Search This Blog

Thursday, June 30, 2011

Rakam video skirt ketika temu duga wanita

SINGAPURA
SEORANG wanita berusia 29 tahun yang menghadiri satu temu duga kerja terkejut apabila mendapati penemu duganya merakam video dalam skirtnya.

Semalam, penemu duga itu, Vernon Loh Chiang Meng, 40 tahun, dijatuhi hukuman penjara dua minggu setelah mengaku bersalah mencabul kehormatan wanita tersebut.

Loh, seorang pengurus pembangunan perniagaan di syarikat dagangan Italiaworld, melakukan kesalahan itu di pejabat syarikatnya di bangunan Lucky Chinatown di New Bridge Road pada 12 Mac tahun lalu.

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa ke pejabat Loh sekitar 5 petang untuk ditemu duga bagi jawatan sebagai penolong akaun.

Dalam sesi temu duga oleh Loh sendiri, mangsa disuruh pula menjalani temu duga menerusi telefon dengan seorang kakitangan sumber manusia di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Loh menduduki sebuah kerusi di belakang mangsa.

Sedang mangsa menjalani temu duga menerusi telefon itu, beliau berasa tidak selesa kerana Loh duduk agak rapat dengannya.

Apabila mangsa menoleh, beliau mendapati Loh meletakkan sebuah telefon bimbit di bawah skirtnya. Mangsa meninggalkan tempat itu dan melaporkan kejadian itu kepada polis.

Loh boleh dihukum penjara hingga setahun, denda atau kededuanya sekali bagi kesalahan itu.Cyberita Online Singapura

Suri rumah mahu langsing hampir melecur

>HAJAT seorang suri rumah untuk mendapatkan tubuh badan yang langsing terkubur apabila kulitnya hampir melecur selepas menjalani sesi rawatan yang keseluruhannya berharga RM8,800.

Semuanya gara-gara krim pelangsing badan yang digunakan oleh sebuah pusat kecantikan di Sri Petaling di ibu negara yang tidak sesuai dengan kulitnya.

Tham See Kaee, 31, mengalami saat mencemaskan apabila meronta-ronta dengan badannya berbalut dan cuba meminta pertolongan daripada kakitangan pusat kecantikan itu selepas ditinggalkan bersendirian selama 10 minit di dalam bilik rawatan.

Hasilnya, kulit di bahagian belakang badannya bertukar menjadi kemerah-merahan dan pedih.

Pemeriksaan doktor mengesahkan dia mengalami alahan terhadap krim yang digunakan.

Menurut See Kaee, sebelum rawatan bermula, dia telah memaklumkan kepada pihak berkenaan bahawa dia mempunyai alahan tertentu.

Tidak berpuas hati dengan keadaan itu, wanita terbabit meminta wangnya dipulangkan namun pihak pengurusan pusat itu enggan memberikan kerjasama.

Masalah itu menyebabkan See Kaee memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di ibu negara.

Presiden TTPM, Reihana Abd. Razak yang mendengar kes tersebut baru-baru ini mengarahkan pusat kecantikan berkenaan membayar ganti rugi RM5,820 kepada See Kaee dalam tempoh 14 hari mulai tarikh keputusan itu dibuat.

Menceritakan semula kejadian itu, wanita itu berkata, segalanya bermula apabila dia dihampiri oleh kakitangan pusat kecantikan itu yang memperkenalkan diri sebagai May dan ditawarkan promosi rawatan muka dengan bayaran RM58 sahaja.

Namun setelah perbualan lanjut, dia dipujuk dengan tawaran untuk melangsingkan badan iaitu pakej 13 kali rawatan dengan harga RM1,988 dan dia bersetuju.

Beberapa hari kemudian ketika membawa suaminya ke pusat itu, jururunding kecantikan di situ berjaya pula mempengaruhi See Kaee dan suaminya untuk bersetuju dengan pakej yang lebih mahal iaitu RM8,800 bagi rawatan tanpa had selama setahun.

Katanya, pihak tersebut turut memberi jaminan bahawa wang akan dikembalikan sekiranya pelanggan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan mereka tetapi janji tersebut tidak dikotakan.Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Pemuda dituduh membunuh dapat peluang kedua jalani hidup baru


PUTRAJAYA 29 Jun - Seorang pemuda berusia 26 tahun memperoleh peluang kedua menjalani hidup baru setelah Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskannya daripada sabitan dan perintah tahanan kerana membunuh seorang remaja berusia 19 tahun, sembilan tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Maarop membenarkan rayuan J. Rasvinder Singh dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan dia ditahan selama tempoh yang diperkenan oleh Sultan Kedah.

Perintah itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar mengikut Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 setelah mendapati pemuda itu yang ketika kejadian merupakan seorang pelajar, bersalah mendatangkan kematian terhadap mangsa.

Dia yang ketika kejadian berusia hampir 18 tahun, dituduh membunuh J.R. Saravanan kira-kira pukul 11 malam, 3 Mac 2002 di tepi jalan berdekatan bengkel JKR, Jalan Lencongan Timur Aman Jaya, Kuala Muda.

Si mati diserang oleh sekumpulan lelaki bermotosikal termasuk perayu ketika sedang membonceng bersama rakannya, S. Kesavan sewaktu dalam perjalanan pulang selepas menghadiri upacara sembahyang.

Hakim Ahmad yang bersidang bersama Hakim Datuk Clement Allen Skinner dan Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali sebulat suara berpuas hati bahawa hakim Mahkamah Tinggi tersilap ketika memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Rasvinder.

Peguam Karpal Singh yang mewakili perayu berhujah bahawa hakim bicara tersalah arah ketika mensabitkan anak guamnya sedangkan bukti keterangan yang dikemukakan pada perbicaraan bercanggah di antara satu sama lain.Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Penoreh getah mengaku tidak bersalah gigit isteri



MOHD. Shakri Ismail diiringi dua anggota polis didakwa menyebabkan kecederaan kepada isterinya di Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.


KUANTAN 29 Jun - Seorang penoreh getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menggigit isterinya yang berusia 23 tahun itu ketika mengadakan persetubuhan.

