah wanita warganegara Cina dan Jabatan Imigresen akan menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan sama ada pas pelajar yang dimiliki itu tulen atau sebaliknya.

“Kita juga akan menghubungi pihak UM dan kolej swasta berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Pejabat Imigresen Cawangan Lumut, selepas operasi, kelmarin.

Zaidi berkata, turut ditangkap, seorang wanita warga Cina yang memegang pas lawatan sosial jangka masa panjang dan isteri kepada seorang warga negara Malaysia.

“Semasa ditangkap, suami tiada bersama dan kita juga akan jalankan siasatan lanjut bagi memastikan sama ada pas yang dimilikinya tulen atau tidak, juga bagi memastikan pengeluaran pas itu secara sah dan teratur atau sebaliknya.

“Mereka ditahan kerana disyaki melanggar syarat pas lawatan dan sekiranya bersalah, tindakan pembatalan akan dibuat dan mereka akan disenarai hitam,” katanya.

Katanya, sebanyak tiga lokasi diserbu secara berturut-turut dalam Ops Sayang di sekitar Sitiawan, bermula jam 6.30 petang kelmarin.

“Serbuan pertama dibuat di Kampung Selamat, empat wanita warga Cina ditahan termasuk dua pemegang pas pelajar dan juga pemegang pas lawatan jangka masa panjang.

“Serbuan kedua dilakukan di kampung Bintang, dan lima wanita warga Vietnam ditahan ketika asyik melayan pelanggan di sebuah kedai makan dalam sebuah ladang sawit di situ,” katanya.

Kata Zaidi, serbuan ketiga telah dibuat di sebuah pusat hiburan sekitar Sitiawan pada jam 9.30 malam dan berjaya menahan enam wanita warga negara Vietnam ketika sedang asyik melayan pelanggan dalam sebuah bilik.

“Operasi dijalankan hasil daripada maklumat yang disalurkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ibu Pejabat Imegresen Putrajaya, serta telah melibatkan seramai 14 pegawai penguatkuasa dari Pejabat Imigresen Cawangan Lumut.

“Kesemua yang ditangkap kerana dipercayai bekerja sebagai GRO dan sekiranya didapati bersalah tindakan selaras dengan peruntukan Perkara 39 (b) Peraturan-Peraturan Imegresen akan diambil dan mereka akan diusir pulang ke negara asal,” katanya.
SH

Nyaris diperkosa di Arab Saudi


JAKARTA - Sungguh malang kisah Putri Suprianingsih, 27, wanita berasal dari Sumbawa, Nusa Tenggara Barat (NTB).

Ibu dua anak itu sudah lama menjadi tenaga kerja Indonesia (TKI) dan merantau ke banyak negara di Asia Barat.

Dia rela meninggalkan bangku sekolah untuk bekerja di kilang tetapi pendapatan di kampung tidak seberapa, Putri tertarik dengan tawaran wang jutaan rupiah yang boleh didapati dengan menjadi TKI.

Meskipun masih berusia belasan tahun, Putri tidak gentar dan nekad menjadi TKI dengan bantuan penaja tetapi sebelum itu, dia dikahwinkan dengan Fuad dan mendapat anak bernama Wulan, kini berusia enam tahun

"Penaja itu memperkenalkan saya kepada ejen di Jakarta," kata Putri kepada Kompas.combaru-baru ini.

Selama menjalani kursus di tempat ejen penyalur TKI di Jakarta, Putri belajar bahasa Arab, memasak sajian Asia Barat dan belajar urusan rumah tangga seperti mencuci, menyapu, dan mengganti lampin bayi.

Selesai kursus, Putri berlepas untuk merantau ke Riyadh, Arab Saudi dan selama empat tahun dia bekerja sebagai pembantu rumah di sana.

Di rumah majikannya itu, Putri harus bersedia mendengar setiap arahan meskipun kadangkala masalah bahasa menyebabkan dia dimarahi tanpa belas kasihan.

Selain bahasa, masalah budaya juga menjadi halangan kerana di Arab Saudi, seorang wanita tidak dibenarkan keluar rumah seorang diri.

Justeru, Putri sama sekali tidak mendapat waktu kelepasan dan selalu duduk di rumah, keluar hanya jika diajak oleh majikan dan dia juga tidak boleh sama sekali berhubung dengan keluarganya di kampung selama empat tahun.

Suatu hari, Putri mengalami pengalaman pahit di rumah majikannya yang dihuni oleh lima orang, termasuk adik lelaki majikannya. Malangnya, adik majikannya itu sering kali cuba menggoda Putri.

"Pada satu hari, tinggal saya dan adik majikan di rumah. Tiba-tiba dia memeluk dan menarik saya ke pangkuannya. Saya berasa takut sekali."

"Saya menangis tanpa henti. Saya merayu supaya berhenti memperlakukan saya begitu. Saya katakan, saya datang ke sini kerana bekerja untuk suami dan anak saya. Akhirnya dia menjauhi saya," ungkap Putri.

Akibat itu, Putri merayu kepada majikannya supaya menghantarnya pulang tetapi agen penyalur meminta Putri bertahan sehingga tempoh kontrak tamat.

Apabila tamat kontrak, Putri bergegas kembali ke kampung halamannya di Sumbawa dengan membawa wang 75 juta rupiah, hasil membanting tulang selama empat tahun di Riyadh.

"Wang itu untuk suami saya dan persekolahan anak saya, di samping untuk dihulurkan juga kepada ahli keluarga," ujar Putri.

Suami Putri, Fuad hanyalah seorang buruh dengan pendapatan sekitar 1 juta rupiah sebulan, tidak cukup membiayai kehidupan rumah tangga dan sekolah anak di pesantren. Justeru itu, pendapatan Putri menjadi tumpuan keluarga.

Namun, apa yang terjadi sekembalinya ke kampung sama sekali tidak pernah terlintas di fikiran Putri.

"Saya baru mendapat tahu rupa-rupanya suami saya bernikah lagi, bahkan dia sudah mempunyai anak. Keluarga saya menyangka saya sudah mati kerana tidak pernah mengirim khabar," kata Putri.

Si suami menyalahkan Putri dengan alasan dia berjauhan dan tidak pernah mengirim berita, maka dia bernikah lagi.

"Saya jatuh sakit, mengalami tekanan sampai sebulan, padahal saya bekerja untuk dia juga," tambah Putri.

Meskipun hati sudah disakiti, Putri tidak bercerai dengan suaminya dan dalam waktu terdekat ini, Putri akan berlepas ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk kembali menjadi TKI. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Ahli perniagaan didakwa kutip deposit tanpa lesen


SHAH ALAM 1 Julai - Pemilik syarikat Golden Nest Properties International (M) Bhd., Datuk Wong Sen Chiew dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengambil deposit tanpa lesen daripada orang awam melalui skim pelaburan berkaitan sarang burung.

Tertuduh turut didakwa atas 28 tuduhan mengubah dengan memindahkan wang hampir RM1 juta hasil pelaburan tersebut pada tahun 2008 dan 2009.

Dia mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainudin.

Sen Chiew didakwa memperdaya orang awam untuk menyertai skim pelaburan 'bird nest cultivation' yang menjanjikan pulangan lumayan sehingga menyebabkan mereka membayar wang ke dalam akaun syarikatnya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabatnya di Unit A-19-1, Tingkat 1, Blok A, Jaya One Jalan Universiti, Petaling Jaya dekat sini antara 28 November 2004 dan 1 Oktober 2005.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 366(3) Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda tidak melebihi RM30,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa terlibat dalam pengubahan wang tersebut dengan menggunakannya untuk membayar komisen kepada syarikat Sun Globe Marketing, membeli saham selain menerima dan menunaikan cek-cek yang kesemuanya berjumlah RM975,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabatnya serta di Ambank (M) Bhd. Cawangan SS 2 dan Public Bank Bhd. Cawangan Sea Park Petaling Jaya dekat sini antara 2 Disember 2008 dan 1 Oktober 2009.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan dibaca bersama Seksyen 87(10(b) akta yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Haziq Razali mencadangkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam S. Prakash diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Ogos ini untuk sebutan kes itu.

Pendakwaan turut dikendalikan oleh pegawai-pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Steve Chin dan Liyana Amira Kamaludin.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Maut kerana berebut bilik air


JOHOR BAHRU 1 Julai - Seorang buruh binaan warga Indonesia maut selepas ditikam rakan senegaranya, dipercayai akibat berebut bilik air dalam kejadian di Jalan Pantai, Kampung Bakar Batu di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Mat Juli, 37, dikatakan sedang menggunakan bilik air rumah sewanya itu sebelum didatangi rakannya berusia lingkungan 30-an yang memintanya keluar kerana ingin menggunakan bilik air tersebut dengan segera.

Marah selepas mangsa tidak menuruti permintaannya, suspek kemudian dipercayai menendang pintu bilik air dan berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek mengambil pisau dan menikam mangsa.

Pemilik rumah sewa berkenaan, Mohd. Hasnan Anbia, 31, berkata, pada mulanya dia menyangka bunyi bising tersebut disebabkan oleh pertengkaran suami isteri.

"Bagaimanapun, hati saya tak sedap bila lihat ramai orang sudah berkumpul di hadapan rumah mangsa sebelum melihat sendiri mangsa sudah nyawa-nyawa ikan.

"Saya tak sangka suspek sanggup bertindak demikian kerana mereka berdua bersahabat baik dan suspek sering datang ke rumah mangsa," katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob ketika mengesahkan kejadian itu berkata, dua wanita yang menjadi saksi utama kes tersebut telah memberi keterangan dan usaha menjejaki suspek masih diteruskan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Castillo ditahan lagi

KUALA LUMPUR 1 Julai - Romeo Castillo yang didakwa ejen warga Filipina untuk membawa gerakan komunis di negara ini, ditahan untuk kali kedua oleh polis ketika dalam perjalanan ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang, petang semalam.

Timbalan Setiausaha Agung sebuah parti berhaluan kiri, Partido Lakas dan Massa (PLM) serta Organisasi Hadapan Komunis di Filipina yang berusia 59 tahun itu ditahan lagi kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan parti komunis Filipina, kira-kira pukul 4 petang.

Castillo sebelum ini ditahan bersama sekumpulan 29 ahli Parti Sosial Malaysia (PSM) dan seorang warga Korea, Min Young Song, 24, di hadapan Kolej Matrikulasi Ledang, Johor pada Sabtu lalu, bagaimanapun dibebaskan keesokan harinya.

Menurut sumber, penahanan semula Castillo ketika dia bersama seorang ahli PSM dikenali sebagai Mohan dipercayai dalam perjalanan untuk pulang ke Filipina selepas siasatan mendapati dia membawa unsur-unsur komunis dan kaitannya dengan PSM di negara ini.

Kata sumber itu, Castillo ditahan mengikut Seksyen 56 (1)(1) Akta Imigresen dan akan diusir ke negara asalnya dalam masa terdekat ini supaya tindakan lanjut boleh diambil pihak berkuasa Filipina.

"Penahanannya bagi membantu siasatan unsur-unsur komunis yang kini diserap masuk ke negara bagi menjatuhkan kerajaan.

"Difahamkan, PLM telah menyerahkan satu memorandum untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Kedutaan Malaysia di Filipina pagi ini bagi mendesak pihak polis membebaskan aktivis PSM dan Castillo secepat mungkin.

"Jika tuntutan itu tidak dipedulikan, mereka akan mengadakan demonstrasi besar-besaran di hadapan kedutaan tersebut dalam tempoh terdekat ini," kata sumber itu.

Akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan agensi-agensi perisikan antarabangsa termasuk National Intelligent Coordinating Agency (NICA) mengesahkan Castillo adalah Timbalan Setiausaha Agung PLM serta Organisasi Hadapan Komunis di Filipina.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Bekas Penolong Gabenor BNM didakwa

KUALA LUMPUR 1 Julai - Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Mohamad Daud Dol Moin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menerima wang suapan berjumlah RM100,000 berhubung projek 'Percetakan Wang Polimer RM5' oleh sebuah syarikat di Australia, tujuh tahun lalu.

Mohamad Daud, 58, yang ketika itu sebagai Penolong Gabenor bagaimanapun mengaku tidak bersalah menerima wang tunai sebanyak RM50,000 daripada seorang ahli perniagaan, Abdul Kayum Syed Ahmad, 62, menerusi orang tengah.