Tertuduh, Mohd. Shakri Ismail, 28, dari Felda Bukit Goh dekat sini, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noradidah Ahmad.

Tertuduh didakwa mencederakan mangsa antara pukul 12 tengah malam dan 3.30 pagi, 21 April lalu di sebuah rumah di Felda Bukit Goh, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun.

Terdahulunya, selepas kertas pertuduhan dibacakan, tertuduh segera memberitahu bahawa dia tidak melakukan perbuatan itu, selain mempersoalkan pertuduhan terhadapnya.

Mendengarkan jawapan tertuduh, Noradidah bertanya, jika dia tidak melakukannya, mengapa ada kesan gigitan pada mangsa.

Lelaki terbabit bagaimanapun mendiamkan diri sebelum mengaku tidak bersalah.

Berikutan pengakuan itu, Noradidah memerintahkan Mohd. Shakri diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, selain mengenakan beberapa syarat tambahan iaitu dia tidak boleh menghubungi dan pulang ke rumah mangsa ataupun menghampiri isterinya.

Bagaimanapun, tertuduh difahamkan gagal membayar wang jaminan dikenakan ke atasnya dan dihantar ke Penjara Penor sementara menunggu sebutan semula kes pada 25 Julai depan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah.

Selepas kejadian, tertuduh dipercayai melarikan diri sehingga ditahan di Kota Bharu, Kelantan pada 26 Jun lalu sebelum dihadapkan ke mahkamah.Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Lelaki rogol budak dihukum penjara, sebat


LEDANG 29 Jun - Seorang pekerja warung dihukum penjara lima tahun dan sebatan dua kali oleh Mahkamah Sesyen Tangkak di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol seorang budak perempuan berusia 11 tahun.

Hakim Kamarudin Kamsun memerintahkan hukuman penjara ke atas Radin Suri Osman Romanti, 22, berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap sehari selepas kejadian.

Radin mengaku melakukan kesalahan itu antara pukul 7 dan 8 malam, 18 Jun lalu, di bilik sebuah hotel di bandar Muar.

Tertuduh yang berasal dari Sungai Mati, Ledang didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menemui mangsa bersama seorang rakan lelakinya ketika berjalan-jalan berhampiran Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) sebelum mereka dibawa makan di sebuah restoran di Jalan Abdullah dan dipelawa membeli baju.

Tertuduh kemudian membawa mangsa bersama rakannya ke sebuah hotel dengan alasan untuk bertemu ibunya dan menyuruh rakan mangsa mandi semasa dia merogol mangsa.

Mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada hari yang sama dan tertuduh berjaya diberkas keesokannya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asrof Adrin Kamarul manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Polis buru wanita bawa dadah bernilai RM766,450


JOHOR BAHRU 29 Jun – Polis memburu seorang wanita yang melarikan diri setelah dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM766,450 dibawanya bertaburan di atas jalan selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Muar-Pagoh, Jumaat lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pihaknya yang mengenal pasti suspek kini turut mengesan pemilik kenderaan Toyota Vios itu yang didaftarkan di atas nama seorang lelaki.

Katanya, heroin dirampas itu seberat 22.22 kilogram dengan nilai RM666,450 manakala syabu pula seberat 500 gram bernilai RM100,000.

“Heroin itu boleh digunakan untuk seramai 74,050 penagih manakala syabu tersebut untuk 1,700 penagih.

“Kita percaya dapat menahan suspek dalam masa terdekat kerana identitinya dikenal pasti walaupun berjaya melarikan diri pada hari kejadian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, kereta membawa dadah berkenaan terbabas selepas hilang kawalan kira-kira 100 meter dari tol Lebuh Raya Pagoh, Muar.

Suspek yang dikatakan tidak sempat mengutip dadah tersebut dan bimbang perbuatannya itu terbongkar bertindak melarikan diri.

Mohd. Mokhtar berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 32 ADB (Perlucutan Harta) 1988.

Dalam perkembangan berlainan, pihaknya menahan seramai 10 pekerja warga Bangladesh dan Vietnam kerana terlibat dalam pergaduhan di depan sebuah rumah di Tanjung Agas, Sungai Mati, Muar, Ahad lalu.

Menurut beliau, pihaknya merampas dua bilah pisau pemotong daging yang digunakan dalam pergaduhan tersebut.

“Kesemua suspek ditahan reman sehingga esok,” katanya sambil memberitahu kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (Merusuh) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun atau denda.Utusan Malaysia Online - Jenayah

Hutan Sumatera terbakar lagi

DUMAI, Sumatera 29 Jun - Jabatan Meteorologi dan Geologi Wilayah Riau hari ini menyatakan asap dari kebakaran hutan dan hutan bakau di Sumatera mungkin tersebar ke Malaysia dan Singapura.

Wakil jabatan itu, Warih Puji Lestari berkata, tiupan angin ketika ini bergerak dari tenggara dan barat daya Sumatera dengan kelajuan lima hingga 15 kilometer sejam yang memungkinkan asap dibawa ke kedua-dua negara jiran Indonesia itu.

''Keadaan ini akan menyebabkan asap kebakaran di hutan bakau dan hutan Sumatera seperti Jambi, Sumatera Selatan dan Riau dibawa ke Malaysia dan Singapura,'' katanya kepada agensi berita Antara.

Warih memberitahu, keadaan cuaca panas juga dijangka terus memburukkan keadaan di Sumatera terutama di Riau yang ketika ini sebanyak 28 titik panas dikesan.

''Potensi bertambahnya kebakaran hutan dan hutan bakau sangat tinggi dan jika kelajuan angin mencapai 15 kilometer per jam dalam sehari, asap akan lebih cepat tersebar ke Malaysia dan Singapura,'' tambahnya.

Bagaimanapun katanya, jika angin berubah dan kelajuan angin tidak menentu, asap lebih cenderung tersebar di Sumatera sahaja.

''Kemungkinan situasi buruk akan berlaku dalam beberapa hari akan datang di Sumatera terutama di Riau kerana cuaca kering,'' katanya.

Beliau berkata, hasil pemantauan satelit cuaca yang ditadbir oleh Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) di Sumatera menunjukkan sebanyak 36 titik panas di beberapa wilayah itu.

''Antaranya, Jambi (tiga titik panas), Sumatera Selatan (empat) dan Sumatera Barat (satu). Riau mempunyai sebaran terbanyak iaitu 28 titik panas,'' katanya. - AgensiUtusan Malaysia Online - Luar Negara

7 ekor gajah liar ditangkap



Gajah betina yang berjaya ditangkap di kawasan Bukit Lepan Rambai, Machang, Kelantan, semalam.


MACHANG 29 Jun - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan telah menangkap tujuh ekor gajah liar di negeri ini dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Rahmat Topani berkata, kesemua gajah tersebut ditangkap di Gua Musang, Machang, Jeli dan Kuala Krai.

"Bagi jajahan Gua Musang, Machang, dan Kuala Krai pihak kami berjaya menangkap enam ekor sementara di Jeli hanya seekor," katanya kepada pemberita selepas operasi pemindahan seekor gajah betina di Bukit Lepan Rambai, dekat sini hari ini.

Utusan Malaysia, 21 Jun lalu melaporkan jabatan tersebut telah menangkap seekor gajah betina liar yang dilaporkan memusnahkan tanaman penduduk di beberapa kampung di Mukim Baka dan Cherang Hangus dekat sini.

Sementara itu, Rahmat memberitahu, gajah betina dianggarkan berusia 25 tahun dan seberat 1.5 tan akan dipindahkan ke Pusat Konsoversi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang untuk dijinakkan.

"Operasi pemindahan ini mengambil masa selama satu jam bermula pukul 9 pagi hasil bantuan gajah denak iaitu Mek Bunga dan Kala serta sepasukan anggota Perhilitan negeri dengan bantuan Pusat Konsoversi Gajah Kebangsaan.

"Dalam pada itu, kita telah menghalau lima ekor daripada kumpulan gajah betina ini masuk ke dalam hutan semula. Berdasarkan pemantauan selama seminggu, kumpulan gajah berkenaan tidak kelihatan lagi di situ," ujarnya.

Sehubungan dengan itu, pihak Perhilitan memohon kerjasama penduduk supaya memaklumkan kepada pihaknya sekiranya kumpulan gajah berkenaan kembali ke kampung mereka.Utusan Malaysia Online - Timur

5 beranak tinggal sehelai sepinggang


ROMPIN 29 Jun – Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Felda Keratong 9, di sini semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, tiada penghuni berada di rumah tersebut.

Pemilik rumah, Salleh Long, 57, berkata, kejadian berlaku ketika dia memasang siling di sebuah rumah rakannya di Felda Keratong 9 manakala isterinya, Siti Hawa Mustafa, 42, pulang ke kampung di Segamat, Johor.

Menurut Salleh, dua lagi anaknya, Norfarah Adila, 17, dan Nurul Asyikin, 10, bersekolah manakala Mohd. Nazrin, 19, pula keluar bekerja di Segamat.

“Saya bersyukur kerana tiada yang cedera meskipun semua peralatan berharga termasuk dokumen penting terbakar,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui semalam.

Salleh memberitahu, dia sedih kerana semua hasil titik peluhnya sebagai peneroka selama 30 tahun musnah dalam sekelip mata.

“Sebaik sahaja sampai di tempat kejadian, saya hanya mampu melihat dari jauh tanpa sempat berbuat apa-apa kerana api marak dengan begitu cepat,” ujarnya.

Menurutnya, dalam kejadian itu, semua peralatan perabot dan barangan elektrik termasuk wang tunai RM500 yang disimpan di rumah hangus.

“Biasanya isteri akan tinggal keseorangan di rumah kerana saya keluar bekerja manakala anak-anak lain keluar bekerja dan bersekolah,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Fazilah Yusof, 52, memberitahu, ketika kejadian, dia sibuk memasak sebelum terhidu bau asap berdekatan rumah Salleh.

“Saya keluar rumah dan terkejut apabila melihat asap berkepul-kepul di dapur rumah Salleh lalu saya menjerit meminta pertolongan jiran terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian kira-kira 20 minit selepas menerima panggilan kecemasan.Utusan Malaysia Online - Pahang

Sindiket curi kereta tumpas


SHAH ALAM 29 Jun - Polis berjaya mematahkan satu sindiket curi kereta bernilai kira-kira RM400,000 apabila menahan tiga lelaki yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah di dua lokasi berasingan kelmarin dan semalam.

Dalam penangkapan pertama, polis menahan dua lelaki berusia 22 dan 26 tahun di Seksyen 20 di sini pada pukul 11.30 malam kelmarin manakala seorang lagi suspek berusia 27 tahun ditahan di rumahnya di Tanjung Malim, Perak pada pukul 3.30 pagi keesokannya.

Dengan penangkapan itu, polis menemui semula tiga buah kereta iaitu Toyota Vios, Toyota Estima dan Honda Civic yang masing-masing dilaporkan hilang di Jinjang, Kuala Lumpur pada 21 Mei lalu, Tanjung Malim, Perak (26 Jun) dan Jalan Travers, Bangsar, (16 November 2010).

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, penahanan ketiga-tiga suspek itu berdasarkan risikan pegawai dan anggotanya dalam Ops Lejang.

Katanya, ketiga-tiga suspek itu bertindak sebagai orang tengah yang bertanggungjawab menjual kereta yang dicuri di sekitar Perak dan Selangor sejak setahun lalu untuk dijual di pasaran gelap.

"Dua suspek pertama yang ditahan ketika memandu masuk kereta Toyota Estima dan Toyota Vios ke sebuah stesen minyak berhampiran sebelum meninggalkan Toyota Estima di hadapan sebuah restoran makanan segera.

"Kereta tersebut dipercayai dibawa ke situ untuk diambil oleh pembelinya dan kemudian suspek beredar menaiki kereta Toyota Vios sebelum mereka berjaya dipintas oleh kereta peronda polis.