Suapan tersebut didakwa untuk membantu mendapatkan kontrak berkaitan permohonan projek 'Percetakan Wang Polimer RM5' oleh Note Printing Australia Limited.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan RM50,000 lagi daripada orang sama bagi tujuan yang serupa di Restoran Dome, G7, aras bawah, Bangsar Shopping Center di sini pada 1 Disember 2004 dan 16 Februari 2005.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan Mohamad Daud yang diwakili peguam bela Collin Goonting diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin seperti yang dicadangkan Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup dan menetapkan sebutan semula kes pada 2 Ogos ini.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Abdul Kayum juga mohon dibicarakan atas dua tuduhan memberi rasuah RM100,000 kepada Mohamad Daud bagi mendapatkan kontrak pencetakan wang tersebut.

Tertuduh didakwa memberi suapan itu kepada Mohamad Daud melalui seorang ejen penyamaran di Eon Bank, Jalan Taipan, Subang Jaya dekat sini pada 24 November 2004 dan 15 Februari 2005.

Suapan itu sebagai dorongan untuk membantu tertuduh mendapatkan kontrak berkaitan permohonan projek pencetakan wang polimer RM5 oleh syarikat yang sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 11(b) akta tersebut dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Peguam Gurbachan Singh yang mewakili tertuduh, memohon jaminan RM100,000 yang dicadangkan oleh Manoj dikurangkan dengan alasan jumlah itu terlalu tinggi dan tidak munasabah.

Kata beliau, anak guamnya juga kini tidak mempunyai pekerjaan dan terpaksa menyara tiga anak selain isterinya juga tidak bekerja.

Hakim Asmadi Hussin membenarkan Abdul Kayum diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh yang sama bagi sebutan semula kes itu.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Tanah runtuh di Bangladesh 12 maut



Pasukan bomba dan menyelamat mengangkat mayat seorang wanita yang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di Chittagong untuk dihantar ke hospital Chittagong, semalam. - AP


DHAKA 1 Julai - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di tenggara Bangladesh hari ini ekoran hujan lebat.

Menurut polis dan saksi, sekurang-kurangnya 17 orang yang lain tertimbus ekoran kejadian itu di kawasan perumahan di bandar Chittagong, kira-kira 300 kilometer ke tenggara Dhaka.

Pegawai bomba dan pertahanan awam berkata, 12 mayat telah dijumpai dan usaha mencari mangsa yang hilang masih diteruskan.

Menurut seorang pegawai, hujan selama tiga hari berturut-turut telah menyebabkan tanah runtuh dan pasukan tentera telah dipanggil untuk membantu operasi menyelamat.

Pada Jun 2007, sekurang-kurangnya 121 orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di Chittagong. - dpa

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Bekas Pengarah Urusan IMF mungkin dibebas



Gambar fail bertarikh 6 Jun, 2011 merakamkan Strauss-Kahn (tengah) meninggalkan bangunan Mahkamah Jenayah di New York atas dakwaan serangan seksual. - AFP


NEW YORK 1 Julai - Sebuah media tempatan melaporkan dakwaan melakukan serangan seksual terhadap seorang pekerja hotel yang dikenakan ke atas bekas Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) Dominique Strauss-Kahn mungkinan digugurkan.

Akhbar New York Times, yang memetik sumber mengenai kes itu melaporkan terdapat keraguan dalam dakwaan yang dikemukakan terhadap Strauss-Kahn.

Sehubungan itu, Strauss-Kahn, 62, yang ditahan pada 14 Mei lalu mungkin dibebaskan daripada tahanan di rumah selewat-lewatnya hari ini.

"Strauss-Kahn mungkin dibebaskan dan tidak perlu lagi menjalani tahanan di rumah, perkara itu menggambarkan dakwaan jenayah yang dikenakan ke atasnya tidak akan diteruskan," lapornya.

Peguamnya, Benjamin Brafman berkata, anak guamnya itu akan hadir di mahkamah New York hari ini pada pukul 11.30 pagi waktu tempatan untuk mendapatkan perubahan bagi syarat-syarat ikat jaminnya.

Dalam pada itu, pekerja hotel berusia 32 tahun itu dipercayai berbohong banyak kali berhubung isu gangguan seksual yang dilakukan ke atasnya.

Pihak pendakwa raya menemui beberapa isu melibatkan permohonan suaka politik yang dikemukakan pekerja terbabit, malah dia berkemungkinan terlibat dengan aktiviti jenayah termasuk mengedar dadah dan pelaburan wang haram.

Selain itu, wanita berkenaan juga dikatakan menghubungi seorang tahanan lelaki bagi membincangkan faedah yang boleh diperolehi dalam meneruskan dakwaan terhadap Staruss-Kahn dan perbualannya itu telah dirakam.

Sehubungan itu, pihak pendakwa raya berasa ragu-ragu dengan dakwaan yang dilakukannya.

Strauss-Kahn meletakkan jawatan daripada IMF pada 19 Mei lalu serta mengaku tidak bersalah atas dakwaan itu pada 6 Jun lalu yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 25 tahun. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

2 anak syarikat Bank Pusat Australia didakwa


CANBERRA 1 Julai - Polis Australia hari ini mendakwa dua anak syarikat bank pusat kerana dikatakan merasuah pegawai-pegawai di Malaysia, Indonesia dan Vietnam antara 1999 dan 2005 untuk membantu mendapatkan kontrak mencetak wang kertas.

Menurut polis, enam orang turut didakwa selepas penyiasatan kes itu selama dua tahun, yang telah memalukan Bank Rizab Australia (RBA).

Securency International Pty Ltd yang separuh dimiliki RBA dan syarikat yang menghasilkan polimer bagi duit kertas serta sebuah syarikat yang dimiliki RBA sepenuhnya, Note Printing Australia Limited (NPA) yang mencetak duit kertas, didakwa berhubung kes itu.

Gabenor RBA, Glenn Stevens berkata, semua lelaki yang didakwa itu tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan dengan syarikat tersebut atau RBA.