"Berikutan penangkapan itu, polis membuat lagi satu serbuan di Tanjung Malim dan menahan seorang lelaki di rumahnya serta turut menjumpai sebuah kereta Honda Civic," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini hari ini.Utusan Malaysia Online - Kota

Budak maut jatuh tali air



KAMARUDDIN Li menunjukkan tali air di mana tempat anaknya terjatuh ketika bermain basikal di Kampung Parit Buaya, Alor Janggus, Alor Setar semalam. – UTUSAN/SAFINA RAMLI


ALOR SETAR 29 Jun – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun mati lemas setelah terjatuh ke dalam tali air ketika bermain basikal di Kampung Parit Buaya, Alor Janggus, di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7 petang itu, mayat mangsa, Mohammad Fahmi Kamaruddin ditemui oleh bapanya Kamaruddin Li, 44, di dasar tali air yang hanya terletak kira-kira 10 meter dari rumahnya.

Menurut ibunya, Nor Azalina Ahmad, 39, mangsa yang merupakan anak bongsu memang selalu bermain basikal di sekitar rumah mereka setiap petang, namun tidak pernah bermain sehingga ke kawasan tali air tersebut.

Katanya, dia menyedari sesuatu buruk berlaku apabila anak sulungnya, Mohd. Arif, 16, masuk ke dalam rumah selepas bermain tanpa kelibat Mohammad Fahmi.

“Saya dan Mohd. Arif mencari Mohammad Fahmi sehingga ke kawasan tali air dan ternampak kasut jenama Croc yang selalu dipakainya terapung.

“Jalan kampung ini baru diturap dan sebab itulah anak saya sering bermain basikal bersama abang dan kakaknya,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Parit Buaya di sini hari ini.

Nor Azalina berkata, mereka kemudian dengan dibantu suaminya terjun ke dalam tali air yang sedalam paras dada dan menemui Mohammad Fahmi.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata, dia menemui basikal anaknya di dasar tali air sebelum terjumpa anaknya.

“Saya tarik anak saya namun ketika itu dia sudah pucat serta kebiru-biruan dan kami bawa dia ke klinik berhampiran tetapi dia gagal diselamatkan,” katanya.

Ujarnya, Mohammad Fahmi baru pandai menaiki basikal itu yang sebelum ini digunakan abang-abangnya berusia sembilan dan 12 tahun.

“Kami tidak sangka dia akan pergi meninggalkan kami sekeluarga kerana tiada apa-apa perubahan sikapnya yang ketara,” jelasnya.Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Bekas isteri culik anak

KUALA LUMPUR: “Saya langsung tidak menyangka bekas isteri sanggup melarikan anak kami ketika mereka bercuti. Dia bukan saja menculik anak saya, malah ingkar arahan mahkamah yang menetapkan saya mendapat hak penjagaan selepas kami berpisah.

“Saya terlalu rindukan anak. Sambutan Hari Bapa baru-baru ini bagaikan tiada makna tanpa dia di sisi. Saya rayu supaya mana-mana pihak dapat membantu membawa dia pulang ke pangkuan saya,” kata Tan Eng Keong, 31, bapa yang kehilangan anak perempuannya selepas dilarikan bekas isteri ke Batam, Indonesia.


Menurutnya, dia tidak menduga tindakan bekas isteri membawa anaknya, Tan Xin Ru, 8, ke kampungnya di Batam untuk menyambut tahun baru dan Tahun Baru Cina dua tahun lalu rupa-rupanya mempunyai maksud tersirat untuk memisahkan mereka berdua.

Katanya, segala-galanya bermula selepas perkahwinan yang dibina pada Mac 2003 hanya bertahan empat tahun dan selepas itu, mahkamah memutuskan dia mendapat hak penjagaan ke atas anaknya itu.


“Pada November 2008, saya dikunjungi bekas isteri yang datang memohon untuk membawa anak saya ke tempat asalnya di Pulau Batam dan diperkenalkan kepada saudara mara di sana.


“Kerana memikirkan dia juga mempunyai hak, saya kemudiannya membawa anak berjumpanya di Batam. Ketika di sana, bekas isteri memberitahu mahu anak kami tinggal bersamanya sehingga tamat cuti sekolah dan akan menghantarnya pulang ke Malaysia,” katanya.

Menurutnya, memikirkan anaknya memerlukan kasih sayang ibu, dia bersetuju memberikan kebenaran untuk anak perempuannya tinggal lebih lama bersama bekas keluarga mentuanya itu.


“Pada mulanya, saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah saya berkunjung ke rumah bekas isteri pada Februari 2009 untuk membawa pulang anak ke Malaysia kerana sesi persekolahan semakin hampir, namun terkejut apabila mendapati mereka tiada di rumah.

“Saya mendapatkan ahli keluarganya dan bertanyakan di mana anak saya. Seolah-olah sudah berpakat, mereka menjawab tidak tahu ke mana anak pergi,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh.


Tan berkata, sebulan kemudian, dia berkesempatan menemui anaknya selama empat jam di Balai Polis Kota Besar Barelang, Kepulauan Riau selepas seorang rakan berjaya mengesan lokasi Xin Ru di sekolah di sana.


Dalam pertemuan singkat itu, anaknya hanya duduk di pangkuan bekas isterinya dan memaklumkan enggan pulang ke Malaysia kerana khuatir tidak dapat kembali ke Batam.


Sementara itu, Muhd Khairun berkata, pihaknya akan meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk mengesan di mana Xin Ru berada selain menyediakan dokumen berkaitan bagi membantu membawa pulang anak berkenaan kepada ayahnya seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.


Katanya, antara kandungan kerjasama itu termasuklah meminta Interpol mengeluarkan waran tangkap kepada wanita berkenaan kerana melarikan anaknya yang juga warga negara Malaysia ke Indonesia.


“Selepas itu, dokumen berkenaan akan diserahkan kepada pihak berkuasa Indonesia supaya mengambil tindakan sewajarnya kerana isu hak penjagaan sudah diputuskan di mahkamah negara ini,” katanya.myMetro | Bekas isteri culik anak

7 sukarelawan NGO ditahan

PETALING JAYA: Tujuh sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini, ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya untuk dirakam keterangan.

Semua ditahan di sebuah rumah teres setingkat di Seksyen 4, di sini, selepas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menyerbu premis itu sebaik mendapat maklumat berhubung kegiatan menyalahi undang-undang dijalankan di premis itu.


Mereka ditahan termasuk bekas penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Pulau Pinang, Lau Shu Shi, selain tiga wanita dan dua lelaki yang masing-masing berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pihaknya menyerbu premis terbabit sebaik menerima maklumat berhubung kegiatan menyalahi undang-undang di premis itu.


“Kami juga menemui ratusan kemeja-T berwarna kuning mempunyai logo Bersih yang disimpan di premis itu,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.


Beliau berkata, siasatan lanjut ke atas pertubuhan itu di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mendapati ia tidak berdaftar dan sebagai sebuah pertubuhan haram, mereka tidak boleh mencetak logo.

Katanya, pihaknya menyerahkan kes itu kepada ROS untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 50 (3) Akta Pertubuhan 1966.


“Tujuh sukarelawan itu kemudian dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk dirakam keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.myMetro | 7 sukarelawan NGO ditahan

Pemilik 5 pusat urut kena 17 kompaun

RAWANG: Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin A’Ala turun padang bersama Jabatan Imigresen bagi mengetuai operasi mengejut ke atas lima premis urutan refleksologi di Bandar Baru Rawang kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen perniagaan, petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, operasi dikenali Ops Buah itu mengeluarkan 17 kompaun selepas pemilik lima premis terbabit melakukan kesalahan termasuk memasang meter air tanpa kebenaran, tidak mempunyai lesen perniagaan, mengubah suai bangunan dan memasang papan iklan tanpa kebenaran.


Zainal Abidin berkata, pihak Jabatan Imigresen turut menahan tiga pekerja warga China berusia 30-an di sebuah pusat urut terbabit kerana menyalah guna pas lawatan sosial.

Tiga wanita itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut, empat premis mempunyai lesen perniagaan sah manakala satu lagi yang baru beroperasi selama tiga minggu tiada lesen.


“Premis terbabit turut melakukan beberapa kesalahan termasuk melanggar syarat MPS dan kami mengeluarkan 17 kompaun kepada pemilik premis itu.


“Premis yang tidak mempunyai lesen pula dikompaun RM1,000 kerana menjalankan perniagaan secara tidak sah,” katanya pada sidang media selepas operasi itu.myMetro | Pemilik 5 pusat urut kena 17 kompaun

Belasah mahu RM1

KUALA LUMPUR: Hanya kerana RM1, seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di ibu kota cedera kaki kanan dan badan selepas dibelasah rakan sebaya di hadapan sekolah berkenaan, kelmarin.

Difahamkan, mangsa dibelasah kerana enggan memberi wang.


Pelajar yang memukul mangsa juga dikenali sebagai ‘samseng junior’ di sekolah itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa berjalan sendirian untuk pulang ke rumah sebelum dihampiri pelajar terbabit.


Menurut sumber, sebaik menghampiri mangsa, pelajar terbabit meminta RM1.


“Mangsa mendakwa tidak memilik wang sebelum cuba meninggalkan kawasan berkenaan.

“Keengganan mangsa mengundang padah apabila pelajar itu sekali lagi menghalangnya dan mengugut untuk mencederakannya,” katanya.


Sumber berkata, sangkaan mangsa pelajar terbabit tidak berani memukulnya meleset apabila bajunya ditarik sebelum berlaku pergelutan.

Sumber berkata, pelajar terbabit beberapa kali menendang badan mangsa dan ketika itu mangsa merayu dikasihani.


“Pelajar terbabit melarikan diri selepas pengawal keselamatan sekolah itu yang menyaksikan kejadian berkenaan bergegas untuk membantu mangsa,” katanya.


Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Pudu, di sini.myMetro | Belasah mahu RM1

Banjir ragut 25 nyawa di selatan Filipina

DAVAO: Dua puluh lima orang terbunuh dan kira-kira 15 yang lain hilang apabila banjir kilat memusnahkan kawasan kediaman tepi sungai di bandar ini, semalam.

Hujan lebat di kawasan berkenaan sepanjang malam kelmarin menyebabkan paras air Sungai Matina meningkat dan melimpahi tebing.


“Bandar Davao mengalami peningkatan paras air paling tinggi dalam sejarah, naik hingga tiga meter,” menurut kenyataan Majlis Pengurusan Bencana.

Pasukan penyelamat tentera setakat ini menemui 25 mayat selepas banjir surut, kata Mejar Jacob Obligado, pemerintah batalion tentera tempatan yang turut serta dalam gerakan mencari dan menyelamat.


Tiga daripada mayat itu tidak dapat dikenalpasti dan tidak jelas sama ada mereka termasuk 15 penduduk yang dilapor hilang.


Leftenan Marianette Vinluan, berkata, kira-kira 15,000 keluarga meninggalkan kediaman masing-masing dengan bantuan tentera apabila perkampungan mereka di tepi sungai dinaiki air.

Minggu lalu, taufan Maeri juga menyebabkan banjir dan memaksa pemindahan 90,000 penduduk di Manila dan kawasan berhampiran. - AFPmyMetro | Banjir ragut 25 nyawa di selatan Filipina

Wanita tua edar 40 paket ganja

SYDNEY: Seorang wanita warga emas didakwa mengedar dadah selepas aktivitinya ditumpaskan anjing pengesan di Stesen Kereta Api Pusat di Sydney, kata polis semalam.

Jurucakap polis berkata, wanita berusia 74 tahun itu didapati memiliki lebih 40 bungkusan berisi ganja dalam beg tangannya.


Katanya, tertuduh diperiksa selepas anjing pengesan di stesen berkenaan tiba-tiba dilihat tertarik kepada wanita terbabit.

“Pemeriksaan rumah wanita itu membolehkan polis merampas lebih banyak ganja dan bungkusan plastik,” katanya.