"Kami amat kesal kerana pengurusan pentadbiran di dalam syarikat ketika itu tidak dapat mengelak atau mengesan perlakuan tersebut yang akhirnya membawa kepada pendakwaan hari ini," katanya.

Pengerusi Securency, Bob Rankin berkata, syarikatnya telah meminta polis pada 2009 untuk menyiasat tentang tuduhan rasuah itu dan memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang penyiasatan itu dijalankan.

Sejak dakwaan itu muncul, Securency telah menggantikan lima orang eksekutif kanan mereka dan memperketatkan etika amalan perniagaan.

Securency dan NPA boleh dikenakan denda sehingga AS$350,000 (RM1.05 juta) atas setiap dakwaan.

Jika sabit kesalahan pula, enam orang lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sehingga 10 tahun dan denda sehingga AS$1.1 juta (RM3.3 juta). - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Demokrat yakin menang besar



Abhisit (tengah) diiringi beberapa pemimpin Parti Demokrat mengadakan kempen di Bangkok, semalam. - REUTERS


BANGKOK 1 Julai - Parti pemerintah, Parti Demokrat yakin memenangi semua kerusi di selatan Thailand dan di ibu negara ini, tetapi mengakui menghadapi saingat kuat daripada parti pembangkang, Pheu Thai di bahagian utara dan timur laut negara ini.

Ketua Penasihat Parti Demokrat, Chuan Leekpai berkata, parti pemerintah itu mempunyai peluang besar untuk memenangi semua kerusi di selatan atau sekurang-kurangnya lebih banyak kerusi berbanding pilihan raya sebelum ini.

"Kami hanya mungkin menghadapi saingan daripada Parti Pheu Thai di utara dan timur laut negara ini.

"Namun, kami jangka dapat merebut lebih banyak kerusi di dua kawasan tersebut," kata bekas Perdana Menteri Thailand itu yang membantu kempen calon-calon Parti Demokrat di wilayah Phatthalung dan Nakhon Si Thammarat di selatan Thai.

Beliau berkata, Parti Demokrat juga akan meraih sokongan di Bangkok berbanding parti lain berdasarkan keyakinan yang tinggi di kalangan rakyat terhadap parti pemerintah itu.

Dua hari menjelang pilihan raya umum Ahad ini, calon-calon yang bertanding hari ini mengadakan perarakan terakhir dalam usaha meraih sokongan daripada rakyat di kawasan pilihan raya masing-masing.

Sementara itu, rakyat Thai boleh berhadapan hukuman penjara sekiranya mereka berkempen melalui rangkaian sosial seperti Twitter pada pilihan raya kali ini.

Lebih 100 anggota polis telah ditugaskan mengawasi laman-laman web sosial bagi memastikan peraturan itu dikuat kuasakan.

Peraturan itu melarang orang ramai membuat sebarang komen tentang calon atau parti bermula pukul 6 petang esok hingga tengah malam Ahad semasa pengumuman keputusan pilihan raya.

Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan sengit antara Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva dengan Yingluck Shinawatra daripada Parti Pheu Thai yang cuba merebut jawatan tersebut. - Agensi/Reuters/AP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Kejutan surat saman


KUALA LUMPUR: Belum sampai setahun menggunakan kereta pertamanya, seorang jurujual terkejut selepas beberapa surat saman dihantar ke alamat kediamannya di Bandar Sri Damansara, di sini, sejak awal tahun ini.
Mangsa dikenali sebagai Poong, 23, yang membeli Perodua Myvi menggunakan nombor pendaftaran WSV5270 pada 27 Julai 2010 mendapati ada pihak lain menggunakan nombor itu pada kenderaan mereka.

Kejadian disedari Poong selepas menerima sepucuk surat saman daripada Balai Polis Subang, 27 Januari lalu, mengatakan kenderaannya terbabit kes langgar lari pada 27 Disember 2010.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, mangsa terkejut kerana dia tidak pernah langsung terbabit mana-mana kemalangan tetapi segera ke balai bertanyakan surat itu.

“Poong tidak pernah melalui kawasan seperti dinyatakan dalam surat itu.

“Polis meminta mangsa menghubungi individu membuat laporan terbabit dan individu itu mendakwa, kereta yang melanggarnya pada hari kejadian dipandu lelaki lain,” katanya.

Selepas itu, Poong dinasihatkan polis berhubung dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menggugurkan saman terbabit dan dia menurutinya.

Bagaimanapun, baru-baru ini, pada 21 Jun, Poong sekali lagi menerima surat saman atas kesalahan memandu melebihi had laju pada 2 Jun di Kilometer 383, Lebuhraya Utara-Selatan, padahal dia tidak pernah melalui kawasan itu. Mangsa merujuk perkara itu ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan melalui gambar rakaman diberikan polis, kereta itu bukan miliknya kerana berlainan model, malah mempunyai antena sedangkan keretanya tiada.
Sehubungan itu, Poong membuat laporan polis kerana mengesyaki plat keretanya disalah guna individu lain.

Sehingga semalam, mangsa menerima lima saman trafik bukan miliknya, malah Poong pernah ke Ipoh membayar dua saman RM600.

Chong berkata, mungkin terdapat kesilapan teknikal dari segi pendaftaran nombor kenderaan, namun tidak menolak kemungkinan ada pihak menyalahgunakan nombor pendaftaran itu.
myMetro | Kejutan surat saman

Minum ubat luput tarikh


JERANTUT: Seorang kerani sekolah, Mohd Fahmi Zulkifli, 26, dari Felda Kota Gelanggi 1, di sini, mendakwa mengalami muntah dan cirit-birit selepas makan dua sudu ubat batuk yang tamat tarikh luput diberikan Hospital Jerantut, kelmarin.
Mangsa dipercayai mengalami kesan sampingan akibat minum ubat batuk tamat tempoh dibekalkan hospital berkenaan.

“Saya bersama isteri batuk sejak dua tiga hari lalu, tetapi hanya saya pergi ke Hospital Jerantut untuk mendapatkan rawatan lanjut. Sebaik pulang dari hospital, saya terus minum dua sudu ubat batuk itu.
“Namun, tidak lama selepas itu, tiba-tiba kepala pening dan muntah-muntah selain mengalami cirit-birit.