Wanita itu didakwa memiliki dan membekalkan dadah larangan. - AFPmyMetro | Wanita tua edar 40 paket ganja

19 maut, 50 cedera sekolah rendah disambar petir

KAMPALA: Kilat menyambar sebuah sekolah rendah di barat Uganda, menyebabkan 19 pelajar terbunuh dan 50 lagi cedera, kata polis semalam.

Kejadian berlaku di Sekolah Rendah Runyanya di daerah Kiryandongo, kira-kira 225 kilometer di barat laut Kampala, kelmarin.


Jurucakap polis tempatan berkata, 15 daripada korban adalah pelajar perempuan.

“Daripada 50 yang cedera, 15 mangsa masih dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di Hospital Mulago,” katanya.


Media tempatan pula melaporkan, 21 pelajar lagi rentung selepas satu lagi sekolah di daerah Zombo disambar kilat.


Bagaimanapun, polis tidak dapat mengesahkan kejadian itu. Akhbar Daily Monitor melaporkan, 28 orang maut dan ramai lagi cedera dalam sejak minggu lalu.

Angka itu termasuk kejadian terbaru kelmarin.


Uganda kini mengalami musim hujan lebat luar biasa dan kekerapan serangan kilat sejak akhir-akhir ini mendorong ahli politik menuntut penjelasan rasmi daripada kerajaan. - AFPmyMetro | 19 maut, 50 cedera sekolah rendah disambar petir

Lelaki cekik 2 kekasih di atas ranjang dipenjara 22 tahun

ADELAIDE: Lelaki yang didakwa mencekik dua kekasihnya dalam aksi seks yang bertukar tragedi, dihukum penjara 22 tahun selepas mengaku bersalah, semalam.

David Richard Fraser, 36, didapati bersalah membunuh Luke Noonan, 29, dengan melilit tali pada leher mangsa di atas katil rumah tertuduh di Adelaide pada 2009.


Ketika itu, Fraser di dalam parol selepas disabitkan kesalahan membunuh kekasihnya ketika mereka berasmara pada 2005.

Dalam insiden itu, Fraser menggunakan tali kasut untuk melilit leher wanita terbabit.


Hakim Mahkamah Agung Australia Selatan, Margaret Nyland, berkata Fraser sepatutnya sedar segala risiko apabila melilit leher pasangannya ketika berasmara.


“Anda tahu risiko tindakan itu tetapi anda tidak menghiraukannya,” katanya.

Dalam perbicaraan, Fraser mendakwa menjadi mangsa pedofilia ketika kecil, dibuli di sekolah dan pernah menjadi pelacur pada usia muda.


Dia juga boleh dilanggan dengan hanya ganjaran murah. - AFP

myMetro | Lelaki cekik 2 kekasih di atas ranjang dipenjara 22 tahun

Mat Gian curi kereta mewah

SHAH ALAM: Polis menahan tiga ‘Mat Gian’ yang sudah berkeluarga selepas dipercayai terbabit dalam sindiket curi kereta dalam serbuan berasingan di Seksyen 20, di sini, Isnin lalu dan di Tanjung Malim, Perak awal pagi kelmarin.

Dalam Ops Lejang Khas kira-kira jam 11.30 malam Isnin lalu, polis menahan dua suspek yang masing-masing memandu kenderaan Toyota Estima dan Toyota Vios apabila dilihat berlegar-legar sekitar Seksyen 20 dalam keadaan mencurigakan.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, selepas diselidiki pihaknya mendapati nombor casis dan enjin kenderaan berkenaan tidak sama dengan yang tertera pada cukai jalan. “Siasatan mendapati seorang daripada suspek berusia 22 tahun mempunyai 10 rekod jenayah curi kenderaan dan enam berkaitan dadah, manakala rakannya berusia 26 tahun memiliki tujuh rekod jenayah dadah. Ujian air kencing menunjukkan kedua-dua suspek positif syabu.

“Hasil soal siasat kemudian menahan seorang suspek berusia 27 tahun juga positif syabu di Tanjung Malim, Perak pada jam 3.30 semalam (kelmarin), kira-kira tiga jam selepas dua rakannya ditahan. Polis merampas Toyota Estima dipercayai kenderaan curi yang dipandu suspek. “Semua suspek yang sudah berkeluarga direman sehingga 1 Julai ini untuk disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, semalam.


Menurutnya, siasatan mendapati semua suspek yang juga penganggur dipercayai bertindak sebagai orang tengah atau ‘transporter’ untuk menghantar kenderaan dicuri mengikut tempat diminta pelanggan.


Katanya, walaupun tiga jenis kenderaan curi termasuk sebuah Toyota Vios dan dua Toyota Estima dianggarkan bernilai RM400,000 sudah ditemui, polis giat menjejak dalang sindiket itu.

“Polis masih memburu dalang termasuk saki-baki anggota sindiket yang dipercayai mula beroperasi sejak setahun lalu di kawasan Lembah Klang dan Perak,” katanya.


Dalam perkembangan lain, katanya, polis Selangor sedang dalam persiapan logistik jika terdapat kemungkinan perhimpunan haram pada 9 Julai ini beralih ke Selangor khususnya di bandar raya Shah Alam.

“Polis akan mengumpulkan maklumat terkini mengenai perhimpunan itu dan jika terpaksa anggota akan diturunkan bagi persediaan menghadapi perhimpunan itu nanti.


“Setakat ini Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima 14 laporan daripada individu dan pertubuhan yang membantah perhimpunan haram berkenaan,” katanya.myMetro | Mat Gian curi kereta mewah

Bapa temui anak lemas di dasar tali air

Mangsa dipercayai terjatuh ketika bermain basikal seorang diri

ALOR SETAR: Hancur luluh hati seorang bapa apabila menemui anak bongsunya berusia lima tahun di dasar tali air di depan rumahnya di Kampung Parit Buaya Alor Janggus, di sini malam kelmarin, dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam terusan itu.
Rasa tidak sedap hati Kamarudin Li, 44, dengan kehilangan anaknya, Mohamad Fahmi Kamarudin, kira-kira jam 7.30 malam, akhirnya terjawab apabila beliau menemui selipar berwarna biru milik mangsa terapung di dalam tali air berkenaan sebelum terjun ke dalam terusan bagi mencari mangsa.
Kamarudin berkata, anaknya yang juga murid tadika Permatang Gunung, di sini, dipercayai terjatuh ke dalam tali air itu yang terletak kira-kira 100 meter daripada rumahnya ketika sedang bermain basikal seorang diri lewat petang kelmarin.

Ketika kejadian, Kamarudin yang bekerja sebagai petani berkata, beliau berada dalam rumah bersama isteri dan tiga lagi anaknya terkejut apabila menyedari mangsa tidak pulang ke rumah walaupun sudah masuk waktu Maghrib.

“Kami sekeluarga terus mencarinya di sekeliling rumah, termasuk di tempat dia bermain bola petang sebelum kejadian tetapi gagal. Bagaimanapun, tiba-tiba saya rasa tidak sedap hati, terus pergi ke tali air di depan rumah dan terkejut melihat selipar Mohamad Fahmi yang berwarna biru terapung dalam tali air ini.

“Tanpa berfikir panjang saya terus terjun ke dalam tali air bersama penduduk kampung untuk mencari anak saya dan tidak lama selepas itu saya menemui anak saya bersama basikalnya di dasar tali air berkenaan,” katanya yang ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Gunung, dekat sini, pagi semalam.
Berita Harian Online | Bapa temui anak lemas di dasar tali air

Penoreh getah kena dakwa gigit isteri

KUANTAN: “Saya tidak cederakan dia,” reaksi spontan seorang penoreh getah selepas pertuduhan mencederakan isteri dengan menggigit kemaluan mangsa dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd Shakri Ismail, 28, dari FELDA Bukit Goh, dekat sini terdiam selepas Hakim Noradidah Ahmad bertanya mengapa ada kesan gigitan pada mangsa jika dia tidak melakukan perbuatan itu.
Mohd Shakri kemudian membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya sebanyak dua kali oleh jurubahasa mahkamah.
Noradidah mengarahkan Mohd Shakri dikenakan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan beberapa syarat tambahan iaitu dia tidak boleh menghubungi dan pulang ke rumah mangsa selain tidak dibenarkan berada berdekatan wanita berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati menyebabkan kecederaan terhadap isterinya ketika mengadakan persetubuhan di sebuah rumah di FELDA Bukit Goh 21 April lalu antara jam 12 tengah malam hingga jam 3 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun.

Difahamkan, pada 21 April lalu tertuduh dikatakan mengejut isterinya, 23, yang sedang tidur untuk melakukan hubungan seks tetapi ditolak wanita itu dengan alasan tidak sihat.
Pada keesokan harinya, tertuduh menghantar isterinya ke rumah ibu mentua dan mangsa yang mengalami kesakitan akibat perbuatan lelaki itu membuat laporan polis.

Selepas kejadian itu, tertuduh melarikan diri tetapi berjaya ditahan di Kota Bharu, Kelantan Isnin lalu.

Pasangan terbabit yang berkahwin dua tahun lalu tidak mempunyai cahaya mata bercerai Khamis lalu.

Mohd Shakri gagal membayar wang jaminan yang ditawarkan mahkamah dan dihantar ke Penjara Penor sementara menunggu kesnya disebut semula pada 25 Julai ini.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berita Harian Online | Penoreh getah kena dakwa gigit isteri

Nelayan asing pelanggan utama rokok seludup

ROKOK bebas cukai  menjadi pilihan nelayan  sekitar Kuala Perlis.
ROKOK bebas cukai menjadi pilihan nelayan sekitar Kuala Perlis.
KANGAR: Rokok bebas cukai yang diseludup keluar dari Langkawi dikesan mendapat permintaan tinggi di bandar ini, terutama di kalangan warga awak-awak kapal nelayan sekitar Kuala Perlis.

Walaupun kualitinya dikatakan tidak seberapa, harga rokok bebas cukai yang jauh lebih rendah berbanding rokok jenama biasa di pasaran menjadi tarikan utama golongan terbabit, terutama awak-awak nelayan warga asing, di sini.
Difahamkan, rokok terbabit yang membawa pelbagai jenama seperti John atau Jumbo yang dijual pada harga RM1.50 sekotak di kedai bebas cukai di Langkawi dan RM2.50 di sini.
Harga itu jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan rokok berjenama lain yang dijual di kedai biasa iaitu antara RM6 dan RM8 sekotak.

Kumpulan awak-awak terbabit ketika ditemui juga mengakui stok rokok bebas cukai terbabit begitu mudah diperoleh walaupun ia dipasarkan secara ‘gelap’ atau ‘sembunyi’ oleh beberapa kedai tertentu di sekitar kawasan Kuala Perlis.

Malah, kejayaan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan sindiket membawa masuk stok rokok bebas cukai berkenaan ke Kuala Perlis minggu lalu, turut memperkukuhkan lagi andaian berhubung permintaan tinggi barangan terbabit di negeri ini.

Dalam kejadian itu, sebuah bot sarat muatan 700 karton rokok bebas cukai dengan jenama John yang diseludup keluar dari Langkawi dirampas di Sungai Perlis berhampiran Kampung Wai, di sini.
Hasil maklumat, semua rokok terbabit adalah stok yang dipesan khusus beberapa peniaga sekitar Kuala Perlis, di sini, dan sindiket dikatakan memperoleh keuntungan mencecah RM7,000 bagi setiap penghantaran dari Langkawi ke kawasan ini.

Awak-awak warga Thailand berusia lingkungan 30-an yang hanya ingin dikenali sebagai Wanit ketika ditemui mengakui antara pelanggan utama rokok bebas cukai berkenaan.