“Saya hanya tahu punca muntah dan cirit-birit selepas melihat tarikh luput tercatat pada botol ubat itu. Tarikh yang tertera 30 Mei 2011,” katanya.

Menurutnya, dia pergi semula ke hospital berkenaan, semalam memaklumkan mengenai kesilapan itu.
“Saya bertemu seorang petugas lelaki di hospital dan memberitahu mengenai ubat yang sudah tamat tempoh serta kesan sampingan saya alami.

“Namun, saya kecewa, petugas terbabit menyatakan ubat itu tidak ada apa-apa, cuma kurang memberi kesan kepada pesakit, tetapi tidak memudaratkan,” katanya.
Mohd Fahmi kesal dengan jawapan diberikan petugas terbabit kerana pihak hospital sepatutnya bertanggungjawab terhadap kesalahan dilakukan.

Dia berkata, pihak hospital sepatutnya melupuskan semua ubat sudah tamat tempoh dan berharap perkara sebegitu tidak berulang pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengarah Hospital Jerantut, Dr Devaraj Salam berkata, pihaknya amat kesal dengan kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku itu.

“Ini kejadian pertama dan saya juga kesal dengan sikap petugas yang memberitahu pesakit ubat yang tamat tempoh tidak memberi kesan sampingan.

“Kedua-dua kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh memudaratkan pesakit,” katanya selepas menziarahi Mohd Fahmi di Felda Kota Gelanggi 1, dekat sini, sejurus mangsa pulang ke rumahnya, semalam.

Dr Devaraj berkata, pihaknya sudah mengambil maklumat serta butiran kejadian daripada Mohd Fahmi dan pemeriksaan lanjut ke atas mangsa akan dijalankan serta-merta kerana bimbang sekiranya kesan sampingan dialami berlarutan.

Bagaimanapun, beliau berkata, muntah dan cirit-birit dialami Mohd Fahmi berkemungkinan berpunca daripada masalah alahan ubat.

“Kami akan membuat siasatan berhubung kejadian itu dan tindakan akan diambil terhadap petugas yang melakukan kesalahan itu,” katanya.
myMetro | Minum ubat luput tarikh

Merangkak naik bukit


KOTA TINGGI: “Saya sedang tidur apabila bas tiba-tiba terbalik dan dalam masa sama, semua penumpang menjerit. Ketika itu, pelbagai gambaran ngeri bermain di fikiran,” kata Siti Maisura Ismail, 20, di sini, semalam.
Maisura yang juga seorang daripada 21 penumpang bas ekspres dari Kuala Terengganu, Terengganu menuju ke Terminal Pengangkutan Awam Larkin di sini, terselamat apabila kenderaan berkenaan terbalik di lereng bukit di Kilometer 47.5, Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, kira-kira jam 6.15 pagi.

Menurut pelajar semester lima, Politeknik Kuala Terengganu dalam bidang Teknologi Maklumat itu, dia mengalami calar di muka dan cedera di tangan kiri akibat kejadian.
“Rakan sekolej, Shazwani Salimin yang berusia 20 tahun tercampak keluar tetapi tidak cedera serius dan dia hanya tersedar selepas terbaring di dalam semak.

“Mangsa lain termasuk saya merangkak keluar dari bas sebelum dibantu orang ramai yang melalui jalan berkenaan,” katanya.

Anuar Ibrahim, 24, dari Kuala Terengganu, berkata dia sedar bas itu hilang kawalan sebelum terbalik.
“Bagaimanapun, saya tidak mampu berbuat apa-apa sebaliknya hanya bertawakal kepada Allah.

“Saya keluar melalui tingkap belakang bas dipecahkan. Ketika itu, saya lihat ramai merangkak menaiki bukit dengan bantuan pengguna jalan raya lain,” katanya yang dalam perjalanan ke Pasir Gudang bagi mencari pekerjaan.
Sementara itu, guru pengakap dari Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Hamida, 30-an, berkata, dia mengetuai tujuh pelajar untuk melakukan kerja amal di Setiu, Terengganu selama dua minggu.

“Kami baru selesai menjalankan tugas berkenaan dan tidak sangka terbabit nahas ini. Dua anggota kami hanya mengalami calar,” katanya.

Lapan penumpang bas berkenaan termasuk pemandunya yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) oleh orang ramai.

Semua berada dalam keadaan stabil kecuali pemandu bas yang patah bahu dan terpaksa ditahan di wad.
myMetro | Merangkak naik bukit

Pemandu patah tulang bahu


KOTA TINGGI: Seramai 21 penumpang dan seorang pemandu bas ekspres dari Terengganu ke Terminal Pengangkutan Awam Larkin di sini, terselamat daripada maut apabila kenderaan berkenaan terbalik di lereng bukit di Kilometer 47.5, Jalan Johor Bahru-Mersing di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu, pemandu bas itu cedera parah dan tujuh penumpang cedera ringan selepas bas berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas kira-kira 40 meter dan terbalik di lereng bukit berhampiran kilang papan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot, berkata bas berkenaan bertolak pada jam 10.30 malam sebelumnya.
“Lapan penumpang termasuk pemandunya yang patah tulang bahu dihantar orang ramai ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk mendapatkan rawatan sejurus kejadian.

“Mangsa termasuk lapan pengakap dari Singapura yang baru menamatkan kerja amal di Setiu, Terengganu dan dalam perjalanan pulang ke republik berkenaan,” katanya di lokasi kejadian.

Menurut beliau, hanya pemandunya cedera parah, manakala tujuh penumpang lain cedera ringan.
Beliau berkata, pihaknya merekodkan keterangan penumpang dan hanya menunggu mengambil keterangan pemandu.

“Pengurusan syarikat bas ekspres berkenaan turut menghantar sebuah kren untuk menarik kenderaan itu.
“Mereka turut menyediakan bas gantian kepada penumpang, malah mendokumentasikan keterangan diri mangsa untuk proses selanjutnya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.
myMetro | Pemandu patah tulang bahu

Geng Iskandar punah


RAMPAS...Zakaria (kanan) menunjukkan pakaian polis dan barangan curi yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS...Zakaria (kanan) menunjukkan pakaian polis dan barangan curi yang dirampas daripada suspek.

KUALA LUMPUR: Bergiat aktif dalam jenayah samun, pecah rumah dan curi kereta sejak 18 bulan lalu, satu kumpulan jenayah yang digelar ‘Geng Iskandar’ tumpas apabila polis menyerbu sebuah kondominium yang dijadikan markas serta tempat simpanan pelbagai barangan curi.
Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam pada 23 Jun lalu di Jalan Ipoh, di sini, empat suspek termasuk ketua kumpulan terbabit yang dikenali sebagai Iskandar diberkas dan ratusan barangan curi dirampas antaranya tujuh kereta, dua motosikal, pelbagai barang elektrik dan barang kemas.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata semua barang curi itu dianggarkan bernilai melebihi RM2 juta dan kumpulan terbabit dipercayai menjalankan kegiatan mereka di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Kelantan.
“Selain pelbagai barang curi dalam kondominium itu, kami merampas pelbagai senjata berbahaya seperti pedang samurai, keris, kerambit, parang dan beberapa peralatan serta pakaian pihak berkuasa termasuk polis dipercayai digunakan untuk menyamar sebelum menyamun mangsa.

“Pemeriksaan awal mendapati, semua suspek yang ditahan iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan berusia 21 tahun mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan dadah,” katanya di sini, semalam. Menurutnya, polis percaya kumpulan terbabit mencuri lebih tujuh kereta berikutan penemuan 32 lagi kunci kereta dalam kondominium itu dan pihaknya kini giat mengesan semua kenderaan berkenaan selain mengenal pasti semua pemilik 41 kategori barangan yang dicuri.

“Kumpulan terbabit ketika ditahan cuba bertindak agresif dan hasil ujian air kencing mendapati keempat-empat suspek positif dadah.
“Dengan tumpasnya geng terbabit, kami percaya dapat selesaikan 31 kes membabitkan samun, pecah rumah dan curi kereta. Siasatan juga giat dilakukan bagi mengesan saki baki anggota kumpulan itu,” katanya.myMetro | Geng Iskandar punah

Mayat reput ditemui terapung di kunci air


BANTING: Misteri bau busuk dihidu orang ramai yang melalui pesisir Sungai Langat, di sini, terbongkar apabila mayat seorang lelaki sudah reput dan berulat ditemui terapung di kunci air Sungai Lang, kira-kira jam 7.30 malam kelmarin.
Ketua Balai Polis Banting, Inspektor Khusairin Che Hussin, berkata pihaknya menerima laporan penemuan mayat terbabit daripada orang awam dan mayat itu dibawa naik kira-kira sejam kemudian. Menurutnya, polis dengan bantuan bomba dan penyelamat mendapati mayat lelaki yang berbadan gempal berusia 40-an itu sudah reput kerana berada dalam air terlalu lama.

“Mangsa dipercayai lemas selepas polis mendapat keputusan bedah siasat daripada Hospital Banting.
“Kami bagaimanapun belum mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya.

“Keadaan mayat mangsa yang sudah reput dan hitam menyukarkan polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa,” katanya.

Menurutnya, mayat yang ditemui itu lengkap berpakaian iaitu kemeja-T belang warna biru putih dan seluar jeans biru dan dipercayai mati empat hari.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini polis menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah berhubung penemuan mayat dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

“Laporan pihak hospital menunjukkan hasil bedah siasat terhadap mayat itu tidak menemui sebarang kecederaan fizikal. “Kami percaya mayat itu mempunyai saudara terdekat dan waris boleh membuat pengesahan dan menuntut mayat”, katanya.
Orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat penemuan mayat itu diminta hubungi Inspektor Khusairin Che Hussin di talian 012-9654927 atau balai polis berdekatan.
myMetro | Mayat reput ditemui terapung di kunci air

Jasad bayi di hentian bas


ANGGOTA Polis mengangkat mayat bayi yang ditinggalkan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Dukung Lebuhraya Cheras-Kajang untuk dihantar ke Hospital Serdang. (01/07/2011)
ANGGOTA Polis mengangkat mayat bayi yang ditinggalkan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Dukung Lebuhraya Cheras-Kajang untuk dihantar ke Hospital Serdang. (01/07/2011)
KAJANG: Seorang wanita berusia 20-an terkejut apabila mendapati beg plastik berwarna hijau yang diletakkan dalam sebuah kotak di perhentian bas berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Dukung, Lebuhraya Cheras-Kajang, dekat sini, mengandungi mayat bayi lelaki, semalam.
Difahamkan, bayi yang tidak cukup bulan itu dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditinggalkan di situ.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid, berkata bayi itu ditemui kira-kira jam 3.30 petang oleh seorang wanita yang menunggu bas di situ sebelum melaporkan kepada polis.
Katanya, setakat ini tiada maklumat berhubung individu yang bertanggungjawab dan siasatan masih dijalankan.

Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
myMetro | Jasad bayi di hentian bas

Lori balak dihimpit masuk longkang


KUANTAN: “Saya lihat lori balak yang dipandu mangsa dihimpit sebuah lori lain sebelum kenderaan berat itu terbabas ke kiri dan terjunam dalam longkang,” kata Azri Mohamed Riduzan, 29, yang menyaksikan kemalangan membabitkan dua lori di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa pemandu lori balak berusia 50-an dan tinggal di Air Putih, di sini, terselamat walaupun parah di beberapa bahagian badan dan kepala.

Mangsa dikeluarkan orang ramai sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dengan bantuan ambulans.
Difahamkan, kemalangan terbabit mengakibatkan balak dibawa mangsa bertaburan di jalan, sekali gus mengundang kesesakan luar biasa sepanjang lebih satu kilometer di kedua-dua laluan.

Menceritakan semula kejadian itu, Azri berkata, dia yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke bandar dari Taman Tas berada di belakang lori balak terbabit.

Menurutnya, ketika menghampiri selekoh yang agak sempit, sebuah lori di laluan kanan menghimpit lori mangsa menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke dalam longkang.
Katanya, selepas melihat kejadian itu, pemandu yang menghimpit lori mangsa berhenti seketika di tepi jalan sebelum melarikan diri.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya melihat lori dipandu mangsa seolah-olah melayang ke kiri jalan dan terjunam dalam longkang manakala balak bertaburan di atas jalan.
“Melihat keadaan cemas, beberapa orang awam membantu mengeluarkan mangsa dan mematikan enjin kerana terdapat tumpahan diesel,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Menurutnya, pada masa sama, isteri mangsa dihubungi untuk memaklumkan kemalangan itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, berkata identiti mangsa belum dikenal pasti dan polis meminta orang ramai mempunyai maklumat berhubung lori yang menyebabkan kemalangan itu tampil di Balai Trafik Kuantan untuk membantu siasatan.