"Kenapa saya mahu beli rokok yang mahal, kalau ada yang murah. Saya cuma mahu merokok dan tidak kisah rasanya sedap atau tidak....Asalkan boleh merokok," katanya yang mengakui bukan sukar untuk mendapatkan stok berkenaan.
Berita Harian Online | Nelayan asing pelanggan utama rokok seludup

Remaja maut, rakan parah

Motosikal bertembung kereta ketika ke pasar malam beli sate

JITRA: “Saya sedih kerana arwah kempunan tidak sempat makan sate ayam yang baru hendak dibeli di pasar malam," kata ibu pelajar tingkatan tiga yang maut selepas motosikal yang dinaiki bersama rakannya bertembung dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan untuk ke pasar malam berdekatan rumahnya di Jalan Sungai Korok di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.15 malam, Mohd Firdaus Kamis, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Hitam di sini, mati di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan muka manakala rakannya, Mohd Nazrul Rusli, 15, yang membonceng motosikal itu cedera parah serta dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Ibu Mohd Firdaus, Habsah Shariff, 50, berkata sebelum kejadian anak bongsu daripada tiga beradik itu meminta wang RM10 daripadanya untuk membeli sate di pasar malam berhampiran rumah mereka selepas mendakwa tidak berselera untuk makan nasi.

Selepas itu, katanya, arwah terus ke rumah Mohd Nazrul di kampung berhampiran sebelum pergi ke pasar malam dengan menaiki motosikal.

“Tidak lama kemudian saya mendapat tahu dia terbabit kemalangan,” katanya ketika ditemui semalam. Jenazah Mohd Firdaus dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Sepat, pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohamed Yusof ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga masuk ke laluan bertentangan kerana mahu mengelak sebuah kereta Perodua Kancil yang keluar secara melulu dari simpang berhampiran.
"Pemandu kereta Proton Saga berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal jenis Honda C70 yang ditunggang mangsa," katanya.

Beliau berkata, pemandu Proton Saga dan Perodua Kancil yang terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami kecederaan dan keterangan mereka sudah diambil untuk siasatan lanjut.

"Seorang lagi mangsa yang cedera parah kini ditempatkan di HSB,"katanya.
Berita Harian Online | Remaja maut, rakan parah

25 gadai nyawa tengah laut

SEBAHAGIAN pendatang yang ditahan  PGM.
SEBAHAGIAN pendatang yang ditahan PGM.
Bot 8 meter dinaiki pendatang bocor menghala perairan antarabangsa

KOTA TINGGI: Sekumpulan 25 pendatang tanpa izin Indonesia, nyata menggadai nyawa apabila menaiki bot bocor dikendalikan dua tekong untuk pulang ke negara asal menerusi pantai daerah ini, awal pagi semalam.
Namun, perjalanan pulang mereka secara bersesak dalam bot tanpa memakai sebarang jaket keselamatan itu, tersekat apabila ditahan Pasukan Gerakan Marin (PGM) di luar Pantai Tanjung Pengelih di sini, kira-kira jam 12.05 pagi.
Dalam gerakan itu, sepasukan anggota PGM yang menjalankan rondaan Operasi Octapus dengan Bot Ronda RH24 terserempak bot fiber sepanjang kira-kira lapan meter dalam keadaan mencurigakan sedang menghala ke arah perairan antara bangsa.

Komander PGM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan berkata, menyedari kehadiran anggotanya, tekong bot berkenaan cuba memecut melarikan diri apabila diarah berhenti untuk pemeriksaan.

“Kejadian itu menyebabkan anggota PGM terpaksa mengejar kira-kira 10 minit, sebelum berhasil memintas bot berkenaan. Pemeriksaan mendapati bot yang dilengkapi enjin 200 kuasa kuda itu dikendalikan seorang tekong dan pembantunya membawa 25 pendatang tanpa izin termasuk tujuh wanita.

“Ketika ditahan, bot kecil yang sesak dengan penumpang itu sudah mengalami kebocoran. Semua warga asing terbabit nyata menggadai nyawa mereka kerana masing-masing tidak memakai jaket keselamatan sepanjang berada dalam bot terbabit, " katanya di sini, semalam.
Zainul Abidin berkata, dalam gerakan berasingan kira-kira jam 12.15 pagi pula, sepasukan anggota PGM diketuai Asisten Superintendan Amri Abdul Rahman dengan bantuan RELA menyerbu ladang sawit di FELDA Keledang dan menahan 59 pendatang tanpa izin Indonesia yang dikumpulkan di situ.

“Tangkapan terbabit termasuk 16 wanita serta dua kanak-kanak yang dipercayai dikumpulkan dalam ladang sawit itu sementara menunggu peluang untuk dibawa pulang secara haram ke negara asal.

“Mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan menggunakan khidmat sindiket untuk menguruskan kepulangan ke negara asal," katanya.

Katanya, sepanjang tempoh enam bulan tahun ini, PGM Wilayah Dua sudah membuat 52 tangkapan membabitkan 558 pendatang tanpa izin serta 10 tekong, sama ada ketika cuba masuki atau keluar dari negara ini.

Katanya, jumlah tangkapan yang dilakukan itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu apabila 371 warga asing daripada pelbagai negara ditahan oleh pasukan terbabit.
Berita Harian Online | 25 gadai nyawa tengah laut

Budak mati lemas dalam tali air


Kosmo! Online - Negara: "
Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
norlida.idros@kosmo.com.my
ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun mati lemas selepas terjatuh ke dalam tali air ketika bermain basikal kira-kira 10 meter dari rumahnya di Kampung Parit Buaya, Alor Janggus di sini kelmarin.

Mayat Mohammad Fahmi Kamaruddin, 5, ditemui bapanya, Kamaruddin, 44, di dasar tali air kira-kira 10 minit selepas kanak-kanak itu disedari hilang pada pukul 7 petang.

Ibu mangsa, Nor Azalina Ahmad, 39, berkata, dia tidak menyangka anak bongsunya itu mengayuh basikal ke kawasan tali air kerana kanak-kanak itu biasanya hanya akan pergi ke rumah neneknya yang terletak bersebelahan rumah mereka.

“Fahmi baru pandai kayuh basikal, saya rasa dia kayuh ke sana (sungai) sebab terlalu seronok bermain bersama abangnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Menurut Nor Azalina, sebelum kejadian dia berada di luar rumah namun masuk semula ke dalam rumah selepas itu."