“Mangsa menerima rawatan lanjut di HTAA, Kuantan,” katanya.
myMetro | Lori balak dihimpit masuk longkang

Serangan suami ganas


AMPANG: Hanya kerana bengang isteri tidak mahu tinggal bersama, seorang lelaki berusia lewat 30-an menikam isterinya beberapa kali dengan pisau kecil selain menumbuk leher wanita terbabit, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, wanita berusia 36 tahun itu membuat laporan polis berhubung tindakan suaminya menyerangnya di rumah keluarganya di Pandan Jaya, di sini.

Menurut sumber, bertindak atas laporan mangsa, polis menghubungi lelaki terbabit supaya tampil memberikan keterangan di menyebabkan dia berang.
“Mungkin marah dengan isterinya yang membuat laporan terhadapnya menyebabkan dia mengekori mangsa ketika dalam perjalanan pulang ke rumah,” katanya.

Difahamkan, sebaik mangsa turun dari teksi, lelaki terbabit memaki-hamun mangsa dan menikam tangan kiri mangsa bertubi-tubi. Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
myMetro | Serangan suami ganas

Suri rumah mati akibat dicekik


KUANTAN: Tanda tanya punca sebenar kematian seorang suri rumah yang ditemui maut selepas bertengkar dengan suaminya di sebuah rumahnya di Lorong Sri Setali, di sini, Selasa lalu, terjawab selepas bedah siasat mendapati mangsa mati akibat dicekik.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, berkata laporan penuh bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan kelmarin, mendapati mangsa dicekik di leher manakala empat tulang rusuknya patah.

Menurutnya, polis sudah menahan suami mangsa yang berusia 51 tahun sejurus selepas lelaki itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kuantan apabila mengetahui dirinya dicari pihak berkuasa sejak penemuan mayat isterinya itu.
Katanya, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit dan mengklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kes terbabit masih dalam siasatan dan siasatan akan dilakukan dengan teliti dan telus,” katanya, semalam.
myMetro | Suri rumah mati akibat dicekik

Disamun ketika hantar surat


AMPANG: Seorang lelaki kerugian lebih RM4,000 apabila disamun dua lelaki bersenjatakan pisau di Pandan Indah, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, lelaki berusia 23 tahun terbabit yang bekerja sebagai penghantar surat sedang menunggang motosikal dalam perjalanan melakukan tugasnya sebelum dia dihampiri kumpulan berkenaan.

Sumber berkata, mangsa tidak menyangka dua lelaki berusia 20-an terbabit yang bersama menunggang motosikal bersebelahannya adalah penjenayah.
“Sebaik tiba di satu kawasan sunyi, kedua-dua suspek menghalang motosikal mangsa menyebabkan mangsa terpaksa memberhentikan motosikalnya itu.

“Secara tiba-tiba pembonceng motosikal itu mengeluarkan pisau menyebabkan mangsa terkejut.

“Lelaki itu mengacukan pisau berkenaan ke arah leher suspek sebelum menyuruh mangsa menyerahkan dompet,” katanya.
Mangsa yang dalam ketakutan dikatakan segera mengeluarkan dompet dari dalam poket seluarnya lalu diserahkan kepada suspek.

“Suspek segera memecut laju motosikalnya. Mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
myMetro | Disamun ketika hantar surat

Datuk nafi ubah duit haram


SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan mengambil deposit daripada peserta skim pelaburan sarang burung anjuran syarikatnya dan 29 tuduhan menggubah wang haram membabitkan hampir RM1 juta.
Tertuduh, pemilik Golden Nest Properties International (M) Berhad Datuk Wong Sen Chiew, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin. Mengikut pertuduhan pertama, Wong didakwa memperdaya dan mengambil deposit daripada orang awam dengan menjanjikan jaminan pulangan tetap menerusi skim dinamakan ‘bird nest cultivation’. Dia didakwa mengikut Seksyen 366 (3) Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM30,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Wong turut didakwa atas 28 pertuduhan penggubahan wang RM975,580.61 yang diterimanya hasil daripada skim itu dengan menunaikannya, membeli saham dan membayar komisen. Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat syarikatnya di Unit A-19-1, Tingkat 1, Blok A, Jaya One, No 72A, Jalan Universiti, Petaling Jaya dan beberapa bank di sekitar Lembah Klang, antara 2 Disember 2008 dan 1 Oktober 2009. Bagi setiap pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Ia memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM200,000 atas alasan mengambil kira jumlah wang dalam semua pertuduhan. Bagaimanapun, peguam tertuduh, S Prakash memohon jumlah itu dikurangkan berikutan tujuan ikat jamin adalah memastikan kehadiran anak guamnya sepanjang perbicaraan. Aslam memerintahkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin untuk semua pertuduhan.
Mahkamah menetapkan 4 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen. Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Haziq Dhiyauddin Razali dan Pegawai-pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Steve Chin dan Liyana Amira Kamaludin. Pada 18 Mac tahun lalu, Wong atas kapasiti Pengarah Urusan Syarikat Four Sea Hardware Sdn Bhd, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas dua pertuduhan menawarkan skim pelaburan sarang burung yang tidak diiktiraf.
myMetro | Datuk nafi ubah duit haram

Beg bocor


PEGAWAI Jabatan Perikanan Malaysia berjaya merampas 82 ekor ikan Arowana yang cuba diseludup ke luar negara dari KLIA dengan menggunakan bagasi. (01/07/2011)
PEGAWAI Jabatan Perikanan Malaysia berjaya merampas 82 ekor ikan Arowana yang cuba diseludup ke luar negara dari KLIA dengan menggunakan bagasi. (01/07/2011)
PUTRAJAYA: Taktik seorang lelaki memasukkan 82 ikan arowana ke dalam tiga bagasi untuk diseludup ke China gagal, selepas beg plastik yang diletakkan berasingan di dalam bagasi terbabit bocor.
Lelaki berusia 30-an itu ditahan penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kira-kira jam 11 pagi, pada 22 Jun lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selepas disyaki cuba menyeludup ikan arowana yang dikategorikan sebagai spesies terancam itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Perikanan Malaysia, Ismail Abu Hassan berkata, ketika kejadian, pihak keselamatan Penerbangan Malaysia (MAS) mengesyaki sesuatu yang tidak kena selepas didapati bagasi yang dibawa lelaki berkenaan mengeluarkan air.
“Hasil pemeriksaan mendapati, lelaki terbabit disyaki cuba menyeludup 82 ikan arowana spesies ‘Scloropages Formosus’ yang berukuran antara 12 hingga 15 sentimeter (sm) dianggarkan bernilai RM150,000 ke Canton, China.

“Kita percaya lelaki berkenaan cuba membawa keluar ikan itu tanpa prosedur yang sah seperti tidak mempunyai permit dan ikan terbabit tidak disuntik cip ke dalam badannya. “Semua ikan yang dirampas itu diserahkan kepada Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor, sementara suspek ditahan untuk disoal siasat,” katanya, semalam.

Bagaimanapun, Ismail berkata, suspek kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM500.
Beliau berkata, ikan terbabit adalah spesies yang terancam dan dilindungi serta tersenarai di bawah Jadual Pertama Akta Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

Katanya, kes menyeludup ikan arowana adalah yang pertama pada tahun ini selepas dua kes dilaporkan pada tahun lalu iaitu pada Mac dan Mei 2010.
myMetro | Beg bocor

Remaja hamil 7 minggu diperkosa teman lelaki


AMPANG: Punca seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang sering ponteng sekolah akhirnya terbongkar apabila bapanya mendapati dia mengandung tujuh minggu dipercayai dirogol teman lelakinya sebaik membuat pemeriksaan di sebuah klinik pada 22 Jun lalu.
Sebaik mengetahui anak gadisnya mengandung dipercayai dirogol, bapa mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Hulu Klang pada 26 Jun lalu.

Menceritakan semula kejadian, sumber berkata, bapa mangsa mula mengesyaki sesuatu yang pelik terhadap anak gadisnya apabila guru sekolah mangsa menghubungi bapanya untuk bertanyakan punca mangsa tidak hadir ke sekolah selama tiga hari.
“Mangsa mengaku teman lelakinya yang berusia 19 tahun, sering menjemputnya dari sekolah dan pusat tuisyen sebelum merogol mangsa di dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan berhampiran Taman Melawati.

“Sebaik mengetahui anaknya diperlakukan sedemikian, bapa mangsa kemudiannya mengambil keputusan membawa mangsa menjalani pemeriksaan ultra bunyi di sebuah klinik di Keramat,” katanya. Sumber berkata, sewaktu mangsa bersekolah di tingkatan satu, suspek bertindak berani apabila melarikan mangsa selama tiga hari sebelum dia berjaya dijumpai sebaik anggota polis membuat pemeriksaan di sebuah apartmen di Taman Melati.

“Selepas kejadian kira-kira tiga tahun lalu, bapa mangsa menasihatkan suspek supaya tidak lagi berkawan dengan anaknya kerana bimbang perkara sama akan berulang,” katanya. “Suspek yang degil tetap berkawan dengan mangsa sebelum bapa mangsa mengambil keputusan untuk menukar mangsa bersekolah di tempat lain dengan harapan suspek tidak lagi berkawan dengan mangsa,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.
myMetro | Remaja hamil 7 minggu diperkosa teman lelaki

Mentua tidur dalam hutan


KUANTAN: Seorang warga emas, Mah Radzuan, 84, ditemui dalam keadaan lemah serta tidak mampu berjalan selepas tersesat selama 24 jam di kawasan hutan ladang Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Jaya Gading di Kampung Padang Jaya, di sini, semalam.
Ketika kejadian, mangsa dipercayai mengalami masalah ingatan bersama ahli keluarganya melakukan kerja membersih kebun buah-buahan sebelum dikatakan merayau dan tersesat sejauh kira-kira tiga kilometer.

Menantunya, Zainab Dayan, 58, yang turut sama bersama mangsa ketika kejadian berkata, mereka tidak sedar bila mentuanya itu keluar dari kawasan kebun sambil membawa parang dan tin cat.
Menurutnya, mereka hanya mengetahui mangsa hilang apabila mendapati dia tiada di kawasan kebun berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari, selepas usaha mengesan selama lebih tiga jam gagal dan terus memaklumkan kepada penduduk kampung memulakan operasi mencari mulai jam empat petang kelmarin.

“Kami membuat laporan polis jam enam petang kelmarin dan operasi mencari dilakukan lebih 80 anggota polis, Bomba dan Penyelamat, Rela termasuk penduduk kampung serta dibantu tiga ekor anjing Unit K9 polis yang bergerak secara berkumpulan.

“Saya tidak menolak kemungkinan kejadian ini ada kaitan dengan makhluk halus kerana sebelum kejadian mentua saya murung dan tidak ceria seperti biasa,” katanya yang bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terbabit dalam operasi mencari itu.
Sharif Saal, 53, individu pertama menemui mangsa, berkata jarak mangsa ditemui dari kebun keluarganya ialah kira-kira tiga kilometer iaitu di kawasan hutan berhampiran ladang kelapa sawit.

Menurutnya, ketika ditemui mangsa lemah dan tidak mampu berdiri disebabkan lapar kerana tidak makan dan minum selama 24 jam.
“Ketika ditemui mangsa terbaring di atas rumput dan lalang dan saya tidak menolak kemungkinan dia tidur di situ malam kelmarin,” katanya.

“Saya tidak menyangka mangsa mampu berjalan begitu jauh kerana keadaan fizikalnya yang lemah,” katanya yang membawa mangsa keluar dari tempat dia ditemui menggunakan motosikal.

Dia yang bertugas dengan Pasukan Gerak Am (PGA) Kem Bukit Galing, di sini berkata, pengalaman bertugas di kawasan hutan sebelum ini banyak membantunya untuk mengesan mangsa.
myMetro | Mentua tidur dalam hutan